Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Data jualan kenderaan September 2019 ikut jenama – kebanyakan catat penurunan, Subaru paling positif

    Data jualan kenderaan September 2019 ikut jenama – kebanyakan catat penurunan, Subaru paling positif

    Laporan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan penurunan bagi angka jualan kenderaan bagi bulan September 2019. Secara keseluruhannya, sejumlah 44,666 unit kenderaan berjaya dijual dalam tempoh berkenaan – ini merupakan penurunan sebanyak 6,482 unit atau 12.7% – berbanding angka 51,148 unit yang dicatatkan pada Ogos 2019.

    MAA menyatakan penurunan itu berlaku disumbangkan oleh jumlah cuti umum yang banyak, menjadikan hari bekerja lebih singkat, serta pengguna yang menangguhkan pembelian selepas pengumuman Belanjawan 2020. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan bulan yang sama tahun lalu, angka terbaru ini sebenarnya ada peningkatan sebanyak 13,426 unit atau 43%. Perlu diingat, September 2018 merupakan bulan pertama berakhirnya “cuti cukai” GST sebelum pengenalan semula SST.

    Bagi tempoh setakat September 2019 pula (year-to-date, YTD), jumlah keseluruhan industri bagi tempoh sembilan bulan dalam 2019 ialah 442,991 unit; ini adalah penurunan sebanyak 11,864 unit atau 2.6% berbanding tempoh sama bagi 2018.

    Data jualan kenderaan September 2019 ikut jenama – kebanyakan catat penurunan, Subaru paling positif

    Melihat prestasi angka-angka ini mengikut jenama pula, banyak pengeluar-pengeluar utama yang turut mencatatkan penurunan jualan. Misalnya, Perodua menurun sebanyak 15.4%, Proton menurun sebanyak 4.8%, Honda berkurangan 24.1%, Toyota pula turun 2.5% dan Nissan berkurangan sebanyak 7.3%. Proton bagaimanapun dapat mengukuhkan kedudukannya dengan jumlah YTD dan mengatasi Honda sebanyak 4,797 unit, berbanding perbezaan 1,864 unit pada Ogos 2019.

    Antara jenama yang mencatatkan peningkatan pada September 2019 pula ialah Subaru +31.0%, Renault +43.8%, Ford +4.0% and Isuzu +0.5% – lonjakan bagi Subaru disumbangkan antaranya oleh pengenalan Forester baru pada bulan sebelumnya. Bagi Renault pula, peningkatan itu mungkin disumbangkan oleh program langganan kenderaan yang dijalankan. Jenama yang mencatatkan penurunan paling banyak pula adalah Mazda (-55.1%), Hyundai (-44.7%) dan Mitsubishi (-22.4%).

    Bagi segmen kenderaan premium, BMW catatkan pertumbuhan positif sebanyak 21.2%, berbanding Mercedes-Benz yang mencatatkan penurunan 8%, walaupun masih mendahului jumlah YTD dengan jumlah 400 unit. Lain-lain jenama adalah seperti berikut; Volvo -6.3%, Lexus +4.0% dan MINI -19.0%.

    Data jualan kenderaan September 2019 ikut jenama – kebanyakan catat penurunan, Subaru paling positif

     
     
  • Porsche 911 Carrera S kini hadir dengan kotak gear manual tujuh-kelajuan, tanpa tambahan harga

    Porsche 911 Carrera S kini hadir dengan kotak gear manual tujuh-kelajuan, tanpa tambahan harga

    Berita baik untuk peminat Porsche 911 yang gemarkan ‘pemanduan lebih intim’, pembuat kereta sport dari Jerman berkenaan telah mengumumkan bahawa 911 Carrera S, 4S Coupe dan 4S Cabriolet generasi terbaharu (992) kini ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual tujuh-kelajuan.

    Menurut Porsche, pembeli boleh memilih opsyen kotak gear manual ini berbanding versi transmisi klac berkembar automatik PDK lapan-kelajuan tanpa dikenakan apa-apa bayaran tambahan. Versi manual tersebut turut hadir standard dengan pakej Sport Chrono yang terdiri dari cagak Dynamic Drivetrain, PSM Sport Mode dan juga fungsi rev-match yang membolehkan anda menurunkan gear secara agresif dengan teknik heel & toe dilakukan oleh komputer.

    Suis pilihan mod pemanduan juga disertakan pada roda stereng, membolehkan pemandu memilih mod pilihan mereka tanpa mengalihkan tangan. Berbeza dari 911 versi PDK automatik yang dibekalkan dengan LSD kawalan elektronik, model manual ini diberikan LSD jenis mekanikal bersama sistem Porsche Torque Vectoring.

    Porsche 911 Carrera S kini hadir dengan kotak gear manual tujuh-kelajuan, tanpa tambahan harga

    Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin boxer 3.0 liter enam-silinder turbo pada model manual ini adalah kekal sama dengan versi PDK automatik iaitu 450 PS/530 Nm. Walau bagaimanapun, seperti yang diketahui tukaran gear dari kotak gear klac berkembar automatik sememangnya jauh lebih pantas, di mana model manual dengan Sport Chrono ini memecut dari 0-100 km/j 0.5 saat lebih lambat (4 saat) berbanding model auto yang menghabiskan pecutan sama dalam masa 3.5 saat.

    Spesifikasi lebih terperinci berkenaan model manual untuk 911 992 ini akan didedahkan sedikit masa lagi. Namun untuk pelanggan di Amerika Syarikat, 911 Carrera S dan 4S dengan kotak gear manual ini sudahpun boleh ditempah, dan kumpulan pertama akan sampai ke bilik pameran pada Mac 2020. Ia dijual pada harga bermula US$113,300 (RM473k) untuk Carrera S manual, dan US$133,400 (RM557k) untuk 911 Carrera 4S Cabriolet.

     
     
  • Arch KRGT-1 dipertingkat dengan 150 komponen baru – dibuat khas bila ada tempahan, harga cecah RM300k

    Arch KRGT-1 dipertingkat dengan 150 komponen baru – dibuat khas bila ada tempahan, harga cecah RM300k

    Syarikat pengeluar motosikal buatan khas yang diasaskan oleh pelakon terkenal, Keanu Reeves telah melancarkan model terbaru mereka untuk pasaran iaitu Arch KRGT-1. Ini adalah model yang dipertingkat daripada model sebelumnya, dengan 20 pembaharuan utama dan 150 komponen baru.

    Sebagaimana model-model keluaran mereka yang lain, Arch KRGT-1 akan dibuat apabila terdapat tempahan dan melalui proses yang tersendiri. Ia juga menggunakan pelbagai bahagian unik yang dihasilkan sendiri seperti lengan ayun, kerangka dan triple tree aluminium billet inspirasi lumba, serta panel badan yang direka semula.

