Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Formula 4 SEA – Ghiretti menang lima daripada enam perlumbaan di Thailand, pelumba M’sia naik podium

    Formula 4 SEA – Ghiretti menang lima daripada enam perlumbaan di Thailand, pelumba M’sia naik podium

    Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) hujung minggu lalu beralih pula ke Litar Antarabangsa Buriram bagi pusingan kelima dan keenam musim ini. Seperti dijangka, pelumba Perancis, Alessandro Ghiretti memenangi lima daripada enam perlumbaan dalam tempoh tiga hari, sementara pelumba Malaysia, Alister Yoong dan Muizz Musyaffa masing-masing menduduki kedudukan podium kedua dan kelima.

    Ghiretti bermula pada petak pertama pada perlumbaan pertama, dan mengekalkan kedudukan itu selepas memulakan perlumbaan dengan baik. Beliau diikuti rapat oleh pelumba Thailand, Kane Shepherd dan Muizz. Muizz juga sempat merapatkan jurang dengan Kane, sebelum akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan ditangga kedua.

    Perlumbaan kedua pula menyaksikan saingat lebih sengit. Aksi getir antaranya ketika Muizz berlanggar dengan pelumba Jepun, Ryo Komikado. Selepas perlumbaan dimulakan semula, Ghiretti yang berada di petak pertama dipintas oleh pelumba Ireland, Luke Thompson di selekoh pertama, sebelum diasak pula oleh Sheperd sedikit di belakang. Mereka kemudiannya dapat memotong semula Thompson, dengan Ghiretti berada paling depan hingga akhir. Pelumba Belgium, Antoine Potty berjaya berada di kedudukan ketiga dan turut sama naik podium.

    Formula 4 SEA – Ghiretti menang lima daripada enam perlumbaan di Thailand, pelumba M’sia naik podium

    Perlumbaan ketiga menyaksikan Thompson berada di petak pertama, tetapi Alister Yoong sempat mencuri kedudukan pendahulu di selekoh pertama. Namun itu tidak bertahan lama; di selekoh ketiga, Sheperd dan Ghiretti berjaya memintas Alister. Perlumbaan berlangsung dengan persaingan sengit, sebelum sekali lagi Ghiretti sekali lagi di depan bagi kali ketiga berturut-turut.

    Alister Yoong sekali lagi bermula dengan baik pada perlumbaan keempat, dan memotong Shepherd dan Ghiretti yang bermula di depan. Namun, beliau didapati melakukan “jump start” dan dikenakan denda 30 saat, meletakkannya di kedudukan keenam. Di akhir perlumbaan, Ghiretti, Shepherd dan Muizz berjaya menduduki podium.

    Ghiretti dan Shepherd sekali lagi membuktikan prestasi terbaik mereka pada perlumbaan kelima. Walaupun Ryo Komikado dan Antoine Potty bermula di depan, Ghiretti dan Shepherd tetap berjaya mengasak. Ryo yang ketinggalan kemudiannya terpaksa berdepan pula dengan Muizz. Bagaimanapun, Alister berjaya memintas kedua-duanya di selekoh dan berada ditempat ke empat.

    Namun debaran perlumbaan itu masih belum berakhir. Aksi Shepherd terbabas dan kemudiannya terpaksa berada di belakang Alister dan Muizz dan kemudiannnya tetap berjaya memintas kedua-dua pelumba Malaysia itu sangat mengkagumkan. Bagaimanapun, dihujung perlumbaan, Muizz dan Alister dapat merampas semula kedudukan podium kedua dan ketiga.

    Hanya pada perlumbaan keenam barulah kemaraan Ghiretti dapat disekat. Itu dilakukan oleh Shepherd yang sekali lagi menunjukkan semangat lumba yang tinggi – beliau berjaya memintas pelumba kedudukan pertama, Thompson dalam pusingan permulaan. Ia berakhir dengan Shepherd berhasil meraih kemenangan selaku pelumba tuan rumah.

    Dengan persembahan yang konsisten, Ghiretti sekali lagi muncul juara bagi keseluruhan perlumbaan, dengan mengumpul 80 dan 63 mata berbanding Shepherd yang hanya meraih 54 mata bagi kedua-dua perlumbaan berkenaan. Perlumbaan terakhir siri ini akan berlangsung di Sepang empat minggu dari sekarang.

     
     
  • Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Ford akan turun ke pameran SEMA di Amerika Syarikat dengan membawa pelbagai model, tetapi yang paling banyak variasi adalah Ranger 2019. Syarikat itu akan mempamerkan tujuh Ranger yang diubah suai khas dengan lebih 150 kelengkapan prestasi serta aksesori, yang akan ditawarkan apabila trak pikap itu dilancarkan di sana tahun hadapan.

    Model pertama adalah Ranger Pre-Runner, yang boleh dilihat di atas. Ia dibina oleh Ford Performance, dan menunjukkan kemampuan serba boleh kenderaan ini; dipasang dengan pakej off-road FX4, differential belakang boleh kunci secara elektronik serta suspensi Fox/BDS yang lebih tinggi tiga inci bersama penyerap khas.

    Turut dipasang pada model ini adalah kit upper control arm BDS, ekzos jenis cat-back oleh Ford Performance dan rim 17 inci yang dibalut dengan tayar BFGoodrich High-Performance All-Terrain KO2 – tetapan sama seperti Ranger Raptor.

    Aksesori offroad lain yang ada pada Pre-Runner ini termasuk bampar hadapan dengan skid plate dan bampar belakang Desert Racer, pemijak tepi berlampu Rock Slider, rak belakang Addictive Desert Design dengan lampu LED, serta kit lampu offroad.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Versi seterusnya adalah Ranger Base Camp, yang juga disiapkan oleh Ford Performance. Ia dilengkapi dengan kit suspensi Fox/BDS yang lebih tinggi tiga inci dan penyerap off-road, kit upper control arm BDS, skid plate serta pelindung differential. Bampar hadapan adalah daripada Ascent manakala bampar belakang, winch hadapan serta pelindung gril adalah daripada Warn Industries.

    Sepanjang A-pillar kenderaan ini anda boleh melihat ia mempunyai snorkel yang membantu penyampaian udara kepada enjin, dan ia dipasang dengan rim 18 inci yang dibalut tayar BFGoodrich All-Terrain KO2. Sistem lampu turut diambil penting pada versi ini, dan ia dipasang dengan unit daripada Rigid, termasuk di bahagian belakang.

