Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Setelah diumumkan pada April lalu, semalam, 14 September 2022 secara rasmi Proton dilancarkan semula ke pasaran Afrika Selatan selepas jenama automotif dari Malaysia itu tidak lagi mengeksport kenderaan ke negara tersebut sejak 2012. Menurut laporan dari Cars.co.za, buat permulaan Proton akan menawarkan hanya dua model SUV di Afrika Selatan iaitu X50 dan X70.

    Untuk X50, ia akan ditawarkan dalam empat varian, bermula varian asas Standard dijual pada harga Rand 449,900 (RM117k), Luxury pada harga R 499,900 (RM130k), Executive pada harga R 535,900 (RM139k) dan varian tertinggi Premium T-GDI berharga R 579,900 (RM150k).

    Tiga varian lebih rendah untuk Proton X50 ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI), menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Manakala varian tertinggi menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.

    Bagi model X50 1.5 Standard, ia menampilkan perincian seperti empat-beg udara, rim aloi 17-inci, lampu hadapan LED, upholsteri fabrik, dan skrin 8-inci untuk sistem infotainmen yang datang bersama kamera undur. Model X50 Luxury pula tampil dengan lampu hadapan automatik, lampu kabus, roda stereng balutan kulit dan upholsteri leatherette.

    Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Beralih ke varian 1.5 Executive, ia datang dengan rim aloi 18-inci, skrin infotainmen 10-inci bersama kamera 360-darjah, dan sistem pemantau tekanan angin tayar. Manakala varian paling tinggi 1.5 T-GDI Premium pula ditambah dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan, bumbung panaromik dan juga warna badan dua-tona dengan bumbung berwarna hitam.

    Melihat spesifikasi yang disiarkan ini, varian Standard, Luxury dan Executive X50 pasaran Afrika Selatan ini sama dengan varian Standard, Executive dan Premium di Malaysia, manakala varian Premium di Afrika Selatan pula sama dengan varian Flagship di Malaysia.

    Untuk X70 pula, ia juga ditawarkan dalam empat varian di Afrika Selatan iaitu Standard 2WD dijual pada harga bermula R 529,900 (RM137k), Executive 2WD berharga R 579,900 (RM150k), Executive 4WD berharga R 629,900 (RM145k) dan varian tertinggi Premium 2WD berharga R 639,900 (RM163k).

    Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Kesemua varian X70 pasaran Afrika Selatan ini hanya dijana oleh enjin 1.5 liter T-GDI berkuasa 177 PS/255 Nm, tanpa pilihan varian yang dijana oleh enjin 1.8 T-GDI seperti pasaran Malaysia.

    Varian X70 Standard diberikan lampu hadapan halogen, rim aloi 17-inci, upholsteri fabrik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci, enam pembesar suara, sistem penyegar udara dan juga enam-beg udara. Model X70 Executive pula menerima lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang, rim aloi 18-inci, pintu tailgate elektrik, upholsteri leatherette, tempat duduk pemandu larasan elektrik, lapan pembesar suara dan kamera 360-darjah.

    Bagi model Executive AWD, ia bukan sahaja menerima sistem pacuan semua roda, malah ditambah dengan sistem bantuan pemanduan, sistem pemantau tekanan angin tayar, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit Nappa, bersama sistem bunyi yang diberikan sembilan pembesar suara termasuk amplifier dan subwoofer. Manakala varian tertinggi X70 Premium pula ditambah dengan bumbung panaromik.

    Pada pasaran Afrika Selatan, Proton akan diwakili oleh CMH Group untuk menjual kenderaan menerusi 25 jaringan pengedar rasmi Proton di sana, dengan kumpulan pertama berjumlah 1,200 unit kenderaan akan mula dijual di Afrika Selatan tahun ini. Penghantaran pertama dari Malaysia telah dibuat oleh Proton pada Mei lalu dan ia secara rasmi telah sampai ke Durban pada 5 Julai 2022.

    Sebelum ini Proton turut menyatakan bahawa stok kumpulan pertama yang berlepas dari Westport, Klang, tersebut turut disertai oleh Proton Saga, namun harga dan spesifikasi untuk sedan segmen-A berkenaan masih belum diumumkan.

    Sama seperti pasaran Malaysia, CMH Group memberikan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan untuk setiap Proton yang dijual di Afrika Selatan.

     
     
  • Ford Mustang 2024 diperkenal – boleh rev enjin guna kunci kawalan jauh, brek tangan elektronik untuk drift

    Ford Mustang 2024 diperkenal – boleh rev enjin guna kunci kawalan jauh, brek tangan elektronik untuk drift

    Selepas hampir 10 tahun Mustang generasi keenam dijual dalam pasaran, Ford kini memperkenalkan penggantinya, Mustang generasi ketujuh, yang menggunakan nama kod S650. Ia ditawarkan dalam dua versi enjin, iaitu Coyote V8 5.0 liter untuk varian GT, dan enjin empat silinder 2.3 liter turbo EcoBoost serba baru.

    Kedua-duanya didatangkan dengan pilihan transmisi sama ada manual enam kelajuan dengan sistem rev-matching, atau automatik 10 kelajuan. Enam mod pemanduan disediakan, iaitu Normal, Sport, Slippery, Drag, Track dan Custom yang boleh diubah suai mengikut pilihan pemandu.

    Satu lagi ciri menarik yang disediakan pada Mustang generasi ketujuh ini adalah pemilik boleh rev enjin dengan hanya menggunakan kawalan jauh pada kuncinya, melalui sistem yang dipanggil sebagai Remote Rev.

    Apabila mendapatkan pakej Performance Pack, pemilik akan diberi dengan tower brace hadapan, sistem ekzos aktif, tempat duduk Recaro, limited-slip differential Torsen, suspensi aktif MagnaRide, rim belakang lebih lebar, brek Brembo lebih besar (390 mm di hadapan dan 355 mm di belakang), serta brek parkir Performance Electronic Parking Brake yang boleh mengunci tayar seperti brek tangan mekanikal, untuk menghasilkan gelinciran.

    Pakej GT Performance pula menambah salur udara pada bahagian brek untuk penyejukan, serta penyejuk minyak enjin. Demi menjadikan Mustang baru ini lebih lincah dan memuaskan pemandu, nisbah sterengnya dijadikan lebih cepat.

    Meskipun menggunakan rekaan serba baru, Mustang generasi ketujuh ini masih mengekalkan identiti model lagenda itu, termasuklah lampu belakang dengan tiga jalur di setiap bucu. Varian GT dibuat lebih garang dengan bukaan hadapan yang lebih besar, skup udara atas bonet serta splitter di hadapan.

    Ford Mustang 2024 diperkenal – boleh rev enjin guna kunci kawalan jauh, brek tangan elektronik untuk drift

    Untuk versi convertible pula, bumbung fabriknya boleh dibuka dengan selak di bahagian tengah dan masuk ke bahagian belakang yang juga boleh menempatkan barang sebesar dua beg golf. Rim disediakan dari saiz 17 inci hingga 20 inci, sementara warna badan pula ada 11 pilihan. Angkup brek boleh dicat warna hitam, merah atau Grabber Blue.

    Pada papan pemuka terdapat dua skrin 12.4 inci melengkung yang bersambung, dan sistem infotainmennya menggunakan SYNC 4. Tiada lagi butang pengawal pendingin hawa dan radio pada konsol tengah, dan segala kawalan perlu dilakukan pada skrin digital tersebut. Model EcoBoost datang dengan balutan tempat duduk kulit sintetik ‘ActiveX’, sementara varian GT dinaik taraf dengan balutan kulit sebenar.

    Ciri lain yang diberi adalah termasuk pengecas tanpa wayar, soket USB, sistem bunyi Bang & Olufsen, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta Amazon Alexa dengan Ford Streaming yang menyediakan akses muzik serta podcast melalui kawalan suara.

    Pada bahagian keselamatan, Mustang baru ini dilengkapi dengan Ford Co-Pilot360, yang termasuk pengenalan tanda jalan, Lane Centring Assist, Evasive Steer Assist, Reverse Brake Assist dan Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop-go.

    Melalui aplikasi FordPass, pemilik boleh menghidupkan enjin dan mematikan kenderaan, mengunci dan memberitahu lokasinya, serta menetapkan waktu hidup dari jarak jauh. Sistem ini juga membenarkan akses kepada informasi keadaan kenderaan serta statusnya. Mustang baru ini akan mula dijual di Amerika Syarikat pada tahun hadapan.

     
     
  • Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    Selagi anda membawa kenderaan yang kapasiti enjinnya tidak begitu besar, cukai jalan bukanlah sesuatu yang merisaukan kerana bila sampai waktu untuk diperbaharui, lebih ramai yang berfikir tentang harga insurans yang lebih tinggi. Kalau kereta berenjin 1.0 liter, cukai jalan hanyalah RM20, dan kalau 1.3 liter, cuma RM70.

    Memanglah, ia tidak seberapa, tapi setiap ringgit itu ada harganya. Memikirkan perkara itu, senator Zahid Md Arip telah menyarankan kerajaan untuk menghapuskan cukai jalan demi meringankan beban rakyat. Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beliau berkata ini kerana sistem yang digunakan sekarang adalah berasaskan ‘cukai atas cukai’.

    Tambah Zahid, sekarang ini pemilik kenderaan terpaksa berhadapan dengan sistem berlapis-lapis, yang mengenakan cukai atas duti import, eksais, SST dan juga cukai jalan. ““Sudahlah mereka terpaksa membayar cukai yang berganda, rakyat khususnya yang tinggal di Lembah Klang seolah-olah terkepung dan terpaksa menggunakan laluan yang hampir semuanya dikenakan tol pada setiap hari,” kata beliau.

    Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    “Rakyat Keluarga Malaysia tidak boleh terus dibebankan dengan ‘cukai atas cukai’ yang bertimpa-timpa ini dan Bajet 2023 adalah peluang terbaik untuk perdana menteri menggembirakan rakyat. Saya difahamkan ketika ini, konsultasi Bajet 2023 sedang berlangsung, saya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan beberapa hari lalu.

    Zahid turut memberitahu bahawa saranan ini boleh memberi manfaat kepada rakyat dan juga kerajaan. ““Kerajaan sebenarnya boleh melihat dan mempelajari daripada United Kingdom (UK) dalam pelaksanaan hal ini, yang mana negara itu sudah menghapuskan cukai jalan sejak 2015 dan hanya mengenakan cukai duti eksais (VED) sahaja untuk pemilik kenderaan,” kata beliau.

    “Bagi menampung kehilangan hasil akibat penghapusan cukai jalan ini pula, kerajaan boleh menimbangkan untuk mengurangkan subsidi minyak dan kaedah ini sebenarnya lebih adil kepada rakyat dan kerajaan, kerana ia bersifat bersasar terus kepada pengguna yang layak khususnya dari kumpulan B40,” kata Zahid.

     
     
  • Volvo sudah ada pusat baik pulih dan cat badan rasmi di Malaysia; VCDR di Glenmarie dan Ara Damansara

    Volvo sudah ada pusat baik pulih dan cat badan rasmi di Malaysia; VCDR di Glenmarie dan Ara Damansara

    Volvo Cars Malaysia (VCM) buat pertama kali memperkenalkan Volvo Certified Damage Repair Centre (VCDR), iaitu pusat servis khas yang menawarkan khidmat membaik pulih dan mengecat badan kenderaan. Khidmat tersebut kini ditawar di dua fasilitinya di Lembah Klang iaitu di Federal Auto Cars, Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto, Ara Damansara.

    Menurut VCM, kedua-dua pusat berkenaan kini menawarkan khidmat baik pulih dan mengecat badan kenderaan menggunakan Standard VCDR yang sama. Standard tersebut menyepadukan penggunaan teknologi mampan seperti sistem pengudaraan bertekanan rendah dengan kawalan automatik yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida, zarah mikroskopik, dan penggunaan tenaga.

    Selain itu, peralatan berkenaan menggunakan bateri semasa memanaskan sistem elektrik, dan lebih daripada 80% udara akan disedut masuk melalui sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau. Penggunaan Sebatian Organik Meruap (VOC) dalam cat kini digantikan dengan cat berasaskan air, yang mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.

    Kedua-dua pusat berkenaan juga akan beroperasi dengan juruteknik-juruteknik terlatih. Dengan fasiliti berkeluasan 11,133 kaki persegi, setiap pusat servis ini berupaya untuk mengendalikan sehingga 1,260 kenderaan setahun.

    “Kami sangat gembira dapat menyaksikan pencapaian Volvo Car Malaysia setakat ini,” kata Ketua APEC Volvo Cars, Nick Connor ketika melancarkan pusat perkhidmatan baharu ini.

    Volvo sudah ada pusat baik pulih dan cat badan rasmi di Malaysia; VCDR di Glenmarie dan Ara Damansara

    “Daripada pelaksanaan strategi elektrifikasi global, kepada penjualan mengalakkan XC40 Recharge Pure Electric, hari ini kami di sini untuk melancarkan VCDR Volvo Car untuk merealisasikan visi kami seterusnya dalam menawarkan standard penjagaan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan kami. Kami sangat gembira kerana melalui pelaburan yang dilakukan oleh rakan niaga kami, Malaysia kini menjadi negara kedua di rantau ini yang memperkenalkan VCDR,” tambahnya lagi.

    Pengarah Urusan VCM Charles Frump pula berkata: “Kami mahu pelanggan kami memandu pulang kereta Volvo mereka dalam pemikiran yang tenang apabila mengetahui bahawa kami bersedia untuk memberikan penjagaan standard antarabangsa Volvo untuk kenderaan mereka. Dengan memperkenalkan VCDR dalam rangkaian pengedar kami, ia membolehkan pelanggan kami menikmati kenderaan yang berfungsi dengan baik sepanjang hayatnya.”

    Jeremy Gan, Pengarah Urusan Jualan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia berkata: “Kami mensasarkan untuk terus memberikan perkhidmatan dan tawaran terbaik kepada pelanggan kami. Ini termasuklah meningkatkan kemampanan operasi kami untuk meminimumkan impak kepada alam sekitar di samping mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan kami. Oleh itu, kami berbesar hati untuk menerimaguna standard VCDR bagi kenderaan Volvo di pusat servis Sime Darby Motors Centralised Body and Paint kami, seiring dengan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus kami untuk mengurangkan peralihan karbon, melabur secara berterusan dalam penyelesaian dan memberi inspirasi kepada perubahan yang bermakna.”

    “Sebagai sebahagian daripada rangkaian Volvo di Malaysia, kami komited ke arah memberikan kualiti perkhidmatan cemerlang dan kenderaan yang selamat kepada pelanggan Volvo kami melalui pelaburan dan penambahbaikan yang berterusan dalam setiap aspek operasi kami. Dalam persekitaran hari ini, kami sangat menekankan soal kemampanan iklim dalam strategi dan keputusan perniagaan kami. Oleh itu, kami, dengan sepenuh hati menerima seluruh konsep VCDR yang menggunakan peralatan mesra alamnya, serta aliran kerja dan proses-prosesnya yang cekap,” kata Wong Fay Lee, Pengerusi Federal Auto Holdings Berhad.

     
     
  • BMW M850i xDrive Coupé MY Edition 2022 – 4.4L V8, Live Cockpit Professional dwi skrin 12.3″; RM1.1 juta

    BMW M850i xDrive Coupé MY Edition 2022 – 4.4L V8, Live Cockpit Professional dwi skrin 12.3″; RM1.1 juta

    BMW Malaysia telah memperkenalkan varian terkini bagi 8 Series Coupé iaitu M850i xDrive Coupé MY Edition untuk pasaran Malaysia – seperti yang dilihat, ia adalah G15 facelift yang ditayangkan bersama model Convertible (G14) dan Gran Coupé (G16) pada Januari tahun ini.

    M850i xDrive ini dipadankan dengan enjin N63 4.4 liter biturbo petrol V8 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 530 PS pada 6,000 rpm dan tork 750 Nm dari 1,800 rpm hingga 4,600 rpm. Transmisinya menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan, yang menyalurkan pacuan ke semua roda. Ia membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan kelajuan maksima cecah 250 km/j.

    Model facelift ini turut diberikan sedikit semakan untuk bahagian hadapan bagi 8 Series, kini ditampilkan dengan gril ‘kidney’ Iconic Glow dengan unit LED yang memberikan “iluminasi ala-air terjun” pada gril, bersama bampar yang dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada pakej facelift. Selain itu, M850i ini didatangkan dengan M high-gloss Shadowline dan spoiler belakang M.

    Menyerlahkan lagi gayanya dengan kehadiran roda aloi ringan M 20-inci dalam rekaan 895 M Bicolour pada tayar berukuran 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang, perumah brek M Sport dengan kaliper kemasan hitam berkilat.

    Di dalamnya, M850i xDrive Coupé MY Edition facelift diberikan paparan kawalan infotainmen besar, kini berukuran 12.3-inci, berpadanan dengan kluster instrumen digital 12.3-inci untuk pemandu. Untuk pemandu dan penumpang hadapan, diberikan tempat duduk M Sport dengan pengudaraan aktif dan kabin juga menerima kemasan M gentian karbon bersama kawalan saduran elektrik.

    Selain itu, pakej BMW Individual diberikan dengan ciri upholstery bersama kemasan kulit Merino untuk roda stereng M, M headliner dalam anthracite, tali pinggang keledar M dan aplikasi kaca untuk beberapa elemen kemasan dalaman. Untuk keselesaan, ia diberikan kawalan suhu dwi-zon, pencahayaan ambien dan pintu penutupan-lembut.

    Untuk ketersambungan pula, M850i diberikan Connected Package Professional yang merangskumi Intelligent Emergency Call, Teleservices dan Remote Services. Sementara ketersambungan telefon pintar oleh Apple CarPlay dan Android Auto; selain diberikan sistem bunyi sekeliling Bowers & Wilkins Diamond.

    Sistem bantuan pemandu dalam M850i untuk Malaysia termasuklah Driving Assistant Professional yang merangskumi amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan, amaran trafik lintasan belakang, amaran pelanggaran belakang, info had kelajuan, bantuan kawalan lorong dan stereng, bantuan berhenti kecemasan, bantuan had kelajuan automatik, bantuan tukar lorong dan amaran trafik lintasan hadapan.

    Ia turut diberikan Parking Assistant Plus yang terdiri daripada Active Park Distance Control Reversing Assistant, Lateral Parking Aid, Remote 3D View Perakam Pemanduan, Sistem Pandangan Sekeliling dan perakam anti-kecurian.

    Untuk BMW M850i xDrive MY Edition, warna yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia adalah
    BMW Individual Frozen Pure Grey Metallic dan BMW Individual Frozen Tanzanite Blue Metallic. Ia boleh dipadankan dengan kemasan kulit Merino dengan pilihan warna sama ada hitam, Cognac, Ivory White, Night Blue, Tartufo dan Fiona Red.

