Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GIIAS 2017: Toyota Fortuner TRD Sportivo versi Indo

    GIIAS 2017: Toyota Fortuner TRD Sportivo versi Indo

    Tidak seperti Sienta Ezzy yang dipaparkan semalam, Toyota Fortuner TRD Sportivo ini ditawarkan untuk warga Indonesia. Diperkenalkan dalam GIIAS 2017, ini adalah pengenalan berdasarkan Hilux versi SUV tujuh-tempat duduk.

    Mungkin ia kelihatan lebih kurang sama dengan Fortuner TRD Sportivo di Thailand, namun hakikatnya SUV bagi spesifikasi Indonesia ini berbeza dengan model yang diperkenalkan di Negara Gajah Putih pada Mac 2016. Tiada roda 20-inci pada model tersebut dan rekaan kit badannya juga berbeza.

    Bagi model ini, hadapannya kelihatan sedikit garang dengan serlahan warna hitam pada bahagian gril. Malah logo TRD berarna merah diletakkan di antara gril dan plat nombor. Selain itu, bamparnya juga dilebarkan dan perumah lampu kabus lebih besar. Pada bahagian sisi, ia dipadankan dengan rim TRD dua-tona 18-inci dan juga pelekat merah-hitam di bahagian hujung bawah. Bampar belakang juga dilebarkan dan logo TRD Sportivo melengkapkan lagi gayanya.

    GIIAS 2017: Toyota Fortuner TRD Sportivo versi Indo

    TRD Sportivo ini boleh ditawarkan dengan enjin 2.4L GD diesel atau 2.7L Dual VVT-i petrol, kedua-duanya dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan bersama pedal penukar gear. Kit standard termasuklah lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi boleh laras secara automatik dengan lampu isyarat membelok, tempat duduk balutan kulit coklat gelap, kawalan kelajuan, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kamera undur, pendingin hawa automatik tiga-zon dan tailgate berkuasa.

    Fortuner TRD Sportivo 2.4 VRZ 4×2 ditawarkan pada harga Rp 527,900,000 (RM169,634) manakala Fortuner TRD Sportivo 2.7 SRS 4×2 pula Rp 553,300,000 (RM177,796).

    Buat masa ini, kita belum menerima Fortuner bagi versi TRD Sportivo di Malaysia, namun jika UMW Toyota Motor menawarkannya, mungkin boleh memilih sama ada versi Thai atau Indonesia.

    GALERI: Toyota Fortuner TRD Sportivo, spesifikasi Thai

     
     
  • GIIAS 2017: Honda CBR250RR edisi “Art of Kabuki”

    GIIAS 2017: Honda CBR250RR edisi “Art of Kabuki”

    Sementara Malaysia masih lagi hanya ditawarkan dengan Honda CBR250R, PT Astra Honda Motor (AHM) telah mengeluarkan versi istimewa bagi CBR250RR iaitu “The Art of Kabuki” untuk pasaran Indonesia. Model ini membuat penampilan semasa acara pameran automotif GIIAS 2017 di sana.

    Kabuki adalah drama tradisional Jepun, dan motosikal ini digayakan dengan motif tersebut – melihatkan penggunaan kontras warna terang seperti rangka merah, bahagian badan dan rim putih di belakang serta panel dan rim hitam di hadapan. Di bahagian tepi fairing pula terdapat lukisan grafik khas sementara bawah sedikit terdapat peta Indonesia.

    Menurut pengarah pemasaran AHM, Thomas Wijaya, model edisi istimewa ini hanya akan dihasilkan sebanyak 100 unit dan akan dijual melalui pengedar rasmi Honda Wing PT Astra. Beliau juga menyatakan bahawa motosikal ini akan meningkatkan lagi rasa emosional pemilik terhadap motosikal mereka.

    Honda CBR250RR dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 249.7 cc, dengan lapan injap dan sistem penyejukan cecair, dan ia boleh menghasilkan kuasa sehingga 36 hp pada 12,500 rpm dan 23.3 Nm tork pada 11,000 rpm. Antara ciri baru pada model ini adalah sistem pendikit ride-by-wire, yang seterusnya dapat memberikan tiga respon berbeza dalam mod yang disediakan.

    Transmisi yang digunakan pula adalah unit enam kelajuan, dan motosikal ini turut dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang, tangki minyak 14.5 liter, tinggi tempat duduk 790 mm, dan berat 165 kg bagi model asas. Di Indonesia, CBR250RR ini dijual dalam versi dengan ABS dan tanpa ABS, serta beberapa pilihan warna, dengan harga di antara 63.525 juta rupiah (RM20,399) hingga 72.375 juta rupiah (RM23,241).

    Bagi model istimewa CBR250RR The Art of Kabuki ini, ia dijual pada harga 70.825 juta rupiah (RM22,744), dan bukanlah yang paling mahal dalam barisan modelnya. Walaupun begitu, kerana ia adalah edisi terhad, sudah pasti akan menjadi rebutan ramai di negara tersebut.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

    PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

    Di Malaysia, trend menukar sedan ke SUV semakin menjadi-jadi. Malah pengeluar kenderaan juga makin banyak yang membawa masuk model-model SUV menarik di sini. Bagi yang memiliki bajet yang lebih, SUV bersaiz besar termasuk berkapasiti tujuh-tempat duduk menjadi pilihan. Namun masih ramai juga yang memilih SUV lima-tempat duduk, cukup sekadar praktikaliti dan gaya…serta menepati bajet. Itu penting.

    Mazda, antara jenama kenderaan yang memiliki pilihan model SUV yang menarik. Paling popular, sudah pasti CX-5, jika hendak yang kecil sedikit dan lebih kepada gaya, CX-3 pilihannya. Namun bagi yang memiliki bajet yang lebih besar dan inginkan SUV yang juga lebih besar, CX-9 ada menawarkan ciri-ciri menarik.

    Pengedar Mazda di Malaysia, Bermaz, nekad membawa masuk model CX-9 ini ke pasaran Malaysia kerana mendapat permintaan di kalangan pelanggannya. Model pemasangan luar (CBU) dari Australia ini ditawarkan pada RM316,788 untuk model pacuan dua-roda dan RM323,849 untuk pacuan-semua roda, semuanya adalah harga atas jalan termasuk insurans, waranti baharu lima-tahun/100,000 km dan pakej servis percuma tiga-tahun.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Mazda BT-50 ditawarkan dengan pakej sport RM6,800

    Mazda BT-50 ditawarkan dengan pakej sport RM6,800

    Sekiranya anda berminat untuk memiliki trak pikap BT-50 daripada Mazda, anda kini boleh memilih pakej tambahan baru yang dipanggil sebagai Sport Package, yang ditawarkan pada harga RM6,800.

