Kadang-kala, orang yang tidak berminat dengan kereta turut akan tahu asas rekaan sebuah kereta sport dengan jenama Ferrari – biasanya akan menampilkan rekaan sebuah GT dengan muncung yang panjang dan belakang pendek atau berbentuk supercar sebenar dengan menempatkan enjin di belakang pemandu. Namun dua buah Ferrari yang baru didedahkan sangat berbeza – digelar sebagai Monza SP1 dan SP2, kedua-duanya merupakan speedster tanpa bumbung dengan konsep retro.
Apa yang anda nampak ini bukanlah model konsep, tetapi merupakan model produksi sebenar yang menurut laporan Autocar dihasilkan tidak sampai 500 unit, dengan harga yang dianggarkan mencecah US$3 juta atau sekitar RM12.4 juta, dan hanya akan ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan terbaik sedia ada Ferrari.
Monza SP1 dan SP2 ini diletakkan dalam barisan model Icona baharu, atau lebih tinggi dari kereta-kereta sport lain seperti barisan model 488 dan 812 Superfast, model-model GT seperti Portofino dan GTC4Lusso atau model siri istimewa seperti 488 Pista.
Speedster ini sebenarnya direka dengan inspirasi dari model ikonik 166 MM Barchetta keluaran tahun 1948 dan juga kereta-kereta lumba Ferrari era 50’an seperti 750 Monza dan 860 Monza. Hasilnya, ia kelihatan seperti versi sebenar Mach 5 dari siri animasi Speed Racer, malah lebih agresif kerana tidak diberikan cermin hadapan dan hanya satu tempat duduk untuk SP1; manakala SP2 menerima tempat duduk penumpang disebelah.
Rekaan badan yang diperbuat dari material gentian karbon ini direka ringkas dengan hanya menempatkan gril hadapan yang besar, lampu hadapan yang sangat nipis, liang sisi yang kecil. Manakala pada bahagian belakang, Monza SP1 dan SP2 ini juga diberikan lampu belakang yang nipis bersama diffuser besar yang turut menempatkan empat tip ekzos.
Dengan bentuk yang ringkas ini menyebabkan pintu kedua-dua kereta berkenaan bersaiz sangat kecil. Kokpit kereta ini turut direka minalis sementara Ferrari juga telah membina sistem Virtual Wind Shield bagi memastikan aliran udara tidak mengganggu dengan menghalakan udara ke sekeliling pemandu dan penumpang.
Walau bagaimanapun, aspek kuasa tidaklah seringkas rekaan kereta ini. Kedua-duanya dijana oleh enjin NA 6.5 liter V12 sama seperti Superfast dan menurut Autocar, ia turut menerima sistem kemasukan udara bervariasi seperti pada enjin Formula 1. Enjin tersebut berupaya menjana 809 hp (dari 789 hp) pada takat 8,500 rpm dan tork maksima 719 Nm pada takat 7,000 rpm. Kuasa dialirkan terus ke gandar belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Ini membolehkan Monza SP1 dan SP2 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat, dan mencapai 200 km/j dalam masa hanya 7.9 saat! Jika anda berani, kedua-dua kereta sport ini mampu dikerah melebihi 300 km/j.
Serentak dengan pengenalan dua model ini, Ferrari turut memperkenalkan aksesori dan pakaian yang boleh digayakan bersama, dihasilkan oleh jenama mewah Loro Piana dan Berluti. Ferrari menyatakan bahawa barangan yang termasuk overalls perlumbaan, jersi, topi keledar, sarung tangan, skaf dan kasut memandu berkenaan merupakan berberapa solusi teknikal bagi “memastikan keselesaan dan pergerakan bebas ketika memandu.”
Penawaran model Volvo XC90 di Malaysia ditambah dengan satu lagi varian yang lebih rendah iaitu XC90 T5 AWD Momentum. Varian ini menyertai dua lagi varian T8 Twin Engine yang dilancarkan sebelum ini iaitu T8 Inscription dan T8 Inscription Plus.
Di bawah bonet varian T5 ini terdapat enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa 254 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,800 rpm. Kotak gear yang digunakan adalah unit AW TG-81SC lapan kelajuan daripada Aisin dan kuasa dihantar kepada semua tayar (AWD).
Melihat kepada prestasi, XC90 T5 AWD ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 215 km/j. Tahap penggunaan bahan api pula berada pada 7.9 liter bagi setiap 100 km dan jelas ini adalah lebih banyak berbanding model plug-in hybrid yang mencatat 2.5 liter bagi setiap 100 km. Selain daripada itu, model T8 juga mempunyai lebih kuasa – 407 hp dan 640 Nm kerana ia menggunakan enjin hibrid dan mempunyai supercharger.
Seperti yang dinyatakan di atas, XC90 T5 AWD ini datang dalam trim Momentum, di mana ia mempunyai gril warna hitam berkilat dengan kelilingnya terdapat kemasan krom, serta bampar belakang tanpa bentuk petak untuk muncung ekzos dan kemasan krom pada keliling lampu kabus dan pemantul cahaya.
T5 Momentum ini juga tidak mempunyai kemasan di bawah pintu, manakala rim pula lebih kecil, iaitu menggunakan unit 19 inci dengan tayar saiz 235/55. Melalui varian ini juga anda masih akan mendapat lampu utama LED Illumination dengan lampu siang ‘Thor’s Hammer’ yang menjadi tanda unik jenama ini, serta fungsi Active High Beam dan pelaras automatik.
Pada bahagian dalam, papan pemuka varian ini menampilkan penggunaan kemasan Cross Brushed Aluminium, berbanding Linear Walnut pada Inscription. Tombol gear kristal buatan syarikat Sweden, Orrefors pada T8 telah diganti dengan unit biasa pada T5 ini, tetapi ia masih mempunyai butang pemula enjin dan pengawal bunyi audio dengan potongan kristal yang sama.