    Coupé mewah terkini jenama ini ditawarkan pada harga RM1,102,800 atas jalan tanpa insurans dengan BMW Service dan Repair Inclusive, bersama cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Pemilik M850i xDrive MY Edition akan menerima waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had dengan penyelenggaran berjadual percuma, akses kepada bantuan tepi jalan BMW dan talian kemalangan, BMW Group Loyalty+ Mobile App dan kad BMW Privileges serta BMW Service Online.

    BMW M850i xDrive Coupé MY Edition 2022

    BMW M850i xDrive Coupé facelift G15 2022

     
     
  • Pembinaan Lebuhraya SUKE beri manfaat kepada pengguna dan masyarakat di Jalan Ampang

    Pembinaan Lebuhraya SUKE beri manfaat kepada pengguna dan masyarakat di Jalan Ampang

    Pihak pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) iaitu Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas) menyatakan pihaknya telah melakukan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang enam tahun pembinaan lebuhraya berkenaan yang memanfaatkan penduduk sekitar jajaran tersebut.

    Dalam majlis taklimat kepada media sebelum pembukaan rasmi lebuhraya berkenaan yang berlangsung semalam, PROLintas menyatakan antara yang mendapat manfaat paling besar adalah pengguna dan penduduk di sekitar Jalan Ampang, di mana salah satu jajaran lebuhraya “terapung” SUKE ini berada betul-betul di atas antara jalan yang paling sibuk di Kuala Lumpur tersebut.

    Menurut PROLintas, dengan adanya lebuhraya di atas Jalan Ampang berkenaan, ia seolah-olah bertindak sebagai kanopi, membolehkan penunggang motosikal melalui jalan berkenaan walaupun ketika hujan. Malah Jalan Ampang yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong untuk satu hala kini telah dipertingkat menjadi tiga lorong.

    Bagi bangunan-bangunan kerajaan yang terjejas kerana jajaran Lebuhraya ini termasuk Ibu Pejabat Polis IPD Ampang Jaya, pejabat dan kuaters Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah serta Rumah Penghulu Ampang telah pun dipindahkan ke kawasan lain dengan bangunan baharu yang jauh lebih baik dari sebelum ini. Manakala Surau An-Najah yang terletak di Taman Dato Razali telah diubahsuai semula sepenuhnya.

    Pembinaan Lebuhraya SUKE beri manfaat kepada pengguna dan masyarakat di Jalan Ampang

    Jajaran Lebuhraya SUKE ini juga turut melalui bahagian atas Sungai Ampang. Jadi bagi memastikan ekosistemnya tersebut tidak terganggu, sungai tersebut kini telah ditegakkan, manakala laluan lebuhraya di atasnya dipisahkan antara kiri dan kanan. Ini untuk memastikan sungai berkenaan terus menerima cahaya matahari bagi membolehkan hidupan di dalamnya hidup seperti biasa. Malah di kiri dan kanan sungai terbabit kini telah dibina dengan taman linear menampilkan laluan untuk berlari dalam jarak 1.6 km.

    Selain dari menaik taraf fasiliti di sekitar Jalan Ampang, PROLintas turut menaik taraf jalan raya di kawasan Hulu Langat yang dilalui jajaran Lebuhraya SUKE ini. Kawasan tersebut sebelum ini telah menyebabkan banyak kemalangan terutamanya melibatkan kenderaan berat kerana terlalu curam, kini telah diubah lebih selamat dengan menampilkan gradien yang lebih landai.

    Syarikat tersebut turut menyatakan bahawa kesemua penduduk di kawasan jajaran Lebuhraya SUKE ini menerima faedah seperti pemeriksaan kesihatan dan juga cuci kereta secara percuma sepanjang pembinaan projek tersebut. Pihak PROLintas turut menaja pelbagai program membabitkan pendidikan dan kesihatan bagi komuniti B40 di kawasan berkenaan, serta menyertai acara-acara amal termasuk sambutan hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Korban, Tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya.

    PROLintas turut mengambil langkah proaktif bagi menghulurkan bantuan kepada masyaratkat setempat ketika berlakunya pandemik dan juga banjir kilat baru-baru ini. Kesemua kos untuk setiap tingkat taraf fasiliti, sumbangan dan sebagainya yang disebutkan di atas adalah dikeluarkan oleh pihak PROLintas sendiri.

    Pembinaan Lebuhraya SUKE beri manfaat kepada pengguna dan masyarakat di Jalan Ampang

    Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini akan menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan.

    Lebuhraya berkenaan bakal dirasmikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof malam ini, serentak dengan pengumuman bila ianya akan dibuka kepada umum dan jumlah bayaran tol yang akan dikenakan. Walau bagaimanapun, pembukaan awal lebuhraya ini hanya membabitkan laluan Fasa 1 terlebih dahulu.

    Pembinaannya disasarkan untuk menyuraikan aliran trafik berkapasiti tinggi di kawasan berkenaan iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang. Bagi Fasa 1 ini ia hanya melibatkan laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang, manakala pembukaan fasa seterusnya iaitu melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) hanya akan dibuka kemudian.

    Lebuhraya SUKE menampilkan pelbagai ciri unik yang tidak pernah ada pada mana-mana lebuhraya dalam negara sebelum ini, dan ia dibina 90% “terapung” manakala hanya 10% laluan berada di atas permukaan tanah.

    Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah, SUKE mampu untuk menyuraikan 30% trafik di MRR2, 36% di Jalan Ampang dan juga 12% di Jalan Loke Yew ketika waktu puncak. Bagi yang tinggal atau bekerja di kawasan berkenaan pasti tahu betapa sesaknya ketiga-tiga jalan tersebut buat masa sekarang.

    SUKE juga akan menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

    Dua plaza tol akan beroperasi pada pembukaan Fasa 1 Lebuhraya SUKE ini iaitu Bukit Teratai dan Ampang, manakala Fasa 2 nanti akan ditambah satu lagi plaza tol akan beroperasi ketika Fasa 2 dibuka kelak. Dalam majlis taklimat semalam, kami turut di bawa untuk melawat jajaran Fasa 1 Lebuhraya SUKE tersebut. Laporan pengalaman meninjau sendiri pelbagai ciri unik bagi Lebuhraya ini sudah kami sediakan untuk anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Pengendali perkhidmatan e-hailing inDriver didapati beroperasi dengan lesen perniagaan luput – JPJ

    Pengendali perkhidmatan e-hailing inDriver didapati beroperasi dengan lesen perniagaan luput – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi bahagian penguatkuasan telah mengesan pengendali perkhidmatan e-hailing inDriver beroperasi dengan lesen perniagaan yang telah tamat tempoh. Hasil risikan dan operasi yang dijalankan, pasukan penguatkuasa JPJ telah menyerbu syarikat terbabit pada 7 September lalu, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Dalam serbuan terbabit, JPJ turut menyita beberapa komputer serta barangan pengilkanan operasi syarikat untuk siasatan lanjut seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 222, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Ketua Pengarah JPJ Dayuk Zailani Hashim berkata, mana-mana syarikat yang mengendalikan perniagaan e-hailing tanpa lesen yang sah boleh didakwa di bawah Seksyen 12A (1)(8) Akta APAD 2010, dan berhadapan dengan denda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

    Pengendali perkhidmatan e-hailing inDriver didapati beroperasi dengan lesen perniagaan luput – JPJ

    “JPJ akan terus memantau perkhidmatan e-hailing bagi mengesan mana-mana syarikat yang beroperasi tanpa lesen dan kenderaan e-hailing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta APAD 2010 (AKta 715).

    “Dalam masa yang sama, para penumpang juga dinasihati untuk memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar dan dilesenkan supaya penumpang akan mendapat jaminan insurans semasa menggunakan perkhidmatan tersebut,” katanya.

    inDriver, penyedia servis e-hailing yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat dan mendakwa bahawa mereka mempunyai asas pengguna lebih dari 100 juta orang di 500 bandar dalam 34 buah negara, telah mula diperkenalkan di negara ini sejak Oktober 2021. Menurut inDriver, operasi mereka di Malaysia sudah pun berada di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan dan Kuala Terengganu serta bandar-bandar di bahagian Timur tanah air iaitu Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu.

     
     
  • Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

    Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

    default

    Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bakal merasmikan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) esok, 15 September 2022 pada pukul 8 malam. Pada majlis perasmian berkenaan, menteri tersebut turut akan mengumumkan bila Fasa 1 lebuhraya itu akan dibuka, serta bayaran tol yang akan dikenakan untuk menggunakannya.

    Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini akan menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan.

    Pembinaannya disasarkan untuk menyuraikan aliran trafik berkapasiti tinggi di kawasan berkenaan iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang. Walau bagaimanapun, pembukaan Fasa 1 ini hanya melibatkan laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang, manakala pembukaan fasa seterusnya iaitu melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) hanya akan dibuka kemudian.

    Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

    Kami berkesempatan untuk meninjau sendiri Lebuhraya SUKE ini pagi tadi ketika majlis taklimat media dilangsungkan. Selain dapat menyuraikan sebahagian trafik yang semakin padat di Lembah Klang buat masa sekarang, SUKE menampilkan pelbagai ciri unik yang tidak pernah ada pada mana-mana lebuhraya dalam negara sebelum ini, dan ia dibina 90% “terapung” manakala hanya 10% laluan berada di atas permukaan tanah.

