Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Lexus UX boleh ditempah – tiga varian, dari RM244k

    Lexus UX boleh ditempah – tiga varian, dari RM244k

    Selepas menyiarkan teaser dalam laman media sosial mereka, Lexus Malaysia hari ini akhirnya membuka tempahan untuk model UX, yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu UX 200 Urban, UX 200 Luxury dan UX 200 F Sport. Harganya masing-masing adalah RM243,888, RM283,888 dan RM299,888.

    UX adalah model yang akan bersaing dengan BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA. Badannya adalah lebih kecil daripada model NX, dengan ukuran 4,496 mm panjang, lebar 1,840 mm, tinggi 1,520 mm, jarak roda 2,639 mm dan dibina atas platform Global Architecture – Compact (GA-C), iaitu platform Toyota New Global Architecture (TNGA) sama seperti C-HR, tetapi versi Lexus.

    Malaysia menerima model UX 200, yang bermaksud ia digerakkan oleh enjin empat silinder petrol NA 2.0 liter Dynamic Force, bersama padanan transmisi automatik 10 kelajuan Direct Shift, untuk menghasilkan kuasa 169 hp pada 6,600 rpm dan 205 Nm tork pada 4,800 rpm.

    Untuk senarai kelengkapan, UX 200 Urban datang dengan lampu utama LED projector bersama DRL, lampu belakang LED, rim 17 inci, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula, panel instrumen TFT LCD tujuh inci, tiga mod pemanduan (Eco, Normal dan Sport), sistem pengecas tanpa wayar serta pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang.

    Ia juga datang dengan sistem audio Lexus Premium dengan enam pembesar suara, skrin infotainmen tujuh inci, interface Remote Touch, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, balutan kulit Nuluxe, kemasan balutan hitam dan tempat duduk hadapan larasan kuasa.

    Pergi kepada varian Luxury (seperti dalam gambar), ia datang dengan rim 18 inci, pengelap cermin automatik, pintu but bukaan kuasa dengan operasi tanpa tangan, pelarasan roda stereng elektrik, kemasan metalik dan ‘Japanese paper grain’, skrin infotainmen 10.3 inci, dua lagi tambahan pembesar suara serta fungsi memori untuk tempat duduk hadapan.

    Lexus UX boleh ditempah – tiga varian, dari RM244k

    Varian paling tinggi F-Sport diberikan dengan rim 18 inci dan gril hadapan khas F Sport, kemasan metalik dan kulit, penukar gear di stereng, panel instrumen lapan inci dengan gegelung meter yang boleh bergerak, head-up display, dua lagi tambahan mod pemanduan (Sport+ dan Custom), tempat duduk F Sport serta pedal aluminium.

    Pada bahagian keselamatan, semua varian UX datang dengan lapan beg udara, cagak ISOFIX, Active Cornering Assist, ABS, EBD, BA, VSC, Traction Control, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta pengesan jarak hadapan dan belakang.

    Ia juga hadir dengan pakej Lexus Safety System+ (LSS+) yang termasuk Front Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA) dan Adaptive High-beam System (AHS). Sistem tambahan lain seperti Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Panoramic View Monitor hanya ada pada varian Luxury and F Sport.

     
     
  • Proton buka pusat 3S baharu di Puchong

    Proton buka pusat 3S baharu di Puchong

    Proton telah pun membuka sebuah lagi pusat 3S baharu yang terletak di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor, baru-baru ini sebagai memenuhi keperluan para pelanggannya di sekitar kawasan tersebut. Dikendalikan oleh Lesydear Automobile Sdn Bhd (Lesydear Auto), pusat 3S ini dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, dan turut dihadiri oleh Exco Negeri Selangor, Ng Sze Han dan pengurusan Proton sendiri.

    Pusat 3S yang menelan kos pelaburan sebanyak RM2.5 juga ini memiliki enam petak penyelenggara dan empat mesin pengangkat serta mampu memuatkan sehingga 5 unit kenderaan dalam ruang pameran. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan coffee bar, port pengecas laptop dan WiFi percuma untuk kegunaan pada pelanggannya.

    “Selain menawarkan produk yang bagus, kekuatan syarikat ini juga terletak pada rangkaian. Ini antara sebabnya Proton turut memfokuskan pembangunan rangkaian dan menaiktaraf cawangan. Kini, kami telah menjual 100,821 kereta pada 2019 dan menduduki tangga kedua dalam carta jualan di seluruh negara,” ujar Dato’ Radzaif Mohamed, timbalan CEO Proton.

    Setakat ini, Proton memiliki jumlah rangkaian pusat 3S dan 4S terbesar di seluruh negara iaitu mencecah 120 cawangan.

     
     
  • Hukuman penjara 20 tahun dan denda hingga RM100,000 menanti pemandu mabuk – Lim

    Hukuman penjara 20 tahun dan denda hingga RM100,000 menanti pemandu mabuk – Lim

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata, kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman terhadap kesalahan itu dengan hukuman penjara bagi pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian akan ditingkatkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini. Bukan itu sahaja, pesalah terbabit juga berhadapan dengan hukuman denda sehingga RM100,000.

    “Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi iaitu antara yang tertinggi di dunia.

    “Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguh pun kadar sebenarnya sudah menurun tetapi kita harap kita dapat mengurangkan kadar itu. Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 korban nyawa berlaku hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya,” katanya selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian Ahad lepas di Pulau Pinang.

    Hukuman penjara 20 tahun dan denda hingga RM100,000 menanti pemandu mabuk – Lim

    Buat masa ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

    Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

    Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

     
     
  • VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

    Pernah tertanya-tanya, berapa banyak kos untuk selenggara atau servis trak pikap? Sama macam kereta sedan atau SUV? Tak perlu susah-susah, duduk bertenang dan tonton video yang disediakan ini kalau anda berminat nak tahu lanjut berkaitan hal berkenaan.

    Dalam video ini, kami pertemukan tiga model paling laris jualannya bagi tahun 2019. Model mana lagi kalau bukan Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger. Semua model ini tidak perlukan pengenalan panjang. Baik bagi mereka yang inginkan sebuah trak pikap untuk keperluan perniagaan mahupun sebagai kenderaan harian, tiga model ini bukanlah asing – masing-masing dengan kelebihan dan kekurangan sendiri.

