Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pan Borneo Sarawak dijangka siap menjelang Ogos 2022; 14 bulan lewat daripada jadual asal – Baru Bian

    Pan Borneo Sarawak dijangka siap menjelang Ogos 2022; 14 bulan lewat daripada jadual asal – Baru Bian

    Mengikut perancangan asal, projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang mula dibina pada Oktober 2015 dijangka siap pada Jun 2021. Walau bagaimana pun, terbaru, projek lebuhraya sepanjang 786.41 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Ogos 2022, iaitu 15 bulan lebih lewat daripada perancangan asalnya.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Baru Bian, tarikh baharu itu ditetapkan apabila projek itu dilaksanakan menerusi modul konvensional selepas Kementerian Kerja Raya mengambil alih sepenuhnya projek mega itu dari Rakan Pelaksana Projek (PDP), Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd berkuat kuasa hari ini.

    Sebelum ini PDP menetapkan projek berkenaan siap pada 30 Jun 2021, namun berdasarkan laporan oleh PDP pada Januari lalu, kemajuan sebenar projek adalah 44.21% berbanding 47.82% seperti yang dijadualkan bagi penyiapan projek pada 30 Ogos 2021.

    “Ini bermakna projek itu mengalami kelewatan dua bulan selepas tarikh siap perjanjian PDP pada 30 Jun 2021.

    Pan Borneo Sarawak dijangka siap menjelang Ogos 2022; 14 bulan lewat daripada jadual asal – Baru Bian

    “Bagaimanapun, berdasarkan semakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan jurutera perunding bebas Opus (ICE) yang menggunapakai PDP’s Works Programme Rev.1 pada Januari 2020, kemajuan sebenar projek ialah 45.81 peratus berbanding 61.23 peratus dengan tempoh siap baharu pada Disember 2021,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Jelasnya lagi, anggaran penjimatan bagi projek LPB di Sarawak berdasarkan perbezaan keseluruhan kos pembangunan di antara model Rakan Pelaksana Projek (PDP) dengan kaedah konvensional adalah sebanyak RM2.865 bilion.

    “Anggaran penjimatan itu dibuat selepas mengambil kira kos pembangunan model PDP sebanyak RM21.857 bilion termasuk kos pembinaan yang ditandatangani. Melalui kaedah konvensional yang menjadi hala tuju baharu projek ini, anggaran kos pembangunan keseluruhan adalah RM18.992 bilion dengan mengambil kira kos-kos PDP sehingga penamatan PDP pada 20 Februari 2020,” katanya lagi.

    LPB di Sarawak merangkumi 11 pakej WPC dengan satu pakej kerja iaitu jajaran Telok Melano ke Semantan sepanjang 33 kilometer siap mengikut jadual pada 6 Januari 2019.

     
     
  • Suzuki Raider J Crossborder diperkenal di Filipina – Belang dengan gabungan bentuk kapcai dan trail

    Suzuki Raider J Crossborder diperkenal di Filipina – Belang dengan gabungan bentuk kapcai dan trail

    Di Malaysia, antara model kapcai keluaran Suzuki yang namanya masih terkenal sehingga kini adalah Belang 150. Versi baru bagi model ini masih dijual di beberapa negara dan dikenali sebagai Raider. Di Filipina, Raider datang dalam beberapa versi iaitu R yang menggunakan enjin 150 cc dan juga J yang dikuasakan enjin 113 cc.

    Jualan model Raider ini agak laris, dan terbaru, Suzuki Filipina memperkenalkan satu lagi versi yang lebih unik iaitu Raider J Crossover. Bagi orang kita, rekaannya mungkin agak pelik bagi sebuah model yang keluar dari kilang, kerana menggabungkan gaya sebuah kapcai dengan motosikal trail. Dalam kata lain, ia seperti sebuah cubcross.

    Jika dibandingkan dengan Raider J yang digunakan sebagai asas, model ini mempunyai suspensi yang lebih tinggi – fork dengan pelindung getah, dua penyerap lebih besar di belakang – cakera brek beralun, rim jejari yang dibalut tayar pelbagai guna, pemegang lebih tinggi serta penghadang lumpur dan lampu seperti motosikal enduro.

    Kelengkapan lain masih lagi sama seperti Raider J, termasuk enjin SOHC suntikan bahan api berkuasa 9.2 hp pada 7,500 rpm dan 9.1 Nm tork pada 6,500 rpm, transmisi empat kelajuan, tangki bahan api 3.7 liter dan brek dram di belakang.

    Bagi pasaran Filipina, ini bukan kali pertama mereka melihat model seperti Raider J Crossover kerana Honda juga mempunyai model hampir serupa iaitu Honda XRM 125. Selain kapcai seperti cubcross ini, Raider J Crossover juga akan bersaing dengan motosikal trail lain seperti CRF150L, Kawasaki KLX150L dan Yamaha XTZ 125.

     
     
  • Imej paten Honda City Hatchback didedahkan

    Imej paten Honda City Hatchback didedahkan

    Kita di Malaysia buat masa sekarang menerima dua model segmen-B dari Honda – hatchback Honda Jazz, dan kembar sedan berasaskan platform sama iaitu Honda City. Namun hanya untuk pasaran China, Honda ada satu lagi model yang benar-benar versi hatchback dari City digelar Honda Geinia, dihasilkan oleh Dongfeng Honda. Dan nampaknya lukisan paten untuk City Hatchback dari model generasi baharu sudah pun terdedah, disiarkan oleh Canal Carros.

    Dari gambar yang terdedah ini, nampaknya muka model hatchback ini direka serupa dengan versi sedan yang didedahkan buat pertama kali di Thailand lewat tahun lalu. Begitu juga dengan bahagian sisi, ia nampaknya menampilkan garisan badan dan bahu serta bentuk cermin tingkap.

    Apa yang jelas berbeza adalah pada bahagian belakang yang direka lebih rendah, manakala penutup but digantikan dengan pintu tailgate yang boleh dibuka sekali bersama cermin belakang. Lampu belakang model hatchback ini dihasilkan dengan bentuk yang hampir sama dengan versi sedan. Tapi sekali tengok, nampak macam Mercedes-Benz A-Class W177 pula kan?

    Belum ada maklumat berkenaan dimensi untuk City Hatchback ini. Tetapi berdasarkan rupanya, ia mungkin akan menampilkan jarak roda, lebar dan juntaian hadapan yang sama seperti versi sedan. Berbeza dengan Jazz, walaupun ia menggunakan platform yang sama, Honda memberikan jarak roda, tinggi bumbung dan juntaian hadapan yang berbeza dari City bagi mendapatkan rupa yang lebih tersendiri.

    Buat masa sekarang, City generasi kelima ini baru masuk kepasaran Thailand, dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo berkuasa 122 PS/173 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan.

    Selepas ini, model sedan tersebut mungkin akan menerima versi janaan hibrid dengan sistem i-MMD dari Honda Jazz e:HEV generasi terkini, menggabungkan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC dengan dua buah motor elektrik dan juga transmisi nisbah tunggal tetap.

    Untuk City Hatchback ini, masih lagi belum jelas adakah ia seperti sebelum ini iaitu hanya dipasarkan di China sebagai Geinia, atau mungkin akan mengambil tugas Jazz untuk pasaran Asia Tenggara. Ini tidak mustahil kerana Toyota juga mengambil jalan seperti ini dengan menjual hatchback Yaris yang dihasilkan terus dari sedan Vios, berbeza dengan Yaris yang dipasarkan di Jepun dan Eropah.

