Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG G63 2019 dilancarkan di Malaysia – 4.0 liter V8 Bi-turbo, 585 hp/850 Nm, harga dari RM1.5 juta

    Mercedes-AMG G63 2019 dilancarkan di Malaysia – 4.0 liter V8 Bi-turbo, 585 hp/850 Nm, harga dari RM1.5 juta

    Selepas pengenalan model C-Class terbaru minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia kini memperkenalkan pula barisan SUV prestasi tinggi siri AMG 63 untuk pasaran tempatan. Selain model Mercedes-AMG GLC 63 dan GLC 63 Coupe, model Mercedes-AMG G 63 2019 menjadi antara yang paling menarik untuk diperhatikan.

    Dijual pada harga RM1,464,888, model ini dilengkapi dengan enjin 4.0L V8 Biturbo petrol dengan janaan sebanyak 585 hp dan 850 Nm tork (dari 2,000 rpm hingga 3,000 rpm), SUV ikonik ini dipadankan pula dengan sistem transmisi AMG Speedshift TCT 9G. Ini menjadikan prestasi pecutan 0-100 km/j model ini dicapai dalam masa 4.5 saat, manakala kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 220 km/j (240 km/j dengan Driver’s Package).

    Berbanding model sebelumnya, kerangka model ini 55% lebih kukuh, dengan berat berkurangan sebanyak 170 kg. Bagaimanapun, dimensinya bertambah; 101 lebih panjang, 121 mm lebih lebar dan 40 mm lebih tinggi. Hasil daripaada peningkatan ini, ruang lutut penumpang belakang kini bertambah 150 mm.

    Mercedes-AMG G63 2019 dilancarkan di Malaysia – 4.0 liter V8 Bi-turbo, 585 hp/850 Nm, harga dari RM1.5 juta

    Dari aspek luaran, SUV ini menggunakan lampu utama dengan teknologi Multibeam LED serta tingkat kemasan AMG Night Package Edition 1. Ia hadir bersama rim 22-inci AMG, grafik badan khusus serta brek kaliper AMG merah. Sunroof boleh buka yang ada turut menyuntik unsur mewah untuk SUV ini.

    Ruang kabin menerima lebih banyak perincian khusus AMG, seperti kemasan gentian karbon warna merah serta stereng AMG balutan kulit Nappa. Material kulit ini juga digunakan untuk membaluti tempat duduk, dengan benang merah (dengan tali keledar merah) menyerlahkan lagi sisi agresif dan kelainan yang ditawarkan.

    Selain ciri lampu suasana dengan 64 pilihan warna yang sinonim dengan kenderaan Mercedes-Benz, pelapik bawah pintu (door sill) juga khas AMG, diperbuat dari material tahan karat. Lain-lain ciri yang turut melengkapi model ini ialah kawalan pendingin hawa Thermotronic automatik serta pemanas kerusi.

    Mercedes-AMG G63 2019 dilancarkan di Malaysia – 4.0 liter V8 Bi-turbo, 585 hp/850 Nm, harga dari RM1.5 juta

    Sudut kejituan pemanduan ditawarkan peningkatan melalui kelengkapan ciri seperti AMG Dynamic Select, AMG Ride Control dengan penyerap hentak adaptif. Pacuan empat roda 4Matic pada SUV ini turut hadir dengan pengunci differential lock 100%. G 63 turut dilengkai sistem ekzos AMG Performance untuk melengkapi penawaran dari sudut prestasinya.

    Sistem multimedia model ini terdiri daripada COMAND Online, skrin off-road, paparan maklumat pemanduan pada kluster meter digital yang lebar serta pad sentuh. Sistem bunyi adalah dari sistem Burmester Surround Sound.

    Antara ciri-ciri keselamatan utama yang hadir bersama ialah pakej Driving Assistance serta sistem PRE-SAFE. Ini termasuk ciri seperti kamera 360-darjah, bantuan titik buta, bantuan jarak Distronic aktif, bantuan pengekalan lorong aktif, bantuan brek aktif, bantuan parkir Parktronic, beg udara sisi penumpang belakang serta lampu brek adaptif. Sistem masukan tanpa kunci adalah standard.

    Untuk perincian lanjut berkaitan model ini, layari CarBase.my.

     
     
  • Mercedes-AMG GLC 63 S 4Matic+ dan AMG GLC 63 S Coupe 4Matic+ dilancarkan di Malaysia – dari RM916k

    Mercedes-AMG GLC 63 S 4Matic+ dan AMG GLC 63 S Coupe 4Matic+ dilancarkan di Malaysia – dari RM916k

    Mengiringi pengenalan model SUV prestasi Mercedes-AMG G63 2019 untuk pasaran Malaysia yang dilancarkan secara rasmi hari ini ialah dua lagi model dalam siri prestasi sama; AMG GLC 63 S 4Matic+ dan juga AMG GLC 63 S Coupe 4Matic+. Harga jualan masing-masing ialah RM915,888 dan RM933,888

    Kedua-dua model ini menggunakan enjin 4.0 liter Bi-turbo V8 petrol dengan janaan 503 hp pada 5,500-6,250 rpm dan 750 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai hanya dalam masa 3.8 saat – ia 1.1 saat lebih pantas berbanding model GLC 43. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 270 km/j.

    Sistem AMG Dynamic Select hadir dengan empat mod pemanduan – Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual. Sistem ekzos pula menggunakan unit AMG Performance yang khusus. Untuk menampung angka prestasi yang besar ini, ia hadir bersama sistem brek komposit prestasi tinggi serta limited-slip differential pada gandar belakang.

    Mercedes-AMG GLC 63 S 4Matic+ dan AMG GLC 63 S Coupe 4Matic+ dilancarkan di Malaysia – dari RM916k

    Dari aspek kemasan luaran, kedua-dua model ini dilengkapi dengan perincian yang sama. Paling utama ialah penggunaan rim 21-inci AMG, tingkat kemasan AMG Night Package, sistem lampu Multibeam LED dengan lampu tinggi adaptif serta sunroof. Rekaan gril Panamericana, bampar lebih sporty dengan bukaan udara lebih luas, diffuser belakang serta spoiler pada bumbung antara sentuhan unik model ini.

    Ruang kabin juga dilengkapi dengan perincian khusus AMG, sebagai contoh stereng AMG Performance dengan balutan gentian mikro Dinamica serta tempat duduk sport balutan kulit Nappa. Begitu juga dengan tali keledar merah, kulit Artico hitam pada bahagian papan pemuka, kemasan gentian karbon dan aluminium AMG serta pelapik bawah pintu (door sill) yang juga khusus AMG.

