Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Iriz R5 juara Riponian Stages Rally 2022!

    Proton Iriz R5 juara Riponian Stages Rally 2022!

    Setelah lama berehat, pasukan Proton Motorsport di UK yang dikendalikan oleh Mellors Elliot Motorsport kini kembali ke SS rali pertama mereka untuk tahun 2022, dan ia dimulai terus dengan kemenangan di Riponian Stages Rally 2022!

    Jentera Proton Iriz R5 yang dipandu pelumba utamanya, Oliver Mellors menamatkan rali yang dilangsungkan di Yorkshire, England semalam dengan kelebihan 31 saat di hadapan.

    Ollie jelas memonopoli rali tersebut dengan memenangi empat Special Stage (SS) dari enam SS yang dipertandingkan, manakala dua SS lagi dia dan juruarahnya, Max Freeman berada di tempat kedua.

    Proton Iriz R5 juara Riponian Stages Rally 2022!

    Proton Iriz R5 berkenaan dilihat bersaing sengit dengan Ford Fiesta Rally2 yang dipandu Elliot Payne bersama juruarah Patrick Walsh. Manakala David Henderson yang memandu Ford Fiesta R5 berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 2 minit 02 saat.

    Ini rali kedua yang disertai oleh Ollie Mellors selepas terlibat dengan kemalangan besar di Nicky Grist Stages pada Julai tahun lalu, yang menyaksikan Iriz R5 yang dipandunya melompat terlalu tinggi dan bergolek semula ke udara selepas mendarat.

    Dia kemudiannya kembali berlumba pada September 2021 dengan kerangka Iriz R5 baharu di Hills Ford Three Shires Stages, dan berjaya merangkul gelaran naib juara pada rali berkenaan.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – Indonesia dapat versi 1.5 VTEC Turbo, Malaysia juga bakal terima enjin yang sama?

    Honda HR-V 2022 – Indonesia dapat versi 1.5 VTEC Turbo, Malaysia juga bakal terima enjin yang sama?

    Selepas dilancarkan di Thailand November tahun lalu, nampaknya selepas ini Honda HR-V 2022 bakal mendarat pula di pasaran Indonesia – Youtuber dari negara berkenaan, Indra Fathan telahpun memuat naik video di akaun Instagram miliknya, memaparkan HR-V generasi baharu tersebut dalam varian biasa dan RS sedang menjalani penggambaran iklan.

    Apa yang menarik, model HR-V RS 2022 pasaran Indonesia berkenaan menampilkan dua tip ekzos yang masing-masing diserlahkan pada setiap sisi bampar belakang. Ia berbeza dengan HR-V RS pasaran Thailand yang hanya menampilkan tip ekzos tunggal yang disembunyikan di sebalik bampar, kerana ia dijana oleh rangkaian kuasa hibrid e:HEV Honda.

    Dua tip ekzos pada varian RS tersebut petanda yang jelas bahawa HR-V generasi baharu pasaran Indonesia ini dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Ini kerana sama seperti model-model Honda yang menerima enjin turbo tersebut termasuk Accord, Civic dan CR-V terkini turut mempunyai tip ekzos yang serupa.

    Ini juga bermaksud Indonesia akan menjadi pasaran pertama di dunia yang akan menerima Honda HR-V generasi ketiga yang dijana oleh enjin 1.5L VTEC Turbo. Di Jepun, HR-V 2022 ini ditawarkan dengan pililhan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC dan juga versi Hybrid e:HEV i-MMD. Manakala di Eropah dan Thailand, HR-V generasi baharu ini hanya ditawarkan dalam versi hibrid.

    Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama Honda menawarkan HR-V dengan enjin 1.5L VTEC Turbo. Enjin berkenaan sebelum ini pernah ditawarkan pada HR-V generasi kedua menerusi varian Sport untuk pasaran Eropah dan juga Vezel (nama HR-V di Jepun) dalam varian Touring bagi model JDM.

    Bagi model turbo generasi ketiga ini, enjin yang ditawarkan dijangka merupakan versi yang sama seperti pada Civic. Enjin yang telah menerima beberapa peningkatan tersebut kini menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm. Ia juga dijangka akan terus digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Selain dari Indra Fathan, akaun Instagram LugNutz Auto Junkie juga ada menyiarkan gambar Honda HR-V 2022 pasaran Indonesia yang tertiris. Walaupun tiada imej untuk varian RS, gambar untuk varian biasa dengan warna Sand Khaki Pearl dilihat lebih jelas pada akaun ini.

    Varian lebih rendah ini tidak menampilkan sebarang tip ekzos yang diserlahkan pada bampar belakang, dan ia juga tidak dilekatkan dengan lencana e:HEV – jadi berkemungkinan besar varian asas untuk HR-V pasaran Indonesia ini hanya menerima enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC, dan boleh dijangka ia adalah unit yang sama berada dalam perut Honda City generasi terkini, menghasilkan 121 PS/145 Nm.

    Honda HR-V RS e:HEV pasaran Thailand

    Seperti kebiasaan, selepas Thailand dan Indonesia, HR-V 2022 berkemungkinan besar akan dilancarkan pula di Malaysia. Jadi bagaimana pula spesifikasi HR-V generasi ketiga ini di sini kelak? Kalau anda perhatikan dalam barisan model yang ditawarkan oleh Honda Malaysia buat masa sekarang, hanya tinggal HR-V sedia ada yang ditawarkan dengan enjin R18 1.8 liter i-VTEC.

    Jadi apa yang kami jangkakan, selepas produksi model generasi kedua HR-V dihentikan, Honda Malaysia akan menawarkan HR-V generasi ketiga ini hanya dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo, sama seperti Civic yang kini tidak lagi hadir dengan pilihan enjin 1.8 liter.

    Ketika Civic generasi ke-11 dilancarkan tempoh hari, Honda Malaysia menyatakan bahawa mereka kini tidak lagi menawarkan varian dengan enjin 1.8L i-VTEC berkenaan kerana ia sudah tidak selari dengan pematuhan emisi terkini buat masa sekarang. Jadi tidak mustahil enjin berkenaan turut tidak akan ditawarkan lagi pada HR-V 2022.

