Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki XL7 2020 dilancarkan di Indonesia – SUV 7-tempat duduk, 1.5L, 105 PS/138 Nm, dari RM70k-RM81k

    Suzuki XL7 2020 dilancarkan di Indonesia – SUV 7-tempat duduk, 1.5L, 105 PS/138 Nm, dari RM70k-RM81k

    Suzuki telah pun melancarkan XL7 di Indonesia, SUV tiga-barisan tujuh-tempat duduk yang dipasang di kilang pengeluar tersebut di Cikarang. Terdapat tiga varian yang ditawarkan, bermula model asas Zeta, spesifikasi pertengahan Beta dan model tertinggi Alpha. Harga bermula dari 230 juta rupiah (RM70k) hingga 267 juta rupiah (RM81k). Suzuki turut merancang untuk mengeksport XL7 ini ke 30 buah negara lain.

    Kini, SUV kompak ini dijanakan enjin K15B 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol, yang mampu menghasilkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,400 rpm. Kesemua varian turut diberikan pilihan kotak gear automatik empat-kelajuan atau manual lima-kelajuan, kedua-duanya menyalurkan pacuan ke roda hadapan sahaja.

    Bagi dimensinya, XL7 berukuran 4,450 mm panjang, 1,775 mm lebar, 1,710 mm tinggi dan jarak roda 2,740 mm. Suzuki berkata SUV ini memiliki jarak kelegaan tanah sekitar 200 mm, atau 10 mm lebih rendah berbanding Honda BR-V.

    Suzuki XL7 2020 dilancarkan di Indonesia – SUV 7-tempat duduk, 1.5L, 105 PS/138 Nm, dari RM70k-RM81k

    Daripada sudut rekaannya, SUV ini memiliki gaya yang leih ranggi, dengan balutan plastik di sekeliling badannya, lengkap dengan skid plate, rel bumbung dan roda dwi-tona 16-inci. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED, gril radiator dwi-palang inspirasi-Katana. Manakala unit lampu kombinasi LED juga ditampilkan untuk bahagian belakang. Terdapat enam pilihan warna luaran termasuk Pearl Burgundy Red, Rising Orange, dan Brave Khaki. Varian Alpha pula turut ditawarkan dengan kemasan dua-tona.

    Manakala imej di dalam kabin biasa-biasa saja, dengan warna hitam mendominasi keseluruhannya. Barisan pertama dan kedua diberikan perehat tangan, dan bahagian tengah turut ditampilkan dengan sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci. Selain itu, di bahagian hadapan, diberikan roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari, dan paparan pelbagai-info digital yang terletak di antara dua meter analog.

    Ciri tambahan termasuk cetakan gentian karbon pada papan pemuka, serta e-mirror pintar dengan dashcam resolusi tinggi yang boleh menghadap depan dan belakang, disambung sepenuhnya ke cermin pandang belakang. Rakaman akan dibuat secara automatik dan sedutan rakaman boleh ditontonkan dengan menekal butang pada bawah perumah cermin.

    Suzuki XL7 2020 dilancarkan di Indonesia – SUV 7-tempat duduk, 1.5L, 105 PS/138 Nm, dari RM70k-RM81k

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dengan pemanas, beberapa punca kuasa 12-voltan yang diletakkan di setiap barisan. Ruang but pula berkapasiti 153 liter dengan tempat duduk barisan ketiga tegak, tetapi boleh mencecah 550 liter jika ia dibaringkan. Kapasiti maksimum cecah 803 liter, jika barisan kedua dan ketiga dibaringkan.

    Untuk aspek keselamatan, ciri yang diberikan termasuklah ABS dengan EBD, dua beg udara SRS, cagak Isofix, Kawalan Menahan Bukit, Program Kestabilan Elektronik, kamera undur dan kunci immobiliser.

     
     
  • Lynk & Co 03 TCR kini boleh ditempah – kereta lumba sebenar berkuasa 350 hp/420 Nm dari enjin 2.0L turbo

    Lynk & Co 03 TCR kini boleh ditempah – kereta lumba sebenar berkuasa 350 hp/420 Nm dari enjin 2.0L turbo

    Setelah berlumba dalam Piala Touring Car Dunia (WTCR) di bawah pasukan rasmi Cyan Racing pada musim penuh 2019, Geely Group Motorsport kini secara rasmi membuka tempahan kepada mana-mana pasukan persendirian yang berminat untuk berlumba dengan jentera Lynk & Co 03 TCR yang telah mereka bangunkan.

    Kereta lumba ini telah disahkan sangat kompetitif setelah Lynk & Co Cyan Racing berjaya dinobatkan sebagai juara dunia WTCR 2019 dalam kategori pasukan, menewaskan pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dengan kelebihan 14 mata, dan Münnich Motorsport Honda di tempat ketiga dengan ketinggalan 52 mata.

    Dalam kategori pemandu pula, pelumba berpengalaman Cyan Racing, Yvan Muller berada di tempat ketiga, manakala juara WTCC 2017 juga masih memandu untuk Cyan Racing, Thed Bjork berada di tempat keempat secara keseluruhan untuk WTCR musim 2019.

    Jentera perlumbaan yang telah disahkan mematuhi spesifikasi TCR oleh FIA ini diasaskan dari model produksi Lynk & Co 03+, yang dibina menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40). Bagi versi produksi di bilik pameran, 03+ dijana oleh enjin turbo 2.0 liter Drive-e menghasilkan 254 hp/350 Nm sama seperti yang terdapat pada model-model T5 Volvo.

    Lynk & Co 03 TCR kini boleh ditempah – kereta lumba sebenar berkuasa 350 hp/420 Nm dari enjin 2.0L turbo

    Menurut Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski yang kami temui pada perlumbaan pusingan terakhir WTCR di Sepang Disember lalu, kereta lumba ini masih menggunakan kerangka produksi, dan menggunakan enjin yang sama – ia masih menggunakan komponen dalaman yang sama sepenuhnya seperti model produksi, cuma diberikan pengecas turbo lebih besar bagi menghasilkan kuasa 350 hp/420 Nm.

    Enjin berkenaan dipadankan bersama kotak gear sequential 6-kelajuan yang dioperasikan menerusi pedal penukar gear. Disebabkan ia masih menggunakan kerangka produksi, tiada perubahan besar terhadap konfigurasi suspensi dimana kereta lumba ini masih menggunakan topang McPherson di hadapan dan multi-link dibelakang, namun kesemua penyerap hentak kini menggunakan komponen perlumbaan sebenar yang boleh dilaras sepenuhnya, dihasilkan oleh Ohlins.

    Bagi menghentikan kereta lumba ini pula, Lynk & Co memadankan angkup brek enam-omboh bersama cakera berliang 380 mm di hadapan, dan angkup dua omboh bersama cakera berliang 278 mm di belakang – kesemua set brek ini berselindung di sebalik rim bersaiz 18-inci dengan lebar 10-inci.