    Kalau anda pula bagaimana? Lebih suka City Hatchback ini atau boleh terima dengan rekaan Jazz generasi baharu yang rata-rata mengatakan ia kini terlalu comel, tak cukup garang dan tak sesuai dengan selera kita di Malaysia?

    GALERI: Sedan Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • Biodiesel B20 kini mula dilaksanakan – Langkawi dan Labuan terawal, seluruh Malaysia menjelang Jun 2021

    Biodiesel B20 kini mula dilaksanakan – Langkawi dan Labuan terawal, seluruh Malaysia menjelang Jun 2021

    Kerajaan hari ini secara rasminya melancarkan Program Biodiesel B20 bagi sektor pengangkutan. Bahan api biodiesel B20 yang melibatkan campuran 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum telah mula beredar secara berperingkat, dimulakan dengan Langkawi dan Labuan pada Januari 2020.

    Ini akan diteruskan pula ke Sarawak pada April 2020, Sabah pada Ogos 2020 dan seluruh Semenanjung pada bulan Jun 2021. Sebelum ini, sejak 1 Februari 2019, kerajaan telah melaksanakan program biodiesel B10 (10% PME, 90% diesel) bagi sektor pengangkutan. Ini disusuli pula dengan program B7 (7% PME, 93% diesel) bagi sektor industri sejak 1 Julai 2019.

    Bersama dengan syarikat-syarikat petroleum utama di negara ini, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berperingkat ke lebih daripada 3,400 stesen minyak seluruh negara seperti yang dinyatakan. Pelaksanaan menyeluruh dijangka akan dapat disempurnakan pada pertengahan tahun 2021.

    Biodiesel B20 kini mula dilaksanakan – Langkawi dan Labuan terawal, seluruh Malaysia menjelang Jun 2021

    Namun, pengguna bagi sektor pengangkutan masih lagi mempunyai pilihan untuk mendapatkan diesel Euro 5 B7 yang kekal dijual di stesen-stesen minyak tertentu. Begitu juga dengan stesen-stesen minyak di kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang; kawasan-kawasan ini masih akan mengedarkan biodiesel B7.

    Seperti sedia maklum, usaha penggunaan biodiesel dengan kadar campuran sawit yang lebih tinggi di Malaysia antaranya bertujuan untuk menggalakkan semula penggunaan bahan tersebut di dalam negara selain didakwa menjadi pilihan yang lebih bersih.

    Dimaklumkan, dengan pelaksanaan program biodiesel B20 di sektor pengangkutan dan juga pengekalan B7 bagi sektor industri ini, penggunaan minyak sawit dalam negara dijangka akan mencecah 1,300,000 tan setahun. Ini juga boleh diterjemahkan kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 bagi setahun.

    Biodiesel B20 kini mula dilaksanakan – Langkawi dan Labuan terawal, seluruh Malaysia menjelang Jun 2021

    Selain itu, Sejak Mei 2019, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah memperuntukkan sebuah lori bagi menjalankan ujian lapangan penggunaan biodiesel 100%, dan unit berkenaan masih lagi digunakan tanpa sebarang masalah sehingga kini.

    Kerjasama dengan Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA) juga diteruskan bagi tujuan kajian secara berterusan terhadap penggunaan biodiesel B20 bagi kenderaan Euro 5. Di Malaysia, dua buat model Mazda CX-5 telah digunakan bagi tujuan ujian berkenaan, dan dijangka selesai pada April 2020.

    Majlis perasmian biodiesel B20 yang berlangsung di Dataran Merdeka pagi tadi telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan turut disertai oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

     
     
  • Bentley Flying Spur 2020 tiba di Malaysia – RM840k tidak termasuk cukai dan aksesori, enjin W12 635 PS

    Bentley Flying Spur 2020 tiba di Malaysia – RM840k tidak termasuk cukai dan aksesori, enjin W12 635 PS

    Bentley Flying Spur generasi ketiga sudah pun tiba di Malaysia, dan dijual pada harga bermula RM840,000 tidak termasuk cukai dan duti. Untuk memberikan perspektif bagaimana harganya termasuk cukai, model Continental GT First Edition dijual pada harga RM2.15 juta manakala Continental GT Convertible RM2.24 juta. Sudah pasti, harga itu juga bergantung kepada aksesori yang dipilih.

    Model terbaru ini dikuasakan oleh enjin 6.0 liter twin turbo W12, yang didakwa sebagai enjin 12 silinder paling berkuasa di dunia dengan 635 PS dan 900 Nm tork. Walaupun mempunyai berat 2,437 kg, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, sebelum mencapai laju maksimum 333 km/j.

    Selain untuk mereka yang mahu bersantai di belakang, model mewah ini juga disasarkan kepada mereka yang mahu memandu, di mana ia dijadikan lebih dinamik melalui pemasangan kelengkapan seperti gandar hadapan yang lebih ke depan (untuk pembahagian berat lebih baik), sistem pacuan semua roda aktif, all-wheel steering dan Bentley Dynamic Ride.

    Berbeza berbanding model sebelumnya yang menggunakan sistem AWD sepanjang masa dengan nisbah pembahagian kuasa 60:40 antara depan dan belakang, model baru ini pula menggunakan sistem yang pada kebanyakan masa menghantar kuasa kepada roda belakang sementara bila diperlukan, barulah kuasa akan dihantar ke roda hadapan.

    Pembahagian tork bergantung kepada mod pemanduan – dalam mod Comfort dan Bentley, tork sehingga 480 Nm boleh dihantar kepada roda hadapan manakala dalam mod Sport, ia terhad kepada 280 Nm untuk gandar hadapan. Turut membantu pengurusan tork ini adalah sistem torque-vectoring-by-brake.

    Melalui sedan ini juga Bentley buat pertama kalinya telah menggunakan sistem stereng semua roda elektronik untuk meningkatkan stabiliti di lebih raya dan pengendalian di dalam kawasan urban. Pada bahagian suspensi, sistem Continuous Damping Control (CDC) membenarkan pelarasan berterusan manakala spring udaranya pula kini mempunyai 60% lebih udara untuk memberikan kepelbagaian tetapan antara keselesaan dan sporty. Empat sensor tinggi digunakan untuk mengira jarak antara gandar dan badan kenderaan.

    Bentley Flying Spur 2020 tiba di Malaysia – RM840k tidak termasuk cukai dan aksesori, enjin W12 635 PS

    Kemudiannya, terdapat Bentley Dynamic Ride System, yang mempunyai actuator elektronik kawalan sistem 48 volt, untuk mengawal ketegaran anti-roll bar mengikut keadaan pemanduan. Brek pula adalah unit besi paling besar di dunia, sama seperti Continental GT, dengan ukuran cakera 420 mm. Bunyi ekzos juga boleh dikawal melalui muncung adaptif yang mempunyai beberapa kedudukan.

    Model yang dipamerkan di Malaysia ini sudah dipasang dengan aksesori penuh, dengan di tengah papan pemukanya terdapat skrin sesentuh 12.3 inci HD dengan kemasan kayu single veneer. Satu lagi ciri unik model Bentley baru ini adalah lambang Flying B yang boleh disorok atau dikeluarkan dengan hanya menekan satu butang.

