Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Cuaca sekarang memang sukar dijangka. Baru berada di awal bulan September, kita sudah mula mengalami hujan yang kerap tanpa mengira waktu sama ada siang, malam, pagi atau petang. Nampaknya ini cuma baru permulaan dan jabatan meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran awal kepada semua rakyat Malaysia.

    Dengan kepakaran serta alatan canggih yang ada, MetMalaysia menjangkakan negara akan berhadapan dengan hujan lebat berterusan pada pertengahan November, dan ini mungkin membawa kepada banjir besar pada hujung bulan. Impaknya akan lebih ketara kali ini, memandangkan monsoon timur laut sedang aktif pada waktu itu, dan fenomena La Nina akan berlaku sehingga awal tahun depan.

    Menurut ketua pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, pada bulan Oktober, risiko cuaca hanya melibatkan ribut petir, yang berpotensi menyebabkan angin kuat, hujan lebat serta banjir kilat skala kecil dalam tempoh singkat. Beliau memberitahu Berita Harian bahawa kebanyakan kawasan akan mengalami hujan biasa pada bulan Oktober.

    Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Biasanya, Malaysia akan berhadapan dengan pertukaran monsoon pada hujung bulan September sehingga awal November.

    “Sepanjang tempoh ini, cuaca biasanya elok di waktu pagi, sementara bila petang sehingga awal malam, ribut petir akan berlaku lebih kerap terutamanya di kawasan pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah. Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung,” kata Helmi.

    Tidak kisahlah ia ribut petir “biasa” atau yang teruk seperti dijangka berlaku pada bulan November, apa pun kita perlu bersedia dengan mendapatkan insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau bencana alam lain.

    Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Ia juga tidaklah terlalu mahal. Tahun lepas kami telah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda.

    Contohnya, jika jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda adalah RM25,000, anda hanya perlu membayar serendah RM50 untuk perlindungan tambahan special perils ini untuk insuran seperti Allianz, AXA, MSIG dan Tokio Marine. Untuk insuran yang mengenakan kadar lebih tinggi seperti AIA, AIG, Etiqa, Kurnia, RHB dan Takaful, jumlah bayaran tambahan untuk kereta yang diinsurankan sebanyak RM25,000 tersebut adalah antara RM63 sehingga RM125.

    Sudah tentu, ini adalah lebih baik berbanding terpaksa menghabiskan beribu-ribu ringgit apabila kenderaan anda rosak akibat banjir, kan?

     
     
  • Harga rasmi SUV Mercedes-Benz EV – RM329k bagi EQB350, EQC400 pada RM389k; SST + bebas-cukai

    Harga rasmi SUV Mercedes-Benz EV – RM329k bagi EQB350, EQC400 pada RM389k; SST + bebas-cukai

    Mercedes-Benz EQC400 4Matic
    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengesahkan harga rasmi bagi EQB350 4Matic dan EQC400 4Matic. SUV elektrik ini masing-masing ditawarkan pada harga RM328,888 dan RM388,888, atas jalan tanpa insurans. Disebabkan kedua-duanya EV janaan bateri, sekaligus melayakkannya mendapat bebas-cukai tetapi dengan 10% bagi cukai jualan untuk kereta penumpang selepas ‘cuti cukai’ berakhir pada 30 Jun lalu.

    EQB dan EQC telah ditampilkan menerusi persembahan EQ oleh MBM pada Julai lalu, yang turut menyaksikan pelancaran bagi model perdana EV EQS450+ AMG Line. Model elektrik setanding S-Class itu ditawarkan pada harga RM700k. Dalam acara berkenaan, MBM memberikan harga jangkaan sekitar RM330,000 untuk EQB dan EQC pula RM390,000, jadi harga rasminya yang diumumkan ini tidak jauh dari apa yang dijangka.

    EQB hadir dengan padanan transmisi satu-kelajuan dalam keadaan standard. Motor di hadapan adalah unit asynchronous (ASM) sementara motor di belakang pula menggunakan unit permanently excited synchronous (PSM). Pacuan kuasanya mencecah 292 PS dan tork 520 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.2 saat, manakala laju maksimum mencecah 160 km/j.

    Harga rasmi SUV Mercedes-Benz EV – RM329k bagi EQB350, EQC400 pada RM389k; SST + bebas-cukai

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic
    Kuasanya dipacukan dari pek bateri lithium-ion 420-voltan dengan kapasiti tenaga 66.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak 419 km.

    Manakala EQC 400 4Matic diberikan penjana kuasa dwi-motor dengan hamburan output 408 hp dan tork 765 Nm, membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

    Ia juga digandingkan dengan bateri 80 kWh, yang membolehkan EQC 400 4Matic yang mampu memberikan jarak hingga 437 km, dengan sokongan pengecasan AC dengan kapasiti 11 kW yang mengambil masa sekitar 11 jam jika menggunakan wallbox di rumah atau stesen pengecasan awam. Sementara pengecas pantas DC pula berkapasiti 110 kW, dengan status pengecasan dari 10% hingga 80% dalam 40 minit.

    Dengan pengenalan model EQB350 dan EQC400 ini sekaligus telah menyertai versi yang paling kecil EQA250 (dilancarkan pada Mac lalu) dalam barisan SUV EQ oleh MBM untuk pasaran Malaysia.

    GALERI: Mercedes-Benz EQB350 4Matic

    GALERI: Mercedes-Benz EQC400 4Matic

     
     
  • Toyota Innova 2022 dapat Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, DVR dikemaskini, port USB-C

    Toyota Innova 2022 dapat Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, DVR dikemaskini, port USB-C

    Selain mengumumkan prestasi jualan untuk bulan Ogos, UMW Toyota Motor (UMWT) turut mengemaskini beberapa modelnya untuk pasaran tempatan. Ini termasuklah MPV Innova yang masih ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas 2.0E, pertengahan 2.0G dan tertinggi 2.0X.

    2.0G ditawarkan pada harga RM131,888 atas jalan tanpa insurans, sementara 2.0X pula berharga RM141,880. Ini termasuk dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had. Untuk model asas, 2.0E, ia berharga RM123,880.

