Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Demak akan eksport 25,000 unit motosikal ke Kemboja

    Demak akan eksport 25,000 unit motosikal ke Kemboja

    Demak, iaitu jenama motosikal tempatan yang telah wujud sejak 15 tahun lalu di bawah syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, kini melangkah satu tapak ke hadapan lagi apabila menandatangani perjanjian untuk memasarkan motosikal ke Kemboja. Sebelum ini, jenama tersebut sudah pun berjaya menembusi pasaran Indonesia, Filipina dan Sri Lanka.

    Perjanjian tersebut ditandatangani oleh wakil DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, dan syarikat yang dilantik untuk melakukan promosi serta jualan motosikal Demak di Kemboja, iaitu Asian Comfort Investment Co. Ltd. Turut hadir untuk menyaksikan acara bersejarah ini adalah wakil kedutaan Kemboja serta pengarah ASEAN MATRADE, YM Raja Badrul.

    Dalam perjanjian ini, Demak akan mengeksport sejumlah 25,000 unit motosikal Demak pelbagai jenis ke Kemboja, dan secara keseluruhannya ia berjumlah 50 juta USD (RM200 juta). Antara model yang disebut awal adalah ATM 200 dan Dart DXT225.

     
     
  • Sindiket curi kereta Malaysia jadikan Thailand sebagai pusat transit sebelum seludup ke rantau ini – laporan

    Sindiket curi kereta Malaysia jadikan Thailand sebagai pusat transit sebelum seludup ke rantau ini – laporan

    Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengesahkan sindiket curi kereta dari Malaysia menjadikan Thailand sebagai pusat transit bagi kenderaan yang mereka curi sebelum menyeludupnya ke negara lain di rantau ini seperti Laos, Kemboja dan Vietnam.

    Menurut Pengarahnya Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, sejak 2015, Polis Diraja Thailand (RTP) merampas lebih 100 kenderaan yang dicuri di Malaysia dan menyerahkannya kepada PDRM, laporan Bernama.

    “Pasukan polis dari kedua-dua negara akan meningkatkan kerjasama bagi melumpuhkan sindiket curi kereta yang kini beroperasi di Malaysia dan Thailand. Sejak beberapa tahun lepas, Bukit Aman dan RTP menjalin kerjasama rapat dalam semua bidang seperti yang dapat dilihat baru-baru ini melalui penangkapan enam rakyat Malaysia di Bangkok yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan melalui telefon,” ujarnya kepada media semalam ketika menerima 20 kereta Malaysia yang dicuri, kebanyakannya kenderaan mewah, daripada penasihat RTP Jen Witaya Prayongpan.

    Dalam majlis penyerahan kenderaan berkenaan, RTP turut berkata kenderaan curi menjadi isu sejak sekian lama dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi Thailand dan Malaysia.

    Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha dan timbalannya, Jen Prawit Wongsuwan sering menegaskan tentang kepentingan menangani isu itu kerana ia dipercayai berpotensi membuka laluan kepada aktiviti jenayah lain.

    Dalam masa yang sama, Wan Ahmad turut berkata, usaha sedang dilakukan bagi mengesan rakyat Malaysia yang mengetuai sindiket itu, yang ditumpaskan di Bangkok minggu lepas.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia ungguli jenama premium bagi 2017 – catat angka jualan tertinggi dengan 12,045 unit

    Mercedes-Benz Malaysia ungguli jenama premium bagi 2017 – catat angka jualan tertinggi dengan 12,045 unit

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan prestasi jualan keseluruhan bagi tahun 2017 iaitu mencapai 12,045 unit berbanding 11,779 unit pada 2016, sekaligus berjaya memecahkan rekodnya tersendiri di pasaran tempatan. Dengan jumlah tersebut, ia juga menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3% bagi perkongsian pasaran, malah terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama premium No.1 di negara ini.

    “Kami sangat berbangga dengan pencapaian sepanjang 2017 yang dianggap sebagai sejarah dalam penubuhan syarikat ini di Malaysia. Ia terdorong daripada usaha pasukan kami dalam memperkenalkan barisan model baharu, dan mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami termasuk menambah bilik pameran dan pusat servis pada tahun lalu,” ujar Dr Claus Weidner, Presiden dan CEO MBM.

    Seperti tahun 2016, pada tahun lalu MBM juga telah melancarkan 17 model baharu, dan daripada itu, MBM telah mencatatkan jualan sebanyak 7,041 unit bagi limosin pemasangan tempatan (CKD) dengan barisan E-Class yang dilancarkan pada April lalu telah menjadi model terhangat dalam segmen tersebut iaitu merangkumi 35%.

    Manakala bagi segmen SUV pula, ia telah mencapai jualan keseluruhan sebanyak 2,599 unit, yang dirangsang oleh pengenalan model GLC 200 dan GLE43 OrangeArt Edition.

