Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 akhirnya muncul

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 akhirnya muncul

    Mercedes-Benz akhirnya telah menunjukkan secara rasmi model A-Class Sedan V177 standard, tiga bulan selepas mereka menunjukkan model Z177 jarak roda panjang. Seperti yang dijangka, ia kelihatan sama seperti hatchback W177 tapi dengan bahagian but yang berasingan untuk pasaran yang lebih gemarkan sedan seperti Malaysia dan Amerika Syarikat.

    Seperti yang sudah pun diberitahu minggu lepas, sedan ini memegang rekod sebagai kenderaan produksi dengan rintangan angin paling rendah iaitu 0.22 Cd dan ini adalah sama dengan model CLA. Ini adalah disebabkan bahagian hadapannya juga lebih kecil daripada CLA – 2.19 meter. Sebagai perbandingan, model hatchback mempunyai kadar rintangan angin 0.25 Cd.

    Antara perkara yang membantu pengurangan rintangan angin ini adalah keliling lampu yang ditutup rapi, bahagian bawah kenderaan yang hampir rata sepenuhnya, pilihan gril yang mempunyai sistem pengatup, serta spoiler depan dan belakang yang dapat menolak angin di sekitar tayar. Roda dan tayar itu sendiri juga dibangunkan dengan memberi penekanan kepada aerodinamik.

    Daripada aspek rekaan, sedan ini mengekalkan bentuk hadapan sama seperti model hatchback, dengan menampilkan lampu hadapan tirus (dengan pilihan unit LED Multibeam) dan gril bentuk trapezoid bersama logo yang besar. Turut dikekalkan adalah garis badan yang jelas, serta lengkungan di pintu yang nampak lebih elok berbanding model LWB.

    Bahagian belakang adalah sama seperti A-Class L Sedan, dengan lampu yang terpisah dua bahagian. Bentuknya yang besar menjadikan kereta ini nampak lebar tapi sebenarnya bahagian belakangnya masih agak pendek. Seperti biasa, terdapat banyak saiz rim yang ditawarkan, dari 16 hinggalah 19 inci dan turut termasuk dalam senarai adalah model Edition 1.

    Pada bahagian dalam, bahagian kabin juga kelihatan sama seperti model hatchback. Ini bermakna, papan pemukanya yang berbentuk seperti sayap masih didominasi oleh panel paparan besar yang seperti terapung di tengah dan corong pendingin hawa berbentuk turbin. Terdapat juga sistem lampu suasana 64 warna dengan 10 tema pada kenderaan ini.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 akhirnya muncul

    Panel paparan instrumen dan infotainmen yang bersambung pada kenderaan ini boleh didapati sama ada dalam saiz tujuh atau 10.25 inci, dan unit yang lebih besar boleh dikawal secara sentuhan dan menggunakan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan fungsi seperti augmented reality untuk paparan navigasi dan sistem kawalan suara.

    Sistem ini juga menggunakan artificial intelligence dan ia boleh belajar apa yang anda gemari dari masa ke semasa. Fungsi lain yang pertama kali digunakan pada MBUX ini adalah navigasi yang menggunakan komunikasi infrastruktur kenderaan-ke-kenderaan dan kenderaan-ke-infrastruktur, informasi harga minyak dan tempat letak kereta, serta fungsi mengesan kenderaan sekiranya kenderaan yang diletak telah dilanggar atau ditarik.

    A-Class Sedan mempunyai ukuran 4,549 mm panjang, 1,796 mm lebar dan tinggi 1,446 mm. Ini menjadikan ia 130 mm lebih panjang dan enam mm lebih tinggi berbanding model hatchback, tapi masih mempunyai jarak roda sama iaitu 2,729 mm. Mercedes mendakwa model ini mempunyai ruang kepala bahagian belakang yang terbaik dalam kelasnya, manakala bahagian but pula mempunyai kapasiti 420 liter – 50 liter lebih berbanding model hatchback.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 akhirnya muncul

    Semasa pelancaran, hanya model enjin petrol A 200 dan diesel A 180 d yang ditawarkan. Model petrol tersebut adalah unit empat silinder turbo 1.33 liter M282 yang dibangunkan bersama Renault dan mampu menghasilkan 163 hp dan 250 Nm tork. Model diesel pula menggunakan unit 1.5 liter turbo OM608 keluaran Mercedes sendiri yang mampu menghasilkan 116 hp dan 260 Nm tork. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan buatan Getrag.

    Dalam keadaan standard, kedua-dua varian juga datang dengan suspensi torsion beam di belakang, tetapi model yang menggunakan enjin lebih berkuasa serta pacuan semua roda 4Matic yang bakal tiba nanti akan mendapat gandar four-link. Di depan, semuanya menggunakan tetapan MacPherson.

    Untuk aspek keselamatan, A-Class Sedan datang secara standard dengan Active Brake Assist (brek kecemasan autonomous) dan Active Lane Keeping Assist, dan boleh dipilih dengan sistem adaptive cruise control Distronic, Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist. Turut disediakan adalah pilihan sistem Pre-Safe dan Pre-Safe Rear yang boleh mengurangkan kesan perlanggaran.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

    Kalau untuk MPV keluarga, suka atau tidak, Nissan Serena S-Hybrid merupakan antara yang mempunyai banyak kelebihan yang akan membuatkan anda lapang fikiran sekiranya perlu membawa satu keluarga untuk mana-mana perjalanan.

    Untuk pasaran Malaysia, Mei lalu, versi CKD bagi model terkini MPV berkenaan telah pun dilancarkan. Ada dua varian, dengan harga yang juga cukup menarik, tambah pula ketika cuti cukai dan GST sifar ketika ini. Varian Highway Star kini dijual pada harga RM127,874 manakala Premium Highway Star pula RM139,195 tanpa insurans.

    Model ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti Serena C26 sebelumnya, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Unit ini turut dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal ciri Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyah-pecutan. Ia juga mempunyai 48 Nm tork tambahan.

    Untuk mengetahui bagaimana prestasi pemanduan serta praktikaliti yang ditawarkan oleh model Serena terbaru ini, tonton video yang kami sediakan ini. Ikuti juga dua lagi video yang ada, satu daripada tentang perbezaan antara model lama dan yang baru.

