Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pendaftaran pemandu Grab di Malaysia menurun selepas pengumuman peraturan baru oleh menteri

    Pendaftaran pemandu Grab di Malaysia menurun selepas pengumuman peraturan baru oleh menteri

    Berikutan langkah kerajaan untuk memperkenalkan beberapa peraturan baru untuk memberikan kesamarataan di antara pemandu e-hailing dan teksi biasa, Grab Malaysia telah menyaksikan pengurangan dalam jumlah pendaftaran pemandu baru bagi syarikat itu.

    Dalam satu laporan oleh Bernama, ketua cawangan Grab Malaysia, Sean Goh mendedahkan penurunan ini adalah normal semasa tempoh penukaran. “Kami sedang mencari penyelesaian yang terbaik untuk semua orang memandangkan kami faham kebanyakan pemandu ini adalah pemandu separuh masa, dan pendapatan mereka daripada Grab menyumbang 30% kepada pendapatan isi rumah,” tambah beliau.

    Goh turut memberitahu bahawa Grab telah mendekati Kementerian Pengangkutan dan perbincangan akan diteruskan untuk memastikan saingan yang sama untuk semua pihak. Beliau juga menyatakan bahawa syarikat sedang berbincang dengan beberapa syarikat insurans berkenaan keperluan insurans, yang mana juga adalah salah satu perubahan yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan.

    Pendaftaran pemandu Grab di Malaysia menurun selepas pengumuman peraturan baru oleh menteri

    Perubahan peraturan lain adalah termasuk pemandu kenderaan e-hailing perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dengan kos RM115 setahun, pemeriksaan kenderaan tahunan oleh PUSPAKOM dan kenderaan yang digunakan sekurang-kurangnya perlu menepati tahap keselamatan ASEAN NCAP tiga bintang.

    Selain daripada itu, syarikat e-hailing juga perlu menyediakan garis panduan pemandu dan mendaftarkannya kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Dalam aplikasi juga perlu ada fungsi panggilan kecemasan.

    Peraturan baru ini telah diumumkan Julai lalu, tapi syarikat yang terlibat masih mempunyai masa selama satu tahun untuk melakukan pelarasan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya tahun hadapan.

     
     
  • Nissan Navara VL Plus kini diperkenalkan – tujuh beg udara, speedometer digital dengan harga dari RM120k

    Nissan Navara VL Plus kini diperkenalkan – tujuh beg udara, speedometer digital dengan harga dari RM120k

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan tambahan terbaru bagi trak pikap, Nissan Navara VL Plus yang kini menjadi varian palin tinggi model itu untuk pasaran Malaysia.

    Versi VL Plus ini datang dengan ciri tambahan seperti Intelligent Around View Monitor (I-AVM), yang turut ditawarkan pada X-Trail dan Serena S-Hybrid. Sistem Nissan Intelligent Mobility (NIM) pula menggunakan empat kamera untuk memberikan pandangan 360-darjah bagi memudahkan pemandu meletak kenderaan.

    Paparan speedometer digital juga diperkenalkan, sebagai sebahagian daripada ciri Advanced Driver-Assist Display yang melengkapi model ini. Lain-lain, ciri keselamatan juga menerima peningkatan dengan tambahan beg udara – ini Navara ada tujuh beg udara semuanya, kepada yang inginkan lebih perlindungan.

    Selebihnya, tiada perubahan mekanikal lain yang diberikan. Navara masih menggunakan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan kuasa sebanyak 190 PS dan 450 Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda.

    Nissan Navara 2.5L VL Plus dijual pada harga RM119,869 atas jalan ketika ini, tidak termasuk insurans dan tanpa GST. Jika inginkan versi Black Series, ia dijual pada harga RM123,643. Pakej berkenaan menampilkan kemasan hitam pada beberapa bahagian seperti gril depan, pelindung cermin sisi, keliling lampu kabus dan lengkung fender. Model ini turut hadir dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu).

     
     
  • Pusat 3S Honda dibuka di Cheras, oleh MJN Motors

    Pusat 3S Honda dibuka di Cheras, oleh MJN Motors

    Sebuah pusat pameran 3S Honda baru telah dibuka di Taman Rasa Sayang, Cheras, dan ia diuruskan oleh MJN Motors. Pembukannya diharap dapat memberikan khidmat lebih baik bagi orang ramai yang berada di sekitar Cheras, Kajang dan Seri Kembangan.

    Ia terletak di atas tanah berkeluasan 11,000 kaki persegi dan melibatkan kos RM6 juta, dengan menempatkan 12 ruang servis, iaitu tujuh untuk servis, tiga untuk baik pulih biasa dan dua lagi untuk servis tayar. Secara keseluruhannya pusat ini dapat menampung 30 kenderaan setiap hari.

    Selain daripada ruang servis ini, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai khidmat lain seperti ruang rehat, bahagian kanak-kanak, kafe dan surau. Turut disediakan adalah khidmat pembaharuan cukai jalan, insurans dan kereta ganti.

    Pusat 3S Honda dibuka di Cheras, oleh MJN Motors

    Pembukaan pusat 3S di Cheras oleh MJN Motors ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pengedar Honda yang ada di Malaysia sekarang kepada 96, dan pusat baik pulih badan 20. Daripada jumlah ini, 37 pengedar adalah terletak di kawasan tengah Semenanjung.

    Dalam perkembangan lain, Honda Malaysia setakat enam bulan pertama 2018 telah berjaya menjual 51,354 buah kenderaan, sekaligus meletakkan syarikat dalam laluan yang betul untuk mencapai sasaran tahunan 109,000 unit. Hasil daripada ‘cuti cukai’ juga, Honda Malaysia telah berjaya mencatat tempahan paling banyak dalam tempoh sebulan, iaitu 20,000 nama pada bulan Jun.