    Bagi model kompak pula, pengenalan terhadap model GLA turut melonjakkan lagi angka jualan jenama ini, di mana secara keseluruhan di bawah segmen ini, ia telah mencapai sebanyak 2,031 unit. Sementara itu, untuk barisan Mercedes-Benz Dream Cars termasuk E-Class Coupe, C-Class Coupe, AMG 43 Series dan AMG GT R, telah memperoleh jualan sebanyak 374 unit.

    “Daripada keseluruhan jumlah jualan yang diumumkan ini, bulan Jun 2017 telah mencatatkan rekod yang tertinggi iaitu mencecah 1,210 unit. Kenderaan CKD kami terutamanya barisan E-Class dan GLC baharu telah membantu melonjakkan prestasi jualan secara keseluruhan. Kami sangat berterima kasih kepada para pelanggan yang masih setia dan mempercayai produk dan perkhidmatan kami. Dengan solusi mobiliti inovatif serta inisiatif digital yang bakal diperkenalkan, kami berharap ia dapat membantu meneruskan kejayaan ini pada masa hadapan,” ujar Mark Raine, Timbalan Presiden, Pemasaran & Jualan MBM.

    Selain daripada jualan, perkhidmatan selepas jualan juga banyak membantu mengekalkan Mercedes-Benz sebagai jenama premium No.1 di Malaysia. Pada tahun lalu sahaja, MBM telah membuka empat cawangan Autohaus baharu dan lima cawangan yang dinaiktaraf, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 33 cawangan di seluruh Malaysia.

    Manakala sebanyak 128,072 kenderaan Mercedes-Benz telah diselenggara di kesemua pusat servis mereka yang bertauliah di seluruh negara, di mana ia merupakan angka tertinggi bagi skor Indeks Kepuasan Pelanggan bagi perkhidmatan selepas-jualan MBM buat setakat ini. Bukan itu sahaja, pada tahun lalu, rangkaian servis Mercedes-Benz juga telah diiktiraf di peringkat global bagi fasiliti mengecat dan mengetuk badan dan implementasi bagi Service Differentiation – My Service.

    Kilang produksi Mercedes-Benz di Pekan, Pahang, juga telah mencatatkan sebanyak 9,286 unit daripada 12 model CKD, dengan model terbaharu yang dipasang, GLC 200. Kesemua 12 model CKD ini telah menerima pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), di mana tiga daripadanya adalah model hibrid iaitu S 400 h, C 350 e dan E 350 e.

    Mercedes-Benz Malaysia ungguli jenama premium bagi 2017 – catat angka jualan tertinggi dengan 12,045 unit

    Bagi 2018 pula, Dr Weidner mengharapkan MBM mampu memacu langkah yang lebih gemilang, walau bagaimana pun beliau enggan mendedahkan jumlah model yang bakal dilancarkan tahun ini. Pada tahun lalu, MBM merencana untuk memperkenalkan model facelift bagi S-Class dijangka pada suku ketiga tahun ini.

    Namun pada akhir sesi pembentangan prestasi 2017 yang berlangsung pagi tadi, MBM turut memaparkan slide model EQ yang merupakan barisan kenderaan elektrik dengan imej yang penuh futuristik. Adakah ia antara model yang bakal dibawa masuk ke Malaysia pada tahun ini? Kita nantikan perkembangan selanjutnya.

     
     
  • Toyota Vellfire, Alphard 2018 – kit Modellista, TRD baru

    Toyota Vellfire, Alphard 2018 – kit Modellista, TRD baru

    Demi menawarkan pelanggan dengan pilihan yang lebih bergaya untuk kenderaan mereka, Toyota Japan telah memperkenalkan kit badan serta aksesori rasmi untuk Vellfire dan Alphard facelift. Senarai aksesori yang disediakan cukup meluas, termasuk untuk luar dan dalam, tetapi buat masa ini cuma dipasarkan di Jepun.

    Kedua-dua Vellfire dan Alphard di Jepun kini ditawarkan dalam varian biasa dan juga Aero, di mana perbezaannya, versi Aero mempunyai penampilan lebih sporty, terutamanya melalui bampar hadapannya. Untuk pakej baru ini, Toyota menawarkan pilihan pakej kit badan Dress Up, TRD dan Modellista, untuk kedua-dua MPV popular tersebut.

    Semua tiga kit ini merangkumi perubahan kepada rekaan bampar hadapan, skirt tepi dan bampar belakang, tetapi kit TRD dan Modellista datang dengan masing-masing empat dan dua muncung ekzos. Kit TRD juga datang dengan pilihan empat rekaan rim (sehingga saiz 20 inci), manakala Modellista mendapat lebih banyak kemasan krom di sekeliling kenderaan.

    Toyota Vellfire, Alphard 2018 – kit Modellista, TRD baru

    Terdapat juga pelbagai aksesori untuk bahagian dalam kabin termasuk lampu LED di kaki, plet tepi pintu berlampu, balutan tempat duduk kulit dan fabrik pada pelapik bumbung warna beige, kemasan kayu pada roda stereng, bidai untuk tingkap tepi, lapik kaki bertekstur dan alas lantai yang boleh digulung untuk menutup rel tempat duduk baris kedua.