    Secara mekanikalnya, kesemua model Innova pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional enam kelajuan bagi memacu roda belakang. Kotak gear tersebut turut diberikan mod manual pada tuil penukar gear, serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power.

    Melihat risalah spesifikasi terkini, varian 2.0G dan 2.0X menerima unit utama skrin sesentuh Display Audio sembilan-inci baharu yang kini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Malah UMWT turut memaklumkan varian ini turut menerima port pengecasan pantas USB-C dan antaramuka paparan pandangan panoramik (PVM) yang disemak semula.

    Khas untuk 2.0X pula ialah perakam video digital (dashcam) hadapan baharu yang boleh disambungkan secara tanpa wayar ke telefon pintar untuk memudahkan pemindahan rakaman video. Selain daripada perubahan ini, ciri semua varian Innova ini masih kekal seperti sebelum ini.

    2.0E didatangkan secara standard dengan roda aloi 16-inci (dengan tayar 205/65), lampu utama halogen automatik, lampu nyalaan siang jenis mentol, lampu kabus belakang, gril hadapan perak dan hitam, cermin sisi larasan kuasa, lampu belakang kluster instrumen, unit utama standard, enam pembesar suara, pengecas tanpa wayar (diperkenalkan pada November lalu), pendingin hawa manual (dengan kawalan dan corong di belakang), roda stereng pelbagai-fungsi dan tombol gear urethane, upholstery fabrik hitam, tempat duduk hadapan manual, ABS, VSC, penderia parkir hadapan dan belakang dan tujuh beg udara.

    Risalah spesifikasi Toyota Innova 2022 dan senarai harga; klik untuk besarkan

    Ciri tambahan diberikan untuk varian 2.0G dengan lampu kabus hadapan, gril krom dengan tona kelabu, cermin sisi krom yang boleh dilaras, pemegang pintu krom, panel meter Optitron dengan paparan pelbagai-info 4.2-inci, sistem Display Audio, pendingin hawa automatik, pencahayaan ambien, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, tailgate yang mudah ditutup, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dan PVM.

    Untuk varian tertinggi, pastinya diberikan lebih banyak ciri tambahan termsuk roda aloi 17-inci (dengan tayar 215/55), pakej penggayaan dalaman, lampu utama projektor LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, gril krom gelap dengan rona hitam, kombinasi kulit upholstery, tempat duduk pemandu larasan kuasa, tempat duduk kapten untuk barisan kedua (dengan bangku yang boleh dilipat 60:40) dan DVR hadapan.

    Ciri seperti DVR, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang dan PVM turut ditawarkan secara pilihan untuk 2.0E bersama kos tambahan, tetapi belum dinyatakan lagi. Manakala varian 2.0G dan 2.0X kini ditawarkan dengan perakam video digital (dashcam) hadapan dan belakang yang menjadi sebahagian daripada pakej Tech-Up bernilai RM1,100, dengan aksesori lain termasuk lapisan filem solar dan keselamatan premium bernilai RM2,120.

    GALERI: Toyota Innova 2.0X 2021 (pra-peningkatan)

     
     
  • UMW Toyota catat jualan 9,091 unit kenderaan pada Ogos 2022 – jualan tahunan lebih 61k unit, naik 59%

    UMW Toyota catat jualan 9,091 unit kenderaan pada Ogos 2022 – jualan tahunan lebih 61k unit, naik 59%

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan jualan sebanyak 9,091 unit kenderaan sepanjang Ogos 2022. Dari jumlah berkenaan, 8,961 unit daripadanya adalah kenderaan berjenama Toyota, dan 130 unit selebihnya adalah dari jenama Lexus.

    Jumlah jualan berkenaan juga mewakili peningkatan sebanyak 2,454 unit kenderaan berbanding jumlah jualan 6,637 unit yang dicatatkan oleh UMWT pada Julai 2022, atau kenaikan sebanyak 37%.

    Manakala untuk jualan kumulatif tahunan setakat ini pula, UMWT telah menjual sebanyak 61,639 unit kenderaan (Toyota dan Lexus) untuk lapan bulan pertama 2022, atau naik kira-kira 59% berbanding jumlah jualan 38,805 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu – ketika itu industri automotif tempatan terjejas secara keseluruhannya kerana Covid-19.

    UMW Toyota catat jualan 9,091 unit kenderaan pada Ogos 2022 – jualan tahunan lebih 61k unit, naik 59%

    “Pasukan di UMW Toyota Motor sangat bersyukur dengan sokongan kuat dan kami sentiasa bekerja keras bagi memacu produksi untuk memastikan kereta baharu dapat diserahkan kepada pemilik,” kata presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

    UMWT turut mengumumkan bahawa ia akan melancarkan MPV tujuh-tempat duduk yang menggantikan Toyota Avanza iaitu Veloz ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Selepas tempahan model itu dibuka Jun lalu, syarikat tersebut menyatakan bahawa ia telah menerima tempahan sebanyak 5,200 unit Veloz sehingga kini.

    Seperti diketahui, Veloz merupakan kembar kepada Perodua Alza 2022 yang juga baru dilancarkan pada 20 Julai lalu. UMWT sebelum ini telahpun mengumumkan bahawa Veloz bakal dijual pada harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000, atau RM20,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi Perodua Alza AV. Apa perbezaan antara Veloz dan Alza? Kami sudahpun menyediakan satu artikel berkenaan perkara tersebut yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Veloz – tempahan cecah 5,200 unit sebelum dilancar, bakal dirasmikan dalam masa terdekat

    Toyota Veloz – tempahan cecah 5,200 unit sebelum dilancar, bakal dirasmikan dalam masa terdekat

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa selepas tempahan Toyota Veloz dibuka pada Jun lalu, MPV berkenaan kini sudahpun ditempah sebanyak 5,200 unit. Syarikat berkenaan turut menyatakan bahawa model ini bakal dilancarkan secara rasmi “tidak lama lagi”.

