Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz A-Class sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

    Mercedes-Benz A-Class  sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

    Mercedes-Benz A 200 Progressive Line

    Selepas dua tahun dijual di Malaysia dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU), Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan A-Class sedan V177 dalam versi pemasangan tempatan (CKD). Ia masih ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progresive Line serta A 250 AMG Line, dan seperti dijangka, ia dijual pada harga lebih rendah.

    Bagi A 200 Progresive Line CKD, sedan ini dijual pada harga RRM210,903. Manakala A 250 AMG Line pula dijual pada harga RM239,858. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran serta termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi model CKD yang diberikan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022.

    Jadi berbanding model CBU, versi CKD ini adalah masing-masing sekitar RM11,000 dan RM19,000 lebih murah. Namun sekiranya cukai jualan 5% dikenakan semula selepas 31 Disember nanti, sedan A 200 dan A 250 ini akan dijual pada harga masing-masing RM219,888 dan RM249,888, atau sekitar RM10,000 dan RM18,000 lebih murah dari model CBU. Waranti masih tidak berubah dengan perlindungan selama empat tahun tanpa had perbatuan.

    Mercedes-Benz A-Class  sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

    Bagi spesifikasi, kedua-dua varian CKD ini masih menerima kelengkapan yang hampir sama dengan model CBU sebelum ini. Oleh itu, kedua-duanya diberikan lampu hadapan LED High Performance (tanpa pilihan lampu Multibeam) dengan sistem automatik. Ia juga disertakan dengan rim 18-inci lima jejari dan juga tip ekzos berkembar di belakang.

    Pakej AMG Line pada A 250 ditambah dengan bampar hadapan lebih garang, skirt sisi, dan set rim AMG. Walau bagaimanapun, model A 200 kini tidak lagi menerima tayar run flat, dan ia kini sama dengan A 250, diberikan tayar standard dengan kit baikpulih tayar. Manakala bagi A250 pula model CKD ini tidak lagi menerima cakera brek hadapan yang ditebuk.

    Pada bahagian kabin, A 200 dan A 250 sedan ini menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga disertakan, dengan paparan dua buah skrin lebar bersaiz 12.3-inci yang turut berfungsi sebagai paparan instrumen utama.

    Mercedes-Benz A 250 AMG Line

    Sistem MBUX berkenaan dapat dioperasikan menggunakan arahan suara “Hey Mercedes”, yang dapat mengawal fungsi seperti penghawa dingin dan sistem navigasi, dan ia direka bagi ‘belajar’ sifat-sifat pemiliknya menerusi teknologi A.I.

    Model A 200 hadir dengan kemasan ala gentian karbon bersama upholsteri kulit palsu Artico. Manakala model A 250 menerima tempat duduk sport dengan fungsi pemanas yang bersepadu dengan perehat kepala, bersama roda stereng rata di bawah dengan rekaan rata di bawah, kemasan brushed aluminium serta upholsteri Artico dan gentian mikro Dinamica.

    Kelengkapan standard lain turut sama seperti versi CBU termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tempat duduk larasan berkuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar empat hala, cruise control, cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, kemasan bendul pintu bernyala, sistem navigasi berasaskan cakera keras serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi sistem pendingin hawa, model CKD ini kini diberikan sistem Thermotronic dua zon dan ditambah dengan liang kabin belakang.

    Mercedes-Benz A 250 AMG Line (kiri) dan A 200 Progressive Line (kanan)

    Unit janakuasa juga serupa di mana model A 200 diberikan enjin 1.33 liter empat-silinder turbo M282 (dibina bersama Renault) yang menjana 163 hp pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 250 Nm bermula 1,620 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dari Getrag, membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 230 km/j. Penggunaan bahan api gabungan pula adalah 5.4 liter untuk 100 km.

    Model A 250 pula masih menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo M260, tetapi menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 224 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Kotak gear klac berkembar automatik jenis basah dari Mercedes-Benz juga masih diberikan, dengan talaan yang dikemaskini.

    Enjin Mercedes-Benz A 250 AMG Line (kiri) dan A 200 Progressive Line (kanan)

    Ini membolehkan A 250 sedan berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksima 250 km/j. Sementara penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan pada kadar 6.3 liter untuk 100 km.

    Model A 250 juga menerima suspensi mulitilink yang lebih jitu pada bahagian belakang, manakala A 200 pula diberikan sistem torsion beam yang lebih ringkas. Walau bagaimanapun, kedua-duanya menerima talaan selesa dengan penyerap hentak pasif dan juga direndahkan 15 mm dari asal.

    Untuk keselamatan pula, kesemua varian diberikan tujuh-beg udara, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan automatik), sistem pemantau tekanan angin tayar serta Bantuan Parkir Aktif bersama kamera undur. Bagi model A 250, versi CKD ini kini ditambah dengan pemantau titik buta.

    GALERI: Mercedes Benz A 200 Progresive Line CKD 2021

    GALERI: Mercedes Benz A 250 AMG Line CKD 2021

     
     
  • Bermaz rancang bawa Mazda MX-30 Electric ke M’sia

    Bermaz rancang bawa Mazda MX-30 Electric ke M’sia

    Pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, iaitu Bermaz dikatakan mempunyai perancangan untuk membawa masuk Mazda MX-30 Electric ke Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Maybank Investment Bank dalam kaji selidik “harapan Bajet Automotif Malaysia” mereka.

    Laporan yang memberikan fokus kepada kumpulan automotif senarai awam di Malaysia serta rancangan mereka untuk elektrifikasi ini menyatakan bahawa ketibaan MX-30 versi EV ini adalah bergantung kepada kelulusan ibu pejabat Mazda serta sama ada polisi EV baru nanti cukup menarik ataupun tidak.

    Mazda MX-30 Electric didedahkan kali pertama sewaktu Tokyo Motor Show 2019, di mana ia menggunakan motor elektrik 145 PS (107 kW) serta menyediakan 271 Nm tork untuk dihantar kepada roda hadapan melalui kotak gear satu kelajuan. Bateri yang digunakan mempunyai kapasiti 35.5 kW, dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 224 km.

    MX-30 boleh dicas menggunakan AC sehingga 6.6 kW dengan soket Type 2, serta pengecas pantas DC sehingga 50 kW menggunakan soket CCS. Menggunakan pengecas AC, ia akan mengambil masa tiga jam dari tahap 20% ke 80%, sementara apabila menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diperlukan cuma 36 minit.

    MX-30 juga terdapat dalam versi hibrid ringkas, yang menggunakan padanan enjin 2.0 liter, sistem M Hybrid 24 volt serta transmisi automatik enam kelajuan, tetapi nota yang dikeluarkan oleh Maybank IB secara khusus merujuk kepada “BEV”, iaitu kenderaan elektrik bateri.

    Mereka juga tidak memberi sebarang garis masa, tetapi pada tahun lepas telah keluar satu laporan oleh AmInvestment Bank yang mengatakan MX-30 bakal tiba pada Oktober 2020. Ia bagaimanapun tidak berlaku, mungkin kerana pandemik, tetapi cukup untuk kita tahu bahawa Bermaz mempunyai perancangan untuk pengenalan model elektrik.

    laporan itu juga menyatakan bahawa Bermaz sudah mengenal pasti pengendali perkhidmatan mengecas kenderaan persendirian (contohnya ChargEV) yang berpotensi menjadi rakan kerjasama, dan model EV mereka (Kia dan Peugeot juga sekarang di bawah Bermaz) akan mempunyai pelan berasaskan langganan untuk mengatasi masalah kos dan waranti.

    GALERI: Mazda MX-30

     
     
  • Jangan menyalakan lampu amaran bahaya ketika memandu dalam keadaan hujan lebat – polis

    Jangan menyalakan lampu amaran bahaya ketika memandu dalam keadaan hujan lebat – polis

    Seperti kebiasaan, hujung tahun sahaja pastinya orang kaitkan dengan ‘musim hujan’, malah bukan setakat hujan sikit-sikit, tapi hujan lebat dengan ribut petir hingga banyak tempat dilanda banjir. Ini kerana peralihan angin monsun yang sedang berlaku sekarang sehingga membawa hujan lebat dan angin kencang di kebanyakan tempat di seluruh negara.