    Dan, untuk video ini, kita hanya akan beri tumpuan kepada kos selenggara atau servis mereka sahaja, bagi tempoh lima-tahun pemilikan atau 100,000 km. Kami juga memilih varian tertinggi untuk semua model iaitu Toyota Hilux 2.8L (RM140,088), Mitsubishi Triton Adventure X 2.4L (RM137,900) dan Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo (RM144,888). Semua model ini adalah dari versi transmisi automatik, dan dipadankan dengan sistem 4WD.

    VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

    Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu; senggang waktu bagi servis berjadual ketiga-tiga model ini tidak sama. Triton dan Ranger hanya perlu diservis setiap 10,000 km (dengan minyak enjin sintetik sepenuhnya), manakala Hilux pula lebih kerap, iaitu setiap 5,000 km (dengan minyak enjin mineral).

    Penukaran minyak gear juga berbeza; pada Hilux ia perlu diganti setiap 80,000 km, Triton pula pada 100,000 km. Untuk Ranger yang dilengkapi kotak gear dengan 10-kelajuan pula, anda tidak akan jumpa dalam jadual lima-tahun pertama kerana ia hanya perlu ditukar setiap 250,000 km, dengan kos penukaran RM721.10.

    Jadi berdasarkan jadual yang kami buat di atas berdasarkan jadual rasmi yang diterbit oleh setiap pengeluar, Triton menampilkan jumlah keseluruhan yang paling rendah antara ketiga-tiganya dengan jumlah RM5,903, diikuti oleh Toyota Hilux 2.8L dengan kos RM6,427. Manakala untuk Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo pula, kos sebanyak RM7,347 perlu dikeluarkan dalam tempoh berkenaan walaupun tanpa kos menukar minyak gear.

    Tetapi kena juga ambil maklum, perbandingan ini juga hanya tertumpu kepada penyelengaraan semata-mata, tidak termasuk kos pemilikan lain seperti cukai jalan – pemilik Ford Ranger 2.0L tentunya membayar premium yang jauh lebih rendah dari pemilik Toyota Hilux 2.8L.

    Dari segi tempoh jaminan pula, Triton ada kelebihan; Mitsubishi Motors Malaysia memberikan waranti pengeluar selama lima-tahun/200,000 km, berbanding Hilux dengan lima-tahun/150,000 km dan Ford Ranger pula adalah tiga tahun/100,000 km.

    Semasa menghimpunkan semua data ini, berberapa perkara telah menarik perhatian kami. Jadual yang disediakan oleh Mitsubishi adalah yang paling komprehensif berbanding semua kerana ia menyenaraikan setiap servis yang perlu dibuat dan komponen yang perlu ditukar pada setiap poin.

    VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

    Harga yang disenaraikan untuk Triton sentiasa lebih tinggi dari Hilux (ada dua sesi perbezaan mencecah RM1,000), tetapi anda juga perlu ingat yang Hilux perlu dihantar servis satu kali ganda lebih banyak berbanding Triton, dan Hilux juga mempunyai satu sesi yang mencecah RM1,247 iaitu pada 80,000 km yang termasuk kos menukar ATF.

    Pemilik Ford Ranger mungkin tidak terasa perbezaan harga antara servis kerana setiap sesi tersebut boleh dikata pada purata hampir sama iaitu antara RM571 hingga RM928. Manakala pemilik Hilux perlu lebih peka untuk kos servis seterusnya kerana ada servis yang perlu anda bayar dengan harga serendah RM117, dan ada servis yang mencecah RM1,247 – mungkin akan menjadi kejutan untuk anda jika tidak bersedia.

    Semua perincian yang didedahkan ini adalah berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh pengeluar sendiri. Jika anda mahukan perincian lebih teliti, anda boleh menghubungi pusat servis bertauliah setiap jenama tersebut. Jika anda tertanya-tanya kos selenggara antara tiga trak pikap ini yang mana paling murah, data yang kami kumpulkan ini menunjukkan Mitsubishi Triton adalah pemenangnya – tambahan pula ia dilindungi waranti yang paling lama.

     
     
  • Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Baru setahun diperkenalkan secara rasmi, Toyota telahpun mengumumkan versi tingkat taraf untuk kereta sport flagship mereka iaitu GR Supra A90. Dikenali dengan versi 2021, model yang dikemaskini dengan peingkatan kuasa yang agak besar dan talaan semula pada casis ini telah disahkan akan masuk ke pasaran Amerika Syarikat. Bukan iu sahaja, versi ini turut akan ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0 liter empat-silinder dan model edisi terhad.

    Untuk versi yang paling berkuasa, ia masih kekal dijana oleh enjin petrol turbo BMW B58 3.0 liter enam-silinder sebaris. Namun ia telah menerima talaan semula bagi menghasilkan 382 hp dan tork maksima 499 Nm, atau 47 hp lebih berkuasa dari versi asal.

    Bagi mengekstrak 14% kuasa lebih banyak ini, enjin tersebut telah diolah semula pada berberapa bahagian dan bukan sekadar talaan semula pada kotak komputer enjin. Toyota telah menggantikan set omboh asal dengan unit rekaan baharu yang mampu merendahkan nisbah mampatan dalam kebuk pembakaran dari 11:1 kepada 10.2:1, bagi meningkat boost dari pengecas turbo. Kemudian, manifold ekzos juga ditelah direka semula untuk melengkapkan sentuhan semula ini.

    Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF, dan Toyota menjangkakan pecutan 0-60 bsj (96 km/h) akan dapat dicapai hanya dalam masa 3.9 saat, berbanding 4.1 saat pada versi sedia ada.

    Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Model dengan enjin lebih berkuasa ini turut menerima talaan lebih baik pada casis. Ia kini diberikan pendakap aluminium hadapan baharu bagi meningkatkan ketegaran sisi, serta penyerap hentak yang ditala semula dan diberikan bump stop yang mendapat rekaan lebih baik.

    Sistem stereng berkuasa elektrik, sistem suspensi adaptif, kawalan kestabilan elektronik dan LSD aktif pada gandar belakang turut diprogramkan semula bagi dipadankan dengan sistem mekanikal yang mendapat komponen baharu, membolehkan Supra 2021 lebih stabil ketika berubah arah dalam kelajuan tinggi.

