Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo XC60 dinobat World Car of The Year 2018

    Volvo XC60 dinobat World Car of The Year 2018

    Keputusan untuk anugerah World Car of The Year sudahpun diumumkan, dan Volvo nampaknya meraih anugerah paling berprestij berkenaan menerusi model XC60. SUV dari Sweden tersebut menewaskan dua lagi SUV lain yang dicalonkan sebagai finalis iaitu Range Rover Velar dan juga Mazda CX-5.

    Kemenangan ini juga menambah satu lagi koleksi anugerah yang diterima Volvo tahun ini setelah XC60 dinobatkan sebagai North American Utility Car of The Year dan Japan Car of The Year, manakala adiknya XC40 diiktiraf sebagai European Car of The Year tahun ini.

    Namun untuk anugerah World Car Design of The Year, Range Rover Velar berjaya menewaskan Volvo XC60 dan juga Lexus LC 500. Untuk kategori World Luxury Car of the Year 2018 pula diberikan kepada Audi A8, menewaskan dua lagi finalis iaitu Porsche Cayenne dan Porsche Panamera.

    Manakala untuk kategori World Performance Car of The Year, ia disandang oleh sedan berprestasi tinggi BMW M5 berkuasa 600 hp, menawaskan hot-hatch Honda Civic Type R dengan kuasa 310 PS dan rakan senegaranya Lexus LC 500 berkuasa 470 hp.

    Volkswagen Polo mk6 pula memenangi anugrah lebih marhean iaitu World Urban Car of The Year, menewaskan Ford Fiesta dan Suzuki Swift. Akhir sekali untuk kategori World Green Car of The Year, ia dimenangi oleh Nissan Leaf dengan menewaskan pilihan lebih mewah BMW 530e iPerformance dan Chrysler Pacifica Hybrid.

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi Pajero Sport dijumpai di M’sia – sudah hampir dilancarkan pada pasaran tempatan?

    SPYSHOT: Mitsubishi Pajero Sport dijumpai di M’sia – sudah hampir dilancarkan pada pasaran tempatan?

    Boleh kata setiap kali kami naikkan cerita berkenaan Toyota Fortuner, Isuzu MU-X mahupun Nissan Terra, pasti ada sahaja yang bertanyakan bila Mitsubishi akan membawa Pajero Sport ke pasaran tempatan? Gambar yang kami terima dari pembaca, Acoi Al-Ameer di Puspakom Wangsa Maju ini mungkin jawapan untuk persoalan tadi.

    Unit Mitsubishi Pajero Sport yang muncul ini berkemungkinan besar adalah dari varian tertinggi yang akan ditawarkan pada pasaran Malaysia kelak, berdasarkan lampu bi-LED yang dipadankan bersama kemasan-kemasan krom pada bahagian luar dan juga rim dua-tona berdiameter 18-inci.

    Seperti yang kami temui pada model pasaran Indonesia, Pajero Sport ini mengenakan muka signatur terbaharu ‘Dynamic Shield’ bersama lampu belakang LED dengan rupa agak unik, serta menampilkan rekaan dalaman seiras kembar pikapnya iaitu Triton.

    SPYSHOT: Mitsubishi Pajero Sport dijumpai di M’sia – sudah hampir dilancarkan pada pasaran tempatan?

    Pada pasaran luar, Pajero Sport turut dijana enjin yang sama dengan Triton iaitu unit 2.4 liter MIVEC Turbodiesel berkuasa 181 hp/430 Nm. Apa yang istimewa, hanya Pajero yang menerima kotak gear lapan-kelajuan dari Aisin. Sistem pacuan empat roda sepenuhnya Super Select 4WD II bersama mod Off-road dan Kawalan Menurun Bukit turut hanya unik diberikan kepada versi SUV ini.

    Selain itu, Pajero Sport turut dilaporkan hadir dengan sistem brek kecemasan automatik, Amaran Titik Buta serta Ultrasonic Misacceleration Mitigation System yang menghalang dari terjadinya kemalangan akibat salah tekan pedal.

    Namun untuk pasaran Malaysia, kesemua ciri ini masih belum pasti sama ada akan diberikan atau tidak. Sebagai perbandingan, Triton varian tertinggi pada pasaran tempatan sudahpun menerima tujuh-beg udara dan juga Kawalan Kestabilan Elektronik.

    GALERI: Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X2 Ultimate pasaran Indonesia

    GALERI: Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X4 pasaran Indonesia

     
     
  • Benimar Mileo 282 – pelanggan pertama terima motorhome paling panjang dalam barisan model

    Benimar Mileo 282 – pelanggan pertama terima <em>motorhome</em> paling panjang dalam barisan model

    WTA Ventures Sdn Bhd, pengedar Luxe Motorhomes & Caravans di Malaysia hari ini telah menyerahkan unit pertama Benimar Mileo 282, iaitu model paling panjang diantara 13 karavan siri Mileo yang dibawa kepasaran tempatan. ‘Rumah bergerak’ yang diberikan pelbagai kelengkapan rumah sebenar berharga RM644,111.71 (atas jalan tanpa insuran) berkenaan telah selamat diserahkan kepada En. Albert Chew, seorang bekas juruterbang di bilik pameran mereka yang terletak di Bandar Bukit Raja, Klang.

    Berbanding Benimar Mileo 313 yang diperkenalkan April tahun lalu, model milik En. Chew ini menampilkan susun atur dalaman yang lebih mesra keluarga serta direka dengan panjang keseluruhan 7,390 mm (hanya 5,950 mm pada 313). Ini membolehkan Benimar Mileo 282 berkenaan membawa empat orang penumpang untuk mengembara, dengan dilengkapi dua buah katil bersaiz 1,400mm x 1,900mm.

    Dengan ruang tambahan pada bahagian belakang juga membolehkan motorhome ini diberikan dua ruang tamu – satu dengan meja dan sofa pada bahagian tengah serta sebuah lagi yang direka lebih santai pada bahagian paling belakang.

    Benimar Mileo 282 – pelanggan pertama terima <em>motorhome</em> paling panjang dalam barisan model

    Selain itu, model ini juga dilengkapi bilik air yang lebih besar dan selesa dari model Mileo 313. Kelengkapan lain yang turut diberikan pada Mileo 282 ini termasuk peti sejuk dengan ruang beku, oven dan juga dapur untuk memasak.

    Kesemua model motorhome Benimar Mileo menerima struktur lantai yang diperbuat dari gabungan material plastik diperkuatkan dengan gentian kaca (GRP) dan PVC. Manakala untuk keseluruhan struktur ruang dalaman pula dihasilkan dengan 99% binaan bebas-kayu.

