Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton hantar kit CKD Saga pertama ke Kenya, akan dipasang secara tempatan oleh Simba Corporation

    Proton hantar kit CKD Saga pertama ke Kenya, akan dipasang secara tempatan oleh Simba Corporation

    Proton mengumumkan mereka kini menambah satu lagi pasaran dalam senarai eksport ke luar negara iaitu Kenya. Namun, Proton Saga yang dihantar bermula hari ini bukan dalam bentuk pemasangan lengkap dari kilang mereka di Shah Alam, sebaliknya dalam bentuk kit CKD yang akan di pasang oleh Simba Corporation (Simba) di negara berkenaan.

    Menurut Proton, Simba merupakan konglomerat pelbagai perniagaan yang mempunyai sejarah panjang dalam penjualan dan pengalaman pemasangan di industri automotif. Keputusan untuk mengeksport Saga secara CKD ini dibuat setelah perundingan terperinci bersama Simba dibuat.

    Proton menyatakan, selain daripada kenderaan pemasangan tempatan membayar cukai yang lebih rendah di negara tersebut, unit CKD juga dijangka akan mendorong pembangunan industri pembuatan automotif Kenya.

    “Proton akan tetap mengukuhkan kedudukan domestik, kami ingin dikenali sebagai pembuat kenderaan antarabangsa. Oleh demikian, produk kami perlu berada di bandar lain seperti Bangkok, Islamabad, Cairo dan kini, Nairobi. Di peringkat negara, usaha ini akan meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Kenya, and juga menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan di industri automotif Kenya,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    “Malaysia dan Kenya berkongsi banyak persamaan, dari tanah jajahan ke usaha kami untuk membangunkan negara masing-masing. Proton bukan saja menjejak ke negara dengan populasi 51 juta orang, tetapi juga pintu masuk ke benua Afrika yang mempunyai pasaran berpotensi sebanyak 1.3 bilion orang. Oleh itu, saya berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak perdagangan antara dua negara,” kata Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Francis N. Muhoro dalam ucapannya ketika majlis pelepasan kit CKD berkenaan siang tadi.

    Muhoro juga menerangkan dasar pandang ke Timur yang diamalkan oleh negaranya dan beliau berharap agar lebih banyak syarikat Malaysia seperti Proton boleh menerokai peluang pelaburan di Kenya. Untuk penghantaran pertama ini, Simba Corporation akan menerima sebanyak 30 kit CKD Proton Saga yang akan dijual pada pasaran negara tersebut setelah ia siap di pasang.

     
     
  • Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Lexus Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa tempahan untuk SUV mewah gergasi Lexus LX 570 kini telah di buka untuk pasaran tempatan. Model ini akan dijual pada harga atas jalan bermula RM1,225,883, lengkap dengan pengecualian cukai jualan 2020 yang telah diumumkan kerajaan.

    Pembeli untuk pasaran tempatan juga ditawarkan dengan LX 570 dalam varian Sport, dan ia akan dijual pada harga RM1,281,938. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia dan didaftarkan untuk kegunaan persendirian. Untuk harga kawasan lain seperti Sabah, Sarawak dan kawasan bebas cukai seperti Langkawi dan Labuan, anda boleh rujuk jadual di bawah.

    Dengan harga yang diumumkan, ini bermaksud harga LX 570 telah naik dari versi-versi sebelumnya. Model ini mula masuk ke pasaran tempatan pada tahun 2015, dijual pada harga RM923,960. Kemudian pada awal 2018, ia turun kepada RM850,000.

    Dengan badan yang besar, LX 570 turut digerakkan oleh unit penjana gergasi. Ia dibekalkan dengan enjin petrol 5.7 liter V8 berkuasa 362 hp dan tork maksima 530 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan. LX juga merupakan kenderaan off-road sebenar, dibekalkan dengan sistew AWD sepenuh masa lengkap dengan transfer case dua keljuan, serta tork antara gandar hadapan dan belakang akan diagihkan secara bervariasi menerusi LSD jenis Torsen.

    Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Prestasi atas permukaan tar juga tidak mengecewakan – ia boleh memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j. Tidak hairanlah mengapa Lexus LX 570 merupakan pilihan popular oleh ‘pak-pak Arab’ di negara-negara padang pasir.

    LX 570 hadir dengan enam mod pemanduan termasuk satu tetapan custom. Ia juga dibekalkan dengan suspensi bervariasi adaptif, kawalan ketinggian aktif (AHC), Multi-Terrain Select (MTS), kawalan mendaki dan bantuan mula mendaki (HSA). Pemandu juga akan menerima bantuan dari Multi-Terrain Monitor yang akan memberikan visual keadaan sekeliling dan bawah lantai kereta, pada kelajuan rendah.

    Pada bahagian luaran, LX 570 menerima lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok sequential dan juga rim 21-inci. Pembeli ditawarkan dengan pilihan warna badan baharu Terrane Khaki Mica Metallic, dan warna dalaman baharu termasuk warna Garnet, Sun Flare Brown dan Ocher.

    Selain itu, SUV mewah ini diberikan 10 beg-udara serta sistem bunyi Mark Levinson Premium Surround dengan amplifier 16-saluran bersama 19 unit pembesar suara, konsol tengah dengan penyejuk, tempat duduk larasan kuasa dan berliang untuk semua bahagian, serta dua skrin 11.6-inci yang diletakkan pada belakang tempat duduk.

    Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Varian Sport akan menerima ciri tambahan seperti bampar lebih agresif bersama mesh blok berbentuk-L pada gril spindle signatur Lexus, rim forged 21-inci, scuff plate bernyala, set pedal sport aluminium dengan getah ditengahnya, dan juga lampu pintu yang memancarkan imej logo.

    Ciri prestasi yang dibekalkan pula adalah Front Performance Damper, iaitu penyerap hentak di bahagian hadapan yang memberikan ketegaran badan lebih kuat bagi memberikan pengendalian lebih stabil tanpa mengurangkan keselesaan.

    Untuk keselamatan pula, LX 570 diberikan Lexus Safety System Plus (LSS+) untuk semua varian, menampilkan sistem seperti Siste Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Amaran Keluar Lorong (LDA). Lexus LX 570 adalah model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan ia akan diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan, serta sokongan penuh servis selepas jualan.

     
     
  • Harga minyak 22-28 Ogos- Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 3 sen, diesel turun sebanyak 2 sen

    Harga minyak 22-28 Ogos- Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 3 sen, diesel turun sebanyak 2 sen

    Buat dua minggu berturut-turut, harga bahan api petrol dilaporkan mengalami kenaikan iaitu untuk minggu bertarikh 22 hingga 28 Ogos 2020, Kementerian Kewangan mengumumkan, harganya naik sebanyak 3 sen seliter.