    Mercedes-AMG GLC 63 S 4Matic+ dan AMG GLC 63 S Coupe 4Matic+ dilancarkan di Malaysia – dari RM916k

    Kelengkapan lain antaranya termasuk sistem kawalan penghawa dingin dwi zon Thermotronic, tempat duduk kuasa elektrik dengan sokongan lamdar serta fungsi memori dan pemanas, COMAND Online dengan touchpad, sistem audio Burmester, head-up unit dan operasi tanpa kunci.

    Bagi sistem keselamatan, ciri standardnya termasuk kamera 360-darjah, pakej Driving Assistance, Distance Pilot DISTRONIC dengan Steering Pilot, bantuan aktif mengekalkan lorong, bantuan aktif titik buta aktif, bantuan aktif brek dengan silang-trafik, bantuan aktif parkir serta sistem PRE-SAFE. Layari CarBase.my untuk perincian lanjut model-model Mercedes-AMG GLC 63 dan Mercedes-AMG GLC 63 Coupe di Malaysia.

    Mercedes-AMG GLC 63

    Mercedes-AMG GLC 63 Coupe

     
     
  • Perodua akan pamerkan kereta konsep di KLIMS 2018

    Perodua akan pamerkan kereta konsep di KLIMS 2018

    Dalam masa tidak sampai dua minggu lagi, acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 akan berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur dan Perodua sebagai pemain utama dalam industri permotoran Malaysia pastinya akan berada di sana dengan kawasan pameran yang bertemakan “Illumination“.

    Melalui status yang dinaikkan di laman Facebook rasmi syarikat, Perodua telah memberitahu akan membawa sesuatu yang istimewa ke KLIMS 2018, iaitu sebuah kereta konsep, namun bentuk mahupun bayangnya masih belum ditunjukkan. Status yang tertulis cuma menyatakan “Mari bersedia untuk penampilan pertama Kereta Konsep, teknologi inovasi serta pelbagai lagi. Jumpa anda di booth Illumination Perodua!”

    Sebelum ini pernah tersebar bahawa Perodua sedang membangunkan model baru, malah gambar lukisan digitalnya juga telah dinaikkan. Walaubagaimanapun, rakan sekerja kami yang berjumpa terus dengan pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin telah mendapat maklum balas bahawa itu bukan model Perodua.

    Perodua akan pamerkan kereta konsep di KLIMS 2018

    Dalam pertemuan yang sama beliau turut menyatakan bahawa SUV mungkin adalah segmen yang betul untuk dilihat sekiranya Perodua mahu memperkenalkan model baru, namun masih beranggapan bahawa segmen itu adalah satu segmen yang tertumpu. Apabila ditanya sama ada sebarang model baru Perodua akan dapat dilihat tahun ini, beliau memberi jawapan mungkin tidak.

    Jika melihat kepada tahun-tahun sebelum ini, Perodua pernah menunjukkan GMA Space Concept iaitu pada tahun 2013, dan rupa-rupanya ia memberikan pandangan awal untuk bahagian kabin Axia. Kemudiannya melalui Buddyz Concept (juga pada tahun 2013), ia pula menunjukkan idea rekaan Bezza. Concept X yang ditunjukkan pada tahun 2017 pula mungkin adalah pandangan awal untuk SUV baru yang disebut-sebut.

    Jadi, anda rasa apakah bentuk kereta konsep yang bakal dibawa ke KLIMS ini? Mungkin adalah sesuatu yang berbeza atau mungkin juga satu versi yang hampir siap bagi model baru ini? Apapun, ia pastinya akan menambahkan keterujaan untuk orang ramai datang sendiri ke pameran tersebut.

     
     
  • Kenderaan luar yang masuk P.Pinang perlu dicaj, galak pengunjung guna pengangkutan awam – Adun PKR

    Kenderaan luar yang masuk P.Pinang perlu dicaj, galak pengunjung guna pengangkutan awam – Adun PKR

    Disebabkan Pulau Pinang sering kali sesak dengan kenderaan terutamanya pada hujung minggu atau musim cuti umum, Adun Kebun Bunga (PKR), Jason Ong Khan Lee, mencadangkan agar kenderaan yang bukan berdaftar di negeri berkenaan dikenakan caj kemasukan. Selain itu, ia juga menggalakkan pengunjung ke negeri berkenaan menggunakan pengangkutan awam.

    Menurut Jason, Pulau Pinang kini dibanjiri dengan lebih satu juta kenderaan berbanding 10 tahun lalu, iaitu hanya 300,000 kenderaan di jalan raya, laporan Sinar Harian.

    Katanya, cadangan ini dilihat dapat membantu menurunkan bilangan kenderaan yang memasuki Pulau Pinang.

    “Dengan cadangan ini, ia dapat mengurangkan jumlah kenderaan di negeri ini, sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kita nak gerakkan manusia, bukannya kenderaan. Saya harap cadangan mengenakan caj ke atas semua kenderaan yang bukan berdaftar di Pulau Pinang dapat diperhalusi,” katanya dalam ucapan pembahasan rang undang-undang perbekalan dan usul anggaran pembangunan 2019 Pulau Pinang hari ini.

     
     
  • Geely Jiaji – gambar rasmi disiar, pengganti Exora?

    Geely Jiaji – gambar rasmi disiar, pengganti Exora?

    April tahun lalu, Geely telah menunjukkan sebuah MPV konsep yang dinamakan sebagai VF11 semasa pameran Auto Shanghai. Kini, versi produksi untuk MPV tersebut telah pun sedia untuk memasuki pasaran China sebelum akhir tahun ini, dan akan dipanggil sebagai Jiaji – gambar rasminya juga telah disiarkan.

    Antara ciri rekaan bahagian luar yang digunakan pada model ini adalah termasuk gril ‘expanding cosmos‘, lampu utama jenis LED dengan empat garis LED sebagai lampu siang, lampu kabus LED serta jalur kemasan krom dengan tulisan Geely di tengah menyambungkan lampu belakang di kiri dan kanan.

    Setakat ini tiada spesifikasi yang didedah, tetapi ia pernah dilaporkan mempunyai ukuran panjang 4,706 mm, lebar 1,909 mm, tinggi 1,664 mm dan jarak roda 2,805 mm. Mengikut jangkaan, apabila dilancarkan nanti, Jiaji akan ditawarkan dalam pilihan lima, enam ataupun tujuh tempat duduk.

    Geely Jiaji – gambar rasmi disiar, pengganti Exora?

