Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo pertingkat prestasi model Recharge PHEV — bateri 18.8 kW, jarak EV hingga 90 km, T8 455 hp

    Volvo pertingkat prestasi model Recharge PHEV — bateri 18.8 kW, jarak EV hingga 90 km, T8 455 hp

    Volvo telah menaiktaraf aspek janaan kuasa bagi barisan model Recharge plug-in hybrid untuk membolehkannya menghasilkan lebih jarak perjalanan elektrik, pembebasan CO2 lebih rendah, peningkatan prestasi dan pemanduan lebih baik. Datang dalam dua spesifikasi — T6 dan T8 — sistem janaan yang diperkemask ini akan digunakan dalam barisan kenderaan siri 90 dan 60 Volvo.

    Satu perubahan besar yang dilakukan adalah pek bateri yang menampilkan lapisan ketiga sel untuk meningkatkan kuasanya daripada 11.6 kWh kepada 18.8 kWh. Volvo memaklumkan ini memberi jarak sehingga 90 km (bergantung model) bagi mod elektrik sepenuhnya, berbanding purata sebelum ini sekitar 50 km (bergantung model).

    Menurut Volvo, peningkatan jarak perjalanan itu lebih daripada mencukupi untuk meliputi perjalanan 50 km atau lebih jarak purata yang dilalui oleh pemilik setiap hari berkerja dalam seminggu. Jarak keseluruhan dengan enjin pembakaran dalam bila digunakan juga mempengaruhi peningkatan tersebut. Tidak pula dimaklumkan sekiranya masa mengecas turut berubah dengan bateri yang lebih besar ini, atau adakah peningkatan pengecasan turut dilakukan terhadap pengecas AC dalaman (kini 3.7 kW) yang ada pada model Recharge.

    Volvo pertingkat prestasi model Recharge PHEV — bateri 18.8 kW, jarak EV hingga 90 km, T8 455 hp

    “Kini sudah 2021, dan pengguna tidak lagi perlu bergantung kepada pengangkutan dengan enjin petrol atau diesel,” jelas Hendrik Green, ketua pegawai teknologi Volvo Cars. “Kenderaan plug-in hybrid terkini kami memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya yang diperlukan oleh kebanyakan orang untuk urusan setiap hari,” tambahnya.

    Selain mempertingkatkan bateri, Volvo turut memasang motor elektrik belakang yang lebih berkuasa yang memberikan 145 hp, 58 hp lebih tinggi. Dengan kuasa tambahan ini, Recharge T6 menyediakan kuasa keseluruhan 350 hp, sementara T8 pula memberikan 455 hp, menjadikan model T8 kenderaan paling berkuasa yang pernah dihasilkan Volvo.

    Pengeluar itu juga memaklumkan enjin petrol yang digunakan pada model T8 turut diberi kemaskini untuk mendapatkan kecekapan dan prestasi yang lebih tinggi, termasuk kuasa enjin yang lebih tinggi pada rpm rendah dan ketika mula bergerak untuk memastikan pemanduan elektrik yang lebih lancar dengan emisi CO2 dikurangkan.

    Volvo pertingkat prestasi model Recharge PHEV — bateri 18.8 kW, jarak EV hingga 90 km, T8 455 hp

    Barisan kenderaan Recharge (sebelum ini dirujuk sebagai Twin Engine) adalah pacuan semua roda, di mana roda depannya digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman dan transmisi bersama motor elektrik dipasangkan padanya. Sementara di belakang pula menerima motor elektrik berasingan sebagai pemacu, tetapi tidak ada sambungan fizikal sebenar antara gandar depan dan gandar belakang — ia merupakan tetapan AWD elektrik.

    Peningkatan lain yang diberikan ialah tambahan pemanduan pedal tunggal, yang beroperasi dengan cara yang sama seperti kereta elektrik lainnya ketika ini, memberikan pilihan kepada pemandu untuk mengawal input pecutan dan memperlahankan kenderaan dengan hanya satu pedal sahaja. Ini akan disertakan bagi model XC60, S90 dan V90.

    “Memandu kenderaan plug-in hybrid menjadi jambatan paling ideal sebelum beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya. Kami percaya semua peningkatan ini akan menunjukkan kepada ramai orang bahawa kenderaan elektrik adalah masa depan, dan membawa kami lebih dekat kepada wawasan 2030 untuk mengeluarkan kenderaan elektrik sepenuhnya,” ujar Green.

     
     
  • UMW Toyota catat jualan 6k lebih tinggi sehingga Ogos 2021 walau PKP, sasaran tahunan dikaji semula

    UMW Toyota catat jualan 6k lebih tinggi sehingga Ogos 2021 walau PKP, sasaran tahunan dikaji semula

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjual sebanyak 2,524 unit kenderaan Toyota dan Lexus pada Ogos 2021, dan angka itu dilihat lebih rendah sebanyak 56% berbanding bulan yang sama pada 2020. Namun demikian, jualan kumulatif bagi lapan bulan pertama untuk 2021 adalah lebih tinggi – 38,085 unit berbanding 31,734 unit dalam tempoh yang sama pada tahun lalu – walau pun industri ditutup selama beberapa bulan.