    Tempat duduknya pula kini dipertingkat dengan fungsi yang lebih berguna seperti pemanas, liang udara, pengurut pelbagai mod serta bahagian sokongan dan bahagian atas yang boleh dilaras. Jika memilih pakej Mulliner Driving Specification, balutan kulit 3D digabungkan dengan cetakan serta jahitan permata. Bahagian tepi pintu juga menggunakan motif sama.

    Skrin yang anda lihat berada atas corong pendingin hawa belakang sebenarnya adalah Touch Screen Remote yang boleh dibawa keluar, untuk mengawal fungsi seperti penghadang cahaya, pengurut di tempat duduk, lampu suasanan serta logo Flying B. Sistem audio pula datang dalam tiga pilihan iaitu 10 pembesar suara dan 650 watt untuk versi standard, Bang & Olufsen 1,500W dengan 16 pembesar suara dan Beosonic, serta paling tinggi Naim for Bentley 2,200W dengan 19 pembesar suara dan Active Bass Transducers pada tempat duduk hadapan.

    Barangan lain adalah seperti skrin hiburan di belakang, peti sejuk kecil, bumbung panoramik serta cermin kecil di atas (belakang). Kereta pameran ini juga dipasang dengan pakej Mulliner Driving Spec, di mana kebanyakan bahagian yang sepatutnya berwarna krom diwarnakan hitam. Rim adalah unit 22 inci.

     
     
  • Volvo buka pusat 3S terbesarnya di Malaysia – milik Sime Darby Swedish Auto, terletak di Ara Damansara

    Volvo buka pusat 3S terbesarnya di Malaysia – milik Sime Darby Swedish Auto, terletak di Ara Damansara

    Walaupun sudah mencatatkan jumlah jualan paling tinggi tahun lalu, Volvo Cars Malaysia (VCM) masih belum memperlahankan rentak mereka – hari ini secara rasmi jenama dari Sweden berkenaan membuka satu lagi pusat 3S di sini, dioperasikan oleh Sime Darby Swedish Auto yang terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya.

    Jaringan pengedar baharu ini bukan sahaja menampilkan fasiliti baharu yang bergaya, malah ia adalah outlet paling besar untuk VCM setakat ini. Beralamat di Jalan PJU 1A/7, Volvo Ara Damansara ini dibina dengan keluasan 50,742 kaki persegi.

    Seperti fasiliti pengedar baharu Volvo yang lain di seluruh dunia, Volvo Ara Damansara ini sudah tentu menerapkan konsep lengkap Volvo Retail Experience (VRE). Apa yang istimewa lagi, ini adalah bilik pameran pertama Volvo di Asia Tenggara yang menampilkan Studio Maya Volvo VR.

    Bilik pameran ini juga menyediakan barisan lengkap model terkini Volvo termasuk SUV XC40, XC60 dan XC90, serta sedan terkini Volvo S60 T8 R-Design bagi memudahkan pelanggan melihat dan menguji sendiri model baharu Volvo yang mereka minat.

    Mankala untuk pusat servis pula, 14 ruang servis berhawa dingin (pertama seumpamanya di Malaysia) tersedia termasuk dua daripadanya adalah untuk RATC (Reception At The Counter). Pusat servis ini beroperasi dengan 18 orang juruteknik bertauliah Volvo.

    Untuk anda yang berkunjung, keselesaan sudah tentu dititik beratkan. Fasiliti ini menyediakan ruang parkir yang cukup di tingkat bawah dan ruang bawah tanah. Manakala kesemua tempat parkir yang dikhaskan untuk pelanggan lengkap dengan pengecas indidual untuk mengecaj model-model PHEV.

    Waktu operasi untuk bilik pameran Volvo Ara Damansara ini adalah bermula dari 8.30 pagi hingga 6 petang pada hari biasa, 9 pagi hingga 6 petang pada hari Sabtu dan 10 pagi hingga enam petang pada hari Ahad dan cuti am. Bagi pusat servis pula ia dibuka bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • Biodiesel B20 mampu tambah baik kualiti udara – Kok

    Biodiesel B20 mampu tambah baik kualiti udara – Kok

    Hari ini, Program Biodiesel B20 bakal dilancarkan oleh Kementerian Industri Utama dan agensinya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Menurut Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim, pelaksanaan program B20 yang mempunyai 20% biodiesel dan 80% diesel petroleum serta program B7 yang diteruskan dalam sektor industri, akan menggunakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 3.8 juta tan setara CO2 setahun.

    “Pelaksanaan program biodiesel B20 mampu menambah baik kualiti udara terutamanya di kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas seperti di Lembah Klang yang mempunyai kira-kira 7.2 juta penduduk.

    “Kajian saintifik telah membuktikan bahawa penggunaan biodiesel mampu mengurangkan pelepasan GHG. Biodiesel juga mengandungi nombor setana yang lebih tinggi. Ini dapat meningkatkan prestasi enjin dan menyumbang kepada pelepasan gas ekzos yang lebih bersih,” katanya kepada Bernama.

    Biodiesel B20 mampu tambah baik kualiti udara – Kok

    Jelasnya lagi, penggunaan biodiesel yang hampir mencecah sifar kandungan sulfur, mampu mengurangkan pelepasan gas sulfur dioksida ke atmosfera yang mengakibatkan kejadian hujan asid.

    “Kerajaan dengan kerjasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP akan membekalkan biodiesel B20 secara berperingkat kepada lebih 3,400 stesen minyak di seluruh negara. Syarikat-syarikat petroleum sedang giat menaik taraf depoh untuk membolehkan mereka menyimpan sehingga biodiesel B30.

    “Siapa tahu mungkin satu hari nanti kita boleh menaik taraf kepada B30, jadi kita mesti melakukannya sekarang. Memandangkan kita melaksanakannya secara berperingkat, kita akan mulakan dengan negeri yang tidak memerlukan banyak perubahan seperti Langkawi, diikuti Labuan, Sarawak, Sabah dan seterusnya di Semenanjung,” katanya.

    Pelaksanaan Program B20 ini juga adalah selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang hanya membenarkan kenderaan yang bersedia dengan B20 dan B30. Antara negara lain yang membenarkan penggunaan biodiesel dalam diesel adalah Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Colombia, Argentina, Brazil dan Indonesia.

     
     
  • Toyota Corolla Altis bakal jadi kereta peronda polis – GO Auto pamer unit prototaip kepada Tun Mahathir

    Toyota Corolla Altis bakal jadi kereta peronda polis – GO Auto pamer unit prototaip kepada Tun Mahathir

    Go Auto Sales Sdn Bhd telah mempamerkan seunit Toyota Corolla Altis yang bakal menjadi kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) baharu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam.

    Sebelum ini, Go Auto telah menerima surat niat dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membekalkan 425 unit MPV kepada PDRM bagi menggantikan Proton Wira dan Waja yang sudah berusia secara berperingkat. Setiap unit MPV akan dipakejkan bersama servis percuma selama lima tahun.

    Ia turut dilengkapkan dengan aksesori tambahan khas seperti Sistem Bunyi Lampu Bersepadu (Intergrated Light Sound System) dan Sistem Pengurusan Flit (Fleet Management System), termasuk dilengkapi alat komunikasi radio berfrekuensi tinggi.

