Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Jazz Hybrid 2020 untuk Eropah – penjana kuasa 1.5 liter i-MMD; 109 PS dan 253 Nm; 4.5 l/100km

    Honda Jazz Hybrid 2020 untuk Eropah – penjana kuasa 1.5 liter i-MMD; 109 PS dan 253 Nm; 4.5 l/100km

    Dalam acara Tokyo Motor Show 2019, Honda telah mendedahkan Jazz generasi ke-empat yang ditawarkan varian hibrid yang menampilkan teknologi e:HEV ciptaan pengeluar kereta ini. Kali ini, kita sudah mempunyai lebih banyak perincian mengenai penjana kuasa hibrid, di mana ia satu-satunya pilihan untuk hatchback ini, yang dijangka akan memasuki pasaran Eropah pada musim panas tahun ini.

    Dipasarkan sebagai Jazz e-HEV, model ini memainkan peranan yang penting dalam komitmen Honda untuk memastikan 100% bagi model arus perdana yang dijual di benua berkenaan didatangkan dengan penjana kuasa elektifikasi menjelang 2022. Di Jerman, harganya bermula dari 22,000 euro (RM99,038) untuk Jazz, sementara varian Crosstar pula bermula dari 26,250 euro (RM118,165).

    Sistem e:HEV menggunakan dua motor sistem hibrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive), yang menggantikan larasan Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) yang digunakan sebelum ini, dan ia merupakan versi yang dikecilkan bagi penjana kuasa Sport Hybrid i-MMD yang ditampilkan pada model Accord Hybrid dan CR-V Hybrid.

    Bagi Jazz ini, kelihatan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC empat-silinder digandingkan dengan dua motor elektrik, dengan salah satu daripadanya bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion. Satu lagi unit pula menjadi motor penggerak elektrik yang akan bergerak pada kelajuan sehingga 13,300 rpm hingga ke pendikitan kelajuan rendah.

    Daripada menggunakan transmisi konvensional, enjin yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan ini digandingkan dengan klac terkunci dan nisbah gear tatapan tunggal, di mana ia menghantar tork secara lebih lancar dan rasa mendatar ketika pecutan. Honda berkata pelarasan itu lebih kompak dan terperinci berbanding dengan tipikal eCVT yang digunakan oleh kenderaan hibrid lain.

    Kuasa keseluruhan pula boleh mencecah 109 PS (107 hp) dan tork 253 Nm, yang menggerakkan kereta dari sifar ke 100 km/j dalam 9.4 saat dan kelajuan tertinggi 175 km/j. Ini bermakna emisi CO2 dikadarkan pada 102 g/km dan penjimatan bahan api pula sekitar 4.5 l/100 km – kedua-duanya menepati peraturan WLTP – dengan 110 g/km dan 4.8 l/100 km bagi varian Crosstar.

    Unit kawalan kuasa adalah daripada tiga mod pemanduan boleh ubah secara automatik, termasuk EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive. Bagi Hybrid Drive, kuasa berlebihan dari enjin juga boleh dialihkan untuk mengecas semula bateri melalui motor penjana.

    Manakala EV Drive pula, berfungsi ketika pacuan jentera mula perlahan, kemudian menjana tenaga melalui brek regeneratif untuk pengecasan bateri. Untuk pemanduan dalam kelajuan di lebuhraya, Drive Engie digunakan dengan motor penggerak elektrik yang meningkatkan kuasa untuk pecutan yang lebih pantas.

    Honda berkata, walau pun baterinya terletak di bahagian belakang, namun Jazz masih mengekalkan fungsi Magic Seat dan kapasiti barangan sebanyak 1,203 liter bila tempat duduk dibaringkan, atau 298 liter dengan tempat duduk dalam kedudukan normal. Salah satu lagi pakej yang dianggap berkesan termasuklah memposisikan tangki minyak di bahagian tengah antara casis dan tempat duduk hadapan.

    Di dalamnya, ia turut menampilkan sistem infotainmen skrin sesentuh LCD yang didatangkan dengan beberapa servis sambungan, Honda Personal Assistant termasuk sokongan untuk Android Auto dan Apple CarPlay. Berdasarkan pemintaan pengguna, tidak semua fungsi ‘disembunyikan’ dalam sistem, sebaliknya terdapat beberapa kawalan fizikal yang diimplementasikan untuk beberapa kegunaan termasuk kawalan suhu dan bunyi.

    Jazz turut didatangkan dengan 10 beg udara dan beberapa keperluan dalam keselamatan dan pemanduan Honda Sensing secara standard, termasuklah Sistem Brek Pengurangan Pelanggaran, Kawalan Kelajuan Adaptif, Sistem Bantuan Kekal Lorong dan Sistem Pengurangan Ketibaan Jalan. Turut didatangkan dengan Informasi Titik Buta bersama Paparan Lintasa Trafik, Pengehad Kelajuan Pintar, lampu utama dengan lampu tinggi auto dan juga Pengesan Isyarat Lintasan.

     
     
  • Mitsubishi lanjut promosi CNY hingga hujung Februari

    Mitsubishi lanjut promosi CNY hingga hujung Februari

    Bagi yang masih teragak-agak untuk membeli kenderaan, ini ada berita baik untuk anda. Mitsubishi Motors Malaysia kini melanjutkan lagi tempoh promosi CNY 2020 yang diumumkan sebelum ini sehingga hujung bulan Februari ini. Ia dilanjutkan daripada tempoh akhir penghujung Januari lalu.

    Hero bagi tawaran promosi ini ialah trak pikap Triton bagi variannya yang terpilih; ia kini menikmati kadar faedah bermula 0.88%, eksklusif untuk perjanjian sewa beli dengan Maybank dan Public Bank, serta tawaran rebat tunai.

    Untuk model tertinggi Triton Adventure X (RM137,900) dan Triton VGT AT Premium (RM121,000) layak untuk mendapat kadar faedah sebanyak 0.88% atau rebat tunai RM6,000. Sementara bagi Triton VGT MT Premium (RM112,500) pula ditawarkan kadar faedah 0.88% atau rebat tunai sebanyak RM9,000.

    Promosi ini turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM2,000 untuk model edisi terhad Triton Knight (RM137,900), rebat tunai RM8,000 bagi Triton VGT AT (RM105,990) dan rebat tunai RM6,000 untuk Triton VGT MT (RM100,200). Manakala Triton Quest 4X2 (RM79,890) pula ditawarkan rebat tunai sebanyak RM4,000. Semua varian Triton dilindungi dengan jaminan lima-tahun atau 200,000 km (mana yang tiba dahulu) kecuali Triton Quest 4X2 yang diberikan jaminan lima tahun/100,000 km.

    Mitsubishi lanjut promosi CNY hingga hujung Februari

    Sementara itu, pelanggan membeli Outlander juga berpeluang menikmati rebat tunai dan pakej servis percuma. Ini termasuk rebat tunai sebanyak RM4,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk Outlander 2.0 (RM137,888) dan rebat tunai sebanyak RM2,000 dan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk Outlander 2.4 liter (RM152,888).

    Bagi ASX, varian 4WD (RM133,336) ditawarkan dengan rebat tunai sebanyak RM12,000, sementara varian 2WD (RM118,866) pula dengan rebat tunai RM8,000. Mitsubishi Outlander dan ASX dilindungi jaminan selama lima-tahun dan perbatuan tanpa had. Semua harga atas jalan tanpa insurans, termasuk SST sebanyak 10%.

     
     
  • Honda EX5 ditawarkan dengan grafik baru, dari RM4.8k

    Honda EX5 ditawarkan dengan grafik baru, dari RM4.8k

    Model terkenal Honda EX5 kini didatangkan dalam pilihan grafik baru untuk tahun 2020. Ia kini ditawarkan dalam warna Pearl Nightfall Blue dan Pearl Magellanic Black, dengan grafik yang mengingatkan kembali kepada model EX5 generasi sebelumnya.

    Bagi kedua-dua warna ini, pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan versi yang menggunakan rim spoked (tiub) pada harga RM4,783 atau yang menggunakan rim sport (tubeless) pada harga RM5,009. Beza lain antara keduanya adalah versi rim sport mempunyai kemasan krom keliling lampu dan pemegang belakang.