    Untuk penggerak, Arch KRGT-1 menggunakan enjin V-twin 2,0323 cc yang dihasilkan bersama dengan S&S Cycle serta transmisi enam kelajuan yang dipasang dengan syaf tork tinggi. Kuasa daripada enjin ini disampaikan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.

    Selain bahagian yang dibuat sendiri oleh Arch Motorcycles, motosikal ini juga menggunakan kelengkapan premium dan berprestasi oleh jenama terkenal lain seperti ekzos gentian karbon Yoshimura, penapis udara K&N, suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya (NIX 48 mm di hadapan dan monoshock di belakang), sistem ABS two-channel Bosch, klac dan brek Magura, panel meter MotoGadget serta rim gentian karbon Ultralight Blackstone Tek (BST).

    Arch KRGT-1 sudah dibuka untuk tempahan namun mereka yang berminat perlu menghubungi syarikat itu untuk mengetahui harganya. Jika mengikut harga model sebelum ini, ia boleh mencecah sehingga USD80,000 (RM334,000). Setiap satunya dibuat khas untuk mengikuti keselesaan pemilik, dan akan mengambil masa 90 hari untuk siap.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, Q3 2019 VS Q3 2018 – jenama mana yang meningkat atau menurun

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, Q3 2019 VS Q3 2018 – jenama mana yang meningkat atau menurun

    Kita sudah pun memasuki suku keempat dan terakhir untuk 2019, jadi inilah masanya melihat pencapaian industri automotif tempatan bagi tiga suku pertama tahun ini, berdasarkan data jualan bulanan yang diedarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dan kita boleh lihat prestasi jualan bagi setiap jenama dan juga perbandingannya dengan tempoh yang sama pada 2018.

    Bagi jumlah keseluruhan indusri (TIV) hingga ke September dilihat agak menyusut sedikit berbanding 2018 iaitu menurun sebanyak 2.63% (atau 11,864 unit), dengan 442,991 unit kenderaan dihantar pada sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 454,971 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Faktor utama yang menyaksikan penyusutan bagi tiga suku pertama 2019 adalah pada Jun hingga Ogos 2018, banyak jenama melonjak jualannya disebabkan sifar-GST yang mendorong orang ramai membeli kenderaan baharu.

    Walau bagaimana pun, dengan data prestasi jualan kenderaan bagi 2019, Perodua dilihat memacu angka yang memberangsangkan. Dalam tempoh sembilan bulan pertama ini, Perodua berjaya mencatat jualan sebanyak 178,754 unit sehingga suku ketiga 2019 iaitu meningkat sebanyak 6.27% berbanding 168,203 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Manakala perkongsian pasaran juga menunjukkan peningkatan sebanyak 40.4% berbanding 37% pada 2018.

    Manakala Proton juga menunjukkan kecemerlangan dalam jualan dengan mencatatkan sejumlah 69,920 unit setakat suku ketiga 2019, iaitu meningkat sebanyak 42.02% berbanding 49,233 unit yang terjual bagi tempoh yang sama tahun lalu.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, Q3 2019 VS Q3 2018 – jenama mana yang meningkat atau menurun

    Ia merupakan rekod yang terbaik untuk meletakkan Proton di tangga kedua secara keseluruhannya, malah perkongsian pasaran juga meningkat ke 15.8% berbanding 10.8% sebelum ini. Manakala Honda pula terpaksa berpuas hati di tangga ketiga dengan penyusutan sebanyak 18.51% iaitu hanya terjual 65,123 unit sehingga suku ketiga 2019 berbanding 79,915 unit bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Hanya empat jenama kenderaan penumpang yang menunjukkan peningkatan pada suku ketiga, ini termasuklah Volvo (+29.38%) dan Renault (+14.58%). Manakala jenama yang menyusut jualannya termasuklah Toyota (-9.57%), Nissan (-24.39%), Mazda (-19.01%), Volkswagen (-28.23%), Kia (-28.68%), Subaru (-51.46%) dan Hyundai (-29.84%).

    Bagi segmen premium, nampak gayanya nasib menyebelahi Volvo yang berjaya menunjukkan peningkatan jualan berbanding Mercedes (-25.78%) dan BMW (-18.05%). Walau bagaimana pun, Volvo hanya mampu menjual sebanyak 1,374 unit berbanding Mercedes dengan 7,764 unit dan BMW pula 7,360 unit bagi suku ketiga 2019.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, Q3 2019 VS Q3 2018 – jenama mana yang meningkat atau menurun

     
     
  • Mazda CX-8 2020 – kemaskini untuk pasaran Jepun

    Mazda CX-8 2020 – kemaskini untuk pasaran Jepun

    Mazda CX-8, walaupun telah diproduksi secara CKD di Malaysia dan kami juga telah memandu ujinya awal bulan ini, ia belum lagi masuk ke pasaran tempatan secara rasmi. Namun di Jepun, model tersebut telah pun menerima berberapa kemaskini untuk versi 2020, didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2019 minggu lalu.

    Untuk pasaran negara matahari terbit tersebut, SUV dengan tiga baris tempat duduk berkenaan boleh dipilih dalam sembilan gred berbeza, termasuk dua opsyen Mode Special Edition, dan dijual pada harga bermula 2,948,000 yen (RM113,285) hingga 4,890,600 yen (RM187,935).

    Menerusi versi ini, sedikit perubahan boleh ditemui pada bahagian dalaman. Skrin infotaimen pada bahagian tengah papan pemuka kini lebih besar dari tujuh-inci kepada lapan-inci. Kemudian Mazda telah menambah salutan istimewa pada bumbung bagi mengurangkan lagi bunyi ketika hujan.

    Mazda CX-8 2020 – kemaskini untuk pasaran Jepun

    Ruang but belakang juga dikemaskini bagi memberikan lebih ruang – tambahan 19 liter kepada 84 liter, dan untuk model yang diberikan subwoofer untuk sistem bunyi Bose ruang berkenaan kini 8 liter lebih luas menjadi 56 liter. Bagi model gred-gred tertentu, CX-8 JDM kini diberikan bumbung suria berkuasa dan juga port USB pada tempat duduk baris ketiga.

    Dengan Pakej L, CX-8 kini diberikan suis satu sentuhan pada tempat duduk baris kedua jenis bench atau captain seat balutan kulit Nappa dengan pemegang cawan dan port USB untuk laluan ke baris ketiga. Pakej baharu Proactive S juga akan ditambah bermula Januari 2020 nanti, yang akan menawarkan tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dan pemanas tempat duduk baris kedua (juga ditawarkan pada gred 25S Proactive dan XD Proactive).

    Model edisi khas Exclusive Mode pula akan diberikan fungsi larasan berkuasa untuk perehat belakang serta gerakan gelangsar pada tempat duduk baris kedua, dan turut menampilkan diberikan liang pengudaraan serta konsol yang dibekalkan dengan perehat tangan.