    Bahagian dalaman kereta lumba ini dilengkapkan dengan ciri seperti roll cage spesifikasi FIA, tempat duduk perlumbaan dengan tali pinggang keselamatan enam-poin (boleh digunakan dengan HANS), tangki bahan api yang diluluskan FIA dan juga alat pemadam api.

    Lynk & Co 03 TCR kini boleh ditempah – kereta lumba sebenar berkuasa 350 hp/420 Nm dari enjin 2.0L turbo

    Kereta ini siap dibangunkan hanya dalam masa 25 minggu – bermula pengenalan model produksi 03 pada September 2018, kemudian terus ke ujian awalan di litar Mantorp, Sweden pada Disember 2018, dan ia berjaya berada di petak permulaan pusingan pertama WTCR 2019 di litar antarabangsa Moulay El Hassan, Maghribi April tahun lalu. Kejayaan yang dicapai oleh Lynk & Co 03 ini di WTCR musim lalu juga hanya diperolehi pada musim pertamanya dalam kejohanan tersebut.

    Menurut Murdzevski, Geely Motorsport akan menghantar kereta lumba ini kepada pelanggan di China terlebih dahulu kerana ia adalah pasaran utama buat model produksi Lynk & Co 03 buat masa sekarang.

    “Kami sangat gembira untuk terus memupuk keghairahan terhadap jenama Lynk & Co dan sukan ini dengan mengalu-alukan lebih banyak pasukan bagi menyertai program perlumbaan pelanggan kami. Bermula dengan pasaran paling besar Lynk & Co iaitu China, sasaran kami adalah untuk menambah bilangan pelanggan dengan jayanya.

    “Kategori TCR yang sangat berjaya ini menawarkan jalan dengan kos yang efektif dan kompetitif untuk pasukan dari seluruh dunia bagi bertanding pada tahap sukan permotoran tertinggi dan kami bersungguh-sungguh untuk menjadi sebahagian yang bertumbuh daripadanya,” jelas Murdzevski.

    GALERI: Lynk & Co Cyan Racing di WTCR Race of Sepang 2019

     
     
  • Vega EVX – kereta sport elektrik dari Sri Lanka berkuasa 804 hp/760 Nm bakal didedahkan di Geneva

    Vega EVX – kereta sport elektrik dari Sri Lanka berkuasa 804 hp/760 Nm bakal didedahkan di Geneva

    Kereta sport dengan muka seakan Ferrari 488 yang anda nampak ini bukanlah dihasilkan di Eropah, Amerika mahupun China, ia sebenarnya dibangunkan oleh syarikat dari Sri Lanka, iaitu Vega Innovation. Jentera dua pintu janaan elektrik sepenuhnya yang digelar sebagai EVX ini bakal membuat kemunculan rasmi global pertamanya di Geneva Motor Show 2020 yang akan berlangsung bulan hadapan.

    Menurut Vega, hasil rekaan mereka ini merupakan “supercar elektrik sepenuhnya pertama dari Asia Selatan”, dan mereka tidak main-main kerana dua motor elektrik yang menggerakkan kereta ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 804 hp/ 760 Nm! Walaupun berat kereta mencecah 2,090 kg, kuasa yang dijana berkenaan mampu membolehkan Vega EVX ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.1 saat.

    Kedua-dua motor elektrik tersebut menerima suapan kuasa dari bateri lithium-ion 55 kWj, dan ia mampu membawa anda menempuh perjalanan sejauh 300 km dengan satu cas penuh. Syarikat ini turut mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan bateri 130 kWj bermula pada tahun 2021, yang membolehkan EVX tersebut untuk bergerak sejauh 750 km dengan sekali cas penuh.

    Vega EVX – kereta sport elektrik dari Sri Lanka berkuasa 804 hp/760 Nm bakal didedahkan di Geneva

    Kereta ini diberikan teknologi inverter traction control termaju bagi memenuhi keperluan kepadatan kuasa tinggi dalam masa yang sama masih kekal ringan. Ia mampu menangani kuasa puncak 350 kWj dan beroperasi sehingga 900 volt dan 600 amp.

    Vega turut menjelaskan bahawa EVX bukan satu-satunya produk yang akan mereka pasarkan. Syarikat berkenaan turut merancang untuk “membangunkan kenderaan pengangkutan alternatif, pasaran massa bersama rakan kerjasama antarabangsanya”. Perincian penuh kereta sport elektrik ini dijangka akan diumumkan ketika pendedahannya bulan depan.




     
     
  • Toyota siar teaser SUV segmen B lebih kecil dari C-HR

    Toyota sebelum ini pernah memberitahu akan memperkenalkan sebuah SUV baru yang diletakkan di bawah C-HR dalam barisan kenderaannya. Nampak gayanya kita tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kereta ini kerana teaser untuknya telah pun dikeluarkan dan dikata bakal diperkenalkan semasa Geneva Motor Show bulan depan.

    Perincian model yang masih tidak diketahui namanya ini belum lagi disiarkan, tetapi Toyota memberitahu ia menawarkan “pengalaman kenderaan kecil yang meluas, dengan warisan SUV yang kuat.” Ia juga diberitahu mempunyai jarak dari tanah yang tinggi, sistem pacuan semua roda dan mendapat teknologi hibrid.

    Berdasarkan laporan sebelum ini, SUV tersebut menggunakan platform TNGA-B, yang juga digunakan oleh model Yaris generasi keempat. Seperti yang diberitahu dalam siaran akhbar, model ini berkemungkinan menerima penggerak sama seperti Yaris, termasuk enjin tiga silinder Dynamic Force 1.5 liter M15A yang boleh dipadankan dengan kotak gear CVT Direct Shift atau manual enam kelajuan.

    Terdapat juga versi hibrid yang memadankan enjin M15A ini bersama Toyota Hybrid System II (THS II), dengan sistem pacuan dua roda hadapan atau E-Four (pacuan semua roda elektrik). Satu lagi pilihan adalah enjin tiga silinder 1.0 liter 1KR yang dipadankan bersama transmisi Super CVT-i.

    Melalui lukisan teaser yang dikeluarkan, SUV baru ini boleh dilihat mempunyai lengkung roda yang lebih berpetak, dengan garis tingkap belakang yang tajam. Kita juga boleh melihat sedikit pengaruh model RAV4 baru pada model ini, terutamanya pada bahagian belakang. Apabila masuk ke dalam pasaran nanti ia akan bersaing dengan model seperti Renault Captur, Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Nissan Juke.

     
     
  • CEO baru Nissan sanggup dipecat jika ‘situasi tidak menentu berterusan’ dan keuntungan tidak pulih

    CEO baru Nissan sanggup dipecat jika ‘situasi tidak menentu berterusan’ dan keuntungan tidak pulih

    Selepas pelbagai skandal terdedah serta apa yang terjadi kepada bekas CEO dan presidennya, Carlos Ghosn, Nissan terus dihimpit pelbagai krisis. Nilai saham jenama dari Jepun tersebut kini direkodkan jatuh pada tahap paling rendah dalam masa 10-tahun selepas jangkaan keuntungan tahunannya dipotong dan tiada dividen hujung tahun akan dibayar kepada pemegang kepentingan.