    Aksesori lain yang ada pada Ranger Base Camp ini adalah bakul bumbung Skinny Warrior, kit rak Outpost, pelindung hujan Slim Shady serta tapak-tapak khas lain. Bahagian dalam turut dinaik taraf dengan plet tepi pintu krom hitam, lapisan lantai tahan hujan serta sistem keselamatan yang lebih baik.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Model ketiga adalah Xbox Ranger oleh Addictive Desert Designs. Di dalam kenderaan ini, penumpang boleh bermain permainan video di tempat duduk belakang, yang mana tempat duduknya hanya ada dua dan konsol Xbox One Xs dipasang secara terus di situ.

    Selain ciri itu, kenderaan ini turut dipasang dengan upper control arm dan kit peninggi BDS Suspension, rim Rev 883 17 inci dengan tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3, bampar depan dan belakang khas, rak atas HoneyBadger bersama pengangkat tayar serta lampu LED tambahan daripada Rigid.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Satu lagi model, Ranger Project Nightfall pula menggabungkan kemampuan offroad dengan penampilan yang bergaya. Senarai aksesorinya bermula daripada penutup bahagian kargo belakang A.R.E. CX Revo, upper control arm BDS Suspension, pengangkat berat Airlift, penyerap hentak Fox, lengkuk roda Bushwacker, bampar Ford Performance, pemijak tepi NFab Epyx dan rim 20 inci Black Rhino Mint, dibalut tayar Cooper Discoverer STT Pro.

    Grafik yang cukup menyerlah pada model ini dicat khas oleh Lynch Concepts, dan sebahagian daripadaya, iaitu yang berwarna kelabu serta hijau terang itu adalah pelekat khas. Turut dipasang pada model ini adalah ekzos jenis cat-back serta pelindung differential oleh Borla, rak bumbung oleh Yakima JetStream dan pengangkat basikal Highroads.

    Ford Ranger 2019 – tujuh model ubah suai ke SEMA

    Untuk mereka yang betul-betul serius dengan pemanduan offroad, versi Project Ranger X mungkin adalah pilihan yang paling sesuai. Model ini diubah suai secara khas supaya bahagian kargo belakangnya lebih panjang, dan mempunyai kotak barangan Knapheide dengan sistem rak buatan khas untuk kelengkapan yang biasa digunakan di jalan kasar.

    Barangan lain yang ada pada kenderaan ini adalah kit suspensi enam inci lebih tinggi serta upper control arm daripada BDS, penyerap hentak Fox 2.5 Factory Series DSC, sistem suspensi beg udara AirLift di belakang dan rim offroad 17 inci KMC XD Series Grenade yang dibalut tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3. Bampar hadapan turut dipasang dengan winch Aeon 10-S, dan ia mempunyai pelindung penuh di bahagian bawah kenderaan.

    Ubah suai untuk dua model lagi adalah lebih ringkas. Baja-forged Ranger menggunakan cat warna hijau askar dengan jalur hitam dan kuning di beberapa bahagian, manakala bampar depan dan belakangnya menggunakan besi berbentuk bulat. Bahagian suspensi model ini dinaikkan sedikit sahaja, dan bahagian kabin menggunakan balutan tempat duduk kulit daripada Katzkin yang berwarna hitam dan kemasan kuning.

    Model terakhir adalah Airdesign USA Ranger. Penampilan yang lebih kemas ini datang daripada kit badan offroad Airdesign, dan digabung dengan aksesori berlesen Ford yang lain seperti hiasan bawah pintu, bampar hadapan, lengkuk roda lebih lebar, corong udara di fender, skup udara depan, spoiler belakang, spoiler atas bumbung serta hiasan di tailgate.

    Bahagian mekanikal lain yang dinaik taraf adalah suspensi serta upper control arm BDS Suspension, penyerap hadapan Fox 2.5 Factory Series DSC, penyerap belakang Fox 2.0 dan rim Fuel Ripper bersaiz 20 inci dengan tayar Nitto Ridge Grappler. Kesemua tujuh Ranger yang diubah suai untuk SEMA ini menggunakan enjin petrol empat silinder 2.3 liter EcoBoost yang dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan dengan ciri SelectShift.

     
     
  • Ford GT Carbon Series 2019 – 18 kg lebih ringan

    Ford GT Carbon Series 2019 – 18 kg lebih ringan

    Susulan pengumuman Ford yang akan menambah lagi 350 unit bagi model prestasi GT, jenama ini turut mendedahkan lagi sebuah sportscar yang diberi nama GT Carbon Series. Model edisi istimewa ini adalah 18kg lebih ringan sekaligus menjadikannya paling ringan dalam barisan GT, dan merupakan satu-satunya yang dibina dalam masa seminggu bagi pelanggan yang menempahnya.

    Sportscar ini didatangkan dengan roda gentian karbon bersama skru titatnium, dan juga sistem ekzos titanium dan polycarbonate di belakang, sekaligus membantu mengurangkan lagi berat jentera ini.

    Di dalamnya, Ford tidak memberikan peletak cawan dan juga ruang storan di sisi bahagian pemandu yang bertujuan untuk mengurangkan beratnya. Walau bagaimana pun, ia masih dilengkapi dengan elemen lain termasuk sistem infotainmen SYNC 3 dan paling penting aliran udara yang lebih selesa.

    Ford turut berkata model baharu ini juga paling banyak menggunakan komponen gentian karbon di dalam barisan GT, bermula dengan dua jaluran pada badan, yang menyertai A-pillar dan juga panel bawah badan. Untuk dalaman, konsol tengan dan pod juga diperbuat daripada matte carbon.

    Pelanggan juga boleh memilih antara empat warna iaitu perak, jingga, merah atau biru – untuk perumah cermin sisi, jaluran tengah dan kaliper. Malahan tempat duduk juga ditampilkan dengan paten unik dengan jahitan jingga, yang juga kelihatan pada roda stereng, penukar pedal dan juga lencana unik pada panel instrumen.

    “Ini satu lagi contoh di mana kami mendengar permintaan para pelanggan. Sementa model Ford GT Competition adalah bagi pencinta pelumbaan, kami mendapati ada ramai pelanggan yang mahukan gentian karbon dengan pendingin hawa dan radio di dalam jentera sebegini. Jadi kami membangunkan Carbon Series sebagai memenuhi kehendak, dengan pandangan yang berbeza,” ujar Lance Mosley, pengurus pemasaran di Ford Performance.

     
     
  • Volvo S90 T5 Momentum kini di Malaysia – RM338,888

    Volvo S90 T5 Momentum kini di Malaysia – RM338,888

    Volvo Cars Malaysia (VCM) kini telah membawa sedan S90 dalam versi T5 Momentum ke pasaran tempatan yang diletakkan di bawah model plug-in hybrid T8 Twin Engine Inscription dan T8 Twin Engine Inscription Plus. Volvo S90 T5 Momentum ini dijual pada pasaran tempatan pada harga RM338,888, atau RM30,000 lebih murah berbanding versi asas T8 Twin Engine Inscription.

