Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Honda City 2020 dikesan diuji di Malaysia

    SPYSHOT: Honda City 2020 dikesan diuji di Malaysia

    Buat pertama kalinya Honda City 2020 terlihat di jalan raya di Malaysia – susulan foto spyshot dengan model balutan penyamaran yang dikesan sedang diuji di Lebuhraya Persekutuan seperti yang dipaparkan menerusi laman Facebook Ajerul. Pelancaran model ini kemungkinan bakal dilangsungkan pada hujung tahun ini.

    City generasi kelima ini telah pun diperkenalkan di peringkat dunia pada November lalu, dan telah pun memasuki pasaran Thailand dengan enjin 1.0 liter turbo tiga-silinder VTEC yang menghamburkan kuasa sehingga 122 PS pada 5,500 rpm dan tork 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT bersama tujuh-kelajuan maya.

    Bagi dimensi, City baharu ini ditambah 113 mm lebih panjang (4,553 mm) 53 mm lebih lebar (1,748 mm) dari versi sedia ada. Namun ia kini 10 mm lebih rendah (1,467 mm) dan jarak roda pula 11 mm lebih dekat (2,589 mm) berbanding sebelum ini. Honda turut memberikan penebat polyurethane dan tebatan bunyi lebih tebal pada ruang enjin bagi memberikan NVH lebih baik.

    SPYSHOT: Honda City 2020 dikesan diuji di Malaysia

    Dari sudut penampilan, muka City baharu ini menampikan ‘jendul’ yang lebih besar dari sebelumnya, dengan iras muka lebih mirip kepada Civic, serta ‘kening’ bersama lampu nyalaan siang LED yang bercantum pada gril ‘solid wing’ yang tebal pada bahagian tengah.

    Pada bahagian sisi, garis bahu kelihatan lebih menyerlah, tetapi ia tidak menaik ke belakang, sebaliknya nampak lebih tegak. Di belakang, model ini diberikan lampu dengan kluster lebih tirus dan berbucu dari sebelum ini, dan ia hadir dengan jalur grafik LED yang unik. Kemasan seakan diffuser pada bampar belakang direka kecil, tetapi ia diberikan sepasang liang udara pada setiap sisi yang nampak agresif.

    Kabinnya pula menampilkan rekaan papan pemuka baharu, dengan paparan infotainmen di bahagian tengah, corong udara dengan gaya vertikal, rekaan roda stereng baharu serta kokpit yang kelihatan lebih bergaya. Konsol tengah pula tidak banyak perubahan melainkan terdapat penambahan butang di sebelah tuil gear untuk mod Econ dan lahu enjin.

    Di Thailand, City 2020 ditawarkan dengan empat varian (Grade S, V, SV dan RS), harga dari
    579,500 baht (RM76,940) untuk varian asas hingga 739,000 baht (RM98,100) bagi varian tertinggi RS.

    GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020, spesifikasi Thailand

     
     
  • Cupra Ateca edisi terhad 2020 – 350 PS, 440 Nm tork

    Cupra Ateca edisi terhad 2020 – 350 PS, 440 Nm tork

    Cupra telah melancarkan secara rasmi Ateca Limited Edition di United Kingdom, di mana ia menampilkan rekaan lebih sporty, pilihan warna baru serta beberapa peningkatan prestasi. Pengeluaran diterhadkan kepada 100 unit sahaja, dan harga bermula £42,120 (RM225k) untuk warna Rhodium Grey, dan £45,160 (RM242k) untuk Graphene Grey dengan ekzos Akrapovic.

    Daripada 100 unit ini, hanya 20 akan dipasang dengan ekzos Akrapovic yang membantu mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 7 kg. Prestasi enjin bertambah baik dengan ekzos ini dan sudah tentu, bunyinya adalah lebih garang. Model ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter TSI dengan kuasa 300 PS dan 400 Nm tork. Kotak gear DSG tujuh kelajuan datang secara standard dan kuasa dihantar ke semua roda.

    Bagi catatan prestasi, Ateca boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, sebelum mencecah laju maksimum 245 km/j. Emisi CO2 berada pada kadar 192 hingga 201 gram bagi setiap kilometer, manakala penggunaan bahan api purata pula adalah antara 8.5 hingga 8.9 liter bagi setiap kilometer – berdasarkan kitaran ujian WLTP.

    Cupra juga menawarkan Ateca edisi terhad ini dengan pek naik taraf ABT Sportsline, yang melonjakkan lagi kuasanya menjadi 350 PS dan 440 Nm tork. Tindak balas serta tork kadar pertengahan kenderaan menjadi lebih baik tetapi masa pecutan 0-100 km/j masih lagi sama. Laju maksimum menjadi 255 km/j.

    Pada aspek rekaan, SUV edisi terhad ini mendapat rim aloi tembaga 20 inci, serta spoiler belakang dan pelindung cermin sisi gentian karbon dengan jalinan tembaga. Angkup brek hadapan menggunakan unit Brembo 18 inci. Pada bahagian dalam, tema gentian karbon dengan jalinan tembaga diteruskan dan ia boleh dilihat pada kemasan papan pemuka serta panel pengawal pendingin hawa. Tempat duduk sport yang datang dengan fungsi pemanas pada kenderaan ini dibalut dengan Petrol Blue Alcantara.

     
     
  • Porsche 718 Cayman GT4, Boxster Spyder dapat PDK

    Porsche 718 Cayman GT4, Boxster Spyder dapat PDK

    Porsche telah mendedahkan varian manual 718 Cayman GT4 dan Boxster Spyder buat pertama kalinya bakal menerima kotak gear PDK, sebagai sebahagian daripada rancangan pengeluar jentera prestasi tinggi ini, laporan Evo. Kotak gear dwi-klac ini dikatakan bakal diperkenalkan pada hujung tahun ini.

    Versi terdahulu bagi GT4 dan Spyder dikeluarkan hanya untuk manual sahaja, bermakna buat pertama kalinya kereta sport ini akan didatangkan dengan pedal penukar gear. Selain itu, Cayman GTS 4.0 dan Boxster GTS 4.0 baharu juga akan didatangkan dengan opsyen PDK.

    Kedua-dua model berkenaan berkongsi enjin yang sama iaitu 4.0 liter naturally-aspirated yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 400 PS dan tork hingga 420 Nm (420 PS, 420 Nm untuk GT4 dan Spyder), dengan pecutan dari 0-100 km/j mengambil masa hanya 4.5 saat. Kotak gear PDK tersebut dijangka mampu memendekkan lagi capaian tempoh pecutan tersebut.