    Untuk jualan pula, Honda masih mengekalkan kedudukan sebagai jenama kenderaan bukan nasional yang berada di tempat paling tinggi dan terletak di tempat kedua secara keseluruhan di bawah Perodua. Menurut Honda Malaysia, model pemasangan tempatan mereka seperti City, Jazz, HR-V, BR-V, CR-V, Accord dan Civic semuanya berada di tempat teratas dalam segmen mereka.

     
     
  • Lynk & Co 03 – gambar awal sedan baharu disiarkan

    Lynk & Co 03 – gambar awal sedan baharu disiarkan

    Sedan Lynk & Co 03 sebelum ini pernah ditunjukkan sebagai sebuah kenderaan konsep tahun lepas, semasa Shanghai Motor Show, dan beberapa minggu lalu “spyshot” rasminya dikeluarkan. Kini akhirnya kereta tersebut ditunjukkan sepenuhnya, melalui beberapa siri gambar.

    Lynk & Co 03 tidak mengikut kebiasaan sekarang dengan bentuk badan “coupe” empat pintu, tetapi ia menggunakan bentuk berpetak yang lebih tradisional. Pada bahagian depan anda akan dapat melihat rekaan unik lampu bertingkat bersama lampu siang LED berbentuk cakar.

    Pergi ke bahagian tepi pula, jalur krom yang berada atas tingkap tidak terhenti sekadar di pintu belakang, tapi berterusan sehingga cermin belakang. Lampu belakang sports berbentuk L juga hampir sama seperti model 01 dan 02. Turut boleh dilihat jelas adalah bampar yang lebih sporty, dengan bukaan udara hadapan serta diffuser belakang yang lebih berpetak.

    Lynk & Co 03 – gambar awal sedan baharu disiarkan

    Seperti juga 01 dan 02, model 03 ini akan dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo 9 turut digunakan oleh Volvo XC40. Menurut Autocar, ia akan ditawarkan dengan pilihan enjin sama seperti model Sweden tersebut, termasuk unit tiga silinder 1.5 liter dan empat silinder turbo 2.0 liter petrol, serta plug-in hybrid 1.5 liter yang boleh bergerak menggunakan elektrik sahaja sejauh 60 km.

    Lynk & Co mahu menjadi satu jenama untuk generasi digital, dan disebabkan itu, mereka mensasarkan untuk memberi pilihan cara pemilikan kenderaan selain pembelian, sewa beli serta pajakan yang sudah menjadi kebiasaan. Mereka sedang mengusahakan servis langganan seperti Volvo’s Care oleh Volvo, serta kemampuan berkongsi kenderaan dengan orang lain melalui kunci digital.

    Pengeluaran model Lynk & Co telah bermula di Zhangjiakou, China, dengan kilang Volvo di Ghent, Belgium juga akan memulakan pengeluaran pada tahun 2019. Sementara itu bagi versi pemanduan sebelah kanan, ia berkemungkinan dibina di kilang Proton di Tanjung Malim.

     
     
  • Projek MRT3 ditangguh, bukan batal – Anthony Loke

    Projek MRT3 ditangguh, bukan batal – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika menjawab soalan di Parlimen semalam menyatakan bahawa projek MRT 3 di Lembah Klang hanya ditunda buat sementara waktu, lapor Bernama. Sebelum ini, projek berkenaan dinyatakan akan dibatalkan atas faktor keadaan hutang negara ketika ini.

    Beliau menambah, projek besar seperti itu akan diberi keutamaan semula sekiranya kedudukan kewangan negara semakin baik kelak, dan berkata kabinet akan menentukan sambungan kerja-kerja pembinaan itu bila tiba masa yang dirasakan sesuai.

    “Semua keputusan besar seperti ini perlu mendapat kelulusan kabinet. Ketika ini, yang menjadi keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan hutang. Namun, bagi projek penting seperti MRT3, ia akan diberi keutamaan untuk dinilai semula selepas keadaan kewangan negara semakin kukuh,” jelas Anthony.

    “Memandangkan jajaran MRT3 adalah melalui kawasan tengah bandar yang padat penduduk, dan hampir 80% daripadanya merupakan laluan bawah tanah, ia menyumbang kepada kos pembinaan yang tinggi dijangka mencecah RM50 bilion,” kata beliau.

    Juga dikenali sebagai MRT Circle Line, sistem keretapi berkenaan beroperasi secara automatik tanpa pengendali berperanan sebagai laluan penghubung kepada laluan MRT lain yang ada di Lembah Klang. Awalnya dijangka siap pada tahun 2025, laluan sepanjang 40 km itu akan meliputi kawasan Bandar Malaysia, Ampang, KL Eco City, Bukit Kiara dan Sentul.

    Anthony berkata, ketika ini kerajaan sedang giat memberi keutamaan untuk mempertingkat rangkaian perkhidmatan bas serta sistem komuter KTM di Lembang Klang.

     
     
  • TuneD Proton Saga FLX – harga kit bermula RM1,980

    TuneD Proton Saga FLX – harga kit bermula RM1,980

    Selepas Persona generasi pertama, jenama peralatan aftermarket tempatan – TuneD – kini tampil dengan satu lagi kit baharu untuk model Proton yang tidak lagi berada di bilik pameran iaitu Saga FLX.

    Kit badan untuk Saga FLX ini masih lagi tidak lari dari rekaan-rekaan terkini TuneD. Ia menampilkan bahagian apron hadapan lebih agresif dengan rekaan dua liang udara sisi, lengkap dengan lampu nyalaan siang jalur LED, gril utama berwarna hitam bersama jalur serlahan berwarna merah.