    Honda EX5 dikuasakan oleh enjin satu silinder 110 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 8.5 hp pada 7,500 rpm dan 8.62 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah tangki bahan api 4.3 liter, brek dram depan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, pemula enjin tendang dan elektrik, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

    Harga yang disebutkan awal tadi adalah harga cadangan pengeluar dan tidak termasuk kos lain seperti insurans dan pendaftaran. Ia juga datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Proton jangka COVID-19 tidak begitu menjejaskan rantaian bekalan komponen untuk pengeluarannya

    Proton jangka COVID-19 tidak begitu menjejaskan rantaian bekalan komponen untuk pengeluarannya

    Jika beberapa jenama besar termasuk Hyundai, Kia dan Renault yang terpaksa menggantung operasi di kilang pengeluarannya yang terletak di Korea Selatan, berbeza dengan Proton yang menjangkakan impak penularan coronavirus (COVID-19) ke atas rantaian komponen pengeluaran model Proton X70 adalah minimum.

    Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed, walaupun impak ke atas Proton masih kecil, namun pengeluar kereta nasional memantau rapi perkembangan di China memandangkan kebanyakan komponen model SUV pertamanya didatangkan dari negara itu.

    “Buat masa ini kami masih OK dan Proton memantau situasi ini memandangkan kami memiliki banyak vendor di sana sama seperti pengeluar lain. Cuma kita tidak tahu apa apa yang akan berlaku pada masa depan. Sekarang pun sudah ada kilang beroperasi semula,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian

    Proton jangka COVID-19 tidak begitu menjejaskan rantaian bekalan komponen untuk pengeluarannya

    Tambah Radzaif lagi, langkah pemasangan secara tempatan dengan cadangan menggantikan vendor di China dengan pembekal komponen tempatan akan dilihat dengan penuh teliti supaya Proton lebih bersiap siaga pada masa depan.

    “Kami mempunyai stok mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran. Jadi saya fikir kami masih memiliki tuah buat masa ini,” katanya.

    Sebelum ini, seorang penganalisis menjangkakan Proton dan Sime Darby Bhd dilihat bakal menerima impak memandangkan ia memiliki hubungan langsung industri automotif China. Menurut penganalisis terbabit, walau pun Proton telah memula memasang model X70 CKD di kilang Tanjung Malim, namun kebanyakan bahagian dan komponen masih dibawa masuk dari China.

     
     
  • Aston Martin Vantage Roadster 2020 – guna enjin V8 twin turbo 4.0 liter, kuasa 510 PS dan tork 685 Nm

    Aston Martin Vantage Roadster 2020 – guna enjin V8 twin turbo 4.0 liter, kuasa 510 PS dan tork 685 Nm

    Selepas melancarkan versi Coupe pada tahun 2018, kini Aston Martin memperkenalkan pula Vantage versi Roadster. Kereta sports dua tempat duduk ini masih menggunakan enjin V8 twin turbo 4.0 liter yang sama, dipadankan dengan kotak gear automatik Z lapan kelajuan, menghasilkan 510 PS dan 685 Nm tork. Kuasa ini dihantar ke roda belakang dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, dengan laju maksimum 306 km/j (bumbung tertutup).

    Antara bahagian unik pada Vantage Roadster adalah mekanisme Z-fold serba ringan pada bumbung kainnya, yang mempunyai berat cuma lebih 60 kg berbanding versi Coupe. Bumbung tersebut boleh diturunkan dalam masa 6.7 saat dan dibuka dalam masa 6.8 saat, pada kelajuan sehingga 50 km/j. Menurut Aston Martin ini adalah masa operasi paling pantas bagi mana-mana sistem convertible automatik automotif.

    Walaubagaimanapun, mekanisme bumbung ini telah mengambil sedikit ruang but, menjadikan yang tinggal cuma 200 liter, berbanding 350 liter pada versi Coupe. Memandangkan ini adalah model convertible, bahagian casis juga perlu dikuatkan dengan penambahan shear panel manakala penyerap adaptif, sistem Dynamic Stability Control, Dynamic Torque Vectoring dan differential elektronik belakang diubah sedikit supaya bersesuaian. Penyerap belakang juga mempunyai talaan khas.

    Bersama pengenalan model ini, Aston Martin turut melancarkan pilihan barangan baru seperti gril ‘vane‘, rekaan rim baru, dan paling menarik, transmisi manual tujuh kelajuan – buat masa ini hanya untuk model Coupe. Transmisi ini pertama kali diperkenalkan pada model Vantage AMR keluaran terhad.

    Harga untuk Vantage Roadster bermula dari £126,950 (RM681k) di United Kingdom, dan penghantaran pertama dijangkan berlaku pada suku kedua tahun ini. Ia juga dijangka akan dipamerkan di Geneva Motor Show yang akan berlangsung pada bulan hadapan.

     
     
  • VIDEO: Sorotan Cambrian Rally 2020 untuk James Williams, bintang muda yang memandu Proton Iriz R5

    Pusingan pertama Kejuaraan Rali British (BRC) 2020 iaitu Cambrian Rally telah pun berakhir pada hujung minggu lalu; dan seperti yang kami laporkan sebelum ini, dua pemandu pasukan Proton Motorsport yang dikendalikan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Oliver Mellors dan James Williams masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima, bagi membawa pulang 14- dan 10-mata berharga untuk kejuaraan musim ini.

    Video di atas adalah sorotan Cambrian Rally 2020 yang disiarkan oleh laman Youtube James Williams iaitu James Williams Rallying (JWR) bagi memberikan gambaran sebenar yang dihdapinya sepanjang rali tersebut berlangsung. Untuk pengetahuan anda, James Williams adalah salah seorang pelumba rali muda dari British yang kini sedang meningkat naik, dan bertanding dalam kategori Junior untuk BRC musim 2019.

    Untuk musim ini, Williams mendapat tawaran saat akhir dari MEM untuk memandu Proton Iriz R5, secara tidak langsung membolehkan dia naik ke kelas utama BRC, iaitu kelas R5 dengan enjin berkuasa sekitar 350 hp lengkap dengan sistem pacuan semua roda, berbanding jentera R2 yang dipandunya musim lalu yang hanya menjana 200 hp dan memacu hanya roda hadapan.

    VIDEO: Sorotan Cambrian Rally 2020 untuk James Williams, bintang muda yang memandu Proton Iriz R5

    Pada SS pertama rali Cambrian tempoh hari, Williams hanya berjaya mencatatkan masa kelapan terpantas. Kemudian berjaya memperbaiki catatan masanya pada SS2 dengan mendaki ke tempat ketujuh. Pada SS3, rentak Williams sedikit terganggu kerana sebuah Mitsubishi Lancer Evo X yang lebih perlahan dan dilepaskan dahulu sebelumnya, berada di hadapan.

    Walau bagaimanapun, dia sekali lagi berjaya mencatatkan masa yang lebih baik bagi menduduki tangga keenam keseluruhan pada SS tersebut. Dan pada SS6 yang juga SS terakhir, pemandu pasukan Motorsport Ireland, Josh McErlean yang memandu Hyundai i20 R5 melakukan kesilapan dengan melanggar batu pada selekoh terakhir menyebabkan sistem sterengnya rosak menyebabkan dia tidak dapat meneruskan perlumbaan, membolehkan Williams naik satu lagi anak tangga bagi menamatkan rali ini di tempat kelima.

    Walaupun tidak memperolehi podium pada pusingan pertama ini, keputusan yang dicatatkan oleh James Williams pada Rali Cambrian ini sudah lebih dari cukup kerana ini adalah penampilan pertamanya dalam kategori R5. Dan, Williams juga sebenarnya hanya dapat mencuba jentera yang jauh lebih berkuasa ini sehari sebelum bermulanya perlumbaan sebenar. Jadi dapat menghabiskan rali dalam kelompok sama dengan sebahagian pemandu-pemandu WRC2 seperti Rhys Yates dan Tom Cave hanya pada percubaan pertama adalah sesuatu yang istimewa.

