Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kia Malaysia bakal lancar Grand Carnival, Rio serba baharu dan Optima generasi ke-4 pada 2017 ini

    Kia Malaysia bakal lancar Grand Carnival,  Rio serba baharu dan Optima generasi ke-4 pada 2017 ini

    Tahun lalu, Kia telah melancarkan dua model baharu iaitu Sportage 2016 dan Sorento 2016 serta dua model facelift; Picanto dan Cerato untuk pasaran Malaysia.

    Memperhebatkan lagi langkah lebih agresif untuk tahun 2017, jenama dari Korea Selatan ini akan membawa masuk tiga lagi model serba baharu termasuklah Grand Carnival yang kini sudah pun berada di bilik pameran. MPV bersaiz besar ini telah pun mula menerima tempahan tetapi masih belum dilancarkan secara rasmi.

    Menurut Ketua Syarikat Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, Nazman S.H.C Yusof, biar pun belum dilancarkan secara rasmi, namun sambutan terhadap Grand Carnival ini begitu positif. “Kami akan melancarkan MPV ini dalam masa terdekat, dan ada juga pembeli terawal yang bakal menerima Grand Carnival sebelum sambutan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini,” ujar Nazman.

    Grand Carnival hadir dengan dua varian iaitu 2.2D dan 2.2D GS, manakala harganya bermula RM153,888 serta bagi varian dengan spesifikasi paling tinggi, RM181,888. Ia dijanakan oleh enjin 2.2 liter CRDi turbodiesel empat-silinder, membekalkan kuasa sejumlah 200 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Kedua-dua varian turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Klik untuk besarkan

    Bukan itu sahaja, Kia Malaysia juga akan membawa masuk model Rio serba baharu ke pasaran Malaysia juga pada tahun ini. Hatchback segmen-B terbaharu ini turut menjalani transformasi gaya yang lebih menarik.

    Ini termasuklah lampu nyalaan siang LED berbentuk-U dengan alis dan LED belakang triple 7. Malahan untuk bahagian kabinnya, ia dipadankan dengan rekaan yang lebih beralun dan ergonomik, bersama garisan melintang yang menerbitkan rasa luas. Konsol tengah dihadapkan kepada pemandu dan skrin untuk sistem informasi dan hiburan dijadikan kelihatan seperti terapung.

    Sistem informasi dan hiburan yang ditawarkan termasuk satu yang didatangkan dengan skrin sesentuh lima-inci serta sistem navigasi dengan skrin sesentuh tujuh-inci yang mempunyai sistem Kia Connected Services, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga mempunyai soket USB di hadapan dan belakang.

    Malahan, Rio serba baharu ini juga dilengkapi dengan pelbagai aspek keselamatan termasuk Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) , dengan Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki (dikatakan yang pertama dalam segmennya) dan Lane Departure Warning System (LDWS). Badannya menggunakan 51% besi (sebelum ini 33%) berketahanan tinggi (AHSS).

    Klik untuk besarkan

    Turut bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada 2017 ini ialah model Optima generasi keempat yang diperkenalkan di New York Motor Show 2015. Model Optima serba baharu ini ditampilkan dengan rekaan yang penuh evolusi serta berkongsi banyak persamaan dengan model konsep Kia SPORTSPACE.

    Malah penampilan gril hidung harimau pada model Optima baharu ini juga sedikit menonjol seperti model K900. Malah bampar hadapannya juga kelihatan lebih menarik terutamanya dengan lingkaran krom yang menampakkan citarasa lebih premium. Sementara itu, bahagian hud dan rim aloi yang lebih bergaya turut membuatkan Optima ini kelihatan segar.

    Walau bagaimana pun, spesifikasi lengkap bagi model Rio serba baharu dan Optima generasi keempat untuk pasaran Malaysia masih belum didedahkan secara terperinci.

    Menurut Nazman lagi, pihaknya juga berminat untuk memasarkan Kia Stinger, kereta sport empat-pintu terbaharu yang diperkenalkan di North America International Auto Show, Detroit baru-baru ini. “Jika boleh, kami juga mahu membawa masuk model sport premium Stinger ke pasaran Malaysia, cuma mungkin ia bergantung pada permintaan dan kesesuaiannya,” ujar Nazman.

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D

    GALERI: Kia Rio 2017 spesifikasi Eropah

    GALERI: Kia Optima generasi ke-empat spesifikasi USA

     
     
  • Honda BR-V langkaui sasaran asal, terima tempahan lebih 4,000 unit selepas tiga minggu dilancarkan

    Honda BR-V langkaui sasaran asal, terima tempahan lebih 4,000 unit selepas tiga minggu dilancarkan

    Nampaknya Honda Malaysia memulakan langkah yang bergaya untuk permulaan tahun 2017 ini, apabila SUV tujuh-tempat duduk Honda BR-V yang baharu sahaja dilancarkan hampir tiga minggu lalu kini telah pun menerima tempahan lebih dari 4,000 unit.

    Tempahan berkenaan telah melangkaui sasaran asal Honda Malaysia yang mahu menjual hanya 800 unit SUV tersebut pada setiap bulan, di mana jumlah tempahan sedia ada telah pun memenuhi kuota yang ditetapkan selama lima bulan kehadapan. Oleh itu, bagi mereka yang sudah pun menempah BR-V, mereka mungkin terpaksa menunggu sehingga 1-2 bulan sebelum menerima kereta baharu mereka.

    Honda Malaysia turut menyatakan, walaupun angka tempahan berkenaan sepatutnya dihasilkan dalam masa lima bulan, pihak mereka mampu untuk mengekalkan tempoh menunggu lebih pendek kerana keupayaan kilang mereka yang boleh melaras jadual produksi berdasarkan permintaan serta ia kini beroperasi dengan dua barisan produksi.

