Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Subaru WRX STi Diamond Edition untuk Afrika Selatan – 348 hp, 464 Nm, 0-100 km/j dalam 5.03 saat, 30 unit

    Subaru WRX STi Diamond Edition untuk Afrika Selatan – 348 hp, 464 Nm, 0-100 km/j dalam 5.03 saat, 30 unit

    Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 bagi Subaru Tecnica International, dan untuk meraikannya, Subaru Afrika Selatan telah melancarkan edisi terhad bagi WRX STi Diamond Edition. Hanya 30 unit sahaja yang ditawarkan, dengan penghantaran pertama dijangka bermula Januari hadapan.

    Dibangunkan oleh pasukan teknikal syarikat, WRX STi Diamond Edition ini merupakan model STi paling berkuasa yang dilancarkan di rantau itu. Di bawah hudnya, ia didatangkan dengan enjin petrol 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan ekzos prestasi dan pemetaan semula yang lengkap.

    Hasilnya, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 348 hp dan tork 464 Nm, di mana ia lebih 52 hp dan 57 Nm berbanding model biasa WRX STi. Dengan pecutan 0-100 km/j, Diamond Edition mampu dicapai dalam 5.03 saat, sementara model standard mengambil masa sekitar 5.76 saat. Ia juga lebih pantas dari 0-160 km/j, dengan hanya 13.7 saat berbanding 14.76 saat – kelajuan maksimum masih kekal sama pada 255 km/j.

    Antara elemen yang telah dimantapkan termasuklah casis yang kini didatangkan dengan penjana enjin STi, serta brek Brembo dengan enam kaliper di bahagian hadapan dan dua di belakang.

    Kedua-dua bahagian kaliper itu ditampilkan dengan kemasan High Viz Yellow bagi memastikan ia menyerlah, dan kit badan turut dipadankan pada Diamond Edition ini. Ia juga menerima roda aloi Dark Gunmetalic 18-inci yang dibaluti tayar 245/35 yang dipasang di atas spacer 20 mm untuk memberikan serlahan yang lebih menarik.

    Di dalamnya, ia ditampilkan papan pemuka spesifik-model, panel eksklusif, roda stereng kulit jahitan merah, tuil gear dan brek parkir, sistem audio Harmon Kardon 440w dengan tujuh-pembesar suara dan sistem infotainmen tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

     
     
  • Jeep Gladiator 2020 – imej bocor sebelum pengenalan

    Jeep Gladiator 2020 – imej bocor sebelum pengenalan

    Banyak pula pengeluar yang bersungguh-sungguh untuk perkenalkan model trak pikap sekarang ini. Jenama macam Jeep pun tidak ketinggalan; memang telah diketahui mereka akan bangunkan trak sendiri dan kini, imej awal Jeep Gladiator mula bocor di laman JeepGladiatorForum.com.

    Diasaskan daripada model Jeep Wrangler, tambahan ruang belakangnya sahaja yang menjadi perbezaan ketara bagi model SUV dan versi trak pikapnya. Lain-lain ciri masih dikekalkan seperti yang ada pada Wrangler – termasuklah bumbung boleh buka, pilihan soft top atau hard top serta cermin depan boleh dilipat.

    Memandangkan ia keluaran Jeep, maka keupayaan off-road juga wajib ada. Untuk itu, Gladiator ditawarkan dengan dua sistem pacuan empat roda – Command-Trac and Rock-Trac. Trak ini juga akan menggunakan gandar Dana 44 generasi ketiga, axle lock elektronik Tru-Lock (depan dan belakang), LSD Tru-Lock, tayar off-road 33-inci dan juga ciri nyah-sambung sway-bar secara elektronik yang pertama bagi segmen ini.

    Jeep Gladiator 2020 – imej bocor sebelum pengenalan

    Jeep maklumkan, nisbah gear rendahnya tiada tandingan, begitu juga dengan keupayaan meredah air berkedalaman 30-inci. Kebolehan menunda pula sehingga 3,470 kg, dan kapasiti beban yang boleh dibawah di belakang ialah 726 kg.

    Pilihan enjin antaranya Penstastar 3.6 liter V6 dengan transmisi automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Untuk model Wrangler, janaan yang dihasilkan ialah 285 hp dan 352 Nm tork. Angka-angka ini kemungkinan kekal sama bagi versi trak pikap Gladiator.

    Satu lagi pilihan enjin ialah EcoDiesel 3.0 liter V6 yang akan diperkenal pada 2020, turut akan digunakan pada model Wrangler dengan janaan 260 hp dan 600 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi lapan-kelajuan. Peminat Jeep macam mana, boleh layan tak trak pikap Jeep pula nanti?

     
     
  • Mitsubishi Mirage sah bakal kembali, model Lancer pula berkemungkinan besar akan dilahirkan sekali lagi

    Mitsubishi Mirage sah bakal kembali, model Lancer pula berkemungkinan besar akan dilahirkan sekali lagi

    Seperti yang diketahui, Mitsubishi kini merupakan jenama yang menumpukan terhadap model-model SUV dan juga trak pikap dengan model baharu mereka dalam pasaran terdiri dari SUV segmen-C Outlander, crossover segmen-B Eclipse Cross, SUV/MPV Xpander, SUV ladder frame Pajero Sport dan versi trak pikapnya Triton 2019. Walaupun pasaran untuk kenderaan-kenderaan sebegini sedang meningkat naik, permintaan terhadap kereta masih lagi banyak dan ini mendorong Mitsubishi untuk menghasilkan kembali hatchback dan sedan, menurut laporan GoAuto.com.au.

    “Saya tahu anda semua menulis berkenaan pertumbuhan dan kepentingan SUV dan ia benar, ia 35-37 peratus dari keseluruhan pasaran hari ini dan ia masih lagi berkembang. Tetapi ini tidak boleh menafikan hakikat bahawa masih ada 40-50 juta kereta adalah kereta penumpang tradisional,” kata naib presiden strategi produk Mitsubishi, Vincent Cobee kepada portal Australia berkenaan.

    “Kami sedang dalam proses membangunkan apa yang kami panggil sebagai pelan produk jangka masa panjang kami, apa yang kami buat adalah hanya mengkaji pasaran dan cuba untuk membuat keputusan arah mana yang patut kami tuju,” kata CEO Mitsubishi, Trevor Mann.

