Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • UMWT sasar 40% pembeli Corolla Cross di M’sia pilih varian Hybrid, jangka nilai jualan balik yang tinggi

    UMWT sasar 40% pembeli Corolla Cross di M’sia pilih varian Hybrid, jangka nilai jualan balik yang tinggi

    Selepas didedahkan Isnin lalu, Toyota Corolla Cross dalam varian 1.8 Hybrid bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 14 Januari ini. Sebelum ia dilancarkan, UMW Toyota Motor (UMWT) sebenarnya telah pun memberikan peluang kepada pihak media untuk memandu uji model berkenaan.

    Dalam sesi pandu uji tersebut, pengarah eksekutif jualan UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain menyatakan bahawa syarikatnya menjangkakan bahawa 40% dari pembeli Toyota Corolla Cross di Malaysia bakal memilih varian 1.8 Hybrid berkenaan, berbanding model petrol penuh 1.8 G dan 1.8V.

    Sasaran tersebut dilihat agak tinggi kerana rekod-rekod jualan dalam pasaran Malaysia sebelum ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi selesa memilih kereta dengan enjin petrol sepenuhnya. Salah satu contoh terbaharu yang boleh kita tengok adalah sedan segmen-B Honda City, di mana varian hibrid RS e:HEV hanya berjaya dijual sebanyak 5% berbanding jualan keseluruhannya.

    Menurut Shamsor lagi, pelanggan dijangka akan yakin dengan teknologi hibrid yang ditawarkan pada Corolla Cross berkenaan kerana sistem elektrifikasinya diberikan perlindungan waranti komprehensif – termasuk bateri, inverter dan unit pengurusan kawalan kuasa – selama lapan tahun.

    UMWT sasar 40% pembeli Corolla Cross di M’sia pilih varian Hybrid, jangka nilai jualan balik yang tinggi

    Sekiranya bateri tersebut perlu diganti apabila habis waranti, buat masa sekarang ia dijual pada harga RM7,000, dan dijangka akan lebih murah dari masa ke masa.

    Shamsor juga mengatakan bahawa UMWT menjangkakan Corolla Cross Hybrid ini akan memberikan nilai jualan balik yang tinggi dalam pasaran kereta terpakai. Beliau memberikan contoh bagaimana model hybrid terakhir yang dijual oleh syarikatnya sebelum ini iaitu Camry Hybrid, yang kini dijual dalam pasaran kereta terpakai dengan harga lebih tinggi berbanding varian petrol.

    Toyota Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia ini menerima rangkaian kuasa hibrid elektrik Toyota generasi keempat. Ia terdiri dari enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm yang dijana oleh bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah.

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan kelajuan maya yang ditampilkan pada model petrol penuh. Menurut Toyota, secara keseluruhan Corolla Cross Hybrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022 pasaran Malaysia

    GALERI:Brosur Toyota Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia

     
     
  • Mazda dikesan daftar paten penggerak rotary hibrid

    Mazda dikesan daftar paten penggerak rotary hibrid

    Dalam masa beberapa tahun yang lepas, kita telah menyaksikan Mazda memfailkan beberapa paten menarik baru seperti kereta sport yang menggunakan pacuan roda belakang serta rekaan enjin rotary turbo generasi baru. Kini, satu lagi paten yang didaftarkan di Jepun dijumpai oleh laman web Hatena Blog, yang menunjukkan rekaan enjin rotary bersama sistem hibrid.

    Tetapan ini memang sudah boleh dijangka kerana kereta sports yang dilihat dalam paten itu tidak mempunyai ruang enjin yang besar di hadapan dan melalui lukisan paten terbaru ini, kita boleh melihat enjin rotary tersebut mempunyai tiga rotor dan disambungkan kepada motor elektrik serta kotak gear transaxle untuk memacu dua roda belakang.

    Sistem hibrid yang digunakan mungkin adalah unit hibrid ringkas 48 volt, seperti yang pernah ditunjukkan oleh Mazda pada November tahun 2020, bersama bateri lithium ion 3.5 kWh 48 volt. Bukan setakat itu, lukisan paten terbaru ini juga menampakkan terdapat lagi motor elektrik bersepadu pada setiap hab roda hadapan.

    Melalui informasi yang diperoleh sebelum ini, Mazda ada menyatakan bahawa paten yang mereka daftarkan ini melibatkan kereta yang menggunakan pacuan dua roda belakang dalam kelajuan rendah, dan apabila mencecah kelajuan lebih tinggi, barulah kuasa akan disampaikan kepada roda hadapan.

    Seperti yang diketahui, pendaftaran paten ini masih lagi bukan satu tanda pasti ia akan dikeluarkan untuk produksi, tetapi boleh memberikan keterujaan kerana kita tahu Mazda sedang membangunkan sesuatu yang menarik. Mungkinkah model RX-Vision bakal menjadi realiti tidak lama lagi?