    Honda BR-V langkaui sasaran asal, terima tempahan lebih 4,000 unit selepas tiga minggu dilancarkan

    Berdasarkan statistik, dari keseluruhan tempahan tersebut, varian tertinggi V menerima permintaan sebanyak 83% manakala 17% selebihnya menempah BR-V dari varian asas E. Honda turut menyatakan, atas praktikaliti dan juga harganya yang mampu milik, BR-V ditempah oleh ramai dari kalangan mereka yang belum pernah memiliki jenama berkenaan sebelum ini.

    Honda BR-V, atau Bold Run-about Vehicle merupakan sebuah kenderaan crossover tujuh tempat duduk yang direka seperti SUV tetapi dengan keluasan serta praktikaliti sebuah MPV. Dipasang di Pegoh, Melaka, Honda Malaysia menyatakan 70-80% komponen yang digunakan merupakan keluaran tempatan.

    Dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN, BR-V dibina dari platform Honda Brio/Mobilio dan dilengkapi enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, berkuasa 120 PS dan 145 Nm. Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi CVT Earth Dreams, memacu roda hadapan.

    Pada bahagian sistem suspensi, BR-V diberikan Topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan torsion beam pada bahagian belakang. Menurut Honda Malaysia, suspensi untuk BR-V di semua negara adalah sama, namun penyerap hentak bagi pasaran Malaysia telah diberi talaan yang sedikit berbeza untuk kesesuaian kegunaan di jalan raya di sini.

    Untuk dimensi pula, BR-V diukur dengan 4,453 mm panjang (4,456 mm untuk varian V), 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Ia turut memberikan jarak kelegaan tanah sehingga 201 mm. Sebagai perbandingan, BR-V ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

    Kami belum lagi menguji SUV ini di Malaysia, namun gambaran awal boleh dibuat dengan membaca ulasan pandu uji kami terhadap BR-V pasaran Thailand yang kami sertai sebelum ianya dilancarkan pada pasaran tempatan.

    GALERI: Honda BR-V 1.5L V

     
     
  • Banjir: Beberapa jalan di Segamat dan Kota Tinggi, Johor mula ditutup kepada kenderaan ringan

    Banjir: Beberapa jalan di Segamat dan Kota Tinggi, Johor mula ditutup kepada kenderaan ringan

    Akibat hujan berterusan dan kini telah mengakibatkan banjir di beberapa daerah di Johor, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri berkenaan telah mengumumkan beberapa batang jalan di daerah-daerah tertentu kini mula ditutup kepada kenderaan ringan, menurut laporan Bernama.

    JKR menyatakan, sehingga 11.30 pagi ini, Jalan Tungku 3; Jalan Jabi ke Bukit Tempurung dan Jalan Felda Kemelah di daerah Segamat mula ditutup kepada kenderaan ringan. Manakala pada daerah Kota Tinggi, Jalan Seksyen 53 dan Jalan Kota Tinggi-Mersing juga hanya boleh dilalui kenderaan berat.

    Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata aras air di kawasan Sungai Bekok di Yong Peng, Batu Pahat telah melebihi tahap bahaya iaitu 2.97 meter pada 12 tengah hari. Dua sungai di Segamat pula berada pada aras amaran dan berjaga-jaga iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dengan bacaan 5.78 meter dan Sungai Muar di Kampung Awat dengan 19.45 meter. Kolam Air di Empangan Machap, Kluang juga berada pada aras amaran dengan paras 17.17 meter.

     
     
  • ‘Teksi Motosikal’ Dego Ride haram di M’sia – Menteri

    Berbanding aplikasi ‘e-hailing’ menggunakan kenderaan empat roda seperti Uber dan Grab dilihat tiada masalah terhadap pihak berkuasa berkaitan, perkhidmatan seumpanya tetapi menggunakan motosikal digelar ‘Dego Ride’ nampaknya tidak mendapat nasib yang sama.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi menerusi laporan Bernama, berkata kementerian itu tidak pernah mengeluarkan sebarang permit ataupun lesen untuk penunggang motosikal membawa penumpang awam di negara ini dan ia adalah haram di negara ini kerana ianya melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Tidak ada lesen atau permit untuk teksi motosikal kalau ada ia adalah haram di negara ini,” katanya kepada pemberita mengenai wujudnya perkhidmatan tersebut sejak tiga bulan lalu di ibu negara dengan menggunakan aplikasi dalam talian.

     
     
  • Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    Minggu lalu, Audi telah mencatatkan satu lagi peristiwa bersejarah setelah kilang San José Chiapa mereka di Mexico menyiapkan sebuah Audi Q5 berwarna Garnet Red, yang juga unit ke-8 juta dilengkapi sistem pacuan semua roda Audi Quattro.

    Audi telah menggunakan teknologi Quattro ini lebih dari 36 tahun, setelah mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1980. Hari ini, sistem Quattro diberikan standard pada SUV Audi Q7, Audi A4 dan Audi A6 allroad, A8 limo, R8 dan semua model S dan RS. Manakala semua model lain pula, sistem Quattro ini ditawarkan sebagai opsyen.

    Mengikut statistik, pada tahun 2015, 44% pelanggan Audi di seluruh dunia memilih model yang dilengkapi sistem Quattro, membuktikan ia merupakan pilihan yang popular. Dari keseluruhan jumlah tersebut, model Q5 merupakan model yang paling tinggi iaitu sekitar 262,000 unit. Model-model dengan sistem Quattro ini juga mencatatkan jumlah jualan yang agak kuat di Amerika Syarikat, Kanada, Russia dan Timur Tengah. Di Jerman sendiri, kenderaan yang dilengkapi sistem Quattro mencatatkan jualan sebanyak 122,048 unit.

    “Quattro” berasal dari bahasa Itali yang bermaksud empat. Sistem pacuan semua roda berkenaan diperkenalkan buat pertama kali pada model Ur-Quattro. Untuk mendemonstrasikan kebolehan sistem Quattro ini, Audi mula bersaing dalam kejohanan Rali Dunia (WRC), dan selepas itu merubah terus perlumbaan berkenaan buat selama-lamanya.