    Mazda CX-8 2020 – kemaskini untuk pasaran Jepun

    Bagi pilihan janakuasa pula, ia masih kekal ditawarkan dengan dua enjin petrol SkyActiv-G dan satu pilihan enjin turbodiesel SkyActiv-D. Versi petrol terdiri dari enjin 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 190 PS/252 Nm, dan juga versi 2.5 liter turbo berkuasa 230 PS/420 Nm. Model turbodiesel pula dijana oleh enjin 2.2 liter empat-silinder berkuasa 190 PS/450 Nm.

    Kesemua jenis enjin ini dipadankan hanya dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Bagi versi kemaskini ini, Mazda Jepun menawarkan pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda untuk semua jenis enjin. Manakala untuk versi AWD, ia kini dilengkapkan dengan sistem Off-Road Traction Assist yang memberikan lebih prestasi ketika memandu pada permukaan lasak.

     
     
  • Tokyo 2019: Copen GR Sport sentuhan khas TGR

    Tokyo 2019: Copen GR Sport sentuhan khas TGR

    Selain empat model konsep dan SUV kompak ‘Rocky’, Daihatsu turut mencuri tumpuan pengunjung Tokyo Motor Show 2019 dengan mempamerkan Copen GR Sport. Namun tiada perubahan daripada model konsep yang dipertontonkan di Tokyo Auto Salon pada Januari lalu.

    Selain itu, Copen GR Sport versi produksi ini berasaskan Daihatsu Copen, tetapi akan dijual di Jepun oleh Toyota. Ia merupakan jentera sport pertama di bawah siri “GR” – diubah oleh Toyota Gazoo Racing (TGR) tetapi diperbuat oleh Daihatsu.

    Malahan tiada pertambahan prestasi (kei-car terhad dengan peraturan), pasukan Gazoo memfokuskan ketegaran badan dan talaan suspensi.

    Tokyo 2019: Copen GR Sport sentuhan khas TGR

    Badan jentera yang kecil ini dipenuhi pelbagai bar pengukuh di bawahnya – bar bawah hadapan ditambah, manakala bar bawah tengah pula menerima rekaan semula. Badan yang lebih tegap ini kemudiannya disesuaikan dengan talaan semula pada sistem suspensi. Ia turut menerima set penyerap hentak baharu yang direka khas untuknya, bersama set spring gegelung berwarna merah yang menurut Gazoo Racing akan memberikan “pemanduan yang selesa dengan pergerakan melentur”.

    Stereng berkuasa elektrik pada model istimewa ini juga ditala semula bagi melengkapkan karekteristik baharunya. Sama ada model CVT atau manual, Copen GR diberikan unit LSD sebagai ‘senjata’ standard.

    Selain menampilkan gril “Functional Matrix” seperti model-model talaan GR yang lain, ia turut hadir dengan bampar baharu yang menurut Toyota ia mempunyai kesan aerodinamik yang lebih baik.

    Bahagian belakang Copen ini juga lebih agresif dari model standard, dengan kemasan berwarna hitam yang agak besar pada bampar belakang, berbentuk seperti diffuser serta turut menempatkan dua tip ekzos. Rim BBS kemasan gelap 16-inci dibaluti tayar 165/50R16 yang anda lihat ini juga adalah ciri standard, dan rupa keseluruhannya dilengkapkan dengan beberapa emblem GR dilekatkan di hadapan, belakang dan sisi.

    Kabinnya pula ditampilkan tempat duduk bucket Recaro dan juga roda stereng balutan kulit dari Momo – kedua-duanya dengan logo GR, dan tidak boleh dibeli dari pengedar barangan aftermarket. Panel meter juga lebih istimewa dari biasa di mana ia diberikan pencahayaan dan jarum berwarna merah, lengkap dengan logo GR. Secara keseluruhan, kabin Copen ini dimonopoli oleh warna hitam, manakala papan pemuka diberikan kemasan gabungan hitam berkilat dan elemen gentian karbon.

    Copen GR Sport ini masih dijana enjin tiga-silinder 660 cc dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 64 PS dan tork maksima 92 Nm – tiada pengubahsuaian boleh dilakukan sekiranya ia mahu terus dijual sebagai K-Car. Walau pun ia sebuah roadster, Copen masih lagi memacu roda hadapan dengan pilihan sama ada kotak gear CVT automatik (dengan nisbah maya tujuh-kelajuan) atau transmisi manual lima-kelajuan.

    Model dengan kotak gear CVT auto dijual pada harga 2.38 juta yen (RM92,088), manakala versi manual beoleh dibeli dengan harga 2.435 juta yen (RM94,221). Selain itu, ia turut ditawarkan dengan lapan pilihan warna badan.

    GALERI: Copen GR Sport di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Petronas tunjuk minyak hitam Sprinta Ultraflex baru – masuk pasaran dengan harga RM35 dan RM67

    Petronas tunjuk minyak hitam Sprinta Ultraflex baru – masuk pasaran dengan harga RM35 dan RM67

    Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) hari ini mengadakan sesi pra tonton awal untuk produk minyak hitam Sprinta dengan UltraFlex baru mereka kepada para media. Ia adalah hasil daripada pengalaman syarikat itu dalam dunia perlumbaan terutamanya MotoGP.

    Petronas Sprinta dengan UltraFlex ditawarkan dalam pilihan dua gred F700 semi sintetik iaitu 15W50 dan 10W40, dan dua gred F900 sintetik penuh iaitu 10W50 dan 10W40. Harganya pula untuk satu botol seliter adalah RM35 untuk F700 semi sintetik dan RM67 untuk F900 sintetik penuh.

    Menurut ketua pegawai teknologi Petronas Lubricant International (PLI), Eric Holthusen, barisan produk baru ini menepati standard alam sekitar global yang akan digunakan bermula tahun 2020 seperti Euro 5 dan Bharat Stage VI.

    Petronas tunjuk minyak hitam Sprinta Ultraflex baru – masuk pasaran dengan harga RM35 dan RM67

    “Kami berasa senang hati dapat menguji prestasi, kecekapan dan ketahanan Petronas Sprinta dengan teknologi UltraFlex dalam MotoGP. Dalam tempoh yang pendek sejak Dutch GP pada bulan Jun, pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) telah mencapai peningkatan yang jelas, yang mana selain prestasi pelumba dan pasukan teknikal yang baik, juga kepada Petronas Sprinta,” kata ketua pegawai operasi Petronas Dagangan Berhad (PDB), Aadrin Azly.

    Minyak hitam Petronas Sprinta dengan UltraFlex akan berada di kedai Petronas Mesra dan bengkel wakil rasmi Petronas bermula pertengahan bulan November 2019, manakala untuk pasaran India dan Thailand, ia akan dipasarkan pada suku pertama tahun 2020, kemudiannya diikuti pasaran Indonesia, Vietnam dan lain-lain.