    Saham Nissan jatuh 19% bermula awal tahun ini, selepas ia menjunam 28% pada 2019 dan 22% pada 2018. Kadar keuntungan tahunan syarikat berkenaan yang sebelum ini dijangka pada kadar 150 bilion yen (RM5.64 bilion), kini jatuh ke paras sekitar 85 bilion yen (RM3.2 bilion).

    Saham tersebut terus turun pada kadar 9.6% Jumaat lalu, menyebabkan salah satu gergasi automotif Jepun itu sekarang mempunyai nilai modal pasaran hanya 2.17 trilion yen (RM81.8 bilion), lebih rendah berbanding syarikat yang jauh lebih kecil seperti Subaru.

    Dengan keadaan yang tidak menentu ini, CEO Nissan Makoto Uchida yang baru sahaja dilantik pada Disember lalu bakal berhadapan cabaran yang sangat getir. Uchida yang sebelum ini mengetuai Nissan China, berulang kali diasak oleh pemegang saham berkenaan situasi ini dan memberikan respon dengan mempertaruhkan jawatannya, lapor Reuters.

    CEO baru Nissan sanggup dipecat jika ‘situasi tidak menentu berterusan’ dan keuntungan tidak pulih

    Uchida terpaksa menghadapi pelbagai permintaan bermula dengan pemotongan gaji esekutif sehingga menawarkan bantuan untuk membawa Ghosn yang kini berlindung di Lubnan pulang ke Jepun. Menurut bos baru berkenaan, dia bersedia untuk dipecat sekiranya gagal untuk memulihkan syarikatnya.

    “Kami akan memastikan bahawa kami akan membawa syarikat melalui halatuju yang berkesan bagi membolehkan ia tampil di mata pemerhati. Saya berjanji: jika perkara ini kekal tidak menentu anda boleh pecat saya serta merta,” katanya tanpa memberikan sebarang tempoh masa.

    Uchida juga merayu kepada para pemegang saham untuk bersabar sementara dia hadir dengan rancangan baru untuk memulihkan syarikat daripada kejatuhan keuntungan dan ketidakstabilan korporat berikutan skandal Ghosn ini. “Jika anda boleh bersabar dengan lebih lama, dari sehari-ke-sehari anda akan dapat rasa bahawa kita sedang berubah,” katanya.

    Dalam mesyuarat luar biasa dijalankan di Yokohama, pemegang saham telah mengundi pengarah-pengarah baru termasuk Uchida dan COO Ashwani Gupta, dalam masa yang sama mengundi CEO Hiroto Saikawa dan COO Yashuhiro Yamauchi untuk meninggalkan kerusi lembaga pengarah mereka.

     
     
  • VIDEO: Land Rover Defender generasi baru dibelasah dalam filem James Bond 007 No Time To Die

    Dengan pelbagai promosi yang ada, rasanya anda pasti sudah tahu filem terbaru James Bond, iaitu yang ke-25 akan keluar di pawagam April ini. Kali ini menggunakan tajuk No Time To Die, seperti biasa ia menampilkan pelbagai aksi kejar mengejar dan hampir kesemuanya menggunakan kenderaan British.

    Selain kereta Aston Martin dan motosikal Triumph, satu lagi jenama yang sudah biasa dilihat dalam filem James Bond adalah Land Rover, di mana mereka mengambil peluang ini untuk menunjukkan ketahanan model Defender generasi baru – beberapa model lain juga ada terlibat.

    Dalam video yang dikeluarkan sendiri oleh Land Rover, anda boleh menyaksikan sedikit sedutan di sebalik tabir pembikinan filem tersebut di mana Defender generasi baru dibelasah tanpa belas untuk aksi seperti melompat, meredah sungai dan paling teruk, sehingga terbalik dan menyambung semula perjalanan.

    VIDEO: Land Rover Defender generasi baru dibelasah dalam filem James Bond 007 No Time To Die

    Defender generasi baru diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali semasa Frankfurt Motor Show 2019 September tahun lalu dan sama seperti model generasi sebelumnya, ia mempunyai dua bentuk badan iaitu 110 dan 90. Walaubagaimanapun dalam sedutan sebalik tabir penggambaran filem 007 ini, kesemuanya nampak seperti model 110.

    Ia menggunakan platform D7x Jaguar Land Rover dengan kerangka monocoque aluminium sepenuhnya yang mempunyai ketegaran torsi 29,000 Nm untuk setiap darjah, atau tiga kali lebih keras dari kerangka ladder frame yang digunakan oleh Defender generasi sebelumnya.

    Ketika pelancaran, Defender 110 ditawarkan dengan dua enjin diesel dan dua enjin petrol. Untuk versi diesel, kedua-duanya adalah unit 2.0 liter empat silinder turbo tetapi dalam dua talaan kuasa iaitu 200 PS/430 Nm dan 240 PS/430 Nm. Model petrol pula menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 300 PS/400 Nm sementara model paling berkuasa dilengkapi penggerak hibrid ringkas dengan kuasa 400 PS dan tork 550 Nm.

    GALERI: Land Rover Defender generasi baru

     
     
  • Yamaha YZF-R25 kini dengan warna baru – RM19,998

    Yamaha YZF-R25  kini dengan warna baru – RM19,998

    Setelah dilancarkan hampir satu tahun dalam pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan warna baru bagi YZF-R25, yang terdiri daripada Matt Blue dan Matt Silver. Harga cadangan pengeluarnya masih lagi tidak berubah iaitu RM19,998 tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain.

    Bahagian lain pada motosikal ini tidak berubah, termasuklah enjin di mana ia digerakkan oleh unit dua silinder selari, suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Bahagian suspensi R25 ini menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang terdapat monoshock yang ditala untuk ciri sporty. Brek adalah unit cakera dengan angkup dua piston di hadapan dan angkup satu piston di belakang.

    Perincian lain bagi R25 adalah termasuk tangki bahan api 14 liter, panel instrumen LCD digital penuh, lampu penukar gear (shift light), rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, berat 166 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Model yang dijual di Malaysia ini masih tidak dilengkapi sistem ABS.

    Setiap pembelian R25 akan diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, dan pemilik akan diberi kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Mustang Shelby Signature Series – 825 hp, 50 unit

    Mustang Shelby Signature Series – 825 hp, 50 unit

    Bukan Mustang biasa-biasa. Pasaran Amerika Utara menerima penawaran 50 unit Shelby Signature Series Mustang sebagai model edisi terhad. Menggunakan Mustang Shelby GT500 yang diperkenalkan tahun lalu, dengan enjin 5.2 liter supercahrged V8 dengan janaan 760 hp dan 847 Nm.

    Versi Signature Series Mustang ini pula menerima tambahan 65 hp tambahan, menjadikan angkanya 825 hp yang disumbangkan oleh penggunaan sistem supercharger Whipple. Sistem penyejukan juga dinaik taraf menggunakan set penyejukan ekstrim, terdiri daripada radiator, tangki aliminium dan pengalih haba.