    Model ini hanya dijana oleh enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder Drive-E tanpa bantuan motor elektrik, menjana 251 hp (254 PS) dan tork maksima 350 Nm. Kuasa dari enjin hanya menjana roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik konvensional Aisin AW TG-81SC. Ini membolehkan sedan berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j.

    Kemasan untuk varian Momentum ini tentunya berbeza dari versi Inscription. Pada bahagian hadapan, ia diberikan serlahan krom pada gril, dan tiada kemasan krom pada bahagian bampar disertakan. Namun, lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang bina dalam ‘Tukul Thor’ masih diberikan secara standard bersama fungsi larasan automatik dan lampu tinggi aktif.

    Volvo S90 T5 Momentum kini di Malaysia – RM338,888

    Pada bahagian sisi pula, model Momentum ini juga tidak diberikan kemasan krom pada bahagian bawah kesemua pintu seperti pada Inscription, manakala tip ekzos berkembar berbentuk trapezoid pada bahagian belakang digantikan dengan dua tip ekzos berbentuk bulat. Model ini dibekalkan dengan rim aloi 19-inci dengan lima jejari kembar tiga, dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 255/40R19.

    Masuk ke kabin, papan pemuka masih lagi kelihatan sama, tetapi tombol gear kristal Orrefors digantikan dengan tombol konvensional balutan kulit, sementara panel-panel lain menerima kemasan Iron Ore Aluminium. Suis pilihan mod pemanduan yang diperbuat seperti berlian juga tiada pada model ini, tetapi butang penghidup enjin masih pada kedudukan yang sama.

    Kelengkapan lain yang turut diberikan pada versi T5 Momentum ini termasuk panel instrumen Adaptive Digital Display dengan paparan 12.3-inci, sistem penghawa dingin dua-zon, sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan-inci, tempat duduk Comfort balutan kulit hitam, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, liang udara kabin belakang (pada tiang-B sahaja), kusyen peninggi bina dalam untuk kanak-kanak pada bahagian belakang dan juga kamera undur.

    Bagi sistem keselamatan pula, segala kelengakapan pada versi T8 Inscription di bawa terus pada model lebih rendah ini. Antara sistem berkenaan termasuk tujuh-beg udara, Adaptive Cruise Control, City Safety dengan Amaran Pelanggaran Hadpaan serta pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal lengkap dengan Brek Automatik Penuh, Amaran Keluar Laluan, Bantuan Kekal Lorong, Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), Kawalan Kestabilan Olengan, dan Kawalan Menurun Bukit. Sistem pemanduan separa automatik Pilot Assist juga diberikan bersama Park Assist dan Park Assist Pilot.

    Nak tengok kereta ini dengan lebih dekat? Volvo S90 T5 Momentum ini akan dibawa ke acara Premium Auto Car Expo (PACE) yang kami sendiri adakan di Pusat Konvensyen Setia City dari 3 hingga 4 November 2018. Khas untuk acara berkenaan, VCM akan menawarkan lima kali servis standard percuma (VSA 5+) bagi mereka yang menempah XC60 T5, S90 T5 dan XC90 T5 pada kedua-dua hari berkenaan.

     
     
  • Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

    Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

    Peraturan mewajibkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian, yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019, ditangguhkan setahun lagi iaitu dikuatkuasakan pada 2020.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, sebelum ia dilaksanakan secara mandatori, pihaknya akan menjalankan beberapa program kesedaran tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi kepada orang ramai sepanjang tahun 2019, laporan Bernama.

    “Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia, tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

    Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

    Menurut Loke, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

    “Diharapkan MOF menerima cadangan kami dan sekiranya terdapat sebarang pengumuman positif, kami berharap ia akan diumumkan Jumaat ini,” kata Loke.

    Mungkin ada yang beranggapan kerusi khas kanak-kanak ini agak mahal dan anda kurang berkemampuan untuk membelinya. Tetapi tolonglah fikirkan dan utamakan soal keselamatan si kecil anda. Malang tidak berbau, namun tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk memastikan agar keselamatan si kecil diletakkan di aras yang tertinggi.

    Untuk kanak-kanak di bawah berat 25 kg (berat adalah ukuran lebih tepat berbanding usia) haruslah diletakkan di kerusi khas kanak-kanak (Kumpulan 0+, 1 dan 2, kerusi berkenaan diposisi menghadap belakang) dan bagi yang di bawah berat 36 kg pula boleh duduk di tempat duduk biasa dengan tambahan pemasangan booster seat atau booster cushion (Kumpulan 3) tetapi dalam masa yang sama pastikan dipakai tali pinggang keledar. Ini adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan.

    Dan mereka juga perlu didudukkan di tempat duduk penumpang belakang, bukan di hadapan. Ini bagi menjauhkan mereka daripada beg udara hadapan yang akan terkeluar sekiranya berlaku kemalangan. Anda hanya boleh menempatkan kerusi khas kanak-kanak atau booster seat di tempat duduk hadapan sekiranya ada suis untuk mematikan beg udara di bahagian penumpang hadapan (tidak semua kereta didatangkan dengan fungsi itu), tetapi ini hanya pilihan terakhir (terutamanya jika bimbang si kecil anda mengamuk, meragam atau tantrum bila kena duduk seorang diri di belakang).

    BUkan itu sahaja, tolong jangan sesekali memangku si kecil bila duduk di hadapan, paling ‘dahsyat’ dan kurang berhemah; ketika sedang memandu. Pegangan tangan anda tidak begitu kuat untuk menahan si kecil anda sekiranya terlibat dalam kemalangan, malah ia juga sangat berbahaya bila beg udara terkeluar. Ia kemungkinan mampu memberikan kecederaan parah pada si kecil termasuk terpatah leher, tengkorak retak dan sebagainya.

    Maka, sekali lagi kami di paultan.org menyeru untuk anda mempertingkatkan lagi tahap keselamatan si kecil, berfikirlah secara rasional, betapa pentingnya penggunaan kerusi khas untuk mereka. Biarpun harus berbelanja lebih untuk membelinya, demi keselamatan si kecil, silalah pertimbangkanlah perkara ini. Bukan tunggu peraturannya dikuatkuasakan, tetapi lakukanlah sekarang.