    Porsche 718 Cayman GT4, Boxster Spyder dapat PDK

    Sebenarnya divisi Porsche GT konsisten mahu berikan kepuasan kepada para penggemar hardcore, tetapi sering kali terkeliru dengan penawaran transmisi. Contohnya, 911 GT3 yang pada awalnya hanya digandingkan dengan PDK yang sememangnya lebih laju berbanding kotak gear manual biasa, tetapi kemudian ia turut ditawarkan dengan transmisi enam-kelajuan manual selepas model edisi terhad 911 R (secara asasnya adalah 911 GT3 manual) kerana terdapat permintaan dari pelanggan yang benar-benar mahukan sensasi pemanduan.

    Kemudian, pakej 911 GT3 Touring juga ditawarkan bagi membolehlah pelanggan memilih transmisi manual secara standard. Jadi, tidaklah pelanggan terhad pada satu pilihan sahaja, sebaliknya boleh memilih transmisi mana yang diingini. Walau bagaimana pun, dengan pengumuman Porsche bahawa 718 GT bakal menerima PDK, adakah pada masa akan datang, model GT juga akan ditawarkan dengan opsyen kedua-dua transmisi berkenaan?

     
     
  • Volvo dan Geely umum kemungkinan penggabungan

    Volvo dan Geely umum kemungkinan penggabungan

    Geely Auto, yang merupakan anak syarikat kepada Zhejiang Geely Group (ZGH) dan juga Volvo Cars telah mengumumkan rancangan untuk kemungkinan bergabung untuk meningkatkan kerjasama kewangan dan juga teknologi antara kedua-dua syarikat.

    Buat masa ini, belum ada jangka waktu rasmi yang ditetapkan berkaitan bila penggabungan itu akan berlaku, tetapi kedua-dua syarikat itu akan mewujudkan satu kumpulan kerja bersama yang akan dipimpin oleh CEO dan Presiden Volvo Cars, Hakan Samuelsson untuk menyediakan kertas cadangan yang akan dibentangkan kepada lembaga dan pemegang saham kedua-dua syarikat. Persetujuan akhir tidak hanya memerlukan kelulusan daripada lembaga dan pemegang saham, tetapi juga tertakluk kepada kelulusan perundangan serta suasana pasaran.

    Syarikat gabungan itu akan mempunyai akses kepada pasaran modal global melalui Hong Kong dengan hasrat untuk memasuki penyenaraian awam di Stockholm juga, yang terakhir ini menjadi cita-cita Volvo sejak dulu lagi walaupun hasrat itu terpaksa dipendam akhibat ketegangan perdagangan – paling utama ialah perang dagang antara Amerika Syarikat-China, serta merudumnya saham automotif di seluruh dunia.

    Tidak diketahui bagaimana kepimpinan entiti baru ini akan dibentuk, tetapi kedua-dua pengeluar bersetuju untuk mengekalkan identiti setiap jenama – masing-masing bagi Geely Auto, Volvo, Lynk & Co dan Polestar.

    Volvo dan Geely umum kemungkinan penggabungan

    Usahasama Volvo dengan Geely sebelum ini telah menunjukkan keberhasilan walaupun dalam tempoh setahun sahaja selepas ZGH mengambil alih pengeluar kenderaan Sweden itu daripada Ford pada 2010. Selain daripada jumlah jualan meningkat, kedua-dua jenama juga memanfaatkan perkongsian teknologi yang ada, termasuk platform Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture (SPA).

    Kerjasama ini diperkukuhkan lagi Oktober tahun lalu, dengan Volvo dan ZGH umumkan rancangan untuk menggabungkan operasi enjin pembakaran dalaman (ICE) sebagai sebuah perniagaan berasingan. Entiti itu akan bertanggungjawab untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi baru serta hibrid bagi jenama-jenama ZGH, termasuk Geely Auto, Proton, Lotus, Londan Electric Vehicle Company, Lynk & Co serta pihak ketiga yang berminat.

    “Penggabungan dua syarikat ini akan menyumbang kepada pengukuhan kumpulan global. Kami mengalu-alukan untuk bekerja dengan Hakan Samuelsson untuk meneroka peluang baru dengan matlamat untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan kumpulan ini dan dalam masa yang sama mengekalkan kelebihan dan integriti setiap jenama yang ada,” ujar Pengerusi ZGH, Li Shufu.

     
     
  • Kia Cadenza facelift 2020 diperkenalkan di Chicago

    Kia Cadenza facelift 2020 diperkenalkan di Chicago

    Kia Cadenza (juga dikenali sebagai K7 di Korea Selatan) facelift 2020 telah pun membuat penampilan di Chicago Auto Show, dengan mengenakan beberapa peningkatan gaya dan juga kelengkapan. Terdapat dua varian iaitu Technology dan Limited.

    Di depan, gril barunya lebih tenggelam ke dalam, dan dipadankan bersama bonet baru. Lampu utama LED pada model ini masih sama, tetapi mempunyai DRL baru sementara lampu LED belakangnya mendapat jalur krom penuh dari kiri hingga kanan.

    Perubahan lain termasuk pada bahagian bampar dan ia tidak lagi menggunakan lampu kabus dengan bentuk petak. Di penjuru bampar hadapan terdapat jalur krom menegak dan lampu penunjuk arah, manakala rim adalah rekaan baru standard 18 inci dan boleh dinaik taraf kepada unit 19 inci.

    Pada bahagian dalam terdapat skrin 4.2 inci sebagai panel instrumen sementara untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan unit skrin sesentuh 12.3 inci. Bagi memuatkan skrin ini, keseluruhan papan pemuka ini telah direka semula, dengan corong pendingin hawa dijadikan lebih kecil dan diletakkan rendah, manakala pengawal sistem audio pula berada di atas butang penukar suhu.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk lampu suasana pelbagai warna, tiga pengecas USB tambahan (satu di depan, dua di belakang), pengecas tanpa wayar 10-watt, sistem masuk tanpa kunci dengan pemula enjin kawalan jauh dan dua pilihan warna balutan kulit Nappa (Saddle Brown dan Grey).

    Bahagian teknologi bantuan pemandu Drive Suite turut dinaik taraf dengan kini mempunyai sistem Forward Collision Warning, Forward Collision-Avoidance Assist dengan pengesan pejalan kaki/basikal, Smart Cruise Control dengan Stop & Go dan High Beam Assist secara standard. Ia kemudiannya ditambah dengan Lane Following Assist, Blind Spot Collision Avoidance Assist – Rear dengan Lane Change Assist, Highway Driving Assist, Smart Cruise Control, dan Safe Exit Assist.

    Penggeraknya tidak berubah, dan masih menggunakan enjin 3.3 liter bersama padanan transmisi automatik Sportmatic lapan kelajuan, untuk menghasilkan 290 hp dan 343 Nm tork yang disampaikan kepada roda hadapan. Ciri NVH turut dijadikan lebih baik dengan cross member belakang yang diperkuat dan resonator pada roda.