    Peningkatan lain termasuk half shalf berprestasi, penyejuk transmisi bagi unit automatik, shifter serta drive shaft unit tunggal bagi versi manual, dan juga sistem ekzos Shely oleh Borla. Sistem brek Brembo juga digunakan (enam-pistpn depan, empat piston belakang) dan juga sistem penyejuk bearing dan brek eksklusif daripada Shelby.

    Mustang Shelby Signature Series – 825 hp, 50 unit

    Rim 20-inci aluminium monoblok unit tunggal digunakan. Suspensi pula lengkap dengan sistem aktif Ford Performance MagneRide. Rekaan hood baru juga membolehkan udara panas pada sistem supercharger di alirkan, membolehkan suhu optimum dikekalkan dengan berkesan. Wajah depan dengan rekaan baru juga menyumbang kepada faktor penyejukan enjin dan brek.

    Perubahan lain berbanding Mustang standard termasuk rocker panels dan rocker wings; fender depan aluminium dengan extractor; dan diffuser belakang, panel belakang serta spoiler. Jalur, lencana dan filem tingkap melengkapkan lagi imej kereta ini.

    Di dalam, antara kelainan yang diberikan ialah balutan kulit dan suede bagi tempat duduk dengan jahitan rapi pada bahagian atas. Dengan kerjasama Katzkin, kemasan gaya kulit ular turut menjadi perhiasan ruang kabin. Khas untuk model Shelby ialah tikar alas kaki, kemasan pintu, paparan kluster meter dan lencana pada enjin dan papan pemuka.

    Shelby Signature Series Mustang ini dijual pada harga US$127,795 (RM530,191) dan semua 50 unit akan dimasukkan dalam senarai rasmi Shelby Registry.

     
     
  • Lagi kes bayi meninggal kepanasan akibat tertinggal di dalam kabin kereta – tinjau kerusi belakang dahulu

    Lagi kes bayi meninggal kepanasan akibat tertinggal di dalam kabin kereta – tinjau kerusi belakang dahulu

    Tak pasti bagaimana untuk kita sama-sama dapat mengelak perkara ini daripada berulang, tetapi setiap kali ada berita tentang bayi yang meninggal akibat terkunci atau tertinggal dalam kenderaan, ia menjadi satu berita yang sangat menyedihkan – atas apa pun sebab dan alasan, ia sepatutnya tidak berlaku.

    Di dalam kejadian terbaru, seorang bayi sembilan bulan mati akibat kepanasan di Kuantan, Pahang selepas tertinggal di tempat duduk belakang kereta bapanya selama kira-kira empat jam, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    Bayi berkenaan, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil, terkulai tidak bernyawa di tempat duduk bayi sekitar tengahari sebelum dibawa ke klinik oleh bapanya dan disahkan telah meninggal dunia oleh doktor disebabkan oleh heatstroke. Sebelum itu, bapa bayi berkenaan sempat menghantar dua lagi anak kecilnya ke taska dan sekolah rendah, diikuti dengan menurunkan isterinya di tempat kerja. Dilaporkan, beliau kemudiannya terlupa untuk menghantar bayi terbabit ke tempat pengasuh dan terus meletak kereta ditempat kerjanya pula.

    Tak ada guna untuk bercakap banyak tentang perkara yang sudah berlaku seperti ini. Cuma, bagi ibu bapa, jadilah satu kebiasaan untuk meninjau ke bahagian tempat duduk belakang mereka setiap kali turun kenderaan. Tak perlu tergesa-gesa turun dan meninggalkan kenderaan dalam apa juga keadaan pun. Kerana, tidak berbaloi untuk kehilangan satu nyawa yang diakibatkan oleh tindakan seperti itu.

    Anda tahu bagaimana keadaannya dalam kabin kenderaan dengan suhu yang meningkat naik? Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) pernah menunjukkan dalam satu video bagaimana bahayanya heatstroke ini. Pemain NFL Tyrann Mathieu ditempatkan dalam kenderaan di bawah matahari terik untuk melihat berapa lama beliau boleh bertahan dalam keadaan itu; hanya lapan minit beliau boleh duduk dalam keadaan itu sebelum terpaksa keluar – dengan suhu kabin ketika itu 48.9 darjah Celsius.

    Badan kanak-kanak lebih lekas panas berbanding dewasa. Hanya dalam masa 15 minit di dalam keadaan seperti itu boleh mengakibatkan korosakan pada otak dan juga buah pinggang mereka. Dan, ketika suhu tubuh kanak-kanak mencecah 40 darjah Celsius, sistem tubuhnya akan “dimatikan”. Pada suhu 41.6 darjah Celsius, itu boleh menyebabkan kematian.

     
     
  • Petronas ROVR kini sedia khidmat di Lebuh Raya MEX

    Petronas ROVR kini sedia khidmat di Lebuh Raya MEX

    Sekiranya berada di Maju Expressway (MEX) dan baru sedar kenderaan hampir kehabisan petrol, anda kini masih boleh berasa lega kerana trak pengisian minyak Petronas ROVR ada menyediakan khidmat di stesen R&R Seri Kembangan.

    Petronas ROVR adalah satu perkhidmatan mengisi minyak bergerak yang menggunakan trak berkapasiti 3,000 liter, dan sedia menjual Primax95 Euro 4M dengan ProDrive kepada pelanggan di kawasan yang mempunyai trafik tinggi tetapi tiada stesen minyak.

    Prosesnya sama sahaja seperti di stesen biasa. Anda cuma perlu letakkan kenderaan berhampiran trak ROVR itu, pilih cara pembayaran dan tunggu ROVR Crew (panggilan untuk pengendali trak tersebut) mengisi minyak ke dalam kenderaan. Kad Mesra juga boleh digunakan di situ.

    Trak Petronas ROVR di R&R Seri Kembangan beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, dan servis pengisian minyak ditawarkan di dua lokasi dan masa yang berbeza – arah utara (menghala Kuala Lumpur) dari 7 pagi hingga 10.30 pagi manakala arah selatan (menghala Cyberjaya) dari 4 petang ke 7.30 malam.

     
     
  • Czinger 21C – hypercar hibrid konsep dengan 1,250 hp

    Czinger 21C – hypercar hibrid konsep dengan 1,250 hp

    Nampaknya semakin kerap kita mendengar tentang kemunculan jenama pengeluar kenderaan baru sekarang. Gambar yang kami paparkan ini adalah Czinger 21 C, sebuah hypercar berkuasa 1,250 hp dan dikatakan mampu menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 1.9 saat.

    Individu utama di sebalik syarikat baru dari Los Angeles ini adalah Kevin Czinger, di mana beliau juga adalah CEO Divergent 3D, sebuah syarikat yang pernah menunjukkan sebuah hypercar konsep yang dibuat melalui cetakan 3D.

    Berdasarkan banyak ciri yang kelihatan sama pada kereta konsep tersebut dengan Czinger 21 C, kita boleh mengatakan inilah versi produksinya dan akan didedahkan secara rasmi semasa Geneva Motor Show 3 Mac nanti.