    Sebelum penyertaaan Audi ke dalam dunia rali, semua jentera dalam perlumbaan tersebut menggunakan pacuan dua roda, kebanyakkannya pacuan belakang, kerana mereka berpendapat sistem pacuan semua roda terlalu berat dan tidak kompetitif. Setelah FIA membenarkan penggunaan pengecas turbo, Audi menggunakan kesempatan ini untuk ‘melenyapkan’ kelemahan sistem pacuan semua roda berkenaan.

    Jentera-jentera Audi dilihat hampir tidak boleh dicabar selepas itu atas ‘traction‘ yang begitu menakjubkan dan ia boleh dipandu dengan laju pada hampir kesemua permukaan jalan.

    Untuk memperlihatkan betapa mudahnya jentera ini dipandu, Audi turut menampilkan seorang pemandu wanita dalam pasukannya – Michèle Mouton – pada tahun 1981, dan Mouton akhirnya dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan WRC 1982 dibelakang seorang lagi pemandu Audi, Walter Rohl, setelah berjaya menjuarai empat pusingan pada musim berkenaan. Kesemua jentera WRC selepas itu ‘terpaksa’ juga menggunakan sistem pacuan empat roda bagi memastikan mereka boleh mengejar kereta-kereta Audi.

    Sistem pacuan semua roda Quattro generasi pertama menggunakan karbeda tengah dengan pengunci (center locking diffential) manual. Sistem berkenaan kemudiannya ditukar kepada penggunaan LSD tengah jenis Torsen untuk mengagihkan tork bahagian hadapan dan belakang pada tahun 1986.

    Sistem generasi ketiga hadir pada tahun 2005, diberikan mekanisma gear planetary yang mampu memberikan agihan kuasa dan tork yang tidak simetri serta lebih dinamik. Sistem ini masih lagi dibangunkan dari masa ke masa oleh Audi untuk memberikan prestasi yang lebih baik.

    Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    quattro drivetrain

    Hari ini, Audi membina sistem Quattro dalam pelbagai versi bagi menyesuaikan penggunaannya pada setiap model berlainan. Untuk kereta kompak dengan kedudukan enjin melintang, ia diberikan LSD hidraulik klac pelbagai-lapisan yang dikawal secara elektronik pada gandar belakang.

    Pada model kereta sport R8 yang menggunakan konfigurasi enjin tengah pula, karbeda klac pelbagai lapis berkenaan diletakkan pada gandar hadapan. Sistem aktif ini akan mengalirkan tork yang berbeza antara gandar hadapan dan belakang bergantung kepada situasi bagi memastikan dinamik pemanduan yang jitu diberikan setiap masa.

    LSD bahagian tengah masih lagi diberikan pada model-model Audi yang diberikan pemasangan enjin menegak kebelakang di bahagian hadapan. Unit karbeda tersebut juga masih lagi menggunakan mekanisma gear planetary mekanikal sepenuhnya. Sistem ini akan membahagikan tork antara gandar hadapan dan belakang dalam nisbah 40:60.

    Unit karbeda sport diberikan pada gandar belakang pada model-model dengan enjin spesifikasi tertinggi. Unit ini akan mengagihkan tork antara hadapan dan belakang secara aktif menerusi dua unit yang bertindih, setiap satunya dengan klac pelbagai-lapis elektro-hidraulik. Dalam situasi yang paling sukar, sistem ini mampu mengalirkan hampir kesemua tork pada satu roda sahaja, bagi menghindarkan dari berlakunya understeer.

    Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    Pembangunan terbaharu dari Audi dalam penghasilan sistem Quattro ini menampilkan teknologi ultra. Ia direka untuk model berenjin hadapan dengan kedudukan menegak kebelakang, menggunakan klac pelbagai-lapis yang kawal secara aktif, diletakkan pada penghujung sistem transmisi yang mampu mengagihkan tork secara bervariasi antara gandar pacuan dan juga sistem pacuan semua roda.

    Pemisah yang diletakkan pada gandar belakang boleh memutuskan hubungan kepada roda belakang. Kedua-dua klac dibuka pada situasi pemanduan biasa di mana sistem pacuan semua roda tidak memberikan apa-apa kelebihan ketika itu. Dengan cara ini, komponen yang menghasilkan geseran pada masa tersebut tidak dihubungkan.

    Unit kawalan elektronik bagi sistem ini menggunakan pelbagai data untuk menghasilkan status kereta berkenaan untuk setengah saat yang akan datang. Jika sistem berkenaan mengesan situasi yang diperlukan sistem pacuan semua roda beroperasi, contohnya roda bahagian dalam bakal kehilangan cengkaman, sistem Quattro diaktifkan secara serta-merta. Ini menjadikan sistem pacuan semua roda berkenaan berada dalam keadaan bersedia pada setiap masa. Menurut Audi, konsep sistem baharu ini meningkatkan kecekapannya tanpa mengorbankan traction atau dinamik pemanduan.

     
     
  • Petronas Coffee Break kembali – kopi, snek percuma; pemeriksaan keselamatan 20-poin untuk kereta Proton

    Petronas Coffee Break kembali – kopi, snek percuma; pemeriksaan keselamatan 20-poin untuk kereta Proton

    Seperti biasa, menjelang sahaja musim balik kampung sempena perayaan utama, Petronas setia dengan program ‘Coffee Break‘ bagi menggalakkan orang ramai berehat seketika di stesen-stesen minyak mereka, untuk memastikan mereka cukup rehat dan tiba ke destinasi dengan selamat.

    Untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, program Petronas Coffee Break telah pun masuk ke penganjuran tahun yang ke-18. Syarikat petroleum nasional berkenaan akan mengedarkan 600,000 cawan kopi panas dan juga snek secara percuma di 121 stesen minyaknya sepanjang lebuhraya dan kawasan dengan kadar aliran trafik yang tinggi. Program ini akan berjalan pada 28 hingga 29 Januari dan 30 hingga 31 Januari bermula pukul 2 petang, sehingga kehabisan stok.