    Keunikan SUKE bermula sebaik sahaja kami mula masuk ke Lebuhraya berkenaan di persimpangan Cheras-Kajang (terletak berhampiran dengan Plaza Phoenix, menggunakan laluan Cheras-Kajang Expressway atau turut dikenali sebagai Grand Saga), di mana laluan persimpangan tersebut dibuat dengan tanjakan helicoidal, iaitu tanjakan berbentuk spiral yang memerlukan anda berpusing dua tingkat sebelum masuk ke laluan utama.

    Tanjakan unik ini adalah pertama seumpamanya di Malaysia dengan rekaan seakan sama seperti tanjakan ikonik di “Jambatan Pelangi” Tokyo, Jepun dan beberapa tempat di China. Tanjakan ini dibuat kerana ia menghubungkan jalan raya yang berada di atas tanah dengan jambatan yang juga struktur tertinggi untuk jajaran SUKE pada kawasan tersebut, iaitu dengan ketinggian 56.4 meter, atau sama dengan bangunan setinggi 18-tingkat.

    Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

    Jambatan yang juga merupakan struktur super galang penggalan kekotak (segmental box girder atau SBG) yang terapung tersebut perlu dibina kerana ia perlu merentasi MRT Laluan Kajang di bawahnya. Menurut PROLintas, jambatan tersebut kini menjadi jalan terapung ketiga tertinggi di Malaysia selepas Jalan Bukit Kukus di Pulau Pinang dan Jalan Pintasan Rawang (Rawang Bypass), serta mencatatkan rekod sebagai struktur super tertinggi dalam negara di dalam Buku Rekod Malaysia.

    Jadi tanjakan helicoidal tersebut dibina bukan saja-saja, tetapi ia dibuat bagi memastikan laluan persimpangan yang menghubungkan jalan raya di atas permukaan tanah dengan lebuhraya SUKE tersebut tidak terlalu curam dan membahayakan pengguna jalan raya, serta memudahkan kenderaan mendakinya.

    Selepas masuk ke Lebuhraya ini menuju ke Hulu Klang, SUKE akan menyajikan pemandangan indah yang kontra antara sebelah kiri dan kanan. Di kiri anda akan dapat melihat secara keseluruhan Bandaraya Kuala Lumpur termasuk Menara KL, Menara Berkembar Petronas dan Menara Exchange 106 (TRX), manakala di sebelah kanan pula penuh dengan pemandangan hijau dari Bukit Teratai.

    Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

    default

    PROLintas juga sudah bercadang untuk membina fasiliti Rehat dan Rawat di kawasan yang dikenali sebagai Tasik Tambahan. Kawasan berkenaan akan memberikan pemandangan penuh “KL City Skyline” dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan tersebut.

    Satu lagi ciri unik SUKE yang sempat kami saksikan depan mata hari ini adalah laluan yang berada di Ampang. SUKE turut dibina di atas Sungai Ampang, jadi bagi memastikan ekosistemnya tersebut tidak terganggu, sungai tersebut kini telah ditegakkan, manakala laluan lebuhraya di atasnya dipisahkan antara kiri dan kanan.

    Ini untuk memastikan sungai berkenaan terus menerima cahaya matahari bagi membolehkan hidupan di dalamnya hidup seperti biasa. Malah di kiri dan kanan sungai terbabit kini telah dibina dengan taman linear menampilkan laluan untuk berlari dalam jarak 1.6 km.

    Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

    SUKE juga menampilkan satu lagi laluan yang tidak pernah ada di Malaysia iaitu laluan bertingkat di mana setiap tingkat berkenaan hanya memberikan laluan sehala – sebagai contoh tingkat pertama menuju ke selatan dan tingkat kedua menuju ke utara. Laluan tersebut dibina di Alam Damai yang terletak di Cheras, namun ia masih lagi belum dibuka untuk kami tinjau kerana terletak pada laluan Fasa 2.

    Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah, SUKE mampu untuk menyuraikan 30% trafik di MRR2, 36% di Jalan Ampang dan juga 12% di Jalan Loke Yew ketika waktu puncak. Bagi yang tinggal atau bekerja di kawasan berkenaan pasti tahu betapa sesaknya ketiga-tiga jalan tersebut buat masa sekarang.

    SUKE juga akan menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

    Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

    Dua plaza tol akan beroperasi pada pembukaan Fasa 1 Lebuhraya SUKE ini iaitu Bukit Teratai dan Ampang, manakala Fasa 2 nanti akan ditambah satu lagi plaza tol akan beroperasi ketika Fasa 2 dibuka kelak. Seperti yang diberitahu tadi, jumlah bayaran tol-tol ini akan diumumkan oleh menteri ketika pelancarannya malam esok.

    Sebelum itu, nikmati dulu pemandangan di SUKE ini menerusi gambar yang kami ambil menggunakan dron pagi tadi. Untuk lebih maklumat berkenaan lebuhraya ini anda boleh baca laporan kami sebelum ini pada PAUTAN INI. Macam mana? Ada yang dah rancang nak meronda kawasan ini selepas ia dibuka nanti?

     
     
  • Harga minyak 15-21 Sept – RON97 turun 5 sen seliter

    Harga minyak 15-21 Sept – RON97 turun 5 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 September 2022, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak lima sen seliter, menjadi RM4.15 seliter, berbanding RM4.20 seliter pada minggu sebelum ini.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 21 September 2022.

    Manakala harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 juga, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Honda akan lancar sekurang-kurangnya 10 motosikal elektrik menjelang 2025 – bergantung kepada pasaran

    Honda akan lancar sekurang-kurangnya 10 motosikal elektrik menjelang 2025 – bergantung kepada pasaran

    Dalam satu pembentangan yang dibuat berkenaan perniagaan motosikal, Honda telah mendedahkan bahawa mereka akan melancarkan 10 atau lebih model motosikal elektrik menjelang 2025 dan penawarannya adalah bergantung kepada pasaran.

    Bila model pertama di dalam senarai ini akan dilancarkan masih belum diberitahu, tetapi salah satu slaid yang ditunjukkan ada menyatakan bahawa bagi pasaran China, Asia, Eropah dan Jepun, lima model yang diletakkan dalam kategori Electric Moped (EM) dan Electric Bike (EB) akan diperkenalkan antara tahun 2022 hingga 2024.

    Kemudiannya antara tahun 2024 hingga 2025, dua lagi model Commuter EV kegunaan persendirian akan diperkenalkan di Asia, Eropah dan Jepun. Apabila berkata tentang kategori motosikal elektrik ini, Honda menetapkan bahawa EB adalah kenderaan dua roda yang mempunyai laju maksimum 25 km/j, EM pula boleh mencecah 50 km/j manakala EV boleh mencatat lebih daripada 50 km/j.

    Daripada 10 model yang dinyatakan ini, sebahagian besarnya mempunyai bentuk seperti skuter, dengan platform kaki yang luas, tetapi ini tidak bermakna Honda akan mengabaikan motosikal jenis lain apabila menggunakan penggerak elektrik.

    Satu lagi kategori yang dinyatakan adalah FUN EV, di mana empat model dalam kategori ini akan dilancarkan untuk pasaran Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah, antara tahun 2024 hingga 2025. Jika gambar di dalam slaid itu memberikan bayangan model sebenar, ia melibatkan motosikal yang berbentuk motocross untuk kanak-kanak, naked, cruiser serta skuter adventure (seperti X-ADV).

    Perniagaan motosikal elektrik bukanlah betul-betul baru bagi Honda kerana sekarang pun mereka sudah ada tiga model motosikal elektrik, yang dijual untuk pasaran China, serta beberapa negara lain seperti India, Vietnam, Thailand dan Jepun untuk kegunaan syarikat. Selain daripada itu, Honda juga sudah memulakan pengeluaran model Benly:e di Thailand sejak September lalu.

    Honda akan lancar sekurang-kurangnya 10 motosikal elektrik menjelang 2025 – bergantung kepada pasaran

    Bagi semua motosikal elektrik ini, Honda menyatakan bahawa ia akan menggunakan pakej yang terdiri daripada bateri, Power Control Unit (PCU) serta motor, dan mereka dalam usaha untuk menghasilkan bateri yang boleh ditukar (swappable batteries) mengikut standard yang telah dipersetujui oleh empat pengeluar gergasi dari Jepun.

    Turut dinyatakan adalah pembangunan perisian untuk motosikal elektrik ini, dengan ia nanti boleh menghasilkan servis ketersambungan (Honda RoadSync) yang bukan sahaja dapat memaparkan jarak gerak, tempat mengecas serta sistem servis sokongan, tetapi juga sambungan dengan kenderaan Honda lain di atas jalan.

    Apabila ditanya tentang harga model elektrik ini, wakil Honda yang memberi pembentangan tidak dapat menyatakannya secara tepat, tetapi setakat menyatakan bahawa ia tidak akan sama seperti model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (mungkin sedikit lebih mahal), tetapi masih berada dalam lingkungan mampu milik.

     
     
  • Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancar Q4 tahun ini – varian Lite, Plus dan Max, dari RM17xk

    Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancar Q4 tahun ini – varian Lite, Plus dan Max, dari RM17xk

    Selepas teaser disiarkan bulan lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sekarang telah mengesahkan bahawa Staria versi 10 tempat duduk akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dalam suku keempat tahun ini. Varian baru ini akan menyertai varian tujuh tempat duduk yang telah dilancarkan Oktober tahun lalu.