    Selain itu, GR Supra 2021 ini turut menerima kelengkapan lebih baik seperti sistem bunyi JBL dengan 12-pembesar suara, skrin utama 8.8-inci bagi menggantikan skrin 6.5-inci sebelum ini, Apple Carplay dengan fungsi tanpa wayar, dan servis hubungan dan kecemasan kawalan jauh.

    Bagi model 2.0 liter empat-slinder turbo pula, ia akan dijana oleh enjin BMW B48 yang sama dengan versi pasaran Jepun, menghasilkan 255 hp bermula 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm yang dapat dicapai seawal 1,550 hingga 4,400 rpm.

    Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Versi ini turut dipadankan dengan kotak gear auto lapan-kelajuan ZF yang sama, membolehkan model yang 90 kg lebih ringan tersebut memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam masa 5.0 saat dan mencatatkan penggunaan bahan api lebih rendah.

    Selain dari enjin yang lebih kecil, pengurangan berat berkenaan turut dicapai menerusi set brek yang lebih kecil, tiada lagi penggunaan sistem differential dan suspensi aktif, tempat duduk manual, serta hanya 4-pembesar suara.

    Untuk kelengkapan keselamatan, GR Supra baharu ini menerima pakej Keselamatan dan Teknologi dengan sistem yang lebih banyak. Ia termasuk sistem cruise control adaptif yang berfungsi dalam semua kelajuan, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan juga penderia parkir dengan brek kecemasan automatik,

    Istimewa untuk model 2021 pasaran Amerika ini juga, ia akan diperkenalkan dalam versi edisi terhad A91, yang dihasilkan hanya 1,000 unit. Model ini hadir hanya dalam dua pilihan warna iaitu Nocturnal (hitam) dan Refraction (biru).

    Berbanding model biasa, versi A91 Edition ini akan menerima penutup cermin sisi gentian karbon, spoiler lip pada but belakang, jalur pelekat badan pada tiang-C dan juga rim dalam kemasan hitam matte, bersama angkup brek hadapan berwarna merah dengan tulisan “Supra” (juga hadir pada model 3.0L Premium).

    Dalam kabin , GR Supra A91 Edition diberikan upholsteri Alcantara hitam dan karpet but khas, serta unit kunci yang diberikan bekas kulit istimewa.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Feb: Petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing 2 sen, diesel naik 6 sen

    Harga minyak 15-21 Feb: Petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing 2 sen, diesel naik 6 sen

    Kalau minggu ini, harga runcit bagi petrol RON 97, RON 95 dan diesel dilaporkan turun. Tetapi tidak bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Feb 2020, di mana ketiga-tiga bahan api tersebut dilaporkan mengalami kenaikan harga runcit.

    Harga runcit bagi RON 97 naik sebanyak 2 sen iaitu daripada RM2.34 seliter menjadi RM2.36 seliter. Manakala bagi RON 95 pula, juga naik 2 sen seliter iaitu daripada RM2.04 seliter, menjadi RM2.06 seliter.

    Untuk diesel pula, ia naik sebanyak 6 sen seliter iaitu daripada RM2.08 seliter, menjadi RM2.14 seliter untuk Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.24 seliter berbanding RM2.18 seliter pada minggu sebelumnya. Semua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini hingga Jumaat hadapan.

    Harga minyak 15-21 Feb: Petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing 2 sen, diesel naik 6 sen

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.06 seliter dan RM2.14 seliter masing-masing. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.04 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.08 seliter, tetapi masih di bawah had harga yang ditetapkan iaitu RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.

    Justeru, harga runcit bagi kedua-dua produk dinaikkan pada paras RM2.06 seliter dan RM2.14 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

    Namun apabila harga pasaran dunia naik dan demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.

     
     
  • Honda Accord 2020 – tempahan generasi ke-10 dibuka di Malaysia, 1.5L VTEC Turbo, 201 PS dan 260 Nm

    Honda Malaysia telah mengumumkan tempahan bagi Honda Accord baharu telah pun dibuka, dijangka pelancarannya bakal berlangsung pada suku pertama ini, Model sedan segmen-D generasi ke-10 ini telah pun diperkenalkan di peringkat ASEAN di Thailand pada Mac 2019, diikuti dengan Indonesia pada Julai 2019, Filipina pada September dan SIngapura serta Vietnam pada Oktober lalu.

    Ada perkhabaran, kita bakal menerima hanya satu varian (sama seperti Indonesia), dan ia dijanakan unit 1.5L pengecas turbo. Penjana kuasa 1.5 liter VTEC Turbo adalah sama dengan unit yang dipadankan pada Civic dan CR-V, tetapi menariknya, kuasa dan tork yang dihasilkan lebih tinggi berbanding pada pasaran lain.

    Berdasarkan kenyatan akhbar yang mengumumkan tempahan telah dibuka, Accord untuk pasaran tempatan bakal menghamburkan 201 PS dan 260 Nm, iaitu 11 PS dan 17 Nm lebih tinggi berbanding varian Thailand dan Indonesia, yang hanya 190 PS pada 5,500 rpm dan 243 Nm dari 1,500 hingga 5,500 rpm, sama dengan talaan bagi CR-V turbo.

    Elemen standard termasuklah lampu utama dan lampu belakang LED, Sistem Bantuan Parkir Pintar dengan Bantuan Brek (belakang), sistem kamera 360° pelbagai-pandangan serta Honda LaneWatch,dan versi Malaysia turut diberikan rim aloi 18-inci.

    Seperti model semasa, Accord baharu ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan Honda Sensing, dengan Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengurangan ketibaan Jalan (RDW), Sistem Brek Pengurangan Pelanggaran (CMBS), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) dan Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) yang bekerjasama dengan Low Speed Follow (LSF).

    Accord 2020 ini juga telah menerima penarafamn lima-bintang daripada ASEAN NCAP, dengan model ini didatangkan ciri keselamatan standard termasuk enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan penderia parkir hadapan/belakang.

    GALERI: Honda Accord 2019 spesifikasi Thailand

     
     
  • Hyundai Prophecy EV Concept akan muncul di Geneva

    Hyundai Prophecy EV Concept akan muncul di Geneva

    Hyundai telah mengeluarkan satu teaser kenderaan elektrik konsep, yang akan ditunjukkan kali pertama semasa Geneva Motor Show bulan depan. Menggunakan nama Prophecy, kereta ini dianggap sebagai satu projek untuk syarikat itu menyatakan ekspresi rekaan “Sensuous Sportiness” terbaru mereka.

