Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Alfa Romeo tayang teaser model baharu untuk Geneva

    Geneva Motor Show 2020 bakal menyemarakkan lagi industri automotif global, dengan itu, Alfa Romeo turut mengambil kesempatan untuk mempamerkan model baharunya dalam acara berprestij itu. Demi menambahkan debaran sebelum tirai Geneva bermula, pengeluar kereta Itali itu telah pun menayangkan teaser untuk model misterinya buat pertama kali menerusi laman Facebook rasmi mereka.

    Walau bagaimana pun, tiada perincian lanjut diberikan. Namun begitu, ada beberapa laporan mengatakan model ini lebih ‘panas’ berbanding Giulia Quadrifoglio. Termasuk memiliki hamburan kuasa 620 hp dan akan menjadi model yang lebih ringan hasil inisiatif pengurangan beratnya.

    Mungkinkah ia juga menggunakan plat nama GTA, atau juga dikenali sebagai Gran Turismo Alleggerita (alleggerita bermakna ringan dalam bahasa Itali), pertama kali dilihat pada tahun 1965 menerusi model Giulia Sprint GTA yang hanya dikeluarkan dengan unit terhad sebanyak 500 unit sahaja untuk tujuan perlumbaan dan homogalasi.

    Kemungkinan yang lain ialah pengenalan bagi model kereta sport baharu GTV dan 8C yang tersenarai dalam rancangan syarikat terbabit pada tahun 2018. Walau bagaimana pun, penggabungan antara Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan PSA Group membuatkan rancangan terbabit terpaksa ditangguhkan selama-lamanya. Buat masa ini, teka-teki untuk model misteri yang bakal muncul di Geneva masih belum ada jawapanya. Kena tunggu ia diperkenalkan bulan hadapanlah jawabnya.

     
     
  • Czinger 21C – hypercar hibrid 1,250 hp, berat 1250 kg

    Czinger 21C – hypercar hibrid 1,250 hp, berat 1250 kg

    Hypercar Czinger 21C akhirnya didedahkan lebih awal sebelum ia membuat penampilan di Geneva Motor Show. Bersama dengan beberapa gambar ini, Czinger turut mendedahkan beberapa perincian dan menyatakan hanya 80 unit kereta ini akan dikeluarkan. Pelanggan boleh memilih versi untuk kegunaan atas jalan biasa ataupun versi litar sahaja yang lebih ganas – kedua-duanya akan dibawa ke Geneva.

    Czinger 21C direka, dibuat dan dikilangkan di Los Angeles, iaitu ibu pejabat syarikat ini, dan ia dikuasakan oleh enjin V8 2.88 liter twin turbo yang terletak di tengah kenderaan. Casis pula adalah rekaan sendiri, dengan dibuat daripada aloi prestasi tinggi dan gabungan bahan gentian karbon.

    Ia sebenarnya adalah sebuah hypercar hibrid, di mana enjin pembakaran dalaman tadi dibantu dengan dua motor elektrik untuk memacu roda hadapan. Secara keseluruhan, kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 1,250 hp pada 10,500 rpm, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 1.9 saat dan 0-300 km/j dalam masa 15 saat.

    Czinger 21C – hypercar hibrid 1,250 hp, berat 1250 kg

    Berat 21C cuma 1,250 kg (berat kering 1,183 kg), sekaligus menjadikan nisbah kuasa kepada beratnya 1:1. Sebagai sebuah hypercar elektrik, motor elektrik di hadapan turut digabungkan dengan unit starter generator yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-titanate apabila diperlukan.

    Transmisi transaxle tujuh kelajuan sequential dengan plet klac hidraulik diberikan standard pada kereta ini, dan ia direka dan dibangunkan sendiri oleh Czinger. Untuk aspek rekaan, walaupun mengutamakan kecekapan aerodinamik, Czinger memberitahu ia mendapat inspirasi daripada ‘seni dengan fungsi’ dan tidak terlalu agresif. Sayap belakang yang besar itu boleh menjana 250 kg daya tolakan ke bawah pada kelajuan 250 km/j.

     
     
  • Malaysia Speed Festival (MSF) Superbikes 2020 bakal libatkan kategori Desmo Cup untuk jentera Ducati

    Malaysia Speed Festival (MSF) Superbikes 2020 bakal libatkan kategori Desmo Cup untuk jentera Ducati

    Tahun ini siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) Superbikes di Litar Sepang akan melibatkan satu saingan baru hasil kerjasama dengan kelab Ducati tempatan, Desmo Owners Club Malaysia (DOCM), iaitu Desmo Cup. Ia akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Superbike, Supersports dan Super Naked.

    Dalam kategori Superbike Desmo Cup ini, ia akan melibatkan peserta yang menggunakan jentera seperti Panigale 1199, 1299 dan juga V4 (kedua-dua V4/V4S yang menggunakan enjin 1,103 cc dan V4 R yang menggunakan enjin 998 cc). Kategori Supersports pula melibatkan saingan jentera seperti 848, 899 dan 959.

    Kategori ketiga dalam Desmo Cup ini, iaitu Super Naked pula melibatkan penyertaan jentera seperti Monster (696, 795, 796, 797, 821, 1100 dan 1200), Streetfighter 848 dan 1098, Hypermotard dan Hyperstrada (796, 821, 939, 950 dan 1100), serta Multistrada (1200 dan 1260).

    Malaysia Speed Festival (MSF) Superbikes 2020 bakal libatkan kategori Desmo Cup untuk jentera Ducati

    Penganjur juga tidak meletakkan had kepada tahun keluaran motosikal, yang bermakna, jika anda mempunyai model 916 atau 748 yang masih larat untuk bersaing di litar, anda sentiasa dialu-alukan. Bagi pelumba itu sendiri, mereka haruslah berumur 16 tahun ke atas, merupakan pemilik Ducati, ahli DOCM dan mempunyai lesen lumba motosikal MAM.

    Sepanjang musim 2020 ini, pelumba Desmo Cup akan melibatkan diri dalam beberapa format perlumbaan seperti Sprint, Super Sprint, Enduro dan beberapa format lain yang akan diumumkan kelak. Setakat ini sudah ada 30 penyertaan untuk Desmo Cup ini.

     
     
  • Geely lancar penuras udara kabin standard N95, pelanggan sedia ada akan diberi secara percuma

    Geely lancar penuras udara kabin standard N95, pelanggan sedia ada akan diberi secara percuma

    Lanjutan dari usaha Geely untuk menghasilkan “kereta sihat” dengan pelaburan sebanyak 370 juta RMB (RM218 juta) dua minggu lalu, jenama automotif berkenaan kini telahpun melancarkan penuras udara kabin (cabin air filter) untuk sistem pendingin hawa yang mampu menapis udara dalam kabin kenderaan pada standard N95, atau sama seperti apa yang boleh dilakukan oleh topeng muka dengan standard N95.