     
     
  • Retro Havoc 2020 tawar Proton Saga 1.5 1991 yang siap direstorasi sebagai hadiah untuk cabutan bertuah

    Retro Havoc 2020 tawar Proton Saga 1.5 1991 yang siap direstorasi sebagai hadiah untuk cabutan bertuah

    Acara meraikan budaya ubahsuai kereta tahunan di Malaysia – Retro Havoc (RH) – kembali lagi tahun ini. Sebagai menghargai pengunjung untuk pengajurannya yang sudah masuk tahun ke-tujuh ini dan juga bersempena tibanya tahun “Wawasan 2020”, Retro Havoc mengumumkan bahawa sebuah Proton Saga generasi pertama bakal di bawa pulang oleh seorang pengunjung bertuah pada akhir acara tersebut nanti.

    Secara spesifiknya, Saga berkenaan adalah dari versi Megavalve 12V 1.5 liter keluaran tahun 1991. RH tidak akan memberikan Saga yang telah pun berusia 30-tahun ini seadanya kepada pemenang bertuah nanti, kerana sama seperti hadiah Toyota Starlet KP61 Retro Havoc 2019, ia terlebih dahulu akan menjalani proses restorasi.

    Saga ini tidak akan diberikan ubahsuai ekstrem, tetapi akan diberikan penampilan hampir ‘standard kilang’ setelah ianya siap. Sehingga kini, semua karat pada badannya telah dibuang, dan dicat semula dengan cat 2K berkualiti tinggi dari Alesco, seakan warna biru pada Saga generasi pertama milik Sultan Johor dengan nombor pendaftaran ‘Proton 1’.

    Ruang enjin dibersihkan dan turut dicat semula dengan warna emas, bersama enjin asal 4G15 Megavalve yang turut diperkemaskan semula. Bahagian dalaman juga mendapat sentuhan semula di mana papan pemuka dan panel-panel termasuk tombol gear dan roda stereng telah diwarnakan biru, juga seakan Saga asal dengan enjin Orion keluaran tahun 1985.

    Menurut pengasas RH Rosli Mohamad Said, kereta ini sudahpun 90 peratus siap. Selepas ini sistem suspensi asal akan ditukar menggunakan set lengkap suspensi boleh laras sepenuhnya jenama tempatan iaitu Ftuned, bersama rim dari R3 (sama seperti Satria Neo R3) lengkap dengan satu set tayar baharu bagi melengkapkan rupa sebuah jentera dengan tema ‘Malaysia Domestic Market’ (MDM).

    Juga seperti tahun lalu, pengunjung akan dikenakan tiket sebanyak RM10 untuk masuk ke acara Retro Havoc dan secara langsung akan melayakkan mereka untuk menyertai cabutan bertuah ini. RH 2020 akan berlangsung pada hari Sabtu, 28 Mac 2020 – lokasi sebenar belum lagi ditetapkan, tetapi apa yang pasti Kuala Lumpur/Lembah Klang masih lagi akan menjadi tuan rumah untuk acara tahun ini.

     
     
  • Jaguar Land Rover kurangkan keluaran di 2 kilangnya di UK dek permintaan susut, bukan sebab coronovirus

    Jaguar Land Rover kurangkan keluaran di 2 kilangnya di UK dek permintaan susut, bukan sebab coronovirus

    Jaguar Land Rover (JLR) bakal mengurangkan atau menghentikan pengeluaran di dua kilangnya di United Kingdom pada hari-hari tertentu untuk beberapa minggu akan datang, laporan Reuters. Walau bagaimana pun, ia bukanlah disebabkan penularan coronovirus yang sedang hebat melanda China, tetapi bagi mengurangkan kos pengeluaran yang disebabkan penyusutan permintaan.

    Laporan tersebut menyebut jualan JLR menyusut sebanyak 2.3% pada suku terakhir tahun 2019 dan mensasarkan berbilion pounds penjimatan dapat dibuat untuk menangani kerugian yang lebih teruk dan pengurangan diesel di Eropah, serta kelembapan pasaran di China.

    JLR juga akan menggantung pengeluaran untuk hari-hari terpilih sepanjang tempoh empat minggu bermula akhir Februari di kilang Castle Bromwich dan menghentikan pengeluaran untuk separuh hari atau sepanjang hari di fasiliti Solihull sehingga akhir Mac. “Persekitaran luaran tetap mencabar bagi industri ini dan syarikat mengambil langkah yang lebih serius untuk mencapai kecekapan operasi yang diperlukan bagi kejayaan jangka masa panjang,” ujar wakil Range Rover.

    Tambahnya lagi. “Kami sahkan bahawa fasiliti Solihull dan Castle Bromwish akan membuat beberapa perubahan kecil untuk jadual pengeluaran mereka sebagai refleksi permintaan yang turun naik di seluruh dunia, sementara ia masih lagi memenuhi keperluan pelanggan.”

    Berbeza di Korea Selatan, Hyundai telah mengambil keputusan untuk menggantung pengeluarannya disebabkan kekurangan rantaian bekalan komponen dari China disebabkan penularan coronovirus. Manakala Fiat Chrysler juga mungkin akan menutup operasi kilangnya di Eropah dalam tempoh antara dua hingga empat minggu disebabkan perkara yang sama.

     
     
  • NAP 2020 bakal dilancarkan 21 Feb ini – Leiking

    NAP 2020 bakal dilancarkan 21 Feb ini –  Leiking

    Nampak gayanya teka-teki bilakah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bakal dilancarkan telah pun terjawab apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking mengesahkan ia akan disempurnakan pada 21 Februari ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Menurut Leiking, walaupun dikatakan sedikit terlewat, namun ia meliputi penyelesaian duti eksais yang menjadi isu sebelum ini.

    “Ada yang masih mempersoalkan isu ini, tetapi saya fikir Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sudah berbincang dengan Kementerian kewangan (MOF). Ya, walaupun duti eksais ini di bawah MOF, ramai yang terkeliru dengan MITI,” ujar Leiking seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani.

    NAP 2020 bakal dilancarkan 21 Feb ini –  Leiking

    NAP 2020 telah pun dikaji semula sejak Julai tahun lalu, dan pada mulanya dijangka pengumumannya dilakukan pada suku kedua 2019. Walau bagaimana pun, ia terpaksa ditunda, dan dasar tersebut hanya dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan pada November 2019. Pada Disember lalu, Leiking turut berkata NAP bakal diumumkan awal tahun ini.