    UMWT mengaitkannya dengan momentum penjualan yang berterusan yang bermula tahun lalu, terutamanya dengan pengecualian cukai jualan (SST) untuk kenderaan penumpang yang berlangsung sehingga 31 Disember 2021. Dengan pengeluaran dan penjualan telah kembali beroperasi, dua kilang UMWT yang terletak di Shah Alam dan Bukit Raja kini berusaha untuk “memenuhi tempahan yang tertunda” yang akan dihantar “dalam tempoh waktu yang wajar”.

    Syarikat ini turut berkata, impak dari bulan Jun, Julai dan sebahagiannya dari Ogos juga akan memberikan kesan terhadap keseluruhan jualan tahunan bagi Toyota dan Lexus, dan oleh sebab itu, sasaran 2021 akan dikaju semula. Walau bagaimana pun, UMWT tidak memperjelaskan lebih lanjut mengenainya, tetapi kita tahu ia mensasarkan untuk memintas kedudukan Honda pada tahun ini dan mahukan kedudukan di tangga pertama bagi kenderaan bukan-nasional.

    UMW Toyota catat jualan 6k lebih tinggi sehingga Ogos 2021 walau PKP, sasaran tahunan dikaji semula

    “Ia tentunya memberikan cabaran buat kita, tetapi kami faham tindakan yang diambil oleh kerajaan itu adalah untuk melawan pandemik Covid-19. Bagi pihak kami, kami memastikan semua tenaga kerja kami telah lengkap divaksinasi jadi kami boleh kembali beroperasi dan meneruskan aktiviti di fasiliti kami di seluruh negara,” ujar presiden UMWT Ravindran.K.

    Tambahnya lagi, “Kami juga akan menganjurkan promosi jualan tidak lama lagi, jadi jika anda mahu membeli kenderaan baharu, inilah masanya untuk anda mendaparkan tawaran yang terbaik dan sudah pasti, ia lebih menjimatkan kerana pengecualian cukai jualan yang masih berlangsung hingga hujung tahun ini. Untuk pelanggan setia kami juga tidak akan dilupakan dan kami akan mengumumkan program baharu sebagai tanda penghargaan di atas kesetiaan mereka terhadap jenama ini lebih dari lima dekad.”

    Mengenai promosi yang sedang berlangsung, Toyota Yaris kini ditawarkan dengan bayaran bualan serendah RM493 menerusi skim EX Beli, sementara pembeli SUV RAV4 bakal menikmati rebat tunai sehingga RM10,000 menerusi kempen September. Bilik pameran juga kini telah dibuka, dan UMWT sentiasa memastikan semua cawangan jualannya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

     
     
  • Toyota Corolla Cross tampil wajah berbeza di Jepun

    Toyota Corolla Cross tampil wajah berbeza di Jepun

    Toyota Corolla Cross kini sudah pun dijual di beberapa pasaran ASEAN serta Amerika Syarikat, tetapi tidak di Jepun. Laporan terdahulu mencadangkan bahawa model crossover yang menggunakan platform TNGA-C itu akan dilancarkan di Jepun akhir bulan ini, dengan penampilan yang juga sedikit berbeza daripada versi yang kita ada di Malaysia.

    Gambar terbaru yang dinaikkan di Instagram nampaknya telah mengesahkan perkara itu, dengan model JDM berkenaan mendapat wajah depan dengan rekaan yang berbeza, menampilkan rekaan gril yang lebih kecil yang diapit oleh lampu utama LED rekaan baru.

    Apron bawah juga disertakan bahagian bukaan udara lebih besar sama seperi yang ada pada model di Malaysia, lengkap dengan kemasan mesh dan lampu kabus di sudutnya. Ini turut melibatkan bampar yang direka semula tanpa bucu tajam sebelum kawasan lengkung tayarnya.

    Bahagian sisi pula bagaimanapun tidak diberi sebarang kelainan. Rim yang dilihat ini pula mirip dengan corak sama dalam pakej Modellista yang ditawarkan di Thailand. Di belakang, terdapat sedikit kelainan diterapkan, seperti lampu belakang diberi sentuhan berbeza, dan tidak seperti versi di Malaysia, posisi lencana nama modelnya pada kedudukan sama dengan pasaran AS.

    Lencana dengan perincian biru yang dilihat ini mencadangkan bahawa ia akan ditawarkan sebagai model hibrid di Jepun, walaupun belum ada sebarang perincian diumumkan. Di Thailand, Corolla Cross hibrid terdiri daripada enjin 2ZR-FXE 1.8 liter petrol kitaran Atkinson dengan janaan 98 PS dan 142 Nm tork yang digandingkan bersama motor elektrik yang menghasilkan 72 PS dan 163 Nm untuk output keseluruhan sistem 122 PS. Kuasa dihantar ke roda depan melalui e-CVT. Lagi cantik versi Corolla Cross di Jepun ini?