    Penuras udara berkenaan bukan hanya akan dipadankan pada semua kereta-kereta baharu, malah pemilik-pemilik model jenama tersebut untuk pasaran China turut akan menerima alat ganti yang telah ditingkat taraf berkenaan secara percuma.

    Menurut pengumuman rasmi yang dibuat oleh Geely Auto di negara berkenaan, bermula sekarang hingga 31 Mac, pemilik-pemilik tersebut boleh membuat temu janji bagi membawa kereta mereka ke pengedar bertauliah bagi menukar komponen tersebut.

    Geely mendakwa, penuras udara baharu ini dihasilkan dari bahan karbon aktif, fabrik bukan tenunan, bahan-bahan komposit pelbagai lapisan dan lain-lain. Ia mampu untuk menapis partikel sehalus 0.3µm bagi mengelakkan ia tersebar ke dalam kabin kereta menerusi sistem pendingin hawa.

    Geely lancar penuras udara kabin standard N95, pelanggan sedia ada akan diberi secara percuma

    Jenama tersebut turut menyebut bahawa laporan dari pakar perubatan mendedahkan bahawa titisan yang diserap oleh virus Covid-19 yang kini melanda dunia biasanya adalah lebih besar dari 0.74µm, jadi penapis ini mampu untuk menapis penyebaran virus berkenaan secara efektif, dan kadar kebarangkalian untuk berjaya adalah setinggi 98%, manakala kadar pemintasan zarah halus (PM2.5) di udara adalah setinggi 99.9%.

    Selain dari untuk mengelakkan penularan virus Covid-19 ini, Geely turut mendakwa bahawa penapis juga dapat mengasingkan zarah-zarah lain di udara, termasuk bau, debu, dan lain-lain yang boleh menyebabkan alahan.

    Buat masa sekarang, peringkat pertama penghasilan penapis berkenaan secara besar-besaran sudah lengkap dan ia telah dihantar ke jaringan pengedar Geely di bandar-bandar utama China, dan ia akan dijadikan sebagai komponen standard untuk model-model baharu. Bukan sahaja model dengan logo Geely, pelanggan dari jenama lain di bawah payung sama seperti Geometry dan Lynk & Co turut akan menikmati tingkat taraf percuma ini.

     
     
  • Tesla akan guna bateri LFP bagi Model 3 di China

    Tesla akan guna bateri LFP bagi Model 3 di China

    Tesla dilaporkan sedang di dalam peringkat akhir perbincangan untuk menggunakan bateri daripada Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL). Langkah ini bakal menyaksikan jenama itu akan menggunakan bateri baru – lithium iron phosphate (LFP) – yang tidak mengandungi kobalt, sejenis logam yang disifatkan bahan paling bahal dalam bateri kenderaan.

    Penggunaan LFP ini adalah yang pertama bagi Tesla. Reuters melaporkan yang langkah itu merupakan sebahagian usaha Tesla untuk mengurangkan kos pengeluaran kenderaannya – terutama sekali Tesla Model 3 – yang dipasang di kilangnya di China. Ini juga untuk membendung penurunan jualan EV di rantau itu, yang juga masih dibayangi oleh masalah penularan wabak COVID-19.

    Tesla sudah berbincang denga CATL bagi tempoh lebih setahun berkaitan hal ini. Dari segi kos, bateri LFP lebih murah untuk dikilangkan berbanding bateri sedia ada – menurut sumber, sehingga melibatkan dua digit peratusan. Tesla ketika ini menggunakan bateri nickel-cobalt-aluminium (NCA) bagi Model 3 di China, yang memberikan jarak pemanduan EV yang lebih banyak.

    Satu kekurangan LFP ialah kadar density tenaga yang lebih rendah. Bagi mengatasi masalah ini, CATL sedang membangunkan teknologi cell-to-pack, yang membolehkan sel-sel disepadukan ke dalam pek tanpa menggunakan modul. Ini akan menjimatkan lagi ruang, dan jumlah density boleh ditambah untuk mencapai kadar sama seperti sebelum ini tanpa mengurangkan jarak perjalanan.

     
     
  • Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

    Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

    Sebelum dipamerkan secara rasmi di Geneva Motor Show bulan hadapan, Volkswagen telah memperkenalkan Touareg R iaitu versi prestasi tinggi bagi SUV generasi ketiga tersebut. Menampilkan penggunaan enjin plug-in hybrid yang berkuasa, SUV ini adalah model PHEV ketiga yang diperkenalkan oleh Volkswagen, selepas Golf dan Passat, dan merupakan PHEV pertama yang menggunakan pacuan semua roda (keluaran Volkswagen).

    Enjin pada Touareg R ini sebenarnya adalah sama seperti yang digunakan pada Porsche Cayenne dan Panamera, iaitu unit petrol V6 3.0 liter turbo berkuasa 340 PS, yang dipadankan bersama motor elektrik 136 PS yang terletak di antara transmisi automatik Tiptronic lapan kelajuannya.

    Motor elektrik tersebut mendapat kuasa daripada bateri lithium ion yang diletakkan di bawah bahagian simpanan barang belakang, dengan kapasiti 14.1 kWH. Buat masa ini Volkswagen masih belum mendedahkan jumlah penggunaan bahan api, jarak gerak menggunakan elektrik atau perincian mengecas Touareg R, tetapi kalau melihat kepada model Porsche yang menggunakan bateri sama, waktu mengecasnya adalah antara 2.3 hingga 3.6 jam.

    Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

    Satu lagi bahagian yang terlibat dalam menggerakkan model ini adalah sistem pacuan semua roda sepanjang masa 4Motion yang termasuk sekali dengan pengunci differential tengah, yang membolehkan pembahagian tork dinamik secara asymmetric. Kuasa sehingga 70% boleh disampaikan ke roda hadapan manakala untuk roda belakang, sehingga 80%.

    Apabila digabungkan, secara keseluruhannya Touareg R boleh menghasilkan kuasa 462 PS dan tork 700 Nm, sekaligus mengatasi jumlah 421 PS yang dihasilkan oleh Touareg V8 TDI (tork model ini adalah 900 Nm). Laju maksimum Touareg R dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, tetapi jika anda mengambil keputusan untuk menggunakan E-Mode (menggunakan kuasa elektrik sahaja) lajunya dihadkan kepada 140 km/j sahaja.

