Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Bajet 2022: Subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak

    Bajet 2022: Subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak

    Satu lagi perkara berkaitan automotif yang dimasukkan dalam Bajet 2022, yang dibentangkan hari ini oleh menteri kewangan adalah berkaitan kerusi keselamatan kanak-kanak untuk kegunaan di dalam kenderaan.

    Kerajaan telah mengumumkan akan memberi subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh golongan B40. Secara keseluruhannya, RM30 juta disediakan untuk tujuan ini dan dikatakan bakal memberi manfaat kepada lebih 188 ribu keluarga B40.

    Penggunaan kerusi kanak-kanak di dalam kenderaan sepatutnya sudah diwajibkan mulai 1 Julai 2020, tetapi penguatkuasaannya hanya dilakukan secara advokasi buat masa ini, bagi memberi peluang Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) untuk mengkaji semula kesesuaiannya serta pelan menyeluruh yang diperlukan.

     
     
  • Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan di Thailand pada 3 Nov – 2.5L petrol dan hibrid, tiada lagi 2.0L

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan di Thailand pada 3 Nov – 2.5L petrol dan hibrid, tiada lagi 2.0L

    Toyota Camry facelift telah pun mula ditawarkan di kebanyakan pasaran global, malahan sedan segmen-D yang dipertingkatkan ini turut memasuki negara Asia Tenggara. Selepas dilancarkan di Singapura pada awal tahun ini, model tersebut juga telah disahkan bakal dilancarkan di Thailand pada 3 November ini dengan barisan enjin yang digabungkan serta dengan sedikit semakan rekaan.

    Menurut syarikat penerbitan Thai Headlight Magazine, negara berkenaan nampaknya akan mengikut jejak langkah Malaysia dengan menggugurkan model asas 2.0 liter, dengan mengemaskini barisan Camry yang terdiri daripada 2.5G dan varian Hybrid Premium serta Premium Luxury, serta 2.5E Sport baharu.

    Pilihan enjin tunggal yang tidak diberikah sebarang perubahan iaitu unit A25A-FKB 2.5 liter Dynamic Force naturally-aspirated empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa pada 209 PS pada 6,600 rpm dan tork 250 Nm pada 5,000 rpm; yang dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Varian Hybrid menerima versi kitaran-Atkinson di mana enjin ini mampu memberikan kuasa cecah 178 PS pada 5,700 rpm dan tork 221 Nm antara 3,600 dan 5,200 rpm.

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan di Thailand pada 3 Nov – 2.5L petrol dan hibrid, tiada lagi 2.0L

    Ia turut menampilkan motor elektrik yang mampu menghamburkan kuasa tambahan sehingga 88 PS/202 Nm, sekaligus Camry Hybrid ini dapat menghambur kuasa keseluruhan sehingga 211 PS. Bateri nickel-metal hydride (NiMH) telah dikekalkan tetapi kini ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, berbanding di bawah lantai but seperti sebelim ini – sekaligus memberikan lebihan ruang penyimpanan barang dan merendahkan lagi pusat graviti.

    Bahagian luarannya terlibat dengan sedikit perubahan, ini termasuklah dengan beberapa kepingan krom sebagai bingkai untuk gril hadapan bawah; manakala gril atas pula kini telah diprofil semula. Manakala untuk bahagian dalamnya, konsol tengah kini disusun semula dengan skrin sesentuh infotainmen ‘free standing’ baharu ditempatkan di atas corong udara, sama seperti model Toyota baharu yang lain.

    Untuk aspek keselamatan, ia juga dipertingkatkan dengan memperkenalkan Toyota Safety Sense 2.5+, yang ditambah dengan pengesan pejalan kaki melintas simpang, penunggang basikal pada waktu siang dan pejalan kaki pada waktu malam dengan adanya sistem brek kecemasan sendiri. Selain itu, ciri baharu yang ditampilkan termasuklah evasive steering assist, bantuan pemusatan lorong, fungsi nyahpecutan di selekoh dengan kawalan kelajuan adaptif, dan kawalan mula memandu untuk melindungi input pendikit secara tiba-tiba.

    Camry facelift dijangka dilancarkan di Thailand yang turut menawarkan aksesori Modellista dari Jepun, termasuk kit aero penuh. Dengan pelancaran Camry facelift di rantau ini, adakah ia juga akan diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi? UMW Toyota Motor telah menaik taraf kilang pemasangannya di Bukit Raja untuk model hibrid dan platform TNGA, jadi mungkin Camry versi CKD dengan pilihan hibrid mampu ditawarkan. Kita tunggu dan lihat.

    GALERI: Toyota Camry facelift di Japan

     
     
  • Bajet 2022: Kerajaan cadang beri pengecualian cukai penuh EV, pelepasan RM2.5k cukai pendapatan

    Bajet 2022: Kerajaan cadang beri pengecualian cukai penuh EV, pelepasan RM2.5k cukai pendapatan

    Satu pengumuman menarik berkaitan automotif yang dibangkitkan dalam pembentangan Bajet 2022 adalah berkaitan kenderaan elektrik di Malaysia.

    “Kerajaan melihat potensi kenderaan elektrik (atau EV) yang memiliki ciri- ciri energy efficient vehicle sebagai usaha meminimum pencemaran asap kenderaan ke udara,” ujar menteri kewangan, Tengku Zafrul dalam ucapannya.

    Untuk ini, bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan, kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV. Pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan berkenaan.

    Selain itu, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

     
     
  • Bajet 2022: Baucar RM50 untuk penerima bantuan B40 beli takaful atau insurans motosikal bawah 150 cc

    Bajet 2022: Baucar RM50 untuk penerima bantuan B40 beli takaful atau insurans motosikal bawah 150 cc

    Bajet 2022 telah pun dibentangkan hari ini oleh menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz. Melalui laman paultan.org, kami akan memuat naik setiap perkara yang berkaitan dengan automotif dan pengangkutan.

    Salah satunya adalah Program Baucar Perlindungan Tenang. Melaluinya, penerima bantuan B40 layak menerima baucar RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang seperti takaful hayat dan kemalangan diri.

    Sebagai tambahan, penerima juga boleh menggunakan baucar ini untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal bawah 150 cc bermula 1 Januari 2022. Ia diharap dapat memberikan manfaat kepada kumpulan B40, terutamanya mereka yang menunggang motosikal untuk bekerja.

    Turut dinyatakan, pada tahun hadapan, inisiatif ini akan diteruskan lagi, dan jumlah baucar ditingkatkan kepada RM75.