Senarai kelengkapan lain yang ada pada T5 Momentum adalah termasuk sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, 10 pembesar suara, sistem audio 330-watt, panel instrumen Adaptive Digital Display 12.3 inci, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk balutan kulit, Comfort Seats, tempat duduk larasan kuasa untuk pemandu dan penumpang hadapan, corong pendingin hawa di baris kedua dan kamera undur.
Sistem keselamatan dan bantuan pemandu pula adalah sama dengan varian T8 Twin Engine, termasuk tujuh beg udara, Adaptive Cruise Control, City Safety dengan Front Collision Warning dan Pedestrian and Cyclist Detection dengan Full Auto Brake, Lane Departure Warning, Lane Keeping Aid, Blind Spot Information System (BLIS), Roll Stability Control dan Hill Descent Control. Turut diberi adalah sistem pemanduan semi-autonomous Pilot Assist.
Sebagai sebuah varian yang lebih rendah, harga XC90 T5 AWD ini juga lebih rendah iaitu RM373,888 tidak termasuk insurans. Sebagai perbandingan, dua lagi varian XC90 T8 dijual pada harga RM403,088 untuk varian Inscription dan RM413,088 untuk varian Inscription Plus.
Baharu sahaja imej teaser kereta ini disiarkan semalam, hari ini Mercedes-Benz telah mendedahkan terus Mercedes-AMG A 35 4Matic walaupun penampilan sulungnya akan dibuat di Paris Motor Show bulan hadapan. A 35 ini direka sebagai sebuah model entry level untuk sebuah AMG sebenar dengan enjin empat silinder yang diletakkan antara A 250 dan juga model lebih liar A 45 AMG.
Menurut Mercedes, A 35 AMG ini bukan model yang direka hasil ubahsuai dari model asas, sebaliknya ia dibina serentak dengan penghasilan A-Class generasi baharu W177, bersama-sama Mercedes-AMG A 45 genersi baharu yang akan didedahkan tahun hadapan.
Pada bahagian luaran, asas rekaan hatchback ini masih lagi sama dengan versi standard menmapilkan lampu hadapan dan belakang yang jauh lebih tirus dari model sebelum ini. Walaupun hadir hanya sebagai model entry level, penampilan A 35 ini masih lagi sangat garang dan kelihatan sama agresif seperti A 45 generasi sebelumnya.
kereta ini diberikan gril AMG dengan elemen rekaan louvre berkembar bersama kemasan krom perak. Bampar direka agresif dengan apron AMG dan juga luang udara sisi bersama spiltter udara pada bahagian bawah. Beralih ke sisi, model ini diberikan skirt lebih labuh serta set rim dari AMG jejari berkembar berdiameter 18-inci dibaluti tayar berprofil rendah.
Di belakang pula, A 35 diberikan bampar yang dilengkapi diffuser berwarna hitam berkilat yang turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk bulat – berbeza dengan A 45 yang berbentk segi empat. Lencana ‘A 35’ dilekatkan pada pintu tailgate belakang, manakala spoiler bumbung bersaiz besar diletakkan pada bahagian atas.
Pendekatan yang sama turut diberikan pada bahagian dalaman. Tidak seperti AMG C 43 – adik kepada AMG C 63 yang tampil ‘lebih lembut’ dengan tidak diberikan tempat duduk ‘bucket’ pada kabin, A 35 ini nampaknya masih mendapat tempat duduk ala-perlumbaan tersebut, di balut dengan kulit buatan Artico hitam.
Selain itu, kabin A 35 ini turut menerima roda stereng rata di bawah, konsol tengah AMG, tali keledar berwarna merah, serta upholsteri gentian mikro Dinamica dengan serlahan jahitan benang putih.
Sama seperti A-Class standard, papan pemuka A 35 ini turut diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit yang terdiri dari dua buah skrin yang masing-masing bersaiz 10.25-inci. Model generasi baharu ini menampilkan sistem perantara baharu Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggantikan sistem COMAND sedia ada.
Apa yang istimewa pada model berprestasi tinggi ini, ia diberikan paparan tambahan dari AMG yang terbina dalam kluster informasi tersebut. Paparan berkenaan menyediakan mod Supersport yang memaparkan takometer besar pada bahagian tengah, manakala informasi lain diberikan pada kedua-dua sisi. Menerusi menu AMG, pemandu dapat memantau pelbagai paparan khas seperti Warm-up, Set-up, G-Force dan Engine Data.
Sistem MBUX pada A 35 ini turut menawarkan opsyen istimewa AMG Track Pace. Pilihan berkenaan mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau. Ia berfungsi menerusi sistem GPS dan telah diberikan pra tetapan untuk litar Nürburgring atau Spa Francochamps.
Peta paparan boleh dipilih dalam bentuk 2D atau 3D dan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut disertakan dengan pengajar maya menerusi sistem fungsi A.I MBUX yang memberikan anda panduan bagi mendapatkan masa lap yang lebih pantas.
Berapa beza kuasa antara A 45 dan A 35 ini? Menurut laporan sebelum ini, A 45 generasi baharu bakal dijelmakan sebagai model lebih buas dengan bekalan kuasa sekitar 400 hp. Untuk A 35 ini pula, ia dijana enjin petrol baharu M260 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo jenis twin-scroll, menghasilkan kuasa 306 hp pada takat 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 3,000 rpm hingga 4,000 rpm.
Kuasa dialirkan ke kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift, dan kemudian diagihkan ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda bervariasi sepenuhnya AMG Performance 4Matic. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j. Manakala penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 7.3 liter untuk setiap 100 km berdasarkan kitaran NEDC.
Kapasiti enjin, angka kuasa, transmisi dan catatan prestasi pada model ini secara tidak langsung meletakkan Mercedes-AMG A 35 sebagai lawan terus kepada Volkswagen Golf R. Berbanding A 45 generasi W176 sedia ada pula, A 35 ini sedikit perlahan kerana model dengan kuasa 381 hp/380 Nm tersebut mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat.