    Pilihan enjin yang dilapor bakal memacu Jiaji adalah termasuk unit empat silinder direct injection 1.5 liter turbo dengan kuasa 177 hp, dan ini sebenarnya adalah enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dengan Volvo dan sudah digunakan pada SUV Binyue dengan padanan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan 174 hp dan 255 Nm tork.

    Selain itu, terdapat juga versi plug-in hybrid, yang juga menggunakan enjin 1.5 liter turbo, tetapi dibantu oleh motor elektrik. Melengkapkan keseluruhan pilihan variannya adalah model elektrik penuh, yang dikata hanya akan dilancarkan selepas pengenalan versi petrol dan PHEV.

    Sebelum ini kita sudah mengetahui bahawa Jiaji sememangnya akan tiba di Malaysia dan menggunakan lencana Proton, secara dasarnya sebagai pengganti Exora. Proton juga sudah mengeluarkan kenyataan sebelum ini yang menyatakan syarikat telah mendapat lesen sah untuk menggunakan hak intelektual (IP) dan hak untuk memproduksi dan menjual tiga model Geely iaitu Boyue (Proton X70), SX11 (Binyue) dan VF11 (Jiaji).

     
     
  • Audi TT Sportback dapat lampu hijau untuk diproduksi, bakal diperkenalkan menjelang 2020

    Audi TT Sportback dapat lampu hijau untuk diproduksi, bakal diperkenalkan menjelang 2020

    Audi TT Sportback concept, model empat-pintu, yang diumumkan pada tahun 2014, kini telah mendapat lampu hijau untuk diproduksi dan dijangka bakal diperkenalkan menjelang 2020, menurut laporan Auto Express.

    TT Sportback yang lebih praktikal ini sepatutnya diperkenalkan tidak lama selepas model konsepnya didedahkan, namun perancangan itu tertangguh disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

    Kini, ia kembali dalam perancangan, Sportback ini akan meneruskan kegemilangan model ikonik dua-pintu (tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 bagi TT). Langkah ini seolah-olah hasil permintaan yang kian mengecil bagi kereta sport dan coupe bersaiz kecil. Walau bagaimana pun, rekaan bagi TT empat-pintu ini telah pun diluluskan.

    Menurut ahli lembaga Audi memberitahu penerbitan terbabit: “Jika anda merancang untuk menaikkan permintaan terhadap kenaikan harga, sudah jelas Audi tidak dapat mengekalkannya dalam jangka masa sederhana ini. Sebaliknya, terdapat pertimbangan intensif bagi coupe dan segmen kompak.”

    Perkadaran keseluruhan kereta baharu ini dijangka kekal sama dengan konsep TT Sportback yang asal, yang bermaksud badannya akan lebih panjang 290 mm daripada coupe sedia ada. Ia akan menjadi sedikit lebih luas dan jarak rodanya dipanjangkan dengan ketara (nampaknya sehingga 120 mm), dan ia dijangka akan menggunakan versi terkini platform MQB.

    Bagi penjana kuasanya pula, dengan TT baharuini dijangka akan menampilkan beberapa ciri daripada elektrifikasi. Pada pelancarannya, ia akan ditawarkan dengan larasan petrol hibrid-sederhana dengan senibina elektrikal 48-voltan, yang direka untuk mengisi kekurangan turbo lag dan mempertingkatkan penjimatan bahan api lebih kurang 10%. Penerbitan itu turut menambah penjana kuasa diesel elektrifikasi juga dalam perancangan.

    Menjelang 2025, 35% daripada keseluruhan jualan dijangka melibatkan kenderaan elektrifikasi. Dengan itu, kami menjangka versi plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya bagi TT Sportback juga akan diperkenalkan.

    GALERI: Audi TT Sportback Concept 2014

     
     
  • Kadar perlepasan karbon lebih rendah dari gas ekzos enjin – apa usaha Malaysia kearah langkah berkenaan?

    Kadar perlepasan karbon lebih rendah dari gas ekzos enjin – apa usaha Malaysia kearah langkah berkenaan?

    Bagi mereka yang belum mengetahui, tahun hadapan prosedur ujian penggunaan bahan api dan pencemaran udara Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC) akan ditamatkan, dan ia akan digantikan sepenuhnya dengan prosedur yang dikenali sebagai World Wide Harmonised Light Duty Test Cycle (WLTC). Prosedur baharu ini bukan sahaja lebih ketat sehingga menyebabkan berberapa model terjejas seperti Volkswagen Golf R pasaran Eropah yang terpaksa dikurangkan 10 PS, malah versi GTI Mk.7.5 dan juga BMW M3 F10 dihentikan produksi, malah undang-undang baharu ini akan digunakan secara global dan bukan hanya relevan di Eropah

    Apa yang membuatkan prosedur ini lebih ketat antaranya adalah ujian yang dijalankan lebih hampir dengan pemanduan dunia sebenar dan bukan hanya bergantung kepada ujian dalam makmal semata-mata. Namun dalam usaha antarabangsa yang mahukan kereta-kereta dijual dalam pasaran lebih mesra alam, adakah Malaysia hanya berdiam diri tanpa apa-apa usaha?

    Untuk pengetahuan anda, tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah untuk penganjuran kali kedua Bengkel APEC bagi Dialog Polisi terhadap Platform Ekonomi Bahan Api. Acara yang diadakan bersama Persidangan Kualiti Udara Lebih Baik (BAQ) 2018, kini sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak.

    Dalam acara tersebut, Institut Automotif Malaysia (MAI) turut mengumumkan apa yang sedang Malaysia lakukan kearah usaha berkenaan kepada komuniti global yang hadir. Pengumuman berkenaan adalah selari inisiatif global yang dijalankan oleh Inisiatif Ekonomi Bahan Api Global (GFEI).

    Pengumuman ini disampaikan sendiri oleh CEO MAI, Dato Madani Sahari, dan menurutnya mereka kini sedang membangunkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC). Kajian untuk pembangunan tersebut diterajui oleh MAI bagi menghasilkan kaedah standard konsisten dengan prosedur WLTC. Ini akan menghasilkan kitaran pemanduan unik untuk Malaysia dalam masa yang sama diiktiraf secara global.

    MDC ini tidak akan bertindan dengan WLTC, namun ia bakal memberikan satu set data yang spesifik untuk jalan raya, bentuk muka bumi dan juga keadaan persekitaran yang unik pada Malaysia bagi digunakan bagi menetapkan standard untuk kenderaan-kenderaan yang memohon penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) berdasarkan Undang-undang UN 101.

