Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Lexus secara rasminya telah melancarkan crossover kompak UX200 ke pasaran Malaysia hari ini. Ia bukan sahaja menjadi model paling mampu milik yang ditawarkan oleh Lexus Malaysia, malah jenama tersebut kini mempunyai produk untuk masuk ke segmen yang berhadapan terus dengan model-model Eropah seperti Mercedes-Benz GLA, BMW X1, Audi Q3 dan juga Volvo XC40.

    Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, UX 200 boleh dipilih dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia, bermula dengan varian paling asas UX 200 Urban berharga RM243,888, UX 200 Luxury berharga RM243,888, dan UX 200 F Sport berharga RM299,888. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian dilindungi waranti lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Walau bagaimanapun, ketiga-tiga varian ini dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin M20A 2.0 liter empat silinder Dynamic Force dengan sistem suntikan terus D-4S. Tanpa pendesak turbo, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 169 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 205 Nm pada takat 4,800 rpm.

    Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik Direct Shift CVT (dilengkapi launch gear pada nisbah pertama) dan diberikan 10-kelajuan maya. Ini membolehkan UX 200 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 190 km/j.

    UX merupakan model pertama Lexus yang dihasilkan dari platform Global Architecture – Compact, atau sebenarnya platform yang sama dengan Toyota New Global Architecture (TNGA) yang sama untuk Toyota C-HR, tetapi dalam versi lebih premium. Ia diberikan sistem suspensi topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, ditala bagi memberikan keselesaan dan kelincahan, bersama “personaliti pemanduan yang tersendiri”, menurut Lexus.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 4,496 mm panjang, lebar 1,840 mm, tinggi 1,520 mm, jarak roda 2,639. Berbanding NX, UX ini menampilkan panjang keseluruhan yang 144 mm lebih pendek, dengan jarak roda 21 mm lebih dekat.

    Muka UX ini diberikan gril spindel signatur Lexus dengan elemen blok 3D yang memberikan bentuk berlainan pada sudut pandang berbeza. Ia diapit dengan lampu hadapan LED projektor (standard untuk semua varian) yang tirus dan tajam, dan diberikan jalur lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah bersepadu.

    Untuk varian Urban, ia diberikan rim 17-inci berwarna kelabu gelap yang direka dengan liang aerodinamik, manakala model Premium hadir dengan rim 18-inci kemasan dua tona.

    Pada bahagian belakang, ia diberikan lampu LED yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate, bersama elemen spindel yang sama seperti di bahagian hadapan. Jika anda lihat dengan teliti, lampu belakang crossover ini juga direka seakan spoiler dan sememangnya mempunyai fungsi aerodinamik dan memberikan lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

    Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Untuk model tertinggi F Sport, ia hadir dengan gril hadapan dengan elemen mesh unik, liang udara lebih besar dan juga set rim 18-inci dalam kemasan kelabu bagi disesuaikan dengan kemasan pada bampar hadapan dan belakang.

    Masuk ke kabin, UX diberikan rekaan papan pemuka yang fokus untuk pemandu di mana panel kawalan lebih tertumpu kearah pemandu, membolehkan setiap butang dan suis dapat dicapai dengan mudah. Pada bahagian atas papan permukaan papan pemuka untuk varian Luxury, ia diberikan tekstur yang diinspirasikan dari kertas washi Jepun (material yang digunakan pada pintu rumah Jepun).

    Fungsi Remote Touch diberikan menerusi touch pad pada perehat tangan di terowong tengah, bagi memudahkan pemandu mengawal sistem infotainmen.

    Untuk varian Urban, ia menerima kelengkapan seperti lampu hadapan automatik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, skrin tujuh-inci untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital, sistem pendingin hawa dua-zon dengan liang kabin belakang, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan larasan berkuasa lapan-hala, upholsteri kulit sintetik Nuluxe, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara dan kemera undur.

    Varian Luxury dengan harga RM40,000 lebih mahal pula akan ditambah dengan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang dengan fungsi auto-dimming, kemasan dalaman metalik, roda stereng larasan berkuasa, tempat duduk hadapan dengan liang pendingin hawa dan fungsi memori, upholsteri kulit, plat bendul sisi aluminium, skrin infotaimen 10.3-inci, lapan pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan juga pintu tailgate dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan.

    Bagi model F-Sport pula ia bukan sahaja hadir dengan ciri kosmetik lebih sporty seperti tempat duduk sport, pedal penukar gear, paparan head-up dan paparan instrumen digital dengan gaya seperti Lexus LFA (takometer dan gelang tengah yang boleh bergerak), malah hadir dengan peralatan prestasi seperti penyerap hentak adaptif.