    Czinger 21C – hypercar hibrid konsep dengan 1,250 hp

    Czinger 21 C yang menggunakan enjin hibrid terletak di tengah serta pacuan empat roda ini bukanlah setakat kereta hypercar elektrik konsep biasa kerana ia direka, dipasang dan dikilangkan sepenuhnya di Los Angeles, California. Kemudiannya, proses pembuatan juga menggunakan teknologi paling maju seperti cetakan 3D.

    Sebelum ia diperkenalkan secara rasmi nanti, anda boleh melihat video yang dikeluarkan oleh Czinger Vehicles yang menampilkan kenderaan itu, di mana ia menggunakan rekaan tipikal sebuah hypercar sementara di dalam pula cuma ada dua tempat duduk.

     
     
  • Imej Hyundai i20 generasi ketiga bocor sebelum didedahkan secara rasmi di Geneva bulan depan

    Imej Hyundai i20 generasi ketiga bocor sebelum didedahkan secara rasmi di Geneva bulan depan

    Hyundai telah mendedahkan lakaran model generasi ketiga i20 awal bulan ini, sebagai teaser sebelum membuat kemunculan sulungnya di Geneva Motor Show bulan hadapan. Walau bagaimanapun, imej sebenar bahagian luaran hatchback segmen-B ini nampaknya sudah bocor terlebih dahulu di internet.

    Kecuali ruang roda yang lebih kecil, perincian lain pada kereta ini nampaknya seiras dengan lakaran yang disiarkan tempoh hari. Berbanding model sedia ada, i20 generasi seterusnya ini tampil dengan rekaan lebih agresif seiring dengan rekaan signatur terbaharu mereka yang digelar “Sensuous Sportiness.”

    Muka hatchback ini nampak lebih dengan gril Cascading baharu, diapit rapat oleh lampu utama yang tajam. Kemasan lampu kabus juga direka bersegi seakan untuk mengaut aliran udara dari hadapan. Bayangan sisi badan juga nampak lebih sporty dengan bumbung landai kebelakang bersama garis bahu yang menyerlah dari fender hadapan hingga bawah tiang-C di belakang. Turut boleh dilihat, penutup pengisi bahan api model ini diletakkan di bawah sisi lampu belakang, seakan rekaan pada Ford Focus.

    Bahagian belakang hatchback ini turut menerima rekaan selari dengan mukanya. Lampu belakang direka agresif dengan bentuk bersegi, dan ia kelihatan bersambung dengan kemasan sekeliling cermin belakang, yang direka seakan spoiler serta mempunyai elemen seperti sirip pada sebelah sisi.

    Imej Hyundai i20 generasi ketiga bocor sebelum didedahkan secara rasmi di Geneva bulan depan

    Namun lagi sekali, set gambar ini tidak disertakan sekali dengan imej pada bahagian kabin. Menurut Hyundai dalam pengumuman sebelum ini, papan pemuka hatchback tersebut akan menampilkan bilah melintang yang “mewakili lebar muka hadapan dan liang udara tersorok rapi,” bersama pelbagai teknologi terkini termasuk dua skrin bersaiz 10.25-inci.

    Juga, masih lagi belum sebarang petunjuk berkenaan unit janakuasa yang akan menggerakkan model generasi baharu ini. Walau bagaimanapun, dalam berberapa laporan ada menyebut bahawa i20 generasi ketiga akan hadir dengan barisan enjin terdiri dari pilihan 1.0 liter tiga silinder turbo T-GDI dan juga unit 1.2 liter empat silinder NA.

    Sebelum ini juga jenama Korea tersebut telah di lihat menguji versi berprestasi tinggi Hyundai N yang diinspirasikan dari jentera lumba i20 WRC, tetapi dalam badan model generasi sedia ada, dikhabarkan akan dijana enjin 1.6 liter turbo empat silinder menghasilkan 200 hp.

    GALERI: Imej spyshot Hyundai i20 generasi ketiga

     
     
  • Honda City 1.0L VTEC Turbo RS NKGarage – merecik!

    Honda City 1.0L VTEC Turbo RS NKGarage – merecik!

    Pembuat komponen berasaskan material gentian karbon dari Thailand, NKGarage telah mendedahkan kit badan lengkap untuk Honda City RS generasi terbaharu, dan ia sudahpun mula boleh dibeli. Seperti produk-produk mereka sebelum ini, kit penggayaan luaran lengkap untuk City GN1 ini semuanya diperbuat dari bahan ringan tersebut.

    Kit berkenaan terdiri dari lip spoiler hadapan berharga 8,900 baht (RM1,182), skirt sisi berharga 14,000 baht (RM1,860), lip spoiler bampar belakang berharga 6,000 baht (RM797), penutup bonet hadapan berharga 15,000 baht (RM1,993), sirip vortex generator berharga 8,500 baht (RM1,129), penutup cermin sisi berharga 3,500 baht (RM465) dan juga spoiler but belakang berharga 6,500 baht (RM863).

    Unit demo NKGarage ini ditambah lagi dengan berberapa aksesori yang menaikkan lagi rupa agresifnya. Antaranya ialah sistem ekzos lengkap dari satu lagi jenama yang berasal dari Thailand iaitu JTCtitanium, sistem brek dengan cakera berliang bersama angkup lebih besar dari Endless, set rim 15-inci Volk Racing TE37 bersama tayar Toyo Proxes R888 R bersaiz 195/50R15, suspensi yang merendahkan lagi badan kereta serta sepasang tempat duduk hadapan Recaro Sporster CS berwarna merah.

    Seperti model generasi sebelum ini, City generasi baharu ini dihasilkan oleh Honda Thailand, dan negara tersebut menjadi pasaran pertama menerimanya, didedahkan buat pertama kali pada November tahun lalu. Bagi membolehkan model ini bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 dan menerima insentif potongan cukai istimewa di Thailand, ia diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

    Honda City 1.0L VTEC Turbo RS NKGarage – merecik!

    Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

    Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

    Empat varian City ditawarkan dalam pasaran Thailand iaitu versi paling paling asas S, V, SV dan buat pertama kali ia diperkenalkan dalam varian yang paling sporty – City RS, tetapi kesemuanya dijana oleh enjin yang sama.

    Kita di Malaysia mungkin akan menerima model ini tidak lama lagi, kerana unit ujiannya sudah pun kelihatan diuji di Lebuhraya Persekutuan minggu lalu. Namun, masih lagi sukar untuk diagak adakah pasaran Malaysia turut akan menerima enjin turbo yang sama atau kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC NA seperti model generasi sedia ada.

    Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • Pagani Imola – 827 hp, 1,100 Nm tork, harga RM22 juta

    Pagani Imola – 827 hp, 1,100 Nm tork, harga RM22 juta

    Dalam diam Pagani telah menghasilkan sebuah hypercar yang hanya akan dibuat sebanyak lima unit tetapi semuanya telah habis dijual pada harga lima juta Euro. Ia dipanggil sebagai Pagani Imola, dan nama ini diambil daripada litar di mana kereta ini banyak menghabiskan masa untuk pembangunan.

