Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Jualan SUV China, MG HS & Haval H6 atasi Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Subaru Forester di Australia

    Jualan SUV China, MG HS & Haval H6 atasi Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Subaru Forester di Australia

    Sedikit demi sedikit, jenama-jenama automotif dari China mula bertapak kukuh di Australia. Terbaharu, jualan dua SUV dari negara Tembok Besar berkenaan iaitu MG HS dan Haval H6 telah mengatasi pesaing-pesaingnya dari Jepun dan Eropah untuk bulan Ogos 2022, lapor CarExpert.

    MG HS mencatatkan jualan berjumlah 902 sepanjang bulan lalu di negara berkenaan, atau naik sebanyak 226.8% berbanding bulan sama tahun lalu dan naik 76.% peratus untuk jualan kumulatif tahunan dari Januari hingga 31 Ogos. Ini membolehkan MG HS memegang bahagian pasaran sehingga 6.5% bagi segmen tersebut bulan lalu, berbanding hanya 2.2% pada bulan sama tahun lalu.

    Manakala Haval H6 pula mencapai jualan berjumlah 858 unit di Australia bulan lalu, atau naik 48.7%, bersama kenaikan 124.1% untuk jualan kumulatif tahunan dari Januari hingga 31 Ogos. Haval H6 kini memegang bahagian pasaran 6.2% dalam segmennya di Australia.

    Jualan SUV China, MG HS & Haval H6 atasi Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Subaru Forester di Australia

    Kedua-dua SUV dari China ini juga mencatatkan jualan yang lebih tinggi dalam segmen sama berbanding sebahagian jenama dari Jepun dan Eropah di Australia bulan lalu, dengan Honda CR-V mencatatkan jualan 781 unit, Nissan X-Trail 516 unit, Subaru Forester 580 unit dan Volkswagen Tiguan 259 unit.

    Walau bagaimanapun, jualan MG HS dan Haval H6 ini masih tidak boleh mengatasi tiga SUV dari Jepun dan dua dari Korea yang paling laris dalam segmennya di Australia bulan lalu iaitu Toyota RAV4 yang mencatatkan jualan 2,482 unit dan Mazda CX-5 berjumlah 2,325 unit, Hyundai Tucson sebanyak 1,719 unit, Mitsubishi Outlander dengan jualan 1,568 unit serta Kia Sportage berjumlah 1,237 unit.

     
     
  • Sekarang bukan masa untuk laksana subsidi bersasar, mungkin tidak perlu jika harga minyak rendah – Zafrul

    Sekarang bukan masa untuk laksana subsidi bersasar, mungkin tidak perlu jika harga minyak rendah – Zafrul

    Setakat ini kita sudah diberitahu bahawa subsidi bersasar adalah cara untuk maju ke hadapan dan pelaksanaan subsidi yang lebih cekap ini akan dilakukan tidak lama lagi, sementara kerajaan menyediakan mekanisme yang dirasakan sesuai. Walaubagaimanapun, bilakah tarikh sebenarnya?

    Menteri kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menekankan bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakan subsidi bersasar ini, memandangkan ekonomi negara sekarang masih dalam fasa pemulihan dan inflasi masih lagi di kadar rendah berbanding negara lain.

    “Apa yang kita tidak mahu adalah terdapat subsidi bersasar, tetapi pelaksanaannya tidak betul. Langkah pelaksanaan untuk subsidi petrol bersasar ini juga sedang disemak,” kata beliau semasa acara Wild Digital SEA 2022 di Kuala Lumpur semalam, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Sekarang bukan masa untuk laksana subsidi bersasar, mungkin tidak perlu jika harga minyak rendah – Zafrul

    Jadi, ia tidak akan berlaku “sekarang”, tapi “tidak lama lagi?” Tidak juga. “Walaubagaimanapun, (pada masa hadapan), ia (pelaksanaan subsidi bersasar) juga bergantung kepada keadaan ekonomi dan harga minyak mentah. Jika harga (pasaran) minyak pada masa itu rendah, mungkin subsidi bersasar ini tidak perlu kerana kerajaan masih boleh meneruskan pemberian subsidi,” kata Zafrul.

    Beliau juga menyatakan bahawa dividen tambahan sebanyak RM25 bilion yang diumumkan baru-baru ini oleh Petronas akan digunakan untuk perbelanjaan kerajaan serta kos subsidi. Bagi subsidi itu, ia dijangka meningkat sehingga RM80 bilion tahun ini.

    Perkara ini timbul apabila ada penganalisa yang menjangkakan bahawa pengguna kenderaan di Malaysia akan membayar harga pasaran untuk petrol RON 95 dan diesel tidak lama lagi, memandangkan terdapat kemungkinan tinggi subsidi bersasar akan dilaksana tahun hadapan.

    Sekarang bukan masa untuk laksana subsidi bersasar, mungkin tidak perlu jika harga minyak rendah – Zafrul

    “Kami menjangkakan harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi tahun depan dengan semakan semula subsidi bahan api. Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan. Justeru, anggapan kami subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan sebagai sebahagian agenda dalam Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini,” kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan.

    Sekarang ini memang nampak jelas subsidi bahan api menyeluruh di Malaysia perlu dirombak. Golongan berpendapatan tinggi T20 kini menikmati sekitar RM8 bilion subsidi minyak berbanding RM6 bilion oleh golongan B40. Perkara ini didedahkan oleh menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Mei lalu.

    Beliau mengulang kembali apa yang dikatakan pada bulan Mei, iaitu golongan kaya di Malaysia menikmati bahagian besar subsidi daripada kerajaan. “Untuk setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi kepada golongan T20 manakala 15 sen kepada B40. Jadi sebagai contoh, jika jumlah subsidi tahun ini dijangka menjadi RM30 bilion, lebih RM15 bilion pergi kepada T20, kata beliau pada masa itu.

    Sekarang bukan masa untuk laksana subsidi bersasar, mungkin tidak perlu jika harga minyak rendah – Zafrul

    Pada bulan Julai juga, Tengku Zafrul menyatakan bahawa satu mekanisme untuk subsidi bersasar sedang diuji. “Kerajaan ingin melaksanakan satu mekanisme subsidi bersasar yang kukuh dan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat,” kata beliau.

    “Keutamaan kerajaan adalah sebarang mekanisme subsidi bersasar ini dapat memberi manfaat kepada semua. Subsidi kita tetap akan laksanakan tetapi perlu memastikan sistem dan pelaksanaannya adalah tepat. Ujian seperti ini memberikan hasil tepat kepada kerajaan bagi menentukan tahap penggunaan rakyat. Ini kerana setiap pengguna bahan api adalah berbeza antara luar bandar dan bandar. Sub-segmen subsidi ini perlu diperhalusi,” kata Zafrul.