    Di dalam Sports Package ini, pembeli akan menerima penghadang fender depan dan belakang yang disudahi dengan dengan warna hitam berkilat (RM2,500), besi penyokong belakang dengan penutup bahagian atas (RM4,500) dan penghadang angin tepi tingkap (RM250). Anda juga boleh membeli barang-barang ini secara berasingan, tetapi seperti yang boleh dilihat, ia akan menjadi lebih mahal.

    Mazda BT-50 ditawarkan dengan pakej sport RM6,800

    Aksesori ini boleh didapati untuk semua varian BT-50 iaitu 2.2MT Mid-Spec, 2.2MT High-Spec, 2.2AT dan 3.2AT. Dua varian awal yang disebutkan tadi adalah varian baru yang diperkenalkan dan semasa BT-50 dilancarkan Mac tahun lalu, ia tiada dalam pilihan.

    Pada masa ini, varian 2.2MT Mid-Spec dijual pada harga RM90,477.70, dan 2.2MT High-Spec RM100,657.70. Varian 2.2AT dan 3.2AT dilihat mendapat sedikit lonjakan harga dengan kini menjadi masing-masing RM105,657.70 dan RM117,016.10. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan kenderaan didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km.

     
     
  • GIIAS 2017: Mazda CX-5 generasi kedua dilancarkan di Indonesia – guna enjin 2.5L Skyactiv-G, dari RM169k

    GIIAS 2017: Mazda CX-5 generasi kedua dilancarkan di Indonesia – guna enjin 2.5L Skyactiv-G, dari RM169k

    Di bawah pengedar baru PT Eurokars Motor Indonesia, Mazda telah memperkenalkan model CX-5 generasi kedua untuk pasaran di sana. Model yang membuat penampilan sulung pada November 2016 itu boleh ditawarkan dalam hanya satu pilihan enjin, Skyactiv-G 2.5 liter petrol dengan dua pilihan tahap kemasan – GT dan Elite.

    Enjin NA DOHC dengan ciri i-Stop itu menghasilkan kuasa sebanyak 190 hp dan 251 Nm tork pada 3,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan automatik dengan torque converter yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Ciri G-Vectoring Control – yang mengagihkan tork dari enjin untuk mengoptimumkan beban vertikal pada setiap roda sekaligus memperbaiki maklum balas stereng dan kestabilan – ditawarkan sebagai standard.

    Mazda CX-5 di Indonesia mempunyai senarai spesifikasi yang lengkap. Antaranya termasuk rim 19-inci, tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu elektrik 8-larasan, lampu utama, lampu kabus dan DRL jenis LED, pintu ruang barangan belakang elektrik, sistem pendingin hawa dwi-zon dengan penapis udara, sunroof, masukan tanpa kunci dan Push Start serta brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold. Turut disertakan ialah sistem MZD Conect dengan skrin sentuh tujuh-inci dengan paparan berwarna serta sistem audio dengan 10 pembesar suara Bose.

    Varian paling tinggi Elite pula ada tambahan tempat duduk pemandu dengan memori kedudukan, tempat duduk penumpang enam-larasan, pemain DVD, sistem tunjuk arah dan perisian i-Activesense oleh Mazda. Versi ini juga lengkapi dengan lampu utama LED adaptif, amaran perhatian pemandu dan sokongan brek dalam bandar.

    Mazda CX-5 terbaru ini dijual pada harga Rp 526,800,000 (RM169.160) bagi varian GT dan Rp 548,800,000 (RM176,361) bagi Elite. Bagi pilihan warna Soul Red Crystal dan Machine Grey, tambahan Rp 4,000,000 (RM1,285). Untuk pasaran Malaysia, model ini juga sudah dilihat sedang diuji, dan nampaknya pesaing bagi Honda CR-V ini turut akan diperkenalkan secara rasmi, jangkaannya dalam tempoh yang tidak begitu lama lagi.

     
     
  • SPYSHOT: Prototaip model hibrid khas baharu dari Honda yang diasaskan dari City ditemui sedang diuji

    SPYSHOT: Prototaip model hibrid khas baharu dari Honda yang diasaskan dari City ditemui sedang diuji

    Sekali imbas, imej yang kami terima ini kelihatan seperti Honda City biasa, tetapi jika anda lihat dengan lebih terperinci, ada sedikti perbezaan pada bahagian pintu belakang – kawasan tersebut jauh lebih panjang dari City standard.

    Bukan itu sahaja, fender hadapan unit prototaip ini juga kelihatan dilebarkan bagi membolehkan trek roda keseluruhannya juga dilebarkan, bonet hadapan dipanjangkan sedikit (sambungan pada sebelah atas), manakala pada bahagian bampar belakang turut ditambah dengan panel tambahan seperti melindungi sesuatu di dalamnya.

    Kesimpulan yang boleh dibuat, Honda sedang membina sebuah model berasaskan platform City, tetapi dengan dimensi yang ditambah. Menurut laporan Autocar, menerusi sumber yang boleh dipercayai, Honda kini sedang membangunkan model khas yang hanya hadir dengan janakuasa hibrid seperti model Insight terdahulu.

    SPYSHOT: Prototaip model hibrid khas baharu dari Honda yang diasaskan dari City ditemui sedang diuji

    Honda turut mengumumkan awal tahun ini bahawa mereka akan menampilkan model hibrid yang di bina di Amerika dan akan masuk ke pasaran tahun hadapan. Tidak seperti City Hybrid sedia ada yang menggunakan unit janakuasa Sports Hybrid i-DCD, model lebih besar ini akan menggunakan janakuasa hibrid dengan dua motor elektrik yang diambil dari Accord Hybrid.

    Unit janakuasa yang digelar Sport Hybrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) berkenaan menggabungkan enjin petrol 2.0 liter empat silinder i-VTEC dengan kitaran Atkinson, digabungkan dengan dua motor elektrik yang disuap bateri lithium-ion. Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa 212 hp dan mampu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 20.4 km/liter.