    Toyota Corolla Cross 1.8V

     
     
  • Triumph siar lagi gambar teaser Speed Triple RR – lampu depan bulat, pengenalan rasmi 14 September

    Triumph siar lagi gambar teaser Speed Triple RR – lampu depan bulat, pengenalan rasmi 14 September

    Bulan lepas, Triumph telah mengeluarkan teaser untuk sebuah model baru yang dipanggil sebagai Speed Triple RR. Apa yang boleh dilihat pada waktu itu adalah gambar bahagian tepi, yang menunjukkan motosikal tersebut mempunyai fairing di hadapan.

    Disebabkan ia mempunyai fairing, ramai yang tertanya kenapa pengeluar dari United Kingdom ini tidak menggunakan nama Daytona yang dikenali untuk model sports mereka. Sekarang, muncul pula siri teaser kedua. Anda boleh lihat betul-betul dari hadapan, lampunya menggunakan bentuk bulat seperti motosikal klasik.

    Ia seakan mempunyai aura Thruxton, tetapi dengan nama Speed Triple itu, kita sudah mengetahui ia menggunakan asas daripada model naked moden Speed Triple 1200 yang baru sahaja dipertingkat secara menyeluruh Januari lalu.

    Triumph siar lagi gambar teaser Speed Triple RR – lampu depan bulat, pengenalan rasmi 14 September

    Dari pandangan kami, ini sudah seperti model kedua yang menggunakan bentuk ala klasik, tetapi dengan enjin lebih moden iaitu unit tiga silinder yang sudah cukup dikenali bagi Triumph. Model pertama yang dimaksudkan adalah Trident 660.

    Daripada gambar teaser terbaru ini juga kita boleh melihat Speed Triple RR menggunakan pemegang jenis clip-on, yang kedudukannya lebih rendah berbanding pemegang pada Speed Triple RS. Cermin sisi dipasang di fairing dan kita juga boleh menjangka peletak kaki diubah supaya bersesuaian dengan kedudukan menunggangnya yang lebih agresif.

    Bahagian mekanikal lain mungkin sama sahaja seperti Speed Triple RS, termasuk enjin tiga silinder 1,160 cc berkuasa 180 PS, kotak gear enam kelajuan, suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya, brek Brembo Stylema di hadapan, skrin TFT 5.0 inci serta pelbagai sistem elektronik. Majlis pengenalan global Speed Triple RR akan diadakan pada 14 September.

     
     
  • GALERI: Honda CBR150R 2021 di Malaysia – RM12.5k

    GALERI: Honda CBR150R 2021 di Malaysia – RM12.5k

    Beberapa hari lalu Boon Siew Honda telah melancarkan model baru CBR150R untuk pasaran Malaysia. Apa yang kita dapat, hanya beberapa gambar, dan disebabkan itu, kami telah pergi sendiri ke pusat pameran untuk mendapatkan gambar lengkap buat tatapan anda. Dalam kata pendek, motosikal ini kelihatan jauh lebih menarik di depan mata berbanding gambar studio.

    Model yang anda lihat ini menggunakan warna Candy Scintillate Red, iaitu salah satu warna yang ditawarkan selain Matte Charcoal Grey Metallic. Selain daripada itu, melalui galeri lengkap ini juga anda boleh membuat jangkaan saiz serta kedudukan tunggangan yang disediakan.

    CBR150R dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac assist and slipper, untuk menghasilkan kuasa 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan unit digital yang lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter sementara berat keseluruhan motosikal adalah 139 kg.

    Suspensi model ini dipadankan dengan ciri sporty, menggunakan unit fork Showa USD berwarna emas di hadapan (tanpa sebarang pelarasan) dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua bahagian depan dan belakang menggunakan brek cakera, siap dengan ABS two-channel dan rim pula bersaiz 17 inci dengan dibalut tayar IRC 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    CBR150R dijual pada harga RM12,499 tidak termasuk insurans, dan didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Pengeluar kereta China buktikan produk mereka lebih selamat dari kereta Eropah dalam ujian Euro NCAP

    Pengeluar kereta China buktikan produk mereka lebih selamat dari kereta Eropah dalam ujian Euro NCAP

    Walaupun banyak produk dari China masih kekal dengan identiti mereka – murah tapi berkualiti rendah – namun ada pengeluar kenderaan dari negara berkenaan sudah mula mensasarkan pasaran global serta menawarkan produk berkelas dunia. Dalam ujian pelanggaran keselamatan terkini Euro NCAP, dua SUV dari jenama China telah menerima penarafan lima-bintang, serta menampilkan markah lebih tinggi berbanding kereta jenama Eropah sendiri!

    Dua model berkenaan adalah Lynk & Co 01 dan SUV elektrik sepenuhnya Nio ES8. Bagi Lynk & Co 01, ia menerima markah 36.8 dari 38 markah penuh (atau 96%) dalam ujian pelindungan penumpang, serta menerima markah penuh dalam pelanggaran lateral serta ujian penyelamatan dan pengekstrakan. Markah yang diterima ini sebenarnya lebih tinggi berbanding Audi Q4 e-tron dan Volkswagen ID.4.

    Manakala dalam ujian pelanggaran membabitkan kanak-kanak di bawah 10 tahun, Lynk & Co 01 hanya kurang 0.1 markah untuk mendapatkan markah penuh. Hanya ketiadaan cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofx pada tempat duduk penumpang hadapan dan juga sistem tempat duduk keselamatan kanak-kanak bersepadu yang menyebabkan model tersebut hanya mencatatkan 87% dalam ujian keselamatan penumpang kanak-kanak.