    Di mana petrol RON 97 kini berharga RM2.01 seliter berbanding RM1.98 seliter pada minggu sebelum itu. Manakala bagi RON 95 pula, daripada RM1.68 seliter, kini menjadi RM1.71 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit diesel pula turun sebanyak 2 sen seliter iaitu RM1.80 seliter bagi gred Euro 2M, dan RM1.90 seliter untuk Euro 5. Semua harga baharu tersebut bakal bermula pada 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan, 28 Ogos 2020.

    Kementerian terbabit turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • MINI Cooper SE 2020 – pra-tempahan kini dibuka di Malaysia, harga jangkaan dari RM220k-RM230k

    MINI Cooper SE 2020 – pra-tempahan kini dibuka di Malaysia, harga jangkaan dari RM220k-RM230k

    MINI Malaysia secara rasminya telah mula mengambil tempahan untuk MINI Cooper SE, yang dijangka akan dilancarkan secara ramsinya di sini pada 26 Ogos 2020. Model hatchback semua-elektrik (atau dikenali sebagai MINI Electric di sesetengah pasaran) mula didedahkan buat pertama kalinya pada Julai tahun lalu, dan ia berasaskan model sedia ada F56 MINI 3-Pintu.

    Harga rasminya hanya akan didedahkan pada hari pelancarannya, namun buat masa ini hanya harga jangkaan sahaja yang dapat diketahui iaitu sekitar RM22X,XXX, atau pun di bawah RM230,000. Jika berminatm anda bolehlah membuat tempahan menerusi laman web pra-tempahan yang MINI Malaysia sediakan dan membayar yuran tempahan sebanyak RM1,000 kerana ia hanya ditawarkan dengan unit yang terhad.

    Apa yang lebih menarik, Cooper SE ini akan lebih murah berbanding BMW i3s, yang berharga RM268,823.96, iaitu harga dengan pengecualian SST buat masa ini hingga 31 Disember 2020, menjadikan MINI EV tersebut RM40,000 lebih murah.

    MINI Cooper SE 2020 – pra-tempahan kini dibuka di Malaysia, harga jangkaan dari RM220k-RM230k

    Untuk imejnya, Cooper SE mempunyai bentuk yang sama dengan Cooper 3 Door biasa, tetapi beberapa bahagian dijadikan unik. Ini termasuk gril hadapan dengan bukaan udara lebih kecil dan diserikan dengan jalur kuning serta logo MINI Electric, dan kemasan kuning pada beberapa bahagian lain termasuk cermin sisi dan tempat mengecas.

    Bahagian dalam juga mempunyai bentuk yang sama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil termasuk panel instrumen digital 5.5 inci di belakang roda stereng yang boleh memaparkan pelbagai informasi seperti tahap bateri, mod pemanduan, infotainmen, jarak pacuan dan lain-lain. Paparan panel ini juga boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Selain itu, kemasan kuning turut digunakan termasuk pada stereng, tombol gear, butang pemula enjin dan kawalan sistem infotainmen. Apabila memilih pakej Interior Style MINI Electric, ia akan dilengkapi pula dengan jahitan benang kuning serta alas kaki yang mempunyai logo MINI Electric.

    Berdasarkan foto yang dimuat naik menerusi laman pra-tempahan, Cooper SE ini akan dilengkapi dengan roda “Power Spoke” 17-inci *atau “Electric Spoke” yang dikenali di United Kingdom).

    MINI Cooper SE 2020 – pra-tempahan kini dibuka di Malaysia, harga jangkaan dari RM220k-RM230k

    MINI Cooper SE ini dipadankan dengan motor elektrik yang digunakan sama seperti BMW i3s dan mampu menghasilkan kuasa 181 hp (135 kW) dan tork maksimum 270 Nm. Walau bagaimanapun, MINI Cooper SE ini menggunakan pacuan roda hadapan dan bukannya roda belakang seperti i3s. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia boleh dicapai dalam masa 7.3 saat, dan kelajuan maksimum pula mencecah 150 km/j.

    Sama seperti i3s, Cooper SE ini datang bersama pengecas AC 11 kW dengan penyambung Type 2, yang membenarkan pilihan beberapa tempat mengecas termasuk soket dan kabel single phase biasa di rumah. Selain daripada itu, pemilik juga boleh menggunakan MINI Electric Wallbox di rumah yang mempunyai kapasiti 22 kW atau kabel three phase untuk disambungkan kepada stesen pengecasan pantas awam.

    Apabila menggunakan dua sistem pengecasan ini (Wallbox dan stesen awam), bateri Cooper SE boleh sampai ke tahap 80% dalam masa dua jam setengah dan 100% dalam masa tiga jam setengah. Apabila sudah penuh, ia boleh bergerak antara 235 hingga 270 km berdasarkan ujian kitaran WLTP. Jika mahukan pengecasan yang lebih pantas, pemilik perlu menggunakan sistem DC dengan sambungan CCS Combo 2, di mana dengan kapasiti pengecasan 50 kW, tahap 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit sahaja.

    Kita akan dapat tahu lebih terperinci mengenai Cooper SE ini apabila ia mula berada di pasaran kelak. Nantikan perkembangan selanjutnya bersama kami.

    GALERI: MINI Cooper SE F56

     
     
  • Malaysia Speed Festival & SIC anjur Merdeka Race 2020 bersama – MCS & MSF Superturismo, 29-30 Ogos

    Malaysia Speed Festival & SIC anjur Merdeka Race 2020 bersama – MCS & MSF Superturismo, 29-30 Ogos

    Untuk edisi MSF Merdeka Enduro tahun ini, Malaysia Speed Festival (MSF) mengumumkan bahawa mereka bakal bekerjasama dengan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menganjurkan acara sukan permotoran empat roda terbaik di Malaysia pada 29 dan 30 Ogos, menjadikan ia sebagai acara perlumbaan empat roda terbesar pernah dianjurkan dalam negara.

    Merdeka Race yang belangsung di Litar Sepang saban tahun sebenarnya berasal dari perlumbaan yang dianjurkan Proton iaitu perlumbaan Proton Merdeka 300 km. Perlumbaan pertama berkenaan diadakan buat pertama kali pada tahun 1998 dan menampilkan pelbagai kategori bagi membolehkan Proton Putra, Satria dan Wira berlumba. Edisi pertama perlumbaan berkenaan dimenangi oleh Keifli Othman dan Zureen Zulkifli dengan memandu Proton Putra dari pasukan Genesis World.