     
     
  • Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2019 – Toyota berjaya mendahului Mitsubishi, Nissan, Honda

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2019 – Toyota berjaya mendahului Mitsubishi, Nissan, Honda

    J.D. Power telah menyiarkan Kajian Indeks Kepuasan Jualan Malaysia 2019, yang merupakan analisis komprehensif mengenai pengalaman pembelian kenderaan dalam segmen pasaran semasa. Berdasarkan keputusan, Toyota telah menduduki tangga teratas dengan sejumlah 835 mata, lonjakan yang signifikan selepas hanya berada di kedudukan ke-empat pada tahun lalu.

    Manakala Mitsubishi pula (831 mata) turut beranjak ke tangga kedua pada tahun ini, berbanding tempat kelima pada tahun 2018. Walau bagaimana pun, Nissan yang menjuarai carta pada tahun lalu, terpaksa berpuas hati di tangga ke tiga (810 mata) dan Honda juga jatuh satu anak tangga dengan 801 mata untuk tahun ini (tangga ke-empat pada 2018).

    Jenama yang mendapat 800 mata ke bawah termasuklah Perodua (798 mata), meningkat 24 mata berbanding tahun lalu. Manakala Mazda dan Proton terikat dengan 779 mata, kurang sedikit berbanding markah yang diperoleh pada 2018. Menurut J.D.Power, jenama seperti Ford, Isuzu, Kia, Subaru dan Volkswagen tidak termasuk dalam senarai kerana data sampel yang kecil dan tidak mencukupi.

    Syarikat ini turut mendedahkan beberapa faktor yang diperoleh dari kajian ini, dengan pembeli SUV menyumbang sebanyak 20% daripada jumlah pembelian kenderaan baharu walau pun harga bagi SUV adalah 2.6 kali ganda lebih tinggi berbanding kereta kecil. Tambahan pula, pelanggan yang membeli SUV didapati memiliki tahap kepuasan yang lebih tinggi berbanding pembeli kereta kecil (806 mata VS 794 mata).

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2019 – Toyota berjaya mendahului Mitsubishi, Nissan, Honda

    Terdapat juga pembeli yang menggantikan kenderaan lama kepada yang baharu (meningkat 26% berbanding 21% pada tahun 2018), berbanding mereka yang membeli kenderaan tambahan (51% VS 56% pada 2018). Di mana, peratusan bagi kenderaan ‘trade-in’ meningkat kepada 21% berbanding 17% pada 2018.

    Lain-lain penyebab termasuklah komunikasi yang jelas dalam harga kenderaan, serta kos yang tidak terjangka yang menjadi penyebab kepuasan rendah. Malahan fasiliti dan ketersediaan memandu uji juga boleh meningkatkan kepuasan, dan hanya 6% daripada pembeli memaklumkan pandu uji kenderaan tidak ditawarkan.

    Untuk tahun ke-16 kajian ini, J.D Power telah menyemak semula enam faktor yang melibatkan keseluruhan kepuasan pelanggan dengan pengalaman pembelian kenderaan baharu. Ini termasuklah konsultan jualan pengedar (26%); fasiliti pengedaran (21%), proses penghantaran (20%); penyelesaian sepakatan (13%); penyiapan kertas kerja (17%) dan laman web pengedaran (4%).

    Kajian ini berdasarkan respons yang diperoleh daripada 2,045 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka di antara July 2018 hingga Julai 2019. Ini termasuk juga Net Promoter Score (NPS), yang mengukur tahap kemungkinan pemilik kenderaan baharu untuk menyarankan jenama kenderaan mereka pada skala 0-10 mata.

     
     
  • Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

    Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

    Pentas pameran utama Toyota ketika hari pembukaan Tokyo Motorshow 2019 (TMS) tidak dihiasi oleh model-model produksi sebenar atau konsep radikal yang menggamit perhatian seperti tahun-tahun sebelumnya. Sebaliknya, tahun ini ruang berkenaan digunakan untuk membuat satu pernyataan baru oleh syarikat itu; Toyota dalam peralihan sebagai sebuah syarikat pengeluar kenderaan (car company) kepada sebuah syarikat mobiliti untuk masa hadapan (mobility company).

    Perkara berkenaan juga boleh didengari dengan sangat jelas melalui ucapan utama oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda sendiri ketika sesi yang sama. Tiada Toyota Mirai Concept dipamerkan di sekitar ruang pameran utama, begitu juga tiada Toyota Yaris pasaran Jepun dan Eropah – yang diumumkan seminggu sebelum TMS2019 – kelihatan di situ, sebagai contoh. Kedua-dua model berkenaan dipamerkan dibangunan berseberangan dewan, di Toyota Megaweb – dan bagi kes Yaris, di pusat beli-belah bersebelahan.

    Jadi apa yang ada di pentas utama? Bintang paling besar tahun ini ialah e-Palette, yang diperkenalkan oleh Akio sendiri. Ini dituruti oleh beberapa lagi kenderaan mobiliti BEV (battery electric vehicle) lain menjadi taruhan atau pernyataan yang ingin disampaikan tahun ini.

    Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

    Lebih menarik, semua ini bukan hanya rekaan konsep yang jauh daripada menjadi kenyataan; banyak juga yang kini telah bersedia untuk mempamerkan teknologi elektrifikasi lanjutan jenama itu, dengan sebahagiand daripadanya akan membuat penampilan sulung dan digunakan secara nyata sepanjang tempoh berlangsungnya acara Olimpik 2020 yang menyaksikan Jepun sebagai tuan rumah – kali terakhir negara ini menjadi hos Olimpik ialah pada 1964.

    Antara yang akan sudah bersedia untuk berkhidmat untuk Olimpik 2020 ialah e-Palette, sebuah “bas” kecil yang bertujuan untuk memudahkan pergerakan – terutamanya yang berkerusi roda – dan akan digunakan di dalam kawasan perkampungan kediaman atlit sepanjang tempoh acara berkenaan. Kenderaan elektrik sepenuhnya ini mampu untuk memuatkan seramai 20 orang penumpang – atau empat yang berkerusi roda dengan tujuh penumpang berdiri – dan bergerak secara autonomous Tahap 4 dengan kelajuan 20 km/j.

    e-Palette mempunyai ukuran dimensi 5,255 mm panjang, 2,065 mm lebar, 2,760 mm tinggi dan 4,000 mm untuk jarak antara roda. Seperti dinyatakan Akio, untuk masa hadapan, Toyota membayangkan kenderaan ini nanti boleh juga digunakan sebagai pejabat, kedai bahkan hotel. Semua barisan kenderaan BEV oleh Toyota untuk masa hadapan ini, dengan tema “Mobility For All”, direka untuk memudahkan pergerakan golongan yang memerlukan, misalnya OKU atau warga emas.

    Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

    Satu lagi rekaan Toyota dengan fungsi yang sama ialah Accessible People Mover (APM). Tidak lupa juga Toyota Sora, sebuah bas yang menggunakan teknologi hidrogen fuel cell. Menjelang Olimpik 2020, 100 unit bas ini akan mula digunakan di dalam kawasan metropolitan Tokyo. Ia menggunakan teknologi FCV yang sama seperti pada Toyota Mirai. Sora mampu memuatkan 79 orang dalam satu masa, dan dilengkapi dengan dua FC Stack, membekalkan kapasiti volume power density sebanyak 3.1 kW/L dan output maksimum 155 PS x 2.

    Lain-lain kemudahan yang menggunakan kepintaran buatan (artificial intelligence) yang turut akan digunakan ketika Olimpik nanti ialah Field Support Robot (FSR). Robot ini akan digunakan di dalam padang dan balapan, misalnya bagi acara lembar lembing atau lontar peluru, dan berfungsi untuk membawa alatan terlibat (lembing/cakera/peluru) dari tengah padang ke titik mula tanpa sebarang kawalan.

    Ia menggunakan kamera dan AI untuk mengesan manusia (petugas dalam padang) dan akan mengikut jejak ke arah lokasi akhir lontaran. Petugas bagaimana pun perlu mengangkat beban berkenaan dan diletakkan di dalamnya – berat maksimum yang boleh ditanggung ialah 16 kg – sebelum bergerak sendiri ke pos mula untuk memulangkan lembung atau cakera yang dibawa. Ia mampu bergerak dengan jarak maksimum 20 km, sebelum baterinya perlu ditukar kepada yang baru, dan bateri lama dicas sementara menunggu giliran digunakan semula.

    Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

    Ada satu lagi aplikasi yang sama untuk kegunaan dalam rumah dikenali sebagai Human Support Robot (HSR). Berbeza dengan FSR, HSR ini mempunya satu lengan dan “wajah” sendiri untuk mewakili imej manusia. Ia mempunyai kamera yang bertindak sebagai mata, serta skrin untuk memaparkan apa yang dilihatnya serta dilengkapi sensor laser jarak untuk membolehkannya bergerak dan mengesan jarak serta hadangan. Menurut Toyota, ini antara rekaan yang dibangunkan agar kemudiannya boleh digunakan untuk membantu warga emas atau OKU dalam urusan di rumah.

    Selain itu, terdapat satu lagi visi yang turut dipamerkan juga, kali ini dengan semangat lumba dan sukan permotoran, melalui sebuah kenderaan yang diberi nama e-Racer. Rekaan ini adalah anti-tesis kepada rekaan e-Pallette. Sekiranya model “bas” berkenaan direka untuk dikongsi bersama, e-Racer ini adalah untuk kegunaan dan pemilikan individu yang dibayangkan untuk masa hadapan. Seperti yang dikatakan Akio sendiri; “Kereta sport yang akan berada di dalam garaj kebanyakan orang, seperti e-Racer ini.”

    Toyota e-Palete

    Toyota e-Racer

    Toyota FSR, Sora dan e-4me

     
     
  • Tokyo 2019: Mitsubishi Delica D:5 4WD 2.2L diesel turbo – masih gagah bersaing dalam pasaran Jepun

    Tokyo 2019: Mitsubishi Delica D:5 4WD 2.2L diesel turbo – masih gagah bersaing dalam pasaran Jepun

    Era 80’an dan 90’an dahulu, tiada istilah ‘MPV’ dalam kamus industri automotif. Selain dari bas yang digunakan untuk tujuan komersil, orang persendirian waktu itu perlu membeli sebuah van untuk mendapatkan sebuah ‘people mover‘ bagi membawa sekitar 6-7 orang dewasa dengan selesa.

    Nama-nama seperti Nissan Vannette dan Toyota LiteAce adalah antara van yang popular pada zaman berkenaan. Namun antara banyak-banyak van, nama Mitsubishi Delica sentiasa dalam ingatan saya kerana ia agak unik dengan menampilkan pintu gelangsar pada kedua-dua sisi badan, berbanding van lain yang hanya ada pada sebelah kiri.

    Delica juga mempunyai varian unik pacuan empat roda, di mana sistem 4WD berkenaan adalah diambil terus dari Mitsubishi Pajero. Turut bermain dalam kotak memori adalah iklan Delica di kaca TV tempatan yang memaparkan ia berlepas keangkasa seperti space shuttle, dan pernah digunakan oleh Jackie Chan dalam filem ‘Wheels on Meals’.

    Tokyo 2019: Mitsubishi Delica D:5 4WD 2.2L diesel turbo – masih gagah bersaing dalam pasaran Jepun

    Walau bagaimanapun, Delica hanya boleh dibeli dari pengedar tempatan untuk kali terakhir menerusi model genarasi ketiga. Saya percaya tentu ramai yang tidak tahu bahawa Delica masih lagi dihasilkan di Jepun sehingga kini, dan ia tidak lagi dalam bentuk van tetapi hadir dalam badan MPV. Model generasi kelima Delica telah pun dilancarkan di Jepun pada November tahun lalu, dikenali dengan nama Mitsubishi Delica D:5.

    Ketika kunjungan ke Tokyo Motor Show 2019 minggu lalu, kami berpeluang melihat sendiri Delica ini di depan mata, diletakkan pada ruang pameran Mitsubishi. Seperti juga model-model generasi terkini Mitsubishi yang lain seperti Eclipse Cross, Xpander dan juga Triton 2019, Delica turut menerima muka ‘Dynamic Shield‘ generasi baharu, menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus pada bahagian atas, manakala lampu hadapan utama diletakkan pada bahagian bampar.

    Menerusi Delica, buat pertama kali Mitsubishi menampilkan lampu hadapan dengan susunan LED menegak dan bukan melintang, di mana lampu biasa terdiri dari empat LED, dan lampu tinggi pula disusun dengan lima LED. Seperti juga MPV-MPV lain dari Jepun seperti Toyota Alphard, Delica diberikan gril hadapan yang cukup besar berbentuk perisai. Manakala pada bahagian belakang, ia diberikan lampu bersegi, dengan grafik LED seakan cecair yang mengalir ke bawah seperti lampu Triton.

    Dua versi Delica D:5 ditawarkan di Jepun, iaitu model Standard yang kelihatan lebih lasak dengan ciri seakan SUV, dan juga Urban Gear yang nampak lebih premium untuk kegunaan bandar.

