Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Plaza tol PD arah utara ditutup hingga 20 Julai – PLUS

    Plaza tol PD arah utara ditutup hingga 20 Julai – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan penutupan jalan susur keluar Plaza Tol Port Dickson (PD) arah utara, selama empat hari bermula 16 (hari ini) hingga 20 Julai 2018, iaitu di antara jam 8 malam hingga 8 pag bagi menjalankan kerja-kerja menaiktaraf jalan

    Sehubungan itu, orang ramai dari arah selatan atau dari Pedas Linggi serta Senawang dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif untuk ke Port Dickson iaitu keluar melalui Plaza Tol Seremban-masuk semula ke lebuh raya-keluar melalui Plaza Tol Port Dickon arah selatan-Port Dickson. Selain itu, pengguna jalan raya juga boleh keluar melalui Plaza Tol Seremban-Seremban 2-Mambau-Port Dickson.

    Alternatif lain pula ialah keluar melalui Plaza Tol Seremban-Bandar Baru Sendayan-Port Dickson atau pun melalui Plaza Tol Bandar Ainsdale-masuk semula ke lebuh raya-keluar melalui Plaza Tol Port Dickson arah selatan-Port Dickson

    Walau bagaimanapun, laluan lorong masuk Plaza Tol Port Dickson arah utara masih dibuka dan beroperasi seperti biasa untuk pengguna yang menghala ke Seremban, Nilai atau Kuala Lumpur.

    PLUS turut menasihatkan semua pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang dikeluarkan.

     
     
  • Honda, Panasonic mula program perkongsian bateri e-bike di Indonesia, lokasi awal di Bandung dan Bali

    Honda, Panasonic mula program perkongsian bateri e-bike di Indonesia, lokasi awal di Bandung dan Bali

    Honda Motor Co dan Panasonic Corporation akan memulakan kerjasama pada Disember untuk melakukan kaji selidik bagi program perkongsian bateri kenderaan di Indonesia. Beberapa tempat sudah dikenal pasti untuk tujuan ini, iaitu di Bandung serta dua lagi di Denpasar dan Badung, Bali. Program ini akan membolehkan pengguna e-bike untuk menukar bateri di beberapa lokasi terpilih.

    Honda dan Panasonic akan bekerjasama untuk membina beberapa stesen pengecas, dengan bantuan subsidi dari Organisasi Tenaga Baru dan Pembangunan Teknologi Industrial Jepun. Beberapa bateri, atau Mobile Power Packs, boleh dicas di stesen-stesen berkenaan dan pengguna dengan kadar bateri yang rendah juga boleh menukar bateri mereka dengan unit yang sudah dicas penuh.

    Sebagai pasaran motosikal terbesar di dunia, Indonesia menghadapi banyak masalah dengan kesesakan lalu lintas serta pencemaran udara dan dengan adanya kenderaan elektrik, ia diharap dapat mengurangkan masalah berkenaan. Projek ini akan diselia oleh sebuah syarikat usahasama Pt. HPP Enegry Indonesia dengan pemantauan tapak dilakukan oleh Pacific Consultants.

     
     
  • Tol akan dihapuskan, tapi ambil masa – Baru Bian

    Tol akan dihapuskan, tapi ambil masa – Baru Bian

    Kerajaan Pakatan Harapan akan melunaskan janji bagi menghapuskan kutipan tol, walau bagaimana rakyat perlu bersabar, ujar Menteri Kerja Raya Baru Bian kepada The Star. “Kita bekerja keras untuk menunaikan janji dalam manifesto PRU14. Apa yang kita janjikan, akan kita tunaikan,” ujarnya.

    Menteri Kerja Raya tersebut turut berkata banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum kutipan tol dapat dihapuskan. “Kita tak boleh tergesa-gesa dalam soal itu,” tambahnya, sambil berkata parti pemerintah yang baru dipilih akan melakukan perkara dengan cara yang betul. “Apa yang penting adalah hasrat kami untuk menunaikan janji-janji itu. Saya minta agar rakyat terus bersabar,” kata Baru lagi.

    Dalam manifesto PRU14, kerajaan Pakatan Rakyat berjanji akan menghapuskan tol secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang, dan sekiranya kerajaan mengambil alijk semula obligasi hutang pengendali tol, ia perlu membayar lebih kurang RM55 bilion, tidak termasuk pampasan. Dalam laporan berasingan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, janji untuk menghapuskan tol akan dinilai sekali lagi berdasarkan keadaan kewangan negara.

     
     
  • VIDEO: Toyota Supra tunjuk aksi di Festival Goodwood

    Kembalinya model yang menggunakan nama Supra oleh Toyota sememangnya sesuatu yang mengujakan bagi peminat dunia automotif. Telah banyak teaser yang dikeluarkan berkenaan kereta sports ini, namun ia tidak pernah menunjukkan aksi kepada orang ramai secara berdepan kecuali dan paling terbuka pun cuma model versi perlumbaan yang didedah semasa Geneva Motor Show.

    Namun semasa acara Goodwood Festival of Speed yang masih lagi berlangsung sekarang di United Kingdom, Supra A90 baru telah membuat kemunculan pertama dan menunjukkan sedikit aksi atas litar dalam kawasan acara tersebut. Ia walaubagaimanapun masih lagi menggunakan pelekat camouflage yang menyembunyikan bentuk badan sebenarnya.

    VIDEO: Toyota Supra tunjuk aksi di Festival Goodwood

    Seperti ramai yang sudah ketahui, Supra A90 baru dibangunkan bersama dengan BMW, iaitu untuk model Z4 tetapi keduanya akan mempunyai identiti tersendiri. Untuk enjin pula, Toyota sebelum ini pernah memberitahu bahawa model yang dibawa ke Goodwood ini dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris supaya sama seperti Supra dulu.

    Melalui video ini, anda dapat mendengar sedikit bunyi enjin kereta ini, dan menurut pengulas video Goodwood Festival tersebut, ia mempunyai kuasa sekitar 340 hp dan berat 1,500 kg. Kereta ini juga menggunakan pacuan roda belakang manakala enjin pula terletak di hadapan.

    GALERI: Toyota Supra konsep versi perlumbaan di Geneva

     
     
  • Liberty Walk hasilkan GT-R comel dari Daihatsu Copen

    Liberty Walk hasilkan GT-R comel dari Daihatsu Copen

    Kalau anda biasa dengan budaya ubahsuai dari Jepun, tentu kenal dengan Liberty Walk atau dikenali juga dengan nama LB Performance yang gemar menghasilkan kit-kit badan lebar untuk kereta-kereta eksotik. Namun kali ini hasil dari LB ini ada lain sikit – mereka menghasilkan kit untuk K-roadster, Daihatsu Copen bagi menjadikannya sebuah replika Nissan GT-R R35 bersaiz comel!

    ‘Bintang utama’ pada kit ini tentulah pada bampar hadapannya. Untuk pengetahuan anda, bampar tersebut memang dihasilkan menggunakan bampar GT-R sebenar dimana LB Performance telah memotong bagi mengecilkannya dan dimuatkan pada muka Copen berkenaan.

    Kit ini turut menyerlah rekaan signatur Liberty Walk iaitu overfender untuk keempat-empat sudut bagi menampakkan Copen GT-R ini lebih lebar, bampar belakang dengan rekaan agresif bersama diffuser yang turut menempatkan ruang tip ekzos lebih besar, dan tidak ketinggalan sayap GT bersaiz besar pada but belakang.