     
     
  • Modenas Dominar 400 – harga baru diumum, RM15,488

    Modenas Dominar 400 – harga baru diumum, RM15,488

    Motosikal sports tourer dari Modenas, Dominar 400 yang dilancarkan April lalu kini diumumkan akan dijual dengan harga baru. Seperti yang diumumkan di laman Facebook rasmi Modenas, harga jualannya kini bermula dari RM15,488 berbanding harga pengenalan dahulu iaitu RM14,615 (RM13,788 jika tanpa GST). Ini melibatkan perbezaan sebanyak RM873.

    Modenas Dominar 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkapasiti 373 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 35 PS pada 8,000 rpm manakala tork pula 35 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini juga hadir dengan teknologi Digital Triple Spark Ignition (DTSi), empat injap, sejukan cecair serta sistem suntikan minyak.

    Ciri-ciri lain yang melengkapi model ini antaranya ialah lampu utama LED penuh dengan fungsi nyalaan auto, yang membolehkan motosikal ini dilihat dari jarak sejauh 1.5 km. Selain itu, brek cakera untuk bahagian depan (320 mm) dan belakang juga disediakan, memberi daya henti yang cekap.

    Ikuti juga laporan tunggang uji ringkas yang kami lakukan. Jadi macam mana, dengan kenaikan harga ini, Dominar kekal berbaloi untuk dimiliki?

     
     
  • Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

    Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

    Selain dari Nissan GT-R R35, Nissan mempunyai satu lagi kereta sport yang masih lagi dijual dalam pasaran – tak lain tak bukan, Fairlady 370Z. Kedua-dua kereta sport berkenaan sudah berada begitu lama dalam pasaran tanpa tanda-tanda akan digantikan model generasi baharu dalam masa terdekat, dan Nissan masih mahukan GT-R dan Z kekal relevan untuk bersaing.

    GT-R telah pun diberikan pelbagai versi kemaskini, manakala untuk Z, Nissan telah membina sebuah jentera one-off bagi menyatakan bahawa ia masih ada, dikenali sebagai 370Z Project Clubsport 23 yang akan didedahkan di pertunjukkan SEMA tahun ini. Kereta ini dibina oleh Nissan Motorsport bersama MA Motorsport. Ia bukan dihasilkan dari kerangka baharu dari kilang, sebaliknya menggunakan sebuah 370Z Nismo 2012.

    Langkah pertama bagi mendapatkan kuasa segera, enjin asal VQ37VHR 3.7 liter V6 NA berkuasa 350 hp digantikan dengan enjin 3.0 liter V6 VR30DDTT yang disuap dengan dua pengecas turbo. Bukan itu sahaja, enjin baharu berkenaan turut diberikan kit sistem kemasukan lebih sejuk dari AMS Performance, injap Blow-off Z1 Motorsport dan sistem ekzos berkembar 76 mm. Ini membolehkan enjin dengan kapasitinya lebih kecil dan sistem induksi paksaan berkenaan mampu mengkestrak sejumlah 400 hp.

    Bagi memastikan suhu enjin ini kekal optimal dan tidak menghasilkan haba melampau, ia diberikan pengubah haba yang ditingkat taraf dari AMS Performance, radiator dan juga hos-hos penyejuk antara untuk cecair penyejuk dari Z1 Motorsport. Sistem stereng kuasa juga menerima unit penyejuk dari MA Motorsport.

    Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

    Kuasa masih dialirkan sepenuhnya ke gandar belakang menerusi kotak asal enam-kelajuan manual 370Z Nismo. Namun bagi memastikan kesemua kuasa dari enjin diterjemahkan pada roda, ia dikemaskini dengan roda kuasa, plat cekam serta (clutch plate) dan plat tekanan (pressure plate) yang dibina oleh MA Motorsport, manakala gandar pula menerima LSD GT Pro Carbon Nismo dari jenis dua hala dan disejukkan oleh penyejuk differential dari MA Motorsport.

    Bagi menghentikan kereta dengan kuasa lebih besar dari asal ini, sistem brek turut diberikan tingkat taraf yang sepatutnya. Cakera brek asal ditukar kepada cakera jenis slotted two-piece dari Z1 Motorsport, dicengkam oleh pad brek Nismo HC Street/Track. Bagi memastikan kuasa hidraulik digunakan sepenuhnya bagi menggerakkan omboh pada angkup brek, paip-paip asal ditukar kepada komponen dari Nismo yang diperbuat dari logam tahan karat.

    Manakala untuk pengendalian pula, suspensi hadapan dan belakang menerima komponen-komponen yang baharu sahaja dilancarkan oleh Nismo, bersama set pendakap-pendakap tiga poin Nismo, serta set coilover KW Variant 3 dan spring dari Eibach untuk bahagian belakang.

    Manakala bahagian roda, kereta ini menerima rim Nismo yang dibina oleh Rays Engineering menggunakan teknologi flow-forming untuk kualiti tinggi, kuat dan tahan lama. Rim yang akan dijual oleh pengedar Nissan pada masa akan datang tersebut datang dalam diameter 18-inci dan lebar 10.5-inci, dibaluti tayar berprestasi tinggi Hankook RS4 bersaiz 285/35R18.

    Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

    Bagi membezakan model istimewa ini dengan versi asal, ia diberikan splitter udara gentian karbon sarang lebah APR, bampar belakang direka semula untuk aliran udara lebih baik, lampu kabus belakang dari 370Z versi JDM, penutup hud hadapan gentian karbon Selbon TS-style bersama pin Aerocatch serta penutup cermin sisi dan kemasan tiang gentian karbon Nismo. Kereta ini menerima warna badan utama Gloss Burnt Orange yang dihasilkan dari pelekat badan, disiapkan Speedesign Custom Graphics

    Untuk bahagian dalaman pula, tempat duduk asal ditukar dengan tempat duduk perlumbaan Sparco QRT-R lengkap dengan tali pinggang keselamatan enam poin Sparco, serta diberikan kelengkapan lain seperti roda stereng Sparco R383 dengan hab Bell Works Rapfix, roll cage yang dikimpal, sistem pemadam api untuk ruang enjin dan kabin, serta balutan kulit dengan kemasan elemen seperti berlian diinspirasikan dari model Z generasi pertama, S30 240Z.

    Menurut Nissan Motorsport, walaupun ia tidak akan dihasilkan dalam bentuk model produksi, kit lengkap untuk membina 370Z Project Clubsport 23 akan dijual pada masa akan datang, tetapi hanya akan dihasilkan sekiranya ia mendapat permintaan yang tinggi.