     
     
  • Proton Saga 2022 dikesan sekali lagi sedang diuji – adakah ia bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Proton Saga 2022 dikesan sekali lagi sedang diuji – adakah ia bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Model paling laris Proton, Saga, telah dikesan sekali lagi sedang diuji di jalan raya. Ia merupakan unit yang sama yang pernah dikesan pada akhir November lalu.

    Setakat ini, apa yang kita ketahui, sedan segmen-A ini bakal menerima logo bulat baharu Proton sama seperti Persona dan juga Iriz facelift 2022 yang telah dilancarkan pada Ogos lalu. Namun apa yang membuatkan Saga 2022 nampak sedikit sporty berbanding model 2019 adalah ia menerima kit badan yang terdiri dari spoiler di bawah bampar hadapan dan juga skirt sisi yang nampak agak labuh. Cermin sisi juga diberikan perumah berwarna hitam.

    Bagi rim pula, ia kelihatan lebih kurang dengan unit gaya-turbin 15-inci yang pernah dipadankan pada Persona 2016. Namun ini tidak bermakna Saga akan mengunakan semula roda yang sama. Mungkin ada sedikit perubahan yang dilakukan untuk Saga 2022 ini. Untuk pengetahuan, Iriz R3 juga menggunakan roda 16-inci lama dari Satria Neo CPS. Jadi ia bukan amalan baharu oleh pengeluar kereta nasional ini.

    Proton Saga 2022 dikesan sekali lagi sedang diuji – adakah ia bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Selain daripada itu, tiada perubahan mekanikal dijangka akan dilakukan, dan Saga 2022 ini akan terus dikuasakan oleh enjin 1.3 liter empat-silinder dengan output 95 PS pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm. Buat masa ini, Saga masih menggunakan transmisi manual lima-kelajuan, namun kena nantikan adakah ia akan terus ditawarkan mahu pun tidak.

    Seperti kemaskini 2019, Punch CVT telah menggantikan kotak gear automotik torque converter empat-kelajuan dari Hyundai, iaitu unit yang sama digunakan pada Kia Picanto. Pilihan warna luaran juga dijangka tidak berubah, jadi warna sedia ada iaitu Snow White, Armoured Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red mungkin masih diteruskan.

     
     
  • Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

    Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

    Sebelum ini Mitsubishi telah mengumumkan bahawa mereka akan mendedahkan model konsep untuk sayap perlumbaannya yang telah dihidupkan semula iaitu Ralliart, ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2022. Sebelum model konsep tersebut boleh dilihat oleh orang ramai secara berhadapan di dewan Makuhari Messe bermula Jumaat ini, ia terlebih dahulu didedahkan secara rasmi oleh jenama tiga berlian tersebut.

    Ini dia, Vision Ralliart Concept. Ya, kami pun sudah agak, masih tiada model prestasi yang menghampiri siri Lancer Evolution, iaitu ikon Ralliart satu ketika dahulu. Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Mitsubishi tidak langsung menyebut berkenaan asas untuk model konsep ini, tapi dengan terang dan jelas ia diasaskan dari Mitsubishi Outlander generasi baharu, kembar kepada Nissan X-Trail terkini.

    Menurut syarikat berkenaan, Vision Ralliart Concept ini “mewakili visi baharu Mitsubishi Motors untuk Ralliart dan membawa bersama kejuruteraan dan keghairahan syarikat terhadap cabaran Monozukuri (ketukangan)”. Model konsep ini juga disifatkan “menerima penggayaan yang memberikan rupa yang premium dengan kehadiran yang menonjol di jalan raya, serta pemanduan selesa bersama ketenangan jiwa dalam pelbagai cuaca dan keadaan jalan raya – karekter kenderaan Mitsubishi – diperhalusi lagi.”

    Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

    Bagi mentransformasi Outlander kepada Vision Ralliart Concept, SUV tersebut diberikan bampar yang direka dengan apron yang menampilkan panel skid plate yang lebih tebal, gril dengan pelindung radiator dan logo ikonik Ralliart, overfender lebih lebar pada setiap ruang roda dipadankan dengan skirt sisi lebih labuh dan juga diffuser bersaiz besar di bawah bampar belakang.

    Badan SUV konsep ini diberikan warna hitam kusam bersama serlahan biru jika disuluh oleh cahaya, yang didakwa “wewujudkan ekspresi yang dalam, pelbagai dimensi yang memberikan rasa kualiti tinggi”. Kit badan yang lebih agresif tersebut turut dipadankan dengan rim aloi 22-inci.

    Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

    Cakera brek lebih besar dan angkup enam-omboh turut dipadankan pada model Vision Ralliart Concept ini yang menurut Mitsubishi ia untuk diselarikan dengan “tork tinggi dari motor, yang dipadankan untuk menambahbaik pecutan, kebolehan mengambil selekoh dan membrek ke tahap lebih tinggi”, membayang ia mungkin diasaskan dari Outlander PHEV yang dijana unit rangkaian kuasa plug-in hybrid.

    Untuk peminat Mitsubishi Ralliart di luar sana, macam mana dengan model konsep yang membayangkan halatuju sayap perlumbaan tersebut selepas ini? Puas hati?

