Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Ford Ranger FX4 MAX muncul di Thailand – banyak bahagian dipertingkat, suspensi Fox, RM160k

    Ford Ranger FX4 MAX muncul di Thailand – banyak bahagian dipertingkat, suspensi Fox, RM160k

    Pasaran Thailand telah menerima satu lagi varian bagi Ford Ranger iaitu FX4 Max. Ini bukan sahaja satu varian XLT yang diberikan peningkatan gaya, malah bahagian mekanikalnya juga dipertingkat dan boleh dipanggil sebagai “Raptor Lite”. Harganya adalah 1.19 juta baht (RM159,380), dan boleh dikatakan sesuai untuk mereka yang mencari trak yang sudah dipertingkat, tetapi tidak terlalu mahal.

    Bermula di bahagian enjin, sekiranya model FX4 sebelum ini menggunakan enjin Puma 2.2 liter TDCi VGT turbodiesel yang berkuasa 160 PS dan 385 Nm tork, model baru FX4 Max ini pula digerakkan enjin diesel empat silinder 2.0 liter EcoBlue twin turbo, yang dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan dengan fungsi manual SelectShift.

    Suspensi juga telah dipertingkat dengan penggunaan unit penyerap monotube Fox yang memberikan kedudukan lebih tinggi dua inci, dan seperti mengikuti pakej offroad pada model FX4 di Amerika Syarikat. Turut dipasang adalah stabiliser bar 29 mm di hadapan, dan penyerap belakang yang mempunyai subtank untuk meningkatkan prestasi di jalan offroad. Pakej ini menjadikan jarak dari tanah FX4 Max 20 mm lebih tinggi berbanding XLT biasa.

    FX4 yang dikeluarkan sebelum ini menggunakan rim 18 inci, tetapi FX4 Max baru pula menggunakan rim 17 inci, yang dibalut dengan tayar KO2 BF Goodrich 265/70 A/T.

    Penampilannya juga sudah tentu dipertingkat, dengan penggunaan warna kelabu gelap pada bahagian seperti gril hadapan, pemegang pintu, bampar serta cermin sisi. Varian ini juga mendapat besi penghadang belakang warna hitam matte, pemijak tepi besi, lampu projector LED serta kemasan lengkuk roda khas.

    Pada bahagian dalam, tempat duduknya dibalut dengan padanan kulit Alcantara, corak karbon di tengah serta logo FX4 Max pada penyandar kepala. Satu lagi yang boleh jelas dilihat adalah barisan suis di atas papan pemuka, yang disambungkan kepada alternator 250A dan boleh digunakan untuk aksesori seperti spotlight atau kabel penarik.

     
     
  • Perodua Myvi sedan diterap dengan ciri rekaan Ativa

    Perodua Myvi sedan diterap dengan ciri rekaan Ativa

    Perodua baru sahaja melancarkan SUV kompak mereka, Ativa. Jadi, jika kita ingin menjangkakan sebuah model serba baru, ia mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini. Sekadar bermain dengan idea, apa kata kalau kita lihat lukisan digital daripada Theopilus Chin ini, yang memberi gambaran bagaimana rupa Myvi sedan apabila diterapkan dengan konsep rekaan Ativa.

    Hasilnya boleh dikatakan kemas juga, dan tidak keterlaluan untuk mengatakan mukanya agak elegan dengan lampu yang tajam, jalur krom pada gril dan tiga bahagian bukaan udara di bahagian bawah bampar (diambil daripada Volvo S60 R-Design.

    Hampir seperti Bezza, model yang dipanggil sebagai Bymi ini menggunakan bahagian hadapan yang pendek dan cermin dipanjangkan ke belakang untuk memberi keseimbangan. Pada bahagian belakang, anda akan lihat bentuk lampu seperti lampu Ativa, dengan kemasan hitam dan krom, sementara tempat meletak nombor plet pula diletakkan di pintu but.

    Perodua Myvi sedan diterap dengan ciri rekaan Ativa

    Dengan ini, bampar belakang nampak lebih bersih, dan diletakkan dengan pemantul cahaya yang diambil daripada Toyota Corolla Sedan pasaran US di bucunya. Meskipun kereta ini mempunyai lebih banyak garisan tajam berbanding Myvi, beberapa perincian masih dikekalkan seperti pemegang pintu krom serta rim dua tona 15 inci.

    Adakah Myvi sedan betul-betul akan menjadi realiti? Susah nak cakap, memandangkan sekarang, dalam pasaran semakin kecil, terdapat saingan yang kuat antara SUV. Walaupun begitu, sedan masih lagi popular bagi mereka yang mencari saiz lebih besar dan Myvi sedan ini boleh memberi pembaharuan kepada Bezza yang sedia ada sekarang.

    Bagi mereka yang mengambil penting jarak perjalanan, enjin 1.5 liter Dual VVT-i NA berkuasa 103 PS dan 137 Nm, bersama padanan kotak gear automatik empat kelajuan pada Myvi adalah pilihan yang masuk akal, tetapi jika melihat kepada enjin Ativa pula, iaitu unit tiga silinder 1.0 liter turbo berkuasa 98 PS dan 140 Nm, bersama padanan kotak gear CVT adalah lebih maju dan dapat menjadikannya lebih kompetitif berbanding pesaing seperti Almera. Anda rasa enjin apa yang padan dengan Myvi sedan ini?