    Ia turut dilengkapi dengan pendingin hawa termasuk yang diletakkan di bahagian bumbung, televisyen LED dengan pemain DVD serta penala satelit. Bagi membekalkan kuasa elektrik alternatif, ia turut diberikan panel solar 150-watt yang dipasang di bahagian bumbung. Awning yang dioperasikan secara manual juga diberikan sebagai ciri standard.

    Kesemua Benimar dari siri Mileo ini juga diasaskan dari kenderaan komersial ringan Fiat Ducato generasi ketiga. Bagi menggerakkan motorhome dengan berat 3,500 kg ini, ia masih dijana enjin turbo diesel empat-silinder Fiat Multijet 2.3 liter berkuasa 150 hp dan tork maksima 380 Nm. Kuasa kemudiannya dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Motorhome Benimar Mileo untuk pasaran Malaysia ini dibina mengikut spesifikasi UK. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengklasifikasikan kenderaan ini sebagai MPV dan boleh dipandu oleh sesiapa sahaja yang memiliki lesen D secara sah. Ke mana anda boleh panda motorhome ini sekiranya anda telah membelinya? Setakat ini, dua taman karavan telah diwujudkan di Johor, terletak di Desaru dan Pontian.

    WTA Ventures juga sebelum ini telah dilaporkan sedang berbincang dengan beberapa kerajaan negeri termasuk Pahang dan Johor untuk membangunkan fasiliti taman karavan serta disahkan telah mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa tempatan bagi membina taman karavan di Gopeng dan Cameron Highlands.

    GALERI: Benimar Mileo 282

    GALERI: Benimar Mileo 313

     
     
  • Subaru Forester 2019 diperkenalkan – lebih ruang, lebih teknologi, enjin 2.5L suntikan-terus boxer baharu

    Subaru Forester 2019 diperkenalkan – lebih ruang, lebih teknologi, enjin 2.5L suntikan-terus boxer baharu

    Subaru Forester telah berada dalam barisan Subaru sejak lebih 20 tahun yang lalu bersama Impreza dan Legacy, dan untuk model tahun 2019, jenama ini telah memperkenalkan model generasi ke-lima serba baharu di New York International Auto Show (NYIAS) 2018. Syarikat tersebut mendakwa versi terkini memiliki lebih ruang, lebih versatil dan juga lebih luas.

    Forester baharu ini mengetengahkan bahasa rekaan Subaru “Dynamic x Solid”, dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang berbentuk-C LED standard yang bersambung pada gril. Di sisinya pula, garisan yang lebih menyerlah merentangi hingga ke bahagian D-pillar untuk menyerlahkan lagi ketinggian dan ketegaran SUV ini, sementara bahagian belakang turut menampilkan lampu berbentuk-C.

    Varian Sport turut menambah lampu kabus LED, gril hitam, roda aloi 18-inci hitam, dan spoiler belakang juga hitam, bersama kekemasan jingga di luar. Sementara di dalamnya, ia menampilkan upholstery kelabu gelap dengan jahitan jingga, bersama alas kargo dan pencahayaan dalaman LED. Malah turut menampilkan akses kod PIN dan pakej All-Weather yang merangkumi tempat duduk hadapan dengan fungsi haba, cermin luaran berhaba dan bilah pengelap cermin nyah-beku.

    Kabinnya lebih kurang dengan Impreza dan XV terkini, dengan rekaan papan pemuka bahary yang menampilkan corong udara menegak yang nipis disambung pada papan infotainmen tengah. Subaru berkata, tiangnya telah diolah secara lebih strategik untuk meningkatkan penglihatan bersama dengan kamera undur, bagi semua model

    Subaru Forester 2019 diperkenalkan – lebih ruang, lebih teknologi, enjin 2.5L suntikan-terus boxer baharu

    Ruang dalamannya juga telah dipertingkat dengan rekaan semula, hasil jarak roda yang ditambah sebanyaj 30 mm menjadi 2,670 mm. Ruang kaki di belakang juga telah dipertingkatkan sebanyak 35 mm menjadi 1,000 mm, sementara ruang kepala, ruang pinggul dan ruang bahu juga dilihat bertambah, sekaligus memberikan ruang yang lebih luas di seluruh kabin, Bukaan pintu belakang juga lebih lebar dan C-pillar lebih curam untuk memudahkan urusan masuk dan keluar, serta menyenangkan pemasangan kerusi kanak-kanak.

    Tempat duduk baharu juga lebih selesa, dan brek parkir elektrik juga membuatkan masih ada ruang pada bahagian konsol. Bagi but pula, ruang kargo kini bersaiz 2,155 liter dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60:40 – penambahan sebanyak 40 liter – dan keluasan maksimum bagi bukaan tailgate menjadi 135 mm lebih lebar pada 1,300 mm.

    Material bertekstur pada lantai but, sisi dan tailgate mudah dibersihkan sekiranya terdapat kekotoran, begitu juga dengan material PVC yang digunakan di bawah tempat duduk hadapan. Poket tempat duduk hadapan juga terpisah bagi memudahkan meletak majalah mahu pun gajet. Tailgate berkuasa turut ditawarkan secara standard bagi model Limited dan Touring (pilihan untuk Premium dan Sport).

    Semua model turut menerima kawalan suhu automatik – dengan kawalan dwi-zon untuk varian Limited dan Touring – dan pilihan tempat duduk berhaba didatangkan dengan tiga tatapan. Sementara model Touring pula menerima tempat duduk belakang berhaba untuk pertama kalinya, bersama roda stereng berhaba dan tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala (lapan-hala untuk penumpang hadapan) dengan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu dan cermin pintu.

    Subaru Forester 2019 diperkenalkan – lebih ruang, lebih teknologi, enjin 2.5L suntikan-terus boxer baharu

    Selain itu, varian Premium, Sport, Limited dan Touring turut menerima bumbung matahari panoramik, sementara Sport, Limited dan Touring ditambah dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin sebagai standard – ditampilkan pilihan untuk model Premium. Ia juga didatangkan dengan Subaru Starlink Connected Services, yang ditambah dengan kawalan enjin menerusi aplikasi MySubaru, yang boleh menetapkan larasan kawalan suhu.