    Model yang dipamerkan di TMS ini adalah dari versi Standard diberikan gril dengan elemen seakan susunan batu-bata, dan menerima kemasan skid plate pada bahgian bawah bampar. Pada bahagian sisi, model Standard tidak mempunyai skirt membuatkan kelegaan tanahnya nampak lebih tinggi, dan skid plate turut diberikan pada bampar belakang. Sesuai dengan rupanya, Delica ini turut dipadankan dengan rim 18-inci yang seolah-olah diambil terus dari SUV atau trak pikap.

    Bahagian dalaman Delica ini mampu memuatkan enam orang penumpang dengan tiga baris tempat duduk. Bahagian tengah papan pemuka diberikan skrin infotaimen seperti tablet bersaiz 10.1-inci, bersama suis kawalan penghawa dingin, butang pilihan mod pemanduan dan juga tuil penukar gear di bawahnya.

    Model standard diberikan kemasan dalaman berwarna hitam dan panel-panel dengan elemen kayu oak perang, namun dengan balutan fabrik berwarna beige. Opsyen G-Power Package pula akan menawarkan berberapa ciri tambahan seperti lampu suasana dengan jalur LED pada bumbung dan juga kamera 360 darjah yang memaparkan imej pada cermin pandang belakang.

    Mitsubishi Delica D:5 dijana dengan hanya satu pilihan enjin iaitu enjin 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder dengan sistem pengurangan peredam selektif bersama AdBlue bagi mengurangkan kadar pencemaran NOx. Enjin tersebut menjana 170 hp dan tork maksima 392 Nm, dan kuasa dialirkan ke kotak gear lapan kelajuan automatik. Tidak lengkap jika sebuah Mitsubishi tidak disertkan dengan sistem pacuan semua roda di mana Delica sistem yang ditawarkan dengan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock.

     
     
  • Triumph Street Triple RS 765 2020 sudah sampai M’sia – harga didedah hujung minggu ini, mungkin kekal

    Triumph Street Triple RS 765 2020 sudah sampai M’sia – harga didedah hujung minggu ini, mungkin kekal

    Triumph Street Triple 765RS 2020 baru sahaja didedahkan bulan lepas, tapi kini ia sudah pun berada di negara kita melalui pengedar rasmi jenama itu, Fast Bikes Sdn Bhd. Menurut wakil syarikat itu, tempahan sudah pun dibuka, tetapi harga hanya akan didedahkan hujung minggu ini (kemungkinan besar tidak berbeza dengan model sebelum ini)

    Perubahan paling jelas untuk model tahun 2020 ini adalah bentuk lampu LED hadapannya yang lebih kecil serta DRL LED yang berbentuk seperti kening. Enjin tiga silinder 765 cc yang sama masih digunakan, malah kuasa maksimum juga hampir sama iaitu 123 PS pada 11,750 rpm dan 79 Nm tork pada 9,350 rpm, tetapi penunggang akan dapat menikmati sembilan peratus lebih kuasa pada tahap rpm pertengahan.

    Maklum balas pendikit diperbaiki, dengan kini ia boleh dipulas dengan tujuh peratus kurang usaha. Turut dipasang adalah ekzos dengan dua catalytic converter, yang bukan sahaja mengurangkan emisi, tetapi juga membenarkan aliran udara ekzos yang lebih lancar. Untuk memberikan keseimbangan antara bunyi intake dan juga bunyi ekzos, sistem pengudaraan masuk diubah sedikit.

    Kotak gear model baru ini turut diusik untuk memberikan penukaran lebih lancar dan mengurangkan berat, manakala gear satu dan dua pula lebih pendek untuk memberikan pecutan lebih baik. Dalam keadaan standard, model ini datang terus dengan quickshifter.

    Sekali imbas, panel paparan TFT-LCD berwarna penuh pada model ini nampak sama, tapi sebenarnya ia mempunyai empat gaya paparan dan empat warna yang berbeza. Sudut skrin juga boleh dilaras seperti Speed Triple 1050 untuk menyesuaikannya dengan ketinggian penunggang yang berbeza.

    Melalui panel paparan ini juga penunggang dapat menikmati sistem sambungan baru. Apabila disambungkan dengan modul Bluetooth yang dijual secara berasingan, ia boleh mengawal kamera GoPro, menunjukkan navigasi dan mengawal telefon serta muzik menggunakan butang pada bahagian pemegang.

    Triumph Street Triple RS 765 2020 sudah sampai M’sia – harga didedah hujung minggu ini, mungkin kekal

    Kelengkapan lain 765RS 2020 ini masih sama seperti sebelumnya termasuk angkup brek Brembo M50 dengan cakera 310 mm di hadapan, angkup satu piston dan cakera 220 mm di belakang, serta fork Showa Big Piston Forks (BPF) dan monoshock Ohlins STX40 yang boleh dilaras sepenuhnya. Tayar standard adalah Pirelli Diablo Supercorsa SP V3.

    Dua warna disediakan untuk Street Triple 765RS 2020 ini iaitu Matte Jet Black dengan pelekat Aluminium Silver dan Kuning, atau Silver Ice dengan pelekat Diablo Red dan Aluminium Silver – rim dicat merah menggunakan tangan. Seperti biasa, pemilik juga boleh memilih pelbagai aksesori yang disediakan oleh Triumph untuk motosikal ini.

     
     
  • SUV segmen-B Daihatsu di TMS 2019 sah Rocky generasi baharu – apa pula nama untuk Perodua?

    SUV segmen-B Daihatsu di TMS 2019 sah Rocky generasi baharu – apa pula nama untuk Perodua?

    Ruang pameran Daihatsu di Tokyo Motor Show 2019 minggu lalu agak ‘panas’ di kalangan media-media dari Malaysia kerana kehadiran sebuah SUV segmen-B misteri yang tidak mempunyai nama, tetapi dikaitkan dengan SUV segmen-B baharu dari Perodua yang kini sedang dibangunkan, dikenali dengan kod nama D55L.

    SUV yang sama juga akan dijual oleh Toyota seperti kembar-kembar Toyota Passo dan Daihatsu Boon atau Toyota Rush dan Daihatsu Terios, dan model baharu ini sah diberi nama sebagai Toyota Raize. Untuk Daihatsu pula, satu akaun Instagram bernama mr.t.tani dari Jepun mendedahkan bahawa khabar angin sebelum ini menyatakan ia adalah Daihatsu Rocky generasi baharu adalah benar, setelah SUV tersebut dilihat dibawa oleh lori pengangkut, dengan emblem ‘Rocky’ tertera pada badannya.

    Rocky bukanlah nama baharu dari Daihatsu. Sebelum adanya Terios, Rocky atau dikenali sebagai Daihatsu Feroza di Malaysia adalah SUV off-road sebenar yang berhadapan terus dengan Suzuki Jimny.

    Daihatsu Rocky generasi baharu dan Toyota Raize ini menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan dimensi 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,620 tinggi bersama jarak rodanya 2,525 mm, dengan berat 980 kg. Berbanding Perodua Myvi generasi terkini, ia adalah 100 mm lebih panjang, 40 mm kurang lebar, 105 mm lebih tinggi, manakala jarak rodanya pula adalah 25 mm lebih panjang.