    Mitsubishi Mirage sah bakal kembali, model Lancer pula berkemungkinan besar akan dilahirkan sekali lagi

    Jika sebelum ini Mann hanya mengatakan mereka serius untuk membina hatchback kompak Mitsubishi Colt/Mirage generasi baharu, kini beliau sendiri sudah mengesahkan projek itu sudah pun bermula untuk peringkat awal.

    “Jadi Pakatan (Renault-Nissan-Mitsubishi) mempunyai platform yang digelar CMF-B, jadi berkemungkinan besar Mirage generasi baharu akan dibina berasaskan platform CMF-B, tetapi keputusannya masih belum muktamad,” kata Mann. Platform CMF-B yang dinyatakan tersebut merupakan asas kepada Renault Clio generasi kelima. Ia juga dijangka akan digunakan untuk pembangunan Nissan Juke dan Renault Captur pada masa hadapan.

    Selain Mirage, Mann turut mengatakan Lancer yang telah pun dihentikan pengeluarannya akan kembali semula dengan model generasi baharu menggunakan platform dari Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

    “Lancer seterusnya tidak semestinya akan dibina menggunakan platform (Renault) Megane, jika kita berbicara tentang kenderaan penumpang, bergantung pada saiz, ia perlu di bina berdasarkan platform CMF-C,” jelas Mann.

     
     
  • LRT pilihan terbaik untuk Sabah, mampu atasi masalah kesesakan trafik jangka masa panjang – Shafie Apdal

    LRT pilihan terbaik untuk Sabah, mampu atasi masalah kesesakan trafik jangka masa panjang – Shafie Apdal

    Sabah juga tidak terlepas daripada masalah kesesakan lalu lintas, justeru kerajaan pentadbiran negeri tersebut mahu mencari alternatif dalam mengatasinya. Antara langkah alternatif yang dilihat wajar untuk dilaksanakan ialah memperbanyakkan pilihan memperkasakan lagi sistem pengangkutan awam berkapasiti tinggi, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT).

    Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, LRT merupakan antara pilihan terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu untuk jangka masa panjang meskipun melibatkan kos pelaburan tinggi, laporan Bernama.

    Menurut beliau, kajian yang dibuat Bank Dunia dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi dan Pejabat Perdana Menteri mendapati bandaraya Kota Kinabalu lebih sesuai diperkenalkan dengan sistem pengangkutan berkapasiti tinggi berbanding bandaraya Kuala Lumpur.

    LRT pilihan terbaik untuk Sabah, mampu atasi masalah kesesakan trafik jangka masa panjang – Shafie Apdal

    “Sistem pengangkutan berkapasiti tinggi ini juga bakal memacu perubahan landskap bandaraya Kota Kinabalu dengan kapasiti penumpang tinggi, moden, sistematik, tepat masa dan mesra alam,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

    Mohd Shafie berkata pengangkutan awam moden seperti LRT juga dilihat mampu menarik sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah pengguna kenderaan untuk menggunakan perkhidmatan itu sekali gus meningkatkan lagi kualiti kehidupan penduduk di bandaraya Kota Kinabalu.

    Dalam pada itu katanya kajian kebolehlaksanaan Bas Rapid Transit (BRT) di bandaraya Kota Kinabalu mendapati sistem perkhidmatan pengangkutan awam itu tidak begitu sesuai dilaksanakan berikutan ia hanya penyelesaian jangka pendek dalam mengatasi kesesakan lalu lintas.

    “Selain itu, ia juga akan melibatkan perbelanjaan modal tinggi kerana BRT memerlukan jaringan jalan raya khas untuk bas jika ia dilaksanakan di bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

     
     
  • Ford Mustang facelift bakal muncul di KLIMS 2018

    Ford Mustang <em>facelift</em> bakal muncul di KLIMS 2018

    Selain Toyota Camry 2.5V 2019, Ford Mustang facelift 2018 juga akan membuat penampilan sulung di KLIMS 2018 yang akan bermula minggu depan. Gambar unit warna Orange Fury 5.0L GT inilah yang akan dipamerkan nanti, dan dibawa khas untuk pameran berkenaan.

    Pengedar jenama ini, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) belum mengesahkan bila model ini akan dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan. Tetapi, berdasarkan perkembangan sebelum ini, kedua-dua versi 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost versi facelift akan dijual di sini.

    Menurut SDAC, pengambilan tempahannya akan dilakukan di KLIMS. Walaupun harga belum diumumkan, ia dijangka tidak lari jauh berbanding sebelumnya. Diumumkan Januari tahun lalu, penampilan Mustang terbaru ini mengalami beberapa perubahan – rekaan gril, bampar dan fender depan serta bonet depan diberikan sentuhan baru.

    Ford Mustang <em>facelift</em> bakal muncul di KLIMS 2018

    Model facelift ini menggunakan lampu depan LED sepenuhnya, lengkap dengan lampu siangnya sekali. Di belakang, rekaan lampu LED juga baru, diikuti bahagian bampar, diffuser hitam baru dan susunan hujung ekzos yang dikemaskini – versi EcoBoost menerima hujung ekzos berkembar, sementara GT hadir dengan empat corong.

    Ruang dalaman pula diberikan sentuhan lebih premium. Konsol tengah misalnya datang dengan balutan tangan dengan benang kontras, sementara penyudah bahagian pemegang pintu serta kemasan perincian lainnya daripada aluminium.

    Selain daripada paparan 8.0-inci dengan sistem infotainmen Sync 3, Mustang kini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital 12-inci dengan tema boleh ubah berdasarkan mod pemanduan – Normal, Sport dan Track serta MyMode (pemandu tentukan sendiri kombinasi talaan yang diinginkan).

    Enjin pula masih sama, dengan unit 2.3 liter EcoBoost dan 5.0L Coyote V8 terdahulu – tetapi dengan angka janaan kuasa yang dipertingkat. Antara pembaharuan yang dilakukan ialah penggunaan sistem suntikan terus tekanan tinggi berkembar serta port suntikan minyak tekanan rendah yang baru bagi V8.

    Di pasaran Amerika, janaan kuasa yang dihasilkan ialah 460 hp dan 569 Nm; naik sedikit berbanding model sedia ada (435 hp/542 Nm). Namun, pasaran Malaysia mungkin akan menerima versi output 453 hp dan 556 Nm seperti di Australia.