     
     
  • Bos Toyota mahu kereta sport ‘Tiga Beradik’ kembali kata Tada – Selepas Supra dan 86, MR2 seterusnya?

    Bos Toyota mahu kereta sport ‘Tiga Beradik’ kembali kata Tada – Selepas Supra dan 86, MR2 seterusnya?

    Toyota MR2 generasi pertama AW11

    Ketua jurutera yang bertanggungjawab membina Toyota 86 dan Supra generasi baharu, Tetsuya Tada sekali menegaskan bahawa Presiden Toyota, Akio Toyoda mahukan ‘Tiga Beradik’ kereta sport Toyota kembali dalam barisan model dalam bilik pameran jenama berkenaan. Perkara ini disebutkan kembali oleh Tada ketika diwawancara oleh rakan-rakannya di Toyota Great Britain, selepas kemunculannya dengan Supra A90 di Goodwood Festival of Speed.

    “Akio sentiasa mengatakan bahawa sebagai syarikat dia mahukan ‘Tiga Beradik’, dengan GT86 pada bahagian tengah dan Supra sebagai abang yang paling besar. Jadi kami cuba untuk mensasarkan Supra agar boleh menawarkan kebolehan yang luar biasa dalam semua aspek,” kata Tada.


    Klik untuk besarkan

    Bagi mereka yang masih belum jelas, ‘Tiga Beradik’ ini adalah gelaran untuk tiga model kereta sport Toyota yang berada dalam pasaran pada era 90’an dahulu iaitu Toyota Supra, Toyota Celica dan juga Toyota MR2. Buat masa sekarang, Toyota 86 generasi baharu diletakkan pada kedudukan tengah, manakala Supra yang akan dilancarkan nanti akan kekal sebagai ‘Abang Long’. Persoalannya, model apa yang bakal mengisi tempat sebagai kereta sport entry level dalam barisan ‘Tiga Beradik’ baharu ini?

    Jika mengikut segmen kereta sport Toyota pada era 90’an tersebut, Celica dan MR2 kedua-duanya dijana enjin 2.0L 3S-G, sama ada versi turbo (3S-GTE) atau NA (3S-GE), namun kedua-duanya ‘bertanding’ dalam dua kelas berbeza – Celica menjadi pencabar kepada ‘jentera rali jalanan’ kepada Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX kerana diberikan sistem 4WD dan berlumba di WRC, manakala MR2 adalah kereta sport asli dengan enjin yang diletakkan pada bahagian tengah memacu roda belakang.


    Toyota Supra generasi baharu (A90) dan Toyota 86

    Namun setelah produksi MR2 generasi kedua (SW20) berakhir, ia digantikan pula dengan model generasi ketiga Toyota MR-S (ZZW30), yang dijana hanya dengan enjin NA 1.8 liter VVT-i 1ZZ-FE, secara tidak langsung segmennya telah bertukar kepada kereta sport lebih kompak. Berdasarkan faktor ini, adakah Toyota akan meletakkan MR2 generasi baharu sebagai sebuah kereta sport entry level, satu anak tangga lebih rendah dari Toyota 86?

    Setakat ini tidak nampak lagi mana-mana prototaip yang boleh dikaitkan untuk kereta sport baharu berkenaan. Tetapi pada Tokyo Motorshow 2015, Toyota ada mendedahkan sebuah kereta sport pacuan roda belakang yang lebih kecil dari 86. Coupe ringan, 2+2, enjin hadapan pacuan roda belakang tersebut digelar S-FR itu kelihatan bersedia untuk mencabar Mazda MX-5. Tiada perincian spesifikasi berkenaan model tersebut, namun menurut satu laporan dari media Jepun, ia dilengkapi dengan enjin 1.5 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 130 PS/148 Nm, kotak gear manual enam-kelajuan dan berat bersih hanya 980 kg.

    GALERI: Toyota S-FR Concept di Tokyo 2015

     
     
  • Projek Pan Borneo fasa 2 dalam peringkat penelitian teknikal, bakal dimuktamadkan kelak – Baru Bian

    Projek Pan Borneo fasa 2 dalam peringkat penelitian teknikal, bakal dimuktamadkan kelak – Baru Bian

    Menteri Kerja Raya, Baru Bian telah mengesahkan mekanisme dan pelaksanaan keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo fasa 2 kini dalam peringkat penelitian teknikal dan akan dimuktamadkan segera bersama Kementerian Kewangan serta Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, laporan Bernama.

    Katanya, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak membawa impak yang besar kepada negeri berkenaan dan rakyatnya termasuk dari segi pembangunan sosioekonomi, maka penelitian yang lebih terperinci adalah perlu.

    “Menerusi projek fasa satu, kerja pembinaan lebuh raya berkenaan melibatkan laluan dari Teluk Melano hingga ke Miri yang terdiri daripada 11 pakej dengan anggaran sepanjang 786 kilometer dalam proses pembinaan. Manakala pembinaan fasa dua projek lebuh raya ini dari Limbang ke Lawas pula dalam peringkat penelitian kewangan,” katanya menjawab soalan Datuk Fadillah Yusof (PBB-Petra Jaya) mengenai status projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa 2, pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Baru berkata Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah juga melibatkan kerja menaik taraf jalan raya sedia ada kepada empat lorong dua hala sepanjang 706 kilometer yang merangkumi pelaksanaan fasa satu projek pembinaan lebuh raya berkenaan dan dipecahkan kepada 35 pakej.

    “12 pakej yang dalam proses pembinaan akan terus dilaksanakan, manakala baki 23 pakej masih di beberapa peringkat pelaksanaan,” ujarnya lagi.

     
     
  • Tata Harrier – SUV dari India guna platform Range Rover Evoque, bakal muncul dalam pasaran pada 2019

    Jika Geely kini sedang aktif ‘menyedut’ teknologi-teknologi dari Volvo setelah menguasai jenama dari Sweden itu, nampaknya pemilik jenama Jaguar Land Rover iaitu Tata dari India turut akan melakukan perkara yang sama. Tata telah menyiarkan teaser serentak dengan pengumuman baharunya bahawa mereka akan menghasilkan sebuah SUV berasaskan platform dari Range Rover digelar Tata Harrier dan ia akan menerjah pasaran pada 2019, menurut laporan Autocar.