Transmisi untuk model baharu ini telah ditala dengan nisbah gear yang membolehkan kereta tersebut mendapat “pecutan yang sangat serta merta” dalam semua tahap kelajuan, dan ia turut memberikan tukaran gear yang pantas tanpa menyebabkan kehilangan kuasa yang banyak ketika menukar gear yang lebih tinggi.
Hot-hatch ini turut menerima fungsi Race-Start, iaitu sistem launch control yang membolehkan kereta ini berlepas seperti lastik dari kedudukan pegun. Selain tukaran gear secara automatik sepenuhnya, pemandu turut boleh menukar gear secara manual menggunakan pedal penukar gear pada roda stereng.
Seperti model Mercedes-AMG yang lain, kereta ini dilengkapi dengan mod pemanduan AMG Dynamic Select. Mod-mod seperti Comfort, Sport, Sport+ dan Individual adalah sama seperti model lain, namun untuk A 35 ini ia turut menerima mod Slippery baharu. Mod berkenaan menala semula karekter pemanduan kereta ini bagi membolehkan kuasa optimal dapat digunakan pada permukaan licin. Ia akan mengurangkan kuasa enjin dan meratakan lagi lengkungan tork.
Manakala untuk mod Sport+, ia kini menampilkan fungsi double-declutching ketika pemandu menurunkan gear secara agresif bagi membolehkan aliran kuasa yang lebih lancar. Mod ini juga akan menghasilkan bunyi letupan pada ekzos menerusi pemasaan sistem nyalaan dan suntikan yang dilambatkan (retard) secara tepat.
Bagi menghentikan kereta ini, brek hadapan menerima angkup monoblok tetap dengan empat-omboh dan kemasan perak bersama tulisan AMG hitam dan cakera 350 mm pada bahagian hadapan, serta angkup gelangsar dengan omboh tunggal bersama cakera 330 mm di belakang – ukuran yang sama seperti sistem brek A 45 W176. Kesemua cakera tersebut telah pun mempunyai liang dan ditebuk secara standard bagi membolehkan ia disejukkan dengan lebih cepat ketika pemanduan agresif, bagi mengelakkan simptom brake fade terjadi.
Untuk pengendalian pula, kereta ini diberikan dengan sistem Penyerap Hentak Adaptif, namun ia hadir sebagai ciri opsyen – pembeli perlu membayar lebih untuk mendapatkannya.
Pelanggan di Eropah boleh menempah Mercedes-AMG A 35 ini bermula pada bulan hadapan, manakala penghantaran bagi pelanggan pertama hanya akan dibuat pada Januari 2019. Sekarang macam mana? Nak beli A 250 kemudian melabur lagi untuk rupa dan prestasi acah-acah A 45, atau terus beli AMG sebenar A 35 ini?
Bagi mereka yang tak pernah menggunakan laluan khas motosikal, kadang kala cerita-cerita yang “keluar” dari sana bunyinya seperti satu mitos, terutama ketika mereka cuba memahami kenapa ramai yang selalu mengelat dari menggunakan laluan khas yang telah disediakan itu dan selalu masuk ke aliran trafik utama.
Mungkin memang ada segelintir yang berbuat demikian, atas apa juga alasan. Tetapi, sekiranya hal-hal keselamatan di laluan khas berkenaan yang menjadi antara sebabnya, maka kaedah penyelesaian yang menyeluruh diperlukan untuk mengubah situasi ini.
Anda tentu pernah mendengar banyak cerita tentang perkara ini. Permukaan jalan berlubang dan tidak rata sehingga ada yang terjatuh, bukaan laluan khas yang sempit dan tak sesuai untuk menampung perjalanan selain daripada kapcai yang kapasiti enjinnya kecil, tempat-tempat banjir yang agak dalam sehingga penunggang terjatuh dalam takungan air, kes-kes rompakan di laluan yang sunyi dan banyak lagi.
Bukan tak ada penambah baikan yang dilakukan. Banyak kerja-kerja naik taraf yang sedang dan telah dijalankan. Misalnya, kini ada jambatan di kawasan-kawasan tertentu di laluan khas berkenaan (mungkin di kawasan kerap banjir). Tetapi, banyak lagi kerja-kerja yang sedang dilakukan seperti mengambil masa yang terlalu lama.
Ketika ini juga, jika anda menggunakan laluan khas motosikal, misalnya di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, dibeberapa kawasan, anda akan dilencongkan untuk masuk ke laluan utama kereta. Entah sebab apa, mungkin kerana kerja-kerja naik taraf yang dinyatakan itu tak kunjung siap. Bagaimana dan bila agaknya penunggang boleh menggunakan laluan berkenaan seperti yang sepatutnya?
Di media sosial baru-baru ini juga heboh tentang seorang penunggang motosikal yang termasuk “jerat” tali pancing yang sengaja direntangkan di laluan khas motosikal Lebuhraya Duke berdekatan Gombak. Seperti dilaporkan The Star, mangsa terbabit, Mohamad Afiq Izwan Ismail menyatakan kengerian dan kesakitan daripada kejadian itu seperti hampir “terputus kepala”.
Mujur beliau tidak menunggang laju di kawasan berkenaan, dan antara kecederaan yang terpaksa ditanggungnya adalah di bahagian leher, dengan kesan seperti dikelar. Jika dalam kelajuan tinggi, kecederaan yang mungkin perlu ditanggung boleh saja membahayakan nyawanya sendiri.
Cabaran paling utama ketika ini ialah bagaimana untuk menjadikan laluan khas motosikal itu selamat? Jika ia selamat dan selesa (dan tentunya mampu menampung jumlah motosikal yang banyak ketika ini), tentu saja penunggang tidak punya alasan untuk tidak menggunakannya.
Perhatian yang lebih terperinci diperlukan, dengan pemerhatian serta perancangan yang lebih menyeluruh dan holistik diperlukan untuk menilai semula rekaan rangkaian laluan khas motosikal ini dan bagaimana untuk menjadikannya lebih teratur dan bersepadu dengan rekaan laluan aliran utama bagi jenis kenderaan lain.