    Bagi enjin 2.3L EcoBoost, kuasanya sama seperti sebelum ini (310 hp), tetapi tork naik sedikit kepada 475 Nm berbanding 434 Nm dahulu. Unit di Australia pula menerima unit yang menjana 441 Nm. Perubahan paling utama ialah penggunaan sistem transmisi 10R80 10-kelajuan dari Ford yang menggantikan unit 6R80 SelectShift enam-kelajuan dari ZF.

    Lagi ciri baru termasuk mod Drag Strip, yang bertindak mengelakkan kehilangan masa ketika penukaran gear, serta menggabungkan mod Normal, Sport+, Track dan Snow/Wet yang ada. Peningkatan mekanikal lainnya termasuk penggunaan penyerap hentak baru yang memberikan kendalian lebih padu, serta penggunaan sambungan pasak bersilang pada suspensi belakang untuk meningkatkan keteguhan lateral.

    Turut diperkenalkan ialah sistem ekzos dengan injap aktif, standard pada versi GT, yang membolehkan nada ekzos diubah. Unit yang akan dipamerkan seperti yang anda lihat ini hadir sekali dengan pakej GT Performance. Ini antaranya termasuk di dalamnya ialah rim 19-inci Ebony Black dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/40 di depan dan 275/40 di belakang.

    Kalau nak tengok

    model ini dari dekat, jangan lupa untuk ke KLIMS 2018 yang akan bermula minggu depan di MITEC.

     
     
  • Naza Quest tamatkan kerjasama dengan General Motors untuk pengedaran kenderaan baru Chevrolet

    Naza Quest tamatkan kerjasama dengan General Motors untuk pengedaran kenderaan baru Chevrolet

    Selepas lapan tahun, Naza Quest Sdn Bhd akhirnya membuat pengumuman menghentikan pengedaran kenderaan jenama Chevrolet baru di negara ini. Walaupun begitu, melalui perjanjian yang ada dengan General Motors (GM), syarikat itu masih perlu meneruskan segala servis selepas jualan serta waranti untuk pelanggan sedia ada, sehinggalah pengedar baru dilantik.

    Menurut ketua pegawai eksekutif kumpulan automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, keputusan ini dibuat hasil daripada perancangan rasionalisasi jenama di bawah strategi korporat Kumpulan Naza, untuk mewujudkan daya tahan serta keuntungan dalam jangka masa panjang.

    Sementara itu, GM dan Chevrolet masih lagi komited dengan pasaran Malaysia dan pengarah kanan GM Asia Tenggara, Vanchana Unakul memberitahu bahawa syarikat akan mengumumkan rakan kongsi pengedar baru secepat yang mungkin.

    Naza Quest tamatkan kerjasama dengan General Motors untuk pengedaran kenderaan baru Chevrolet

    Buat masa ini, penjualan kenderaan baru Chevrolet dihentikan untuk sementara waktu, tetapi kemudahan wakil pengedar masih akan dibuka untuk memenuhi keperluan servis selepas jualan pelanggan sekarang. Naza Quest juga mengesahkan masih akan meneruskan servis di beberapa wakil pengedar, untuk menawarkan pelanggan servis kenderaan, alat ganti, jaminan serta servis selepas jualan yang lain.

    Penghentian operasi perniagaan kereta baru Chevrolet oleh Naza Quest akan bermula 15 November ini, dan Kumpulan Naza akan terus memberikan fokus kepada jenama automotif kereta atau motosikal lain yang sedia ada di bawah naungannya sekarang.

     
     
  • Range Rover Evoque baharu – teaser disiar, bakal didedahkan sepenuhnya di London minggu hadapan

    Range Rover Evoque baharu – <em>teaser</em> disiar, bakal didedahkan sepenuhnya di London minggu hadapan

    Percaya atau tidak, Range Rover Evoque sedia ada sudah pun berada lapan tahun dalam pasaran, itupun jika dikira sebagai model produksi – model konsep crossover ini yang digelar LRX Concept menampilkan rupa hampir sama dengan versi produksi sebenarnya telah pun membuat kemunculan pada tahun 2008.

    Walaupun hadir sebagai model premium, Evoque telah berjaya dijual lebih dari 750,000 unit di seluruh dunia, dan sekarang masa yang sesuai untuk Land Rover memperkenalkan model generasi baharu SUV kompak tersebut.

    Model generasi kedua Evoque sebenarnya bakal membuat kemunculan sulung global pada 22 November ini di kota London. Serentak dengan pengumuman tersebut, jenama British berkenaan turut menyiarkan imej teaser yang unik – memaparkan arca berbentuk garis-garis badan model baharu tersebut yang diperbuat dari jalur logam, dalam skala sebenar.

    Apa yang menarik lagi, arca ini dibuat dalam tiga warna iaitu tembaga, merah dan biru, serta telah diletakkan di tempat-tempat berkelas tinggi Britain sekitar London seperti di Kensington dan Chelsea. Kesemua arca tersebut dihasilkan sendiri oleh pasukan sebenar yang membuat rekaan Evoque baharu berkenaan. Ia direka dengan falsafah “reductive design”, menghasilkan bentuk badan SUV yang begitu elegan.

    “Jalur logam ini telah dihasilkan sebagai prebiu kepada Evoque baharu – yang melambangkan pendekatan rekaan modenis Range Rover. Di mana tempat yang lebih baik untuk mempamerkan arca unik ini selain dari di pusat bandar London – salah satu bandar yang terbaik di dunia,” kata ketua pegawai rekaan Land Rover Gerry McGovern.

    Menurut jenama tersebut, Evoque generasi baharu ini menjanjikan impak yang sama dengan model asal terdahulu, memperkenalkan standard baharu untuk rekaan, kebolehan dan kemampanan.

    Menurut laporan Autocar, model ini diasaskan dari platform yang ditingkat taraf secara signifikant digelar Premium Transverse Architecture, menawarkan keselesaan yang dan lebih diperhalusi yang dapat dicapai menerusi kerangka yang lebih tegar. Aerodinamik yang lebih baik dan juga teknologi bonet ‘see-through‘ pada kereta ini membolehkan geseran dan bunyi angin dapat dikurangkan sebanyak 10%.