    Secara spesifik, Tata Harrier akan dibina berdasarkan platform D8 Land Rover yang menjadi asas kepada model-model seperti Range Rover Evoque, Range Rover Discovery Sport tujuh-tempat duduk dan juga Jaguar E-Pace. SUV berkenaan juga akan dihasilkan sebagai model produksi dari model konsep Tata H5X yang pernah tampil pada Geneva Motor Show sebelum ini.

    Namun untuk versi Tata ini, platform berkenaan akan digelar sebagai Omega Modular Architecture dan ia telah dirombak bagi disesuaikan dengan keadaan jalan raya di India. Tata Harrier juga akan dibina sebagai SUV global, disasarkan untuk dieksport ke pasaran Timur Tengah dan rantau Afrika selain dari pasaran dalam India sendiri.

    SUV ini akan dijana oleh enjin diesel 2.0 liter empat silinder dibekalkan oleh Fiat Chrysler hadir dalam dua talaan kuasa. Ia akan diberikan sistem pacuan semua roda, manakala versi hibrid turut akan ditawarkan kemudian.

     
     
  • Honda Civic i-DTEC kini auto 9-kelajuan di Eropah

    Honda Civic i-DTEC kini auto 9-kelajuan di Eropah

    Di pasaran Eropah, Honda Civic dengan enjin 1.6 liter i-DTEC diesel kini turut didatangkan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan. Honda berkata, transmisi ini mampu memberikan pengalihan gear yang lebih lancar, malah turut memberikan penjimatan bahan api sekitar 24.4 km/l mengikut ujian NEDC terkini.

    Ditawarkan untuk semua gred dan bagi kedua-dua model empat-pintu sedan dan lima-pintu hatchback, ini merupakan kali pertama gabungan enjin diesel dan kotak gear automatik ditawarkan pada Civic. Civic Hatchback yang diperkenalkan di Eropah awal tahun lalu ditawarkan dengan dua enjin petrol turbo; 1.0 liter tiga-silinder dan 1.5 liter empat-silinder. Pilihan kotak gear termasuk manual dan automatik CVT enam-kelajuan.

    Enjin 1.6 liter i-DTEC mampu menghasilkan 120 PS pada 4,000 rpm dan tork 300 Nm pada 2,000 rpm. Dengan gabungan 9AT, Civic lima-pintu ini mampu dipacu dari 0-100 km/j mengambil masa hanya 11 saat, dan kelajuan tertinggi yang boleh dicapai ialah 200 km/j. Penjana kuasa baharu ini juga dicatatkan mampu memberikan emisi CO2 yang rendah iaitu sekitar 108 g/km (sedan) dan 109 g/km (hatchback).

    Honda Civic i-DTEC kini auto 9-kelajuan di Eropah

    Honda berkata dengan peralihan gear yang lebih luas, automatik torque converter sembilan-kelajuan ini memang cukup enjimatkan – dengan nisbah gear pertama yang sangat rendah, ia mampu memberikan perhantaran yang lebih lancar dan berkuasa. Sementara dengan nisbah gear yang lebih tinggi dapat memastikan kelajuan enjin rendah sewaktu peluncuran, sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api dan bunyi bising.

    Bergantung pada kelajuan enjin dan aplikasi pendikit, transmisi juga berkeupayaan untuk ‘melangkau’ gear dengan respon yang lebih pantas, sebagai contoh untuk menurunkan gear dari sembilan ke gear lima atau dari tujuh ke empat, dengan tambahan penuruhan ke gear-satu dan gear dua.

    Enjin terkini Honda 1.6 liter i-DTEC ini menampilkan piston keluli tiruan untuk mengurangkan kehilangan penyejukan dan ‘super plateau honing’, yang menurunkan tahap geseran antara piston dan lubang silinder bagi membolehkan pergerakan omboh yang licin dan meningkatkan ciri-ciri haus jangka panjang bagi enjin.

    Honda Civic i-DTEC kini auto 9-kelajuan di Eropah

    Turbo yang disemak semula ini menampilkan rekabentuk muncung yang berubah-ubah dan kelajuan putarnnya dikawal dengan tepat oleh elektronik kereta, mengurangkan lag dan memberikan gabungan optimum bagi tarikan rendah hingga pertengahan dan kelajuan tinggi. Kehilangan tenaga dari sistem ini adalah lebih rendah berbanding enjin i-DTEC sebelum ini, hasil rekaan pemampat bahary dalam pengecas turbo. Semua naik taraf ini sekaligus mampu menyumbang kepada peningkatan penjimatan bahan api.

    i-DTEC juga antara enjin pertama yang secara rasminya diuji menerusi prosedur Emisi Pemanduan Sebenar (RDE) untuk mengesahkan tahap emisi zarah dan NOx. Penjana kuasa diesel kini mempunyai sistem NOx Storage Converter (NSC) dengan densiti sell prosesan tertinggi, yang mampu mempercepatkan penukaran dan mengurangkan emisi.

    Penapis zarah bersalut perak pula mampu meningkatkan kecekapan pembakaran bahan zarah, memanjangkan ketahanan komponen ekzos, kerana pengeluaran haba yang lebih pendek dalam penapis tertentu.

    Civic Hatchback diproduksi di kilang Honda di Swindon, UK, sementara sedan pula terus dikeluarkan di Turki untuk pasaran Eropah. Malahan, kombinasi i-DTEC-9AT ini juga ditawarkan pada model CR-V di Thailand.

    GALERI: Honda Civic Hatchback 2017 pasaran Eropah

     
     
  • Jimat hingga RM113,000 bagi sebuah kereta baru Ford

    Jika anda dah lama berhajat untuk memiliki sebuah kenderaan baru dari Ford, sekarang adalah masa yang terbaik untuk berbuat demikian. Kenapa? Sehingga 31 Ogos 2018, Ford Malaysia memberikan alasan terbaik untuk anda beli beberapa model terpilih syarikat itu dengan penjimatan tambahan. Selain jimat 6% bagi kadar GST sifar yang sedang berlangsung ketika ini, ada lagi potongan harga atau rebat yang diberikan sebagai tambahan. Ada yang jimat sampat RM113,000!