    Sebagai standard, Forester turut didatangkan dengan sistem Starlink Multimedia dengan skrin sesentuh 6.5-inci termasuk sambungan Apple CarPlay, Android Auto, SiriusXM, Aha, Pandora dan aplikasi Starlink. Sistem Multimedia Plus pula menambah skrin lapan-inci, sementara sistem Multimedia Navigation menerima navigasi dengan pengaktifan-suara TomTom. Ia juga didatangkan dengan sambungan WiFi serta perkhidmatan kecemasan.

    Kuasa didatangkan dari enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan suntikan terus, nisbah mampatan tinggi dan sistem kawalan injap aktif (AVCS) untuk ekzos. Ia mampu menyalurkan sehingga 182 hp dan tork 239 Nm, dipadankan bersama Lineartronic CVT standard dengan anggaran penggunaan bahan api sekitar 7.1 liter per 100 km. Sport dan Touring menerima mod manual tujuh-kelajuan dengan pedal penukar gear.

    Bukan itu sahaja, sistem Subaru Symmetrical All-Wheel Drive turut hadir secara standard, dipadankan dengan sistem Penvektoran Tork Aktif seperti WRX dan WRX STI. Juga standard ialah sistem SI-Drive yang menampilkan mod pemanduan Intelligent dan Sport (Sport Sharp pada Forester Sport) untuk prestasi atau penjimatan.

    Subaru Forester 2019 diperkenalkan – lebih ruang, lebih teknologi, enjin 2.5L suntikan-terus boxer baharu

    Model Premium, Sport, Limited dan Touring turut menerima sistem X-Mode dengan Kawalan Menurun Bukit, yang mampu mengoptimakan enjin, transmisi, sistem AWD dan Kawalan Dinamik Kenderaan untuk cengkaman yang maksimum dalam keadaan jalan yang licin. Mod pemanduan baharu yang turut didatangkan termasuk Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud untuk varian Sport, Limited dan Touring.

    Subaru Global Platform baharu juga dikatakan mampu memberikan keupayaan pengendalian, ketegaran, keselesaan yang terbaik di samping sebagai pelindung kemalangan. Binaan baharu ini juga dikatakan mampu mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekerasan (NVH), sementara bunyi bising jalan juga telah dikurangkan secara lebih signifikan bagi Forester baharu ini. Di mana Subaru telah menala semula sesetengah frekuensi untuk kadar bunyi yang lebih sesuai terutamanya bagi perbualan dalam kabin atau mendengar muzik ketika kenderaan sedang dipandu.

    Bagi keselamatannya, di Amerika Syarikat, Forester didatangkan secara standard dengan sistem bantuan pemandu EyeSight. Ia ditambah dengan Automatic Pre-Collision Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Departure dan Sway Warning, Lane Keep Assist, Pre-Collision Throttle Management serta Lead Vehicle Start Alert. Juga ditampilkan dengan Reverse Automatic Braking dan Blind Spot Detection dengan Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert.

    High Beam Assist turut ditawarkan pada varian Sport, Limited dan Touring, dengan dua model terakhir itu turut menerima lampu utama adaptif. Juga baharu bagi model 2019 ini ialah Tire Pressure Monitoring System (TPMS) dan Trailer Stability Assist (TSA), sementara Touring turut menerima sistem DriverFocus baharu yang menggunakan pengesanan wajah untuk mengesan kelajuan gangguan dan keletihan pemandu.

     
     
  • Mercedes-AMG C63 facelift kini dengan kotak gear 9G

    Mercedes-AMG C63 facelift kini dengan kotak gear 9G

    Satu persatu model C-Class diberikan pembaharuan, dan yang terkini, pengeluar dari Jerman itu menunjukkan model paling berkuasa iaitu Mercedes-AMG C 63, yang boleh didapati dalam bentuk badan sedan, coupe, cabriolet dan estate.

    Pertamanya, model ini masih lagi menggunakan enjin V8 4.0 liter biturbo M177, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 503 hp (510 PS) dan 700 Nm tork, dan untuk model bukan S, ia ditala untuk menghasilkan 469 hp (476 PS) dan 650 Nm tork. Satu pembaharuan yang dilakukan, enjin tersebut kini dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G baru, menggantikan unit tujuh kelajuan sebelum ini untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Pada aspek prestasi, semestinya model S adalah lebih berkuasa, dengan yang paling laju adalah model coupe, yang boleh mencatat masa pecutan 0-100 km/j 3.9 saat. Model C 63 bentuk badan lain pula mempunyai perbezaan tidak sampai 0.3 saat untuk melakukan pecutan dalam jarak sama.

    Bagi model bukan S, kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, tetapi bagi model Sedan dan Coupe S, ia boleh mencecah 290 km/j. Model Cabriolet dan Estate hanya boleh mencecah 280 km/j.

    Kedua-dua kenderaan kini mendapat manfaat daripada limited-slip differential gandar belakang kawalan elektronik, yang sebelum ini hanyalah eksklusif untuk model S – tapak enjin dinamik masih lagi eksklusif untuk model C 63 S sahaja. Turut diberi secara standard adalah suspensi AMG Ride Control dengan sistem penyerap boleh laras dan dikawal secara elektronik.

    Sistem ekzos AMG dengan injap boleh buka juga diberikan secara standard, tetapi pelanggan boleh memilih sistem ekzos prestasi. Dengan sistem pilihan tersebut, pemandu akan mendapat tiga injap yang yang boleh dipilih untuk bunyi yang berlainan.

    Untuk penampilan, barisan C 63 ini boleh dibezakan dengan adanya gril Panamericana AMG di hadapan, satu garisan pada bahagian bukaan udara di penjuru bampar, dan diffuser yang lebih ganas. Jika mahukan lebih lagi, mereka boleh memilih pakej AMG Aerodynamic.

    Masuk ke dalam, terdapat pilihan baru untuk trim, termasuk kemasan kayu anthracite open-pore oak, open-pore walnut, aluminium longitudinal-grain untuk pintu dan kayu open-pore ash hitam untuk konsol tengah. Jika itu tidak cukup sporty, pemilik juga boleh mendapatkan trim gentian karbon/aluminium AMG.

    Mercedes-AMG C63 facelift kini dengan kotak gear 9G

    Untuk balutan tempat duduk, pilihan juga telah ditambah untuk termasuk kelabu magma/hitam dengan jahitan kuning, manakala model sedan dan estate boleh dipilih dengan jahitan berlian dalam warna coklat/hitam dan putih mutiara platinum/hitam.

    Seperti juga barisan C-Class facelift baru yang lain, model prestasi ini turut mendapat pilihan skrin paparan 10.25 inci (1920×720 pixel) untuk sistem informasi dan hiburan COMAND Online. Unit standard yang diberi adalah tujuh inci (960×540 pixel).