    Turut diberitahu adalah varian 10 tempat duduk ini akan dipacu oleh enjin diesel 2.2 CRDi sama seperti varian 2.2D Premium tujuh tempat duduk. Enjin empat silinder turbodiesel ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 177 PS dan 431 Nm, dan dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Apabila tiba dalam pasaran nanti, Staria 10 tempat duduk akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max, sekaligus menjadikan pilihannya lebih luas berbanding sebelum ini cuma ada satu varian Premium sahaja untuk versi tujuh tempat duduk, pada harga RM366,768.

    Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancar Q4 tahun ini – varian Lite, Plus dan Max, dari RM17xk

    Harga rasmi untuk versi 10 tempat duduk ini masih belum didedah, tetapi HSDM telah memberi petunjuk bahawa ia akan diletakkan lebih murah, dengan dijangka bermula dari sekitar RM170k. Spesifikasi penuh juga belum didedah, tetapi tempahan sudah dibuka dengan bayaran pendahuluan RM1,000.

    Varian yang pernah dilihat dalam spyshot bulan lalu berkemungkinan adalah varian Lite. Jika dibandingkan dengan varian Premium tujuh tempat duduk, unit ini dilihat mempunyai pemain audio yang lebih ringkas, tombol gear jenis biasa serta butang kawalan pendingin hawa yang lebih ringkas. Tempat duduk masih dibalut kulit dan panel instrumen masih menggunakan unit digital.

    Pada bahagian lain boleh dilihat gril hadapannya yang besar mempunyai rekaan berlainan dan dicat sama warna dengan badan tanpa kemasan hitam berkilat dan bercorak parametrik pada 2.2D Premium. Lampu hadapan juga dilihat menggunakan jenis halogen, dan bukannya LED.

    Sementara 2.2D Premium tujuh tempat duduk menggunakan tiga baris tempat duduk dengan susunan 2-2-3 dan kerusi jenis kapten di baris kedua, versi 10 tempat duduk pula akan menggunakan empat baris dengan susunan 2-3-2-3. Di beberapa negara lain, versi ini juga dipanggil sebagai 11 tempat duduk, kerana terdapat satu lagi tambahan di baris pertama, tetapi disebabkan ia tidak mempunyai tali pinggang three-point yang sebenar, kita tidak memanggilnya 11 tempat duduk secara rasmi di sini.

    Sama-sama kita tunggu apa lagi kelengkapan yang akan diberi pada tiga varian baru ini. Melihat di dalam laman web Hyundai Malaysia, nampaknya semua varian 10 tempat duduk ini akan menggunakan balutan tempat duduk kulit Nappa.

    Pilihan warna untuk MPV ini turut sudah tersedia. Abyss Black Pearl dan Creamy White ditawarkan untuk semua tiga varian, sementara Lite ditambah dengan pilihan Shimmering Silver dan Max ditambah dengan pilihan warna Graphite Grey dan Moonlight Blue Pearl.

     
     
  • Ferrari Purosangue diperkenal — SUV pertama Ferrari, jana kuasa 725 PS dan 716 Nm, 310 km/j maksimum

    Ferrari Purosangue diperkenal — SUV pertama Ferrari, jana kuasa 725 PS dan 716 Nm, 310 km/j maksimum

    Selepas empat tahun diumumkan, Ferrari akhirnya memperkenalkan secara rasmi SUV produksi pertama yang dihasilkan jenama itu, dikenali dengan nama Ferrari Purosangue.

    Berukuran 4,973 mm panjang, 2,028 mm lebar dan 1,589 mm tinggi, dengan jarak antara roda 3,018 mm, bentuk umum Purosangue ini berkongsi sebahagian persamaan dengan GTC4Lusso dari beberapa sudut, tetapi dengan kedudukan yang lebih tinggi dan saiz lebih besar. Dari depan, ia menerima mirip rekaan daripada SF90 Stradale; selebihnya adalah sentuhan penggayaan yang unik untuk membezakan SUV ini.

    Sebagai contoh, Purosangue tidak mempunyai gril depan, diganti dengan dua bahagian yang mendirikan “wajah”nya, yang dilanjut ke bawah dan menempatkan juga kamera dan sensor parkir. Setiap sudut bonet pula terletak DRL di antara dua pasang bukaan udara yang ada.

    Ferrari Purosangue diperkenal — SUV pertama Ferrari, jana kuasa 725 PS dan 716 Nm, 310 km/j maksimum

    Bukaan udara yang di atas digunakan untuk mengalirkan udara ke dalam sistem udara ke bawah bahagian aerobridge depan, sementara bukaan di bawah mengalirkan udara kepada sistem penyejuk brek. Lampu utamanya pula terletak di bawah DRL, di bucu atas bahagian bampar.

    Reka bentuk yang ditampilkan ini tentunya bukan sekadar untuk menyedapkan mata memandang, tetapi dilakukan atas sebab aerodinamik. Ini termasuklah menghasilkan sinergi antara bampar depan dengan perincian di lengkuk roda terapung, yang menghasilkan tabir angin yang secara aerodinamik “menutupi” roda depan, mengelakkan aliran udara gelora melintang yang tercetus.

    Purosangue menggunakan casis serba baru, yang direka dari awal, dengan matlamat untuk menawarkan platform yang teguh. Bahagian bawah struktur berkenaan diperbuat menggunakan aluminium aloi berkekukuhan tinggi, sementara kerangka badannya diperbuat daripada beberapa material dari aluminium hingga gentian karbon, dengan memanfaatkan logam kukuh di beberapa kawasan.

    Ferrari Purosangue diperkenal — SUV pertama Ferrari, jana kuasa 725 PS dan 716 Nm, 310 km/j maksimum

    Gabungan ini menghasilkan sebuah kerangka casis yang terdiri daripada seksyen tertutup yang disambung secara tuangan, di mana di dalamnya turut menyertakan elemen kepingan logam aluminium. Kesannya, casis berkenaan lebih keras (+30% keteguhan torsional dan +25% keteguhan beam), serta lebih ringan berbanding model empat tempat-duduk yang Ferrari pernah hasilkan, walaupun saiznya lebih besar.

    Bumbung gentian karbon dengan penebat bunyi unit tunggal juga satu hal yang baru diperkenalkan, dengan kekukuhan yang sama seperti bumbung kaca, tetapi dengan 20% lebih ringan berbanding bumbung aluminium dengan penebat bunyi. Bumbung kaca elektrokromik juga ada ditawarkan sebagai pilihan.

    Model ini menerima rekaan rim khusus, menggunakan asas konsep sero yang sama seperti SF90 Stradale — yang membantu mengalirkan udara panas dari dalam lengkung roda. Sebagai standard, model ini menggunakan size roda 22-inci (dengan tayar 255/35) di depan dan saiz 23-inci (dengan 315/30) di belakang. Cermin belakangnya juga tidak datang dengan pengilap; ia akan “dibersihkan” menggunakan aliran udara yang terhasil di bahagian berkenaan.

    Ferrari Purosangue diperkenal — SUV pertama Ferrari, jana kuasa 725 PS dan 716 Nm, 310 km/j maksimum

    Capaian ke kabinnya — yang cuba ditampilkan seluas mungkin dengan jarak antar roda yang kompak — dicapai dengan rekaan pintu belakangnya yang tersendiri; ia dibuka ke belakang untuk lebih memudahkan. Dengan kendalian elektrik, ia memberi bukaan seluas 79°, sementara pintu depan hanya melibatkan bukaan 63° — lima darjah lebih luas berbanding model Ferrari yang lain.

    Ruang penumpang belakang pula memadai, dengan ruang kepala dan ruang lutut yang boleh menempatkan orang dewasa dengan selesa. Kokpit pemandu pula masih menggunakan ilham daripada SF90 Stradale, dan hampir sama bagi sebelah penumpang, di mana paparan 10.2-inci menyediakan maklumat pemanduan yang diperlukan kepada penumpang untuk merasai sama pengalaman pemanduannya.

    Pemandu pula menerima paparan digital sepenuhnya seperti model-model terkini Ferrari. Tombol bulat di konsol tengah untuk memudahkan kawalan berkaitan keselesaan. Kelengkapan standard lainnya adalah termasuk sistem audio Burmester 3D berkualiti tinggi, kerusi depan dengan fungsi urut serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Material Alcantra yang digunakan pula menggunakan formulasi baru, dan Purosangue menjadi model pertama di dunia yang menawarkan ini. Ia terdiri daripada 68% polyester kitar semula.

    Ferrari Purosangue diperkenal — SUV pertama Ferrari, jana kuasa 725 PS dan 716 Nm, 310 km/j maksimum

    Untuk enjin, Purosangue dipadankan dengan unit V12 petrol NA. Enjin F140IA ini mempunyai kapasiti 6.5 liter yang sama pada model 812 Competizione, tetapi dengan sistem masukan udara, pemasa serta ekzos yang direka semula khusus untuknya. Ferrari menjelaskan, banyak perhatian diberikan menambahbaik mekanikal dan kecekapan pembakarannnya; 80% tork maksimum dicapai dari 2,100 rpm, dengan puncaknya sebanyak 716 Nm pada 6,250 rpm.

    Untuk kuasa, enjin ini menghasilkan output maksimum 725 PS (atau 715 hp) pada 7,750 rpm. Ini cukup untuk menggerakkan kenderaan dengan berat 2,033 kg dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 3.3 saat, dan kepada kelajuan 200 km/j dalam 10.6 saat, serta laju maksimum 310 km/j.

    Kedudukan enjin adalah di bahagian tengah-depan, dan dipadankan dengan transmisi DCT klac berkembar F1 lapan-kelajuan yang diletakkan di belakang, memberikan agihan berat kereta ini pada nisbah 49:51 — nisbah ini sama dengan yang ada pada SF90 Stradale dan 296 GTB. Sistem 4RM-S yang dibangunkan untuk GTC4Lusso juga telah dikembangkan lagi untuk Purosangue.