Di plaza tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) Taman Dato’ Harun misalnya. Jika anda naik motosikal melalui lorong khasnya untuk melepasi tol, dan selepas itu perlu untuk ke lorong paling kanan untuk menyusur memasuki Lebuhraya Persekutuan, anda perlu merentangi kira-kira enam atau tujuh lorong laluan kenderaan lain (yang mana di atas jalan tak ada jalur putih yang jelas kelihatan). Ini satu kerja yang “tak masuk” akal.
Puncanya mungkin hanya satu; nampaknya seperti rekaan laluan khas motosikal tidak difikirkan dengan terperinci dan diambil kira sejak awal ketika perancangan dan pembinaan lebuhraya-lebuhraya yang ada. Ia nampaknya hadir seperti sebuah afterthought; siap laluan utama barulah difikirkan macam mana nak diletakkan laluan khas motosikal ini.
Dah hal seperti yang dinyatakan ini bukanlah kes terpencil. Ia ada dibanyak lagi lebuhraya atau jalan-jalan besar yang lain. Selain rekaan dan rangkaian laluan yang caca-marba begini, mentaliti masyarakat kita juga masih jauh di belakang. Seperti kes yang menimpa Izwan ini, ia terang-terangan merupakan hasil dari tangan dan niat jahat manusia.
Seperti yang dinyatakan tadi, cabaran untuk kita semua ketika ini ialah bagaimana untuk menjadikan laluan khas motosikal itu lebih selamat? Tanggungjawab ini tidak hanya tergalas di bahu kerajaan semata-mata, bahkah sistem nilai dalam masyarakat juga perlukan berubahan. Jadi, ke mana kita selepas ini?
Dua model terbaru daripada BMW Motorrad iaitu R 1250 GS dan R 1250 RT 2019 cuma akan dilancarkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan lagi, tapi syarikat itu telah mendedahkannya lebih awal atas talian. Kedua-duanya adalah model yang mempunyai banyak pembaharuan, di mana GS berada dalam segmen kembara/jelajah manakala RT pula lebih kepada perjalanan jauh atas lebuh raya.
Pembaharuan utama yang menjadi perhatian adalah pada bahagian enjin, di mana unit boxer pada motosikal ini sekarang dilengkapi dengan ShiftCam, iaitu satu sistem yang memberikan pemasaan injap boleh ubah untuk memperbaiki penggunaan bahan api dan menepati tahap emisi yang ditetapkan. Sistem ini digunakan untuk injap yang berada pada bahagian intake.
Juga baru untuk dua motosikal R 1250 ini adalah rantai penggerak cam bergigi, yang menggantikan rantai jenis roller sebelum ini. Dipadankan lagi dengan injector twin-jet, enjin 1,254 cc pada R 1250 ini boleh menghasilkan kuasa sehingga 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Sebelum ini, model R 1200 GS dan R 1200 RT menggunakan enjin 1,170 cc dan kuasanya cuma 125 hp dan 125 Nm tork.
Untuk sistem keselamatan, Automatic Stability Control (ASC) – atau juga boleh dikenali sebagai kawalan cengkaman – serta Hill Start Control (HSC) didatangkan secara standard untuk dua model R 1250 baru ini. Kemudiannya, disediakan pula dalam pilihan tambahan adalah Riding Modes Pro, yang memberikan tambahan mod tunggangan, Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro, Hill Start Control Pro dan Dynamic Brake Assistant (DBC).
Kini, BMW menyediakan skrin TFT-LCD berwarna penuh untuk memaparkan informasi kepada penunggang, dan ia adalah unit 6.5 inci untuk GS manakala RT pula menggunakan unit 5.7 inci. Pada RT, skrin digital ini digunakan bersama meter kelajuan dan rpm analog, serta lampu jenis LED di semua lampu iaitu di depan, belakang dan penunjuk arah. Lampu siang LED juga disediakan sebagai pilihan.
Untuk keselesaan, tempat duduk asal GS dan RT baru ini boleh dilaras dalam beberapa tahap dan sekiranya masih tidak menepati kemahuan, pemilik boleh mendapatkan pilihan tempat duduk lain yang disediakan dalam katalog BMW. Satu lagi bahagian aksesori buatan khas BMW Motorrad Speziale turut menyediakan pelbagai lagi aksesori untuk dua motosikal ini.
Mereka yang berminat untuk membeli R 1250 ini diberikan dua pilihan untuk R 1250 GS iaitu dua model asas dan dua varian gaya berbeza iaitu Touring dan Adventure. Untuk R 1250 RT pula terdapat satu model asas yang disediakan dan dua lagi adalah varian dengan kelengkapan yang berbeza.
Proton kian agresif dalam memperkenalkan pusat 3S dan 4S yang dinaiktaraf, ini termasuklah pusat 4S yang terletak di Sungai Petani, Kedah, dan dikendalikan oleh Mercu Usaha Mesra Corporation Sdn Bhd yang telah beroperasi sejak 2005. Kos pengubahsuaian cawangan ini dianggarkan bernilai RM1 juta, dengan kawasan seluas 2,869 meter persegi.
Pusat 4S yang dinaiktaraf ini dijangka memberikan pelanggan pengalaman baharu apabila mereka melangkah masuk ke cawangan ini dan memberikan mereka pengalaman membeli yang baharu. Persekitaran yang kondusif akan menjadi lebih santai dan mereka akan berasa lebih selesa ketika berada di bilik pameran yang membolehkan kakitangan jualan berpeluang untuk membuat tawaran secara profesional dan cekap. Penaiktarafan ini dijangka akan meningkatkan jumlah jualan sebanyak 70%, dan jumlah servis sebanyak 50%.