    Bagi Mustang yang harga jualannya bermula dari RM396,271 bagi model tahun 2016 dan 2017 (versi sebelum facelift), kini ia datang dengan penjimatan sehingga RM113,000. Mustang ditawarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua varian, iaitu GT 5.0L dan 2.3L Ecoboost serta datang dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun.

    Sementara itu, yang membeli Fiesta 1.5L pula boleh menikmati rebat sehingga 17%, juga sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar. Gabungkan kedua-duanya, penjimatan yang boleh diperoleh ialah sehingga RM20,300 – model ini dijual pada harga RM68,401.

    Bagi trak pikap Ranger pula, pembeli boleh menikmati potongan sehingga 11% sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar, sepanjang tempoh kempen ini. Ditawarkan dalam 10 varian termasuk Wildtrak, FX4, XLT, XL dan Standard, dengan harga bermula dari RM70,910. Ini diterjemahkan kepada penjimatan mencecah RM19,830.

    Untuk tahu lebih lanjut tentang promosi ini, tonton video ini.

     
     
  • HLYM keluarkan teaser model baru – YZF-R15 V3?

    Khabar angin model YZF-R15 V3 akan dilancarkan di Malaysia sudah tersebar luas sejak beberapa minggu yang lepas, tanpa sebarang kata rasmi daripada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sendiri. Tapi semalam, syarikat itu telah menyiarkan teaser model yang akan diperkenalkan hujung minggu ini di laman Facebook.

    Bukan setakat satu, tapi ada dua video pendek yang disiarkan, tapi gambar motosikal yang akan dilancarkan itu masih lagi gelap dan sekadar nampak bayangnya sahaja. Kami cuba menyunting serta menambahkan sedikit keterangan pada gambar itu dan hasilnya, ternampaklah bayang lebih jelas – menyerupai model R15.

    Kami mengatakan sebegitu kerana satu daripada gambar teaser tersebut menunjukkan gambar tangki – dengan logo Yamaha, bentuk serta kedudukan pemegangnya memang menyerupai R15, dan kemudian dalam teaser kedua, bayang seluruh motosikal dapat dilihat dan apabila dibandingkan dengan gambar R15 sebenar, ia memang sama. Anda boleh melihatnya sendiri di bawah.

    Apa istimewanya model R15 V3 ini? Sebelum ini kami pernah menyiarkan ia sudah pun dilancarkan awal tahun lepas di Indonesia, dan beberapa negara lain termasuk Thailand dan India. Cumanya kita masih belum tahu Malaysia akan menerima spesifikasi yang bagaimana, kerana model di Indonesia dan Thailand menggunakan fork USD manakala model di India menggunakan fork biasa.

    Asas motosikal itu masih sama, di mana ia menggunakan enjin satu silinder 155 cc, DOHC sejukan cecair, dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 hp dan 15 Nm tork. Padanan transmisi pula adalah unit enam kelajuan, bersama klac jenis slipper & assist secara standard.

    Walaupun menggunakan enjin berkapasiti rendah, R15 V3 ini datang dengan kelengkapan sporty seperti tayar yang lebar – 100/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, brek cakera di belakang, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium. Tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 11 liter dan berat keseluruhannya adalah 137 kg.

    Agak menarik untuk melihat bagaimana penerimaan orang ramai terhadap model ini kerana ia adalah sebuah motosikal jenis sport dengan fairing penuh, tetapi enjin pula cuma 150 cc. Harganya pasti akan lebih tinggi daripada FZ150i, yang kini dikeluarkan dengan harga cadangan oleh Yamaha, tanpa GST RM8,638, dan kami menjangkakan ia mungkin boleh mencecah sehingga RM10,000 (kalau spesifikasi fork USD pastilah berbelas ribu).

    Kalau mahu melihat kepada pesaing pula, model terdekat yang ada di pasaran adalah Modenas Pulsar RS200, dan itupun kini dijual pada harga hampir RM11,000. Jadi, anda rasa kalau benarlah model yang akan dilancarkan hujung minggu ini adalah R15 V3, berapakah harganya? Adakah ia akan jadi ‘panas’ juga seperti Y15ZR dan NVX155?

    GALERI: Yamaha YZF-R15 V3 Thailand dan Indonesia

     
     
  • Harga petrol RON 97 turun 2 sen minggu ini – RM2.54

    Harga petrol RON 97 turun 2 sen minggu ini – RM2.54

    Selepas turun sebanyak 3 sen minggu lalu, harga petrol RON 97 bagi minggu 26 Julai – 1 Ogos akan turun lagi sebanyak 2 sen, menjadikan harga runcit terbarunya ialah RM2.54 seliter.

    Harga bahan api lain pula masih kekal sama disebabkan diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini. Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • Geely dipantau, jamin tenaga kerja Malaysia di Proton

    Geely dipantau, jamin tenaga kerja Malaysia di Proton

    Kerajaan Malaysia akan memantau dengan dekat Geely selaku pemegang kepentingan dalam Proton dalam usaha untuk memastikan rakyat Malaysia terus diberi keutamaan sebagai tenaga kerja di syarikat itu. Hal ini disuarakan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    “Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya mereka tidak patuh kepada tetapan undang-undang,” ujar beliau, dengan menambah syarikat luar tertakluk kepada undang-undang Malaysia bersangkutan pengambilan pekerja warga asing. Majikan dilarang memberhentikan tenaga kerja tempatan semata-mata ingin mengambil tenaga kerja dari luar, seperti yang termaktub di dalam Seksyen 60M Akta Pengambilan Pekerja 1955.

    Ini adalah maklum balas kepada soalan yang diajukan oleh ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid tentang langkah-langkah yang akan diambil sekiranya pengurusan asing di dalam syarikat tempatan enggan mengambil tenaga kerja tempatan. Menteri turut mengesahkan terdapat kekurangan petugas untuk memantau syarikat dan perniagaan ketika ini, dan kementerian berkenaan sudahpun memohon dari Kementerian Kewangan untuk menambah bilangan pemeriksa yang bertugas, tambah Kula.

