Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

    PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

    Memasuki tahun 2020, semakin banyak pilihan model kenderaan utiliti sukan (SUV) di pasaran Malaysia. Sama ada SUV berkapasiti tujuh- atau lima-tempat duduk, dengan pelbagai penawaran ciri yang mengikut kehendak semasa.

    Ini termasuklah dengan pengenalan Mazda CX-30 yang menjadi model SUV pertama yang dilancarkan untuk tahun 2020. SUV Crossover yang diasaskan dari Mazda 3 ini diposisikan di tengah antara model CX-5 dan CX3. Sekaligus memberikan pilihan untuk anda; sekiranya mahukan SUV yang bersaiz besar, boleh pilih CX-5, kalau hendak yang bersaiz sederhana, CX-30 lebih sesuai dan bagi yang inginkan SUV crossover yang agak kecil, bolehlah memilih CX-3.

    Untuk pasaran Malaysia, CX-30 ditawarkan dengan tiga varian; 2.0 G SkyActiv-G 2WD dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD yang dijanakan unit petrol, manakala model tertinggi 1.8 D High SkyActiv-D 2WD dipadankan dengan enjin diesel.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Civic facelift akan dilancarkan 26 Februari ini – dilengkapi Honda Sensing bersama gaya disegarkan

    Honda Civic facelift akan dilancarkan 26 Februari ini – dilengkapi Honda Sensing bersama gaya disegarkan

    Akhirnya, Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa versi facelift untuk Honda Civic generasi ke-10 akan dilancarkan pada Rabu ini, 26 Februari 2020, selepas tempahan yang telah pun dibuka dan diprebiu buat pertama kali pada September tahun lalu.

    Dari segi rupa, model kemaskini tersebut akan menerima rupa seakan sama dengan Civic facelift pasaran Thai yang telahpun dilancarkan hujung tahun 2018. Ia diberikan kemasan baharu pada bampar hadapan tanpa kemasan liang Udara palsu, kemasan baharu pada bampar belakang – model tertinggi 1.5 TC-P bakal dilengkapi dengan gril kemasan hitam, spoiler lebih besar dan juga set rim 18-inci baharu.

    Versi lebih segar ini masih hadir dengan tiga varian iaitu selain model penuh 1.5 TC-P, ia hadir dengan pilihan versi pertengahan 1.5 TC dan juga model asas 1.8 S. Tiada perubahan ditampilkan pada unit janakuasa, di mana ia masih dijana oleh dua pilihan enjin – 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter empat silinder 1.5 liter berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya juga masih menerima kotak gear CVT.

    Perubahan terbesar untuk model ini adalah dari segi kelengkapan keselamatan kerana kini diberikan sistem penuh bantuan pemanduan Honda Sensing, yang terdiri dari sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Ia juga akan hadir dengan kamera LaneWatch, iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic baharu ini juga akan menerima penderia parkir hadapan serta ciri-ciri lain terus akan dibekalkan, antaranya pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.

    Untuk kelengkapan lain, Civic masih dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, enam-beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudut dan juga cagak Isofix tempat duduk kanak-kanak.

    Walau bagaimanapun, misteri paling besar iaitu harga untuk Honda Civic facelift ini masih belum diumumkan. Untuk model sedia ada, ia dijual pada harga bermula RM108,165 hingga RM128,631. Untuk mengetahui segalanya tentang Civic ini, pastikan anda cakna dengan laporan pelancarannya dari kami pada hari Rabu nanti.

     
     
  • Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Selepas muncul di Tokyo Auto Salon 2020, kemudian diperkenalkan di Amerika Syarikat bulan ini, kini pasaran Eropah pula menerima Honda Civic Type R FK8 facelift 2020 secara rasmi. Selain dari model Limited Edition yang hanya di hasilkan sebanyak 100 unit untuk pasaran benua berkenaan dan juga versi standard GT, pelanggan di sana juga diberikan pilihan Type R Sport Line yang lebih minimalis.

    Untuk model GT, ia menampilkan rupa yang sama seperti versi Amerika Syarikat – diberikan rekaan baharu pada gril hadapan yang menampilkan perumah lampu kabus serta gril atas dan bawah baharu ini memberikan aliran udara yang lebih banyak bagi menyejukkan enjin. Model ini juga kini boleh dipilih dengan tambahan warna biru baharu yang digelar Racing Blue (Boost Blue di Amerika).

    Untuk bahagian mekanikal, perisian kawalan untuk sistem penyerap hentak adaptif Type R ini telah diprogramkan semula bagi membolehkan ia membuat penilaian terhadap permukaan jalan dengan lebih pantas. Set bushing pada lengan-B suspensi belakang pula telah dikeraskan lagi bagi memberikan beban sisi 8% lebih baik, seterusnya menghasilkan karekter toe-in lebih bagus ketika mengambil selekoh.

    Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Pada suspensi hadapan pula, ia turut menerima set bushing baharu bersama sambungan bebola yang direka semula bagi mengurangkan geseran, membolehkan pemandu mendapat rasa stereng yang lebih tajam, seterusnya memberikan kawalan yang lebih baik.

    Honda turut menambahbaik sistem brek pada FK8 2020 ini dengan memadankan cakera hadapan jenis two-piece bersama pad brek baharu, yang direka bagi memberikan keberkesanan brek yang lebih baik pada kelajuan tinggi, serta mengurangkan risiko untuk berlakunya fenomena brake fade.

    Tingkat taraf pada bahagian brek ini turut mengurangkan berat sebanyak 2.5 kg, dan memberikan respon pedal brek yang lebih pantas – sekitar 15 mm kurang sebelum brek dilepaskan.

    Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Dalam kabin, penambah baikkan yang diberi turut sama seperti model di Amerika Syarikat, termasuk roda stereng yang dibaluti Alcantara, tombol gear yang direka semula serta tuil short shifter yang diberikan berat pengimbang 90 gram bagi memberikan rasa tukaran gear yang lebih baik dan tepat.

    Untuk lebih selesa, Civic Type R ini juga hadir dengan Kawalan Bunyi Aktif, yang akan mengawal bunyi dalam kabin bergantung pada mod pemanduan yang di pilih. Tiga mod pemanduan pada model ini – Comfort, Sport dan +R masih lagi tidak berubah.

    Model kemaskini ini juga datang dengan sistem datalogger prestasi yang digelar sebagai Honda LogR. Menerusi sistem ini, pemandu dapat memantau dan merekod pelbagai parameter prestasi menerusi aplikasi telefon pintar dan juga komputer onboard bersama pelbagai penderia.

    Tiga mod ditawarkan pada sistem LogR ini, dan ia turut memaparkan Performance Monitor yang memberikan bacaan masa sebenar seperti meter-G, posisi gear, suhu bendalir penyejuk dan minyak pelincir enjin, tekanan atmosfera serta suhu udara kemasukan.