    Namun sama seperti Civic, HR-V 2022 juga mungkin akan dijual dengan harga bagi model asas yang lebih tinggi dari model sedia ada. Bagi Civic, dengan model asas juga dijana dengan enjin 1.5L VTEC Turbo, ia kini dijual pada harga bermula RM125,635, atau sekitar RM16,000 lebih mahal dari model asas yang dijana enjin 1.8L NA sebelum itu.

    Honda HR-V 2022 – Indonesia dapat versi 1.5 VTEC Turbo, Malaysia juga bakal terima enjin yang sama?

    HR-V sedia ada dijual pada harga bermula RM104,000, jadi mungkin model generasi ketiga nanti ia akan dijual pada harga RM120,000 untuk model paling bawah? Honda Malaysia berkemungkinan besar tidak akan menawarkan enjin 1.5 liter DOHC NA kerana enjin berkenaan tentunya dilihat ‘kurang berkuasa’ oleh konsumer dalam pasaran tempatan.

    Kita di Malaysia juga mungkin akan menerima HR-V 2022 yang dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, kerana sebelum ini Honda Malaysia telah menyatakan komitmen mereka untuk melebarkan lagi penawaran varian lebih mesra alam tersebut selain dari City RS sedan e:HEV dan juga City RS Hatchback e:HEV.

    Bagi pasaran Thailand, HR-V e:HEV menerima motor elektrik 131 PS/253 Nm untuk memacu roda hadapan. Sistem tersebut berfungsi sama seperti sistem hibrid pada City RS e:HEV, dimana enjin petrol 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 105 PS/127 Nm kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium-ion, dan hanya memacu roda hadapan pada kelajuan tertentu. Honda mendakwa HR-V e:HEV ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api serendah 25.6 km/l.

    Ini jangkaan kami, anda pula bagaimana? Adakah HR-V akan menguasai semula pasaran crossover segmen-B penuh yang telah ‘dicantas’ oleh Proton X50 akhir-akhir ini?

     
     
  • Nissan Ariya terselit dalam video CNY ETCM – SUV EV bakal dilancar untuk pasaran Malaysia tahun ini?

    Nissan Ariya terselit dalam video CNY ETCM – SUV EV bakal dilancar untuk pasaran Malaysia tahun ini?

    Selepas lama diam, tahun ini Nissan mungkin kembali aktif dalam pasaran Malaysia kerana dalam video Tahun Baru Cina (CNY) yang dikeluarkan oleh Edaran Tan Chong Motor, bukan sahaja ada crossover Kicks, tetapi juga SUV elektrik Ariya.

    Bahagian hadapan kenderaan itu muncul pada penghujung video, memberi gambaran seakan ia juga tercalon sebagai model yang akan diperkenalkan tahun ini. Sebenarnya, berita tidak rasmi ketibaan Ariya ke dalam pasaran juga pernah tersebar pada tahun 2020, tetapi ia dikhabarkan mengalami masalah untuk penetapan harga.

    Memandangkan petunjuk ketibaannya telah disiarkan secara meluas, masalah itu mungkin telah diatasi, besar kemungkinan kerana pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan dan menjadikannya lebih kompetitif. Di Jepun, model standard Ariya dijual bermula pada harga lima juta jen (RM183,000) selepas subsidi kerajaan, dan daripada situ, kita boleh menjangka di manakah tahapnya apabila tiba di Malaysia nanti.

    Ariya adalah model elektrik penuh kedua yang dijual secara besar-besaran oleh Nissan selepas Leaf, dan dijual dalam empat varian dengan kapasiti bateri 63 kWh dan 87 kWh. Sistem pacuan pula disediakan dalam pilihan pacuan dua roda hadapan atau semua roda.

    Varian yang menggunakan bateri 63 kWh dan satu motor elektrik mampu menghasilkan kuasa 160 kW (215 hp) dan tork 300 Nm, dengan jarak gerak sehingga 450 km dan masa pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Apabila menggunakan bateri 87 kWh pula, ia mampu menghasilkan 178 kW (239 hp), tetapi disebabkan berat yang lebih, waktu pecutan menjadi lebih perlahan 0.1 saat sementara jarak gerak pula adalah 610 km.

    Bagi varian e-4ORCE AWD yang menggunakan dua motor pula, pakej bersama bateri 63 kWh menghasilkan 250 kW (335 hp) dan 560 Nm, masa pecutan 0-100 km/j 5.6 saat dan jarak gerak sehingga 430 km. Apabila dipadankan bersama bateri 87 kWh pula, ia menghasilkan 290 kW (388 hp) dan 600 Nm, masa pecutan 0-100 km/j 5.1 saat dan jarak gerak 580 km. Di Jepun, kenderaan ini boleh dicas menggunakan pengecas pantas 130 kW CHAdeMO dan memberikan tambahan jarak gerak 375 km selepas dicas 30 minit.

    GALERI: Nissan Ariya pasaran Jepun

     
     
  • Sindiket kereta klon guna aplikasi Telegram untuk promosi jualan, kereta mewah bawah RM20k – JPJ N9

    Sindiket kereta klon guna aplikasi Telegram untuk promosi jualan, kereta mewah bawah RM20k – JPJ N9

    Sindiket penjualan kereta klon memang tidak pernah serik untuk meneruskan kegiatan haram ini. Terkini, hasil pemantauan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mendapati, sindiket tersebut dikesan membuat kumpulan atau ‘group’ menerusi aplikasi Telegram dan Facebook sebagai kaedah pemasaran bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelanggan secara dalam talian.

    Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pelbagai kereta berjenama dari luar negara dijual pada harga bawah RM20,000 malah ada yang mencecah harga RM5,000 sahaja menerusi group berkenaan dan media sosial. Walau bagaimana pun, katanya, sepanjang 2021 sebanyak 44 kenderaan disita pihaknya atas pelbagai kesalahan dan empat daripadanya adalah kenderaan klon, laporan Bernama.