    DRB-Hicom dan Geely telah memeterai perjanjian persefahaman pada Julai 2017, yang menyaksikan Geely memegang sebanyak 49.9% kepentingan dalam Proton. Turut dinyatakan dalam perjanjian itu ialah untuk menjadikan Proton sebagai hab pengilangan bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan bagi Geely. Model pertama bagi Proton hasil usaha sama ini ialah sebuah SUV, dijangka dilancarkan Oktober nanti.

     
     
  • Masjid bergerak pertama diperkenalkan di Jepun – persediaan untuk sukan Olimpik 2020 di Tokyo

    Sebuah masjid bergerak yang bakal digunakan ketika penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 telah didedahkan di Stadium Toyota, Toyota City, Wilayah Aichi di Jepun Isnin lalu.

    Masjid berkenaan dibina berasaskan trak kargo Hino Profia, diubahsuai bagi memberikan bukan sahaja ruang yang besar, malah pelbagai kelengkapan diberikan bagi mejadikan ia sebagai sebuah masjid yang lengkap. Menurut pengurusan projek ini iaitu Yasu Project, masjid ini “dihasilkan oleh peneraju teknologi untuk kenderaan ubahsuai khas di Jepun dan standard serta hasil akhirnya tidak mampu dicapai oleh pihak lain”.

    Dalam keadaan asal dan bergerak, ‘fasiliti’ ini merupakan trak kargo dengan lebar keseluruhan 2.5 meter. Namun setelah ia berhenti, bahagian sisi trak ini boleh dilebarkan sepanjang enam meter dengan hanya menekan butang elektrik, dan berubah dalam masa hanya lima minit.

    Masjid bergerak pertama diperkenalkan di Jepun – persediaan untuk sukan Olimpik 2020 di Tokyo

    Tambahan ruang berkenaan menjadikan ruang solat dalam masjid ini seluas 48 meter persegi, atau mampu memuatkan seramai 50 orang jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini juga lengkap dengan ruang wuduk pada bahagian luar, manakala dalam ruang solat ia dilengkapi dengan empat unit penghawa dingin bagi memastikan keselesaan jemaah dalam apa jua cuaca.

    Bekalan elektrik pada masjid ini dibekalkan oleh generatornya sendiri dengan jumlah kuasa 10 KVA. Bahagian bumbung masjid ini diberikan cat jenis GAINA yang diubahsuai dari kegunaan pembinaan sebenar, manakala dindingnya pula menerima cat yang biasanya digunakan pada teknologi angkasa iaitu cat berprestasi tinggi yang memberikan tebatan haba terbaik.

    Menurut Masjid Al Nour Islamic Center Fukuoka, projek ini telah dimulakan empat tahun lalu, namun dua tahun lalu pegawai eksekutif korporat Yasu Project, Encik Junya Imamura telah bertemu dengan mereka bagi membincangkan pandangan syariah islam berhubung pembinaan masjid bergerak untuk pelawat beragama Islam ketika berkunjung ke negara berkenaan ketika musim acara-acara besar.

    “Hampir dua tahun dari sekarang, Tokyo akan menganjurkan sukan Olimpik dan Paralimpik 2020, acara sukan besar yang akan menjadi tumpuan di mata dunia. Semakin hampir acara berkenaan, keterujaan di Tokyo dan seluruh negara turut meningkat. Semakin hampir tarikh berkenaan, kami juga turut menjangkakan peningkatan pelancong dari seluruh dunia. Salah satu tugas penting kami adalah untuk menyediakan infrastruktur pelancongan ketika acara tersebut yang akan memberikan pengalaman positif dan memuaskan kesemua pelawat yang datang dari pelbagai negara, kebudayaan dan kepercayaan,” kata pengerusi eksekutif komiti, Yasuharu Inoue.

    “Seiring dengan tugas kami untuk membina fasiliti utama di Tokyo dan kawasan sekelilingnya, dari venue utama di Stadium Nasional baharu hingga ke arena, hotel dan pelbagai lagi untuk acara tersebut, satu isu yang mahu saya bangkitkan iaitu memberikan omotenashi (hospitaliti dalam bahasa Jepun) untuk mereka yang beragama Islam, salah satu agama terbesar di dunia,” jelas Inoue lagi.

    Kita di Malaysia juga sebenarnya sudahpun mempunyai kemudahan hampir seperti ini, iaitu sebuah bas yang diubahsuai menjadi Surau Bergerak milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang disumbangkan oleh Bank Rakyat dua tahun lalu. Surau Bergerak berkenaan turut dilengkapi dengan kelengkapan untuk berwuduk dan sistem penghawa dingin, dan mampu memuatkan seramai 35 orang jemaah dalam satu-satu masa.

    GALERI: Surau Bergerak milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

     
     
  • Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Tujuh tahun selepas Audi Q3 pertama diperkenalkan, kini tiba masa penggantinya dari generasi kedua yang serba baru diperkenalkan. Audi Q3 2019 lebih besar, sarat dengan teknologi termaju dan tampil lebih menarik berbanding model lamanya.

    Rekaannya kini lebih dinamik, dengan keseimbangan rekaan yang lebih berketerampilan. Dimensinya ialah 4,485 mm panjang, 1,585 mm tinggi dan 1,856 mm lebar – versi terbaru Q3 ini 97 mm lebih panjang (77 mm daripadanya tambahan pada jarak antara roda), 25 mm lebih lebar dan 23 mm lebih rendah berbanding yang dulu.

    Dari depan, gril dengan kerangka tunggal disertai oleh rekaan lampu utama yang lebih tirus dan tajam – yang turut ditawarkan dengan unit Matrix LED seperti yang dilihat dalam gambar. Rekaan sisinya juga kini lebih menonjol, dengan bahagian garis badan yang sangat jelas, menjadi penghubung bahagian lampu di depan dan juga belakang.

    Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Ruang dalamannya juga kini bertambah luas. Tempat duduk belakang boleh dialih 150 mm ke depan/belakang dan boleh dilipat dalam tiga cara dengan nisbah 40:20:40. Bahagian penyandarnya juga boleh dilaras sebanyak tujuh tahap. Bergantung kepada kedudukan lipatan kerusi, ruang yang tersedia adalah di antara 530 liter hingga 1,525 liter. Lantai ruang barangan juga boleh dilaras kepada tiga tahap. Pintu elektrik dengan fungsi operasi menggunakan gerak kaki juga ada.