    Barangan lain yang dapat memberi kemudahan kepada pengguna adalah pemegang yang diletakkan pada penyadar kepala tempat duduk penumpang hadapan, pemijak tepi bersepadu supaya mudah masuk dan keluar, bermacam tempat meletak barangan dan ruang kaki yang boleh dipanjangkan untuk tempat duduk kapten. Seperti yang boleh dilihat dalam risalah jualan di bawah, semua barangan ini memerlukan bayaran tambahan.

    Untuk mengingatkan kembali, kedua-dua Vellfire dan Alphard dijual dalam pilihan enjin yang bermula dengan unit empat silinder 2.5 liter Dual VVT-i berkuasa 180 hp/ 235 Nm, manakala varian paling tinggi dikuasakan enjin V6 3.5 liter 2GR-FKE dengan sistem direct injection. Varian hibrid pula menggunakan gabungan enjin kitaran Atkinson 2.5 liter 150 hp dengan motor elektrik 141 hp di hadapan dan motor 67 hp di belakang, seterusnya memberikan kuasa AWD.

    Toyota Vellfire, Alphard 2018 – kit Modellista, TRD baru

    Di Malaysia, Vellfire 2.5 yang dijual sekarang adalah model sebelum facelift, pada harga RM345,142, manakala Alphard 3.5 pula mempunyai harga RM408,327. Varian paling tinggi Alphard 3.5 Executive Lounge dijual pada harga RM505,626. Semua harga ini tidak termasuk insurans, dan diberikan sekali dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan. Model facelift pula dijangka tiba tidak lama lagi.

    GALERI: Risalah jualan kit badan Toyota Vellfire 2018


    GALERI: Risalah jualan kit badan Toyota Alphard 2018

     
     
  • Nissan lancar perlindungan insurans TC Gap Protector

    Nissan lancar perlindungan insurans TC Gap Protector

    Tan Chong Insurance Business Stream ITCIBS) dan RH Insurance secara rasminya melancarkan produk perlindungan insurans terbaru dikenali sebagai Return To Invoice and Guaranteed Asset Protection (RTI-GAP), ringkasnya dipanggil TC GAP Protector.

    Menurut Nissan, produk ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan insurans yang lebih mampu milik; TC GAP akan menampung perbezaan baki nilai antara bahagian yang ditanggung oleh insurans kenderaan dan harga kenderaan semasa dibeli dengan manfaat perlindungan maksimum sehingga RM140,000. Ia bagaimanapun hanya untuk situasi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, kebakaran atau kecurian dengan kerosakan sepenuhnya (total loss).

    Nissan lancar perlindungan insurans TC Gap Protector

    Insurans ini bertindak selaku perlindungan tambahan, dengan tuntutan yang berasingan daripada insurans kenderaan yang sedia ada, dah meliputi lokasi di Malaysia, Singapura dan Brunei. Terdapat tiga pelan ditawarkan Pelan A, B dan C. Insurans ini boleh diperoleh dengan cara sekali bayar berdasarkan harga pembelian asal dan jumlah tahun perlindungan insurans berkenaan yang diingini.

    Tempoh perlindungan insurans ini akan sah sebaik sahaja tarikh polisi berkenaan bermula, dan hanya untuk kenderaan yang didaftarkan secara persendirian. Pemilik kenderaan sedia ada juga boleh memohon, asalkan usia kenderaan belum melepasi 12 bulan dari tarikh pendaftaran pertama. Sila rujuk jadual di bawah untuk mengetahui kadar premium bagi kenderaan Nissan terpilih.

    Hanya kenderaan Nissan yang didaftarkan secara persendirian sah untuk pakej insurans TC GAP Protector ini, dan dilindungi oleh insurans kenderaan komprehensif. Menurut TCIBS, antara kelebihan insurans ini ialah tuntutan insurans yang mudah dan pampasan penuh tanpa perlu menambah bayaran jika mereka membeli kereta baru sebagai ganti.

     
     
  • Caltex Havoline lancar barisan minyak hitam motosikal baru – harga dari RM24 hingga RM67 untuk satu liter

    Caltex Havoline lancar barisan minyak hitam motosikal baru  – harga dari RM24 hingga RM67 untuk satu liter

    Caltex Havoline, yang dipasarkan oleh Chevron Malaysia Limited telah menambah dan memperbaharui barisan minyak hitam motosikal mereka. Produk baru ini terdiri daripada minyak mineral, semi sintetik dan sintetik penuh (fully), untuk motosikal empat strok dari yang kecil hingga yang berkapasiti tinggi, serta juga skuter.

    Untuk minyak jenis mineral Super 4T, ia boleh didapati dalam dua kelikatan iaitu 15W-40 dan 20W-40, manakala minyak semi sintetik Super 4T ditawarkan dalam pilihan kelikatan 10W-30, 10W-40 dan 10W-50. Bagi minyak sintetik penuh pula, ia boleh didapati dalam kelikatan 5W-40 manakala minyak skuter terdapat pilihan Supermatic 4T mineral yang boleh didapati dalam pilihan 10W-40, 15W-40, 20W-40 dan 20W-50, dan semi sintetik dalam kelikatan 10W-40.

