Toyota Harrier sentiasa menjadi semacam “peringatan” dan “jambatan” kepada pengeluar kenderaan dari Jepun ini sejak dulu. Harrier selalu menjadi cerminan penawaran yang lebih premium bagi Toyota, meninggalkan agak jauh model-model lain keluarannya yang lain dari segi kualiti buatan dan kelengkapan. Padahal, Lexus sudah ada sebagai sayap jenama premium dengan barisan kenderaan dan penawaran untuk tujuan itu.
Jadi, mengapa perlu ada Harrier? Sedangkan Lexus RX juga boleh mengisi kekosongan yang sama — seperti yang pernah dilihat dalam dua generasi awal Harrier, yang meminjam banyak dari SUV Lexus terbabit. Satu perkara yang mungkin menjelaskan perkara ini adalah kerana Toyota ingin sentiasa mengingatkan pasaran bahawa walaupun jenama itu menjual begitu banyak kenderaan pasaran massa di seluruh dunia, ia tetap tidak mahu tertinggal menunjukkan kemampuan dalam menghasilkan kenderaan premium, seperti juga Toyota selalu ingin diingati melalui model-model prestasinya yang kembali rancak dikeluarkan beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk itu, bagi segmen SUV, Harrier generasi keempat ini yang mula diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2020, menjadi buktinya. Sekali pandang, serba-serbi yang ditampilkan oleh model ini tampak menyerlah, sama sekali lari jauh daripada imej Lexus RX yang ada ketika ini — ia telah lama berubah menjadi dirinya yang tersendiri. Harrier generasi terbaru ini juga dirasakan datang dengan penampilan yang paling matang dan elegan.