Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Audi RS4 Avant, RS5 Sportback 2020 kini tiba di M’sia – enjin V6 2.9L biturbo 450 hp, harga dari RM712k

    Audi RS4 Avant, RS5 Sportback 2020 kini tiba di M’sia – enjin V6 2.9L biturbo 450 hp, harga dari RM712k

    Beberapa model Audi Sport baru telah mula dijual di Malaysia termasuk RS4 Avant dan RS5 Sportback, pada harga masing-masing RM712,399 dan RM726,863. RS6 Avant dan RS7 Sportback juga sudah berada dalam pasaran, dengan harga masing-masing RM976k dan RM989k.

    Bermula dengan RS4 Avant, ini adalah model facelift terbaru yang menggunakan enjin V6 biturbo 2.9 liter berkuasa 450 hp pada 5,700 hingga 6,700 rpm dan tork maksimum 600 Nm dari 1,900 hingga 5,000 rpm. Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik tiptronik lapan kelajuan, serta sistem Quattro dengan differential sports.

    Melalui tetapan seperti ini, RS4 Avant boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, sebelum mencapai laju maksimum 280 km/j. Turut disediakan adalah pilihan mod pemanduan Audi Drive Select, sistem ekzos sport RS, suspensi sport RS serta kawalan pemanduan dinamik.

    Pada bahagian kelengkapan, model ini mendapat lampu utama Matrix LED, lampu penunjuk arah LED dinamik, pakej kemasan luar hitam berkilat (untuk cermin sisi, rel bumbung, lencana, logo dan gril), serta rim 20 inci warna titanium matte. Cakera brek jenis besi biasa bersama angkup yang diwarnakan merah diberi secara standard tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada unit cakera seramik.

    Beberapa pilihan warna luar disediakan untuk model ini dan pelanggan boleh memilih pelbagai lagi aksesori tambahan dari katalog Audi Exclusive. Antara kelengkapan tambahan yang disediakan adalah seperti bumbung panoramik dan tiga variasi bentuk rim 20 inci.

    Pada bahagian dalam, RS4 mendapat Audi Virtual Cockpit Plus khas untuk model RS, head-up display, MMI Navigation Plus dengan MMI Touch, sistem bunyi Bang & Olufsen serta bunyi 3D, kawalan pendingin hawa tiga zon, pedal kaki aluminium, Audi Smartphone Interface, Audi Connect dan tempat duduk yang dibalut kulit Nappa.

    Audi RS4 Avant, RS5 Sportback 2020 kini tiba di M’sia – enjin V6 2.9L biturbo 450 hp, harga dari RM712k

    Model RS5 Sportback juga menggunakan enjin yang sama, iaitu unit V6 TFSI 2.9 liter yang berkuasa 450 hp dan 600 Nm tork, tetapi ia lebih pantas melakukan pecutan 0-100 km/j, iaitu dalam masa 3.9 saat. Laju maksimum masih lagi 280 km/j.

    Keadaan bahagian luar dan dalam model ini sama seperti RS4 Avant, iaitu untuk bahagian luar ia mendapat pakej kemasan hitam, rim 20 inci, lampu utama Matrix LED dengan penunjuk arah dinamik, spoiler belakang dan sistem ekzos sport RS.

    Pada bahagian keselamatan, kedua-dua model RS ini mendapat Audi Active Lane Assist, Audi Pre Sense (boleh menutup tingkap dan mengetatkan tali pinggang keledar dalam keadaan kecemasan), Lane Change Assistant dengan sistem amaran, Rear Cross Traffic Alert dan Parking Aid Plus dengan kamera 360 darjah. Walaubagaimanapun, model ini tidak mempunyai AEB dan Adaptive Cruise Control.

    GALERI: Audi RS4 Avant 2020

    GALERI: Audi RS5 Sportback 2020

     
     
  • Petronas Setel-Mesra Bonanza tawar ganjaran sehingga RM50,000 mulai 15 Ogos-15 Okt 2020

    Petronas Setel-Mesra Bonanza tawar ganjaran sehingga RM50,000 mulai 15 Ogos-15 Okt 2020

    PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) telah melancarkan kempen PETRONAS Setel-Mesra Bonanza, sebagai usaha yang berterusan untuk memberikan penghargaan kepada pelanggan setia. Sebanyak 992 pemenang yang bakal dicari bagi membawa pulang wang tunai dan baucer bahan api bermula 15 Ogos sehinggalah 15 Oktober 2020.

    Di mana setiap minggu seramai 10 pemenang pertama berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM3,000, manakala 100 pemenang kedua pula bakal membawa pulang baucer Setel bernilai RM50 yang boleh ditebus untuk pembelian bahan api. Sebagai tambahan, dua pemenang utama juga akan dipilih bagi menerima ganjaran bernilai RM50,000 setiap seorang sepanjang tempoh kempen berkenaan.

    Ketua Perniagaan Peruncitan PDB, Khalil Muri, berkata, “Kempen Mesra Bonanza ini telah pun bermula sejak 2018 lalu dan merupakan kempen yang paling tinggi menerima penyertaan di kalangan para pelanggan kami. Bagi tahun ini, kami turut memperbanyakkan lagi tawaran termasuklah baucer Setel.”