     
     
  • Ferrari Purosangue akan didedah secara rasmi 13 Sept

    Ferrari Purosangue akan didedah secara rasmi 13 Sept

    Ferrari mengumumkan dalam media sosial bahawa SUV pertama mereka akan didedahkan kepada orang ramai 13 September ini. Di dalam syarikat, SUV ini dipanggil menggunakan nama kod F175, tetapi nama rasminya adalah Purosangue, yang membawa maksud “berketurunan asli” dalam Bahasa Itali.

    Dalam Twitter, Ferrari memuat naik satu video pendek yang menunjukkan pandangan gelap SUV tersebut, bersama sedikit bunyi enjinnya. Sehari sebelum itu juga Ferrari ada memuat naik satu gambar, bersama kenyataan mengusik “kami tahu anda suka terangkan gambar teaser Ferrari…”

    Rupa sebenar SUV ini sebenarnya sudah diketahui, kerana terpapar dalam satu slaid pembentangan sewaktu Ferrari Capital Markets Day Jun lalu. Melaluinya kita boleh melihat tanda-tanda rekaan sama seperti model Ferrari sekarang, termasuk lampu hadapan dengan bentuk C, seakan SF90.

    Kalau gambar itu diterangkan lagi, kita juga dapat melihat bonet yang mempunyai bonjolan berbentuk V di tengah sementara bukaan udara di bawah adalah agak besar dan mungkon digunakan sebaik mungkin untuk sistem penyejukan dan aerodinamik.

    Purosangue memang sudah sah akan menggunakan enjin V12, tetapi kita masih belum tahu unit yang mana. Ada laporan mengatakan kemungkinan besar ia adalah enjin lama Tipo F140 NA, dan itu juga kita masih belum tahu sama ada akan keluar versi hibrid ataupun ditambah dengan turbo. Anda boleh membuat jangkaan sendiri dengan mendengar bunyi dalam video tersebut.

    Untuk perincian lain, kita perlu mengimbas kembali pada tahun 2018, iaitu kali pertama Ferrari mengesahkan mereka akan menghasilkan sebuah SUV. Mereka memberitahu, Purosangue akan menggunakan platform enjin hadapan, pacuan roda belakang, dengan transaxle di belakang dan pilihan pacuan semua roda.

    GALERI: Spyshot Ferrari Purosangue

     
     
  • Toyota Yaris Cross GR Sport 2023 didedah di Eropah – suspensi ditala semula, rekaan sporty, 1.5L hibrid

    Toyota Yaris Cross GR Sport 2023 didedah di Eropah – suspensi ditala semula, rekaan sporty, 1.5L hibrid

    Toyota telah memperkenalkan varian GT Sport baharu bagi Yaris Cross untuk pasaran Eropah, yang diberikan peningkatan gaya dan juga sedikit perubahan untuk prestasinya. Versi bagi crossover kecil ini telah dilancarkan di Jepun pada Julai tahun ini.

    Masih mengekalkan penjana kuasa hibrid yang sama dengan model biasa iaitu 1.5 liter tiga-silinder petrol, bersama e-CVT dan motor elektrik, gabungan ini mampu menghasilkan output keseluruhan mencecah 116 PS (114 hp) dan tork 120 Nm, yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Dalam balutan GR Sport, Kereta Bandar Terbaik Dunia Tahun 2022 ini ditampilkan dengan roda aloi 10-jejari 18-inci baharu dengan kemasan machined. Selain itu, gril hadapannya pula menampilkan paten jejaring rona hitam berkilat “hot stamp” yang eksklusif, sementara di belakangnya pula diberikan diffuser baharu dan juga lencana GR.

    Kemasan Dynamic Grey baharu merupakan warna signitur bagi GR Sport, dan ia boleh ditempah dengan tona pilihan kontras hitam bagi bumbung dan pillar. Di dalamnya, tempat duduk sport untuk bahagian hadapan menerima upholstery kelabu dengan jahitan merah, juga kemasan ini diberikan untuk roda stereng dan tuil gear. Tetapi pelanggan boleh memilih ciri premium tempat duduk GR Sport black perforated Ultrasuede dengan bolster ala kulit dan jahitan merah.

    Untuk prestasi yang dinamik, pengendalian Yaris Cross GR Sport lebih padu hasil suspensi yang ditala semula, dan Toyota menyatakan ia meningkatkan ‘rasa yang lebih ngam ho’ untuk stereng, olengan dan juga cengkaman.

    Toyota telah memposisikan varian GR Sport bersama Elegant dan Adventure sebagai penawaran gred tinggi, jadi senarai kit standard yang diberikan termasuklah kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, kaca privasi di belakang dan pakej Toyota T-Mate.

    Pra-jualan untuk Yaris Cross GR Sport baharu di Eropah ini bakal bermula pada suku ketiga tahun 2022. Crossover ini telah mencatatkan jualan memberangsangkan di rantau ini sejak ia dijual pada tahun lalu, dan pada separuh pertama tahun ini, sebanyak 77,000 unit telah dijual. Angka tersebut mewakili 7.7% perkongsian pasaran bagi SUV segmen-B dan mencatatkan 48% dimonopoli oleh model Yaris.

     
     
  • Toyota Vios 2023 kini di Laos – enjin 1.3 liter seperti Myvi, pasaran pertama versi pemanduan sebelah kiri

    Toyota Vios 2023 kini di Laos – enjin 1.3 liter seperti Myvi, pasaran pertama versi pemanduan sebelah kiri

    Selepas dilancarkan di Thailand bulan lalu, kini model generasi baharu Toyota Vios mula masuk pasaran negara jirannya iaitu Laos. Pengenalan ini secara tidak langsung lencana Vios dilekatkan buat pertama kali pada model 2022 ini (pasaran Thailand menggunakan nama Yaris Ativ) dan ia juga penampilan sulung globalnya dalam versi pemanduan sebelah kiri.

    Dari segi rupa, model pasaran Laos ini kelihatan seiras dengan versi pasaran Thailand. Dan seperti yang diketahui, Vios generasi keempat berkenaan dihasilkan menerusi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sama seperti kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa dan Toyota Veloz/Avanza/Daihatsu Xenia/Perodua Alza.

    Berbanding model pasaran Thailand yang dibekalkan dengan enjin 3NR-VE Dual VVT-iE 1.2 liter berkuasa 94 hp dan tork maksima 110 Nm bagi membolehkan ia dikelaskan sebagai kereta Eco Thai (menerima insentif khas), Vios pasaran Laos ini dipadankan dengan enjin 1NR-VE 1.3 liter empat-silnder berkuasa 98 hp dan tork maksima 122 Nm. Macam pernah dengar enjin ni kan? Ya, ia adalah enjin yang sama berada dalam model terkini Perodua Myvi 1.3 liter.