    Selain pilihan E-Mode dan Hybrid dalam 4Motion Active Control, pemandu juga disediakan dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual, Offroad dan Snow, di mana ia boleh dipilih menggunakan tombol pada konsol tengah. Apabila mendapatkan pakej offroad, anda akan disediakan dengan dua lagi mod tambahan iaitu Gravel dan Sand.

    Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

    Pada aspek penggayaan, bampar serta kemasan pada lengkung roda dan bawah pintu model ini semuanya menggunakan warna yang sama seperti badan, manakala kemasan pada bukaan udara, garis tingkap, bahagian bawah bampar serta cermin sisi menggunakan warna hitam. Bahagian dalam lampu digelapkan sementara rim pula adalah unit 20 inci rekaan Braga.

    Masuk ke dalam, kemasan aluminium Silver Wave digunakan pada papan pemuka dan panel pintu, manakala konsol tengah pula menggunakan kemasan berwarna hitam dan perak. Beberapa logo R digunakan pada bahagian termasuk tempat duduk yang dibalut kulit, plet stainless steel tepi pintu dan roda stereng.

    Ciri standard lain pada Touareg R adalah seperti Innovision Cockpit yang termasuk Digital Cockpit (panel instrumen digital 12 inci), sistem infotainmen Discover Premium (skrin sesentuh 15 inci di tengah), lampu utama LED matriks IQ.Light, bumbung panoramik serta pengawal suhu empat zon Air Care Climatronic.

    Sekiranya masih tidak mencukupi, Volkswagen ada menawarkan sistem seperti Trailer Assist dan Travel Assist untuk memberikan bantuan tambahan pada kelajuan sehingga 250 km/j dan beroperasi dengan bergantung kepada sistem seperti Adaptive Cruise Control dan Lane Assist.

    Barangan pilihan lain yang disediakan adalah seperti sistem bunyi 780 watt Dynaudio, Front Cross Traffic Assist dan aksesori eksklusif R seperti warna luaran Lapiz Blue Metallic, rim Suzuka 21 inci, rim 22 inci Estoril serta pakej balutan kulit Puglia dengan kemasan Sepang Blue.

     
     
  • Honda hentikan operasi pengeluaran di Filipina

    Honda hentikan operasi pengeluaran di Filipina

    Honda telah mengumumkan bakal menghentikan operasi kilang pengeluaran yang terletak di Santa Rosa, Filipina, bulan hadapan. Fasiliti yang berada di daerah Laguna, mula beroperasi sejak tahun 1992 dan buat masa ini mengeluarkan model BR-V dan City. Ia memiliki tenaga kerja seramai 650 orang.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pengeluar kenderaan itu berkata, keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan usaha paling optimum dalam operasi pengeluaran di rantau Asia dan Ocenia. Walau pun membuat keputusan untuk menutup kilang, Honda akan teruskan operasi bagi jualan dan perkhidmatan selepas jualan di Filipina, menerusi penggunaan rangkaian rantau Asia dan Oceania.

    Menurut Philippine Daily Inquirer, jurucakap Honda tempatan, keputusan untuk menghentikan pengeluaran di negara tersebut dibuat ekoran permintaan pengeluaran yang rendah dan syrikat itu mahu menggunakan sumber yang lebih baik.

    Honda hentikan operasi pengeluaran di Filipina

    “Honda perlu menutup kilang di Filipina disebabkan jumlah pengeluaran yang rendah. Ia bukan disebabkan isu politik atau pun polisi kerajaan, atau pun persatuan buruh. Tiada kaitan tentang itu. Ia adalah arahan daripada Honda Motor untuk menggunakan sumber yang lebih cekap,” ujar Louie Soriano, jurucakap Honda Cars Philippines.

    Walau bagaimana pun, tidak dinyatakan apa perancangan Honda untuk kilang terbabit, tetapi ada laporan menyebut, kerajaan Filipina berkata ada syarikat automotif yang berminat untuk mengambil alih. Ini pernah berlaku pada tahun 2014, apabila Mitsubishi Motor mengambil alih kilang Ford di Santa Rosa selepas syarikat pengeluar kenderaan Amerika Syarikat itu menutup operasi kilang berkenaan pada tahun 2012.

     
     
  • Renault Twingo Z.E. – sekali cas boleh gerak 250 km

    Renault Twingo Z.E. – sekali cas boleh gerak 250 km

    Pada bulan Januari yang lepas, Renault telah memberikan facelift kepada model Twingo III dan sekarang ia diikuti oleh versi elektrik sepenuhnya yang dipanggil sebagai Twingo Z.E. Model tanpa emisi ini akan bersaing dengan model seperti Skoda Citigo e iV dan Volkswagen e-up!

    Secara visualnya, Twingo Z.E. ini masih mengekalkan rekaan sama seperti model biasa, cuma diubah sedikit dengan penggunaan jalur biru pada rim, tepi pintu dan gril hadapan, serta lencana “Z.E. Electric” pada b-pillar dan pintu but. Satu lagi perubahan adalah tempat mengecas Type 2 menggantikan tempat isi bahan api model biasa.

    Bahagian dalam juga melihatkan sedikit perubahan, seperti logo “Z.E.” dan paparan instrumen yang berlainan. Kemasan serta balutan tempat duduk bergantung kepada varian yang dipilih dan ia juga datang dengan skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh inci dengan servis sambungan Easy Connect.

    Renault Twingo Z.E. – sekali cas boleh gerak 250 km

    Tetapan pacuan roda belakang yang digunakan pada model Twingo enjin biasa juga dikekalkan untuk model elektrik ini. Namun, enjin itu digantikan dengan motor elektrik yang mampu memberikan 81 PS (80 hp) dan 160 Nm tork. Jumlah ini dianggap bersesuaian untuk penggunaan dalam bandar dan ia boleh memecut 0-50 km/j dalam masa empat saat, dengan laju maksimum 135 km/j.

    Sama seperti kebanyakan EV lain, Twingo Z.E. juga mempunyai sistem penjanaan semula kuasa brek, yang boleh dipilih dalam tiga tahap. Dalam tetapan paling agresif, kereta akan diperlahankan secara cepat, untuk menjana semula kuasa kepada bateri dengan pantas dan mengurangkan keperluan untuk membrek – hampir sama seperti sistem one-pedal driving. Tetapan yang paling lembut pula membenarkan kereta masih meluncur seperti tiada gear.

    Motor elektrik pada model ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 22 kWh yang diletakkan di bawah tempat duduk hadapan, dan menurut Renault, ia boleh memberikan perjalanan sehingga 250 km berdasarkan kitaran ujian WLTP City, atau 180 km mengikut kitaran ujian penuh WLTP.