     
     
  • Proton X70 CKD 2020 – perincian beza antara varian

    Proton X70 CKD 2020 – perincian beza antara varian

    Proton X70 2020 versi pemasangan tempatan (CKD) baru saja dilancarkan sebentar tadi, dan anda boleh membaca laporan lengkap berkenaannya di sini. Walaupun bukan sebuah model naik taraf yang sama seperti Boyue Pro facelift, ia masih lagi mempunyai beberapa peningkatan penting, dan bukannya setakat tempat pemasangannya sahaja.

    Antara yang utama adalah transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan baru, yang dipadankan bersama enjin 1.8 liter TGDi turbo (sama seperti sebelum ini) untuk menghasilkan kuasa 184 PS dan 300 Nm tork pada 1,750 hingga 4,000 rpm (naik 15 Nm).

    X70 CKD bukanlah kenderaan pertama yang menggunakan transmisi ini, malah ia sudah digunakan pada Volvo XC40, Boyue Pro dan beberapa model divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co. Anda boleh membaca perincian lanjut tentang transmisi ini, bersama kelebihannya di sini.

    Secara keseluruhannya terdapat empat varian untuk X70 CKD 2020 iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium 2WD X. Varian pacuan empat roda Executive AWD yang ditawarkan pada model sebelum ini sudah tiada lagi kerana Proton memberitahu permintaan untuknya adalah rendah. Pada bahagian luar, hanya logo di atas gril saja yang berubah, bersama logo pada lampu yang terpancar ke bawah apabila pintu dibuka.

    Bahagian dalam kebanyakannya adalah sama sahaja, cuma logo pada stereng sahaja yang ditukar, serta tombol gear dengan butang P yang lebih jelas. Kelengkapan baru lain adalah seperti fungsi sandar untuk tempat duduk belakang, Pintu tailgate berkuasa (Executive) dan tempat duduk hadapan berliang udara (Executive dan ke atas). Bagi varian Premium dan ke atas, ia mendapat pintu tailgate berkuasa bersama pengesan kaki.

    Untuk warna pula, terdapat lima pilihan iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red (menggantikan Flame Red sebelum ini). Bagi varian Premium dan Premium X, pelanggan boleh memilih satu lagi warna istimewa iaitu Space Grey manakala pembeli varian Standard pilihannya terhad kepada Snow White, Armour Silver dan Jet Grey sahaja.

    Harga untuk Proton X70 CKD 2020 bermula dari RM94,800 iaitu untuk varian Standard (lebih murah RM5k), RM106,800 untuk varian Executive (lebih murah RM3k), RM119,800 untuk varian Premium dan RM122,800 untuk varian Premium X yang mempunyai bumbung panoramik (lebih murah RM1k). Harga tidak termasuk insurans. Berikut adalah perincian spesifikasinya mengikut varian.

    Proton X70 Standard 2WD – RM94,800

    Didatangkan standard dengan:

    Sistem mekanikal

    • Enjin 1.8 liter T-GDI DOHC
    • 1,799 cc empat-silinder petrol dengan pengecas turbo
    • 184 PS (181 hp) pada takat 5,500 rpm, 300 Nm bermula 1,750 hingga 4,400 rpm
    • Transmisi DCT dengan klac jenis basah tujuh-kelajuan automatik bersama mod manual
    • Tiga mod pemanduan – Normal, Eco dan Sport
    • Stereng bantuan kuasa elektrik dengan mod normal dan Sport
    • Brek parking elektrik
    • Topang MacPherson (hadapan), multi-link dengan bar penstabil (belakang)
    • Cakera brek berliang (hadapan), cakera solid (belakang)

    Luaran

    • Lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi on/off automatik
    • Lampu kombinasi belakang LED
    • Lampu kabus hadapan LED
    • Rim aloi 17-inci
    • Cermin sisi lipatan berkuasa elektronik
    • Sistem kemasukan pintar tanpa kunci

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit hitam dengan butang kawalan
    • Larasan turun bawah dan teleskopik untuk roda stereng
    • Paparan instrumen LCD tujuh-inci
    • Butang penghidup enjin
    • Tingkap berkuasa dengan sistem anti-perangkap pada sebelah pemandu
    • Tempat duduk larasan manual
    • Tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40
    • Sistem pendingin hawa dua-zon automatik dengan liang kabin belakang dan sistem penyegar udara
    • Skrin infotainment lapan-inci dengan arahan suara “Hi, Proton”, streaming muzik dalam talian, navigasi, hubungan telefon pintar, Bluetooth dan hotspot Wi-Fi 4G
    • Aplikasi Proton Link bagi memantau status kenderaan dan fungsi kawalan jauh
    • Enam pembesar suara
    • Enam port USB – satu untuk data, enam untuk caj
    • Penutup Tonneau
    • Tayar gantian 155/85R18 dengan rim besi

    Keselamatan

    • Enam-beg udara (hadapan, sisi dan tirai)
    • Cagak tempat duduk kanak-kanak di belakang dengan cangkuk atas
    • Sistem brek anti-kunci (ABS) bersama EBD dan BA
    • Sistem Brake Hold
    • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
    • Kawalan Traction
    • Bantuan Mula Mendaki (HHA)
    • Bantuan Menurun Bukit (HDC)
    • Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
    • Empat Penderia Parkir belakang
    • Kamera Undur

    Proton X70 Executive 2WD – RM106,800

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED
    • Pengelap cermin dengan penderia hujan
    • Rim aloi 18-inci
    • Pintu tailgate berkuasa

    Dalaman

  • Cermin pandang belakang auto-dimming
  • Lampu bendul pintu dan selamat datang
  • Tempat duduk balutan kulit
  • Tempat duduk pemandu larasan berkuasa
  • Sistem aliran udara untuk tempat duduk hadapan
  • Lapan pembesar suara
  • Keselamatan

    • Dua penderia parkir hadapan
    • Kamera 360-darjah

    Proton X70 Premium 2WD – RM119,800

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Rim aloi 19-inci
    • Pintu tailgate berkuasa dengan operasi tanpa sentuhan

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit Nappa dengan butang pelbagai fungsi
    • Kawalan jauh untuk kesemua tingkap dan bumbung suria
    • Sistem anti-perangkap untuk semua tingkap berkuasa
    • Tempat duduk dan upholsteri kulit Nappa
    • Larasan berkuasa untuk lumbar pada tempat duduk pemandu, larasan berkuasa empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan (dengan suis tambahan pada bahagian bahu)
    • Sembilan pembesar suara termasuk subwoofer

    Keselamatan

    • Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
    • Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS)
    • Brek Kecemasan Automatik (AEB)
    • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
    • Cruise Control Adaptif (ACC)
    • Amaran Keluar Lorong (LDW)
    • Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS)
    • Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW)
    • Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC)
    • Empat penderia parkir hadapan

    Proton X70 Premium X 2WD – RM122,800

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Bumbung panaromik

    Selain dari ciri-ciri atas kertas yang diumumkan oleh Proton ini, bagaimana pula prestasi SUV Segmen-C ini ketika dipandu? Kalau nak tahu, baca ulasan pandu uji kami pada artikel di PAUTAN INI.

    GALERI: Proton X70 Standard 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Executive 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020

     
     
  • Proton X70 2020 – kenapa masih pakai enjin 1.8L turbo dan enjin 1.5L turbo hanya untuk X50 selepas ini?

    Proton X70 2020 – kenapa masih pakai enjin 1.8L turbo dan enjin 1.5L turbo hanya untuk X50 selepas ini?

    Proton X70 2020, iaitu versi pemasangan tempatan serta kemaskini terbaharu untuk SUV segmen-C tersebut baru sahaja di dilancarkan sebentar tadi – walaupun ia kelihatan hampir sama dengan versi CBU sebelum ini, model sebenarnya diberikan ciri unik yang tiada pada Boyue standard pasaran China iaitu kotak gear klac berkembar (DCT) jenis basah automatik tujuh-kelajuan bagi menggantikan transmisi enam-kelajuan automatik pada enjin 4G18TD 1.8L turbo berkenaan.

    Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan bahawa X70 turut akan menerima versi yang dijana enjin lebih kecil iaitu unit 3G15TD 1.5 liter tiga silinder, namun ia tidak direalisasikan oleh Proton. Mengapa?