    GALERI: Spyshot Range Rover Evoque generasi kedua

     
     
  • Aston Martin DBX – unit ujian pertama mula dibelasah

    Aston Martin DBX – unit ujian pertama mula dibelasah

    Aston Martin telah memulakan sesi ujian prototaip DBX, iaitu sebuah model yang akan dilancarkan menjelang suku keempat tahun 2019, dan bakal menjadi SUV pertama bagi jenama tersebut. Apabila masuk dalam pasaran nanti, ia akan bersaing dengan SUV mewah lain seperti dari Porsche, Maserati dan sebagainya.

    Menurut pengeluar yang berpusat di England ini, prototaip pembangunan pertama yang dapat dilihat ini dibawa ke laluan Rali Welsh yang mencabar, dan dipandu oleh ketua jurutera syarikat, Matt Becker. Ujian pertama ini cuma adalah satu permulaan kepada program yang lebih menyeluruh, dan dilakukan di Wales sebagai satu tanda penghargaan untuk kemudahan pengilangan Aston Martin yang baru dibuka di Vale of Glamorgan.

    Banyak lagi unit ujian DBX akan dibawa ke kawasan tertentu di seluruh dunia untuk dibelasah dalam keadaan yang mencabar, termasuklah kawasan beku Kutub Utara, padang pasir Timur Tengah, gunung-ganang Alpine, serta jalan untuk kelajuan tinggi seperti autobahn di Jerman dan litar Nürburgring.

    Aston Martin DBX – unit ujian pertama mula dibelasah

    Bayangan awal DBX ditunjukkan melalui satu model konsep yang dipersembahkan lebih tiga tahun lalu dengan nama hampir sama, tetapi sudah tentu, sekarang bentuknya mempunyai perbezaan. Antara yang paling jelas adalah model konsep dulu mempunyai dua pintu, tapi unit ujian ini mempunyai empat pintu – demi praktikaliti. Bonet, lampu utama yang nipis serta gril unik Aston Martin masih sama seperti kereta konsep dulu.

    Dengan penambahan pintu itu, garis bumbung kenderaan juga telah direka semula dan tidak lagi curam seperti model konsep. Malahan, ia cuma turun sedikit sebelum bersambung dengan spoiler belakang yang terletak di atas bumbung serta penutup but yang menggelembung. Lampu belakang pula kini disusun secara menegak dan bukannya mendatar seperti model konsep awal.

     
     
  • 4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2012 hingga 31 Ogos 2018 bernilai RM605 juta dibatalkan

    4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2012 hingga 31 Ogos 2018 bernilai RM605 juta dibatalkan

    Mungkin ini boleh dianggap berita gembira bagi anda yang memiliki saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang masih belum menjelaskannya, dan berita duka untuk anda yang telah membayarnya. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan semua 4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2013 hingga 31 Ogos 2018 telah dibatalkan, lapor Bernama.

    Beliau berkata berdasarkan Pusat Data Bahagian Teknologi Digital, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bayaran saman AES bagi kesalahan had laju dan langgar lampu isyarat yang dikeluarkan sebelum 1 September lalu adalah berjumlah RM605 juta.

    “Saya telah mendapat kepastian daripada pihak pengurusan pusat data ini bahawa semua saman telah diputihkan daripada sistem. Ini bermaksud apa-apa saman AES sebelum 1 September lalu sudah tiada lagi dalam data,” katanya kepada pemberita hari ini.

    4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2012 hingga 31 Ogos 2018 bernilai RM605 juta dibatalkan

    Katanya, sebanyak 60,444 saman AES atas kesalahan melanggar had laju telah dikeluarkan sejak 1 Sept lepas sehingga 8 November lalu namun hanya 1,711 saman yang dijelaskan. Bagi tempoh yang sama untuk kesalahan melanggar lampu isyarat pula, beliau berkata sebanyak 4,575 saman AES telah dikeluarkan namun hanya 167 saman telah dibayar.

    Menurutnya, sebanyak 1,190 kes saman AES telah dibawa ke mahkamah di Kedah, Perak dan Pulau Pinangsejak 1 September lalu namun tiga individu sahaja hadir ke mahkamah. Di mana waran tangkap akan dikeluarkan terhadap individu yang gagal hadir di mahkamah dan akan disenarai hitam daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehingga saman AES dijelaskan.

    Loke berkata JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang ingkar untuk membayar saman AES dalam tempoh 60 hari termasuk dihadapkan ke mahkamah.

     
     
  • Tiga stesen MRT laluan Sungai Buloh-Kajang bakal ditutup sepenuhnya hujung minggu ini – Prasarana

    Tiga stesen MRT laluan Sungai Buloh-Kajang bakal ditutup sepenuhnya hujung minggu ini – Prasarana

    Prasarana telah mengumumkan penutupan sepenuhnya tiga stesen Transit Aliran Massa (MRT) bagi Laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) pada 17 dan 18 November ini. Ia melibatkan stesen MRT Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.

    Penutupan ini bertujuan bagi bagi memberi laluan kerja penyambungan rel bagi projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP). Menurut Ketua Pegawai Operasi MRT SBK, Azmi Mohd. Zain, sepanjang penutupan tersebut, perkhidmatan bas perantara akan disediakan antara Stesen Kwasa Sentral dan Stesen Sungai Buloh dengan kekerapan waktu operasinya antara tujuh hingga 15 minit.

    “Perkhidmatan tren MRT SBK dari Kajang akan tamat di Kwasa Sentral dan seterusnya kembali semula ke Kajang sepanjang tempoh penutupan stesen-stesen yang terjejas,” katanya.

     
     
  • Jalan alternatif untuk atasi kesesakan di Cameron Highlands sedang dikaji – Kem. Pengangkutan

    Jalan alternatif untuk atasi kesesakan di Cameron Highlands sedang dikaji – Kem. Pengangkutan

    Selain Pulau Pinang, masalah kesesakan lalu lintas turut terjadi di Cameron Highlands khususnya ketika musim cuti termasuk hujung minggu.

    Justeru, bagi mengurangkan masalah ini, Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji untuk membangunkan jalan pintasan Cameron Highlands sebagai laluan alternatif, laporan Bernama.

    Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, cadangan jalan pintasan Cameron Highlands bagaimanapun perlu diteliti terlebih dahulu melalui kajian kebolehupayaan (feasibility study).