    Bateri ini boleh dicas semula menggunakan pengecas 22 kW yang boleh disambungkan kepada sumber single phase atau triple phase. Melalui soket single phase 2.3 kW di rumah, ia akan mengambil masa 13 jam 30 minit untuk penuh manakala bila menggunakan soket 3.7 kw single phase, ia akan mengambil masa lapan jam. Sekiranya menggunakan sumber triple phase 7.4 kW, ia akan cuma mengambil masa empat jam untuk penuh.

    Sekiranya pilihan itu masih dianggap perlahan, anda boleh menggunakan soket 11 kW triple phase, di mana bateri dapat dicas sehingga 80% dalam masa dua jam. Pilihan paling cepat adalah menggunakan pengecas triple phase 22 kW, di mana tahap sama dapat dicapai dalam masa 63 minit sahaja. Menurut Renault, apabila menggunakan tetapan akhir ini, Twingo Z.E. boleh bergerak 80 km selepas dicas selama 30 minit.

    Walaupun menggunakan sumber kuasa elektrik, Renault memberitahu aspek praktikaliti dan ruang tidak terganggu. Anda masih mendapat tempat duduk belakang yang boleh dilipat, sekaligus memberi ruang simpanan sebanyak 980 liter. Dalam kedudukan tegak, ia cuma 240 liter.

     
     
  • Geely perkenal pembelian kenderaan secara online

    Geely perkenal pembelian kenderaan secara online

    Macam-macam cara orang jual kenderaan sekarang ini. Terbaru, Geely memperkenalkan saluran jual-beli kenderaan secara atas taliannya sendiri di China yang lengkap dengan penghantaran ke rumah, sejak 10 Februari lalu. Untuk itu, Geely menjadi antara yang terawal menawarkan perkhidmatan seumpamanya di rantau berkenaan, tanpa memerlukan pembeli untuk hadir ke bilik pameran.

    Melalui saluran berkenaan, pelanggan tidak hanya boleh membuat pelbagai pilihan dan membayar untuk kenderaan Geely secara atas talian dan kemudiannya menunggu kereta berkenaan dihantar ke rumah, mereka juga boleh mengaturkan sesi pandu uji dari rumah yang akan diselenggarakan oleh pengedar berdekatan. Perkhidmatan lain seperti perlesenan dan juga insurans turut disediakan, dengan pelanggan boleh memilih daripada senarai penyedia perkhidmatan yang ada.

    Sebelum ini, Geely bekerjasama dengan penyedia platform servis jualan atas talian, tetapi dengan servis sendiri ini, ia didakwa mencatatkan pertumbuhan yang lebih rancak. Tempahan atas talian bagi tempoh seminggu pertama sahaja meningkat lima kali ganda bagi tempoh sama tahun lalu, sementara angka jualan dari laman web pula 75 kali ganda lebih tinggi.

    Semua model Geely, termasuk MPV Jiaji dan Boyue Pro ditawarkan melalui saluran atas talian berkenaan, termasuk penghantaran ke rumah. Syarikat itu juga berharap untuk melanjutkan lagi rangkaian perkhidmatannya, termasuk pengambilan kereta dari rumah atau pejabat pelanggan bagi tujuan servis kenderaan.

    Pengenalan pembelian kenderaan atas talian ini antara lain menerima sambutan kerana perkembangan virus COVID-19, dengan tindakan kuarantin serta larangan pergerakan telah menyebabkan ia menjadi pilihan yang penting, memandangkan angka jualan syarikat itu bagi Januari dilaporkan turun 18%.

     
     
  • Peugeot 508 Sport Engineered produksi mula ditunjuk

    Peugeot 508 Sport Engineered produksi mula ditunjuk

    Setahun yang lalu, Peugeot 508 Sport Engineered Concept mula ditunjukkan. Kini versi produksi model sedan berprestasi terbabit pula mula ditunjukkan melalui empat gambar rasmi daripada Peugeot – ia semakin hampir untuk menjadi kenyataan.

    Dibangunkan oleh Peugeot Sport, model berkenaan ketika dalam fasa konsep merupakan sebuah unit plug-in hybrid dengan enjin berkapasiti 1.6 liter PureTech 200, dibantu pula oleh dua motor elektrik. Sebuah motor menghasilkan 112 hp dan memacu roda hadapan, sementara yang satu lagi menghasilkan 203 hp dan memacu roda belakang – menjadikannya pacuan semua roda elektrik.

    Output keseluruhan ketika itu didakwa antara 350 hp hingga 400 hp; bagaimanapun angka sebenar terkini masih belum didedahkan. Apa yang diketahui setakat ini ialah pecutan 0-100 km/j, yang mana kereta ini mencatatkan 4.3 saat dan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada tahap 250 km/j.

    Membekalkan kuasa kepada motor-motor elektrik berkenaan ialah batru 11.8 kWh yang diletak pada bahagian lantai, yang menyediakan jarak pacuan elektrik sepenuhnya sehingga 50 km. Dalam mod hibrid, kereta in membebaskan 49 gram CO2 bagi setiap kilometer (kitaran WLTP). Kereta ini menggunakan platform Efficient Model (EMP2) dan turut menampilkan beberapa peningkatan berbanding model 508 biasa.

    Dari segi rekaan, ia nampak mirip seperti model konsep sebelum ini, dengan bahagian gril radiator kemasan gentian karbon unik, bukaan aerodinamik pada bahagian bawah bampar, spoiler depan serta beberapa sisip aerodinamik. Lain-lain kemasan termasuk lencana gelap, perumah cermin sisi gentian karbon, rim 19-inci 10 jejari, kaliper brek depan warna kuning serta diffuser belakang yang agresif dengan ruang ekzos tersedia.

    Bahagian kabin 508 Concept pula menggunakan kerusi sport balutan kulit Alcantara dengan benang kuning Kryptonite, panel instrumen digital 12.3-inci Sport Engineered, stereng kompak, tuil gear dengan sensitiviti sentuhan serta skrin sentuh 10-inci Kryptonite. Cukup menarik?

     
     
  • Mercedes-Benz E180 Avantgarde W213 dilancarkan di Filipina – 1.6L turbo; 156 hp, 250 Nm; RM322,300

    Mercedes-Benz E180 Avantgarde W213 dilancarkan di Filipina – 1.6L turbo; 156 hp, 250 Nm; RM322,300

    Mercedes-Benz Filipina telah menyemak semula barisan E-Class W213 di negara terbabit dengan memperkenalkan model 2020, termasuk melancarkan varian baharu E 180 Avantgarde. Berharga 3.89 juta peso – atau RM322,300 – ia turut memberikan saingan pada model BMW 520i Luxury G30 yang turut ditawarkan di pasaran berkenaan dengan unit terhad dan berharga 3.99 juta peso (RM328,500).