Ia membawakan pembaharuan terkini termasuk mempunyai ruang letak kereta yang luas, dengan 80 tempat letak kereta untuk para pelanggan maka mereka tidak perlu risau untuk mendapatkan tempat letak kereta mereka. Malah mampu memuatkan 10 unit kereta pameran berbanding tujuh unit sahaja sebelum ini. Selain itu, hiasan grafik yang menghiasi dinding di ruangan dalaman menjadikan keseluruhan kawasan lebih kemas dan menceriakan.
Bukan itu sahaja, pusat 4S ini turut menyediakan 14 petak penyelenggaraan, 11 servis pengangkat, ruang minuman, WiFi percuma, enam ruang pengecasan komputer riba, ruang kanak-kanak dan perkhidmatan tint kereta untuk pelanggan sedia ada dan baharu. Di samping itu, perkhidmatan basuh kereta percuma juga disediakan beserta nota penghargaan pada papan pemuka kereta selepas setiap perkhidmatan. Selain itu, cawangan ini turut menawarkan perkhidmatan mengambil kereta secara percuma dari rumah atau pejabat pelanggan di dalam jarak lingkungan 5 km.
Menurut Allan Wong Keng Seng, Pengarah Urusan Mercu Usaha Mesra Corporation Sdn Bhd, pelaburan untuk menaiktaraf yang dilakukan adalah berbaloi, kerana pada masa kini, permintaan pelanggan untuk membeli sesebuah produk telah berubah. Selain daripada mempunyai produk yang baik dan relevan, perniagaan yang dijalankan pada masa kini adalah mengenai menyediakan perkhidmatan yang baik, beretika dalam berurusan dengan pelanggan, mempunyai sistem dan proses yang baik, yang perlu dilakukan dengan cara yang holistik, dari jualan hingga ke servis.
Terletak di No 1, Jalan Batu Lintang off Lencongan Barat, Sungai Petani, Kedah, pusat 4S ini beroperasi pada jam 8.30 pagi hingga 7 malam pada setiap hari Isnin hingga Sabtu, manakala Ahad dan cuti umum pula 9.30 pagi hingga 6 petang bagi bahagian jualan. Untuk bahagian servis pula, ia beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Jika sebelum ini model Mercedes-AMG GT 4-Pintu Coupe telah mula dijual di pasaran Eropah, sekarang hadir pula penawaran dalam versi GT 43 4Matic+. Model ini menggunakan satu versi enjin turbocas yang digunakan pada model GT 53 4Matic+.
Enjin berkenaan menghasilkan kuasa sebanyak 367 hp antara 5,500 rpm dan 6,100 rpm, sementera tork tertinggi pula ialah sebanyak 500 Nm antara 1,800 rpm hingga 4,500 rpm. Ini dilengkapi pula dengan ciri motor alternator-penghidup EQ Boost yang membekalkan 22 hp dan 250 Nm tork, dan semua ini dipadankan pula dengan tranmsisi AMG Speedshift TCT 9G ke semua roda.
Sama seperti pada model 53 GT 4Matic, alternator-penghidup EQ Boost berkenaan disambungkan kepada kompresor auxilary elektrik yang berfungsi untuk membantu pengecas turbo ketika bacaan rpm rendah. GT 43 4Matic ini mampu memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dengan kelajuan maksimum 270 km/j.
Dari depan, rekaan yang diterapkan antara kedua-dua model yang disebutkan ini adalah serupa. GT 43 4Matic ini juga ditawarkan dalam pakej luaran dengan pilihan versi Night, Chrome, Aerodynamic dan gentian karbon. Rim juga boleh dipilih, antara sazi 19 inci hingga 21 inci.
Model ini turut dilengkapi dengan sistem kawalan udara Airpanel di bahagian depan, disertai dengan spoiler di belakang. Bagi ruang dalaman, pengguna diberi pilihan yang luas untuk menentukannya mengikut selera peribadi; sama seperti penawaran pada model GT yang lebih besar sebelumnya, termasuk ruang tempat duduk sama ada ingin dijadikan empat atau lima tempat duduk.
Lain-lain pilihan termasuk AMG Track Pack untuk lebih prestasi di litar. Di Jerman, Mercedes-AMG GT 43 4Matic+ dijual pada harga 95,259 Euro (RM462,206), sementara model GT 53 4Matic+ pada harga 109,182 Euro (RM529,785).
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan penggunaan sistem maklumat pemegang lesen memandu di dalam peranti elektronik kad pengenalan (MyKad) bagi menggantikan penggunaan kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LLM) tidak lagi diteruskan bermula sejak 17 September 2018 yang lalu.
Ini berikutan penyediaan teknologi (pembaca kad pintar) yang masih belum disediakan secara menyeluruh bagi tujuan operasi penguatkuasaan di lapangan dan urusniaga di kaunter dalam mengemaskini (pengeluaran, pembaharuan dan sistem demerit) maklumat lesen memandu.
Malah menurut JPJ lagi, pada masa hadapan, Kementerian Pengangkutan juga mempunyai cadangan untuk mengeluarkan lesen memandu digital menerusi aplikasi telefon pintar. Walau bagaimana pun, cadangan ini tidak dihuraikan lebih lanjut dan tidak dinyatakan jangkaan tarikh pelaksanaannya. Kena tunggu menterinya, Anthony Loke, buat pengumuman nanti.
Group Lotus telah melantik Phil Popham sebagai naib presiden senior untuk operasi komersial dan CEO Lotus Cars. Beliau melapor diri kepada CEO Group Lotus Feng Qingfeng bermula 1 Oktober 2018. Phil berhijrah ke Lotus setelah berkhidmat sebagai CEO Sunseeker International selama empat tahun.
Sebelum itu, Phil sebenarnya salah seorang anggota pasukan eksekutif dalam Jaguar Land Rover (JLR) selama sembilan tahun bertanggungjawab dalam operasi komersial global. Beliau akan memantau perniagaan baharu dan juga struktur operasi syarikat berkenaan yang kini sudah pun dirangka. Lotus membuat satu kenyataan yang mengatakan bahawa “perniagaan kini sudah ditetapkan untuk peringkat seterusnya dalam pertumbuhan akan datang dan juga pengembangan global.”