    Rekaletak ruang dalaman mengikut imej yang dibawa oleh model-model semasa Audi ketika ini. Ia dilengkapi dengan paparan skrin sentuh 10.1-inci dengan kemasan hitam berkilat pada papan pemuka. Beserta butang kawalan pendingin hawa, ia 10-darjah lebih condong ke arah pemandu. Panel instrumen digital Audi Virtual Cockpit juga ada.

    Antara yang turut ditawarkan pada sistem infotainmen ialah fungsi Google Earth dan radio hibrid, yang akan beralih secara automatik antara FM, DAB dan streaming atas talian untuk mengekalkan kualiti siaran. Sistem bunyi pula menggunakan unit dari Bang & Olufsen dengan audio 3D dan 15 pembesar suara.

    Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Sistem bantuan pemanduan juga tidak ketinggalan, seperti kawalan kruise adaptif yang bersekali dengan kawalan kelajuan adaptif, bantuan kesesakan jalan dan bantuan menukar lorong aktif bagi memudahkan pemandu. Empat kamera 360-darjah digunakan untuk memberikan input ketika masuk parkir, sementara fungsi park assist membantu input stereng.

    Bagi enjin, model ini ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol dan satu diesel, serta sistem pacuan depan atau quattro. Dengan janaan kuasa dari 150 hp hingga 230 hp, semuanya empat-silinder turbo yang diganding dengan tranmisi manual enam-kelajuan atau automatik klac-berkembar S-tronic tujuh-kelajuan.

    Ciri lain seperti kawalan menuruni bukit dan Audi Drive Select dengan enam pilihan profil turut tersedia. Ciri suspensi sport yang datang standard bagi varian S-Line, dilengkapi dengan talaan yang lebih padu dan bersekali dengan stereng progresif.

     
     
  • Subaru WRX STI Type RA-R – 329 PS, ringan, 500 unit

    Subaru WRX STI Type RA-R – 329 PS, ringan, 500 unit

    Versi paling ekstrem bagi model semasa Impreza telah pun muncul, yang diberi nama Subaru WRX STI Type RA-R. Hanya 500 unit sahaja yang ditawarkan di Japan, Type RA-R dianggap sebagai “model lengkap” bagi meraikan ulang tahun STI ke-30 yang jatuh pada tahun ini.

    Dibangunkan di bawah konsep “ringan, laju dan menyeronokkan,” Type RA-R membawakan asas “dipacu, di selekoh dan berhenti”. Hanya seberat 1,480 kg, Subaru berkata Type RA-R adalah 30 kg lebih ringan berbanding model perdana S208 dan S207, serta juga 10 kg lebih ringan berbanding standard WRX STI.

    Pengurangan berat ini memberikannya output sebanyak 329 PS pada 7,200 rpm dan tork 432 Nm dari 3,200 hingga 4,800 rpm. Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter EJ20 boxer bersama kotak gear manual enam-kelajuan dan AWD ciptaan Subaru.

    Subaru WRX STI Type RA-R – 329 PS, ringan, 500 unit

    Enjin ini menampilkan prestasi dengan ketegaran yang tinggi untuk penyejuk dalaman berfungsi dengan lebih baik, manakala sistem ekzos prestasi menyumbangkan tekanan belakang yang lebih rendah kepada output enjin yang lebih tinggi dan tindak balas yang lebih langsung. Juga dipadankan dengan ECU yang ditala khas, penutup klac yang seimbang dan flywheel, pengecas turbo scroll ball bearing berkembar dan saluran pengambilan silikon yang diperkukuhkan rekaan STI.

    Peredam (damper) dan pegas gegelung juga telah direka khas untuk Type RA-R, sementara tayar Michelin Pilot Sport 45 dipilih untuk membaluti roda aloi BBS 18-inci khas untuk STI. Bagi brek pula, ia didatangkan dengan cakera berventilasi Brembo 18-inci dengan kaliper enam-pot di hadapan dan dua-pot di belakang.

    Type RA-R boleh dikatakan versi yang bersifat minimalis. Tanpa wing besar, ia kelihatan ‘biasa-biasa’ sahaja berbanding STI biasa, namun ledakan kuasanya yang menjadikannya sebagai luar biasa. Model edisi terhad ini hanya di pasaran Jepun dan ditawarkan pada harga 4,998,240 yen (RM182,502).

    GALERI: Subaru WRX STI di Malaysia

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2.4L, ASX pilihan unit peronda PDRM – sumbangan PLUS Berhad, ANIH Berhad

    Mitsubishi Outlander 2.4L, ASX pilihan unit peronda PDRM – sumbangan PLUS Berhad, ANIH Berhad

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyumbang 15 unit Mitsubishi Outlander 2.4 liter kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk digunakan sebagai jentera peronda penguatkuasaan trafik di lebuhraya. Majlis serahan tersebut telah berlangsung di Persada PLUS, Subang Jaya baru-baru ini.

    SUV terbabit akan dikenali sebagai ‘Helang Polis Lebuhraya’ yang akan meningkatkan keberkesanan dalam menguatkuasakan undang-undang lalu lintas semasa musim perayaan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

    CEO Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Tomoyuki Shinnishi, yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata, “Mitsubishi Outlander diyakini dalam aspek keselamatan, juga sesuai sebagai kenderaan keluarga. Tetapi kini, kami gembira ia menjadi salah satu kenderaan yang terbaik di jalan raya. Outlander memenuhi semua keperluaan PDRM untuk membantu mereka dalam penguatkuasaan undang-undang lalu lintas di lebuhraya.”

    Dalam majlis berasingan, PDRM turut menerima lapan unit Outlander 2.4L dan ASX, kali ini adalah sumbangan ANIH Berhad. Menurut MMM, sumbangan daripada kedua-dua syarikat konsesi lebuhraya ini dianggarkan bernilai RM3 juta.

    Outlander 2.4L CKD ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter DOHC MIVEC dengan hamburan kuasa sehingga 167 PS dan tork 222 Nm. Malah ia juga dipadankan dengan transmisi INVECS-III CVT yang turut menyalurkan kuasa kepada sistem Multi-Select 4WD, yang merangkumi mod 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM155,000 (termasuk GST, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti kilang standard selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad dan dua-tahun penyelenggaran percuma.