    Skrin lain yang memaparkan informasi kenderaan ini terdapat pada panel instrumen, yang boleh dipilih dengan unit 12.3 inci yang datang dengan tiga paparan khas AMG – Classic, Sport dan Supersport. Skrin ini juga boleh memaparkan pelbagai informasi tambahan lain termasuk tekanan G dan catatan masa dalam litar.

    Fungsi AMG Track Pace datang standard daam C 63 S, dan menawarkan 80 set data kenderaan yang direkod 10 kali dalam masa satu saat. Melalui data ini, pengguna boleh meneliti secara spesifik pecutan, laju dan pelbagai informasi lain, seterusnya meningkatkan prestasi dalam litar.

     
     
  • Timbalan Menteri KWKPM cadang turunkan had umur miliki lesen kepada 14 tahun untuk banteras rempit

    Timbalan Menteri KWKPM cadang turunkan had umur miliki lesen kepada 14 tahun untuk banteras rempit

    Beberapa hari lepas, Menteri Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KWKPM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah mengeluarkan cadangan untuk berhadapan masalah anak yang tertinggal dalam kenderaan. Semalam, timbalan menterinya pula mengeluarkan cadangan. Kali ini untuk berhadapan masalah rempit dan basikal lajak.

    Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, Timbalan Menteri KWKPM, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, antara cadangan untuk mengatasi masalah ini adalah membuat silibus khas berkenaan undang-undang serta keselamatan atas jalan raya di sekolah, dan mengurangkan umur minimum untuk mengambil lesen kepada 14, daripada 16 tahun yang ditetapkan sekarang.

    Menurut Azizah lagi, cadangan ini didapati semasa perbincangan yang dibuat 22 Mac lalu berkenaan isu sosial kanak-kanak serta remaja masa kini. Perbincangan itu dibuat untuk meningkatkan kesedaran terhadap bahaya lumba jalanan dan penggunaan basikal ubah suai.

    Selain itu, Azizah juga ada menyatakan beberapa cadangan lain termasuk untuk yang sudah mempunyai lesen, iaitu mengehadkan waktu menunggang mereka kepada 7 pagi hingga 8 malam sahaja, dan hanya di dalam kawasan tertentu. Apa pendapat anda dengan cadangan menteri ini? Boleh dipakai atau sekadar mengeruhkan keadaan sahaja?

     
     
  • GALERI: Yamaha Motoroid di Bangkok Motor Show

    GALERI: Yamaha Motoroid di Bangkok Motor Show

    Semasa Bangkok International Motor Show 2018, wakil kami yang berada di sana sempat singgah ke kawasan pameran Yamaha, dan terus tertarik kepada sebuah motosikal konsep yang diletakkan di atas pentas. Ia adalah Motoroid T03, yang sebelum ini pernah ditampilkan di Tokyo Motor Show tahun lepas.

    Motoroid T03 adalah sebuah motosikal konsep masa hadapan yang menggunakan teknologi Artificial Intelligence, dan dalam satu video promosinya, ia sudah pun boleh berfungsi. Motosikal ini boleh mengesan muka serta pergerakan, seterusnya memudahkan operasi oleh pengguna.

    Satu lagi keistimewaan Motoroid adalah ia boleh mengimbangkan badannya secara sendiri. Apabila ia sudah mengesan pemiliknya berada berhampiran, dan arahan diberi untuk memanggilnya, Motoroid akan datang kepada pemilik secara sendiri dalam kelajuan rendah.

    Selain itu, Yamaha juga menyatakan Motoroid mahu membawa pengalaman Kando kepada penggunanya. Kando dalam bahasa Jepun bermaksud satu gabungan rasa puas dan keterujaan tinggi yang dinikmati apabila mendapat sesuatu yang sangat berharga.

    Secara keseluruhannya, Motoroid T03 mempunyai ukuran 2,060 mm panjang, 600 mm lebar dan 1,090 mm tinggi. Perincian teknikal motosikal ini tidak diberitahu secara mendalam, cuma dinyatakan ia menggunakan motor elektrik yang terletak di belakang dan bateri lithium ion. Berat keseluruhan pula adalah 213 kg.

     
     
  • PLUS sediakan 32 mesin layan diri tambah nilai di kawasan R&R, plaza tol terpilih seluruh negara

    PLUS sediakan 32 mesin layan diri tambah nilai di kawasan R&R, plaza tol terpilih seluruh negara

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, kini para pengguna lebuh raya kendaliannya tidak perlu lagi mengunjungi Pusat Khidmat Pelanggan atau Lorong Tambah Nilai untuk menambah nilai kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go mereka tetapi boleh berbuat demikian di 32 mesin layan diri (SSK) yang disediakan di kawasan rehat serta plaza tol terpilih di seluruh negara buat masa ini.

    Di R&R, mesin SSK disediakan di lokasi yang strategik seperti berhampiran mesin ATM, medan selera dan lain-lain. Pada ketika ini, mesin SSK disediakan di R&R Tapah (kedua-dua arah), R&R Seremban (kedua-dua arah), R&R Sungai Perak (kedua-dua arah), R&R Ayer Keroh (kedua-dua arah), R&R Pagoh (kedua-dua arah), R&R Dengkil (arah selatan), R&R Gunung Semanggol (arah utara), Restoran Jejantas Sungai Buloh (kedua-dua arah) dan Hentian Sebelah Simpang Pulai (arah selatan).

    Mesin SSK turut disediakan di bangunan pejabat operasi plaza tol terpilih iaitu Jalan Duta, Kota Damansara, Subang, Setia Alam, Bukit Raja, Rawang, Rawang Selatan, Bukit Beruntung, Tanjung Malim, Bidor, Sungai Besi, Kajang, Nilai, Seafield, USJ dan KLIA.

    PLUS sediakan 32 mesin layan diri tambah nilai di kawasan R&R, plaza tol terpilih seluruh negara

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, “Semua transaksi tambah nilai di mesin SSK tidak akan dikenakan caj tambahan. Bagi setiap transaksi, pengguna boleh menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go mereka dengan nilai pilihan iaitu RM10, RM20, RM50 atau RM100.”

    Untuk kemudahan orang ramai, kesemua mesin SSK tersebut beroperasi 24 jam setiap hari. Secara puratanya, setiap transaksi tambah nilai di SSK mengambil masa di antara 20 saat hingga 1 minit menerusi 4 langkah mudah iaitu masukkan kad PLUSMiles/Touch ‘n Go pada slot pengimbas kad, kemudian membuat pilihan tambah nilai pada skrin, seterusnya masukkan wang tunai dan akhir sekali mengambil resit transaksi tambah nilai.