    Bukan sahaja kaedah MDC ini dibangunkan, malah Malaysia kini telah pun mempunyai Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang dioperasikan oleh MAI, terletak di Rawang. Fasiliti berkenaan lengkap dengan Dynamometer Casis Emisi bersama bilik kawalan suhu, soak room, bilik emisi dan kelengkapan serta bilik kawalan. Ini membolehkan pusat berkenaan boleh menjalankan ujian pencemaran gas ekzos masa-sebenar untuk kereta penumpang yang menepati piawaian Undang-undang UN 83 dan 101.

    Selain itu, MAI turut berkerjasama dengan agensi-agensi global lain dalam usaha pengurangan karbon dan tenaga yang digunakan dalam sektor pengangkutan darat di Malaysia. Baru-baru ini, MAI telah menjalankan kerjasama dengan organisasi yang tidak berdasarkan keuntungan, Clean Air Asia, yang mengimplemantasikan program “Menyokong Polisi Kenderaan Bersih dan Efisien di negara-negara Asia”, di taja oleh UN Environment.

    Kadar perlepasan karbon lebih rendah dari gas ekzos enjin – apa usaha Malaysia kearah langkah berkenaan?

    MAI telah pun mengadakan kerjasama dengan Japan Automobile Standards Internalization Center (Jasic) bagi memperbaiki dan membangunkan tenaga pakar tempatan menggunakan kepakaran dari Jasic. Kerjasama ini juga menghasilkan garis panduan untuk Perjanjian Pengiktirafan Bersama ASEAN (MRA), menerusi Bengkel Kumpulan Produk Automotif (APWG) dalam mengurangkan halangan teknikal.

    Manakala di Malaysia sendiri, MAI telah menjalankan kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). Antara perkara yang dilakukan dalam usaha sama ini adalah termasuk, membuat formulasi polisi dan halatuju teknologi, memberikan input spesifik kepada EEV kearah pembangunan Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon, dan juga membuat analisa trend penggunaan tenaga dalam pengangkutan moden menerusi kajian DSM.

    Jelas bahawa Malaysia menerusi MAI sangat serius untuk menjadikan Malaysia sebagai sebahagian masyarakat dunia yang semakin prihatin dalam masalah pemanasan global dan pencemaran udara, terutamanya dalam sektor automotif. Kita pula sebagai rakyat Malaysia, adakah turut sama bersedia untuk perubahan teknologi pada masa akan datang?

     
     
  • Triumph perkenal sistem panel instrumen baru siap dengan petunjuk Google Maps dan kawalan GoPro

    Triumph perkenal sistem panel instrumen baru siap dengan petunjuk Google Maps dan kawalan GoPro

    Selain pengenalan model baru Scrambler 1200 di pameran EICMA 2018, Triumph juga ada satu lagi berita yang menambahkan keterujaan kepada jenama itu – sistem sambungan baru untuk panel instrumen motosikal. Ia akan mula dipasang pada model baru tahun hadapan yang mempunyai panel instrumen TFT, sementara model sekarang yang menggunakan panel instrumen TFT juga boleh menaik taraf kepada sistem baru ini.

    Sebagai tambahan kepada fungsi yang sudah disediakan sekarang, sistem baru ini menawarkan tiga lagi kelebihan utama iaitu sistem kawalan kamera aksi GoPro, petunjuk sistem navigasi yang dikuasakan oleh Google melalui aplikasi ‘MyTriumph’ dan operasi sambungan muzik serta telefon.

    Melalui sistem kawalan kamera GoPro yang disediakan, Triumph menjadi pengeluar pertama yang menggunakannya pada motosikal. Paparan ringkas yang menyatakan status kamera akan muncul pada panel instrumen tersebut dan penunggang boleh mengawal fungsi seperti memula dan menghentikan rakaman, mengambil gambar serta melihat tahap bateri. Ia boleh digunakan untuk GoPro Hero 5 ke atas.

    Triumph perkenal sistem panel instrumen baru siap dengan petunjuk Google Maps dan kawalan GoPro

    Untuk sistem navigasi pula, Triumph menjadi pengeluar motosikal premium pertama yang melakukan kerjasama dengan Google dan sistem ini bekerjasama dengan aplikasi baru ‘MyTriumph’ yang perlu dimuat turun pada telefon pintar (tersedia untuk Android dan iOS). Apabila tujuan telah ditetapkan, petunjuk simpang ke simpang akan terpapar pada panel instrumen sehingga tiba di lokasi.

    Bagi mendapatkan operasi muzik dan sambungan telefon pula, pemilik perlu memasang modul Bluetooth khas, dan selepas itu mereka boleh menggunakan suis kawalan yang terdapat pada pemegang untuk menjawab dan membuat panggilan, serta mengawal tahap bunyi muzik, manakala untuk pesanan ringkas pula, ia akan terpapar di skrin.

    Seperti yang dinyatakan awal tadi, mereka yang sudah memiliki motosikal Triumph yang dilengkapi dengan panel instrumen TFT juga boleh menaik taraf kepada sistem ini apabila ia mula ditawarkan tahun hadapan, dan apa yang perlu dilakukan cuma pergi ke wakil pengedar rasmi Triumph untuk mendapatkan aksesori modul Bluetooth khas, dan menaik taraf perisian sistem panel instrumen tersebut.

     
     
  • Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Jaguar Land Rover Malaysia telah pun memperkenalkan varian terakhir bagi Range Rover Velar dengan kehadiran P380 R-Dynamic, menyertai dua lagi pilihan yang terlebih dahulu dilancarkan pada April lalu. Varian baharu ini ditawarkan pada harga RM722,787, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans, tapi didatangkan dengan waranti lima-tahun, servis percuma lima-tahun dan juga bantuan tepi jalan tiga-tahun.

    Di bawah bonet untuk varian baharu ini, dilengkapi dengan enjin 3.0 liter supercharged V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 380 PS pada 6,500 rpm dan tork 450 Nm pada 3,500 rpm. Penjana kuasa enam-silinder ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda – dengan sistem Intelligent Driveline Dynamics (IDD) dan Terrain Response.

    P380 R-Dynamic ini mampu memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum sehingga 250 km/j, menjadikannya terpantas berbanding varian yang dilengkapi dengan enjin P250 2.0 liter empat-silinder Ingenium (6.7 saat, kelajuan maksimum 217 km/j).

    Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Selain prestasi yang lebih tinggi, ia juga dipadankan dengan suspensi udara empat-penjuru yang membolehkan ketinggian kenderaan diubah sehingga 50 mm untuk masuk/keluar dan memuatkan kargo dengan mudah. Sistem ini turut merendahkan kenderaan sehingga 10 mm pada kelajuan di bawah 105 km/j bagi membantu mengurangkan seretan aerodinamik.