    Petronas Setel-Mesra Bonanza tawar ganjaran sehingga RM50,000 mulai 15 Ogos-15 Okt 2020

    Untuk mengambil bahagian dalam kempen ini, pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM30 bagi mengisi bahan api atau membeli apa jua barangan di Kedai Mesra di seluruh stesen Petronas di Malaysia. Penggunaan Kad Mesra bagi tujuan berkenaan memberikan peluang kepada pelanggan untuk satu penyertaan.

    Bagi mempromosi keselamatan dan penjarakan sosial, pelanggan yang membuat transaksi pembayaran menerusi aplikasi mobiliti Setel, memiliki lebih banyak peluang dengan melibatkan lima penyertaan sekaligus.

    Setel merupakan aplikasi mudah alih pembayaran elektronik pertama di Asia Tenggara membolehkan pengguna membuat pembelian bahan api dari kenderaan mereka sendiri. Menerusi aplikasi itu, pengguna tidak perlu turun dari kenderaan untuk pembelian bahan api sebaik tiba di stesen Petronas sebaliknya hanya melakukan pembayaran menggunakan aplikasi terbabit yang menghubungkan terus dengan pam minyak di stesen terbabit.

     
     
  • VIDEO: MEM buat ujian Proton Iriz R5 pertama selepas lockdown – bersedia untuk rali atas permukaan tar?

    Pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) sepatutnya berlumba dalam musim penuh Kejohanan Rali British (BRC) tahun ini dengan Proton Iriz R5. Namun kerana pandemik Covid-19, kejohanan tersebut hanya berjaya dilangsungkan sebanyak satu pusingan iaitu di Cambrian Rally 2020, dengan pemandu utama MEM, Oliver Mellors berjaya mengutip 14-mata selepas menduduki tangga ke-4.

    Setakat ini, MEM masih belum mengumumkan sebarang rali yang akan disertai oleh mereka untuk tahun ini selepas BRC sah dibatalkan untuk keseluruhan musim 2020. Namun pada hujung bulan lalu, pasukan tersebut sudahpun mula melakukan ujian semula selepas kelonggaran lockdown yang telah dibenarkan oleh kerajaan UK.

    Ujian kali ini dibuat untuk talaan bagi rali yang berlangsung di atas permukaan tar. Ia bukan sahaja disertai oleh Oliver Mellors, malah turut melibatkan sebuah lagi Iriz R5 yang dipandu oleh juara Rali British Wanita untuk musim 2017 dan 2018, Nabila Tejpar.

    Tejpar sepatutnya akan mula berlumba dengan Iriz R5 ini pada pusingan kedua BRC 2020 di West Cork Mac lalu. Selain itu, dia juga sepatutnya akan bertindak sebagai pemandu unit Iriz R5 kedua untuk pusingan-pusingan BRC 2020 yang berlangsung di atas permukaan tar termasuk rali Clacton, Ypres dan Ulster.

    Sudah tentu, ujian ini bukan di buat ‘saja-saja’. Menurut MEM, mereka akan menyertai rali semula pada berberapa bulan akan datang. Namun rali mana yang akan disertai belum lagi diumumkan secara rasmi.

     
     
  • BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe tiba di Malaysia – enjin V8 4.4 liter, 600 hp, harga dari RM1.45 juta

    BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe tiba di Malaysia – enjin V8 4.4 liter, 600 hp, harga dari RM1.45 juta

    Diperkenalkan di Eropah hujung tahun lalu, kini model prestasi BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe telah pun tiba di Malaysia dengan harga jualan masing-masing RM1,452,960.88 dan RM1,455,145.25. Beza utama antara dua model ini ialah M8 Coupe cuma mempunyai dua pintu sementara M8 Gran Coupe mempunyai empat pintu.

    Pada bahagian luar, dua model M8 ini dipasang dengan kelengkapan khas model M yang menjadikannya kelihatan lebih garang, termasuk kemasan pada bawah bampar, hiasan pada gril, cermin sisi, sirip di fender, spoiler belakang, diffuser serta sistem ekzos dengan empat muncung. Lampu menggunakan jenis BMW Laserlight.

    Satu lagi keistimewaan model ini adalah ia menggunakan bumbung gentian karbon yang dapat membantu mengurangkan berat keseluruhan, serta rim 20 inci style 810 M yang mempunyai lebar 9.5 inci di hadapan dan 10.5 inci di belakang. Pintu tempat meletak barangan di belakang boleh dibuka secara automatik.

    BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe tiba di Malaysia – enjin V8 4.4 liter, 600 hp, harga dari RM1.45 juta

    BMW M8 menggunakan enjin yang sama seperti M5 F90, dan merupakan enjin paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW M untuk kenderaan produksi, iaitu unit S63 V8 4.4 liter M TwinPower Turbo yang mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm. Meskipun versi Gran Coupe adalah lebih berat, kedua-duanya masih mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa sama sama iaitu 3.3 saat. Laju maksimum dihadkan pada 250 km/j.

    Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi M Steptronic lapan kelajuan serta sistem pacuan M xDrive, dan pemandu boleh memilih kawalan manual dengan menggunakan tombol gear atau pedal penukar di stereng. Ada tiga mod maklum balas enjin iaitu Efficient, Sport dan Sport Plus, dan setiap satunya juga akan menghasilkan bunyi ekzos yang berbeza.