    Muka Rocky ini menerima gril berbentuk heksagon yang agak besar, diapit dan nampak bersambung dengan lampu utama yang bersudut tajam dengan ‘kening’ lampu nyalaan siang, bersama bampar diberikan kemasan lampu kabus berbentuk segi tiga dan turut menempatkan pengesan parkir hadapan dan jalur LED menegak.

    Selain dari pelindung-pelindung plastik berwarna hitam di bahagian bawah badan sekeliling SUV ini, ia turut menerima bumbung berwarna lain yang direka seakan terapung. Rupanya juga dilengkapkan dengan pemadanan rim 17-inci, bersama tayar 195/60R17.

    Di belakang, SUV ini diberikan lampu yang direka nipis, disambungkan dengan kemasan hitam yang merentangi pintu tailgate, dengan lambang Daihatsu di atas butang pembuka pintu berkenaan. Bampar belakang model ini menerima sepasang liang udara palsu pada setiap sisi dengan ruang nombor pendaftaran berbentuk trapezoid membuatkan ia kelihatan seperti Myvi yang di’SUV’kan,

    Lain dengan Rush/Terios/Aruz yang menampilkan tiga baris tempat duduk, Raize/Rocky hadir dengan hanya dua baris tempat duduk bagi menempatkan lima orang di dalam kabin. Papan pemuka SUV ini menerima skrin berdiri sendiri pada bahagian tengah, terletak di atas corong pendingi hawa utama.

    Corong liang pendingin hawa sisi pula direka sedikit lebih tinggi, membolehkan pemegang cawan ‘disorokkan’ di bawahnya, dan boleh menyejukkan minuman sekiranya ia dibuka.

    Suis kawalan untuk sistem pendingin hawa automatik dan butang penghidup enjin pula diletakkan pada ‘tingkat bawah’, manakala perumah konsol tengah menempatkan tuil penukar gear, port 12V, kawalan haba untuk tempat duduk, ruang penyimpanan dan juga tuil brek tangan. Ia juga diberikan roda stereng dengan butang kawalan dan juga paparan kluster instrumen digital.

    SUV segmen-B Daihatsu di TMS 2019 sah Rocky generasi baharu – apa pula nama untuk Perodua?

    Daihatsu Rocky dan Toyota Raize ini dijana oleh enjin petrol tiga-silinder 1.0 liter turbo bersama unit intercooler menghasilkan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama CVT yang hanya memacu roda hadapan.

    Walaupun khabar bertiup SUV ini adalah kembar kepada D55L seakan kembar lain seperti Rush/Terios/Aruz, Perodua belum mengesahkan adakah model ini akan dipasarkan di Malaysia. Awal bulan ini, sebuah SUV misteri dilihat sedang diuji oleh Perodua di sekitar genting Highlands dan ia seakan ‘berselindung’ di sebalik badan Axia yang dipanjangkan.

    Sebelum ini, Perodua juga pernah mempamerkan X-Concept di Kuala Lumpur International Motorshow 2018, dan jika Rocky dan Raize mempunyai versi Perodua, kemungkinan besar mungkin tampil dengan muka yang lebih unik dan tersendiri, diilhamkan berdasarkan model konsep tersebut. Satu lagi persoalan – rasa-rasa anda, apa pula nama yang akan diberikan Perodua untuk model ini kelak? Perodua Kembara generasi baharu? Atau Perodua ada kesinambungan dari nama-nama baharu seperti Bezza dan Aruz?

    GALERI: Daihatsu Rocky di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Tokyo 2019: Daihatsu WakuWaku, WaiWai, IcoIco dan TsumuTsumu – model konsep comel dan funky

    Seperti mana yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, Daihatsu telah pun mempertontonkan empat model konsepnya di Tokyo Motor Show 2019 yang telah pun membuka tirainya hari ini. Paling menarik, selain menampilkan rekaan yang funky dan comel, nama bagi setiap model konsep tersebut pun comel juga. Model konsep yang diperagakan di pentas TMS 2019 ini ialah crossover-Kei WakuWaku, MPV enam-tempat duduk WaiWai, kereta autonomous IcoIco dan trak kecil TsumuTsumu.

    Model konsep yang paling menarik perhatian sudah pasti crossover-kei atau pun SUV mini hatchback Waku Waku dengan konsep berkotak tetapi memiliki imej ranggi dan lasak. Ia berdimensi 3,700 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,630 mm tinggi. WakuWaku ditampilkan dengan kemasan yang bersifat sporty pada ruang roda plastik berwarna gelap, bampar dengan tona perak bersama kemasan jingga pada panel dalaman pintu, perehat badan pada tempat duduk dan juga lantai but.

    Selain itu, Waku Waku yang bersesuaian dengan gaya hidup moden, dengan rekaan bahagian bumbungnya yang boleh dibuka sekaligus memberikan ruang storan yang lebih besar. Manakala kemasan jingga turut ditampilkan pada bahagian rim, bampar hadapan dan belakang.

    Tokyo 2019: Daihatsu WakuWaku, WaiWai, IcoIco dan TsumuTsumu – model konsep comel dan funky

    Menjengah bahagian kabinnya, kemasan hitam dengan jingga metalik menjadi pilihan. Ia turut ditampilkan dengan papan instrumen digital dengan dereten meter yang kelihatan seperti analog. Manakala skrin tengah pula bukan sekadar berfungsi sebagai unit infotainmen dan sistem navigasi, bahkan turut menempatkan kawalan sistem pendingin hawa.

    Bagi WaiWai pula, walau pun ia merupakan model konsep MPV mini enam tempat-duduk namun ia masih kelihatan seperti model kompak. Kedua-dua sisinya ditampilkan dengan pintu gelangsar di belakang, tanpa tiang yang memisahkan pintu hadapan dan belakang bagi bertujuan memudahkan akses untuk masuk/keluar kabin. Selain itu, bumbungnya pula ditampilkan dengan kanvas yang boleh dibuka/ditutup secara gelangsar.

    Walau pun hadir dengan tiga barisan tempat duduk namun rekaannya yang agak ‘nipis’ membuatkan ruang penumpang lebih luas, malah ia boleh dilipat bagi memberikan ruang kargo yang lebih besar. Menariknya, ia turut menampilkan konsep skrin sepanjang papan pemuka, namun segala butang kawalan disatukan dengan panel yang bersambung pada kolum stereng.