    Memandu dalam keadaan sebegini memang boleh mengundang bahaya jika tahap pemanduan tidak dipertingkatkan dan aspek keselamatan juga diabaikan. Baru-baru ini menerusi entri di Facebook rasminya, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah memberikan beberapa panduan kepada pengguna jalan raya berkenaan dengan pemanduan ketika memandu dalam keadaan hujan lebat.

    Ada empat poin utama yang dikongsikan oleh JSPT, namun larangan penggunaan lampu amaran bahaya atau hazard light paling ramai pemandu yang ingkar. Masih ramai pemandu yang akan memasang hazard light atau dalam bahasa pasar, digelar ‘double signal’, ketika memandu dalam hujan. Tahukah anda, penggunaan hazard light hanya ketika kenderaan berhenti atau pun disebabkan hal kecemasan sahaja. Memandu dalam hujan lebat bukan kecemasan kan?

    Mungkin ada pemandu yang memasang hazard light untuk memudahkan kenderaan yang dipandu dilihat oleh pemandu lain memandangkan ketika hujan lebat, pastinya jarak penglihatan agak terhad. Tanggapan ini salah sama sekali. Pemandu lain boleh keliru bila terlihat kenderaan anda dengan hazard light yang menyala itu. Mungkin ada yang keliru adakah anda mahu berhenti disebabkan kecemasan (tetapi kenderaan anda masih meluncur tanpa tanda hendak berhenti), atau keliru arah mana yang anda mahu lalui, mahu ke lorong kiri atau kanan?

    Jangan menyalakan lampu amaran bahaya ketika memandu dalam keadaan hujan lebat – polis

    Selain boleh membuatkan pemandu lain sebal dengan tindakan anda, ia juga boleh mengundang risiko kecelakaan. Bayangkan, anda mahu menukar laluan ke lorong kanan, anda memilih untuk tidak menggunakan lampu isyarat membelok atau signal sebaliknya terus kekal dengan hazard light yang menyala dan terus menukar lorong. Tidakkah tindakan itu mungkin membuatkan pemandu di lorong kanan tidak sempat membrek dan ‘menghentam’ belakang kereta anda? Fikirkanlah.

    Cara yang paling tepat untuk memudahkan pemandu lain ‘perasan’ kehadiran kenderaan yang anda pandu ialah dengan menyalakan lampu utama kenderaan anda, ia akan cukup jelas kelihatan semasa hujan lebat. Dan sekiranya jarak penglihatan menurun kurang dari 100 m, pasang lampu kabus (fog lamp) hadapan, dan jika memang diperlukan, lampu kabus belakang juga boleh digunakan, khususnya bagi membantu pemandu kenderaan di belakang anda mengagak jarak antara kenderaan di hadapannya.

    Selain itu, JSPT juga menasihati anda supaya memperlahankan kelajuan kenderaan. Dalam erti kata lain, jangan pandu laju sewaktu hujan lebat. Kelajuan melebihi 80 km/j boleh membuatkan tayar kenderaan tidak begitu mencengkam pada permukaan jalan, malah boleh membuatkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan.

    Kami kongsikan semula TIP MEMANDU KETIKA HUJAN LEBAT yang pernah disiarkan beberapa tahun lalu. Moga ia dapat memberikan panduan kepada anda, selain perlu meningkatkan fokus pemanduan dan amalkanlah pemanduan berhemah.

     
     
  • Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Selain dari Honda Accord Wagon 1996 binaan Fifteen52 dan Montune USA, Honda Performance Development (HPD) turut bakal membawa berberapa Honda Civic generasi baharu yang diubhsuai dan juga kenderaan-kenderaan overland yang diasaskan dari SUV Honda Passport, trak pikap Honda Ridgeline dan juga motorsikal Honda Africa Twin ke pertunjukan SEMA tahun ini, yang bakal berlangsung di Las Vegas Convention Center pada 2 hingga 5 November

    Kereta pertama yang akan dipertontonkan oleh HPD di reruai mereka pada acara berkenaan adalah jentera lumba prototaip Civic Si. Kereta lumba yang diasaskan dari model prestasi sedan Civic Si yang baru sahaja didedahkan minggu lalu itu dibina oleh HPD sebagai jentera yang sudah siap untuk berlumba dalam perlumbaan touring car terpilih bagi dijual kepada pelanggan, serta turut boleh digunakan dalam sesi track day.

    Ia masih dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan juga kotak gear enam-kelajuan asal SI, tetapi dipertingkat dengan pelbagai kelengkapan prestasi seperti kotak komputer talaan semula oleh HPD, ekzos dari Borla, radiator kapasiti tinggi dari PWR/HPD, manakala kotak gearnya pula menerima set gear empat custom bersama LSD perlumbaan dari Cusco/HPD.

    Untuk casis, kereta lumba ini menerima set penyerap hentak boleh laras dari Bilstein bersama spring Eibach, plat camber hadapan HPD. Suspensi belakang pula diberikan lengan atas dengan sudut camber yang boleh dilaras dan lengan sudut toe yang juga boleh dilaras.

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Bagi sistem brek pula, HPD memberikan cakera two piece dan angkup enam-omboh dari Willwood di hadapan, bersama pad brek dari Pagid, serta paip braided logam tahan karat dari HPD sendiri. Ia juga diberikan rim Momo Etna bersaiz 17X8 inci bersama tayar perlumbaan Pirelli bersaiz 245/620R17.

    Pada bahagian luaran, jentera lumba prototaip Civic Si ini diberikan kit penggayaan HPD terdiri dari splitter bawah bampar hadapan dan skirt sisi, serta spoiler bawah badan dan juga saluran udara untuk penyejukkan brek hadapan juga dari HPD. Sayap GT gergasi yang diletakkan pada but belakang adalah dari APR.

    Manakala pada bahagian kabin, ia diberikan kelengkapan lazim bagi kereta lumba termasuk tempat duduk bucket, tali pinggang keledar enam-point, roda stereng dengan boss kit buka cepat dan sistem pemadam api on board – kesemuanya dari OMP.

    Ia juga diberikan sistem data logging dari Motec, manakala maklumat parameter diberikan kepada pemandu menerusi paparan perlumbaan AiM Technologies MXP. Tempat duduk penumpang hadapan ditawarkan secara opsyen bagi membolehkan demonstrasi pemanduan litar dibuat.

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Satu lagi jentera perlumbaan yang diasaskan dari Civic Si 2022 yang akan dibawa ke SEMA ini adalah jentera binaan Team Honda Research-West (THR-W). Pasukan ini merupakan pasukan lumba yang dianggotai oleh kakitangan Honda dan diselia oleh Honda sendiri sebagai aktiviti selepas kerja, sama seperti Honda Malaysia Racing Team dan juga Team Yamato di Jepun.

    Jentera lumba Civic Si binaan THR-W ini bakal berlumba di perlumbaan NASA Thunderhill 25-Jam tahun ini yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Disember nanti di California Utara. Ia baru sahaja melengkapkan ujian pertamanya sebelum beraksi dalam perlumbaan sebenar kelak.

    Antara modifikasi yang dibuat terhadap Civic Si THR-W ini adalah pemadanan radiator aluminium dan penyejuk minyak pelincir dari Koyo, talaan semula kotak komputer oleh Hondata, paip bawah dan bahagian hadapan bagi sistem ekzos dibuat oleh RV6 bersama paip belakang dibuat oleh Ticon, penggunaan cagak enjin Hasport, pemadanan sistem pengurusan suhu dan bateri oleh Antigravity dan pelbagai lagi. Secara keseluruhan, Civic Si ini menghasilkan kuasa 220 hp dan tork maksima 325 Nm.

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Kereta lumba binaan THR-W ini diberikan penyerap hentak dua hala EXR KW Competition dengan spring H&R, bersama lengan bawah belakang dan penghubung-penghubung, serta bar penstabil dari RV6. Untuk brek pula, ia menerima angkup empat omboh dan cakera two piece dari Paragon bersama pad perlumbaan endurance dari Pagid.