    Walau bagaimanapun, tiada kit prestasi untuk sistem mekanikal diumumkan. Di Jepun, Daihatsu Copen dijana enjin 658 cc bagi memenuhi syarat penghasilan K-Car, menghasilkan kuasa 63 hp/92 Nm. Enjin tersebut hadir dengan pilihan kotak gear sama ada manual lima kelajuan bersama LSD atau automatik CVT. Copen mungkin nampak seperti roadster sebenar, namun ia sebenarnya sebuah model pacuan roda hadapan.

     
     
  • MINI Hatch facelift dilancarkan di Malaysia – Cooper S tiga/lima-pintu, JCW tiga-pintu, harga RM227k-283k

    MINI Hatch facelift dilancarkan di Malaysia – Cooper S tiga/lima-pintu, JCW tiga-pintu, harga RM227k-283k

    MINI Malaysia telah melancarkan model MINI facelift untuk model S cooper tiga-pintu, S Cooper lima-pintu baharu dan MINI John Cooper Works (JCW) yang ditampilkan dengan imej yang lebih bergaya di samping inovasi dalam teknologi pemanduan yang lebih pelbagai.

    MINI Cooper S tiga- dan lima-pintu baharu ini dikuasakan oleh Enjin Turbo TwinPower 2.0-liter empat-Silinder. Kedua-duanya boleh menjana 192 hp dan tork sebanyak 280 Nm, dengan kelajuan yang boleh mencecah 235 km/j. MINI tiga-Pintu boleh mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dengan kombinasi emisi CO2 sebanyak 125 g/km, serta kombinasi penggunaan minyak sebanyak 5.5 l/km. Sementara itu, MINI lima-pintu pula boleh memecut dari kelajuan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat. Kombinasi emisi CO2 MINI 5 Pintu tersebut ialah 128 g/km, manakala kombinasi penggunaan minyak pula terdiri pada kadar 5.6 l/km.

    Kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan Steptronic Sports, iaitu antara MINI yang pertama dipadankan dengan teknologi ini. Transmisi ini dibantu sepenuhnya oleh fungsi mekanikal penukar tork. Gear yang diperluas dan ruang penukaran gear yang lebih besar juga menyumbang kepada kadar penggunaan minyak dan emisi CO2 yang lebih rendah.

    MINI Hatch facelift dilancarkan di Malaysia – Cooper S tiga/lima-pintu, JCW tiga-pintu, harga RM227k-283k

    Bagi MINI JCW baharu ini pula didatangkan dengan enjin Turbo TwinPower 2.0-liter empat-Silinder MINI yang berupaya untuk menjana 231 hp dan tork sebanyak 320 Nm. Ia membolehkan jentera tersebut untuk memecut dari kelajuan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-Kelajuan Steptronic Sports yang membolehkan ia mencapai kelajuan setinggi 246 km/j. Manakala kadar penjimatan bahan api sekitar 6.0 l/100 km dan kombinasi emisi CO2 sebanyak 137 g/km.

    Menurut MINI, enjin model terbaharu ini telah ditambahbaik untuk memberikan pengalaman pemanduan yang memuaskan dan mengurangkan tahap penggunaan minyak. Tambahan lagi, dengan pelindung enjin yang 13% lebih ringan, ia dibuat secara progresif menggunakan Carbon Fibre Reinforced Plastic (CFRP). Dengan itu, MINI baharu kini menawarkan enjin yang lebih ringan melalui penurunan berat sehingga lapan kilogram berbanding berat keseluruhannya, lantas menyumbang kepada penambahbaikan kadar penggunaan minyak secara radikal dan memenuhi standard Euro 6c yang terkini.

    Fungsi peluncuran (coasting) yang sebelum ini hanya boleh dialami melalui mod GREEN kini boleh diaktifkan melalui mod MID dengan MINI Terbaharu. Fungsi tersebut mampu menukar status enjin secara pintar ke status lahu apabila tekanan dibebaskan dari pedal pemecut sewaktu kereta sedang bergerak.

    Bagi pembaharuan gaya dibawa, MINI tiga-pintu ditampil dengan roda Cosmos Spoke 17-inci berwarna Hitam, saduran istimewa cat hitam memberikan kereta tersebut rupa paras yang lebih dinamik lantas menonjolkan efek kemasan berkilat yang tinggi serta warna hitam yang gelap pada bahagian rim.

    Manakala untuk MINI lima-pintu pula, ia didatangkan dengan roda John Cooper Works Track Spoke 17-inci berwarna hitam dengan efek berkilat, malah dicipta secara eksklusif untuk memberi sokongan berat yang optimum dan turut dilengkapi dengan tayar run-flat. Lagi satu ciri menarik ialah kit Aerodinamik John Cooper Works yang dimuatkan pada varian. Selain itu, ia menampilkan spoiler belakang yang menawan.

    MINI JCW baharu pula ditampilkan dengan beberapa ciri-ciri yang eksklusif termasuk trim hitam, lampu hadapan dan belakang LED, roda John Cooper Works Cup Spoke dua-tona 18-inci dan jaluran bonet John Cooper Works. Jentera ini juga dilengkapi dengan bumbung matahari panoramik.

    Logo MINI yang klasik juga disegarkan semula untuk kesemua model kenderaan ini melalui modifikasi yang samar dan kontras yang lebih tajam. Kini, logo asal yang diinterpretasikan semula menampilkan “rekaan rata” dua dimensi yang mencerminkan identiti jenama tersebut dan memfokuskan ciri-ciri utamanya. Selain itu, dengan Projeksi Logo MINI, pemandu kini akan disambut dengan logo baharu MINI yang akan dipancarkan ke atas permukaan lantai setiap kali mereka memasuki atau keluar dari jentera MINI mereka.

    Bagi bahagian dalamannya, MINI tiga-pintu dilengkapi paparan skrin sentuh dengan navigasi, iaitu sebuah skrin resolusi tinggi pada Instrumen Pusat MINI, paparan 6.5-inci yang boleh dioperasikan dengan MINI Controller atau skrin sentuh, MINI Connected yang akan membolehkan pemilik kenderaan ini untuk mengintegrasi telefon pintar, aplikasi telefon pintar dan Aplikasi MINI Connected ke kenderaan MINI mereka. Aplikasi MINI Connected tersebut membolehkan pemilik kenderaan memeriksa tahap penggunaan minyak, jarak penggunaan minyak dan lokasi terakhir.

    Selain itu, ia turut menampilkan kamera pandangan belakang, pengawal jarak parkir dan pencahayaan MINI Yours Illuminated Cockpit dengan lambang Union Jack, menampilkan 12 warna yang boleh disesuaikan mengikut mood pemandu. Kemasan ruangan dalaman digayakan dengan sulaman Leather Cross Punch berwarna hitam. Bagi MINI lima-pintu pula, ciri yang ditampilkan sama seperti MINI tiga-pintu tetapi ditambah dengan gaya dalaman paten hitam berkotak.

    Ruangan dalaman MINI JCW baharu berfungsi sebagai komplemen terhadap tarikan ralinya, ia titampilkan dengan tempat duduk kereta lumba John Cooper Works yang disulam dengan Dinamica Leather, dikemaskan dengan jaluran Chili Red, alas bumbung berwarna hitam dan pedal keluli tahan karat.

    Mengekalkan falsafah personalisasi MINI, fascia kokpit jentera MINI JCW baharu ini sekarang boleh dipadankan mengikut kehendak pemilik. Ia merupakan satu lagi tawaran ihsan program MINI Yours Customised, penawaran ini julung kalinya diperkenalkan bagi segmen kenderaan seumpamanya dan merupakan ciri yang membezakan model MINI.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan skrin sentuh 8.8-inci, navigasi, Pengenalpastian Bahasa Natural (Natural Language Recognition), paparan utama dan merupakan kereta pertama dalam segmen seumpamanya yang memperkenalkan fungsi pengecasan tanpa wayar bagi telefon pintar.