    Namun pada edisi tahun 1999, perlumbaan tersebut dilanda kontroversi apabila sistem pemasa elektronik yang digunakan mengalami masalah, menyebabkan keputusan rasmi tidak dapat dikeluarkan sehingga ke hari ini.

    Selepas itu, SIC mula mengambil inisiatif dan menganjurkan perlumbaan Merdeka Millennium Endurance 12-Jam (MME) pertama pada tahun 2000. Untuk perlumbaan pertama tersebut, Proton PERT Evo dari pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang pandu oleh trio Karamjit Singh, Jimmy Low dan Tommy Lee berjaya dinobatkan sebagai juara, menewaskan 70 kereta lain.

    Malaysia Speed Festival & SIC anjur Merdeka Race 2020 bersama – MCS & MSF Superturismo, 29-30 Ogos

    Sepanjang penganjuran MME, Tommy Lee dinamakan sebagai pelumba paling berjaya dengan memenanginya pada tahun 2000, 2001 dan 2002, serta satu-satunya pemandu yang berjaya mencapai keputusan hattrick. Satu-satunya pasukan yang berjaya memenangi MME dua tahun berturut-turut pula adalah pasukan Proton R3 pada tahun 2005 dan 2006, ketika itu pasukan berkenaan diketuai oleh Tengku Djan Ley.

    Menang di MME walaupun sekali sudahpun dikira satu pencapaian besar, kerana ia memerlukan perancangan yang teliti, usaha dan kosentrasi setiap ahli pasukan, dan ia memerlukan komitmen serta persefahaman dari pasukan – apatah lagi jika menang lebih dari sekali, secara berturut-turut.

    Ini antara detik-detik keemasan ketika zaman kegemilangan MME dimana grandstand dipenuhi dengan penonton serta lagu kebangsaan yang dinyanyikan pada tengah malam Merdeka sebelum perlumbaan bermula dinyanyikan oleh Datuk Siti Nurhaliza.

    Malaysia Speed Festival & SIC anjur Merdeka Race 2020 bersama – MCS & MSF Superturismo, 29-30 Ogos

    Walau bagaimanapun, pada tahun 2009 format perlumbaan MME diubah – ia hanya disertai oleh kereta-kereta GT, manakala kategori lebih kecil dialih ke satu lagi perlumbaan yang dikenali sebagai Sepang 1000 KM (S1K). Ini menyebabkan penyertaan pada grid permulaan semakin kurang. Penonton juga semakin sedikit di mana ia sudah dilihat seperti perlumbaan untuk ‘orang kaya’ secara tidak langsung memutuskan hubungan dengan peminat sukan bermotor pada peringkat akar umbi.

    Kemudian pada tahun 2014, MME telah bekerjasama dengan Stephane Ratel Organisation (SRO) dan ia dijenamakan semula sebagai perlumbaan Sepang 12-Jam, dan tidak lagi diadakan ketika sambutan Hari Kemerdekaan, sebaliknya dianjak ke bulan Disember pada tahun 2015. Walau bagaimanapun, kerana kurang penonton, perlumbaan ini diadakan buat kali terakhir pada tahun 2016.

    Bagi mengembalikan semula era kegemilangan MME ini, bermula pada tahun 2018, MSF telah mengadakan perlumbaan tahunan Enduro mereka pada hujung minggu sambutan hari kemerdekaan. Pusingan istimewa bercorak endurance yang dilangsungkan lebih lama dari pusingan-pusingan lain ini juga merupakan perlumbaan rasmi pertama sebelah malam yang diadakan di Sepang sejak lampu limpah baru di litar berkenaan di pasang.

    Malaysia Speed Festival & SIC anjur Merdeka Race 2020 bersama – MCS & MSF Superturismo, 29-30 Ogos

    Lebih 200 kereta menyertai perlumbaah MSF Merdeka Enduro 2018 dan ia turut menyajikan aksi yang cukup luar biasa apabila Proton Satria 2.0L turbo 4WD yang dibangunkan oleh pasukan tempatan, Team Fatboy Racing berentap dengan Mitsubishi Lancer Evo IX pasukan World Pump Racing Thailand Corredor. Walau bagaimanapun diakhir perlumbaan, ia dimenangi oleh Honda Civic Type R EK9 dengan enjin K24 dari pasukan Evotec Empire-M, dipandu oleh Shazull Hisham dan Hafiz Bachok.

    Untuk tahun 2020, nampaknya perlumbaan Merdeka Race akan sekali lagi menjadi perlumbaan endurance yang ulung apabila MSF bersama SIC akan menggabungkan MSF SuperTurismo dan juga Malaysia Championship Series dilangsungkan serentak. Jadi acara ini akan menjadi acara perlumbaan selama dua hari yang padat dengan enam perlumbaan endurance dalam pelbagai kategori. Dianggarkan 250 kereta akan mengambil bahagian, menjadikan ia acara perlumbaan empat-roda paling besar di Malaysia.

    Walau bagaimanapun dengan situasi pandemik Covid-19 dan kita masih lagi berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), acara ini akan berlangsung tanpa penonton di SIC. Tetapi, semua aksi perlumbaan ini boleh anda ikuti secara langsung menerusi laman Facebook MSF dan Facebook Sepang Circuit, serta ulangannya akan disiarkan di televisyen menerusi saluran Astro Arena 801/802 HD minggu berikutnya.

     
     
  • Subaru Levorg 2020 diperkenalkan di Jepun – platform SGP; enjin boxer 1.8L baharu dan sistem EyeSight X

    Subaru Levorg 2020 diperkenalkan di Jepun – platform SGP; enjin boxer 1.8L baharu dan sistem EyeSight X

    Subaru Levorg serba baharu telah pun diperkenalkan di Jepun. Wagon generasi kedua ini merupakan model terkini yang dibangunkan dengan Subaru Global Platform (SGP), di mana ia turut digunakan untuk Ascent, Forester, Impreza dan XV.

    Levorg baharu ini buat pertama kalinya dipertontonkan sebagai Viziv Tourer Concept pada tahun 2018. Ia disusuli dengan Levorg Prototype pada 2019 dan kemudian Levorg Prototype STI Sport setahun selepas itu.