    Toyota Vios 2023 kini di Laos – enjin 1.3 liter seperti Myvi, pasaran pertama versi pemanduan sebelah kiri

    Jika Yaris Ativ di Thailand menerima kotak gear Super CVT-i, Vios 2022 pasaran Thailand ini pula ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT automatik, bagi memacu roda hadapan. Tiada perincian lain diumumkan oleh Toyota Laos berkenaan Vios 2022 ini.

    Namun menerusi imej yang disiarkan, bagi varian tinggi ia menerima rim aloi 16-inci dengan rekaan berbeza dari versi pasaran Thai, lampu hadapan dengan jalur LED, lampu belakang LED, upholsteri kulit pada papan pemuka dan panel pintu, balutan gandingan kulit dan fabrik pada tempat duduk, skrin infotainmen pada bahagian tengah papan pemuka, dan paparan instrumen digital.

    Roda stereng model pasaran Laos ini juga menampilkan butang penuh seperti model pasaran Thailand, menandakan ia menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense yang memberikan fungsi seperti bantuan kekal lorong dan cruise control adaptif.

    Bila agaknya Toyota Vios 2022 ini akan tiba ke pasaran Malaysia pula? Mengikut trend model-model sebelum ini, kami jangkakan paling cepat pun mungkin ia akan dilancarkan di sini pada tahun hadapan.

     
     
  • Treler bawa kereta baharu Honda terbakar di Lebuhraya PLUS di Pedas, N9, petang semalam

    Treler bawa kereta baharu Honda terbakar di Lebuhraya PLUS di Pedas, N9, petang semalam

    Empat buah kereta baharu Honda yang diangkut oleh sebuah treler ‘carrier’ musnah dalam kebakaran dalam kejadian yang berlaku di KM 227.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, petang semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd. Izwan Md Said berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Kota dan Alor Gajah (Melaka) digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 5.20 petang, laporan Harian Metro.

    “Kejadian kebakaran membabitkan ‘carrier’ iaitu treler jenis Scannia yang membawa muatan kenderaan dari arah selatan dan dalam perjalanan menghala ke Pulau Pinang. Treler yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan mengalami masalah brek. Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan bomba,” katanya.

    Beliau berkata, pasukan bomba memadamkan kebakaran dan berjaya mengelak api daripada merebak ke dua lagi kereta. Kejadian tersebut turut menyebabkan kesesakan sepanjang kira-kira tiga kilometer di lokasi kejadian.

    “Pihak kami belum mendapat anggaran jumlah kerugian. Kes diambil alih oleh Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Triton T1 Ralliart Asia Cross Country Rally 2022 – masih guna enjin standard, tapi betul-betul laju!

    Mitsubishi Triton T1 Ralliart Asia Cross Country Rally 2022 – masih guna enjin standard, tapi betul-betul laju!

    Mac lalu, Mitsubishi mendedahkan jentera rali Triton yang dibangunkan untuk menyertai Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022 yang bakal berlangsung pada bulan November nanti. Kemunculan Triton ini merupakan antara detik bersejarah kerana selepas sayap perlumbaan Mitsubishi iaitu Ralliart menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada akhir musim 2007 dan Rali Dakar pada 2009, ini pertama kali Mitsubishi berlumba semula menggunakan ‘panji-panji’ Ralliart.

    Ia susulan pengumuman dari CEO Mitsubishi, Takao Kato pada Mac 2021 bahawa Ralliart ‘dihidupkan’ semula selepas divisi berkenaan menutup terus program perlumbaan pelanggan dan menghentikan penghasilan aksesori serta peralatan prestasi pada 2010. Dan mungkin kerana jenama Mitsubishi masih gah pada pasaran ASEAN, AXCR dipilih sebagai platform bagi memberikan amaran bahawa Ralliart bakal menggegar semula dunia sukan permotoran khususnya dalam disiplin rali.

    Untuk tugas ini, Mitsubishi Ralliart telah memilih trak pikap Triton bagi menyahut cabaran dalam AXCR, dengan jentera yang dibangunkan oleh Tant Motorsport dari Thailand serta menerima bantuan teknikal terus dari Mitsubishi Motors Corp Jepun, dan pasukan ini dipimpin oleh lagenda Ralliart sendiri yang juga juara Rali Dakar dua-kali (2002, 2003) iaitu Hiroshi Masuoka sebagai prinsipal pasukan.

    Mitsubishi Triton T1 Ralliart Asia Cross Country Rally 2022 – masih guna enjin standard, tapi betul-betul laju!

    Kenapa guna Triton? Kenapa tak guna sahaja Mitsubishi Xpander AP4 yang kini berada di Indonesia untuk AXCR ini? Tentu ramai yang tertanya-tanya bukan? Untuk pengetahuan anda, AXCR merupakan rali jarak jauh merentas negara seperti Rali Dakar. Namun unik untuk AXCR, laluan merentas negara yang disajikan bukanlah padang pasir seperti Dakar, sebaliknya laluan hutan yang meliputi jalan off-road berbukit, dengan kemungkinan hujan yang boleh menyebabkan selut dan lecak serta perlu merentas sungai, jadi sudah tentu laluan seperti ini adalah lebih sesuai dengan trak pikap.

    Malah memang sudah menjadi tradisi AXCR, ia menyajikan pentas pertarungan untuk pelbagai trak pikap yang popular di Asia Tenggara seperti Toyota Hilux dan Isuzu D-Max.

    Kami bertuah kerana dijemput Mitsubishi Motors Malaysia untuk ke Thailand pada minggu lalu, untuk ‘berkenalan’ lebih rapat Mitsubishi Triton yang akan digunakan dalam AXCR 2022 tersebut dalam satu sesi shakedown yang dibuat di Grand Prix Motor Park, Kanchanaburi, terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok.

    Mitsubishi Triton T1 Ralliart Asia Cross Country Rally 2022 – masih guna enjin standard, tapi betul-betul laju!

    Jika sebelum ini jentera rali Triton ini hanya dapat dilihat menerusi gambar dan spesifikasinya dibaca hanya pada skrin, kali ini kami diberi peluang untuk membelek sendiri trak pikap tersebut, malah turut diberi peluang untuk “taxi ride” bersama pemandu professional sebenar!

    Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, Triton AXCR pasukan Mitsubishi Ralliart ini dihasilkan dengan spesifikasi FIA Group T1, iaitu kenderaan rali rentas negara prototaip. Walau bagaimanapun, Triton AXCR Ralliart ini masih mengekalkan rupa dan banyak komponen dari model produksi sebenar Triton yang dijual di bilik pameran, berbanding jentera-jentera FIA Group T1 digunakan pada Rali Dakar yang nampak macam kapal angkasa.