    Pengeluar kereta China buktikan produk mereka lebih selamat dari kereta Eropah dalam ujian Euro NCAP

    Secara strukturnya, SUV ini adalah solid. Namun Euro NCAP menyatakan ia menampilkan prestasi yang sedikit kurang dalam ujian keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain. “Bonetnya memberikan perlindungan yang baik atau mencukupi kepada kepala pejalan kaki yang dilanggar, dengan berberapa keputusan yang tidak baik pada asas tiang cermin hadapan yang keras,” tulis laporan ujian yang dikeluarkan.

    Lynk & Co 01 juga menerima sistem brek kecemasan automatik yang turut melindungi pejalan kaki serta penunggang basikal. Dalam ujian Euro NCAP terhadap reaksi sistem tersebut kepada penunggang basikal, ia berfungsi dengan baik, dengan pelanggaran dapat dielakkan dalam hampir semua senario yang diuji. Model ini menerima markah 81% untuk tahap ciri keselamatan yang ditawarkan.

    Nio ES8 juga menerima penarafan lima bintang, walaupun SUV elektrik mewah bersaiz besar berkenaan menampilkan berat 2,435 kg, atau hampir 700 kg lebih berat berbanding Lynk & Co 01. Ia berjaya mengutip markah 82% untuk ujian pelindungan dewasa dan 85% untuk perlindungan kanak-kanak. Dengan dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemanduan, Nio ES8 ini juga diberikan markah 92% dalam penilaian sistem bantuan keselamatan.

    Pengeluar kereta China buktikan produk mereka lebih selamat dari kereta Eropah dalam ujian Euro NCAP

    “Gelombang kenderaan tenaga baharu buatan China di Eropah kini dalam perjalanan, dengan model-model baharu dilancarkan oleh BYD, Xpeng, DFSK, Seres dan lain-lain. Malangnya, kebanyankkan daripadanya masih tidak berapa telus kepada pengguna di Eropah dari segi keselamatan,” kata setiausaha agung Euro NCAP, Michiel van Ratingen.

    “Walau bagaimanapun, Lynk & Co dan Nio menunjukkan bahawa ‘Buatan China’ bukan lagi istilah pejoratif apabila tiba kepada keselamatan kereta. Di sini, kita ada dua kereta baharu, kedua-duanya dibangunkan oleh China, menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam ujian kami.

    “Ini jelas bahawa semua pengeluar tahu bahawa Euro NCAP akan membawa mereka ke standard yang tinggi sekiranya mereka mahu menjual kereta di Eropah dan menghargai apa yang telah mereka sediakan bagi membuat pelaburan untuk mendapatkan penarafan keselamatan terbaik,” tambahnya lagi.


    GALERI: Ujian pelanggaran Euro NCAP untuk Lynk & Co 01

    GALERI: Ujian pelanggaran Euro NCAP untuk Nio ES8

     
     
  • PPN Fasa 2 Lembah Klang – hanya 2 sekatan jalan raya daerah Petaling ditutup, yang lain masih kekal

    PPN Fasa 2 Lembah Klang – hanya 2 sekatan jalan raya daerah Petaling ditutup, yang lain masih kekal

    Hari ini secara rasminya kawasan Lembah Klang termasuk Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan juga Putrajaya telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Dan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tempoh hari, peralihan fasa ini sekali gus membolehkan pergerakan rentas negeri dibenarkan antara tiga negeri itu serta tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan yang akan dibuat.

    Walau bagaimanapun, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa hanya dua SJR dalam daerah Petaling yang ditutup, manakala selebihnya masih dikekalkan beroperasi. Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam laporan Harian Metro, dua SJR yang ditutup itu adalah Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram yang terletak di bawah laluan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).

    Manakala lokasi SJR lain sedia ada iaitu Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang akan terus dikekalkan, jelas Fakhrudin.

    “Polis Daerah Petaling Jaya ingin menasihatkan orang ramai supaya terus sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PPN Fasa 2.

    “Orang ramai juga diingatkan tidak terlalu leka dengan beberapa pengumuman kelonggaran yang diberi sehingga mengabaikan SOP dalam mengawal dan mencegah pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan dan meminta kerjasama erat daripada semua lapisan masyarakat bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

     
     
  • Lebuhraya CSR Pakej 5D dari Tol Bentong ke susur keluar Lebu bakal dibuka dalam tempoh 2 minggu lagi

    Lebuhraya CSR Pakej 5D dari Tol Bentong ke susur keluar Lebu bakal dibuka dalam tempoh 2 minggu lagi

    Young Syefura Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Pahang, telah memaklumkan menerusi entrinya di laman Facebook, Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) Pakej 5D bakal dibuka dalam tempoh dua minggu lagi. Laluan berkenaan bermula dari Lebuhraya Pantai Timur (LPY) selepas Tol Bentong ke susur keluar Lebu. Perkara ini dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong. Walau bagaimana pun, tarikh sebenar pembukaan laluan berkenaan belum dimaklumkan.