    Tidak seperti model BMW yang diimport dari Malaysia, E 180 ini dibawa masuk dari Jerman. Ini bermakna Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hanya mengimport model C 180 Avantgarde W205 sahaja ke negara ini.

    E 180 dijanakan oleh enjin yang sama dengan C 180 iaitu M274 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa hingga 156 PS (154 hp) pada 5,300 rpm dan tork 250 Nm dari 1,200 hingga 4,000 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Bagi kelengkapannya, ia didatangkan dengan pakej penggayaan Avantgarde, lampu utama LED High Performance, roda 18-inci, sistem infotainmen Audio 20, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pedal penukar gear, kawalan suhu dwi-zon Thermatic, tirai matahari berkuasa untuk tingkap belakang, Keyless Go, kluster instrumen digital penuh, dan roda stereng balutan Nappa dengan kawalan sentuhan sensitif.

    Untuk aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu, ia ditampilkan dengan tujuh beg udara, sistem kestabilan, Bantuan Brek Aktif, Bantuan Perhatian, Bantuan Brek, Pra-Keselamatan, kawalan kelajuan pasif dengan fungsi pengehad kelajuan dan Bantuan Parkir Aktif.

     
     
  • Perjalanan Perodua di Malaysia – 3.7 juta kenderaan dijual, 95% bahan tempatan, membantu ekosistem

    Perjalanan Perodua di Malaysia – 3.7 juta kenderaan dijual, 95% bahan tempatan, membantu ekosistem

    Semasa majlis pelancaran Polisi Automotif Negara (NAP) 2020 Jumaat lalu, DreamEdge ada membawa prototaip baru projek kereta nasional ketiga. Di sebelah kereta itu, terdapat pula dua syarikat pengeluar kenderaan nasional sebenar yang menguasai dua tempat paling atas dalam pasaran sekarang iaitu Proton dan Perodua.

    Perodua membawa sebuah Myvi dan ruang pameran kecil berkenaan sistem Advanced Safety Assist (ASA). Walaupun begitu, apa yang lebih menarik perhatian kami adalah informasi yang terpampang di belakang. Ia menunjukkan perjalanan Perodua di Malaysia, pencapaian serta usaha dan tanggungjawab syarikat itu dalam membangunkan industri automotif Malaysia.

    Berita biasa bagi Perodua adalah jualan yang tinggi atau rekod perkongsian pasaran, tapi syarikat itu juga berbangga dengan peranan mereka dalam menyokong komuniti vendor tempatan dan ekosistem automotif secara keseluruhannya. Disebabkan jumlah jualan yang banyak dan tahap lokalisasi yang tinggi, mereka membeli banyak daripada pembekal tempatan – untuk tahun 2020 Perodua menjangka akan membeli barang buatan Malaysia berjumlah RM6 bilion berbanding tahun lepas RM5.4 bilion.

    Perodua melakukan tiga perkara penting dalam memainkan peranan membangunkan industri tempatan iaitu peningkatan kemampuan R&D, menggalakkan lokalisasi dan pembangunan sumber manusia tempatan. Dengan membangunkan kemampuan R&D dan mencapai kualiti dan kos bertahap dunia, ia turut memberi kesan kepada syarikat, pekerja dan industri automotif tempatan secara keseluruhannya dengan meningkatkan standard sedia ada.

    Perodua juga mempunyai pusat sokongan vendor (VSC) yang mana sasaran utamanya adalah untuk memperbaiki keuntungan vendor dan mengembangkan peluang eksport untuk pembekal. Rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu turut membantu memberikan latihan sokongan, dan terdapat juga program sokongan residen (RS) di mana pekerja Perodua diletakkan dalam syarikat vendor, bekerja seperti biasa, tetapi gaji dibayar oleh Perodua.

    Penggunaan barang keluaran tempatan yang berjumlah banyak pada kenderaan Perodua menjadi penyumbang yang besar kepada industri automotif tempatan. Semasa zaman Kancil, Kenari dan Kelisa, tahap penggunaan bahan tempatan adalah antara 60% hingga 80%, kemudiannya meningkat menjadi 86% waktu Myvi generasi pertama dikeluarkan. Sekarang, tiga model terbaru Perodua iaitu Bezza, Myvi generasi ketiga dan Aruz menggunakan 95% bahan tempatan.

    Kenapa tidak 100%? Perodua adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat Toyota yang lebih besar, dan apabila terdapat alat ganti yang boleh dikongsi untuk mengurangkan kos, secara logiknya mereka akan memilih alat ganti tersebut – sebagai contoh, barisan enjin NR yang digunakan oleh pelbagai model Toyota dan Diahatsu.

    Akhir sekali skala. Sumbangan Perodua kepada industri automotif tempatan sangat besar, kerana Perodua itu sendiri juga agak besar. Mereka telah mencatat rekod jualan paling tinggi dengan 240,341 unit tahun lepas, yang bersamaan hampir 40% perkongsian pasaran. Malah, sejak 1994, Perodua telah mengeluarkan 3.7 juta buah kenderaan. Lagi banyak kereta yang dikeluarkan, lebih banyak alat ganti yang diperlukan.

    Pada masa hadapan, ia akan meningkat lagi – Perodua sekarang sedang mempersiapkan model SUV baru untuk tahun ini, dengan perancangan meningkatkan pelaburan pada tahun 2020 hampir dua kali ganda, kepada RM1.06 bilion (+86.2% berbanding tahun 2019).

    Perjalanan Perodua di Malaysia – 3.7 juta kenderaan dijual, 95% bahan tempatan, membantu ekosistem

    “Separuh daripadanya, iaitu sekitar RM500 juta, adalah berkaitan pelaburan kilang, memodenkan, mengembangkan serta mempersiapkannya untuk model masa hadapan,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Syarikat ini juga meletakkan sasaran untuk menjadi hab R&D bagi ASEAN, membangunkan produk bersama – dan untuk – Daihatsu dalam benua ini. Walaupun sedar Daihatsu mempunyai cabang yang besar di Indonesia, Zainal Abidin berkata, Perodua mempunyai kelebihan dalam R&D berbanding Astra Daihatsu Motor.

    Jadi, jelas apabila Perodua terus berkembang, ekosistem automotif tempatan serta negara juga akan menerima manfaatnya. Semua benda ini adalah berkaitan.

     
     
  • Subaru WRX STI generasi seterusnya bakal menjana 400 hp dari enjin boxer empat-silinder 2.4 liter turbo?