    Log Mod dalam sistem ini menggunakan GPS bagi memantau dan mengenalpasti kedudukan kereta dan penderia dalaman akan mengumpulkan data ketika memecut, membrek, kadar daya-G ketika mengambil selekoh, dan pelbagai parameter lain ketika di litar.

    Manakala untuk mod Auto Score, ia akan memantau kelakuan pemandu ketika mengambil input pemanduan untuk pecutan, nyah-pecut, membelok, dan ketika di jalan lurus. Dengan segala parameter berkenaan, komputer akan mengumpulkan markah dan pemandu boleh membandingkan keputusan mereka dengan markah pemandu profesional yang sudahpun dicatatkan pada aplikasi tersebut.

    Mod Auto Score ini sebenarnya bukan untuk mendapatkan catatan lap lebih pantas, sebaliknya ia akan membantu pemandu untuk memandu dengan lebih lancar, bagi memperbaiki kemahiran pemanduan setiap hari.

    Manakala untuk versi Sport Line, ia dihasilkan untuk mereka yang mahukan sebuah Type R dengan rupa yang lebih matang. Justeru, spoiler ‘tiang-gol’ bersaiz besar pada model GT ditukar dengan spoiler yang jauh lebih kecil. Model ini juga tidak datang dengan rim 20-inci, sebaliknya diberikan rim 19-inci dibaluti tayar Michelin Pilot Sports 4S.

    Pada bahagian dalaman, tempat duduk bucket merah pada model biasa digantikan dengan unit yang berwarna hitam, tetapi masih dengan serlahan benang merah. Perincian lain seperti roda stereng Alcantara masih kekal pada model ini. Ia turut menerima tambahan penebat bunyi pada bahagian but dan pintu tailgate bagi meningkatkan keselesaannya.

    Honda Civic Type R GT dan Sport Line 2020 ini akan mula dijual di Jerman bermula musim bunga tahun ini. Tak banyak beza untuk harga bagi kedua-duanya di mana model standard GT dijual pada harga 41,990 euro (RM190k), manakala versi Sport Line yang lebih ringkas berharga 41,490 euro (RM188k).

    Honda Civic Type R Sport Line 2020

    Honda Civic Type R facelift 2020 pasaran Eropah

     
     
  • Harga minyak 22-28 Feb: RON97, RON95 naik 2 sen

    Harga minyak 22-28 Feb: RON97, RON95 naik 2 sen

    Berita yang tak berapa seronok didengar. Harga bahan api petrol RON97 dan RON95 untuk minggu bertarikh 22 hingga 28 Feb 2020 dilaporkan mengalami kenaikan harga masing-masing 2 sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit petrol RON97 naik RM2.36 seliter kepada RM2.38 seliter, manakala RON95 pula bakal menjadi RM2.08 seliter berbanding RM2.06 seliter sebelum minggu tersebut. Manakala harga runcit bagi diesel pula kekal pada RM2.14 seliter untuk Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.24 seliter. Kesemua harga baharu yang disebut ini efektif pada 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Menurut Kementerian Kewangan, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.08 seliter dan RM2.14 seliter masing-masing. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.06 seliter manakala diesel berada pada paras yang sama RM2.14 seliter.

    Justeru, harga runcit bagi bagi petrol RON95 dinaikkan pada paras RM2.08 seliter dan harga runcit bagi diesel dikekalkan pada harga RM2.14 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

    Namun apabila harga pasaran dunia naik dan demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.

     
     
  • Harga Honda Jazz, City dan CR-V naik hingga 9.25%

    Harga Honda Jazz, City dan CR-V naik hingga 9.25%

    Bermula 21 Februari 2020, Honda Malaysia mengumumkan penyelarasan harga terbaru bagi beberapa model terpilih keluarannya yang menyaksikan peningkatan harga antara dari 5% hingga 9%, bergantung kepada varian dan model.

    Kenaikan harga yang dijangkakan ini adalah berikutan penilaian semula terhada “customised insentive” bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) oleh kerajaan terhadap syarikat berkenaan. Perkara ini adalah berlainan sama sekali daripada peraturan penilaia eksais yang diumumkan sebelum ini yang dijangka tidak akan memberi kesan kepada harga kenderaan.

    Penyelarasan harga baru ini akan dilakukan ke atas semua 100 pengedar Honda seluruh negara. Tiga model yang terkesan dengan penyelaras harga terbaru ini ialah Honda Jazz, City dan CR-V.

    Harga Honda Jazz, City dan CR-V naik hingga 9.25%

    Bagi model kompak B-segmen Honda Jazz, kenaikan paling tingggi (berdasarkan harga di Semenanjung) ialah bagi varian S dengan kenaikan sebanyak 7.2% berbanding tahun 2019. Ia kini dijual pada harga RM75,300 berbanding RM70,242 – perbezaan sebanyak RM5,058. Varian E dan V juga menyaksikan peningkatan harga dengan jumlah yang hampir sama; masing-masing dijual pada harga RM81,400 dan RM88,700.

    Honda City varian paling asas S pula mencatatkan peningkatan dengan peratusan paling besar bagi model berkenaan, naik 6.32% atau RM4,664 menjadikan harga jualannya kini ialah RM78,500. Varian E dan V juga mencatatkan peningkatan harga pada nilai RM yang hampir sama, dengan masing-masing kini dijual pada harga RM84,600 dan RM91,600.

    Sementara itu, Honda CR-V pula menyaksikan peningkatan kadar peratusan dan nilai yang paling banyak. Varian paling asas misalnya, varian 2.0 2WD naik sebanyak RM12,792 dengan peratusan kenaikan 9.25%, kini dijual pada harga RM151,100. Tiga lagi varian juga dikenakan kenaikan dengan angka RM yang hampir sama, dengan harga baru bagi varian-varian terlibat seperti berikut; 1.5TC 2WD (RM163,700), 1.5TC 4WD (RM169,500) dan 1.5TC-P 2WD (RM175,900).

     
     
  • UMW Toyota alu-alukan NAP 2020 – CKD model hibrid

    UMW Toyota alu-alukan NAP 2020 – CKD model hibrid

    Selepas pelancaran Polisi Automotif Negara 2020 pagi tadi, beberapa syarikat kenderaan telah mengeluarkan kenyataan rasmi termasuk UMW Toyota Motor. Presiden syarikat, Ravindran K berkata, beliau senang hati kerajaan telah menyediakan ‘pelan yang diperbaharui’, dan bakal memberi “nilai hebat” kepada perancangan masa hadapan mereka.