    Toyota Corolla Altis bakal jadi kereta peronda polis – GO Auto pamer unit prototaip kepada Tun Mahathir

    Menurut Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin, “Persiapan unit prototaip MPV ini merupakan satu usaha Go Auto sebagai langkah awal untuk mendapat kelulusan segera dan seterusnya menyempurnakan penghantaran kesemua 425 unit MPV. Go Auto mensasarkan 100 unit pertama akan dapat digunakan oleh PDRM menjelang APEC 2020.

    “Syarikat menjangkakan 100 unit pertama akan dihantar kepada PDRM dalam jangka masa kurang dua bulan, manakala baki 325 unit akan menyusul dua bulan kemudian. Ketika ini pihak Go Auto sedang menunggu keputusan terakhir dari Kementerian Kewangan bagi pembekalan tersebut”.

    Tambahnya lagi, ini merupakan tender kedua diperoleh Go Auto yang sebelum ini sudah berjaya menghantar 200 unit kenderaan pacuan empat roda pada tahun lalu dan penghantaran dilakukan lebih awal dari jadual.

    “Go Auto terlibat secara aktif dalam tender terbuka kerajaan dan swasta ketika ini kerana ia merupakan sebahagian cabang perniagaan (business diversification) dan fokus utama kepada ‘Special Vehicle’. Saingan dalam industri automotif masa kini memerlukan Go Auto bergerak lebih agresif dan kreatif supaya kekal berdaya saing di pasaran,” katanya lagi.

     
     
  • Renault Captur ditawarkan secara langganan dalam pakej percubaan – RM57 sehari, tiada had perjalanan

    Renault Captur ditawarkan secara langganan dalam pakej percubaan – RM57 sehari, tiada had perjalanan

    Dalam usaha untuk mempromosikan pemilikan kenderaan melalui pelan langganan, TC Euro Cars telah memperkenalkan Renault Subscription Trial Package bagi mereka yang berminat untuk merasai pengalaman bersama Renault Captur dan kesenangan menggunakan model langganan.

    Pakej percubaan ini ditawarkan untuk tempoh tujuh hari, dan ia melibatkan kos cuma RM399 (bayaran pendahuluan satu kali), sekaligus menjadikan harganya untuk satu hari adalah RM57. Tiada had batuan ataupun deposit, anda cuma perlu bayar harga pakej dan boleh membawa keluar Captur tersebut. Sudah tentu, terdapat beberapa dokumen yang perlu diisi, termasuk salinan kad pengenalan, lesen memandu dan kad kredit.

    Setelah tempoh tujuh hari tersebut tamat, pelanggan yang mahu terus memandu Captur itu boleh memilih pakej Renault Subscription Fixed ataupun Switch Plans. Secara asasnya, Renault Subscription membenarkan anda “menyewa” kenderaan tersebut sepenuhnya, tanpa perlu memikirkan bayaran pendahuluan yang tinggi atau komitmen jangka masa panjang. Anda juga tidak perlu fikir tentang servis dan kejatuhan harga.

    Captur yang dilancarkan di Malaysia menggunakan enjin empat-silinder turbo 1.2 liter TCe 120, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 120 PS dan 205 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

    Renault Subscription Trial Package kini dalam fasa percubaan, dan kerana itu ia hanya boleh didapati di kawasan tengah Semenanjung Malaysia sahaja, dengan jumlah kenderaan yang terhad. Sekiranya berminat, sila lawat Renault E-Store atau hubungi 1800-18-8663.

     
     
  • Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

    Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

    Semalam tersebar gambar luaran Hyundai i20 generasi ketiga yang akan membuat kemunculan sulungnya di Geneva Motor Show bulan hadapan, namun tidak lama selepas itu, Hyundai sendiri telah mendedahkan gambar rasmi beserta berberapa spesifikasi yang telah disahkan, termasuk pilihan enjin yang akan ditawarkan untuk model ini.

    Seperti yang anda boleh lihat, i20 generasi baharu ini nampak lebih garang dari sebelum ini, dan menurut Hyundai ia direka dengan elemen baharu mereka yang digelar “Sensuous Sportiness”. Bayangan sisi badan kereta ini jelas nampak lebih sporty dengan bumbung landai kebelakang bersama garis bahu yang menyerlah dari fender hadapan hingga bawah tiang-C di belakang.

    Ini dihasilkan bukan sekadar bermain dengan garisan semata-mata, dimensi i20 ini sememangnya berbeza dengan versi sebelumnya dengan bumbung yang 24 mm lebih rendah, dan juga badan 30 mm lebar serta lima mm lebih panjang.

    Muka hatchback ini nampak lebih garang dengan hidung yang direka rendah, dan diberikan gril Cascading baharu, diapit rapat oleh lampu utama yang tajam bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah di dalamnya. Kemasan lampu kabus juga direka bersegi seakan untuk mengaut aliran udara dari hadapan.

    Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

    i20 ini turut menampilkan rekaan bumbung yang seakan terapung yang diberikan warna hitam, tetapi apa yang menarik bahagian bumbung dan badan dibahagikan menerusi jalur kemasan krom yang diberikan sepanjang bahagian bawah cermin tingkap dan naik keatas pada cermin quarter belakang.

    Turut boleh dilihat, penutup pengisi bahan api model ini diletakkan di bawah sisi lampu belakang, seakan rekaan pada Ford Focus. Walaupun roda model produksi ini tidak sebesar yang ditunjuk pada imej lakaran sebelum ini, set rim yang diberikan ini sebenarnya agak besar untuk sebuah hatchback segmen-B, iaitu berdiameter 17-inci.

    Bahagian belakang hatchback ini turut menerima rekaan selari dengan mukanya. Lampu belakang direka agresif dengan bentuk bersegi, dan ia kelihatan bersambung dengan kemasan sekeliling cermin belakang, yang direka seakan spoiler serta mempunyai elemen seperti sirip pada sebelah sisi.

    Walau bagaimanapun, sekali lagi set gambar ini tidak disertakan sekali dengan imej pada bahagian kabin. Menurut Hyundai dalam pengumuman sebelumnya, papan pemuka hatchback tersebut akan menampilkan bilah melintang yang “mewakili lebar muka hadapan dan liang udara tersorok rapi,” bersama pelbagai teknologi terkini termasuk dua skrin bersaiz 10.25-inci.

    Hyundai turut mendedahkan berberapa perincian dalam kereta ini antaranya akan dilengkapi lampu suasana LED, pilihan warna kabin kelabu dan kuning-hijau, ruang lutut penumpang belakang lebih luas, dan kapasiti but belakang yang meningkat 25 liter kepada 351 liter, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta sistem audio Bose dengan lapan-pembesar suara.

    Servis terhubung Hyundai Bluelink turut akan dibekalkan kepada hatchback kompak ini. Sistem tersebut akan memaparkan informasi trafik masa-sebenar, harga bahan api, cuaca dan juga informasi tempat parkir. Sistem ini beroperasi dengan arahan suara berasaskan cloud, dan mampu memantau kereta menerusi aplikasi BlueLink pada telefon pintar.

    Untuk keselamatan pula, ia dilengkapi dengan cruise control adaptif yang mampu dihubungkan kepada sistem navigasi, pengenal tanda trafik, bantuan kekal ditengah laluan, pemantau titik buta dengan engine braking dan brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, amaran pergerakan ke hadapan, amaran lintasan trafik belakang, bantuan parkir, serta penderia parkir dengan fungsi brek automatik.

    Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

    Untuk menggerakkan kereta ini, Hyundai telah menyediakan pelbagai pilihan janakuasa. Untuk model paling rendah, ia akan dijana oleh enjin 1.2 liter empat silinder NA berkuasa 84 PS, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Untuk model lebih tinggi, i20 kini ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo yang didatangkan dengan dua jenis talaan iaitu 100 PS dan 120 PS. Enjin dalam kedua-dua talaan ini juga boleh dipadankan sistem hibrid ringkas 48-volt yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi CO2 sekitar 3-4%.

    Untuk enjin turbo tanpa sistem hibrid, enjin ini digandingkan sama ada dengan kotak gear DCT automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Manakala versi dengan sistem hibrid pula turut akan dipadankan dengan kotak gear 7DCT yang sama, tetapi untuk manual ia akan menerima transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) baharu bersama mod coasting bagi menjimatkan lagi bahan api.

     
     
  • MINI Cooper SE kini di Thailand, EV berharga RM304k

    MINI Cooper SE kini di Thailand, EV berharga RM304k

    MINI Cooper SE telah pun dilancarkan di Thailand dan merupakan kereta elektrik (EV) sepenuhnya yang pertama dari jenama berkenaan yang memasuki negara itu dan dijual pada harga 2.29 juta baht (RM304,422). Murah sedikit berbanding BMW i3s yang turut dijual di sana dan berharga 3.7 juta baht (RM491,976).

    Diperkenalkan pada Julai 2019, MINI Cooper SE dipadankan dengan motor elektrik yang digunakan
    sama seperti BMW i3s dan mampu menghasilkan kuasa 181 hp (135 kW) dan tork maksimum 270 Nm. Walau bagaimanapun, MINI Cooper SE ini menggunakan pacuan roda hadapan dan bukannya roda belakang seperti i3s. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia boleh dicapai dalam masa 7.3 saat, dan kelajuan maksimum pula mencecah 150 km/j.

    Motor elektrik yang digunakan mendapat kuasa daripada bateri voltan tinggi yang diperbuat daripada lithium ion dan dibahagikan kepada 12 modul. Ia diletakkan pada lantai kenderaan dalam bentuk T dan mempunyai kapasiti 32.6 kWh (i3 menggunakan bateri 33.2 kWh).

    MINI Cooper SE kini di Thailand, EV berharga RM304k

    Sama seperti i3s, Cooper SE ini datang bersama pengecas AC 11 kW dengan penyambung Type 2, yang membenarkan pilihan beberapa tempat mengecas termasuk soket dan kabel single phase biasa di rumah. Selain daripada itu, pemilik juga boleh menggunakan MINI Electric Wallbox di rumah yang mempunyai kapasiti 22 kW atau kabel three phase untuk disambungkan kepada stesen pengecasan pantas awam.

    Apabila menggunakan dua sistem pengecasan ini (Wallbox dan stesen awam), bateri Cooper SE boleh sampai ke tahap 80% dalam masa dua jam setengah dan 100% dalam masa tiga jam setengah. Apabila sudah penuh, ia boleh bergerak antara 235 hingga 270 km berdasarkan ujian kitaran WLTP. Jika mahukan pengecasan yang lebih pantas, pemilik perlu menggunakan sistem DC dengan sambungan CCS Combo 2, di mana dengan kapasiti pengecasan 50 kW, tahap 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit sahaja.

    Untuk imejnya pula, Cooper SE mempunyai bentuk yang sama dengan Cooper 3 Door biasa, tetapi beberapa bahagian dijadikan unik. Ini termasuk gril hadapan dengan bukaan udara lebih kecil dan diserikan dengan jalur kuning serta logo MINI Electric, dan kemasan kuning pada beberapa bahagian lain termasuk cermin sisi dan tempat mengecas.

    Bahagian dalam juga mempunyai bentuk yang sama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil termasuk panel instrumen digital 5.5 inci di belakang roda stereng yang boleh memaparkan pelbagai informasi seperti tahap bateri, mod pemanduan, infotainmen, jarak pacuan dan lain-lain. Paparan panel ini juga boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Selain itu, kemasan kuning turut digunakan termasuk pada stereng, tombol gear, butang pemula enjin dan kawalan sistem infotainmen. Apabila memilih pakej Interior Style MINI Electric, ia akan dilengkapi pula dengan jahitan benang kuning serta alas kaki yang mempunyai logo MINI Electric.

    BMW Malaysia juga merancang untuk membawa masuk model ini ke pasaran tempatan tahun ini. Jika BMW i3s dijual pada harga RM278,800 di sini, agak-agak berapa pula tanda harga yang bakal diletakkan untuk MINI Cooper SE versi EV ini pula ya?

     
     
  • BMW M340d Sedan, Touring diperkenal – enjin enam silinder sebaris hibrid, kuasa 340 hp dan tork 700 Nm

    BMW M340d Sedan, Touring diperkenal – enjin enam silinder sebaris hibrid, kuasa 340 hp dan tork 700 Nm

    BMW buat pertama kalinya memperkenalkan model M Performance 3 Series yang dikuasakan oleh enjin diesel, dalam dua versi iaitu M340d xDrive Sedan dan M340d xDrive Touring. Ia akan mula dijual di Eropah pada bulan April 2020.

    Di bawah bonet model ini terdapat enjin diesel enam silinder sebaris 3.0 liter, mampu menghasilkan kuasa 340 hp pada 4,400 rpm dan 700 Nm tork pada 1,750 rpm. Enjin ini mempunyai crankcase dan head yang dibuat daripada aluminium, sementara bahagian dalam silinder pula mempunyai salutan khas untuk mengurangkan geseran.

    Demi mendapatkan maklum balas throttle yang lebih pantas, turbo pada enjin ini menggunakan turbin dengan geometri boleh ubah serta sistem suntikan terus commonrail dengan injector piezo yang boleh beroperasi sehingga 2,700 bar. Salur kemasukan udara turut dinaik taraf.

    BMW M340d Sedan, Touring diperkenal – enjin enam silinder sebaris hibrid, kuasa 340 hp dan tork 700 Nm

    Transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan diberikan secara standard untuk menghantar kuasa kepada semua roda melalui sistem pacuan pintar xDrive dan membolehkan versi sedan memecut 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat manakala versi Touring 4.8 saat. Untuk permulaan yang lebih cepat, pemilik boleh menggunakan fungsi Launch Control.

    Enjin ini juga dipadankan dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, yang membantu mengurangkan penggunaan bahan api serta emisi dan starter generator untuk memberikan kesan boost elektrik sebanyak 11 hp. Sistem ini juga boleh menjana semula kuasa apabila membrek dan menyimpannya dalam bateri 48 volt. Dalam mod Eco Pro dan Comfort, fungsi Coasting diaktifkan secara automatik.

    Kedua-dua 3 Series M Performance ini dipasang dengan sistem suntikan AdBlue, membantu ia melepasi tahap Euro 6d. Penggunaan bahan api model sedan berada antara 5.7 hingga 5.3 l/100 km manakala model Touring 5.8 hingga 5.4 l/100 km. Emisi CO2 pula masing-masing 149 – 139 g/km dan 153 – 143 g/km.