    Selain itu, Saga FLX TuneD ini turut menerima skirt sisi lebih labuh manakala pada bahagian belakang, ia dilengkapkan dengan bampar belakang yang turut direka lebih garang dengan kemasan yang menyerupai diffuser berwarna hitam. Serlahan jalur merah juga diberikan mengelilingi keseluruhan kit berkenaan pada bahagian bawah.

    TuneD turut menawarkan pakej untuk menyegarkan semula kabin Saga FLX anda. Untuk bahagian dalaman ini, jenama berkenaan akan membalut semula kesemua tempat duduk dengan kulit bersama rekaan lebih sporty, termasuk kemasan pada panel dalaman setiap pintu – kesemuanya dengan elemen warna hitam-merah dan serlahan jahitan berwarna merah.

    Anda boleh mendapatkan kit ini secara kesemuanya atau berasingan antara luaran dan dalaman. Untuk kit asas bahagian luar, Saga FLX anda akan kelihatan lebih sporty bermula pada harga RM1,980. Untuk dalaman pula, pakej upholsteri yang dinyatakan di atas disediakan dengan harga RM1,550. Menurut TuneD, diskaun istimewa akan diberikan sekiranya pelanggan memilih kedua-dua pakej tersebut serentak.

    Selain dari hanya memasang kit badan, TuneD turut menawarkan servis untuk mengecat semula keseluruhan badan kereta yang telah dilengkapi kit badan mereka dengan dua warna signatur jenama berkenaan – Fierce Red dan Pearl White.

    Untuk pengetahuan anda, TuneD ini bukanlah pembina kit badan ‘copy ori’ tipikal yang anda boleh jumpa diluar dengan mudah. Syarikat ini dianggotai oleh sekitar 150 jurutera untuk menghasilkan produk mereka, serta mempunyai penasihat teknikal yang benar-benar pakar seperti bekas Presiden Nissan Motorsport International (NISMO), Yuichi Sanada dan bekas staf Nissan Koichi Osumi. Jadi anda rasa berbaloi tak kit badan asli dengan harga asas sekitar RM2k ini?

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga perlu pertimbangan lebih mendalam, tumpu teknologi kereta elektrik – Jomo

    Projek kereta nasional ketiga perlu pertimbangan lebih mendalam, tumpu teknologi kereta elektrik – Jomo

    Berkaitan projek kereta nasional ketiga yang pernah dinyatakan oleh Tun Mahathir sebelum ini, Prof. Jomo Kwame Sundaram berpendapat bahawa cadangan itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya yang lebih mendalam lagi, lapor Berita Harian.

    Pakar ekonomi itu menegaskan, dari satu sisi, cadangan itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menggiatkan lagi sektor perindustrian tempatan ketika ini yang melibatkan teknologi tinggi dan maju, walaupun pernah berdepan kegagalan pelaburan ‘industri berat’ sebelum ini.

    “Sebagai contoh, Geely perlu ‘dipujuk’ untuk bekerjasama dengan Proton dalam menjadikan negara ini sebagai hab eksport utama mereka bagi pengeluaran kereta saiz sederhana, seluruh dunia.

    “Kerjasama itu pada masa sama akan membantu merealisasikan hasrat Dr Mahathir untuk membangunkan kereta elektrik yang sudah dinyatakan sejak 1990an, yang mana ia dapat memenuhi keperluan global untuk menangani isu pemanasan global dan pencemaran udara berpunca dari penggunaan bahan api,” jelas beliau di dalam laporan berkenaan.

    Jomo juga berpendapat, kereta elektrik akan dapat mengenepikan kebergantungan pengguna terhadap enjin pembakaran dalaman tradisional, dan itu menjadi cabaran terakhir dalam membangunkan kereta buatan Malaysia sejak berdekad lalu, jelas laporan itu lagi.

    Ketika satu persidangan di Jepun Jun lalu, Tun Mahathir menyuarakan hasrat untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga selepas Proton kini tidak lagi sebuah jenama kereta nasional Malaysia.

    Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad juga pernah menyatakan bahawa negara ini tidak memerlukan satu lagi jenama kereta nasional yang baru. Menurut beliau, ketika ini indsutri automotif negara sudah berkembang maju (kini dengan lebih 500 vendor), walaupun skala ekonomi pasaran tempatan adalah kecil.

    “Jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia, ia tidak mempunyai kereta nasional, tetapi industri automotif negara berkenaan berkembang kukuh,” katanya.

     
     
  • Geely Binrui – gambar awal, gunakan platform BMA

    Geely Binrui – gambar awal, gunakan platform BMA

    Beberapa minggu yang lalu, Geely telah mendedahkan perincian awal untuk platform modular baru pertama yang dibuat sendiri sepenuhnya, iaitu B-segment Modular Architecture (BMA). Pada masa itu, model pertama yang dikata akan menggunakan platform itu adalah sebuah crossover yang menggunakan nama kod SX11, tapi sekarang, mereka mengeluarkan pula gambar sebuah sedan baru yang akan menemui pasaran lebih awal.

    Ia dipanggil sebagai Binrui dan akan mula dijual suku ketiga tahun ini. Menurut laporan daripada CarNewsChina sebelum ini, walaupun Binrui menggunakan platform segmen B, ia sebenarnya adalah kenderaan segmen C yang lebih besar daripada Emgrand GL dengan ukuran 4,680 mm panjang, 1,785 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, menjadikannya 48 mm lebih panjang, empat mm lebih lebar dan 10 mm lebih rendah berbanding Emgrand GL. Jarak rodanya juga 20 mm lebih panjang, iaitu 2,670 mm.