    Dalam sidang media bagi membentangkan prestasi jualan kenderaan di Malaysia untuk tahun 2019 baru-baru ini, presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata NAP 2020 kini sudah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk diumumkan. “Ketika ini, saya difahamkan kementerian sedang menetapkan tarikh yang sesuai kerana ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir. Jangkaannya ia akan diumumkan dalam suku pertama tahun ini,” jelas Aishah.

    Antara yang dijangka diberi tumpuan bagi NAP terbaru ini nanti ialah kekal terhadap EEV, tetapi kali ini diharap ia lebih melibatkan dasar-dasar yang jelas berkaitan kenderaan dan teknologi elektrifikasi. Tidak lupa juga hal berkaitan kereta nasional terbaharu yang kerap diperkatakan.

    NAP 2020 bakal dilancarkan 21 Feb ini –  Leiking

    Pada September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari memaklumkan NAP 2020 akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030 dengan turut menekankan usaha Malaysia sebagai pengeluar kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV). Pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.

    Buat pertama kalinya juga, NAP 2020 bakal meletakkan definisi kereta nasional dengan sasaran menjadikan teknologi dan kejuruteraan sebagai asas untuk lebih membangunkan negara. Ia akan melibatkan enam kriteria iaitu majoriti atau pemegang utama ekuiti adalah rakyat Malaysia dan pendanaan oleh pihak swasta serta menggunakan 75% bekalan rantaian domestik.

    Kriteria lain termasuklah ia perlu menggunakan 98% pekerja tempatan, syarikat terlibat (di dalam projek) membuat penyelidikan dan pembangunan di Malaysia, mengambil langkah-langkah susulan kenderaan NxGV sebagai satu perkhidmatan serta penggunanaan revolusi perindustrian 4.0.

     
     
  • Petronas ungguli kedudukan jenama O&G tahun 2020

    Petronas ungguli kedudukan jenama O&G tahun 2020

    Pengeluar minyak dan gas negara, Petronas mengungguli kedudukan sebagai jenama minyak dan gas (O&G) paling kukuh bagi tahun 2020. Petronas terus mendaki anak tangga dari kedudukan ke-10 pada tahun 2015 ke tempat pertama bagi tahun 2020, berdasarkan penilaian jenama oleh Brand Finance.

    Diukur melalui Indeks Kekuatan Jenama (BSI) dengan pemarkahan diberi sehingga 100 mata, dan digunakan untuk menilai prestasi jenama berbanding pesaing-pesaing yang ada. Setiap jenama diperuntukkan had markah 100 mata bagi BSI, dan ditentukan oleh pengiraan nilai jenama yang dilakukan.

    Dengan markah ini, jenama akan diberikan penarafan, sehingga AAA+, di dalam format yang sama dengan penarafan kredit, jelas Brand Finance. Petronas mencatatkan markah 86.3 bagi tahun 2020, naik 0.1 mata berbanding tahun lalu dan mengekalkan penarafan AAA yang sama.

    Petronas merampas kedudukan pertama yang diraih tahun lalu oleh Gazprom dari Russia, yang jatuh ke tempat ketiga tahun ini dengan BSI 84.3. Di kedudukan kedua ialah Shell dengan BSI 85.9, dan menerima peningkatan penarafan daripada AAA- kepada AAA.

    Di tempat keempat dan kelima pula masing-masing diduduki oleh Luk Oil dan PTT Group, yang bertukar kedudukan antara kedua-dua jenama berbanding tahun 2019. Bagi tahun 2020, Luk Oil mencapai markah BSI 83.8 manakala PTT Group merekodkan 83.5 mata.

     
     
  • Proton siar teaser X70 CKD – bakal dilancar 12 Feb

    Tak sabar nak tunggu kehadiran versi CKD Proton X70? Ini berita baik, jenama automotif nasional itu telah menyiarkan video teaser untuk versi kemaskini 2020 berkenaan, dan ia diumum akan dilancarkan dua hari lagi iaitu pada hari Rabu, 12 Februari ini.

    Teaser tersebut menampilkan sebahagian bayangan model yang dipasang di fasiliti baharu Proton di Tanjung Malim berkenaan, disiarkan di laman-laman media sosial mereka termasuk Facebook dan Instagram. Tetapi, syarikat tersebut masih belum mendedahkan sebarang perincian rasmi.

    Walau bagaimanapun, Jumaat lalu berberapa informasi berkenaan SUV segmen-C ini telah bocor di alam maya. Ia masih akan dipasarkan dalam empat varian, tetapi satu-satunya model pacuan semua roda iaitu Executive AWD digugurkan dalam barisan model.

    Proton siar teaser X70 CKD – bakal dilancar 12 Feb

    Barisan baharu untuk X70 CKD ini nanti akan dimulakan dengan Standard 2WD, Executive 2WD, manakala varian paling tinggi Premium 2WD dijadikan pilihan varian pertengahan, dan versi tertinggi akan digelar sebagai Premium X 2WD.

    Tiada perubahan ketara pada bahagian luaran model CKD ini berbanding versi CBU dari China sebelum ini. Gril “infinite weave” masih lagi dipadankan, tetapi logo asal digantikan dengan logo baharu Proton yang lebih bulat. Namun sedikit meragukan pada video teaser ini, logo baharu tersebut masih belum dipadankan.

    Menerusi foto yang bocor sebelum ini juga, dapat dilihat logo baharu tersebut menggantikan logo lama pada roda stereng. Tombol gear juga menerima rekaan baharu yang lebih kecil, bersama butang “P” yang menyerlah di atasnya.

    Penukaran ini bukan untuk gaya semata-mata, kerana kotak gear enam-kelajuan automatik sebelum ini sebenarnya telah digantikan dengan transmisi klac berkembar (DCT) jenis basah automotik tujuh-kelajuan, unit yang sama seperti Volvo XC40 yang menggunakan enjin 1.5L tiga-silinder turbo. Princian terhadap kotak gear baharu ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Dari imej penerangan yang bocor tempoh hari juga dapat disahkan bahawa antara perubahan lain diberikan pada X70 ini termasuk fungsi lipat dengan nisbah 60:40 kini adalah standard untuk semua varian, model Excutive 2WD ke atas menerima tempat duduk hadapan berliang serta pintu tailgate berkuasa (operasi tanpa sentuhan untuk versi Premium 2WD), serta bumbung panaromik kini hanya pada varian Premium X 2WD.

    Proton X70 CKD 2020 ini masih dijana oleh enjin 1.8 liter empat silinder menghasilkan 184 PS. Walau bagaimanapun, dengan pemadanan kotak gear baharu yang lebih efisien, sejumlah 15 Nm lebihan tork dapat dibebaskan dari enjin, menjadikan tork puncaknya dicatatkan pada 300 Nm bermula 1,750 rpm hingga 4,000 rpm.