    Bagi kelengkapan luaran, elemen standard termasuk lampu utama Matrix LED, pemegang pintu retractable, tailgate berkuasa bebas-tangan, roda ‘Style 1033’ 10-jejari 21-inci dan juga kit penggayaan R-Dynamic – bampar hadapan yang lebih menyerlah, kemasan ekzos krom berkembar dan lambang R-Dynamic.

    Di dalamnya, ia didatangkan dengan sistem infotainmen InControl Navigation Pro yang bekerjasama dengan sistem Touch Pro Duo, dengan dua skrin sesentuh 10-inci, selain unit paparan 12.3-inci untuk Paparan Pemandu Interaktif pada kluster instrumen.

    Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Lain-lain elemen termasuk tempat duduk larasan berkuasa 10-hala (dengan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu), pencahayaan ambien, 825-watt, sistem bunyi Meridian 17-pembesar suara, kawalan suhu dwi-zon, Bantuan Lampu Tinggi Pintar, Morzine headliner, paparan unit utama, upholstery kulit Windsor dan bumbung matahari panoramik.

    Bagi keselamatan, ia lebih kurang sama dengan varian janaan P250, dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Kawalan Cengkaman Elektronik (ETC), Kawalan Kestabilan Olengan, Kawalan Brek Selekoh (CBC), ABS dengan EBD dan cagak Isofix.

    Bagi P380 R-Dynamic, ada ciri tambahan ditampilkan termasuklah Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan Stop & Go dan Sistem Brek Kecemasan yang boleh beroperasi dalam kelajuan antara 10 hingga 160 km/j; jika radar mengesan pelanggaran bakal berlaku dan ia akan membunyikan amaran untuk pemandu, dan sekiranya pemandu tidak mengambil langkah untuk mengelaknya, kenderaan akan brek secara automatik untuk mengelakkan pelanggaran terbabit.

    GALERI: Range Rover Velar P250 R-Dynamic

     
     
  • Yamaha FreeGo dilancar di Indonesia – skuter 125 cc

    Yamaha FreeGo dilancar di Indonesia – skuter 125 cc

    Pengedar motosikal Yamaha di Indonesia telah memperkenalkan sebuah skuter baru untuk pasaran di sana, dikenali sebagai FreeGo. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu FreeGo, FreeGo S dan FreeGo S ABS dengan harga masing-masing 18.5 juta Rupiah (RM5,200), 19.7 juta Rupiah (RM5,500) dan 22.5 juta Rupiah (RM6,300).

    FreeGo dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 125 cc BlueCore, dan ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Ini adalah enjin suntikan bahan api dan ia dipadankan bersama transmisi jenis CVT.

    Istimewanya skuter baru ini adalah ia mempunyai ruang simpanan bawah tempat duduk yang lebih besar daripada NMax, iaitu berkapasiti 25 liter, tetapi tangki bahan apinya masih lagi lebih kecil daripada NMax iaitu 4.2 liter (NMax berkapasiti 6.6 liter).

    Muncung tempat mengisi bahan api FreeGo ini terletak di hadapan (bawah bahagian pemegang), dan ia turut dilengkapi dengan barangan lain seperti meter jenis digital, pemula enjin elektrik dan tendang, rim tanpa tiub 12 inci (tayar 100/90 di hadapan dan 110/90 di belakang), soket pengecas 12V, lampu hadapan LED, brek cakera di hadapan dan sistem Start/Stop yang menggunakan Smart Motor Generator.

    Apabila mendapatkan model FreeGo S, pemilik akan diberikan tambahan sistem tanpa kunci berserta ciri panggilan balik yang tiada pada model paling asas FreeGo, dan apabila memilih FreeGo S ABS pula, ia akan ditambah dengan sistem brek ABS one-channel.

     
     
  • Hyundai Palisade – imej bocor sebelum pelancaran

    Hyundai Palisade – imej bocor sebelum pelancaran

    Hyundai Palisade, sebuah SUV besar tiga baris tempat duduk terbaru pengeluar Korea ini sepatutnya akan didedahkan pertama kali ketika Los Angeles Auto Show hujung bulan ini. Tetapi, gambar-gambarnya rasmi terawalnya sudah pun mula bocor diinternet oleh sebuah portal Russia, Auto Review.

    Model ini pernah dizahirkan rekaannya melalui konsep Grandmaster, dan produ akhir yang dapat dilihat banyak persamaan dengan kereta konsep yang dipertonton di Busan Motor Show tahun ini. Memang terdapat sedikit perubahan diberikan – kluster lampu yang terpisah dari Cascading Grille.

    Rekaan lampu utama juga hadir dengan pendekatan dua tahap, sama seperti apa yang pernah dilihat pada Santa Fe terbaru ketika ini. Bagi bahagian intake udara di bawah, rekaan segiempat yang ada berfungsi untuk menyembunyikan sensor keselamatan yang ada – pendekatan sama digunakan pada bahagian gril juga.

    Hyundai Palisade – imej bocor sebelum pelancaran

    Dari sisi, Palisade tampil dengan reka bentuk yang sama seperti Grandmaster. Lengkuk tayar yang besar dan menonjol juga masih kelihatan. Kemasan krom dari A-pillar ke C-pillar juga masih ada, walaupun dalam penampilan yang lebih kurus.

    Jika ada pun perbezaan antara model konsep dengan model akhir ini, ia melibatkan seksyen C-pillar – bahagian berkenaan lebih luas untuk memberikan ruang kepala yang lebih banyak kepada penumpang di baris ketiga. Garis bumbung Grandmaster kelihatan lebih rendah dan agresif. Gambar bahagian belakang bagaimanapun belun terdedah ketika ini.

    Lain-lain maklumat juga sama, belum disahkan. Khabar angin mengatakan model ini nanti akan menggunakan enjin 3.3/3.5 liter V6 dari Sorento. Paling hampir, mungkin boleh merujuk kepada penawaran satu lagi model SUV besar dari kumpulan syarikat sama yang diperkenalkan September lalu, Kia Telluride.

    Hyundai Grandmaster Concept

     
     
  • Perodua capai 500,000 pengeluaran bagi EEV – telah memproduksi 344,000 Axia, 130,800 Bezza, 75,800 Myvi

    Perodua capai 500,000 pengeluaran bagi EEV – telah memproduksi 344,000 Axia, 130,800 Bezza, 75,800 Myvi

    Perodua telah melakar satu lagi kejayaan besar dengan mencapai 500,000 penghasilan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan dijual di Malaysia, sekaligus memperkukuhkan lagi statusnya sebagai syarikat EVV terunggul negara.