    Menurut Proton, langkah untuk tidak menggunakan enjin 1.5 liter tersebut setelah mengambilkira keputusan tinjauan yang telah dijalankan terhadap pemilik model sedia ada dan juga bakal-bakal pelanggan yang berpotensi. Kumpulan ini lebih sukakan enjin dengan kapasiti lebih besar untuk SUV bersaiz seperti X70 ini, walaupun jumlah kuasa yang dihasilkan antara kedua-duanya adalah hampir sama.

    Proton X70 2020 – kenapa masih pakai enjin 1.8L turbo dan enjin 1.5L turbo hanya untuk X50 selepas ini?

    Di atas kertas, angka kuasa yang dihasilkan oleh 4G18TD pada X70 dan Boyue standard dengan 3G15TD pada Boyue Pro tidak jauh berbeza iaitu 181 hp (184 PS) berbanding 174 hp (176 PS). Walau bagaimanapun, kelebihan untuk enjin dengan kapasiti besar ini tentulah pada angka tork di mana versi 1.8L menjana 300 Nm, berbanding 1.5L yang menghasilkan 255 Nm.

    Jadi kesimpulannya, rakyat Malaysia – sekurang-kurangnya yang telah ditinjau oleh Proton – lebih percayakan enjin dengan kapasiti lebih besar untuk menggerakkan sebuah SUV segmen-C. Sebab itulah enjin 1.8L ini kekal sebagai satu-satunya unit yang ditawarkan pada X70.

    Walau bagaimanapun, enjin 1.5L turbo yang dihasilkan oleh Geely bersama Volvo itu turut akan digunakan oleh Proton sedikit masa lagi, menerusi SUV lebih kecil X50 nanti. Menurut Proton, cadangan untuk menggunakan enjin 3G15TD tersebut pada SUV segmen-B itu adalah lebih diterima oleh rakyat Malaysia berdasarkan saiznya yang tidak besar.

    GALERI: Proton X70 CKD 2020

     
     
  • Proton X70 CKD tiada AWD kerana kurang permintaan

    Proton X70 CKD tiada AWD kerana kurang permintaan

    Semasa dilancarkan pada penghujung tahun 2018, orang ramai boleh memilih empat varian untuk Proton X70, termasuk Executive AWD yang datang dengan sistem pacuan semua roda. Walaubagaimanapun, melalui model X70 CKD 2020 yang baru dilancarkan, tiada lagi varian ini.

    Jumlah varian keseluruhannya masih lagi ada empat, tetapi semuanya adalah pacuan dua roda hadapan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium X 2WD. Melihat kepada penawaran ini, kenapa sebenarnya Proton tidak lagi menyediakan varian pacuan empat roda pada X70?

    Jawapan ringkasnya adalah tidak ramai pelanggan yang berminat dengan varian Executive AWD ini. Sehingga kini, sekitar 28,000 unit X70 CBU sudah diserahkan kepada pelanggan, dan daripada jumlah itu, 50% adalah untuk varian Premium 2WD yang paling atas.

    Proton X70 CKD tiada AWD kerana kurang permintaan

    Pembeli yang memilih varian Executive AWD cuma 5% sahaja, dan apabila kurang permintaan, pengeluaran juga dihadkan. Dalam kes X70 CKD ini, permintaan yang sangat rendah untuk model X70 CBU pacuan empat roda menyebabkan Proton terus menghentikan penawarannya.

    Memandangkan Premium 2WD adalah satu-satunya varian X70 CBU yang datang dengan ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan mencatat jualan paling tinggi, kita boleh membuat andaian bahawa pelanggan lebih mengutamakan ciri keselamatan dan bantuan pemandu berbanding sistem pacuan empat roda.

    Mungkin ada yang mempersoalkan kos penyelenggaraan sistem pacuan empat roda, tetapi apabila melihat jadual servis yang disediakan oleh Proton untuk X70 CBU, beza kos antara varian 2WD dan 4WD untuk tempoh 150,000 km/7.5 tahun adalah cuma RM129.69 sahaja.

    Sudah tentu, ada yang mahukan ADAS serta pacuan semua roda dalam satu pakej, tapi Proton tidak menawarkannya pada mana-mana varian. Kita juga tidak tahu sama ada terdapat permintaan untuk pakej seperti ini ataupun tidak. Anda rasa bagaimana? Adakah patut Proton menawarkan ADAS dan AWD dalam satu pakej atau sekurang-kurangnya ada satu varian AWD?

     
     
  • PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

    Apa yang ada dengan Proton X70 CKD 2020 sebenarnya? Adakah ia mampu menepati jangkaan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini? Untuk menjawab pertanyaan berkenaan, ia sebenarnya bergantung kepada bagaimana dan dari sudut mana anda melihat duduk letak perkara yang sebetulnya.

    Bagi saya sendiri, setelah berkali-kali di”jual” dengan idea bahawa Proton X70 CKD 2020 akan tampil dengan banyak kelainan, maka jangkaan awal yang terbina di dalam kepala menjadi sedikit tinggi sebenarnya. Tetapi, sebaik saja mendekati model yang dimaksudkan dalam satu sesi pandu uji media ke Kuantan minggu lalu, ada beberapa hal yang sedikit mengecewakan sebenarnya.

    Pertama, ketika melihat penampilan Proton X70 CKD 2020 yang saling tak tumpah seperti versi CBU sebelum ini, saya tertanya-tanya ke mana perginya cakap-cakap – yang sebahagian besarnya disampaikan oleh orang Proton sendiri – tentang perbezaan penampilan serta penggayaan yang kerap kali dinyatakan akan berubah banyak itu?

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Proton X70 CKD dilancarkan secara rasmi – harga bermula RM95k, kotak gear DCT 7-kelajuan, 4 varian

    Proton X70 CKD dilancarkan secara rasmi – harga bermula RM95k, kotak gear DCT 7-kelajuan, 4 varian

    Proton X70 2020 secara rasminya telah dilancarkan hari ini – seperti yang ramai sudah tahu, ia bukan sahaja model kemaskini, malah SUV segmen-C ini bukan lagi diimport dari China (CBU) sebaliknya sudah diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti baharu Proton yang terletak di Tanjong Malim.

    Seperti model yang dilancarkan pada Disember 2018, versi 2020 ini masih ditawarkan dalam empat varian. Tetapi ia kini tidak lagi mempunyai pilihan versi 4WD, sebaliknya model 2WD Premium disediakan dalam dua versi. Varian paling rendah Standard 2WD dijual pada harga bermula RM94,800, versi Executive 2WD berharga RM106,800, model Premium 2WD berharga RM119,800, dan varian tertinggi kini dikenali dengan nama Premium X 2WD dijual pada harga RM122,800.

    Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan Proton X70 2020 ini masih kekal dilindungi waranti lima-tahun tanpa had perbatuan. Proton juga menyatakan harga yang diumumkan ini adalah sama antara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Enam warna ditawarkan iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown dan Space Grey.

    Untuk 3,000 pelanggan pertama X70 2020 ini, Proton turut menawarkan pakej istimewa iaitu data internet tambahan pada kad sim pada sistem infotainmen GKUI sebanyak 4GB selama lima tahun (bernilai RM1,740), serta pakej aksesori yang terdiri dari dash cam, karpet kaki, pelindung matahari magnetid, visor pintu, tray but dan trunk organizer secara percuma.

    Proton X70 CKD dilancarkan secara rasmi – harga bermula RM95k, kotak gear DCT 7-kelajuan, 4 varian

    Untuk pembeli lain, X70 hadir dengan pakej standard seperti pakej data 1GB setiap bulan, 5 kali servis penyelenggaraan dengan kos buruh percuma, kadar faedah serendah 2.32% setahun dan juga perlindungan insuran premium.

    Proton X70 2020 ini masih lagi dijana oleh enjin 4G18TD 1.8 liter turbo dengan sistem suntikan terus. Perubahan paling besar dari segi mekanikal adalah pada sistem transmisi – ia kini dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh kelajuan bagi menggantikan transmisi automatik konvensional enam-kelajuan sebelum ini.

    Dengan transmisi yang dikongsi bersama Volvo XC40 (model dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo) yang lebih efisien ini, enjin yang sama dapat membebaskan jumlah tork lebih 15 Nm dari asal kepada 300 Nm, namun jumlah penghasilan kuasa masih sama pada tahap 181 hp.