    Bagi sistem pacuan M xDrive itu, dalam keadaan asal ia memberikan 4WD yang nisbah pembahagian kuasanya lebih kepada roda belakang, tetapi pemandu juga boleh memilih tetapan 4WD Sport serta 2WD (roda belakang sahaja) apabila DSC ditutup. Differential Active M akan memastikan cengkaman paling optimal, dan pemandu juga boleh memilih mod dinamik lain seperti Comfort, Sport dan Sport+ yang akan melaras maklum balas enjin, penyerap hentak serta stereng M Servotronic.

    Pada bahagian dalam, tempat duduk M Sport bagi M8 ini dibalut dengan kulit Merino sementara bahagian panel instrumen dan atas panel pintu dibalut dengan kulit Walknappa berwarna hitam berserta jahitan kontras. Barangan M khas lain yang dipasang padanya adalah termasuk roda stereng, tali pinggang, tombol gear dan plet tepi pintu berlampu dengan tulisan BMW M8.

    Panel instrumen M8 menggunakan skrin digital penuh 12.3 inci BMW Live Cockpit Professional sementara di tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 10.25 inci dengan sistem BMW Navigation Professional. Turut diberi adalah BMW Connected Package Professional, BMW Drive Recorder, BMW Gesture Control dan sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara.

    BMW M8 ditawarkan dalam tujuh warna luar manakala kulit Merino bahagian dalam pula boleh didapati dalam warna Black atau Silverstone. Harga yang diberitahu adalah tidak termasuk insurans dan diberikan dengan jaminan tanpa had batuan serta program servis berkala percuma selama lima tahun.

    GALERI: BMW M8 Coupe F92

    GALERI: BMW M8 Gran Coupe F93

     
     
  • BMW X3 dan X4 M Competition 2020 dilancar di M’sia — 3.0L turbo, 510 hp / 600 Nm, harga dari RM887k

    BMW X3  dan X4 M Competition 2020 dilancar di M’sia — 3.0L turbo, 510 hp / 600 Nm, harga dari RM887k

    BMW Malaysia hari ini memperkenalkan lagi beberapa model terbaru untuk pasaran tempatan, selepas baru saja beberapa minggu lalu melancarkan BMW M135i xDrive – kali ini, empat model dengan lencana prestasi M. Yang dimaksudkan ialah X3 M F97 dan X4 M F98, dengan kedua-duanya dalam penampilan kemasan Competition. Dua lagi model ialah M8 Coupe dan M8 Gran Coupe.

    Menggerakkan dua model SUV prestasi ini ialah unit enjin 3.0 liter S58 turbo berkembar enam-silinder sebaris. Diwarisi dari enjin sama S55 yang digunakan pada M3 F80 dan M4 F82. Bagaimanpun unit berkenaan menampilkan teras kepala silinder cetakan 3D yang menjadikannya lebih ringan dengan penyejukan yang lebih baik.

    Enjin ini menghasilkan 510 hp dan 600 Nm tork, dari 2,600 rpm hingga 5,950 rpm, dan digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan M Sterptronic dan sistem pacuan semua roda pintar M xDrive. Kedua-dua kenderaan ini memecut 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat.

    BMW X3  dan X4 M Competition 2020 dilancar di M’sia — 3.0L turbo, 510 hp / 600 Nm, harga dari RM887k

    Had laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Penggunaan minyak pula purata ialah 10.6 liter bagi setiap 100 km. Sebagai perbandingan, versi bukan Competition bagi X3 M dan X4 M menerima 480 hp dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat.

    Saingan paling rapatnya ialah Mercedes-AMG GLC 63 S dan GLC 63 S Coupe, yang mana kedua-duanya berkongsi enjin 4.0 liter V8 yang sama, menawarkan 510 hp dan 700 Nm tork. SUV AMG berkenaan bagaimanapun sedikit lebih pantas, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

    Kini, X3 M dan X4 M menerima sistem suntikan minyak dengan tahap tekanan 350-bar yang lebih tinggi. Ia juga menerima rekaan deck tertutup, crankshaft diperkukuh, dinding silinder dengan lapisan pelindung baru, injap pemasa boleh ubah Valvetronic, pemasa camshaft Double VANOS dan intercooler tidak langsung.

    BMW X3  dan X4 M Competition 2020 dilancar di M’sia — 3.0L turbo, 510 hp / 600 Nm, harga dari RM887k

    Bagi pemandu, ada tiga mod pemanduan untuk dipilih – Efficient, Sport dan Sport Plus; semuanya memberi respon pemanduan yang berbeza dan boleh dirasakan dengan ketara. Turut disediakan sebagai ciri standard ialah Active M Differential (cenderung kepada roda belakang dalam mod Sport) dan stereng kuasa elektrik M Servotronic yang sensitif kelajuan.

    Bagi suspensi, kedua-dua kenderaan menampilkan kualiti elastokinematik yang diperbaiki untuk memberikan kawalan dan kestabilan yang lebih berkesan, dengan swivel bearing buatan kustom, lengan tork dan jenis wishbone di depan. Turut diberikan ialah elastomer bearing khusus dan camber depan yang lebih, sementara di belakang menerima lengan camber yang lebih keras, mounting getah khusus M dan palang anti-olengan yang lebih keras.

    Penyerap hentak dengan talaan khas adalah standard, seperti juga M Compound Brakes. Ciri ini memanfaatkan cakera sebesar 395 mm di depan dan 370 mm di belakang, dengan angkup empat-omboh di depan dan omboh tunggal untuk angkup belakang.