    Pada bahagian luaran Triton ini masih tampil hampir sama dengan Triton standard, kecuali ia dipadankan dengan unit snorkel pada tiang-A sebelah kiri yang membolehkan ia ‘menyelam’ ketika menyeberangi sungai, sump guard yang dibina dari logam yang agak tebal diletakkan pada bahagian bawah badan hadapan bagi melindungi bahagian bawah enjin, serta diberikan binaan untuk memegang dua buah tayar gantian pada bed belakang.

    Tiada pintu diletakkan pada bed belakang kerana pada bahagian berkenaan diletakkan winch berkuasa elektrik Warn VR Evo, bagi digunakan sekiranya ia tersekat di mana-mana laluan. Lampu hadapan dan belakang, gril, bampar malah cermin hadapan adalah komponen sama digunakan pada Triton standard. Tetapi bonet hadapan dan juga pintu depan dan belakang jentera rali Triton ini sebenarnya diperbuat dari bahan gentian karbon bagi mengurangkan beratnya.

    Mitsubishi turut membawa sebuah replika Triton rali ini bagi memudahkan pihak media mengambil gambar trak pikap berkenaan dalam keadaan bersih. Namun jika anda perasan, unit replika tersebut tidak mempunyai tayar gantian dan winch di belakang, diberikan unit snorkel yang berlainan serta tidak mempunyai sump guard.

    Sama seperti lazimnya kereta-kereta lumba lain, karpet dan tempat duduk belakang Triton ini telah dibuang, sementara panel pintu pula dibina semula menggunakan gentian karbon sama seperti bahagian luar pintu berkenaan. Untuk keselamatan dan juga menguatkan lagi kerangka badan bagi membantu pengendalian, Triton ini menerima set rollcage lengkap dalam kabin.

    Pemandu dan juruarah menerima tempat duduk Bride Low Max dan diikat pada kerusi berkenaan dengan tali pinggang keselamatan perlumbaan dari Cusco. Pemandu pula diberikan roda stereng perlumbaan Sparco tiga jejari, dan juga tuil brek tangan hidraulik yang panjang diletakkan bersebelahan tuil penukar gear bagi memudahkan pemandu membuat aksi “hand brake turn” yang sememangnya sinonim dengan perlumbaan rali.

    Seperti yang anda boleh lihat, papan pemuka asal Triton juga masih digunakan bersama panel instrumen yang sama seperti Triton biasa, cuma pada bahagian yang sepatutnya diletakkan pemain audio, ia digantikan dengan skrin instrumen perlumbaan dari Motec yang memberikan kesemua data pemantauan yang diperlukan oleh pemandu. Tak lupa juga komputer trip rali diletakkan pada papan pemuka di hadapan tempat duduk juruarah.

    Unit rangkaian kuasa jentera rali Triton ini juga boleh dikatakan hampir standard sama seperti model produksi biasa. Ia masih menggunakan enjin asal 4N15 2.4 liter empat silinder MIVEC Turbodiesel yang menghasilkan kuasa standard kilang 181 PS dan tork maksima 430 Nm.

    Menurut Masuoka-san, enjin Triton rali ini masih memang masih menggunakan komponen dalaman standard produksi termasuk aci engkol, rod penghubung, kepala silinder dan sebagainya. Namun pasukan ini ada menyatakan bahawa enjin berkenaan telah pun menerima sentuhan blueprinted dari HKS.

    Hasilnya, ketika duduk di sebelah pemandu profesional yang memandu Triton ini, penulis dapat rasakan enjin tersebut memberikan respon yang lebih ringan dan bunyi ekzos yang jauh lebih lawas dari standard. Masuoka-san turut menyatakan pasukannya hanya melakukan talaan semula yang sangat sedikit pada kotak komputer, dan dakwaannya itu boleh dibuktikan di mana ketika Triton ini dikerah semahunya dalam litar rali yang disediakan ini, langsung tidak kelihatan kepulan asap hitam seperti lazimnya trak-trak pikap diesel yang diubahsuai.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Mitsubishi tidak mendedahkan spesifikasi kotak gear tersebut, namun melihat pemandu masih perlu menekan pedal klac untuk menukar gear dan tiada bunyi berdengung ketika trak pikap ini bergerak, rasanya ia masih lagi diasaskan dari kotak gear asal Triton dan bukan kotak gear perlumbaan sebenar yang menggunakan dog teeth dan sebagainya.

    Mitsubishi Triton T1 Ralliart Asia Cross Country Rally 2022 – masih guna enjin standard, tapi betul-betul laju!

    Malah di sebelah kiri pemandu, turut kelihatan suis putar untuk sistem Super Select 4WD-II yang sama seperti model produksi Triton, membolehkan mod pacuan diubah sama ada menggunakan pacuan belakang, atau pacuan semua roda dengan gear tinggi atau rendah, hanya memutarkan suis berkenaan.

    Tiada perubahan dibuat terhadap konfigurasi suspensi Triton ini di mana ia masih menggunakan sistem double wishbone di hadapan dan sistem spring dedaun di belakang. Ubahsuai untuk suspensi Triton rali ini dibuat semudah dengan menggunakan penyerap hentak boleh laras yang dihasilkan oleh Cusco.

    Cusco turut membekalkan unit LSD untuk menggantikan differential biasa pada gandar hadapan dan belakang, bagi memberikan daya cengkaman terhadap permukaan jalan untuk keempat-empat roda yang lebih baik. Manakala untuk roda, pengeluar rim terkenal dari Jepun, Work, membekalkan set rim aloi Crag T-Grabic II bersaiz 17-inci dengan lebar 8J, dibalut dengan tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17.

    Replika Mitsubisihi Triton Ralliart T1 AXCR 2022

    Satu lagi perkara menarik pada Triton ini, walaupun ia sebuah jentera lumba sebenar, ia masih lagi mempunyai sistem pendingin hawa! Sebab itulah ia tidak diberikan skup udara pada bumbung seperti jentera rali lain untuk memberikan angin kepada pemandu dan juruarah di dalam kabin.

    Malah sebenarnya, duduk di dalam Triton rali yang dibelasah pada laluan off-road Grand Prix Motor Park berkenaan bukannya satu ‘azab’. Suspensi rali yang dilengkapkan pada trak pikap ini tidak memberikan getaran yang kuat di dalam kabin ketika ia melalui permukaan jalan yang tidak rata walaupun dalam kelajuan tinggi. Ia juga tidak memberikan rasa hentakan yang kuat ketika ‘mendarat’ selepas melompat.

    Apa yang penulis perasan, disebabkan tiada perubahan pada asas kerangka dan juga konfigurasi Triton rali ini, dinamik pemanduannya masih sama dengan Triton standard. Penulis masih ingat perasaan ketika “taxi ride” bersama Hiroshi Masuoka di litar off-road yang dibuat di Setia Alam pada 2019, ketika itu Masuoka-san hanya memandu Triton standard di litar berkenaan.