    Honda Insight sebelum ini turut dibina berasaskan platform City yang dipanjangkan, tetapi hanya dijana unit Integrated Motor Assist (IMA) yang menggabungkan enjin petrol empat silinder 1.3 liter bersama sebuah motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 101 hp/199 Nm.

     
     
  • Toyota Vios Challenge – informasi litar Batu Kawan

    Toyota Vios Challenge – informasi litar Batu Kawan

    Perlumbaan pertama Toyota Vios Challenge akan berlangsung hujung minggu ini (12-13 Ogos) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, dan ini adalah informasi berkenaan litar yang akan diguna untuk 40 peserta berentap menunjukkan kehandalan dalam perlumbaan.

    Satu pusingan litar ini mempunyai jarak 1.65 km, dengan 11 selekoh dan beberapa bahagian jalan lurus. Peserta akan dibahagikan kepada tiga kelas perlumbaan iaitu Super Sporting Category, Sporting Category dan Promotional Category – di mana mereka yang mempunyai rekod perlumbaan bagus akan ditempatkan dalam kelas elit pertama (Super Sporting Category).

    Sementara itu, dalam kelas Sporting Category terdapat 17 pelumba dan 10 yang selebihnya diletakkan dalam kelas Promotional Category. Apa pun, semua kategori ini akan mempunyai dua kali perlumbaan dan jumlah mata tertentu akan diberi pada kedudukan teratas dalam setiap perlumbaan.

    Toyota Vios Challenge – informasi litar Batu Kawan

    Semua peserta akan menggunakan Toyota Vios versi perlumbaan yang disiapkan khas oleh Wing Hin Motorsports, menggunakan asas daripada Vios 1.5J MT. Antara modifikasi yang dilakukan adalah termasuk kit badan aerodinamik, sistem ekzos, klac, limited-slip differential (LSD), sistem suspensi, pad brek dan 10% peningkatan kuasa enjin.

    Perubahan lain yang diberikan bagi memastikan ia dapat menunjukkan prestasi baik semasa perlumbaan adalah rim Enkei 15 inci, tayar Toyo Proxes (195/50), paparan informasi perlumbaan Motec C125, sistem pencegahan kebakaran, roda stereng OMP Corsica Superleggero, tempat duduk lumba OMP First-R, cangkuk penarik depan dan belakang, besi sokongan badan dan roll cage.

    Perlumbaan ini akan menjadi acara utama semasa Toyota Gazoo Racing (TGR) Racing Festival, yang juga menawarkan pelbagai aktiviti lain seperti berjumpa dan beramah mesra dengan selebriti, pertunjukan drift dan pelbagai lagi untuk orang awam. Masuk adalah percuma dan jadual penuh boleh dilihat di laman rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia.

     
     
  • Daihatsu DN F-Sedan versi Perodua dihasilkan dalam lakaran imaginasi – adakah sesuai bagi Bezza coupe?

    Daihatsu DN F-Sedan versi Perodua dihasilkan dalam lakaran imaginasi – adakah sesuai bagi Bezza coupe?

    Semalam wakil kami telah merakamkan foto Daihatsu DN-F Concept yang dipertontonkan di hari pembukaan Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 yang sedang rancak berlangsung. Ramai yang berpendapat, ia bagaikan prospek bagi versi Perodua. Pakar Photoshop kami, Theophilus Chin pantas melakukan imej lakaran rendered untuk memberikan gambaran untuk imej kereta.

    Beberapa perubahan dilakukan untuk menunjukkan kereta ini lebih kepada model produksi, ini termasuklah lampu utama LED penuh yang digantikan dengan projektor biasa, dan gril hadapan ala-Honda yang ditukar supaya lebih mirip dengan Myvi. Juga ditambah cermin sisi dengan saiz yang lebih sesuai, pembuka pintu yang lebih besar pada tempat biasanya dan juga tiang-B serta -C.

    Selain daripada itu, F-Sedan yang ternyata bergaya, dengan rupa ala coupe empat-pintu memang betul-betul sesuai dengan versi Perodua, dan kami yakin pembeli di sini mungkin berpeluang memiliki “Bezza Coupe”. Walau bagaimana pun kita masih tidak pasti adakah versi produksi nanti akan mirip dengan rekaan konsep mahu pun tidak. Sama-samalah kita mengharapkannya.

    GALERI: Model konsep Daihatsu DN-F

     
     
  • Peugeot 3008 2017 di Malaysia – enjin 1.6 liter turbo, 165 hp/240 Nm, dua varian, harga bermula dari RM143k

    Peugeot 3008 2017 di Malaysia – enjin 1.6 liter turbo, 165 hp/240 Nm, dua varian, harga bermula dari RM143k

    Selepas pernah dikesan sedang diangkut di atas treler dan juga beberapa kali perkhabarannya yang akan tiba di Malaysia, kini Peugeot 3008 baharu telah pun muncul di bilik pameran Glenmarie. Dua varian ditawarkan, iaitu Active THP dan Allure THP, 3008 ini masih belum dilancarkan secara rasminya, namun tempahannya telah mula dibuka.

    Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai penampilan dan sudut mekanikalnya, pasti perkara pertama yang anda ingin tahu ialah harganya. Bagi Active THP, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM142,888 tanpa insurans, diikuti dengan Allure THP pula RM155,888.

    Harga ini adalah termasuk waranti lima-tahun/120,000 km serta servis 24 jam Peugeot Assistance. Ia turut menawarkan lima pilihan warna menarik iaitu Metallic Copper, Magnetic Blue, Amazonite Grey, Ultimate Red dan Pearl White. Walau bagaimana pun, dua warna pilihan terakhir itu dikenakan kos tambahan sebanyak RM1,590 bagi SUV yang sepenuhnya diimport ini.

    Kedua-dua varian dijanakan oleh enjin petrol 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam-kelajuan yang sama, dengan hamburan kuasa 165 hp dan tork 240 Nm. Kuasa pacuan disalurkan ke roda hadapan dan SUV ini dibina dengan menggunakan platform Efficient Modular Platform (EMP2) yang sama dengan model 308 terkini.