     
     
  • Kerajaan lulus penambahan 19 unit gerabak ETS mengikut peringkat antara Sept 2019 hingga 2021

    Kerajaan lulus penambahan 19 unit gerabak ETS mengikut peringkat antara Sept 2019 hingga 2021

    Bagi memenuhi permintaan pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), kerajaan telah meluluskan pembelian 19 unit gerabak tambahan. Sebanyak sembilan set gerabak tambahan ETS itu dijangka tiba pada September 2019, manakala selebihnya pula pada September 2021, menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

    “Ketika ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memiliki 15 set ETS yang aktif untuk beroperasi. Jumlah ini tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai yang mahu menggunakan perkhidmatan ETS,” katanya yang menjawab soalan asal Dr Hasan Baharom (PH-AMANAH Tampin) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang menyemak semula jadual perjalanan ETS dari Gemas ke Kuala Lumpur.

    Bagi perkhidmatan komuter, Kamaruddin berkata, buat masa ini KTMB menyediakan 27 perkhidmatan komuter sehari di laluan sektor Pulau Sebang (Tampin)-KL Sentral -Batu Caves, laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun, katanya, Stesen Gemas yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Stesen Pulau Sebang tidak dijadikan hentian bagi perkhidmatan komuter.

    “Perkhidmatan komputer sebelum ini yang beroperasi di stesen berkenaan terpaksa ditamatkan pada 2016 selepas 10 bulan beroperasi disebabkan kurang mendapat sambutan,” katanya.

     
     
  • Siri plat nombor E dibuka untuk bidaan mulai 1 Nov ini

    Siri plat nombor E dibuka untuk bidaan mulai 1 Nov ini

    Satu lagi siri plat nombor istimewa bakal dibuka bidaannya tidak lama lagi, dan kali ini giliran E. Siri ini akan dibuka bidaan pada 1 November ini selama 15 hari, dengan keputusannya dijadualkan akan diumumkan pada Disember, menurut laman web Exotic Ventures, organisasi yang mengendalikan siri plat ini.

    Bidaan untuk siri nombor ini, bermula E 1 hingga E 999, akan ditawarkan menerusi dalam talian. Pembeli prospektif boleh memohonnya dengan meletakkan nombor plat E yang dikehendaki untuk bidaan, memasukkan jumlah bidaan, mengisi perincian dalam borang, dan membayar RM5 untuk bayaran pentadbiran dalam talian.

    Ada panduan bagi harga bidaan minimum, dan untuk digit tunggal adalah bernilai RM15,000, diikuti dengan digit berkembar (22,33,99) pada RM10,000, sementara tiga- dan empat-digit nombor berulang pula, masing-masing bermula dari RM8,000 dan RM5,000. Bidaan paling murah bernilai RM200, untuk nombor empat digit standard.

    Siri plat nombor E dibuka untuk bidaan mulai 1 Nov ini

    Tetapi bukankah kerajaan Pakatan Harapan telah mewartakan bahawa tiada lagi plat nombor istimewa yang dikendalikan oleh organisasi persendirian? Pada Mei lalu, menteri pengangkutan Anthony Loke berkata, amalan ini telah pun berakhir. Beliau menjelaskan, NGO yang mengeluarkan plat terbabit hanya membayar RM1 juta kepada JPJ, sedangkan kutipan hasil bidaan adalah sangat tinggi, dijangka sekitar RM20 juta.

    Malah Kementerian Pengangkutan juga telah memperkenalkan siri plat nombor khas baru-baru ini, “Malaysia” yang berjaya mengutip keuntungan sebanyak lebih RM13 juta. Pada Jun lalu juga, kementerian yang sama mengumumkan akan mengeluarkan siri nombor plat khas bagi setiap negeri, contohnya SELANGOR, KEDAH, PERAK dan lain-lain. Ia akan dikendalikan oleh JPJ negeri masing-masing. Pada mulanya, ia dicadangkan akan diperkenalkan pada September atau Oktober ini.

    Antara siri nombor plat khas yang diperkenalkan sebelum ini ialah Q,FB,G1G-G999G, T1M, NBOS, G, Y, V, NAM, UUU, YA, KEN, XX, UU, SAM, K1M, PERFECT, RIMAU, UA dan beberapa lagi.

     
     
  • Volvo S60 baharu sah akan ke M’sia suku ketiga 2019

    Volvo S60 baharu sah akan ke M’sia suku ketiga 2019

    Volvo S60 generasi baharu telah disahkan akan mendarat di pasaran Malaysia pada tahun hadapan, dan Volvo Car Malaysia (VCM) mensasarkan sedan yang akan memberikan saingan kepada BMW 3 Series dan juga Mercedes-Benz C-Class tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga 2019. Model generasi ketiga ini telah muncul buat pertama kali pada Jun lalu, dan ianya merupakan Volvo pertama di bina di Amerika Syarikat sementara untuk pasaran global lain akan menerimanya sekitar suku kedua 2019.

    Seperti juga model-model terkini Volvo, S60 akan hadir dalam bentuk dieksport sepenuhnya pada peringkat awal, dan selepas itu kilang Volvo di Shah Alam akan memasang model tersebut untuk pasaran Malaysia dan rantau ini – akan dieksport ke Thailand seperti SUV XC90. Dua varian telah diperkenalkan kepada media dalam sesi pandu uji antarabangsa baru-baru ini, iaitu S60 T8 Twin Engine Polestar Engineered dan juga S60 T6 AWD R-Design.

    Untuk model talaan Polestar tersebut, ia dijana enjin 2.0 liter petrol turbo dan supercharger bersama sistem plug-in hybrid dengan kuasa keseluruhan 405 hp/670 Nm. Selain itu, ia turut dibekalkan dengan peralatan berprestasi tinggi seperti suspensi boleh laras dari Ohlins dan brek yang lebih besar dari Brembo. Namun, model ini dibina dalam jumlah sangat terhad (20 unit untuk pasaran Amerika habis dijual dalam masa 39 minit selepas ia ditawarkan pada aplikasi Care by Volvo) dan kita mungkin tidak akan menerima versi ini.

    Pasaran Malaysia berkemungkinan besar akan menerima varian T6 AWD, yang turut dijana enjin 2.0 liter petrol Drive-E tetapi tanpa teknologi hibrid elektrik. Enjin yang juga menerima suapan dari pengecas turbo dan supercharger tersebut akan menghasilkan 310 hp dan tork 400 Nm, digandingkan bersama kotak gear lapan kelajuan automatik konvensional dari Aisin dan sistem pacuan semua roda.

    Untuk model-model CKD yang di pasang di sini nanti, boleh dijangka S60 mungkin akan ditawarkan dalam versi T5 pacuan hadapan dengan pengecas turbo tunggal berkuasa 254 hp/350 Nm dan juga versi T8 Twin Engine plug-in Hybrid tanpa talaan Polestar yang pastinya akan mendapat potongan cukai sebagai insentif bagi model PHEV yang dibuat secara pemasangan tempatan.