    Ini membolehkan X70 2020 memecut 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat, atau 1 saat lebih pantas dari sebelum ini. Bacaan penggunaan petrol juga telah turun kepada 7.6 liter untuk setiap 100 km, berbanding 7.8 liter sebelum ini. Menurut Proton, walaupun kotak gear ini diproduksi di fasiliti Geely di Ningbo, versi yang dihasilkan untuk Proton pasaran Malaysia ini dihasilkan dengan karekter talaan yang lebih agresif berbanding untuk Boyue Pro di China.

    Proton X70 CKD dilancarkan secara rasmi – harga bermula RM95k, kotak gear DCT 7-kelajuan, 4 varian

    Proton juga telah menguji kotak gear ini di Malaysia bagi memastikan ketahanannya dalam ujian sejauh lebih 100,000 km dalam masa lebih enam bulan, termasuk ujian yang turun-naik Genting Highlands yang kerap. Lebih perincian teknikal dan apa lagi ujian ketahanan yang dilakukan oleh Geely terhadap kotak gear tersebut boleh anda baca pada artikel-artikel kami pada PAUTAN INI.

    Menurut Proton lagi, mereka telah menggugurkan penawaran sistem AWD pada X70 ini adalah kerana ia kurang mendapat permintaan dari orang ramai. Perubahan lain yang anda boleh lihat pada bahagian ruang enjin X70 CKD ini adalah pada penutup enjin – ia nampak seakan enjin diposisikan menegak kebelakang, bersama tulisan “Proton GPower”.

    Penampilan luaran Proton X70 2020 tidak menampilkan sebarang perubahan yang ketara berbanding model CBU dari China sebelum ini. Perubahan yang dapat dilihat pada bahagian luaran adalah logo Proton lama pada gril infinite weave, penutup roda dan juga pada cermin tingkap kini telah digantikan dengan logo bulat baharu.

    Jika anda lihat dengan lebih teliti, tayar Continental UltraContact untuk rim 19-inci X70 CKD ini juga telah menggunakan tayar yang dibuat di Malaysia dan bukan lagi dari China, bagi meningkatkan kadar penggunaan bahan-bahan tempatan. Walau bagaimanapun, untuk rim 17- dan 18-inci, ia dibaluti tayar GT Radial yang diimport dari Indonesia.

    Proton X70 CKD dilancarkan secara rasmi – harga bermula RM95k, kotak gear DCT 7-kelajuan, 4 varian

    Menurut Proton lagi, talaan suspensi X70 CKD ini juga telah menerima sentuhan signatur Proton Ride & Handling.

    Masuk ke kabin pula, juga sebahagian besar rekaan asal masih lagi ada pada versi kemaskini ini. Seperti juga pada bahagian luaran, roda stereng pada SUV ini menerima logo baharu Proton yang nampak sangat menonjol. Bahagian tuil penukar gear juga berubah – kini dengan tombol gear yang lebih kecil – untuk sistem shift-by-wire transmisi DCT 7-kelajuan baharu yang dipadankan.

    Tombol gear berkenaan diberikan butang untuk memilih gear parking pada bahagian atas dengan logo “P” yang besar. Walau bagaimanapun, Proton telah mengesahkan bahawa ia tidak akan terus bertukar ke gear “P” sekiranya pemandu secara sengaja atau tidak menekan butang tersebut ketika kereta sedang bergerak.

    Bahagian tersebut juga masih diletakkan butang untuk memilih mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport, bersama butang untuk memilih mod gear manual.

    Proton X70 CKD dilancarkan secara rasmi – harga bermula RM95k, kotak gear DCT 7-kelajuan, 4 varian

    Untuk model Executive dan ke atas, ia kini diberikan tempat duduk hadapan dengan sistem aliran udara pada bahagian bawah. Tiada butang fizikal untuk mengaktifkan fungsi ini, dan ia hanya boleh dikawal menerusi paparan kawalan pendingin hawa pada skrin infotainmen, atau menggunakan arahan suara pada sistem “Hi, Proton”.

    Kini, semua varian X70 menerima tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40, dan ia boleh condongkan ke belekang dengan dua tahap iaitu 27-darjah dan 32-darjah – penambahbaikkan ini dilakukan berdasarkan respon dari pengguna sedia ada.

    Pembeli untuk model Executive ke atas turut akan menerima pintu tailgate belakang dengan bantuan kuasa. Ia boleh dioperasikan menerusi butang pada kunci kawalan jauh mahupun butang pada papan pemuka yang terletak berhampiran kawalan cermin sisi, serta boleh dibuka secara manual dari dalam jika bateri kereta dalam keadaan lemah.

    Proton X70 CKD dilancarkan secara rasmi – harga bermula RM95k, kotak gear DCT 7-kelajuan, 4 varian

    Manakala pada model Premium dan Premium X, ia ditambah baik dengan fungsi bukaan dengan hanya menggunakan penderia kaki pada bawah bampar belakang, membolehkan ia dibuka tanpa sentuhan tangan.

    X70 turut diberikan kemaskini pada bahagian but belakang dengan rekaan semula dibuat pada penutup tonneau – kini diberikan rel untuk membolehkan ia digunakan dengan lebih mudah. Proton telah memberikan lapisan karpet pada dinding ruang kargo ini berbanding hanya ditutup plastik kosong sebelum ini, dan ia turut ditambah dengan cangkuk untuk barangan pada sebelah kiri.

    Perincian lengkap yang diterima untuk setiap varian Proton X70 adalah seperti berikut:

    Proton X70 Standard 2WD

    Didatangkan standard dengan:

    Sistem mekanikal

    • Enjin 1.8 liter T-GDI DOHC
    • 1,799 cc empat-silinder petrol dengan pengecas turbo
    • 184 PS (181 hp) pada takat 5,500 rpm, 300 Nm bermula 1,750 hingga 4,400 rpm
    • Transmisi DCT dengan klac jenis basah tujuh-kelajuan automatik bersama mod manual
    • Tiga mod pemanduan – Normal, Eco dan Sport
    • Stereng bantuan kuasa elektrik dengan mod normal dan Sport
    • Brek parking elektrik
    • Topang MacPherson (hadapan), multi-link dengan bar penstabil (belakang)
    • Cakera brek berliang (hadapan), cakera solid (belakang)

    Luaran

    • Lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi on/off automatik
    • Lampu kombinasi belakang LED
    • Lampu kabus hadapan LED
    • Rim aloi 17-inci
    • Cermin sisi lipatan berkuasa elektronik
    • Sistem kemasukan pintar tanpa kunci

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit hitam dengan butang kawalan
    • Larasan turun bawah dan teleskopik untuk roda stereng
    • Paparan instrumen LCD tujuh-inci
    • Butang penghidup enjin
    • Tingkap berkuasa dengan sistem anti-perangkap pada sebelah pemandu
    • Tempat duduk larasan manual
    • Tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40
    • Sistem pendingin hawa dua-zon automatik dengan liang kabin belakang dan sistem penyegar udara
    • Skrin infotainment lapan-inci dengan arahan suara “Hi, Proton”, streaming muzik dalam talian, navigasi, hubungan telefon pintar, Bluetooth dan hotspot Wi-Fi 4G
    • Aplikasi Proton Link bagi memantau status kenderaan dan fungsi kawalan jauh
    • Enam pembesar suara
    • Enam port USB – satu untuk data, enam untuk caj
    • Penutup Tonneau
    • Tayar gantian 155/85R18 dengan rim besi

    Keselamatan

    • Enam-beg udara (hadapan, sisi dan tirai)
    • Cagak tempat duduk kanak-kanak di belakang dengan cangkuk atas
    • Sistem brek anti-kunci (ABS) bersama EBD dan BA
    • Sistem Brake Hold
    • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
    • Kawalan Traction
    • Bantuan Mula Mendaki (HHA)
    • Bantuan Menurun Bukit (HDC)
    • Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
    • Empat Penderia Parkir belakang
    • Kamera Undur

    Proton X70 Executive 2WD

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED
    • Pengelap cermin dengan penderia hujan
    • Rim aloi 18-inci
    • Pintu tailgate berkuasa