    “Pengenalan Toyota Veloz ini akan menjadi detik yang sigifikant buat kami dan kami yakin ia akan menjadi popular dikalangan rakyat Malaysia dengan penawaran premium berbaloi, perincian canggih, dan sudah tentu, kualiti dan ketahanan Toyota yang sudahpun diketahui,” kata presiden UMWT, Ravindran K.

    “Kami sedang gigih berusaha untuk menyediakan pakej yang betul untuk pelanggan. Sudah menjadi hala tuju kami untuk ‘Extra Mile’ dengan memberikan keutamaan dan perhatian yang tinggi kepada keperluan pelanggan menerusi penawaran jualan dan selepas jualan kami,” tambahnya lagi.

    Toyota Veloz – tempahan cecah 5,200 unit sebelum dilancar, bakal dirasmikan dalam masa terdekat

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Veloz merupakan kembar kepada Perodua Alza yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama, menggunkan enjin dan transmisi serupa, serta turut diproduksi bersama di kilang Perodua di Sg. Choh.

    Sebelum ini UMWT sudahpun mengumumkan bahawa Veloz bakal dijual pada harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000, atau RM20k lebih mahal berbanding model varian tertinggi Alza iaitu Alza AV. Jadi apa kelebihan dan perbezaan antara Veloz dan Alza? Kami sudahpun menyediakan satu artikel berkenaan perkara tersebut yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Toyota Veloz pasaran Malaysia

     
     
  • MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    mybayar-saman_1a_bm/” rel=”attachment wp-att-1509955″>MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Biasanya, ramai yang tak sedar yang kenderaan di didaftarkan di bawah nama mereka ada saman yang tertunggak. Dan, kalau ada pun saman yang sudah sampai ke tangan, orang selalu merasakan tak ada masa yang tepat untuk keluar ke kaunter bayaran untuk melangsaikannya.

    Jika anda rasa semua ini menyusahkan, jangan khuatir lagi. PDRM kini sudah pun memperkenalkan laman online khusus untuk tujuan berkenaan, melalui portal myBayar Saman di pautan https://mybayar.rmp.gov.my/

    Melalui laman ini, semakan dan bayaran boleh dilakukan dengan mudah dan dalam masa yang singkat. Jika anda belum pernah menggunakan laman ini, berikut adalah cara langkah demi langkah bagaimana untuk membuat pembayarannya, dalam masa kurang dari 5 minit!

    Bagaimana untuk gunakan MyBayar Saman?

    1. Daftar perincian peribadi anda

    Pendaftaran hanya memerlukan beberapa maklumat peribadi sahaja. Pertama, pilih jenis akaun sama ada Persendirian atau Syarikat, dan kemudian diikuti dengan maklumat seperti Nama, No. Kad Pengenalan, Alamat serta nombor telefon pengguna.

    2. Tunggu nombor OTP untuk pengesahan

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Nombor sekuriti OTP akan dihantar ke telefon anda. Masukkannya dan anda akan di bawa ke lembar berikutnya untuk memasukkan kata laluan bagi akaun anda.

    3. Semakan saman

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Selesai semua itu, anda sudah boleh log masuk. Perkara pertama yang akan terpapar adalah semakan saman bagi semua kenderaan yang didaftarkan di bawah nama anda, dengan jumlah saman yang dikenakan, sekiranya ada. Dalam kes saya sendiri, baru saya tahu ada satu saman untuk sebuah motosikal lama sejak tahun 2007!

    4. Pilih saman yang ingin dibayar

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Anda boleh klik saman mana yang hendak dibayar dahulu. Ia kemudian akan membawa anda ke laman pemilihan kaedah bayaran. Saya memilih bayaran melalui pindahan wang online dari akaun bank. Ia terus akan membawa anda ke laman bank berkaitan, dan bayaran akan terus dibuat.

    5. Makluman bayaran telah berjaya dibuat

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Sejurus selepas transaksi dari bank dibuat, anda akan menerima maklumat bahawa bayaran telah berjaya dibuat, dan saman yang berkenaan tidak lagi akan berada dalam rekod ketika semakan.

    Itu sahaja, mudahkan? Jadi, kita sekarang ini tidak punya alasan lagi untuk tidak membayar saman. Tetapi ambil maklum juga, yang portal ini hanya memaparkan saman bagi kenderaan yang didaftarkan di bawah nama pemilik. Sekiranya ada kes saman yang lebih rumit, misalnya oleh pemandu yang kenderaannya oleh pemilik lain, itu perlu dirujuk di kaunter untuk penjelasan lajut.

     
     
  • Melaka rancang bina laluan sepanjang 120km hubungkan M’sia-Indo – pembinaan dijangka 20 tahun

    Melaka rancang bina laluan sepanjang 120km hubungkan M’sia-Indo – pembinaan dijangka 20 tahun

    Mungkin selepas ini rakyat Malaysia dan Indonesia boleh berulang alik ke kedua-dua negara berkenaan dengan menggunakan jalan darat apabila Melaka telah mengeluarkan cadangan untuk membina laluan melibatkan jarak kira-kira 120 km iaitu melalui Masjid Tanah (Melaka)-Dumai (Tanah Besar Sumatera).

    Menurut Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, laluan yang dirancang dibina dalam bentuk terowong atau jambatan itu dijangka mengambil masa 20 tahun bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta, laporan Bernama.

    Tambah beliau, dengan adanya laluan tersebut, ia mampu memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.

    “Cadangan pembinaan laluan ini telah dikemukakan pihak swasta dan menerusi kajian yang dilakukan, jarak antara pesisir pantai di Dumai, Indonesia ke Telok Gong, Masjid Tanah di sini hanya sejauh 47 km.

    “Secara dasarnya kedua-dua negara telah bersetuju untuk perkara ini diperincikan dan langkah awal di peringkat kerajaan negeri Melaka, kita telah membawa semua agensi kerajaan melihat kawasan yang akan dibina jajaran baharu ini semalam,” katanya.