     
     
  • Mitsubishi labur RM3.2b di Indonesia untuk produksi Xpander Hybrid, Outlander PHEV – juga untuk eksport

    Mitsubishi labur RM3.2b di Indonesia untuk produksi Xpander Hybrid, Outlander PHEV – juga untuk eksport

    Nampak gayanya industri automotif di Indonesia kian berkembang dengan jayanya. Selain Hyundai yang bakal memulakan pengeluaran untuk model EV di negara berkenaan, Tesla juga sedang merancang untuk membangunkan fasiliti produksi bagi bateri di sana, manakala Honda juga mahu memindahkan kilang pengeluarannya dari India serta menghasilkan EV.

    Bukan itu sahaja, Mitsubishi juga telah mengumumkan komitmen untuk melabur sebanyak 11.2 trilion rupiah (RM3.2 bilion) di negara berkenaan sehingga 2025. Menurut laporan CNN Indonesia, menteri industri Agus Gumiwang berkata, wang tersebut akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti kilang produksi dari 220,000 ke 250,000 unit, ditambah dengan pembangunan untuk sekurang-kurangnya dua kereta hibrid, di mana salah satunya ialah Xpander Hybrid.

    Manakala model kedua pula ialah model plug-in hybrid. Model semasa Outlander PHEV kini dijual di Indonesia, dalam unit import sepenuhya. Berdasarkan strategi Fasa Kedua pengeluar kereta berkenaan, Outlander PHEV generasi akan datang bakal diproduksi secara tempatan untuk kedua-dua pasaran domestik dan eksport. Manakala model PHEV lain yang dijangka akan diproduksi di sana termasuklah Eclipse Cross PHEV baharu.

    Berkenaan dengan eksport, Agus berkata, beberapa model Mitsubishi yang dipasang di Indonesia akan dieksport ke sembilan lagi pasaran negara luar, menjadikannya daripada 30 negera ke 39 buah negara.

     
     
  • Nissan X-Trail generasi baharu bakal dijana enjin VC Turbo di China – 2.0L, nisbah mampatan bervariasi

    Nissan X-Trail generasi baharu bakal dijana enjin VC Turbo di China – 2.0L, nisbah mampatan bervariasi

    Nissan X-Trail genarasi ke-empat telah dilihat di China sebelum ia dilancarkan secara rasmi di negara berkenaan. Dan apa yang mengejutkan, ia turut akan ditawarkan dengan varian yang dijana oleh enjin VC-Turbo, iaitu enjin turbo yang dihasilkan oleh divisi mewahnya, Infiniti, menampilkan teknologi nisbah mampatan yang boleh berubah-ubah.

    Menurut laporan oleh AutoHome, unit yang dilihat berkenaan mengenakan lencana “300 VC-Turbo” dan “4×4”. Ia berkemungkinan menggunakan enjin 2.0 liter VC-T yang sudahpun digunakan pada Nissan Altima generasi terkini serta SUV mewah Infiniti QX50. Ia mungkin akan menggunakan talaan seperti pada Altima yang menghasilkan 248 hp dengan tork maksima 370 Nm, berbanding pada QX50 yang menjana 270 hp dan tork maksima 390 Nm.

    Enjin VC-Turbo ini didedahkan buat pertama kali pada 2016. Enjin berkenaan merupakan enjin produksi dengan teknologi nisbah mampatan bervariasi pertama seumpamanya di dunia. Ia diberikan rekaan mekanikal khas pada aci engkol (crankshaft) yang membolehkan nisbah mampatannya berubah dari 8:1 (untuk prestasi tinggi) hingga 14:1 (untuk kecekapan bahan api tinggi).

    Nissan X-Trail generasi baharu bakal dijana enjin VC Turbo di China – 2.0L, nisbah mampatan bervariasi

    Lebih perincian berkenaan X-Trail ini dijangka akan diumumkan hampir sebelum tarikh pelancarannya nanti. Buat masa sekarang pada pasaran lain, X-Trail generasi baharu tersebut sudahpun menerima pilihan enjin QR25DE 2.5 liter empat silinder NA yang dirombak semula, menghasilkan 184 PS dan tork maksima 245 Nm, atau 11 PS/8 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya.

    Ia juga masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, serta ditawarkan dengan pilihan sama ada memacu roda hadapan atau diberikan sistem pacuan semua roda. Dikhabarkan, X-Trail juga bakal menerima pilihan varian yang dijana rangkaian kuasa hibrid.


     
     
  • Honda pindahkan kilang dari India ke Indonesia – labur RM1.49 bilion, rancang produksi model elektrifikasi

    Honda pindahkan kilang dari India ke Indonesia – labur RM1.49 bilion, rancang produksi model elektrifikasi

    Honda merancang untuk memindahkan kilangnya dari India ke Indonesia, walau pun tidak mendedahkan bila ia akan dilaksanakan. Menurut laporan CNN Indonesia, menteri industri republik berkenaan, Agus Gumiwang, mendedahkan, rancangan ini dilakukan selepas mesyuarat dengan barisan kepimpinan Honda dalam sesi lawatan ke Jepun minggu lalu.