     
     
  • Bajet 2022: Pengecualian SST kini hingga 30 Jun 2022

    Bajet 2022: Pengecualian SST kini hingga 30 Jun 2022

    Dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan lanjutan tempoh bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kenderaan sehingga 30 Jun 2022. Pengecualian ini asalnya akal berakhir pada 31 Disember kelak.

    Ini melibatkan kadar yang sama — 100% untuk kereta pemasangan tempatan CKD, dan 50% bagi kenderaan import, termasuk bagi MPV dan SUV. Terdahulu, hal ini sudah pun dijangkakan oleh pemain industri seperti yang dilapor minggu lalu.

    Pengecualian SST bagi kenderaan ini pertama kali diumumkan pada Jun 2020 akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk sehingga Disember 2020, namun ia telah dilanjutkan sehingga Jun 2021. Akibat daripada keadaan yang masih lagi tidak baik dan demi memberi rangsangan kepada industri, ia sekali lagi dilanjutkan dan sepatutnya tamat pada hujung tahun ini.

    Pada bulan Julai 2021, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad juga telah mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan menyambung lagi tempoh pengecualian cukai ini demi menimbal balik keadaan teruk industri yang memaksa ilang dan premis jualan ditutup hampir dua bulan.

     
     
  • Range Rover 2022 diperkenal – model generasi kelima sedia hingga tujuh tempat duduk, versi EV pada 2024

    Range Rover 2022 diperkenal – model generasi kelima sedia hingga tujuh tempat duduk, versi EV pada 2024

    Dalam masa beberapa tahun yang lepas, kita sudah melihat evolusi beberapa model Range Rover, tetapi inilah model perdana terbaru, generasi kelima dengan nama kod L460, untuk menggantikan Range Rover L405 yang kini sudah berusia lebih sembilan tahun.

    Ia diperkenalkan dalam dua versi, iaitu Standard Wheelbase (SWB) dan Long Wheelbase (LWB), dan dibina atas platform Modular Longitudinal Architecture-Flex (MLA-Flex) baru yang boleh menerima kombinasi pelbagai penggerak seperti enjin pembakaran dalaman, plug-in hybrid ataupun elektrik penuh.

    Pilihan penggerak untuk Range Rover L460 ini bermula dengan enam versi, iaitu dua yang menggunakan enjin petrol enam silinder 3.0L (360 PS/500 Nm untuk P360 dan 400 PS/550 Nm untuk P400), tiga yang menggunakan enjin diesel enam silinder 3.0L (249 PS/600 Nm untuk D250, 300 PS/650 Nm untuk D300 dan 350 PS/700 Nm untuk D350), serta satu yang menggunakan enjin V8 4.4L turbo, berkuasa 530 PS dan 750 Nm tork (P530).

    Ia kemudiannya diikuti dua model plug-in hybrid, yang menggunakan padanan enjin petrol enam silinder 3.0 liter (440 PS untuk P440e dan 510 PS untuk P510e) bersama motor elektrik 105 kW (142 PS) serta bateri 38.2 kWh. Model ini boleh menyediakan jarak gerak menggunakan elektrik sahaja sehingga 100 km dan boleh dicas semula untuk mencecah tahap bateri 80% dalam masa kurang satu jam menggunakan pengecas pantas DC (apabila menggunakan pengecas AC pada kadar 7.2 kW ia mengambil masa lima jam untuk penuh). Model elektrik penuh pula hanya akan diperkenalkan pada tahun 2024.

    Kesemua roda Range Rover L460 dipegang oleh suspensi udara sport, yang turut boleh mengambil data daripada sistem navigasi dan disambungkan kepada sistem Adaptive Cruise Control untuk membuat pelarasan mengikut keadaan jalan. Rim yang disediakan adalah sehingga saiz 23 inci.

    Model ini juga adalah Range Rover pertama yang datang dengan sistem rear-wheel steering untuk semua varian, di mana ia boleh memberikan belokan sehingga 7.3 darjah untuk memberikan pengendalian lebih mudah dalam kelajuan rendah dan lebih stabiliti apabila dalam kelajuan tinggi.

    Range Rover 2022 diperkenal – model generasi kelima sedia hingga tujuh tempat duduk, versi EV pada 2024

    Pada bahagian dalam, sistem infotainmen Pivi Pro boleh diakses menggunakan skrin sesentuh melengkung 13.1 inci manakala di depan pemandu pula terdapat panel instrumen 13.7 inci dengan grafik yang boleh diubah. Melalui sistem ClearSight, dengan kamera 360 darjah, pemandu bukan sahaja boleh melihat keadaan di hadapan dan belakang kenderaan pada skrin di dalam, tetapi juga permukaan jalan di bawah kenderaan.

    Fungsi kawalan suara untuk sistem infotainmen L460 adalah daripada Amazon Alexa, dan ia juga boleh bekerjasama dengan Apple CarPlay, Android Auto serta Baidu Carlife. Bagi penumpang di belakang, terdapat dua skrin sesentuh 11.4 inci, soket pengecas di setiap tempat duduk dan sehingga lapan soket USB-C. Land Rover juga menyatakan bahawa sistem hotspot Wi-Fi pada kenderaan ini boleh disambung kepada hingga lapan peranti dalam satu masa.

    Tiga tetapan tempat duduk ditawarkan bagi Range Rover L460 ini, iaitu empat dan lima yang disediakan untuk SWB dan LWB, serta tujuh tempat duduk khas untuk LWB. Tempat duduk belakang ini boleh dilaras secara elektronik, dilengkapi dengan liang untuk pendingin dan pemanas, serta boleh disandarkan sehingga 12 darjah.

    Untuk sistem bantuan pemandu, L460 dilengkapi dengan Park Assist terkini dengan Remote Park Assist yang membolehkan kenderaan masuk ke kawasan parkir menegak dan melintang secara sendiri. Sistem ini menggunakan 12 sensor ultrasonik dan empat kamera keliling untuk mencari ruang parkir dan memaparkannya pada skrin untuk dipilih oleh pemandu.

    Sistem lain yang terdapat dalam pakej Driver Assist adalah termasuk Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Driver Condition Response, Blind Spot Assist, Rear Traffic Monitor dan Rear Collision Monitor dengan Occupant Protection Assist. Apabila terdapat risiko perlanggaran, sistem ini bukan sahaja akan memberi amaran, tetapi juga mengetatkan tali pinggang, melaras penyandar kepala, menutup tingkap dan membetulkan keadaan tempat duduk.