    Walaupun Triton sebuah trak pikap, ia memberikan pengendalian yang cukup lincah. Ia tidak ada masalah untuk menukar dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri dalam sekelip mata, memberikan kemampuan mengambil selekoh yang cukup tajam, serta tidak terasa mahu terbalik walaupun dengan badan yang tinggi.

    Apa yang lain, dengan respon enjin lebih baik, ada LSD pada gandar hadapan, dan juga penyerap hentak yang khas untuk perlumbaan rali, Mitsubishi Triton T1 Ralliart ini adalah lebih laju, dan ia sangat stabil walaupun pemandu membuat aksi scandinavian flick pada kelajuan tinggi!

    Asia Cross Country Rally 2022 ini akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November nanti, bermula di Buriram, timur laut Thailand dan kemudian merentas sempadan Kemboja. Perlumbaan sejauh 1,700 km berkenaan akan menyaksikan kesemua peserta perlu berhadapan laluan di kawasan pergunungan, hutan, jalan berlumpur, menyeberang sungai, kawasan berpasir, dan juga litar lumba, berakhir di tapak Warisan Dunia, Angkor Wat yang terletak di Kemboja.

    Mitsubishi Triton T1 Ralliart Asia Cross Country Rally 2022 – masih guna enjin standard, tapi betul-betul laju!

    Sebelum sesi shakedown ini, Team Mitsubishi Ralliart sebenarnya sudahpun membuat ujian ketahanan terhadap Triton T1 ini pada Julai lalu. Ujian berkenaan turut dibuat di Grand Prix Motor Park tersebut membabitkan jarak perjalanan sejauh 800 km, dan tiada sebarang masalah yang timbul.

    Dengan jentera yang begitu kompetitif serta barisan pemandu yang mantap (akan diumumkan oleh pasukan berkenaan pada 16 September nanti), Mitsubishi Ralliart menyatakan bahawa mereka yakin bakal pulang dengan keputusan yang baik pada AXCR 2022 nanti!

    GALERI: Mitsubisihi Triton Ralliart T1 AXCR 2022

    GALERI: Replika Mitsubisihi Triton Ralliart T1 AXCR 2022

     
     
  • Bateri EV perlu ditukar setiap lapan tahun? Pemilik Renault Zoe 2014 kumpulkan data kesihatan bateri

    Bateri EV perlu ditukar setiap lapan tahun? Pemilik Renault Zoe 2014 kumpulkan data kesihatan bateri

    Jangka hayat bateri selalu menjadi topik utama yang dibincangkan oleh pemilik kenderaan elektrik. Di Malaysia, jangka waktu lapan tahun selalu dirujuk sebagai tempoh berkenaan, sebelum bateri berkenaan ada keperluan untuk menukarnya.

    Ini kerana tempoh berkenaan adalah tempoh jaminan yang diberikan untuk bateri bagi kereta hibrid dan elektrik; disebabkan ini lapan tahun selalu menjadi rujukan bagi tempoh hayatnya.

    Kini, Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysian (MyEVOC) telah menghimpunkan data daripada pemilik Renault Zoe EV yang didaftarkan pada 2014, selari dengan tempoh penggunaan dengan jangka hayat lapan tahun berkenaan — dengan meliputi bacaan odometer dan battery state-of-health (SOH).

    Menurut Shahrul Halmi dari MyEVOC, data yang dikumpulkan oleh ahli kelab, Zuhril Azhar serta pemilik lain Zoe di Malaysia bagi tujuan pengumpulan maklumat SOH bateri daripada peratusan nilai yang diperoleh daripada sistem pengurusan bateri kenderaan masing-masing.

    Bateri EV perlu ditukar setiap lapan tahun? Pemilik Renault Zoe 2014 kumpulkan data kesihatan bateri

    Antara kenderaan yang tersenarai termasuklah unit yang didaftarkan dalam tahun yang sama, bacaan odometer dari 3,509 km dengan SOH bateri 97%, hingga 67,681 km dengan SOH bateri 92%. Kedudukan kenderaan dalam senarai pula mengikut jarak perbatuan setiap unit.

    Daripada semua kereta ini, hanya kereta #8 mencatatkan SOH bateri pada tahap 77%, yang mana semua yang lain mencatatkan bacaan 84%. Kereta #8 mewakili kereta dengan jarak perbatuan paling tinggi dengan bacaan 55,576 km. Bagaimanapun, kereta #7 yang mencatatkan 47,983 km pada odometernya menunjukkan SOH bateri pada tahap 98%.

    Menurut Shahrol, bacaan SOH bateri yang agak rendah pada tahap 77% bagi kereta #8 itu mungkin disebabkan oleh perisian sistem pengurusan bateri yang belum dikemaskini. Sebelum ini ada kes yang mana Zoe berkenaan menunjukkan SOH 70% sebelum kemaskini perisian, tetapi angka berkenaan meningkat kepada 90& selepas dikemaskini.

    Adakah pemerhatian oleh MyEVOC ini sedikit melegakan keresahan anda tentang daya tahan bateri bagi EV untuk penggunaan di Malaysia? Jika sebelum ini ramai yang teragak-agak dengan kemampuan EV disebabkan faktor bateri ini, harapnya data yang ditunjukkan ini dapat meyakinkan anda.

     
     
  • Yamaha R1 GYTR untuk kegunaan lumba diperkenal di Eropah – banyak kelengkapan seperti jentera WSBK

    Yamaha R1 GYTR untuk kegunaan lumba diperkenal di Eropah – banyak kelengkapan seperti jentera WSBK

    Yamaha telah memperkenalkan R1 GYTR 2023, iaitu jentera yang sudah sedia untuk kegunaan litar atau perlumbaan, melalui rangkaian pengedar rasmi GYTR Pro Shop mereka di Eropah. Keluar dari kilang, motosikal ini sudah siap dipasang dengan pelbagai aksesori yang dibangunkan melalui pengalaman Yamaha di dalam perlumbaan termasuk WSBK.

    Bermula dengan badannya, R1 GYTR dipasang dengan panel glass fibre carbon serba ringan, dan dibiarkan putih supaya boleh dicat sendiri oleh pemilik bersesuaian dengan grafik lumba mereka. Kemudiannya pada bahagian casis, ia dilengkapi dengan pemegang serta peletak kaki jenis lumba, bersama suis on/off enjin, penutup tangki minyak tanpa kunci serta peletak paddock.

    Untuk bahagian brek, angkup empat piston dan cakera berkembar 320 mm asal masih dikekalkan, tetapi dipertingkat dengan piston brek besi GYTR, pad brek Brembo Z04, serta hos brek stainless steel GYTR. Untuk pacuan yang lebih cekap, rantai motosikal ini menggunakan saiz 520 spesifikasi lumba, dan dipadankan bersama set sprocket 15/42 secara standard. Pilihan saiz lain juga ada disediakan melalui katalog GYTR.