     
     
  • Toyota sediakan servis cantikkan semula, naik taraf ciri keselamatan model lama melalui Kinto Factory

    Toyota sediakan servis cantikkan semula, naik taraf ciri keselamatan model lama melalui Kinto Factory

    Ada orang, apabila sudah memiliki sesebuah kenderaan, mereka akan rasa ingin menyimpannya selama mungkin dan tidak mahu bertukar kepada model lain. Bagi mereka yang sebegini (di Jepun), Toyota telah mengumumkan penawaran servis naik taraf dan baik pulih di bawah cabang Kinto Factory untuk pelanggannya.

    Ia akan dimulakan pada hujung bulan ini, untuk model Aqua (Prius c), Prius, Prius Alpha (Prius v), Alphard, Vellfire serta Lexus UX dan NX, diikuti model-model terpilih lain selepas ini. Menurut Toyota, mereka juga mempunyai hasrat untuk mengembangkan lagi servis Kinto Factory ini ke negara lain pada masa hadapan.

    Melalui servis ini, Toyota bukan setakat boleh mengecat kenderaan anda, tetapi juga menukar kemasan di dalam seperti balutan tempat duduk, panel pintu, roda stereng ataupun tombol gear. Jika anda ada keinginan tertentu, ia juga boleh diambil kira.

    Selain baik pulih visual, Toyota juga boleh menaik taraf ciri elektronik pada kereta lama tersebut, untuk dipasang dengan ciri lebih canggih seperti sistem bantuan pemandu yang termasuk pemerhati titik buta, kawalan salah guna pedal, amaran trafik dari belakang serta sensor untuk membuka pintu but tanpa sentuh.

    Servis sama juga sudah berada dalam perancangan untuk United Kingdom, di mana Autocar melaporkan bahawa Toyota sudah membuat pengumuman untuk menyediakan khidmat Kinto Factory ini supaya kereta dapat digunakan lebih lama walaupun sudah bertukar pemilik beberapa kali.

     
     
  • SPYSHOT: Hatchback Peugeot 308 dilihat diuji di Pulau Pinang, akan dilancarkan di Malaysia tak lama lagi?

    SPYSHOT: Hatchback Peugeot 308 dilihat diuji di Pulau Pinang, akan dilancarkan di Malaysia tak lama lagi?

    Peugeot 308 generasi ketiga baru sahaja diperkenalkan pada peringkat global tahun lalu. Dengan pengurusan baharu yang diambil alih Bermaz Auto (BAuto) di Malaysia, bila agaknya 308 ini di bawa ke pasaran tempatan? Nampaknya mungkin tak lama lagi kerana unit ujian kereta tersebut telah pun ditemui disini!

    Imej sebuah Peugeot 308 yang ditemui sedang diuji di Bayan Lepas, Pulau Pinang ini dikirimkan oleh pembaca paultan.org, Win. Ini merupakan model keempat Peugeot yang dilihat diuji di Malaysia selepas 508, 2008 dan trak pikap Landtrek. Dari keempat-empat model tersebut, setakat ini diketahui bahawa BAuto akan melancarkan 2008 dilancarkan bulan ini, manakala Landtrek pula dijadual akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

    Sehingga kini, masih lagi belum terdapat sebarang laporan atau petunjuk bila 308 ini akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Unit yang dijumpai ini berkemungkinan prototaip pra-produksi, dan mungkin turut akan dipasang secara tempatan menerusi kilang syarikat induk Peugeot iaitu Stellantis yang terletak di Gurun, Kedah.

    Peugeot 308 ini merupakan model pertama jenama dari Perancis berkenaan menggunakan logo ‘kepala singa’ baharu yang diperkenalkan pada Februari 2021. Ia diasaskan dari platform modular EMP2 sama seperti model sebelumnya, tetapi menampilkan bentuk lebih sporty dengan dimensi 20 mm lebih rendah, 11 mm lebih panjang dan jarak roda 55 mm lebih jauh.

    Tiga jenis unit rangkaian kuasa dihasilkan untuk model ini termasuk enjin petrol 1.2 liter PureTech (pilihan talaan 110 PS hingga 130 PS), enjin diesel 1.5 BlueHDi dan versi hibrid petrol-elekrik 1.6 PureTech Hybrid (pilihan talaan 180 PS atau 225 PS).

    Masih belum dapat dipastikan unit yang mana akan ditawarkan di Malaysia. Namun dengan gaya berani dan agresif BAuto dalam memperkenalkan teknologi elektrifikasi, tak mustahil mereka akan membawa sekali 308 dengan pilihan unit penjana hibrid.

     
     
  • Volvo kekalkan sedan, wagon dalam barisan modelnya

    Volvo kekalkan sedan, wagon dalam barisan modelnya

    Pada tahun 2021, Volvo Cars teleh mencatatkan jualan sebanyak 698,693 unit di seluruh dunia, iaitu lebih 5.6% berbanding tahun sebelumnya. Menurut pengeluar kereta Sweden ini, XC60 masih kekal menjadi model paling laris, dengan merangkumi 30% daripada keseluruhan jualan, sementara XC40 dan XC90 masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

    Disebabkan populariti SUV jenama tersebut, CEO Volvo Håkan Samuelsson memberitahu Autocar, model S (sedan) dan V (wagon) yang berada dalam barisan modelnya akan terus dikekalkan untuk masa akan datang. Ini bermakna peminat Volvo masih boleh mendapatkan model generasi baharu bagi S60, V60, S90 dan V90.