    “Kenderaan klon adalah kenderaan tidak berdaftar yang menyerupai kenderaan lain yang sah daripada segi jenama, buatan, model dan nombor pendaftaran. Jika dahulu sindiket melakukan aktiviti ini secara senyap, namun kini mereka lebih terbuka dengan mengiklankan kereta melalui media sosial dengan menggunakan nama kereta murah, malah permintaan juga amat membimbangkan,” katanya.

    Tambah beliau, dengan teknik terbaru sindiket berkenaan, pihaknya khuatir orang ramai akan mudah terpengaruh dengan tawaran harga kereta mewah yang tidak masuk akal.

    Sindiket kereta klon guna aplikasi Telegram untuk promosi jualan, kereta mewah bawah RM20k – JPJ N9

    “Kereta mewah dan berjenama yang diimport dari luar negara dijual pada harga kurang daripada RM20,000 malah ada boleh dibeli pada harga RM5,000 sahaja. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran berkenaan. Meskipun harganya murah, namun ia memberi risiko besar kepada pemiliknya jika berlaku apa-apa kemalangan.

    “Pemilik juga boleh disiasat atas empat kesalahan utama mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memiliki kenderaan bermotor yang tidak berdaftar, mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaannya, mempamerkan cukai jalan bukan kepunyaannya dan tiada perlindungan insurans,” katanya.

    Tambahnya lagi, ada juga pemilik kereta asal yang bersekongkol dengan sindiket kereta klon dengan membuat cukai jalan dan insurans baru dengan alasan kereta dicuri atau hilang sebelum menggunakannya pada kenderaan klon.

    “Dari 2016 hingga kini, ada 64 daripada 271 kenderaan sita yang masih dalam simpanan JPJ Negeri Sembilan adalah kenderaan klon,” katanya sambil menambah pada 15 Februari ini, pihaknya akan mengadakan lelongan awam kenderaan sita melibatkan 83 unit kenderaan di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya, Seremban.

     
     
  • Pelaksanaan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih sekitar ibu negara akan dikaji – Shahidan

    Pelaksanaan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih sekitar ibu negara akan dikaji – Shahidan

    Berhubung dengan cadangan untuk menetapkan had laju 30 km/j dan 50 km/j dalam zon terpilih di sekitar ibu negara, Kementerian Wilayah Persekutuan berkata akan menilai kajian tentang pelaksanaan tersebut.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassin, cadangan mengenai perkara itu masih dalam peringkat kajian dan hasilnya akan diumumkan dalam masa terdekat, laporan Berita Harian.

    “Kita tahu banyak benda yang kita buat ada setuju dan ada tidak bersetuju. Kita melihat lebih kepada kesesuaian serta penerimaan semua pihak. Kita terima semua pandangan berhubung perkara ini dan kita ambil kira semuanya. Apa yang penting matlamat tercapai dan rakyat gembira,” katanya.

    Pada awal Januari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dikatakan sedang berusaha untuk memperkenalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota Kuala Lumpur tidak lama lagi. Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Datuk Suret Singh, melalui Twitternya

    Pelaksanaan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih sekitar ibu negara akan dikaji – Shahidan

    Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit melibatkan dalam mengenalpasti jalan raya di mana had laju tersebut boleh diperkenalkan sebagai langkah keselamatan. Selain itu, ia juga melibatkan perkongsian data kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kesalahan trafik.

    Sebelum ini, MIROS mencadangkan had laju standard 30 km/j untuk kawasan bandar, desa dan kediaman sebagai sebahagian daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2021-2030. Cadangan had laju 30 km/j di kawasan-kawasan seperti dinyatakan itu adalah juga sebahagian daripada kempen “Street for Life” di bawah Minggu Keselamatan Jalanraya Global PBB ke-6 (UNGRSW), yang mensasarkan untuk pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

    Kementerian Pengangkutan (MOT) juga sedang meneliti secara mendalam perkara ini, yang disahkan sendiri oleh menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

    “Saya ada dengar cadangan itu. Saya akan panggil semua (pemain industri) untuk mengadakan perbincangan kerana ia melibatkan stakeholders. Kedua, ada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga yang telah usulkan supaya kita dapat kurangkan kadar had laju di Malaysia ini.

    “Tetapi kita lihat di Malaysia ini punca kemalangan sebenarnya mempunyai pelbagai faktor dan bukan sahaja berdasarkan kepada kelajuan. Pihak saya akan mengimbangi semua faktor dan melihat dari segi semua sudut bagi mencari jalan yang terbaik,” katanya.

     
     
  • Sindiket ‘lesen terbang’ masih berleluasa, polis nasihati orang ramai untuk lebih berwaspada

    Sindiket ‘lesen terbang’ masih berleluasa, polis nasihati orang ramai untuk lebih berwaspada

    Cerita ‘lesen terbang’ atau pun lesen memandu tanpa perlu hadiri ujian dan kelas memandu, bukanlah suatu perkara yang baru. Ia telah lama berleluasa sejak sekian lama. Sehingga kini, masih banyak sindiket yang bermaharajalela melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sehingga kini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penipuan terbabit, laporan Harian Metro susulan sindiket penipuan yang dikesan membuat iklan di media sosial.

    Menerusi iklan aktiviti haram itu, sindiket berkenaan dikesan menawarkan lesen memandu dengan harga bermula dari RM580 sehingga RM5,000 untuk orang ramai dengan jaminan ‘gerenti lulus’ dan tanpa menghadiri kelas di institut memandu dan ujian memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Tujuh laporan diterima di Pulau Pinang dan dua kes di Kelantan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM17,080. Siasatan mendapati sindiket menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri sebarang ujian,” kata Mohd Kamarudin.

    Katanya lagi, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada ketika melakukan urusan melalui Internet atau laman sosial dengan menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon di Semak Mule.