    Sekadar mengatakan, hasil produk akhir ini masih mengekalkan ciri model prototaip 2019 dan 202, dengan penggayaan yang nampak lebih berani berasaskan rekaan ciptaan Subaru, “Dynamic x Solid”. Hujung hadapannya sangat menyerlah dengan gril berbentuk haksagon yang lebih besar disambungkan ke lampu utama LED.

    Sementara itu, apron bawah menampilkan scalloped section yang menempatkan lampu kabus dan jaluran lampu LED. Untuk varian STI Sport, lip bampar menerima kemasan krom, dengan lencana pada hadapan dan belakang. Seperti sebelum ini, bahagian bonetnya turut dipasang air scoop bagi dialirkan ke enjin pengecas turbo.

    Subaru Levorg 2020 diperkenalkan di Jepun – platform SGP; enjin boxer 1.8L baharu dan sistem EyeSight X

    Pada bahagian sisinya pula, gerbang roda squarish kelihatan berbanding berbentuk bulat pada model sedia ada, memberikan kesan yang lebih maskulin. Malah dua garisan berkarakter yang menonjol juga kelihatan pada sudut tersebut, termasuk berhampiran dengan pintu yang merentangi pemegang pintu.

    Melewati bahagian belakang pula, lampu berbentuk-C lebih nipis berbanding sebelum ini, dengan kepingan kemasan hitam berbanding krom. Selain itu, dua corong ekzos kini menyertai perumah berbentuk tiga segi untuk reflektor.

    Bagi dimensinya, Levorg baharu ini lebih besar berbanding model sebelumnya, dengan 4,755 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,500 mm tinggi, serta jarak rodanya 2,670 mm. Sebagai perbandingan, model sebelumnya berukuran 4,690 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,490 mm tinggi dan jarak rodanya 2,650 mm.

    Malah ruang dalaman wagon ini nampak lebih menarik, agak mirip dengan kebanyakan model semasa Subaru yang lain. Ini termasuklah skrin sesentuh format-potret 11.6-inci yang diletakkan di bahagian tengah papan pemuka, disambung dengan dua corong udara menegak, yang memberikan akses untuk semua fungsi infotainmen dan suhu. Skrin besar ini juga memiliki paparan kedua, seperti mana model semasa.

    Subaru Levorg 2020 diperkenalkan di Jepun – platform SGP; enjin boxer 1.8L baharu dan sistem EyeSight X

    Walau bagaimana pun, satu paparan telah ditukar kepada paparan kluster instrumen 12.3-inci baharu yang diposisikan di hadapan pemandu yang boleh memaparkan kepelbagaian informasi termasuk data berkaitan pemanduan, navigasi dan sistem keselamatan aktif onboard. Varian bukan-EX pula ditampilkan dengan unit yang lebih kecil bersaiz 7-inci.

    Tidak seperti model Subaru yang lain, konsol tengahnya pula lebih banyak sentuhan minimalis, dengan hanya tuil gear, suis brek parkir elektronik dan butang paparan semua-pandangan. Corong udara nipis juga ditempatkan di skrin tengah, dan juga merupakan rekaan baharu. Sepertti bahagian luarannya, varian STI Sport juga menerima ciri tambahan untuk menonjolkan sisi sporty, termasuklah jahitan merah, lencana STI dengan kemasan merah pada meter digital.

    Dimensi yang lebih besar juga membantu menempatkan ruang but yang lebih luas, kini berkapasiti 561 liter berbanding 522 liter, termasuklah ruang storan di bawah lantai. Sudut muatan kini mencecah 1,070 mm lebar, sementara kedalaman dan ketinggiannya masing-masing mencapai 1,607 mm dan 771, jadi lebih banyak barangan boleh dimuatkan tanpa masalah.

    Subaru Levorg 2020 diperkenalkan di Jepun – platform SGP; enjin boxer 1.8L baharu dan sistem EyeSight X

    Dengan platform dan imej baharu, Levorg ini juga menerima enjin petrol 1.8 liter pengecas turbo boxer baharu. Dengan nama kod CB18, unit suntikan terus ini mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS (174 hp) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm, dengan pacuan disalurkan ke semua roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

    Angka tersebut banyak meningkat berbanding unit FB16 1.6 liter dengan 170 PS (168 hp) dan 250 Nm, tetapi kurang dari enjin turbo FA20 2.0 liter dengan lonjakan kuasa 296 PS (292 hp) dan 400 Nm. Subaru mendakwa penggunaan bahan apinya serendah 13.7 km/l mengikut kitaran WLTC, atau 16.6 km/j mengikut standard JC08.

    Di Jepun, Levorg ditawarkan dengan enam varian – GT, GT EX, GT-H, GT-H EX, STI Sport dan STI Sport EX. Hanya varian STI Sport sahaja yang didatangkan dengan sistem mod pemanduan komprehensif, dengan empat pilihan – Comfort, Normal Sport, Sport+ dan Individual – dengan butang pilihan pada roda stereng. Varian lain pula didatangkan dengan sistem SI-Drive dengan dua mod – Intelligent dan Sport.

    Subaru Levorg 2020 diperkenalkan di Jepun – platform SGP; enjin boxer 1.8L baharu dan sistem EyeSight X

    Ciri lain yang turut ditampilkan termasuklah tempat duduk hadapan larasan kuasa, tailgate larasan kuasa bebas-tangan, roda 17- dan 18-inci (STI Sport sahaja), teknologi berhenti melahu enjin, pencahayaan LED, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, enam pembesar suara dan kawalan suhu dwi-zon dengan corong di belakang.

    Levorg ini turut dipadankan dengan sistem EyeSight X yang dipertingkatkan, dengan penambahan ciri pemanduan semi-automatik seperti bantuan kesesakan trafik, kawalan kelajuan aktif dan bantuan tukar lorong aktif. Teknologi berdasarkan kamera ini masih mengekalkan sistem utama sedia ada termasuk brek pra-pelanggaran, unintentional acceleration suppression, kawalan kelajuan aktif dan amaran ketibaan lorong, kepekaan trafik lintasan belakang, lampu tinggi adaptif dan sistem pemantauan pemandu (yang ditempatkan di atas skrin infotainmen).

    Lain-lain peningkatan untuk aspek keselamatan termasuklah penambahan beg udara pejalan kaki yang akan bertebar dari cermin hadapan kenderaan, sementara yang lain berada di kabin hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu. Turut ditampilkan ialah Starlink SOS, iaitu inisiati Subaru untuk mengurangkan kemalangan maut ke angka sifar menjelang 2030.