    Purosangue juga menerima versi terkini sistem kawalan dinamik kenderaan seperti yang ada pada kereta sportnya, termasuklah Side Slip Control yang kini dalam versi 8.0, F1-Trac dan ABS “evo” dengan Chassis Dynamic Sensor (6w-CDS) enam arah. Penampilan sulung dunia pada Purosangue adalah sistem suspensi aktif Ferrari.

    Memanfaatkan pengeluar komponen dari Kanada, Multimatic, yang menghasilkan True Active Spool Valve (TASV) System, sistem suspensi ini menggabungkan motor elektrik 48-volt dengan injap penyerap hentak hidraulik ketepatan tinggi dalam satu sistem bersepadu — menjadikannya lebih cekap dan tepat.

    Ferrari Purosangue diperkenal — SUV pertama Ferrari, jana kuasa 725 PS dan 716 Nm, 310 km/j maksimum

    Ciri bantuan pemandu pula termasuk kawalan melayar adaptif (ACC), AEB, lampu tinggi automatik (HBA), amaran penukaran lorong (LDW), bantuan mengekalkan lorong (LKA), pengesan titik buta (BSD) dan amaran lintasan trafik belakang (DDA). Purosangue menjadi model Ferrari pertama yang dilengkapi dengan ciri kawalan menuruni curam (HDC).

    Empat warna ditawarkan, iaitu perak, putih metalik, hitam dan merah yang dikenali sebagai Nero Purosangue. Untuk harganya, di Itali ia akan dijual pada harga 390,000 euros (RM1.75 million) termasuk VAT. Dengan produksi dijangka bermula tahun ini, serahan pertama bagi pemanduan sebelah kirinya hanya akan bermula pada suku kedua 2023.

     
     
  • JPJ eBID: Siri plat JVR dan SD-U bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Johor, JVR, bakal dibuka bidaan mulai 15 September, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 19 September 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 September. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SD-U, bidaannya bakal dibuka bermula 24 September dan akan berakhir jam 10 malam pada 28 September 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 29 September ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • MINI Electric Resolute Edition 2022 di M’sia – sentuhan penggayaan istimewa, jarak EV 232 km; dari RM198k

    MINI Electric Resolute Edition 2022 di M’sia – sentuhan penggayaan istimewa, jarak EV 232 km; dari RM198k

    MINI Malaysia telah memperkenalkan varian baharu untuk Cooper SE (atau lebih dikenali sebagai MINI Electric) yang digelar Resolute Edition. Ditawarkan pada harga RM197,934 atas jalan tanpa insurans, Resolute Edition lebih mahal sebanyak RM12,000 berbanding model biasa Cooper SE yang dijual pada harga RM185,934 (naik berbanding RM178,241 yang dilaporkan pada Januari lalu).

    Beza harga juga berlaku sekiranya anda memasukkan waranti lanjutan dan pakej servis untuk kedua-duanya (RM203,264 vs RM191,264). Secara standard, Resolute Edition turut didatangkan dengan waranti dua-tahun, perbatuan tanpa had.

    Resolute Edition diperkenalkan di peringkat global pada Februari lalu dan menampilkan beberapa sentuhan penggayaan unik untuk membuatkan ia lebih menarik. Ia salah satu sebab mengapa harganya agak tinggi, bahkan pemilikannya juga boleh dianggap eksklusif, seperti mana yang MINI Malaysia katakan hanya unit terhad yang akan ditawarkan.

    Untuk rekaannya, Resolute Edition menampilkan kemasan warna luaran Rebel Green bagi memberikan penghormatan kepada Connought Green yang digunakan pada Austin 1100, yang menerima rekaan dari Alec Issigonis, individu yang bertanggungjawab menghasilkan Mini original.

    Warna terbabit, yang sebelum ini dikhaskan untuk model John Cooper Works, dipadankan dengan bumbung dan cermin sisi kontras Pepper White. Selain itu, kemasan Resolute Bronze juga kelihatan pada beberapa bahagian kenderana ini, termasuk pada keliling lampu utama, gril hadapan, lampu belakang, scuttles sisi serta pemegang pada pintu dan tailgate. Ia juga dipadankan dengan roda aloi dua-tona Power Spoke 17-inci.

    Perincian lain termasuklah jaluran bonet yang menampilkan paten garisan selari dengan kecerunan warna yang bertukar dari bayangan keemasan terang ke gelap, degan skrip ‘Resolute’. Efek ini juga diaplikasikan pada kemasan ambang pintu. Selain itu, lencana model, logo jenama dan kemasan waistline diberikan dengan tona Piana Black

    Di dalamnya, upholstery kulit Carbon Black yang diberikan secara standard buat Cooper SE telah digantikan dengan kombinasi kain/kulit dalam rona Black Pearl/Light Chequered. Ia juga diberikan roda stereng balutan kulit Nappa dengan logo Resolute pada bawah jejari. Permukaan dalaman juga menerima paten pinstripe tersendiri dengan garisan melengkung dalam tona keemasan terang.

    MINI Electric Resolute Edition 2022 di M’sia – sentuhan penggayaan istimewa, jarak EV 232 km; dari RM198k

    Selain daripada perubahan estetika itu, ciri lain pada Resolute Edition masih sama seperti Cooper SE. Motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 270 Nm dijanakan dari bateri lithium-ion 32.6 kWh (boleh guna 28.9 kWh), yang mampu memberikannya jarak sehingga 232 km mengikut standard WLTP. Larasan ini juga membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.3 saat dan kelajuan maksima mencapai 150 km/j.

    Sama seperti Cooper SE, pengecasan bagi Resolute Edition mengambil masa lebih kurang dua jam 30 minit dengan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2). Secara alternatif, jentera ini juga boleh menggunakan pengecas pantas DC (sambungan CCS2) sehingga 50 kW, dengan status pengecasan dari 10-80% sekitar 36 minit.

    Masih tiada lagi risalah spesifikasi rasmi dari laman web MINI Malaysia buat masa ini, tetapi senarai kit sepatutnya masih sama. Cooper SE menerima lampu utama LED adaptif, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon, cermin auto-kelam, Bantuan Parkir, paparan utama, kluster instrumen digital lima-inci, skrin sesentuh MINI Navigation System 8.8-inci dengan Apple CarPlay, sistem bunyi Harman Kardon 12-pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi, kamera undur, enam beg udara dan pakej bantuan Pemanduan (AEB, LDW).

     
     
  • Ralliart sudah dihidupkan semula, adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke WRC dalam masa terdekat?

    Ralliart sudah dihidupkan semula, adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke WRC dalam masa terdekat?

    Selepas Mitsubishi Ralliart dihidupkan semula tahun lalu dan mereka mengumumkan bakal terjun semula ke dunia sukan permotoran, ramai yang bertanya, adakah ini petanda bahawa Mitsubishi akan kembali di Kejohanan Rali Dunia (WRC)?

    Ada banyak sinergi sebenarnya mengapa Mitsubishi perlu kembali ke WRC. Pertama, bagi kategori tertinggi WRC, FIA kini menggunakan regulasi Rally1, iaitu kereta rali dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV), di mana Mitsubishi juga kini sedang giat mempopularkan teknologi elektrifikasi berkenaan pada kereta-kereta produksi mereka.

    Tiada lagi Lancer Evolution? Ini juga bukan masalah kerana untuk pasukan rali dunia M-Sport Ford, mereka kini menggunakan SUV kompak Ford Puma untuk kereta WRC Rally1. Mitsubishi juga kini sedang mahu dikenali sebagai pembuat SUV dan mempunyai dua pilihan setara dengan Ford Puma iaitu Mitsubishi Eclipse Cross dan juga ASX yang bakal diperkenalkan dalam versi generasi baharu tidak lama lagi.

    Ralliart sudah dihidupkan semula, adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke WRC dalam masa terdekat?

    Malah sebelum ini, Presiden Toyota, Akio Toyoda turut pernah berharap Subaru dan Mitsubishi untuk kembali bersaing semula ke WRC bersama syarikatnya seperti era 90’an dahulu.

    Namun dengan semua sebab-sebab ini, adakah Mitsubishi akan kembali semula ke WRC bersama Ralliart yang sudah pun dibangkitkan dari tidur? “Buat masa sekarang, kami tiada rancangan untuk membawa model kompak ke WRC,” kata Hiroshi Masuoka, lagenda Ralliart yang bergelar juara Rali Dakar pada 2002 dan 2003, kini mengendalikan Team Mitsubishi Ralliart yang sedang membuat persiapan ke Asia Cross Country Rally 2022 pada bulan November nanti.

    Kami bertemu dengan Masuoka-san di Thailand dua minggu lalu ketika pasukannya sedang membuat sesi shakedown di Grand Prix Motor Park Kanchanaburi. Menurut beliau, Mitsubishi Ralliart kini sedang memberi tumpuan kepada trak pikap Triton yang dibangunkan untuk perlumbaan rali rentas negara tersebut.

    Ralliart sudah dihidupkan semula, adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke WRC dalam masa terdekat?

    “Triton merupakan model yang penting untuk Mitsubishi pada pasaran ASEAN. Jadi agak penting untuk kami untuk mempromosikan Triton kepada masyarkat di Asia bagi membolehkan mereka lebih mengetahui tentang Triton, dan ini salah satu cara yang kami buat untuk tujuan itu,” kata Masuoka-san.