    “Ya, ia (S dan V) akan digantikan dengan sesuatu yang lebih menarik untuk pengguna. Kami memerlukan kereta yang lebih rendah dengan saiz badan yang lebih konvensional tetapi mungkin sedikit kurang persegi (daripada sebelumnya). Kereta rendah ini akan menjadi tambahan kepada SUV berposisi tinggi kami. Kena tunggu,” kata Samuelsson.

    Sedikit yang diketahui tentang model S dan V baharu, ia mungkin hadir dalam pacuan elektrik sepenuhnya mengukit strategi elektrifikasi Volvo. Setakat ini, apa yang telah disahkan ialah model masa hadapan jenama ini akan menerima nama “yang lebih emosi” dan bukannya mengikut gaya alphanumeric yang telah lama wujud. Ini termasuklah dengan pengganti XC90 yang akan datang yang bakal dinamakan sebagai “Embla”, iaitu nama wanita pertama dalam mitologi Norse.

     
     
  • Honda Dunk 2022 dilancarkan di Jepun – skuter 50cc

    Honda Dunk 2022 dilancarkan di Jepun – skuter 50cc

    Dalam pasaran Jepun memang ada banyak model yang pelik, dan ini bukan sahaja untuk kereta, tetapi juga motosikal. Honda Dunk ini adalah antara contohnya, dan ia sebenarnya sudah berada dalam pasaran negara itu selama beberapa tahun. Bagi tahun 2022 ini, ia diberikan warna baru, sementara ciri mekanikal pula masih sama seperti sebelum ini.

    Melihat kepada saiz, Dunk ini tidaklah terlalu kecil seperti Monkey atau Motocompo, dan lebih seperti Beat tetapi ia datang dengan enjin kecil, iaitu cuma 50 cc. Ini adalah unit satu silinder OHC dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dan dipadankan bersama transmisi automatik CVT.

    Dengan spesifikasi begini, ia lebih sesuai digunakan dalam bandar kecil, dan didatangkan dengan kelengkapan yang dapat membantu penggunaannya menjadi lebih mudah. Antaranya adalah ruang barangan bawah tempat duduk 23 liter, soket pengecas 12V, poket untuk barangan kecil (500 ml) dan penyangkut barangan.

    Tinggi tempat duduk Dunk cuma 730 mm dan ia datang dengan rim 10 inci yang dibalut tayar 90/90 di hadapan dan belakang. Tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter dan di hadapan pemandu terdapat meter gabungan analog dan LCD yang ringkas.

    Walaupun dengan enjin yang kecil ini, Dunk masih datang dengan sistem start/stop sementara brek pula terdiri daripada set cakera di hadapan dan dram di belakang. Suspensi menggunakan fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Di Jepun, Dunk dijual pada harga 229,900 yen (RM8,354).

     
     
  • Volvo M’sia jual 2,229 kereta pada 2021 – jualan tahunan terbaik, naik 14.3%, 73% dari model Recharge

    Volvo M’sia jual 2,229 kereta pada 2021 – jualan tahunan terbaik, naik 14.3%, 73% dari model Recharge

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan angka prestasi tahunan untuk 2021 di mana sejumlah 2,229 unit kereta berjaya dijual pada tahun tersebut, menunjukkan peningkatan sebanyak 14.3% berbanding tahun 2020. Ini merupakan enam tahun berturut-turut jenama tersebut mencatatkan perkembangan jualan, malah ia merupakan jualan tahunan terbaik yang pernah direkodkan.

    Jualan pada Disember 2021 mencatatkan sejumlah 524 unit, yang merupakan rekod bulanan tertinggi setakat ini. Menurut syarikat ini, hampir 73% kereta baharu Volvo yang terjual di sini ialah dari model Recharge.

    Pengarah urusan VCM, Chalres Frump berkata, “Kami sangat berbangga dengan pencapaian pecah rekod yang dicapai pada 2021. Walaupun berhadapan dengan tahun yang penuh mencabar, kami masih mempunyai pelanggan yang berkeyakinan dalam mengorak kebebasan untuk terus bergerak secara mampan dan selamat.”

    Adakah V60 menjadi model baharu yang bakal dilancarkan di Malaysia?

    Tambah beliau lagi, “Usaha kolektif rakan niaga dan staf kami telah meletakkan asas untuk tahun 2022 bagi mencapai matlamat kami untuk menjadi syarikat kereta elektrifikasi sepenuhnya menjelang 2030.”

    Di peringkat global, pengeluar kereta Sweden ini telah menjual sejumlah 698,693 unit kereta pada 2021, dengan peningkatan sebanyak 5.6%. Jualan bagi model Recharge juga berkembang pesat dengan peningkatan sebanyak 63.9% berbanding 2020, kini merangkumi 27% daripada keseluruhan jumlah jualan pada 2021.