    Agus berkata, Honda telah memberikan komitmen yang utuh dalam pelaburan di Indonesia. “Honda komited untuk meningkatkan pelaburan sehingga 2024 iaitu sekitar 5.2 trilion rupiah (RM1.49 bilion), termasuk membangunkan model baharu yang akan dilakukan di Indonesia,” katanya. Beliau menambah pengeluar kereta berkenaan turut merancang membangunkan model elektrifikasi di republik berkenaan, namun perinciannya tidak didedahkan, juga tidak dimaklumkan adakah ia bakal melibatkan model hibrid.

    Beliau berkata, syarikat berkenaan juga sedang meneliti untuk meningkatkan aktiviti eksport, sama ada dalam bentuk kenderaan dan juga komponen, dengan “komponen kereta yang dihasilkan di Indonesia bakal menjadi bekalan rantaian global.”

    Sebelum ini, Honda Prospect Motor (HPM) berkata pengeluar kereta ini mencari peluang pelaburan baharu di Indonesia, tetapi tidak menyebut pelaburan berkenaan melibatkan penempatan semula kilang. Pada masa itu, HPM berkata, pelaburan terbabit bukan untuk pembangunan kereta elektrik dan hibrid, tetapi akan memfokuskan strategi kereta konvensional mengikut keperluan pasaran.

    Honda pindahkan kilang dari India ke Indonesia – labur RM1.49 bilion, rancang produksi model elektrifikasi

    Buat masa ini, HPM memiliki dua kilang pengeluaran di Karawang, Jawa Barat, dengan kapasiti tahunan sebanyak 200,000 unit. Produk pemasangan tempatan termasuk CR-V, HR-V, BR-V, Mobilio dan Brio.

    Berita mengenai kemungkinan melaksanakan penempatan kilang produksi di Indonesia mula bertebaran selepas tiga bulan setelah pengeluar kereta berkenaan berkata pihaknya akan menghentikan satu daripada dua kilang pengeluaran kereta di India, di mana jika digabungkan kapasiti produksi kedua-dua kilang berkenaan, ia mampu mencecah 280,000 unit.

    Pada Disember lalu, Honda mengumumkan pemberhentian produksi kereta di kilang di Greater Noida, berhampiran New Delhi, dan memindahkan semua produksi kenderaan dan komponen di negara tersebut ke kilang di Tapukara di Rajasthan, yang mampu mengeluarkan 180,000 unit setahun. Dalam tahun fiskal yang berakhir pada 31 Mac 2020, Honda telah menjual sekitar 102,000 unit kenderaan di India dan mengeksport sebanyak 4,000 unit.

    Penyesuaian semula operasi pembuatannya sebenarnya adalah langkah biasa, memandangkan kapasiti pengeluaran sangat kurang digunakan. Julai lalu, Honda telah mengumumkan rancangan untuk menjadikan India sebagai pusat eksport strategik untuk unit pemanduan kiri ke Eropah pada akhir 2020 sebagai kaedah untuk mengimbangi permintaan tempatan yang perlahan.

     
     
  • Pembeli jualan di lampu isyarat boleh didenda RM2,000, Polis Johor kini lancarkan Ops Kesedaran

    Pembeli jualan di lampu isyarat boleh didenda RM2,000, Polis Johor kini lancarkan Ops Kesedaran

    Aktiviti jual beli di lampu isyarat seperti jeruk mangga yang popular di kebanyakkan tempat sememangnya agak bahaya. Memang, ia adalah salah satu cara permasaran yang agak berkesan untuk menjual, namun risiko untuk berlaku kemalangan yang boleh terjadi terlalu banyak. Bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku, Polis Johor kini melancarkan satu operasi khas yang dinamakan Ops Kesedaran.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam laporan Kosmo, aktiviti perniagaan itu merupakan satu kesalahan kerana cara itu bukan sahaja membahayakan penjual, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. Dalam operasi berkenaan, bukan sahaja peniaga, malah orang awam yang didapati membeli dari peniaga-peniaga tersebut turut akan berhadapan dengan tindakan.

    “Menerusi Ops Kesedaran, Polis Johor telah mengenal pasti sebanyak 52 lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan di lampu isyarat seluruh Johor.

    “Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan tetapi juga pembeli yang mana mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas mengikuti Op Khas – Ekzos Bising yang diadakan di Taman Kota Masai, semalam.

    Antara lokasi yang dikenal pasti dalam Ops Kesedaran ini termasuklah di lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, lampu isyarat Kempas Baru-Pasir Gudang, lampu isyarat Taman Cempaka dan lampu isyarat Jalan Kulai-Kota Tinggi.

    Beliau turut menasihatkan agar peniaga-peniaga berkenaan mencari kaedah jualan lain yang bukan sahaja lebih selamat tetapi mengikut lunas peruntukan undang-undang negara.

    “Nasihat saya, carilah kaedah atau lokasi lain yang lebih sesuai untuk menjalankan perniagaan dan jangan sampai membahayakan,” ujarnya.

    Walau bagaimanapun, Ayob Khan memberitahu bahawa setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan terdapat mana-mana insiden kemalangan melibatkan aktiviti perniagaan di lampu isyarat.