    Lexus UX juga dilengkapi dengan sistem keselamatan antara yang termaju dalam kelasnya, di mana kesemua model diberikan standard dengan sistem brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, lampu hadapan adaptif, lane centring assist dan lapan-beg udara. Model Luxury dan F Sport turut ditambah dengan pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    GALERI: Lexus UX 200 Urban

    GALERI: Lexus UX 200 Luxury

     
     
  • Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

    Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

    Selain Mazda 2 2020 dan roadster MX-5 RF 2020, Bermaz Motor turut melancarkan SUV CX-9 yang dipertingkatkan. SUV tujuh-tempat duduk ini pernah menerima penambahbaikan pada Oktober 2018 yang termasuk dengan kehadiran sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360-darjah dan juga fungsi pengudaraan untuk tempat duduk hadapan.

    Masih mengekalkan dua varian yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan memiliki identiti yang hampir sama, melainkan salah satunya adalah pacuan semua-roda. Untuk model 2020 ini, versi 2WD dijual pada harga atas jalan RM319,610.40 tanpa insurans, sementara varian 4WD pula berharga RM336,610.40. Kedua-duanya didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan penyelenggaran percuma selama lima-tahun/100,000 km. Di mana harganya adalah RM29,000 lebih mahal berbanding sebelum ini.

    Bagi perubahan gayanya, rekaan lencana dan huruf CX-9 diberikan dikemaskinikan, disesuaikan dengan identiti korporat terkini Mazda. Sementara kemasan kelabu metalik baharu digunakan pada roda aloi aluminium yang bersaiz 20-inci.

    Di dalamnya, kini ditampilkan dengan jahitan warna perak pada tempat duduk balutan kulit hitam dan skrin sesentuh infotainmen Mazda Connect telah dipertingkatkan dengan unit skrin yang lebih besar bersaiz 9-inci, masih dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bersama Commander Control.

    Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

    Kelengkapan tambahan lain termasuklah butang penahan brek automatik yang terletak berhampiran dengan brek parkir elektronik, sementara sistem pengingatan tali pinggang keledar kini diberikan untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk, berbanding hanya pada tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan seperti sebelum ini. Penumpang di barisan ketiga juga kini turut menerima dua port pengecas USB, tambahan kepada satu unit sedia ada sebelum ini dan untuk barisan pertama dan kedua juga ada dua port berkenaan untuk setiap satunya.

    Enjin 2.5 liter pengecas turbo SkyActiv-G empat-silinder petrol masih bertugas untuk menghamburkan kuasa sehingga 228 hp pada 5,000 rpm dan lonjakan tork hingga 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik torque converter SkyActiv-ZDrive enam-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda-hadapan atau pun kesemua roda menerusi sistem pacuan semua-roda i-Activ.

    Model AWD kini didatangkan dengan Bantuan Cengkaman Off-road, lanjutan bagi Sistem Kawalan Cengkaman (TSC). Butang tersebut menggantikan butang kawalan cengkaman biasa, dan apabila ia dihidupkan, ia akan membantu pemandu untuk melenjan laluan off-road dengan mengurangkan tork enjin dan menambahkan kuasa brek pada roda tanpa cengkaman.

    Kelengkapan baharu lain untuk penjana kuasa ini termasuklah teknologi melahu i-Stop yang tidak ditampilkan pada model sebelum ini, tetapi sistem pemulihan tenaga berasaskan kapasitor i-ELOOP masih tidak diberikan. Selain itu, Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) turut diberikan, menggantikan sistem G-Vectoring Control yang tanpa penvektoran tork oleh brek.

    Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

    Kelengkapan standard untuk kedua-dua varian 2WD dan 4WD termasuk lampu utama LED larasan-sendiri, automatik, lampu belakang LED, bilah pengelap cermin automatik, tailgate kuasa, bumbung matahari kuasa, penderia parkir hadapan dan belakang (empat unit bagi setiap satu) dan kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin.

    Di dalamnya, ia didatangkan dengan tempat duduk kuasa, dengan larasan 10-hala dan fungsi memori dua-posisi untuk bahagian pemandu, dan penumpang hadapan pula hanya enam-cara larasan. Seperti yang dimaklumkan, fungsi pengaliran udara dan pemanas pada tempat duduk ditawarkan secara standard.