    Jelasnya, laluan berkonsepkan ‘Satu Jalur Satu Jalan’ itu akan menjadi ikon baharu kedua-dua negara dan pelbagai prasarana akan turut dibangunkan termasuk kawasan penyuraian trafik dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

    Selain itu, kawasan perindustrian baharu yang menempatkan pelbagai kegiatan perindustrian seperti semikonduktor dan automotif akan dibangunkan secara berperingkat di Masjid Tanah melibatkan keluasan kira-kira 2,023 hektar, katanya. Di mana ia diuruskan oleh Melaka Corporation, yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM)

     
     
  • Honda ZR-V terima pilihan aksesori ‘Premium Style’ oleh Honda Access di Jepun – kit badan, rim 19-inci

    Honda ZR-V terima pilihan aksesori ‘Premium Style’ oleh Honda Access di Jepun – kit badan, rim 19-inci

    Pengeluar aksesori rasmi Honda yang juga pemilik jenama Modulo iaitu Honda Access telahpun memperkenalkan barisan aksesori rasmi untuk SUV Honda ZR-V pada pasaran Jepun. Barisan aksesori yang digelar “Premium Style” tersebut menawarkan pelbagai perincian penggayaan untuk luaran dan dalaman untuk Honda ZR-V.

    Untuk kelengkapan luaran, aksesori Premium Style ini terdiri dari perapi kemasan perak pada bampar hadapan, skirt sisi dan bampar belakang, serta kemasan perumah nombor pendaftaran belakang berwarna hitam yang menghubungkan lampu belakang kiri dan kanan, spoiler belakang lebih menonjol, penutup cermin sisi berwarna hitam, lampu kabus LED (pilihan putih atau kuning), rim aloi 19-inci, emblem ZR-V berwarna hitam dan juga lampu puddle yang memancarkan grafik jalur berkembar.

    Pada bahagian kabin pula, barisan aksesori ini menampilkan banyak pencahayaan LED berwarna putih yang boleh ditemui pada perapi bendul pintu dengan logo ZR-V (depan dan belakang), kotak konsol tengah, poket pintu dan ruang letak kaki.

    Honda ZR-V terima pilihan aksesori ‘Premium Style’ oleh Honda Access di Jepun – kit badan, rim 19-inci

    Honda ZR-V merupakan SUV segmen-C Honda, yang lebih kecil dari CR-V, tetapi lebih besar dari HR-V, diasaskan dari platform yang sama dengan Honda Civic generasi ke-11. Ia merupakan model global yang setakat ini telah didedahkan di China dan Jepun, tetapi untuk pasaran Amerika Syarikat, model ini diberi nama Honda HR-V.

    Ia menampilkan panjang 4,568 mm dan lebar 1,840 mm. Jadi berbanding HR-V generasi terkini pasaran Malaysia, Z-RV ini adalah 183 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar.

    Saingan sebenar bagi ZR-v ini sebenarnya adalah Toyota Corolla Cross, namun ia diiukur 108 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dari SUV Toyota berkenaan serta jarak roda 15 mm lebih jauh kepada 2,655 mm.

    Honda ZR-V ini ditawarkan dalam versi enjin petrol sepenuhnya dengan unit 1.5 liter turbo dan juga pilihan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang menampilkan enjin 2 liter yang digandingkan bersama motor elektrik.

    Sebagai sebuah model global, tidak mustahil Honda ZR-V ini akan di bawa ke Asia Tenggara, khususnya di Malaysia. Anda rasa bagaimana? Adakah Honda hanya patut mengekalkan barisan SUV sedia ada iaitu CR-V dan HR-V di sini, atau membawa model baharu ini untuk berhadapan terus dengan Toyota Corolla Cross?

    GALERI: Honda ZR-V pasaran China

    GALERI: Honda HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Beberapa jalan di Putrajaya bakal ditutup pada 11 Sept ini untuk menjayakan acara Garmin Marathon 2022

    Klik untuk besarkan

    Adakah anda antara 10,000 pelari yang bakal menyertai Garmin Run Asia 2022 Series – Malaysia Marathon yang bakal berlangsung pada 11 September, Ahad ini? Kalau nak jumpa wakil Paultan.Org yang bakal sertai larian ini, bolehlah jumpa di Putrajaya ya. Okay. Ini ada satu pengumuman penting buat warga Putrajaya dan semua peserta acara tersebut.

    Atas faktor kelancaran acara dan juga keselamatan semua pihak, terdapat beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya yang bakal ditutup untuk laluan trafik. Sama ada penutupan penuh atau pun sebahagian jalan yang terlibat, seperti mana yang dinyatakan menerusi imej yang dikongsikan ini.

    Klik untuk besarkan

    Penutupan jalan akan bermula pada jam 3.20 pagi Ahad ini, iaitu 10 minit sebelum pelari full marathon (42 km) memulakan larian pada 3.30 am (untuk pelari 21 km bermula jam 4.15 pagi, dan 10 km pada 7 pagi), dan acara akan berlangsung sehingga ke tengahari. Kawasan karnival pula akan bertempat di hadapan Mahkamah Kehakiman, dan tempat parkir pula disediakan berhampiran JPN dan McDonald.

    Jadi, jika anda yang berada di luar Putrajaya tetapi berhajat untuk sana pada Ahad ini, mungkin anda patut mempertimbangkan semula perancangan anda itu. Kalau mahu juga berkunjung ke sana terutamanya yang berhajat mahu ke Floria DiRaja Putrajaya yang dilanjutkan sehingga 11 Sept ini, mungkin boleh ke sana selepas jam 12 tengahari (jika anda mahu ke sana pada Ahad ini lah, atau pergi Sabtu lagi okay).

     
     
  • Huawei Aito M5 diperkenal di China – elektrik penuh dengan bateri 80 kWh, jarak gerak sehingga 620 km

    Huawei Aito M5 diperkenal di China – elektrik penuh dengan bateri 80 kWh, jarak gerak sehingga 620 km

    Huawei telah menunjukkan kenderaan elektrik penuh pertama mereka, iaitu Wenjie M5 EV, yang akan dijual melalui jenama AITO. Ia sebenarnya adalah satu versi elektrik penuh bagi Wenjie M5, iaitu sebuah model yang diubah suai daripada SF5 (dibangunkan bersama oleh Huawei dengan Seres) dan diperkenalkan Disember lalu.