    “Kami menjangkakan trafik yang tinggi di sepanjang lebuhraya ketika musim cuti Tahun Baharu Cina. Kami menjemput pengguna jalan raya untuk berehat seketikan dan menyegarkan diri semula di stesen-stesen kami, dan pada masa yang sama mengisi semula tangki petrol dengan formula kemenangan kami, Petronas Primax 95 dan Primax 97, sebelum menyambung semula perjalanan mereka,” kata pengarah urusan dan CEO Petronas Dagangan Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

    Selain dari kopi dan snek, Petronas turut akan mempamerkan tujuh tips keselamatan jalan raya pada stesen-stesen terlibat. Diadakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), kempen ini disasarkan untuk memberikan peringatan dan pendidikan kepada pengguna jalan raya bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang musim cuti berkenaan.

    Servis lain yang turut ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma dan juga pemeriksaan keselamatan 20-poin kereta-kereta Proton yang dijalankan oleh Proton di stesen-stesen terpilih, juga secara percuma.

    Petronas turut meneruskan penajaaannya kepada St John Ambulance Malaysia (SJAM) buat kali ke-23, dengan membekalkan bahan api kepada 50 ambulan yang bernilai RM20,000. Kenderaan-kenderaan ini akan digunakan untuk memberikan pertolongan kepada pengguna jalan raya di sepanjang lebuhraya utama.

    “Keselamtan jalan raya merupakan perkara yang diambil berat oleh kami di Petronas. Tips-tips keselamatan ini akan menjadi peringatan yang bagus untuk meningkatkan keselamatan dan [memberikan sikap] yang lebih berhati-hati ketika memandu yang boleh mengelakkan kemalangan serta menyelamatkan nyawa,” kata Ibrahimnuddin.”Kami sangat berharap setiap orang sampai ke destinasi mereka dengan selamat.”

    Untuk maklumat lanjut berkenaan program Petronas Coffee Break dan stesen-stesen yang terlibat, anda boleh layari laman web rasmi mereka.

     
     
  • JPJ nafi Grab, Uber dilarang perbaharui cukai jalan

    JPJ nafi Grab, Uber dilarang perbaharui cukai jalan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan menafikan larangan bagi kenderaan Uber dan GrabCar bagi memperbaharui cukai jalan, seperti mana yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp baru-baru ini.

    Mesej berkenaan memaparkan bahawa kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ adalah tidak benar sama sekali.

    Menurut JPJ, kenderaan yang terlibat dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar boleh memperbaharui cukai jalan dengan mengikut prosedur sedia ada, mempunyai insurans yang sah dan tidak disenarai hitam.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp yang tidak mempunyai sumber sah. Sekiranya terdapat kemusykilan, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk terus kepada JPJ dan tidak turut sama menyebarkan maklumat tidak sahih itu.

     
     
  • Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Kawasaki Malaysia hari ini memperkenalkan barisan empat model terbaru keluarannya untuk pasaran tempatan bagi tahun 2017. Model-model yang dimaksudkan ialah Kawasaki Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 dan sebuah jentera kembara dalam kategori baru, Versys-X 250.

    Akan dipasang dan dibawa masuk dari Thailand, semua model ini akan mula berada di bilik pameran di Malaysia secara berperingkat seawal bulan Mac nanti. Buat masa ini, harga anggaran diberikan dahulu, sebelum harga akhirnya yang bakal ditentukan nanti diumumkan.

    Model Z900 ABS misalnya akan dijual pada harga kurang daripada RM58,000 termasuk GST, dan akan mula memasuki pasaran dijangka pada bulan April. Manakala bagi model Z650 ABS pula, ia akan dijual pada harga sekitar RM37,000 termasuk GST, dan akan mula memasuki bilik pameran Mac nanti.

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Sebuah lagi model yang turut direncanakan tiba di Malaysia dalam bulan Mac ialah Ninja 650 ABS, yang akan dijual pada harga di bawah RM38,000 termasuk GST. Sementara itu, bagi model kembara Versys-X 250, harganya yang paling rendah di antara keempat-empat model ini, iaitu RM25,000 termasuk GST.

    Menurut Kawasaki, barisan model berkenaan akan menjadi pemula bagi penawaran motosikal yang dilengkapi sistem ABS oleh Kawasaki di Malaysia – dengan Versys-X 250 juga berkemungkinan besar akan dilengkapi ciri berkenaan selepas pengenalan sulung ini nanti.

    Daripada semua model terbaru ini, jentera siri 650 merupakan jentera yang dibangunkan serba baru, dengan kerangka serta enjin yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan penampilan terdahulunya sebelum ini. Bagi model Z900 ABS dan Versys-X 250 pula, kedua-duanya masih meminjam banyak struktur dan ciri mekanikal yang sama dari versi siri sama sebelumnya.

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Kawasaki Z900 ABS menggunakan kerangka Trellis dengan berat 13.5 kg yang dibina serba baru. Ia dilengkapi enjin 948 cc empat silinder sebaris, empat lejang dengan sejukan cecair dengan kuasa maksimum 125 PS pada 9,500 rpm dan tork 98.6 Nm pada 7,700 rpm. Transmisinya pula adalah dari jenis wet multi-disc enam-kelajuan.

    Bagi Z650 ABS pula, ia turut menggunakan kerangka yang direka serba baru dengan berat hanya 15 kg. Bagi nadi penggerak utamanya, enjin 649 cc Parallel Twin DOHC dengan lapan injap membekalkannya dengan 68 PS pada 8,000 rpm kuasa serta 65.7 Nm pada 6,500 rpm tork maksimum. Sama seperti Z900 ABS, transmisinya adalah dari jenis wet multi-disc enam-kelajuan.

    Ninja 650 ABS berkongsi spesifikasi yang hampir sama dengan model Z650 ABS. Bezanya, Ninja merujuk kepada model versi fairing Kawasaki, untuk membezakannya dari siri Z. Ia dilengkapi enjin 649 cc yang sama seperti . Janaannya kekal pada 68 PS pada 8,000 rpm kuasa serta 65.7 Nm pada 6,500 rpm bagi tork maksimum.