    BMW M340d Sedan, Touring diperkenal – enjin enam silinder sebaris hibrid, kuasa 340 hp dan tork 700 Nm

    Pada bahagian suspensi, M340d datang terus dengan unit M Sport, manakala melalui pakej khas M Sport pula, kedudukannya dapat direndahkan 10 mm lagi. Penyerap pada kenderaan ini ditala khas untuk menjadi lebih progresif, dengan kurang gegaran waktu mengambil selekoh secara dinamik dan jalan tidak rata. Suspensi M Adaptive dengan penyerap kawalan elektronik ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Kelengkapan standard lain adalah termasuk differential M Sport, sistem ekzos M Sport dan brek M Sport dengan angkup berwarna biru – cakera 348 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 345 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Sudah tentu, pada bahagian luar, M340d didatangkan dengan kemasan khas BMW M, dengan rim M yang bersaiz 18 inci, bersama tayar 225/45 di hadapan dan 255/40 di belakang. Unit 19 inci disediakan sebagai pilihan tambahan. Model sedan mendapat barangan M seperti spoiler, gril, muncung ekzos, cermin sisi warna kelabu, kemasan pada bukaan udara serta lencana M340d.

    BMW M340d Sedan, Touring diperkenal – enjin enam silinder sebaris hibrid, kuasa 340 hp dan tork 700 Nm

    Masuk ke bahagian dalam, tempat duduk dibalut dengan kombinasi khas M yang terdiri daripada Sensatec dan Alcantara, dengan jahitan biru. Di hadapan pemandu, terdapat stereng M pelbagai fungsi yang dibalut kulit, dengan pedal penukar, pedal M dan alas kaki M.

    Kelengkapan lain pada M340d adalah termasuk pengawal suhu tiga zon automatik, lampu suasana, cermin pandang belakang malap sendiri, BMW Live Cockpit Plus dengan fungsi navigasi, Park Distance Control dengan skrin 8.8 inci, pengesan jarak depan dan belakang, BMW Connected Package Plus termasuk informasi trafik semasa, Concierge Services dan Apple CarPlay.

     
     
  • Jenama bahan api baru Five akan mula operasi di sini

    Jenama bahan api baru Five akan mula operasi di sini

    Sebuah jenama bahan api baru dilaporkan sedang bersiap sedia untuk memasuki pasaran tempatan. Jenama yang dimaksudkan, Five, yang menjadi sebahagian daripada Kumpulan Syarikat Seng yang merupakan sebuah syarikat tempatan akan diperkenalkan di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh China Press.

    Jenama petroleum terbaru itu dijangka akan memulakan operasi di seluruh negara pada Mac tahun ini, dan akan menjadi sebuah jenama baru di bawah sebuah kumpulan syarikat sedia ada. Five dilaporkan akan dipasarkan oleh rangkaian pengedar sama yang menjual BHPetrol, yang mana stesen-stesen minyaknya turut dikendalikan oleh pengedar yang berada di bawah Kumpulan Syarikat Seng, ujar CEO dan Pengarah Urusan Seng Group, Datuk Seri King Lim Chin Fui.

    Apa yang akan berlaku kepada jenama BHPetrol, yang dimiliki oleh Boustead Petroleum? Lim bagaimanapun enggan mengulas berkaitan perkara itu, namun menyatakan bahawa kerjasama di peringkat pengedar akan diteruskan. Adakah jenama ini akan mengambil alih stesen-stesen sedia ada BHPetrol atau akan mempunyai rangkaian lain di bawah pihak pengurusan yang sama? Itu kita lihat nanti, sebaik sahaja Five membuat kemunculan rasmi di sini.

     
     
  • Mercedes-AMG GLE63 Coupe C167 – guna enjin V8 4.0L biturbo dengan EQ Boost, kuasa 612 PS, 850 Nm

    Mercedes-AMG GLE63 Coupe C167 – guna enjin V8 4.0L biturbo dengan EQ Boost, kuasa 612 PS, 850 Nm

    Versi paling hardcore bagi Mercedes-Benz GLE Coupe C167 akhirnya sudah pun didedah. Inilah dia Mercedes-AMG GLE 63 Coupe 4Matic+, yang ditawarkan dalam versi GLE 63 dan GLE 63 S. Sama seperti AMG GLE Coupe 53 4Matic, model ini juga mendapat sistem hibrid ringkas EQ Boost.

    Di bawah bonetnya terletak enjin petrol V8 biturbo 4.0 liter M178, yang mampu menghasilkan kuasa 571 hp pada 5,750 rpm hingga 6,500 rpm, dan 750 Nm tork pada 2,250 hingga 5,000 rpm. Hasilnya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.0 saat.

    Enjin yang sama juga digunakan pada GLE 63 S 4Matic+, tetapi ditala untuk menghasilkan 612 hp pada 5,750 hingga 6,500 rpm dan 850 Nm tork pada 2,500 hingga 4,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan oleh model ini dalam masa 3.8 saat, sebelum mencapai laju maksimum 280 km/j (model bukan S 250 km/j).

    Mercedes-AMG GLE63 Coupe C167 – guna enjin V8 4.0L biturbo dengan EQ Boost, kuasa 612 PS, 850 Nm

    Kedua-dua enjin dilengkapi dengan starter-alternator EQ Boost, yang memberikan tambahan 22 hp dan 250 Nm tork. Selain maklum balas yang lebih pantas, sistem ini juga membantu pembekalan sistem elektrik 48 volt untuk fungsi seperti boost, penjanaan semula kuasa dan start/stop enjin. Enjin V8 ini juga mempunyai teknologi nyah aktif silinder di mana dalam mod Comfort, ia berfungsi pada rpm antara 1,000 hingga 3,250.

    Transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan dengan double-declutching didatangkan secara standard, menghantar kuasa kepada semua roda melalui sistem pacuan AMG Performance boleh ubah. Pembahagian tork dikira sepanjang masa dan ia berfungsi bersama dengan Electronic Stability Program tiga tahap, sistem kawalan pemanduan dinamik 4ETS serta differential kawalan elektronik.

    Brek prestasi tinggi AMG juga datang secara standard, dengan bahagian hadapan mempunyai cakera berukuran 400 x 38 mm serta angkup enam piston manakala di belakang terdapat cakera 370 x 32 mm dan angkup satu piston. varian asas menggunakan angkup berwarna kelabu manakala varian S dicat dengan warna merah. Untuk naik taraf, brek seramik yang lebih ringan disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut diberi adalah suspensi AMG Ride Control+ dengan Adaptive Damping System+, stereng sports AMG sensitif kepada kelajuan dan AMG Active Ride Control.

    Mercedes-AMG GLE63 Coupe C167 – guna enjin V8 4.0L biturbo dengan EQ Boost, kuasa 612 PS, 850 Nm

    Pada aspek rekaan, varian atas GLE Coupe mendapat gril AMG Panamericana yang berwarna krom, kemasan bawah bampar berwarna hitam dengan bukaan udara, lekuk pada bonet dan splitter krom. Rim standard bersaiz 21 inci manakala unit 22 inci disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Di belakang, model ini juga mendapat diffuser dengan jalur krom nipis, serta sistem ekzos AMG dengan muncung yang disalut krom. Pemilik juga boleh mendapatkan AMG Night Package yang menukarkan semua kemasan krom kepada warna hitam.