Feng Qingfeng berkata “Saya gembira kerana Phil meyertai Lotus pada masa penting ini dalam sejarah 70 tahun kami. Kami mengembangkan perniagaan Lotus bukan hanya pada ibu pejabat kami di Hethel, Norfolk, tetapi juga seluruh dunia agar asas dibina bagi menjadi jenama yang kompetitif pada peringkat global dan peneraju yang dikenali dalam pasaran kereta sport.”
Phil Popham pula menambah, “Saya telah menghabiskan masa saya dalam karier bekerja dengan, dan mempunyai minat untuk kemewahan gaya British yang terkenal, teknologi tinggi dan jenama peneraju dan Lotus, dengan sejarah yang mengkagumkan, sememangnya sempurna untuk kategori itu. Saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian dari pasukan yang akan memacu pertumbuhan perniagaan Lotus akan datang yang besar.”
Sementara itu,pada tahun 2017 Lotus telah menjual sebanyak 1,600 kereta – meningkat 10% dari tahun 2016 – dan syarikat berkenaan telah membuat keuntungan buat pertama kali dalam sejarahnya. Kesemua model yang dijual telah dihasilkan di kilangnya di Norfolk, England. Lotus merancang untuk memperkenalkan dua kereta sport menjelang 2020, di mana salah satunya adalah model halo yang akan diletakkan lebih tinggi dari Evora.
Lotus juga mungkin akan menukar unit janakuasanya dari menggunakan enjin Toyota kepada penggunaan enjin Volvo untuk model-model tertentu, terutamanya model SUV pertama jenama kereta sport dari British berkenaan kelak.
Satu lagi model baru Moto Guzzi memasuki pasaran Malaysia iaitu Audace Carbon dan ia dipanggil oleh pengeluar itu sebagai sebuah “motosikal muscle“. Asas model ini masih sama seperti Audace standard, tetapi mempunyai kemasan yang sedikit berbeza, menjadikannya lebih unik.
Hampir keseluruhan Audace Carbon menggunakan warna gelap, dan ia diserikan dengan kontras warna merah pada bahagian penutup head enjin, angkup brek Brembo hadapan, jahitan pada tempat duduk serta tulisan pada bibir rim. Selain daripada itu, panel tepi tangki bahan api serta penghadang lumpur motosikal ini juga dibuat daripada gentian karbon.
Kuasa penggerak pula datang daripada enjin v-twin 90 darjah 1,380 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 96 hp pada 6,500 rpm dan 121 Nm tork. Enjin ini mendapat penarafan Euro 4 dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan.
Audace Carbon juga menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, sekaligus membolehkan ia diperlengkap dengan sistem seperti kawalan cengkaman, autocruise yang boleh dilaras kelajuannya semasa berfungsi dan tiga mod tunggangan iaitu Veloce, Turismo dan Pioggia.
Secara keseluruhannya motosikal ini mencatat berat 299 kg, dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api 20.5 liter, rim 18 inci di hadapan, 16 inci di belakang, brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 282 mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang, dua penyerap hentak boleh laras dengan tabung gas di belakang dan fork 45 mm di belakang. Harga yang ditetapkan untuk Moto Guzzi Audace Carbon di pasaran Malaysia adalah RM123,000.
Selepas hampir sebulan selepas BMW Malaysia melancarkan model sport hibrid BMW i8 Coupe untuk pasaran tempatan, hari ini tiba giliran “saudara”nya pula untuk mengikut jejak yang sama dan menemui peminatnya secara rasmi di sini.
BMW i8 Roadster yang pertama seumpamanya kini mula diperkenalkan untuk pasaran tempatan, yang merupakan versi bumbung boleh buka bagi model kereta sport plug-in hybrid berkenaan dan dijual pada harga RM1.51 juta.
Model ini meneruskan pendekatan rekabentuk futuristik seperti yang ada pada model Coupe, dengan lambang “Roadster” terletak pada bahagian C-Pillar. Perbezaan utama versi ini tentulah bahagian bumbungnya yang boleh dibuka dan diturunkan.
Ia dilipat dalam keadaan yang kompak dan disimpan dalam kedudukan ruang yang kecil, memberi laluan kepada sekitar 100 liter ruang tersedia di belakang tempat duduk – ia juga sedikit berbeza kerana tiada tempat duduk belakang seperti pada versi Coupe.
Ia hanya mengambil masa 15 saat untuk dilipat, dan boleh dilakukan ketika kereta bergerak dengan kelajuan kurang daripada 50 km/j. Dengan bumbung yang diturunkan, cermin belakang akan dinaikkan sebanyak 30 mm untuk bertindak sebagai penampan angin terhadap penumpang.
Dengan kerangka aluminium yang digandingkan bersama dengan material carbon-fibre-reinforced polymer (CFRP), i8 Roadster ini mempunyai berat 1,595 kg sahaja. Bukaan pintu Gullwing tanpa kerangka pada model ini juga diberi rekaan baru, sementara kerangka cermin depan pula diperbuat daripada gentian karbon sepenuhnya.
Berkongsi dengan versi Coupe, kereta ini meneruskan penggunaan enjin yang sama; 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol, yang menjana sebanyak 231 hp dan 320 Nm tork. Semua kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear enam-kejaluan oleh Aisin.
Motor elektrik yang digunakan pula juga sama seperti apa yang melengkapi model Coupe – rekaan baru, dengan lebih janaan kuasa sebanyak 143 hp (12 hp lebih tinggi dari sebelumnya) dan digandingkan dengan kotak gear dua kelajuan padanya. Secara keseluruhan, sistem ini memberikan janaan sebanyak 374 hp kuasa, membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat (lambat 0.2 saat berbanding Coupe.)
Bateri yang diletak di tengah kereta pada bahagian bawah ruang penumpang juga mempunyai kapasiti yang lebih tinggi, iaitu 34 Ah berbanding 20 Ah. Kapasiti tenanga kasarnya juga lebih tinggi, iaitu 11.6 kWh berbanding 7.1 kWh.