    Sindiket ‘lesen terbang’ masih berleluasa, polis nasihati orang ramai untuk lebih berwaspada

    “Orang ramai juga perlu berhati-hati ketika melakukan transaksi ke akaun yang tidak dikenali. Masyarakat juga diseru untuk mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang betul. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sebelum ini, JPJ turut menerima laporan berkaitan pengiklanan mendapatkan lesen memandu secara tidak sah di media sosial. Menerusi iklan di laman Instagram yang menggunakan nama ‘iteacherconsultingofficial’ itu, beberapa perkhidmatan ditawarkan antaranya lesen memandu mampu disiapkan dalam tempoh lima hari, permohonan direkodkan dalam sistem JPJ dan boleh membuat pembayaran selepas lesen memandu siap dikeluarkan.

    “JPJ memandang serius terhadap sindiket lesen terbang ini dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk membuat laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Dalam hal ini, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih,” ujar JPJ.

     
     
  • Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

    Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

    Walaupun bukanlah besar mana dalam industri, pembuat hypercar dari Sweden iaitu Koenigsegg sentiasa hadir dengan teknologi inovatif yang mendahului pesaing-pesaingnya yang lain. Sebelum ini Koenigsegg pernah menunjukkan teknologi injap kepala silinder enjin yang berfungsi tanpa aci sesondol (dipanggil FreeValve) dan kemudian ia muncul pada enjin produksi 2.0 liter tiga-silinder yang digelar Tiny Friendly Giant (TFG) berkuasa 590 hp (600 PS)/600 Nm pada Koenigsegg Gemera.

    Secara keseluruhan, Gemera menghasilkan 1,700 hp dan tork maksima 3,500 Nm. Jadi bagi membolehkan Gemera mencapai angka tak masuk akal tersebut, enjin TFG berkenaan sebenarnya digandingkan dengan motor elektrik kompak yang digelar Quark. Seperti juga TFG, Quark dihasilkan sendiri oleh Koenigsegg dan bukan dibangunkan pembekal komponen pihak ketiga.

    Setiap satu unit Quark ini dihasilkan dalam saiz yang cukup kompak (Koenigsegg sengaja meletakkan tin minuman 330 ml di sebelah motor tersebut untuk memudahkan anda membuat perbandingan) dan hanya seberat 30 kg (hanya 28.5 kg jika ditolak komponen alihan kuasa lain).

    Setiap unit motor elektrik Quark berkenaan mampu menghasilkan kuasa sebesar 340 PS (355 hp) dan tork maksima 600 Nm – Gemera dibekalkan dengan tiga unit Quark untuk digandingkan dengan TFG! Walau bagaimanapun, kuasa maksimum tersebut hanya mampu bertahan selama 20 saat, dan selepas itu setiap unit Quark mampu membekalkan kuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork maksima 249 Nm.

    Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

    “Quark direka untuk memperkuatkan pecutan Gemera pada peringkat kelajuan rendah, di mana anda memerlukannya, untuk pecutan yang ganas. Enjin pembakaran dalaman pula kemudian akan fokus kepada peringkat kelajuan tinggi. Bagi prestasi Gemera ini bermaksud lonjakan kuasa yang besar akan diberikan pada permulaan kemudian disambung dengan desakan kelajuan berterusan sehingga 400 km/j tanpa kehilangan sebarang tork mahupun kuasa,” jelas ketua pereka motor elektrik Koenigsegg, Dragos-Mihai Postariu.

    Bagi mencapai angka-angka tersebut, Koenigsegg melihat semula fundamental-fundamental magnetisma, material, penyejukan dan pakej, menggabungkan binaan radial dan axial (bagi menghasilkan topologi “raxial flux”) untuk memberikan imbangan yang baik antara kuasa dan tork. Koenigsegg mendakwa, hasilnya mereka kini mempunyai motor elektrik yang mempunyai nisbah tork kepada kuasa kepada nisbah berat terbaik dalam industri.

    Ketua pembangunan motor elektrik Koenigsegg, András Székely pula menyatakan bahawa Quark mempunyai syaf yang diperbuat dari logam 300M yang selalunya digunakan dalam sukan permotoran dan aero angkasa, manakala sistem penyejukan terus dipilih bagi disesuaikan rekaannya yang efisien dan kompak.

    Manakala rotor motor elektrik ini pula menggunakan teknologi gentian karbon jenis hollow Koenigsegg yang sama seperti mereka hasilkan komponen termasuk rim, roda stereng dan juga tempat duduk.

    Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

    Menurut Koenigsegg, Quark bukan hanya boleh digunakan pada kereta (hibird ataupun elektrik sepenuhnya), malah ia turut boleh diaplikasikan pada industri aero angkasa, VTOL (vertical take-off and landing), marin dan banyak lagi.

    “Quark adalah unik kerana kadar efisiennya yang tinggi dalam kombinasi dengan matriks tork-kepada-kuasa-kepada-rpm-kepada-berat yang terbaik dalam kelasnya. Ini bermaksud ketika menggunakan Quark dalam aplikasi seperti marin, pesawat atau VTOL, ia tidak memerlukan unit transmisi step-down, dan hanya menggunakan pacuan terus, kerana putaran motor adalah tepat sejak dari mula,” kata pengasas dan CEO syarikat, Christian von Koenigsegg.

    Koenigsegg turut menghasilkan Quark dalam konfigurasi lain iaitu Terrier, secara asasnya dua buah Quark yang dihasilkan dalam satu unit bersama unit inverter silikon karbida enam-fasa juga rekaan Koenigsegg, dengan berat hanya 15 kg dan volum hanya 10 liter yang diberi nama David.

    Unit inverter David tersebut beroperasi dengan 850 volt dan mampu menyampaikan 1,300 ARMS AC, dengan kuasa 750 kW. Sebanyak dua unit David digunakan dalam Gemera bagi memberikan 12 fasa dan kuasa 1.5 MW.

    Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

    Secara keseluruhan Terrier hanya mempunyai berat 85 kg, dan menghasilkan kuasa 680 PS (670 hp atau 500 kW) dan tork maksima 1,100 Nm, serta mempunyai sistem torque vectoring dengan kebolehan mengawal kedua-dua motor secara berasingan.