    “Pihak PLUS dan Touch ‘n Go juga bercadang untuk menambah beberapa lagi SSK di sepanjang lebuh raya untuk memberi lebih pilihan dan kemudahan untuk pengguna lebuh raya PLUS,” kata Zakaria.

    Pada ketika ini, terdapat kira-kira 112 mesin SSK di seluruh negara. Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 10,000 pusat tambah nilai yang terdapat di seluruh negara termasuk mesin-mesin ATM, pusat membeli-belah, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak dan lain-lain lagi.

     
     
  • Mazda 2 spesifikasi pertengahan kini di M’sia, RM76k

    Mazda 2 spesifikasi pertengahan kini di M’sia, RM76k

    Mazda Malaysia telah memperkenalkan varian spesifikasi pertengahan untuk Mazda 2 1.5 sedan dan hatchback, dan harga atas jalan bagi versi asas baharu ini bermula dari RM74,866 tanpa insurans, atau RM75,396 dengan pilihan warna Soul Red.

    Tiada perubahan daripada segi mekanikal, masih mengekalkan enjin petrol 1.5L SkyActic (114 hp/148 Nm) dengan padanan kotak gear torque converter automatik enam-kelajuan.

    Ia dipadankan dengan roda aloi dua-tona 16-inci, dan unit 15-inci – dibaluti tayar 185/65. Pada bahagian hadapannya, perumah lampu kabus mirip dengan model yang dipertingkatkan sebelum ini, tetapi dalam tona hitam pekat berbanding hitam berkilat pada varian spesifikasi penuh.

    Selain itu, bilah gril hadapan juga tampil dengan warna hitam berkilat, berbanding sama dengan warna badan. Varian ini juga mengekalkan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED, sementara di belakangnya pula, but kini boleh dibuka/ditutup dengan butang yang disediakan.

    Di dalamnya, butang penghidup enjin dikekalkan, namun tidak disertakan dengan kemasukan tanpa kunci. Tempat duduk upholstery balutan fabrik kelabu menjadi pilihan. Elemen keselamatan turut dikekalkan, dengan dua beg udara di bahagian hadapan dan cagak Isofix di tempat duduk belakang.

    Antara perubahan yang ketara pada spesifikasi ini termasuklah pendingin hawa manual, roda stereng poliuretana, dan pedal penukar gear, di samping suis mod Sport yang memberikan daya lebih dinamik untuk penukaran gear turut dikekalkan. Selain itu, panel papan pemuka dan konsol tengah balutan kulit telah digantikan dengan kekemasan plastik berpetak hitam berkilat.

    Bagi sistem hiburan di dalam Mazda 2 spesifikasi pertengahan hanya menerima unit pemain audio CD, dengan empat pembesar suara berbanding enam dan unit LCD pada varian penuh. Ini bermakna tiada kamera undur ditampilkan, hanya ada pengesan parkir undur sahaja.

    Selain itu sistem audio tidak disambungkan pada Bluetooth dan butang Commander Control, tetapi menerima ektra ruang untuk meletak barangan kecil. Turut dihadirkan dengan dua port USB dengan input kabel audio tambahan 3.5 mm.

    Bukan itu sahaja, HUD juga tidak ditampilkan, manakala kluster instrumen disemak semula termasuk pusat binnacle kini menampilkan analogue speedometer pada ruang takometer (dan digital speedometer) yang kelihatan pada varian lebih tinggi. Bagi varian ini, takometer telah ditukarkan ke paparan yang lebih kecil di sebelah kiri.

    Semua yang ditawarkan pada varian spesifikasi pertengahan ini adalah RM12,000 lebih jimat berbanding model tertinggi. Jadi, adakah ia berbaloi untuk dijadikan pilihan?

    Anda boleh dapatkan perincian dan spesifikasi penuh mengenai Mazda 2 ini menerusi Carbase.my.

     
     
  • Nissan Altima 2019 – Teana generasi baharu tampil dengan enjin turbo nisbah mampatan bervariasi

    Nissan Altima 2019 – Teana generasi baharu tampil dengan enjin turbo nisbah mampatan bervariasi

    The all-new Altima takes its inspiration from the award-winning Nissan Vmotion 2.0 concept, which debuted at the 2017 North American International Auto Show in Detroit. Like the show car, the production Altima attracts immediate attention with its athletic stance and proportions – lower, wider and more dynamic than previous generations, thanks in part to new platform packaging and the use of two new low-profile engine designs.

    Nissan Altima generasi baharu (dikenali sebagai Teana pada pasaran Malaysia) secara rasminya telah membuat kemunculan sulung ketika berlangsungnya New York International Auto Show 2018. Selain dari menampilkan rupa yang begitu garang, model generasi baharu ini turut dibekalkan dengan pelbagai teknologi yang mengujakan.

    Sedan saingan Toyota Camry dan Honda Accord generasi baharu ini dihasilkan sebagai model produksi sebenar dari versi konsep Vmotion 2.0 di Detroit awal tahun ini – menampilkan rupa yang jauh lebih agresif dari model sedia ada. Pada bahagian muka, Altima menerima gril hadapan V-Motion bersaiz besar, diapit lampu hadapan LED yang direka seakan mata anak panah. Dengan kedudukan enjin yang lebih rendah, muncung sedan ini dapat direka lebih tirus dan sporty.

    Pada bahagian sisi, badan Altima 2019 kelihatan lebih tegap dengan garis bahu yang begitu menonjol, dihubungkan dari lampu hadapan hingga lampu belakang. Kemasan berwarna hitam merentangi tiang-C yang bersambung dengan kemasan pada tingkap sisi pula memberikan rupa seolah-olah bumbung kereta ini terapung dari badannya.

    Di belakang pula, Altima diberikan sepasang lampu berbentuk boomerang, bersama bampar yang direka dengan kemasan seakan diffuser dan turut menempatkan dua tip ekzos bulat bersaiz besar. Bagi memberikan stance dan rupa yang lebih garang, Altima turut disertakan dengan pilihan rim-aloi sehingga diameter 19-inci.

    Nissan Altima 2019 – Teana generasi baharu tampil dengan enjin turbo nisbah mampatan bervariasi

    The all-new Altima takes its inspiration from the award-winning Nissan Vmotion 2.0 concept, which debuted at the 2017 North American International Auto Show in Detroit. Like the show car, the production Altima attracts immediate attention with its athletic stance and proportions – lower, wider and more dynamic than previous generations, thanks in part to new platform packaging and the use of two new low-profile engine designs.