Untuk itu, jarak perjalanan dalam mod elektrik sepenuhnya telah dipertingkatkan sebanyak 50% berbanding i8 yang lama – dari 35 km kepada 55 km. Kadar penggunaan minyak juga disifatkan mampu mencapai 2.0 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran NEDC.
Kelengkapan lain yang ada pada kereta ini juga mirip yang ditawarkan pada versi Coupe. Antaranya ialah Lampu utama LED dengan high beam assist, rim hitam Style 516 aloi 20-inci, sistem masukan tanpa kunci dan Push Start, tempat duduk larasan elektrik dengan memori bagi sebelah pemandu, head-up display, penghawa dingin dua zon dan kamera 360 darjah.
Bagi sistem infotainmen, Roadster ini menerima sistem tunjuk arah Profesional dengan skrin sentuh 8.8 inci beserta sistem bunyi kelililng Harman Kardon 600-watt.
Ciri-ciri keselamatan termaju yang melengkapinya juga terdiri antaranya daripada sistem Driving Assistant dengan amaran pejalan kaki dan perlanggaran serta City Braking (brek kecemasan autonomous), termasuk juga ciri BMW Connected (dengan capaian ke telefon dan jam pintar) sebagai penawaran standard.
BMW i8 Roadster ini didatangkan dengan warna luaran E-Copper yang dipadankan dengan rekaan dalaman Accaro. Selain itu, pelanggan akan menikmati manfaat dan layanan istimewa termasuk jamina lima tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual, jaminan tayar untuk dua tahun, bantuan tepi jalan BMW serta Accident Hotline dan tidak ketinggalan aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+ (BMW White Card).
Mercedes-Benz telah menyiarkan imej teaser untuk hatchback berprestasi tinggi AMG berasaskan A-Class generasi baharu, namun ia bukanlah A 45, tetapi versi ‘lebih jinak’ digelar A 35 AMG. Model ini bakal membuat penampilan sulungnya di Paris Motor Show bulan hadapan, sementara model paling berkuasa A 45 akan didedahkan pada 2019 nanti.
A 35 AMG ini dihasilkan bagi mewujudkan pilihan yang lebih rendah berbanding A 45 dalam pilihan model AMG dengan enjin empat silinder. Imej teaser yang didedahkan ini adalah rupa produksi sebenar untuk A 35 berasaskan W177 berkenaan.
Muka model berprestasi tinggi ini masih seiras dengan adik-beradik A-Class yang lain, menampilkan lampu hadapan tirus. Ia diberikan gril AMG dengan dua jalur yang memegang logo bintang Mercedes-benz, dengan lencana AMG pada bahagian kiri, serta liang udara sisi pada bampar yang lebih garang.
Pada bahagian belakang, model ini menerima tip ekzos berkembar berbentuk bulat berbanding segi empat pada A 45, dan ia masih dilengkapkan dengan spoiler bumbung bersaiz besar.
Tiada imej kabin dipaparkan pada set foto kali ini, namun boleh dijangka A 35 akan menerima spesifikasi penuh pada bahagian dalaman termasuk papan instrumen digital Widescreen.
Untuk A-Class generasi baharu ini, model A 45 AMG dijangka bakal menghasilkan kuasa sekitar 400 hp, berbanding model sedia ada dengan kuasa 381 hp. Manakala untuk A 35 AMG ini, ia akan dijana oleh enjin M260 yang ditala bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 hp bagi membolehkan ia ‘mengacau’ Volkswagen Golf R Mk7, dan mungkin juga Honda Civic Type R. Enjin empat silinder yang sama dengan kod M264 turut digunakan pada model E 350 Coupe dan Cabriolet, menghasilkan 299 hp/400 Nm.
Sekiranya model ini tiba di Malaysia kelak, peminat siri A-Class ini bakal dihidangkan dengan lebih lagi variasi model. Buat masa sekarang, model ‘biasa’ A 250 dijual pada jarak harga sekitar lebih RM100,000 berbanding A 45. Model paling buas berkenaan mungkin akan dijual lebih mahal selepas ini kerana kuasanya yang dijangka akan meningkat. Jadi, untuk mereka yang membeli A 250 kemudiannya mengubah suai kereta mereka untuk meningkatkan sedikit kuasa dan rupa seakan A 45 sebenar, mungkin boleh terus memilih A 35 AMG?
Mazda bkal melancarkan CX-3 generasi akan datang, paling awal pada tahun 2020, laporan Go Auto, denhan menambah SUV segmen-B itu akan ditambah saiz dan ruang termasuk keseluruhan pakejnya. Ia bakal berkongsi platform dengan Mazda 3 akan datang (model semasa CX-3 berkongsi platform dengan Mazda 2), di mana dimensinya lebih kurang sama besar dengan pesaingnya seperti Toyota C-HR, Hyundai Kona, dan mungkin Honda HR-V dan Subaru XV.
Platform baharu ini iaitu SkyActiv-Vehicle Architecture dijangka akan diperkenalkan menerusi Mazda 3 serba baharu pada tahun hadapan, di mana ia didatangkan dengan struktur badan yang lebih kuat dan chasis yang lebih tegar. Platform baharu ini termasuk sistem suspensi belakang yang diberi kejuruteraan semula bagi mengurangkan bunyi bising dan getaran memasuki bahagian kabin.
Menurut pengarah dan ketua R&D Mazda, Kiyoshi Fujiwara, larasan baharu ini dibangunkan berdasarkan pengalaman model sedia ada SkyActiv yang terlalu bising. “Ia melibatkan gandar torsion beam (baharu) yang lebih baik berbanding suspensi multi-link berkaitan dengan bunyi bising jalan, jadi kami memilih untuk mengurangkan bunyi tersebut untuk pelanggan,” ujarnya sambil menambah pihaknya juga banyak menerima aduan daripada pihak media mengenai perkara ini.