     
     
  • GPX Racing Popz 110 2020 kini di Malaysia — RM5,200

    GPX Racing Popz 110 2020 kini di Malaysia — RM5,200

    Selepas mengeluarkan iklan acah di FB, GPX Racing Popz 110 2020 kini mula dijual di Malaysia pada harga RM5,200. Boleh diperoleh bermula sejak minggu lalu melalui bilik pameran GPX Racing, harga berkenaan tidak termasuk cukai jalan, insurans atau pendaftaran.

    Kapcai dengan gaya retro ini berasal dari Thailand dan kini menjadi tambahan terbaru bagi barisan model GPX Racing sedia ada di sini, seperti Gentleman 200 dan Demonn 150GR dan 150GN. Disasarkan untuk mereka yang berjiwa muda, Popz 110 ditawarkan dalam lima pilihan warna – biru, oren dan merah jambu merupakan warna standard, manakala merah dan putih untuk edisi istimewa.

    Dikuasakan oleh enjin sejukan udara silinder-tunggal berkapasiti 110 cc, angka janaanya bagaimanapun tidak didedahkan – mungkin 9 hp dan 9 Nm adalah andaian yang selamat. Menyampaikan kuasa pada roda pula ialah kotak gear empat-kelajuan pula.

    Kelengkapan dan spesifikasinya pula ada kelebihan. Lampu LED digunakan di depan dan belakang, di kokpit meter kombinasi analog dan digital menjadi mengalas fungsi untuk memaparkan maklumat. Suspensi pula dari jenis teleskopik di depan dengan penyerap hentak berkembar bebanan boleh laras untuk bahagian belakang. Brek pula menggunakan jenis cakera tunggal hidraulic di depan dan jenis dram di belakang – roda pula bersaiz 17-inci.

    Ketinggian pelana ialah 760 mm dengan beratnya didakwa 99 kg. Tempat duduk juga boleh ditetapkan, sama ada untuk penunggang tunggal atau untuk membawa pembonceng sekali. GPX Racing juga memaklumkan model Legend 250 Twin dijangka akan tiba di Malaysia November nanti. Maklumat lanjut berkaitan model tersebut hanya akan didedahkan kelak.

     
     
  • Geely Preface “cucuk” BMW M4, Mercedes-AMG C63 dan Porsche Panamera dalam iklan komersial terbaru

    Susulan pengenalan Geely Preface sebelum ini, syarikat itu kini mengeluarkan pula video iklan untuk sedan mewah itu. Berdasarkan apa yang dapat dilihat, Geely memang mempunyai impian besar; Preface ditampilkan memotong model dari nama-nama besar seperti BMW M4 F82, Merceces-AMG C 63 Coupe C205 dan Porsche Panamera.

    Dalam iklan berkenaan, tiga model buatan Jerman itu sedang melalui kawasan berbukit dengan pemandangan cantik. Di belakang, ada pemandu misteri yang “mengganggu” ketenangan itu – dengan memandu sebuah Geely Preface. Ia kemudiannya diikuti oleh babak pemanduan rancak dengan Preface cuba merapati kelompok itu. Mangsa pertamanya ialah BMW M4, yang dipintas dengan cara mudah laluan dari luar. Tonton untuk mengetahui selanjutnya.

    Di hujung video, tiga kereta Jerman itu diletak menghadap pemandangan yang menarik, dengan Preface tiba untuk ikut serta. Babak terakhir memperlihatkan “CMA” dimunculkan pada keseluruhan skrin – mungkin memberi isyarat bahawa walaupun hanya dengan platform yang sama dengan Volvo XC40 dan Xingyue, Preface mampu menandingi pesaing sporty buatan Jerman.

    Geely Preface “cucuk” BMW M4, Mercedes-AMG C63 dan Porsche Panamera dalam iklan komersial terbaru

    Seronok sebenarnya untuk melihat iklan begini, dengan lapis-lapis maksud yang pelbagai boleh dikesan; salah satunya ialah hasrat Geely untuk bersaing dalam lebih banyak segmen. Bagaimanapun masih banyak perkara yang menjadi tanda tanya tentang Geely Preface ini, misalnya perincian mekanikal seperti enjin yang akan digunakannya.

    Namun, semua itu hanya akan diketahui kelak, menghampiri tarikh pelancaran rasminya yang dijangka hujung tahun ini. Bagaimana kalau Preface ini dijadikan asas kepada Proton Perdana baru nanti?

     
     
  • F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    Ketika zaman perseteruan antara Mika Hakkinen dan Micheal Schumacher, kita di Malaysia ada satu lagi tumpuan yang diberikan dalam Formula 1 – anak jati tempatan, Alex Yoong mula melangkah ke peringkat tertinggi perlumbaan single seater tersebut bersama pasukan Minardi bermula di GP Itali 2001, setelah berjuang dalam perlumbaan Formula 3000 dan Formula Nippon.

    Namun prestasi Alex Yoong dalam perlumbaan berkenaan tidaklah seperti yang diharapkan oleh peminat di Malaysia – beliau pernah berberapa kali gagal layak untuk berlumba setelah gagal mencatatkan masa dalam undang-undang 107% ketika sesi kelayakan. Akhirnya, karier F1 Alex Yoong berakhir pada penghujung musim 2002.

    Dalam satu video wawancara bertajuk “Passion to Profession” yang disiarkan oleh The Motorsport People baru-baru ini, Alex Yoong meluahkan kekecewaannya bahawa Formula 1 sebenarnya bukan sahaja telah merosakkan kariernya, malah telah mengganggu perkembangan sukan permotoran di Malaysia secara keseluruhan.

    F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    Menurut Alex, walaupun Minardi menawarkan tempat untuknya ketika itu, beliau masih lagi perlu untuk mencari penaja sendiri. Dan akibat kekangan kewangan, beliau hanya berpeluang untuk melakukan ujian dua hari sepanjang kariernya, berbanding pasukan lain yang boleh dikatakan melakukan ujian setiap minggu. Ya, hanya 2 hari tersebut Alex berada dalam kokpit F1 selain dari sesi perlumbaan sebenar.

    “Formula 1 merosakkan karier saya dalam pelbagai perkara kerana kami sentiasa di belakang dan kami tak pernah capai kemenangan,” kata Alex.

    “Secara keseluruhan idea berkenaan F1 adalah idea yang bagus. Tetapi anda boleh tengok ia adalah eksperimen yang gagal, maksud saya, untuk meletakkan Malaysia atas peta dunia, tak boleh dinafikan. Untuk pemasaran, tak boleh dinafikan. Hebat. Tetapi untuk perniagaan sukan permotoran, saya katakan ia sangat negatif.