     
     
  • Kia Imagine tidak mahu masuk kategori sedia ada

    Kia Imagine tidak mahu masuk kategori sedia ada

    Nampaknya permintaan tinggi terhadap kenderaan jenis SUV telah memberikan lebih peluang kepada Kia untuk menghasilkan rekaan imaginasi luar biasa. Ini adalah Kia Imagine, sebuah SUV-sedan hibrid konsep yang memang sengaja mereka hasilkan supaya tidak memasuki sebarang kategori kenderaan yang sedia ada sekarang.

    Secara mudah, ia sebenarnya boleh dipanggil sebagai kenderaan segmen C yang besar, di mana Kia memberitahu inilah saiz yang popular di Eropah. Timbalan presiden bahagian rekaan Kia Europe, Gregory Guillaume menganggap ia sebagai satu pemecah kategori dan pengganggu, tetapi rekaannya tetap akan membuka mata.

    Berdasarkan laporan daripada Autocar, projek EV besar seterusnya oleh Kia akan menggunakan asas daripada Imagine dan Kia akan memberikannya nama serba baru bagi meletakkannya berasingan dengan barisan kenderaan elektrik (EV) yang mereka ada sekarang. Pada masa ini Kia mempunyai dua model elektrik iaitu Niro EV dan Soul Electric. Model EV ketiga nanti akan membantu menjadi penyumbang kepada sasaran mereka untuk mendapatkan perkongsian pasaran EV global sebanyak 6.6% menjelang tahun 2025.

    Kia Imagine akan dibina atas platform baru tersendiri yang dikongsi bersama Hyundai, dan platform ini turut boleh digunakan bagi kenderaan EV masa hadapan yang lebih berkuasa dan jarak gerak yang lebih jauh (SUV/sedan). Kia menjanjikan jarak gerak sejauh 500 km bagi sekali cas, yang mana adalah 45 km lebih jauh berbanding Niro EV. Sasaran besar Kia adalah untuk mendapatkan jarak 800 km pada EV mereka, menjelang tahun 2021.

    Selain daripada maklumat ini, tiada lagi perincian teknikal yang didedah berkenaan model elektrik baru ini. Sekiranya menggunakan asas yang sama seperti Futuron Concept, varian paling atasnya boleh dijangka mempunyai empat motor elektrik, pacuan semua roda dan maklum balas pendikit “sepantas kilat”.

     
     
  • VIDEO: Citroen tayang teaser kenderaan elektrik baharu yang bakal diperkenalkan pada 27 Feb

    VIDEO: Citroen tayang teaser kenderaan elektrik baharu yang bakal diperkenalkan pada 27 Feb

    Citroen telah menayangkan teaser menerusi dua video berasingan yang memaparkan imbasan kenderaan yang dijangkakan kenderaan elektrik (EV) baharu keluarannya.

    Dalam kedua-dua video berkenaan, kenderaan misteri yang muncul di babak akhir, dengan menyatakan akan ada lagi kejutan pada 27 Februari ini, sementara terdapat sedutan babak yang tertulis, “untuk 100 tahun, Citroen telah menghasilkan automobil untuk kegunaan semua. Pada 2020, Citroen akan memperkenalkan keupayaan elektrik untuknya.”

    Walau bagaimana pun, tidak banyak informasi mengenai kenderaan itu buat masa ini, namun berdasarkan video berkenaan, dipercayai ia menampilkan penjana kuasa elektrik dengan pakej badan yang bukan konvensional. Berdasarkan apa yang kita boleh lihat, EV berkenaan menampilkan sudut hadapan yang “blocky” dengan gril yang tertutup sepenuhnya, logo Citroen iluminasi dan juga lampu utama bulat.

    Ia sememangnya sedikit berbeza dengan barisan kenderaan Citroen yang lain, walau pun imejnya sedikit mengingatkan kita pada model konsep Ami One. Di mana model konsep kompak dua-tempat duduk yang diperkenalkan pada tahun lalu digambarkan sebagai solusi mobiliti urban elektrik dengan jarak pacuan hingga 100 km dan kelajuan maksimum 45 km/j.

    Ada perkhabaran mengatakan model EV Citroen ini mungkin boleh menjadi pesaing terdekat dengan smart EQ fortwo, walau bagaimana kena tunggu perincian penuhnya selepas ia diperkenalkan secara rasmi hujung bulan ini.

     
     
  • Hyundai gantung operasi di Korea Selatan kerana kekurangan komponen dari China akibat coronavirus

    Hyundai gantung operasi di Korea Selatan kerana kekurangan komponen dari China akibat coronavirus

    Hyundai Motor Co. terpaksa menggantung operasi pengeluaran sejak seminggu yang lalu di kilang automotif terbesarnya di kompleks Ulsan, Korea Selatan akibat kekurangan komponen dari China ekoran penularan coronavirus yang melumpuhkan pengeluaran industri. Kompleks berkenaan mempunyai lima rangkaian kilang yang mampu menghasilkan kira-kira 1.4 juta kenderaan setahun, selain menjadi lokasi import dan eksport kereta di seluruh dunia.

    Walau bagaimana pun, penularan coronovirus di China telah banyak menjejaskan rantaian bekalan penting di kebanyakan industri termasuklah automotif apabila banyak kilang di kawasan terbabit dengan wabak yang boleh mendatangkan maut itu tidak beroperasi.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Bloomberg, Hyundai yang juga syarikat sekutu Kia, yang merupakan pengeluar automotif kelima terbesar di dunia juga terjejas teruk akibat kehabisan komponen pengangkut kabel yang menghubungkan komponen elektronik kenderaan.

    Menurut jurucakap syarikat berkenaan, kemungkinan besar operasi kilang pengeluaran terlibat bakal berjalan semula dalam minggu ini andai masalah yang sedang dihadapi mampu diatasi segera.

    “Operasi kilang yang dihentikan sementara ini telah menjejaskan hampir 25,000 pekerja terpaksa bercuti dan menerima sebahagian gaji. Malah dijangkakan ia bakal membabitkan kerugian sekurang-kurangnya 600 bilion won (RM2.07 bilion),” ujar seorang penganalisis automotif negara berkenaan.

    Hyundai bukanlah satu-satunya kilang pengeluaran automotif yang terjejas dengan masalah kekurangan rantaian bekalan. Minggu lalu, rakan sekutunya, Kia turut mengambil langkah yang sama, manakala Renault turut dikatakan sedang mempertimbang untuk mengantung operasi kilangnya di Busan minggu ini.

    Begitu juga dengan Fiat Chrysler yang terpaksa mengambil langkah yang sama dengan menggantung operasi di salah satu kilangnya di Eropah baru-baru ini.