    “Terrier menampilkan teknologi yang melangkaui unit pemacu sedia ada, dengan hanya memerlukan satu inverter (berbanding dua), kerana David yang mempunyai enam-fasa memberikan tiga-fasa pada setiap Quark, membolehkan berat, saiz dan komponen dikurangkan secara drastik. Tambahan pula, dengan pakej Quark yang rata, David boleh diletakkan dengan kemas di tengah antara dua Quark bagi menghasilkan pakej super-tumpat persegi.

    “Akhir sekali, kerana Quarks memberikan kuasa dan tork yang besar pada rpm yang berpatutan, hanya set gear planetari kecil bernisbah rendah yang sangat effisien diperlukan untuk setiap output. Pakej yang kompak dan unik membolehkan Terrier dipasang dengan mudah terus ke monocoque atau casis – membolehkan rekaan, kejuruteraan dan akomodasi mewah yang sebelum ini mustahil dapat diterapkan. Ciri ini turut berpotensi untuk menyisihkan aspek kompleks seperti tambahan subframe dan juga berat,” jelas Koenigsegg lagi.

    GALERI: Koenigsegg Gemera

     
     
  • Polestar 2 “Arctic Circle” EV konsep rali musim sejuk

    Polestar 2 “Arctic Circle” EV konsep rali musim sejuk

    Polestar 2 didedahkan kali pertama pada tahun 2019, dengan membawa bentuk badan fastback lima pintu dan menjadi model elektrik penuh pertama jenama dari Sweden tersebut. Kini, muncul pula model konsep rali musim sejuk yang dipanggil sebagai Polestar 2 “Arctic Circle”.

    Nama tersebut merujuk kepada persekitaran sejuk ekstrem di Sweden Utara, yang dijadikan sebagai tempat program pembangunan selama 15 minggu bagi kereta tersebut. Di situ, suhunya boleh menjadi serendah -35 darjah celsius.

    Polestar 2 “Arctic Circle” adalah satu hasil daripada ketua jurutera casis Polestar, Joakim Rydholm, untuk menunjukkan kepakaran beliau dalam talaan casis kenderaan untuk keadaan di kawasan salji dan ais. Ia juga mengambil inspirasi daripada kereta rali musim sejuk.

    Polestar 2 “Arctic Circle” EV konsep rali musim sejuk

    Mengambil Polestar 2 Long Range Dual Motor dengan Performance Pack sebagai asas, Polestar 2 “Arctic Circle” ini ditinggikan 30 mm, kuasa ditingkatkan kepada 469 hp dan 680 Nm (dalam keadaan standard 408 hp dan 660 Nm), dan dipasang dengan rim rali OZ Racing 19 inci yang dibalut tayar salji berpaku 4 mm.

    Sebagai tambahan kepada kedudukan yang lebih tinggi, suspensi juga kini diubah dengan spring 30% lebih lembut, bersama penyerap Ohlins yang boleh dilaras tiga bahagian. Brek asal dengan angkup Brembo empat piston di hadapan masih dikekalkan sementara casis dikuatkan lagi dengan pendakap pada tapak penyerap. Untuk mendapatkan pecutan awal yang lebih baik, pemandu juga boleh menggunakan sistem launch control yang disertakan.

    “Membuat talaan casis atas salji dan ais membenarkan kami untuk membangunkan kenderaan dalam keadaan yang dirasakan seperti pergerakan perlahan dan dengan lebih lagi ketepatan,” kata Rydholm. Beliau juga turut memberitahu bahawa tahap cengkaman yang lebih rendah membenarkan dinamik kenderaan dapat dirasakan lebih baik dan dianalisa pada tahap kecepatan yang lebih rendah berbanding atas jalan bertar, sekaligus memberikan mereka peluang untuk membuat talaan yang lebih halus pada kenderaan.

    Barangan lain yang ditambah pada kereta buatan khas ini adalah skid plate gentian karbon di bahagian bawah bampar hadapan untuk memberikan lebih perlindungan, serta empat unit lampu LED Stedi Quad Pro untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas dalam keadaan di Arctic.

    Kereta ini juga menggunakan warna kelabu matte khas dengan grafik putih, sementara di bahagian dalam terdapat tempat duduk bucket Recaro dengan balutan khas serta kemasan emas. Pada bahagian ruang simpanan belakang terdapat penyodok khas yang dibuat daripada gentian karbon serta tali pengikat sebagai alat bantuan sekiranya kereta terperangkap.

    Pemilik Polestar 2 sedia ada sekarang yang sudah memasang cita-cita untuk berseronok atas salji bagaimanapun masih belum boleh teruja kerana menurut Polestar, “Arctic Circle” ini hanya dihasilkan sekali sahaja dan tidak akan dibuat untuk produksi.

     
     
  • Pemandu teksi mahu kerajaan lancar platform e-hailing sendiri bagi gantikan aplikasi persendirian sedia ada

    Pemandu teksi mahu kerajaan lancar platform e-hailing sendiri bagi gantikan aplikasi persendirian sedia ada

    Pemandu teksi di Malaysia telah menggesa agar kerajaan membangunkan sendiri perkhidmatan e-hailing yang boleh digunakan di seluruh negara, dengan menyatakan bahawa langkah sedemikian dapat memastikan pengagihan perkhidmatan dan pertumbuhan industri yang lebih adil. Perkara ini dluahkan oleh Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), mewakili suara pemandu teksi yang terlibat, laporan Malaysiakini.

    Dalam memorandum yang dihantar ke pejabat Perdana Menteri, organisasi terbabit yang melibatkan para pemandu, pengusaha dan persatuan teksi dalam industri pengangkutan darat di negara ini, menggesa agar kerajaan membangunkan aplikasi e-hailing sendiri bagi menggantikan aplikasi yang dimiliki. oleh syarikat persendirian.

    “Syarikat terbabit secara terang-terangan telah merompak berbilion ringgit dalam industri ini dan merosakkan ekosistem industri teksi negara, serta mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan pemandu teksi dan e-hailing,” katanya.