    Pada bahagian luaran, Civic Si ini dipadankan dengan penutup bonet gentian karbon dari Seibon, sayap GT belakang dari APR, bersama splitter udara bawah bampar hadapan yang dibuat oleh Power Stream Industries. Ia juga dilengkapi dengan tayar Continental bersaiz 245/40R17, manakala lampu LED hadapan pula dibekalkan oleh Baja Design.

    Kabin Civic Si ini dihasilkan bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan untuk perlumbaan Thunderhill 25-jam berkenaan. Oleh itu ia dipadankan dengan rollcage spesifikasi FIA, serta kelengkapan yang diluluskan oleh FIA lain termasuk tempat duduk bucket Bride, roda stereng Sparco, tali pinggang keledar enam-poin Schroth bersama jaring tingkap, tangki bahan api 32-gelen Fuelsafe, dan sistem pemadan api dari OMP.

    HPD turut membawa dua buah Honda Civic Si produksi jalan raya yang telah diubahsuai. Bagi unit yang dilengkapi dengan rak bumbung, ia sebenarnya dihasilkan untuk pasukan yang bertanding dalam e-sukan iaitu Team Liquid, di mana Honda merupakan rakan kerjasama eksklusif untuk automotif.

    Selain rak bumbung Thule Motion XT Alpine, Civic Si Team Liquid tersebut menerima pelbagai aksesori asli Honda dan juga peralatan yang dihasilkan oleh HPD. Spoiler bawah bampar hadapan, spoiler belakang dan logo HPD hitam berkilat pada kereta berkenaan dibekalkan oleh HPD, manakala logo hitam-berkilat, rim-18-inci kemasan hitam bersama penutup injap udara dan rel bumbung adalah aksesori asli Honda.

    Satu lagi unit Civic Si berwarna oren yang dibawa ke SEMA 2021 ini pula adalah unit demo yang dipasang dengan aksesori asli Honda dan juga HPD yang sudah pun boleh dibeli oleh orang awam. Senarai kelengkapan yang diberikan adalah sama dengan Civic Si Team Liquid, kecuali rel dan rak bumbung.

    Untuk kenderaan overland, kita mulakan dengan SUV Honda Passport yang digelar TrailSport Rugged Roads Project 2.0. SUV ini menerima kelengkapan custom hasil dari R&D Honda yang terdiri dari recovery point untuk bahagian hadapan dan juga skid plate sebenar yang diperbuat dari logam bagi melindungi takung minyak pelincir dan juga tangki bahan api ketika mengharungi permukaan lasak.

    Passport ini juga diberikan aksesori asli Honda seperti bar silang bumbung, fender flare, rim 18-inci dibalut tayar all-terrain Firestone Destination bersama penutup injap udara dan nat tayar, kemasan bawah pintu, penambat treler belakang, tray kargo, dan juga pelindung panel sisi kargo.

    SUV tersebut juga ditinggikan lagi menggunakan lift kit dari J Sport. Di belakang, ia menerima penyangkut tayar gantian dari Dirt Complex, bersama recovery point belakang dan cagak penerima penambat treler dari Factor 55.

    Manakala bagi trak pikap, model yang dibawa ke SEMA 2021 ini digelar sebagai Ridgeline HPD Trail Tour Project. Ia turut menerima kelengkapan custom yang sama seperti Passport, termasuk recovery point, skid plate dan juga tayar Firestone Destination.

    Ia turut ditinggikan dengan lift kit dari J Sport, serta dibekalkan dengan traction board dari Maxtrax. Manakala di belakang, ia dilengkapi cagak shackle untuk penambat treler dan recovery point dari Factor 55.

    Thule turut membekalkan pelbagai peralatan untuk Ridgeline ini termasuk khemah bumbung, rak bed belakang dengan bar sisi, cagak rel yang ditinggikan serta bakul bumbung.

     
     
  • ERL umum kekerapan perjalanan tren bagi KLIA Ekspres, Transit dipertingkatkan mulai 1 Nov

    ERL umum kekerapan perjalanan tren bagi KLIA Ekspres, Transit dipertingkatkan mulai 1 Nov

    Express Rail Link (ERL) telah mengumumkan tren antara bandar-ke-lapangan terbang KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan dipertingkatkan kekerapan perjalanannya bermula 1 November 2021. Ini merupakan berita baik kepada para penumpangnya, memandangkan pengangkutan udara sudah kembali aktif terutamanya penerbangan domestik selepas terjejas akibat penangan Covid-19.

    Perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit telah pun kembali beroperasi sejak 13 September, selepas perkhidmatannya digantung sementara pada 4 Jun lalu disebabkan kekurangan permintaan. Waktu operasinya ada dari jam 6 pagi hingga 10.10 malam, dan buat masa ini, kekerapan perjalanan tren adalah setiap 60 minit.

    ERL umum kekerapan perjalanan tren bagi KLIA Ekspres, Transit dipertingkatkan mulai 1 Nov

    Walau bagaimana pun, bermula 1 November ini, kekerapan tren dipertingkatkan iaitu setiap 30 minit bagi waktu puncak. Ini bermakna pada setiap hari biasa, waktu puncaknya adalah dari jam 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 petang. Untuk waktu bukan puncak dan juga pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, kekerapan tren masih dikekalkan pada setiap 60 minit.

    Awal bulan ini, ERL turut melancarkan aplikasi KLIA Ekspres baharu dan program kesetiaan ExpreSmile untuk kemudahan para pelanggannya terutama dalam menggalakkan pembayaran tanpa tunai.

     
     
  • Harga minyak 28 Okt-3 Nov – RON97 naik 10 sen

    Harga minyak 28 Okt-3 Nov – RON97 naik 10 sen

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga bahan api utama di negara ini untuk minggu bertarikh 28 Oktober hingga 3 November 2021. Di mana sepanjang minggu ini, harga runcit bahan api petrol RON 97 dilaporkan naik sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM2.97 seliter berbanding RM2.87 seliter pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan iaitu RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 3 November 2021.

     
     
  • Hyundai Kona Electric muncul dalam video Staria, EV ini bakal dilancarkan di Malaysia sebelum akhir tahun

    Hyundai Kona Electric muncul dalam video Staria, EV ini bakal dilancarkan di Malaysia sebelum akhir tahun

    Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) melancarkan MPV Staria secara maya hari ini. Bagaimanapun, dalam video yang ditunjukkan berkaitan MPV berharga RM360k itu, sebenarnya turut ditampilkan kelibat model Hyundai Kona Electric.

    Tangkap layar di atas menunjukkan sebuah Kona Electric biru ketika menunjukkan fungsi Safe Exit Assist — sebuah ciri dalam Hyundai SmartSense ADAS terbaru — yang bertindak menghindarkan pemandunya daripada membuka pintu kerana situasi tidak selamat. Itu bukan Kona petrol kerana wajah depannya yang tampil tanpa gril, serta bunyi pecutan yang senyap kereta terbabit.

    Ini juga bukan rahsia, kerana sebelum ini dua unit Kona Electric facelift dilihat di sebuah stesen minyak di Ara Damansara awal bulan ini. HSDM juga terdahulu mengesahkan kepada paultan.org bahawa pelancaran Malaysia bagi model terbabit akan berlangsung pada suku keempat tahun ini. Itu bermaksud tidak lama lagi.

    Boleh juga didedahkan bahawa Kona Electric akan didatangkan dalam dua saiz bateri — 39.2 kWh dan 64 kWh — sama seperti di Eropah. Motor tunggal pada model asas menghasilkan 136 PS sementara versi bateri yang lebih besar dengan motor 204 PS. Kedua-duanya datang dengan 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.9 saat bagi bateri 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi bateri 64 kWh. Laju maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

    Walaupun tiada perubahan pada bateri, ada sedikit perbezaan bagi jarak pemanduan bagi satu cas penuhnya dalam kitaran WLTP. Versi 39.2 kWh kini memberikan 305 km (kurang 7 km dari 312 km) sementara versi 64 kWh memberikan 484 km (tambah 2 km dari 482 km).

    Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW akan mengambil masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi model 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula ia hanya memerlukan 47 minit untuk kedua-duanya.

    Pengecasan AC biasa dengan pengecas dalaman 7.2 kW single-phase pula memerlukan enam jam untuk mencapai 10% hingga 80% bagi model asas, dan sembilan jam 15 minit bagi model 64 kWh. Masa mengecas masing-masing akan jadi hanya empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas dalaman 10.5 kW three-phase pilihan.

    Untuk pasaran Eropah, ada dua tema ruang dalaman — pertama, hitam dengan material kain, campuran kain dan kulit atau balutan kulit; sementara yang kedua dalam warna kelabu. Ruang dalaman kereta yang ada ini tidak dapat dilihat dengan jelas.

    Bantuan pemandu SmartSense telah dinaiktaraf dan kini termasuk ciri bantuan mengelak perlanggaran lintasan belakang (RCCA) dan bantuan tinjauan titik buta. Semua fungsi ini ada tambahan brek autonomous kepada ciri amaran sebelum ini. Juga baru untuk Kona Electric adalah ciri Leading Vehicle Departure Alert (LVDA), Safe Exit Warning (SEW) dan Rear Seat Alert (RSA).

     
     
  • Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Februari lalu, sayap prestasi Honda Amerika Syarikat iaitu Honda Performance Development (HPD) telah mengumumkan bahawa mereka telah pun mula menjual enjin crate (enjin baharu dalam peti) 2.0L empat-silinder VTEC Turbo K20C1 yang sama dalam perut Civic Type R FK8 kepada sesiapa sahaja yang berminat.

    Apa yang boleh dibuat dengan enjin tersebut? Ini salah satu contoh – pembuat rim terkenal Amerika Syarikat, Fifteen52 bersama salah satu pengedar sah HPD iaitu Montune USA telah menyumbat enjin berkenaan ke dalam sebuah Honda Accord Wagon 1996! Apa yang menarik, Kereta ini diubahsuai bagi menyerupai jentera Kejohanan Touring Car Jepun (JTCC) ‘JACCS Accord’ yang dipandu oleh Naoki Hattori pada tahun 1996, tetapi dalam versi wagon.

    Enjin K20C1 tersebut tidak langsung diubahsuai – dari peti, ia terus diletak dalam perut Accord Wagon berkenaan menggunakan set cagak dari Hasport. HPD menjual enjin ini sekali sekali dengan unit alternator, pengecas turbo dan motor penghidup, serta Control Package yang terdiri dari kotak komputer yang dibangunkan HPD, set pendawaian dan juga pedal pendikit. Menurut HPD, secara standard enjin ini menghasilkan kuasa 306 hp dan tork maksima 400 Nm.

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Bagi memindahkan kuasa dari enjin ke roda hadapan, Montune turut memadankan kotak gear enam-kelajuan manual Civic Type R, bersama klac prestasi tinggi dari X-Clutch.

    Sebelum enjin ini dimasukkan ke dalam Accord tersebut, Montune telah merestorasi semula kerangka wagon ini dan memadankan rollcage yang dibina oleh After Hours Automotive. Suspensi kereta ini turut di bina semula dan kini ia menerima lengan kawalan, tie rod dan set hubungan toe dari Hardrace.

    Penyerap hentak boleh laras sepenuhnya Tein Street Advance Z dipadankan pada setiap sudut, dan dilaras cukup rendah bagi membolehkan sebahagian tayar Toyo Proxes RR bersaiz 235/35ZR19 yang membaluti rim aloi Super Touring Podium Fifteen52 19-inci bersembunyi di bawah fender – persis jentera Group A JTCC sebenar.

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Kesemua komponen suspensi ini dipadankan pada hab roda yang diambil dari Civic Type R FK8, serta membolehkan set brek Brembo juga dari Type R FK8 dipadankan terus pada Accord Wagon ini.

    Kokpit Accord Wagon ini juga turut diubahsuai bagi kelihatan seperti kereta lumba sebenar. Ia diberikan papan pemuka yang dibina semula dari material gentian karbon, kemudian dibekalkan dengan kelengkapan perlumbaan seperti tempat duduk bucket penuh, tali pinggang keselamatan dan roda stereng – kesemuanya dari Sparco.

    Pemandu menerima semua parameter kereta ini menerusi paparan instrumen perlumbaan AEM CD-7 Carbon Digital Racing Dash Displays. Turut boleh dilihat dalam kabin Accord ini adalah tangki bahan api perlumbaan Radium Engineering dengan pam bahan api AEM 340lph.

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Pada bahagian luaran, Accord Wagon ini diberikan rupa seiras yang mungkin dengan jentera JACCS Accord sebenar. Ia termasuk pemadanan spoiler bawah bampar hadapan, set muka Accord generasi kelima JDM lengkap dengan semua lampu, serta livery perlumbaan yang sama – cuma logo JACCS ditukar kepada logo Fifteen52.

    Kereta ini sebenarnya sudah pun siap pada Mei lalu. Namun, Honda Performance Development baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan dibawa ke pertunjukan SEMA Show 2021 yang akan berlangsung di Las Vegas Convention Center pada 2 hingga 5 November nanti bagi dipertontonkan kepada orang awam.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD muncul dalam teaser – pelancaran bakal berlaku tidak lama lagi

    Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD muncul dalam teaser – pelancaran bakal berlaku tidak lama lagi

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) secara rasminya telah menyiarkan satu teaser untuk A-Class Sedan pemasangan tempatan (CKD), sambil menyatakan pelancarannya akan berlaku tidak lama lagi. Ketibaan sedan kompak CKD ini telah disahkan bulan lalu oleh presiden dan CEO MBM, Sagree Sardien serta ketua bahagian jualan dan pemasaran MBM, Michael Jopp.

    Melalui pemasangan dalam negara ini, harga untuk A-Class Sedan dijangka menurun sedikit, tetapi kita masih perlu melihat perubahan spesifikasi yang diberi berbanding model CBU. Buat masa sekarang, dengan pengecualian cukai 50% bagi kenderaan CBU, A 200 Progressive Line dijual pada harga RM222,121 manakala A 250 AMG Line pada RM259,255.

    Pesaing terdekatnya, iaitu BMW 2 Series Gran Coupe F44 pula dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM211,367 kerana ia sudah sememangnya dipasang dalam negara. Model ini ditawarkan dalam hanya satu versi, iaitu 218i M Sport, yang menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter B38 berkuasa 140 PS dan 220 Nm tork.

    A 200 pula digerakkan oleh enjin empat silinder 1.3 liter turbo daripada Renault. Walaupun kapasitinya lebih kecil, kuasanya pula lebih tinggi berbanding 2 Series Gran Coupe, iaitu 163 PS dan 250 Nm tork.

    Sementara ketibaan A 200 seperti sudah pasti, kita juga boleh menjangka A 250 CKD dilancarkan sekali kerana biasanya MBM akan membawa model yang sama bagi versi CKD, mengikut versi CBU yang sudah sedia dijual.

    GALERI: Mercedes-Benz A 200 Progressive Line Sedan V177

     
     
  • Toyota MR2 2024 dilapor sedang dalam pembangunan — enjin tengah, libat kerjasama Porsche dan Lotus?

    Toyota MR2 2024 dilapor sedang dalam pembangunan — enjin tengah, libat kerjasama Porsche dan Lotus?

    Sejak Toyota Supra A90 diumumkan dulu, peminat tegar terus meniupkan khabar angin berkaitan akan kembali semula tiga model legenda pengeluar Jepun itu. Dengan model 86 dan Supra sudah muncul, model ketiga yang dimaksudkan tentulah MR2.