     
     
  • Rancangan jadikan KL lebih mesra pejalan kaki – 10 jalan mungkin ditutup bagi kenderaan persendirian

    Rancangan jadikan KL lebih mesra pejalan kaki – 10 jalan mungkin ditutup bagi kenderaan persendirian

    Bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur, satu rancangan untuk menjadikan jalan-jalan utama di ibukota hanya untuk pejalan kaki sedang diusahakan. Sekurang-kurangnya 10 jalan di tengah KL sedang dinilai untuk tidak lagi boleh dilalui oleh kenderan persendirian menjelang 2025.

    Kajian dan penilaian sedang dilakukan ketika ini, dengan jalan-jalan terlibat akan ditutup secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang, lapor New Straits Times. Lima jalan berkenaan dijangka akan ditutup bagi tempoh percubaan hujung tahun ini, termasuk Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, penutupan jalan itu akan mengikut model penutupan sementara yang sama seperti yang pernah dilakukan terhadap Jalan Masjid India dan Jalan TAR sebelum ini. Percubaan yang terakhir berkenaan, yang ditamatkan tahun lalu, akan dimulakan sekali lagi dengan rancangan untuk menghubungkannya ke Jalan Raja sehingga ke persimbangan Leboh Pasar Besar.

    Beliau menambah, beberapa laluan di Bangsar, Bukit Bintang dan Brickfields turut akan tutup oleh DBKL untuk menjadikan lokasi-lokasi terlibat lebih mesra pejalan kaki dan mengurangkan jejak kabon. Beliau menjelaskan, langkah ke arah ini adalah perlu kerana KL sekarang kerap mengalami kesesakan yang teruk.

    Rancangan jadikan KL lebih mesra pejalan kaki – 10 jalan mungkin ditutup bagi kenderaan persendirian

    “Kuala Lumpur mempunyai kepadatan warga sehingga tiga juta orang pada siang hari. Tidak termasuk mereka yang menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kereta, kita mempunyai tiga juta kereta yang berulang-alik menggunakan jalan dalam bandar, dan angka itu semakin meningkat,” jelas beliau.

    Nor Hisham turut berkata, kesesakan teruk yang berlaku menyebabkan orang ramai enggan bertandang untuk bertandang ke kawasan sekitar, sekaligus memberi kesan kepada peniaga yang berjualan. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut sama ada langkah itu nanti akan melibatkan penutupan sepenuhnya jalan yang terlibat, atau hanya sebahagian daripadanya. Begitu juga, betul diputuskan sama ada penutupan itu akan bersifat kekal atau hanya pada hari bekerja, atau gabungan kedua-duanya.

    Ketika ditanya sama ada pengangkutan awam seperti teksi dan bas serta perkhidmatan e-hailing akan dibenarkan menggunakan jalan terlibat seperti yang dilakukan ketika tempoh percubaan di Jalan TAR, beliau menyatakan perkara tersebut akan dikaji terlebih dahulu sebelum diputuskan. Beliau menjelaskan, kempen kesedaran serta rundingan dan maklum balas bersama pihak-pihak berkepentingan juga sudah direncanakan.

    Beliau juga menambah, langkah untuk menjadikan pusat bandar yang lebih mesra pejalan kaki merupakan sebahagian daripada perancangan besar DBKL, yang dijangka lengkap tahun ini. “Ini apa yang kami bayangkan untuk KL di masa hadapan. Langkah sama telah berjaya dilakukan di Singapura dan negara lain,” tambah beliau.

     
     
  • Audi A3 2020 – model generasi keempat akan muncul di Geneva, Quattro AWD boleh ubah, penyerap adaptif

    Audi A3 2020 – model generasi keempat akan muncul di Geneva, Quattro AWD boleh ubah, penyerap adaptif

    Teaser rasmi untuk Audi A3 Sportsback baru akhirnya didedahkan, bersama perincian naik taraf kelengkapannya. Menurut Audi, kalau dibandingkan dengan model sebelumnya, dinamik model baru ini serba hebat pada segenap bahagian. Ia hanya akan didedahkan sepenuhnya semasa Geneva Motor Show bulan hadapan.

    Selain sistem pacuan semua roda Quattro, model ini juga dilengkapi dengan pengagih tork elektronik, yang boleh menyampaikan sehingga 100% tork ke roda belakang. Dalam keadaan biasa, kuasanya lebih kepada roda hadapan.

    Klac kereta ini diletakkan di hujung propeller shaft, depan sedikit daripada gandar differential belakang. Menurut Audi, tetapan ini memberikan kelebihan pada pembahagian beban gandar, dan klac itu beroperasi dalam takungan minyak. Apabila terdapat gelinciran pada roda hadapan, klac tersebut serta merta mengalih tork ke belakang melalui pam elektrik axial-piston – tekanan hidraulik sehingga 44 bar.

    Audi A3 2020 – model generasi keempat akan muncul di Geneva, Quattro AWD boleh ubah, penyerap adaptif

    Lebih kuat klac ini ditekan oleh pam tersebut, lebih banyak juga tork dihantar ke roda belakang. Selain itu, sistem Quattro ini juga menyampaikan tork ke belakang dalam keadaan pemanduan sporty, terutamanya apabila memecut keluar dari selekoh. Sistem pembahagian tork ini juga sensitif kepada perubahan beban.

    Sistem AWD Quattro bekerja bersama dengan pengawal stabilisasi elektronik, yang juga mengawal parameter kawalan tork roda secara berasingan. Menurut Audi, apabila A3 dipandu laju di selekoh, programnya secara automatik mengenakan tekanan brek pada roda di bahagian dalam, sekaligus menjadikan kawalan lebih lincah, lancar dan selamat.

    Kadar pembahagian kuasa adalah bergantung kepada mod pemanduan (Comfort, Auto, Dynamic, Efficiency atau Individual), tapi Audi memberitahu, sistem ESC akan mengawal pelarasan tanpa terlalu mengganggu. Apabila ESC aktif, pecutan dilakukan dengan gelinciran roda yang paling sedikit mungkin, dan apabila dalam mod Sport pemandu masih boleh drift atas jalan yang licin seperti salji. ESC boleh ditutup sepenuhnya jika tidak mahu sebarang gangguan.

    Audi A3 2020 – model generasi keempat akan muncul di Geneva, Quattro AWD boleh ubah, penyerap adaptif

    A3 baru juga akan ditawarkan dengan penyerap adaptif dan injap elektromagnetik, menampilkan tiga pilihan tetapan antara yang paling selesa hingga paling sporty. Stereng progresif elektromekanikal juga diberikan, di mana rasa maklum balas stereng ini berbeza bergantung kepada mod pemanduan. Ia juga bekerja bersama dengan fungsi seperti Adaptive Cruise Assist, Collision Avoidance Assist dan Park Assist.