    Menurut PPDM, berbilion ringgit yang diperoleh menerusi perkhidmatan ride-hailing yang dikendalikan kerajaan boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi dan juga akan dapat menyediakan skim perlindungan insurans kepada pemandu teksi dan kenderaan.

    Pemandu teksi mahu kerajaan lancar platform e-hailing sendiri bagi gantikan aplikasi persendirian sedia ada

    Tambahnya lagi, keuntungan itu juga boleh digunakan untuk menyediakan biasiswa untuk anak-anak pemandu teksi dan memberikan pampasan RM100,000 kepada waris mereka. “Pendek kata, wang daripada industri akan dikembalikan kepada industri dan tidak dibenarkan dirompak keluar negara, yang telah berlaku selama ini,” ujar PPDM menerusi memorandum terbabit.

    Para pemandu teksi juga menggesa agar kerajaan menghapuskan double standard sedia ada di dalam perkhidmatan teksi dan ride-hailing, menggunakan kadar tambang dan peraturan yang konsisten antara kedua-dua industri. “Ini kerana kedua-dua perkhidmatan menjalankan aktiviti yang sama iaitu membawa penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain dengan mengenakan kadar tertentu,” kata PPDM dalam memorandumnya. Ia turut meminta kerajaan mengiktiraf kedua-dua industri di bawah kategori komersil.

    Organisasi terbabit juga mendakwa telah banyak kali menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan dan menteri yang terbabit, memohon penyelesaian untuk masalah ini, tetapi tiada satu daripada isu ini telah ditangani. “Akibat tindakan itu, kami sebagai pekerja industri terpaksa melalui kehidupan yang sukar dan perit. Atas kesedaran itu, kami fikir sudah tiba masanya untuk kami membuat perubahan, kami akan bekerjasama dengan mana-mana parti komponen yang bersedia untuk mematuhi tuntutan kami,” katanya.

    Ini bukanlah pertama kali para pemandu teksi meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap perkhidmatan ride-hailing. Terdahulu, beberapa kumpulan pemandu teksi pernah menggesa pihak kerajaan untuk mengharamkan perkhidmatan menggunakan kereta persendirian, dengan memberi alasan perkara ini menjejaskan mata pencarian mereka.

     
     
  • Nissan Kicks 2022 dalam iklan untuk pasaran Malaysia — pesaing baru Proton X50 dengan e-Power hibrid

    Nissan Kicks 2022 dalam iklan untuk pasaran Malaysia — pesaing baru Proton X50 dengan e-Power hibrid

    Nissan Kicks mungkin diperkenalkan untuk pasaran tempatan tahun ini, sekiranya video sempena CNY oleh Edaran Tan Chong Motor baru-baru ini boleh menjadi petunjuk. Crossover segmen B berkenaan pernah disebut pertama kali pada 2018 untuk pasaran di sini, tetapi tidak diberikan tempoh pengenalan yang jelas.

    Sejak itu, model berkenaan telah diberikan facelift pada 2020 dan kini dijual di Thailand, yang mana ia ditawarkan dengan sistem janaan hibrid e-Power. Di Thailand, sistem berkenaan merangkumi enjin HR12DE 1.2 liter tiga-silinder petrol yang menghasilkan 79 PS dan 103 Nm tork yang tertindak hanya selaku generator bagi bateri 1.57 kWh yang terletak di bawah kerusi depan.

    Bateri berkenaan menghantarkan kuasa kepada motor elektrik EM57 dengan 129 PS (95 kW) dan 260 Nm yang memacu roda hadapan. Dengan tetapan ini, enjin langsung tidak menyediakan pacuan sama sekali, dan hanya motor elektrik bertanggungjawab untuk menggerakkan kenderaan.

    Daripada apa yang dapat dilihat dalam video pendek ini, nampaknya pasaran kita juga akan menerima Kicks dengan sistem e-Power juga. Di pasaran lain, model ini turut ditawarkan dengan sistem janaan bukan hibrid, termasuk dengan enjin HR16DE 1.6 liter NA petrol di Amerika Syarikat, sementara di China ada juga dengan enjin HR15DE 1.5 liter NA.

    Sekiranya Kicks diperkenalkan nanti, ia akan bersaing dengan Proton X50, Honda HR-V, Toyota Corolla Cros, Mazda CX-3 dan Hyundai Kona. Daripada semua model tersebut, hanya Corolla Cross dan HR-V ada dalam varian hibrid, sementara Kona juga ada dalam varian elektrik sepenuhnya. Adakah Kicks bakal membawakan persaingan yang menarik nanti?

     
     
  • Indian Scout Rogue 2022 didedah – 1,133 cc, 94 hp

    Indian Scout Rogue 2022 didedah – 1,133 cc, 94 hp

    Barisan model Scout keluaran Indian kini ditambah dengan satu lagi varian yang dikenali sebagai Scout Rogue. Ia sekarang ditambah dengan penampilan lebih agresif, bersama suspensi boleh laras, fairing kecil yang menempatkan lampu hadapan serta rim hadapan 19 inci.

    Kuasa datang daripada enjin v-twin penyejukan cecair 1,133 cc, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, menghasilkan 94 hp dan 97 Nm tork pada 5,600 rpm. Ia dihantar ke roda belakang yang menggunakan rim 16 inci melalui sistem tali sawat.

    Daripada aspek penggayaan, Scout Rogue mengikut gaya cruiser biasa dengan tempat duduk serendah 649 mm, dan dipadankan bersama pemegang jenis ape-hanger mini, tempat duduk sports serta bahagian-bahagian lain yang kebanyakannya berwarna hitam, termasuk enjin dan ekzos.

    Suspensi menggunakan fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak di belakang, yang boleh dilaras secara manual untuk mampatan dan lantunan. Sistem brek terdiri daripada cakera 298 mm dengan angkup dua piston di hadapan, sementara di belakang juga menggunakan cakera yang sama saiz, tetapi dengan angkup satu piston.