    “Kajian ‘feasibility’ perlu dilaksanakan terlebih dahulu dengan mengenal pasti beberapa daya maju projek dan setelah kajian ini selesai kerajaan perlu memperuntukkan sumber kewangan untuk menampung kos projek ini. Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan projek naik taraf dan melebarkan jalan persekutuan FT 59 Jalan Ringlet ke Blue Valley.

    “Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mengenal pasti peruntukan kewangan diperlukan supaya projek ini dijalankan sebelum 2020,” katanya menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

     
     
  • Toyota Camry 2.5V tampil pertama kali di KLIMS 2018

    Toyota Camry 2.5V tampil pertama kali di KLIMS 2018

    UMW Toyota Motors (UMWT) sebelum ini telah mendedahkan perincian Toyota Camry 2019 yang bakal memasuki pasaran Malaysia. Model sama juga telah dilancarkan di Thailand bulan lalu. Terbaru, seperti yang diumumkan melalui akaun Instagram rasmi Toyota Malaysia, model ini akan membuat penampilan umum yang pertama ketika KLIMS 2018 minggu depan.

    Hanya satu varian yang akan diperkenalkan terlebih dahulu, iaitu Camry 2.5V, dengan harga RM189,900 atas jalan tanpa insurans, seperti yang diumumkan ketika UMWT mula mengambil tempahan bagi model ini. Bagaimanapun, ini harga anggaran dan mungkin akan berubah.

    Menggunakan platfrom Toyota New Global Architecture (TNGA), untuk pasaran Malaysia Camry 2019 ini dilengkapi enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder, yang sama dengan Camry semasa, dan digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Unit Dual VVT-i dan ACIS ini mampu memberikan kuasa 184 PS dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm – memberikan tambahan 4 PS berbanding model semasa.

    Luarannya pula didatangkan dengan kelengkapan seperti lampu utama projektor bi-LED dengan lampu isyarat LED. Juga lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang dari jenis LED. Lain-lain aspek luaran termasuk rim 18-inci, cermin sisi hydrophilic auto retractable (yang disambung ke memori), bilah pengelap cermin automatik dan dua corong ekzos.

    Camry baru ini juga didatangkan dengan sistem Toyota Safety Sense, merangkumi sistem pra-pelanggaran, amaran pertukaran lorong dengan bantuan stereng, kawalan cruise dinamik dengan radar serta lampu tinggi automatik.

    Ia juga ditampilkan dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), pemantauan titik buta dengan amaran trafik lintasan belakang, bantuan mula mendaki, pengesan parkir hadapan/belakang dan sistem pemantau tekanan tayar.

    Enam warna ditawarkan iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Graphite Metallic dan Burning Black CS GF. Kalau nak jadi antara yang terawal mendekati model ini, boleh berkunjung KLIMS 2018 yang akan bermula minggu hadapan.

     
     
  • BMW G20 M340i xDrive tawar kuasa 374 hp, 500 Nm

    BMW G20 M340i xDrive tawar kuasa 374 hp, 500 Nm

    Sebelum M3 generasi baru tiba, BMW M340i xDrive ini adalah varian paling tinggi untuk 3 Series G20. Ia hanya akan diperkenalkan secara rasmi hujung bulan ini waktu Los Angeles Auto Show, dan diletakkan atas daripada varian 330i dengan mempunyai kemampuan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 4.4 saat.

    Ini adalah hasil daripada penggunaan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter yang menjadikan ia berbeza berbanding varian lain G20 petrol, yang menggunakan enjin empat silinder turbo. Enjin M340i ini mempunyai pengecas turbo twin-scroll B58, dan bahagian crankcase serta head silindernya dibuat daripada aluminium. Penyuntik bahan api pula boleh beroperasi sehingga tekanan 350 bar, dan dibantu sistem Valvetronic serta Double Vanos.

    Menurut BMW, perkiraan bahagian turbo enjin ini sudah diperbaiki, di mana integrasi manifold ekzos besi padat dan pengecas turbo telah berjaya meningkatkan tekanan boost secara lebih cepat. Pengurangan waktu inertia yang dikurangkan sebanyak 25% dapat meningkatkan tindak balas turbin, manakala wastegate dengan bukaan yang lebar serta dikawal secara elektrik menyumbang kepada kadar emisi yang lebih baik.

    BMW G20 M340i xDrive tawar kuasa 374 hp, 500 Nm

    Hasil daripada semua ini, 48 hp tambahan berjaya didapati daripada enjin paling berkuasa yang boleh didapati untuk F30 ini, dengan jumlah keseluruhannya sekarang 374 hp. Tork pula meningkat 50 Nm menjadi 500 Nm. Dalam kiraan prestasi, M340i boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, iaitu 0.5 saat lebih pantas berbanding model F30 (tidak termasuk M3). Penggunaan bahan api bercampur terletak sekitar 7.5 liter bagi setiap 100 km.

    Melalui enjin ini juga, BMW menjanjikan “bunyi berkarekter” enjin enam silinder sebaris, dan ia didatangkan terus dengan ekzos M Sport. Dalam mod Sport dan Sport+, bunyi ini akan bertambah jelas termasuk di dalam kabin kerana sistem ekzos itu mempunyai injap yang boleh dikawal. Melalui penggunaan penapis petrol, model ini dapat melepasi tahap emisi Euro 6d-Temp.

    Tugas pengalihan kuasa pula dilakukan oleh transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic generasi terbaru, dan ia mempunyai nisbah yang lebih pendek untuk gear rendah, seterusnya meningkatkan pecutan, manakala fungsi Launch Control pula boleh digunakan untuk penyampaian kuasa yang lebih optimum waktu memecut. Sudah tentu, ia mempunyai pedal penukar gear di stereng.

    BMW G20 M340i xDrive tawar kuasa 374 hp, 500 Nm

    Sama seperti 5 Series M Performance, M340i ini mendapat sistem pacuan empat roda xDrive, dan ia adalah tetapan yang lebih tertumpu kepada roda belakang. Menurut BMW, sistem pacuan ini lebih efektif dalam mod Sport dan Sport+, di mana ia dapat meningkatkan kelincahan waktu mengambil selekoh. Differential M Sport standard yang digunakan pula menawarkan fungsi mengunci roda belakang yang boleh dikawal sepenuhnya secara elektronik.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan melibatkan penggunaan gandar double-joint spring strut manakala di belakang pula gandar five-arm – kedua-duanya telah dioptimakan pada aspek berat serta ketegarannya. Turut diubah adalah jarak antara tayar kiri dan kanan, serta sudut camber. Kedudukan kereta ini juga lebih rendah 10 mm, dan suspensi M Sport yang digunakan turut termasuk dengan fungsi elastokinematics serta kawalan penyerapan baru. Variable Sport Steering diberi secara standard manakala suspensi adaptif M adalah satu pilihan tambahan.