    Salah satu fokus utama NAP 2020 adalah berkenaan Next Generation Vehicles (NxGV), yang mana akan diberi sokongan oleh UMWT apabila spesifikasi serta jangkaannya lebih jelas. Syarikat ini juga berharap kerajaan dapat terus memberikan insentif untuk tempoh masa yang mencukupi, supaya boleh menyokong pelaburan yang telah dibuat dan memberi pulangan yang berbaloi.

    “Kami percaya kilang di Bukit Raja dilengkapi dengan teknologi, tenaga kerja mahir dan kapasiti yang cukup untuk bergerak selari dengan visi kerajaan untuk membangunkan industri negara kepada Industry Revolution 4.0 (IR 4.0),” kata Ravindran.

    Beliau juga memberitahu UMWT sedang merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model hibrid CKD pada masa hadapan sambil menambah, “kami menyeru kerajaan untuk memberi sokongan dengan meningkatkan insentif yang diberi, untuk memajukan lagi pasaran hibrid di Malaysia.”

    Naib pengerusi UMWT, Akio Takeyama pula berkata, “kami sentiasa berterima kasih kepada kementerian dan agensi untuk bimbingan, sokongan serta kerjasama yang diberi, dan kami pasti akan melakukan bahagian kami untuk membantu membangunkan bukan sahaja industri automotif Malaysia, tetapi juga untuk memberi semula kepada masyarakat.”

     
     
  • Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Ramai yang tahu Polestar adalah jenama talaan untuk Volvo, namun ia kini telah “dibebaskan” dan fokus kepada penghasilan kereta sport sebenar dengan janakuasa elektrifikasi. Persoalannya, adakah jenama ini akan di bawa ke Malaysia secara rasmi pada masa akan datang?

    Ketika perasmian pusat 3S terbesar Volvo Cars Malaysia (VCM) iaitu Volvo Ara Damansara milik Sime Darby Swedish Auto semalam, kami sempat bertanya kepada pengarah urusan VCM, En. Nalin Jain berkenaan perkara ini. Beliau mendedahkan, pihaknya memang sudah mula membincangkan untuk membawa Polestar ke Malaysia, tetapi buat masa ini mereka masih belum memuktamadkan apa-apa keputusan.

    Setelah sah dipisahkan dari Volvo pada September 2017, Polestar telah mendedahkan model produksi pertamanya yang digelar Polestar 1. Coupe ini dihasilkan dari Scalable Platform Architecture (SPA) sama seperti sedan Volvo S90 bersama unit janakuasa plug-in hybrid menyerupai sistem T8 Twin Engine pada model-model Volvo – dengan enjin petrol suapan turbo dan supercharger memacu roda hadapan, dan dua buah motor elektrik bersama set gear planetari bebas pada kedua-duanya – dapat dikawal menerusi sistem agihan Torque Vectoring.

    Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Gabungan kesemua keseluruhan unit janakuasa tersebut akan menghasilkan 600 hp dan tork maksima gergasi 1,000 Nm., manakala sebahagian besar badan kereta ini pula dibina dengan material polimer diperkukuh gentian karbon (carbon-fibre reinforced plastic atau CFRP) membolehkan ia mencapai pengurangan berat sehingga 230 kg.

    Walau bagaimanapun, sekira Polestar jadi untuk dijual di Malaysia, kita mungkin akan menerima Polestar 2 iaitu sedan sport empat-pintu elektrik sepenuhnya yang dihasilkan dari model konsep Volvo 40.2. Direka bagi memberikan saingan terus kepada Telsa Model 3, Polestar 2 ini dijana oleh motor elektrik sepenuhnya dengan kuasa 408 hp dan tork maksima 660 Nm.

    Namun selari dengan aspirasi Volvo Car untuk mencapai status karbon neutral pada tahun 2040, En. Nalin menjelaskan syarikatnya kini sedang serius untuk membawa Volvo XC40 Recharge ke Malaysia. Model Recharge ini adalah versi dengan unit janakuasa elektrik sepenuhnya SUV kompak Volvo XC40, yang kini dijual dalam pasaran tempatan dengan versi T5 AWD R-Design dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 252 hp/350 Nm.

    Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Untuk XC40 Recharge, ia gerakkan dengan dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar – dan mampu menghasilkan 402 hp (408 PS atau 300 kW) dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan SUV elektrik ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

    Kedua-dua motor tersebut menerima bekalan kuasa dari bateri lithium ion 78 kWh, membolehkan ia bergerak sejauh 400 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. Sekiranya bateri tersebut habis, ia akan mengambil masa selama 7.5 jam untuk dicas penuh, menggunakan sambungan AC Type 2 dan pengecas three-phase 11 kW.

    Ia juga diberikan sistem pengecas DC sehingga 150 kW dengan sambungan CCS, di mana ia cuma akan mengambil masa 40 minit untuk dicas dari kosong ke 80% – soket pengecas terletak di sebelah kiri kenderaan.

    Selain dari berusaha untuk memperkenalkan model-model lebih mesra alam ini, VCM turut mula menjalankan aktiviti bagi mencapai sasaran karbon neutral berkenaan. Kini, semua jaringan pengedar Volvo di Malaysia tidak lagi menggunakan bahan plastik dan juga brosur yang dicetak di atas kertas, sebaliknya menggunakan tablet bagi menyampaikan maklumat (Volvo menggelarnya sebagai Jurujual Digital Senyap) dan juga pinggan-mangkuk yang boleh diguna semula. “Kemampanan bermula dengan kita”, tegas En Nalin.

     
     
  • Perodua sokong penuh matlamat NAP 2020; teruskan usaha memperkasakan industri auto tempatan

    Perodua sokong penuh matlamat NAP 2020; teruskan usaha memperkasakan industri auto tempatan

    Susulan dengan pelancaran Dasar Automotif Nasional(NAP) 2020 oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pagi tadi, Perodua menyatakan sokongan penuh mengenai keseluruhan perancangan dan matlamat dalam merintis pertumbuhan industri automotif negara bagi tempoh sepuluh tahun ke hadapan, hingga tahun 2030 kelak.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, NAP 2020 yang diumumkan ini memperlihatkan konsistensi dalam dasar kerajaan untuk membawa ekosistem automotif Malaysia ke peringkat seterusnya. Ini dapat dilihat dengan sokongan berterusan terhadap lokalisasi komponen yang merupakan tulang belakang industri automotif negara.

    “Sepanjang dekad yang lalu, Perodua telah membeli komponen berjumlah RM43.5 bilion daripada pembekal tempatan – dengan RM5.4 bilion pada tahun lepas sahaja – dan tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan hampir RM6 bilion untuk membeli komponen automotif tempatan.