    Selain ciri elektronik yang memberi kesan terus kepada pemanduan, maklum balas stereng serta pendikit, bahagian lain seperti pendingin hawa, lampu LED matriks dan penarik tali pinggang juga akan menerima pelarasan tertentu bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih.

     
     
  • Honda Civic Type R facelift 2020 rasmi dilancarkan; Amerika Syarikat negara pertama menerimanya

    Honda Civic Type R facelift 2020 rasmi dilancarkan; Amerika Syarikat negara pertama menerimanya

    Selepas membuat penampilan mengejut di Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu, Honda Civic Type R FK8 facelift 2020 kini masuk ke pasaran secara rasmi, tetapi bukan dilancarkan di Jepun, sebaliknya ia terlebih dahulu boleh dibeli oleh pelanggan pada pasaran Amerika Syarikat bermula musim sejuk ini.

    Walaupun rupanya tidak jauh berbeza dari versi asal yang diperkenalkan pada tahun 2017, model ini sebenarnya diberikan berberapa kemaskini pada unit janakuasa dan juga pengendalian.

    Pada bahagian luaran, ia menerima perubahan pada bampar hadapan yang menyerupai versi facelift standard sedan dan hatchback yang telah didedahkan tahun lalu. Menurut Honda, rekaan baharu pada gril hadapan yang menampilkan perumah lampu kabus serta gril atas dan bawah baharu ini memberikan aliran udara yang lebih banyak bagi menyejukkan enjin. Model ini juga kini boleh dipilih dengan tambahan warna biru baharu yang digelar Boost Blue.

    Dalam kabin, versi baharu berkenaan kini diberikan roda stereng yang dibaluti Alcantara, tombol gear yang direka semula serta tuil short shifter yang memberikan tukaran gear yang lebih pendek dan cepat dari model sebelumnya.

    Tiada perubahan dilakukan pada enjin dan transmisi, di mana FK8 ini masih dijana oleh enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, lengkap dengan LSD.

    Tetapi, model ini diberikan tingkat taraf pada bahagian brek dan juga suspensi. Ia menerima sistem brek dengan rotor hadapan jenis two-piece bersama pad brek baharu, yang direka bagi memberikan keberkesanan brek yang lebih baik pada kelajuan tinggi, serta mengurangkan risiko untuk berlakunya fenomena brake fade.

    Kemudian, suspensi Civic Type R ini telah ditala semula bagi memberikan keselesaan yang lebih baik, bersama set bushing untuk suspensi belakang yang lebih keras bagi memberikan cengkaman yang lebih baik. Manakala pada suspensi hadapan, suspensi hot-hatch ini menerima rombakan bagi memberikan respon yang lebih baik pada stereng dan mengurangkn geseran.

    Untuk lebih selesa, Civic Type R ini juga hadir dengan Kawalan Bunyi Aktif, yang akan mengawal bunyi dalam kabin bergantung pada mod pemanduan yang di pilih. Tiga mod pemanduan pada model ini – Comfort, Sport dan +R masih lagi tidak berubah. Bagi keselamatan pula, ia hadir dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing.

     
     
  • Singapura akan kurangkan kadar tol di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas mulai 2 Mac ini

    Singapura akan kurangkan kadar tol di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas mulai 2 Mac ini

    Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) memaklumkan, Singapura akan mengurangkan kadar tol bagi kereta, bas dan teksi di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas mulai 2 Mac ini. Ini berikutan pengurangan kadar tol untuk kereta, bas dan teksi di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (LINKEDUA) pada 2 Feb 2020.

    Di pusat pemeriksaan Woodlands, kadar tol untuk kereta dan bas akan dikurangkan masing-masing sebanyak S$0.20 kepada S$0.80 dan S$0.60 manakala teksi sebanyak S$0.10 kepada S$0.40. Manakala di pusat pemeriksaan Tuas, kadar tol akan dikurangkan sebanyak S$0.40 kepada S$2.10 untuk kereta, teksi (S$0.30 kepada S$1.60) dan bas ($0.50 kepada S$2.50), ketika waktu puncak.

    Di luar waktu puncak, kadar tol untuk kereta akan dikurangkan sebanyak S$0.20 kepada S$1.10, teksi (S$0.20 kepada S$0.80) dan bas (S$0.30 kepada S$1.20).

    LTA berkata ia juga akan melancarkan perkhidmatan digital baharu bagi membolehkan pemilik kenderaan awam iaitu bas dan teksi yang didaftarkan di negara-negara ASEAN membuat permohonan Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam ASEAN melalui laman web OneMotoring (www.onemotoring.com.sg) mulai 10 Feb ini, menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama.

    Di mana permohonan itu mesti dikemukakan sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja sebelum memasuki Singapura. Inisiatif ini akan memudahkan pemilik kenderaan dan menambahkan rangkaian perkhidmatan digital sedia ada untuk kenderaan pendaftaran asing.

    Ia adalah permohonanVEP/Kad Autopass dalam talian untuk kereta dan motosikal pendaftaran asing, permohonan dalam talian Permit Kenderaan Barangan/Kad Autopass untuk kenderaan barangan pendaftaran ASEAN dan mengemas kini rekod kenderaan untuk kereta dan motosikal pendaftaran asing dalam talian.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance

    Volkswagen Passat facelift 2020 kini sudah berada dalam pasaran Malaysia, dengan penawaran satu varian sahaja iaitu 2.0 TSI pada harga RM189k, dan datang dengan jaminan tanpa had batuan lima tahun, pakej servis percuma tiga tahun dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, Passat baru ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa 190 PS dan 320 Nm tork. Jika dibandingkan dengan varian 2.0 TSI untuk model sebelumnya, kuasa ini adalah kurang 30 PS dan kurang 30 Nm tork.

    Bahagian kotak gear telah dipertingkat dan sekarang ia menggunakan unit klac berkembar DSG tujuh kelajuan DQ381 dengan klac basah baru, seterusnya menjadikan ia sebagai model Volkswagen pacuan roda hadapan pertama yang datang dengan kotak gear ini. Walaubagaimanapun, ia tidak datang dengan Dynamic Chassis Control (DCC) atau pengunci differential elektronik XDS.

    Pada bahagian kelengkapan, ia datang dengan lampu utama LED IQ Light, lampu kabus LED, lampu belakang LED, lampu penunjuk arah sequential, rim 18 inci, panel instrumen yang dipertingkat, sistem infotainmen Discover Pro dengan skrin 9.2 inci dan fungsi Wireless App Connect, tempat duduk balutan kulit, lapan pembesar suara dan pengawal suhu automatik tiga zon.

    GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance

     
     
  • Proton Iriz R5, Oliver Mellors kutip 14 mata berharga pada pusingan pertama BRC, Cambrian Rally 2020

    Proton Iriz R5, Oliver Mellors kutip 14 mata berharga pada pusingan pertama BRC, Cambrian Rally 2020

    Pusingan pertama British Rally Championship (BRC) untuk musim ini iaitu Rali Cambrian 2020 telah pun berakhir Sabtu lalu dan dimenangi oleh Juara BRC 2018 dan 2019, Matt Edwards dari pasukan M-Sport Ford. Bagi pasukan Proton Motorsport dikendalikan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang kembali semula ke dalam kejohanan ini selepas tiga tahun, dua pemandu mereka yang memandu Proton Iriz R5 iaitu Oliver Mellors dan James Williams berjaya menduduki tangga keempat dan kelima.

    Ini membolehkan Ollie dan juruarahnya Ian Windress mengutip 14 mata berharga dan berada di tangga keempat keseluruhan BRC 2020, manakala Williams bersama pembantunya Dai Roberts pula berada di tempat kelima dengan 10 mata.

    Rali Cambrian 2020 dimulakan dengan naib juara musim lalu, Tom Cave dari pasukan PCRS Rallysport yang memandu Hyundai i20 R5 menguasai SS pertama dengan masa 5 minit 29.9 saat, meninggalkan pemandu WRC2 dari pasukan M-Sport Ford, Rhys Yates yang memandu Fiesta R5 Mk.II hanya 0.6 saat di belakang.

    Ollie Mellors yang berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada SS1 ini tiba di garisan penamat dengan masa 5 minit 39.8 saat untuk berada di tempat kelima, diikuti Williams di belakangnya yang tertinggal 4.5 saat.

    Matt Edwards yang hanya berada di tempat keempat pada SS1 kerana enjin keretanya mati ketika mahu berlepas walau bagaimanapun melakukan kebangkitan di SS2 dengan mencatatkan masa terpantas meninggalkan Tom Caves 1.6 saat di belakang.

    Lebih malang untuk Cave kerana pada SS3, kesilapannya dengan melanggar batu menyebabkan rim belakang sebelah kirinya pecah, menyebabkan dia jatuh ke tempat ke-10 secara keseluruhan setelah tamat SS berkenaan, dan memberikan peluang kepada Edwards untuk merampas tempat pendahulu perlumbaan.

    Proton Iriz R5, Oliver Mellors kutip 14 mata berharga pada pusingan pertama BRC, Cambrian Rally 2020

    Pada SS4, Ollie Mellors melakukan kejutan dengan menamatkan laluan tersebut dengan masa kedua terpantas, hanya ketinggalan 7 saat di belakang Edwards. Walau bagaimanapun, pada SS kelima kemalangan terjadi menyebabkan kerosakan pada hab roda belakang kereta ini.

    Ollie berjaya melakukan pembaikkan sendiri di tepi jalan sebelum bermulanya SS6, tetapi ketika itu hanya brek hadapan yang berfungsi.

    Dan pada SS terakhir ini juga, pemandu pasukan Motorsport Ireland, Josh McErlean yang memandu sebuah lagi Hyundai i20 R5 melakukan kesilapan dengan melanggar batu pada selekoh terakhir menyebabkan sistem sterengnya rosak menyebabkan dia tidak dapat meneruskan perlumbaan, membolehkan Ollie naik ke tempat keempat secara keseluruhan, dengan kereta yang tidak stabil kerana brek belakang tidak berfungsi

    Walaupun tidak memperolehi podium pada pusingan pertama ini, keputusan yang dicatatkan oleh Ollie sudahpun menyamai keputusan terbaiknya dalam BRC 2016 dahulu. Manakala untuk James Williams, keputusan yang dicatatkan pada Rali Cambrian ini sudah lebih dari cukup kerana pada musim lalu, dia hanya memandu Fiesta R2 pacuan roda hadapan dalam kategori Junior.

    Peluang untuk memandu jentera R5 ini ditawarkan kepada Williams oleh MEM pada saat akhir, dan dia hanya dapat mencuba jentera yang jauh lebih berkuasa dengan pacuan semua roda ini sehari sebelum bermulanya perlumbaan sebenar. Jadi dapat menghabiskan rali dalam kelompok sama dengan sebahagian pemandu-pemandu WRC2 seperti Rhys Yates dan Tom Cave hanya pada percubaan pertama adalah sesuatu yang istimewa.

    Selepas ini, BRC akan bergerak ke Republik Ireland untuk pusingan kedua, Rali West Cork yang akan berlangsung dari 14 hingga 15 Mac.

     
     
  • Proton X70 CKD 2020 – empat varian, ada warna baru

    Proton X70 CKD 2020 nampaknya sudah semakin dekat dengan tarikh pelancaran rasmi. Petunjuknya? Ia mula sampai ke bilik-bilik pameran. Satu contohnya seperti yang dikongsikan oleh laman FB The Ajerul, lengkap dengan beberapa perincian baru yang terpapar, beserta perkara-perkara yang telah diketahui sebelum ini.

    Antaranya, akan ada empat varian yang ditawarkan; Standard 2WD, Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium 2WD X. Ini sama seperti sebelumnya, tetapi jika diteliti dengan lebih dekat, varian Premium ditawarkan dalam dua tingkat kemasan, termasuk yang paling tinggi Premium X. Beza antara keduanya cuma sunroof sahaja. Dan, ini juga bermaksud, tiada lagi varian dengan sistem pacuan semua roda AWD ditawarkan.

    Dari gambar terbaru yang beredar di media sosial ini, agak jelas rekabentuk X70 CKD ini nampak sama sahaja seperti versi CBU. Cuma, ada dua perkara yang boleh diperhatikan. Pertama, penggunaan logo baru Proton menggantikan logo lama, dan kedua ada warna baru yang turut diperkenalkan – nampak macam kelabu-ungu tonanya.

    Bahagian tombol gear pun nampak lain. Tapi ini boleh dijangkakan, kerana seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, X70 CKD 2020 dijangka akan menggunakan kotak gear DCT tujuh-kelajuan. Agaknya, sebabkan itu rekaan tombol gear pun turut diperbaharui. Nampak lawa?

    Lagi satu perkara baru yang sempat kami perhatikan sebelum ini ketika di Proton Tanjung Malim ialah X70 CKD juga datang dengan ciri power tailgate yang sebelum ini tidak ditawarkan. Jadi daripada maklumat-maklumat yang diketahui setakat ini, nampak jelas arah tuju penawaran X70 CKD 2020 untuk memberikan lebih banyak ciri keselesaan serta kemudahan kepada pengguna. Rasa-rasa menarik ke Proton X70 CKD 2020 ini?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026