    Sebagai motosikal yang disediakan untuk tunggangan dalam litar, R1 GYTR datang dengan pakej elektronik GYTR, yang termasuk sistem pendawaian lebih ringkas dan ringan, serta unit kawalan enjin (ECU) GYTR yang membolehkan pelarasan terperinci gelungsuran, angkatan tayar belakang, engine braking serta pelbagai lagi. Melengkapi naik taraf ini adalah sistem ekzos lengkap dari Akrapovic.

    Sekiranya ini semua masih tidak mencukupi, pemilik juga boleh mendapatkan pakej GYTR Pro, yang memberikan komponen berkualiti tinggi termasuk kit subframe karbon, kit lengan ayun dan tangki bahan api, set cowling karbon, fork Ohlins FGR400, angkup brek Brembo serta sistem elektronik Marelli.

     
     
  • EP Manufacturing dapat kelulusan JPJ untuk mendaftar, melesenkan EV dua roda Blueshark R1

    EP Manufacturing dapat kelulusan JPJ untuk mendaftar, melesenkan EV dua roda Blueshark R1

    Pengeluar alat ganti automotif EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendaftar dan melesenkan kenderaan elektrik dua roda (EV) pertamanya. Kebenaran itu diperoleh kira-kira sebulan selepas ia menerima Kelulusan Bersyarat daripada kerajaan untuk pembinaan kilang pembuatan sulungnya bagi pengeluaran kenderaan dua roda elektrik.

    Menurut EPMB, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan Homologasi, JPJ telah meluluskan VTA untuk model Blueshark SG3000DT pada 30 Ogos 2022, atau digelar Blueshark R1, di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987. Sijil untuk VTA telah dikeluarkan kepada EP Blueshark Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EPMB.

    Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad, Hamidon Abdullah berkata. “Dengan Kelulusan VTA, kami selangkah lebih dekat untuk meraih unjuran lonjakan permintaan untuk EV dua roda di Malaysia. Pada masa yang sama, rakan kongsi kami di negara ASEAN lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah memohon VTA bersamaan untuk Blueshark R1 di negara masing-masing, dan ini akan melengkapkan aktiviti-aktiviti pembuatan EPMB.

    “Penerokaan kami ke dalam perniagaan EV dua roda disokong dengan baik oleh pengetahuan teknikal Sharkgulf Technologies Group Limited yang berpangkalan di China. Ini bersempena dengan asas pendanaan yang kukuh daripada pelabur antarabangsa yang menumpukan pada ESG. Ini sepatutnya meletakkan kita pada laluan pertumbuhan yang mampan untuk bergerak ke hadapan.”

    Pada 25 Julai 2022, EP Blueshark menerima Kelulusan Bersyarat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas permohonannya untuk memasang motosikal elektrik di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (Akta 156). Selain itu, syarikat terbabit juga akan mengeksport produk yang dipasang ke negara-negara Asia Tenggara lain di mana permintaan untuk kenderaan dua roda sedang berkembang pesat.

    Blueshark dibangunkan oleh Sharkgulf Technologies, yang terkenal kerana mencipta sistem pengendalian pintar pertama di dunia untuk industri dua roda elektrik.

    Blueshark R1 dalam warna putih dan hitam – klik untuk besarkan

    Blueshark R1 dikuasakan oleh generasi baharu bateri litium-ion mudah alih dan boleh tukar, menjadikannya motosikal yang lebih padat dan cekap. Dalam beberapa saat, pengguna akan dapat menukar bateri yang sudah digunakan dengan bateri yang dicas penuh di “stesen pertukaran”.

    Di mana “stesen pertukaran” ini boleh diletakkan di mana-mana sahaja yang boleh diakses seperti kedai serbaneka, stesen minyak dan tempat letak kereta. Bateri juga boleh dicas di rumah menggunakan dok pengecasan khusus.

    Motosikal elektrik juga boleh dibuka kuncinya dengan mudah hanya dengan cap jari dan dilengkapi dengan 74 penderia, termasuk penderia tekanan, giroskop enam paksi, penderia voltan dan arus, penderia suhu. Setiap minit, penderia memuat naik data sehingga 300 kali, memberikan sokongan data untuk mengoptimumkan pengalaman tunggangan pengguna. Ia juga merupakan kenderaan dua roda EV pertama dengan sistem pengendalian. Ia diberikan dua bateri 1,440 Wh yang menawarkan jarak hingga 160 km dengan anggaran pacuan 25/j.

    GALERI: Blueshark R1

     
     
  • GAC Trumpchi M8 di China — MPV mewah tiga baris kerusi, gril besar, tiga sistem; petrol, hibrid dan PHEV

    GAC Trumpchi M8 di China — MPV mewah tiga baris kerusi, gril besar, tiga sistem; petrol, hibrid dan PHEV

    Guangzhou Automobile Group (GAC) telah menunjukkan model M8 generasi kedua, sebuah MPV saiz besar yang dijual di bawah sub-jenama Trumpchi miliknya. Model baru ini bersaing dalam segmen MPV premium dan ditawarkan dengan sistem janaan petrol, hibrid dan juga plug-in hibrid.

    Enjin 2.0 liter turbo empat-silinder petrol pada MPV ini menjana sebanyak 255 PS (252 hp) dan 400 Nm tork, digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan ke roda hadapan.

    Bagi versi hibrid pula, ia menggunakan unit enjin sama tetapi dengan kitaran Atkinson, menghasilkan 193 PS (190 hp) dan 320 Nm. Sistem hibrid ini diperoleh daripada Toyota dan termasuk e-CVT dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 270 Nm. Bagi sistem plug-in hibrid pula, GAC belum mendedahkan sebarang perincian.

    GAC Trumpchi M8 di China — MPV mewah tiga baris kerusi, gril besar, tiga sistem; petrol, hibrid dan PHEV

    Dengan ukuran 5,212 mm panjang, 1,893 mm lebar, 1,823 mm tinggi dan jarak antara roda 3,070 mm (bertambah 70 mm), M8 hadir dengan penampilan yang “lantang” dengan rekaan yang pastinya akan menarik perhatian sesiapa sahaja. Lihat sahaja rekaan gril depannya, anda akan faham apa yang dimaksudkan. Terdapat 10 palang krom menegak, gril ini mendominasi wajah depan MPV berkenaan.

    Ada laporan memaklumkan rupa depan ini adalah bagi varian Master bagi M8, yang turut mengguna pakai nama “Master” berkenaan pada bahagian apron depan dan belakang, dan merupakan pilihan paling lengkap yang ditawarkan.