    Projek pembinaan Lebuhraya CSR ini melibatkan laluan sepanjang 295.7 km dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan. Ia mempunyai dua laluan iaitu antara Kota Bharu dan Kuala Krai, Kelantan, serta Kuala Krai ke Simpang Pelangai, Bentong. Ia mula dibina sejak tahun 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

    Pada tahun 2017, Timbalan Menteri Kerja Raya (ketika itu) Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, lebuhraya terbabit tidak akan dikenakan kadar tol. Apa pun kita nantikan perkembangan selanjutnya mengenai lebuhraya ini.

     
     
  • Rim 17-inci pada Toyota Vios GR Sport yang lebih besar dari biasa tak jejaskan pecutan – Tg. Djan Ley

    Biasanya untuk mereka yang mementingkan prestasi berbanding rupa, saiz roda yang digunakan turut diambil kira. Untuk kereta dengan kuasa yang ‘biasa-biasa’, rim yang terlalu besar sudah tentu membuatkan kereta tersebut kurang daya pecutan kerana diberikan ‘kaki’ yang lebih berat.

    Toyota Vios GR Sport dijana oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm, sama seperti seperti Vios biasa. Namun ia menerima rim aloi 17-inci bersama tayar Toyo Proxes TR1 bersaiz 205/45R17 yang lebih besar, berbanding Vios 1.5G yang diberikan rim aloi 16-inci dengan tayar 195/50R16.

    Jadi dengan saiz roda yang lebih besar, adakah ia akan menjejaskan pecutan Vios GR Sport berkenaan? Menurut pelumba profesional negara yang juga duta Toyota Gazoo Racing Malaysia, Tengku Djan Ley dalam hantaran video terbaharu di akaun Facebook rasminya, walaupun angka yang dihasilkan adalah sama, sistem rangkaian kuasa untuk Vios GR Sport ini sebenarnya telah di tala semula bagi mengoptimumkan penghasilan kuasanya.

    Rim 17-inci pada Toyota Vios GR Sport yang lebih besar dari biasa tak jejaskan pecutan – Tg. Djan Ley

    Menurut Tengku Djan, talaan pada pedal pendikit Vios GR Sport ini telah diusik semula bagi memberikan respon yang lebih baik dan lebih tajam, manakala putaran maksima enjin pula telah dinaikkan 250 rpm lebih tinggi dari biasa.

    Kotak gear CVT pada Vios GR Sport ini juga menerima sentuhan semula dengan diberikan 10-kelajuan maya yang bukan sahaja memberikan rasa tukaran gear seperti kotak gear AT biasa tanpa ia mengaum seperti pembersih vakum, malah turut memastikan putaran enjin berada dalam rpm yang optimum pada setiap masa.

    Jadi dengan unit rangkaian kuasa yang telah diperhalusi semula ini, Vios GR Sport mendapat manfaat pengendalian yang lebih baik menerusi pemadanan tayar berprestasi yang lebih lebar tanpa mengorbankan daya pecutannya, dakwa Tengku Djan yang juga dikenali dengan gelaran “Prince of Drift”.

    “Dengan talaan baharu mod Sport, secara asasnya membolehkan saya memandu Vios GR Sport ini sama seperti memandu kereta lumba Vios saya.

    Rim 17-inci pada Toyota Vios GR Sport yang lebih besar dari biasa tak jejaskan pecutan – Tg. Djan Ley

    “Macam mana ia bekerja? Apabila anda membrek ketika tiba di selekoh contohnya, ia akan secara automatik menurunkan gear untuk anda dan mencari kelajuan putaran enjin yang ideal berdasarkan kelajuan anda ketika tiba di selekoh, dan dalam masa yang sama anda bertahan dalam satu gear ketika anda meredah selekoh, membolehkan anda mengawal pedal pendikit dipertengahan selekoh sebelum memecut semula keluar dari selekoh.

    “Ia sebenarnya adalah cara yang sama jika anda memandu kereta dengan transmisi manual,” jelas Tengku Djan.

    Bagi yang belum mengetahui, Tengku Djan juga merupakan juara keseluruhan bagi siri perlumbaan Vios Challenge TGR Racing Festival dalam kategori tertinggi Super Sporting musim pertama. Beliau kemudiannya hanya bertindak sebagai pengurus pasukan bagi musim kedua perlumbaan tersebut, kemudian kembali berlumba pada musim ketiga dan sekali lagi bergelar juara.

    GALERI: Toyota Vios GR Sport 2021

     
     
  • ERL kembali beroperasi mulai 13 September 2021

    ERL kembali beroperasi mulai 13 September 2021

    Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah memaklumkan perkhidmatan tren kendaliannya iaitu KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan kembali beroperasi mulai 13 September ini. Menurut syarikat berkenaan, kedua-dua perkhidmatan tersebut akan beroperasi secara bergabung setiap hari dari jam 6 pagi hingga 10.10 malam. Di mana tren berkenaan akan bergerak setiap satu jam sepanjang tempoh operasi dan jadual tren akan disesuaikan kemudian mengikut pertambahan jumlah penumpang.

    Ia adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok, 10 September 2021.