    Dalaman

  • Cermin pandang belakang auto-dimming
  • Lampu bendul pintu dan selamat datang
  • Tempat duduk balutan kulit
  • Tempat duduk pemandu larasan berkuasa
  • Sistem aliran udara untuk tempat duduk hadapan
  • Lapan pembesar suara
  • Keselamatan

    • Dua penderia parkir hadapan
    • Kamera 360-darjah

    Proton X70 Premium 2WD

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Rim aloi 19-inci
    • Pintu tailgate berkuasa dengan operasi tanpa sentuhan

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit Nappa dengan butang pelbagai fungsi
    • Kawalan jauh untuk kesemua tingkap dan bumbung suria
    • Sistem anti-perangkap untuk semua tingkap berkuasa
    • Tempat duduk dan upholsteri kulit Nappa
    • Larasan berkuasa untuk lumbar pada tempat duduk pemandu, larasan berkuasa empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan (dengan suis tambahan pada bahagian bahu)
    • Sembilan pembesar suara termasuk subwoofer

    Keselamatan

    • Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
    • Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS)
    • Brek Kecemasan Automatik (AEB)
    • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
    • Cruise Control Adaptif (ACC)
    • Amaran Keluar Lorong (LDW)
    • Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS)
    • Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW)
    • Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC)
    • Empat penderia parkir hadapan

    Proton X70 Premium X 2WD

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Bumbung panaromik

    Selain dari ciri-ciri atas kertas yang diumumkan oleh Proton ini, bagaimana pula prestasi SUV Segmen-C ini ketika dipandu? Kalau nak tahu, baca ulasan pandu uji kami pada artikel di PAUTAN INI.

    GALERI: Proton X70 Standard 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Executive 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020

    Proton X70 CKD 2020 – Pilihan warna

    Proton X70 CKD 2020 — Ciri keselamatan

    GALERI: Imej rasmi Proton X70 2020

     
     
  • Pemandu yang jadi punca nahas maut tidak boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati – PDRM

    Pemandu yang jadi punca nahas maut tidak boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati – PDRM

    Netizen sering mempertikaikan hukuman yang dikenakan terhadap pemandu kenderaan yang menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian. Kata netizen, hukuman yang diperuntukan itu tidak setimpal dengan kehilangan nyawa, apatah lagi jika kemalangan terbabit membabitkan kecuaian termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol. Di mana, tegas mereka, pesalah perlu dihukum gantung sampai mati.

    Walau bagaimana pun, Pegawai Turus Kes Profil Tinggi & Kajian Kes, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Rozlim Che Ali menjelaskan, kes kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian tidak boleh disamakan dengan kes bunuh, yang dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    “Ini kerana kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan parah, ringan atau maut ia dikategorikan sebagai kes ‘quasi criminal’. Hanya memadai dibuktikan dengan tindakan tetapi berbeza dengan kes bunuh kerana terdapat dua perkara yang perlu dibuktikan iaitu niat serta tindakan,” ujarnya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

    Pemandu yang jadi punca nahas maut tidak boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati – PDRM

    Tambahnya lagi, bagi kes bunuh jika dapat dibuktikan niat seseorang pelaku itu serta tindakannya, barulah pertuduhan boleh dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    “Tetapi dalam kes kemalangan, sukar untuk kita buktikan niat seseorang itu walaupun tindakannya mendatangkan kematian,” katanya dalam program Wacana Siri 156 bertajuk ‘Pemandu Mabuk: Perlukah Hukuman Lebih Berat?’ yang berlangsung malam tadi di Bangunan Sinar Harian. Beliau diajukan soalan mengapa pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada orang lain tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati seperti pesalah kes bunuh oleh moderator Amin Idris.

    “Disebabkan itu, dalam kes-kes kemalangan, polis hanya mengambil apa tindakan yang dilakukan pemandu tersebut dan jika boleh disabitkan sebagai punca kemalangan yang menyebabkan kematian kepada orang lain, ia sudah cukup untuk menuduh pelaku tersebut di mahkamah,” jelasnya lagi.

     
     
  • Triumph Street Triple 765R 2020 dilancarkan di UK

    Triumph Street Triple 765R 2020 dilancarkan di UK

    Motosikal naked Triumph Street Triple 765 datang dalam dua versi iaitu RS yang mempunyai spesifikasi tinggi dan R di bawahnya. Untuk model tahun 2020, 765RS telah pun didedahkan, malah sudah dilancar di Malaysia pada harga RM67,900, dan kini baru didedahkan adalah model 765R 2020.

    Bermula pada bahagian luar, 765R kini mendapat lampu LED serta bentuk kepala yang sama sepeti 765RS. Pilihan warna pula terdiri daripada Sapphire Black dan Matt Silver Ice. Berat kering model ini adalah 168.4 kg, dan ini cuma 2.4 kg lebih berat berbanding model 765RS.

    Enjin tiga silinder 765 cc yang sama masih dikekalkan, tetapi ia sekarang melepasi tahap emisi Euro 5 dan mempunyai maklum balas yang lebih baik, hasil daripada pengurangan inertia dalam enjin sebanyak 7%. Kuasa maksimumnya adalah 118 PS pada 12,000 rpm dan 77 Nm tork pada 9,400 rpm. Sebagai perbandingan, 765RS menghasilkan 123 PS pada 11,750 rpm dan 79 Nm tork.

    Kotak gear enam kelajuan pada 765R turut dipasang dengan quickshifter naik dan turun, secara standard. Brek hadapan menggunakan angkup Brembo empat piston M4.32 serta cakera 310 mm manakala di belakang pula terdapat angkup brek Brembo satu piston. ABS two-channel datang secara standard.

    Sementara 765RS menggunakan fork Showa BPF boleh laras sepenuhnya, 765R ini pula menggunakan unit Showa SF-BPF 41 mm dengan pelarasan mampatan dan lantunan berasingan. Untuk monoshock pula, 765R menggunakan unit Showa dengan pelarasan mampatan, lantunan dan pra beban. Tangki bahan api berkapasiti 17.4 liter.

    Pada bahagian kokpit, 765R masih lagi menggunakan panel paparan gabungan analog untuk tahap rpm dan LCD monochrome untuk informasi lain, manakala mod tunggangan pula ada tiga iaitu Sport, Road dan Rain – bersama Traction Control. Tayar yang diberikan standard adalah unit Pirelli Rosso III, dan pemilik juga disediakan dengan pilihan tempat duduk 780 mm yang lebih rendah, berbanding tempat duduk asal 825 mm.

     
     
  • Tag TNG RFID dijual pada harga RM35 mulai 15 Feb

    Tag TNG RFID dijual pada harga RM35 mulai 15 Feb

    Bagi yang belum berkesempatan memasang tag Touch ‘n Go (TNG) Radio Frequency Identification (RFID), ini ada makluman untuk anda, tiada lagi pemasangan secara percuma kerana ujian perintis yang dijalankan di 22 buah lebuhraya sejak 18 bulan lalu telah tamat,

    Walau bagaimana pun, syarikat TNG telah memaklumkan mulai 15 Februari 2020, tag TNG RFID akan dijual pada harga RM35 di semua pusat pemasangan TNG di seluruh negara. Bayaran ini termasuklah penggantian kali pertama pada kenderaan yang sama jika pelekat tag terbabit rosak, atau penggantian lampu utama atau cermin hadapan kenderaan yang membuatkan tag sedia ada tidak boleh dipakai semula. Untuk pengetahuan, tag berkenaan tiada sebarang tamat tempoh.

    TNG berkata, sejak program perintis dijalankan, sebanyak 55 juta transaksi bernilai RM104.5 juta telah dibuat menerusi RFID. Dan hasil daripada maklumbalas yang diterima daripada pengguna, sebanyak 99% transaksi berjaya dilakukan.

    Tag TNG RFID dijual pada harga RM35 mulai 15 Feb

    “Kami telah mengeluarkan sejumlah satu juta tag TNG RFID kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pengalaman terhadap teknologi ini sepanjang program perintis awam yang dilakukan sejak September 2018. Kini tibalah masanya untuk mengembangkan teknologi RFID ini dengan rakan kongsi kami menerusi ekosistem mobiliti di Malaysia. Ini termasuklah pembayaran untuk mengisi bahan api kenderaan, parkir dan jualan runcit menerusi ‘pandu dan lalu’,” ujar CEO TNG Syahrunizam Samsudin.