    Peugeot 3008 2017 di Malaysia – enjin 1.6 liter turbo, 165 hp/240 Nm, dua varian, harga bermula dari RM143k

    Bagi elemen luarannya, kita bermula dengan varian Active THP di mana ia menampilkan roda aloi ‘Los Angeles’ 18-inci yang dibaluti tayar Continental ContiCrossContact LX2 tyres (225/55), lampu utama halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus halogen dan lampu belakang LED halogen ‘efek kuku singa’.

    Manakala bagi Allure THP pula, pastinya menerima lebih banyak elemen menarik termasuk lampu utama LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang LED, dan lampu membelok jujukan serta pakej luaran GT Line, serta gril yang berlainan dengan pelindung bampar hadapan dicat dengan warna perak dan kekemasan krom pula menghiasi seksyen bawah pada bahagian sisi varian ini.

    Kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Peugeot i-Cockpit, serta kekemasan kulit dan gentian karbon tiruan (bagi Active THP) dan fabrik (untuk Allure THP). Rekaan yang lebih bergaya jelas kelihatan pada suis ala piano, roda stereng berbentuk segi empat tepat dan tuil gear yang direka menarik. Malah ia juga menampilkan butang dial rotari Advanced Grip Control (terletak di sebelah butang kawalan menurun bukit) yang membenarkan pemandu memilih lima mod pemanduan.

    Peugeot 3008 2017 di Malaysia – enjin 1.6 liter turbo, 165 hp/240 Nm, dua varian, harga bermula dari RM143k

    Malah ia juga menampilkan banyak elemen teknologi termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, dengan paparan definisi tinggi yang memaparkan informasi pemanduan. Selain itu, skrin sesentuh lapan-inci pada papan pemuka yang menyalurkan infotaimen serta kawalan suhu dwi-zon (dengan corong belakang). Ia juga menawarkan elemen termasuk sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink.

    Memiliki kekemasan yang sedikit berbeza pada Allure dengan menampilkan tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa lapan-hala untuk tempat duduk pemandu. Manakala varian Active THP dilengkapi dengan tempat duduk fabrik Mistral Meco dengan operasi manual untuk tempat duduk hadapan.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, kawalan cengkaman, Kawalan Kestabilan Dinamik, program Kestabilan Elektronik, Bantuan Mendaki Bukit, bantuan kekal lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

    GALERI: Peugeot 3008 Allure THP

    GALERI: Peugeot 3008 Active THP

     
     
  • GIIAS 2017: Toyota Sienta Ezzy – matang dan garang

    GIIAS 2017: Toyota Sienta Ezzy – matang dan garang

    Sekali pandang, mungkin ada yang akan menyifatkan Toyota Sienta ada perwatakan yang comel, dengan pakej penggayaan JDM yang unik. Terbari, satu lagi versi MPV kompak ini muncul di GIIAS, dikenali dengan nama Toyota Sienta Ezzy, yang lebih garang rekaannya.

    Paling ketara adalah rekaan baru pada bampar yang diterimanya, kini dalam bentuk hexagonal. Ini termasuk gril “honeycomb” yang menempatkan logo Toyota dan bersambung juga dengan unit lampu utama. Selebihnya kemasan pembahagi warna perak melengkapi wajah dengan sentuhab baru ini.

    Bahagian belakang juga menampilkan pembaharuan yang sama, lebih lekuk dan bentuk yang diberikan. Rekaan bampernya baru, dengan bahagian bawah digantikan dengan seksyen untuk menempatkan diffuser. Spoiler belakang, cat dwi-tona dan rim 17-inci rekaan bilah antara perkara yang merubah rupa MPV tiga baris tempat duduk versi yang satu ini.

    Di dalam, kemasan dengan warna biru cair yang terdapat di luar turut dilanjutkan ke bahagian ini. Kemasan pada papan pemuka dan stereng yang paling banyak menerima warna berkenaan. Tempat duduk pula dari material kulit coklat.

    Toyota Sienta Ezzy ini merupakan usaha pengedar tempatannya di Indonesia, PT Toyota-Astra Motor, dengan turut menampilkan lambang “TAM Design” pada bahagian bawah bampar depan dan belakang. Ia mungkin tidak akan masuk ke bilik pameran untuk dijual, tetapi menjadi satu saluran yang menarik untuk mempamerkan sisi lain MPV Sienta yang boleh digarap dengan penggayaan kustom.

     
     
  • Kenderaan yang diparkir berhampiran lokasi Sukan SEA bakal ditunda mulai hari ini – Polis KL

    Kenderaan yang diparkir berhampiran lokasi Sukan SEA bakal ditunda mulai hari ini – Polis KL

    Mulai hari ini, orang ramai yang meletakkan kenderaan berhampiran jalan-jalan yang terlibat dengan acara temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) akan ditunda oleh polis.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh tindakan itu yang akan dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), adalah bagi mengelakkan kesesakan jalan yang teruk di 20 venue acara sukan sepanjang temasya itu, yang dijadual berlangsung mulai 19 Ogos, laporan Bernama.

    “Pengguna jalan raya tidak digalakkan menaiki kenderaan persendirian untuk ke tempat-tempat acara Sukan SEA ke-29 sebaliknya mereka digalakkan mengguna pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya,” katanya pada pemberita hari ini.

    Amar Singh berkata kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan acara itu akan ditunda ke subtek berdekatan sebelum dibawa ke stor barang kes Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

    Pemilik kenderaan yang ditunda, katanya akan dikenakan kompaun sebanyak RM300, dicaj sebanyak RM50 sehari untuk bayaran parkir selain bayaran upah tunda sebanyak RM100 mengikut undang-undang.

    “Sekiranya pemilik kenderaan tidak membuat tuntutan, kenderaan itu akan dilelong,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan penutupan dan lencongan jalan bagi kelancaran KL2017. Buat setakat ini, hanya melibatkan jalan di KL Sports City iaitu dari Sukom Interchange menuju ke Jalan Merah Cagar bermula 14 Ogos, seawal pukul 6 pagi hingga acara selesai dan tiada sebarang penutupan jalan yang dilakukan secara tetap di lokasi lain.

    Amar Singh berkata kesesakan lalu lintas juga dijangka berlaku di laluan menghala ke tempat-tempat acara sukan dan penginapan atlet.

    “Sehubungan itu, JSPT dengan kekuatan seramai 1,098 petugas akan membuat pemantauan dan mengawal aliran trafik dengan melakukan lencongan atau penutupan sementara di jalan-jalan terlibat,” katanya.