     
     
  • Toyota Corolla Cross sah dilancar di M’sia 25 Mac ini

    Toyota Corolla Cross sah dilancar di M’sia 25 Mac ini

    Jika minggu lalu Toyota masih memberikan teka-teki berkenaan model apa yang akan mereka lancarkan 25 Mac 2021 nanti, kini petunjuk berkenaan semakin jelas – satu lagi teaser telah disiarkan di laman media sosial mereka, walaupun nama model berkenaan tidak ditulis, bayang badan jelas adalah SUV Toyota Corolla Cross.

    Dalam satu pembentangan korporat oleh UMW Holdings Berhad pada awal tahun ini, dengan jelas menunjukkan bahawa Toyota Corolla Cross telah dijadualkan akan dilancarkan dalam pasaran Malaysia pada suku kedua tahun 2021. Satu lagi berita yang menggembirakan, ia akan dihasilkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD), yang mungkin akan menampilkan harga yang cukup kompetitif.

    Toyota Corolla Cross ini dikelaskan sebagai SUV segmen-C, dan dihasilkan dengan platform TNGA-C yang sama dengan sedan segmen-C Toyota Corolla dan juga SUV segmen-B Toyota C-HR. Walau bagaimanapun, dalam hieraki model Toyota, Corolla Cross masih berada di bawah satu anak tangga satu lagi SUV segmen-C Toyota iaitu RAV4 yang lebih premium.

    Jadi setelah dilancarkan di Malaysia nanti, mungkin boleh dijangka Toyota Corolla Cross ini akan berada dalam kelas ditengah-tengah antara Honda HR-V dan juga CR-V. Dan walaupun ia dihasilkan dari platform TNGA-C, Corolla Cross tidak diberikan suspensi double wishbone di belakang, sebaliknya hadir dengan sistem torsion beam seperti Honda HR-V dan Proton X50.

    Model ini telah didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Thailand pada Julai tahun lalu. Pada pasaran berkenaan, Corolla Cross dijana oleh enjin petrol tanpa turbo empat-silinder 1.8 liter 2ZR-FBE (boleh beroperasi dengan bahan api-flex) berkuasa 140 PS/177 Nm. Tiada sistem pacuan semua roda diberikan, di mana kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear Super CVT-i.

    Dalam pembentangan koprat tempoh hari juga menunjukkan bahawa lebih banyak model CKD dengan sistem hibrid elektrik akan diperkenalkan di Malaysia, dan ia turut mungkin akan melibatkan Toyota Corolla Cross ini. Bagi model hibrid, Corolla Cross menampilkan enjin petrol NA 1.8 liter 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm yang digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 72 PS/163 Nm, memberikan kuasa keseluruhan 122 PS.

    GALERI: Toyota Corolla Cross pasaran Thailand

     
     
  • Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Kita di Malaysia mungkin tak berpeluang untuk melihat antara muscle car produksi Amerika Syarikat yang paling berkuasa iaitu Dodge Charger SRT Hellcat dijual di sini. Tetapi untuk anda yang berduit dan mahu merasa penangan Hellcat berkenaan, ini dia SUV yang menggunakan enjin sama dengan Hellcat – Jeep Grand Cherokee Trackhawk sudah di bawa ke pasaran tempatan oleh TAHB Automotive!

    Trackhawk yang dijual pada pasaran Malaysia ini adalah versi kemaskini model 2020. Ia dijana oleh enjin V8 6.2 liter dengan pendesak Supecharger, menghasilkan 707 hp dan tork maksima 875 Nm – angka yang sama dihasilkan Dodge Charger dan Challenger, namun hanya 3 hp kurang dari SUV Dodge Durango SRT Hellcat.

    Model pasaran Malaysia ini juga datang standard dengan rim aluminium 20-inci, dibaluti tayar run-flat Pirelli Scorpion Zero bersaiz 295/45R20. Manakala untuk sistem brek pula, ia dibekalkan dengan cakera berliang 400 mm bersama angkup enam-omboh di depan, serta cakera 350 mm dan angkup empat omboh di belakang.

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Grand Cherokee Trackhawk ini juga diberikan mod pemanduan yang boleh dipilih, bersama tetapan penyerap hentak adaptif Selec-Track, iaitu mod Track, Sport, Auto, Snow dan Tow.

    Pada bahagian kabin pula, Grand Cherokee Trackhawk ini menampilkan upholsteri kulit Laguna bersama serlahan jahitan benang dan juga logo Trackhawk pada perehat tempat duduk hadapan. Model ini juga diberikan pemanas dan juga aliran pendingin hawa pada tempat duduk hadapan, manakala di belakang hanya diberikan pemanas.

    Kabin SUV ini juga diberikan sistem active noise cancellation, pendingin hawa automatik dua-zon, dan juga bumbung suria panaromik.

    Untuk hiburan pula, model ini diberikan sistem infotainmen UConnect 4C dengan skrin 8.4-inci bersama sistem navigasi GPS dan juga sokongan Apple CarPlay serta Android Auto, dihubungkan kepada sistem bunyi premium Harman Kardon 825-watt dengan 19-pembesar suara.

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Ia juga diberikan kamera undur ParkView dengan bantuan parkir selari dan serenjang. Manakala untuk keselamatan, SUV ini hadir dengan tujuh-beg udara termasuk pada bahagian tirai dan lutut pemandu.