    Subaru WRX STI generasi seterusnya bakal menjana 400 hp dari enjin boxer empat-silinder 2.4 liter turbo?

    Sudah empat tahun Subaru Impreza generasi terkini berada dalam pasaran, namun versi prestasinya iaitu WRX dan WRX STI masih lagi berasaskan model generasi sebelum ini. Model yang ditunggu-tunggu berkenaan dikhabarkan akan membuat kemunculannya pada tahun ini dan akan mula masuk ke pasaran tahun hadapan, dan khabar terbaharu bertiup, ia bakal menjana kuasa yang jauh lebih besar dari sebelumnya – dijangka akan mencecah 400 hp!

    Perkara ini dilaporkan oleh laman Forbes, yang memetik sumber mereka menyatakan bahawa WRX STI generasi seterusnya ini akan dijana oleh enjin boxer 2.4 liter dari generasi FA lebih baharu, bagi menggantikan siri EJ yang produksinya ditamatkan pada penghujung tahun lalu, setelah berkhidmat menjana model-model berprestasi tinggi Subaru sejak pengenalan Legacy RS pada 1989.

    Enjin FA24 yang disuap dengan pengecas turbo ini sebenarnya telah pun digunakan pada model-model terkini Subaru seperti SUV Subaru Ascent yang menjana 260 hp. Sebagai enjin yang jauh lebih moden, enjin ini tentunya mematuhi segala standard terkini, terutamanya undang-undang emisi yang semakin ketat.

    Menurut sumber yang dipetik oleh Forbes berkenaan lagi, enjin FA24 tersebut akan disentuh semula bagi mencapai angka kuasa tidak kurang dari 400 hp, antaranya aci engkol dan omboh yang diperkuat, pemasaan yang diimbang semula, port kemasukan dan injap yang diperhalusi, peningkatan tekanan boost sistem turbo dan pelbagai lagi.

    Subaru WRX STI generasi seterusnya bakal menjana 400 hp dari enjin boxer empat-silinder 2.4 liter turbo?

    Sumber tersebut turut menyatakan pasukan jurutera Subaru mengambil enjin produksi empat silinder 2.0 liter paling berkuasa dalam dunia buat masa sekarang iaitu enjin Mercedes-AMG M133 yang menjana 421 PS/500 Nm di dalam perut hot-hatch A45 AMG W177 sebagai kayu aras.

    Dalam laporan-laporan sebelum ini, WRX STI generasi baharu ini dikhabarkan akan dibina dengan konsep sama dengan versi sebelumnya iaitu menggunakan platform sama dengan Impreza – model generasi seterusnya ini akan diasaskan dari Subaru Global Platform.

    Platform tersebut sememangnya direka bukan sahaja untuk menempatkan enjin boxer dan sistem pacuan semua roda, malah turut dihasilkan bagi membolehkan ia turut dijana dengan sistem hibrid elektrik – dalam laporan pada 2017, dikhabarkan WRX STI ini turut akan menggunakan sistem tersebut bukan sahaja untuk mematuhi undang-undang pencemaran, malah turut akan memberikan tambahan prestasi.

    Dari segi rupa pula, WRX STI generasi seterusnya ini dikatakan adalah versi produksi untuk model konsep Subaru Viziv Performance STI yang telah pun didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2018.

    GALERI: Subaru Viziv Performance STI di Tokyo Auto Salon 2018

     
     
  • Honda Jazz 2020 – pelbagai pilihan aksesori di Jepun

    Honda Jazz 2020 – pelbagai pilihan aksesori di Jepun

    Honda Jazz generasi keempat kini sudah pun mula dijual di Jepun, dan sekarang pengeluar itu menunjukkan pula barisan aksesori yang ditawarkan untuk hatchback tersebut. Barangan ini ditawarkan melalui Honda Access, dan merangkumi pelbagai bahagian seperti penggayaan, kemudahan serta sokongan pemanduan, dan bergantung kepada varian.

    Untuk varian asas Home, barangan yang disediakan sebagai pilihan adalah seperti hiasan pada gril dan lampu kabus, rim 15 inci berwarna putih, serta kemasan hitam pada suis tepi pintu dan balutan tempat duduk. Bagi varian Ness pula, aksesorinya termasuk lampu LED di bawah lampu kabus, gril lebih sporty, skirting di keliling kereta, spoiler bumbung, lencana hitam dan rim 16 inci rekaan “snowflake“.

    Varian Crosstar yang mempunyai gaya lebih seperti crossover pula didatangkan dengan pilihan aksesori seperti lampu kabus LED, pelekat hiasan pada pintu dan but, kemasan di bahagian bawah kenderaan, rak bumbung dan pelindung lantai but.

    Pergi kepada varian paling tinggi iaitu Luxe, pelanggan boleh memilih beberapa barangan seperti lampu hiasan pada pemegang pintu, tempat letak barangan dan kaki, filem kalis calar pada beberapa bahagian penting seperti ruang masuk but dan tepi pintu, serta penutup ruang simpanan barang.

    Semua varian Jazz ini boleh dipasangkan dengan aksesori seperti sistem infotainmen Premium Internavi sembilan inci, kotak simpanan di konsol tengah (beberapa bentuk berbeza), perakam video DRH-204VD yang boleh dipilih untuk mempunyai pelbagai sambungan termasuk bahagian belakang dan kemasan pelbagai warna.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    Dua minggu lalu Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa Accord generasi baharu baharu sudahpun boleh ditempah, manakala semalam telah disahkan bahawa Civic facelift akan dilancarkan di sini pada hari Rabu nanti, 26 Februari.

    Dan hari ini, pembaca kami Zuhafiz Ramli telah mengirimkan gambar yang sempat dirakamkannya, menunjukkan kedua-dua model berkenaan di bawa menggunakan sebuah lori pengangkut yang sedang merangkak dalam kesesakan jalan raya. Ini bermaksud, kemungkinan besar kedua-duanya akan diluncurkan dalam pasaran dalam masa yang hampir sama.

    Untuk Civic, ia sudah disahkan selain dari menerima rupa yang sama seperti model facelift yang telah pun dilancarkan di Thailand pada 2018, ia kini turut menerima pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, terdiri sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    Ia juga akan hadir dengan kamera LaneWatch, iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic baharu ini juga akan menerima penderia parkir hadapan serta ciri-ciri lain terus akan dibekalkan, antaranya pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.

    Untuk kelengkapan lain, Civic masih dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, enam-beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudut dan juga cagak Isofix tempat duduk kanak-kanak.