    Berbanding Altima/Teana sedia ada, model generasi baharu ini direka 25 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar serta 28 mm lebih rendah. Jarak rodanya juga jauh lebih panjang dengan tambahan 48 mm dari model sebelumnya, secara tidak langsung membuatkan overhang pada bahagian belakang direka lebih pendek.

    Masuk ke bahagian kabin, Altima hadir dengan papan pemuka yang direka menerapkan konsep “gliding wing”. Nissan turut memberikan warna-warna kontras pada bahagian ini yang menurut mereka akan memberikan perasaan yang lebih premium. Tempat duduk ‘Zero Gravity’ dari model sedia ada masih diberikan pada model ini, tetapi dikemaskini dengan span dua-ketumpatan serta sokongan tambahan bagi memberikan pautan badan lebih baik. Balutan kulit berliang dan juga larasan berkuasa lapan-hala turut disertakan pada tempat duduk ini.

    Altima 2019 hadir standard dengan sistem infotainmen NissanConnectSM bersama paparan pelbagai-sentuh lapan-inci. Ia turut menyokong fungsi lain seperti Apple CarPlay, Android Auto, Siri, pengenal suara Google Assistant dan juga pembantu peribadi Amazon Alexa.

    Bagi sistem navigasi NissanConnect yang ditawarkan sebagai opsyen pula, ia membekalkan kemaskini over-the-air, navigasi dari pintu-ke-pintu dan juga maklumat trafik masa-sebenar. Pengguna turut boleh menghubungkan jam pintar Apple Watch dan Android Wear ke aplikasi NissanConnect, membolehkan fungsi seperti penghidup enjin kawalan jauh dan juga amaran remote lock valet serta fungsi-fungsi lain beroperasi.

    Nissan Altima 2019 – Teana generasi baharu tampil dengan enjin turbo nisbah mampatan bervariasi

    The all-new Altima takes its inspiration from the award-winning Nissan Vmotion 2.0 concept, which debuted at the 2017 North American International Auto Show in Detroit. Like the show car, the production Altima attracts immediate attention with its athletic stance and proportions – lower, wider and more dynamic than previous generations, thanks in part to new platform packaging and the use of two new low-profile engine designs.

    Nissan turut menawarkan ciri opsyen lain untuk Altima ini, termasuk sistem penghidup enjin kawalan jauh dengan sistem penghawa dingin Intelligent Climate Control, moonroof serta sistem audio premium Bose dengan lapan pembesar suara. Paparan informasi digital sepenuhnya Advanced Drive Assist Display pula diberikan sebagai ciri standard.

    Untuk pasaran Amerika, Altima akan ditawarkan dengan lima trim berbeza -S, SR, SV, SL dan Platinum- bersama dua jenis enjin. Versi asas akan dijana enjin 2.5 liter NA yang dikemaskini dengan sistem suntikan bahan api terus, e-VTC dan juga injap EGR dengan penyejuk, menghasilkan kuasa 188 hp/244 Nm. Ia jelas lebih bertenaga dari versi sebelumnya yang hanya menghasilkan 179 hp/240 Nm.

    Manakala untuk versi paling berkuasa, enjin 3.5 liter V6 pada model sedia ada telah digantikan dengan enjin baharu 2.0 liter VC Turbo. Enjin berkenaan merupakan enjin produksi dengan teknologi nisbah mampatan bervariasi pertama seumpamanya di dunia, dan baharu sahaja diperkenalkan buat pertama kali pada SUV Infiniti QX50 awal tahun ini.

    Enjin VC Turbo berkenaan diberikan rekaan mekanikal khas pada aci engkol (crankshaft) yang membolehkan nisbah mampatannya berubah dari 8:1 (untuk prestasi tinggi) hingga 14:1 (untuk kecekapan bahan api tinggi). Untuk Altima, enjin tersebut menghasilkan 248 hp dengan tork maksima 370 Nm, berbanding QX50 yang diberikan kuasa lebih besar iaitu 270 hp/390.5 Nm.

    Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT automatik. Manakala untuk pacuan pula, versi 2.5 liter NA diberikan pilihan sama ada digerakkan hanya oleh roda hadapan atau pacuan semua roda (pertama kali diberikan pada Altima), tetapi model dengan enjin 2.0 liter VC Turbo hanya hadir dengan pacuan roda hadapan sahaja.

    Bagi sistem AWD pada Altima ini, ia menggunakan kawalan agihan tork yang akan mengagihkan kuasa bervariasi antara roda hadapan dan belakang bermula dari 0:100 hingga 50:50, secara automatik bergantung pada situasi pemanduan dan juga keadaan jalan. Sebagai tambahan, ia turut dibekalkan dengan Brake LSD dan juga Bantuan Mula Mendaki bagi memberikan prestasi optima pada permukaan jalan yang lasak dan berbukit.

    Ciri baharu lain yang turut membantu pengendalian pada casis yang dikemaskini termasuk penyerap hentak belakang jenis monotube, talaan suspensi lebih tegar, geometri suspensi yang ditala semula dan sistem stereng bantuan kuasa dengan dua-pinan. Altima turut diberikan sistem kawalan casis elektronik baharu Integrated Dynamics Module (IDM) yang menggabungkan sistem Intelligent Ride Control, Intelligent Trace Control dan Vehicle Dynamics Control.

    Selain itu, Altima generasi baharu ini turut dilengkapi dengan sistem pemanduan sendiri ProPilot (hanya untuk varian SV, SL dan Platinum). Seperti juga sistem pada MPV Nissan Serena, ProPilot pada Altima ini membantu pemandu mengawal input pedal pendikit, brek dan juga stereng dalam berberapa situasi pemanduan, contohnya ketika memandu di lebuhraya dan ia hanya berfungsi dalam satu lorong sahaja.

    Untuk sistem keselamatan lain, Nissan Altima 2019 hadir standard dengan Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (I-FCW) dan juga Intelligent Driver Alertness (I-DA), manakala Intelligent Around View Monitor (I-AVM) pula ditawarkan sebagai opsyen.

    Nissan juga menawarkan pakej keselamatan Nissan Safety Shield 360 yang menampilkan sistem baharu Brek Automatik Belakang (RR-AB). Turut dipadatkan pada pakej tersebut ialah Sistem Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki, Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Titik Buta (BSW), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Bantuan Lampu Tinggi (HBA).