    MINI Hatch facelift dilancarkan di Malaysia – Cooper S tiga/lima-pintu, JCW tiga-pintu, harga RM227k-283k

    Varian tiga- dan lima-pintu hadir dengan pilihan warna Chilli Red, Pepper White, Emerald Grey, white Silver, Starlight Blue dan British Racing Green yang dipadankan dengan bumbung hitam. Walau bagaimana pun warna Chilli Red juga boleh dipadankan dengan bumbung putih. Malah MINI tiga-pintu juga ditampilkan dengan satu lagi pilihan warna iaitu Solaris Orange.

    Bagi MINI JCW pula, ia ditawarkan dengan warna Rebel Green, Midnight Black dan Pepper White dengan bumbung merah, serta Chilli Red dengan bumbung hitam.

    Buat julung kalinya di rantau Asia Tenggara, MINI Malaysia telah memperkenalkan MINI Yours Customised Accessoriesdengan menawarkan beberapa komponen seperti ketutup sisi (side scuttles), fascia kokpit, kemasan ambang pintu LED dan projektor pintu LED untuk dihasilkan mengikut spesifikasi peribadi pelanggan.

    MINI Hatch facelift dilancarkan di Malaysia – Cooper S tiga/lima-pintu, JCW tiga-pintu, harga RM227k-283k

    Harga yang ditawarkan bagi MINI tiga-pintu baharu ini ialah RM226,888, manakala RM236,888 bagi MINI lima-pintu baharu. Untuk MINI JCW pula berharga RM283,888. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan dan servis berjadual percuma.

    Selain itu, ia turut dilindungi oleh program Bantuan Tepi Jalan selama lima-tahun yang merangkumi servis-servis komprehensif seperti bantuan kemalangan 24-Jam, 365-hari-setahun, bantuan melalui telefon serta talian kecemasan, servis penundaan percuma dan sekiranya perlu (lebih daripada 200 KM dari tempat kediaman), kenderaan ganti, mobiliti lancar, akomodasi, solusi servis mobiliti serta servis repatriasi.

    GALERI: MINI Cooper S tiga-pintu facelift

    GALERI: MINI Cooper S lima-pintu facelift

    GALERI: MINI John Cooper Works facelift

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Honda HR-V RS facelift 2018 di M’sia

    Honda HR-V facelift 2018 sudah pun membuat penampilan di Malaysia, dan ia dipertontonkan awal sebelum pelancaran sebenar yang mungkin akan berlaku tidak lama lagi. Barisan penuh model yang akan ditawarkan di pasaran Malaysia masih belum diumumkan, tetapi unit pra tonton awal ini menunjukkan varian paling tinggi yang menggunakan lencana RS.

    Tiada perubahan mekanikal yang diberi kepada model SUV kompak baru ini, dan ia masih lagi menggunakan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC 142 PS dan 172 Nm yang dipadankan bersama trasmisi CVT. Kebanyakan perubahan yang diberi adalah pada bahagian luar – di hadapan terdapat bampar, gril serta lampu utama dan lampu kabus LED baru manakala di belakang, bampar juga menggunakan rekaan baru, bersama grafik nyalaan lampu LED baru.

    Varian RS ini juga menampilkan penggunaan kemasan krom gelap, serta beberapa bahagian lain yang diwarnakan hitam berkilat. Ia juga dilengkapi dengan rim 18 inci dua tona dan akan datang bersama kamera titik buta Honda LaneWatch. Untuk HR-V facelift ini, satu warna baru akan diperkenalkan iaitu Passion Red Pearl.

    Selain kemungkinan perubahan kemasan dan fabrik yang diguna, bahagian dalam sepatutnya tidak banyak berubah, dan mungkin akan datang dengan sistem infotainmen skrin sesentuh baru memandangkan kamera undur akan diberi secara terus untuk semua varian. Bagi aspek keselamatan, semua varian HR-V facelift juga didatangkan terus dengan enam beg udara, tetapi sistem brek kecemasan autonomous City Brake Active System (CTBA) tiada pada model ini.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Camry generasi baharu dijumpai sedang diuji di Thai – rupa sama seperti versi Amerika

    SPYSHOT: Toyota Camry generasi baharu dijumpai sedang diuji di Thai – rupa sama seperti versi Amerika

    Toyota Camry generasi kelapan sudah pun membuat kemunculannya di Amerika tahun lalu, kemudian turut telah dijual di pasaran Jepun dan Australia. Namun untuk rantau ASEAN, masih lagi belum jelas bila sedan segmen-D generasi baharu ini akan diperkenalkan. Kemunculan kereta tersebut diuji dengan pelekat penyamaran di Thailand ini mungkin menandakan ia akan tiba tidak lama lagi.

    Gambar ini disiarkan oleh portal permotoran Thai iaitu Chobrod, yang menurut mereka ia diambil dari pengguna Facebook. Gambar dengan resolusi agak rendah ini mendedahkan Camry tersebut hadir dengan rupa yang sama seperti pasaran-pasaran yang sudah menerimanya, tidak seperti model sedia ada di mana model di ASEAN berbeza dengan model dari pasaran Amerika.

    Tetapi apa yang belum pasti adalah unit penjana untuk model pasaran asia tenggara ini, sama ada ia akan menggunakan enjin 2.5 liter Dynamic Force berkuasa 206 hp/253 Nm, 2.0 liter NA sama seperti model sedia ada dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 167PS/ 199 Nm atau 2.5 liter NA berkuasa 178 hp/235 Nm (turut ditawarkan di Australia).

    Versi hibrid Camry ini turut dijangka akan tiba ke rantau ini, dijana enjin 2.5 liter Dynamic Force berkuasa 176/hp digabungkan bersama motor elektrik 118hp/202 Nm menjadikan kuasa keseluruhan 214 hp.

    GALERI: Toyota Camry SX 2018 pasaran Australia

     
     
  • Honda PCX 2018 sudah tiba di Malaysia – RM10,999

    Honda PCX 2018 sudah tiba di Malaysia – RM10,999

    Setelah dilancarkan untuk pasaran Indonesia pada Disember tahun lepas, kini skuter Honda PCX 2018 tiba di Malaysia dengan harga jualan RM10,999 tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain. Untuk model baru ini, tiga warna yang ditawarkan iaitu dua warna baru Euphoria Red Metallic dan Radiate Grey Metallic, serta Pearl Metalloid White yang sudah ada sebelum ini.

    Perubahan paling ketara pada model baru ini sudah tentu adalah penampilannya, yang kini kelihatan lebih moden, dengan panel badan yang lebih tajam dan terdapat lampu utama, lampu belakang dan lampu siang LED rekaan baru. Di sebalik badan ini pula terdapat kerangka baru lebih ringan yang menjadikan jarak rodanya lebih pendek.

    Sebagai sebuah skuter, PCX terus mengutamakan praktikaliti di mana di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan 25 liter yang boleh memuatkan topi keledar fullface, soket 12V di ruang simpanan kecil di bawah pemegang dan sistem kunci pintar baru dengan fungsi bunyi amaran.

    Pada bahagian meter, PCX baru ini menggunakan unit digital penuh, dengan pelbagai informasi termasuk lampu amaran, peringatan waktu servis, jam digital, odometer, penunjuk Idling Stop System, penunjuk tahap minyak dan penunjuk penggunaan bahan api.