    “Saya dengan rendah diri ingin mengumumkan bahawa sejak pelancarannya masing-masing, sebanyak 342,600 unit Axia, 130,000 unit Bezza dan lebih 75,000 unit Myvi baharu telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Sejak kerajaan memperkenalkan klasifikasi EEV dalam Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014), lebih daripada 344,000 unit Axia, 130,800 unit Bezza dan 75,800 unit Myvi baharu telah dikeluarkan oleh Perodua di Sungai Choh.

    Untuk diiktiraf sebagai EEV, sesuatu kenderaan harus mencapai atau menjangkaui kecekapan bahan api (diuji mengikut piawaian UNECE R101) yang tertentu berdasarkan beratnya tanpa muatan. Axia, Bezza dan Myvi baharu kesemuanya mampu mencapai kecekapan bahan api melebihi 20 kilometer seliter.

    Tidak terhad kepada produk, kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, yang mengeluarkan Axia dan Bezza, juga merupakan kilang bertaraf EEV pertama di Malaysia yang menggabungkan teknologi cekap tenaga dalam mengurangkan kadar pelepasan pengeluaran serta menetapkan piawaian baru dari segi kualiti, pengurusan kos dan penghantaran.

    “Kecekapan bahan api kenderaan kami menyumbang kepada kos operasi yang sangat rendah, dan juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau serta trend global ke arah kenderaan yang lebih cekap bahan api. Lebih-lebih lagi, kenderaan kami mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia,” sambung Aminar lagi.

    Menurut Aminar, dengan gabungan ciri-ciri Perodua iaitu berkualiti tinggi, kebolehpercayaan, praktikaliti, kemudahan memandu dan rangkaian perkhidmatan terbesar di negara ini, Perodua berusaha untuk menyediakan pakej mobiliti bernilai untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

    “Kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih kerana menjadikan Perodua jenama pilihan anda. Sokongan padu anda sepanjang 25 tahun ini menggalakkan kami untuk terus berusaha, kerana anda keutamaan kami,” tambahnya.

     
     
  • Program pascasiswazah MAI-Universiti Teknologi Swinburne bentang penyelidikan bersama industri

    Program pascasiswazah MAI-Universiti Teknologi Swinburne bentang penyelidikan bersama industri

    sdr

    Selari dengan Polisi Industri 4.0 Negara, Institut Automotif Malaysia (MAI) hari ini mengumumkan perkembangan terbaharu berkenaan projek penyelidikan mereka bersama Swinburne University of Technology (SUT) Australia, Kampus Sarawak dalam Program Biasiswa Penyelidikan Automotif MAI-SUT hari ini.

    Projek tersebut dijalankan oleh Pusat Inovasi Pengangkutan (TIC) universiti berkenaan dan diterajui oleh MAI sendiri menerusi program pascasiswazah yang telah dilancarkan sebelum ini. Enam projek dibentangkan oleh kumpulan pertama pelajar program tersebut, yang kesemuanya membuat penyelidikan terus terhadap industri sebenar bagi membangunkan penyelesaian dari masalah dan permintaan terkini dalam industri automotif.

    Projek-projek yang dibentangkan berkenaan adalah Sistem Pengurusan Visual Digital (rakan industri – Autokeen), Sistem Pengambilalihan Data Pembuatan Terproses Masa Sebenar (rakan industri – Masasinar), Pengoptima Proses Pembuatan Semula (rakan industri – NEK), Meminimakan Gegaran pada Motosikal (rakan industri – NB Motors), Pembuatan Pantas Lengan Pedal Brek Automotif (Suria Component Manufacturing) dan juga Faktor yang mempengaruhi Tabiat Membeli Pengguna Terhadap Kenderaan Jenama Tempatan (rakan industri – Proton dan Perodua).

    Kerjasama MAI-SUT ini sebenarnya telah bermula pada 2016, dan ia berpusat di TIC-SUT Kuching, Sarawak. Namun platform penyelidikan dan pembangunan berkenaan menjalankan aktiviti mereka berkisar isu kejuruteraan automotif bukan sahaja di Sarawak dan Sabah, malah turut meluas ke Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN (BIMPT-EAGA).

    Program pascasiswazah MAI-Universiti Teknologi Swinburne bentang penyelidikan bersama industri

    Pada permulaan program ini, pelajar dan rakan industri mereka dipadankan bagi membentuk pasukan persendirian, ditugaskan bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi memberikan penyelesaian spesifik yang dihadapi oleh rakan industry mereka.

    “Koloborasi antara pihak awam-swasta telah menunjukkan hasil positif, dan lebih penting, cepat dan dalam situasi masa sebenar terus kepada industri. Pasukan pelbagai-disiplin membawa dimensi baharu terhadap penyelesaian masalah yang dihadapi oleh industri” kata CEO MAI, Dato’ Madani Sahari.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pemain industri dan juga pelajar MAI-SUT membawa elemen dengan menggabungkan kaedah penyelidikan akademik bersama pengalaman dan kepakaran tenaga kerja industri yang mengambil bahagian.

    “Projek yang dibentangkan oleh kumpulan pertama pelajar ini membawa nilai tambah yang besar kepada jaringan bakat Industri 4.0 dalam sektor pengangkutan – selari dengan Polisi Nasional untuk Industri 4.0 (Industry4WRD).

    Serentak dengan perkembangan program ini dalam tahun mendatang, Program Biasiswa Penyelidikan Automotif MAI-SUT dijangka akan menghasilkan jumlah pengamal Industri 4.0 yang besar dan akan menambah nilai jaringan teknologi dalam sektor pengangkutan, termasuk negeri Sarawak”, tambah beliau lagi.

     
     
  • Aprilia buka bilik pameran dan pusat 3S baru di PJ

    Aprilia buka bilik pameran dan pusat 3S baru di PJ

    Pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia ketika ini, Didi Resources melancarkan pembukaan bilik pameran dan pusat 3S Aprilia Malaysia terbaru untuk pelanggan di sini. Premis ini bertempat di The Gasket Alley, Petaling Jaya dengan keluasan 2,104 kaki persegi.

    Turut berlangsung dalam majlis sama ialah tandangan MoU antara Welly World Cycle, Sheng Fatt Superbike dan Soon Hin Co. bersama Didi Resources. Persefahaman ini bakal menyaksikan ketiga-tiga syarikat pengedar itu dilantuk sebagai wakil penjual barisan motosikal Aprilia Malaysia.