    F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    “Kita ada fasiliti berkelas dunia (Litar Sepang), tetapi selepas itu mereka menutup dua litar (Batu Tiga dan Pasir Gudang) kita yang sempurna. Batu Tiga dan Pasir Gudang adalah litar yang hebat, tetapi ia sudah tiada lagi,” luahnya.

    Alex merasakan dunia sukan permotoran tempatan hampir mencapai tahap apa yang sepatutnya pada era 90’an, di mana litar Batu Tiga dan Pasir Gudang melahirkan ramai bakat-bakat dalam negara dari perlumbaan peringkat akar umbi, namun apabila F1 tiba di Malaysia, segala-galanya musnah.

    Ketika ditanya adakah sukan permotoran di Malaysia berkembang sejak kebelakangan ini, Alex memberikan jawapan yang tajam : “Anda bagitahu, apa yang berubah? Cepat, bagitahu. Banyak litar-litar baru? Sukan permotoran berkembang? Siapa yang menang di peringkat tempatan? Oh, orang yang sama? Wow.

    F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    “Keifli (Othman), anda tahukan dia juga bermula pada era 90’an? Siapa lagi? Tengku Djan juga pada 90’an. Saya ingat ketika dia berlumba dengan Proton, dia bermula dengan Proton setahun selepas saya buat perkara yang sama,” tambah Alex lagi.

    Alex Yoong dapat peluang untuk berlumba pada usia muda kerana ayahnya, Hanifah Yoong menguruskan litar Baru Tiga di Shah Alam dari 1988 hingga 1998. Beliau bermula dengan perlumbaan ‘one make’ Proton Saga, dengan format hampir sama seperti perlumbaan Saga Cup yang dianjurkan oleh Malaysia Speed Festival (MSF) di Sepang buat masa sekarang.

    Selepas gagal di Formula 1, Alex mula menyusun semula kariernya dengan berlumba dalam pelbagai peluang yang diberi, juga dengan kekangan kewangan. Pada tahun 2005, pasukan A1 GP Malaysia ditubuhkan dan Alex diberi peluang untuk menjadi pemandu utama sehingga tahun 2008 – mencapai keputusan terbaik tempat kelima keseluruhan pada musim 2005-2006.

    Beliau juga pernah berlumba dalam piala Audi R8 LMS dari 2012 hingga 2017, dan menjadi juara pada musim 2014, 2015 dan 2016. Buat masa sekarang, Alex menguruskan syarikatnya iaitu Axle Motorsport yang diwujudkan untuk mencungkil bakat-bakat pelumba baharu menerusi simulator perlumbaan (e-sport/sim racing) – antaranya adalah Mior Muhammad Hafiz yang berlumba mewakili Malaysia di FIA Motorsport Games, Itali tahun lalu.

     
     
  • Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

    Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

    Selepas Toyota Vios facelift baharu didedahkan di Filipina, kini tiba pula giliran model sedan segmen-B tersebut diperkenalkan di Thailand, dan ia lebih dikenali sebagai Yaris Ativ. Vios baharu ini turut dilancarkan bersama model hatchback Yaris yang turut menerima peningkatan bagi tahun 2020.

    Kedua-dua Yaris dan Yaris Ativ ini berkongsi barisan varian yang sama, bermula dengan model asas Entry, diikuti dengan Sport dan varian tertinggi Sport Premium. Berkenaan dengan penggayaannya, perubahan terbesar yang dilakukan untuk kedua-dua model berkenaan dapat dilihat di bahagian hadapan, di mana ia kini dipadankan dengan rekaan gril bawah baharu yang diturunkan sedikit dan disambungkan ke gril atas.

    Sementara itu, skim warna untuk spoiler hadapan bawah telah diterbalikkan, kini kemasan utama berwarna hitam, dengan seksyen tengah sama dengan warna badan. Malahan dua varian tertinggi turut dipadankan dengan kit badan secara standard, tetapi tidak pada Entry.

    Lain-lain perubahan termasuk lampu utama reflektor LED yang kini disambungkan ke lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang menggantikan jaluran LED pada gril sebelum ini. Selain semakan semula ini, bahagian luaran yang selebihnya tidak perubahan.

    Bagi ciri lain, unit pencahayaan LED digandingkan pada varian Sport dan Sport Premium (yang turut menerima lampu kabus LED), dan turut diberikan unit lampu automatik dan fungsi follow-me-home, sementara Entry pula menerima lampu halogen sahaja. Malah varian paling asas itu hanya didatangkan dengan roda keluli 15-inci, namun dua varian tertinggi menerima padanan roda aloi rekaan baharu yang juga bersaiz 15-inci.

    Menjengah bahagian dalamnya, bentangan papan pemuka masih sama seperti sebelum ini, walau bagaimana pun diberikan kemasan perak metalik pada bahagian tengah – Entry menerima kemasan hitam. Dua varian tertinggi juga menerima ciri yang lebih baik termasuk kluster instrumen Optitron, pendingin hawa automatik dan unit utama dengan skrin sesentuh 6.7-inci bersama sokongan Apple CarPlay.

    Sport Premium turut menerima paparan pelbagai-fungsi 4.2-inci untuk kluster instrumen, enam-pembesar suara, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, USP port di tempat duduk belakang, cermin pandang-belakang elektrokromik dan kulit upholstery – Sport menerima campuran kulit dan fabrik, sementara hanya fabrik untuk Entry.

    Varian tertinggi juga menerima Toyota Safety Sense dengan dua sistem -Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) dan Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA). Ia adalah untuk Yaris dan Vios, tetapi pertama kalinya Yaris Ativ menerima sistem keselamatan aktif. Ini menunjukkan kedua-dua model berkenaan telah mendahului pencabarnya, Nissan Almera di Thailand, yang didatangkan dengan sistem brek kecemasan sendiri untuk varian tertinggi.

    Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

    Walau bagaimana pun, Almera menampilkan ciri tambahan seperti kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantauan titik buta, yang tidak didapati untuk kedua-dua Yaris. Walau pun begitu, Yaris yang diberikan PCS dan LDA lebih baik berbanding dengan Honda City yang dijual di Thailand.

    Lain-lain ciri berkaitan dengan keselamatan untuk model sedan dan hatchback itu termasuklah tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), kawalan cengkaman, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), ABS, EBD, bantuan brek, kamera undur (tidak diberikan untuk varian Entry) dan sistem amaran tali pinggang untuk semua tempat duduk.