    AITO sebelum ini cuma mempunyai dua model, iaitu Wenjie M5 dan Wenjie M7 (SUV besar yang diperkenalkan Julai lalu), dengan kedua-duanya adalah EV range extender yang mempunyai enjin petrol empat silinder turbo 1.5 liter sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion 40 kWh (tetapan satu motor atau dua motor).

    Wenjie M5 EV pula tidak mempunyai sebarang enjin pembakaran dalaman, dan menggunakan bateri 80 kWh yang lebih besar. Dibina atas platform DriveONE Huawei, M5 EV Standard Edition menggunakan motor elektrik terletak di belakang, yang boleh menghasilkan kuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat.

    Model Standard Edition dijual pada harga 288,600 yuan (RM186,429), sementara Performance Edition dijual pada 319,800 yuan (RM206,530). Harga yang lebih tinggi pada Performance Edition memberikan tetapan dua motor dan pacuan empat roda, hasil daripada motor elektrik di hadapan yang mampu menghasilkan 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan tork 315 Nm, dan motor elektrik belakang yang mampu menghasilkan 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 360 Nm.

    Huawei Aito M5 diperkenal di China – elektrik penuh dengan bateri 80 kWh, jarak gerak sehingga 620 km

    Pakej penggerak yang lebih berkuasa ini juga menghasilkan pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas, iaitu 4.5 saat, tetapi jarak geraknya menjadi 552 km dengan sekali cas (Standard Edition boleh bergerak sehingga 620 km). Kedua-dua penggerak mendapat sistem Dynamic Adaptive Torque System (DATS) secara standard.

    Menurut Huawei, kedua-dua varian M5 EV ini akan mengambil masa 10.5 jam untuk dicas dari tahap bateri 10% ke 90%, dengan menggunakan pengecas AC berkuasa 7 kW. Ia juga boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, dan apabila menggunakan pengecas 100 kW, baterinya boleh naik dari 30% ke 80% dalam masa 30 minit.

    Berkenaan dimensi, M5 EV sedikit panjang berbanding M5 range extender, dengan catatan ukuran panjang 4,785 mm (+15 mm), sementara tingginya pula adalah 1,620 mm (-5 mm), manakala lebar dan jarak rodanya adalah sama (masing-masing 1,930 mm dan 2,880 mm).

    Disebabkan M5 EV ini tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman, gril hadapannya ditutup sepenuhnyha, dan jalur LED menegak pada M5 diganti dengan bukaan udara. Selain daripada perubahan ini, bahagian lain M5 EV ini nampak sama sahaja seperti M5 range extender.

    Begitu juga dengan keadaan di bahagian dalam, walaubagaimanapun M5 EV mendapat pengecas tanpa wayar yang berupaya mengecas dua telefon pada satu-satu masa, pada konsol tengah. Kelengkapan elektronik lain yang diberi adalah panel instrumen digital 10.25 inci, dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 15.6 inci yang dikuasakan oleh OS Harmony.

    Kedua-dua varian M5 EV ini juga datang secara standard dengan bumbung panoramik, lampu LED, lampu suasana 128 warna, pengawal suhu automatik dengan penapis PM2.5, balutan kulit Nappa, kunci NFC, 19 pembesar suara, enam beg udara serta pakej keselamatan lengkap yang termasuk AEB, Blind Spot Monitor, Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist. Rim bersaiz 19 inci.

     
     
  • Royal Enfield Scram 411 dilancar untuk pasaran M’sia – 411 cc EFI, tiga varian, harga dari RM26,900

    Royal Enfield Scram 411 dilancar untuk pasaran M’sia – 411 cc EFI, tiga varian, harga dari RM26,900

    Dilancarkan kali pertama di India Mac lalu, Royal Enfield Scram 411 kini sudah tiba di Malaysia dengan tawaran tiga varian, dengan harga bermula RM27,400 untuk Premium, RM27,100 untuk Mid dan RM26,900 untuk Base. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

    Beza antara varian ini cumalah tema warnanya, iaitu Premium datang dalam warna White Flame dan Silver manakala Mid ditawarkan dalam warna Skyline Blue dan Blazing Black, dan Base disediakan dalam pilihan tiga warna iaitu Graphite Yellow, Graphite Red dan Graphite Blue.

    Enjin sama seperti Himalayan 411 digunakan pada Scram 411 ini, iaitu unit satu silinder LS-410 dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, berkapasiti 411 cc, dan mampu menghasilkan kuasa 24.3 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada antara 4,000 hingga 4,500 rpm.

    Penggayaan ala scrambler digunakan pada model ini, dengan suspensi yang tinggi, iaitu fork dengan jarak gerak 190 mm di hadapan dan monoshock dengan jarak gerak 180 mm di belakang, bersama padanan rim 19 inci dan 17 inci serta tayar jenis pelbagai guna.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dan datang dengan sistem ABS, sementara tempat duduk pula dijadikan serba empuk untuk menjamin keselesaan pengguna. Bahagian pemegang terletak tinggi dan mudah dicapai penunggang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah panel meter gabungan digital dan analog, transmisi lima kelajuan, pemula enjin elektrik, tangki bahan api 15 liter dan berat keseluruhan 185 kg. Pod Royal Enfield Tripper Navigation serta beg barangan dijual berasingan.

     
     
  • Rapid KL, KTM ingatkan pengguna pakai pelitup muka dalam tren, bas – wajib untuk pengangkutan awam

    Rapid KL dan KTM mengingatkan para penggunanya untuk terus memakai pelitup muka atau facemask apabila menggunakan tren dan bas kendaliannya. “Tanpa pelitup muka, anda tidak akan dibenarkan untuk mengakses sistem pengangkutan awam,” ujar kenyataan kedua-dua pengendali pengangkutan awam tersebut.

    Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib dipakai di tempat tertutup (dalam premis, bangunan dan sebagainya). Walau bagaimana pun, ia masih wajib dipakai bagi beberapa situasi seperti individu yang didapati positif Covid-19, ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang, serta van/bas pekerja atau sekolah serta semasa berada dalam fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan lain-lain yang berkaitan.

    Walau bagaimana pun, menurut Khairy lagi, pemakaian pelitup muka masih sangat digalakkan — misalnya ketika anda berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah ibadah; individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selesema; individu yang berisiko tinggi seperti warga tua, penghidap penyakit kronik, mereka yang mempunyai imuniti rendah dan ibu mengandung; serta ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

    Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka pula kekal sama seperti yang diumumkan sebelum ini, dengan kelonggaran diberikan dan tidak wajib digunakan. Namun, KKM tetap menggalakkan pelitup muka digunakan di kawasan luar bangunan sekiranya anda berada di kawasan ramai orang dan sesak; individu bergejala demam, batuk dan selesema serta bagi individu berisiko tinggi.

     
     
  • MB Selangor seru pengguna jalan raya melaporkan jalan rosak menerusi Twitter dengan hashtag #infrasel

    MB Selangor seru pengguna jalan raya melaporkan jalan rosak menerusi Twitter dengan hashtag  #infrasel

    Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru pengguna jalan raya di Selangor agar melaporkan sebarang kerosakan jalan raya termasuk jalan berlubang menerusi Twitter dengan tanda pagar atau hashtag #infrasel.

    Apa yang diperlukan ialah memuat naik foto kerosakan jalan terbabit dengan hashtag #infrasel pada kapsyen dan menyatakan sekali daerah dan nama jalan. Beliau turut memberikan contoh entri yang boleh dilihat menerusi imej di bawah.

    Kami turut menyemak hashtag berkenaan di Twitter dna mendapati sudah ada beberapa laporan dibuat oleh pengguna, dengan akaun @infrasel_kjp dilihat membalas laporan tersebut serta memaklumkan kemaskini mengenainya.

    Pada hujung 2017, kerajaan negeri terdahulu turut memperkenalkan fungsi yang sama yang membolehkan para pengguna melaporkan terus aduan kerosakan jalan ini menerusi aplikasi Waze.

     
     
  • Toyota GR Corolla dijual pada harga bermula RM162k di Amerika Syarikat; Morizo Editon cecah RM225k

    Toyota GR Corolla dijual pada harga bermula RM162k di Amerika Syarikat; Morizo Editon cecah RM225k

    Selepas Toyota GR Corolla membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat April lalu, Toyota USA kini baru sahaja mendedahkan harga hot-hatch berkenaan, yang diumumkan sekali dengan kemaskini harga bagi semua model yang dijual pada pasaran negara tersebut.

    Toyota GR Crolla ditawarkan dalam tiga varian di Amerika Syrikat. Ia bermula dengan varian asas GR Corolla Core dijual pada harga AS$ 35,900 (RM162k), diikuti GR Corolla Circuit Edition dijual pada harga AS$42,900 (RM193k). Manakala model paling hardcore GR Corolla Morizo Edition dijual pada harga AS$49,000 (RM225k).

    Toyota GR Corolla ini diasaskan dari kerangka Corolla htachback, tetapi dihasilkan lebih tegar menerusi penambahan pendakap-pendakap badan dan bahan perekat lebih banyak dan hanya diproduksi di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi, Jepun, bersama GR Yaris. Ia juga turut menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti GR Yaris.

    Toyota GR Corolla dijual pada harga bermula RM162k di Amerika Syarikat; Morizo Editon cecah RM225k

    Oleh itu, GR Corolla ini menerima enjin G16E-GTS tiga-silinder 1.6 liter turbo tetapi menerima talaan lebih berkuasa 304 PS (300 hp), berbanding 272 PS pada GR Yaris. Namun daya tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi ini adalah sama iaitu 370 Nm. Enjin berkenaan digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan i-MT, bersama sistem pacuan semua roda GR-Four ala-jentera rali bagi memacu semua roda.

    Konfigurasi asal sistem suspensi GR Corolla ini kekal dengan topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, tetapi diolah semula bagi memberikan trek roda hadapan 60 mm lebih lebar dan trek roda belakang 85 mm lebih lebar berbanding Corolla Hatchback standard, membolehkan ia menawarkan prestasi di selekoh yang lebih baik.

    Ini menyebabkan fender hadapan GR Corolla tersebut dilebarkan 20 mm dan fender belakang dilebarkan 30 mm berbanding Corolla hatchback biasa, secara tidak langsung memberikan rupa yang lebih garang.

    Bagi model Circuit Edition, ia diberikan penambahan liang udara pada bonet hadapan, spoiler belakang lebih besar, bumbung diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) serta tombol gear yang menampilkan tandatangan “Morizo”, iaitu presiden Toyota, Akio Toyoda (Morizo adalah nama samaran Toyoda ketika berlumba).

    Model ini juga datang standard dengan Performance Package (opsyenal untuk model Core), yang diberikan kelengkapan seperti LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang serta sistem brek lebih baik.

    Manakala untuk GR Corolla Morizo Edition pula, ia adalah model edisi terhad yang menampilkan perincian lebih ‘jahat’ seperti peningkatan tork sebanyak 30 Nm menjadikan tork maksima 400 Nm, nisbah gear berbeza, menerima rim aluminium forged dari BBS bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2, diberikan tempat duduk semi-bucket pada bahagian hadapan, 30 kg lebih ringan dari GR Corolla biasa dengan membuat beberapa perubahan antaranya dengan membuang terus tempat duduk belakang, dan pelbagai lagi.

    Sebelum ini Toyota turut mengumumkan bahawa GR Corolla Morizo Edition ini ditawarkan hanya 200 unit setahun untuk pasaran Amerika Syarikat dan bakal diberikan nombor produksi unik.

    Walaupun GR Corolla ini membuat kemunculan sulungnya di Amerika Syarikat kerana pasaran berkenaan tidak menerima GR Yaris, Toyota sebelum ini telah mengesahkan bahawa GR Corolla adalah model global. Ini bermakna tidak mustahil ia turut akan dipasarkan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia, seperti model-model GR lain iaitu GR Supra dan GR Yaris.