    Enjin PCX baru ini masih lagi sama seperti sebelumnya, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api PGM-FI 149 cc SOHC penyejukan udara yang berkuasa 14.5 hp dan 13.6 Nm tork, tetapi transmisi CVT padanya telah dilaras semula untuk memberikan nisbah gear lebih luas. Turut diperlengkap pada PCX adalah sistem start/stop yang dapat mematikan enjin apabila berhenti dan kembali hidup apabila pendikit dipulas.

    Kelengkapan lain yang ada pada PCX baru ini adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, rim 14 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, berat 130 kg dan tinggi tempat duduk 764 mm.

     
     
  • Kerajaan perkenal peraturan baru untuk GRAB dan khidmat e-hailing lain – lesen PSV, PUSPAKOM

    Kerajaan perkenal peraturan baru untuk GRAB dan khidmat e-hailing lain – lesen PSV, PUSPAKOM

    Pemandu untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan e-hailing seperti Grab perlu mematuhi beberapa peraturan baru yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan kesamarataan bagi pengendali khidmat ini, serta pengendali teksi biasa. Menurut laporan daripada The Sun, peraturan baru ini telah diumumkan oleh menteri pengangkutan, Anthony Loke semalam.

    Melalui peraturan baru ini, pemandu kenderaan e-hailing perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dengan kos RM115 setahun, dan pemeriksaan kenderaan tahunan perlu dilakukan oleh PUSPAKOM. Walaupun begitu, semua yang terlibat masih mempunyai masa selama satu tahun untuk melakukan pelarasan sebelum ia dikuat kuasakan sepenuhnya tahun depan.

    “Servis e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan bermula 12 Julai melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial (Pindaan) 2017. Dengan ini, syarikat e-hailing mesti mendaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan perlu membayar yuran,” kata Loke kepada media.

    Kerajaan perkenal peraturan baru untuk GRAB dan khidmat e-hailing lain – lesen PSV, PUSPAKOM

    Beliau turut menambah bahawa pemandu khidmat e-hailing mesti melalui kursus enam jam yang berharga RM200 di institusi memandu yang ditentukan untuk mendapat lesen PSV, dan mereka perlu melepasi pemeriksaan rekod jenayah serta kesihatan. Untuk menjadikan keadaan lebih adil, teksi juga perlu melalui pemeriksaan kenderaan tahunan (sekarang ini dua kali setahun), dan ia juga melibatkan kursus enam jam berharga RM200 yang sama.

    Selain daripada itu, kenderaan yang digunakan dalam khidmat e-hailing juga perlu mendapat sekurang-kurangnya tahap ASEAN NCAP minimum tiga bintang (kebanyakan kenderaan tempatan sekarang mendapat penarafan empat bintang dan ke atas), dan kenderaan yang berusia tiga tahun ke atas perlu melalui pemeriksaan PUSPAKOM dengan bayaran RM55.

    Peraturan lain yang dikenakan termasuk memerlukan penumpang untuk memuat naik gambar kad pengenalan (untuk keselamatan pemandu) dan insurans untuk kereta yang digunakan, pemandu, penumpang dan pihak ketiga yang terlibat. Syarikat e-hailing juga perlu menyediakan garis panduan pemandu dan mendaftarkannya kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Dalam aplikasi juga perlu ada fungsi panggilan kecemasan.

    Kerajaan perkenal peraturan baru untuk GRAB dan khidmat e-hailing lain – lesen PSV, PUSPAKOM

    Kerajaan juga kini mengawal selia komisyen (jumlah yang disimpan oleh syarikat e-hailing) dan tambang yang dikenakan kepada pengguna. Loke mengumumkan komisyen maksimum yang boleh disimpan adalah 20%, dan untuk pemandu teksi yang menggunakan sistem ini, maksimum sebanyak 10%. Untuk pengguna, bayaran tambahan dikenakan tidak boleh pergi lebih daripada dua kali daripada tambang asal.

    Selain daripada semua peraturan baru ini, kerajaan juga sedang menyiasat jika ada sebarang monopoli oleh Grab. “Kerajaan sekarang sedang mengkaji semula jika terdapat kemungkinan monopoli dalam servis e-hailing dan kami sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia. Kami tidak mahu sebarang servis untuk terlibat dalam monopoli. Jika kami temui sebarang elemen yang berkaitan, kami akan mengambil tindakan,” kata Loke.

     
     
  • GIVI Rimba Raid 2018 tarik penyertaan dalam dan luar negara, lumba hutan motosikal dual purpose 128 km

    GIVI Rimba Raid 2018 tarik penyertaan dalam dan luar negara, lumba hutan motosikal dual purpose 128 km

    Tahun ini, acara perlumbaan offroad Rimba Raid dianjurkan untuk kali kelima dan ia menyaksikan penglibatan yang paling ramai setakat ini. Antara siri perlumbaan yang dipertandingkan adalah Lumba Rimba 128 km untuk motosikal dual purpose (empat kelas) dan enduro dalam litar antara 30 hingga 60 minit (empat kategori).

    Perlumbaan yang menjadi perhatian utama tentunya adalah Lumba Rimba kerana bukan setakat nama hebat tempatan seperti Habibullah Salleh (juga lebih dikenali sebagai Gabit) dan Bee Wong, ia turut disertai oleh penunggang dari negara luar seperti Itali, Thailand, Singapura, Kanada, Perancis dan China.

    Perlumbaan ini terbuka kepada motosikal jenis dual purpose yang boleh digunakan atas jalan raya biasa dan kesemua jentera yang digunakan perlu melalui pemeriksaan khas untuk memastikan segala kelengkapan cukup – bukan sahaja motosikal, malah juga kelengkapan pada penunggang. Penganjur Rimba Raid mengenakan peraturan yang ketat terhadap perkara ini.

    Secara keseluruhannya, 105 peserta terlibat dalam Lumba Rimba ini, dan yang paling ramai adalah dalam kelas A iaitu 65 orang dan antara jentera yang digunakan termasuk BMW R1200 GS, KTM Adventure 1290, Ducati Scrambler, BMW HP2 Enduro, Yamaha XT1200, Honda CRF1000, Triumph Tiger 800 dan Ducati Multistrada 1200.

    Mereka ini lah yang melalui cabaran paling sukar kerana jentera yang digunakan lebih berat dan besar, sedangkan jalan yang dilalui melibatkan pelbagai jenis cabaran seperti denai kecil, sungai, lumpur dalam dan jalan berbatu.

    Namun, penyertaan penunggang profesional membuatkan cabaran ini seperti mudah, dan juaranya, Gabit mencatat masa 2 jam 33 minit untuk sampai ke garisan penamat di Kg Mat Daling. Tempat kedua kemudiannya dimiliki Matteo Graziani dengan catatan masa 2 jam 41 minit dan di tempat ketiga Zulkarnain Tahir dengan masa 2 jam 49 minit.

    GIVI Rimba Raid 2018 tarik penyertaan dalam dan luar negara, lumba hutan motosikal dual purpose 128 km

    Dalam kelas B, saingan melibatkan peserta yang menggunakan jentera bawah 700 cc seperti KTM Enduro 690, Husqvarna 701, BMW F650GS, Suzuki V-Strom 650 dan Yamaha XT660. Satu penyertaan yang istimewa adalah BMW R80GS tahun 80-an yang ditunggang oleh Mohd Naim Hasan.