    Dalam keadaan sedia untuk ditunggang, Scout Rogue mencatat berat 250 kg manakala tangki bahan api menyediakan kapasiti 12.5 liter. Pemilik model ini juga boleh menambah meter rpm dengan lampu tukar gear, manakala lampu hadapan datang dalam unit LED. Scout Rogue ditawarkan dalam warna Sagebrush Smoke, Black Smoke Midnight dan Stealth Gray.

     
     
  • Batal permit institut memandu, tarik balik sijil tenaga pengajar kerana rekod kemalangan bukan polisi MOT

    Batal permit institut memandu, tarik balik sijil tenaga pengajar kerana rekod kemalangan bukan polisi MOT

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengeluarkan maklumbalas mengenai hasrat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mahu membatal atau menggantung permit institut memandu (IM) sekiranya ramai pemegang lesen yang dilatih mereka didapati melakukan kesalahan trafik dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

    Menurut Menteri MOT, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan tersebut hanyalah merupakan satu pandangan peribadi Ketua Pengarah JPJ dan bukan merupakan satu ketetapan dasar oleh MOT pada masa ini.

    “Sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan sudah tentunya akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh MOT dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanannya, kebolehlaksanaanya dan keupayaannya untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

    “MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya mempersalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas,” kata Dr Wee menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Batal permit institut memandu, tarik balik sijil tenaga pengajar kerana rekod kemalangan bukan polisi MOT

    Jelas beliau, kajian terperinci ini juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan.

    Dalam masa sama, MOT bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan jalan raya dan aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara.

    “MOT serius dan komited dalam memastikan jalan raya kekal selamat digunakan oleh semua pihak,” tambah beliau lagi.

    Pada hujung Januari lalu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, langkah membatal atau menggantung permit institut memandu itu akan dilaksanakan dengan meletakkan kod pada lesen yang dikeluarkan ini bagi mengesan daripada institut memandu mana pesalah trafik itu menerima latihan. Jelasnya, kaedah itu masih dalam peringkat cadangan dan dijangka disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang bermula di seluruh negara April tahun ini.

     
     
  • Proton sasar jual 150k kenderaan pada 2022 – CEO

    Proton sasar jual 150k kenderaan pada 2022 – CEO

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong menyatakan bahawa syarikatnya mensasarkan untuk menjual sebanyak 150,000 unit kenderaan untuk tahun 2022. Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

    Dengan sasaran tersebut, Proton nampaknya perlu menjual lebih dari 30% berbanding jumlah jualan keseluruhannya sepanjang 2021 dengan catatan sebanyak 114,708 unit kenderaan termasuk 3,108 unit yang dieksport.

    Proton sebelum ini dilihat menunjukkan prestasi jualan yang lemah dengan mencatatkan jualan tahunan hanya 64,744 unit untuk tahun 2018. Namun hasil kerjasama strategik dengan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd yang ditandatangani pada Mei 2017 mula menampakkan hasil pada 2019 di mana Proton mula mencatatkan jualan tahunan melebihi 100,000 unit.

    Proton juga berjaya mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 4.5% pada 2021 berbanding jualan 2020 walaupun perlu berhadapan dengan pelbagai masalah produksi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga musibah banjir yang melanda pada Disember lalu yang menjejaskan produksi model-model SUVnya di Tanjung Malim.

    Bagi mencapai sasaran jualan 150,000 unit tahun ini, Proton mungkin akan bergantung kepada SUV tujuh tempat duduk yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. SUV tersebut akan diasaskan dari Geely Haoyue/Okavango dan mungkin akan digelar sebagai Proton X90. Unit prototaip SUV tersebut dilihat kerap diuji dijalan raya awam baru-baru ini, menandakan tarikh pelancarannya yang semakin hampir.

    Proton juga turut dilihat menguji versi kemaskini untuk sedan paling mampu miliknya iaitu Saga yang dijangka akan dilancarkan tahun ini. Selain dari menerima sedikit penyegaran dari segi rupa, Saga 2022 tersebut turut dilihat menampilkan sistem kemasukan tanpa kunci. Jualan Proton tahun ini juga bakal dipacu dengan model facelift Iriz dan Persona yang telah pun dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

    Jenama automotif tempatan itu juga kini dilihat semakin serius dengan pasaran-pasaran eksport, dengan secara sedikit demi sedikit mula menunjukkan pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Proton sebelum ini juga telah pun mengumumkan bahawa mereka akan kembali ke pasaran Thailand dan Indonesia.

    Li juga sebelum ini ada menyatakan bahawa dia mahu Proton menjadi nombor satu di Malaysia terlebih dahulu yang sekian lama dipertahankan oleh Perodua, sebelum masuk semula ke dua pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara berkenaan.

    Baru-baru ini juga Proton telah mengumumkan bahawa mereka telah pun menandatangani perjanjian untuk menjual barisan model-model elektrik jenama smart menerusi Proton Edar, bukan sahaja di Malaysia malah untuk pasaran Thailand. Model-model terkini smart masih lagi akan direka oleh Mercedes-Benz, namun ia dibangunkan dengan teknologi Geely menggunakan platform SEA jenama China tersebut, serta akan dikilangkan oleh fasiliti Geely di China.

    Langkah untuk menjual smart menerusi Proton Edar ini bukan sahaja akan membantu Proton bersedia untuk menjual kereta elektrik, malah dengan jaringan pengedar smart yang akan diwujudkan di Thailand, ia turut akan memudahkan Proton menjual keretanya di negara berkenaan.

     
     
  • Bugatti Chiron catat kelajuan maksima 417 km/j di Autobahn – pemilik mungkin dipenjara dua tahun

    Bugatti Chiron catat kelajuan maksima 417 km/j di Autobahn – pemilik mungkin dipenjara dua tahun

    November tahun lalu, seorang jutawan dari Republik Czech iaitu Radim Passer telah memuatnaik video menunjukkan aksinya mencatatkan kelajuan maksima 417 km/j di lebuhraya Autobahn, Jerman dengan hypercar Bugatti Chiron miliknya. Walaupun dia melakukan cubaan berkenaan di kawasan tanpa had laju di lebuhraya tersebut, pihak berkuasa tempatan jelas tidak senang dengan apa yang dilakukan oleh Passer, dan dia mungkin akan dikenakan hukuman penjara selama dua tahun jika didapati bersalah.