    Manakala ASX pula dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder MIVEC (150 PS dan 197 Nm) dan dipadankan bersama transmisi automatik INVECS-III CVT. Ia ditawarkan pada harga RM112,400 untuk versi 2WD dan RM126,739 bagi 4WD.

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4 liter CKD

    GALERI: Mitsubishi ASX Adventure

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 kini kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di Litar Estoril, Portugal

    Type R Challenge 2018 sudah pun tiba dilitar keempat, kali ini Honda Civic Type R FK8 berwarna merah berkenaan mendarat di Litar Estoril, Portugal, untuk memecahkan rekod kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas.

    Tugas di Estoril ini digalas oleh pelumba Portugal sendiri iaitu Tiago Monteiro, yang turut memandu Civic Type R dalam Kejohanan TCR Dunia (WTCR). Litar dengan jarak 4.2-km, menampilkan dua selekoh pin rambut, laluan lurus utama yang panjang dan pelbagai selekoh mencabar berkenaan ‘diserang’ oleh Monteiro dalam masa 2 minit 1.84 saat.

    Rekod tersebut jelas jauh lebih pantas dari rekod terakhir dicatatkan pada tahun 2016 oleh Bruno Correia yang memandu Honda Civic Type R FK2 dengan catatan 2 minit 4.08 saat.

    “Kami datang ke sini dengan sasaran untuk memecahkan rekod lap terpantas yang dicatatkan kereta sebelum ini tetapi anda tidak boleh mengambil mudah – maksud saya ia adalah rekod lap dan ia bukan mudah untuk dilakukan. Anda perlu sangat yakin terhadap kereta untuk menyerang Estoril, dan Type R baharu ini sangat berkuasa, lancar dan berinspirasikan keyakinan. Kami telah mencatatkan rekod baharu, memecahkan rekod sebenarnya,” kata Monteiro.

    “Type R sangat stabil dan mempunyai keberkesanan brek yang sangat baik serta enjin yang menakjubkan jadi anda rasa seperti memandu sebuah kereta lumba – di litar agak mudah lupa bahawa ia sebuah kereta jalan raya sebenar, tetapi selepas itu anda boleh memandunya pulang ke rumah. Type R baharu ini menrupakan evolusi yang cukup besar. Maksud saya kita berbicara berkenaan kereta yang lain sepenuhnya dari segi rekaan, aero, suspensi, geometri, enjin, tetapi perasaannya ketika memandu mengatasi lebih dari benda lain,” tambahnya.

    Ekspedisi ‘serangan litar-litar ikonik Eropah’ Type R Challenge 2018 telah pun memecahkan rekod tiga litar sebelum ini iaitu Silverstone di UK, Spa Francorchamps di Belgium dan juga Magny Cours di Perancis.

    Projek ini menggunakan hanya sebuah kereta yang sama iaitu Honda Civic Type R FK8 berwarna merah standard sepenuhnya, dijana enjin asal 2.0L DOHC VTEC Turbo berkuasa 320 PS/400 Nm dan kotak gear enam kelajuan manual,memacu roda hadapan.

     
     
  • Promosi “Seize The Deal” dari Ford tawar penjimatan mencecah RM113,000 – sah sehingga 31 Ogos 2018

    Promosi “Seize The Deal” dari Ford tawar penjimatan mencecah RM113,000 – sah sehingga 31 Ogos 2018

    Sime Darby Auto Connexion telah mengumumkan kempen promosi baru “Seize The Deal”, yang menawarkan rebat dan potongan harga sehingga 17% bagi model-model terpilih Ford. Ini adalah sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar yang sedang berlangsung ketika ini. Sah untuk seluruh negara bagi semua varian Mustang, Fiesta dan Ranger, promosi ini adalah bagi kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Ogos nanti.

    Harga bagi Mustang bermula dari RM396,271 bagi model tahun 2016 dan 2017 versi sebelum facelift yang kini menawarkan penjimatan sehingga RM113,000. Mustang ditawarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua varian, iaitu GT 5.0L dan 2.3L Ecoboost serta datang dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun.

    Sementara itu, pembeli Fiesta 1.5L boleh menikmati rebat sehingga 17% juga sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar. Gabungkan kedua-duanya, penjimatan yang boleh diperoleh ialah sehingga RM20,300 – model ini dijual pada harga RM68,401.

    Bagi trak pikap Ranger pula, pembeli boleh menikmati potongan sehingga 11% sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar, sepanjang tempoh kempen ini. Ditawarkan dalam 10 varian termasuk Wildtrak, FX4, XLT, XL dan Standard, dengan harga bermula dari RM70,910. Ini diterjemahkan kepada penjimatan mencecah RM19,830.

     
     
  • Kerajaan Perak sedia bantu Proton bagi sediakan tambahan tapak untuk kilang di Tanjung Malim

    Kerajaan Perak sedia bantu Proton bagi sediakan tambahan tapak untuk kilang di Tanjung Malim

    Proton kini sedang menaiktaraf dan memperbesarkan kilang pengeluarannya yang terletak di Tanjung Malim, Perak, seriring langkah pembaharuan pengeluar kereta nasional itu dengan rakan strategik asingnya, Zhejiang Geely Holding Group (Geely). Justeru, bagi tanda sokongan terhadap usaha Proton, kerajaan negeri Perak berbesar hati membantu syarikat itu bagi menyediakan tambahan tapak untuk menjayakan tujuan tersebut.

    Laporan Bernama menyebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata memandangkan Proton kini sedang berkembang, ia memerlukan kawasan yang lebih, jadi kerajaan negeri akan memberi kerjasama terutama dalam penyediaan tapak.

    “Kita juga akan bekerjasama melalui agensi dan jabatan kerajaan supaya proses meluluskan (tanah) dapat dipercepatkan bagi mengelak proses pengeluaran terganggu,” katanya selepas melawat kilang Proton semalam.

    Mohammad Nizar berkata penyediaan tapak tersebut adalah usaha dan sokongan dari kerajaan negeri bagi memastikan perusahaan Proton terus berkembang dan bertahan selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi masyarakat di kawasan Tanjung Malim.