    Naim berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa empat jam 10 minit, namun sekadar berada di tempat ke-11. Tempat pertama dimenangi oleh Nazmee Ramli yang menunggang BMW G650GS Sertao dengan catatan masa 2 jam 35 minit, kemudiannya diikuti oleh Shahidan Puad (KTM 690R) dengan masa 2 jam 45 minit dan Khairul Afif Ghazali (BMW F650GS) dengan masa 2 jam 48 minit.

    Walaupun dengan semua catatan ini, masa yang terpantas sebenarnya dicatat oleh peserta kategori C iaitu Iezzam Roslim yang menggunakan jentera Honda CRF250L. Beliau dapat sampai ke garisan penamat dalam masa 2 jam 28 minit, diikuti oleh Hairy Omar (juga CRF250L) dengan catatan masa 3 jam 19 minit dan tempat ketiga Rizal Zakarian yang menunggang Royal Enfield Himalayan.

    GIVI Rimba Raid 2018 tarik penyertaan dalam dan luar negara, lumba hutan motosikal dual purpose 128 km

    Selain tiga kategori ini, terdapat satu kategori khas yang dibuka untuk pelumba wanita, tetapi untuk penganjuran kali ini, pesertanya cuma ada satu iaitu Zhang Chongrong (juga dikenali sebagai Echo) dari China. Beliau juga berjaya menghabiskan perlumbaan, dengan catatan masa 7 jam 10 minit.

    Penulis artikel ini juga berpeluang mencuba sendiri laluan 128 km Lumba Rimba ini, tetapi tidak bertanding kerana motosikal KTM EXC350F yang diguna tidak boleh dimasukkan dalam kategori yang ada. Gambar yang anda dapat lihat di bawah juga diambil sendiri oleh beliau termasuk di awal perjalanan, tetapi beliau memutuskan untuk menyimpan kamera dan tidak mahu mengambil risiko diserang binatang liar sewaktu berhenti kerana menurut penganjur, ada kemungkinan binatang seperti gajah, babi hutan dan juga harimau.

     
     
  • Proton eksport 440 unit Gen2, 13 unit Persona 2015 versi pemanduan sebelah kiri ke Timur Tengah

    Proton eksport 440 unit Gen2, 13 unit Persona 2015 versi pemanduan sebelah kiri ke Timur Tengah

    Bertempat di Pelabuhan Barat Klang (Westport Malaysia) hari ini, Proton secara rasmi melepaskan sejumlah 440 unit Proton Gen2 dan juga 13 unit Persona generasi pertama yang dieksport ke Aqaba, Jordan yang akan diedarkan pada pasaran Timur Tengah. Ini adalah eksport pertama Proton setelah bekerjasama dengan Geely, di mana kali terakhir jenama berkenaan mengeksport kenderaan mereka adalah pada 2017 dengan membawa Iriz ke Indonesia.

    Menurut Proton, kereta-kereta berkenaan akan dijual pada pasaran Iraq dan negara-negara jiran yang lain di mana mereka mempunyai kedudukan yang kukuh disana – terbukti apabila terdapat kelab-kelab pemilik Proton yang aktif dirantau tersebut meskipun jumlah eksport yang sedikit dalam masa berberapa tahun yang lalu.

    “Majlis ini merupakan titik permulaan buat Proton kerana kami kini meneruskan dan malah meningkatkan penghantaran kereta ke Timur Tengah bagi bulan-bulan akan datang. Ia juga merupakan penghantaran eksport pertama sejak perkongsian dengan Geely dan kami mengharapkan agar pasaran eksport ini menerima pandangan yang positif pada masa akan datang. Jadi, bersiap sedialah untuk lebih banyak pengumuman dari kami bermula Ogos tahun ini,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    “Proton sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk pasaran domestik dan eksport tetapi kerjasama dengan Geely telah memperkenalkan kepada kami pola pemikiran berkualiti bersama dengan sistem audit kualiti yang turut diguna pakai oleh Volvo. Dengan mnggunakan sistem tersebut sebagai rujukan, kami telah berjaya menurunkan mata demerit sebanyak tiga kali ganda kerana kami berhasrat mengeluarkan kereta dengan kualiti yang lebih baik kepada pelanggan,” tambahnya lagi.

    Ketua Pegawai Ekskutif Proton, Dr Li Chunrong pula berkata, “Pasaran Timur Tengah memandang tinggi pada produk-produk dari negara-negara Islam seperti Malaysia. Permintaan bagi kereta-kereta akan terus berkembang kerana keadaan ekonomi mereka yang maju dan akan membantu menambahkan lagi peningkatan perniagaan eksport kami. Walau bagaimanapun, pasaran ASEAN kekal sebagai keutamaan bagi perniagaan eksport Proton, jadi kami teruja dengan peluang yang ada di rantau ini.”

    Tambah Dr.Li lagi, Proton kini sedang memanfaatkan operasi rangkaian luar negara Geely bagi meningkatkan keberkesanan kos operasinya. “Kami sedang mengenalpasti semua peluang yang ada untuk mengembangkan jumlah eksport untuk Proton. Geely menyokong kuat dalam inisiatif ini dan mereka sangat berpengalaman dalam hal ini, kami berharap untuk memanfaatkannya bagi membolehkan kami menjual lebih banyak kereta di luar Malaysia,” jelasnya.

     
     
  • AD: Allianz Road Rangers beri anda bantuan lengkap selepas kemalangan – tak kira di mana, bila-bila masa

    Memandu menjadi satu kepuasan yang tersendiri, memandangkan ia memberikan rasa kebebasan untuk bergerak ke mana saja yang anda mahu. Sebagai contoh, anda boleh saja mengidamkan nasi ganja Ipoh ketika ini, dan menyedari sebenarnya ia hanya memerlukan beberapa jam perjalanan untuk membawa anda ke sana dan memuaskan keinginan anda itu.

    Jadi, anda pun capai kunci dan mulakan perjalanan. Dipertengahan jalan, ada perkara yang tidak diingini berlaku; anda terlibat dalam kemalangan. Kerana cemas, anda keluar dari kenderaan dan melihat tahap kerosakan di tengah-tengah suasana kalut ketika itu – dengan bunyi hon pengguna jalan raya yang lain. Anda dengan pantas mencapai telefon, dan cuba menghubungi seberapa ramai kenalan untuk meminta bantuan.

    Tak berapa lama selepas itu, sebuah trak tunda yang dipandu oleh orang yang tidak anda kenali tiba, menggesa agar kereta anda ditunda segera ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. Pada ketika itu, anda tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dan anda pun beri kebenaran untuk orang itu berbuat demikian, mengharapkan semuanya dapat diselesaikan segera.

    Bagaimanapun, sebaik sahaja anda menandatangi borang yang diberikan, trak tunda itu sebenarnya membawa kereta anda ke bengkel yang tidak diiktiraf dan meminta anda membayar satu jumlah wang yang besar untuk “melepaskan” kereta anda. Ketika itu anda sedar, dalam keadaan panik itu, ada pihak yang telah mengambil kesempatan ke atas situasi anda, dan rasa kebebasan yang anda rasakan sebelum itu semakin pudar.

    AD: Allianz Road Rangers beri anda bantuan lengkap selepas kemalangan – tak kira di mana, bila-bila masa

    Keadaan seperti ini berlaku lebih kerap daripada yang anda jangkakan, terutamanya kepada pemandu-pemandu baru. Allianz Malaysia menyedari masalah ini serta keperluan untuk melindungi pelanggan-pelanggan daripada ditipu seperti ini. Untuk sebab itu, perkhidmatan Road Rangers diperkenalkan, dengan matlamat untuk memastikan proses mendapatkan semula kereta anda selepas terlibat dalam kemalangan bukanlah satu mimpi buruk.