     
     
  • JPJ eBid: VJS dan QTX bakal sedia untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bakal dibuka untuk bidaan. Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bermula 9 September 2022, siri plat nombor dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VJS, bakal dibuka bidaan. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 13 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 14 September 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala siri plat nombor dari Sarawak pula, QTX, akan mula boleh dibida pada 22 September 2022 dan berlangsung selama lima hari serta berakhir jam 10 malam pada 26 September. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 27 September.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Yamaha Y16ZR Race Masterclass pusingan kedua di Litar Sepang – Fareez Afeez mendahului kejuaraan

    Yamaha Y16ZR Race Masterclass pusingan kedua di Litar Sepang – Fareez Afeez mendahului kejuaraan

    Tahun ini, bersekali dengan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK), Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut menganjurkan perlumbaan one-make race Y16ZR Race Masterclass sebanyak tiga pusingan. Hujung minggu lalu, kami berkesempatan turun ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menyaksikan perlumbaan pusingan kedua secara dekat.

    Bagi setiap pusingan Y16ZR Race Masterclass ini, terdapat dua perlumbaan iaitu Race 1 dan Race 2, dengan masing-masing diadakan pada hari Sabtu dan juga Ahad. Untuk pusingan kedua ini, Race 1 dimenangi oleh Arash Tsunami Kamarudin sementara Race 2 dijuarai oleh Fareez Afeez A. Rahman.

    Secara keseluruhannya 30 pelumba muda terlibat dalam perlumbaan ini, dan kesemua mereka menggunakan jentera sama, iaitu Yamaha Y16ZR yang diubah suai dengan aksesori daripada Cardinals Racing, yang merupakan rakan kerjasama HLYM untuk perlumbaan ini. Spesifikasi semua jentera adalah sama, dan perlumbaan bergantung kepada kemahiran pelumba serta talaan daripada pasukan masing-masing.

    Dengan terdapat satu lagi baki pusingan di SIC pada 6 hingga 9 Oktober nanti, perlumbaan Y16ZR Race Masterclass dikuasai oleh Fareez dari pasukan Singdeca Racing yang mengutip 77 mata secara keseluruhan, meninggalkan Aliff Danial yang berada di tempat kedua agak jauh dengan beza 32 mata.

    Semua pelumba berjaya menamatkan perlumbaan semasa Race 1 sementara dalam Race 2 terdapat lapan pelumba yang gagal menghabiskan semua enam pusingan dalam setiap perlumbaan. Masa terpantas dicatat oleh Afizi Supaat dalam Race 1 dengan catatan dua minit 52 saat.

     
     
  • Harga minyak 8-14 Sept – RON97 turun 10 sen seliter

    Harga minyak 8-14 Sept – RON97 turun 10 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 8 hingga 14 September, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM4.20 seliter.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 14 September 2022.

    Untuk harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 juga, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Grab M’sia rintis AudioProtect di Penang, JB; rakaman audio bagi keselamatan pemandu, penumpang

    Grab M’sia rintis AudioProtect di Penang, JB; rakaman audio bagi keselamatan pemandu, penumpang

    Grab Malaysia menguji AudioProtect, elemen keselamatan baharu di dalam aplikasi e-hailing kendaliannya untuk pengguna terpilih di Pulau Pinang dan Johor Bahru (JB) bermula bulan hadapan.

    Menurut pengumuman syarikat tersebut, fungsi tersebut hanya untuk pengangkutan Grab, yang membolehkan pemandu dan penumpang merakamkan audio sepanjang perjalanan mereka dengan menghidupkan butang fungsi berkenaan menerusi ketatapan keselamatan dalam aplikasi berkenaan. Ia bertujuan bagi membantu mempercepatkan penyelesaian sebarang insiden yang dilaporkan kepada syarikat itu, katanya.

    Bagi menggunakan AudioProtect, pengguna Grab terpilih perlu memuatnaik versi terkini 5.216.0 aplikasi terbabit dan membenarkan penggunaan mikrofon pada peranti mereka. Program perintis AudioProtect ini akan beroperasi hanya untuk pengguna yang terpilih yang berada bandar yang terlibat dalam sesi ujian terbabit iaitu Pulau Pinang dan JB; dan sekiranya mereka keluar dari bandar tersebut, fungsi ini akan dimatikan (disabled).

    Grab M’sia rintis AudioProtect di Penang, JB; rakaman audio bagi keselamatan pemandu, penumpang

    Menurut laman panduan pengangkutan Grab, ia hanya akan mengaktifkan rakaman audio apabila kedua-dua pihak iaitu pemandu dan penumpang menghidupkan fungsinya. Rakaman akan bermula apabila pemandu mengambil penumpang dan berakhir apabila perjalanan selesai.

    Manakala pengguna boleh memilih untuk mematikan fungsi AudioProtect selepas mereka mengaktifkannya, dan ia boleh ditetapkan menerusi bahagian Safety Setting pada aplikasi berkenaan. Ia akan tidak berfungsi biarpun pengguna menaiki pengangkutan Grab pada masa lain. Namun sekiranya fungsi ini dimatikan sendiri selepas memulakan perjalanan, rakaman masih boleh diteruskan, dan fungsinya akan dimatikan untuk perjalanan seterusnya, ujar Grab.

    Untuk alasan keselamatan, pengguna tidak boleh mengakses rakaman audio ini, di mana ia akan ditetapkan sebagai sulit atau encrypted dan hanya boleh diakses oleh kakitangan yang diberi kuasa oleh Grab, pegawai penguatkuasa undang-undang dan pihak berkuasa kerajaan sekiranya insiden keselamatan dilaporkan.

    Apabila Grab menerima laporan insiden dalam tempoh 10 hari, fail rakaman audio berkenaan akan dimuat naik dan disimpan menerusi server Grab untuk siasatan dalam tempoh sehingga enam bulan, selepas itu ia akan dipadamkan secara automatik. Walau bagaimana pun, dalam keadaan tertentu, tempoh penyimpanan fail rakaman berkenaan akan dilanjutkan sekiranya diperlukan termasuk bagi siasatan selanjutnya dan sebagainya.