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk ini dijual pada harga RM869,000 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran. Dan, satu kelebihannya sebagai SUV di Malaysia, ia tampil dengan bayaran cukai jalan yang lebih menarik – dengan enjin 6,166 cc, pemilik Trackhawk perlu membayar cukai jalan bernilai RM6,705.60 setahun, berbanding enjin dengan kapasiti sama pada sedan memerlukan cukai jalan dibayar pada kadar RM16,377!

    Harga yang dinyatakan ini turut mengambilkira pengecualian cukai jualan sebanyak 50% untuk kenderaan CBU sehingga 30 Jun 2021 ini. Jika anda rasa Trackhawk ini terlalu melebih-lebih, anda boleh memilih Jeep Grand Cherokee SRT yang turut telah dibawa dan dilancarkan oleh TAHB Automotive, dijual pada harga RM718,000 – lebih perincian berkenaannya pada PAUTAN INI.

     
     
  • Lotus Evija dapat “bunyi enjin” palsu dari enjin V8 jentera F1 Type 49, hasil kerja produser muzik British

    Lotus Evija dapat “bunyi enjin” palsu dari enjin V8 jentera F1 Type 49, hasil kerja produser muzik British

    Lotus Evija mungkin adalah model paling pantas pernah dihasilkan pembuat kereta sport British berkenaan – ia dibekalkan dengan kuasa 2,000 PS dan tork maksima 1,700 Nm, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 300 km/j dalam masa tak sampai 9 saat.

    Namun apa yang mungkin menrencatkan keseronokan memandunya ialah, kereta ini ‘bisu’ kerana Evija adalah hypercar yang digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya menerusi empat motor elektrik. Tapi, Lotus tidak akan membiarkan Evija akan terus bisu seperti kereta elektrik lain kerana mereka kini telahpun menghasilkan “bunyi enjin” palsu dengan bantuan Patrick Patrikios, produser muzik terkenal dari Britain.

    Patrikios pernah berkerjasama dengan ramai penyanyi antarabangsa seperti Olly Murs, Sia, Britney Spears, Pixie Lott dan ramai lagi. Untuk projek ini, dia memilih untuk menghasilkan bunyi enjin Evija yang diinspirasikan dari jentera Formula 1 ikonik, Lotus Type 49.

    Type 49 adalah kereta lumba F1 yang direka sendiri oleh pengasas Lotus, Colin Chapman untuk kejohanan musim 1967. Kereta yang pernah dipandu oleh pelumba lagenda British seperti Jim Clark dan Graham Hill berkenaan dikuasakan oleh enjin Cosworth-Ford DFV 3.0 liter V8 tanpa turbo yang dibangunkan oleh Lotus.

    “Ada keaslian pada V8 berkenaan, ia mempunyai had yang asli serta emosi yang memainkan sesuatu dalam jiwa anda, seperti lagu terbaik,” jelas Patrikios.

    Proses menghasilkan bunyi enjin palsu ini bermula dengan proses merekod bunyi Type 49 sebenar, kemudian dimasukkan ke dalam komputer bagi dimanipulasi secara digital. Dengan memperlahankan not enjin berkenaan, Patrikios berjaya menghasilkan frekuensi yang sama seperti bunyi pemanduan asli yang dihasilkan oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya Evija.

    “Saya melaras kelajuan main semula dan penuras digital dari Type 49 bagi menghasilkan bunyi suasana untuk Evija – ia merupakan proses yang sangat organik. Kami semua mahukan sesuatu untuk meletuskan hubungan emosi antara kereta dan pemandu. Bunyi adalah sangat mempengaruhi apabila menyentuh hal bagi mewujudkan dan membentuk emosi, untuk memperkaya hubungan yang menjadi bahagian kritikal pada pengalaman memandu Lotus,” kata produser muzik itu lagi.

    Tugas utama Patrikios bukan sahaja untuk menghasilkan bunyi luaran untuk Evija, namun sebenarnya dia turut bertanggungjawab bagi menghasilkan bunyi-bunyi lain untuk kereta sport berkenaan dari bunyi flasher ketika lampu isyarat membelok dipasang sehingga bunyi amaran pemakaian tali pinggang keledar.

     
     
  • Jeep Grand Cherokee SRT dilancar di M’sia – 6.4L Hemi V8, 475 hp/644 Nm, RM719k dengan SST 50%

    Jeep Grand Cherokee SRT dilancar di M’sia – 6.4L Hemi V8, 475 hp/644 Nm, RM719k dengan SST 50%

    Jeep Grand Cherokee SRT telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, menyertai barisan model yang lain termasuk Jeep Grand Cherokee Trackhawk yang menyertai Compass yang telah diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun lalu menerusi TAHB Automotive. Walau bagaimana pun, ia merupakan model tahun 2020 dan rasanya masih belum terlewat untuk diperkenalkan di pasaran sini.