    Allianz Road Rangers ialah bantuan kemalangan kenderaan percuma yang disediakan merangkumi seluruh negara kepada pemegang polisi Allianz Motor Comprehensive. Beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, perkhidmatan ini menjadikannya lebih mudah kepada pelanggan untuk mendapatkan bantuan menyeluruh sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan.

    Dengan Allianz Road Rangers, perkara pertama yang perlu anda lalukan sekiranya terlibat dalam kemalangan ialah bertenang. Kemudian, dail 1800-22-5542 untuk menghubungi pusat panggilan 24-jam dan ahli pasukan Allianz Bike Brigade* akan tiba.

    Selepas pasukan ini tiba, anda akan diberi bantuan awal, termasuk bantuan kecemasan “first aid” dan melindungi anda daripada individu trak tunda yang tidak diiktiraf, sekiranya ada. Kenderaan anda yang rosak kemudiannya akan ditunda oleh trak yang diiktiraf oleh Allianz, yang akan membawanya ke bengkel panel Allianz yang sah atau bengkel francaisnya. Ini memberikan anda kelegaan fikiran kerana kenderaan anda tidak akan dihantar ke bengkel sebarangan dan akan ada unit khas yang akan membawa anda.

    AD: Allianz Road Rangers beri anda bantuan lengkap selepas kemalangan – tak kira di mana, bila-bila masa

    Anda juga akan ditemani oleh wakil dari Allianz ketika membuat laporan polis**, yang turut akan menjelaskan kepada pihak berkaitan mengenai proses tuntutan secara terperinci untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat. Sebaik selesai semuanya, Allianz juga akan menawarkan kepada anda servis pengangkutan untuk menghantar anda ke rumah selepas kemalangan***.

    Melalui sistem Allianz Motor ODX Claims, tuntutan boleh dinilai dan diproses dalam tempoh sepantas 10 minit hingga sejam***. Sebaik sahaja tuntutan Own Damage (OD) diluluskan, kerja-kerja baik pulih ke atas kereta anda akan dimulakan.

    Malah, selesai saja kerja-kerja baik pulih, Allianz akan terus memberikan servis nilai tambah kepada pelanggan dengan menyerahkan kenderaan yang telah dibaikpulih kepada anda, tanpa anda mengambilnya di bengkel sendiri. Dari proses A ke Z, Allianz Road Rangers akan memastikan anda dan kereta anda dijaga dengan baik, agar anda dapat meneruskan perjalanan menarik bersama kereta anda sekali lagi.

    Jika ini servis yang ingin anda nikmati dalam situasi memerlukan, kunjungi laman web Allianz Malaysia untuk maklumat lanjut.

    *Ditawarkan dibandar-bandar utama.
    **Ditawarkan bagi balai polis terpilih.

    ***Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Honda HR-V facelift 2018 mula dibuka tempahan di Malaysia – varian RS, roda 18-inci, kit dan ciri baharu

    Honda HR-V facelift 2018 mula dibuka tempahan di Malaysia – varian RS, roda 18-inci, kit dan ciri baharu

    Beberapa hari lalu, Thailand telah pun mula menerima kehadiran Honda HR-V facelift di pasaran mereka setelah hampir dua bulan didedahkan.

    Hari ini, dalam majlis Rumah Terbuka Honda Malaysia sempena Aidilfitri, syarikat itu turut mengambil kesempatan dengan mempertontonkan HR-V facelift 2018 terbaru itu dalam varian RS. Ia dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Tempahannya juga telah mula dibuka hari ini melalui semua 95 pengedar Honda di seluruh Malaysia. Pelanggan yang menempah HR-V sebelum 31 Oktober 2018 akan diberikan kad hadiah Petronas bernilai RM1,000.

    Walau tidak banyak perubahan yang mendadak, namun ia ditampilkan dengan sedikit kelainan dan sentuhan yang lebih segar serta bergaya. Ia melibatkan bahagian depan dengan beberapa ciri baharu termasuk gril rekaan sport, bampar, lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED.

    Ia turut menampilkan roda lima-jejari dwi-tona 18-inci (Thailand hanya 17-inci) sebagai salah satu elemen baharu. Sementara di bahagian belakang pula, grafik LED baharu bagi lampunya dan jaluran sambungan krom mendatar baharu turut ditampilkan.

    HR-V RS ini juga ditawarkan dengan warna baharu bagi luaran iaitu Passion Red Pearl iaitu pertama kali bagi barisan HR-V di Malaysia. Selain itu perincian baharu berwarna gelap turut ditampilkan termasuk pada pemegang pintu, pemegang plat, sill sisi dan lampu kabus.

    Honda sangat menitik beratkan aspek keselamatan, justeru HR-V RS ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan iaitu kamera titik buta Honda LaneWatch. Selain itu, ia turut memberikan elemen keselamatan standard termasuk enam beg udara (sebelum ini hanya untuk varian tertinggi sahaja), kamera pandang-belakang pelbagai-sudut, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

    Namun demikian, bahagian dalam kabinnya masih tidak didedahkan sebarang perubahan dan pembaharuan yang ditampilkan. Kena tunggu ia dilancarkan kelak baru tahu peningkatan sepenuhnya dan juga harga bagi HR-V RS ini.

    Bagi penjana kuasa dan transmisinya, ia masih dikekalkan – enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan 142 PS dan 172 NM serta kotak gear CVT dengan pedal penukar gear. Dan dijangkakan varian HR-V Hybrid juga dalam perancangan untuk diperkenalkan kelak.

     
     
  • C70 enjin 600 cc hadiah cabutan bertuah AOS 2018

    C70 enjin 600 cc hadiah cabutan bertuah AOS 2018

    Kalau tahun lepas seorang pengunjung bertuah Art Of Speed berjaya membawa pulang Yamaha RXZ Twin Boss, tahun ini perkara sama akan dilakukan oleh penganjur acara tersebut, tetapi dengan hadiah yang berbeza. Untuk tahun ini, penganjurnya menyediakan sebuah Honda C70 yang diubah suai secara radikal dengan enjin 600 cc daripada model XR600R.

    Jentera istimewa ini dibina oleh orang sama yang membuat RXZ Twin Boss, iaitu Mohamad Irwann bin Mohd Azlan atau lebih dikenali sebagai Cheng daripada FNG Works, Ipoh. Beliau yang berumur 27 tahun mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan mendapat kepercayaan pengasas AOS, Asep Ahmad untuk melakukan projek yang susah diterima akal orang biasa ini.

    Menurut Cheng, projek ini agak sukar kerana selain perlu memuatkan enjin yang besar tersebut, beliau juga masih perlu mengekalkan identiti C70. Hampir keseluruhan bahagian kerangka diubah suai, manakala bahagian lengan ayun pula diambil daripada model Honda Wave dan dipanjangkan.

    Enjin satu silinder 600 cc empat strok yang digunakan kemudiannya dipadankan bersama sistem bahan api karburetor Keihin PWK 39 mm dan sistem pendawaiannya dibuat semula khas untuk motosikal ini. Walaupun nampak agak rendah (mungkin kerana enjin yang berat), Cheng memberitahu motosikal ini tidak direndahkan dan masih menggunakan suspensi asal yang sudah diperbaiki semula di hadapan dan penyerap 300 mm di belakang.