    Menurutnya lagi, Ralliart memilih AXCR ini sebagai langkah pertama mereka untuk kembali ke sukan permotoran adalah untuk mendapatkan pelbagai data bagi membangunkan Triton yang lebih baik untuk masa akan datang.

    “Untuk masa hadapan, kami masih belum ada lagi perancangan untuk ke peringkat global. Namun untuk impian saya sendiri adalah untuk membawa Triton ke peringkat dunia,” kata Masuoka. Mungkin beliau masih lagi rindu dengan Rali Dakar dan ingin membawa Triton untuk bertanding dengan Toyota GR DKR Hilux T1+ pasukan Toyota Gazoo Racing?

    Ralliart sudah dihidupkan semula, adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke WRC dalam masa terdekat?

    Bagi AXCR, Mitsubishi mempertaruhkan jentera rali Triton yang dibina oleh Tant Motorsport Thailand dengan spesifikasi FIA Group T1, dengan bantuan teknikal terus dari Mitsubishi Motors Corp. (MMC) di Jepun. Walaupun Triton berkenaan dihasilkan dengan regulasi “kenderaan rentas negara Prototaip”, ia sebenarnya masih sangat hampir dengan model produksi sebenar yang dijual di bilik pameran.

    Ia masih dijana oleh enjin 4N15 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel, dan masih menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm sama seperti Triton biasa. Walaupun angka kuasa berkenaan dilihat sama, sebenarnya enjin berkenaan telah diolah semula oleh HKS, dengan pemadanan komponen yang lebih ringan serta kurang geseran bagi memberikan respon lebih baik pada takat rpm pertengahan yang selalu digunakan dalam perlumbaan rali.

    Trak pikap ini juga masih dibekalkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II. Ubahsuai lain yang dibuat pada sistem penghantaran kuasa Triton rali ini termasuk penggunaan unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang.

    Ralliart sudah dihidupkan semula, adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke WRC dalam masa terdekat?

    Konfigurasi asal suspensi double wishbone dengan spring gegelung di hadapan dan gandar hidup bersama spring dedaun di belakang masih kekal, tetapi ia kini menerima set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan.

    Brek trak pikap rali ini juga dipertingkat dengan dilengkapkan cakera berliang di hadapan dan belakang bersama angkup empat omboh, kesemuanya dibekalkan oleh Endless. Manakala untuk roda, ia menerima set rim aluminium aloi dari Work bersaiz 17-inci x 8J bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17.

    Badan Triton ini juga diringankan lagi dengan pemadanan hud penutup enjin dan juga kesemua pintu yang diperbuat dari material gentian karbon. Ia juga menerima kelengkapan tipikal sebuah jentera rali cross country termasuk set roll cage lengkap dengan tempat duduk perlumbaan, set snorkel untuk ‘menyelam’ menyeberangi sungai, serta dua set roda gantian yang diletakkan pada bed belakang.

    Asia Cross Country Rally 2022 ini akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November nanti, bermula di Buriram, timur laut Thailand dan kemudian merentas sempadan Kemboja. Perlumbaan sejauh 1,700 km berkenaan akan menyaksikan kesemua peserta perlu berhadapan laluan di kawasan pergunungan, hutan, jalan berlumpur, menyeberang sungai, kawasan berpasir, dan juga litar lumba, berakhir di tapak Warisan Dunia, Angkor Wat yang terletak di Kemboja.

    Dalam sesi shakedown tempoh hari kami turut berpeluang untuk merasai kebolehan Triton Ralliart T1 menerusi sesi “Taxi Ride” bersama pemandu pasukan berkenaan di atas laluan rali. Pengalaman merasai sesi tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Vellfire dengan lampu mata arah ditahan polis di Batu Caves – saman maksimum RM2,000, penjara 6 bulan

    Vellfire dengan lampu mata arah ditahan polis di Batu Caves – saman maksimum RM2,000, penjara 6 bulan

    Bukan sekali dua kes kenderaan orang awam menggunakan lampu mata arah (strobe light) mendapat perhatian Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Dah berkali-kali amaran dan pengingatan diberikan oleh pihak berkuasa bahawa penggunaan lampu tersebut oleh orang awam adalah menyalahi undang-undang lalu lintas.

    Dan hari ini, kenyataan tersebut diulang sekali lagi menerusi laman Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, dengan mengambil contoh kes terkini yang berlaku baru-baru ini.

    Menurut JSPT, pihaknya sentiasa memantau penggunaan lampu mata pada kenderaan persendirian yang kerap kali menjadi rungutan pengguna jalan raya akan kelakuan mereka ini yang suka mengambil kesempatan dan berlagak seperti pegawai penguatkuasa.

    “Pada 12 September 2022, anggota JSPT telah menahan sebuah MPV jenis Toyota Vellfire yang dipandu oleh seorang lelaki berhampiran Kawasan Industri Batu Caves. Kenderaan tersebut didapati telah menggunakan lampu mata arah biru di bahagian cermin hadapan di atas dashboard.

    “Pemandu tersebut telah disiasat di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 di mana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” kata JSPT.

    Dalam masa yang sama, JSPT menegaskan mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu mata arah pada kenderaan persendirian adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

    “Menurut Kaedah 9, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 hanya kenderaan dalam tugas kecemasan seperti kenderaan Polis, Bomba, ambulans dan JPJ sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada,”sambung JSPT menerusi kenyataan yang disiarkan di FB tersebut.

     
     
  • Toyota Gazoo Festival dan Vios Challenge — finale hujung minggu depan, konsert atas bumbung di SIC!

    Toyota Gazoo Festival dan Vios Challenge — finale hujung minggu depan, konsert atas bumbung di SIC!

    Acara Toyota Gazoo Racing Festival Musik ke-5 akan berlangsung hujung minggu depan (24-25 September) di Litar Antarabangsa Sepang. Selain perlumbaan Vios Challenge dalam litarnya — kali ini akan dijadikan perlumbaan malam — kemuncak musim perlumbaan kali ini akan ada keunikan lain, iaitu festival di bahagian bumbung paddock.

    Acara ini terbuka kepada umum, tetapi jumlah adalah terhad hanya bagi 2,000 orang termasuk peminat selebiriti yang telah mendaftar online. Selebriti yang mengambil bahagian dalam Vios Challenge musim ini akan turut berada di sana untuk sesi bertemu peminat, serta tidak ketinggalan jualan cenderahati GR dan Toyota dan aktiviti keluarga.

    Tarikan utamanya tentulah barisan konsert yang bakal diadakan. Pentas pada hari Sabtu akan diserikan oleh selebriti TGR, Wany Hasrita and Nabila Razali dan akan diakhiri oleh persembahan rap daripada K-Clique. Pentas Ahad pula akan diterajui oleh Khai Bahar, dengan menampilkan persembahan ratu rock Ella serta grup Dolla.

    Toyota Gazoo Festival dan Vios Challenge — finale hujung minggu depan, konsert atas bumbung di SIC!

    Turut akan diadakan ialah cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah untuk dimenangi empat unit iPhone 13 Mini, dua iPad dan dua Apple Watch Series 7. Akhir sekali, litar terbuka untuk kelab pemilik Toyota terpilih. Maklumat lanjut untuk mendapat tiket ada di sini.

    “Sukar dibayangkan kita sudah tiba ke musim ke-5 Vios Challenge. Ia sebuah perjalanan yang menakjubkan bagi Toyota, semua pelumba, pengedar dan juga peminat kami. Kami sentiasa mempertimbangkan elemen baru untuk menjadikan festival ini lebih menarik. Untuk kemuncak musim ke-5 ini, kami ingin membawakan sesuatu yang lebih menarik sebagai tanda penghargaan kepada semua,” ujar Presiden UMW Toyota Motor.

    Untuk perlumbaan hujung minggu ini, Kelas Promotional untuk selebriti bakal menyaksikan pertarungan antara Zizan Razak dan juara bertahan Shukri Yahaya. Dalam Kelas Rookie, saingan sengit dijangka berlaku antara Nabil Azlan dan Muhammad Hamdany Abdul Hamid.

    Toyota Gazoo Festival dan Vios Challenge — finale hujung minggu depan, konsert atas bumbung di SIC!

    Bagi Kelas Sporting pula, pemandu muda Naquib Azlan dari Axle Motorsports berharap untuk dapat meraih kemenangan kedua berturut-turutnya selepas menjuarai Kelas Rookie tahun lalu.

    Kelas Super Sporting tentunya yang paling sengit, dengan sekurang-kurangnya empat pemandu akan berhempas pulas untuk menang. Mereka yang dimaksudkan ialah antara Tengku Djan Ley, Mark Darwin dan Eddie Liew, serta Freddie Ang. Untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlumbaan dan persembahan, klik di sini.

     
     
  • Mitsubishi Ralliart dah hidup semula; selain kit badan, bila Ralliart akan hasilkan kembali peralatan prestasi?

    Mitsubishi Ralliart dah hidup semula; selain kit badan, bila Ralliart akan hasilkan kembali peralatan prestasi?

    Bagi peminat Mitsubishi, selain dari produksi Lancer Evolution yang ditamatkan pada 2016, pastinya antara perkara paling sedih berlaku apabila sayap perlumbaan jenama “tiga berlian” berkenaan menutup sayap perlumbaan mereka iaitu Ralliart, yang bukan sahaja menyaksikan ia tidak lagi berlumba, malah menghentikan penghasilan aksesori serta peralatan prestasi pada 2010.