    “Untuk model pertama SUV Proton, ia akan mula dikeluarkan untuk pemasangan tempatan (CKD) awal tahun hadapan jadi kita mahu proses tersebut tidak terganggu. Kita juga berharap fasiliti di kilang Proton Shah Alam dipindahkan ke Tanjung Malim untuk memudahkan proses pemasangan dan dapat memberi manfaat masyarakat setempat terhadap industri otomobil di sini,” katanya.

     
     
  • Kumpulan Naza sumbangkan RM1,000 untuk Tabung Harapan Malaysia dari jualan setiap unit kenderaan

    Kumpulan Naza sumbangkan RM1,000 untuk Tabung Harapan Malaysia dari jualan setiap unit kenderaan

    Kumpulan Naza telah umumkan akan menyumbang sebanyak RM1,000 kepada Tabung Harapan Malaysia bagi setiap kereta yang dijual, bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Ogos nanti. Naza merupakan pengedar sah bagi jenama-jenama seperti Ferrari, Maserati, Peugeot, Citroen, DS dan Kia di Malaysia, selain turut menjadi pengedar bagi Mercedes-Benz.

    “Kumpulan Naza berbesar hati untuk memainkan peranan dalam menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia. Ini juga merupakan cara kami berterima kasih kepada kerajaan di atas usaha untuk mewujudkan suasana ekonomi dan politik yang stabil, termasuk juga dengan tempoh tanpa cukai selama tiga bulan yang diberikan,” jelas CEO kumpulan, SM Nasarudin SM Nasimuddin

    “Sebagai sebuah syarikat tempatan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mana yang termampu terhadap negara tercinta ini. Tambahan pula kita akan menyambut Merdeka bagi tahun yang ke-61 dan tahun ke-55 sebagai negara Malaysia,” tambahnya lagi.

     
     
  • Tamiya umum jentera LMP1 Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid dalam bentuk kereta lumba Mini 4WD

    Tamiya umum jentera LMP1 Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid dalam bentuk kereta lumba Mini 4WD

    Tamiya sebelum ini pernah menghasilkan jentera lumba Mini 4WD dengan badan yang diinspirasikan dari kereta sebenar seperti Daihatsu Copen dan juga Nissan Bee-1. Terkini, pengeluar model plastik terulung Jepun berkenaan mengumumkan kereta lumba LMP1 Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid akan dijelmakan sebagai salah satu model dalam siri jentera lumba berskala 1/32 berkenaan.

    Mini 4WD TS 050 tersebut dihasilkan menggunakan casis dari siri MA, iaitu casis dengan motor elektrik diletakkan pada bahagian tengah kereta, menjadikan ia sebagai kereta lumba dengan titik graviti yang sangat rendah. Penggunaan casis dengan enam roller standard tersebut juga menjadikan panjang keseluruhan kereta ini adalah 156 mm.

    Apa yang menarik lagi, badan untuk Toyota Gazoo Racing TS 050 ini bukanlah diperbuat dari plastik keras seperti model Mini 4WD lain, sebaliknya diperbuat dari material polycarbonate seperti badan kebanyakkan model kawalan jauh (RC) yang bukan sahaja lebih ringan, malah boleh dibina dengan lebih terperinci. Walau bagaimanapun, Tamiya masih lagi belum mengumumkan harga model Mini 4WD ini, malah tarikh pelancarannya juga masih belum diumumkan.

    Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2016, dan ia bukan sahaja dibina untuk berlumba di Le Mans 24 Jam, malah turut berlumba di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC). Kereta lumba dengan enjin turbo 2.4 liter V6 bersama sistem motor elektrik yang menghasilkan sekitar 1,000 hp ini kecundang tiga minit sebelum perlumbaan Le Mans 24 Jam 2016 tamat ketika ia sedang mendahului, namun akhirnya berjaya bergelar juara pada perlumbaan yang sama untuk musim 2017.

    GALERI: Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid

     
     
  • Suzuki Jimny generasi keempat sah masuk Thailand

    Suzuki Jimny generasi keempat sah masuk Thailand

    Kalau menurut Headlightmag, Suzuki Jimny terbaru kini sah akan masuk pasaran Thailand. Tapi, masih belum pasti model 4×4 kompak berkenaan akan dipasang di sana atau tidak – Suzuki memang ada kilang pemasangan di sana – atau sebaliknya diimport masuk dari Jepun atau Indonesia.

    Jimny bukanlah sebuah nama yang perlukan pengenalan lagi; sejarah panjangnya sebagai sebuah kenderaan dengan kemampuan 4×4 yang sebenar tidak dinafikan lagi. Dipertontonkan bulan lalu, model generasi keempat yang menerima pembaharuan sepenuhnya ini akan terus memanfaatkan binaan ladder frame. Ini sebuah kenderaan 4×4 sebenar dengan sistem pacuan 4WD, bukan sekadar acah-acah.

    Dua gaya badan ditawarkan untuk pasaran Jepun, dengan satu daripadanya lebih ringkas penampilan yang dikenakan, dikenali sebagai Jimny. Manakala versi yang lebih tegap dengan bampar besar serta fender yang lebih lebar digelar Jimny Sierra.

    Suzuki Jimny generasi keempat sah masuk Thailand

    Jimny yang lebih ringkas tampil paling kompak, dengan 155 mm lebih pendek, 170 mm kurang kelebaran dan 5 mm lebih rendah berbanding model Sierra. Kedua-duanya bagaimanapun menggunakan jarak antara roda yang sama, iaitu 2,250 mm dan datang dengan 377 liter ruang barangan – 53 liter lebih besar berbanding dahulu.

    Jimny “kecil” dikuasakan oleh nejin 660 cc turbo dengan janaan 64 PS dan 96 Nm. Di Jepun, pelanggan boleh memilih antara transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    Jimny Sierra di Jepun dan pasaran global lain akan menggunakan enjin 1.5 liter bagi menggantikan versi 1.3 liter sebelum ini. Kuasa yang dijanakan pula ialah 102 PS/130 Nm dengan daya tork yang lebih kuat pada semua tahap rpm berbanding yang dulu. Walaupun kapasiti bertambah, saiz enjinnya lebih kecil dan 15% lebih ringan berbanding yang lama. Pilihan transmisi sama; automatik empat-kelajuan atau manual lima-kelajuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026