    Welly World Cycle yang terletak di Sungai Buloh akan menampung keperluan di kawasan Tengah, Sheng Fatt Superbike, Pulau Pinang untuk pelanggan di Utara dan Soon Hin Co, pula untuk pasaran sekitar Kuantan dan Pantai Timur.

    Turut menghadiri majlis berkenaan ialah juara dunia MotoGP dua kali bagi tahun 2010 dan 2012, Max Biaggi dan disertai oleh penunggang dan pelumba pasukan Aprilia, Aleix Espargaro dan Scott Redding. “Matlamat kami adalah untuk mewujudkan suatu pengalaman pemilikan yang baru bagi semua pemilik motosikal Aprilia.

    “Kami akan terus melabur untuk menambahbaik aspek lepas jualan dan memberikan khidmat dengan nilai tambah kepada pelanggan. Ini termasuk menganjurkan track day, sokongan perlumbaan, perjumpaan pemilik dan sebagainya khusus untuk jenama Aprilia,” jelas Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo.

     
     
  • VW Polo B&W – habis terjual dalam 1 minit di Lazada!

    VW Polo B&W – habis terjual dalam 1 minit di Lazada!

    Bukan setakat Milo saja terlaris dalam jualan terhebat di Lazada pada 11 November lalu, malah kesemua 11 unit model edisi istimewa Volkswagen Polo Black & White turut habis dijual menerusi gedung membeli-belah maya terbabit, dalam masa seminit sebaik sahaja detik 12 tengah malam berlalu, dan semua transaksi pembelian lengkap sejam kemudian. Wow! Memang hebat!

    Pelanggan hanya perlu membayar yuran tempahan sebanyak RM799 menerusi Lazada untuk mendapatkan harga runcit bernilai RM68,488, dan setiap antara mereka akan menerima aksesori bernilai RM7,500. Model istimewa ini hanya ditawarkan dalam warna Candy White, dan setiap unit dipadankan dengan spoiler belakang hitam, moulding sisi badan hitam, roda aloi hitam 15-inci, cermin sisi hitam dan lapisan cermin Volkswagen yang diiktiraf.

    Selain daripada itu, model ini menggunakan elemen yang sama seperti varian Polo 1.6 Comfortline Vienna, termasuk tempat duduk kulit standard, unit utama R34G dengan sambungan-App, dan enjin petrol 1.6 liter. Penjana kuasa ini mampu memberikan kuasa 105 PS dan tork 153 Nm, dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Tahun lalu, Vokswagen membuat jualan yang lebih sama bagi model Beetle dalam Lazada Online Revolution pada 12 Disember, dengan terjual kesemua 12 unit Beetle edisi terhad dalam masa 20 minit.

     
     
  • Harga Jaguar Land Rover di Thailand turun 1 juta baht

    Harga Jaguar Land Rover di Thailand turun 1 juta baht

    Di Thailand ketika ini, sebehagian daripada kenderaan Jaguar Land Rover 1 juta bath (RM126,513) lebih murah. Pengimport sah jenama itu di sana, Inchape Thailand telah menurunkan harga bagi model-model seperti Jaguar F-Type Coupe, Land Rover Discovery, Range Rover Sport dan Range Rover Velar.

    Sebabnya? Pengedar menyatakan langkah berkenaan adalah untuk menjadikan penawaran dari jenama itu menjadi lebih mampu milik. Tetapi, menurut Bangkok Post, ia adalah sebagai maklum balas terhadap senarai harga SUV Porsche yang baru-baru ini diturunkan di Thailand.

    Selepas semakan semula ini, harga Range Rover Sport plug-in hybrid menjadi 6.3 juta baht (RM796,877) – ini harga yang lebih hampir yang perlu dibayar oleh pelanggan mewah di sana untuk mendapatkan Porsche Cayenne E-Hybrid, yang dijual pada harga 7.5 juta baht (RM948,664) bulan lalu.

    Harga Jaguar Land Rover di Thailand turun 1 juta baht

    Harga baru Range Rover Velar pula ialah 4.9 juta baht (RM619,765) – enjin 2.0 liter Ingenium (180 PS/430 Nm). Harga ini hanya 100,000 baht lebih bahal berbanding SUV kecil Porsche Macan dengan kapasiti enjin yang sama. Land Rover Discovery 3.0L V6 pula kini dijual dengan harga 5.5 juta baht (RM695,589). Selain itu, hanya satu kereta Jaguar menyaksikan penurunan harga, iaitu F-Type Coupe 2.0L yang kini dijual dengan harga 6 juta baht (RM758,802).

    Nampaknya, nasib penggemar jenama ini di Malaysia sedikit lebih baik. Jaguar F-Type 2.0L di sini dijual pada harga RM575,800. Velar juga lebih mudah di sini, dengan penawaran enjin petrol yang lebih menarik. Bagi segmen kereta mewah, harga di Malaysia memang banyak yang lebih murah berbanding negara jiran. Segmen kenderaan massa pula bila nak jadi lagi murah?

     
     
  • Jualan kereta di China turun pertama kali sejak 1990

    Jualan kereta di China turun pertama kali sejak 1990

    Walaupun Alibaba mengaut untung banyak sempena jualan 11.11 semalam (kira-kira $30.8 bilion jualan dalam masa 24 jam), lain ceritanya dengan jualan automotif di China. Buat pertama kali sejak 1990, jualan tahunan indsutri berkenaan merekodkan penurunan, lapor Reuters.

    Banyak perkara yang merisaukan dan menyumbang kepada perkara ini, terutama sekali perang perdagangan China-Amerika Syarikat yang masih berterusan serta pertumbuhan ekonomi perlahan. Semua ini dapat dicerminkan daripada industri automotifnya – industri ini menurun 11.7% pada Oktober, menjadikan jualan bagi tempoh Januari hingga Oktober jatuh 0.1% (22.87 juta) bagi tempoh sama tahun lalu.

    Menurut data daripada Persatuan Pengeluar Automotif China (CAAM), jualan 2.38 juta pada Oktober merupakan penurunan bulan keempat berturut-turut dan merupakan yang paling ketara sejak awal 2012. “Untuk mengekalkan pertumbuhan positif sehingga hujung tahun ini bukan satu hal yang mudah. Mungkin juga tiada pertumbuhan yang akan dicatatkan,” jelas naib setiausaha umum CAAM, Yao Jie.

    Jualan kereta di China turun pertama kali sejak 1990

    Penurunan itu disebabkan permintaan pengguna yang menurun serta kesan ekonomi yang sedang perlahan ketika ini. Bulan sebelumnya, CAAM menyatakan perang perdagangan dengan AS memberi kesan terhadap jualan. CAAM asalnya meramal peningkatan 3% bagi 2018, selari dengan pertumbuhan tahun sebelumnya. Pada 2016, ia meningkat sehingga 13.7%.