    Tiada perubahan dari segi penawaran varian di mana ia akan kekal dengan tiga pilihan iaitu versi asas 1.8 S, 1.5 TC dan model tertinggi 1.5 TC-P. Ia juga bakal dikuasakan dengan unit janakuasa sama iaitu dua pilihan enjin – 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter empat silinder 1.5 liter berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya juga masih menerima kotak gear CVT.

    SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    Untuk Accord pula, model generasi ke-10 ini hanya akan ditawarkan dalam satu varian sahaja seperti Indonesia, di jana oleh enjin 1.5 L VTEC Turbo. Apa yang menarik, enjin pada Accord ini walaupun pada asasnya adalah sama seperti pada Civic dan CR-V, namun versi pasaran Malaysia ini ditala bagi menghasilkan kuasa lebih besar, malah lebih besar dari versi di Thai mahupun Indonesia.

    Menurut apa yang diumumkan oleh Honda Malaysia sebelum ini, Accord akan bernafas dengan bekalan kuasa 201 PS/260 Nm. Untuk rekod, enjin sama pada CR-V dan Accord pasaran lain hanya menghasilkan 190 PS/243 Nm, atau 11 PS dan 17 Nm kurang berkuasa.

    Untuk kelengkapan lain, Accord akan dibekalkan dengan lampu utama dan lampu belakang LED, Sistem Bantuan Parkir Pintar dengan Bantuan Brek (belakang), sistem kamera 360° pelbagai-pandanga bersama Honda LaneWatch, pakej Honda Sensing, enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan penderia parkir hadapan/belakang dan versi Malaysia turut diberikan rim aloi 18-inci.

     
     
  • Hyundai, Kia bangunkan ICT Connected Shift System – transmisi tukar gear sendiri mengikut keadaan jalan

    Hyundai, Kia bangunkan ICT Connected Shift System – transmisi tukar gear sendiri mengikut keadaan jalan

    Hyundai dan Kia telah mengumumkan pembangunan satu sistem yang digelar sebagai Information and Communication Technology (ICT) Connected Shift System, di mana menurut mereka, boleh menukar kepada gear yang paling optima secara automatik selepas mengenal pasti keadaan jalan dan trafik di hadapan.

    Menurut dua syarikat tersebut, teknologi penjangka yang pertama di dunia ini nanti akan dipasang pada kenderaan mereka, dan semasa pembangunannya, sekitar 40 paten utama telah difailkan di Korea Selatan dan beberapa negara lain.

    ICT Connected Shift System menggunakan informasi masa sebenar yang didapati daripada kamera di kenderaan, sensor radar dan navigasi 3D dengan peta jalan yang lengkap. Dengan semua input ini, unit pengawal transmisi akan menjangka keadaan penukaran gear yang optima untuk situasi pemanduan masa sebenar melalui algoritma pintar buatan dan seterusnya menukar gear.

    Hyundai, Kia bangunkan ICT Connected Shift System – transmisi tukar gear sendiri mengikut keadaan jalan

    Sebagai contoh, apabila sistem ini menjangka kenderaan perlu diperlahankan dalam jarak yang panjang, tetapi radar tidak mengesan sebarang perubahan laju yang luar biasa pada kenderaan hadapan, ia akan menukar gear kepada neutral buat sementara untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

    Semasa ujian di jalan yang banyak liku pula, syarikat ini mendapati kekerapan penukaran gear dapat dikurangkan sehingga 43% jika dibandingkan dengan kereta yang tidak mempunyai sistem tersebut. Ia juga mengurangkan kekerapa penggunaan brek sehingga 11%, sekaligus mengurangkan keletihan dan kelusuhan sistem brek.

    Dalam senario lain, sekiranya kenderaan hendak memasuki lebuh raya, di mana pecutan pantas diperlukan, sistem tersebut akan menukar mod pemanduan kepada Sport secara automatik bagi memudahkan kenderaan masuk ke dalam trafik yang sudah sedia laju. Lepas sudah sekata dengan trafik, ia akan tukar kepada mod biasa semula.

     
     
  • Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

    Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

    Kami lihat sendiri prototaip Honda S2000 20th Anniversary di Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu dan tertanya-tanya apa rancangan Honda terhadapnya. Dan kini ia terjawab – pembuat aksesori rasmi Honda dan juga pemilik jenama Modulo iaitu Honda Access telah mengumumkan bahawa akseori prototaip berkenaan secara rasmi akan dijual dalam pasaran Jepun bermula 26 Jun ini.

    Untuk pasaran luar Jepun, anda perlu menunggu lebih lama kerana tempahannya hanya akan dibuka pada Februari 2021, dan hanya ditawarkan dalam jumlah yang terhad. Ia juga akan dihasilkan secara eksklusif, di mana akan dibuat berdasarkan tempahan, oleh itu pembeli hanya akan menerima aksesori mereka empat bulan selepas ditempah.

    Kit untuk versi produksi ini boleh dikatakan hampir sama dengan versi prototaip yang didedahkan sebelum ini – menampilkan bampar hadapan berbeza – dengan muncung yang lebih panjang (24 mm lebih panjang dari biasa), bersama liang udara yang direka dengan bentuk trapezoid berharga 96,800 yen (RM3,662).

    Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

    Bahagian lain masih lagi sama, kecuali satu lip spoiler berwarna hitam dipasang pada penutup but belakang berharga 46,200 yen (RM1,748), dan juga strake pada hujung belakang bendul sisi berharga 33,000 yen (RM1,248). Kesemua komponen luaran ini datang dengan kemasan akhir hanya cat primer, membolehkan pembeli memadankan dengan warna badan sedia ada kereta masing-masing.

    Manakala pada bahagian kabin, kit aksesori ini terdiri dari karpet kaki (kemasan merah atau hitam) berharga 30,800 yen (RM1,165) menampilkan logo S2000 20th Anniversary dan juga lampu LED pada ruang kaki setiap kali pintu dibuka berharga 13,200 yen (RM500).

    Selain itu, Honda Access turut menawarkan penutup bumbung dengan logo 20th Anniversary, dan juga penutup pemain audio dengan logo sama berharga 8,800 yen (RM333), tetapi komponen kedua berkenaan hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit.

    Bukan sekadar komponen kosmetik, barisan aksesori kali ini juga turut tampil dengan set suspensi sport berharga 170,500 yen (RM6,454). Ia bukan sahaja akan merendahkan S2000 anda 10 mm dari tinggi asal, malah turut boleh dilaras dalam lima peringkat menerusi tombol pelaras pada penyerap hentak hadapan. Ia bukan hanya pilihan komponen paling mahal, malah set suspensi ini juga adalah yang paling terhad kerana hanya dihasilkan 500 set.