    Ada beberapa laporan yang bertentangan mengenai MR2 ini. Naib Presiden Toyota Eropah, Matt Harrison berkata projek berkenaan bukanlah keutamaan, tetapi turut mengakui kepentingannya dalam barisan kenderaan akan datang oleh Toyota. Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyota pula telah secara umum memaklumkan hasrat untuk menghidupkan semula tiga model terbabit. Bahkan ketua jurutera bagi 86 dan Supra juga menyuarakan keinginan untuk menghidupkan semula MR2.

    Menurut laman Spyder7 di Jepun, pembangunan MR2 kini telah diluluskan, dan Toyota khabarnya telah berbincang dengan Porsche dan Lotus — dua pakar dalam mengeluarkan kereta enjin di tengah — untuk menjadi rakan teknikal. Ini langkah pengurangan kos yang sama pernah diambil oleh Toyota-Subaru 86 dan BMW Z4. Bagi aspek rekaan, ia akan diilhamkan oleh Toyota Alessandro Volta (gambar).

    Sistem janaan pula, laman itu mencadangkan MR2 serba baru nanti bakal menjadi jentera plug-in hybrid yang dikuasakan oleh enjin 2.9 liter atau 3.0 liter V6. Motor elektrik akan membekalkan tenaga tambahan untuk menjadikan outputnya mencecah 400 PS.

    Apa pun, masih belum ada perkara yang disahkan setakat ini. Anggaplah perkembangan ini sebagai sebuah intaian terhadap perancangan masa depan Toyota. Harga jangkaan pula, pasaran Jepun mungkin akan mengenakan enam juta yen untuk model ini, kira-kira RM218k, dan ia dijangka diperkenalkan pada 2024.

     
     
  • Proton Saga mula diproduksi di Pakistan – unit CBU terakhir X70 dari M’sia telah dihantar, CKD mulai Dis

    Proton Saga mula diproduksi di Pakistan – unit CBU terakhir X70 dari M’sia telah dihantar, CKD mulai Dis

    Proton telah memaklumkan model Saga telah pun memulakan produksinya di Pakistan dengan unit pertamanya berjaya dihasilkan pada 13 Oktober lalu di kilang Al-Haj Automotive. Dengan mensasarkan pengeluaran tahunan sebanyak 25,000 unit, kilang terbabit dibangunkan dengan kos bernilai US$20 juta (RM83 juta). Malahan Proton telah menempatkan 20 kakitangannya yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang berkaitan pengilangan ditempatkan di Karachi untuk membantu dalam proses pemasangan.

    “Kejayaan pemasangan Proton Saga di Pakistan merupakan kemuncak kerja keras dan usaha yang tidak kenal penat lelah oleh Proton, keseluruhan pasukan Al-Haj dan pembekalnya. Walaupun dengan segala kesukaran dalam penguatkuasaan menangani Covid-19, kami terus berusaha untuk membina kilang baharu.

    “Dengan itu kami berkeyakinan ia akan mencatatkan piawaian industri baharu dan membolehkan kami untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang menepati piawaian kualiti antarabangsa yang ditentukan oleh pihak Proton,” kata Hilal Khan Alfridi, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Haj Automotive.

    Klik untuk besarkan spesifikasi Saga pasaran Pakistan

    Sementara itu, penghantaran terakhir bagi unit CBU Proton X70 dari Malaysia ke Pakistan telah pun dilaksanakan. Penghantaran yang membabitkan 154 unit tersebut dihantar pada 17 Oktober lalu merupakan kumpulan terakhir bagi unit CBU SUV segmen-C berkenaan, dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 602 unit yang telah dieksport ke negara berkenaan sejak dilancarkan pada Disember 2020.

    “Walaupun Covid-19 banyak mempengaruhi operasi kami di Pakistan, namun permintaan bagi model Proton di negara tersebut masih kekal tinggi dengan kedua-dua model Proton Saga dan X70 menarik sokongan yang kuat. Pihak Al-Haj telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih daripada 2,000 unit tempahan bagi X70, jadi kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan kerana kepercayaan kepada produk dan juga kesabaran dan bertimbang rasa akan situasi yang menyebabkan kelewatan dalam penghantaran kenderaan mereka.

    “Dengan penghantaran terakhir unit CBU dalam perjalanan dan pemasangan tempatan telah bermula bagi Saga dan X70 akan dihasilkan sebelum akhir tahun ini, kami akhirnya dapat mengorak langkah kehadapan untuk memenuhi permintaan pasaran. Ini akan memberikan ruang bagi Al-Haj Automotive dan Proton untuk mewujudkan keberadaan yang kuat di pasaran negara tersebut demi faedah pertumbuhan jualan masa hadapan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

     
     
  • Suzuki Hayabusa 2021 dilancar untuk M’sia – RM111k

    Suzuki Hayabusa 2021 dilancar untuk M’sia – RM111k

    Anda sudah melihat pelbagai model dilancarkan oleh Suzuki Malaysia, dan sekarang tibalah masanya untuk Hayabusa 2021. Model ini ditawarkan kepada pasaran pada harga RM111,200 dan dalam pilihan tiga warna iaitu hitam/emas, perak/merah serta putih/biru.

    Hayabusa yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ini adalah model terbaru generasi ketiga yang diperkenalkan kepada dunia Februari lalu. Enjinnya masih menggunakan unit empat silinder 1,340 cc yang sama, tetapi bahagian dalamnya telah dipertingkat, termasuk piston dan connecting rod, mampu menghasilkan kuasa 190 PS, 150 Nm tork dan boleh dikatakan boleh mencecah kelajuan maksimum hampir 300 km/j.

    Melalui sistem moden pendikit ride by wire dan unit pengukur inertia (IMU), Hayabusa 2022 dapat disiapkan dengan teknologi terkini, bermula dengan enam mod tunggangan iaitu tiga yang sudah tetap dan tiga lagi dapat ditukar mengikut kemahuan pengguna.

    Kemudiannya, ciri elektronik yang disediakan adalah termasuk Anti-Lift Control System, Bi-Directional Quickshifter, Engine Brake Control, Motion Track Traction Control, Launch Control, Sloper Dependent Control, Active Speed Limiter, Motion Track Brake, Hill Hold Control dan Cruise Control.

    Semua fungsi serta operasi sistem motosikal ini boleh dilihat melalui panel instrumen yang masih lagi menggunakan tolok analog di bahagian tepi sementara di bahagian tengahnya terdapat skrin TFT-LCD. Penunggang juga boleh melihat data aktif untuk sudut condong motosikal, tekanan brek, tahap pecutan dan kedudukan pendikit.

    Hayabusa 2022 menggunakan suspensi daripada Kayaba, dengan kedua-dua bahagian depan dan belakang boleh dilaras sepenuhnya. Brek pula adalah daripada Brembo, dengan angkup Stylema serta cakera 320 mm berkembar di hadapan, serta angkup Nissin satu piston di belakang. Perincian lain adalah termasuk tangki bahan api 20 liter, transmisi enam kelajuan, berat 264 kg, tinggi tempat duduk 800 mm dan jarak roda 1,480 mm.

     
     
  • Suzuki V-Strom 1050XT dilancarkan di M’sia – RM82k

    Suzuki V-Strom 1050XT dilancarkan di M’sia – RM82k

    Suzuki Malaysia terus ke hadapan dengan pengenalan model baru dalam pasaran apabila melancarkan V-Strom 1050 XT pada harga RM81,900. Ini adalah model yang pertama kali diperkenalkan pada hujung tahun 2019 di Eropah, dan mempunyai grafik seakan model lama kerana Suzuki cuba menerapkan kembali konsep gaya DRZ serta DR-Big tahun 90-an.

    Ia dipacu oleh enjin dua silinder V 1,037 cc, yang kini sudah menepati tahap emisi Euro 5 dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dengan klac slip & assist serta fungsi Easy Start System, untuk menghasilkan kuasa 106 hp pada 8,500 rpm dan 100 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Kelengkapan lain yang diberikan terus pada V-Strom 1050 adalah suspensi depan dan belakang yang boleh dilaras, set cakera berkembar dengan sistem ABS, tiga mod tunggangan, Traction Control, penghadang angin hadapan yang boleh dilaras, soket pengecas USB, rim aluminium (19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang) dan panel meter LCD.