    Sempena pelancaran ini, TNG juga mengumumkan promosi untuk menggalakkan rakyat menggunakan Tag TNG RFID. Promosi yang akan berlangsung dari 15 Februari sehingga 15 April 2020 akan memberi peluang kepada 40 pemenang bertuah untuk memenangi ‘Ultimate RFID Toll Pass’ yang bernilai RM2,500 setiap satu di Touch ‘n Go eWallet.

    Pada 23 Disember 2019, Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan pelaksanaan kutip tol menggunakan teknologi RFID di 62 plaza tol, lebuhraya sistem tol terbuka bagi kenderaan Kelas 1 dimulakan pada 1 Januari 2020. Ini adalah sebagai salah satu pilihan mod pembayaran secara elektronik seperti yang diumumkan pada Julai lalu.

     
     
  • Touch ‘n Go eWallet aktifkan standard DuitNow QR – pengguna boleh pindahkan wang ke bank, eWallet lain

    Touch ‘n Go eWallet aktifkan standard DuitNow QR – pengguna boleh pindahkan wang ke bank,  eWallet lain

    Touch n Go telah mengumumkan kemudahan eWallet yang pengguna boleh sambungkan ke RFID atau kad TnG untuk pembayaran tol, bakal mengaktifkan fungsi DuitNOw QR iaitu QR Standard Kebangsaan Malaysia dan menyertai ekosistem DuitNow yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia (PayNet). DuitNow QR ditubuhkan di bawah Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM).

    ICTF memberi mandat kepada PayNet, sebagai penyedia perkongsian infrastruktur pembayaran negara untuk menjalankan QR standard saling boleh kendali dan umum untuk Malaysia. Setakat ini, sebanyak 40 bank di Malaysia menjadi sebahagian daripada ekosistem DuitNow, di mana sembilan daripadanya telah menawarkan QR DuitNow dalam aplikasi perbankan mudah alih mereka.

    Touch ‘n Go eWallet aktifkan standard DuitNow QR – pengguna boleh pindahkan wang ke bank,  eWallet lain

    Ini bermakna pengguna TnG eWallet akan dibenarkan membuat perpindahan wang ke akaun bank dan eWallet yang lain. Malah difahamkan sebanyak 38 bank, eWallet dan entiti bukan bank juga dijangka akan memulakan pelaksanaan QR DuitNow dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang, laporan Berita Harian.

    Bagi TnG eWallat, DuitNow bakal dilaksanakan pada Julai ini, dan rancangannya adalah untuk membolehkan perpindahan wang ke semua peniaga menerusi kod DuitNow QR. Apabila ia telah dilaksanakan, peniaga hanya perlu memaparkan satu kod QR untuk penerimaan pembayaran daripada lebih 22 juta akaun bank dan eWallet. Pada masa ini, TnG eWallet mempunyai sembilan juta pengguna dan 135,000 peniaga.

    Menurut DuitNow, antara pihak yang bakal menyokong standard QR ini termasuklah GrabPay, BigPay, FavePay dan ShopeePay.

     
     
  • GALERI: Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2020

    GALERI: Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2020

    Semasa sesi ujian di Litar Sepang, pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team juga telah mendedahkan jentera YZR-M1 mereka musim ini. Walaupun musim lepas pasukan ini masuk sebagai rookie, mereka telah berjaya mendapatkan gelaran sebagai pasukan persendirian terbaik dengan berada di tempat keempat secara keseluruhan.

    Dua pelumba pasukan ini, iaitu Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli turut menunjukkan prestasi yang baik, dengan masing-masing mendapat tempat kelima dan ke-10 secara keseluruhan. Quartararo juga telah dinobatkan sebagai rookie terbaik dan pelumba persendirian terbaik.

    Tahun ini nampaknya pasukan ini akan kembali dengan lebih kuat kerana melihatkan kepada sesi ujian yang berlangsung di Sepang, Quartararo berjaya mencatat masa terpantas iaitu 1 minit 58.439 saat. Franco pula lebih menumpukan perhatian untuk menguji beberapa tetapan pada motosikal, untuk mengatasi masalah gegaran pada bahagian hadapan motosikal.

    “Secara umumnya saya berpendapat ujian ini berjalan dengan lancar. Walaubagaimanapun kita tidak boleh terlalu melihat kepada masa yang dicatat lagi. Secara psikologi, bagus juga bagi pelumba untuk menjadi pantas, dan untuk pesaing lain lihat perkara ini,” kata prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali.

    “Kami bekerja dengan baik untuk memperbaiki kelajuan dan harapnya di Qatar nanti kami dapat mengambil lagi langkah ke hadapan. Sasaran saya sekarang telah berubah sedikit; kami mahu lebih laju dalam jarak yang panjang kerana sekarang kami sudah tahu, untuk masa satu pusingan, kami memang laju,” kata Quartararo.

     
     
  • VIDEO: Lagi budak tercampak keluar dari kereta, kali ini akibat perlanggaran kereta yang sedang berlumba

    VIDEO: Lagi budak tercampak keluar dari kereta, kali ini akibat perlanggaran kereta yang sedang berlumba

    Macam-macam perkara yang tidak dijangka boleh berlaku atas jalan raya. Dalam kes terbaru yang tular dalam media sosial, seorang budak kelihatan tercampak keluar dari kereta tertiarap di atas lorong paling kanan, berlaku di Kilometer 235.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Pedas Linggi petang semalam.

    Melalui video yang dimuat naik oleh Alan Chang, insiden ini bermula dengan dua kereta yang sedang berlumba, iaitu sebuah Honda Jazz biru dan juga sebuah lagi Perodua Myvi putih. Semasa mereka berada di lorong kanan, dua kereta ini terhalang oleh sebuah Honda Civic yang berada di depan dan Myvi tersebut cuba memotong dari sebelah kiri.

    Pemandu Myvi tersebut masuk semula ke lorong paling kanan, tetapi telah melanggar sedikit bahagian depan Jazz itu dan bahagian tepi Civic, seterusnya membuatkan Civic tersebut terbabas ke penghadang jalan dan kemudiannya melantun semula ke lorong tengah.

    Saya adalah pemilik dashcam utk kejadian semalam. Sila abaikan tarikh dashcam sbb saya tidak set tarikh. Kejadian sebenar adalah sebuah jazz biru yg berlumba dgn myvi putih. Myvi putih lepas tu pecut ke 1st lane Dan kembali ke 3rd lane & langgar civic menyebabkan budak dalam civic tu tercampak keluar kereta. Ini video complete utk menjelaskan kejadian semalam. Tq

    Posted by Alan Chang on Isnin, 10 Februari 2020

    Semasa perlanggaran itulah seorang budak telah tercampak keluar dan dia sebenarnya berada dalam Civic yang dilanggar oleh Myvi tersebut. Menurut laporan Astro Awani, ketua polis daerah rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam memberitahu budak tersebut cuma mengalami kecederaan ringan dan kini sedang dirawat di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

    “Ekoran dari maklumat orang awam dan video tular adegan kejar-mengajar itu, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pemandu kenderaan biru untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987″ kata Anuar.

    Walaupun Anuar memberitahu pemandu kenderaan biru (Jazz) yang dicari, kami merasakan pemandu Myvi putih yang menjadi penyebab utama kepada perlanggaran ini dan memandu secara melulu juga sepatutnya diburu sama.

    Satu lagi perkara yang kita boleh ambil sebagai pengajaran adalah penggunaan tali pinggang keledar atau tempat duduk kanak-kanak untuk penumpang. Sudah banyak kali kami naikkan artikel kepentingan perkara ini dan nampaknya masih ramai juga yang belum sedar. Mereka patut tahu, kemalangan boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja, dan tidak semestinya bergantung pada kita sahaja.

     
     
  • Toyota Yaris Hybrid 2020 – enjin 1.5L Dynamic Force tiga-silinder lebih jimat, perincian lanjut didedah

    Toyota Yaris Hybrid 2020 – enjin 1.5L Dynamic Force tiga-silinder lebih jimat, perincian lanjut didedah

    Kalau Toyota Yaris 2020 sudah pun diperkenalkan Oktober tahun lalu, Toyota kini menunjukkan pula lebih banyak gambar bagi hatchback berkenaan – dalam versi hibridnya. Kereta ini menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) bagi segmen B (disebut juga GA-B) yang 30% lebih kukuh, titik graviti 15 mm lebih rendah serta 50 kg lebih ringan berbanding generasi sebelumnya.