    BMW X3  dan X4 M Competition 2020 dilancar di M’sia — 3.0L turbo, 510 hp / 600 Nm, harga dari RM887k

    Penggayaan kedua-dua model ini juga disesuaikan dengan prestasinya. Ia turut menampilkan bukaan udara yang lebih besar dan dalam, gril dua palang M, cermin sisi aerodinamik, spoiler belakang dan bahagian diffuser yang menempatkan sekali empat muncung ekzos M Sport dalam warna hitam.

    Kelengkapan standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, lampu belakang LED dan rim M 21-inci yang dibaluti tayar prestasi tinggi. Pilihan warna luaran terdiri daripada Alpine White, Black Sapphire, Donington Grey, Phytonic Blue, Sophisto Grey dan warna baru Toronto Red.

    Di dalam, stereng M Sport dengan butang M Drive merah adalah standard, begitu juga dengan butang penghidup enjin merah. Paparan untuk pemandu pula khusus M, dengan kawalan paddle shift turut tersedia. Di tengah, skrin 10.25-inci disambung pada sistem audio Harman Kardon 600-watt, sembilan saluran dengan 16-pembesar suara yang turut dengan sokongan Apple CarPlay.

    Kerusi pula menggunakan Merino M Sport balutan kulit (ditawarkan dalam warna hitam, Sakhir Orange dan Adelaide Grey) dengan liang pengudaraan kerusi aktif, sokongan lumdar dan lencana M, pemilih gear M yang direka semula, kemasan gentian karbon, hiasan jahitan BMW M, tali keledar M, pedal kaki M serta penampan lutut.

    Penumpang belakang kini boleh menikmati penyandar boleh laras dan penampan matahari. Ruang barangan pada X3 ialah 550 liter, sementara X4 M 525 liter. Rebahkan kerusi, kedua-dua angka itu masing-masing berubah menjadi 1,600 liter dan 1,430 liter.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua SUV ini dilengkapi dengan ciri Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus. Ini termasuklah amaran perlanggaran depan, bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar aktif dan bantuan parkir dengan kamera pandangan keliling. Turut disertakan ialah BMW Gesture Control dan juga servis dari ConnectedDrive.

    Harga bagi BMW X3 M Competition ialah RM886,551.58 dan bagi BMW X4 M Competition RM904,276.60 (atas jalan tidak termasuk insurans dan dengan jaminan tanpa had perbatuan lima-tahun BMW Group Malaysia yang kini, serta program servis berjadual).

    BMW X3 M Competition

    BMW X4 M Competition

     
     
  • Harga minyak 15-21 Ogos – Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 5 sen, diesel pula naik sebanyak 3 sen

    Harga minyak 15-21 Ogos – Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 5 sen, diesel pula naik sebanyak 3 sen

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan untuk minggu bertarikh 15 hingga 21 Ogos 2020, kesemua harga runcit bahan api utama di negara ini mengalami peningkatan harga. Ia melibatkan kenaikan harga bagi petrol sebanyak 5 sen seliter dan diesel pula 3 sen seliter.

    Bagi petrol RON 97, harga baharunya menjadi RM1.98 seliter, berbanding RM1.93 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala RON 95 pula, berbanding RM1.63 seliter sebelum ini, kini menjadi RM1.68 seliter.

    Untuk diesel pula, harga baharunya menjadi RM1.82 seliter untuk gred Euro 2M, dan RM1.92 seliter bagi Euro 5.

    Kesemua harga baharu tersebut berkuatkuasa mulai 12 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 21 Ogos 2020.

     
     
  • Polis nafi tutup sempadan Grik-Baling susulan penularan kluster baharu COVID-19 di Kedah

    Polis nafi tutup sempadan Grik-Baling susulan penularan kluster baharu COVID-19 di Kedah

    Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood menafikan dakwaan tular kononnya laluan sempadan negeri di Jalan Gerik-Kupang, Gerik ke Daerah Baling, Kedah ditutup susulan kluster baharu berkaitan wabak COVID-19 iaitu Kluster Tawar dikesan di Kedah.

    Menurut beliau, pihaknya tidak menutup laluan keluar masuk negeri Perak ke Kedah seperti yang didakwa dan gambar yang ditularkan adalah operasi bersepadu yang dijalankan polis semalam.

    “Operasi itu hanya diadakan pada waktu tertentu dan ia dilaksanakan bagi membuat pemeriksaan seperti kesalahan lalu lintas dan sebagainya.

    Pihak polis sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu ini dan orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sesuatu yang tidak benar kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Katanya sesiapa yang ingin mendapatkan keterangan atau maklumat sahih boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 05-7911222.

    Petang ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes baharu COVID-19 meningkat kepada 20 kes termasuk 11 kes dari Kluster Tawar di Baling, Kedah, Satu lagi kluster baharu dikesan, Kluster Muda, juga di Kedah.

     
     
  • Kanak-kanak maut akibat terkurung dalam kereta bapa – sila periksa kenderaan sebelum meninggalkannya

    Semalam berlaku satu kejadian menyedihkan apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui meninggal dunia, dipercayai tertinggal di dalam kereta bapanya hampir 10 jam, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah, kejadian berkenaan berlaku di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, disedari bapa mangsa yang berumur 30-an itu, ketika hendak pulang ke rumah dari tempat kerjanya pada 6.20 petang.

    “Sebelum kejadian, bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori itu telah menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, Sungai Petani pada 7.30 pagi, sebelum terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang.

    “Bapa mangsa sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir, namun terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang,” katanya.