    Model yang dilancarkan di Malaysia ini adalah versi XT, iaitu versi yang paling lengkap, dan ia datang dengan pakej sistem elektronik Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang termasuk Inertial Measurement Unit (IMU), Motion Track Brake System, Hill Hold Control System, Slope Dependent Control System, Load Dependent Control System, Cruise Control System dan dua mod ABS.

    Versi ini juga diberikan dengan pelindung enjin, lampu penunjuk arah LED, pelindung tangan, tempat duduk yang boleh dilaras, tongkat tengah, soket pengecas 12V di bawah tempat duduk dan rim spoked.

    Sebagai tambahan, Suzuki Malaysia akan memberikan terus beg barangan tepi aluminium asli Suzuki kepada pembeli model ini, sementara barangan lain dalam katalog dijual secara berasingan. Dua pilihan warna yang disediakan untuk pasaran Malaysia adalah oren dan kelabu.

     
     
  • Jaguar I-Pace bakal dilancar di M’sia tidak lama lagi

    Jaguar I-Pace bakal dilancar di M’sia tidak lama lagi

    Baru-baru ini, Jaguar Land Rover Malaysia (JLR MY) mengumumkan akan memperkukuhkan operasi lagi perniagaan sebagai pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Jaguar dan Land Rover di Malaysia. Kedua-dua jenama Jaguar dan Land Rover akan memperkenalkan model baharu” dalam masa terdekat ini, dan antara salah satu model yang disebut-sebut ialah kenderaan elektrik sepenuhnya, Jaguar I-Pace.

    I-Pace. telah menerima peningkatan untuk model tahunan 2021, diberikan penjana kuasa dwi-motor untuk menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 400 PS dan tork 696 Nm, dengan pacuan disalurkan ke semua roda. Peningkatan teknikal untuk model tahun ini juga termasuk pengecas onboard 11 kW untuk masa pengecasan yang lebih pantas apabila disambungkan ke tiga fasa outlet; wallbox berkapasiti 11 kW dengan menawarkan kadar pengecasan 53 km per jam, dengan pengecasan. penuh mampu dicapai dalam 8.6 jam.

    Sebaliknya, pek bateri 90 kW akan mengambil masa sekitar 12.75 jam untuk pengecasan penuh dari wallbox 7 kW. Tetapi untuk kadar yang lebih pantas, I-Pace boleh dicas dengan pengecasan pantas DC sehingga 100 kW, dengan anggaran cas mencecah jarak 125 km dalam 15 minit, menurut Jaguar. Jarak sekitar 480 km mengikut kitaran WLTP, dan bagi kelajuan fizikal, I-Pace mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 4,8 saat.

    Di dalamnya, rombakan untuk model 2021 termasuklah pek infotainmen Pivi Pro yang kini merangkumi kluster instrumen definisi tinggi 12.3-inci, unit paparan skrin sesentuh 10-inci dan skrin sesentuh lima-inci dengan haptic rotary dial untuk kawalan pendingin hawa.

    I-Pace pernah muncul dalam laman sesawang JLR MY pada Ogos 2019, selepas ia diperkenalkan di peringkat dunia pada Mac 2018. Ia juga banyak menerima pengiktirafan sejak diperkenalkan, antaranya Kereta Tahunan Dunia 2019, Kereta Tahunan Eropah 2019 dan Kereta Tahunan Jerman 2019.

    Selain I-Pace, pasaran Malaysia juga bakal menerima model facelift bagi SUV F-Pace dan XF sedan, sementara untuk jenama Land Rover piula, Range Rover generasi kelima dijangka akan diperkenalkan di sini. Tahun hadapan, Land Rover Defender L663 versi jarak roda pendek pula diperkenalkan selepas versi jarak roda panjang diperkenalkan pada minggu lalu. Manakala penjana kuasa diesel pula akan diperkenalkan di pasaran tempatan bagi versi Defender 90.

    GALERI: Jaguar I-Pace 2021

     
     
  • Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

    Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

    Seperti yang dijanjikan, hari ini Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) secara rasminya melancarkan MPV bersaiz besar, Hyundai Staria ke pasaran Malaysia. Model generasi baharu ini bukan sahaja jauh lebih besar dari Hyundai Starex, malah ia menampilkan rekaan yang begitu futuristik diluar, bersama perincian lebih mewah di dalamnya, selari dengan teknologi terkini yang ditawarkan.

    Hyundai Staria ini dijual pada pasaran Malaysia hanya dalam satu varian, iaitu varian paling mewah yang digelar sebagai Staria Premium dengan enjin 2.2L Turbodiesel CRDi. Bagi harga pula, HSDM menawarkan pelanggan dengan dua pilihan bergantung kepada waranti.

    Ia bermula dengan RM358,888 yang datang dengan waranti dua-tahun atau 50,000 km, dan RM368,888 sekiranya anda mahukan waranti lima-tahun/300,000 km bersama pakej servis percuma tiga-tahun/50,000 km. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama insentif pengecualian cukai jualan 50% bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU).

    Walaupun Staria ini dihasilkan sebagai sebuah MPV dengan gaya seperti van, ia sebenarnya turut diasaskan dari platform generasi baharu N3 Hyundai seperti SUV Hyundai Santa Fe dan trak pikap Hyundai Santa Cruz. Ini membolehkan rangkaian kuasa Staria memacu roda hadapan serta diberikan suspensi multilink yang lebih selesa di belakang, berbanding Starex yang menampilkan konfigurasi pacuan belakang menggunakan gandar hidup.

    Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

    Nampak macam Hyundai Staria ini lebih besar dari Starex kan? Bukan sahaja nampak, tapi saiz sebenar Staria ini sememangnya lebih besar dari Starex. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,253 mm panjang (+103 mm), 1,997 mm lebar (+77 mm), 1,990 mm tinggi (+55 mm) dan jarak roda sejauh 3,273 mm (+73 mm). Dan sudah tentu, Staria juga jauh lebih besar berbanding Toyota Alphard dan Vellfire.

    Seperti yang sudahpun ramai melihat imejnya sebelum ini, Staria tampil dengan rupa luaran yang minimalis dan futuristik, seakan kereta api peluru. Bahagian hadapan MPV ini dihasilkan cukup ringkas dengan satu jalur LED berfungsi sebagai lampu nyalaan siang dan lampu kedudukan merentangi keseluruhan mukanya, bersama gril besar di bahagian bawah yang turut diberikan lampu utama terdiri dari kiub LED yang disusun dua baris menegak.

    Bagi model Premium pasaran Malaysia ini, HSDM memberikan opsyen kemasan luaran untuk pelanggan sama ada memilih serlahan berwarna tembaga atau kelabu gelap pada emblem, gril, bezel lampu utama, bampar, rim, cermin sisi dan pembuka pintu.

    Pada bahagian sisi Staria ini, Hyundai mendakwa bahawa bentuk garis badan tunggal dari muncung sehingga bumbung belakang MPV ini diinspirasikan bentuk Bumi ketika matahari terbit yang dilihat dari angkasa. Ia diberikan tingkap sisi yang cukup besar, manakala pada permukaan sisi tidak diganggu dengan sebarang garisan lain yang menyerlahkan rupa ringkas dan bersih.

    Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

    Menurut Hyundai, rekaan cermin tingkap yang besar berkenaan diinspirasikan dari seni bina hanok tradisional Korea bagi membolehkan penumpang merasakan pemandangan luar adalah sambungan dari bahagian luaran Staria ini. Model Premium ini juga dipadankan dengan rim aloi dua tona 18-inci.

    Konsep yang sama juga diteruskan di belakang di mana ia menampilkan cermin dan juga pintu tailgate yang besar, bersama permukaan rata, bersama bampar yang cukup nipis disertakan jalur kemasan di bawahnya. Lampu belakang Staria ini direka menegak pada kedua-dua hujung sisi, menampilkan rekaan grafik dalam Parametric Pixel sama seperti model Ioniq 5.