    Menurut Hyundai, nama itu menggambarkan tujuan kereta konsep tersebut dibuat, iaitu untuk menyatakan hala tuju rekaan serta membina nama sebagai ikon rekaan bagi barisan kenderaan EV mereka. “Prophecy tidak mengikut trend. Ia menyerlahkan kecantikan yang tidak lapuk dek zaman,” kata ketua pusat rekaan global Hyundai, SangYup Lee.

    Berdasarkan apa yang boleh dilihat dalam gambar teaser ini, memang jelas Prophecy tidak mengikut trend rekaan untuk menjadi agresif. Sebaliknya ia menggunakan garis-garis beralun yang lebih lembut sementara bahagian belakang mempunyai lampu LED moden dan spoiler bersepadu.

    Hyundai Prophecy EV Concept akan muncul di Geneva

    Di dalam video pula, kita boleh melihat bahagian depan kereta konsep ini, yang menampilkan lampu utama LED dengan bintik yang berjarak dan bukaan nipis di bawah logo Hyundai yang lebih bergaya. Bayang bentuk kereta ini dari tepi juga boleh dilihat, menampakkan bumbung yang melengkung cantik sehingga ke belakang dan rim berbentuk seperti bilah kipas.

    Setakat ini masih belum ada perincian lain termasuk penggerak kenderaan ini yang diberitahu kepada umum dan kita perlu menunggu hingga ia didedahkan secara rasmi. Lagipun, kita juga belum tahu sama ada ia akan memasuki fasa produksi ataupun tidak.

     
     
  • PANDU UJI: Nissan Leaf – sudah relevan di Malaysia?

    PANDU UJI: Nissan Leaf – sudah relevan di Malaysia?

    Nissan Leaf memahatkan sejarah yang tersendiri untuk saya kerana ia adalah kereta elektrik sepenuhnya pertama yang saya pandu ketika pelancaran program perintis Edaran Tan Chong Motor (ETCM) untuk membawa kereta berkenaan ke pasaran Malaysia pada tahun 2012 dulu. Model generasi kedua kereta berkenaan kemudiannya di bawa secara rasmi ke sini, dilancarkan pada Julai tahun lalu oleh ETCM, dan sekali lagi saya antara yang terawal di Malaysia yang berpeluang untuk memandunya.

    Jika anda lihat dari segi rupa sahaja, Leaf generasi baharu ini sememangnya menampilkan peningkatan yang ketara. Ia tidak lagi hadir dengan rupa pelik seperti model sebelum ini, sebaliknya ia kini nampak sebagai sebuah hatchback yang menawan. Kalau ikut selera saya sendiri, ini adalah model paling handsome yang berada dalam bilik pameran ETCM di Malaysia buat masa sekarang.

    Ini kerana Leaf adalah model pertama Nissan dengan muka V-Motion terbaharu yang mendarat di Malaysia – selepas ini mungkin diikuti oleh Nissan Almera dan juga Sylphy generasi baharu yang turut menggunakan muka signatur terbaharu ini. Malah jika anda lihat Leaf yang menerima sentuhan Nismo pada pasaran Jepun, ia kelihatan seperti sebuah hot-hatch sebenar!

    Dengan teknologi elektrifikasi terkini, Leaf masih lagi belum boleh dikategorikan sebagai “kereta murah” dalam pasaran global, walaupun ia sebuah model produksi massa dan mendapat sambutan menggalakkan di Jepun dan Eropah. Di Thailand misalnya, Leaf sudahpun dilancarkan tahun lalu, dijual pada harga 1.99 juta baht atau sekitar RM265k. Di Malaysia, Leaf dijual oleh ETCM sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun dengan harga atas jalan tidak termasuk insuran RM188,888.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Mitsubishi Triton VGT MT Premium dinaik taraf dengan perakam video, sistem infotainmen baru, RM113k

    Mitsubishi Triton VGT MT Premium dinaik taraf dengan perakam video, sistem infotainmen baru, RM113k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menaik taraf model Triton VGT MT Premium facelift dengan beberapa kelengkapan yang kini diberikan secara standard, termasuk perakam video, kamera undur, serta sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Jika dibandingkan dengan harga waktu ia dilancar awal tahun lepas, peningkatannya adalah sedikit sahaja, iaitu RM800, dengan sekarang varian Triton VGT MT Premium ini dijual pada harga RM113,300 tidak termasuk insurans.

    Selain daripada peningkatan yang dinyatakan, spesifikasi model ini masih lagi sama, termasuk enjin 2.4L MIVEC VGT diesel turbo, bersama padanan kotak gear manual enam kelajuan, dengan kuasa 181 PS pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm.

    Varian Triton VGT MT Premium mempunyai kemasan krom pada beberapa bahagian terutamanya pada muka Dynamic Shield yang digunakan dan kelengkapan lain adalah termasuk stereng dibalut kulit dengan butang kawalan audio, pengawal suhu automatik digital, pengitar udara belakang dengan corong di bumbung, sistem tanpa kunci dengan butang pemula enjin, cermin pandang belakang malap sendiri dan dua soket pengecas USB.

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT Premium MT 2019

     
     
  • Semua kenderaan Geely akan dipasang dengan sistem pemulihan udara IAPS, tapisan seperti topeng N95

    Semua kenderaan Geely akan dipasang dengan sistem pemulihan udara IAPS, tapisan seperti topeng N95

    Selepas membuat pengumuman akan melaburkan 370 juta RMB (RM218 juta) untuk pembangunan “kenderaan pintar dan sihat” Geely kini memberitahu semua kenderaan mereka di masa hadapan akan dilengkapi dengan sistem pemulihan udara pintar G-Clean (IAPS) yang boleh menapis partikel berbahaya secara automatik.

    Menurut Geely, sistem IAPS ini dibangunkan dalam masa cuma 20 hari, didorong oleh penyebaran virus Covid-19 di China. Jurutera Geely bekerja tanpa henti dengan pembekal untuk membawa konsep sistem ini dari sekadar lukisan kepada pemasangan di kenderaan. Geely memberitahu IAPS akan digunakan pada kenderaan produksi bermula Mac 2020.