     
     
  • Ducati Multistrada 950 dan Monster 797 2017 dilancar – harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900

    Ducati Multistrada 950 dan Monster 797 2017 dilancar – harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900

    Next Bikes Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia turut mengambil kesempatan acara Naza Merdeka Autofair yang sedang berlangsung di Naza Auto Mall untuk melancarkan dua model baru tahun 2017 iaitu Multistrada 950 dan Monster 797, dengan harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900. Kedua-duanya juga adalah model permulaan untuk model masing-masing.

    Multistrada 950 pertama kali muncul semasa pameran EICMA di Itali pada tahun 2016, dan ia menggunakan enjin Testastretta 11 dua silinder V 937 cc sistem penyejukan cecair, yang mampu menghasilkan sebanyak 113 hp pada 9,000 rpm dan 96.2 Nm tork pada 7,750 rpm. Bentuknya masih mengikut siri Multistrada yang lain, tetapi mempunyai berat lebih ringan iaitu 229 kg, berbanding 239 kg pada Multistrada 1200.

    Tinggi tempat duduk ditetapkan pada 840 mm, namun pembeli masih boleh memilih tempat duduk yang lebih tinggi iaitu 860 mm. Motosikal ini juga didatangkan secara standard dengan empat mod tunggangan dan Ducati Safety Pack yang termasuk tiga tahap ABS dan lapan tahap sistem kawalan cengkaman.

    Kapasiti tangki minyak yang disediakan pada Multistrada 950 adalah 20 liter, manakala jarak pergerakan suspensi pula adalah 170 mm di hadapan bersama rim 19 inci dan di belakang terdapat rim 17 inci. Untuk fungsi membrek, cakera berkembar 320 mm digunakan di hadapan manakala di belakang terdapat cakera 265 mm berserta angkup tunggal.

    Ducati Multistrada 950 dan Monster 797 2017 dilancar – harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900

    Sebuah lagi model yang diperkenalkan iaitu Monster 797 kembali menggunakan enjin dua silinder V penyejukan udara, berkapasiti 803 cc yang mampu menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 6,750 rpm. Enjin yang diiktiraf tahap emisi Euro 4 ini menggunakan sistem bahan api dan throttle body 50 mm.

    Tugas membrek Monster 797 dijalankan oleh cakera berkembar 320 mm dan angkup Brembo M4.32 di hadapan, dan angkup tunggal serta cakera 245 mm di belakang, bersama sistem ABS two-channel Bosch. Suspensi hadapan adalah unit KYB USD 43 mm manakala di belakang terdapat penyerap tunggal Sachs.

    Berat keseluruhan Monster 797 berada pa 193 kg, dan tangki minyak menyediakan kapasiti 16.5 liter. Tinggi tempat duduk pula adalah 805 mm dari tanah. Merdeka Auto Fest anjuran Naza akan berlangsung sehingga 13 Ogos ini dan ia turut menawarkan pelbagai lagi promosi untuk kereta dan motosikal edarannya.

    GALERI: Ducati Multistrada 950 2017


    GALERI: Ducati Monster 797 2017

     
     
  • GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

    GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

    Dengan pendedahan perdana peringkat global MPV konsep Daihatsu DN Multisix di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) hari ini, sudah cukup untuk menunjukkan betapa pentingnya pasaran MPV mampu milik di Indonesia bukan sahaja di rantau ASEAN, malah diperingkat dunia. Ini bukan pertama kali perkara seumpama ini berlaku di mana pada GIIAS tahun lalu, Mitsubishi telah membawa MPV konsepnya untuk membuat kemunculan sulung peringkat dunia, digelar XM-Concept.

    Setahun berlalu, tanpa membuang masa yang banyak, hari ini di GIIAS 2017 model konsep tersebut telah dijelmakan dalam bentuk produksi penuh, juga membuat kemunculan sulungnya pada peringkat global. Laporan spekulasi sebelum ini menyebut ia akan digelar Mitsubishi Expander, tetapi semasa pendedahannya hari ini ia rasmi akan digelar Mitsubishi Xpander – bunyi sama tetapi ejaan lain, dan anda masih perlu berhati-hati menyebutnya agar tidak disalah erti.

    Di Indonesia, Xpander bakal berhadapan dengan saingan dari Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga dan juga Honda Mobilio yang kini menerajui pasaran republik berkenaan. Sekiranya ia di bawa ke Malaysia kelak, MPV tujuh tempat-duduk yang direka seakan SUV ini tentunya bakal mengacau Honda BR-V yang kini mendominasi pasaran tempatan, sekiranya strategi harga yang betul dilancarkan.

    GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

    Walaupun direka dengan konsep yang hampir sama dengan BR-V, Xpander mempunyai tarikannya tersendiri iaitu direka dengan begitu futuristik dan hampir seiras dengan model konsepnya sebelum ini. Menurut Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Xpander akan menjadi peneraju bagi model yang menggabungkan keselesaan dan versatiliti pada MPV dengan prestasi dan kekuatan yang ada pada SUV-SUV keluarannya. Ia akan “dipenuhi dengan teknologi MMC dan pengetahuan SUV MMC.”

    Ia diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi dengan elemen X pada bampar, lampu nyalaan tirus bersambung terus dengan gril hadapan, manakala lampu hadapan sebenar serta isyarat diletakkan pada kedua-dua sisi bampar (seperti rekaan pada Hyundai Kona).

    Garis-garis sisi badan juga kelihatan hampir seiras dengan model konsep sebelum ini, bersama ‘otot-otot’ yang diberikan pada kesemua ruang roda. Elemen hitam pada tingkap-tingkap sisi SUV ini bersambung dengan kemasan hitam pada tiang-D dan cermin belakang bagi memberikan efek seakan bumbungnya terapung. Namun, model produksi ini tidak diberikan rel bumbung, menampakkan sedikit imej kurang lasak.

    Bagi dimensi pula, panjang Xpander diukur dengan 4,475 mm dan 1,750 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,775 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, ia 22 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan jarak rodanya pula 113 mm lebih jauh. Kelegaan tanah MPV ini juga agak tinggi iaitu 205 mm atau 4 mm lebih tinggi dari BR-V.