    “Sejumlah pembelian ini mengekalkan dan memperkasakan ekosistem automotif Malaysia, sekaligus menyumbang kepada ekonomi, pekerjaan dan pembangunan negara,” ujarnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

    Perodua sokong penuh matlamat NAP 2020; teruskan usaha memperkasakan industri auto tempatan

    Mengenai komitmen kerajaan untuk meneruskan program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), katanya, Perodua merupakan pengeluar EEV pertama dan terbesar di Malaysia. Setakat ini, Perodua telah menghasilkan dan menjual lebih 800,000 EEV.

    Seterusnya,Perodua turut menyatakan sokongan terhadap Industri 4.0 yang menjadi salah satu daripada tiga arah tuju utama NAP 2020. Ia merangkumi penggabungan teknologi, khususnya penggabungan teknologi komunikasi dengan automotif. Zainal berkata, pihaknya telah pun membuka langkah di dalam bidang ini untuk produk-produk keluaran syarikat tersebut.

    “Mengenai teknologi autonomi pula, Perodua, dengan bimbingan rakan teknikal dan teknologi, Daihatsu Motor Company of Japan, telah pun membuka langkah dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) dan yang paling penting, kami telah menjadikannya mampu dimiliki orang ramai.

    Teknologi ini akan ditambahbaik sejajar dengan matlamat kami untuk memberikan mobiliti kepada rakyat Malaysia yang lebih selamat dan menawarkan nilai yang lebih baik,” ujarnya lagi.

     
     
  • Biodiesel B30 akan dilaksana menjelang 2025 – PM

    Biodiesel B30 akan dilaksana menjelang 2025 – PM

    Malaysia akan mengambil langkah lebih ke hadapan dalam penggunaan biodiesel, di mana menurut perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelang 2025 biodiesel B30 pula akan ditawarkan dalam pasaran. Perkara ini diumumkan waktu majlis pembentangan NAP 2020 di Kuala Lumpur pagi ini.

    Semalam, program biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan baru saja dilancarkan, di mana bahan api biodiesel B20 yang melibatkan campuran 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum telah mula beredar secara berperingkat, dimulakan dengan Langkawi dan Labuan pada Januari 2020.

    Ini akan diteruskan pula ke Sarawak pada April 2020, Sabah pada Ogos 2020 dan seluruh Semenanjung pada bulan Jun 2021. Sebelum ini, sejak 1 Februari 2019, kerajaan telah melaksanakan program biodiesel B10 (10% PME, 90% diesel) bagi sektor pengangkutan. Ini disusuli pula dengan program B7 (7% PME, 93% diesel) bagi sektor industri sejak 1 Julai 2019.

    Biodiesel B30 akan dilaksana menjelang 2025 – PM

    Bersama dengan syarikat-syarikat petroleum utama di negara ini, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berperingkat ke lebih daripada 3,400 stesen minyak seluruh negara seperti yang dinyatakan. Pelaksanaan menyeluruh dijangka akan dapat disempurnakan pada pertengahan tahun 2021.

    Namun, pengguna bagi sektor pengangkutan masih lagi mempunyai pilihan untuk mendapatkan diesel Euro 5 B7 yang kekal dijual di stesen-stesen minyak tertentu. Begitu juga dengan stesen-stesen minyak di kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang; kawasan-kawasan ini masih akan mengedarkan biodiesel B7.

     
     
  • MINI Countryman Blackheath Edition di Malaysia – terhad 48 unit, enjin MINI TwinPower Turbo, RM254k

    MINI Countryman Blackheath Edition di Malaysia – terhad 48 unit, enjin MINI TwinPower Turbo, RM254k

    MINI Malaysia telah pun memperkenalkan model MINI Countryman Blackheath Edition edisi terhad yang hadir dalam warna hitam menawan, ilham daripada rimba gelap Blackheath yang terletak di Tenggara London, United Kingdom. Hanya 48 unit sahaja yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM253,888.

    Model edisi terhad ini merupakan MINI Countryman yang pertama dijanakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo, digandingkan dengan Transmisi Dwi-Klac Sport tujuh-Kelajuan. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 192 hp dan tork 280 Nm. Bagi pecutan dari 0-100 km/j, ia boleh dicapai dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum pula cecah 225 km/j. Bagi penggunaan bahan apinya, dianggarkan sekitar 6.6 liter bagi setiap 100 km dan emisi CO2 pula berjumlah 151 g/km.

    Bagi memantapkan lagi prestasinya, ia turut dilengkapi sistem kawalan elektronik yang menawarkan pelbagai ciri-ciri kefungsian yang progresif untuk meningkatkan tahap efisiensi jentera ini, termasuk penggunaan fungsi mula/henti enjin untuk mengelakkan penggunaan bahan api yang tidak perlu ketika berhenti di persimpangan.

    Selain itu, ia juga menampilkan mod pemanduan “MID” dan “GREEN” di mana rangkaian pemacu (drivetrain) dibebaskan sebaik sahaja pemandu berhenti menekan pedal pemecut. Ia membolehkan jentera MINI ini meluncur pada kelajuan melahu (idling speed) – bebas daripada sebarang efek pembrekan enjin dan pada tahap penggunaan bahan api yang minimum.

    Ditawarkan secara eksklusif dalam warna “Midnight Black”, iaitu penawaran warna luaran yang pertama bagi generasi MINI Countryman ini, ia turut menampilkan jaluran bonet bertona matte dalam warna Brushed Aluminium. Selain itu, eksklusif untuk Blackheath Edition, kemasan MINI Accessories dalam warna Piano Black menyerlahkan sisi gelap MINI Countryman yang mempesonakan. Kemasan ini turut diserlahkan pada lampu hadapan dan belakang, gril hadapan, pemegang pintu, emblem hadapan dan belakang serta lencana Countryman pada bonet jentera.

    Ciri luaran lain yang turut ditampilkan pada model edisi terhad ini termasuklah lampu kabus LED baharu, perumah cermin aerodinamik yang pertama kali diperkenalkan menerusi MINI John Cooper Works Countryman 306HP yang dilancarkan tahun lalu. Selain itu, MINI Countryman Blackheath Edition hadir dengan set roda John Cooper Works Circuit Spoke 19-inci dengan tayar “run-flat” kit John Cooper Works Aerodynamic.

    Untuk bahagian kabinnya, material bumbung Anthracite ditampilkan bagi menyerlah imej sofistikatednya, ditambah pula dengan kerusi sport bermaterialkan kulit Cross Punch dalam warna hitam karbon. Selain itu, ia turut diserikan dengan kemasan MINI Yours Illuminated dalam warna Piano Black termasuk pencahayaan ambien 12-warna.