    Bahagian utama sistem IAPS ini terdiri daripada penapis bahan kimia karbon aktif yang boleh menyerap gas berbahaya seperti formaldehyde semasa ia memasuki kenderaan, secara efektif. Ia juga boleh menapis bau busuk serta bahan pencemar apabila dikesan secara automatik.

    Semua kenderaan Geely akan dipasang dengan sistem pemulihan udara IAPS, tapisan seperti topeng N95

    IAPS juga datang dengan penjana ion negatif yang boleh mensteril dan mewangikan udara dalam kenderaan. Ia berfungsi untuk membuang virus, bakteria, fungus serta kulapuk dalam udara. Tambah Geely, tahap penapisan udaranya sama seperti topeng N95.

    Sistem IAPS telah pun digunakan pada 150 buah MPV Geely Jiaji yang diberikan kepada pekerja barisan hadapan yang bekerja menentang virus Covid-19 ini di sekitar China. Sistem IAPS ini termasuk dalam langkah fasa pertama Geely untuk membangunkan kenderaan sihat, sementara fasa kedua dan ketiga bakal melibatkan kerjasama dengan agensi perubatan dan syarikat lain untuk membangunkan bahan baru bagi bahagian-bahagian kenderaan.

     
     
  • ASEAN NCAP: Isuzu D-Max 2020 dapat penarafan lima-bintang; juga terima lima-bintang untuk AOP dan COP

    ASEAN NCAP: Isuzu D-Max 2020 dapat penarafan lima-bintang; juga terima lima-bintang untuk AOP dan COP

    Program Penilaian Kereta Baharu Asean (Asean NCAP) telah melakukan ujian pelanggaran untuk trak pikap Isuzu D-Max 2020, yang mana hasil ujian tersebut turut memberikan penarafan lima-bintang untuk kategori pelindungan penumpang dewasa (AOP) dan pelindungan penumpang kana-kanak (COP). Dengan markah untuk AOP, COP dan sistem bantuan keselamatan yang diperoleh masing-masing 50%, 25% dan 25%; D-Max ini telah berjaya mengumpul sebanyak 42.72 mata, 21.83 mata dan 18.61 mata.

    D-Max 2020 ini telah melakukan beberapa peningkatan berbanding model sebelumnya, termasuk menampilkan dua beg udara dan ABS secara standard untuk semua varian, manakala kawalan kestabilan elektronik pula diberikan pilihan untuk semua pasaran yang menjual model ini.

    Data bagi ujian impak hadapan menunjukkan pelindungan penumpang dewasa untuk tempat duduk hadapan berkeadaan baik, penarafan ‘mencukupi’ untuk kaki dan bahagian dada, serta penarafan ‘sedikit’ untuk bahagian lutut dan paha pemandu. Markah impak hadapan dan impak sisi bagi D-Max ialah masing-masing 12.36 dan 16.00, serta 2.40 untuk pelindungan kepala, menjadikan keseluruhan markah sebanyak 30.76 daripada 36.00 mata penuh.


    Klik untuk besarkan

    Bagi ujian pelindungan penumpang kana-kanak menyaksikan prestasi yang mengujakan, menerima 24.00 bagi ujian dinamik, 9.00 untuk penilaian berdasarkan kenderaan dan 9.78 untuk pemasangan, menjadikan markah bagi COP mencapai 42.78 mata daripada markah penuh 49.00 mata.

    Bagi penilaian ujian dinamik untuk D-Max 2020 telah dikendalikan untuk penumpang kanak-kanak berusia 18 bulan dan tiga tahun; menggunakan sistem sekatan dengan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak Britax Baby Safe Plus ISOFIX yang dipasang menghadap belakang dengan cagak ISOFIX dan penyokong bahagian kaki bagi kanak-kanak berusia 18 bulan. Manakala untuk kanak-kanak berusia tiga tahun, menggunakan kerusi keselamatan Maxi Cosi 2Way Pearl yang dipasang menghadap belakang, juga dengan pemasangan menggunakan cagak ISOFIX dan penyokong kaki.

    Bagi ujian penumpang kanak-kanak, Isuzu D-Max 2020 menerima mata penuh sebanyak 16.00 dan 8.00 masing-masing bagi impak hadapan dan impak sisi, sekaligus memberikan mata penuh sebanyak 24.00 bagi ujian dinamik.

    ASEAN NCAP: Isuzu D-Max 2020 dapat penarafan lima-bintang; juga terima lima-bintang untuk AOP dan COP

    Asean NCAP turut memaklumkan ujian teknologi titik buta telah dimasukkan mengikut protokol 2017-2020 telah dilakukan, di mana ia berfungsi untuk setiap teknologi titik buta yang diperkenalkan dalam penilaian kereta. Malah Asean NCAP telah mengesahkan teknologi bagi D-Max 2020 adalah pilihan untuk semua pasaran Rantau Asia, dan ia berfungsi untuk kedua-dua bahagian kiri dan kanan kenderaan.

    Bagi kategori trak pikap, D-Max 2020 telah menerima markah keseluruhan sebanyak 83.16, sekaligus memberikannya penarafan lima-bintang dari Asean NCAP. D-Max generasi ketiga ini telah diperkenalkan pada Oktober 2019 dan telah dijual di Thailand pada bulan yang sama. Walau bagaimana pun, model ini tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun ini.

    Isuzu D-Max 2020

     
     
  • Proton X70 CKD 2020 – beza kos servis 7DCT vs 6AT

    Proton X70 CKD 2020 – beza kos servis 7DCT vs 6AT

    Ramai yang sudah tahu tentunya, Proton X70 CKD yang baru dilancarkan minggu ini dilengkapi dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan bagi menggantikan versi automatik enam-kelajuan pada model CBU sebelum ini. Kami juga telah kongsikan pandangan berkaitan prestasi pemanduan unit CKD berkenaan, ada video sekali.

    Cuma, ada satu perkara lagi yang mungkin sedang bermain di dalam fikiran ramai orang; apa kesan penggunaan kotak gear baru ini terhadap kos servis keseluruhan X70 CKD? Adakah bertambah mahal atau sebaliknya menurun? Jadi, soalan itu yang ingin kami jawab dalam tulisan ini.