    CarNewsChina juga melaporkan bahawa Binrui akan mendapat dua enjin petrol turbo, dengan kuasa yang hampir sama, tetapi tork berbeza. Enjin tiga silinder 1.0 liter direct injection yang diguna mampu menghasilkan 134 hp dan 180 Nm tork, manakala enjin empat silinder 1.4 liter MPI pula menghasilkan 131 hp dan 215 Nm tork.

    Geely Binrui – gambar awal, gunakan platform BMA

    Bentuk Binrui ini kelihatan seperti Borui yang dikecilkan, dengan menampilkan rekaan seperti sebuah fastback dan bahagian muka hadapan yang seperti sudah biasa dilihat untuk kenderaan Geely, termasuk lampu hadapan serta grilnya. Terdapat juga lengkuk tayar kembung, yang juga merupakan satu lagi tanda unik jenama tersebut.

    Adakah Binrui ini akan tiba di Malaysia sebagai sebuah Proton? Sebelum ini Geely sudah memberi isyarat pengeluar kenderaan tempatan itu juga akan menggunakan platform BMA ini, dengan berkata ia turut akan diguna oleh jenama luar dan dibina di Asia Tenggara. Platform ini nanti boleh menggunakan teknologi keselamatan aktif terkini, ciri pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3, serta enjin petrol terbaru Geely yang termasuk unit 1.5 liter turbo direct injection yang dibangunkan bersama Volvo.

     
     
  • Porsche Taycan – perincian sumber kuasa EV didedah

    Porsche Taycan – perincian sumber kuasa EV didedah

    Porsche telah mendedahkan perincian awal untuk model elektrik penuh mereka iaitu Taycan. Kenderaan ini dikatakan mampu menghasilkan kuasa sehingga 600 PS atau 590 hp (440 kW) hasil penggunaan dua motor elektrik permanently excited synchronous (PSM). Bateri 800 volt yang digunakan pada kenderaan boleh membawanya bergerak lebih 500 km, dan apabila ditekan habis, boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat, sebelum mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa 12 saat.

    Setiap satu motor elektrik ini diletakkan pada setiap gandar Taycan, dan boleh menghasilkan pergerakan berpusing berterusan yang boleh digunakan pada bila-bila masa tanpa perlu dihidupkan semula. Perkara ini dapat dicapai dengan menggunakan rotor bermagnet sepanjang masa, yang bertindak sekali dengan pergerakan berpusing tersebut melalui medan kuasa magnet stator.

    Menurut Porsche, PSM ini boleh mengubah tenaga elektrik kepada kuasa penggerak dengan kecekapan yang tinggi, lancar dan kuasa yang stabil sambil pada masa sama menghasilkan sedikit haba. Ia juga dapat dibangunkan dengan saiz yang kompak, seterusnya motor dan baterinya lebih ringan dan kecil tetapi masih mampu memberikan kuasa yang sama.

    Porsche Taycan – perincian sumber kuasa EV didedah

    “Untuk menjimatkan lebih ruang, gegelung solenoid pada motor elektrik kereta ini menggunakan teknologi rekaan hairpin. Gegelung itu dibuat daripada wayar yang bukannya bulat, tapi lebih berpetak,” kata pengarah sistem pacuan elektrik Porsche, Abu Daqqa. Tambah beliau, teknologi ini membolehkan penggunaan lebih banyak wayar dan gegelung tembaga, seterusnya menghasilkan lebih kuasa.

    Barangan elektronik pada Tayan juga telah ditala untuk menjadi lebih cekap. Inverter yang mengubah kuasa bateri dari DC kepada AC pula bekerja dengan frekuensi boleh ubah stepless, dan bukannya tetap. Ia membolehkan motor tersebut beroperasi dalam keadaan yang optima.

    Sementara itu, pengesan suhu memerhatikan keperluan sistem penyejukan dalam masa sebenar, dan perisian yang digunakan dapat menyampaikan air yang sejuk kepada kawasan yang diperlukan. Sebagai contoh, apabila pemandu menekan pedal sehabisnya, sistem penyejukan juga bertambah supaya penyampaian kuasa tidak terganggu. Satu lagi kelebihan menggunakan bateri 800 volt adalah kabelnya lebih nipis dan menjimatkan berat.

    GALERI: Porsche Taycan

    GALERI: Porsche Mission E Concept

     
     
  • Sekatan terhadap kereta import bersifat regresif, liberalisasikan pasaran untuk ke hadapan – MAA

    Sekatan terhadap kereta import bersifat regresif, liberalisasikan pasaran untuk ke hadapan – MAA

    Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kemungkinan besar kerajaan akan mengenakan syarat baharu bagi mengawal kemasukan kenderaan import ke pasaran Malaysia bagi melindungi jenama tempatan.

    Katanya lagi, pada masa ini, kereta buatan asing yang diimport ke negara ini bebas tanpa sebarang syarat, sekaligus menimbulkan kesukaran bagi pengeluar kereta tempatan untuk bersaing dalam pasaran.

    Memberi maklumbalas terhadap kebarangkalian keputusan ini, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata, rancangan kerajaan untuk menghadkan kemasukan kereta dari luar negara ke dalam pasaran tempatan adalah satu langkah regresif bagi pertumbuhan industri automotif negara.