    Daihatsu turut memperkenalkan model konsep pemanduan autonomus kecil, Ico Ico, sekali pandang macam bas mini pun ada. Ia direka sebagai pengangkutan masyarakat dan sangat sesuai dipandu merentasi jalan dan ruang yang kecil. Dengan kapasiti empat-tempat duduk, Ico Ico yang hanya selebar 1,475 mm ini turut dilengkapi dengan pelantar (ramp) yang boleh disimpan semula, sangat sesuai untuk membawa naik barang mahupun bagi akses kerusi roda untuk orang kurang upaya.

    Selain dari boleh bergerak tanpa pemandu, Ico Ico turut mempunyai robot kecerdasan buatan (A.I) bernama Nippote yang bertindak sebagai pembantu termasuk boleh melayan penumpang di dalamnya.

    Model konsep keempat yang diperkenalkan menerusi TMS 2019 ialah trak-kei TsumuTsumu yang direka dengan dua-tempat duduk dan diposisikan betul-betul di atas tayar hadapan sekaligus memberikan ruang kargo yang lebih luas. Ruang belakang trak kecil ini direka bagi membolehkan ia tampil dengan pelbagai konfigurasi bagi pelbagai aplikasi perniagaan yang berbeza.

    Tokyo 2019: Daihatsu WakuWaku, WaiWai, IcoIco dan TsumuTsumu – model konsep comel dan funky

    Papan pemukanya pula cukup sporty dengan kehadiran papan instrumen digital yang lebar, bersama tuil gear yang diletakkan disebelahnya. Ia dilengkapi roda stereng dengan jejari yang hanya menampung bahagian kanan dan bawah, sementara di sebelah kiri diletakkan suis putar.

    Bukan itu sahaja, ruang kargo boleh digelangsarkan ke belakang, manakala di atasnya mempunyai platform yang membolehkan dron disimpan, berlepas dan mendarat. Selain itu, kedua-dua tempat duduk boleh dilipat untuk dijadikan meja, manakala perehat badan yang juga nipis membolehkan bahagian belakangnya dijadikan sebagai ruang storan tambahan. Panel dinding pada kabin ini juga dihasilkan seperti pintu yang dibuka terbalik, memberikan akses yang lebih mudah, serta turut diberikan rak penyimpanan bagi meletakkan lebih banyak lagi barangan.

    Mengenai penjana kuasa bagi keempat-empat model konsep ini, Daihatsu masih tidak mendedahkan sebarang perincian. Bahkan tidak memberitahu ada kebarangkalian besar kesemua waima salah satu daripadanya bakal diproduksi kelak. Kena nantikan langkah Daihatsu yang seterusnya, tapi kalau untuk pasaran Jepun, memang tak mustahil, ia menjadi model produksi.

    GALERI: Model konsep Daihatsu Waku Waku

    GALERI: Model konsep Daihatsu Wai Wai

    GALERI: Model konsep Daihatcu Ico Ico

    GALERI: Model konsep Daihatsu Tsumu Tsumu

     
     
  • VIDEO: RON100 vs RON95 di Malaysia – adakah Petron Blaze100 mampu berikan lebih banyak hp dan tork?

    Sebahagian besar daripada kita barangkali pernah terlibat di dalam perbualan berkaitan minyak dengan angka RON mana yang lebih baik untuk digunakan. Paling kerap, tentulah ada rakan-rakan mencadangkan agar anda guna minyak dengan angka RON yang lebih tinggi, kerana katanya itu akan memberikan prestasi yang lebih baik.

    Tak kurang juga ada pandangan yang mengatakan bahawa perkara di atas tidak benar dan berpandangan anda sebenarnya tidak perlu membayar harga yang lebih premium untuk mengisi minyak kenderaan. Kami pun tidak terkecuali daripada perbincangan seperti ini. Jadi, untuk melihat dengan lebih objektif berkaitan hal ini, kami menjalankan ujian kecil melibatkan beberapa jenis kenderaan, termasuk kereta dan juga motosikal, yang mewakili kira-kira 95% kenderaan baru di negara ini.

    Untuk ini, kami melihat kepada kesan penggunaan Petron Blaze100 berbandinh Blaze95. Yang pertama itu merupakan petrol yang pertama dan satu-satunya dengan RON100 yang dijual dalam pasaran ketika ini, dan dikeluarkan dari kilang penapisan Petron di Port Dickson.

    VIDEO: RON100 vs RON95 di Malaysia – adakah Petron Blaze100 mampu berikan lebih banyak hp dan tork?

    Bagi kenderaan yang digunakan untuk ujian ini pula, ia terdiri daripada beberapa model. Antaranya, Mazda 2 yang mewakili kereta kegunaan dalam bandar, sementara untuk kenderaan keluarga, Proton X70 menjadi contoh. Bagi kereta premium, Mercedes-Benz C 300 digunakan, sementara Peugeot 208 GTi mewakili hatchback prestasi dan Toyota 86 sebagai wakil kereta sport. Tidak lupa, untuk motosikal pula diwakili oleh Honda CB250R dan Triumph Street Triple 765 RS.

    Dengan gabungan enjin kenderaan NA dan turbocas, kami menjalankan ujian dyno ke atas semua kenderaan yang dinyatakan ini, dengan penelitian terhadap dua jenis petrol berbeza – Blaze100 dan Blaze95 – untuk membandingkan manfaat atau pengurangan kuasa kuda dan tork yang diperolehi ketika menggunakan kedua-dua bahan api berkenaan. Selepas mengumpulkan semua ada, kami siapkan video yang sarat dengan maklumat sebenar ini untuk anda. Selamat menonton, dan moga ada manfaatnya.

     
     
  • SYM VF3i diberikan pilihan grafik baru – harga RM8.3k

    SYM VF3i diberikan pilihan grafik baru – harga RM8.3k

    Motosikal yang digelar sebagai “kapcai berkapasiti enjin paling besar di dunia” oleh pengeluarnya, iaitu SYM VF3i kini diberikan pilihan warna dan grafik baru untuk memastikan ia terus dapat menarik pengguna.

    Secara keseluruhannya terdapat empat warna baru untuk VF3i ini iaitu Biru, Merah dan Kelabu untuk versi biasa yang dijual pada harga RM8,338 dan Emas untuk edisi khas yang dijual pada harga RM8,638 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 kilometer.

    Bahagian lain masih tidak diubah, termasuk enjin, yang menggunakan unit satu silinder penyejukan cecair SOHC berkapasiti 183 cc dan mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 8,500 rpm dan 15.3 Nm tork pada 7,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan.

    Motosikal ini menggunakan brek cakera di kedua-dua bahagian iaitu unit cakera 250 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/80 di belakang. Berat keseluruhan adalah 128 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api tujuh liter.

    SYM VF3i bersaing dalam segmen kapcai yang hangat dengan antara seterunya adalah seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Benelli RFS 150i. Menurut pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia iaitu MForce Bike Holdings Sdn Bhd, enjin SYM VF3i mendapat penarafan Euro 3 dan pada aspek prestasi, ia boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 155 km/j.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024