    Menurut Pagani, kereta ini telah melalui ujian pengesahan yang paling teruk pernah dibuat oleh syarikat, termasuk dibelasah sehingga 16,000 km pada kelajuan lumba, bersamaan dengan tiga kali jarak perlumbaan 24 Hours of Le Mans.

    “Kami tak boleh cakap ini adalah sebuah kereta yang elegan. Kami mahukan kereta yang cekap, dan seperti yang boleh dijangka, jika anda lihat pada kereta lumba F1, ia membawa kami kepada rekaan dengan ciri aerodinamik tambahan. Jadi walaupun rekaan ini mungkin mengganggu pandangan kepada garis badan serta estetik kenderaan, ia sebenarnya dapat membantu memperbaiki catatan masa dalam litar, pemanduan dan keselamatan,” kata ketua pereka dan pengasas Pagani, Horacio Pagani.

    Sistem aerodinamik aktif pada Imola sebenarnya adalah sama seperti kereta jalanan pertama yang menggunakan teknologi ini, iaitu Huayra, dengan empat winglet padanya boleh bergerak mengikut keadaan pemanduan, termasuk waktu membrek. Geometri suspensi pula terdiri daripada unit double wishbone pada semua roda, spring helical dan penyerap kawalan elektronik.

    Bahagian monocoque tengah yang sama seperti Imola dan Roadster BC, dibuat daripada bahan komposit Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62 turut digunakan pada Imola, untuk mengurangkan lagi berat sambil meningkatkan ketegarannya. Pergi lagi satu tahap ke atas pada aspek pengurangan berat ini, Pagani menggunakan cat Acquarello Light, yang lima kilogram lebih ringan berbanding cat biasa. Berat keseluruhannya cuma 1,246 kg.

    Pagani Imola dipacu oleh enjin V12 6.0 liter oleh AMG, dengan kuasa sebanyak 827 hp dan 1,100 Nm tork dihantar ke gandar belakang melalui transmisi AMT transverse tujuh kelajuan dengan differential elektro mekanikal. Brek pula adalah unit cakera seramik karbon Brembo bersaiz 398 mm di hadapan dan 380 mm di belakang, dengan sistem penyejukan yang ditambah baik.

     
     
  • Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

    Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

    Acara perhimpunan kereta bagi memungut dana amal, Drive4Paul Malaysia 2019 telah pun berakhir pada 13 Oktober tahun lalu. Tapi berapa sebenarnya jumlah dana yang dikutip pada acara berkenaan? Hari ini pengasas Retro Havoc Malaysia, Rosli Mohamad Said yang menganjurkan acara ini dengan kerjasama 1048Style Japan telah mengumumkan secara rasmi bahawa kutipan yang berjaya mereka capai adalah RM148,935!

    Menurut Rosli yang lebih senang disapa dengan nama Alie Kuoppa, jumlah ini secara tidak langsung telah memecahkan rekod yang dikutip ketika acara Drive4Paul Japan yang diadakan pada tahun 2018, yang mencatatkan kutipan sekitar RM127k.

    Segala dana yang diterima ini dikutip dalam bentuk yuran pendaftaran, tapak-tapak foodtruck, pelbagai cenderamata rasmi yang dijual sepanjang acara tersebut berlangsung dan juga pelbagai lagi sumber. Seperti yang dilakukan oleh Drive4Paul Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun sebelum ini, dana yang dikutip ini akan diserahkan sepenuhnya kepada badan amal tanpa sokongan kerajaan, Reach Out World Wide (ROWW).

    Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

    Alie juga turut menyatakan bahawa jumlah ini hanya boleh diumumkan hari ini setelah segala dana dari penaja dan peniaga pada acara berkenaan telah sepenuhnya diserahkan kepada ROWW pada 10 Februari lalu.

    ROWW telah diasaskan oleh pelakon utama saga filem Fast & Furious, Paul Walker (yang memegang watak sebagai Brian O’Conner), dan badan ini ditubuhkan bagi membolehkan dia melakukan kerja-kerja amal dengan fokus kepada membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia seperti gempa bumi yang berlaku di Chile dan Haiti, puting beliung yang melanda Alabama dan ribut taufan di Filipina.

    Walaupun Paul Walker telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 November 2013, ROWW masih lagi wujud dan meneruskan kerja-kerja amal mereka. Justeru, acara Drive4Paul ini telah dianjurkan secara global sebagai salah satu cara untuk mengumpulkan dana, dalam masa yang sama ia diadakan bagi memperingati mendiang pengasasnya itu.

    Drive4Paul Malaysia dengan jayanya telah dilangsungkan bermula pada hari Sabtu 12 Oktober 2019 dengan perhimpunan di hangar bekas Lapangan Terbang TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia), dihadiri sejumlah 420 kereta ubahsuai dan eksotik, serta berberapa kereta-kereta replika filem FnF yang pernah dipandu Brian O’Conner, yang bukan sahaja dari Malaysia, malah terdapat juga peserta yang datang dari Thailand.

    Perhimpunan tersebut turut diserikan dengan penampilan adik kepada Paul iaitu Cody Walker, yang kini meneruskan kerja-kerja mendiang abangnya itu di ROWW. Selain perhimpunan, pelbagai aktiviti lain seperti ‘taxi ride’ kereta drift serta persembahan-persembahan pentas turut berlangsung pada hari tersebut.

    Selain dari menjadi acara Drive4Paul pertama yang dilangsungkan di Asia Tenggara, Drive4Paul Malaysia juga merupakan yang pertama dalam siri acara tersebut mendapat kerjasama kerajaan tempatan setelah menerima sokongan dari Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), Tourism Malaysia dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

    Acara ini diteruskan pada 13 Oktober dengan konvoi peserta dari Hotel EQ di Kuala Lumpur ke Putrajaya, dan kemudian bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang. Drive4Paul secara rasmi ditutup pada malam berkenaan dengan sesi ‘parade’ di dalam litar berkenaan oleh kesemua kereta peserta yang berdaftar.

    GALERI: Drive4Paul Malaysia 2019

     
     
  • Siri nombor plat UUM – bidaan dibuka hingga 1 Mac

    Siri nombor plat UUM – bidaan dibuka hingga 1 Mac

    Satu lagi universiti awam, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengumumkan siri plat nombor khas dan tempahannya sudah dibuka mulai 16 Feb hingga 1 Mac 2020. Bidaan itu melibatkan siri “UUM 1′ hingga “UUM 9999′.

    Bidaan untuk nombor biasa bermula dari RM500, sementara nombor popular bermula dari RM1,000 hingga RM2,000. Bagi nombor utama (1-10) pula bermula dari RM30,000. Difahamkan UUM 1 hingga 6 telah pun diambil, jadi tinggal baki empat lagi nombor utama yang tinggal iaitu 7 hingga 10.

    UUM merupakan universiti ke-empat yang menawarkan jualan siri nombor plat khas ini. Pada Julai tahun lalu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya mendapat kebenaran untuk menjual plat “UMT”, dan bulan lalu pula, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut mendapat kebenaran yang sama. kesemuanya menawarkan plat dari “1” hingga “9999”.