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Paling menarik tentunya Versys-X 250, yang menggabungkan penggayaan sebuah motosikal kembara yang bersaiz besar, dengan enjin dengan kapasiti yang kecil. Ia direka untuk kegunaan pada permukaan yang pelbagai; menggunakan enjin 249 cc dengan kuasa 34 PS pada 11,500 rpm dan 21.7 Nm pada 10,000 rpm. Transmisi enam-kelajuan dengan klac basah menyalurkan kuasanya ke roda belakang melalui rantai.

    Harga jualan sebenar bagi semua model berikut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, sebaik sahaja ia tiba di memasuki bilik pameran seluruh negara nanti.

     
     
  • VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    Petang tadi Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengadakan pertemuan ringkas bersama media tempatan bagi mengumumkan visi dan rancangan mereka untuk tahun 2017.

    Menurut Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, untuk tahun ini, pihaknya akan melancarkan Tiguan serba baharu dan juga model facelift bagi Beetle. Kedua-dua model berkenaan direncana bakal dilancarkan sebelum suku kedua 2017 berakhir.

    Tiguan serba baharu yang telah dua kali dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia, merupakan model pemasangan tempatan (CKD), iaitu diproduksi di kilang Volkswagen Malaysia Automotive Assembly di Pekan, Pahang.

    Bagi pasaran negara lain, Tiguan serba baharu ini didatangkan dengan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan Highline, tetapi masih belum diketahui adakah kita akan menerima pilihan yang sama untuk Malaysia.

    Namun menerusi foto spyshot yang pernah disiarkan, Tiguan serba baharu ini diberikan suntikan yang lebih terkini termasuk menampilkan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang serta lampu kabus hadapan.

    Malah saiznya juga lebih besar iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 77 mm jarak roda yang lebih panjang. Penambahan dimensi ini juga membantu memberikan ruang yang lebih praktikal, termasuk ruang bonetnya lebih 145 liter, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Peningkatan ini adalah hasil daripada binaan baharu bagi Tiguan, dengan menggunakan platform modular MQB, juga dengan pengurangan berat sehingga 50 kg. Malahan SUV baharu ini juga memiliki imej yang lebih berketerampilan berbanding Typ 5N (generasi pertama).

    VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    Malah VPCM turut memaklumkan, model ikonik Beetle versi facelift juga akan diperkenalkan bagi merancakkan lagi langkah syarikat ini di Malaysia pada tahun ini.

    Walau pun tiada banyak perubahan daripada segi rekaan luarannya, namun difahamkan ia bakal ditampilkan dengan sedikit pembaharuan. Ini termasuklah bamparnya yang direka semula dan lebih sporty, malah turut menampilkan lampu belakang LED, serta pilihan roda 17- dan 18-inci.

    VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    Di dalamnya, pencahayaan pada panel instrumen juga lebih terang, didatangkan dengan dail baharu dan pengayaaan terkini pada pad pemuka. VW juga menampilkan tiga material baharu upholstery dan pakej gaya kontemporari untuk pilihan secara personal.

    Selain itu, VPCM juga mengesahkan akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad pada tahun ini. Ia adalah berasaskan model Volkswagen pemasangan tempatan yang ada di pasaran. Mungkin model Polo dan Vento akan masuk dalam senarai edisi terhad tersebut? Nantikan perkembangan selanjutnya kelak.

    GALERI: Volkswagen Tiguan semasa Frankfurt Motor Show 2015

    GALERI: Volkswagen Beetle 2016


     
     
  • Teaser Subaru XV generasi baharu disiar, bakal membuat kemunculan sulungnya di Geneva Mac ini

    Teaser Subaru XV generasi baharu disiar,  bakal membuat kemunculan sulungnya di Geneva Mac ini

    Setelah Subaru Impreza generasi baharu membuat penampilan sulungnya di New York Mac tahun lalu, versi SUV crossover model tersebut – XV – bakal diperkenalkan buat pertama kali di Geneva Motor Show Mac ini. Pengeluar jenama Subaru, Fuji Heavy Industri telah mengumumkan perkara ini bersama gambar teaser model tersebut, dan juga laman web khas yang turut disertakan dengan pemasa countdown.

    Menerusi imej teaser tersebut, garis bayangan badan XV generasi baharu kelihatan agak seiras dengan Impreza versi hatchback lima-pintu. Untuk pasaran ASEAN, Impreza generasi terkini berkenaan baharu sahaja dilancarkan untuk peringkat rantau ini, pada Singapore Motor Show hampir dua minggu lalu.

    Seperti juga XV generasi sebelum ini, Impreza hatchback dan XV dibezakan dengan ciri-ciri crossover untuk merentas desa seperti rel bumbung, rim yang dengan rekaan lebih lasak serta tayar yang lebih besar, kelegaan tanah yag dipertingkatkan, serta pelindung-pelindung disekeliling badan.


    Subaru Impreza hatchback lima-pintu

    Sebelum ini, Subaru telah mengumumkan bahawa XV akan terus dibina seperti model sebelum ini, iaitu menggunakan sebahagian besar komponen yang sama seperti Impreza serta menggunakan platform serupa iaitu Subaru Global Platform, yang memberikan pelbagai peningkatan kepada prestasi keseluruhannya menerusi pelbagai tingkat taraf yang dilakukan pada kerangka asas.

    Bahagian lain, XV generasi baharu ini dijangka bakal menerima lampu hadapan dan belakang berbentuk-C serta menerapkan konsep rekaan ‘Dynamic x Solid’ yang diberikan pada model konsep XV tahun lalu

    XV bakal dijana oleh barisan enjin boxer Subaru, digandingkan bersama kotak gear Lineartronic CVT serta sistem pacuan semua-roda Symmetrical AWD. Model dengan unit janakuasa hibrid juga dijangka bakal diberikan pada pasaran-pasaran tertentu.