    Menurut laporan akhbar The Sun UK, Passer melakukan cubaan itu di laluan A2 antara Berlin dan Hanover lebuhraya Autobahn berkenaan dan pihak polis di Saxony-Anhalt telah mengesahkan bahawa fail untuk mendakwa Passer telah pun dihantar ke pendakwa raya.

    Walaupun tiada had laju maksima ditetapkan di kawasan tertentu lebuhraya Autobahn, pihak berkuasa tempatan melarang sebarang aktiviti merbahaya termasuk berlumba di laluan tersebut. “Tiada individu lain yang dicederakan, terancam atau dihalang atau menyusahkan lebih daripada yang tidak dapat dielakkan mengikut keadaan” menurut undang-undang yang telah ditetapkan seperti yang dilaporkan oleh The Sun.

    Menurut akhbar tersebut lagi, walaupun lebuhraya Autobahn berkenaan tidak mempunyai had laju maksima, semua pengeluar kereta di Jerman perlu mengehadkan kelajuan kereta yang dijual hanya pada 250 km/j untuk tujuan keselamatan dan penjagaan alam sekitar.

    Namun menurut Passer pula, dia sentiasa mengutamakan keselamatan dan meninjau dahulu keadaan sama ada selamat atau tidak untuk melakukan percubaan berkenaan, dan ia dibuat pada laluan tiga lorong sejauh enam batu (9.7 km) dengan “penglihatan jelas sepanjang laluan tersebut”.

    “Kami bersyukur kepada Tuhan untuk keselamatan dan keadaan yang baik, membolehkan kami mencapai kelajuan berkenaan,” kata Passer.

    Ini bukan pertama kali Radim Passer membuat percubaan untuk mencatatkan kelajuan maksima di Autobahn. Percubaan pertamanya dibuat dengan Bugati Veyron pada 2011, diikuti percubaan kedua pada 2012 dan terakhir pada 2015 dengan Veyron berkenaan berjaya mencapai kelajuan 402.5 km/j.

    Walau bagaimanapun dengan rekod 417 km/j yang dicatatkan menggunakan Bugatti Chiron berkuasa 1,500 PS dan tork maksima 1,600 Nm tersebut, Passer masih belum dapat mengatasi rekod kelajuan tertinggi yang dicatatkan pada lebuhraya Autobahn berkenaan. Percaya atau tidak, kelajuan tertinggi di Autobahn telah dicatatkan oleh Rudolf Caracciola pada tahun 1938 dengan kelajuan purata 432.7 km/j di laluan A5 antara Frankfurt dan Darmstadt.

    Caracciola mencatatkan rekod yang masih bertahan selama 84-tahun tersebut dengan jentera Mercedes-Benz W125 Rekordwagen, iaitu versi ubahsuai jentera lumba single-seater Mercedes-Benz W125. Selain menampilkan badan yang lebih aerodinamik dengan berat hanya 750 kg, Rekordwagen berkenaan turut dijana oleh enjin V12 5.6 liter dengan dua supercharger, menghasilkan 736 PS.

    Pada 2019 kerajaan Jerman pernah bercadang untuk menetapkan kelajuan maksima 130 km/j di lebuhraya Autobahn, bukan sahaja untuk tujuan keselamatan, malah bagi mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan oleh pengangkutan.

     
     
  • Honda Vario 160 dilancar di Indonesia – pembaharuan menyeluruh termasuk enjin, brek cakera belakang

    Honda Vario 160 dilancar di Indonesia – pembaharuan menyeluruh termasuk enjin, brek cakera belakang

    Setelah hampir empat tahun berada dalam pasaran, Honda Vario kini diperbaharui dan diperkenalkan buat kali pertamanya kepada dunia di Indonesia. Ia kini dikenali sebagai Vario 160 dan melibatkan pembaharuan yang menyeluruh termasuklah enjin.

    Walaupun masih nampak familiar, keseluruhan panel badan Vario 160 ini sebenarnya adalah baru dan anda boleh nampak perbezaan utamanya pada bahagian panel dada. Kemudiannya, masalah utama Vario yang kelihatan ‘tergantung’ sebelum ini juga sudah diatasi dengan rekaan fender baru, bersama tayar yang lebih tebal (100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang).

    Saiz rim itu sendiri masih lagi 14 inci, seperti sebelum ini, tetapi ia menggunakan rekaan serta warna baru. Semua lampu pada Vario 160 ini menggunakan unit LED sementara tempat duduk juga menggunakan rekaan baru.

    Melalui namanya, kita boleh menjangka Vario 160 menggunakan enjin yang lebih besar. Daripada 149.3 cc, kapasiti enjin satu silinder, suntikan bahan api, dengan sistem penyejukan cecair ini telah ditingkatkan kepada 156.9 cc dan menggunakan nisbah mampatan 12:1 (sebelum ini 10.6:1). Hasilnya, ia dapat menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm (sebelum ini 13.1 PS dan 13.4 Nm).

    Satu lagi peningkatan menarik yang diberikan oleh Honda pada Vario 160 adalah pada sistem brek. Selain versi CBS yang menggunakan padanan brek cakera hadapan dan dram di belakang seperti sebelum ini, Vario 160 turut ditawarkan dengan versi ABS yang bukan sahaja memberikan tambahan sistem keselamatan elektronik itu sahaja, tetapi dipadankan bersama brek cakera di belakang.

    Bahagian lain kelihatan masih lagi sama, termasuklah panel meter LCD, tangki bahan api 5.5 liter, fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang dan ruang simpanan di bawah tempat duduk. Skuter ini turut didatangkan dengan sistem tanpa kunci serta pengecas USB di bahagian poket simpanan di bawah pemegang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025