    Proton X70 CKD 2020 – beza kos servis 7DCT vs 6AT

    Dengan meneliti angka-angka adn jadual servis yang dimuatkan dalam laman web Proton sendiri bagi model CKD dan CBU berkenaan, anda boleh lihat yang versi CKD relatif lebih murah harga atau kos servisnya berbanding model CBU, bagi tempoh 100,000 km atau lima tahun.

    Jika diperhatikan dengan lebih dekat, perkara servis yang diperlukan bagi model CBU dan CKD sebenarnya tidak jauh berbeza. Cuma, versi CBU memerlukan penukaran minyak gear agak awal, iaitu pada jarak 60,000 km/tempoh 36-bulan. Sebaliknya, bagi model CBU, perkara sama hanya perlu ditukar pada jarak 90,000 km/tempoh 54-bulan.

    Perbezaan kos servis antara keduanya adalah disebabkan oleh minyak kotak gear yang digunakan. Pemilik model CBU perlu membayar RM500.96 untuk itu, sementara bagi pemilik model CKD pula hanya perlu membayar RM353.45. Versi CKD akan menggunakan minyak transmisi Shell Spirax S5 DCT10 empat liter, sementara CBU menggunakan jenis ATF 3292 oleh Fuchs Petrolub yang digunakan oleh Geely.

    Proton X70 CKD 2020 – beza kos servis 7DCT vs 6AT

    Proton X70 CKD 2020 – beza kos servis 7DCT vs 6AT

    Bagi tempoh tahun ke tahun, kos penyelenggaraan antara model CKD dan CBU agak mirip sahaja sebenarnya, dengan pengecualian bagi tahun ketiga dan kelima. Pada tahun ketiga, pemilik model CKD akan membayar kurang, tetapi perlu membayar lebih pada tahun kelima – disebabkan penukaran minyak kotak gear 7DCT berkenaan.

    Jadi, jika pertanyaan ini pernah bermain dalam benak anda, maka ia kini sudah terjawab. Memang ada perbezaan bagi kos penyelenggaraan antara transmisi 7DCT baru berbanding 6AT lama pada model CBU, walaupun sebenarnya jumlahnya tidaklah begitu ketara.

     
     
  • Hukuman penjara 20 tahun dicadangkan untuk pemandu mabuk yang sebabkan nahas maut – menteri

    Hukuman penjara 20 tahun dicadangkan untuk pemandu mabuk yang sebabkan nahas maut – menteri

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mengesahkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dicadangkan untuk pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

    Menurutnya, Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang membuat kesalahan tersebut.

    “Saya serahkan kepada MOT untuk ambil langkah menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Mereka yang cuai atau mabuk kenalah ambil tanggungjawab dan pastikan diberi hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Liew turut ditanya oleh pemberita mengenai cadangan pihak tertentu supaya pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan maut didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

    Hukuman penjara 20 tahun dicadangkan untuk pemandu mabuk yang sebabkan nahas maut – menteri

    Jawabnya, “Kesalahan jalan raya adalah tertakluk di bawah APJ 1987. Ia terpulang kepada budi bicara mahkamah selepas meneliti hujahan pihak pendakwa raya.”

    Buat masa ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

    Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

    Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

     
     
  • Mugen Honda Fit/Jazz Dash & Skip didedah di Jepun

    Mugen Honda Fit/Jazz Dash & Skip didedah di Jepun

    Serentak dengan pengumuman secara rasmi Honda Jazz/Fit yang akan masuk ke pasaran Jepun esok (14 Februari), pengeluar peralatan prestasi yang sinonim dengan jenama tersebut, Mugen turut memperkenalkan secara rasmi dua kit untuk yang direka khas untuk hatchback tersebut yang digelar sebagai Dash dan Skip.

    Kedua-dua kit berkenaan sudahpun didedahkan sebagai prototaip pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2020 yang berlangsung bulan lalu, dan nampaknya versi produksi ini menampilkan rupa yang sama. Antara dua kit ini, Dash menampilkan rupa yang paling garang.

    Berbanding diserlahkan dalam warna merah menyala ketika di TAS tempoh hari, versi produksi Dash ini dipersembahkan dalam warna putih dan ia masih meriah dengan panel-panel yang diperbuat dari gentian karbon. Kit badan versi ini dimulakan dengan pemadanan kemasan tambahan pada bampar hadapan yang memberikan apron dan spoiler yang lebih agresif.

    Kemudian ia bersambung dengan skirt sisi lebih labuh, diakhiri dengan diffuser udara pada bampar belakang, dan juga spoiler belakang bersaiz besar di atas. Gril hadapan, penutup cermin sisi dan juga panel kemasan nombor plat belakang digantikan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon.

    Mugen Honda Fit/Jazz Dash & Skip didedah di Jepun

    Anda jangan tertipu dengan sirip pada bahagian atas fender hadapan Fit ini, kerana ia bukan sirip sebenar, sebaliknya hanyalah sekadar pelekat badan, begitu juga jalur sirip yang sama ditampal pada bahagian bawah pintu. Tetapi tidak dapat pastikan sama ada untuk versi produksi ini masih hadir dengan pilihan muffler S Flow Mugen atau tidak seperti unit yang di bawa ke TAS tempoh hari.

    Berlainan dari Dash, Skip menampilkan rekaan yang ‘lebih jinak’. Ia tidak diberikan panel yang menutup bampar hadapan, tetapi hanya menerima spoiler di bahagian bawah. Skirt sisi Skip ini juga tidak selabuh Dash, namun spoiler belakang antara kedua mereka adalah sama – kesemua kit badan dan juga bahagian dari tiang-A hingga tiang-C diwarnakan hijau, kontras dengan warna badan putih.

    Manakala panel-panel karbon pada Dash digantikan dengan panel plastik pada Skip, dengan rekaan yang lebih sopan, juga diberikan kemasan berwarna hijau, bersama hitam pada kawasan tertentu. Walau bagaimanapun, set rim dan tayar pada Skip ini adalah sama dengan Dash – ia disudahkan dengan rim asli Mugen MDE bersaiz 17-inci, dibaluti tayar bersaiz 205/45R17.