    Siri nombor plat UUM – bidaan dibuka hingga 1 Mac

    Klik untuk besarkan

    Pada Disember 2019, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian. Katanya, dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan sahaja.

    Menurut laporan sebelum ini, universiti awam perlu membayar RM500,000 untuk 10,000 pendaftaran, dan perlu menjual nombor plat terbabit dalam tempoh tiga tahun atau ia harus dikembalikan kepada JPJ.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

    Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

    Hujan yang turun sekejap tidak mampu meredakan cuaca panas terik selama dua hari di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang tidak menjadi penghalang untuk acara Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival dan siri perlumbaan Vios Challenge Pusingan ketiga bagi musim ketiga berlangsung dengan gamat, terutama pada hari Ahad yang menyaksikan lebih ramai pengunjung dan penonton hadir untuk memberi sokongan.

    Seperti biasanya TGR, pelbagai pameran dan aturcara yang disediakan untuk seisi keluarga; antara yang banyak menarik perhatian ialah aksi drift oleh Toyo Tires, dewan pameran dan permainan e-sukan serta kemuncak pada petang Sabtu, persembahan pentas selama kira-kira 45 minit oleh band Hujan.

    Namun, tumpuan utama TGR sepanjang tiga musim ia dianjurkan ini tentulah di litar jalanan yang disediakan; pertembungan sengit antara pelumba-pelumba bagi Vios Challenge, dan tidak lupa, yang turut menampilkan kelas khas Promotional untuk selebriti-selebriti tempatan yang turut menunjukkan kemahiran berlumba.

    Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

    Sejak Sabtu lagi litar Batu Kawan menjadi “hangat” dengan banyak kejadian dan perkembangan menarik. Semua ini tidak menunggu lama untuk mengambil tempat; sejak pusingan kelayakan, telah banyak saingan sengit dan perlanggaran yang berlaku. Misalnya, bagi kelas Promotional, Shafiq Kyle yang terlanggar tembok serta jentera Ain Edruce yang kemalangan dalam perlumbaan pusingan pertama dan menyaksikan sebiji tayarnya tercabut dan bergolek di dalam litar antara yang mencuri tumpuan.

    Bagi kelas Super Sporting dan Sporting pula, saingannya lebih sengit. Tengku Djan Ley yang mengungguli perlumbaan pertama pada hari Sabtu bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan sekadar mengutip mata untuk perlumbaan kedua. Ini kerana sebagai juara perlumbaan pertama itu, beliau perlu memulakan perlumbaan dikotak terakhir dengan tambahan beban 55 kg.

    Tidak cukup dengan itu, seawal perlumbaan kedua pula Djan terlanggar pula tembok; selepas penukaran tayar belakang sebelah kanan, beliau berusaha untuk menamatkan perlumbaan untuk mendapatkan juga mata. Di depan, Freddie Ng yang bermula dari kotak pertama agak selesa dari awal perlumbaan untuk mengekalkan kedudukan itu walaupun turut dicabar oleh William Ho dan Boy Wong yang mengikut rapat di belakang.

    Perlumbaan paling menarik pada Ahad ialah milik kelas Sporting. Dengan jumlah jentera lumba paling banyak di antara kelas-kelas yang dipertandingkan, perlumbaan mereka tidak menunggu lama sebelum perlanggaran besar berlaku selepas sebuah jentera hilang kawalan dan menghentam tembok. Oleh kerana jarak yang dekat dan litar yang sempit, ia dalam sekelip mata menjadi perlanggaran bertindan melibatkan hampir enam kereta.

    Tidak cukup dengan itu, kereta keselamatan terpaksa keluar sebanyak dua kali disepanjang perlumbaan, membuatkan jarak yang ada di antara pelumba-pelumba dirapatkan semua dan sekali gus mempengaruhi bagaimana perlumbaan itu berakhir. Tom Goh yang berada di hadapan sejak kotak mula kerap berhasil menjarakkan dirinya daripada Haji Sutan dan juga Bradley Benedict.

    Tetapi, dengan kereta keselamatan terpaksa keluar, ini memberikan kesukaran kepada Tom; di dua selekoh pusingan terakhir, Bradley berhasil memintasnya dalam satu aksi getir dan berisiko. Pelumba yang paling banyak menunjukkan kesungguhan tentulah Bradley sendiri. Dari kedudukan keempat, beliau berjaya memintas antaranya Haji Sutan – yang memulakan perlumbaan di petak kedua -untuk akhirnya muncul juara.

    Bagi kategori Promotional pula, perlumbaan pada Ahad menjadi antara yang memuaskan bagi tiga pelumba yang berjaya menduduki podium. Shukri Yahaya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee mengungguli saingan, memintas beberapa pelumba lain yang memulakan perlumbaan di petak-petak hadapan. Janna Nick bagaimanapun tidak dapat menghabiskan perlumbaan selepas terlibat dalam satu perlanggaran bersama Shafiq Kyle.

    Apa pun, TGR Musim ke-3 ini masih berbaki dua lagi perlumbaan di satu lagi lokasi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan menjadi perlumbaan kemuncak bagi menentukan juara bagi musim ini. Jumpa di Sepang pula nanti.

     
     
  • Harley-Davidson Electra Glide Standard – RM132,400

    Harley-Davidson Electra Glide Standard – RM132,400

    Semasa Harley-Davidson Malaysia mengeluarkan senarai harga model tahun 2020 pasaran Malaysia hujung tahun lalu – yang menunjukkan penurunan sehingga RM40k – model Electra Glide Standard sudah ada dalam senarai, dengan harga RM132,400. Cumanya waktu itu, tiada satu pun unit model tersebut yang boleh dilihat di pusat pameran.

    Kini ia sudah tiba bersama stok untuk jualan umum, dan H-D Malaysia mengadakan satu tontonan khas untuk para media di Petaling Jaya. Electra Glide Standard adalah model Touring H-D yang paling mampu milik sekarang dan kelengkapannya lebih ringkas jika dibandingkan dengan Street Glide Special yang dijual pada harga RM169,400.

    Dalam keadaan sebegitu, Electra Glide Standard memberikan peluang kepada pemilik untuk mengubah suai motosikal dan memasangnya dengan aksesori yang bersesuaian mengikut cita rasa. Seperti yang diketahui, pilihan aksesori untuk motosikal Harley-Davidson adalah sangat banyak termasuklah warna keseluruhan badan.

    Walaupun dipanggil sebagai sebuah model asas, Electra Glide Standard masih mempunyai kemasan krom di beberapa bahagian, fairing ikonik untuk model ini serta rim aluminium 17 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Suspensi dan brek (Brembo) model ini masih sama seperti versi yang lebih tinggi, dan datang dengan sistem ABS serta cruise control.

    Electra Glide Standard dikuasakan oleh enjin Milwaukee-Eight 107 yang berkapasiti 1,746 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan tork sehingga 150 Nm pada 3,250 rpm. Berat keseluruhan model ini adalah 372 kg (termasuk bendalir) dan datang dengan tangki bahan api 22.7 liter.