    Ciri khas lain MPV ini termasuklah rekaan lampu depan LED yang tirus. Rekaan “taring” bagi lampunya turut dihadirkan di bahagian lampu belakang. M8 juga datang dengan rekaan bumbung terapung, dengan perincian krom.

    GAC Trumpchi M8 di China — MPV mewah tiga baris kerusi, gril besar, tiga sistem; petrol, hibrid dan PHEV

    Ruang paling menarik MPV ini pula tentulah di dalam kabinnya, dengan sentuhan kemewahan yang boleh dibanggakan. Ia hadir dengan konfigurasi kerusi 2-2-3 serta dua kerusi kapten di barisan kedua, dan tidak lupa pembesar suara Yamaha yang bersepadu dalam perehat kepala.

    Untuk pemandu, kluster instrumen digital 12.3-inci dan sistem infotainmen dengan skrin sentuh 14.6-inci Adigo 4.0 tersedia di bahagian papan pemuka dengan rekaan ringkas. Konsol tengah juga ringkas, dengan menempatkan pemilih gear, butang penghidup enjin, pemilih mod pemanduan dan brek parkir elektronik.

     
     
  • Polis Johor tawar diskaun saman pada 9-11 Sept

    Polis Johor tawar diskaun saman pada 9-11 Sept

    Untuk anda yang berada di Johor dan memiliki saman trafik tertunggak, ini ada peluang terbaik untuk anda melangsaikan saman berkenaan. Pada 9 hingga 11 September ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Johor bakal menawarkan diskaun 50% saman trafik.

    Program penawaran diskaun saman ini diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di Dataran UTM di Skudai dan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

    Walau bagaimana pun, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

     
     
  • Suspek insiden langgar lari di Sg Petani ditahan polis

    Suspek insiden langgar lari di Sg Petani ditahan polis

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan telah mengesahkan suspek yang terlibat dalam insiden langgar lari di Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Petani, Kedah Ahad lalu, telah ditahan polis. Suspek yang dipercayai memandu Proton Wira dalam kejadian terbabit yang menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Imigresen, telah direman selama empat hari bermula hari ini.

    Perintah reman terhadap suspek yang juga lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Fazlina Musa, selepas mendapat permohonan polis, laporan Berita Harian.

    Menurut Zaidy Che Hassan, suspek ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, pada 6.30 petang semalam. Sebelum itu, pihaknya berjaya mengesan kereta suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun

    Tambahnya, suspek mendakwa melarikan diri kerana bimbang dipukul, selain tidak memiliki lesen memandu sah. Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati kereta dipandu suspek milik abang iparnya di Kuala Lumpur,” katanya.

    Dalam kejadian tersebut, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Manakala rakannya, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, mengalami patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH). Motosikal yang ditunggangi Allahyarham Muhammad Nizam dipercayai telah dilanggar dari belakang sebelum terbabas ke bahu jalan di lebuhraya terbabit.

     
     
  • JPJ eBid: CER dan TCP bakal dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bakal dibuka untuk bidaan. Kedua-dua siri nombor ini adalah dari Pantai Timur. Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bermula 17 September 2022, siri plat nombor dari Pahang, CER, bakal dibuka bidaan. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 21 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 22 September 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala siri plat nombor dari Terengganu pula,TCP, akan mula boleh dibida pada 8 September 2022 dan berlangsung selama lima hari serta berakhir jam 10 malam pada 12 September. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 13 September.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Hilux Rogue 2022 dilancarkan di Australia – RM215k, lebih lebar, lebih tinggi, rupa lebih ganas!

    Toyota Hilux Rogue 2022 dilancarkan di Australia – RM215k, lebih lebar, lebih tinggi, rupa lebih ganas!

    Selepas didedahkan Julai lalu, akhirnya Toyota Hilux Rouge 2022 yang lebih lebar dan lebih tinggi dilancarkan secara rasmi pada pasaran Australia. Hilux Rouge yang nampak lebih ganas ini dijual pada harga AUD 70,500 (RM215,139) tanpa kos atas jalan, namun hanya akan masuk ke bilik pameran pada buan Oktober nanti.

    Menurut Toyota Australia, walaupun Hilux Rouge 2022 ini menerima peningkatan sistem mekanikal yang signifikant, harga jualannya adalah masih lagi sama dengan versi sebelum ini, tanpa sebarang kenaikan. Secara khususnya, Hilux Rouge 2022 ini menerima tingkat taraf sistem brek dan suspensi bagi memberikan prestasi off-road lebih baik.

    Model kemaskini ini diberikan brek cakera pada roda belakang, yang menggantikan sistem brek dram sebelumnya. Manakala pada sebelah hadapan, ia menerima cakera bersaiz 17-inci, atau satu inci lebih besar dari sebelum ini. Rim 17-inci model sebelum ini juga tidak lagi digunakan dan diganti dengan rim 18-inci yang lebih besar dalam kemasan lebih gelap.

    Toyota Hilux Rogue 2022 dilancarkan di Australia – RM215k, lebih lebar, lebih tinggi, rupa lebih ganas!

    Tingkat taraf paling signifikant bagi Hilux Rouge 2022 pasaran Australia ini adalah pada bahagian suspensinya. Ia bukan sahaja ditinggikan sekitar 20 mm dari sebelumnya, malah jarak trek roda juga kini meningkat sekitar 140 mm.

    Ubahsuai yang dilakukan untuk memberikan jarak trek roda yang lebih lebar berkenaan melibatkan penggunaan lengan suspensi serta bar penstabil hadapan yang lebih panjang. Sudut penyerap hentak juga ditala semula bagi memberikan keberkesanan yang lebih baik.

    Manakala di belakang, gandar telah dipanjangkan lagi, bersama penyerap hentak yang telah dialih lebih keluar ke arah roda. Buat pertama kali, bar penstabil belakang telah dipasang bagi menambah baik kestabilan ketika mengambil selekoh dan keselesaan ketika pemanduan.

    Menurut Toyota Australia, tingkat taraf yang dibuat pada sistem suspensi ini bukan sahaja memberikan kebolehan meredah jalan off-road yang lebih baik, dalam masa yang sama menambah baik prestasi di atas permukaan jalan raya biasa. Ini kerana ketegaran olengannya telah meningkat sebanyak 20%, serta memberikan rasa stereng yang lebih baik ketika mengambil selekoh dan menukar lorong.

    Toyota Hilux Rogue 2022 dilancarkan di Australia – RM215k, lebih lebar, lebih tinggi, rupa lebih ganas!

    Dengan trek roda yang lebih lebar, keempat-empat overfender pada Hilux Rouge 2022 pasaran Australia ini juga diganti dengan komponen yang lebih lebar bagi memastikan tayar tidak terkeluar dari ruang roda. Ia juga menerima mudguard yang lebih besar pada setiap ruang roda. Ini secara tidak langsung memberikan rupa yang lebih agresif pada trak pikap ini.