    Harga pasaran cadangan yang dikeluarkan oleh Chevron Malaysia Limited untuk barisan produk baru ini adalah bermula RM24 seliter, iaitu untuk minyak jenis mineral, diikuti RM30 seliter untuk minyak semi sintetik dan RM67 untuk minyak sintetik penuh.

    Melalui pilihan yang luas ini, minyak baru tersebut boleh digunakan untuk pelbagai jenis motosikal, dan keistimewannya yang pertama adalah diperlengkap dengan teknologi CORE, yang dapat membantu membersih dan melindungi enjin seterusnya menjadikan motosikal lebih cekap dan berprestasi, serta kestabilan pengoksidaan sebagai pelindung haba.

    Selain daripada itu, minyak baru ini juga dimasukkan dengan ZOOMTECH, iaitu aditif terpilih khas dengan ciri-ciri geseran yang lebih tinggi untuk memberikan cengkaman klac yang konsisten dan meningkatkan pecutan dari mula.

     
     
  • Mellors Elliot Motorsport siar teaser corak dekorasi baharu Proton Iriz R5 – penuh elemen Jalur Gemilang

    Mellors Elliot Motorsport siar <em>teaser</em> corak dekorasi baharu Proton Iriz R5 – penuh elemen Jalur Gemilang

    Musim baharu Kejuaraan Rali Dunia bakal bermula tidak lama lagi, debaran makin terasa kerana untuk kategori WRC2 2018, Mellors Elliot Motorsport (MEM) bakal bertanding menggunakan hatchback segmen-B nasional – Proton Iriz R5.

    Anda mungkin telah melihat rupa penuh jentera rali berkenaan, namun untuk musim 2018 ini ia akan diberikan livery perlumbaan baharu. Penampilan baharu tersebut masih lagi belum didedahkan, tetapi MEM telah pun menyiarkan imej teaser terlebih dahulu sebelum membuat kemunculan sulungnya pada Auto Sport International Show yang bermula esok.

    Seperti yang anda boleh nampak pada gambar teaser ini, nampaknya Iriz R5 bakal menampilkan imej negara asalnya – dengan elemen bendera Malaysia – Jalur Gemilang – walaupun ia ditransformasikan sebagai jentera rali sebenar di ibu pejabat MEM yang terletak di UK.

    Mellors Elliot Motorsport siar <em>teaser</em> corak dekorasi baharu Proton Iriz R5 – penuh elemen Jalur Gemilang

    Sebelum muncul dalam musim WRC tahun ini, Iriz R5 telah pun berlumba dalam tiga perlumbaan – juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed, podium di Malton Forest Rally, dan juara di Grizedale Stages Rally. Ia juga telah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

    Jentera ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    GALERI: Proton Iriz R5

     
     
  • Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

    Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

    Kia Picanto 2018 merupakan model kereta pertama yang dilancarkan di Malaysia sebagai pembuka tirai kalendar automotif tempatan tahun ini. Merupakan satu-satunya model terbaru dari pengeluar kenderaan bukan nasional yang bersaing di dalam segmen A setakat ini, ia ditawarkan hanya satu varian sahaja pada harga RM49,888 atas jalan, tanpa insurans.

    Merupakan model dari generasinya yang ketiga, Kia Picanto 2018 kekal dengan penampilan kompak yang ranggi dan disasarkan untuk memenangi hati golongan muda yang inginkan kelainan. Jadi, apa yang baru tentang model ini?

    Pertama, rekaan luarannya yang telah diperhalusi dan diberikan sentuhan yang lebih sporty dan dinamik. Bentuk badan berkotak yang kini diperkemas dengan garis badan yang lebih menonjol, Kia Picanto 2018 turut menampilkan rekaan gril open-link yang membuatkan wajah depannya nampak ringkas serta lebih lebar.

    Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

    Model ini juga dilengkapi dengan lampu projektor dwi-fungsi (high beam dan low beam) dengan bahagian lampu isyarat serta DRL dari jenis LED. Bagi bampar pula, walaupun masih kekal dengan rekaan keseluruhan yang sama seperti sebelumnya, ia kini hadir dengan lebih banyak perincian lain sebagai tambahan kepada nilai estetika sedia ada.

    Kia Picanto 2018 kini hadir dengan jarak antara roda yang lebih panjang dengan 2,400 mm (+ 15 mm dari model sebelumnya) serta jarak roda dari hujung badan kenderaan di depan 25 mm lebih pendek. Dengan semua kedudukan tayarnya dianjakkan lebih rapat ke arah setiap penjuru badan, ia memberikan kestabilan yang lebih baik kepada model baru berkenaan.