    Ia dipadankan dengan enjin 6.4 liter naturally aspirated Hemi V8 dengan hamburan kuasa hingga 475 hp dan tork 644 Nm. Angka prestasi tersebut sedikit dipertingkatkan berbanding model 2015 dengan 461 hp dan tork 624 Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Ia turut diberikan tayar run-flat Pirelli Scorpion Zero berukuran 295/45R di hadapan dan belakang dengan roda aluminium bersama kemasan hitam sutera. Brek Brembo turut ditampilkan, memberikan kuasa berhenti yang mencukupi buat Grand Cherokee SRT, yang turut disertakan dengan kaliper enam-omboh pada roda hadapan dan empat-omboh di belakang.

    Turut ditampilkan ialah mod pemanduan pilihan pemandu termasuk sistem peredam adaptif Selec-Track dengan mod Track, Sport, Auto, Snow dan Tow. Menurut Jeep, kapasiti tangki bahan api untuk jentera lasak ini mencecah 93 liter.

    Di dalamnya, Grand Cherokee SRT menampilkan kulit Laguna dengan jahitan menyerlah dan logo SRT berwarna hitam pada tempat duduk hadapan, selain diberikan fungsi haba dan aliran udara. Ciri lain yang turut diberikan termasuklah penebat bunyi bising, pendingin hawa dwi-zon dengan kawalan suhu automatik, bumbung panoramik dan juga pencahayaan yang lebih semulajadi untuk dalaman kabin.

    Untuk sistem infotainment, ia diberikan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang menjadi sebahagian daripada sistem UConnect 4C dengan paparan 8.4-inci, sistem bunyi Harmon Kardon 825-wat, sistem audio premium 19-pembesar suara dan navigasi GPS.

    Jeep Grand Cherokee SRT dilancar di M’sia – 6.4L Hemi V8, 475 hp/644 Nm, RM719k dengan SST 50%

    Ciri tambahan lain termasuk kamera undur ParkView, Bantuan Parkir, enam beg udara merangkumi bahagian pemandu dan penumpang hadapan, bahagian tirai, sisi hadapan dan bahagian lutut.

    Jeep Grand Cherokee SRT ditawarkan pada harga RM718,000 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans, dan termasuk 50% pengecualian bagi cukai jualan (SST) untuk kenderaan model import sepenuhnya (CBU), sehingga 30 Jun 2020, dan model ini kini boleh didapati menerusi TAHB Automotive di cawangan Jeep Glenmarie.

     
     
  • Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membayangkan bahawa aktiviti merentas negeri masih belum dibuka dalam masa terdekat walaupun angka jangkitan harian Covid-19 menunjukkan penurunan yang banyak akhir-akhir ini.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan menerusi laman Facebook rasmi mereka baru-baru ini, jelas terdapat kluster baharu wujud akibat aktiviti rentas negeri kebelakangan ini yang terjadi berpunca sebahagian kecil rakyat yang merentas negeri dengan kebenaran polis atas urusan-urusan tertentu.

    Antara kluster yang dimaksudkan adalah Kluster Bukit Bayas di Terengganu dan Kluster Pasai di Sarawak yang berlaku akibat aktiviti rentas negeri untuk menziarahi ahli keluarga meninggal dunia.

    “Bermula dengan majlis tahlil yang dihadiri 45 ahli keluarga termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang akhirnya menjadi kluster apabila 15 daripada mereka disahkan positif COVID-19.

    “Kontak rapat keluarga menjangkiti kontak rapat di tempat kerja dan kontak rapat sosial termasuk rakan joging serta rakan main golf.

    Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    “Kluster Bukit Bayas adalah kluster rentas negeri terbaharu di Terengganu membabitkan 48 kes positif setakat 12 Mac dan merebak di lima daerah,” kata KKM dalam kenyataan tersebut.

    Kenyataan berkenaan turut memetik Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, yang memaklumkan kes sedemikian pernah berlaku di Besut, Terengganu, apabila ahli keluarga dari Kuantan dan Johor menziarahi nenek berusia 100 tahun yang sakit tua yang menyebabkan lima ahli keluarga dikesan positif COVID-19 termasuk nenek yang uzur dan akhirnya meninggal dunia.

    KKM juga menjelaskan berkenaan Kluster Pasai di Sarawak yang membabitkan aktiviti rentas negeri kes indeks dari Johor yang pulang ke Sibu bagi menghadiri pengebumian mendiang bapanya sebelum menyebar jangkitan ke rumah panjang.

    “Lebih 2,600 dikesan positif dan kluster itu masih aktif dan merebak hingga generasi keenam. Dua kluster ini menjadi contoh mengapa pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” tulis kenyataan itu.

    Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    KKM mengingatkan orang ramai walaupun rentas negeri untuk kes kecemasan dibenarkan namun individu yang mahu berbuat demikian perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk melindungi ahli keluarga daripada risiko penularan Covid-19.

    “Jika diri kita kurang sihat dan bergejala, langkah paling selamat untuk diri sendiri dan orang lain ialah tidak perlu rentas negeri.

    “Walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan trend penurunan, belum tiba masanya kita merentas negeri kerana pandemik ini masih bahaya dan jangkitan sangat mudah berlaku,” jelas KKM.

     
     
  • Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Kia telah mendedahkan satu set gambar awal untuk EV6, iaitu model pacuan elektrik penuh pertama mereka yang menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Kenderaan ini membawa falsafah rekaan baru “Opposites United” yang bakal digunakan oleh Kia untuk kenderaan masa hadapan mereka, dan mendapat inspirasi daripada kontras yang terdapat antara alam dan manusia.