    Adzli berkata, selepas selesai bekerja, bapa mangsa telah pergi ke kereta sebelum melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, di bahagian tempat duduk belakang kereta. Jenazah kanak-kanak terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat. Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Ini bukanlah insiden pertama seumpamanya yang berlaku di negara kita kerana ia pernah terjadi beberapa kali sebelum ini. Memang malang tidak berbau. Tetapi sebagai individu dewasa, kita wajib peka dengan keadaan seperti ini, terutamanya yang melibatkan keselamatan anak-anak kita. Lakukan apa yang terbaik agar kita sentiasa dapat mengingatkan diri kita sendiri bahawa ada si kecil bersama kita ketika itu.

    Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.

    Menerusi video berkenaan, pemain American Football dari pasukan Arizona Cardinal, Tyrann Mathieu duduk di dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari. Atlet profesional berkenaan hanya bertahan selama lapan minit di dalam kereta tersebut, setelah suhu pada kabin meningkat sehingga 48.9 darjah selsius.

    Bayangkan kalau kanak-kanak yang berada dalam situasi berkenaan, adakah dia mampu bertahan? Mustahil. Menurut pakar kecemasan paediatrik, badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa, seterusnya lebih cepat diserang strok haba.

    Kanak-kanak maut akibat terkurung dalam kereta bapa – sila periksa kenderaan sebelum meninggalkannya

    Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman akan berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

    Pada awal bulan ini, menerusi persidangan Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan sebanyak enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan sejak 2018 hingga kini. Jelasnya, kebanyakan mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi kerja atau hadir mesyuarat sehingga terlupa anak mereka berada di dalam kereta. Dan kejadian semalam merupakan kes yang ketujuh untuk tempoh berkenaan.

    Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata kerajaan telah meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan “atau bertindak secara cuai”.

    “Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” katanya sambil menambah perkhidmatan kaunseling turut diberikan kepada ibu bapa yang terkesan dengan kes seumpama itu.

     
     
  • Mitsubishi Merdeka beri RM8,888 untuk tukar-beli ASX, rebat Outlander RM4k, kadar faedah Triton 0.88%

    Mitsubishi Merdeka beri RM8,888 untuk tukar-beli ASX, rebat Outlander RM4k, kadar faedah Triton 0.88%

    Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan hujung bulan ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan promosi Merdeka bagi tahun ini. MMM memberikan pelbagai tawaran menarik untuk semua barisan modelnya, termasuklah tawaran tukar-beli, rebat tunai dan kadar faedah rendah, sehingga 30 September 2020.

    Bermula dengan SUV ASX, MMM memberikan nilai tambahan sebanyak RM8,888 untuk pembeli yang menukar beli kenderaan mereka, bersama servis percuma selama lima tahun. Manakala untuk Outlander pula, bakal menerima rebat tunai sebanyak RM4,000 bagi model 2.0 liter dan rebat RM2,000 bagi model 2.4 liter, kedua-duanya dengan servis percuma selama dua tahun.

    Mitsubishi Merdeka beri RM8,888 untuk tukar-beli ASX, rebat Outlander RM4k, kadar faedah Triton 0.88%

    Tawaran untuk pembelian trak pikap Triton

    Promosi ini melibatkan harga bagi pelepasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seperti yang diumumkan kerajaan pertengahan tahun ini, ASX ditawarkan pada harga RM111,628 untuk model 2WD dan RM125,182 bagi 4WD, masing-masing kurang sebanyak RM7,238 dan RM8,154. Manakala Outlander berharga RM133,491 untuk varian 2.0 liter dan RM147,762 bagi 2.4 liter, melibatkan pengurangan masing-masing sebanyak RM4,397 dan RM5,126.

    Bagaimana pun harga bagi pikap Triton tidak berubah, namun MMM menawarkan kadar faedah serendah 0.88% setahun (eksklusif untuk skim jual beli Maybank dan Public Bank) untuk varian VGT Premium dan Adventure X, di mana pelanggan boleh memilih rebat RM4,000. Bagi varian asas Quest dan VGT automatik juga menerima rebat RM4,000, sementara VGT manual menerima potongan RM6,000.

     
     
  • VIDEO: Honda City RS i-MMD hibrid bersenda dengan Toyota Vios, Camry, Perodua Bezza dan Nissan Almera

    VIDEO: Honda City RS i-MMD hibrid bersenda dengan Toyota Vios, Camry, Perodua Bezza dan Nissan Almera

    Hari ini Honda Malaysia sudah mula membuka tempahan bagi model City 2020 (generasi kelima) dan serentak dengan itu mereka juga menyiarkan satu video promosi awal melalui saluran media sosial. Biasanya dalam video seperti ini, fokus hanya akan diberi pada kereta baru tersebut, tapi nampaknya Honda Malaysia mengambil langkah berani untuk menampilkan juga pesaingnya tanpa sebarang penyamaran.

    Dalam video ini anda dapat melihat banyak model seperti Perodua Bezza, Mazda CX-5 dan Nissan Almera, tapi yang paling banyak ‘diusik’ sebagai topik utama adalah Toyota Camry dan juga Vios. Semuanya untuk menyatakan kelebihan versi hibrid City RS i-MMD yang akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

    Topik utamanya adalah berkenaan tork, di mana dalam video ini ia menunjukkan beberapa keadaan City RS i-MMD mempunyai tork yang lebih tinggi waktu menaiki tanjakan, memotong, kelajuan rendah serta mendaki bukit berbanding pesaingnya.