    Ruang dalamannya menerima lebih banyak pembaharuan; kini lebih luas dan selesa. Sebagai contoh, ketinggian tempat duduk depan dikurangkan sebanyak 10 mm, dan dianjakkan ke belakang sebanyak 5 mm. Ini memberikan kelebihan kepada ruang kepala yang kini menerima pertambahan 3 mm, manakala ruang kaki pula kini ditambah 15 mm.

    Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

    Satu lagi, crash pad pada model baru ini kini lebih nipis, dan kedudukan sterengnya dinaikkan sebanyak 10 mm untuk memberikan kelebihan ruang lutut dan kaki bagi pemandu. Keluasan ini turut dilanjutkan kepada ruang barangan kereta kompak ini.

    Skrin sentuh “terapung” sebesar 7-inci yang diletakkan ditengah-tengah papan pemuka menempatkan sistem tunjuk arah dengan peta 3D yang boleh disambungkan ke telefon pintar; melalui capaian Apple CarPlay dan Android Auto dengan ciri pengesanan suara. Tambahan lain ialah slot bagi USB, AUX serta teknologi Bluetooth.

    Tempat duduk belakangnya boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dan jika diturunkan sepenuhnya, ia mampu menyediakan ruang untuk membawa barangan dengan kapasiti maksimum 1,010 liter (225 liter dalam keadaan kerusi dinaikkan). Kelengkapan lain yang turut mengiringi model ini antaranya ialah sistem masukan tanpa kunci dan butang Push Start, kawalan lampu automatik, sistem bantuan parkir belakang (RPAS) serta cermin sisi elektrik.

    Selain itu, kerangka yang digunakan kini juga diperkukuh; binaannya turut mengandungi dua kali ganda bahagian daripada Advanced High Strength Steel (AHSS) berbanding model sebelumnya. 44% daripada kerangka Kia Picanto 2018 dibentuk menggunakan material berkenaan (dahulu hanya 22%). Ini turut menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 23 kg dan pada masa yang sama meningkatkan kekukuhannya sebanyak 12%.

    Besi baru yang ini memperkukuhkan beberapa bahagian utama, termasuk bahagian lantai, bumbung serta ruang enjin dan juga A-pillar dan B-pillar. Pelekat struktur (structural adhesive) badan yang digunakan juga lapan kali lebih berkesan dan kuat berbanding sebelumnya (sambungan keseluruhan sepanjang 67 meter pada kerangkanya kini menggunakan pelekat berkenaan). Semua ini diambil kira, kekerasan badan model baru ini berjaya dipertingkatkan sebanyak 32%.

    Model kompak ini menggunakan enjin 1.2 liter Kappa MPI empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik empat-kelajuan dari model sebelum ini – tiada transmisi manual ditawarkan kali ini. Selain itu, kadar NVH, penggunaan minyak serta penyampaian kuasanya juga didakwa lebih baik berbanding model lama.

    Untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan, dua pakej aksesori NOVUS turut disediakan – tawaran yang diberikan buat julung kalinya untuk pasaran Malaysia bermula dengan model ini. Yang dimaksudkan ialah pakej NOVUS X pada harga RM5,618 dan NOVUS S pada harga RM3,498, termasuk GST. Kelengkapan yang terkandung di dalam pakej ini ialah seperti lencana NOVUS, filem penebat solar, bodykit NOVUS, tempat duduk kulit serta perakam video DVR.

    Ciri-ciri keselamatan yang melengkapinya pula terdiri daripada enam beg udara, ABS dan ESC, ISOFIX serta tali keledar dengan ciri pre-tensioner dibahagian belakang. Terdapat lima pilihan warna ditawarkan; Pop Orange, Lime Light, Honey Bee, Clear White dan Titanium Silver. Kia Picanto 2018 kini mula dipamer disetiap bilik pameran Kia seluruh negara.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan Kia Picanto 2018 dan spesifikasi terperinci yang ditawarkan, layari juga CarBase.my.

    Kia Picanto 2018

    Kia Picanto 2018 dengan kit NOVUS

     
     
  • TUNGGANG UJI: BMW G310 GS – ‘baby‘ pun boleh berikan kepuasan, sedia menuju ke mana yang mahu

    TUNGGANG UJI: BMW G310 GS – ‘<em>baby</em>‘ pun boleh berikan kepuasan, sedia menuju ke mana yang mahu

    Idea mengembara menggunakan motosikal sememangnya menarik. Anda boleh meneroka tempat-tempat yang mempesona, tidak terbeban dengan kos jika dibandingkan dengan kereta dan keterujaan menjadi bebas itu boleh terasa apabila sudah memulakan perjalanan.

    Walaupun kebanyakan motosikal dibangunkan dengan penggunaan yang khusus, sebenarnya pengembaraan bermotosikal ini boleh dilakukan dengan apa sahaja jenis motosikal, selagi penunggangnya cukup tahan untuk menempuh cabaran yang bakal dilalui.