    Banyak lagi bahagian lain motosikal ini turut diubah suai oleh Cheng bagi memastikan enjin itu dapat disokong pada badan asalnya yang kecil. Tangki bahan api dikecilkan supaya dapat mempunyai besi sokongan di bawahnya, manakala penukar gear juga adalah unit binaan khas yang kini mempunyai penukaran seperti GP Shift.

    Seperti yang anda boleh lihat, Honda C600R yang turut digelar sebagai ‘Papa Jahat’ ini masih lagi belum siap sepenuhnya dan Cheng akan meneruskan kerja untuk memastikan ia lengkap untuk dibawa ke AOS 2018 pada 28 dan 29 Julai ini. Pada hari terakhir acara itu, seorang pengunjung bertuah akan dipilih untuk membawa pulang projek yang sudah menelan belanja hampir RM45,000 ini.

    Dan bagi yang masih belum faham, motosikal ini hanyalah satu projek cabaran untuk menunjukkan kemampuan kejuruteraan, dan memang tidak halal untuk digunakan atas jalan biasa.

     
     
  • Projek LRT3 diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak 47%, hanya RM16.63b – Lim Guan Eng

    Projek LRT3 diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak 47%, hanya RM16.63b – Lim Guan Eng

    Selepas menangguhkan dua projek mega yang melibatkan sistem pengangkutan awam iaitu MRT3 dan HSR, kabinet memutuskan untuk meneruskan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3). Walau bagaimana pun, projek LRT3 akan diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak 47% iaitu RM16.63 bilion berbanding kos asal sebanyak RM31.65 bilion.

    Menurut Menteri Kewangan, Lim Guang Eng, penjimatan sebanyak RM15.02 bilion ini bukan setakat dapat mengurangkan hutang negara, malah ia juga menjimatkan wang rakyat. “Walau bagaimana pun, kos keseluruhan itu termasuk tetapi tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), pengambilan tanah, pengurusan projek, fi perundingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan (IDC) dan kos lain yang berkaitan,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Malah, proses perundingan semula yang menyeluruh dan pelan rasionalisasi pelaksanaan projek LRT3 sudah diadakan dengan semua pihak yang terbabit termasuk Prasarana Malaysia,MRCB-George Kent (MRCB-GK JV), iaitu Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Buat masa ini, integrasi jajaran LRT3 sepanjang 37 km iaitu dari Johan Setia, Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya perlu dikekalkan. Di samping itu, isu keselamatan, kekerapan jadual perjalanan dan kualiti perkhidmatan mestilah memenuhi segala syarat keperluan pengawal selia.

    Katanya lagi, antara langkah utama yang diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek ini termasuk mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc. “Ia sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga tahun 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set kereta api 3-koc dilaksanakan,” jelasnya.

    Selain itu, saiz pembinaan pangkalan tren LRT juga dikurangkan dan mengikut piawaian jajaran LRT Kelana Jaya, dan bukannya saiz stesen MRT yang lebih besar. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pembinaan stesen yang akan dibatalkan iaitu di Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic. Bukan itu saja, pembinaan terowong sepanjang dua kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam turut dibatalkan.

    Selain itu katanya, langkah turut diambil dengan melanjutkan tempoh masa untuk menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk mempercepatkan tempoh siap projek itu.

     
     
  • Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Agak lama juga kemelut antara teksi dan e-hailing melanda, namun penetapan undang-undang baharu bagi kedua-dua perkhidmatan itu seakan tergendala untuk dilaksanakan. Namun akhirnya Kementerian Pengangkutan di bawah pimpinan kerajaan baharu ini telah memuktamadkan untuk mengawal selia sepenuhnya perkhidmatan e-hailing melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Pindaan) 2017, berkuatkuasa hari ini.

    Menurut menterinya Anthony Loke, syarikat-syarikat e-hailing wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi sebanyak RM115 sekali setahun, sama seperti ditetapkan kepada pemandu teksi, laporan Bernama.

    Untuk itu, SPAD juga telah merangka perundangan dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada Perniagaan Pengantaraan dan pemandu e-hailing. Di mana penguatkuasaan bagi memberi kesaksamaan kepada industri teksi itu menetapkan empat syarat utama yang perlu dipatuhi industri e-hailing meliputi kelayakan permohohan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan syarat operasi.

    “Untuk permohonan lesen, syarikat e-hailing perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) manakala bagi pemandu, permohonan adalah sama dengan syarat permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan ditambah baik dengan saringan rekod jenayah.

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    “Bagi kenderaan pula, ia terbuka kepada semua jenama yang mempunyai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang tahap piawaian Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) atau setara, menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekali setahun apabila kenderaan melebihi usia tiga tahun dari tarikh didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” ujar Loke.

    Tambahnya lagi, untuk pengoperasian pula, syarikat e-hailing perlu menyediakan perlindungan insurans bagi pemandu, kenderaan, penumpang dan pihak ketiga, dan ini adalah selari dengan apa yang dikenakan terhadap industri teksi.

    “Tempoh moratorium setahun dari tarikh kuat kuasa diberi kepada Perniagaan Pengantaraan untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan. Walaupun tempoh itu agak panjang tetapi pemantauan rapi akan dibuat bagi memastikan pihak berkenaan tidak sewenang-wenangnya mengabaikan penguatkuasaan tersebut dan sebarang pelanggaran boleh menyebabkan lesen atau permohonan syarikat e-hailing dibatalkan,” tegasnya lagi.

    Katanya keputusan itu juga dibuat susulan pertemuan beliau dengan persatuan teksi baru-baru ini. Malahan kaji selidik telah dijalankan SPAD ke atas 46,000 responden, dengan 70% memilih perkhidmatan e-hailing dikawal selia oleh kerajaan dan 52% penumpang memilih menggunakan e-hailing untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Mengenai kesaksamaan lain yang bakal dilaksanakan, Loke berkata pemeriksaan meter bagi kelas lesen teksi akan dilakukan satu kali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini dan latihan pemandu menggunakan modul latihan yang mengambil masa enam jam sahaja dengan fi RM300 seorang.

    Katanya modul latihan itu boleh dilaksanakan oleh mana-mana Perniagaan Pengantaraan, syarikat teksi, institut memandu atau syarikat penyedia latihan yang ditauliahkan oleh SPAD.

    Berhubung rungutan pemandu e-hailing berkaitan ketidakadilan syarikat e-hailing yang menekan pemandu dengan mengenakan kadar komisen tinggi sehingga 25%, Loke berkata kerajaan cuba menanganinya melalui empat kaedah yang ditetapkan dalam syarat lesen.

    Katanya kaedah tersebut meliputi kadar komisen maksimum sebanyak 10% bagi perkhidmatan e-hailing yang dijalankan oleh pemandu teksi, kadar komisen maksimum 20% bagi perkhidmatan yang dijalankan kenderaan persendirian dan kadar surcaj sebanyak dua kali ganda daripada harga tambang sahaja.

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Loke berkata SPAD juga telah mengarahkan setiap aplikasi e-hailing sama ada aplikasi pemandu atau penumpang perlu mempunyai fungsi kecemasan 999 bagi melaporkan sebarang kecemasan semasa perkhidmatan diberikan bagi mengelak kejadian seperti kes pemandu Grab dibunuh baru-baru ini.

    “Dalam aspek kebajikan pemandu e-hailing, syarat lesen juga memerlukan syarikat e-hailing menyediakan Kod Tatakelakuan dan Garis Panduan Rungutan Pemandu yang boleh diaudit pihak kerajaan dengan lesen syarikat boleh ditarik jika keperluan itu tidak dipenuhi. Untuk keselamatan pemandu e-hailing, penumpang juga dikehendaki memuat naik kad pengenalan atau pasport yang sah semasa pendaftaran menggunakan aplikasi telefon pintar, katanya.