    Manakala untuk barisan kedua boleh dipisahkan secara 60:40 dengan kawalan akses mudah untuk ke barisan ketiga, yang boleh dipisahkan secara 50:50. Lain-lain kelengkapan termasuk paparan kluster instrumen 4.6-inci, berwarna, Paparan Pemanduan Aktif yang dipancarkan pada cermin hadapan, kawalan suhu tiga-zon dengan corong udara pada barisan kedua, fungsi navigasi dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara.

    Mazda CX-9 2020 kini di Malaysia – brek penahan auto, i-Stop baharu, skrin sesentuh besar; dari RM320k

    Kit keselamatan tidak banyak perubahan seperti sebelum ini, dan ia termasuklah enam beg udara (hadapan, sisi dan tirai), ABS, DSC, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, TCS, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan dan cagak Isofix untuk tempat duduk barisan kedua.

    Turut dikekalkan ialah bantuan pemanduan i-ActivSence dan set keselamatan termasuklah Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LAS) dan Kepekaan Perhatian Pemandu (DAA). Sistem Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) masih kekal tetapi telah ditambah baik dengan pengesan pejalan kaki untuk hadapan dan belakang.

    CX-9 ditawarkan dengan lima pilihan warna – Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl dan Sonic Silver – untuk kedua-dua varian, dan terdapat beberapa pilihan aksesori. Ini termasuklah penutup tonneau untuk but yang berharga RM2,600 dan lapisan cermin keselamatan (Skytint) berharga RM2,000. Untuk spesifikasi penuh Mazda CX-9 2020, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

    Diperkenalkan buat pertama kali pada 2016, kini Mercedes-Benz E-Class W213 sudahpun masuk ke fasa facelift. Model kemaskini tersebut bukan sahaja menerima rupa lebih segar dengan perubahan yang signifikan, ia juga diberikan perubahan dari segi teknologi dan kelengkapan.

    Model ini akan mula dijual di pasaran Eropah pada musim panas tahun ini, dan ia akan tampil dengan bentuk badan sedan dan wagon (model Estate dan All-Terrain). Versi dua pintu coupe dan cabriolet akan menyusul kemudian, bersama model jarak roda lebih panjang khas untuk pasaran China.

    Tidak sukar untuk kita membezakan versi baharu ini dengan model sebelumnya kerana ia tampil dengan perubahan bahagian luaran yang agak banyak. Muka sedan ini diubah dengan gril utama yang lebih nipis, diapit dengan lampu hadapan LED penuh (standard untuk semua, opsyen Multibeam dengan lampu tinggi Ultra Range ditawarkan) lebih bersegi dan kelihatan lebih kecil.

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

    Jalur lampu nyalaan siang LED berbentuk-L yang kelihatan seperti kening juga dibina bersepadu di dalam lampu utama, seakan model-model baharu Mercedes-Benz yang lain seperti CLA C118 dan CLS C257. Bahagian belakang turut menerima perubahan cukup besar dimana lampu bentangan menegak pada model asal telah digantikan dengan lampu melintang ‘two-piece’ seakan lampu pada A-Class V177.

    Mercedes-Benz menawarkan pelbagai pakej pengayaan untuk W213 facelift ini termasuk Avantgarde Line, Exclusive Line dan AMG Line. Seperti sebelum ini, Avantgarde merupakan varian paling asas dan ia menampilkan gril dengan dua louvre krom. Versi pertengahan Exclusive pula diberikan gril tiga louvre, elemen krom lebih besar dan juga logo tradisional Merecedes-Benz yang berdiri pada hujung muncung bonet.

    Seperti biasa, AMG-Line merupakan versi paling sporty pada model-model biasa, diberikan gril dengan elemen batu permata dan louvre tunggal paling agresif serta liang udara A-wing pada bampar hadapan.

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

    Selain dari tiga versi ini, E-Class X213 All-Terrain facelift turut diperkenalkan, iaitu versi dengan penggayaan seperti crossover yang menampilkan suspensi lebih tinggi dan juga kemasan-kemasan pelindung di bahagian bawah badan yang berwarna hitam.

    Tiga warna baharu diperkenalkan pada model kemaskini ini iaitu High-tech Silver, Graphite Grey Metallic dan Mojave Silver, serta pelbagai pilihan set rim rekaan baharu.