    Menurut pengarah eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan dalam laporan sebelum ini, XV generasi baharu ini bakal tiba ke pasaran Malaysia tahun ini. Beliau juga menyatakan kilang milik syarikatnya di Segambut telah pun bersedia untuk mula memproduksi mana-mana model yang menggunakan Subaru Global Platform seperti XV pada bila-bila masa.

     
     
  • VIDEO: Kepala silinder enjin lutsinar – tunjuk apa sebenarnya terjadi dalam kebuk pembakaran

    Untuk melihat apa sebenarnya yang terjadi pada kebuk pembakaran bagi enjin pembakaran dalaman, pemilik saluran Warped Perception di laman Youtube telah membina kepala silinder enjin lutsinar untuk enjin empat lejang Briggs and Stratton.

    Kemudian, mereka merakamkan proses pembakaran di dalam enjin berkenaan dengan kamera berdefinasi tinggi menerusi kepala enjin tersebut, serta memperlahankannya 150 kali lebih perlahan dari kelajuan video sebenar, bagi melihat dengan jelas bentuk pembakaran yang berlaku.

    Jika sebelum ini, teori ‘swirl‘ atau pusaran yang berlaku pada pembakaran yang terhasil dari bentuk liang kemasukan, bentuk injap dan bentuk kebuk itu sendiri hanya digambarkan menerusi gambar lukisan atau teknik CGI, perkara yang sebenar dapat dilihat menerusi kepala silinder kaca ini.

    Proses pembakaran kitaran empat-lejang juga dapat dilihat dengan jelas, bermula dari bukaan injap kemasukan terbuka ketika lejang kemasukan, omboh memampatkan udara/bahan api dengan bergerak keatas semasa kedua-dua injap tertutup ketika lejang mampatan, palam pencucuh memberikan percikan api seterusnya menghasilkan pembakaran yang berpusar dan ‘menendang’ semula omboh ke bawah semasa lejang kuasa, dan akhir sekali omboh bergerak semula keatas sambil injap ekzos terbuka dalam proses lejang ekzos.

    Selain dari menggunakan gasolin/petrol, mereka juga turut menguji apa akan terjadi sekiranya enjin ini disuapkan dengan bahan api lain seperti alkohol dan juga asetilena iaitu gas yang digunakan untuk alat pengimpal.

     
     
  • Tren Antarabandar KTMB laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir, dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini

    Tren Antarabandar KTMB laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir, dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini

    Disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, struktur landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan Km 392.5 antara Bukit Abu-Dabong, Kuala Krai telah terjejas dan tidak dapat dilalui sejak semalam. Walau bagaimanapun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB hari ini mengatakan gangguan perkhidmatan tren Antarabandar di laluan tersebut akan kembali pulih Jumaat ini.

    “Oleh itu semua perkhidmatan tren antara laluan Dabong-Kuala Krai-Dabong digantung sementara bermula semalam. Semua perkhidmatan tren shuttle hanya akan beroperasi antara Kuala Lipis-Dabong dan Kuala Krai-Tumpat. Kerja-kerja membaik pulih landasan sedang giat dijalankan,” ujar KTMB menerusi Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan tersebut.

    Dalam perkembangan yang sama, perkhidmatan Ekspres Timuran no.26 (JB Sentral-Tumpat) hanya disediakan dari Stesen JB Sentral hingga Stesen Gua Musang dan penumpang akan meneruskan perjalanan dari Stesen Gua Musang ke Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat menggunakan bas yang disediakan oleh KTMB, manakala bagi penumpang ke Stesen Dabong akan menggunakan tren tempatan.

    KTMB turut memohon maaf atas kesulitan ini serta menyatakan kelewatan tren dijangka melebihi dua jam, dan penumpang boleh membuat pemulangan tambang atau menukar tarikh perjalanan mereka.

     
     
  • Toyota Vios facelift terbaharu dilancarkan di Thailand – empat varian ditawarkan, harga bermula dari RM76k

    Toyota Vios facelift terbaharu dilancarkan di Thailand – empat varian ditawarkan, harga bermula dari RM76k

    Toyota Motor Thailand telah melancarkan secara rasmi model Toyota Vios facelift untuk pasaran di sana. Ia ditawarkan dalam empat varian – 1.5J, 1.5E, 1.5G dan 1.5S – dengan harga bermula dari 609,000 baht (RM76,621) hingga 789,000 baht (RM99,268).

    Di dalam penampilan terbaru ini, Vios dilengkapi dengan enjin 2NR-FBE 1.5 liter empat silinder Dual VVT-i, yang sudah diperkenalkan bagi versi facelift sebelumnya Mac tahun lalu di Thailand dan kemudiannya pada Oktober bagi pasaran Malaysia.

    Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 108 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 Nm. Kuasa dari enjin disalurkan ke roda depan menerusi sistem transmisi CVT dengan nisbah maya tujuh-kelajuan (tiada pilihan manual).

    Perubahan paling ketara tentulah dari aspek yang dapat kita lihat dengan jelas; penggayaannya kini lebih mirip dengan Vios yang diperkenalkan untuk pasaran China ketika Beijing Auto Show 2016. Dari depan, ia menggunakan lampu projektor bersekali dengan lampu LED, gril dalam bentuk T serta lampu kabus yang diubah kedudukannya.

    Di belakang, lampunya kini adalah dari jenis LED dengan grafik yang baru, dengan palang krom ditengahnya yang lebih nipis. Bampar juga turut diberi penggayaan baru yang lebih kemas dan ringkas, termasuk pada bahagian lampu kabus. Selebihnya, rim 15 inci atau 16 inci digunakan, serta dilengkapi kamera undur, bergantung kepada varian.