    Walaubagaimanapun, bagi penunggang yang betul-betul tahu mereka mahu lebih banyak meneroka, motosikal kembara menjadi pilihan, dan biasanya yang terdapat dalam pasaran adalah model yang berkapasiti tinggi. Nama yang sering disebut sudah tentu adalah BMW R1200GS, manakala model-model lain pula adalah seperti KTM Adventure, Ducati Multistrada, Kawasaki Versys, Suzuki V-Strom atau Honda Africa Twin.

    Apabila berkapasiti tinggi seperti motosikal yang disebutkan tadi, sudah tentu, harganya juga lebih tinggi, dan mempunyai saiz yang besar. Tidak semua orang berkemampuan untuk memiliki atau menggunakan (baik dari aspek kewangan ataupun pengendalian) motosikal seperti ini, jadi wujudlah satu lagi segmen motosikal kembara berkapasiti lebih rendah.

    Segmen yang disebutkan ini adalah untuk motosikal yang menggunakan enjin di bawah 400 cc, yang sebelum ini cuma banyak dikuasai oleh model berasaskan model offroad seperti CRF250 dan Kawasaki KLX250, manakala bagi segmen pertengahan, ia sudah juga wujud sekian lama melalui model seperti KTM Enduro 640/690, Suzuki DR650, Kawasaki KLE500/KLR650 atau BMW F650/700/800 GS.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Touch ‘n Go bakal menawarkan perkhidmatan e-dompet mudah alih guna platform teknologi Alipay

    Touch ‘n Go bakal menawarkan perkhidmatan e-dompet mudah alih guna platform teknologi Alipay

    Setelah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM), Touch n Go Sdn Bhd (TNGSB), yang merupakan anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd, MTD Equiti Sdn Bhd dan PLUS Expressways Bhd, bakal memperkenalkan dan mengendali perkhidmatan e-dompet mudah alih.

    Menurut kenyataan CIMB menerusi maklumat kepada Bursa Malaysia, perkhidmatan tersebut menggunakan platform teknologi Alipay, akan diuruskan oleh TNG Digital Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha samanya dengan Ant Financial Group (Ant Financial). Teknologi pembayaran Alipay daripada Ant Financial pada masa sekarang menyokong lebih daripada 450 juta pengguna di China, laporan Bernama.

    Menerusi e-dompet mudah alih ini, rakyat Malaysia berpeluang menikmati pengalaman ekosistem pembayaran yang selamat, selesa dan lancar melalui penggunaan kod tindakan segera bagi membeli belah dalam talian, membuat pembayaran bil, runcit termasuk pemindahan dana dengan platform yang serupa.

    Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata syarikat menjangkakan pelanggan semasanya yang terdiri daripada pengguna tol lebuh raya, transit dan tempat meletak kenderaan akan mendaftar segera bagi menikmati tambahan dalam perkhidmatan berkenaan.

    “Pada hari ini, Touch n Go merupakan peneraju nombor satu dalam pembayaran mikro dan kami berpendapat bahawa tawaran ini merupakan penambahan dalam usaha memperkukuhkan cadangan nilai kami, dan seterusnya, mengerakkan negara serta pelanggan kami ke alam digital pembayaran,” katanya.

     
     
  • Teknologi Michelin Acorus – rim fleksible yang sukar untuk bengkok, elak tayar pecah jika terlanggar lubang

    Ini mungkin teknologi yang ditunggu-tunggu oleh pengguna-pengguna jalan raya yang penuh dengan ‘perangkap’ seperti lubang atau manhole setinggi tebing – Michelin bersama Maxion Wheel telah menghasilkan rekaan inovatif yang menampilkan rim fleksibel yang sukar untuk bengkok.

    Seperti yang ditunjukkan pada video diatas, teknologi ini melibatkan rekaan rim aluminium yang dilindungi oleh pelindung getah pada kedua-dua sisi. Rekaan ini dibuat bagi mengurangkan bengkok dan menyerap hentakan secara lebih berkesan dari rim konvensional.

    Teknologi ini digelar sebagai Teknologi Michelin Acorus, dan rekaan ini sekali dengan tayar serta sudah dipatenkan. Menerusi teknologi ini, kedua-dua pelindung getah tadi bertindak sebagai kusyen bagi menyelamatkan rim serta tayar sekaligus sekiranya ia melanggar lubang.

    Teknologi Michelin Acorus – rim fleksible yang sukar untuk bengkok, elak tayar pecah jika terlanggar lubangTeknologi Michelin Acorus – rim fleksible yang sukar untuk bengkok, elak tayar pecah jika terlanggar lubang

    Menurut Michelin, faedah dari teknologi ini adalah sangat berguna dalam dunia sebenar. Objektif utamanya adalah untuk membantu rim dan tayar menangani impak dengan lebih baik, serta risiko untuk pancit akibat kerosakan pada bahagian sisi tayar dapat dikurangkan, bergantung pada kelajuan kenderaan.