    XC60 pula terus menjadi model paling laris jenama ini, dengan merangkumi 30% daripada jualan keseluruhan, sementara XC40 dan XC90 pula masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

     
     
  • Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022 didedah secara rasmi!

    Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022 didedah secara rasmi!

    Walaupun nampak kucar-kacir setelah prinsipal pasukannya, Andrea Adamo meletakkan jawatan secara tiba-tiba bulan lalu, pasukan rali dunia jenama automotif Korea yang berpangkalan di Alzenau, Jerman iaitu Hyundai Shell Mobis World Rally Team menjadi pasukan pertama yang melancarkan jentera mereka untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) tahun ini. Memperkenalkan, Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022!

    Seperti yang diketahui sebelum ini, WRC akan mula menggunakan undang-undang baharu untuk kejohanan musim ini, iaitu regulasi Rally1 bagi menggantikan regulasi WRCar yang digunakan sejak 1997 sehingga 2021 sebagai kategori utama. Undang-undang baharu ini memerlukan semua pasukan yang bertanding menghasilkan jentera rali generasi seterusnya yang dibangunkan baharu sepenuhnya.

    Ini kerana menerusi regulasi Rally1, kesemua pengeluar diberikan kebebasan sama ada menggunakan casis produksi atau casis jenis spaceframe, serta enjin 1.6 liter turbo dari jentera sebelum ini perlu berfungsi bersama sistem hibrid elektrik yang dipadankan pada gandar belakang.

    Menurut Hyundai, i20 N Rally1 ini dihasilkan berasaskan hot-hatch segmen-B i20 N. Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan menerusi pelancaran ini. Namun menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, untuk jentera Rally1 ini pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm dari jentera WRCar sebelum ini (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

    Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022 didedah secara rasmi!

    Ia digandingkan dengan kit hibrid elektrik dari Compact Dynamic (semua pasukan perlu menggunakan kit yang sama) yang terdiri dari bateri lithium ion 3.9 kWj, motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm, serta unit inverter dan unit pengurusan kuasa – kesemuanya diletakkan dalam perumah yang diperbuat dari gentian karbon.

    Kit hibrid elektrik tersebut mampu memberikan kuasa tambahanan kepada enjin petrol membolehkan jentera Rally1 ini memecut dengan bekalan 500 hp pada masa-masa tertentu. Selain dari dicas menggunakan pengacas seperti kereta elektrik atau PHEV di service park, bekalan kuasa bateri juga turut boleh dicas semula dengan pemulihan tenaga kinetik ketika membrek.

    Dengan sistem hibrid elektrik baharu ini juga, kesemua jentera Rally1 perlu bergerak dalam road stage (pergerakan dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS) menggunakan 100% kuasa elektrik dengan enjin pembakaran dalaman dimatikan terus.

    Jentera Hyundai i20 N Rally sebenar yang sudah menerima homologasi FIA ini menampilkan rupa berbeza dari unit prototaip awalan yang didedahkan oleh pasukan tersebut pada bukan Mei tahun lalu. Ia masih menampilkan rupa badan i20 lima pintu seperti model produksi jalan i20 N, tetapi dengan kit aerodinamik yang jauh lebih agresif.

    Dapat diperhatikan juga pembuka pintu belakang telah dibuang, manakala cermin quater pada pintu belakang telah digantikan dengan corong udara untuk menyejukkan kit hibrid elektrik yang terletak di kabin belakang jentera tersebut.

    Hyundai masih mempertaruhkan tiga jentera Rally1 untuk pasukan utamanya bagi WRC musim 2022 ini, dengan membariskan empat pemandu. Kereta utama masih dipandu oleh Thierry Neuville bersama juruarahnya Martijn Wydaeghe, dan kereta kedua juga masih dipandu oleh juara WRC 2019 iaitu Ott Tänak bersama juruarahnya Martin Järveoja.

    Manakala kereta ketiga akan dikongsi bersama oleh anak bekas juara WRC 2003 Petter Solberg iaitu Oliver Solberg, dan juga pemandu berpengalaman Dani Sordo, bergantung kepada pusingan-pusingan tertentu yang telah ditetapkan oleh pasukan.

    “Kami teruja untuk menjadi sebahagian dari era baharu WRC hibrid ini bagi mendemonstrasikan komitmen Hyundai terhadap sukan bermotor antarabangsa. WRC adalah berkenaan membawa kereta dengan aspek teknikal termaju, dipandu dan dinavigasi oleh kru terbaik, di atas pentas paling lasak di dunia: musim 2022 bersedia untuk mengangkat semua perkara ke tahap seterusnya,” kata Scott Noh, presiden Hyundai Motorsport yang kini menyandang sementara tugas sebagai prinsipal pasukan sebelum ketibaan pengganti Adamo.