    VIDEO: Honda City RS i-MMD hibrid bersenda dengan Toyota Vios, Camry, Perodua Bezza dan Nissan Almera

    Turut dipaparkan adalah jumlah tork City versi hibrid ini, iaitu 253 Nm, adalah lebih tinggi berbanding beberapa pesaingnya iaitu 140Nm bagi model segmen B 1.5 NA (Vios), 152 Nm bagi model segmen B 1.0 turbo, 187 Nm bagi model segmen C 1.8 NA dan 235 Nm bagi model segmen D 2.5L NA (Camry).

    Sistem i-MMD ini menggunakan dua motor elektrik, salah satu daripadanya digabungkan sekali dengan enjin 1.5 liter i-VTEC berkuasa 98 PS dan 127 Nm tork. Walaubagaimanapun, enjin itu pada kebanyakan masa hanya bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion atau memberi kuasa kepada motor elektrik kedua.

    Jadi, pada kebanyakan masa, kereta ini akan bergerak menggunakan kuasa tujahan daripada motor elektrik, sekaligus menjadikan ia lebih pantas dan tork tinggi boleh dinikmati sebaik kereta bergerak. Jumlah kuasa keseluruhan City RS i-MMD adalah 89 kW (109 PS) dan 253 Nm tork.

     
     
  • Toyota Fortuner 2020 kini dijual di Australia – 2.8L diesel 204 PS, ciri standard Toyota Safety Sense

    Toyota Fortuner 2020 kini dijual di Australia – 2.8L diesel 204 PS, ciri standard Toyota Safety Sense

    Selain trak pikap Hilux 2020, Toyota Australia turut memperkenalkan model Fortuner 2020 untuk pasaran negara tersebut. Selepas diperkenalkan secara global di Thailand pada 27 Ogos lalu, SUV tujuh-tempat duduk dengan binaan asas Hilux ini dipertingkatkan dari segi prestasi dan beberapa ciri kelengkapannya, termasuk rekaan yang lebih segar.

    Seperti yang dipertontonkan di Thailand, Fortuner menerima semakan rekaan untuk bahagian hadapan, dengan gril hadapan baharu, diapit dengan lampu hadapan bi-beam LED baharu yang turut bersepadu dengan lampu nyalaan siang LED bersepadu. Bampar hadapan juga direka semula dengan liang udara sisi bersama perumah lampu kabus lebih besar.

    Juga dipadankan dengan lampu belakang LED tiga dimensi serta roda aloi 18-inci dengan rekaan jejari-terpisah baharu menyerlahkan gayanya. Ia adalah untuk varian yang lebih sporty yang dipanggil Legender di Thailand, tetapi tidak pula ditawarkan di pasaran Australia.

    Di dalam, terdapat perubahan kecil yang dilakukan, ini termasuk kluster instrumen yang dipertingkatkan, dengan kemasan sutera, huruf baharu dan paparan pelbagai-inco pula kini menunjukkan sudut stereng dan juga status penapis zarah. Tempat duduk upholstery juga ditukar ke fabrik kelabu gelap, sementara Crusade pula sama ada dengan kulit tona hitam atau beige.

    Toyota Fortuner 2020 kini dijual di Australia – 2.8L diesel 204 PS, ciri standard Toyota Safety Sense

    Ciri-ciri standard untuk model ini termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang lebih besar berbanding sebelum ini, dengan butang fizikal berbanding kawalan sentuhan-sensitif. Ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem kawalan suara yang ditambah baik juga telah didatangkan secara standard.

    Pasaran Australia hanya menerima satu saja pilihan enjin yang dipertingkatkan iaitu 2.8 liter IGD-FTV empat-silinder turbodiesel dengan hamburan kuasa 204 PS dan tork 500 Nm, lebih 27 PS dan 50 Nm berbanding sebelum ini. Peningkatan otuput tersebut adalah hasil padanan wated-cooled ball-bearing turbocharger yang lebih besar dan juga mekanisma variable nozzle vane baharu, bersama dengan ketegaran, penyejukan dan penjimatan enjin yang dipertingkatkan.

    Bukan setakat enjin saja lebih berkuasa, Toyota juga mendakwa ia memberikan penjimatan bahan api yang efisien. Penggunaannya menurun sebanyak 11.6% iaitu 7.6 liter bagi setiap 100 km bagi kitaran kombinasi, dan 17.3% untuk kitaran urban dengan angka 9.1 liter per 100 km. Semua model turut dilengkapi kotak gear automatik enam-kelajuan dan kapasiti tundaan telah dipertingkatkan ke 3,100 kg, iaitu lebih 300 kg berbanding sebelum ini.

    Toyota Fortuner 2020 kini dijual di Australia – 2.8L diesel 204 PS, ciri standard Toyota Safety Sense

    Toyota Fortuner spesifikasi Thai

    Bagi aspek keselamatan, Fortuner kini didatangkan dengan penderia parkir hadapan sebagai pelengkap penderia belakang. Diperkenalkan pada tahun lalu, sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense, termasuk brek kecemasan aendiri dengan pengesan pejalan kaki pada waktu malam dan pengesan penunggang basikal pada waktu siang, kawalan kelajuan aktif dan bantuan kekal lorong, juga dikekalkan sebagai ciri standard untuk pasaran Australia.