    Di bawah bonetnya, kedua-dua model dijanakan oleh unit yang sama; 3NR-FKE 1.2 liter NA empat-silinder yang diperkenalkan pada peningkatan model tahun lalu. Enjin ini menghamburkan kuasa hingga 92 PS dan tork 109 Nm, dengan gandingan transmisi Super CVT-i yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan dan menawarkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/l.

    Harga bagi Yaris bermula pada 549,000 baht (RM73,302) untuk Entry, dan Sport Premium pula berharga 679,000 baht (RM90,675). Manakala varian Entry untuk Yaris Ativ pula ditawarkan pada harga 539,000 baht (RM71,976), diikuti dengan Sport pada harga 599,000 baht (RM79,989) dan Sport Premium pula berharga 674,000 baht (RM89,998).

    Menurut Headlightmag, harga tersebut adalah lebih 10,000 ke 25,000 baht (RM1,335 ke RM3,338) berbanding sebelum ini, bergantung pada varian. Toyota Thailand juga menawarkan Shadow Package untuk Yaris Ativ dan Flash Package bagi Yaris.

    Palet warna juga telah disemak semula untuk model 2020, dengan Platinum White Pearl (pilihan 7,000 baht atau RM935) dan Greyish Blue Metallic merupakan pilihan baharu bagi varian Sport Premium.

    Toyota Yaris Ativ facelift 2020

    Toyota Yaris facelift 2020

    Perincian Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020

     
     
  • Yamaha Y15ZR GP Edition 2020 di M’sia – RM8,868

    Yamaha Y15ZR GP Edition 2020 di M’sia – RM8,868

    Sebagai memperingati pasukan Yamaha MotoGP, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan
    model versi terhad tahun 2020 bagi Yamaha Y15ZR GP Edition. Harga cadangan yang dikenakan bagi edisi ini ialah RM8,868, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Dengan penampilan grafik yang mengambil ilham dari jentera lumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Y15ZR GP Edition turut menggunakan tema warna hijau dan hitam yang sama. Setiap unit model versi terhad ini akan didatangkan dengan sijil pemilikan eksklusif serta set jam pintar Y15ZR.

    Menggunakan enjin 150 cc, sejukan cecair silinder-tunggal, Y15ZR GP Edition ini menghasilkan sebanyak 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Kotak gear lima-kelajuan kemudiannya menyampaikan kuasa ke roda.

    Menggunakan rim 17-inci dengan saiz tayar hadapan 90/80 manakala di belakang 120/70, model ini menggunakan tetapan fork teleskopik serta suspensi monoshock. Brek pula menggunakan jenis cakera hidraulik di depan dan belakang.

    Lain-lain data termasuk ketinggian pelana 780 mm dengan berat 117 kg, dengan kapasiti tangki minyaknya ialah 4.2-liter. Model edisi terhad ini dijangka akan dipamerkan di bilik pameran pengedar sah HLYM bermula bulan ini.

     
     
  • Hyundai Kona dikesan di M’sia – bakal dilancarkan?

    Hyundai Kona dikesan di M’sia – bakal dilancarkan?

    Selepas Hyundai Kona diperkenalkan pada peringkat global tiga tahun lalu, ada ura-ura mengatakan crossover segmen-B berkenaan akan masuk ke pasaran Malaysia. Namun sehingga kini belum ada lagi petunjuk rasmi dikeluarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors bila ia akan dilancarkan.

    Walau bagaimanapun, seorang pengguna facebook dengan nama Mohammad Syahrool Anuar telah terserempak dengan SUV berkenaan di Ara Damansara tanpa sebarang pelindung atau penyamaran – mungkin ini adalah petanda ia bakal masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Dalam laporan kami sebelum ini, Kona dikhabarkan akan dilancarkan di Malaysia sekitar suku pertama 2019 dalam versi yang dijana enjin 1.6 liter turbo berkuasa 177 PS/265 Nm digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik – unit berwarna hijau berkenaan adalah dari versi turbo yang disebutkan.

    Hyundai Kona dikesan di M’sia – bakal dilancarkan?

    Model ini sebenarnya turut pernah diprebiu di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) pada November 2018. Tiada maklumat perincian lain untuk model pasaran Malaysia, dan petunjuknya mungkin ada pada dua unit Kona yang dijumpai ini – sekurang-kurangnya hadir dalam dua pilihan warna dengan rupa asal seperti didedahkan tiga tahun lalu.

    Jika Kona dilancarkan dalam masa terdekat, ia adalah SUV segmen-B paling berkuasa kerana berbanding pesaingnya yang lain seperti Mazda CX-3, Honda HR-V dan Toyota C-HR, hanya Kona dijana oleh enjin dengan suapan pengecas turbo. Namun perlu diingat, Proton X50 yang dikhabarkan akan dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 174 hp/255 Nm juga dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.

    Menurut satu lagi laporan tahun lalu, Hyundai Kona turut dirancang untuk ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya di Malaysia, menerusi kaedah sewaan/pajakan rasmi, dengan sokongan penuh servis selepas jualan oleh pengeluar.

    Jadi bagaimana? Ada yang memang menunggu crossover K-Pop dengan rekabentuk funky ini dilancarkan di Malaysia?

    GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • Proton Perdana baharu diilhamkan dari Geely Preface

    Proton Perdana baharu diilhamkan dari Geely Preface

    Geely baru sahaja mendedahkan versi produksi untuk sedan Preface tempoh hari, dengan elemen rekaan yang nampak hampir sama seperti versi konsepnya yang diperkenalkan pada tahun lalu. Sedan mewah ini diasaskan dari platform Geely-Volvo, Compact Modular Architecture (CMA) yang sama seperti pada Volvo XC40 dan juga Geely Xingyue.

    Tak mustahil, model ini turut boleh dijelmakan sebagai sedan segmen-D Proton iaitu Perdana. Seperti biasa, pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin membantu kita untuk membayangkan bagaimana jika Preface ini ditransformasikan sebagai Perdana generasi baharu.

    Seperti apa yang dibuat pada Geely Boyue untuk diubah menjadi Proton X70, gril expanding cosmos pada Preface ini ditukar kepada gril signatur Proton iaitu Infinite Weave. Theo turut memandankan logo “Thundercats” baharu Proton bersaiz besar pada bahagian tengah gril berkenaan.

    Logo-logo tersebut turut ditempatkan pada semua penutup tengah rim dan di but belakang Perdana ini. Manakala tulisan ‘Proton’ pula diletakkan di bawah jalur krom yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang, sama seperti pada Proton X70.