    Di United Kingdom, Range Rover generasi kelima ini sudah boleh mula ditempah, pada harga bermula 94,400 pound sterling (RM539,651).

     
     
  • Honda Civic 2022 dapat ASEAN NCAP lima-bintang

    Honda Civic 2022 dapat ASEAN NCAP lima-bintang

    Honda Civic terkini telah menerima penarafan lima-bintang bagi pusingan ujian terbaru yang dijalankan oleh ASEAN NCAP. Civic menjadi model pertama Honda yang diuji di bawah protokol 2021-2025, yang turut merangkumi elemen tambahan seperti brek kecemasan automatik (AEB).

    Menurut laporan, unti yang diuji adalah model EL+ yang dijual di Thailand, dengan penarafan yang sama turut terpakai ke atas varian yang dijual di Singapura dan Indonesia. Ini juga akan menjadi hal yang sama untuk model yang bakal dijual di Malaysia kelak, sekiranya kelengkapan keselamatan berada pada tahap yang sama.

    Di pasaran Thailand, Singapura dan Indonesia, Civic dilengkapi dengan enam beg udara sebagai standard, sistem keselamatan pasif utama dan Honda Sensing. Bagi perlindungan penumpang dewasa, Civic mencatat 29.28 daripada 32 mata penuh, dengan mata penuh (lapan mata) untuk ujian impak sisi, dan sedikit kurang untuk impak depan (14.54 daripada 16 mata) dan ujian teknologi perlindungan kepala (6.74 daripada 8 mata).

    Honda Civic 2022 dapat ASEAN NCAP lima-bintang

    Bagi perlindungan kanak-kanak, ujian dinamik, yang meliputi penilaian impak sisi dan depan, menyaksikan mata maksimum (24 daripada 24) diberikan. Bagaimanapun markah yang lebih rendah diberi untuk pemasangan, asas kenderaan dan pengesanan kehadiran kanak-kanak memberikan mata keseluruhan 46.72 daripada 51 mata.

    Civic cemerlang dalam kategori bantuan keselamatan, merakamkan 19.07 daripada 21 mata. Dengan Honda Sensing, sistem seperti brek kecemasan autonomous, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau perhatian pemandu, lampu tinggi automatik adalah standard bagi Civic.

    Sebagai sebahagian protokal baru, keselamatan penunggang motosikal menjadi penilaian tambahan yang utama. Civic mencatatkan 8.32 daripada 16 mata penuh, kerana kekurangan peninjau titik buta sebenar (hanya ada ciri LaneWatch), memberikannya 2.32 mata daripada lapan mata. Protokol itu turut melibatkan pemasangan sistem advanced rear visualisation (ARV), yang menggunakan kamera yang ditempatkan di belakang kenderaan (cermin pandang belakang digital). Ringkasnya, Civic mencatatkan mata keseluruhan 83.47 mata, melayakkannya menerima lima-bintang.

     
     
  • Bajet 2022: Liputan hal-hal automotif & pengangkutan

    Bajet 2022: Liputan hal-hal automotif & pengangkutan

    Bajet 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Perlimen pada jam 4 petang ini. Kami akan membuat liputan berkaitan hal-hal yang berkaitan automotif dan juga pengangkutan yang akan disentuh oleh belanjawan tersebut — apa yang akan diberikan untuk aspek ini tahun hadapan? Kami akan membuat kemaskini secara langsung terhadap pengumuman yang dibuat itu di sini. Terus perhatikan ruang ini, bersama kami.

    Antara perkara yang dijangkakan ialah pembentangan berkaitan pemerkasaan dan ekosistem industri kenderaan elektrik negara, yang selari dengan matlamat mobiliti rendah karbon yang pernah disebutkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebelum ini.

      Baucar insurans Tenang untuk B40

    • Di bawah Program Baucar Perlindungan Tenang, kelompok B40 akan menerima baucar RM50 untuk tujuan membelia insurans hayat dan PA. Untuk tahun depan, jumlah ini dinaikkan kepada RM75. Baucar boleh dibeli untuk membeli insurans komprehensif bagi motosikal bawah 150 cc, bermula 1 Januari 2022.
    • Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

    • Kerajaan akan menyediakan subsidi sebanyak RM30 juta melibatkan 188,000 penerima dalam bentuk subsidi 50% atau sehingga RM150
    • Lesen Kenderaan Motor OKU

    • Tanggungan sepenuhnya bagi Lesen Kenderaan Motor untuk golongan OKU bertujuan untuk meringankan beban kelompok berkenaan.
    • Lanjutan tempoh pengecualian SST

    • Bagi menggalakkan jualan kenderaan dan ekonomi, tempoh pengecualian SST yang sepatutnya berakhir 31 Disember 2021 sekali lagi telah dilanjutkan hingga 30 Jun 2022, dengan kadar yang sama — 100% untuk kenderaan CKD dan 50% untuk kenderaan CBU.
    • Pengangkutan awam

    • Peruntukan RM80 juta bagi Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti untuk dimanfaatkan oleh pemandu bas henti-henti.
    • Peruntukan RM115 juta bagi pas perjalanan tanpa had bagi bas dan tren, RM50 sebulan bagi pass My50 untuk pengguna di Lembah Klang.
    • Subsidi bagi kos operasi bagi perkhidmatan tren kurang ekonomik di kawasan luar bandar.
    • Penerusan Pas MyRail5 untuk pelajar.
    • Pengecualian cukai dan duti EV

    • Kerajaan bercadang pengecualian penuh duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV.
    • Pengecualian 100% cukai jalan untuk EV.
    • Pengecualian cukai pendapatan sebanyak RM2,500 bagi pembelian, pemasangan, sewaan, jual-beli dan langganan pengecas EV.
    • Infrastruktur luar bandar

    • Kerajaan memperuntukkan lebih RM2.5 bilion bagi pembangunan infrastruktur luar bandar.
    • Hampir RM1.5 bilion peruntukan bagi 519 km jalan luar bandar dan jalan perhubungan kampung, dan memberi manfaat kepada lebih 130,000 orang.
    • RM107 juta untuk memasang 7,000 unit lampu jalan bagi jalan luar bandar, menyelenggara 500,000 lampu jalan bagi jalan luar bandar, menaik taraf 20 jambatan serta kerja-kerja awal 30 jambatan baru.
    • Sebahagian besar peruntukan keseluruhan ini, majoriti RM1.5 bilion adalah untuk infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.
    • Projek jalanraya utama

    • Kerajaan akan meneruskan projek infrastruktur jalanraya bernilai RM3.5 bilion, termasuk Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Lingkaran Tengah.
    • Perkhidmatan JPJ

    • JPJ akan mewujudkan 20 kaunter bergerak untuk kawasan luar bandar.
    • Untuk menyediakan akses kepada perkhidmatan kerajaan di luar waktu bekerja, 100 kiosk dengan kemudahan komputer akan diwujudkan di cawangan UTC. Urusan JPJ seperti pembaharuan cukai jalan akan jadi lebih mudah.
    • Inovasi dan kenderaan autonomous

    • Peruntukan RM30 juta bagi pelaksanaan Hab Inovasi: Revolusi Industri Ke-Empat di bawah Taman Teknologi Malaysia sebagai pusat sehenti bagi ekosistem inovasi. Ini bagi pembangunan kluster teknologi baru seperti dron, robotik dan kenderaan autonomous. Hab ini dijangka memberi manfaat kepada 10,000 usahawan akan datang.
     