    Walau bagaimanapun, kabin W213 facelift ini tidak menerima perubahan besar seperti pada bahagian luarannya. Papan pemuka masih dibintangi oleh paparan instrumen digital Widescreen Cockpit dengan dua skrin bersaiz 10.25-inci, bersama empat tetapan penggayaan iaitu Modern Classic, Sport, Progressive dan Discreet. Apa yang baharu adalah pada sistem infotaimen kerana ia kini sudahpun menerima sistem berasaskan teknologi A.I Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

    Selain itu, ciri baharu lain yang turut diberikan pada model ini adalah termasuk roda stereng rekaan baharu (bergantung pada pakej penggayaan) dengan butang kapasitif Touch Control, opsyen upholsteri baharu, tempat duduk kinetic Energizing dan kawalan keselesaan (dengan koc Energizing dan PowerNap) serta sistem pelindungan kenderaan Urban Guard.

    Sistem-sistem bantuan pemanduan sedia ada terus dibekalkan pada E-Class baharu ini. Sistem Active Brake Assist kini diberikan secara standard, manakala pakej Driving Assistance ditawarkan sebagai pilihan, terdiri dari sistem Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist (dengan fungsi koridor kecemasan), Active Blind Spot Assist dan Active Parking Assist bersama Parktronic.

    Roda stereng baharu pada E-Class ini turut hadir dengan pengenal hand-off – ini membolehkan pemandu tidak perlu lagi memberikan sedikit input ketika dalam mod separa-autonomous bagi memberitahu sistem bahawa anda masih menumpukan perhatian pada pemanduan, dan hanya perlu memegang roda stereng tersebut.

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

    E-Class W213 ini masih dijana pilihan enjin petrol, diesel dan juga yang diberikan teknologi elektrifikasi. Untuk versi petrol, ia dijana oleh enjin baharu M254 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 156 PS, dibantu oleh sistem hibrid ringkas 48-volt dengan motor ISG yang membekalkan kuasa tambahan 20 PS/180 Nm apabila diperlukan. Enjin ini menggantikan unit M274 sebelum ini.

    Untuk enjin M256 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris pula, ia menjana sejumlah 367 PS, dan kedua-dua pilihan enjin petrol ini digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic. Manakala untuk versi diesel, ia ditawarkan dengan enjin OM654 2.0 liter empat silinder berkuasa 160 PS dan juga enjin OM656 3.0 liter enam-silinder berkuasa 330 PS.

    Untuk versi awalan juga, W213 facelift turut hadir dalam versi prestasi Mercedes-AMG E 53 4Matic, juga ditawarkan dalam bentuk badan sedan dan Estate. Ia dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder berkuasa 435 PS dan tork maksima 520 Nm, bersama unit starter-alternator EQ Boost yang membekalkan kuasa tambahan 22 PS/250 Nm pada masa-masa tertentu.

    Kuasa tersebut dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift TCT 9G dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+. Gandingan berkenaan membolehkan E 53 ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.5 saat (sedan) dan 4.6 saat (Estate), dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Jika anda memilih pakej opsyenal AMG Driver, kelajuan maksima model ini meningkat kepada 270 km/j dan akan disertakan dengan suspensi udara AMG Ride Control+.

    Dengan kuasa yang lebih besar, versi AMG sebenar ini turut menampilkan rupa lebih garang dengan diberikan gril hadapan Panamericana dan diffuser belakang lebih agresif yang menempatkan empat tip ekzos. Dalam kabin, E 53 AMG menerima roda stereng AMG Performance, instrumen paparan AMG, sistem mod pemanduan AMG Dynamic Select dan juga pakej opsyen AMG Dynamic Plus.

    Mercedes-Benz E-Class facelift W213 AMG Line

    Mercedes-Benz E-Class facelift W213 Exclusive Line

    Mercedes-Benz E 53 4Matic+ W213 Sedan facelift

    Mercedes-Benz E 53 4Matic+ W213 Estate facelift

     
     
  • Honda M’sia anjur promosi istimewa ‘3onus’ March – rebat hingga RM10k; tak termasuk Accord, Civic 2020

    Honda M’sia anjur promosi istimewa ‘3onus’ March – rebat hingga RM10k; tak termasuk Accord, Civic 2020

    Walau baru-baru ini keputusan Honda Malaysia untuk menaikkan harga bagi barisan model pemasangan tempatan (CKD) hingga mengundang rungutan ramai, ini hah untuk mengubati ‘rasa kurang senang’ tersebut, syarikat terbabit telah mengumumkan tawaran istimewa ‘3onus’ March dengan kombinasi promosi “Bonus Terima Kasih” sepanjang Mac ini. Ia melibatkan tawaran rebat dan juga pilihan sama ada kad petrol bernilai RM500 atau pun tunai. Tawaran ini melibatkan barisan model 2019 dan 2020, serta anda berpeluang mendapat penjimat tunai sehingga RM10,000.