    MINI Countryman Blackheath Edition di Malaysia – terhad 48 unit, enjin MINI TwinPower Turbo, RM254k

    Elemen lain termasuklah sistem bunyi Harmon Kardon dengan 12-pembesar suara, sistem navigasi MINI denggan skrin sesentuh 8.8-inci, MINI Connected dengan teknologi SIM 4G terintegrasi yang turut berfungsi untuk Panggilan Kecemasan Pintar dan MINI TeleServices. Selain itu, ciri yang dikemaskini termasuk aplikasi MINI Connected yang merangkumi Servis Rencam (Concierge Services), Apple CarPlay dan MINI Online termasuk untuk informasi jadual perjalanan serta Servis Jarak Jauh MINI (MINI Remote Services).

    Dengan harga bermula RM253,888 (atas jalan, tanpa insurans), MINI Countryman Blackheath Edition terbaharu ini turut ditawarkan dengan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan, Servis Berjadual Percuma dan program Bantuan Tepi Jalan lima-tahun

    MINI Malaysia menerusi BMW Group Financial Services Malaysia turut menawarkan “Balloon Financing” bagi pemilikan MINI Countryman Blackheath Edition terbaharu bermula daripada RM2,908 setiap bulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

     
     
  • Modenas Ninja 250 ABS – enjin Euro 4, satu daripada lapan model Modenas yang akan dilancar tahun ini

    Modenas Ninja 250 ABS – enjin Euro 4, satu daripada lapan model Modenas yang akan dilancar tahun ini

    Nampaknya, hasil pertama daripada pengumuman Modenas akan memasang dan memasarkan model Kawasaki dalam Malaysia sudah pun boleh dilihat. Ia dipamerkan waktu majlis pembentangan polisi automotif negara (NAP) di Kuala Lumpur hari ini.

    Model Kawasaki pertama yang ditunjukkan oleh Modenas ini sebenarnya adalah Ninja 250 ABS, dengan warna badan serba hitam serta grafik emas. Menurut wakil Modenas, ini juga adalah model dengan penarafan Euro 4, dan Malaysia menjadi negara Asia Tenggara pertama menerimanya, selepas Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun. Model yang dilancarkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) pada tahun 2018 pula adalah model penarafan Euro 3 dengan harga RM23,071.

    Tiada sebarang perubahan yang dapat dilihat, diberi oleh Modenas pada model ini, kecuali satu pelekat di penghadang angin depan, dan anda masih boleh melihat jenama Kawasaki pada beberapa bahagian termasuk panel badan dan penutup enjin.

    Ninja 250 ABS dikuasakan oleh enjin dua silinder selari berpenyejukan cecair 249 cc DOHC, dengan kuasa 37 PS pada 12,500 rpm dan 23 Nm tork pada 10,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan, dengan klac jenis assist & slipper. Suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang.

    Setakat yang diketahui, Modenas dan Kawasaki Heavy Industries (KHI) kini masih dalam perbincangan untuk menentukan tugas masing-masing dalam kerjasama ini, dan kilang pemasangan di Gurun, Kedah sedang dipersiapkan untuk pemasangan model Kawasaki ini.

    Mengikut berita sebelum ini, beberapa model Kawasaki bawah 750 cc akan dilancarkan oleh Modenas tahun ini dan dalam perkembangan terbaru, Modenas menyatakan keseluruhannya ada lapan model (sebahagian adalah model Kawasaki, sebahagian lagi adalah model lain) dan Ninja 250 ABS dijangka masuk pasaran pada pertengahan kedua ini.

    Kami juga ada mendapat khabar kemungkinan Ninja ini bukanlah satu-satunya model 250 cc Kawasaki yang akan dilancarkan, sekaligus kita boleh menjangka Z250 atau Versys 250 juga bakal tiba. Melalui KMSB, Z250 dijual pada harga RM21,998 manakala Versys 250 RM23,789.

     
     
  • NAP 2020 dilancarkan, beri tumpuan kepada teknologi baru, kerangka visi bagi tempoh 10 tahun akan datang

    NAP 2020 dilancarkan, beri tumpuan kepada teknologi baru, kerangka visi bagi tempoh 10 tahun akan datang

    Setelah tertangguh beberapa kali, Dasar Automotif Kebangsaan 2020 (NAP 2020) akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. Ia bakal menjadi kerangka matlamat dalam merintis pertumbuhan industri automotif negara bagi tempoh sepuluh tahun ke hadapan, hingga tahun 2030 kelak.

    Dengan ini, kerajaan juga turut menetapkan Visi Automotif Kebangsaan dengan matlamat untuk menjadikan Malasysia sebagai pelopor di rantau ini di dalam sektor pengilangan, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mapan bagi sektor automotif.

    Hasrat keseluruhan NAP 2020 adalah untuk menjadi pemangkin bagi kajian dan teknologi-teknologi baru, penciptaan perniagaan dan peluang pekerjaan bagi SME, serat mengenalpasti proses pengilangan baru serta rantaian nilai dalam kalangan penggiat sektor automotif tempatan serta untuk keseluruhan sektor mobiliti.

    NAP 2020 dilancarkan, beri tumpuan kepada teknologi baru, kerangka visi bagi tempoh 10 tahun akan datang

    Ekosistem pengilangan dan sektor aftermarket di dalam industri automotif dan mobiliti juga akan diperkembangkan dengan tumpuan diberikan antaranya kepada apa yang dikenali sebagai Generation Vehicles (NxGVs), Mobility as a Service (MaaS) dan juga Industry 4.0 bagi tempoh tahun 2020 hingga 2030.

    Untuk memastikan matlamat yang digariskan itu dicapai, NAP 2020 terdiri daripada tiga teras arah tuju utama, serta tiga stretegi khusus yang akan dilengkapkan juga oleh tujuh pelan jangka masa panjang atau blueprint yang akan dilaksanakan sehingga tahun 2030.

    Tiga arah tuju utama yang dimaksudkan ialah; Pertama, teknologi dan kejuruteraan – untuk membangunkan sistem serta komponen kritikal bagi NxGVs, MaaS dan Industry 4.0. Ini termasuklah sistem dan komponen di dalam Automated,Autonomous, Connected Vehicles (AACV); teknologi Industrial Revolution 4.0 (IR4.0); teknologi bahan ringan serta kenderaan hibrid, elektrik dan fuel cell.

    NAP 2020 dilancarkan, beri tumpuan kepada teknologi baru, kerangka visi bagi tempoh 10 tahun akan datang

    Kedua ialah pelaburan. Keadah “customised incentives” akan diteruskan berdasarkan pendekatan “cost benefit analysis” khusus bagi setiap cadangan perniagaan secara berasingan oleh pelabur. Manakala teras ketiga pula ialah perluasan pasaran, bertujuan untuk memperkenalkan kaedah bagi meningkatkan perkembangan eksport, tidak hanya bagi kenderaan dan komponen tetapi merangkumi sektor aftermarket dan servis.