    Pada bahagian dalam, terdapat tempat duduk sports AMG dibalut kulit Nappa serta beberapa lagi barangan AMG lain seperti stereng dengan pedal penukar gear, suis di konsol tengah, pedal sport stainless steel dan tali pinggang warna kelabu. Sistem MBUX pada model ini mendapat grafik AMG, termasuk mod Supersport dan boleh memaparkan pelbagai informasi berkenaan pemanduan dan kenderaan.

     
     
  • PLUS tutup lorong kanan di KM3.70-KM5.45 Lebuhraya Elite hingga Q3 2020 untuk bina tembok penghadang

    PLUS tutup lorong kanan di KM3.70-KM5.45 Lebuhraya Elite hingga Q3 2020 untuk bina tembok penghadang

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan lorong kanan di antara KM3.70 hingga KM5.45 (Arah Utara) di antara Persimpangan Persimpangan Bertingkat Seafield dan Ebor di Lebuhraya ELITE, bagi membolehkan kerja-kerja persediaan serta pembinaan tembok penghadang konkrit yang dijangka tamat pada suku ketiga tahun ini.

    Pemasangan tembok penghadang konkrit terbabit adalah bagi menggantikan rel pengadang yang sedia ada merupakan salah satu daripada inisiatif PLUS untuk meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit. Tembok penghadang konkrit berupaya untuk mengurangkan kemungkinan kenderaan berat yang terbabas daripada memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan yang lain.

    Justeru, PLUS menasihatkan semua pelanggan lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan, mematuhi had laju di kawasan kerja serta mematuhi semua papan tanda dan arahan yang disediakan oleh pihak PLUS.

     
     
  • Shell lupus caj 50 sen untuk tambah nilai TNG di semua stesennya di Lebuhraya NKVE, ELITE dan LPT

    Shell lupus caj 50 sen untuk tambah nilai TNG di semua stesennya di Lebuhraya NKVE, ELITE dan LPT

    Pada bulan lalu, Shell telah mengumumkan tiada caj ekstra sebanyak 50 sen dikenakan untuk setiap tambah nilai kad Touch ‘n Go (TnG) di 27 buah stesen minyaknya di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan bermula 16 Januari 2020. Hari ini, Shell telah mengambil langkah yang sama untuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

    Ini memberikan peluang kepada para pengguna lebuhraya berkenaan untuk menambah nilai kad TNG masing-masing di stesen Shell yang berada di sepanjang lebuhraya tersebut tanpa dikenakan caj tambahan sebanyak 50 sen.

    Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, “Shell memahami cabaran yang terpaksa rakyat Malaysia hadapi ekoran kenaikan kos sara hidup. Justeru, dengan pelupusan caj RM0.50 bagi setiap tambah nilai kad TNG di stesen kami di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE dan LPT ini dapat membantu rakyat Malaysia dalam penjimatan.”

    Selain daripada insiatif Shell, pengguna juga boleh menikmati kadar yuran-sifar bagi tambah nilai TnG daripada beberapa pengendali di banyak lokasi terpilih di seluruh negara, yang boleh diakses menerusi aplikasi navigasi Waze.

     
     
  • Honda Jazz, City dan CR-V berjaya duduki tangga teratas dalam Kajian Kualiti Awal J.D. Power 2019

    Honda Jazz, City dan CR-V berjaya duduki tangga teratas dalam Kajian Kualiti Awal J.D. Power 2019

    Honda Malaysia telah mencatatkan satu lagi kejayaan susulan tiga modelnya iaitu Jazz, City dan CR-V berjaya menduduki tangga ke atas dalam Kajian Kualiti Awal J.D. Power 2019 bagi segmen masing-masing untuk kualiti kenderaan baharu.

    Dua model terlaris dalam jualan segmennya, Jazz dan City, mendahului segmen kompak bandar dan sedan saiz sederhana, masing-masing menerima markah 68 bagi setiap 100 kenderaan (PP100) dan 59 PP100. Manakala pendahului segmen SUV bukan-national pula, CR-V, mengungguli segmen berkenaan selama dua tahun berturut-turut dan kali ini mendapat markah sebanyak 64 PP100.

    Keputusan itu diperoleh menerusi kajian dari aspek bahagian luaran, enjin, transmisi, ketersambungan hiburan dan banyak lagi. Keputusan dengan markah yang rendah menunjukkan prestasi kualiti yang lebih baik. Kajian ini dinilai berdasarkan maklumbalas daripada jumlah masalah yang dihadapi olkeh setiap 100 unit kenderaan.

    CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Kami konsisten dalam memperkenalkan Next Generation Advanced Technology sebagaui sebahagian daripada komitmen kami dalam menawarkan produk berkualiti tinggi. Kami turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana terus memberikan sokongan dan mempercayai jenama Honda.

    “Malahan kilang Honda di Pegoh, Melaka akan terus memfokuskan pengeluaran kenderaan yang memiliki kualiti, keselamatan mesra alam dengan tahap yang terbaik, serta menggunakan teknologi pembuatan yang terkini dan termaju.”

    Model terlaris Honda Malaysia, City, telah menyumbang sebanyak 36% dalam keseluruhan jualan syarikat ini pada tahun 2019. Manakala Jazz pula mengekalkan popularitinya sebagai model hatchback terlaris dengan menyumbangkan sebanyak 13% dan CR-V pula menyumbang 14% dalam keseluruhan jualan Honda Malaysia.

     
     
  • Kia Sorento 2021 – perincian enjin dan ciri lain didedah

    Kia Sorento 2021 – perincian enjin dan ciri lain didedah

    Hanya beberapa hari sebelum Sorento baru didedahkan kepada dunia, Kia telah menyiarkan beberapa informasi berkenaan SUV generasi keempat tersebut. Ia kini menggunakan platform baru, rekaan yang lebih bergaya serta pengendalian yang dipertingkat.

    Melihat kepada dimensinya, Sorento baru adalah 10 mm lebih panjang, manakala jarak rodanya pula bertambah 35 mm menjadi 2,815 mm. A-pillar juga direka 30 mm lebih ke belakang. Selain itu, Kia juga mendakwa Sorento baru ini memberikan lebih ruang dalam berbanding SUV saiz sederhana lain, dan mempunyai ruang but yang terbaik dalam kelasnya. Selain tetapan tujuh tempat duduk, ia juga ditawarkan dengan tetapan enam tempat duduk.

    Walaupun kini mencatat berat kurang 80 kg berbanding sebelumnya, bahagian keselamatan dapat dipertingkat dengan rekaan badan baru serta struktur sokongan lain. Selain lapan beg udara, SUV ini turut didatangkan dengan sistem brek yang akan diaktifkan secara automatik apabila beg udara keluar, untuk mengelakkan perlanggaran berantai.

    Kia Sorento 2021 – perincian enjin dan ciri lain didedah

    Satu lagi sistem unik yang diberikan pada Sorento baru ini adalah Surround View Monitor, di mana pemilik boleh melihat keadaan sekeliling kenderaan melalui telefon pintar, seperti yang digunakan oleh BMW. Walaubagaimanapun, semua ciri ini adalah bergantung kepada varian dan pasaran.

    Begitu juga dengan barisan Smartstream yang akan digunakan. Pasaran Korea dan Eropah akan mendapat enjin 2.2 liter diesel turbo yang mampu menghasilkan kuasa 202 PS dan 440 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar basah lapan kelajuan baru yang dikatakan mempunyai kadar tork 58% lebih tinggi berbanding transmisi tujuh kelajuan sebelum ini, hasil daripada sistem penyejukan yang lebih baik.