    Syarikat ini turut memaklumkan, 99% kakitangannya termasuk 100% petugas barisan hadapan dan operasi syarikat itu telah menerima vaksinasi lengkap dengan hanya segelitir belum berbuat demikian berikutan masalah kesihatan dan perubatan, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    ERL kembali beroperasi mulai 13 September 2021

    “Melalui vaksinasi penuh dan pembersihan harian yang teliti pada tren dan stesen, orang awam tidak perlu risau akan keselamatan mereka dan dapat menikmati pengalaman yang selesa ketika menaiki tren,” menurut ERL.

    Dalam hal lain, ERL turut memaklumkan sempena pengoperasian semula perkhidmatan ini, Kad Perjalanan Mingguan Percuma juga ditawarkan dengan setiap pembelian Kad Perjalanan Bulanan Transit KLIA menggunakan MyKad yang berdaftar. Promosi tersebut bermula serta-merta sehingga 30 November ini, bagi menggalakkan lebih ramai penumpang kembali ke pejabat dengan menaiki perkhidmatan awam setiap hari. Di mana kad berkenaan menawarkan penjimatan besar kepada pengguna dengan diskaun sehingga 83%.

    Sebelum ini, perkhidmatan tren ERL dihentikan sementara waktu bermula 4 Jun lalu apabila penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan sekatan penuh, selepas mendapat persetujuan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

     
     
  • Ford Ranger 2022 didedah dalam teaser – pengenalan rasmi hujung tahun ini, jualan bermula tahun hadapan

    Ford Ranger 2022 didedah dalam teaser – pengenalan rasmi hujung tahun ini, jualan bermula tahun hadapan

    Ford Ranger T6 sudah berada dalam pasaran sejak 10 tahun lepas lagi, dan sekarang nampaknya Ford sudah menunjukkan bakal penggantinya. Inilah dia, Ranger 2022 serba baru, yang ditunjukkan terlebih dahulu melalui gambar teaser, sebelum pengenalan rasmi hujung tahun ini dan jualan sebenar tahun hadapan.

    Model prototaip ujian yang didedahkan dalam gambar ini nampak sama seperti yang pernah dilihat dalam spyshot, dengan menggunakan bahagian hadapan lebih agresif berbanding Ranger sekarang. Lampu hadapan dengan pencahayaan berbentuk C mengingatkan kepada model Maverick manakala gril tegak yang besar itu pula sudah seperti F-150. Di belakang terdapat lampu jenis menegak yang kelihatan seperti unit LED.

    Selain daripada rupa yang diubah, Ranger baru ini juga dijangka menerapkan sumber kuasa elektrik, dengan model plug-in hybrid dijangka ditawarkan bersama model petrol dan diesel yang lain. Varian ini dilapor akan menggunakan padanan enjin petrol empat silinder 2.3 liter turbo bersama motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa sehingga 367 PS dan 680 Nm tork, serta penggunaan bahan api 3.0 l/100 km.

    Ford Ranger 2022 didedah dalam teaser – pengenalan rasmi hujung tahun ini, jualan bermula tahun hadapan

    Enjin diesel empat silinder 2.0 liter turbo seperti sekarang masih akan digunakan, bersama enjin V6 turbo 3.0 liter baru. Bagi versi petrol pula, Ranger baru ini dijangka mendapat unit V6 2.7 iter turbo 314 PS/542 Nm yang diambil daripada Bronco.

    Penawaran jenis enjin ini kemungkinan besar bergantung kepada pasaran, dengan Asia Tenggara dan Australasia menerima enjin diesel. Model plug-in hybrid pula mungkin hanya ditawarkan di Eropah manakala versi V6 petrol khas untuk Amerika Utara.

    Selain daripada itu, kita juga boleh menjangkakan pelbagai teknologi baru lain, termasuk pada bahagian infotainmen serta bantuan pemandu, seperti sistem SYNC 4, panel instrumen digital, Autonomous Emergency Braking, Adaptive Control, dan pelbagai lagi.

    GALERI: Spyshot Ford Ranger 2022

     
     
  • Lotus Emira GT4 diperkenal – ganti Evora GT4 di litar

    Lotus Emira GT4 diperkenal – ganti Evora GT4 di litar

    Lotus telah memperkenalkan sebuah model GT4 spesifikasi lumba yang menggunakan asas daripada Emira. Sekarang ini hampir semua kereta Lotus yang dijual untuk kegunaan jalan biasa mempunyai versi lumba, tetapi kemunculan Emira GT4 ini boleh dianggap agak pantas kerana model asasnya baru sahaja didedahkan Julai lalu.

    Ia dibangunkan bersama RML Group, dan dinyatakan sebagai satu lagi pencapaian baru dalam transformasi menyeluruh Lotus serta era perlumbaan GT berprestasi baru bagi syarikat milik Geely ini.

    Sama seperti model jualan awam, Emira akan menggantikan Evora di dalam litar. Sebelum ini, Evora GT4 telah memenangi pelbagai perlumbaan dan kejuaraan termasuklah British GT, Dubai 24hrs, European GT, Sepang 12hrs dan Pirelli World Challenge.