     
  • Yinson bekerjasama dengan GreenTech bagi membangunkan infrastruktur pengecasan EV di M’sia

    Yinson bekerjasama dengan GreenTech bagi membangunkan infrastruktur pengecasan EV di M’sia

    Yinson Green Technologies telah mengumumkan kerjasama dengan GreenTech Malaysia Alliances (GTMA) bagi membangunkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Yinson berkata ia akan memiliki pegangan majoriti dalam kerjasama terbabit, di mana stesen pengecasan EV akan disediakan di negara ini.

    Pembangunan akan dilakukan berdasarkan rangkaian ChargEV sedia ada yang telah ditubuhkan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), yang akan dimasukkan dalam kerjasama ini. Diperkenalkan pada Ogos 2015, rangkaian ChargEV buat masa ini memiliki lebih 400 stesen pengecasan di seluruh negara.

    “Kerjasama secara strategik ini akan memanfaatkan pengalaman Yinson dalam logistik, tadbir urus, pembangunan teknologi dan sinergi daripada pelbagai cabang perniagaan, serta infrastruktur dan posisi sedia ada ChargeEV sebagai penyedia infrastruktur stesen pengecas EV,” ujar syarikat tersebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    CEO Yinson Group Lim Chern Yuan berkata, kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak untuk menggabungkan kekuatan masing-masing bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktrur pengecasan di negara ini. “Yinson dan GTMA berkongsi matlamat yang sama untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, yang boleh membantu mengurangkan isu perubahan iklim global.

    Yinson bekerjasama dengan GreenTech bagi membangunkan infrastruktur pengecasan EV di M’sia

    “Perjanjian ini adalah bagi pelaburan terbaharu Yinson dalam e-mobiliti, solusi pemanduan sendiri dan pelabuhan elektrik, dengan mengemukakan langkah seterusnya dalam pelan hala tuju Yinson dalam membangunkan solusi mobiliti hijau bersepadu,” katanya.

    Timbalan presiden kanan bagi elektromobiliti Yinson, Ruslin Tamsir, pula berkata, kerjasama ini bertujuan untuk memajukan pasaran EV di Malaysia dengan menyediakan infrastruktur pengecasan yang boleh diakses, berpatutan dan terkini kepada semua perniagaan dan pengguna domestik. “Kami mensasarkan untuk membangunkan penyelesaian berasaskan platform bersepadu untuk memberikan perkhidmatan kepada keseluruhan ekosistem pengecasan EV,” katanya.

    Pengerusi GTMA Datuk Hiswani Harun pula berkata, kerjasama ini membolehkan peluang meningkatkan kesedaran kepada lebih ramai pengguna EV di seluruh negara berkenaan dengan rangkaian pengecasan ChargEV dan turut berkata bahawa kedua-dua pihak akan menerokai beberapa mekanisme pelaksanaan seperti pembelian langsung, pajakan dan pembangunan berorientasikan transit.

     
     
  • GoKL City Bus akan mula guna bas elektrik buatan Malaysia 1 Nov ini, ganti semua bas diesel pada 2023

    GoKL City Bus akan mula guna bas elektrik buatan Malaysia 1 Nov ini, ganti semua bas diesel pada 2023

    Dalam usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon, perkhidmatan bas percuma GoKL City Bus yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sudah bersedia untuk beralih kepada elektrifikasi. Bermula 1 November, perkhidmatan itu akan mula menggunakan bas elektrik, dan unit pertama akan memulakan operasi di kawasan Wangsa Maju.

    Kemudiannya, ia akan diikuti oleh beberapa unit lagi bas elektrik pada awal tahun 2022, sebelum melengkapkan kesemuanya menjadi 60 unit. Mengikut perancangan, semua bas yang digerakkan oleh enjin diesel sekarang akan digantikan dengan bas elektrik menjelang awal tahun 2023.

    Selari dengan peralihan ini, penampilan bas itu juga ditukar kepada hijau. Semasa pelancaran bas elektrik itu, menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim turut mengumumkan dua lagi laluan baru yang ditambah bagi perkhidmatan itu, bermula 1 November.

    Ia dipanggil sebagai Parrot Green Line, iaitu laluan sepanjang 13.8 km dari Hab Transit MRT Maluri ke Bandar Sri Permaisuri, dan Gray Line, laluan sepanjang 16.7 km dari terminat MRT Cochrane ke Bandar Tun Razak. Laluan baru ini menyertai sembilan lagi laluan sedia ada sekarang.

    Bas elektrik yang digunakan oleh GoKL City Bus dibuat di Malaysia oleh SKS Coachbuilders. Penggerak utama serta komponen elektriknya diimport dari China, sementara binaan bas itu sendiri dibuat sepenuhnya oleh syarikat tersebut di Kampung Pulau Meranti, Puchong.

    Ia boleh membawa 31 penumpang (21 duduk dan 10 berdiri), dan mempunyai kelajuan maksimum 70 km/j, tetapi kelajuan optimal adalah dalam sekitar 55-60 km/j. Pek bateri lithium ion yang terletak di bahagian belakang bas menyediakan kapasiti 299 kWh dan setelah dicas penuh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 250 km.

    Tempoh mengecas yang diberitahu adalah sekitar 1.5 jam apabila bateri tersebut masih mempunyai baki 40% kuasa, sementara jika kuasanya lebih rendah, ia boleh mengambil masa sehingga tiga jam. Disebabkan barang yang digunakan untuk bas ini diimport dari China, sistem pengecasnya juga menggunakan sambungan GB/T Type 2 yang sebenarnya adalah khas untuk negara itu.