    Oleh kerana teknologi mampu mengelakkan pancit, pengguna juga tidak perlu kerap untuk menukar tayar seterusnya menjimatkan bahan mentah, jelas Michelin lagi. Teknologi ini juga membolehkan pengguna tidak perlu risau untuk menggunakan rim berdiameter besar walaupun berada di kawasan dengan permukaan jalan yang teruk.

    Apa yang menarik lagi, rim ini bukan hanya untuk tayar-tayar Michelin, ia turut boleh dipadankan dengan tayar-tayar jenama lain.

     
     
  • Kia Grand Carnival CKD – tambahan ciri, harga sama

    Kia Grand Carnival CKD – tambahan ciri, harga sama

    Naza Kia telah mengumumkan model pemasangan tempatan bagi Kia Grand Carnival yang kini ditawarkan dalam dua varian, KX dan EX. Model paling asas kini, KX, dijual pada harga RM161,191.63, manakala model dengan spesifikasi lebih tinggi, EX, dijual pada harga RM180,667.99.

    Kedua-dua harga yang disebutkan itu – atas jalan tanpa insurans – adalah sama seperti harga sebelumnya; tetapi Grand Carnival kini dilengkapi dengan lebih banyak ciri. Antaranya ialah skrin sentuh lapan-inci bagi sistem infotainmen (sebelum ini 4.3 inci) dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Pengguna kini boleh mencapai fungsi dalam telefon mereka seperti sistem tunjuk arah GPS, panggilan, mesej dan pemain multimedia lainnya.

    Turut ditambah dalam peningkatan baru ini ialah capaian Bluetooth, dengan kawalannya tersedia pada stereng. Lagi ciri-ciri standard termasuk cermin pandang belakang electro-chromic, pengilap cermin aero-blade serta kawalan pendingin tiga-zon dengan ionizer (standard bagi EX) bagi model asas KX.

    Seperti sebelum ini, varian KX datang dengan tempat duduk fabrik dua tona, manakala EX pula dengan tempat duduk kulit beige dua tona. Ketiga-tiga barisan tempat duduk mempunyai corong pendingin hawa tersendiri pada bahagian bumbung.

    Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40, dan boleh disorong ke depan untuk memudahkan akses ke barisan ketiga. Tempat duduk ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50. Ruang barangan yang tersedia ialah 359 liter, dan boleh dilanjutkan kepada 2,718 liter dengan tempat duduk diturunkan.

    Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi dengan enam beg udara, sensor parkir di depan dan belakang, ESC, ABS dan Hill Assist Control adalah standard. ISOFIX pula terdapat dua dibarisan kedua dan satu di tempat duduk barisan ketiga.

    Spesifikasi mekanikal pula tidak berubah; masih menggunakan enjin 2.2 liter empat-silinder CRDi turbodiesel dengan janaan kuasa sebanyak 190 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Ia digandingkan dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan.

    Kia Grand Carnival didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dari pengeluar, serta pakej kewangan “Value 5” dari Kia. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini, baca juga laporan pandu uji sebelum ini serta layari laman CarBase.my.

    Kia Grand Carnival CKD 2018

     
     
  • VIDEO: BMW M5 baharu catat rekod dunia drift dengan jarak paling jauh – lapan jam tanpa henti, 374 km

    Bagi membuktikan dinamik pengendalian dan ia masih lagi bersifat seperti kereta pacuan belakang, BMW telah menggunakan M5 generasi baharu bagi mencatatkan rekod drift pada jarak paling jauh di dunia. Berapa jauh M5 ini bergerak dengan keadaan ‘mengereng’? Jangan tak percaya, rekod dunia berkenaan dicatat pada jarak 374 km dan dibuat dalam masa lapan jam tanpa henti!

    BMW M5 F90 ini dipandu oleh pengajar pemanduan prestasi tinggi BMW, Johan Schwartz dan rekod berkenaan dibuat di litar ujian BMW Performance Centre Greenville, Carolina Selatan, Amerika Syarikat.

    374 km bukanlah jarak yang dekat dan sudah tentu kereta ini akan kehabisan petrol sebelum menamatkan jarak berkenaan, lebih-lebih lagi dalam keadaan drift yang memerlukan gear rendah digunakan serta enjin sentiasa pada takat rpm tinggi. Jadi satu-satunya cara untuk mengisi semula tangki petrol berkenaan, BMW menggunakan kaedah seperti jet pejuang mengisi semula bahan api iaitu ketika sedang bergerak menerusi sebuah lagi M5, tetapi dari model sebelumnya iaitu F10.

    VIDEO: BMW M5 baharu catat rekod dunia drift dengan jarak paling jauh – lapan jam tanpa henti, 374 km

    Disebabkan ia bergerak dengan sudut yang senget, sudah tentu M5 dibelakang turut perlu melakukan aksi drift bagi membolehkan bahan api dipindahkan – dan ini menjadi cabaran terbesar mereka untuk drift dalam keadaan “Tsuiso” sambil mengisi minyak. Secara keseluruhan, aksi mengisi petrol ini dilakukan sebanyak empat kali sepanjang lapan jam berkenaan.