    Strategi yang digariskan di bawah NAP 2020 pula terdiri daripada; Pertama, Pembangunan Rantaian Nilai – merancakkan lagi daya saing dalam kalangan rantaian nilai tempatan ke arah mencapai penghasilan produk teknologi berkualiti tinggi yang menepati piawaian pengeluar kenderaan di masa hadapan dan juga keperluan pengguna.

    Strategi kedua ialah pembangunan modal manusia – membangunkan bakat-bakat tempatan agar selari dengan permintaan semasa dan juga masa hadapan terhadap teknologi automotif dan mobiliti. Manakala yang ketiga, keselamatan, alam sekitar dan kepenggunaan – bertujuan untuk mempromosi menerapan elemen teknologi baru dengan elemen yang lebih mesra pengguna bagi menyelesaiakan isu pembebasan sisa bakar, keselamatan kenderaan dan memperkenalkan elemen untuk melindungi hak pengguna berkaitan alat ganti dan perkhidmatan lain seperti penyelenggaraan dan proses panggilan semula.

    NAP 2020 dilancarkan, beri tumpuan kepada teknologi baru, kerangka visi bagi tempoh 10 tahun akan datang

    Pelan pelaksanaan dan blueprint dengan segala perinciannya di bawah NAP 2020 ini juga akan dinilai semula dan dikemaskini dari semasa ke semasa untuk membolehkannya kekal relevan ketika berhadapan dengan gangguan corak global, teknologi dan permintaan. Pelancaraan NAP 2020 ini akan diikuti dengan kempen-kempen jangkauan, repositori maklumat, persidangan dan pertemuan dengan pihak berkepentingan untuk memastikan Visi Automotif Kebangsaan boleh dijadikan kenyataan.

    Antara sasaran yang ditetapkan terhadap NAP 2020 bagi tempoh sehingga tahun 2030 ini antaranya ialah bakal menyumbang kepada pendapatan dalam negara kasar (GDP) sebanyak RM104.2 bilion; jumlah pengeluaran keseluruhan kendearan sebanyak 1.47 juta unit; jumlah keseluruhan industri sejumlah 1.22 juta unit; eksport kenderaan CBU sebanyak RM12.3 bilion; eksport komponen dan alatan automotif baru berjumlah RM28.3 bilion; eksport alatan dan komponen yang dikilangkan semula sebanyak RM10 bilion; serta mewujudkan sebanyak 323,000 peluang pekerjaan.

     
     
  • Teaser kereta nasional ketiga DreamEdge dipamer – “seronok untuk dipandu, hasil tempatan sepenuhnya”

    Teaser kereta nasional ketiga DreamEdge dipamer – “seronok untuk dipandu, hasil tempatan sepenuhnya”

    Menerusi laporan sebelum ini, prototaip kereta nasional ketiga yang diumumkan pada tahun lalu sepatutnya akan didedahkan kepada umum pada pertengahan tahun ini. Namun ketika berlangsungnya pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 hari ini di Menara MITI Kuala Lumpur, pihak yang menerajui projek ini, DreamEdge telah mempamerkan teaser untuk prototaip kereta berkenaan.

    Kereta tersebut diletakkan dalam sebuah kotak besar, dengan satu cermin kecil yang gelap untuk mengintai ke dalam. Prototaip ini juga diselubung dengan kain penutup, dan hanya bahagian lampu hadapan kanan dan lampu belakang kiri didedahkan.

    Menerusi sedikit bahagian bampar yang terdedah, kereta ini nampaknya diberikan warna matte hitam. Untuk lampu hadapan, ia hadir dengan jalur lampu nyalaan siang LED yang diletakkan seperti kening, bersama lampu utama projektor dan juga lampu isyarat membelok jenis mentol biasa.

    Manakala untuk lampu belakang pula ia turut diberikan teknologi LED dan kelihatan rekaan dari Audi. Di bawah bampar, ia hadir dengan kemasan melintang berwarna hitam berkilat, bersama satu jalur yang mungkin reflektor atau mungkin lampu kabus jenis LED bagi menggantikan lampu jenis mentol konvensional pada kereta biasa.

    DreamEdge belum mendedahkan sebarang spesifikasi terperinci berkenaan kereta ini, tetapi diluar kotak pameran tersebut ada menyatakan berberapa perkara. Menurut syarikat kejuruteraan digital yang berpangkalan di Cyberjaya ini, kereta ini akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.

    Kereta ini juga akan menggunakan teknologi tinggi terkini bagi memindahkan pengetahuan menerusi proses lokalisasi, dan seterusnya akan mewujudkan ekosistem teknologi baharu. DreamEdge turut menjanjikan bahawa kereta ini kelak akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang.

    Teaser kereta nasional ketiga DreamEdge dipamer – “seronok untuk dipandu, hasil tempatan sepenuhnya”

    Dari segi rekaan teknologi lain, DreamEdge menyatakan kereta ini akan menerima “rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini.”

    Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.

    Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

    Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

    Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.

     
     
  • 919 pemandu mabuk ditahan pada tahun 2019, pindaan akta dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga ini

    919 pemandu mabuk ditahan pada tahun 2019, pindaan akta dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga ini

    Sejak kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan berita kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk yang ada juga menyebabkan kematian. Berita demi berita yang dilaporkan ini memang cukup mengundang kemarahan rakyat Malaysia yang mendesak agar kerajaan memberikan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk, di bawah pengaruh dadah dan juga memandu dalam keadaan cuai.

    Pada tahun 2019, dilaporkan seramai 919 individu ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk, meningkat seramai 57 orang berbanding 862 orang pada tahun 2018.

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar kerajaan akan meneruskan usaha meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk agar kemalangan jalan raya khususnya yang mengakibatkan kecederaan dan kematian dapat dikurangkan.

    Beliau berkata pindaan yang melibatkan kajian pelbagai aspek antaranya hukuman lebih berat dan had kandungan alkohol dalam darah pemandu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai depan.

    “Di peringkat kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta semua yang terlibat dalam urusan meminda undang-undang ini telah pun digerakkan dan terdapat beberapa perkara yang kita kena perincikan.

    “Memandu di bawah pengaruh alkohol telah diperketatkan di beberapa negara serta peringkat antarabangsa dan kita berhasrat mengikut standard antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan oleh
    Bernama.

    919 pemandu mabuk ditahan pada tahun 2019, pindaan akta dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga ini

    Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman terhadap kesalahan itu dengan hukuman penjara bagi pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian akan ditingkatkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini. Bukan itu sahaja, pesalah terbabit juga berhadapan dengan hukuman denda sehingga RM100,000.