    Sekatan terhadap kereta import bersifat regresif, liberalisasikan pasaran untuk ke hadapan – MAA

    Katanya, kita perlu ada tahap persaingan yang sihat antara pembuat kereta tempatan dan luar negara, kerana ada model jenama luar yang menggunakan banyak komponen tempatan dan ini memberi peluang perniagaan serta pekerjaan kepada penduduk tempatan, laporan Bernama.

    “Ini merupakan langkah ke belakang. Saya tidak fikir ia sesuai apabila kerajaan mahu menyekat semua kereta selain Proton untuk dijual di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

    Katanya, untuk membolehkan industri tempatan maju, kerajaan perlu mewujudkan persekitaran yang kondusif melalui liberalisasi seperti di Thailand dan Indonesia.

    Sekatan terhadap kereta import bersifat regresif, liberalisasikan pasaran untuk ke hadapan – MAA

    “Thailand mengeksport lebih daripada 1.3 juta kereta setahun dan Indonesia lebih 100,000 kenderaan. Apa eksport Malaysia? Hanya 20,000-30,000 kenderaan setahun,” katanya.

    Dasar Automotif Nasional yang dikemaskini pada 2014, sedang menunggu satu lagi kajian bagi memastikan Malaysia mengeksport lebih banyak kenderaan.

    Beliau juga berharap kerajaan dapat mengkaji semula rancangan untuk mewujudkan satu lagi kereta nasional lain kerana ia akan mengganggu industri tempatan yang hanya mempunyai pasaran yang kecil dengan jumlah keseluruhan industri kira-kira 600,000 unit kenderaan sahaja setahun.

    “Kami tidak mahu ada lagi insentif yang disediakan bagi kereta nasional baharu ini yang dijangka akan memberikan kesan ke atas industri. Ia tidak akan membantu industri sama sekali,” katanya.

     
     
  • Tiada perancangan untuk perkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal di M’sia dalam masa terdekat

    Tiada perancangan untuk perkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal di M’sia dalam masa terdekat

    Buat masa ini, kerajaan Malaysia tiada rancangan untuk mengiktiraf atau meluluskan pengenalan perkhidmatan perkongsian motosikal (ride-sharing) dalam masa terdekat. Begitu penjelasan dari Menteri Pengangkutan, Anthony Loke seperti dilaporkan oleh The Sun.

    Ini antara lain disebabkan untuk melindungi keselamatan penunggang dan pembonceng, dalam keadaan angka kemalangan dan kecederaan melibatkan motosikal di Malaysia yang begitu tinggi.

    “Sudah tentu SPAD yang menjadi badan bertanggungjawab akan mengkaji baik-buruk pelaksanaan perkhidmatan itu. Tetapi bagi saya secara peribadi, saya belum bersedia untuk bersetuju dengan hal ini,” jelas beliau, sebagai jawapan kepada pertanyaan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

    Perkhidmatan perkongsian motosikal sangat popular di negara jiran, Indonesia, yang mempunyai perkhidmatan sendiri dikenali dengan nama Go-Jek. Di Malaysia, perkhidmatan perkongsian kereta baru saja menyaksikan perkembangan kawal selia dari pihak kerajaan. Untuk itu, bagi satu lagi perkhidmatan hampir sama menggunakan motosikal sedikit sukar untuk dilunaskan.

    “Bagi perkhidmatan perkongsian kenderaan, agak sukar untuk dikawal selia. Apa lagi bagi perkhidmatan yang menggunakan motosikal, ia lebih rumit. Tetapi sekiranya ada cadangan yang lebih terperinci, kiata akan pertimbangkan,” tambahnya.

    Tahun lalu, menter yang bertanggungjawab sebelum ini mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia, dan menolak permintaan Dego Ride yang ketika itu ingin menawarkan servis berkenaan.

     
     
  • MV Agusta kembali berlumba Moto2 tahun hadapan

    MV Agusta kembali berlumba Moto2 tahun hadapan

    Banyak juga perkembangan menarik bagi kategori Moto2 untuk tahun depan, dan dalam berita yang terbaru, pengeluar Itali, MV Agusta akan kembali menyertai Moto2 setelah 42 tahun tidak terlibat dengannya. Inisiatif ini akan dilakukan bersama pasukan Forward Racing Team yang juga berasal dari Itali, dan pada musim ini berlumba dengan pasukan Suter Motorcycles.

    Sekarang ini, jentera lumba Moto2 MV Agusta sedang dibangunkan, dan seperti yang sudah diketahui ia akan menggunakan enjin tiga silinder dari Triumph, seperti semua jentera Moto2 yang lain. Menurut MV Agusta lagi, jentera ini akan dibawa ke litar buat pertama kali tidak lama lagi.

    Mungkin ramai yang tahun MV Agusta sekarang mempunyai krisis kewangan dan pengedarnya di negara kita juga baru ditutup. Walaupun begitu, mereka adalah pengeluar Eropah paling berjaya dalam Grand Prix sebelum ini, dengan 75 kali kemenangan dunia (38 untuk penunggang dan 37 untuk pengeluar) dari tahun 1952 hingga 1974.

     
     
  • Harley-Davidson akan keluarkan motosikal kembara 1250 cc, Streetfighter 975 cc menjelang tahun 2020

    Harley-Davidson akan keluarkan motosikal kembara 1250 cc, Streetfighter 975 cc menjelang tahun 2020

    Pengeluar motosikal dari Amerika Syarikat iaitu Harley-Davidson telah mendedahkan pelan pemasaran serta produk menjelang tahun 2022 yang diberi tajuk sebagai “More Roads to Harley-Davidson”. Ia dihasilkan sebagai sokongan kepada objektif pasaran 2027 yang pernah dibentangkan sebelum ini, berserta penambahan beberapa model baru yang termasuk penyertaan jenama itu dalam beberapa segmen lain buat kali pertama.