    Proton Perdana baharu diilhamkan dari Geely Preface

    Geely Preface dihasilkan dengan dimensi 4,785 mm panjang, 1,869 mm lebar dan 1,469 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,800 mm. Jadi saiznya dengan Perdana sedia ada adalah lebih kurang sama di mana jarak roda kedua-dua model tersebut memang serupa berukuran 2,800 mm. Namun Perdana yang diasaskan dari Honda Accord generasi ke-lapan berkenaan dihasilkan lebih panjang (5,020 mm untuk model 2.4L), dan kurang lebar (1,845 mm) berbanding Geely Preface ini.

    Proton Perdana generasi terakhir tersebut diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2013, menampilkan rupa yang hampir serupa dengan kembarnya, Honda Accord CP, dibezakan hanya pada logo, gril hadapan dan juga kemasan pada but belakang. Ketika itu, kesemua Perdana yang dihasilkan ini adalah hanya untuk kegunaan Kerajaan Malaysia.

    Ia kemudiannya diberikan rupa yang lebih tersendiri dengan perubahan jauh lebih drastik untuk dijual pada pasaran awam, diperkenalkan pada tahun 2016. Walaupun sudah lama berada dalam pasaran, Proton masih belum mengumumkan sebarang petunjuk bahawa model generasi baharunya akan dihasilkan dalam masa terdekat.

    Adakah anda tertunggu-tunggu model generasi baharu Perdana? Atau lebih berharap Proton menghasilkan sedan segmen-C untuk menggantikan Proton Preve?

     
     
  • Pengecualian membaharui lesen memandu dan cukai jalan sepanjang tempoh PKP tamat 31 Ogos ini

    Pengecualian membaharui lesen memandu dan cukai jalan sepanjang tempoh PKP tamat 31 Ogos ini

    Sepanjang pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, telah mengumumkan lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh tidak perlu diperbaharui sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir pada 31 Ogos ini.

    Ia selaras di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Justeru, orang ramai boleh memandu kenderaan dengan syarat kenderaan tersebut mempunyai perlindungan insurans yang masih sah dan berkuat kuasa.

    Walau bagaimana pun, PKPP bakal berakhir dalam tempoh kurang dua minggu ini, justeru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ingin mengingatkan orang ramai yang masih belum memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu supaya segera membuat urusan pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu bagi mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid sebelum ini berkata sejak 18 Mac hingga 14 Jun lalu, sebanyak 2,119,653 cukai jalan dan 2,184,508 lesen memandu masih belum diperbaharui. Jumlah tersebut sepatutnya lebih rendah sekarang memandangkan semua kaunter urusan JPJ telah beroperasi seperti biasa.

    Pengecualian membaharui lesen memandu dan cukai jalan sepanjang tempoh PKP tamat 31 Ogos ini

    “Orang ramai akan dimaklumkan sekiranya terdapat perubahan dalam polisi pengecualian lesen memandu dan cukai jalan berkaitan dengan PKP. Kita akan memberikan masa yang mencukupi dan perubahan pula tidak akan dilakukan secara mendadak,” ujarnya, seperti dilaporkan oleh The Star.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Supt Wan Sharuddin Wan Omar berkata, “Kita tidak akan membenarkan (orang ramai) memandu dengan lesen yang tamat tempoh selepas tarikh akhir yang diberi. Selepas 31 Ogos, penguatkuasaan akan kembali dilaksanakan seperti biasa. Kita akan terus menguatkuasa undang-undang trafik secara lebih kerap.

    “Walau bagaimana pun, ia bergantung pada arahan daripada kerajaan sama ada kita akan mengambil langkah yang lebih tegas dalam penguatkuasaan atau pun mengendalikannya dengan cara diplomatik,” ujarnya memberitahu penerbitan yang sama.

    Bagi sesiapa yang masih belum memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan yang sudah tamat tempoh, anda hanya ada masa berbaki kurang dua minggu untuk berbuat demikian. Jangan buat-buat lupa pulak ya.

     
     
  • Ford Ranger Wildtrak 2020 di Malaysia – RM150k

    Ford Ranger Wildtrak 2020 di Malaysia – RM150k

    Hujung tahun lalu, barisan model Ford Ranger T6 telahpun dikemaskini dengan perubahan seperti lampu hadapan baharu dan sistem brek kecemasan automatik (AEB), dan ia turut diberikan pada Ranger Raptor 2020. Selepas itu, varian FX4 baharu turut diperkenalkan.

    Ranger Raptor dan FX4 2020 sudah pun dilancarkan di Malaysia. Dan secara senyap, model Wildtrak 4×4 2020 juga sebenarnya telah masuk ke pasaran Malaysia bermula hujung Jun lalu. Tiada sebarang pelancaran dibuat, dan kami mengetahui perkara ini menerusi laman sesawang rasmi Ford Malaysia.

    Perubahan yang diberikan pada Wildtrak 2020 ini sebenarnya agak sedikit, dan anda perlu melihat dengan lebih teliti untuk menyedari apa yang dikemaskini.

    Untuk bahagian luaran, Wildtrak 2020 ini menerima rim 18-inci baharu dengan rekaan enam-jejari berkembar serta lampu hadapan baharu yang tampil dengan lensa projektor empat segi. Bukan hanya rekaan, lampu tersebut kini menggunakan teknologi bi-LED yang lebih terang berbanding sistem xenon sebelumnya.

    Pada bahagian dalaman pula, Wildtrak kini dilengkapi port USB baharu berhampiran dengan cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dashcam. Kemaskini terakhir adalah pada pilihan warna badan di mana dua warna baharu iaitu Arctic White dan Meteor Grey bagi menggantikan Frozen White dan Magnetic. Warna Saber dan Absolute Black masih lagi ditawarkan.

    Ciri lain masih lagi sama dengan Wildtrak sebelum ini. Ia dijana oleh enjin 2.0 liter EcoBlue turbodiesel, dan versi 4×4 menampilkan dua pengecas turbo membolehkan ia menghasilkan 213 PS dan tork maksima 500 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan bersama fungsi manual SelectShift.

    Sistem keselamatan dan bantuan pemanduan juga tidak berubah di mana ia tampil dengan amaran pelanggaran hadapan, sistem brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, amaran keluar laluan, cruise control adaptif, dan juga fungsi parkir selari automatik.

    Dengan berberapa perincian baharu yang ditampilkan ini, Ford Ranger 2.0L Wildtrak 4×4 Automatic 2020 kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM150,388. Berbanding versi sebelumnya, model kemaskini berkenaan adalah RM5,500 lebih mahal

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024