    “Tambahan pula, dari perspektif korporat, adalah penting untuk Hyundai dikaitkan dengan teknologi berkaitan jalan raya; peralihan WRC kepada hibrid menyatukan aktiviti sukan permotoran dan kereta jalan raya jenama ini. Kami yakin kami mempunyai pakej untuk bersaing merebut gelaran pengeluar ketiga kami – dan juga untuk menyokong krew kami bagi memburu gelaran pemandu/juruarah,” tambahnya lagi.

    Pusingan pertama WRC 2022 akan bermula tak sampai dua minggu dari sekarang, iaitu Rally Monte Carlo yang akan dilangsungkan bermula 21 sehingga 23 Januari nanti. Kesemua pasukan yang bertanding dalam kategori Rally1 iaitu Hyundai, Toyota dan Ford akan membawa jentera Rally1 masing-masing ketika perasmian WRC musim 2022 di Austria 15 Januari ini.


     
     
  • Perodua alu-alukan inisiatif kerajaan menerusi baucar RM1k – sasar baikpulih kenderaan secepat mungkin

    Perodua alu-alukan inisiatif kerajaan menerusi baucar RM1k – sasar baikpulih kenderaan secepat mungkin

    Perodua mengalu-alukan inisiatif Baucar Diskaun Automotif oleh kerajaan, yang merupakan sebahagian daripada program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang telah diumumkan baru-baru ini dan menerima baucar tersebut sebagai satu bentuk pembayaran.

    Inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

    “Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan mereka dalam membantu mangsa banjir di saat-saat yang diperlukan dan Perodua mengalu-alukan inisiatif baharu ini kerana ia mengukuhkan lagi usaha kami untuk membantu rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Seperti mana yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan baru-baru, inisiatif itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat terbabit menawarkan diskaun sekurang-kurangnya diskaun 15% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000 yang sah sehingga 31 Mac 2022.

    Perodua alu-alukan inisiatif kerajaan menerusi baucar RM1k – sasar baikpulih kenderaan secepat mungkin

    Di mana pemilik kenderaan boleh menebus segera baucar di pusat-pusat servis sah bagi syarikat-syarikat automotif yang mengambil bahagian di seluruh negara. Potongan terus akan dibuat daripada jumlah kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.

    Zainal turut menambah usaha seumpama ini dapat dilihat melalui Program Bantuan Banjir Perodua, yang dilancarkan pada 19 Disember 2021 untuk membantu pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.

    “Sehingga 10 Januari 2022, sebanyak 1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis Perodua yang terletak di seluruh Malaysia untuk penilaian dan setakat ini 323 unit telah dibaikpulih. Malah, kami telah menyediakan hab pembaikan banjir di Shah Alam untuk membaiki dan memulihkan kenderaan Perodua yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.

    “Matlamat kami adalah untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir secepat mungkin kerana kami memahami bahawa para pelanggan kami benar-benar memerlukan kenderaan Perodua mereka untuk kegunaan harian,” kata Dato’ Zainal.

    Program Bantuan Banjir Perodua termasuk diskaun 50% untuk alat ganti standard, upah kerja percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma melalui nombor Perodua Auto Assist (24 jam) di talian 1800-88-5555 Perodua (tertakluk kepada terma dan syarat).

     
     
  • Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

    Selepas menyiarkan imej teaser minggu lalu, Volvo Cars Malaysia (VCM) nampaknya telahpun menyiarkan spesifikasi dan juga harga untuk model wagon V60 di laman sesawang mereka, sebelum model berkenaan dilancarkan secara rasmi.

    Pasaran Malaysia nampaknya menerima V60 dengan unit penjana paling berkuasa iaitu plug-in hybrid (PHEV) Recharge T8, namun ia datang dalam kemasan mewah Inscription, berbanding kemasan lebih sporty R-Design untuk versi kembar sedannya iaitu S60.

    Model ini datang terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan oleh kilang Volvo di Shah Alam, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM286,907, bersama pengecualian sepenuhnya cukai jualan. Jadi berbading S60 Recharge T8 R-Design, model ‘bumbung panjang’ V60 Recharge Inscription ini dijual pada harga RM4,000 lebih mahal.

    Sama seperti model-model terkini Volvo, model ini turut menerima waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti untuk bateri hibrid selama lapan-tahun atau 160,000 km yang mana sampai dulu.

    Seperti biasa, model wagon ini sudah pasti memberikan praktikaliti dan juga ruang kargo belakang yang lebih besar berbanding sedan. Untuk itu, V60 ini hadir dengan ruang but belakang berkapasiti 529 liter, berbanding hanya 442 liter untuk model sedan. Tak cukup? tempat duduk belakang turut boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang kargo keseluruhan 1,441 liter. But belakang model ini turut dilengkapi dengan pemegang barang runcit.

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

    Dengan lencana Recharge T8, V60 ini menerima unit rangkaian kuasa gandingan enjin Drive-E 2.0 liter yang disuap pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor stater/generator bersepadu dengan aci engkol serta kotak gear automatik Aisin lapan kelajuan bagi memacu roda hadapan, dan juga motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm pada gandar belakang.