    Satu daripada model yang didedahkan adalah sebuah motosikal kembarayang dinamakan sebagai Pan America 1250, di mana ia bakal menggunakan enjin v-twin yang sudah menjadi tanda unik Harley-Davidson tetapi mempunyai kedudukan yang tinggi dan boleh meredah jalan kasar. Bahagian perumah lampu hadapannya juga mempunyai elemen gaya seperti model cruiser Road Glide.

    Ia kemudiannya juga akan disertai oleh model Custom 1,250 cc serta Streetfighter 975 cc. Perincian lanjut semua motosikal ini tidak dijelaskan tetapi diberitahu akan disediakan untuk pelancaran sekitar tahun 2020.

    Barisan model baru ini juga adalah sebahagian daripada model yang akan menggunakan platform baru untuk motosikal middleweight 500 cc hingga 1,250 cc. Platform ini juga diberitahu boleh digunakan untuk pelbagai model lain sehingga tahun 2022 dan boleh dipasang dengan empat kapasiti enjin berbeza. Selain itu, Harley-Davidson juga ada perancangan untuk model berkapasiti rendah antara 250 cc hingga 500 cc untuk pasaran Asia.

    Model Harley-Davidson permulaan ini akan dikeluarkan melalui persekutuan strategik terancang dengan pengilang di Asia. Model yang lebih kecil pula difikirkan khusus untuk pasaran India. Untuk model elektrik Livewire, ia akan dihidupkan kembali dan dimasukkan dalam strategi pasaran mereka.

    Selain pengenalan model baru, Harley-Davidson turut menyatakan dalam siaran akhbar bahawa mereka akan merujuk kembali strategi runcit dan memasukkan konsep e-niaga. Rangkaian pengedar juga akan menggunakan format runcit baru yang termasuk kedai kecil di kawasan urban untuk mendedahkan jenama dan memacu jualan.

     
     
  • ETS laluan Gemas-JB dijangka siap tahun 2021 – Loke

    ETS laluan Gemas-JB dijangka siap tahun 2021 – Loke

    Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan memutuskan untuk meneruskan projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) laluan Gemas-Johor Bahru.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, landasan yang dijangka siap pada tahun 2021 ini adalah bagi menghubungkan keseluruhan Pantai Barat menjelang 2022 iaitu dari Padang Besar (Perlis) ke Johor Bahru, laporan Bernama.

    Menurutnya, projek menelan belanja sebanyak RM8.9 bilion itu amat penting untuk melengkapkan jaringan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan.Pada masa sama pihaknya mengambil perhatian permohonan kerajaan negeri untuk menambah stesen ETS antara Kulai dan Kempas.

    ETS laluan Gemas-JB dijangka siap tahun 2021 – Loke

    “Kita minta kontraktor melihat dan mengkajinya sebelum mengemukakan kertas cadangan untuk dipertimbangkan. Bagaimanapun, apa-apa kelulusan tertakluk kepada mesyuarat Kabinet kerana apa yang kita tandatangani sebelum ini hanya membabitkan 11 stesen. Pertambahan stesen menyebabkan pertambahan kos dan kos memerlukan kelulusan kabinet. Kerajaan amat sensitif berkaitan kos kerana ketika ini kita kena mengawal kos dengan berhati-hati,” katanya pada pihak media di Johor, semalam.

    Projek ETS Gemas-Johor Bahru diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) membabitkan landasan sepanjang 192 kilometer dengan 11 stesen termasuk Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Rengam, Layang-layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.

    Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu untuk pembinaan stesen baru kerana apa yang penting adalah membina landasan manakala stesen hanya akan dibina tahun depan.

     
     
  • Suzuki Vitara facelift guna enjin 1.0 liter Boosterjet

    Suzuki Vitara facelift guna enjin 1.0 liter Boosterjet

    SUV kompak popular Jepun, Suzuki Vitara telah menerima kemaskini wajah baru, serta penawaran pilihan enjin baru serta tambahan ciri-ciri keselamatan bagi versi terkininya. Tidak lupa juga, sedikit perubahan bagi aspek rekaan luaran ada ditampilkan.

    Enjin baru yang dimaksudkan ialah unit 1.0 liter Boosterjet turbocaj petrol yang sebelum ini belum pernah ditawarkan untuk Vitara. Ia pertama kali digunakan pada model S-Cross facelift, yang menjana sebanyak 115 PS. Enjin ini datang bagi model dengan trim SZ4 dan SZ-T.

    Enjin 1.4 liter yang lebih besar pula adalah untuk varian SZ5, menghasilkan 140 PS dan 220 Nm tork pada 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Transmisi pula belum disahkan. Jika ia sama dengan model S-Cross, maka enjin 1.0 liter akan menggunakan kotak gear lima-kelajuan manual manakala enjin 1.4 liter pula dengan gear automatik enam-kelajuan.

    Vitara baru ini juga menerima peningkatan ciri keselamatan yang lebih baik. Varian SZ5 dilengkapo dengan Dual Sensor Brake Support (atau AEB), Lane Departure Warning and Prevention, Traffic Sign Recognition, Blind Spot Monitor dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Lain-lain, model ini hanya melibatkan perubahan kecil, antaranya seperti bahagian atas gril baru, DRL LED, lampu belakang LED, rekaan rim baru dan material lembut untuk bahagian luaran papan pemuka.

     
     
  • JPJ KL saman 316 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Pengarah di Bangsar

    JPJ KL saman 316 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Pengarah di Bangsar

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah mengadakan operasi sekatan jalan raya, Ops Pengarah, di Jalan Bangsar berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar malam tadi mulai jam 8.30 malam.