    Lotus Emira GT4 diperkenal – ganti Evora GT4 di litar

    Menurut Lotus, setiap kereta yang dijual kepada pelanggan akan terus mendapat kelulusan untuk kegunaan dalam litar, dipasang dengan komponen lumba serba ringan serta menepati peraturan keselamatan terkini yang telah ditetapkan.

    Pada kereta ini, Lotus telah memberikan fokus kepada “dinamik serta stabiliti kelajuan tinggi yang cemerlang.” Panel komposit yang digunakan pada badan kenderaan menjadikan ia sangat ringan (1,260 kg, bersamaan 145 kg lebih ringan berbanding model jalanan), dan dipadankan bersama enjin V6 3.5 liter Toyota yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 400 hp.

    Enjin 2GR-FE ini dipasang dengan supercharger Harrop TVS 1900, boleh mencecah 7,200 rpm dan dipadankan bersama transmisi xTrac enam kelajuan dengan pedal penukar gear di stereng serta limited slip differential. Sistem pendawaian khas untuk kereta lumba digunakan bersama panel paparan Motec untuk menyampaikan informasi kepada pemandu.


    Lotus Emira versi jalanan biasa

    Suspensi double wishbone di depan dan belakang kereta ini digabungkan bersama penyerap Ohlins dan anti-roll bar, sementara sistem brek daripada Alcon dan Bosch Motorsport ABS menjalankan tugas penghentian. Tayar adalah unit Pirelli GT4 bersaiz 265/645×18 di hadapan dan 305/680×18. Sebagai sebuah kereta lumba, sudah tentu, kereta ini dipasang dengan roll cage mengikut spesifikasi FIA, tali pinggang six-point serta pemadam api.

    “Emira GT4 serba baru ini adalah satu langkah mengujakan yang menuruti kejayaan pelancaran Emira jalanan. Kami telah bekerja keras dengan RML Group untuk memastikan kereta GT Lotus generasi baru ini akan dapat memberikan prestasi yang boleh membawa kepada kemenangan,” kata pengurus program lumba Lotus, Richard Selwin.

    Emira GT akan dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini di litar ujian Lotus di Hethel. Syarikat itu meletakkan sasaran untuk mengeluarkan hanya satu jumlah yang terhad untuk GT4 musim 2022 ini, dan pengeluaran akan ditingkatkan pada tahun 2023 mengikut permintaan global.

     
     
  • Tol tanpa palang akan mula diuji di M’sia tahun depan

    Tol tanpa palang akan mula diuji di M’sia tahun depan

    Setelah lama menyepi, akhirnya sistem tol tanpa palang yang disebut-sebut sebelum ini bakal membuat ujian awalannya di Malaysia tidak lama lagi. Menurut laporan Bernama, penyedia penyelesaian teknologi Green Packet Bhd (Green Packet) dan FETC International Co (FETCi) dari Taiwan akan menjalankan ujian pembuktian konsep (POC) bagi sistem tol tanpa palang yang digelar Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) buat pertama kalinya di lebuh raya Malaysia.

    Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Green Packet dan FETCi, POC untuk sistem MLFF yang menampilkan pembayaran tol tanpa palang tersebut akan dipasang di Lebuhraya Besraya KM5.5 (Arah Utara) dan dijadualkan untuk membuat pengumpulan data selama tiga bulan bermula awal 2022.

    Menerusi kerjasama tersebut, Green Packet akan menyediakan pembiayaan, maklumat tempatan dan kepakaran mereka dalam sistem pembayaran teknologi kewangan. Manakala FETCi pula sebagai pakar sistem identifikasi frekuensi radio (RFID) dan juga sistem tol aliran bebas (yang sudah menyediakan perkhidmatan sama di negara Asia lain) akan membekalkan peralatan dan kepakaran mereka bagi mengimplementasikan sistem MLFF berkenaan.

    “POC untuk MLFF ini merupakan proses yang kritikal untuk mengurangkan kesesakan di lebuhraya menerusi infrastrutur trafik yang lebih baik, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (ITS) kementerian kerja raya,” tulis Green Packet dalam kenyataan berkenaan.

    Menurut kenyataan tersebut lagi, data yang dikumpul ketika POC yang berlangsung selama tiga bulan berkenaan turut akan dikongsi bersama pihak berkuasa dan pemegang taruh yang relevan, dengan sasaran utama untuk membuktikan serta mengesahkan daya maju penggunaan MLFF tersebut.

     
     
  • Honda Integra 2022 muncul di China – tapi sekadar Civic sedan dengan muka lain, 1.5L VTEC Turbo

    Honda Integra 2022 muncul di China – tapi sekadar Civic sedan dengan muka lain, 1.5L VTEC Turbo

    Sebelum ini Acura ada mengumumkan bahawa mereka akan menghidupkan semula nama ‘Integra’ yang bakal muncul di pasaran Amerika Syarikat pada tahun hadapan. Divisi mewah Honda berkenaan menyatakan bahawa Integra akan menjadi model paling mampu milik dari Acura, diasaskan dari Civic generasi ke-11 dan akan dibangunkan di Jepun.