    Rekaan dari model konsep terus dibawa ke bahagian belakang di mana imej X jelas terpampang pada pintu tailgate, tetapi ia kurang diserlahkan kerana tidak diberikan warna hitam pada bahagian berkenaan. Bampar pada model produksi ini juga direka dengan rekaan yang lebih masuk akal berbanding dari model konsep. Bagi model varian tertinggi yang ditampilkan hari ini, ia diberikan rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci bersama tayar Dunlop bersaiz 205/55R16.

    Mitsubishi Xpander dijana enjin petrol NA 1.5 liter empat silinder MIVEC, menghasilkan kuasa 103 hp dan 141 Nm (berbanding enjin 1.5 liter i-VTEC pada BR-V yang menjana 118 hp/145 Nm). Kuasa dari enjin akan memacu roda hadapan menerusi pilihan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau empat-kelajuan automatik konvensional dengan torque converter.

    Brek hadapan MPV ini diberikan sistem cakera manakala pada bahagian belakang diberikan sistem brek jenis dram dan ia turut dibantu sistem elektronik-hidraulik ABS, EBD dan BA, sementara kawalan kestabilan (ESC) dan bantuan mula mendaki (HSA) ditawarkan hanya pada varian tertinggi – sama seperti apa yang ditawarkan oleh Honda Mobilio pada pasaran Indonesia.

    Sebelum ini, imej rasmi Xpander mendedahkan ia akan diberikan bahagian dalaman dengan tema warna beige dan hitam bersama kemasan-kemasan kayu palsu. Namun pada pendedahan hari ini ia turut tampil dengan pilihan lebih sporty dengan tema hitam keseluruhan bersama kemasan-kemasan gentian-karbon palsu.

    Berbanding bahagian luaran MPV ini yang begitu agresif, bahagian dalaman Xpander nampak lebih normal menerusi papan pemuka yang rasional bersama panel instrumen yang mengandungi dua meter analog rekaan sporty, mengapit paparan informasi LCD pada bahagian tengah. Ia juga masih mengekalkan ciri seperti model Mitsubishi lain dimana paparan MID dapat kawal dengan butang “Info” yang diletakkan pada papan pemuka.

    Ciri lain yang diberikan pada MPV baharu ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng boleh laras dengan gerakan teleskopik dan turun naik (agak unik pada segmennya), tempat duduk baris ketiga diberikan port USB dan boleh dilipat dengan nisbah 50:50, tombol satu-langkah untuk menggerakkan tempat duduk baris kedua bagi memudahkan akses ke baris belakang (tetapi hanya diberikan dua perehat kepala), ruang storan bawah lantai pada bahagian kargo, serta tayar gantian diletakkan pada bahagian bawah badan kereta.

    Mitsubishi Xpander ditawarkan dalam lima varian di Indonesia iaitu GLX, GLS, Exceed, Sport dan Ultimate. Ia akan dijual pada harga bermula Rp 189,050,000 (RM60,843) hingga Rp 245,350,000 (RM78,968). MPV ini diproduksi di kilang baharu MMC yang terletak di Bekasi, Jawa Barat, dihasilkan sebanyak 80,000 unit setahun. Eksport ke pasaran ASEAN lain akan bermula pada tahun 2018.

    GALERI: Mitsubishi Xpander Sport Automatik

    GALERI: Mitsubishi Xpander Ultimate Automatik

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 tiba di Indonesia – RM320k

    Honda Civic Type R FK8 tiba di Indonesia – RM320k

    Honda Civic Type R hari ini dengan rasminya dilancarkan untuk pasaran Indonesia di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS), menjadikannya negara ketiga yang memperkenalkan model FK8 berkenaan di rantau ini selepas Filipina dan Singapura.

    Model terbaru ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo, dipadankan dengan kotak gear manual nisbah rapat enam-kelajuan dengan fungsi rev-matching.

    Untuk pasaran Indonesia, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 306 hp pada 6,500 rpm dan 400 Nm antara 2,500-4,500 rpm. Kuasa ini sama dengan unit yang dijual untuk pasaran Australia dan Filipina, tetapi sedikit rendah berbanding unit dengan spesifikasi UK, dengan 316 hp.

    Kelengkapan standard termasuk rim Berlina 20-inci aloi hitam dengan tayar Continental SportContact 6 bersaiz 245/30, yang dihasilkan khusus untuk kereta ini. Penyerap hentak adaptif turut tersedia, dengan pilihan tiga mode pemanduan (Comfort, Sport and R+), pakej brek Brembo dengan cakera berliang 350 mm depan dan cakera penuh 305 mm di belakang, Smart Entry dan lampu utama LED sepenuhnya.

    Type R ini juga hadir dengan sistem Advanced Display Audio dengan skrin sentuh tujuh-inci dan Apple CarPlay/Android Auto. Selain itu, plat nombor siri unik turut melengkapinya.

    Empat pilihan warna ditawarkan bagi model ini di Indonesia – Rally Red, Championship White, Brilliant Sporty Blue dan Sonic Grey Pearl. Dua lagi warna, Crystal Black Pearl dan Polished Metal, akan ditawarkan tahun depan. Honda Civic Typre R FK8 dijual di sana pada harga 995 juta rupiah (RM320,100).

    Sementara menunggu kereta ini tiba di Malaysia (jika ada), ikuti dahulu laporan pandu uji yang sempat wakil kami sertai di Dresden, Jerman pada Julai lalu. Walaupun Honda Malaysia belum mengumumkan apa-apa berkaitan model ini, kami jangkakan ia tetap akan diperkenalkan di sini, mungkin dalam tahun ini juga.

     
     
  • Chevrolet Colorado edisi X, X-Urban dan X-ADV kini dipasaran di Malaysia – harga bermula dari RM114k

    Chevrolet Colorado edisi X, X-Urban dan X-ADV kini dipasaran di Malaysia – harga bermula dari RM114k

    Naza hari ini memperkenalkan model Chevrolet Colorado dalam tiga edisi terkini; Colorado X, Colorado X Urban dan Colorado X ADV. Semua versi ini dikuasakan oleh enjin 2.5 liter Duramax turbodiesel dengan variable geometry turbo (VGT) yang menghasilkan 180 hp pada 3,600 rpm dan 440 Nm pada 2,000 rpm. Ia ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik atau manual.