    Enjin Yaris Hybrid berkapasiti 1,490 cc tiga-silinder, dengan nisbah mampatan 14:1 kitaran Atkinson yang menghasilkan 91 hp dan 120 Nm, digandingkan pula dengan motor elektrik jenis permanent magnet synchronous dan transmisi CVT. Kadar penggunaan minyak bagi kitaran WLTP ialah 3.7 l/100 km, dengan pembebasan CO2 hanya 86 g/km.

    Unit enjin berkenaan merupakan lanjutan daripada unit 2.0 liter dan 2.5 liter empat-silinder Dynamic Force oleh Toyota dan mewarisi semua kelebihan enjin-enjin berkenaan. Bagi motor elektrik pula ia menerima kuasa daripada bateri lithium-ion 177.6 V, yang menurut Toyota 27% lebih ringan berbanding bateri nickel-metal hydride yang digantikannya. Output keseluruhan Toyota Yaris Hybrid ialah 116 hp.

    Ini turut akan disertai oleh penawaran enjin 1.5 liter dan 1.0 liter petrol tiga-silinder bagi pasaran terpilih, dengan perinciannya akan diumumkan kelak. Ini akan menjadi keseluruhan penawaran Yaris, termasuk versi GR Yaris tiga-pintu dengan janaan 272 PS/370 Nm 1.6 liter tiga-silinder dengan kotak gear enam-kelajuan manual.

    Yaris Hybrid akan ditawarkan dalam versi pacuan roda depan dan juga pacuan empat roda elektrik (E-Four). Ini turut mempengaruhi tetapan pada penawaran suspensi belakang; semua versi Yaris akan menggunakan suspensi depan jenis McPherson, manakal semua versi pacuan depan akan menggunakan suspensi torsion beam di belakang, sementara versi pacuan semua roda dan E-Four menggunakan jenis double wishbones di belakang.

    Toyota mensasarkan Yaris untuk menjadi sebuah kereta kompak yang paling “selamat di dunia”, yang dilengkapi dengan sistem keselamatan pasif dan aktif yang lengkap. Antara sistem standard untuk semua Yaris ialah ciri bantuan pemandu seperti kawalan melayar adaptif dan bantuan mengekalkan lorong akan disertakan. Selain itu, buat pertama kali di dunia, Yaris juga akan dilengkapi dengan beg udara tengah.

     
     
  • Nikola Badger FCEV boleh gerak sehingga 965 km sekali cas, kuasa maksimum 906 hp, tork 1,329 Nm

    Nikola Badger FCEV boleh gerak sehingga 965 km sekali cas, kuasa maksimum 906 hp, tork 1,329 Nm

    Nikola Corporation akirnya mendedahkan kenderaan konsep komersial konvensional mereka, dikenali sebagai Badger. Trak pikap saiz penuh ini akan ditawarkan dengan penggerak fuel-cell hidrogen (FCEV) atau elektrik bateri (BEV), iaitu dua teknologi yang didakwa oleh syarikat itu sebagai kepakaran mereka.

    Jumlah kuasa yang didedahkan adalah lebih realistik berbanding Tesla Cybertruck, dan nampak lebih banyak kegunaan juga. Menurut Nikola, Badger direka untuk mengatasi semua trak pikap petrol dan elektrik dalam pasaran sekarang pada aspek kuasa tunda (towing) dan jarak gerak, dan menawarkan kuasa puncak 906 hp atau kuasa berterusan 455 hp, dan tork maksimum 1,329 Nm.

    Dengan sekali cas penuh, Badger BEV boleh bergerak sehingga 480 km, menggunakan kuasa yang datang daripada pek bateri lithium ion 160 kWh yang diletakkan di bawah lantai. Badger FCEV pula digerakkan oleh kapasitor super moden dan pek lithium ion, menawarkan jarak keseluruhan 965 km. Kapasiti menunda adalah mencecah 3,629 kg tetapi ia bergantung kepada varian.

    Menurut Nikola, pemandu model FCEV boleh memilih operasi mod fuel-cell atau bateri dengan menekan satu butang sahaja, dan penggerak ini mempunyai kadar output 120 kW. Lebih penting lagi, CEO syarikat ini, Trevor Milton memberitahu Badger boleh digunakan untuk kerja, cuti hujung minggu, menunda, offroad ataupun pergi ke tempat sejuk tanpa sebarang pengurangan kuasa sehingga -29 celsius. Kata beliau, “Tiada pikap elektrik lain yang boleh beroperasi pada suhu dan keadaan ini.”

    Kelengkapan lain yang ada pada trak ini adalah soket kuasa 15 kW untuk perkakas elektrik, lampu atau kompresor, dan menurut Nikola, ia cukup untuk membantu tapak pembinaan sehingga 12 jam tanpa menggunakan generator biasa.

    Melihat kepada dimensinya, Badger boleh menjadi sebuah trak pikap lima tempat duduk yang selesa untuk kegunaan biasa. Panjangnya adalah 5,900 mm, tinggi 1,850 mm, lebar 2,160 mm dan panjang ruang barangan belakang 1,560 mm. Ini hampir sama seperti Ford F-150 SuperCab (twin cab) dan Chevrolet Silverado. Berdasarkan gambar yang didedah, panel instrumen dan infotainmen menggunakan skrin digital, dengan unit yang besar di tengah manakala cermin sisi pula diganti dengan kamera.

     
     
  • Nissan gantung pengeluaran di kilang Jepun kerana masalah bekalan komponen disebabkan coronavirus

    Nissan gantung pengeluaran di kilang Jepun kerana masalah bekalan komponen disebabkan coronavirus

    Nissan telah mengumumkan akan menggantung sementara pengeluarannya di kilang di Kyushu, Jepun, disebabkan masalah rantaian bekalan komponen yang berpunca daripada penularan corovirus yang turut melumpuhkan industri pembuatan di China. Nissan akan menjadi kilang pengeluar automotif pertama di Jepun yang berbuat demikian dan yang kedua di luar China selepas Hyundai mengambil langkah yang sama di Korea Selatan.

    Dalam kenyataannya, Nissan berkata, pengeluaran akan terjejas pada 14 hingga 17 Feb ini disebabkan kekurangan bekalan komponen dari China. Dijangka ia akan memberikan kesan terhadap pengeluaran sebanyak 3,000 kenderaan, laporan Nikkei. Ia melibatkan dua sektor pengeluaran yang akan digantung pada 14 Feb, dengan satu lagi sektor yang mengeluarkan kereta untuk pasaran eksport pula akan dihentikan pada 17 Feb.

    Kilang Nissan yang terletak di barat daya Jepun itu mengeluarkan model termasuk MPV Serena untuk pasaran domestik dan juga SUV Rogue (atau dikenali sebagai X-Trail), yang merupakan kenderaan paling laris di Amerika Syarikat. Kilang ini mampu mengeluarkan sebanyak 530,000 unit kenderaan setahun.

    Di China pula, Nissan berkata, pihaknya sedang bersedia untuk memulakan semula operasi pengeluaran seawal 17 Feb di kilangnya di Huadu (di wilayah Guangdong) dan Dalian (wilayah Liaoning). Walau bagaimana pun, tarikh untuk memulakan semula operasi di lain-lain kilangnya masih belum ditentukan.

    Ini merupakan tempoh yang sukar untuk pengeluar kenderaan, dan situasi penularan coronavirus nampaknya memberikan kesan terhadap industri ini. Bukan setakat Nissan dan Hyundai, jenama lain termasuk Kia juga dikatakan mengambil langkah yang sama di Korea Selatan. Begitu juga dengan Fiat Chrysler yang terpaksa mengambil langkah yang sama dengan menggantung operasi di salah satu kilangnya di Eropah baru-baru ini. Manakala Renault pula sedang mempertimbangkan untuk mengantung operasi kilangnya di Busan, Korea Selatan, minggu ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026