    Walau bagaimanapun, tiada sebarang perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa. Toyota Hilux Rouge 2022 pasaran Australia ini masih menerima enjin 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel berkuasa 150 kW (204 PS) dan tork maksima 500 Nm, digandingkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Perincian lain pada Rouge 2022 ini juga masih kekal dengan kelengkapan seperti penutup bed belakang jenis roller cover berkuasa elektrik yang dibangunkan secara tempatan di Australia, sports bar resin dan juga karpet pada tub yang dihasilkan dengan gred industri marin.

    Untuk kabin pula, Hilux Rouge ini diberikan upholsteri kulit berliang, tempat duduk hadapan dengan pemanas dan pemantau pandangan panaromik.

    Trak pikap ini datang dengan sistem audio premium sembilan pembesar suara, namun bagi pelanggan yang mahukan hanya enam-pembesar suara, mereka akan diberikan diskaun sebanyak AUD750 (RM2.3k). Towball bersama set sistem pendawaian untuk treler bina dalam juga adalah ciri standard.

    Sebanyak sembilan warna badan ditawarkan untuk Toyota Hilux Rouge 2022 ini, termasuk Glacier White, Frosted White, Silver Sky, Graphite, Eclipse Black, Nebula Blue, Feverish Red, Saturn Blue dan Oxide Bronze.

     
     
  • Setel kini ada fungsi ‘One-Tap Fuelling’ – 1k pengguna pertama; diperluaskan dalam tempoh dua bulan lagi

    Setel kini ada fungsi ‘One-Tap Fuelling’ – 1k pengguna pertama; diperluaskan dalam tempoh dua bulan lagi

    Setel telah memperkenalkan fungsi baharu ‘One-Tap Fuelling’, yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam petrol hanya dengan satu ketik di mana-mana stesen Petronas seluruh negara, serta mengisi petrol dan meraih mata ganjaran Mesra. Buat masa sekarang, fungsi tersebut untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang berdaftar di seluruh negara dan ketersediaannya akan diperluaskan secara berperingkat sepanjang dua bulan yang akan datang.

    “Kami sentiasa berinovasi dan membangunkan solusi yang memenuhi keperluan pengguna kami yang sentiasa berubah, terutamanya dalam tempoh endemik ini di mana rakyat Malaysia bergerak dengan lebih kerap berbanding sebelum ini. Sejak empat tahun yang lalu, pengguna setia kami telah menikmati pengalaman mengisi petrol yang lebih memudahkan di stesen-stesen Petronas.

    “Dan kini, pengguna yang biasanya harus membuat beberapa ketikan sebelum dapat mengisi minyak, boleh berbuat demikian dengan satu ketik sahaja menerusi aplikasi Setel. Pengguna tidak perlu lagi mengeluarkan dompet atau kad untuk mengisi petroldan memperoleh mata ganjaran. Sesungguhnya, kami memahami kepentingan sumber masa bagi para pengguna,” kata Mazlin Erawati Ab Manan, CEO Setel.

    Setel kini ada fungsi ‘One-Tap Fuelling’ – 1k pengguna pertama; diperluaskan dalam tempoh dua bulan lagi

    Pengguna Setel yang berminat juga boleh mendapatkan akses awal dengan memuat naik halaman “Dah Setel So Far” masing-masing dalam bentuk Instagram Story atau Tweet dengan kapsyen: “I want One-Tap Fuelling now”, di samping men-tag @setel dan sertakan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

    Malahan mulai hari ini hingga 4 Oktober 2022, pengguna Setel juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad oleh Setel apabila mereka memuat naik video mereka yang paling kreatif di Instagram atau Twitter yang menunjukkan pengalaman mereka menggunakan fungsi ‘One-Tap Fuelling’, berserta dengan tag @setel dan tanda pagar yang sama.

    Melalui fungsi tersebut, pengguna Setel dapat menetapkan kuantiti petrolyang ingin diisi – mengikut liter atau tangki penuh, di laman ‘Keutamaan’ semasa mengkonfigurasi fungsi ‘One-Tap Fuelling’.

    Pengguna juga boleh menetapkan kaedah pembayaran pilihan masing-masing termasuk CardTerus untuk pembayaran terus atau melalui kad debit atau kredit, serta Setel Share, iaitu kemudahan yang membolehkan pengguna berkongsi Setel Wallet atau CardTerus mereka dengan dua individu lain bagi membuat bayaran sambil bersama-sama meraih mata ganjaran Mesra.

     
     
  • Kawasaki Ninja 650 dan Z650 terima fungsi kawalan cengkaman KTRC di Eropah, semua lampu jenis LED

    Kawasaki Ninja 650 dan Z650 terima fungsi kawalan cengkaman KTRC di Eropah, semua lampu jenis LED

    Dua model 650 cc Kawasaki, iaitu Ninja 650 dan Z650 diberikan peningkatan beberapa ciri bagi model tahun 2023. Kali terakhir dua model ini diperbaharui adalah pada tahun 2019, di mana ia menerima antaranya rekaan baru, panel instrumen TFT serta lampu utama jenis LED.

    Peningkatan terbaru yang diberikan pada Ninja 650 dan Z650 adalah pada bahagian keselamatan, di mana ia sekarang menerima sistem kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC). Sistem ini mempunyai tiga mod yang boleh dipilih, termasuk satu adalah untuk ditutup sepenuhnya. Kemudiannya untuk model tahun 2023 ini juga, semua lampu termasuk penunjuk arah kini datang dengan unit LED.

    Bahagian lain dua motosikal ini masih dikekalkan, bermula dengan enjin yang menggunakan dua silinder selari 649 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 68 PS pada 8,000 rpm dan 64 Nm tork pada 6,700 rpm.

    Di hadapan penunggang terdapat panel instrumen TFT berwarna penuh, yang selain memaparkan maklumat penting, juga boleh disambungkan kepada aplikasi di telefon pintar untuk akses kepada pelbagai fungsi dan informasi termasuk navigasi.

    Suspensi Ninja 650 dan Z650 menggunakan padanan fork teleskopik 41 mm dan monoshock dengan pelarasan pra beban, sementara breknya pula terdiri daripada set berkembar cakera 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 220 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS dual-channel datang secara standard.

    Disebabkan mempunyai panel badan lebihan bagi melengkapkan gaya sport padanya, Ninja 650 mempunyai berat yang lebih, iaitu 193 kg, berbanding 188 kg bagi Z650, tetapi kapasiti tangki bahan apinya masih lagi sama, iaitu 15 liter.

    GALERI: Kawasaki Ninja 650 2023

    GALERI: Kawasaki Z650 2023