    Namun, di bahagian dalam, perubahan yang dilakukan agak minumum. Reka bentuk tombol kawalan pendingin hawa menjadi satu-satunya perkara baru yang diperkenalkan. Ciri-ciri seperti unit DIN berkembar dengan skrin sentuh, masukan tanpa kunci, tempat duduk fabrik/kulit serta paparan pelbagai maklumat pemanduan masih kekal seperti sebelumnya.

    Dari segi ciri keselamatan, Vios facelift terbaru ini datang dengan dua beg udara di depan, ABS dengan EBD, Isofix pada tempat duduk belakang serta kawalan kestabilan (VSC) dan kawalan cengkaman. Untuk pasaran Thailand, enam pilihan warna ditawarkan; Red Mica Metallic, Quartz Brown Metallic, Super White, Silver Metallic, Gray Metallic dan Attitude Black Mica. Bagaimana pula untuk pasaran Malaysia, bila agaknya versi ini akan tiba?

     
     
  • Penonton rali maut dirempuh Hyundai i20 pada peringkat pertama WRC Monte Carlo 2017

    Penonton rali maut dirempuh Hyundai i20 pada peringkat pertama WRC Monte Carlo 2017

    Pusingan pertama kejohanan rali dunia tahun ini dimulakan dengan berita sedih seorang penonton meninggal dunia setelah dilanggar oleh Hyundai i20 WRC 2017 yang dipandu oleh Hayden Paddon di peringkat permulaan Khamis lalu, lapor motorsport.com.

    Hyundai i20 berkenaan terbalik setelah ianya understeer dan hilang kawalan setelah melalui satu selekoh dengan permukaan berais di SS1 dan melanggar penonton malang berkenaan. Ujian yang sedang dilakukan oleh jentera tersebut terpaksa dihentikan serta merta.

    Walaupun hanya kerosakan minima yang berlaku terhadap jentera tersebut, Hyundai menggugurkan penyertaan Hayden pada pusingan pembukaan WRC berkenaan. Laluan SS1 tersebut juga dibatalkan pada Jumaat lalu kerana i20 yang terlibat dalam kemalangan itu masih berada di kawasan berkenaan.

    Walau bagaimanapun, WRC Monte Carlo 2017 masih diteruskan dan berakhir semalam – dimenangi oleh juara bertahan Sebastien Ogier, berlumba untuk pasukan baharunya, M-Sport, dengan memandu Ford Fiesta WRC 2017. Tempat kedua dimenangi oleh Jari-Matti Latvala yang memandu Toyota Yaris WRC 2017, permulaan yang baik untuk Toyota setelah kembali semula ke kancah WRC selepas menarik diri 18 tahun lalu. Seorang lagi pemandu Ford, Ott Tanak menduduki tangga ketiga, bagi melengkapkan dominasi pasukan berkenaan pada pusingan pembukaan tahun ini.

    Jentera-jentera WRC tahun ini dibina berdasarkan undang-undang baharu dari FIA, membolehkan setiap pasukan membina kereta yang lebih pantas dan lebih lebar bagi memberikan sensasi WRC Group B pada era 80’an dahulu. Namun, akibat kereta yang terlalu berkuasa dan berbahaya, Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse. Kemalangan melibatkan rempuhan terhadap penonton juga pernah berlaku dalam rali Group B sebelum itu di Rali Portugal, menyebabkan kematian tiga orang penonton.

     
     
  • Malaysia akan kenakan RC di semua pintu sempadan

    Malaysia akan kenakan RC di semua pintu sempadan

    Malaysia telah pun mengenakan Caj Jalan Raya (RC) bagi semua kenderaan asing yang memasuki negara melalui Johor sejak 1 November lepas. Malah ia juga akan dilaksanakan di semua pintu masuk negara termasuklah sempadan Indonesia, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kadar bagi RC juga adalah sama iaitu RM20, seperti mana yang dikenakan terhadap kenderaan yang memasuki negara ini dari Singapura.

    “Kami perkenalkan caj ini untuk melindungi negara kita. Kita bukan saja melaksanakannya terhadap kenderaan berdaftar di Singapura, tetapi juga yang berdaftar di Thailand dan Indonesia,” ujarnya kepada pihak media.

    Malah mengesahkan bahawa kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dari Thailand akan dikenakan RC bermula Jun ini.

    “Saya gembira dengan respons mereka bahawa mereka tidak akan memperkenalkan RRC sekiranya kita mengamalkan pendekatan tidak bersifat menindas. Sejak mula lagi, saya memaklumkan kepada Kerajaan Singapura bahawa kita tidak bertujuan untuk menindas negara itu.

    “Kita perkenalkan langkah itu semata-mata untuk menjamin keselamatan trafik kita dan kenderaan dari Singapura ke Malaysia,” katanya.

    Liow berkata langkah itu juga diambil bagi mengelak penggunaan kenderaan klon dan untuk memastikan semua saman dibayar sebelum kenderaan asing meninggalkan Malaysia.

     
     
  • Polis Selangor lancar Op Selamat 10 sempena CNY

    Polis Selangor lancar Op Selamat 10 sempena CNY

    Polis Selangor telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya Op Selamat 10/2017 sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina (CNY), dan menasihati para pemandu agar mematuhi undang-undang lalu lintas, atau berhadapan dengan denda yang tinggi sekiranya didapati bersalah melanggar peraturan sedia ada, laporan The Sun.

    Op Selamat 10/2017 telah pun bermula pada 21 Januari lalu dan dilaksanakan sehingga 5 Februari ini, disasarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dari Op Selamat 9/2016, yang mencatatkan sejumlah 5,247 kes, iaitu peningkatan sebanyak 248 kes berbanding tahun 2015.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negeri DSP Datuk Mohamad Fuad Abdul Latiff, pihaknya berazam untuk menangani gejala buruk yang sering berlaku di jalan raya termasuk pengguna kenderaan yang mementingkan diri sendiri dan beberapa faktor yang menjadi punca utama berlakunya peningkatan kemalangan jalan raya dalam operasi pada tahun lalu.