    Jika pada bahagian luaran Staria ini kelihatan seperti kapal angkasa, kabin MPV ini pula menampilkan rekaan yang menurut Hyundai diinspirasikan dari kapal persiaran. Untuk masuk ke kabin belakang, Staria menampilkan pintu gelangsar pada setiap sisi, dan model Premium ini disertakan dengan sistem pintu pintar – tidak perlu menekan butang, ia dibuka/tutup berdasarkan proksimiti. Sistem yang sama turut diterapkan pada pintu tailgate belakang.

    Staria menerima papan pemuka seiras dengan Tucson generasi baharu, menampilkan liang penghawa dingin yang nipis diberikan merentangi keseluruhan papan pemuka, dipisahkan dengan skrin sesentuh sistem infotainmen 8-inci yang diletak tinggi di tengah, nampak seakan air terjun. Sistem infotainmen berkenaan diberikan pelbagai perincian yang lebih mesra-keluarga, termasuk memaparkan visual dari kamera yang memantau penumpang belakang.

    Kokpit MPV ini turut diberikan dengan banyak ruang-ruang simpanan, termasuk konsol pada bumbung, di bawah panel instrumen, dan juga pada atas dan bawah bahagian tengah papan pemuka. Konsol tengah Staria disertakan dengan pemegang-pemegang cawan, port USB, serta ruang simpanan, manakala glove box pula direka agar ia lebih kehadapan bagi memberikan ruang kaki lebih baik pada penumpang hadapan.

    Untuk pemandu, paparan meter digital disediakan dalam bentuk skrin 10.25-inci, dan ia diletakkan secara berdiri sendiri di atas papan pemuka tanpa sebarang perumah. Pemandu juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, roda stereng seiras Hyundai Sonata, suis tekan untuk menukar gear menggantikan tombol konvensional yang terletak di konsol tengah, brek parkir elektronik dengan fungsi autohold serta cermin pandang belakang elektrokromik.

    Kabin hadapan ini juga diberikan cermin tingkap dua-lapis kedap bunyi, bumbung suria, serta sepasang tempat duduk larasan berkuasa – lapan hala bersama lumbar empat hala untuk pemandu dan empat hala bagi penumpang.

    Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

    Staria Premium pasaran Malaysia ini menampilkan konfigurasi tujuh-tempat duduk (11-tempat duduk untuk pilihan model standard bagi pasaran lain) didatangkan dengan sepasang kerusi Premium Relaxation di baris kedua yang boleh digelangsarkan ke hadapan dan ke belakang serta dilengkapi mod santai dengan operasi satu sentuhan. Mod berkenaan akan membaringkan tempat duduk tersebut secara elektrik serta memanjangkan ottoman bagi memberikan rasa seperti kelas perniagaan dalam pesawat.

    Hyundai mendakwa bahawa walaupun dengan mod ini, Staria masih menawarkan ruang yang cukup untuk orang dewasa duduk pada baris ketiga. Tempat duduk baris kedua berkenaan juga diberikan sistem pemanas dan juga liang udara. Penumpang pada kabin belakang ini menerima liang penghawa dingin masing-masing yang terletak di bumbung, bersama satu panel kawalan berasingan.

    Penumpang kabin belakang MPV ini juga menerima bumbung suria tersendiri yang lebih besar, port pengecas dan pemegang cawan individu pada setiap tempat duduk dan pelindung cahaya matahari pada setiap cermin tingkap. Staria Premium ini dibekalkan standard dengan lampu suasana kabin 10-warna (yang boleh dilihat di bahagian kokpit, konsol tengah, pintu dan bahagian kargo) serta sistem bunyi 12-pembesar suara dari Bose.

    Staria juga menerima sistem keselamatan termaju setara dengan barisan model kereta dan SUV Hyundai yang lain. MPV ini dibekalkan dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Hyundai SmartSense yang terdiri dari sistem termasuk Bantuan Pelanggaran Titik Buta, Monitor Pemantau Titik Buta, Bantuan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang, Bantuan Kekal Lorong serta Cruise Control pintar dengan fungsi stop & go.

    Pakej tersebut turut memberikan fungsi lain seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Keluar Selamat, Pengingat Penumpang Belakang, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Jarak Parkir, Monitor Pemandangan Sekeliling, Amaran Tumpuan Pemandu dan Amaran Gerak Mula Kenderaan Hadapan. Selain itu, Staria juga menerima sistem keselamatan asas lain seperti enam-beg udara dan cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix pada kerusi baris tengah.

    Seperti yang disebut tadi, ‘kapal angkasa’ ini digerakkan dengan hanya satu pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 2.2 liter turbodiesel empat silinder berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm bermula 1,500 rpm sehingga 2,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan bersama pedal penukar gear, dan memacu hanya roda hadapan.

     
     
  • Mazda CX-3 ditamatkan jualannya di Eropah – laporan

    Mazda CX-3 ditamatkan jualannya di Eropah – laporan

    Pada Mei lalu, Mazda telah mengumumkan model CX-3 (dan Mazda 6 sedan) akan ditamatkan jualannya di Amerika Syarikat, dan nampak gayanya keputusan yang sama juga akan dilaksanakan di Eropah. Menurut laporan majalah Auto Katalog, yang memetik kenyaraan Pengurus PR Mazda Poland, Szymon Soltysik, yang berkata, pelanggan yang berminat untuk membeli CX-3 “perlu pantas berbuat demikian.”

    Malahan, Mazda Jerman turut mengesahkan pada Motor1 bahawa produksi bagi CX-3 di pasaran Eropah akan berakhir pada Disember ini. Walau bagaimana pun, tidak bermakna pasaran lain juga akan berhenti menjual CX-3, yang pertama kali diperkenalkan pada November 2014.

    Di Jepun, crossover segmen-B tersebut baru saja menerima sedikit naik taraf termasuk memperkenalkan spesifikasi “Super Edgy” baharu. Di sini pula, CX-3 telagh menerima sedikit rombakan spesifikasi dengan menambah i-Activsense, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta menawarkan pilihan warna baharu.

    Berita mengenai CX-3 yang bakal ditamatkan jualannya di Eropah dan Amerika Syarikat bukanlah suatu isu besar, memandangkan model yang lebih besar (dan lebih baharu) CX-30 masih dijual di sana. Pada masa akan datang, Mazda juga akan melancarkan lima lagi model untuk barisan SUV, termasuklah CX-50 sehinggalah ke CX-90.

     
     
  • Jaguar Land Rover Malaysia perkukuh operasi; Range Rover baru, Defender 90 dan EV I-Pace bakal dilancar

    Jaguar Land Rover Malaysia perkukuh operasi; Range Rover baru, Defender 90 dan EV I-Pace bakal dilancar

    Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM), yang merupakan sebuah syarikat usaha sama Sime Darby Motors dan Sisma Auto telah membuat pengumuman akan memperkukuhkan lagi perniagaan sebagai pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Jaguar dan Land Rover di Malaysia.

    Melaluinya, semua aset dan pekerja akan dipindahkan ke pusat operasi utama di Ara Damansara, Selangor, yang mempunyai keluasan 167,586 kaki persegi. Selain pameran kenderaan baru, pusat operasi yang telah diiktiraf sebagai 4S Jaguar Land Rover terbesar di Asia Tenggara ini juga menyediakan lebih banyak khidmat untuk pelanggan, termasuk pilihan kenderaan terpakai yang diperakui.

    “Gabungan ini bakal menjadi langkah yang positif ke arah pengendalian kecekapan yang lebih baik dan peningkatan perkhidmatan premium yang akan menjamin peningkatan jangka masa panjang syarikat. Langkah penggabungan ini akan memanfaatkan pengalaman luas dan kepakaran yang kami kumpulkan selama beberapa dekad ini. Ia juga bagi mengukuhkan pelaksanaan proses dan memberikan nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan kami,” kata pengarah urusan JLRM, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    Beliau turut menambah bahawa syarikat mempunyai perancangan untuk melabur lebih banyak bahagian berkaitan teknologi serta penyelesaian digital demi meningkatkan kapasiti servis serta perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

    Untuk bahagian servis selepas jualan, kedua-dua jenama akan menerima pelaburan berterusan daripada JLRM, termasuk latihan untuk meningkatkan jumlah juruteknik Master Level 4 dan juruteknik Teknologi Kenderaan Elektrik bertauliah untuk bagi memastikan para pelanggan mendapat perkhidmatan yang terbaik untuk kenderaan mereka.