    Pada peringkat global, S60 generasi baharu masih ditawarkan dalam tiga kemasan iaitu Momentum, Inscription dan R-Design. Namun untuk pasaran Malaysia kelak, VCM dijangka akan mengangkat versi R-Design sebagai model paling sporty bagi berhadapan dengan model M Sport dari BMW dan AMG Line pada Mercedes.

    GALERI: Volvo S60 R-Design 2019

    GALERI: Volvo S60 Polestar Engineered 2019

     
     
  • Kia Sorento facelift 2019 di laman web – dari RM170k

    Kia Sorento facelift 2019 di laman web – dari RM170k

    Bersama-sama model facelift bagi Kia Optima dan Grand Carnival, Sorento yang dinaiktaraf juga secara senyap-senyap turut diperkenalkan menerusi laman web. SUV tujuh-tempat duduk ini menerima rupa yang lebih segar, senarai kit yang disemak semula dan transimisi baharu untuk model diesel.

    Barisan empat-varian terdahulu telah dikurangkan – kini hanya satu varian petrol dan satu diesel sahaja, iaitu 2.4 EX dan 2.2D SX, dengan harga yang bakal diumumkan kelak, namun menerusi paparan dalam laman web tertulis harga bermula RM169,888. Harga tersebut adalah sama dengan varian semasa 2.4 EX selepas pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), manakala 2.2D SX pula RM179,888.

    Semakan ke atas rekaannya termasuk dengan bahagian hadapan baharu yang disambungkan pada gril “tiger nose” yang dibentuk semula dan corong pengambilan udara yang diprofil semula, bersama lampu utama LED adaptif standard dengan rekaan tiga projektor. Lampu kabus juga menerima rekaan LED “ice cube” yang sebelum ini hanya ditawarkan di pasaran terpilih.

    Kia Sorento facelift 2019 di laman web – dari RM170k

    Pada bahagian belakangnya, grafik dalaman untuk lampu LED telah direka semula, dan bampar belakang juga tampil dengan rekaan baharu bersama corong udara palsu di bawah lampu kabus belakang. Melengkapkan gayanya dengan rekaan aloi dua-tona baharu, berukuran 18-inci bagi EX dan 19-inci untuk SX.

    Di dalamnya pula, Sorento menerima roda stereng pelbagai fungsi empat-jejari baharu dengan penonjolan bulat pada perumah beg udara, grafik paparan instrumen tujuh-inci dan suis kawalan suhu yang disemak semula, plastik sentuhan lembut dan kemasan hitam berkilat. Turut ditambah ialah tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, pengecas telefon pintas tanpa wayar Qi dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk kedua-dua model.

    Selain itu, EX dan SX turut ditampilkan dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, cermin hadapan akustik dan pelepasan solar, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, penghawa dingin dwi-zone dengan corong udara belakang dan kawalan suhu bagi barisan ketiga, tempat duduk hadapan berkuasa lapan-hala, tirai tingkap sisi belakang, cermin pandang belakang auto-kelam, sistem infotainmen skrin sesentuh dan tailgate berkuasa bebas-tangan.

    Kia Sorento facelift 2019 di laman web – dari RM170k

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua model didatangkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, bantuan mula mendaki, kawalan turun bukit, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada barisan kedua, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera undur, dan pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Sorento ditawarkan dengan dua pilihan enjin yang sama seperti sebelum ini – 2.4 liter Theta II MPI petrol empat-silinder dengan hamburan kuasa 172 PS pada 6,000 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Sementara satu lagi varian dipadankan dengan enjin 2.2 liter R turbodiesel dengan start/stop bersama kuasa 200 PS pada 3,800 rpm dan tork 442 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Transmisi automatik lapan-kelajuan baharu turut digandingkan, menggantikan unit enam-kelajuan pada diesel, dan pacuan semua-roda on-demand didatangkan secara standard.

     
     
  • Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

    Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

    Toyota Camry serba baru sudah pun dilancarkan di Thailand, dan ia ditawarkan dalam empat varian iaitu 2.0G AT, 2.5G AT, 2.5 HV AT dan 2.5 HV Premium AT. Harganya di sana adalah bermula dari 1,445,000 baht (RM181,427) untuk model asas 2.0G AT dan pergi sehingga 1,799,000 baht (RM225,873) untuk varian 2.5 HV Premium AT.

    Di bawah hud, varian 2.0G AT mendapat kuasa daripada enjin empat silinder NA 2.0 liter 6AR-FBS yang menghasilkan 167 PS pada 6,500 rpm dan 199 Nm tork pada 4,600 rpm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan. Enjin ini masih lagi menggunakan teknologi VVT-iW pada bahagian intake (VVT-i pada bahagian ekzos), serta sistem suntikan terus D-4S Toyota.

    Pergi ke varian yang lebih tinggi, 2.5G AT kini menggunakan enjin Dynamic Force baru, iaitu unit empat silinder 2.5 liter NA A25A-FKB dengan sistem VVT-iE pada bahagian intake cam untuk memberikan tindak balas lebih baik (VVT-i pada bahagian ekzos) dan D-4S. Enjin ini juga boleh digunakan dengan ethanol E85 seperti enjin 6AR-FBS, dan mampu menghasilkan kuasa 209 PS pada 6,600 rpm dan 250 Nm tork pada 5,000 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan (FWD).

    Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

    Bagi dua varian lagi iaitu 2.5HV AT dan 2.5 HV Premium AT, ia menggunakan sumber kuasa hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter A25A-FXS dengan kuasa 178 PS pada 5,700 rpm dan 221 Nm antara 3,600 hingga 5,200 rpm, bersama padanan motor elektrik 120 PS/202 Nm, seterusnya menyumbang kepada kuasa keseluruhan sistem 211 PS.

    Toyota Hybrid System II (THS II) pada pakej kuasa ini juga termasuk dengan kelengkapan lain seperti transmisi E-CVT dan bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah yang terletak di bawah tempat duduk belakang. Ini menghasilkan titik graviti yang rendah tanpa menjejaskan ruang simpanan di belakang, tetapi tangki minyaknya mempunyai kapasiti kurang 10 liter berbanding varian bukan hibrid (60 liter). Camry versi hibrid ini juga boleh menggunakan ethanol E20.

    Dengan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), Camry baru ini mencatat ukuran jarak roda 50 mm lebih panjang (sekarang 2,825 mm) berbanding model sebelum ini; ia juga 35 mm lebih panjang (sekarang 4,885 mm), 15 mm lebih lebar (sekarang 1,840 mm) dan 25 mm lebih rendah (sekarang 1,445 mm). Pada bahagian suspensi, semua varian menggunakan penyerap MacPherson di hadapan dan tetapan double wishbone di belakang.

    Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

    Melihat kepada bahagian luar, varian 2.0G AT menggunakan rim 16 inci yang dibalut tayar 205/65, bersama lampu utama dan lampu belakang LED. Pergi kepada 2.5G AT pula, rimnya lebih besar iaitu unit 18 inci dengan tayar 235/45 dan ditambah dengan bumbung suria serta dua muncung ekzos. Varian hibrid pula menggunakan rim 17 inci dengan tayar 215/55 serta kemasan krom di beberapa bahagian.

    Di dalam, semua varian mendapat tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan arah dan dibalut dengan kulit, pengecas tanpa wayar, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, penghadang cahaya matahari di belakang, serta panel instrumen bersaiz 7.0 inci untuk varian hibrid dan 4.2 inci untuk varian lain.

    Kelengkapan paling banyak sudah tentu pada varian paling tinggi, dengan termasuk kawalan pendingin hawa tiga zon, skrin sesentuh untuk mengawal pendingin hawa di perehat tangan belakang, pelaras sokongan tulang belakang pada tempat duduk hadapan, tempat duduk berliang, head-up display, serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci yang disambung kepada sembilan pembesar suara JBL.

    Varian hibrid juga datang dengan sistem telematik T-Connect yang memberikan pelanggan akses kepada fungsi seperti penunjuk kedudukan kenderaan, peringatan servis dan temu janji, hotspot atas kenderaan, servis concierge, SOS, bantuan tepi jalan dan servis kecemasan.

    Semua Camry baru di Thailand ini mendapat sekurang-kurangnya tujuh beg udara iaitu di hadapan, tepi, bidai dan lutut pemandu, kecuali varian 2.5 HV Premium AT yang ditambah lagi untuk menjadikannya sembilan (termasuk tempat duduk belakang). Kelengkapan lain yang diberi adalah VSC, Traction Control, ABS, EBD, BA, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, dan Hill-start Assist Control.

    Varian paling tinggi bagi Camry ini juga menjadi satu-satunya varian yang diberi dengan pakej Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-collision System, Lane Departure Alert, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam.

    Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

    Warna yang disediakan sebagai pilihan untuk Camry baru ini adalah Burning Black, Phantom Brown, Graphite Metallic, Attitude Black, Silver Metallic, Premium Red, dan Platinum White Pearl. Pilihan tiga warna yang pertama disebutkan tadi datang dengan bahagian dalam beige manakala warna yang lain menggunakan bahagian dalam hitam.

    Di negara kita, Camry baru ini dijangka tiba tidak lama lagi kerana UMW Toyota Motor telah pun mula mengeluarkan teaser atas talian dan membuka pendaftaran bagi sesiapa yang berminat dengan model ini. Syarikat itu juga menyatakan sesuatu yang besar akan berlaku 1 November ini. Jadi, nantikan.



     
     
  • Honda Ridgeline Overland Project bersama kereta lumba dan konsep Honda lain akan ke SEMA 2018

    Honda Ridgeline Overland Project bersama kereta lumba dan konsep Honda lain akan ke SEMA 2018

    Untuk pertunjukkan ubahsuai terbesar tahunan Amerika Syarikat, SEMA tahun ini, Honda bakal mendedahkan trak pikap Honda Ridgeline Overlad Project yang diubahsuai menampilkan rupa yang lebih lasak serta kemampuan off-road yang lebih baik dari model standard.

    Projek khas ini diasaskan dari model Honda Ridgeline Black Edition, manakala pengubahsuaiannya dilakukan oleh Jsport Performance Accesories. Untuk bahagian luaran, Ridgeline Overland Project ini diberikan set skid plate tambahan, rim KMC XD Series bersaiz 17-inci serta tayar prestasi off-road BF Goodrich KO2.

    Honda Ridgeline bukanlah model yang dihasilkan dengan kerangka ladder frame seperti binaan lazim trak-trak pikap dalam pasaran, tetapi menggunakan casis unibody seperti kereta atau SUV biasa. Namun ini tidak menghalang Jsport Performance untuk memadankan kit-kit bagi meninggikan lagi trak pikap ini bagi membolehkan sistem AWD i-VTM4 Honda untuk beroperasi lebih berkesan pada permukaan jalan yang lebih lasak.

    Ciri-ciri tambahan lain yang turut dipadankan termasuk set sidestep Jsport bagi memudahkan akses ke sistem rak bumbung Plateau baharu, dan juga rak bed Mesa bagi memaksimakan kadar fleksibel kargo. Turut di letak pada rak bumbung berkenaan adalah generator elektrik Honda EU2200i bagi menjana tenaga elektrik ketika di kawasan pedalaman.

    Honda tidak menyatakan sebarang perubahan dari aspek janakuasa. Jadi Ridgeline ini berkemungkinan besar masih dikuasakan oleh enjin petrol V6 3.5 liter menghasilkan 280 hp/262 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Model Ridgeline Black Edition juga hadir dengan ciri lain seperti tempat duduk balutan kulit larasan berkuasa dengan memori, roda stereng kulit, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, cruise control adaptif dan pelbagai lagi.

    Bagi keselamatan pula, Honda Ridgeline Black Edition dibekalkan dengan Traction Control, pemantau titik buta, amaran keluar laluan, bantuan kekal lorong, amaran lintasan trafik dan pelbagai lagi – ciri ini juga mungkin masih kekal pada Overland Project.

    Selain dari trak pikap berkenaan, Honda turut membawa pelbagai model ke SEMA 2018, antaranya Honda Insight 2019, Honda Pilot Rebelle Rally, kereta-kereta lumba seperti Honda Civic Type R TCR, THR-W Honda Civic Type R dan kereta-kereta single seater F3 Amerika. Barisan motosikal Honda Powersport turut akan di bawa terdiri dari CRF450R Works Edition 2019, CRF450L 2019, Super Cub C125 ABS 2019, Monkey 2019 dan Africa Twin Adventure Sports 2018.

    GALERI: Honda Ridgeline Overland Project

    GALERI: Barisan model Honda yang akan dibawa ke SEMA 2018

     
     
  • Kementerian Kerja Raya perlukan peruntukan RM2b dalam Belanjawan 2019 untuk baiki, selenggara jalan

    Kementerian Kerja Raya perlukan peruntukan RM2b dalam Belanjawan 2019 untuk baiki, selenggara jalan

    Menerusi Belanjawan 2019 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap akan mendapat peruntukan RM2 bilion bagi membaiki dan menyelenggara jalan raya di seluruh negara.