     
     
  • Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Kia Sorento generasi ke-empat telah pun dikesan baru-baru ini, menampakkan imej luaran SUV tiga-barisan tempat duduk ini. Terbaru, Kia telah pun mendedahkan pula foto rasmi SUV ini, termasuklah untuk bahagian kabinnya.

    Penggayaan yang lebih ranggi dipertaruhkan berbanding dengan imej konvesional pada model semasa. Malahan model baharu ini lebih kelihatan mantap dengan garisan badan yang lebih menjol, serta bahagian belakang juga lebih menyerlah.

    Pada bahagian hadapan, gril “tiger nose” yang sudah menjadi identiti kenderaan Kia turut digunakan pada Sorento, dengan hanya terdapat jalur krom yang nipis di atasnya manakala lampu pula menggunakan unit LED projector yang berbentuk nipis, bersama jalur lampu DRL di bawahnya.

    Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Malah kelihatan bonjolan yang jelas atas bonet SUV ini, yang sekaligus menjadikannya nampak lebih garang manakala bampar pula mempunyai lampu kabus yang diletakkan rendah manakala di penjuru terdapat bukaan udara menegak.

    Untuk bahagian profil sisi, kelihatan juga garisan yang merintangi bahagian hadapan hingga ke belakang, termasuk fillet krom pada fender dan pintu. Pada pintu belakang pula ditampilkan “sirip jerung” krom, sementara cermin pintu pula diasingkan daripada tiang-A untuk imej yang lebih premium.

    Bahagian belakang menunjukkan rekaan yang lebih radikal, dengan lekuk-lekuk unik pada pintu but, empat jalur lampu yang menegak (sedikit seperti Ford Mustang), hiasan krom dan bukaan udara hiasan pada bahagian bawah bampar, spoiler bumbung serta tulisan Sorento yang dijarakkan.

    Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Menerusi foto bahagian dalamannya, kelihatan papan pemuka melintang yang seakan ‘meminjam’ gaya Mercedes-Benz. Kelihatan panel paparan besar, yang turut menjadi perumah skrin sesentuh tengah 10.25-inci, dan juga paparan instrumen digital 12.3-inci. Malah turut ditampilkan lapan corong udara menegak, konsol tengah yang lebih tinggi dan juga pemilih rotary gear seakan Jaguar.

    Buat masa ini, tiada sebarang perincian teknikal dibongkarkan. Walau bagaimana pun Sorento ini mungkin menggunakan enjin Kia yang biasa, termasuk 2.0 liter dan 2.5 liter turbo naturally-aspirated dan juga unit 2.0 liter dan 2.2 liter turbodiesel. Perincian penuhnya akan didedahkan pada 3 Mac ini dalam penganjuran Geneva Motor Show.

     
     
  • Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Tiga tahun lalu, jenama automotif keluaran Australia, Holden telah menghentikan operasi produksinya di negara berkenaan, dengan produk-produk mereka akan dibuat dan diimport dari kilang-kilang General Motors (GM) di negara lain. Hari ini satu lagi berita duka untuk jenama tersebut diumumkan – GM sah akan menghentikan seluruh operasi Holden pada hujung tahun ini, lapor CarAdvice.

    Keputusan ini diambil kerana GM telah membuat keputusan untuk tidak lagi menghasilkan kereta-kereta dengan pemanduan sebelah kanan. Model-model yang dijual oleh Holden buat masa sekarang sebenarnya adalah versi rebadge dalam pemanduan sebelah kanan dari jenama di bawah GM yang lain; Holden Commodore ZB misalnya, adalah diasaskan dari Opel Insignia.

    Serentak dengan langkah ini, GM turut akan menutup studio rekaan di Melbourne, dan juga litar ujian Lang Lang yang terletak pinggir Melbourne. Dengan langkah ini juga sekitar 600 hingga 800 staf akan kehilangan pekerjaan mereka, namun seramai 200 orang akan terus berkerja selama 10-tahun bagi meneruskan khidmat servis dan waranti terhadap unit-unit kenderaan terakhir yang telah dijual kepada pelanggan.

    Sebahagian dari bilik pameran Holden sedia ada akan ditukar menjadi jaringan pengedar General Motors Specialty Vehicles (GMSV), iaitu sub-jenama yang akan menjual model-model GM dari Amerika Syarikat yang diubahsuai dari pemanduan sebelah kiri.

    Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Buat masa sekarang GM telah pun menjual Chevrolet Corvette C8 di bilik pameran Holden bersama SUV GMC Acadia serta Chevrolet Equinox dengan logo Holden. Chevrolet Camaro dan Silverado juga telah dibawa ke Australia dan kini dijual di 65 dari 204 pengedar Holden di negara berkenaan.

    “Niat kami adalah untuk memulihkan jenama…tiada kesalahan akan dituding kepada pasukan tempatan. Keputusan (berkenaan Holden) ini adalah semuanya kerana keutamaan pelaburan,” kata seorang yang berpangkat tinggi dalam GM kepada CarAdvice.

    GM mencatatkan prestasi yang lembab di negara-negara pemanduan sebelah kanan lain dalam tiga tahun kebelakangan ini, dan telah pun angkat kaki dari pasaran seperti UK, Jepun, India dan Afrika Selatan. Mereka masih lagi beroperasi di Thailand, Australia dan New Zealand, namun menurut GM sudah tidak akan mendatangkan keuntungan untuk membangunkan kereta baharu bagi pasaran-pasaran kecil seperti ini. Buat masa sekarang, 75 peratus pasaran automotif dunia menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri.

    Holden telah diasaskan oleh James Alexander Holden pada 1856, tetapi ketika itu syarikat tersebut merupakan pengeluar bagi produk-produk kulit dan pelana. Ia terus berkembang sebagai pembuat side car untuk motosikal dan membuat kerangka badan kereta pada tahun 1905, dan kemudian membekalkan kereta tram untuk Melbourne pada era 20’an.

    Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Pada tahun 1924, Holden mula menjadi pengedar kenderaan dari Amerika, General Motors di Australia. Manakala pada 1931, General Motors dan Holden digabungkan bagi membentuk General Motors-Holden’s Limited (GM-H). Holden mula mengeksport keretanya ke New Zealand pada tahun 1953 dan syarikat tersebut benar-benar menyerlah pada tahun 1958 apabila 40 peratus dari keseluruhan kereta di Australia adalah dari Holden.

    Detik kejatuhan Holden benar-benar dapat dilihat pada era Y2K apabila bahagian pasarannya jatuh 15% pada tahun 2006, setelah pelaburan sebanyak $400 juta di buat pada kilang enjin V6 miliknya yang terletak di Port Melbourne (kilang tersebut telah ditutup sepenuhnya pada 2016).

    Kedudukan Holden semakin meruncing ketika era Krisis Kewangan Dunia yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan jualan eksportnya, seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat tersebut. Akhirnya, VF Commodore yang dilancarkan pada tahun 2013 disahkan sebagai Commodore terakhir yang akan dihasilkan di Australia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026