    Menerusi operasi terbabit, sebanyak 316 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk 36 daripadanya melibatkan penggunaan nombor pendaftaran ekstrem dan tidak mengikut spesifikasi, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah JPJ KL, Ismail Mohd Zawawi, kesemua pemilik kenderaan terbabit dikenakan saman serta-merta dan turut diberikan notis mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan.

    “Antara kesalahan yang direkodkan ialah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, penggunaan cermin gelap dan sebagainya, Mereka diberi tempoh masa 10 hari daripada tarikh notis dikeluarkan untuk hadir ke pejabat JPJ, dan tindakan susulan akan diambil termasuk disenarai hitam jika berdegil,” katanya kepada pemberita.

    Secara keseluruhan, sebanyak 1,264 kenderaan diperiksa dalam operasi yang berakhir pada jam 10.30 malam.

     
     
  • JPJ, Polis boleh saman pelaku yang beraksi ‘Keke Challenge’ di jalan raya hingga mengundang bahaya

    Tarian ‘Keke Challenge’ yang menjadi trend sejak kebelakangan ini turut dijangkiti segelintir warga Malaysia termasuklah beberapa golongan selebriti seperti Janna Nick, kumpulan Elite, Fasha Sandha dan ramai lagi.

    Jika di luar negara, sudah beberapa insiden kemalangan dilaporkan berlaku akibat pelaku tarian ini yang beraksi di jalan raya, namun jangan sampai ia terjadi di Malaysia pula. Beringat sebelum kena! Itulah amaran yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Menurut JPJ, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku yang yang didapati sengaja berhenti untuk melakukan tarian ‘Keke Challenge’ di kawasan jalan raya, laporan Berita Harian

    JPJ, Polis boleh saman pelaku yang beraksi ‘Keke Challenge’ di jalan raya hingga mengundang bahaya

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid, pihaknya akan melihat pada kerangka undang-undang yang ada untuk mengambil tindakan terhadap orang ramai, terutama anak muda yang ghairah melakukan tarian berkenaan sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

    “Perbuatan demikian sudah tentu tidak dibenarkan dan sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang termasuklah membahayakan pengguna jalan raya yang lain kita akan mengambil tindakan. Malah, bukan kita sahaja, pihak polis trafik juga turut akan mengeluarkan saman kepada mereka yang melakukan aksi berkenaan sehingga melanggar undang-undang,” katanya.

    ‘Keke Challenge’ merupakan tarian yang memerlukan si pelaku melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak dan menari mengikut alunan lagu nyanyian Drake, ‘In My Feelings’. Tarian ini dicetuskan oleh pelawak Shiggy dan rakaman videonya telah ditontonkan oleh lima juta penonton dalam tempoh waktu singkat.

     
     
  • Proton Saga – imej render generasi baru, asas BMA?

    Proton Saga – imej render generasi baru, asas BMA?

    Dengan model pertama Proton hasil kerjasama Geely akan diperkenalkan tak lama lagi, iaitu sebuah SUV yang diasaskan dari Boyue, menarik juga untuk membayangkan apa gerak langkah seterusnya bagi pengenalan model baru hasil dari usaha sama dua syarikat ini.

    Dilihat dari kemungkinan yang ada, Proton Saga boleh jadi model seterusnya yang dibangunkan oleh syarikat ini. Memanglah versi yang ada ketika ini masih baru, diperkenalkan pada 2016 lalu, tetapi platform yang digunakan sebenarnya sudah lama – sejak 2005 lagi.

    Untuk itu, Theophilus Chin yang sinonim dengan kerja-kerja menghasilkan rekaan digital model-model bayangan yang selalu kami tampilkan kini hadir dengan satu lagi rekaan menarik – visinya terhadap model baru Proton Saga. Ia ditampilkan di sini sebagai sebuah penawaran bagi segmen B, dengan saiz yang lebih besar dan lebih mirip sebagai pesaing Honda City dan Toyota Vios.

    Walaupun asasnya bukanlah dari model semasa sedia ada dari Geely, rekaan ini meminjam beberapa perincian penggayaan dari situ. Misalnya gril besar dari Emgrand GL, rekaan lampu utama, lengkuk pada fender, lampu belakang yang lebih tirus, ekzos berkembar dan lain-lain. Agak jelas bahawa model akan datang Proton nanti akan dipengaruhi oleh rekaan dari model Geely, tetapi dalam masa yang sama sentuhan rekaan khas Proton selama ini seperti “gril sayap” masih dikekalkan dalam rekaan bayangan ini.

    Proton Saga – imej render generasi baru, asas BMA?

    Apa yang lebih menarik ialah platform yang digunakan. Dengan Geely yang telah memberikan pembayang bahawa Proton akan turut memanfaatkan platform baru B-segment Modular Architecture (BMA) yang dihasilkan syarikat itu, maka sangat menarik untuk melihat hal berkenaan menjadi kenyataan kelak.

    Platform berkenaan akan dibina di Asia Tenggara, dengan rekaan yang mengambil kira perkembangan teknologi termaju akan datang seperti memanduan autonomous peringkat 2 dan 3, teknologi-teknologi keselamatan serta enjin petrol baru yang akan dihasilkan oleh Geely.

    Ini termasuk enjin 1.0 dan 1.5 liter turbo tiga-silinder suntikan terus, begitu juga dengan unit 1.4 liter turbo empat-silinder, serta teknologi enjin mild-hybrid, parallel hybrid dan plug-in hybrid. Anda fikir model Proton Saga generasi baru nanti akan jadi lebih menarik?