    Pada bahagian brek pula, menurut BMW, sistem M Sport yang digunakan mempunyai jarak pergerakan pedal yang lebih pendek, dengan tahap tekanan yang mudah dirasa. Ia adalah hasil daripada penggunaan barangan yang termasuk angkup empat piston (berwarna biru dengan logo M) serta cakera 348 mm di hadapan, dan angkup satu piston bersama cakera 345 mm di belakang. Rim standard adalah bersaiz 18 inci (tayar 224/45 di depan dan 255/40 di belakang), tetapi pembeli juga boleh memilih rim M 19 inci dalam dua rekaan berlainan atau rim BMW Individual 19 inci.

    Melihatkan bentuk bahagian luarnya, ciri spesifik model ini adalah termasuk gril dengan rekaan mesh, spoiler belakang sama warna dengan badan serta muncung ekzos bentuk trapezoid. Bampar hadapan juga lebih agresif berbanding M Sport, dan anda boleh melihat terdapat penghadang di belakang cermin sisi, salur udara ke enjin, kemasan keliling muncung ekzos serta lencana berwarna Cerium Grey.

    Pada bahagian dalam, M340i ini datang dengan tempat duduk sport yang dibalut kain Sensatec/Alcantara khas untuk model M, lapik bumbung hitam, roda stereng M yang dibalut kulit dengan pedal penukar gear serta jalur kemasan Aluminium Tetragon. Panel instrumen digital yang digunakan mempunyai logo “M340i”, sama seperti di tepi pintu.

    GALERI: BMW 3 Series G20

     
     
  • Petak parkir yang disewa kepada operator perniagaan perlu dibuka selepas jam 6.30 petang – MBPJ

    Petak parkir yang disewa kepada operator perniagaan perlu dibuka selepas jam 6.30 petang – MBPJ

    Semua petak parkir di bawah seliaan Majlis bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang disewa kepada operator perniagaan perlu dibuka kepada umum selepas jam 6.30 petang.

    Menurut penolong akauntan Perbendaharaan MBPJ Zay Iskandar berkata tanjakan kenderaan yang diletakkan di petak parkir tersebut perlu dialihkan pada masa yang ditetapkan itu, laporan The Star.

    Menurutnya lagi, tanjakan yang digunakan itu perlulah bukan yang diperbuat daripada campuran simen, dan tanjakan logam yang digunakan perlulah jenis yang boleh dialih dan ia hanya dibenarkan diletakkan di petak parkir yang disewa dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang, dari hari Isnin hingga Jumaat sahaja.

    “Kami mempunyai rekod, dan ada menjumpai premis yang menggunakan penanda merah tiruan untuk menanda petak parkir. Kami telah memaklumkan kepada pemilik premis terbabit untuk menyewanya atau bakal dikenakan tindakan yang serius termasuk menarik balik lesen perniagaan mereka,” ujarnya.

    Tambahnya, jangka masa sewaan bagi sesetengan petak parkir ada yang telah pun luput melebihi dua tahun, tetapi pemilik premis tidak memperbaharuinya.

    “Kami kerap menerima aduan dari orang ramai tentang kekurangan petak parkir di bawah majlis bandaran, kerana kebanyakannya dimonopoli oleh pemilik premis secara tidak sah. Ada juga yang dikenalpasti garisan berwarna kuning bagi petak parkir telah dicat dengan warna hitam jadi pemilik kenderaan menganggap tiada parkir kosong di hadapan kedai,” ujarnya lagi.

    Yuran sewaan bulanan bagi setiap petak parkir untuk kedai makan dan premis biasa ialah RM400, manakala RM200 untuk setiap petak parkir bagi bengkel kereta.

     
     
  • SPYSHOT: Mazda 3 serba baharu – luaran dan dalaman didedahkan, inspirasi sentuhan rekaan Kai concept

    SPYSHOT: Mazda 3 serba baharu – luaran dan dalaman didedahkan, inspirasi sentuhan rekaan Kai concept

    Nampaknya kita tak perlu tunggu sehingga Los Angeles Auto Show untuk mengetahui lebih banyak informasi mengenai generasi baharu Mazda 3. Baru-baru ini jurufoto spy kami berjaya merakamkan kelibat hatchback ini, lengkap dengan imej luaran yang nampak gayanya telah bersedia untuk diproduksi.

    Jika anda merupakan peminat Kai Concept, mesti ada gembira apabila mengetahu Mazda menerapkan suntikan yang menyamai bagi sentuhan terakhir model Mazda 3 ini. Berdasarkan foto ini, banyak ciri daripada model konsep diterapkan pada model produksi, namun ada juga yang dilakukan sedikit semakan.

    Sudut hadapan kereta ini menampilkan gril yang lebih besar berbanding model sedia ada, dengan bonet yang melunjur ke bawah umpama gaya pada Kai. Lain-lain ciri yang dikongsikan ialah lampu utama yang lebih tajam, sedikit kecil berbanding model generasi ketiga.

    Secara profil, Mazda 3 baharu ini boleh dikatakan sangat menyamai Kai, termasuk dengan rekaan roda jejari-berkembar lima dan juga kedudukan spoiler belakang. Walau bagaimana pun, balutan penyamaran pada bahagian badan menyukarkan untuk menetukan adakah panel badan dari model konsep akan diterjemahkan ke versi produksi.

    SPYSHOT: Mazda 3 serba baharu – luaran dan dalaman didedahkan, inspirasi sentuhan rekaan Kai concept

    Pada Kai, rekaannya telah menciptakan peralihan antara lampu dan bayang tanpa menghadirkan garisan karakter, dan efek tersebut juga digunapakai pada Vision Coupe – satu lagi model konsep yang dipertontonkan sebagai fasa kedua rekaan Kodo oleh Mazda.