    Jika anda pemilik S2000 versi facelift dengan kod casis AP2, anda agak bertuah kerana kesemua aksesori ini dapat dipadankan tanpa masalah. Manakala untuk versi asal AP1, kecuali bampar, suspensi dan penutup pemain audio, perkakasan lain yang ditawarkan masih boleh dipadankan.

    GALERI: Honda S2000 20th Anniversary Prototype di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Nissan gantung operasi kilang di China hingga 10 Mac akibat COVID-19 – Malaysia juga mungkin terjejas

    Nissan gantung operasi kilang di China hingga 10 Mac akibat COVID-19 – Malaysia juga mungkin terjejas

    Lagi satu pengeluar automotif gergasi dari Jepun, Nissan Motor Co, kini berdepan dengan gangguan operasi pengeluaran disebabkan kekurangan bekalan komponen dan gangguan rantaian bekalan akibat penularan COVID-19. Menurut Nissan, ia akan terus menutup kilangnya di Xianyang, Hubei dan Zhengzhou, Henan selepas 24 Februari ini, tarikh sepatutnya ia meneruskan semula operasi.

    Agensi berita Bloomberg turut melaporkan, penangguhan itu disebabkan arahan terkini kerajaan oleh pihak berkuasa Hubei, yang meminta firma terus menutup operasi sehingga 10 Mac. Ia disebabkan isu pengeluaran di peringkat pembekal yang menjejaskan pengeluaran kenderaan.

    Nissan turut berkata, semua kilang pengeluarannya dilaporkan akan mengalami gangguan termasuk kemudahannya di Amerika Syarikat. Selama ini Nissan telah mendapat bekalan untuk lebih 800 bahagian komponen kenderaan dari kilang pengeluar di Hubei.

    Malahan kekurangan bahagian komponen itu menyebabkan beberapa pengeluaran kereta Nissan di Jepun terus digantung selepas 23 Februari, diikuti oleh kilangnya di Malaysia. Kekurangan komponen itu juga berkemungkinan akan menyebabkan kilang pengeluaran Nissan di Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Mexico, Rusia dan Sepanyol juga terpaksa menghentikan pengeluaran.

    Sebelum ini, Nissan telah menutup sebahagian daripada barisan pengeluarannya di Kyushu, barat daya Jepun, pada 14 dan 17 Februari lalu, dan juga telah menghentikan pengeluaran sepenuhnya pada 24 Februari 2020.

     
     
  • Volvo S90, V90 facelift 2020 diberi sedikit naik taraf

    Volvo S90, V90 facelift 2020 diberi sedikit naik taraf

    Bagi tahun 2020 ini, Volvo telah memberikan sedikit pembaharuan kepada model S90 dan V90. Pada bahagian depan, model standard mendapat bahagian bawah bampar yang direka semula, bersama bukaan udara rekaan baru, kemasan jalur halus serta lampu kabus yang lebih kecil.

    Model Inscription yang lebih tinggi pula menerima jalur krom sepanjang bahagian bawah bampar hadapan, sementara varian R-Design yang lebih sporty serta V90 Cross Country mendapat rekaan bampar hadapan dan belakang yang baru.

    Volvo juga telah melenyapkan corong ekzos pada bampar model ini, dan mungkin muncung ekzos sebenarnya menghala ke bawah. Akhir sekali, semua model diberikan lampu belakang tiga dimensi yang direka semula, dengan grafik berbentuk C – V90 wagon juga menampilkan penunjuk arah sequential.

    Pada bahagian dalam, perubahan yang diberi cuma pada tombol gear kristal Orrefors untuk varian Inscription, Advanced Air Cleaner dengan penapis PM 2.5, serta sistem bunyi Bowers & Wilkins yang dipertingkat, bersama amplifier, sistem pelenyap bunyi aktif dan tetapan jazz club baru.

    Selain daripada itu, model ini juga sekarang datang dengan sistem hibrid ringkas 48 volt sama seperti XC90 dan XC60, yang dipadankan bersama enjin petrol B4 197 hp/300 Nm, B5 250 hp/350 Nm dan B6 300 hp/420 Nm tork. Volvo juga mengumumkan bahawa sistem hibrid ringkas kini sudah boleh didapati untuk semua model yang ditawarkan oleh mereka.

     
     
  • Kenaikkan harga kereta Honda tidak akan jejaskan industri automotif, kata Kementerian Kewangan

    Kenaikkan harga kereta Honda tidak akan jejaskan industri automotif, kata Kementerian Kewangan

    Memberi respon terhadap kenaikan harga kereta-kereta baharu Honda yang dikatakan kerana penilaian semula terhadap “customised insentive” bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) oleh kerajaan minggu lalu, Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa ia tidak melibatkan situasi semasa industri automotif negara, lapor Bernama.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh MoF, kerajaan sentiasa memastikan dasar-dasar percukaian ke atas industri pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan merencatkan perkembangan perniagaan dan meningkatkan harga pasaran kenderaan CKD.

    “Rakyat akan sentiasa mendapat manfaat langsung daripada insentif cukai yang dinikmati oleh pengeluar kenderaan CKD melalui harga jualan yang kompetitif serta manfaat tidak langsung melalui peluang-peluang ekonomi yang wujud, selaras dengan hasrat di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan semalam.

    “Syarikat perlu mematuhi semakan audit dan menepati dasar serta insentif pengecualian duti/cukai yang sedia ada supaya tidak menimbulkan persoalan dan bertindak adil kepada semua syarikat yang mematuhi asas yang sama dan kriteria yang betul,” sebut kenyataan itu lagi.

    Kementerian itu berkata tiada perubahan terhadap dasar pengecualian duti eksais atau insentif tersuai di bawah ‘Industrial Linkage’ Programme’ malah keseluruhan industri automotif tempatan tetap stabil.

    “Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif selaku pihak yang menilai dan mengesyorkan kelulusan insentif syarikat masih mengguna pakai kaedah penilaian yang sama tanpa sebarang perubahan. Justeru, kadar pengecualian duti eksais yang dinikmati syarikat Honda pada masa ini adalah wajar dan sepadan dengan tahap lokalisasi sebenar yang telah dicapai oleh syarikat,” jelas MoF dalam kenyataan tersebut.

    Laporan ini menyebut bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh MoF berkenaan adalah bagi mengulas siaran media yang dibuat oleh syarikat Honda Malaysia pada 21, Februari iaitu Jumaat lalu yang memaklumkan peningkatan harga jualan sebanyak lima peratus hingga sembilan peratus bagi beberapa model dan varian kenderaan keluarannya mulai tarikh berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026