    Ciri standard untuk model asas GX berharga AU$49,080 (RM147,400) termasuklah kotak penyejukan dalaman, roda stereng pelbagai-fungsi, papan pemuka sentuhan lembut, tempat duduk barisan kedua 60:40 yang boleh dibaring dan digelangsarka, larasan kolum stereng telescopic dan tempat duduk hadapan berkuasa dengan larasan enam-talaan untuk pemandu dan empat-larasan bagi penumpang.

    Manakala bagi varian GXL dengan harga AU$54,350 (RM163,200), ia menerima lampu kabus LED, rel bumbung, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lapisan cermin tingkai privasi, radio digital DAB, kawalan suhu automatik dan kawalan menurun bukit. Untuk varian tertinggi Crusade pula, dengan harga AU$61,410 (RM192,200), ciri tambahan yang diterima termasuk larasan tempat duduk hadapan dengan lapan-talaan, cermin pandang belakang anti-silau, kemasan kayuan tiruan gelap, sistem bunyi JBL dengan 11-pembesar suara dan tailgate berkuasa.

    GALERI: Toyota Fortuner facelift 2020 pasaran Thailand

     
     
  • Honda City 2020 – tempahan kini dibuka, 1.5L NA dan M’sia akan jadi yang pertama terima versi RS i-MMD

    Honda City 2020 – tempahan kini dibuka, 1.5L NA dan M’sia akan jadi yang pertama terima versi RS i-MMD

    Selepas beberapa teaser, Honda Malaysia (HM) akhirnya membuka tempahan untuk Honda City 2020 baru. Seperti yang dijangka, versi yang menggunakan enjin 1.0 liter turbo seperti di Thailand tidak dibawa ke sini, tetapi ia ditawarkan dengan enjin 1.5 L NA ataupun hibrid intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Kesemuanya akan ada empat varian.

    Varian paling tinggi adalah City RS i-MMD, dan apabila dilancarkan suku keempat tahun 2020 nanti, ia akan menjadi seperti penampilan pertama di dunia. Setakat ini City baru tidak pernah diperkenalkan sebagai hibrid dan kita akan menjadi yang pertama.

    “City telah terbukti merupakan sebuah model yang penting bagi HM, dan digemari rakyat Malaysia kerana luas, praktikal dan ciri keselamatannya. Sejak diperkenalkan pada tahun 2001 di Malaysia, model ini telah mengumpul jumlah jualan 351,000 unit, dengan yang paling banyak adalah City generasi keempat yang dilancar pada tahun 2014, dengan jumlah keseluruhan 205,000 unit,” kata CEO dan pengarah urusan HM, Toichi Ishiyama.

    “Pelancaran City RS serba baru dengan enjin baru di Malaysia akan menjadi pengenalan pertama di dunia dan lebih awal daripada negara lain. Kami percaya model ini akan merancakkan pasaran melalui gaya serta kejuruteraan yang maju padanya, sambil Honda terus menjadi peneraju dan memperkenalkan Next Generation Advanced Technology lebih pantas,” tambah beliau.

    Penggerak i-MMED baru yang juga dikenali sebagai e:HEV ini didakwa mampu memberikan elektrifikasi berkecekapan tinggi, digabungkan bersama maklum balas terus dan lancar. Seperti yang anda boleh lihat dalam video di atas, HM meletakkan “superior acceleration” sebagai penarik utama, dengan tork yang lebih tinggi daripada Toyota Camry 2.5L iaitu 253 Nm, hasil bantuan motor elektrik hibridnya.

    Sudah tentu, jika anda mahukan prestasi yang biasa sahaja, terdapat City yang ditawarkan dengan enjin 1.5L NA, yang kini dilengkapi dengan DOHC i-VTEC (model sekarang menggunakan SOHC). Di India, model 1.5L DOHC i-VTEC ini menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork, digabungkan bersama transmisi CVT.

    Untuk kelengkapan, hanya varian RS dan V akan diberi dengan lampu utama LED, sementara lampu DRL dan lampu belakang LED datang secara standard untuk semua varian. Selain itu, RS dan V juga dipasang dengan rim 16 inci dua tona, sementara pelindung cermin sisi hitam hanya untuk RS. Pada bahagian lain terdapat kamera Honda LaneWatch (RS dan V) serta brek parkir elektrik (RS sahaja).

    Sesiapa yang menempah awal City serba baru ini akan mendapat baucar servis RM1,000 yang akan sah selama satu tahun. Model ini akan dibawa dalam siri jelajah Honda di seluruh negara bermula 24 Ogos dan nantikan perincian selanjutnya nanti.

     
     
  • Modenas sediakan khidmat servis motosikal bergerak

    Modenas sediakan khidmat servis motosikal bergerak

    Dalam usaha untuk meningkatkan lagi khidmat selepas jualan syarikat, Modenas telah mewujudkan satu servis baru untuk pelanggan, dinamakan sebagai “Direct to your Door.” Ini adalah satu khidmat servis bergerak ditawarkan untuk semua pemilik moped, skuter dan street bike jenama Modenas.

    Walaubagaimanapun, pada masa ini ia hanya ditawarkan oleh dua pusat servis Modenas, iaitu di Ipoh, Perak dan Kuantan, Pahang, manakala pelanggan pula perlu berada dalam lingkungan 15 km daripada pusat servis ini. Di bawah adalah senarai servis yang disediakan.