    Perbezaan paling ketara antara ketiga-tiga edisi ini ialah dari penampilan luaran. Colorado X yang dijual pada harga RM114,437 (atas jalan tanpa insurans) datang dengan kemasan serba hitam, termasuk pada bahagian logo Chevrolet. Ini turut dilanjutkan ke bahagian belakang dan pada rim 18 inci yang digunakan.

    Bagi Colorado X-Urban, ia dijual pada harga RM132,987 tanpa insurans, dengan penampilan urban yang lebih menyerlah. Ia turut menggunakan logo Chevrolet hitam, serta kemasan di bahagian belakang yang mengikut pendekatan yang sama. Rim yang melengkapinya bersaiz 20 inci dengan tayar highway terrain (HT), dan ditambah dengan kemasan fender hitam.

    Ini diikuti oleh Colorado X-ADV, edisi paling tinggi dan paling mahal diantara ketiga-tiganya dan dijual pada harga RM146,767 tanpa insurans. Versi ini menampilkan imej yang lebih garang dengan keupayaan offroad. Suspensinya menggunakan unit dari Old Man Emu, dan tayar pula dari jenis mud terrain (MT) pada rim 16 inci.

    Selain itu, versi paling lengkap ini juga menerima kemasan hitam sama seperti dua edisi yang ditawarkan ini. Tambahan padanya ialah sport bar, kemasan pada fender dan pemijak sisi yang semuanya turut hadri dalam warna hitam. Bahagian gril pula dicat dengan warna hitam berkilat.

    Dari aspek keselamatan, ia mewarisi senarai yang sama dari penawaran Colorado lain sebelum ini. Antaranya kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, kawalan menuruni bukit, amaran pertukaran lorong, amaran pertembungan berdepan, kamera undur dan banyak lagi.

    Semua versi ini juga menerima ciri infotainmen dengan Apple CarPlay. Tempat duduk dari kulit sepenuhnya bagi ketiga-tiga versi terbaru ini. Jaminan lima-tahun diberikan, atau 200,000 km. Kelengkapan mekanikal lain yang dipasang, seperti kit suspensi dan rim 16-inci, serta rim 20-inci pada X-Urban datang dengan jaminan selama setahun.

    Chevrolet Colorado X

    Chevrolet Colorado X-Urban

    Chevrolet Colorado X-ADV

     
     
  • Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS 2017 dilancar untuk M’sia – harga RM12,603 dan RM18,327

    Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS 2017 dilancar untuk M’sia – harga RM12,603 dan RM18,327

    Dua skuter baru tiba dalam pasaran Malaysia setelah dilancarkan secara rasmi oleh Naza Premira Sdn Bhd iaitu Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS. Harga termasuk GST bagi motosikal ini adalah masing-masing RM12,603 dan RM18,327. Kedua-duanya juga mempunyai rekaan retro dan dikuasakan enjin suntikan bahan api i-GET.

    Bagi Piaggio Medley S 150 ABS, enjinnya adalah berkapasiti 149 cc, empat strok dengan sistem SOHC dan berkelulusan Euro 4, dan ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 15 hp pada 7,750 rpm dan tork 14.4 Nm pada 6,400 rpm. Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik CVT dengan klac centrifugal kering. Enjin ini juga mempunyai sistem start/stop.

    Pada bahagian hadapan Piaggio Medley S 150 ABS terdapat brek cakera 260 mm, fork teleskopik dan rim 16 inci manakala di belakang terdapat brek cakera 240 mm, dua penyerap hentak di belakang dan rim 14 inci. Kapasiti tangki minyak yang disediakan adalah tujuh liter manakala ruang simpanan di bawah tempat duduk pula boleh menempatkan dua helmet. Sistem ABS yang disediakan pada motosikal ini adalah daripada jenis two-channel.

    Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS 2017 dilancar untuk M’sia – harga RM12,603 dan RM18,327

    Vespa S 125 i-GET pula dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api 124.5 cc suntikan bahan api, dipadankan dengan transmisi automatik CVT dan mampu menghasilkan 10.1 hp pada 7,600 rpm dan 10.2 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat rim 11 inci, penyerap hentak tunggal sebelah dan brek cakera 200 mm manakala di belakang menggunakan rim 10 inci, penyerap hentak tunggal dengan pelarasan pra beban dan cakera brek 110 mm. Tangki minyaknya boleh menampung tujuh liter bahan api dan di bawah tempat duduk boleh menyimpan dua helmet half-face.

    Vespa S 125 i-GET ditawarkan dalam pilihan empat warna iaitu Verde Matt, Rosso Matt, Grigio Titanio dan Arancio Taormina manakala Piaggio Medley S 150 ABS ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu merah, hitam dan biru. Kedua-duanya didatangkan dengan jaminan dua tahun dan khidmat bantuan selama satu tahun.

    GALERI: Piaggio Medley S 150 ABS


    GALERI: Vespa S 125 i-GET

     
     
  • GIIAS 2017: Daihatsu DN Multisix – MPV konsep enam-tempat duduk baharu dengan penggayaan seperti SUV

    GIIAS 2017: Daihatsu DN Multisix – MPV konsep enam-tempat duduk baharu dengan penggayaan seperti SUV

    Selain dari model konsep sedan DN-F, Daihatsu turut membawa sebuah lagi model konsep yang membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini. Kali ini dalam bentuk MPV, digelar DN Multisix.

    Buat masa ini, segmen MPV mampu milik dengan tujuh-tempat duduk sememangnya segmen yang paling hangat di pasaran rantau ASEAN manakala Toyota dan Daihatsu merupakan peneraju segmen tersebut – dengan barisan model Toyota Calya dan Daihatsu Sigra bagi pasaran entry-level, serta kembar Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia untuk pasaran pertengahan.

    Model konsep Daihatsu DN Multisix yang diperkenalkan hari ini berkemungkinan akan dijelmakan sebagai model MPV produksi tertinggi yang menawarkan ruang dan keselesaan yang lebih baik. Seperti yang tertera pada namanya, MPV dengan tiga baris tempat duduk ini hanya menawarkan enam-tempat duduk berbanding Avanza yang mempunyai tujuh-tempat duduk.

    Ia turut menampilkan pelbagai ciri tipikal sebuah model konsep, antaranya bahagian dalaman yang futuristik, pintu bukaan suicide seperti DN-F Sedan, dan juga bumbung kaca sepenuhnya. Seperti juga Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander (juga diperkenalkan di GIIAS 2017 hari ini), DN Multisix diberikan penampilan seakan sebuah SUV walaupun hakikatnya ia sebuah MPV.