Lagi satu tambahan berpotensi ialah fitment untuk enjin SkyActiv-X – enjin petrol berteknologi tinggi baharu dengan Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI). Mazda berkata enjin supercharged ini akan memberikan penjimatan petrol umpama bahan api diesel, dengan hamburan kuasa 190 hp dan 230 Nm.
Kinim angka-angkanya adalah untuk Mazda 3, tetapi mengikut logik, dengan enjin yang sama dengan CX-3 akan datang, menyaksikan model semasa Mazda berkongsi enjin yang sama. Dijangka SkyActiv-X akan ditawarkan sebagai penjana kuasa premium, bersama enjin SkyActiv-G dan SkyActiv-D. Manakala transmisi manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan akan diteruskan.
Selain itu, CX-3 baharu itu juga akan menerima peningkatan bagi keselesaan dan sokongan tempat duduk, hasil daripada rekaan baharu yang dibangunkan oleh Mazda sendiri, Ia memberikan akustik yang lebih baik, dan juga ergonomik papan pemuka yang dipertingkatkan. Bukan itu sahaja, kapasiti but dan ruang kaki belakang juga akan lebih besar.
Kami telah pun memandu uji prototaip bagi Mazda 3 2019 yang dilengkapi SkyActiv-X di Jepun, dan anda boleh membacanya menerusi ulasan kami DI SINI. Apakah pendapat anda dengan langkah baharu Mazda ini? Adakah ia memang langkah yang cukup relevan bagi memberikan persaingan terhadap HR-V, atau pun haruskan CX-3 kekal dalam kelasnya yang tersendiri? Kongsikan pendapat anda menerusi ruang komen di bawah.
Ada dua pameran motosikal besar yang semakin hampir di Eropah sekarang. Satu adalah INTERMOT yang akan berlangsung awal bulan hadapan di Cologne, Jerman manakala satu lagi adalah EICMA, yang akan diadakan di Milan, Itali pada bulan November. Setiap kali penganjurannya, dua acara ini pasti menjadi tapak pengenalan model baru, dan tahun ini, ia dijangka sama. Banyak pengeluar yang telah menyiarkan teaser mereka, termasuk Suzuki.
Setakat ini sudah terdapat dua teaser yang disiarkan di YouTube, tapi bentuk motosikal itu sendiri masih lagi kabur. Apa yang ditunjukkan dalam video itu cuma proses membuat pedang dalam siri pertama dan kemudiannya pedang itu sudah siap dalam video yang kedua. Bentuknya jelas adalah sebilah Katana, iaitu pedang tradisional pendekar Jepun dan samurai.
Ini sekaligus membuatkan ramai orang menjangka Suzuki akan memperkenalkan kembali Katana dalam pasaran seperti yang mereka lakukan pada tahun 80-an dulu. Model ini cukup popular bukan sahaja pada zamannya, malah sehinggalah kini termasuk di Malaysia. Terdapat beberapa versi Suzuki Katana yang pernah keluar sebelum ini termasuk yang menggunakan enjin 1,000 cc, 750 cc, 650 cc dan 550 cc.
Perkara yang menjadi perhatian pada Katana klasik sudah tentu adalah reka bentuk, di mana ia sebenarnya direka dengan kerjasama sebuah syarikat dari Eropah, dan bukannya Suzuki sahaja. Dari bentuk lampu yang tajam, tangki serta tempat duduknya, anda sudah boleh kenal ia adalah sebuah Katana. Paling kami gemari adalah versi yang menggunakan lampu jenis lipat yang boleh disembunyikan.
Sebenarnya, bentuk lampu hadapan berparuh pada Katana juga seperti sudah dimasukkan kembali dalam produk Suzuki yang terbaru dan anda boleh melihat pengaruhnya berada pada model V-Strom. Selain daripada itu, Suzuki juga pernah mendedahkan model konsep yang juga membawa rekaan seperti Katana dalam beberapa tahun lepas. Jadi untuk teaser ini, kami menjangkakan mungkin model konsep itu sudah sedia untuk pasaran.
Baru sahaja kami siarkan imej spyshot Mitsubishi Triton facelift 2019 yang dilihat sedang diuji di atas jalan raya dua minggu lalu yang penuh dengan pelekat penyamaran, kini Mitsubishi sendiri sudah pun menyiarkan imej teaser trak pikap tersebut, menandakan pendedahan rasminya akan dibuat tidak lama lagi.
Hanya satu gambar diberikan iaitu bahagian paling penting – muka depan Triton berkenaan. Setelah sekian lama pengguna Triton di Thailand menggunakan muka Dynamic Shield yang diambil dari SUV Pajero Sport (dan kini mula diaplikasikan oleh pemilik Triton di Malaysia), Mitsubishi bakal memberikan konsep rekaan signatur tersebut kepada Triton versi baharu ini.
Malah, rekaan yang diterapkan pada Triton ini adalah yang lebih terkini seakan MPV Xpander dan SUV Eclipse Cross, menampilkan lampu hadapan tirus bersama lampu nyalaan siang jalur LED, serta satu lagi lampu sokongan pada bampar. Ia juga diberikan gril utama dua-bar kemasan krom dan juga lampu kabus.
Imej ini juga mendedahkan bahawa Triton akan diberikan set rim aloi baharu dengan rekaan enam jejari. Tiada sebarang bayangan untuk rupa bahagian belakang, namun berkemungkinan besar bahagian tersebut turut akan menerima lampu yang direka semula. Secara keseluruhan, Triton kini nampaknya tampil hampir serupa dengan model konsepnya yang dikenali sebagai GR-HEV, muncul pada tahun 2013 dahulu.
Untuk sistem mekanikal, masih lagi samar adakah Triton facelift ini akan diberikan peningkatan atau tidak. Buat masa sekarang, trak pikap Mitsubishi Triton dijana enjin MIVEC turbodiesel 2.4 liter berkuasa 181 PS/430 Nm digandingkan bersama pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau lima-kelajuan automatik.