    Model generasi keempat ini telah membuat kemunculan sulungnya ketika berlangsung Tokyo Motor Show 2019 pada Oktober tahun lalu. Namun perincian penuhnya baru sahaja didedahkan oleh Honda di Jepun hari ini, ditawarkan dalam versi petrol dan hibrid yang digelar e-HEV. Kedua-dua kit Dash dan Skip ini nampaknya dipadankan oleh Mugen pada model hibrid.

    Bagi versi petrol, model JDM ini hanya menerima enjin 1.3 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 118 Nm bermula pada takat 5,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT dan pembeli boleh memilih sama ada dalam konfigurasi pacuan hadapan atau pacuan semua roda.

    Untuk model hibrid e-HEV pula, versi generasi baharu ini tidak lagi menggunakan unit penjana Sport Hybrid i-DCD seperti model sebelumnya, sebaliknya ia diberikan sistem baharu yang digelar sebagai i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive), iaitu versi lebih kecil sistem Sport Hybrid i-MMD pada Accord dan CR-V Hybrid baharu yang menampilkan dua motor elektrik.

    Sistem berkenaan terdiri dari enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC empat-silinder berkuasa 98 PS/127 Nm, digandingkan terus dengan sebuah motor elektrik yang bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion.

    Manakala sebuah lagi motor elektrik yang berkuasa 80 kW (109 PS) dan tork maksima 253 Nm akan dihubungkan terus ke roda hadapan menerusi transmisi nisbah gear tunggal bersama klac lock-up. Motor ini akan mengambil tugas untuk menggerakkan kereta hanya pada kelajuan tinggi.

    GALERI: Mugen Fit Dash Prototype di TAS2020

    GALERI: Mugen Fit Skip Prototype di TAS2020

     
     
  • Proton X70 CKD kereta pertama guna label EEV MARii

    Proton X70 CKD kereta pertama guna label EEV MARii

    Semasa majlis pelancaran Proton X70 CKD 2020 semalam, kami terperasan satu pelekat yang terdapat di cermin belakang kereta yang dipamerkan. Ia adalah label EEV Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), yang mana mempunyai kod QR dan apabila diimbas, boleh menunjukkan spesifikasi kenderaan tersebut, termasuk tahap kecekapan penggunaan bahan api dan emisi CO2.

    Skim perletakan label EEV secara sukarela ini pertama kali ditunjuk pada Mac 2018, waktu pelancaran Pusat Ujian Emisi Negara (NETC) di Rawang, dengan tujuan menjadi platform meningkatkan kesedaran pelanggan dan selari dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan emisi karbon sebanyak 45% menjelang tahun 2030.

    Merujuk kepada X70, SUV ini sememangnya sudah menerima penarafan EEV waktu dilancarkan sebagai unit CBU pada bulan Disember 2018 lalu, tapi ini adalah kali pertama label tersebut dapat dilihat dilekatkan pada kenderaan. Selain itu, walaupun terdapat lagi kenderaan lain yang menerima penarafan EEV, Proton adalah syarikat pertama yang menggunakan label tersebut.

    Bagi X70, label EEV oleh MARii ini cuma menunjukkan ia adalah model 1.8 TGDi. Seperti yang sudah diketahui, penggunaan bahan api X70 CKD adalah 7.6 liter bagi setiap 100 km (kitaran bercampur), atau 13.16 km bagi setiap liter. Ini adalah 13% lebih baik berbanding X70 CBU (7.8 liter bagi setiap 100 km), manakala emisi CO2 pula adalah 181 g/km. Turut dinyatakan adalah laju maksimum kenderaan iaitu 195 km/j.

    Proton X70 CKD ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD (RM94,800), Executive 2WD (RM106,800), Premium 2WD (RM119,800) dan Premium X 2WD (RM122,800). Anda boleh mengetahui lebih banyak informasi berkenaan X70 dalam pautan yang disediakan di bawah atau pergi ke laman CarBase.my.

    GALERI: Proton X70 Standard 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Executive 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020

     
     
  • Draf pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam proses disiapkan sebelum ke Kabinet – Loke

    Draf pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam proses disiapkan sebelum ke Kabinet – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan pihaknya masih menunggu draf pindaan Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 daripada Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet.

    “Bacaan pertama di Dewan Rakyat akan dibuat sebaik draf diluluskan Kabinet. Kita akan cuba siapkan proses pindaan rang undang-undang itu. Kita ada pinda akta sedia ada, akta sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Menurutnya lagi, ada beberapa proses perlu dilalui dan faktor diberi pertimbangan sebelum dibentangkan.

    “Selepas draf disiapkan, ia perlu dibentang ke Kabinet dan diluluskan. Apabila sudah diluluskan Kabinet, baru boleh bawa ke Parlimen dan kena ikut giliran sebab ada lebih 20 kementerian berurusan dengan Kabinet. Walaupun kita tahu ada keperluan ia dipercepatkan, perlu mengambil kira prosesnya,” katanya.

    Draf pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam proses disiapkan sebelum ke Kabinet – Loke

    Hujung Januari lalu, Loke mengesahkan Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

    Buat masa ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

    Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

    Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

     
     
  • Touch ‘n Go dan Shell sepakat untuk perkenal bayaran melalui RFID di stesen terpilih, 10,000 tag percuma

    Touch ‘n Go dan Shell sepakat untuk perkenal bayaran melalui RFID di stesen terpilih, 10,000 tag percuma

    Touch ‘n Go dan Shell Malaysia bakal menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan sistem pembayaran bahan api melalui RFID di beberapa stesen Shell terpilih. Kaedah ini akan membolehkan pengguna membayar untuk bahan api di ruang pengisian minyak tanpa perlu menggunakan telefon atau cara sedia ada yang lain. Perincian transaksi akan dihantar terus kepada pengguna melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

    Untuk menggalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan ini, Touch ‘n Go menawarkan pemasangan 10,000 tag RFID secara percuma kepada pelanggan yang membelanjakan minumum RM50 melalui Touch ‘n Go eWallet mereka, bermula dari 15 Februari hingga 31 Mac 2020. Sebagai tambahan, penerima e-tunai juga layak untuk mendapatkan cashback sebanyak RM5 dan RM2 dengan minimum RM20 yang dibelanjakan di stesen-stesen Shell seluruh negara, bermula dari 17 Februari hingga 14 Mac.