    Tapi, tiba-tiba Integra muncul pula di China. Imej yang disiarkan oleh portal automotif China, Autohome ini diambil dari laman sesawang kementerian industri dan teknologi informasi negara berkenaan, memaparkan Integra tersebut yang sebenarnya adalah sedan Honda Civic generasi ke-11, yang menampilkan muka dan bahagian belakang yang lebih unik.

    Amalan untuk menghasilkan model kembar khas bagi pasaran China ini bukan perkara baharu kerana Honda diwakili oleh dua syarikat kerjasama tempatan di republik berkenaan iaitu Dongfeng Honda dan juga Guangqi Honda yang dimiliki oleh GAC. Kedua-dua entiti berkenaan bukan sahaja mempunyai dua jaringan jualan yang berbeza, malah masing-masing turut mempunyai fasiliti produksi yang tersendiri.

    Honda Integra 2022 muncul di China – tapi sekadar Civic sedan dengan muka lain, 1.5L VTEC Turbo

    Antara contoh model kembar lain Honda di pasaran China ini termasuk SUV segmen-B Honda Vezel (atau HR-V di Malaysia) yang dijual oleh GAC, dan juga Honda XR-V yang dihasilkan oleh Dongfeng Honda. Manakala untuk Civic generasi ke-11 ini, ia dikilangkan oleh Dongfeng Honda di Wuhan, manakala kembarnya, Integra diproduksi oleh Guangqi Honda di Guangzhou.

    Honda Integra khas untuk pasaran China ini masih menampilkan profil sisi badan yang sama dengan Civic sedan. Namun mukanya telah diberikan lampu hadapan lebih nipis (dengan sistem LED matrix seperti Civic Hatchback JDM), gril dengan elemen sarang lebah seperti Civic Hatchback tetapi dengan bentuk yang berbeza, serta rekaan sudut pada liang udara yang lebih tajam.

    Manakala di belakang, Integra diberikan lampu dengan grafik LED berbentuk-L, manakala sambungannya pada penutup but direka lebih nipis dan tajam berbanding lampu belakang Civic. Ia juga diberikan bampar dengan kemasan hitam di bawah yang lebih besar yang turut menempatkan lampu kabus merah ala-kereta lumba di tengah, bersama reflektor sisi yang diletakkan dalam posisi menegak.

    Honda Integra 2022 muncul di China – tapi sekadar Civic sedan dengan muka lain, 1.5L VTEC Turbo

    Integra pasaran China ini juga dilihat ditawarkan dengan pelbagai opsyen antaranya pilihan rim bersaiz dari 16- hingga 18-inci, spoiler ekor itik berwarna hitam dibelakang, diffuser bampar belakang dengan tip ekzos berkembar yang diserlahkan dan pelbagai lagi.

    Model khas untuk pasaran China ini masih menerima sistem mekanikal yang sama seperti Civic sedan, menampilkan rangkaian kuasa gandingan enjin 1.5 liter empat silinder VTEC turbo berkuasa 182 PS (sama seperti model pasaran AS dan Jepun) dan kotak gear CVT automatik. Sistem keselamatan juga sama dengan diberikan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing.

     
     
  • PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

    PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

    BMW iX yang baru sahaja dilancarkan minggu lepas telah menerima banyak perhatian dan ramai yang memanggilnya sebagai satu penawaran yang menarik. Walaubagaimanapun, dengan harga RM420k, ia bukanlah sebuah model mampu milik. Sekarang ini nampaknya kita sudah mempunyai pelbagai pilihan untuk EV premium/mewah di Malaysia. Sebagai contoh, BMW bukan sahaja menawarkan satu, tapi empat lagi EV tidak lama lagi tetapi, yang paling murah pun, iaitu MINI Cooper SE harganya RM213k. Bagi sebuah EV kecil dengan jarak gerak 230 km, itu adalah harga yang premium.

    Kemudian, ada pula Porsche Taycan. Dengan harga RM585k, ia nampak masuk akal, apatah lagi jika mengambil kira penampilan, prestasi serta jenamanya. Tapi dengan semua ini, kita tidak boleh menafikan ia hanyalah satu mainan bagi orang kaya.

    Satu-satunya EV mampu milik yang ada di Malaysia sekarang adalah Nissan Leaf, tapi itupun harganya RM181k, dan bukanlah mampu milik bagi kebanyakan orang. Bercerita tentang kereta ini, bila kali terakhir anda melihatnya atas jalan? Ataupun tak pernah langsung?

    Sebelum itu, pada tahun 2016, Renault pernah cuba menjual Zoe pada harga RM146k, tetapi hanya beberapa buah sahaja. Kemudiannya, ada juga Twizy pada harga RM70k, tetapi itu tidak boleh dianggap sebagai sebuah kereta sebenar kerana cermin pun tak ada. Pada tahun 2013, kita ada Mitsubishi i-Miev yang dijual pada harga RM136k. Tetapi, kerana jarak gerak yang disediakan hanya 150 km (sebenarnya sekitar 100 km sahaja apabila berhadapan keadaan sebenar), jualannya tidak begitu memberangsangkan.

    Jadi persoalannya sekarang, di manakah kereta elektrik mampu milik yang boleh kita beli dan kenapa anda masih belum dapat memiliknya? Jawapannya ada banyak, dan kebanyakannya tidak berapa sedap untuk didengar.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025