    Secara keseluruhannya, Kia mendakwa Sorento baru untuk pasaran Korea mencatat penggunaan bahan api 14.3 km/l. Untuk pasaran Amerika pula, ia akan ditawarkan dengan enjin petrol turbo 2.5 liter T-GDi, yang dipadankan bersama transmisi DCT yang sama, menghasilkan kuasa 281 PS dan 421 Nm tork.

    Kia Sorento 2021 – perincian enjin dan ciri lain didedah

    Selain dua enjin ini, Kia telah mengesahkan ia juga akan ditawarkan dengan penggerak hibrid, yang menggabungkan enjin 1.6 liter T-GDi 180 PS/265 Nm dengan motor elektrik 44.2 kW (60 PS) dan bateri lithium ion berkapasiti 1.49 kWh yang terletak di bawah lantai – tidak mengganggu ruang dalam kenderaan. Kuasa keseluruhannya adalah 230 PS dan 350 Nm, dengan penggunaan bahan api 15.3 km/l.

    Perincian lanjut berkenaan SUV baru Kia ini akan didedahkan apabila ia membuat penampilan di Geneva Motor Show bulan hadapan, termasuklah pilihan enjin petrol dan plug-in hybrid lain.

     
     
  • Dua tayar baru – nak letak depan ke belakang?

    Dua tayar baru – nak letak depan ke belakang?

    Tayar merupakan komponen yang paling kritikal pada kenderaan, kerana ia adalah perantara terus antara kereta anda dengan permukaan jalan. Jika sesuatu terjadi pada tayar, seperti pecah atau tidak lagi memberi cengkaman, ia hampir pasti akan melibatkan anda dalam kemalangan.

    Selain itu, tayar juga antara komponen wear and tear yang perlu anda tukar bila tiba masanya dengan harga yang agak mahal. Untuk tayar saiz biasa yang digunakan oleh Perodua Myvi iaitu 175/65R14, biasanya dijual pada harga sekitar RM120 sebiji, menjadikan keseluruhan RM480 untuk kesemua empat biji dan kadang-kadang lebih kerana bengkel turut mengenakan cas pemasangan.

    Jadi untuk menukar kesemua tayar pada satu masa mungkin akan membebankan untuk sesetengah orang. Oleh itu, ada yang mengambil keputusan untuk menukar dua biji tayar baharu terlebih dahulu sebelum cukup duit untuk menukar dua tayar selebihnya – nak buat macam mana, duit bukan senang nak cari kan?

    Kebiasaannya, ramai yang cenderung untuk meletakkan dua tayar baharu ini pada bahagian depan. Tetapi terdapat juga video yang menyiarkan bahawa bahaya untuk meletakkan tayar lama di belakang kerana boleh menyebabkan kemalangan dalam keadaan jalan basah.

    Dua tayar baru – nak letak depan ke belakang?

    Oleh itu, yang mana betul sebenarnya? Dua tayar baru ni nak letak di depan ke atau nak letak di belakang? Jawapan kami, sama ada anda letak di depan atau belakang, kedua-duanya akan menyebakan kemalangan jika anda memandu laju ketika hujan atau di atas permukaan jalan basah.

    Jika anda letak dua tayar yang hampir botak atau sudah botak di hadapan, akan berlaku understeer ketika selekoh basah – pusing la stereng ke kiri atau ke kanan, kereta akan terus menuju ke hadapan. Dan sekiranya tayar yang hampir tidak boleh digunakan lagi tersebut diletakkan di belakang, risiko untuk berlakunya oversteer atau ‘buang belakang’/berpusing 180 darjah agak tinggi.

    Malah tidak kira anda letak tayar tersebut di hadapan atau belakang, risiko untuk berlaku hydroplaning adalah sama. Apa itu hydroplaning? Ia adalah masalah di mana tayar kereta kita terapung dan tidak menyentuh permukaan jalan apabila anda melanggar lopak air – sama ada lopak tersebut terlalu dalam atau kita melanggarnya dengan kelajuan yang terlalu tinggi, dan ia boleh terjadi dalam kelajuan rendah sekalipun jika tayar anda sudah botak.

    Apa yang saya nak beritahu di sini adalah, anda kena faham dan sentiasa beringat dengan keadaan kereta anda. Sekiranya anda menggunakan dua tayar yang hampir botak, elakkan untuk memandu kereta tersebut ketika cuaca basah. Tetapi kalau perlu juga untuk bergerak, jangan pandu dengan kelajuan tinggi dan fokus ketika memandu perlu digandakan.

    Dua tayar baru – nak letak depan ke belakang?

    Persoalan yang belum dijawab – jadi nak letak tayar baru ni di depan atau belakang? Sebenarnya ada pro dan kontra untuk anda letak tayar baru tersebut di depan. Buat masa sekarang, hampir semua kereta penumpang biasa adalah pacuan hadapan – konfigurasi ini akan mempercepatkan kehausan tayar hadapan kereta anda bukan hanya kerana ia menerima kuasa putaran dari enjin, malah turut menanggung beban berat yang lebih dari tayar belakang kerana enjin, kotak gear dan pelbagai lagi terletak di hadapan.

    Sekiranya anda letakkan tayar yang hampir botak di hadapan, dikhuatiri tak sempat duit anda cukup untuk beli dua lagi tayar baru, tayar berkenaan terlebih dahulu botak terus dan keluar benang – ini lagi bahaya sebab bukan sahaja tidak mempunyai daya cengkaman yang cukup, malah mungkin boleh pecah pada bila-bila masa.

    Namun jika kita letak tayar yang lebih haus di hadapan, kelebihannya kita akan jadi lebih sensitif pada jalan basah kerana pemandu boleh merasanya pada roda stereng. Tetapi tetap bahaya kerana walaupun anda lebih mudah merasa keadaan jalan, bukan mudah untuk mengawal tayar yang tidak mempunyai cengkaman.

    Jadi ingat, sama ada anda letak tayar baru di hadapan atau belakang, yang penting beringat anda sedang memandu dengan dua tayar yang hampir tidak boleh lagi digunakan. Dan kalau boleh, cepat-cepat la tukar semua tayar yang dah nak botak tu ya!

     
     
  • GALERI: KTM dedah penampilan jentera MotoGP 2020

    Dengan musim 2020 yang hampir bermula, KTM menjadi pengeluar seterusnya yang menunjukkan livery jentera kedua-dua pasukan factory dan juga satellite mereka. Untuk pasukan factory, penampilannya masih sama, tetapi pasukan satellite pula menyaksikan sedikit perubahan.

    Khidmat Pol Espargaro terus digunakan dalam pasukan factory KTM, di mana ini adalah musim keempat beliau mengendalikan RC16, manakala satu lagi pelumba adalah Brad Binder yang baru saja masuk pertama kali dalam kategori MotoGP tahun ini sebagai rookie.

    Keadaan dalam pasukan satellite juga hampir serupa di mana Miguel Oliveira terus bersama KTM, memasuki musim kedua, dan beliau disertai oleh seorang lagi rookie, Iker Lecuona. Bagi musim 2020 ini, ia adalah musim kedua di mana KTM mempunyai empat jentera RC16 di petak permulaan MotoGP.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026