    Stesen Shell yang terlibat termasuk di Wangsa Maju 2, Taman Connaught, Kota Warisan 1, Lebuhraya PLUS Jalan Duta (arah Klang), Desa Aman Puri, Jalan Kuchai Lama 2, Kota Damansara Seksyen 6, Sri Hartamas, Jalan Kepong 2 (Lot 4086 Jln Kepong Mukim Batu, Kuala Lumpur, 52100), dan Jalan Cheras KM 5.5 (PT 7430 HSD 111856, Kuala Lumpur, 56100).

    Touch ‘n Go dan Shell sepakat untuk perkenal bayaran melalui RFID di stesen terpilih, 10,000 tag percuma

    “950 stesen Shell telah menjalankan transaksi tanpa tunai melalui Touch ‘n Go eWallet. Selepas ini, pengguna juga boleh menikmati kemudahan mengisi minyak hanya melalui RFID, yang membenarkan pembayaran dibuat tanpa melibatkan telefon atau kaedah biasa yang lain,” ujar CEO Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin.

    Tag Touch ‘n Go RFID boleh didapati di pusat pemasangan seluruh negara dengan harga RM35 bermula 15 Januari; harga itu termasuk penggantian sekali bagi kenderaan sama tanpa had tempoh yang dikenakan. Selain Shell, stesen pam minyak yang lain juga akan menerima pembayaran cara RFID bermula suku keempat tahun ini.

    Kaedah pembayaran ini juga akan turut digunakan bagi khidmat pesanan makanan drive-thru seperti oleh peruncit kopi atau rangkaian makanan segera pada suku pertama 2021. Selain itu, Touch ‘n Go juga sudah mula bekerjasama dengan pusat membeli-belah popular dan pemilik bangunan untuk memperkenalkan dan memperluas kaedah bayaran ini.

     
     
  • Hyundai i30 facelift 2020 akan diperkenal di Geneva

    Hyundai i30 facelift 2020 akan diperkenal di Geneva

    Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, Hyundai i30 tidak diberikan sebarang perubahan dan masa untuk model facelift sudah tiba. Malaysia tidak menerima model standard hatchback segmen C ini, sebaliknya mendapat versi prestasi i30N yang berspesifikasi lebih tinggi.

    Model facelift ini akan diperkenalkan semasa Geneva Motor Show bulan hadapan dan gambar teaser yang disiar melihatkan perubahan yang jelas, termasuk gril lebih besar dengan bentuk seperti Sonata, serta lampu hadapan LED dengan DRL berbentuk seperti panah. Kita juga boleh menjangka perubahan lain pada bahagian bampar serta lampu belakang, dan rekaan rim. Model yang ditunjukkan dalam gambar ini adalah versi N, dan mempunyai bukaan udara yang lebih besar serta sirip di penjuru bampar.

    Hyundai juga memberitahu akan terdapat perubahan pada bahagian dalam, termasuk panel instrumen digital dan skrin 10.25 inci lebih besar, seperti yang sudah digunakan pada beberapa model Hyundai dan Kia lain. Model facelift ini juga bakal menyaksikan trim N Line diperkenalkan pada model wagon Tourer, sekaligus menjadikan ia kali pertama ditawarkan untuk semua jenis bentuk badan model tersebut.

    Perubahan selain daripada itu dijangka hanyalah sedikit, dan masih menggunakan enjin petrol 1.0 liter dan 1.4 liter, serta diesel turbo 1.6 liter Smartstream. Versi paling tinggi bagi i30 hatchback dan fastback adalah i30N, yang menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo dengan kuasa 275 PS dan 353 Nm tork apabila dipasang dengan pakej prestasi.

     
     
  • Polis tahan 828 pemandu mabuk di jalan KL pada 2019, cadang alat uji tahap alkohol di semua pusat hiburan

    Polis tahan 828 pemandu mabuk di jalan KL pada 2019, cadang alat uji tahap alkohol di semua pusat hiburan

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ACP Zulkefly Yahya mengesahkan pihaknya telah menahan seramai 828 pemandu mabuk dalam operasi yang dijalankan di sekitar ibu kota pada tahun 2019. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 93 kes berbanding 735 kes pada tahun 2018.

    Malah untuk bulan pertama 2020, seramai 158 pemandu mabuk telah ditahan oleh pihaknya. Di mana daripada 158 individu yang ditahan, 118 kes telah dituduh dan 40 kes masih dalam siasatan pihak polis.

    “Trend pemandu mabuk di ibu negara selalunya berlaku selepas tengah malam dan rekod kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di ibu negara, tahun lepas cuma satu kes, dan tiga kes pada 2018.

    “Unit penguatkuasaan JSPT KL telah ditugaskan untuk menangani masalah pemandu mabuk ini, dan kami bertugas 24 jam sehari, serta menjalankan operasi Mabuk bagi menangani masalah ini, tiada hari tanpa operasi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Menurutnya, berdasarkan Seksyen 45G (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah; atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

    Polis tahan 828 pemandu mabuk di jalan KL pada 2019, cadang alat uji tahap alkohol di semua pusat hiburan

    Malah Zulkefly turut berkata, pihaknya menyambut baik cadangan kerajaan meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

    “Kami menyambut baik cadangan ini dan percaya kerajaan mempunyai pelan mereka dalam meminda undang-undang berkaitan, supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

    Buat masa ini, pemandu cuai yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 yang membawa hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.

    Selain itu, Zulkefly turut mencadangkan pemilik pusat hiburan di ibu negara untuk menyediakan ‘Screening Device II’ (SDII), iaitu satu alat yang membolehkan pengunjung mengetahui tahap alkohol pada badan mereka, dalam usaha mengurangkan kes melibatkan pemandu mabuk. Katanya, menerusi alat tersebut, pengunjung akan mengetahui sama ada tahap alkohol pada badan masih berada di tahap dibenarkan untuk memandu, atau sebaliknya.

    “Sekiranya tahap alkohol pengunjung melebihi tahap dibenarkan, pemilik premis boleh mengambil insiatif menasihatkan pengunjung untuk tidak memandu. Penggunaan alat SDII sudah diguna pakai di luar negara, dan tiba masanya premis hiburan di negara ini mengamalkan perkara sama, sebagai langkah pencegahan dan keselamatan,” ujarnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026