    Ralliart ditutup bukan saja-saja; ketika itu Mitsubishi berhadapan dengan pelbagai krisis yang menyebabkan mereka kerugian dan terpaksa mengecilkan operasi syarikat. Namun selepas Mitsubishi Motors Corporation (MMC) menyertai Pakatan Renault-Nissan pada 2016 apabila Nissan berjaya mengambil alih sejumlah 34% saham MMC, syarikat tersebut secara beransur-ansur dilihat mampu ‘bernafas semula’.

    Dan pada Mac 2021, CEO Mitsubishi, Takao Kato sendiri mengumumkan bahawa Ralliart kini secara rasmi telah dibuka semula, di mana pasukan berkenaan akan mula menghasilkan perlatan-peralatan dan komponen berjenama Ralliart, serta bakal terjun semula ke kancah sukan permotoran.

    Mitsubishi Mirage Ralliart, Triton Ralliart dan Pajero Sport Ralliart edisi terhad pasaran Thailand

    Selepas pengumuman tersebut dibuat, Mitsubishi dilihat telah menghasilkan pelbagai model edisi terhad dengan jenama Ralliart untuk pasaran Thailand. Malah ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 pada awal tahun ini, Ralliart kembali membuka reruai mereka di acara modifikasi automotif terbesar di Jepun itu dengan mempamerkan pelbagai model konsep Ralliart, termasuk Mitsubishi Vision Ralliart Concept.

    Walau bagaimanapun, kesemua model edisi terhad dan juga model konsep yang ditampilkan berkenaan setakat ini hanya melibatkan penggayaan seperti kit dan juga grafik badan dengan gaya rali. Ralliart masih belum menghasilkan sebarang peralatan prestasi hatta komponen ringkas sekalipun seperti spring sport mahupun penuras udara. Jadi, bila agaknya Ralliart akan tampil sebagai “Ralliart sebenar” seperti satu masa dahulu?

    Bulan November nanti, Team Mitsubishi Ralliart akan bertanding semula dalam sukan rali secara rasmi. Perlumbaan yang dipilih oleh Ralliart untuk melakukan comeback adalah Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022, iaitu rali rentas negara yang akan menyaksikan perlumbaan jarak jauh melibatkan laluan off-road 1,700 km, bermula di Buriram, timur laut Thailand dan kemudian merentas sempadan Kemboja untuk berakhir di tapak Warisan Dunia, Angkor Wat.

    Mitsubishi Ralliart dah hidup semula; selain kit badan, bila Ralliart akan hasilkan kembali peralatan prestasi?

    Untuk rali ini, Team Mitsubishi Ralliart adalah terdiri dari Tant Motorsport dari Thailand yang membangunkan jentera rali Mitsubishi Triton dalam spesifikasi FIA Group T1, dan mereka menerima bantuan teknikal terus dari Mitsubishi Motors Corp Jepun. Pasukan ini dipimpin oleh prinsipal dari Jepun iaitu lagenda Ralliart sendiri yang juga juara Rali Dakar dua-kali (2002, 2003) iaitu Hiroshi Masuoka.

    Dua minggu lalu, Team Mitsubishi Ralliart mengadakan sesi shakedown untuk jentera rali Triton T1 berkenaan di Grand Prix Motor Park, Kanchanaburi, Thailand dan kami bersama media permotoran lain dari Malaysia agak bertuah kerana dijemput untuk menyertai acara tersebut. Selain dari merasai sendiri “Taxi Ride” dengan Triton T1 tersebut, kami berpeluang untuk bertanya sendiri tentang masa hadapan Mitsubishi Ralliart terus dengan Masuoka-san dan pasukannya.

    Apabila soalan “bila Ralliart akan mula menghasilkan semula peralatan prestasi?” ditanya, Masuoka-san menjawab, “Kali ini Team Mitsubishi Ralliart sudah beraksi kembali, jadi kami sudah bangkitkan semula jenama Ralliart. Dan antara aktiviti permulaan adalah menyertai perlumban AXCR. Jadi dalam perlumbaan ini saya rasa Mitsubishi akan kembali mampu untuk menimba pengalaman dan pada masa hadapan kami mungkin akan memberi kembali kepada pelanggan dan peminat.”

    Mitsubishi Ralliart dah hidup semula; selain kit badan, bila Ralliart akan hasilkan kembali peralatan prestasi?

    Mitsubishi Vision Ralliart Concept

    Masuoka-san menjelaskan bahawa adalah menjadi impiannya untuk memberikan sesuatu semula kepada peminat, iaitu peralatan prestasi yang dihasilkan dari dunia sukan permotoran, tetapi buat masa sekarang mereka masih berada pada satu tahap impian tersebut.

    “Buat masa sekarang kami cuma berharap peminat dapat merasai keghairahan dan bahang (Ralliart) dengan komponen-komponen pengayaan terlebih dahulu, dan kemudian sedikit demi sedikit untuk masa hadapan sudah tentu pasukan ini akan membuat yang terbaik bagi membolehkan anda semua lebih kegembiraan,” tambah Masuoka lagi.

    Jadi untuk peminat Mitsubishi Ralliart, anda sabar dahulu. Bagi peluang untuk mereka kumpulkan pelbagai data dari dunia perlumbaan, dan selepas itu anda mungkin dapat apa yang anda minta dari Ralliart!

     
     
  • Volkswagen ID.3 1st Edition Pro Performance – EV saiz Golf, bateri 58 kWh, jarak gerak 425 km, RM260k

    Volkswagen ID.3 1st Edition Pro Performance – EV saiz Golf, bateri 58 kWh, jarak gerak 425 km, RM260k

    Ini bukanlah kereta elektrik (EV) Volkswagen yang anda saksikan dalam spyshot baru-baru ini. Ia malah bukan sebuah model yang dibawa masuk oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM). Ini adalah Volkswagen ID.3, sebuah hatchback EV bersaiz seperti Golf, yang diimport oleh Weststar, dan datang dalam versi 1st Edition Pro Performance, dijual pada harga RM260k.

    Selain merupakan model pertama bagi EV “ID” syarikat itu, ID.3 juga adalah model pertama Volkswagen yang menggunakan platform modular MEB untuk EV. Ia membuat penampilan pertama pada tahun 2019 dan pengeluaran bermula di Zwickau, Jerman pada tahun yang sama. Pada tahun 2021, kilang Volkswagen di Dresden juga mula mengeluarkan model ini.

    ID.3 mempunyai ukuran panjang 4,261 mm dan lebar 1,809 mm, sekaligus menjadikannya 26 mm lebih pendek dan 20 mm lebih lebar berbanding Golf Mk8. Jarak roda 2,765 mm yang dicatat pula adalah 129 mm lebih panjang berbanding Golf. Bentuknya mungkin seperti ada persamaan dengan Golf, tetapi sebenarnya adalah serba baru dan duduk di atas platform baru.

    Versi Pro Performance membawa makna unit ini datang dengan bateri 58 kWh serta motor elektrik permanent magnet synchronous yang dipasang pada gandar belakang, menghasilkan 204 PS dan 310 Nm tork. Model ID.3 paling pantas ini mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan mencatat kelajuan maksimum 160 km/j. Jarak gerak mengikut standard WLTP adalah 425 km.

    Kadar pengecasan maksimum yang boleh diterima oleh model Pro Performance ini adalah 11 kW menggunakan pengecas AC yang tersedia padanya, dan sehingga 120 kW menggunakan pengecas pantas DC. Seperti yang boleh dijangka untuk sebuah EV dari Eropah, soket pengecasnya adalah daripada jenis CCS.

    Menariknya tentang unit ini adalah ia nampak betul-betul seperti ID.3 di dalam risalah jualan, dengan warna luaran Glacier White, bumbung kontras warna hitam serta rim Andoya 19 inci. Anda akan dapat melihat lencana “1st” pada bahagian fender, roda stereng serta papan pemuka, yang menunjukkan ia adalah versi First Edition.

    Volkswagen ID.3 1st Edition Pro Performance – EV saiz Golf, bateri 58 kWh, jarak gerak 425 km, RM260k

    Sama seperti Golf Mk8, papan pemuka model ini nampak kosong kerana kebanyakan kawalan fungsinya dilakukan melalui skrin di bahagian tengah, sementara di hadapan pemandu terdapat satu lagi skrin untuk instrumen. Bentuk roda stereng dan kawalan lampu adalah biasa seperti Golf, tempat duduk dibalut fabrik “Platinum Cloth” sementara semua pakej keselamatan dan keselesaan lain disediakan sekali.

    Unit dikeluarkan pada tahun 2020, bermakna ia datang dari kilang Zwickau, dan sekarang jarak batuannya mencatat 11,400 km. Dengan harga jualan RM260,000, ia adalah lebih sedikit berbanding Golf GTI Mk8 (CKD, RM216k), dan sekitar RM8k lebih murah berbanding Arteon R-Line 4Motion.

    Jika dibandingkan dengan EV lain yang dijual di Malaysia, Hyundai Kona Electric dijual pada harga bermula RM156,538 untuk versi asas 39.2 kWh/305 km, dan pergi sehingga RM208,348 untuk versi 64 kWh/484 km. Ioniq 5 yang bersaiz lebih besar pula dijual pada harga dari RM207,808 (58 kWh, 384 km) hingga RM270,408 (72.6 kWh AWD, 430 km). Mercedes-Benz menyediakan EQA 250 (66.5 kWh, 429 km) pada harga RM286,888 manakala EV BMW paling murah, iaitu iX3 dijual pada harga RM307,160 (73.8 kWh, 453 km).