    Menurut SKS yang akan mengendali dan menyelenggaran bas elektrik ini, proses mengecas biasa akan dijalankan pada waktu malam di depoh mereka yang akan diletakkan di tempat strategik dalam bandar.

     
     
  • Honda Civic 2022 dilancarkan di Indonesia – varian tunggal RS sahaja; 178 PS/240 Nm; harga dari RM166k

    Honda Civic 2022 dilancarkan di Indonesia – varian tunggal RS sahaja; 178 PS/240 Nm; harga dari RM166k

    Sementara kita masih terus menantikan ketibaan Honda Civic generasi ke-11 di Malaysia, negara jiran kita iaitu Indonesia telah menyertai Thailand dan Singapura dengan pelancaran sedan segmen-C ini. Seperti di Singapura, hanya satu sahaja varian Civic yang ditawarkan untuk Indonesia, RS dengan harganya mencecah 567 juta rupiah (RM165,570).

    RS diberikan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder petrol dengan kuasa 178 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm dari 1,700 hingga 4,500 rpm. Angka prestasinya lebih kurang sama dengan Civic pasaran Thai, dan ia turut digandingkan dengan CVT yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. Pemandu juga boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Normal, Econ dan Sport.

    Bagi kelengkapannya, RS pasaran Indonesia diberikan ciri standard termasuk roda aloi hitam pekat 17-inci, lampu utama LED-penuh dengan lampu nyalaan siang LED, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong di belakang), kemasukan tanpa kunci dan penghidup enjin (dengan fungsi kawalan penghidup enjin), Honda Smart Key Card, tempat duduk hadapan larasan elektronik, pencahayaan ambien merah, upholstery kombinasi kulit-suede dan pedal penukar gear.

    Honda Civic 2022 dilancarkan di Indonesia – varian tunggal RS sahaja; 178 PS/240 Nm; harga dari RM166k

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan sistem infotainmen skrin sesentuh Display Audio sembilan-inci yang merupakan unit OEM Honda sendiri, dan ia boleh diakses dengan tatapan kenderaan termasuk sokongan Apple CarPlay. Skrin lain yang ada pada kabin termasuk kluster instrumen digital 10.2-inci dengan paparan kustom.

    Untuk aspek keselamatan, RS.menerima enam beg udara, dan sistem keselamatan pasif. Turut diberikan sistem Honda Sensing yang merangkumi Collision Mitigation Brake System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System (RDM), Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low-Speed Follow, Auto High Beam dan Lead Car Departure Notification System (LCDN). Walau bagaimana pun, tiada ciri pemantauan titik buta, sebaliknya diberikan LaneWatch.

    RS diberikan empat pilihan warna – Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Crystal Black Pearl dan Platinum White Pearl, serta aksesori Modulo ditawarkan secara pilihan. RS turut didatangkan dengan cermin sisi dan pembuka pintu hitam, dua corong ekzos serta boot lid spoiler hitam. Pakej penggayaan Modulo pula ditambah dengan kemasan gril hadapan, spoiler lip hadapan, skirting sisi, spoiler di bawah untuk bahagian belakang dan door visor, sementara untuk bahagian dalamnya diberikan alas but dan alas lantai getah.

     
     
  • Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 untuk Malaysia — teaser kedua tunjuk muka depan, merah berbeza?

    Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 untuk Malaysia — teaser kedua tunjuk muka depan, merah berbeza?

    Honda Malaysia telah mengeluarkan sebuah lagi teaser bagi Honda City Hatchback akan datang, yang pertama kali diumumkan minggu lalu. Kali ini, mereka menunjukkan pula bahagian depan, selepas menunjukkan bahagian sisi dan belakang dalam teaser sebelumnya.

    Bahagian depan yang dilihat ini pula sama dengan City sedan, setepatnya varian City RS e:HEV, kerana versi hatchback ini juga merupakan model RS Hybrid. Ia diberikan lampu utama automatik LED, serta gril depan hitam berkilat, honeycomb mesh hitam, kemasan corak gentian di lip depan yang menjadikannya nampak sporty. Lampu kabus juga LED. Logo RS pada gril dan lencana Honda juga ada perincian biru menandakan ini sebuah model hibrid.

    Rim yang ada ini kelihatan sama dengan rim sedan City RS e:HEV, 16-inci aloi dua tona dengan tayar 185/55. Seperkara lagi, warna merah yang dipaparkan ini juga nampak ada sedikit berbeza berbanding Passion Red Pearl yang ditawarkan sebelum ini. Di Thailand, City Hatchback didatangkan dengan tona warna merah ceri yang dipanggil Ignite Red Metallic. Adakah ini juga akan jadi warna baru untuk Malaysia?

    Bagi pasaran Thailand, City sedan dan hatchback dipadankan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo berkuasa 121 PS/145 Nm bagi membolehkan ia diklasifikasikan sebagai kereta Eco Thai bagi mendapatkan potongan cukai lebih baik. Varian RS untuk pasaran tersebut turut ditawarkan dalam versi turbo dan juga hybrid e:HEV.

    Manakala di Indonesia, City Hatchback hanya ditawarkan dalam varian RS, dan hadir hanya dengan enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC. Namun apa yang menarik, selain dari pilihan kotak gear CVT automatik, Honda Prospect Motor turut menawarkan City Hatchback dengan kotak gear manual enam-kelajuan bagi pasaran republik berkenaan.

     
     
  • Bajaj Pulsar F250 dan NS250 dilancar di India – kuasa menjadi 24.5 PS dan 21.5 Nm, cakera brek lebih besar

    Bajaj Pulsar F250 dan NS250 dilancar di India – kuasa menjadi 24.5 PS dan 21.5 Nm, cakera brek lebih besar

    Bajaj telah melancarkan dua model 250 cc baru di India, iaitu F250 (sports) dan NS250 (naked), dengan harga masing-masing 1.4 juta rupee (RM7,758) dan RM1.38 juta rupee (RM7,647). Dua model ini menggantikan Pulsar 200, yang dijual di negara kita sebagai Modenas Pulsar RS200 (RM9,990) dan Pulsar NS200 (RM9,655) di Malaysia.

    Masih menggunakan enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api, kapasiti enjin model ini telah ditingkatkan kepada 249.07 cc, dan kini mampu menghasilkan kuasa 24.5 PS pada 8,750 rpm dan 21.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Kotak gear adalah unit lima kelajuan, dan dipadankan bersama klac jenis slip & assist.