    Buat masa ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

    Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

    Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

     
     
  • Pelancaran NAP 2020 bakal berlangsung pagi ini – ikuti perkembangan selanjutnya bersama kami

    Pelancaran NAP  2020  bakal berlangsung pagi ini – ikuti perkembangan selanjutnya bersama kami

    Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bakal dilancarkan pagi ini oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami akan membawakan berita secara langsung mengenai segala yang diumumkan menerusi NAP 2020 tersebut.

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini,NAP 2020 akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030. Di mana pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.

    Teruskan bersama kami untuk mengetahui perincian lebih lanjut mengenai NAP 2020.

     
     
  • Proton Iriz R5 akan dipandu Nabila Tejpar, juara Rali British Wanita dua kali dipusingan kedua BRC 2020

    Proton Iriz R5 akan dipandu Nabila Tejpar, juara Rali British Wanita dua kali dipusingan kedua BRC 2020

    Selepas memberikan peluang kepada pemandu muda, James William pada pusingan pertama Kejuaraan Rali British (BRC) 2020 di Cambrian Rally awal bulan ini, Mellors Elliot Motorsport (MEM) bakal memberikan tempat kepada seorang lagi pemandu yang sedang meningkat naik, kali ini lebih feminin – juara Rali British Wanita untuk musim 2017 dan 2018, Nabila Tejpar.

    Ini bukan kali pertama untuk Nabila memandu Proton, kerana pelumba berumur 26 tahun dari Essex, England ini memulakan kariernya dengan Proton Satria 2WD pada tahun 2015. Dengan memandu Iriz R5 berkuasa 340 PS AWD, ini bermakna Nabila perlu bertanding dalam kelas utama yang lebih mencabar, berbanding kelas R2 dengan kereta 200 hp pacuan hadapan yang dipandunya sebelum ini.

    MEM akan menugaskan Nabila untuk menggalas tugas pada pusingan-pusingan BRC yang diadakan pada permukaan tar pada musim ini, dibantu oleh juruarah dari Portugal, Hugo Magalhães.

    “Saya teruja untuk mengumumkan saya akan bertanding dalam pusingan-pusingan terpilih Kejuaraan Rali British dengan Proton Iriz R5 musim ini, menumpukan kepada perlumbaan permukaan aspal yang termasuk West Cork, Clacton, Ypres dan Ulster,” kata Tejpar.

    “Ini benar-benar merupakan impian menjadi kenyataan buat saya dan tak dapat untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dan semua bantuan mereka bagi membawa saya sejauh ini. Sudah tentu, ini adalah loncatan yang besar dalam karier saya dan saya tidak akan menjangkakan ia adalah mudah dalam apa jalan sekalipun tetapi terlibat dengan program R5 ini amat bermakna buat saya,” tambahnya lagi.

    Pada pusingan pertama BRC 2020 di Rally Cambrian yang berlangsung 8 Februari lalu, pemandu utama MEM, Oliver Mellors berjaya mengutip 14-mata setelah berada di tempat keempat. Dia diikuti seorang lagi pemandu Proton Motorsport, James Williams yang menamatkan rali tersebut di tempat kelima.

    Selepas ini, BRC akan bergerak ke Republik Ireland untuk pusingan kedua, Rali West Cork yang akan berlangsung dari 14 hingga 15 Mac.

     
     
  • Suzuki dilapor akan ke Malaysia semula dengan Naza

    Suzuki dilapor akan ke Malaysia semula dengan Naza

    Tahun lalu ada ura-ura bahawa Suzuki akan ke Malaysia semula menerusi Berjaya Group, dan ia kekal sebagai khabar angin semata-mata. Namun hari ini, berita yang hampir sama bertiup semula – menurut laporan dari Malaysian Reserve, jenama berkenaan dikhabarkan akan kembali ke sini dengan Naza Group.

    Laporan tersebut memetik sumber dari industri mengatakan bahawa terdapat rundingan antara kedua-dua pihak yang dinyatakan dan ia dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Dalam rundingan itu, Suzuki mungkin akan kembali ke pasaran Malaysia pada awal tahun ini.

    “Kedua-dua pihak akan melalui berberapa penilaian ke atas perjanjian ini. Mereka kini sudah pun berada di peringkat terakhir bagi memuktamadkan perjanjian kerjasama,” kata sumber yang rapat dengan perkara ini kepada Malaysian Reserve. Sumber ini turut menyatakan tiada rancangan untuk menghasilkan model-model pemasangan tempatan (CKD), jadi hanya model-model yang sangat berpotensi akan di bawa masuk.

    Empat tahun lalu, Suzuki Malaysia Automobile yang memasang hatchback segmen-B Swift di kilang Hicom Automotive Manufacturers Pekan, Pahang menutup operasinya setelah menandatangani MoU bersama Proton dan DRB-Hicom untuk membolehkan jenama automotif nasional itu mendapat akses kepada model-model, platform, unit janakuasa serta teknologi automotif Suzuki.

    Ini membawa kepada pelan rasionalisasi yang turut menutup operasi jualan Suzuki di Malaysia, dan pada Januari 2016 kesemua 29 outlet pengedar Suzuki di seluruh negara telah ditransformasikan kepada outlet Proton Edar.

    Kerjasama ini telah membolehkan MPV segmen-B Suzuki Ertiga dihasilkan sebagai Proton Ertiga, dan kemudian versi kemaskini Proton Ertiga Xtra diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.

    Berita berkenaan jenama ini akan kembali ke Malaysia kedengaran buat pertama kali pada Julai 2019. Walau bagaimanapun tidak lama selepas itu, Berjaya Group menafikan khabar berkenaan dan menyatakan bahawa para lembaga pengarah mereka juga tidak mengetahui dan turut tidak merancang perkara tersebut.

     
     
  • Peugeot Landtrek akan masuk pasaran Afrika, Amerika Latin penghujung tahun 2020, dua pilihan enjin

    Peugeot Landtrek akan masuk pasaran Afrika, Amerika Latin penghujung tahun 2020,  dua pilihan enjin

    Peugeot telah memperkenalkan trak pikap Landtrek, yang akan dipasarkan di negara Afrika dan Amerika Latin dalam bentuk chassis cab, single cab dan double cab, dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Model ini sebenarnya menggunakan asas daripada Changan Kaicheng F70, yang dilancarkan di China November tahun lepas.

    Menurut Peugeot, Landtrek telah melalui ujian lebih dua juta kilometer dalam pelbagai keadaan cuaca dan jenis jalan, sambil menawarkan kapasiti menunda 3.5 tan, kemampuan offroad yang bagus dan mudah dibaik pulih. Ia juga didakwa mempunyai ruang kargo paling besar dalam segmennya, dengan kemampuan membawa barang sehingga 1.2 tan bergantung kepada versi dan dilengkapi dengan lampu LED dan soket 12v.