    Ia bukan sahaja menjadikan V60 tersebut sebuah model pacuan semua roda, malah dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 407 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 640 Nm bermula 1,200 hingga 5,400 rpm.

    Dengan kemasan Inscription, V60 pasaran Malaysia ini diberikan rupa lebih elegen berbanding S60 R-Design dengan gaya lebih garang. Oleh itu, ia menampilkan bampar hadapan dengan kemasan aliran udara lebih kecil, lebih banyak kemasan-kemasan krom serta rim aloi 19-inci lima jejari berkembar yang berlainan rekaan.

    Manakala pada bahagian dalaman, kabin V60 Inscription diberikan kemasan-kemasan Driftwood dan Linear Lime, berbanding kemasan-kemasan aloi pada S60 R-Design. Pembeli wagon ini turut ditawarkan dengan pilihan upholsteri kulit sama ada dalam warna Maroon Brown atau Charcoal.

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

    Model V60 pasaran Malaysia ini juga masih diberikan sistem infotainmen Sensus dengan skrin 9.7-inci yang diposisikan secara potret. Ia bukan sistem terkini yang dihasilkan berdasarkan sistem android, namun kelebihannya ia masih mampu menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang tidak ditawarkan untuk sistem baharu tersebut.

    Kelengkapan lain yang turut dipadankan termasuk lampu hadapan LED adaptif,rel bumbung berwarna perak, sistem kemasukan tanpa kunci dengan penghidup enjin menggunakan suis tombol putar, sistem pendingin hawa automatik dua zon, bumbung panaromik, tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori, tombol gear kristal Orrefors, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, kamera 360-darjah, Park Assist serta sistem bunyi Harmann Kardonn 600-watt bersama 16-pembesar suara.

    Untuk keselamatan, semua sistem bantuan pemanduan termaju Volvo pada S60 turut dibekalkan pada V60 ini. Ia termasuk sistem Pilot Assist dengan kebolehan pemanduan separa-autonomi Tahap 2, yang menggandingkan sistem cruise control adaptif dan juga bantuan pengekal tengah lorong.

    Ia juga menerima brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar, bantuan stereng untuk mengelak, pengelak pelanggaran belakang, bantuan kekal lorong, pengelak keluar jalan raya, pengelak masuk laluan bertentangan, pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang bersama brek automatik.

     
     
  • Lotus jual 1,710 buah kenderaan pada tahun 2021 – jualan terbaik sejak 2011, Elise model paling laris

    Lotus jual 1,710 buah kenderaan pada tahun 2021 – jualan terbaik sejak 2011, Elise model paling laris

    Lotus Cars telah mengumumkan bahawa mereka berjaya mencatat jualan global terbaik sejak 2011, dengan catatan 1,710 buah kenderaan pada tahun 2021. Jumlah ini bersamaan dengan peningkatan 24% berbanding tahun 2020 (1,378 unit) dan menurut pengeluar dari United Kingdom itu, model paling laris adalah Elise (pada tahun 2021 juga, pengeluaran model sports ikonik itu, bersama Exige dan Evora telah dihentikan).

    Melihat kepada benua Eropah, Lotus berjaya menjual 29% lebih banyak kereta di United Kingdom manakala Belgium pula mencatat peningkatan sebanyak 37%. Jualan di Amerika Utara, yang termasuk Amerika Syarikat dan Kanada juga mencatat jumlah terbaik sepanjang dekad, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 111%.

    Lotus jual 1,710 buah kenderaan pada tahun 2021 – jualan terbaik sejak 2011, Elise model paling laris

    Di Asia Pasifik pula, Jepun mencatat jumlah jualan terbaik sejak 2015, Australia sejak 2018 dan Hong Kong sejak 2014. Lotus turut memberitahu bahawa Qatar telah berjaya mencatat jumlah jualan terbaik sejak 2016, iaitu tahun ia mula menjual kereta jenama itu secara rasmi.

    Apabila diletakkan dalam senarai, Amerika Syarikat adalah pasaran paling banyak jualan bagi Lotus, diikuti Jepun, UK, Jerman, Perancis, Itali, Australia, Belgium, Switzerland dan China. “Wakil penjual kami di seluruh dunia telah berjaya menyahut cabaran untuk memberikan penghargaan terakhir bagi Elise, Exige dan Evora. Ini bermakna, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk memberikan fokus kepada kereta sports petrol terbaik dan terakhir kami, iaitu Emira serba baru,” kata pengarah eksekutif jualan Lotus Group, Geoff Dowding.

     
     
  • Geely jual 1.33 juta kereta pada 2021; naik 1% berbanding 2020, sasar jualan 1.65 juta pada 2022

    Geely jual 1.33 juta kereta pada 2021; naik 1% berbanding 2020, sasar jualan 1.65 juta pada 2022

    Geely Automobile Holding telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menjual 1,328,029 unit kenderaan secara global sepanjang tahun 2021, atau 1% lebih banyak berbanding jumlah jualan pada 2020. Walau bagaimanapun, angka jualan tersebut adalah 13% lebih rendah dari sasaran awal, dengan anggaran jualan yang sepatutnya mencecah 1,530,000 unit kenderaan. Geely tidak memberikan sebarang sebab mengapa sasaran tersebut tidak berjaya dicapai.