    Selain itu, MPV ini juga diberikan muka yang hampir sama seperti DN-F Sedan, dan mungkin ia akan digunakan sebagai rekaan signatur baharu Daihatsu untuk model-model produksi akan datang.

    Model ini juga berkemungkinan akan dihasilkan sebagai model produksi pada masa akan datang memandangkan permintaan yang semakin tinggi terhadap kenderaan sebegini – dan tidak mustahil juga Perodua akan menggunakannya sekiranya mereka mahukan sesuatu yang lebih besar dari Alza. Tiada lagi maklumat berkenaan dimensi MPV ini, dan ia hanya didedahkan pada petang ini.

     
     
  • MRT akan kurangkan 34,400 tan pembebasan gas C02

    MRT akan kurangkan 34,400 tan pembebasan gas C02

    Mass Rapid Transit (MRT) dijangka dapat mengurangkan pembebasan CO2 sebanyak 34,400 tan setahun, lapor The Sun. Perkhidmatan yang bermula sebahagiannya pada Disember lalu itu kini sudah menawarkan laluan penuh sepanjang 51 km bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK).

    Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian itu merancang untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida sebanyak 300,000 menjelang 2030. Ini akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran seperti yang didefinisikan oleh Nationally Determined Contribution (NDC) yang diserahkan kepada United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) di bawah pernjanjian Paris 2015.

    “Selain mesra alam, operasi MRT juga bermanfaat dari sudut ekonomi kerana tambangnya lebih murah berbanding kaedah pengangkutan lain. Secara tak langsung, kualiti hidup di Kuala Lumpur lebih selamat dan dapat dipertingkat,” tambah beliau.

    Turut menjadi matlamat operasi MRT ialah untuk mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya, terutama dari Sungai Buloh dan Kajang yang menuju ke pusat bandar. Sasaran awalnya ialah pengurangan 160,000 kenderaan sehari.

     
     
  • GIIAS 2017: Daihatsu F-Sedan Concept – coupe 4-pintu

    GIIAS 2017: Daihatsu F-Sedan Concept – coupe 4-pintu

    Wakil kami kini sedang berada di hari pembukaan Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017, dan ia dimulakan dengan sesuatu yang menarik dari Daihatsu. Pengeluar kereta kompak berkenaan memperkenalkan model konsep DN-F Sedan untuk pertama kali bagi peringkat global, di pasaran eksport paling pentingnya itu.

    Model konsep berkenaan merupakan sedan yang direka sebagai coupe empat pintu – sesuatu yang baharu dan lain daripada yang lain seperti apa yang lazimnya Daihatsu bawakan sebelum ini. Ia sebenarnya akan diperkenalkan sepenuhnya pada petang ini, tetapi dibuka terlebih dahulu untuk tatapan menteri industri Indonesia ketika beliau merasmikan acara berkenaan secara keseluruhan.

    Konsep baharu yang dibawa oleh Daihatsu ini jelas berbeza sehingga anda sukar untuk mengenalinya sebagai Daihatsu sekiranya tidak dipadankan dengan lencana jenama berkenaan. Muka sedan ini direka sangat garang dan diberikan gril bersaiz besar bersama lampu utama dan juga lampu nyalaan siang LED yang direka tirus.

    GIIAS 2017: Daihatsu F-Sedan Concept – coupe 4-pintu

    Rekaan tirus tersebut turut diberikan pada bahagian belakang, yang direka memenuhi panjang bahagian tersebut dan turut menampilkan teknologi LED. Pada bahagian sisi pula, model konsep ini diberikan garis badan yang mengujakan – tirus seakan sedan elektrik Tesla.

    Ia juga menampilkan rekaan pintu yang dibuka seperti Mazda RX-8 dan tidak diberikan tiang tengah antara pintu hadapan dan pintu belakang (juga dikenali sebagai tiang-B).

    Rekaan pintu tersebut mungkin mustahil untuk dijelmakan dalam bentuk produksi kelak. Tetapi jika sebuah sedan kompak untuk Daihatsu dan Perodua dibina dengan garis badan sebegini, tentunya ia akan melahirkan sebuah produk yang sangat mengujakan bukan? Teruskan bersama kami untuk mengetahui spesifikasi penuh model konsep baharu ini.

     
     
  • VIDEO: Insiden kanak-kanak perempuan tercampak keluar dan hampir dilanggar kereta yang dinaikinya

    Terasa bagai nak tercabut jantung bila menonton video ini.

    Baru-baru ini seorang pengguna jalan raya telah merakamkan video menerusi dashcam, di mana kelihatan seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 2-3 tahun terkeluar dari kereta yang sedang bergerak.

    Menerusi rakaman tersebut, sebuah Nissan Almera berwarna putih pada mulanya terperangkap dalam kesesakan trafik. Namun apabia ia mula bergerak, secara tiba-tiba kanak-kanak terbabit tercampak keluar dari tempat duduk hadapan kereta berkenaan. Malah kanak-kanak terbabit juga hampir dilanggar oleh kereta yang dinaikinya itu.

    Mujur juga pemandu kereta berkenaan sempat memberhentikan kereta walau pun kelihatan sudah terlajak sedikit ke hadapan, dan kanak-kanak itu berlari menuju ke kereta itu tanpa diketahui ada sebarang kecederaan padanya. Kemudian kelihatan seorang wanita turun dari kereta terbabit dan membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam kereta serta terus berlalu pergi.

    Video ini kemudiannya dikongsikan menerusi Facebook oleh Pornpilin Aeamsaad yang berkata insiden ini berlaku pada Isnin petang lalu di daerah Minburi, Bangkok, Thailand dan kemudian menjadi tular di laman media sosial.

    Gesaan khas untuk semua ibu bapa atau pemandu kenderaan yang membawa kanak-kanak kecil, pastikan anda menggandakan tahap keselamatan. Sentiasa memastikan pintu kenderaan terkunci dan jangan lupa untuk meletakkan bayi atau kanak-kanak kecil di kerusi yang dikhaskan untuk mereka. Jangan bersikap cuai, kerana ia boleh mengundang padah. Keselamatan mereka, tanggungjawab anda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026