    Pada bahagian belakangnya, elemen diffuser atau corong yang terlebih besar yang kelihatan di bahagian bawah Kai telah disingkirkan pada model produksi Mazda 3, dan ia didatangkan dengan bahagian yang lebih relevan untuk meletakkan pemegang plat nombor. Lampu belakang bulat dikekalkan tetapi dibentuk lebih konvensional, walaupun “bump” di bulatan luar telah terbalik.

    Kabin Mazda 3 baharu, juga banyak diterjemahkan daripada Kai dan kelihatan menyamai dengan ilustrasi yang penah dibocorkan sebelum ini. Dari tempat duduk pemandu, lengkap dengan rekaan roda stereng baharu dan kluster instrumen tiga-seksyen turut dikembalikan yang satu di tengahnya adalah skrin digital yang disambung pada dail analog.

    SPYSHOT: Mazda 3 serba baharu – luaran dan dalaman didedahkan, inspirasi sentuhan rekaan Kai concept

    Kawalan pada kawalan suhu pula kelihatan minimalis dan skrin digital yang ditampilkan di tengah papan pemula, sebaris dengan corong bagi penumpang terletak di sisi. Di atas skrin paparan, kelihatan sistem infotainmen MZD Connect.

    Sama seperti konsep, bahagian hadapan turut dipisahkan oleh konsol tengah, di mana perumah bagi kawalan untuk sistem infotainmen, dan apa yang dilihat kemungkinan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Seperti yang pernah disebut sebelum ini, Mazda 3 akan dijanakan oleh enjin penyalaan mampatan SkyActiv-X. Model segmen-C ini juga merupakan yang pertama menerima SkyActiv-Vehicle Architecture generasi akan datang.

    Kita akan mengetahui lebih banyak perincian lengkap mengenainya apabila ia diperkenalkan di peringkat global di Los Angeles dalam masa beberapa minggu akan datang.

    GALERI: Mazda Kai Concept

     
     
  • Rali Terengganu 2018 tampil SS atas pasir pantai

    Rali Terengganu 2018 tampil SS atas pasir pantai

    Pusingan terakhir Kejuaraan Rali Malaysia AAM tahun ini – Rally of Terengganu 2018, akan menampilkan laluan SS di atas permukaan pasir pantai di tapak Lembah Bidong, lapor portal berita negeri berkenaan, teganukite.net.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, SS sedemikian bukan sahaja pertama seumpamanya di Malaysia, malah turut dipercayai sebagai yang pertama di dunia.

    “Sebelum ini, tapak Lembah Bidong adalah tapak yang hanya digunakan untuk pertandingan sukan berkuda namun kali ini adalah pertandingan yang melibatkan perlumbaan kereta rali pertama akan dilangsungkan di tapak trek sukan berkuda.

    Pada tahun 2010 juga sukan yang sama kita pernah adakan di Tasik Kenyir, Setiu yang diadakan secara tahunan. Tetapi untuk trek di Lembah Bidong, ini kali yang pertama pertandingan seumpama ini diadakan sama ada di peringkat negara kita mahupun di peringkat dunia. Ini kali pertama trek yang akan bermula di tepi pantai dan ini adalah satu lagi pembaharuan,” jelasnya.

    Beliau turut menyatakan bahawa acara yang akan diadakan di Terengganu International Endural Park (TIEP) pada 14 dan 15 Disember 2018 akan disertai oleh tidak kurang daripada 32 buah kenderaan yang melibatkan 64 orang pemandu termasuk lagenda rali negara Karamjit Singh, bersama ratusan kru.

     
     
  • Tesla Model 3 Performance terima kemaskini perisian – fungsi Track Mode; tumpu pemanduan litar, boleh drift!

    Umum mengetahui bahawa kereta-kereta elektrik buatan Tesla yang mempunyai tork yang begitu besar bermula dari rpm sifar membolehkan model-model berkenaan beraksi dengan begitu baik dalam perlumbaan drag, walaupun tanpa apa-apa pengubahsuaian. Kini bagi memberikan pemilik berseronok dengan Tesla Model 3 mereka bukan hanya laluan lurus, Tesla telah pun memperkenalkan kemaskini perisian yang memberikan mod litar (Track Mode) untuk varian Performance model tersebut.

    Menurut Tesla, mod baharu tersebut akan menggunakan kelebihan sistem dua-motor sedia ada pada Model 3 Performance. Menerusi Track Mode berkenaan, pembahagian tork antara gandar hadapan dan belakang akan ditala semula bagi memastikan kereta tersebut dapat dipandu dengan lebih mudah ketika di dalam litar perlumbaan.

    Apabila Track Mode ini dipilih, sistem mampu untuk mengarahkan 100% tork hanya dialirkan pada gandar belakang. Jika kereta ini tidak mampu untuk masuk ke selekoh dengan tajam, sistem berkenaan akan memberikan lebih tork kebelakang, manakala sekiranya bahagian belakang mula membuang ketika selekoh, tork akan diberikan lebih pada gandar hadapan.

    Tesla turut memperkenalkan sistem kawalan dinamik Vehicle Dynamics Controller dengan Track Mode berkenaan. Sistem ini akan berfungsi untuk menstabilkan dinamik pengendalian yang terganggu akibat perubahan berterusan agihan tork antara motor hadapan dan belakang, yang tidak dapat dibuat oleh sistem kawalan kestabilan tradisional.

    Tesla Model 3 Performance terima kemaskini perisian – fungsi Track Mode; tumpu pemanduan litar, boleh drift!

    Kesan ‘engine braking’ pada sistem regenerative braking boleh dirasai dengan lebih ketara dengan mod pemanduan baharu ini, yang bukan sahaja memudahkan pemanduan dengan kawalan hanya pedal pendikit, malah turut akan memanjangkan hayat sistem brek serta lebih banyak kuasa elektrik dihasilkan kembali untuk mengecas bateri.

    Sistem penyejukkan bateri juga akan berfungsi dengan lebih proaktif menerusi mod ini, dan ia akan terus berfungsi walaupun ketika kereta sedang direhatkan sebelum beraksi semula di litar.

    Tesla Model 3 Performance tidak dilengkapi dengan LSD, namun menerusi Track Mode, pembahagian tork antara kiri dan kanan juga dapat dioptimakan menerusi sistem brake torque vectoring yang turut diberikan menerusi tingkat taraf perisian baharu ini.