    Loke berkata kerajaan juga sedang mengkaji risiko monopoli perkhidmatan e-hailing selepas penggabungan Grab dan Uber pada Mac lepas melalui Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC). Dan bagi pemandu teksi sedia ada yang ingin menyertai industri e-hailing akan diberikan bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu atau terpakai.

    Pada masa sama, pemandu teksi yang telah tamat tempoh kontrak pajak dengan syarikat teksi juga akan diberikan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan teksi baharu jika berhasrat untuk kekal menjadi pemandu teksi dengan menggunakan lesen teksi individu, katanya.

     
     
  • Pusat 3S Proton Kapar baharu milik Pantai Bharu ganti fasiliti 1S+2S sebelum ini, beroperasi secara rasmi

    Pusat 3S Proton Kapar baharu milik Pantai Bharu ganti fasiliti 1S+2S sebelum ini, beroperasi secara rasmi

    Setelah pusat 4S Proton yang pertama dinaik taraf secara rasmi dibuka bulan lalu, hari ini sebuah lagi pusat 3S baharu dibuka, yang ditingkat taraf dari dua buah pusat 1S dan 2S sebelum ini. Fasiliti baharu milik pengedar Pantai Bharu Corporation Sdn. Bhd berkenaan terletak di Jalan Kapar, Klang, dan akan memberikan khidmat jualan dan servis kepada pemilik Proton sekitarnya.

    Perasmian pembukaan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong disertai oleh Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar dan barisan pengurusan kanan Proton.

    “Untuk berjaya, kita perlu bergerak seiring dengan perubahan masa dan kekal relevan. Keadaan pasaran sentiasa berubah. Apa yang laku pada hari ini, mungkin tidak akan laku hari esok. Justeru, tujuan berpindah ke kawasan baharu adalah untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Kawasan yang baharu ini akan menyediakan kemudahan sebagai pusat sehenti bagi jualan, servis dan alat ganti kepada pelanggan”, Dato’ Shamshudin Nor, pemilik dan pemegang saham Pantai Bharu.

    Menurutnya lagi, Pusat 3S Proton milik syarikatnya itu dilengkapi dengan 12 petak penyelenggaraan, lapan pengangkat, ruangan yang mampu menempatkan sebanyak 35 tempat duduk pelanggan, tiga ruang penyerahan kereta dan 70 petak tempat letak kereta pelanggan. Di samping itu, fasiliti ini juga menyediakan ruangan bagi kanak-kanak untuk bermain, ruangan minuman dan untuk mengecas telefon serta komputer riba dan juga Wifi percuma untuk pelanggan.

    “Kami yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan ke bilik pameran kami dengan penampilan yang baharu dan segar ini, pencahayaan yang lebih terang dan suasana dalaman dan luaran yang lebih harmoni. Ini sekaligus akan mendorong kepada tahap jualan dan perkhidmatan yang meningkat. Kami menjangkakan peningkatan 100% dalam jualan dan servis pada permulaan penambahbaikan ini”, tambah Dato’ Shamshudin lagi.

    Sehingga 30 Jun, Proton mempunyai 87 cawangan yang telah bersedia untuk menaiktaraf kepada 3S dan 4S, lebih cepat daripada yang dijangkakan dalam masa dua bulan. Ini adalah pencapaian 80% berbanding sasaran 109 cawangan, yang akan siap pada Oktober tahun ini. Di samping itu, Proton juga mencatatkan jualan lebih daripada 50% berbanding Mei 2018 dan ini menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak kira-kira 10%, dengan Saga dan Persona mendahului jumlah jualan, dengan peningkatan sebanyak 70% dan 56% berbanding bulan sebelumnya.

     
     
  • Harga RON 97 naik lagi satu sen minggu ini – RM2.59

    Harga RON 97 naik lagi satu sen minggu ini – RM2.59

    Selepas naik lapan sen minggu lalu, harga bahan RON 97 yang ditetapkan secara apungan sekali lagi menunjukkan peningkatan untuk minggu bermula 12 Julai hingga 18 Julai 2018. Bermula tengah malam ini, harga untuk bahan api tersebut akan ditetapkan kepada RM2.59 seliter (naik 1 sen).

    Bagi harga bahan api lain, ia masih dikekalkan kerana kerajaan telah memutuskan pemberian subsidi sehingga hujung tahun ini. RON 95 kini dijual RM2.20 seliter, diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 RM2.28 seliter.

    Untuk subsidi bahan api RON 95 dan diesel ini, hujung bulan lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan dikekalkan, iaitu sebanyak RM3 bilion untuk sehingga hujung tahun ini. Bergantung kepada harga bahan api dunia, jumlah ini walaubagaimanapun boleh berubah.

     
     
  • Ford Everest facelift diperkenalkan di Thailand – kini dengan 2.0L EcoBlue turbodiesel, 10-kelajuan auto

    Ford Everest facelift diperkenalkan di Thailand – kini dengan 2.0L EcoBlue turbodiesel, 10-kelajuan auto

    Ford Everest facelift, yang pertama kali didedahkan pada Mei lalu, kini telah pun diperkenalkan di Thailand. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SUV berasaskan Ranger telah menerima sedikit perubahan gaya luaran dan didatangkan dengan ciri tambahan.

    Terdapat juga perubahan bagi penjana kuasan gearnya, dengan memperkenalkan enjin diesel baharu 2.0 liter EcoBlue – yang ditampilkan pada Ranger Raptor – dan juga kotak gear Getrag 10R60 automatik 10-kelajuan untuk facelift ini. Bangkok Post melaporkan penjana kuasa baharu Panther ini menggantikan enjin 2.2 liter empat-silinder dan 3.2 liter lima-silinder dalam barisan terdahulu.

    Penjana kuasa baharu ini didatangkan dengan dua output talaan, dengan 180 hp bagi turbo-tunggal dan 213 hp untuk turbo-berkembar, serta versi 180 hp untuk pacuan roda-belakang dan 213 hp bagi pacuan empat-roda.

    terdapat empat varian yang akan ditawarkan di Thailand, dengan tiga daripadanya menampilkan talaan output yang rendah. Harganya bermula 1.299 juta baht (RM157,110) untuk model asas hingga 1.599 juta baht (RM193,340) bagi tiga varian tertinggi untuk 180 hp, dan varian turbo-berkembar pula berharga 1.799 juta baht (RM217,588).

    Ciri luaran baharu termasuklah tiga kepingan gril dan lampu utama xenon dengan lampu nyalaan siang LED, dan di dalam pula, Everest kini didatangkan dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin serta sistem infotainmen SYNC 3 secara standard, dengan kawalan suara dalam bahasa English atau Thai untuk pasaran tersebut.

    Elemen tambahan lain yang turut dibawa masuk ialah brek kecemasan sendiri (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan kenderaan, yang beroperasi dari kelajuan melebihi 3.6 km/j – yang turut menyertai ciri sedia ada termasuk kawalan kelajuan adaptif (ACC), sistem kekal lorong (LKS) dan sistem informasi titik buta (BLIS) dengan kepekaan trafik lintasan-belakang di dalam senarai kit keselamatan.

    Laporan turut menambah Ranger T6 juga akan menerima enjin EcoBlue apabila ia menerima peningkatan kelak dan bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada bulan ini, tetapi unit tersebut hanya didatangkan dengan varian tertinggi, dengan 2.2 liter sedia ada masih diteruskan setakat ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026