    Secara tidak langsung, rekod terbaharu yang dicatatkan oleh BMW M5 ini telah memadamkan rekod yang dibuat oleh jurnalis automotif dari Afrika Selatan, Jesse Adams yang memandu Toyota 86.

    Generasi baharu BMW M5 ini dijana V8 turbo berkembar 4.4 liter berkuasa 600 hp/700 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic. Walaupun diberikan sistem pacuan semua roda M xDrive, kereta ini masih lagi boleh memacu hanya roda belakang bagi melakukan aksi drift apabila sistem DSC yang yang dimatikan terus.

     
     
  • Volkswagen Malaysia tawar diskaun sehingga RM18k, kad minyak dan Lego sempena Tahun Baharu Cina

    Volkswagen Malaysia tawar diskaun sehingga RM18k, kad minyak dan Lego sempena Tahun Baharu Cina

    Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal disambut bulan hadapan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan kempen “Leaders of the Pack” dengan menawarkan rebat dari RM3,000 hingga RM18,000 untuk kesemua barisan model Volkswagen di negara ini. Malahan semua varian bagi Passat B8 boleh didapati dengan kadar faedah serendah 0.88% setahun.

    Juga, seperti mana yang pernah kami laporkan sebelum ini, semua pembelian mana-mana model Volkswagen yang didaftarkan mula 1 Januari 2018, ditawarkan dengan program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 45,000 km (mana-mana tiba dahulu). Program ini merangkumi semua kos penyelenggaraan sebagaimana yang diperlukan dalam servis berkala. Namun ia tidak melibatkan alat-alat ganti lusuh seperti cakera brek, pad brek, penggilap cermin dan mentol lampu. Pemilik kenderaan juga perlu mematuhi jadual penyelenggaraan di pusat servis sah Volkswagen atau berisiko jaminannya terbatal.


    Klik untuk besarkan

    Bagi mereka yang menempah dan mendaftar mana-mana model Volkswagen sebelum 28 Februari 2018, juga bakal menerima kad petrol ‘Liquid Gold’ percuma bernilai RM1,188, yang bersamaan dengan lebih daripada 10,000 kilometer perjalanan, dakwa VPCM. Selain itu, bagi 250 pelanggan pertama yang menempah dan mendaftar model Volkswagen mereka pada tarikh berkenaan juga bakal menerima LEGO Volkswagen T1 Camper Van edisi terhad.

    Untuk melayakkan anda menerima promosi dan ganjaran ini, semua kenderaan harus ditempah antara tempoh promosi dan ia juga tertakluk pada terma dan syarat, dan sehingga stok masih ada.

    Untuk perincian penuh bagi setiap model Volkswagen di Malaysia, sila layari CarBase.my.

     
     
  • GALERI: Toyota Vios 1.5GX versi 2018 – RM90,980

    GALERI: Toyota Vios 1.5GX versi 2018 – RM90,980

    UMW Toyota minggu lalu mengumumkan model Vios versi kemaskini bagi tahun 2018 yang turut mula dibuka untuk tempahan. Terdapat enam varian ditawarkan, dengan harga masing-masing seperti berikut: Vios 1.5J (MT) – RM74,980; Vios 1.5J (AT) – RM77,980; Vios 1.5E (AT) – RM81,980; Vios 1.5G (AT) – RM87,980; Vios 1.5GX (AT) – RM90,980 dan Vios 1.5TRD (AT) – RM93,980.

    Secara umumnya, Vios versi dipertingkat ini datang dengan penampilan yang lebih segar; rekaan bodykit dan grafik badan yang melengkapinya merupakan rekaan baru. Yang ditampilkan di sini adalah dari varian 1.5GX, dengan gambar-gambar yang lebih terperinci.

    Antara tambahan terbaru varian ini ialah sensor parkir, serta shark fin antenna dan plat pintu dengan pencahayaan yang kini turut diperkenalkan. Bagi ruang dalaman pula, varian GX terbaru akan mengenakan gandigan warna tempat duduk hitam-merah, dan bukan lagi warna hitam-coklat.

    Sistem hiburan DVD-AVX dengan ciri dipertingkat juga ditawarkan – berserta dengan paparan kamera undur – sebagai ciri standard bagi semua varian kecuali Vios J (MT) dan J (AT). Ciri lain yang ada sebelum ini seperti Panoramic View Monitor dan perakam video digital masih dikekalkan.

    Dari segi mekanikal, Vios tiada perubahan. Ia masih menggunakan 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm tork. Transmisi pula ia menggunakan jenis CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan Sport Sequential Shiftmatic.

    Ciri-ciri keselamatan yang melengkapinya pula ialah dua beg udara, dengan ciri kawalan kestabilan kenderaan (VSC) ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian. Ini diikuti dengan ciri seperti ABS dengan EBD, Brake Assist dan tapak ISOFIX ditempat duduk belakang.

    Untuk maklumat dan perincian lanjut tentang penawaran Toyota Vios, sila layari juga CarBase.my.

    Toyota Vios 1.5GX 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025