    Jumlah jualan Geely tersebut dilihat konsisten sepanjang tahun lalu. Pada Disember 2021, jumlah jualan global gergasi automotif China tersebut berada pada 158,765 unit (3% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, naik 17% berbanding November). Sebanyak 18,813 unit atau 12% dari jumlah keseluruhan berkenaan adalah kenderaan tenaga baharu, naik 162% berbanding tempoh sama 2020. Jumlah eksport pula naik 44% dari tahun-ke-tahun kepada 17,125 unit.

    Dari keseluruhan jualan berkenaan, model-model SUV Geely adalah yang paling laris, dengan jumlah jualan 90,966 dijual pada bulan Disember sahaja – mewakili 57% dari keseluruhan jualan bulan berkenaan. Ia diikuti dengan model-model sedan dengan jualan 66,303 unit (42%), manakala 1% lagi adalah barisan model MPV yang dijual sebanyak 1,496 unit.

    Geely jual 1.33 juta kereta pada 2021; naik 1% berbanding 2020, sasar jualan 1.65 juta pada 2022

    Bagi divisi mewah Lynk & Co (diwujudkan bersama oleh Geely Auto dan Volvo), ia berjaya menjual sebanyak 220,516 unit kenderaan sepanjang 2021, naik 26% berbanding 2020. SUV Lynk & Co 01 dilaporkan telah dihantar kepada 11,602 pelanggan di Eropah. Pada bulan Disember, seramai 1,557 orang pelanggan memilih untuk melanggan SUV tersebut, bagi membolehkan keseluruhan 5,937 unit 01 dihantar ke pelanggan menerusi portfolio berkenaan sepanjang 2021.

    Divisi baharu Geely yang hanya menghasilkan model-model elektrik iaitu Zeekr juga telah mula menghantar unit-unit awalan Zeekr 001 bermula hujung Oktober tahun lalu. Menurut Geely, hanya dalam masa 10 minggu, 6,007 unit Zeekr 001 telah dihantar kepada pelanggan yang menempahnya. Buat masa sekarang, Zeekr hanya menjual 001 dalam pasaran China, tetapi dijangka akan mula dieksport pada 2023.

    Untuk tahun ini, Geely mensasarkan untuk menjual sebanyak 1,650,000 unit kereta, atau 24% lebih banyak berbanding pencapaian yang telah dicatatkan pada 2021.

     
     
  • Honda Step WGN generasi keenam diperkenal – tiada lagi Waku Waku Gate, rekaan lebih matang dan ringkas

    Honda Step WGN generasi keenam diperkenal – tiada lagi Waku Waku Gate, rekaan lebih matang dan ringkas

    Honda Stepwagon ini adalah antara model yang tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia, tetapi masih boleh didapati melalui pengimport persendirian. Di Jepun, model generasi keenam baru sahaja diperkenalkan, dan datang dengan rekaan yang lebih matang dan ringkas.

    Bentuk kotak seperti dulu masih dikekalkan, tetapi rekaan keseluruhannya dijadikan lebih bersih dan tidak terlalu pelik. Varian Spada tampil lebih sporty dengan gril krom lebih besar, kemasan krom di bahagian bawah badan serta spoiler belakang.

    Antara ciri unik pada Step WGN sebelum ini adalah penutup but belakang Waku Waku Gate yang boleh dibuka seperti pintu dengan sebelah bersaiz lebih kecil. Bagi model generasi baru ini, ia tidak lagi digunakan, dan diganti dengan penutup but konvensional yang boleh dibuka secara elektrik. Pintu tepi masih lagi menggunakan unit gelungsur di kedua-dua sisi dan boleh dibuka dengan hanya menekan butang.

    Step WGN menggunakan cermin yang besar di bahagian tepi dan menurut Honda, ia boleh memberikan lebih pemandangan kepada penumpang dan mengurangkan rasa mabuk dalam kenderaan. Bagi sistem infotainmen, pemilik boleh mendapatkan skrin sesentuh 11.4 inci yang boleh disambungkan kepada Honda Connect Navi dan skrin 15.6 inci di bumbung untuk penumpang belakang.

    Ciri praktikaliti yang menjadi keistimewaan Step WGN masih dikekalkan pada model baru ini, dengan tempat duduk baris kedua boleh dilungsur rapat ke hadapan atau belakang, dan juga ke tepi. Tempat duduk belakang pula dijadikan lebih tinggi supaya penumpang dapat melihat ke hadapan, dan jika perlu, ia boleh dilipat masuk ke dalam lantai untuk memberikan lebih ruang barangan.

    Spesifikasi teknikal masih belum diberitahu tetapi Honda telah mengesahkan bahawa Step WGN akan ditawarkan dengan enjin petrol dan hibrid e:HEV. Dengan ini, kita boleh menjangka penggunaan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan unit 2.0 liter NA i-VTEC yang dipadankan bersama dua motor elektrik seperti model sebelumnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024