    Menurut Kia, tumpuan utama pada pendekatan rekaan ini adalah “satu identiti visual baru yang membangkitkan tenaga positif dan semula jadi, dengan kombinasi kontras antara elemen gaya tajam serta bentuk berstruktur.” Syarikat ini juga menyatakan empat aspek rekaan penting: “berani untuk alam,” “keseronokan bersebab,” “kuasa untuk maju,” “teknologi untuk kehidupan,” dan “ketegangan untuk ketenangan.”

    Melihat kepada gambar, rekaan luar EV6 menampilkan lampu DRL yang tajam serta mempunyai garis terputus, dan ia membentuk sebahagian daripada “muka harimau digital” yang dikatakan sebagai satu kemajuan rekaan yang membawa semangat gril tiger nose Kia kepada era elektrifikasi.

    Lampu utama diapit oleh DRL ini atas dan bawah, dan bahagian atasnya ditarik sehingga ke lengkuk roda, yang mempunyai perincian halus. Pada bahagian bawah bampar, terdapat bukaan udara lebar yang dikatakan dapat membantu menghalakan udara kepada tempat yang memerlukan serta ke bawah kenderaan untuk menjadikan kereta lebih aerodinamik.

    Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Dilihat pada bahagian tepi, kereta ini jelas mempunyai pengaruh crossover, bersama c-pillar yang dihitamkan separuh supaya bumbung nampak seperti terpisah atau terapung. Pembuka pintu menggunakan jenis yang sama rata dengan permukaan dan terkeluar bila perlu manakala rendah di bawah terdapat jalur krom yang menaik ke belakang dan garisnya bersambung dengan lampu belakang.

    Lagi di bahagian belakang, cermin yang condong dipasang dengan spoiler bumbung, sementara pintu but itu sendiri juga mempunyai bentuk yang menjongket dan bertindak sebagai spoiler kedua. Lampu menggunakan bentuk nipis dan melengkung, dan bersambung dengan jalur kemasan krom di bawah, dengan perincian seperti berlian.

    Untuk bahagian dalam, Kia menjanjikan ruang yang lebih luas dengan platform E-GMP ini, berbanding EV mereka yang menggunakan platform sedia ada sekarang. Skrin melengkung untuk panel instrumen digital dan sistem infotainmen duduk di atas papan pemuka yang nipis, dan di bawahnya terdapat corong pendingin hawa yang menggunakan bentuk jalur melintang dari tengah sehingga ke tepi.

    Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Pada bahagian lain, anda akan dapat melihat konsol tengah bertingkat, dengan bahagian atas menempatkan kawalan pendingin hawa, butang pemula enjin, pemilih mod pemanduan, tempat cawan, pengecas tanpa wayar, tempat meletak barangan dan pengecas USB.

    Perincian halus berbentuk segi tiga pada papan pemuka turut digunakan pada bahagian perehat tangan, sementara warna yang terang memberikan sedikit kontras untuk menghidupkan suasana di kabin. Bagi pemandu, roda stereng dua cabang yang digunakan seakan mengingatkan kepada kenderaan Genesis dan Kia menyatakan terdapat beberapa bahagian yang menggunakan plastik kitar semula. Perincian teknikal masih belum didedahkan.

     
     
  • Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    Bulan lalu, Peugeot telah memperkenalkan logo dan juga identiti baharu mereka. Walaupun logo terkini dengan imej kepala singa tersebut nampak sangat berbeza dengan ‘singa berdiri’ pada logo sebelumnya, ia sebenarnya menggunakan semula rekaan pada era 1960’an tetapi diberikan sentuhan moden dengan elemen lebih dua-dimensi.

    Ini adalah perubahan kali ke-11 untuk logo Peugeot sejak jenama automotif Perancis berkenaan ditubuhkan pada 1850. Rombakan kali ini dibuat menandakan bahawa mereka sudah bersedia untuk masuk ke era digital dan elektrifikasi, serta menjadi jenama yang lebih premium dari sebelum ini.

    Menurut Peugeot, identiti jenama mereka yang baharu ini akan mula digunapakai menerusi material-material komunikasi jenama dan juga di jaringan pengedar, dengan sekitar 20 outlet yang bertaraf flagship di seluruh dunia mengenakan identiti baharu berkenaan menjelang akhir bulan ini, serta 1,500 pengedar lain akan menggunakannya pada akhir 2021. Kesemua lokasi pengedar diseluruh dunia dijangka akan lengkap dijenamakan semula pada tahun 2023.

    Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    Peugeot Malaysia juga kini sudah mula beralih menggunakan logo dan imej korporat baharu berkenaan, yang anda boleh lihat sekiranya melayari laman sesawang rasmi dan juga pada platform media-media sosial rasmi mereka. Imej baharu ini juga sebenarnya sampai tepat pada masanya kerana Peugeot Malaysia kini baru sahaja melalui transisi yang sangat besar.

    Bagi yang tidak tahu, Peugeot – yang mempunyai sejarah yang cukup lama di Malaysia – kini adalah di bawah pentadbiran Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd untuk pasaran tempatan, selepas syarikat berkenaan mengambil alih dari Naza Group akhir tahun lalu.