    Bahagian brek turut dipertingkat untuk model baru ini, di mana ia sekarang menggunakan cakera lebih besar di hadapan dan belakang, iaitu masing-masing 300 mm dan 230 mm, dan dilengkapi dengan ABS one-channel secara standard. Rim adalah unit 17 inci, tetapi ditukar dengan tayar saiz 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Pulsar 250 ini adalah termasuk fork teleskopik 37 mm, monoshock dengan pelarasan pra beban, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 795 mm, meter kombinasi LCD dan analog yang turut memaparkan kedudukan gear, berat 162 kg dan soket USB.

    Seperti yang boleh dilihat, kedua-dua motosikal ini diberikan penampilan serba baru dan lampu hadapannya dipasang dengan unit projector LED. Pulsar F250 ditawarkan dalam warna merah dan kelabu manakala NS250 pula disediakan dalam satu warna, iaitu kelabu sahaja.

     
     
  • Kad pra bayar Touch n Go eWallet Visa bakal dikeluarkan pada 2022 – boleh diguna di seluruh dunia

    Kad pra bayar Touch n Go eWallet Visa bakal dikeluarkan pada 2022 – boleh diguna di seluruh dunia

    Touch n Go (TnG) telah mengumumkan kerjasamanya dengan Visa bagi membolehkan Touch n Go eWallet menyertai Fintech Fast Track Programme yang dikendalikan oleh Visa. Ia adalah bagi membolehkan TnG dapat diakses dan digunakan menerusi rangkaian Visa di peringkat global.

    Ini bermakna pengguna Touch n Go eWallet boleh menggunakan kad pra bayar Visa – sama konsep dengan kad BigPay dan MAE dari Maybank. TnG berkata kad tersebut akan diperkenalkan pada tahun 2022.

    Menurut kajian Visa Consumer Payment Attitudes, kedua-dua kad tanpa sentuhan (92%) dan digital wallet (81%) digunakan secara meluas di Malaysia. Data menunjukkan 77% penggunaan untuk kedua-dua kad terbabit. Dengan adanya kad pra bayar Touch n Go Visa yang bakal diperkenalkan ini, rakyat Malaysia dapat menikmati kemudahan kad terbabit dengan rangkaian sedia ada Touch n Go eWallet di Malaysia serta rangkaian Visa yang memiliki lebih 70 juta rakan dagangan di peringkat dunia.

    TnG berkata kad yang bakal diperkenalkan ini juga akan menawarkan pilihan tambahan bagi pengeluaran tunai Touch n Go eWallet menerusi mesin ATM di Malaysia dan luar negara.

     
     
  • Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini – polis

    Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini –  polis

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mensasarkan sejumlah enam juta data kenderaan disaring dan disimpan sebagai profil data kenderaan menjelang akhir tahun ini menerusi penggunaan teknologi Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS).

    Menurut pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, sejak projek perintis dijalankan oleh pihaknya, sehingga kini sebanyak 4.7 juta profil data kenderaan di negara ini yang dikumpulkan menerusi iCOPS, laporan Bernama.

    JSPT Bukit Aman melihat kecanggihan teknologi iCOPS ini yang dilengkapkan dengan penggunaan teknologi kamera ‘Automated Number Plate Recognition’ (ANPR) juga dapat diperluas kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara selepas pelaksanaannya secara keseluruhan bermula tahun hadapan.

    Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini –  polis

    “Teknologi ANPR yang dikenali dengan alat pengimbas nombor pendaftaran kenderaan (iCOPS) mula digunakan sebagai projek perintis oleh JSPT sejak 2016 dengan perolehan yang terhad sekitar 20 unit dan ia digunakan secara meluas bagi operasi mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, saman berstatus waran tangkap (Ops Warta), saman tertunggak warganegara asing (Ops OSTWA), kenderaan curi atau hilang, kenderaan klon serta nombor pendaftaran palsu.

    “Bukan hanya di negara Malaysia, teknologi kamera ANPR ini juga turut digunakan dengan meluas di negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia yang berkemampuan mengecam nombor pendaftaran kenderaan dengan cekap dan pantas,” katanya.

    Mat Kasim menjelaskan alat ini akan diletakkan pada kenderaan peronda pacuan empat roda polis yang dipasangkan kamera ANPR dan ia berfungsi untuk mengimbas nombor pendaftaran kenderaan sama ada ia statik di sekatan jalan raya, di parkir atau bergerak di lebuh raya dengan kelajuan 130 kilometer sejam dan radius liputan adalah 180 darjah dari kenderaan berkenaan. Ia juga memiliki ketahanan tinggi dan tahan lasak serta boleh beroperasi pada waktu siang dan malam termasuk ketika hujan.

    Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini –  polis

    Tambahnya, setiap nombor pendaftaran kenderaan yang dilihat di jalanan itu menerusi iCOPS akan disambungkan ke pangkalan data profil kenderaan atau dikenali sebagai Pusat Data iCOPS di Bukit Aman untuk diperiksa sama ada mempunyai saman tertunggak atau waran tangkap membabitkan saman trafik termasuk kesalahan jenayah lain yang terdapat pada pemilik kenderaan berkenaan.

    “Di negara seperti United Kingdom (UK) juga turut mempunyai pangkalan data seperti Pusat Data iCOPS yang dikenali sebagai National ANPR Data Centre. Ia digunakan untuk menangani kes anti keganasan serta menggunakan bukti tidak langsung (circumstantial evidence) imej kenderaan yang dirakam di lokasi kejadian jenayah oleh kamera ANPR yang digunakan sebagai keterangan terhadap jenayah di mahkamah.

    “Kita menganggarkan tidak kurang 85% penjenayah menggunakan jalan raya semasa atau selepas melakukan kegiatan jenayah. Dengan adanya ICOPS ini dapat membantu polis dalam mengesan pelaku jenayah menerusi kenderaan yang digunakan serta bukti lain yang ada di sekeliling kita,” katanya.

     
     
  • Triumph perkenal edisi Gold Line untuk enam model Bonneville – cat dua tona, pinstripe warna emas

    Triumph perkenal edisi Gold Line untuk enam model Bonneville – cat dua tona, pinstripe warna emas

    Triumph telah memperkenalkan barisan Gold Line Edition untuk enam model Bonneville, yang akan cuma dijual selama satu tahun sahaja. Semua model ini mengambil model terkini masing-masing dan diserikan dengan penampilan serta cat khas.