     
     
  • Dasar Automotif Nasional kini dikaji semula – Tun M

    Dasar Automotif Nasional kini dikaji semula – Tun M

    Pada sidang Parlimen hari ini, Tun Mahathir memaklumkan bahawa Dasar Automotif Nasional ketika ini sedang dikaji semula bagi memastikan industri berkenaan dapat kekal kompetetif dalam keadaan yang semakin mencabar kini.

    Bernama melaporkan, antara perkara yang terangkum di dalam kajian itu adalah seperti faktor pembangunan industri automotif tempatan (termasuk projek kereta nasional baru), pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan eksport.

    Tun Mahathir menjelaskan, industri automotif negara khususnya Proton mula merosot dalam tempoh 10 tahun terakhir kerana dasar membenarkan kereta dari luar masuk ke pasaran Malaysia. Sebaliknya, kereta keluaran Malaysia dikenakan pelbagai syarat ketat untuk dipasarkan di negara luar.

    “Negara-negara ini mengenakan syarat supaya Proton tidak dapat tembusi pasaran mereka. Negara-negara ini mempunyai kilang yang amat besar dan mengeluarkan berjuta-juta kereta setahun dan mereka juga menyekat kereta masuk ke pasaran mereka,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat hari ini.

    Dr Mahathir menegaskan Proton tidak gagal dan pada satu ketika menguasai 80 peratus pasaran tempatan, mengumpul rizab berjumlah RM4 bilion di samping membina kilangnya menggunakan duit sendiri bernilai RM1.8 bilion.

    “Dahulu, Proton berjaya menembusi pasaran Malaysia dan juga pasaran luar negara. Kita dapat menjual 25,000 kereta Proton di United Kingdom dan tempat lain tetapi (akibat) pemerintahan (sebelum ini) kurang cekap, yang tidak tahu berkenaan dengan industri menyebabkan prestasi Proton merosot, kerana kerajaan dahulu membenarkan masuk segala kereta ke Malaysia,” katanya.

    Beliau juga menyentuh tentang bantuan kerajaan bagi tujuan R&D untuk Proton sebelum ini. “Janji untuk R&D diberi kepada syarikat-syarikat lain tetapi kepada Proton ia tidak diberi malah Proton terpaksa belanja duit sendiri untuk R&D. Tetapi yang peliknya apabila Proton sudah dijual, wang R&D ini barulah diberi kepada Proton yang dikuasai syarikat asing,” jelas beliau, yang percaya dan yakin bahawa Proton mampu mencapai kejayaan seperti masa dahulu sekiranya dibantu oleh kerajaan.

     
     
  • Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

    Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

    Kereta kecil yang anda lihat namanya adalah Microlino. Ia pertama kali ditunjukkan dua tahun lepas, dan dalam berita terbaru, ia sudah lulus proses homologasi di Eropah dan proses pengeluarannya akan bermula Disember 2018 ini. Pasaran pertama yang akan menerimanya adalah Switzerland, dan ia merupakan hasil kerja sebuah syarikat dari negara itu sendiri iaitu Micro Mobility Systems.

    Microlino boleh dilihat sebagai satu interpretasi moden bagi kereta lama berbentuk bulat pada tahun 1950-an dan 1960-an seperti Isetta, FMR Tg500, Messerschmitt KR175 dan Peel P50. Ia menggunakan motor elektrik 15 kW (20 hp) yang boleh menghasilkan sehingga 110 Nm tork, dengan masa pecutan 0-50 km/j lima saat dan kelajuan maksimum 90 km/j.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion yang boleh didapati dalam dua pilihan kapasiti – lapan kWh dan 14.4 kWh. Berdasarkan ujian homologasi yang dilakukan, unit yang lebih kecil tersebut mampu dipakai sehingga jarak 126 km, manakala unit yang lebih besar pula boleh membawa kenderaan bergerak 202 km.

    Mengecas bateri kenderaan ini menggunakan Mode 1 dan 2 (soket kuasa biasa) akan mengambil masa selama empat jam melalui sambungan dua kW, tetapi apabila menggunakan sambungan empat kW, ia boleh dilakukan dalam masa dua jam sahaja. Jika pemilik menggunakan soket enam kW pula, bersama sambungan Type 2, ia akan mengambil masa cuma satu jam sahaja untuk memenuhkan kembali bateri tersebut.

    Melihat kepada dimensi, Microlino mempunyai ukuran cuma 2,435 mm panjang, 1,500 mm lebar dan 1,459 mm tinggi. Berat pula adalah 450 kg dicampur dengan bateri dan pemandu. Walaupun mempunyai kabin bersaiz kompak, kenderaan ini menyediakan ruang but 300 liter di belakang tempat duduk depan, dan ini adalah lebih besar daripada but Mazda 2.

    Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

    Untuk masuk ke dalam kenderaan ini, anda boleh menggunakan pintu yang terletak di hadapan kereta, seperti Isetta, dan ini membawa kepada kelebihan tersendiri apabila kenderaan diletakkan di tepi jalan. Microlino akan dijual pada harga sekitar 12,000 euro (RM56,850) dan boleh didapati dalam lapan pilihan warna Zurich Blue, Milano Red, Amsterdam Orange, Paris Mint, Barcelona Brown, London Grey, Gotham Black dan Vienna White.

    Walaupun dipanggil sebagai sebuah ‘kereta’, Microlino sebenarnya diklasifikasikan sebagai quadricycle berat (L7e) dengan empat tayar. Oleh sebab itu, ia tidak perlu melalui ujian keselamatan seperti kenderaan biasa dan mempunyai beberapa peraturan lain yang perlu dipatuhi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026