    “Sebanyak 37,723 saman trafik telah dikeluarkan pada sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun lalu, sementara 34,847 saman pada tahun sebelum ini. Sekiranya jumlah saman trafik boleh dikurangkan, kadar kemalangan juga boleh diturunkan. Justeru, pihak kami menyarankan agar pengguna jalan raya terutamanya di Selangor untuk ambil perhatian terhadap perkara ini,” ujar Mohd Fuad.

    Beliau turut menambah, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di Selangor juga meningkat, iaitu sebanyak 42 kes pada tahun 2016, berbanding 32 pada 2015.

     
     
  • Teksi akan dikecualikan daripada caj jalan Singapura

    Teksi akan dikecualikan daripada caj jalan Singapura

    Susulan daripada kenaikan kadar caj jalan (RRC) terbaru yang dikenakan oleh Pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), pemandu teksi dari Malaysia kini boleh menarik nafas lega.

    Menurut laporan Today Online, Singapura telah mengesahkan bahawa caj berkenaan akan dikecualikan terhadap teksi asing yang berdaftar, yang memasuki negara itu. “Caj jalan (RRC) ini tidak dkenakan terhadap teksi dengan pendaftaran luar,” jelas jurucakap LTA. Ini adalah berikutan keresahan pemandu-pemandu teksi di Johor yang perlu membayar S$6.40 (RM20) ketika memasuki Singapura.

    Minggu lalu, pengerusi Terminal Teksi Johor Bahru-Singapura, Muhammad Najib Abdul Rahman berkata, pemandu-pemandu teksi ini sepatutnya dikecualikan daripada caj RRC berkenaan, memandangkan teksi Singapura tidak perlu membayar RM20 bagi caj jalan Malaysia yang menjadi bandingan kepada RRC di sana.

    “Kami berharap, memandangkan Malaysia mengecualikan teksi Singapura daripada caj jalan berkenaan, Singapura juga memberikan layanan yang sama terhadap teksi dari Malaysia,” jelas beliau. Kadar baru RRC Singapura akan berkuatkuasa 15 Februari ini.

    Ia bakal menyaksikan semua kenderaan berpendaftaran luar akan dikenakan caj jalan ketika memasuki Singapura, sama ada dari Tuas mahupun Woodlands. Langkah ini diambil untuk mengimbangi caj jalan yang dikenakan oleh Malaysia bagi kenderaan luar yang memasuki Johor, pada kadar RM20, yang mula dilaksanakan pada 1 November tahun lalu.

    Singapura juga sudah menyatakan bahawa republik itu akan menarik balik caj berkenaan sebaik sahaja Malaysia melaksanakan caj jalan yang sama di sempatan Malaysia-Thailand.

     
     
  • Duke 2 telah siap, dijangka beroperasi Jun ini

    Duke 2 telah siap, dijangka beroperasi Jun ini

    Ekovest Berhad telah mengumumkan fasa kedua bagi Le­buhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) telah pun siap dibina dan dijangka bakal memulakan operasi sepenuhnya pada Jun ini.

    Pembinaan yang bermula sejak Disember 2013 ini telah menelan perbelanjaan sebanyak RM1.18 bilion, Duke 2 merupakan lebuh raya bertingkat yang akan menghubungkan timur dan barat ibu negara.

    Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lim Keng Cheng, Duke 2 ini adalah pelengkap bagi Duke fasa pertama yang turut melibatkan dua sambungan lebuh raya iaitu Sri Damansara Link dan Tun Razak Link, laporan Utusan Malaysia.

    Dengan operasi sepenuhnya tidak lama lagi, sistem kutipan tol juga akan dilaksanakan dan kadar bayarannya akan diumumkan kelak.

     
     
  • MEX beri diskaun tol 10% sempena Tahun Baharu Cina

    MEX beri diskaun tol 10% sempena Tahun Baharu Cina

    Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) telah mengeluarkan kenyataan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% untuk para pengguna Lebuhraya Maju (MEX) sempena Tahun Baharu Cina ini.

    Di mana diskaun itu akan dinikmati oleh semua kelas pengguna lebuh raya tersebut bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 28 Januari ini. Dianggarkan lebih 77,000 kenderaan bakal menikmati diskaun ini.

    Untuk maklumat terkini mengenai diskaun tol dan laporan trafik, pengguna boleh melayari laman Twitter dan laman Facebook MEXTraffic, atau hubungi MEX Hotline di 03-83159111.

     
     
  • Toyota Vios facelift bakal dilancarkan di Thai hari ini

    Toyota Motor Thailand telah menyebarkan imej teaser terbaharu bagi Toyota Vios facelift – sedan segmen-B, yang menerima padanan enjin dan transmisi baharu pada tahun lalu, akan diperkenalkan menerusi siaran video secara langsung di Facebook rasmi syarikat berkenaan hari ini pada jam 11.30 pagi.

    Dengan imej teaser tersebut, ia menunjukkan Vios facelift ini menerima lampu utama dengan unit projektor baharu dengan bingkai hitam dan disambungkan bersama lampu posisi LED berbentuk kening, seiras dengan model pasaran China yang telah pun didedahkan tahun lepas.

    Malah ia juga dilengkapi dengan gril atas baharu berbentuk-T, di sampibg gril bawah yang mirik model Camry baharu pasaran Amerika (dengan lampu kabus pada gril), disambung dengan lampu nyalaan siang LED melintang.

    Manakala bahagian belakangnya pula, ia dipadankan dengan lampu bersama rekaan grafik yang disemak semula, disambung dengan bootlid bar krom yang lebih nipis berbanding sebelum ini. Malah bampar belakang juga telah diprofil semula bagi penampilan yang lebih menyerlah. Di bahagiab dalamnya, tidak banyak perubahan yang dilakukan, hanya konsol tengah yang direka semula, dilengkapi corong udara tengah baharu.

    Vios ini telah menerima padanan penjana kuasa baharu, dijangka sama dengan model pasaran kita – engin 1NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm yang disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

    GALERI: Toyota Vios facelift pasaran-China

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026