    BAASB adalah syarikat kerjasama antara Berjaya Corp dengan pegangan saham 51%, dan juga Bermaz Auto (juga pengedar Mazda di Malaysia) dengan kepentingan 20%. Jadi, Peugeot Malaysia semamangnya kini sedang memasuki satu era baharu.

    Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    “Kami mensasarkan untuk terus merevolusikan pengalaman pelanggan bersama dengan rakan kerjasama baharu kami, BAASB dan mengutamakan komitmen kami kepada pelanggan menerusi servis jualan dan selepas jualan yang cemerlang,” kata naib presiden Groupe PSA untuk Asia Tenggara, Laurence Noel dalam pengumuman yang dibuat pada 1 Disember 2020.

    Walaupun sudah bertukar pengurusan, Malaysia masih lagi kekal sebagai hab eksport Peugeot untuk rantau ASEAN dengan pangkalan PSA yang terletak di Gurun, Kedah. Produk-produk baharu kini sedang dalam perancangan, bermula dengan Peugoet 2008 generasi kedua, yang sudah pun dilihat sedang diuji di Malaysia.

    Peugeot Malaysia juga sebelum ini sudahpun menjanjikan “waranti 5+5 tahun” bagi memulihkan semula persepsi berkenaan servis selepas jualan mereka. Manakala logo baharu ini pula akan mula digunakan pada model 308 generasi baharu nanti.

     
     
  • Skuter WMoto RT3 2021 tiba — 247 cc, dari RM15,188

    Skuter WMoto RT3 2021 tiba — 247 cc, dari RM15,188

    Barisan motosikal dan skuter WMoto di Malaysia menerima tambahan terbaru dengan pengenalan WMoto RT3 2021, dijual pada harga RM15,188 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Skuter dalam kelas 250 cc ini direka untuk menjadi pesaing langsung kepada model seperti Yamaha XMax 250 yang dijual pada harga RM21,500.

    Menggunakan enjin 247 cc, silinder-tunggal sejukan cecair dengan empat-injap dan DOHC serta suntikan minyak EFI, WMoto RT3 menghasilkan 23 hp pada 8,000 rpm dan 22.5 Nm tork pada 6,500 rpm dengan transmisi CVT dengan belt drive. Sebagai perbandingan, Yamaha XMax menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Skuter RT3 ini datang dengan tangki minyak berkapasiti 17-liter, angka yang besar untuk kelasnya; pada kebiasaannya, model pesaing hanya dilengkapi dengan tangki 13 liter. Brek pula menggunakan jenis cakera hidraulik tunggal di depan dan belakang, dengan ciri ABS Bosch sebagai kelengkapan standard.

    Skuter WMoto RT3 2021 tiba — 247 cc, dari RM15,188

    Suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional yang memegang rim 15-inci serta di belakang dengan penyerap hentak berkembar, boleh larasan mengikut beban, dengan rim 14-inci. Berat skuter ini didakwa 194 kg — XMax lebih ringan dengan 179 kg — sementara ketinggian tempat duduknya 755 mm, berbanding 795 mm pada XMax.

    Kelengkapan lain termasuk kunci pintar, dengan ruang bawah pelana boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh dan baju hujan dan lain-lain barangan. Dua slot USB tersedia dalam glovebox di depan dan panel instrumen merupakan gabungan speedometer analog dengan paparan LCD untuk maklumat tunggangan.

    Lampu LED digunakan pada skuter ini, dan ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna Glittery Blue, Matte Grey dan merah. Skuter ini akan berada di semua pengedar sah WMoto bermula minggu ini, serta datang dengan jaminan kilang selama dua-tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Nissan dan Mitsubishi persiap EV kompak untuk 2022

    Nissan dan Mitsubishi persiap EV kompak untuk 2022

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Nikkei Asia, Nissan dan Mitsubishi dikatakan sedang membangunkan kereta kompak (kei car) elektrik yang akan dijual di Jepun tahun hadapan pada harga sekitar dua juta yen (RM75,472) tanpa subsidi. Dengan subsidi tempatan di bandar seperti Tokyo, harganya boleh jatuh sehingga 1.5 juta yen ((RM56,597).

    EV kompak ini akan menggunakan platform serta pek bateri yang sama, dan dijangka boleh memberi jarak gerak sekitar 200 km. Idea ini sudah diketengahkan oleh Nissan sebelum ini dengan mempamerkan IMk Concept waktu Tokyo Motor Show 2019.

    Kereta yang berbentuk petak ini mempunyai ukuran panjang 3,434 mm, lebar 1,512 mm dan tinggi 1,644 mm, sekaligus meletakkannya hampir dengan syarat kei car. Ia juga mempunyai ruang dalam seperti kabin rehat serta teknologi sambungan dan ProPILOT terkini.

    Mitsubishi juga pernah menjual EV kompak iaitu i-MiEV, tetapi harganya agak tinggi berbanding harga yang dinyatakan di atas. Di Jepun, kei car menyumbang 40% daripada jualan keseluruhan kenderaan di negara itu, dan semestinya, versi EV diperlukan untuk meningkatkan jumlah kenderaan elektrik di atas jalan. Harganya juga perlulah mampu milik.

    GALERI: Nissan IMk Concept 2019

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024