    Modenas sediakan khidmat servis motosikal bergerak

    Mereka yang mahu menggunakan khidmat ini pertamanya perlu membuat temu janji dengan pusat servis dan kemudiannya juruteknik terlatih akan dihantar untuk melengkapkan proses penyelenggaraan, sama ada menaiki motosikal atau van yang lengkap dengan peralatan diperlukan.

    Khidmat servis bergerak ini disediakan setiap hari, kecuali Ahad dengan waktu operasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang bagi hari biasa dan 9 pagi hingga 12.30 tengahari bagi hari Sabtu. Harga yang dikenakan bergantung kepada servis yang dibuat dan ditambah dengan caj perkhidmatan RM10.

     
     
  • Lencongan trafik di Lebuhraya Shah Alam pada 24 Ogos 2020 hingga 23 Jan 2021 untuk baiki jalan

    Lencongan trafik di Lebuhraya Shah Alam pada 24 Ogos 2020 hingga 23 Jan 2021 untuk baiki jalan

    Pengendali Leburaya Shah Alam (LSA), Kesas Sdn Bhd, telah memaklumkan bahawa lencongan trafik sementara akan dilakukan di sepanjang LSA mulai 24 Ogos 2020 hingga 23 Jan 2021 bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan.

    Di mana kerja-kerja baik pulih itu akan menyebabkan penutupan lorong dilakukan secara berperingkat dari 10 malam hingga 6 pagi di sepanjang LSA bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna lebuh raya, laporan Bernama.

    “Kesas memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi. Pengguna dinasihatkan agar memandu berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda di kawasan kerja,” menurut Kesas.

    Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5633 7188 atau menerusi media sosial Facebook/lebuhrayashahalam atau Twitter@kesastrafik.

     
     
  • SUV Perodua D55L tidak akan dilancarkan tahun ini

    SUV Perodua D55L tidak akan dilancarkan tahun ini

    Tahun ini ramai yang menjangkakan bahawa akan ada ‘perang SUV segmen-B’ dari dua jenama tempatan iaitu Proton X50 dan juga SUV Perodua berasaskan Daihatsu Rocky dikenali dengan kod D55L. Namun berita yang baru kami terima, Perodua mengesahkan bahawa SUV terbaharu yang sedang dibangunkan oleh mereka itu tidak akan dilancarkan tahun ini.

    Perkara ini disebut oleh presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad selepas kami bertanyakan perkembangan terkini model tersebut memandangkan negara kini sedang dilanda Pandemik Covid-19 ketika sesi sidang media selepas berlangsungnya acara penyerahan sijil kepada vendor Perodua semalam, yang diadakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

    Menurut beliau lagi, pelancaran SUV segmen-B tersebut bukannya ditunda kerana pandemik berkenaan, sebaliknya Perodua memang tidak merancang untuk melancarkannya pada tahun ini. Perkara ini nampaknya bercanggah dengan laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa D55L telah dirancang untuk dilancarkan pada suku kedua tahun 2020.

    SUV Perodua D55L tidak akan dilancarkan tahun ini

    “Saya tak boleh kata bila, tetapi dalam perancangan asal kami ia tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, kami perlu merangka semula jadual, dan ketika ini kami belum lagi membuat keputusan bila mahu melancarkannnya ,” jawab Zainal.

    Ketika pembentangan prestasi tahunan untuk 2019 pada Januari lalu, Perodua mengatakan bahawa mereka merancang untuk melabur sejumlah RM1.06 bilion, atau sekali ganda berbanding jumlah yang dikeluarkan untuk tahun 2019, untuk proses modenisasi dan memperbesarkan kilang serta persedian untuk memasang “model akan datang”, yang dijangka adalah SUV D55L tersebut. Mungkin kerana pandemik dan juga PKP berberapa bulan sebelum ini telah mengganggu atau melambatkan rancangan Perodua bagi melengkapkan fasiliti mereka mengikut jadual asal.

    Permintaan yang naik tanpa dijangka bagi model-model sedia ada selepas kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan sehingga hujung tahun ini juga mungkin penyebab pelancaran D55L ini ditangguh. Setakat ini, Perodua mempunyai kemampuan untuk memproduksi sekitar 25,000 kenderaan sebulan, dan mereka telah menggunakan sekitar 98 hingga 99 peratus kapasiti produksi mereka.

    Unit prototaip D55L yang dijumpai sedang diuji (kiri atas), model konsep Perodua X-Concept (kiri bawah) dan Daihatsu Rocky pasaran Jepun (kanan)

    Menurut Zainal lagi ini akan berterusan sehingga Disember nanti bagi memenuhi permintaan dari pasaran. Dari perspektif perniagaan, keutamaan yang diberikan tersebut adalah logik kerana mereka perlu menghasilkan seberapa banyak kereta yang boleh sebelum cuti cukai ini berakhir pada 31 Disember nanti.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, D55L merupakan kembar kepada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize pada pasaran Jepun, dihasilkan dari platform baharu DNGA, dan dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo menghasilkan 98 PS dan tork maksima 140 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

    Walau bagaimanapun, rekaan sebenar SUV ini masih lagi sukar untuk digambarkan – boleh jadi Perodua hanya menukar berberapa perincian seperti yang mereka buat pada kembar Toyota Rush-Daihatsu Terios-Perodua Aruz, atau mungkin menghasilkan badan atas tersendiri seperti Myvi generasi ketiga dan Bezza dengan rekaan berasaskan model konsep Perodua X-Concept.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024