     
     
  • Pelitup muka masih wajib digunakan ketika di dalam pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan e-hailing

    Pelitup muka masih wajib digunakan ketika di dalam pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan e-hailing

    Hujung April lalu, kerajaan mengumumkan yang pelitup muka tidak lagi wajib digunakan dalam beberapa situasi, terutama dalam kawasan terbuka, bermula 1 Mei 2022. Dalam perkembangan terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi beberapa situasi seperti berikut:

    • Sekiranya anda didapati positif Covid-19
    • Ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang, serta van/bas pekerja atau sekolah
    • Semasa berada dalam fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan lain-lain yang berkaitan

    Pemakaian pelitup muka bagaimanapun tidak diwajibkan — tetapi masih sangat digalakkan — misalnya ketika anda berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah ibadah; individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selesema; individu yang berisiko tinggi seperti warga tua, penghidap penyakit kronik, mereka yang mempunyai imuniti rendah dan ibu mengandung; serta ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

    Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka pula kekal sama seperti yang diumumkan sebelum ini, dengan kelonggaran diberikan dan tidak wajib digunakan. Namun, KKM tetap menggalakkan pelitup muka digunakan di kawasan luar bangunan sekiranya anda berada di kawasan ramai orang dan sesak; individu bergejala demam, batuk dan selesema; dan bagi individu berisiko tinggi.

     
     
  • Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

    Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

    Bulan lepas, kami mengeluarkan laporan Mazda CX-3 akan mendapat dua tambahan varian, menjadikan kesemuanya ada tiga, berdasarkan senarai harga yang diberikan oleh seorang pembaca. Sehingga sekarang ia masih belum dilancarkan, tetapi perincian harga dan spesifikasinya sudah ada di dalam laman web Mazda Malaysia.

    Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita imbas kembali sejarah CX-3 di Malaysia. SUV segmen B ini dilancarkan kali pertama di negara kita pada Disember 2015, dan sejak itu ia hanya dijual dalam satu varian sahaja, termasuklah versi yang dipertingkat pada tahun 2017, facelift 2018, serta dua lagi peningkatan pada tahun 2021 dan Mac lalu.

    Sekarang dua varian tambahan yang diperkenalkan adalah 1.5G 2WD Core dan 2.0G 2WD Core, dengan kedua-duanya duduk di bawah varian 2.0G 2WD High sedia ada. Satu lagi perkara penting adalah CX-3 sekarang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, bermula bagi model tahun 2022, sementara sebelum ini di dibawa masuk dari Jepun.

    Bermula dengan 1.5G 2WD Core, varian asas ini dijual pada harga RM107,870 tidak termasuk insurans dan dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter Skyactiv-G yang berkemampuan 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm.

    Varian pertengahan 2.0G 2WD Core (RM118,159) mendapat enjin sama seperti 2.0G 2WD High (RM131,359), iaitu unit Skyactiv-G 2.0 liter, yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 206 Nm pada 2,800 rpm. Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan dan menghantar kuasa kepada roda hadapan.

    Dua varian Core baru ini mempunyai senarai kelengkapan yang hampir sama, dengan satu-satunya perkara yang membuatkan harganya berbeza RM10,289 adalah kapasiti enjin. Apapun, kedua-duanya masih lebih murah berbanding varian High, dengan senarai kelengkapan yang berbeza.

    Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

    Sebagai contoh, varian Core cuma menggunakan rim 16 inci dengan tayar 215/60, berbanding 18 inci dengan tayar 215/50 pada varian High. Dua varian baru ini juga hanya menggunakan lampu jenis halogen, dan bukannya LED, dan tidak mempunyai fungsi pengaktifan dan pelarasan automatik.

    Begitu juga dengan lampu DRL serta lampu belakang, di mana varian Core ini menggunakan mentol biasa, bukannya LED, dan ia tidak mempunyai lampu kabus LED. Bahagian lain yang kekurangan adalah pengelap cermin automatik, cermin sisi boleh lipat sendiri serta pengesan jarak.

    Masuk ke dalam, varian Core tidak mendapat head-up display, pedal penukar gear di seterng, pengecas Qi tanpa wayar dan tempat duduk larasan kuasa seperti varian High. Pendingin hawa juga merupakan unit manual dan bukannya automatik satu zon seperti varian High, sementara tempat duduk pula hanya dibalut dengan fabrik.

    Walaubagaimanapun, masih ada beberapa kelengkapan yang sama antara varian Core dan High. Ini termasuk cermin sisi larasan kuasa, sistem masuk dan mula tanpa kunci, brek parkir elektronik, roda stereng pelbagai fungsi, cruise control, panel instrumen TFT LCD 4.6 inci, mod Sport, sistem start/stop serta G-Vectoring Control (GVC).

    Sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin sesentuh lapan inci juga masih diberi, bersama enam pembesar suara serta sistem sokongan untuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay – tetapi perlu menggunakan wayar dan bukannya wireless seperti varian High. Kamera undur datang secara standard tetapi tiada pandangan 360 darjah.

    Semasa naik taraf yang diberikan pada tahun 2021, varian High mendapat beberapa sistem bantuan pemandu termasuk Smart City Brake Support hadapan dan belakang (Autonomous Emergency Braking), Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitoring, High Beam Control serta Driver Attention Alert.

    Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

    Semua sistem ini tiada pada varian Core, tetapi sistem pasif masih sama iaitu ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Traction Control, Hill Launch Assist, Brake Auto Hold serta cagak ISOFIX. Jumlah beg udara dikurangkan dari enam, kepada dua untuk varian Core.

    Setiap pembelian model ini datang dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma. Pilihan tambahan filem penapis cahaya Activ-e pada harga RM1,900 juga disediakan untuk semua varian.

    GALERI: Mazda CX-3 1.5G 2WD Core 2022

    GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD Core 2022

    GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD High 2022