    Dalam bentuk double cab, Landtrek mempunyai panjang 5.33 meter (single cab 5.39 meter), dan menggunakan konsep rekaan jenama itu seperti gril dengan kemasan menegak, logo singa di tengah dan lampu LED menegak.

    Peugeot Landtrek akan masuk pasaran Afrika, Amerika Latin penghujung tahun 2020,  dua pilihan enjin

    Yang lebih menarik sebenarnya adalah rekaan bahagian dalam, di mana ia seperti mendapat banyak inspirasi daripada sedan 508, dengan kelengkapan seperti roda stereng dua cabang, sistem pendingin hawa dua zon automatik serta sistem infotainmen skrin sesentuh definisi tinggi 10 inci dengan sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan hard drive 10 GB.

    Untuk tempat duduk hadapan, terdapat dua tetapan yang boleh dipilih, dengan yang pertama, dua tempat duduk seperti biasa dan perehat tangan di tengah, dan satu lagi Multiflex yang bersambung seperti bangku (tiga orang di hadapan) – tempat duduk di tengah juga boleh dilipat.

    Pergi pula ke tempat duduk belakang, ia boleh dilipat 60/40 dan apabila dilipat boleh menampung berat barang sehingga 100 kg. Selain itu, dalam ruang kabin juga terdapat ruang simpanan 27 liter. Untuk kelengkapan keselamatan, ia termasuk enam beg udara, ESP, Hill Descent Control, ASR untuk kedua-dua versi 4×2 dan 4×4, Lane Departure Warning, Trailer Swing Control dan dua cagak Isofix di tempat duduk belakang.

    Peugeot Landtrek akan masuk pasaran Afrika, Amerika Latin penghujung tahun 2020,  dua pilihan enjin

    Landtrek boleh dipilih dengan empat kamera, termasuk yang memaparkan pandangan 360 darjah. Boleh didapati dalam versi pacuan dua roda dan empat roda, Landtrek dikuasakan oleh sama ada enjin diesel 1.9 liter VGT berkuasa 150 hp dan 350 Nm bersama padanan kotak gear manual enam kelajuan Getrag atau enjin petrol 2.4 liter turbo berkuasa 210 hp dan 320 Nm. Unit petrol ini boleh dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan Getrag atau automatik enam kelajuan Punch dengan mod Sport dan Eco.

    Pelanggan juga boleh memilih pelbagai lagi aksesori yang disediakan untuk Landtrek ini termasuk untuk bahagian luar dan dalam. Ia dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun 2020 di Amerika Latin dan Afrika sub-Sahara.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Mazda CX-5 2.5T AWD CKD – RM178k

    Dengan pengenalan Mazda CX-5 CKD untuk pasaran tempatan Oktober tahun lalu, ada perkara yang berubah berkaitan penawaran bagi model SUV berkenaan. Antaranya ialah penggunaan enjin baru 2.5 liter turbo AWD yang ditampilkan dalam video ini.

    Enjin baru berkenaan kini melengkapi varian paling tinggi CX-5 2.5 AWD High, dengan janaan kuasa sebanyak 228 hp pada 5,000 rpm manakala tork pula sebanyak 420 Nm seawal 2,000 rpm. Jadi, varian ini menggantikan model 2.2L diesel sebelum ini sebagai varian paling tinggi.

    Versi diesel bagaimanapun masih ada, kekal dengan enjin SkyActiv-D 2.2 liter turbodiesel empat-silinder yang menghasilkan 188 hp pada 4,500 rpm dan tork maksimum 450 Nm dari 2,000 rpm. Varian lain masih kekal dengan unit penjana sama; unit 2.0L SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 162 hp pada 6,000 rpm dan tork 213 Nm pada 4,000 rpm.

    Begitu juga varian 2.5 2WD High, unit penjana SkyActiv-G 2.5 liter – tanpa turbo – masih ditawarkan, dengan janaan kuasa sebnyak 192 hp pada 6,000 rpm dan tork maksimum 258 Nm pada 4,000 rpm. Jadi, yang ditampilkan di dalam video ini ialah varian paling tinggi bagi Mazda CX-5 yang ditawarkan ketika ini.

    Selepas tonton video ini, adakah anda rasa bahawa CX-5 kini mempunyai pakej penawaran paling menarik bagi SUV segmen C di Malaysia? Atau, adakah harganya yang agak tinggi menjadi faktor penentu sekiranya anda berkira-kira untuk mencari sebuah SUV keluarga? Turunkan komen jika anda ada pandangan yang berbeza.

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition 2021 diperkenal – FK8 paling hardcore, jelmaan semula EK9 Type R

    Honda Civic Type R Limited Edition 2021 diperkenal – FK8 paling hardcore, jelmaan semula EK9 Type R

    Honda Civic Type R bermula dengan model turbo pertama iaitu FK2, sudah tidak lagi dibina dengan prinsip sama seperti model-model terdahulu yang amat mementingkan aspek ringan sebagai senjata – EK9 misalnya tidak mempunyai pengelap cermin belakang, dan sistem pendingin hawa hanya ditawarkan sebagai opsyen kerana mahu mengurangkan berat. Mungkin mahu mengembalikan semangat ini, Honda memperkenalkan model Limited Edition untuk FK8, yang diberikan aspirasi asli Type R!

    Versi ini dihasilkan 47 kilogram lebih ringan dari versi FK8 facelift 2021 yang baru sahaja diperkenalkan secara rasmi bulan ini, dan dibuat hanya 100 unit bagi pasaran Eropah dan 600 unit untuk Amerika Syarikat.

    Bagi mengurangkan berat tersebut, Honda melakukan perkara yang hampir sama yang dilakukan untuk EK9 Type R termasuk mengurangkan penebat-penebat bunyi, dan membuang berberapa ciri yang tidak penting untuk kelajuan termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio dan juga sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang.

    Ia juga menerima set rim aluminium forged yang lebih ringan buatan BBS, tetapi masih mengekalkan diameter yang sama iaitu 20-inci. Honda turut turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Honda Civic Type R Limited Edition 2021 diperkenal – FK8 paling hardcore, jelmaan semula EK9 Type R

    Dari segi rupa luaran, model edisi terhad ini masih lagi kekal sama dengan versi facelift standard. Tetapi ia hadir dalam hanya satu warna iaitu Phoenix Yellow, yang begitu sinonim dengan Civic Type R EK9, khususnya yang pernah ditala oleh tuner lagenda Honda, Spoon.

    Model ini juga diberikan kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

    Walaupun sangat racing, Type R Limited Edition ini masih diberikan pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong dengan amaran dan juga cruise control adaptif.

    Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026