    Dalam siaran akhbar yang disiarkan, beberapa model baru juga kini dalam perancangan untuk pelancaran di Malaysia, termasuk Jaguar F-Pace, Jaguar XF, Jaguar I-Pace, Land Rover Defender 90 dan Range Rover serba baharu.

     
     
  • PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

    PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

    Mengapa sebuah jenama kenderaan China ingin masuk dan bersabung sekali dalam satu segmen kenderaan yang sudah sedia sengit adalah satu hal yang menarik untuk diteliti. Sama ada pengeluar dan pengedarnya betul-betul yakin dengan tahap kualiti penawarannya untuk bersaing, atau sengaja ingin kacau daun dan bereksperimen di dalam sebuah segmen pasaran yang terbukti mapan dan akan terus berkembang — dua ini saja sebab yang boleh dikatakan menjadi penentu terhadap langkah itu.

    Yang saya maksudkan ialah model trak pikap terbaru yang menjengah pasaran tempatan pertengahan Oktober lalu; sebuah trak dari Jiangling Motors Co. Ltd (JMC) dari China yang dipasang dan diedarkan oleh Angka-Tan Motor (ATM) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Warisan TC Holding Berhad yang bertindak selaku pengedar tunggal trak pikap Vigus Pro di Malaysia.

    Ini menjadi tambahan terbaru kepada sebuah segmen yang sudah cukup padat dan sengit saingannya. Tentulah kita tak perlu diperingatkan dengan panjang lebar tentang penawaran trak pikap yang ada di Malaysia ketika ini. Hampir semua model yang ada sudah mempunyai reputasi yang bukan calang-calang, dan sudah menapak di sini sejak lama. Kebanyakannya pula adalah dari jenama Jepun yang memang sudah terbukti ketahanannya.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Hyundai Staria akan dilancarkan di M’sia 27 Okt ini

    Hyundai Staria akan dilancarkan di M’sia 27 Okt ini

    Selepas tempahannya dibuka minggu lalu, Hyudai Sime Darby Motors (HSDM) mengesahkan bahawa MPV bersaiz besar generasi baharu mereka iaitu Staria bakal dilancarkan secara rasmi esok, 27 Oktober 2021. Pengumuman itu dibuat bersama satu lagi teaser yang disiarkan di laman Facebook mereka, dengan grafik bertulis “kelasnya yang tersendiri” serta “memacu masa hadapan”.

    Hyundai Staria akan dijual dalam pasaran tempatan dalam satu varian, iaitu varian tertinggi Staria Premium. Ia juga hanya ditawarkan dengan enjin turbodiesel empat-silinder 2.2 liter CRDi berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, dan berbeza dari Starex yang memacu roda belakang, Staria hanya memacu roda hadapan.

    Model Premium bagi pasaran Malaysia ini dipadankan dengan kelengkapan-kelengkapan tertinggi termasuk konfigurasi hanya tujuh tempat duduk bersama tempat duduk gaya penerbangan kelas perniagaan Premium Relaxation pada baris kedua, yang boleh dibaringkan dengan hanya menggunakan satu butang mod Relaxation.

    Menurut Hyundai lagi, walaupun kerusi baris tengah tersebut sudah dibaringkan sepenuhnya, penumpang dewasa di baris ketiga masih boleh duduk dengan selesa. Besar bukan? Saiz sebenar Staria ini sememangnya lebih besar dari Starex. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,253 mm panjang (+103 mm), 1,997 mm lebar (+77 mm), 1,990 mm tinggi (+55 mm) dan jarak roda sejauh 3,273 mm (+73 mm).

    Selain itu, model Premium ini turut dilengkapi dengan perincian lain seperti lampu suasana kabin, sistem bunyi dari Bose dan juga sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense terkini. Disebabkan Staria dihasilkan dengan kerangka unibody dan bentangan pacuan hadapan, suspensi belakangnya menampilkan sistem multilink yang lebih selesa.

    Tiada sebarang petunjuk berkenaan harga didedahkan, namun Staria standard 11-tempat duduk (bukan Premium) telahpun dilancarkan di Thailand pada harga bermula 1,729,000 baht (RM222,100), iaitu lebih mahal berbanding Starex/H-1 yang dijual pada harga bermula 1,329,000 baht (RM170,800).

    Model pasaran Malaysia ini adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea serta menerima kelengkapan yang jauh lebih baik. Jadi tidak mustahil harganya bakal mencecah RM350k.

    GALERI: Hyundai Staria Premium

     
     
  • Toyota Vios Hybrid bakal muncul dengan sistem e:Smart Hybrid yang sama dengan Daihatsu Rocky?

    Toyota Vios Hybrid bakal muncul dengan sistem e:Smart Hybrid yang sama dengan Daihatsu Rocky?

    Bermula dari generasi keempat, sedan segmen-B Honda City sudahpun menampilkan unit rangkaian kuasa hibrid petrol elektrik. Tetapi, saingan utamanya dari Toyota iaitu Vios sehingga kini masih belum menawarkan teknologi yang sama.

    Namun, dengan pengenalan sistem hibrid yang agak canggih ditawarkan oleh sekutu Toyota, iaitu Daihatsu untuk model-model mampu milik, Vios dijangka bakal menerima teknologi tersebut. Sistem yang digelar sebagai e:Smart Hybrid tersebut telah dipadankan pada SUV segmen-B Daihatsu Rocky (kembar kepada Perodua Ativa di Malaysia) dan bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan depan di Jepun.

    Menurut laporan Autoindustriya, Toyota kini sedang mengembangkan penawaran model-model dengan teknologi elektrifikasi, dan teknologi e:Smart Hybrid dari Daihatsu tersebut bakal diperkenalkan dalam barisan model Toyota, dikhabarkan bakal dipadankan pada Vios dan Avanza.

    Toyota Vios Hybrid bakal muncul dengan sistem e:Smart Hybrid yang sama dengan Daihatsu Rocky?

    Bagi sistem yang dipadankan pada Daihatsu Rocky, sistem e:Hybrid berkenaan menampilkan enjin WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder, iaitu versi dengan sistem kitaran Atkinson dari enjin WA-VE 1.2 liter Rocky biasa pasaran Indonesia. Namun enjin tersebut hanya bertugas semata-mata untuk mengecaj bateri hibrid, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

    Apa yang menarik, Rocky e:Smart Hybrid ini juga menerima sistem pedal pintar S-PDL, iaitu sistem yang membolehkan pemandu mengawal pecutan serta memperlahankan dan memberhentikan kereta dengan hanya satu pedal. Sistem ini adalah sistem lazim diberikan pada kerete-kereta berkuasa elektrik sepenuhnya, seperti sistem e-Pedal Nissan Leaf generasi kedua.

    Sistem e:Smart Hybrid yang sebenarnya sistem hibrid range extender ini dilihat menampilkan teknologi setara dengan sistem hibrid i-MMD pada Honda City RS e:HEV. Bagi sistem Honda berkenaan, ia terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm.

    Toyota Vios Hybrid bakal muncul dengan sistem e:Smart Hybrid yang sama dengan Daihatsu Rocky?

    Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri sama seperti sistem hibrid range extender, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

    Jika Vios dan Avanza Hybrid ini diperkenalkan, ia berkemungkinan besar akan ditawarkan di Malaysia kerana selari dengan aspirasi UMW Toyota Motor yang kini sedang menuju kearah untuk memperkenalkan lebih banyak model elektrifikasi, bermula dengan Corolla Cross Hybrid yang akan dilancarkan di sini tak lama lagi. Anda bagaimana? Agak-agak berminat ke sekiranya Vios dan Avanza dijual dalam versi hibrid di Malaysia?