     
     
  • Jaguar F-Pace SVR didedah – kuasa 550 PS, 680 Nm

    Jaguar F-Pace SVR didedah – kuasa 550 PS, 680 Nm

    Nampaknya ada pelanggan yang mahukan sesuatu lebih menarik daripada F-Pace S biasa. Bagi mereka, enjin V6 3.0 liter pada model itu “cuma” dapat menghasilkan 380 PS dan 450 NM tork, dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat “tidak mencukupi”.

    Jaguar telah mendengar “rungutan” ini, dan akhirnya menunjukkan F-Pace SVR di New York International Auto Show (NYIAS) 2018. Model ini terletak paling tinggi dalam barisan F-Pace dan seperti model SVR yang lain (contohnya F-Type dan Range Rover Sport), ia mempunyai prestasi yang lebih tinggi.

    Yang utama adalah kuasa sebanyak 550 PS dan 680 Nm tork, datang daripada enjin V8 5.0 liter supercharge di bawah bonetnya. Kuasa ini disampaikan ke semua tayar melalui transmisi automatik Quickshift lapan kelajuan, dan dapat membantu ia mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan kelajuan maksimum 283 km/j.

    Demi memberikan lebih kepuasan, Jaguar telah melengkapkan F-Pace SVR ini dengan sistem ekzos Variable Valve Active yang dapat menghasilkan bunyi V8 lebih jelas, dan 6.6 kg lebih ringan berbanding ekzos biasa F-Pace. Pada bahagian pengendalian, kenderaan ini dijadikan lebih tegar dengan spring lebih keras (30% di hadapan dan 10% di belakang), anti-roll bar baru (5% kurang olengan badan) dan Electronic Active Differential (EAD) belakang.

    F-Pace SVR juga didatangkan dengan rim 21 inci atau pilihan rim 22 inci yang 25 mm lebih lebar di belakang. Brek menggunakan unit 395 mm di hadapan dan 396 mm di belakang. Sistem lain turut ditala khas untuk model ini termasuk transmisi, stereng, suspensi Adaptive Dynamics, Torque Vectoring, Dynamic Stability Control dan pacuan empat rodanya.

    Secara visual, F-Pace SVR dipasang dengan pakej aerodinamik yang termasuk bukaan udara lebih besar di hadapan, lubang udara di tepi fender. Lengkuk rodanya juga nampak lebih lebar dan terdapat kemasan di bahagian tepi kenderaan yang menjadikan ia lebih tegap.

    Jaguar F-Pace SVR didedah – kuasa 550 PS, 680 Nm

    Peningkatan lain yang diberikan pada model prestasi ini adalah bonet baru dengan lubang udara untuk menyejukkan enjin, spoiler belakang khas, empat muncung ekzos dan bampar belakang dengan sirip untuk menghalakan udara dengan lebih baik.

    Pada bahagian dalam, tempat duduk hadapannya mempunyai jahitan khas, dan disulam dengan logo SVR. Anda juga boleh melihat tombol gear biasa F-Pace, roda stereng dengan jenama SVR, pedal penukar gear aluminium, sistem informasi dan hiburan Touch Pro bersama skrin sesentuh 10 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci.

    Walaupun mempunyai prestasi tinggi, Jaguar mengingatkan orang ramai F-Pace ini masih praktikal kerana mempunyai ruang kargo 650 liter (tempat duduk tegak), dan ia boleh ditempah di United Kingdom pada harga 74,835 pounds (RM409,460).



     
     
  • BMW Malaysia perkenal tiga stesen i Charging di Ipoh

    BMW Malaysia perkenal tiga stesen i Charging di Ipoh

    BMW Group Malaysia bersama pengedarnya, Tian Siang Premium Auto kini memperkenalkan tiga stesen i Charging BMW di Hotel WEIL, Ipoh. Ia merupakan stesen dan kemudahan mengecas kenderaan yang pertama di negeri Perak dan sekaligus menunjukkan komitmen BMW untuk memperluas rangkaian berkenaan untuk pengguna di Malaysia.

    “Ini antara lain didorong oleh jumlah jualan kenderaan dari barisan BMW iPerformance yang tinggi bagi pasaran tempatan; Malaysia merupakan pasaran kelima terbesar bagi kenderaan BMW hibrid serta teknologi eDrive,” jelas Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

    Pengenalan kemudahan seperti stesen mengecas ini adalah sangat penting untuk memastikan akses yang lebih meluas kepada pelanggan-pelanggan kenderaan hibrid di Malaysia. Hotel WEIL dipilih sebagai lokasi stesen BMW i Charging ini kerana lokasi yang strategik di tengah bandaraya Ipoh yang turut menjadi tumpuan penginapan bagi pengunjung dari luar kawasan ketika berada di negeri ini.

    BMW Malaysia perkenal tiga stesen i Charging di Ipoh

    “Di Perak sahaja kami telah berjaya menjual lebih daripada 400 unit kenderaan BMW tahun lalu. Daripada jumlah itu, lebih daripada 45% terdiri daripada kenderaan BMW iPerformance dan kami yakin jumlah ini akan terus meningkat. Pembangunan infrastruktur pengecas ini merupakan langkah ke hadapan dan persiapan kami untuk menampung keperluan pengguna di negeri ini,” jelas Ketua Pengedar Tian Siang Premium Auto, Tan Ka Kin.

    Pemasangan ketiga-tiga stesen pengecas ini merupakan kesinambungan bagi penyediaan infrastruktur yang sama di lakukan sebelum ini di Holiday Inn Melaka dan di The Equatorial Melaka (oleh Seong Hoe Premium Motors), serta di CityONE Megamall Kuching (oleh Regas Premium Auto Sarawak). Pengecas yang disediakan berkenaan merupakan unit jenis AC, beroperasi sehingga 22 kW. Ia bukan sahaja untuk kegunaan kereta-kereta jenama BMW, malah terbuka untuk jenama lain.

    Portfolio mobiliti berwawasan BMW Group Malaysia dengan rangkaian kenderaan BMW iPerformance juga dibantu oleh ChargEV melalui usahasama dengan Malaysian Green Technology Corporation.

    Sebahagian daripada program BMW 360° ELECTRIC termasuklah perkkhidmatan BMW ChargeNow yang memberikan akses terus kepada rakan stesen pengecas seperti ChargEV, di mana pelanggan dapat menikmati bantuan dan akses 24 jam di setiap lokasi pengecas di bawah rangkaian ChargEV yang kini telah mempunyai 270 kemudahan di seluruh negara.