    Barisan Gold Line Edition ini ditawarkan bagi model Bonneville Bobber, Bonneville Speedmaster, Bonneville T100, Bonneville T120 dan T120 Black, Scrambler 1200 XC dan XE, serta Street Scrambler. Jumlah pengeluaran setiap model bagaimanapun tidak diberitahu.

    Bagi setiap satu model Gold Line Edition ini, ia menggunakan warna dua tona khas yang berbeza berbanding model biasa, dan kemudiannya ditambah dengan jalur emas pinstripe yang dicat menggunakan tangan pada bahagian tangki dan juga panel tepi.

    Cat yang digunakan untuk jalur emas itu juga adalah istimewa, di mana ia melibatkan campuran serbuk berwarna serta cellulose lacquer, demi mendapatkan konsistensi yang dimahukan, memandangkan cat automotif biasa adalah terlalu nipis untuk proses berus tangan pinstripe ini.

    Proses ini juga dibuat sendiri oleh pekerja mahir kilang cat Triumph, dan mereka juga akan menurunkan tanda tangan sendiri di atas motosikal yang dibuat sebagai tanda sentuhan peribadi, yang menjadikan setiap model Gold Line ini istimewa.

    GALERI: Triumph Bonneville Bobber Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville Speedmaster Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T100 Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T120 Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T120 Black Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XC Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XE Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Street Scrambler XC Gold Line Edition 2021

     
     
  • Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

    Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

    Selepas didedahkan pada April lalu, Toyota 86 generasi kedua yang kini digelar sebagai GR86 secara rasminya mula dijual pada pasaran Jepun dengan harga bermula 2,799,000 yen (RM102k) bagi model asas RC 6MT sehingga 3,512,000 yen (RM128k) untuk model tertinggi RZ 6AT. Model ini turut ditawarkan dalam program langganan Kinto One dengan bayaran bulanan serendah 21,450 yen (RM783) sebulan.

    Sama seperti Toyota 86 generasi sebelumnya, GR86 masih dibangunkan bersama Subaru BRZ 2022. Dari segi rekaan, GR86 menampilkan hampir keseluruhan rupa yang sama dengan BRZ termasuk lampu dan bampar belakang. Elemen utama yang membezakan antara kedua-duanya adalah bampar dan gril hadapan – GR 86 menerima rekaan “Gril Matrix” serta diapit dengan liang udara sisi bersama kemasan hitam berbentuk-L.

    Perincian lain seperti lampu hadapan dengan bentuk titisan air bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersepadu, liang udara sisi yang memang berfungsi, bumbung “double bubble” dan juga spoiler ekor itik yang bersepadu terus dengan penutup but belakang adalah seiras dengan BRZ.

    Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

    Subaru BRZ dan Toyota GR 86 ini diasaskan dari casis generasi sebelumnya, tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

    Dimensi untuk model generasi baharu ini juga tidak banyak berubah dari model sebelumnya, dengan GR 86 diukur mempunyai 4,265 mm (+25 mm) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, serta jarak roda sejauh 2,575 mm atau 5 mm lebih panjang. Manakala beratnya pula adalah sekitar 1,260 kg hingga 1,290 kg bergantung kepada varian.

    Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Toyota GR 86 dan Subaru BRZ kedua-duanya dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm (sedikit lebih berkuasa dari BRZ 2022 USDM).

    Model asas ‘kosong’ Toyota GR86 RC yang mudah untuk dijadikan asas projek atau kereta lumba

    Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

    Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik (model asas RC hanya menerima kotak gear manual). Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini.

    Toyota turut menyatakan bahawa model dengan transmisi automatik turut akan datang sekali bersama pakej bantuan pemanduan Subaru EyeSight, termasuk teknologi keselamatan pra-pelanggaran.

    Bahagian dalaman GR 86 ini juga nampak seiras dengan Subaru BRZ generasi baharu. Ia menampilkan papan pemuka, sistem infotainmen, paparan instrumen digital, suis susunan seperti kekunci piano untum sistem pendingin hawa semuanya sama untuk kedua-dua model. Apa yang berbeza cuma logo Toyota dan lencana GR pada roda stereng.

    Ketika dilancarkan hari ini, Toyota turut menawarkan pelbagai kelengkapan tingkat taraf GR Parts – bukan sahaja untuk kosmetik, malah turut melibatkan komponen prestasi. Antara peralatan tersebut termasuk kit suspensi, kit brek lebih besar dengan angkup monoblok, rim aloi forged 19-inci rekaan jejari-Y, serta pelbagai kemasan gentian karbon – kesemuanya dengan cop GR.

    GALERI: Toyota GR 86 dengan GR Parts

     
     
  • Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Selepas hanya gambar ditunjuk bulan lepas, kini perincian selanjutnya untuk dua model elektrik siri e:N oleh Honda yang akan memasuki pasaran paling awal, iaitu e:NS1 dan e:NP1 pula didedah. Bagi e:NS1, yang sebenarnya adalah HR-V generasi ketiga versi elektrik, ia akan dibuat oleh Dongfeng Honda, sementara e:NP1 pula akan dibuat oleh GAC Honda untuk pasaran China.

    Menurut Honda, kedua-dua EV ini dibangunkan secara khusus untuk menepati keperluan pelanggan di China. Ia dibina atas platform e:N Architecture F baru, yang dikatakan mewarisi banyak aspek DNA pemanduan dinamik Honda, dan menawarkan pengendalian, ketepatan stereng serta prestasi terbaik dalam kelasnya.

    Badannya dijadikan lebih tegar, dan kenderaan ini menggunakan motor prestasi tinggi “tiga dalam satu” yang diletakkan atas gandar hadapan. Menurut Honda, algoritma motor ini membolehkan ia melaras kuasa untuk lebih 20,000 keadaan pemanduan, yang mana bersamaan 40 kali ganda lebih banyak berbanding EV biasa. Ini juga dikata menjadikan motor tersebut lebih responsif untuk apa sahaja keadaan pemanduan.

    Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Ciri aerodinamik model crossover ini telah dioptimakan untuk memberi jarak gerak paling baik, serta prestasi seperti kereta sports. Pek bateri besar dengan kapasiti yang masih belum diberitahu diletakkan di bawah lantai (di tengah, antara dua gandar), dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 500 km dengan sekali cas penuh.

    Apabila disambung kepada soket pengecas, sistem Heartbeat Interactive Light baru akan mengeluarkan cahaya dengan pelbagai ekspresi, sekaligus menjadikan tahap bateri yang sedang dicas mudah diketahui oleh pengguna dengan sekali imbas sahaja. Kemudahan lain yang disediakan adalah seperti sistem pembatalan bunyi aktif untuk kabin lebih senyap, mod Sports serta Honda EV Sound.