    Sebaik mana pengendalian yang ditawarkan menerusi Track Mode baharu ini? Bersama pengumuman tingkat taraf perisian ini, Tesla turut menyiarkan video bagaimana sebuah Model 3 boleh melakukan aksi drift.

     
     
  • Toyota Corolla Sedan generasi baharu – teaser disiar, muncul serentak di Amerika dan China Jumaat ini

    Toyota Corolla Sedan generasi baharu – <em>teaser</em> disiar, muncul serentak di Amerika dan China Jumaat ini

    Minggu lalu Toyota telah mengumumkan bahawa sedan segmen-C generasi baharu mereka yang bakal berhadapan dengan Honda Civic generasi ke-10 iaitu Toyota Corolla Sedan generasi ke-12 bakal membuat kemunculan sulung di Guangzhou Motor Show 16 November ini. Tetapi menerusi teaser yang baru disiarkan, nampaknya model berkenaan turut diumumkan akan didedahkan malam Khamis ini di Carmel, California.

    Acara yang diadakan di Amerika berkenaan adalah pada pukul 7 malam waktu di sana. Berdasarkan perbezaan waktu 11 jam (pagi di China), pendedahan Corolla sedan tersebut di California dan Guangzhou dianggarkan akan berlaku dalam waktu yang hampir sama, Jumaat ini.

    Menerusi imej teaser yang disiarkan ini juga mendedahkan bahawa terdapat sedikit perbezaan antara muka sedan ini dan juga dua versi Corolla yang telah dilancarkan sebelum ini iaitu hatchback dan wagon Touring Sports, walaupun masih diberikan lampu hadapan yang tirus dan nipis bersama lampu nyalaan siang LED bina dalam yang sama.

    Toyota Corolla Hatchback

    Namun logo Toyota pada versi sedan ini dipindahkan ke bahagian atas, manakala bamparnya direka dengan gril bawah tidak selebar versi hatchback, dan dilengkapi dengan kemasan liang palsu, serta diberikan sepasang lagi bar LED sebagai lampu kabus.

    Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan, tetapi menerusi laporan sebelum ini, versi yang dijana enjin 1.2 liter petrol turbo seperti Corolla Hatchback pasaran Eropah tidak akan diadaptasikan pada model sedan. Jadi, model empat pintu berkenaan akan hadir dalam janaan enjin NA M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force berkuasa 168 hp/205 Nm, digandingkan bersama kotak gear Direct Shift CVT automatik. Kotak gear generasi baharu tersebut dilengkapkan dengan launch gear, yang akan memberikan respon lebih terus dan menghilangkan lag ketika mula bergerak seperti transmisi CVT tradisional.

    GALERI: Spyshot Toyota Corolla Sedan

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback pasaran Amerika

    GALERI: Toyota Corolla Touring Sports

     
     
  • BRT laluan Sunway bakal diturunkan kadar tambang sebanyak 20% mulai 1 Disember ini – Anthony Loke

    BRT laluan Sunway bakal diturunkan kadar tambang sebanyak 20% mulai 1 Disember ini – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan mulai 1 Disember ini, kadar tambang untuk perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) laluan Sunway akan diturunkan sebanyak 20%.

    Katanya insentif pengurangan tambang itu diharap dapat memberi impak positif kepada jumlah pengguna perkhidmatan BRT di samping menjadi galakan kepada penumpang setia untuk terus menggunakan perkhidmatan tersebut, Bernama.

    “Diskaun 20% ini diberikan kepada penumpang yang membayar tunai menggunakan token perjalanan dan bayaran tanpa tunai kerana purata pengguna kedua-dua mod pembayaran ini adalah tinggi iaitu sebanyak 75% berdasarkan kepada statistik pada bulan Oktober 2018,” katanya pada pemberita dalam sesi lawatannya ke terminal perkhidmatan tersebut semalam.

    Beliau menambah, dengan pelaksanaan tambang baharu itu, Prasarana menyasarkan kenaikan penumpang sebanyak 22%.

    Secara purata, perkhidmatan BRT Laluan Sunway mencatat bilangan penumpang melebihi 11,000 orang sehari pada hari bekerja dan lebih 250,000 penumpang sebulan.

     
     
  • Subsidi RON95: Mekanisme pelaksanaan masih dikaji, pengguna tiada kenderaan juga layak terima – Lim

    Subsidi RON95: Mekanisme pelaksanaan masih dikaji, pengguna tiada kenderaan juga layak terima – Lim

    Mengenai subsidi RON 95 yang bakal diberikan kepada golongan yang selayaknya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan masih mengkaji dan memperhalusi sistem subsidi petrol dengan mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan subsidi bersasar.

    Ia senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan sejawatnya, menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang baru-baru ini mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab melaksanakan proses itu dalam tempoh terdekat ini.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN UMNO-Jempol) yang menimbulkan kegusaran mekanisme pelaksanaan subsidi petrol, Guan Eng berkata, syarikat stesen minyak di seluruh negara akan diberikan kelengkapan teknologi berkaitan, laporan Berita Harian.

    Katanya, teknologi yang diperlukan untuk menyemak butiran dalam kad minyak bagi memastikan subsidi dinikmati golongan sasar tidak rumit sehingga memerlukan pengkhususan canggih seperti diuar-uarkan segelintir pihak.

    Subsidi RON95: Mekanisme pelaksanaan masih dikaji, pengguna tiada kenderaan juga layak terima – Lim

    “Segala keprihatinan akan disampaikan kepada KPDNHEP supaya tidak timbul masalah pelaksanaan subsidi ini, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

    Selain itu, menurut Lim lagi, subsidi berkenaan juga tetap diberi kepada penerima yang layak namun tidak mempunyai kenderaan berikutan kekangan kewangan. Beliau mengakui segelintir penerima subsidi berteraskan mekanisme penyaluran menggunakan kad minyak itu tidak mempunyai kenderaan, namun memerlukan petrol dan diesel untuk tujuan lain.

    Katanya, majoriti penerima dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar itu lazimnya mempunyai penjana kuasa yang beroperasi menggunakan petrol dan diesel.

    “Kumpulan (penerima) yang tiada kenderaan, tapi perlu guna diesel untuk generator (jana kuasa) akan diberikan kerana ini subsidi bahan api secara bersasar. Oleh itu, penumpuan ialah terhadap golongan yang memerlukan bantuan, bukan orang kaya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN UMNO-Baling) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026