    Barisan model BMW iPerformance di Malaysia terdiri daripada BMW X5 xDrive40e, BMW 740Le xDrive, BMW 330e dan yang terbaru 530e G30. Sejak pengenalan model PHEV yang pertama jenama ini di Malaysia – model X5 xDrive40e pada 2016 – BMW Malaysia telah menjual sebanyak 4,500 kenderaan hibrid dan menjadi pendahulu bagi pasaran di Asean dan kelima terbesar bagi BMW.

     
     
  • Audi RS5 Sportback – pertama kali guna badan sedan

    Audi RS5 Sportback – pertama kali guna badan sedan

    Nampak seperti permintaan sedan prestasi tinggi semakin tinggi kerana Audi buat pertama kalinya telah memperkenalkan RS5 dengan badan Sportback. Model ‘coupe’ lima pintu berprestasi ini telah membuat penampilan dunia pertama di New York International Auto Show 2018 (NYIAS).

    Jika dibandingkan dengan Sportback biasa, Audi telah memberikan model baru ini badan yang lebih lebar, hasil penggunaan lengkuk tayar lebih terkeluar 15 mm. Perubahan visual lain adalah termasuk gril singleframe rendah di bawah, bukaan udara hadapan yang besar dengan corak honeycomb, spoiler hadapan dengan tulisan quattro aluminium matte, kemasan hitam, bahagian dalam diffuser khas untuk RS, sistem ekzos RS dan spoiler lip tetap.

    Prestasi tinggi kereta ini datang daripada enjin V6 TFSI 2.9 liter twin turbo berkuasa 450 hp 600 Nm tork antara 1,900 hingga 5,000 rpm. Unit turbonya boleh bertahan dengan tekanan sehingga 1.5 bar, dan membolehkan kenderaan ini memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat.

    Audi RS5 Sportback – pertama kali guna badan sedan

    Kuasa ini disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda tetap quattro dengan differential tengah. Dalam pemanduan biasa, penyampaian tork dibahagikan 40:60 antara roda hadapan dan belakang, tetapi jika terdapat gelinciran, ia boleh menyampaikan sehingga 85% tork ke roda hadapan dan 70% ke belakang. Pemilik juga diberi pilihan differential sport bersama torque vectoring roda belakang.

    Jika dibandingkan dengan S5 Sportback, suspensi RS5 ini adalah tujuh milimeter lebih rendah, dan sekiranya itu tidak mencukupi, pemilik boleh mendapatkan suspensi RS Sport Suspension Plus yang datang dengan Dynamic Ride Control (DRC), brek seramik dan stereng dinamik khas untuk RS. Sistem pengendalian Audi Drive Select Dynamic diberikan secara standard.

    Di dalam RS5 Sportback ini, terdapat lima tempat duduk, dan ia juga menyediakan ruang simpanan 480 liter yang boleh dibesarkan menjadi 1,300 liter apabila tempat duduk belakang 40:20:40 dilipat. Kemasan bahagian dalam kebanyakannya menggunakan warna hitam, dan pembeli boleh mendapatkan balutan kulit Nappa serta pakej RS yang menggunakan jahitan benang merah, dan tali pinggang merah.

     
     
  • Sistem pengeluaran pelekat kenderaan OKU dikaji semula bagi elak disalahguna – Ab Aziz Kaprawi

    Sistem pengeluaran pelekat kenderaan OKU dikaji semula bagi elak disalahguna – Ab Aziz Kaprawi

    Memandangkan isu penyalahgunaan pelekat kenderaan orang kelainan upaya (OKU) oleh sesetengah pihak terutamanya oleh anggota keluarga OKU berkenaan, kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula sistem pengeluarannya.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menetapkan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh OKU bagi memperoleh pelekat kenderaan tersebut, laporan Bernama.

    “Hal ini kerana kita khuatir penyalahgunaan pelekat kenderaan tersebut akan menjejaskan kepentingan OKU yang memandu kenderaan mereka sendiri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara semalam.

    Katanya lagi, garis panduan pengeluaran dan pengedaran pelekat kenderaan OKU telah diguna pakai di semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 2 Mei 2014. Di mana garis panduan yang telah dipersetujui Mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU tersebut antara lain turut menetapkan syarat permohonan pelekat kenderaan OKU tertakluk kepada sesebuah kenderaan yang dimodifikasi dan didaftar atas nama OKU yang memiliki kad pengesahan cacat fizikal.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menggunakan platform media terutamanya media sosial dalam memupuk kesedaran masyarakat berhubung penyalahgunaan tempat letak kenderaan OKU.

     
     
  • Renault Captur S-Edition dapat enjin TCe 150 baharu

    Renault Captur S-Edition dapat enjin TCe 150 baharu

    Renault telah menambah satu lagi varian Captur untuk pasaran Eropah iaitu model edisi terhad S-Edition. Apa yang menariknya, model edisi terhad ini bukan sahaja menerima kekemasan yang lebih bergaya, bahkan turut hadir dengan enjin baharu yang lebih berkuasa.

    Boleh didapati sama ada dengan pilihan manual atau kotak gear klac berkembar EDC enam-kelajuan, enjin baharu 1.4 liter TCe 150 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 150 hp dan tork 250 Nm, yang mana ternyata lebih berkuasa berbanding enjin petrol sebelumnya 1.2 liter (120 hp, 205 Nm).

    Gandingan enjin baharu ini, Captur S-Edition ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 9.2 saaat, berbanding TCe 120 yang mencapai 10 saat.

    Renault Captur S-Edition dapat enjin TCe 150 baharu

    Selain enjin, S-Edition turut menerima kekemasan luaran eksklusif dengan warna Iron Blue bersama kombinasi bumbung Etoilé Black atau Platine Grey. Jika tidak menggemarinya, anda boleh memilih kombinasi dari lapan variasi dua-tona berbeza.

    Elemen lain yang ditampilkan termasuklah roda aloi potongan-berlian Filante hitam 17-inci, pelindung pintu Gun Metal Grey dan skid plate serta lencana S-Edition.

    Di dalamnya pula, Captur S-Edition menampilkan upholstery kulit Alcantara/simile dengan jahitan biru pada bahagian perehat lengan, tuil gear dan juga brek parkir.

    Captur spesifikasi Malaysia buat masa ini ditawarkan dengan enjin 1.2 liter TCe 120. Adakan ia patut dipertingkatkan ke 1.4 liter TCe 150 untuk pasaran tempatan? Kongsikan pendapat anda di ruang komen.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025