    Selain kemewahan, satu lagi ciri yang digemari pelanggan China adalah teknologi. Bagi model e:N, Honda akan memasang skrin sistem infotainmen sebesar 15.2 inci (menegak) dengan sistem e:N OS, perisian baru yang dapat menggabungkan Sensing dan Connect 3.0, serta kokpit digital pintar 10.25 inci.

    Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Ia juga mendapat peningkatan perisian OTA tanpa wayar, yang termasuk pembantu suara AI yang diprogramkan untuk memahami input kasual. Pengguna juga boleh menyambungkan sistem e:N OS kepada peranti pintar di rumah, atau lebih bagus lagi, menghidupkan fungsi dalam kenderaan secara jarak jauh menggunakan aplikasi telefon.

    Pada bahagian keselamatan, kenderaan ini akan dipasang dengan Driver Monitoring Camera, yang dapat memerhati corak pemanduan sebenar serta ekspresi muka pemandu secara berterusan. Ia kemudiannya akan membuat saranan yang bersesuaian, seperti masa untuk rehat setelah memandu lama. Perincian selanjutnya untuk e:NS1 dan e:NP1 akan didedahkan apabila pelancarannya semakin hampir nanti.

     
     
  • Honda CR-V Black Edition kini di Malaysia – RM162k

    Honda CR-V Black Edition kini di Malaysia – RM162k

    Honda Malaysia telah memperkenalkan Honda CR-V Black Edition, dan seperti namanya, ia diberikan versi serba hitam untuk SUV ini. Black Edition diasaskan dari varian pertengahan 1.5L TC-P 2WD bagi barisan CR-V facelift 2021, dengan kemasan badan berwarna Crystal Black Pearl. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM161,913 tanpa insurans, dengan pengecualian SST. Ini bermakna, Black Edition adalah RM4,298 lebih mahal berbanding varian biasa.

    CR-V Black Edition menampilkan gril hadapan hitam dan kemasan bampar hadapan juga hitam. Ia juga diberikan kemasan bampar hitam dan juga aloi 18-inci dengan tona hitam pekat.

    Di dalamnya, serlahan gelap juga menjadi pilihan, ini termasuklah kemasan untuk roda stereng, panel meter digital dan corong pendingin hawa semuanya dalam warna hitam pekat. Kemasan kayuan berona hitam juga diberikan pada konsol tengah, papan pemuka dan pintu berbanding coklat; senada dengan headlining dan tempat duduk hitam dengan sulaman perkataan “Black Edition” pada tempat duduk hadapan.

    Walau bagaimana tiada perubahan lain pada spesifikasinya, termasuk bahagian mekanikal. Ia masih dijanakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo, sama seperti varian 1.5L TC-P 2WD, dengan hamburan kuasa 193 PS dan tork 243 Nm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT. Kelengkapan Honda Sensing ADAS bagi teknologi bantuan pemandu turut diberikan, merangkumi Remote Engine Start yang berfungsi untuk menghidupkan enjin dan juga bertindak untuk mengawal pendingin hawa. Selain itu, ia juga menampilkan tailgate kuasa, yang boleh dibuka dengan isyarat tendangan.

    Honda Malaysia berkata, sejak CR-V diproduksi secara tempatan (CKD) buat pertama kalinya pada tahun 2003, SUV ini telah terjual sebanyak lebih 108,000 unit. Ia termasuklah model semasa dari generasi kelima ini yang dilancarkan pada Julai 2017, turut menyumbang jualan lebih 43,000 unit. Malahan CR-V mendahului segmen SUV bukan-nasional dengan 24% dari perkongsian pasaran setakat Ogos 2021.

     
     
  • Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Selain model Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 CKD yang dilancarkan secara rasmi hari ini, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan model crossover GLA facelift 2021, yang juga versi pemasangan tempatan. Dua varian diperkenalkan untuk model ini, GLA 200 Progressive Line dan GLA 250 AMG Line.

    Kedua-dua model berkenaan mengekalkan tahap kelengkapan yang sama dengan model CBU sebelumnya, tetapi kini dengan harga yang lebih rendah. GLA 200 kini dijual pada harga RM232,379 (atas jalan tanpa insurans), sementara GLA 250 AMG Line pada harga RM266,164, dengan pengecualian cukai SST yang berakhir Disember nanti.

    Ini menjadikan GLA 200 Progressive Line CKD RM11,821 lebih murah berbanding model CBU sebelum ini, manakala GLA 250 AMG Line pula RM19,173 lebih murah berbanding model importnya — ini mengambil kira pengecualian SST untuk semua.

    Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Harga yang dinyatakan ini akan menjadi RM242,888 untuk GLA 200 dan RM278,888 untuk GLA 250 AMG Line sebaik sahaja tempoh pengecualian SST tamat nanti. Walaupun dengan harga penuh ini nanti, model CKD bagi GLA 200 adalah RM10,000 lebih murah, manakala bagi GLA 250 pula RM17,000 lebih murah.

    Sama seperti sebelum ini, ada dua pilihan enjin yang ditawarkan. GLA 200 menggunakan unit dari Renault M282 1.3 liter turbocas petrol empat-silinder yang menghasilkan 163 PS pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,620 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan Getrag. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

    Bagi GLA 250, ia menggunakan unit enjin dari Mercedes sendiri, M260 2.0 liter, dengan janaan 224 PS pada 5,500 rpm dan 350 Nm antara 1,500 dan 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi DCT lapan-kelajuan, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum yang lebih tinggi pada 240 km/j. Berbeza dengan GLA 250 sbeelum ini, tiada lagi sistem pacuan semua roda.

    Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Kelengkapan luaran antara dua varian ini sama, termasuk lampu utama LED High Performance, pakej cermin serta landasan bumbung aluminium. GLA 200 datang dengan penampilan luaran Progressive Line serta rim 18-inci aloi lima jejari berkembar, sementara GLA 250 dengan penggayaan AMG Line dengan spoiler depan, kemasan hitam berkilat serta gril trapezoidal, dan kekal menggunakan rim dua-tona 19-inci aloi jejari berkembar seperti model CBU.

    Kelengkapan standard lain termasuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan 10.25-inci berkembar, sistem tanpa kunci, butang Push Start, bantuan parkir, kamera undur, pakej Light & Sight serta kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori.

    Mercedes-Benz GLA 200 2021 CKD

    Mercedes-Benz GLA 250 AMG Line 2021 CKD