    “Keadaan tidak berterusan baik sehingga akhir tahun, kerana keadaan pasaran yang lemah dan perbezaan besar sebagai perbandingan dengan tahun lalu,” jelas ketua perunsing Automotive Foresight di Shanghai, Yale Zhang.

    Bagaimanapun, satu sisi positif bagi pasaran automotif ialah bagi kenderaan cekap tenaga, termasuk kenderaan plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Kelompok kenderaan ini mencatatkan peningkatan 51% bagi Oktober, dengan jualan semasa tahunan sebanyak 860,000 unit – melibatkan peningkatan 75.6% lebih tinggi bagi tempoh sama tahun lalu. Bagaimana agaknya perkembangan pasaran automotif terbesar dunia itu selepas ini?

     
     
  • Lexus RC F 2019 dapat aksesori TRD di Jepun

    Lexus RC F 2019 dapat aksesori TRD di Jepun

    Lexus telah memperkenalkan aksesori TRD (dilabelkan sebagai ‘F Sport Parts’) untuk model RC F yang dipertingkatkan baru-baru ini, yang pastinya menambahkan lagi gaya sporty buat coupe ini untuk pelanggan di Jepun.

    Aksesori tersebut termasuklah kit badan yang merangkumi spoiler hadapan, kemasan pada “salur masuk” sudut, selain perumah cermin sisi aerodinamik dengan kemasan hitam berkilat, skirt sisi dan roda aluminium 19-inci.

    Lexus RC F 2019 dapat aksesori TRD di Jepun

    Jika mahukah kemasan gentian karbon untuk RC F, Lexus turut menawarkannya pada diffuser belakang dan lip spoiler. Manakala untuk meningkatkan prestasi, boleh juga memilih steel underbody bracing dan performance damper brace untuk dipasang di bahagian belakang.

    Tiada peningkatan pada bahagian enjin, ia masih mengekalkan 5.0 liter naturally-aspirated V8 dengan hamburan kuasa 473 PS dan tork 527 Nm. Dengan aksesori TRD ini, adakah anda akan memilih RC F berbanding BMW M4 dan Mercedes-AMG C 63 Coupe?

     
     
  • GALERI: Nissan Skyline 2000GT-R 1972 pula dipamer di Nissan Crossing – versi lumba yang tak kesampaian

    GALERI: Nissan Skyline 2000GT-R 1972 pula dipamer di Nissan Crossing – versi lumba yang tak kesampaian

    Ingat lagi model olskool Nissan Skyline GT-R KPGC110 1973 ‘Kenmeri’ yang dipamer di Nissan Crossing, Tokyo sebelum ini? Di sudut sama Ginza, bulan Oktober lepas dipamerkan pula sebuah model klasik lain; Nissan Skyline 2000GT-R tahun 1972 – ia merupakan sebuah jelmaan jentera lumba bagi model sama sebelum ini.

    Direka khusus untuk tujuan itu – dan pertama kali ditampilkan kepada umum ketika acara Tokyo Motor Show 1972 – ia merupakan antara model terawal KPGC110 GT-R tetapi tidak pernah digunakan untuk perlumbaan. Rekaan luarannya menampilkan beberapa perbezaan daripada unit biasa GT-R, termasuk wajah depan yang diubah suai, penggunaan fender flare yang besar dan dipasang dengan rim ‘pisang’ RS Watanabe yang lebar bersama tayar untuk tujuan perlumbaan.

    GALERI: Nissan Skyline 2000GT-R 1972 pula dipamer di Nissan Crossing – versi lumba yang tak kesampaian

    Tiada lagi kemasan krom yang digunakan pada model variasi ini, walaupun kluster baru lampu utamanya masih dikekalkan. Penggunaan gabungan warna emas di atas hijau juga memberikan daya tarik dan imej perlumbaan yang ada kelas tersendiri. Ruang enjinnya pula dilengkapi dengan unit S20 2.0 liter enam-silinder DOHC yang sama digunakan pada GT-R biasa era itu, yang menjana sebanyak 160 PS pada 7,000 rpm dan 177 Nm tork pada 5,600 rpm.

    Nissan Skyline C110 mula dijual pada September 1972, dan versi KPGC110 GT-R pula masuk pasaran antara Januari dan Mac 1973, dengan hanya 197 unit yang sempat dikeluarkan untuk pasaran di Jepun. Tempoh pengeluarannya dipendekkan akibat peralihan sentimen pengguna berkaitan krisis tenaga yang dihadapi ketika itu – membuatkan ia sebuah generasi Skyline GT-R dengan jumlah pengeluaran paling sedikit paling sukar untuk ditemui.

    Turut dipamerkan pada ruang sama di sebelah 2000GT-R di Nissan Crossing ialah GT-R50 oleh Italdesign. Menggunakan asas GT-R Nismo dan dibangun sempena ulangtahun ke-50 jenama prestasi berkenaan, ia adalah sebuah pertembungan antara sentuhan klasik dan moden yang dibayangkan semula untuk khalayak hari ini. Apa pandangan, geram tengok?

    Nissan Skyline 2000GT-R 1972

    Nissan GT-R50 Italdesign

     
     
  • Lebih dari RM3 juta bayaran saman dikutip sempena penawaran diskaun 50% pada 7-9 Nov lalu – JSPT

    Lebih dari RM3 juta bayaran saman dikutip sempena penawaran diskaun 50% pada 7-9 Nov lalu – JSPT

    Sempena dengan penawaran diskaun sehingga 50% bagi saman trafik pada 7 hingga 9 November lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) berjaya mengutip lebih RM3 juta bayaran. Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya, sejumlah 32,462 saman diselesaikan oleh pesalah trafik dalam tiga hari tersebut.

    “Kami berpuas hati apabila pesalah trafik mengambil peluang ini untuk menyelesaikan bayaran saman dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kaunter kami agak terhad hingga menyebabkan pesalah trafik terpaksa mengambil masa yang lama, perkara itu akan kami perbaiki pada masa depan.

    “Saya ingin menasihati pesalah trafik supaya segera membayar saman kerana polis mempunyai dasar ‘semakin lama saman, semakin banyak yang perlu dibayar’,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Walau bagaimana pun, diskaun berkenaan tidak dikira untuk jenis Saman Kemalangan Tahun Semasa, Saman Berstatus NC, Saman Berstatus Waran Tahun Semasa, Saman Dalam Perbicaraan dan Saman Berkaitan Lori.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026