    Menurut Menterinya Baru Bian, peruntukan itu diperlukan untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat diteruskan termasuk kerja membaik pulih jalan raya yang berada dalam kategori tidak baik, laporan Bernama.

    “Setakat ini, sebanyak 30 peratus jalan Persekutuan di seluruh negara berada dalam kategori ‘daif dan teruk’. Jumlah sebanyak RM2 bilion diminta KKR ini adalah jumlah yang mencukupi untuk kos membaiki dan menyelenggara jalan raya di seluruh negara. Saya harap KKR akan menerima jumlah berkenaan, apa pun kita tunggu pengumuman dalam Belanjawan 2019, berapa jumlah peruntukan yang akan diterima nanti,” katanya kepada pemberita semalam.

    Kementerian Kerja Raya perlukan peruntukan RM2b dalam Belanjawan 2019 untuk baiki, selenggara jalan

    Ketika ditanya mengenai isu penghapusan tol, Baru berkata KKR akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat berhubung isu itu.

    “Kita tunggu keputusan yang dicapai selepas mesyuarat itu. KKR sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol ini,” katanya.

    Manakala mengenai projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), beliau berkata ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, keputusan anggota kabinet serta agensi kerajaan yang terbabit sebelum keputusan muktamad diumumkan kelak.

    “KKR perlu melihat keadaan kewangan negara, sekiranya keadaan kewangan berada dalam keadaan baik maka kita akan mengutamakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat. Kita tunggu pengumuman Belanjawan 2019 pada Jumaat ini,” katanya.

     
     
  • McLaren Speedtail – pengganti F1 dengan kuasa 1,035 hp, 0-299 km/j 12.8 saat, kelajuan maksima 402 km/j!

    McLaren Speedtail – pengganti F1 dengan kuasa  1,035 hp, 0-299 km/j 12.8 saat, kelajuan maksima 402 km/j!

    Sebelum wujudnya Bugatti Veyron, tidak banyak pilihan hypercar yang muncul dipasaran. Namun ketika itu, kereta produksi paling pantas di dunia bukanlah Ferrari atau Lamborghini, sebaliknya supercar tiga tempat duduk dari British iaitu McLaren F1. Tahun ini, McLaren kembali menghasilkan satu lagi model yang menempatkan pemandu di tengah kereta sebagai pewaris kepada F1, dan ia gelar sebagai McLaren Speedtail.

    “Hyper-GT” ini diberikan muka yang hampir sama dengan model-model terkini McLaren seperti 675LT dan juga Senna, tampil dengan lampu hadapan nipis. Tetapi pada bahagian tengah, pengaruh F1 mula kelihatan dengan kokpit berbentuk ‘air mata’, dan juga pembahagi pada bahagian tingkap pintu. Garis badan dari hadapan terus di bawa landai ke belakang.

    Hampir keselruhan panel belakang adalah sebahagian dari diffuser, dan turut menempatkan lampu di reka sangat ringkas manampilkan satu bar LED pada setiap sisi, serta dua tip ekzos oval bersaiz besar.

    Menurut McLaren, walaupun badan gentian karbon Speedtail ini agak ringkas, setiap perinciannya adalah untuk membantu aspek aerodinamik kereta ini. Penutup statik pada rim hadapan misalnya, ia adalah untuk membantu aliran udara ke pelbagai liang udara pada badan kereta berkenaan.

    McLaren Speedtail – pengganti F1 dengan kuasa  1,035 hp, 0-299 km/j 12.8 saat, kelajuan maksima 402 km/j!

    Tiada sebarang sayap diberikan pada bahagian belakang, tetapi ia diberikan sepasang aileron pada setiap panel sisi. Aileron tersebut kelihatan seperti tetap, namun dengan penggunaan material gentian karbon fleksibel, ia sebenarnya boleh dilaras dengan menggunakan actuator hidraulik, bagi membantu Speedtail seperti ketika memberhenti, dan juga ketika mencapai kelajuan maksima.

    Aspek aerodinamik kereta ini turut dibantu dengan sistem Velocity Active Chassis Control. Dengan menekan butang mod Velocity, ia akan melaras sudut aileron belakang, menyembunyikan kamera sisi, dan kereta ini akan direndahkan 35 mm lagi bagi merapatkan badan ke permukaan tanah pada jarak hanya 1,120 mm untuk membolehkan ia mencapai kelajuan 402 km/j (250 bs/j).

    Bahagian dalaman kereta ini turut di reka ringkas. Papan pemukanya terdiri daripada tiga skrin paparan dan stereng dengan tiga jejari terletak pada bahagian tengah, sementara butang suis penghidup enjin, butang pilihan gear dan lain-lain diletakkan di bahagian bumbung. Tiada cermin sisi tradisional pada kereta ini, dan ia digantikan dengan kamera yang boleh disorokkan pada pintu, dan paparannya boleh dilihat pada skrin papan pemuka.

    Susunan tempat duduk Speedtail turut menyerupai F1 di mana dua buah tempat duduk penumpang diletakkan pada belakang sisi kiri dan kanan pemandu. Walaupun keseluruhan bahagian atas kabin ini adalah kaca, jumlah cahaya yang boleh masuk ke dalamnya boleh dikawal kerana ia diperbuat dari cermin electrochromic. Manakala ruang penyimpanan disediakan pada bahagian hadapan dan belakang hyper-GT ini – pelanggan turut ditawarkan beg khas Speedtail bagi dipadankan pada ruang tersebut.

    McLaren tidak mendedahkan spesifikasi unit janakuasa Speedtail, namun mereka mengesahkan ia dibekalkan dengan kuasa 1,035 hp dari unit hibrid petrol-elektrik. Ini membolehkan kereta dengan berat hanya 1,430kg tersebut memecut dari kedudukan pegun ke 299 km/j (186 bs/j) dalam masa hanya 12.8 saat atau 2.7 saat lebih pantas dari McLaren P1 yang berkuasa 903 hp. Seperti dinyatakan tadi, kereta ini mampu mencapai kelajuan maksima 402 km/j.

    Hyper-GT McLaren Speedtail ini dijual pada harga bermula 1,970,000 pound British (RM10,541,846). Walau bagaimanapun, pembuat kereta sport tersebut hanya menghasilkan sejumlah 106 unit Speedtail (sama seperti produksi McLaren F1 dahulu) dan kesemuanya sudahpun habis dijual sebelum kereta ini didedahkan – McLaren Special Operations (MSO) turut menawarkan pilihan lencana yang diperbuat dari emas putih 18-karat. Pelanggan pertama Speedtail ini dijangka akan menerima kereta mereka pada awal tahun 2020 nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025