    Untuk model buatan tahun 2019, jumlah penjimatan bermula RM4,000 untuk Honda HR-V dan RM4,500 bagi CR-V. Manakala hatchback Jazz pula menerima RM5,000 dan RM6,000 bagi sedan segmen-B City. Untuk MPY Odyssey yang diimport sepenuhnya pula bakal memberikan penjimatan sehingga RM6,000.

    Klik untuk besarkan

    Walau bagaimana pun, jika anda memilih varian CKD hibrid, rebat melonjak hingga RM10,000 untuk HR-V Hybrid, dan RM9,000 untuk City dan Jazz Hybrid. Pilihan hibrid berkenaan nampaknya lebih menjimatkan termasuklah daripada segi penggunaan bahan api.

    Jika anda memilih model buatan tahun 2020, jumlah rebat sebanyak RM2,000 untuk HR-V, RM2,500 bagi Jazz, RM3,000 untuk City dan RM3,000 untuk CR-V. Rebat ini sama untuk semua varian bagi barisan model berkenaan. Semua promosi ini adalah tertakluk sementara stok masih ada, dengan pendaftaran dibuat sepanjang Mac 2020.

    Kenapa pula Civic facelift dan Accord baharu tiada dalam senarai tawaran rebat ini? Jawapannya, kedua-dua model berkenaan baru saja dilancarkan minggu lalu. Begitu juga dengan BR-V 2020 yang baru saja dibuka tempahan semalam tapi masih belum dilancarkan. Tak termasuk dalam senarai promosi ini. Harap maklum.

     
     
  • Porsche 911 Turbo S 2020 didedahkan – boxer 3.8L biturbo berkuasa 650 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat!

    Porsche 911 Turbo S 2020 didedahkan – boxer 3.8L biturbo berkuasa 650 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat!

    Model generasi terkini Porsche 911 iaitu generasi 992 kini hadir dengan antara varian paling berkuasa iaitu Turbo S. Datang dalam bentuk badan Coupe dan Cabriolet, ia masih dijana enjin boxer enam-silinder dengan dua pengecas turbo, tetapi kini menjana 70 PS/50 Nm lebih berkuasa dari Turbo S generasi 991.2, dengan kuasa yang dicatatkan pada 650 PS dan tork maksima 800 Nm!

    Bagi mendapatkan kuasa yang lebih besar ini, kedua-dua pengecas turbo dengan geometri turbin bervariasi pada enjin ini diubahsuai bagi memberikan suapan boost yang lebih bertenaga – roda turbin kini 5 mm lebih besar menjadikan diameter keseluruhan kini 55 mm, manakala roda pemampat pula dibesarkan 3 mm kepada 61 mm.

    Kemudian, sistem kemasukan udara juga menerima rekaan baharu. Selain dari menerima udara dari liang sebelah sisi, dua lagi liang pengambilan udara diletak bersepadu pada gril belakang menjadikan empat liang udara secara keseluruhan.

    Kuasa dari enjin yang terletak pada bahagian kereta ini dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan PDK dan sistem AWD yang menerima Porsche Traction Management (PTM) dengan kotak penghantaran kuasa yang mampu memindahkan tork sehingga 500 Nm ke gandar hadapan.

    Ini membolehkan 911 Turbo S memecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.7 saat (0.2 saat lebih pantas dari sebelum ini) dan 0-200 km/j dalam masa 8.9 saat. Turbo S mampu mencapai kelajuan maksima 330 km/j. Penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan pada 11.1 l/100 km untuk Coupe dan 11.3 l/100 km untuk Cabriolet.

    Model generasi baru ini telah dihasilkan lebih ‘kembang’ – dengan lebar 1,840 mm di hadapan dan 1,900 mm di belakang atau masing-masing 45 mm dan 20 mm lebih lebar dari model sebelum ini. Ia secara tidak langsung memberikan jarak trek roda yang lebih jauh iaitu 42 mm di hapadan dan 10 mm di belakang berbanding versi sebelumnya.

    Turbo S diberikan set rim 20-inci dengan tayar 255/35R20 di hadapan dan rim 21-inci bersama tayar 315/30R21 di belakang. Manakala untuk menghentikan kereta ini pula, ia dilengkapkan dengan brek komposit seramik PCCB dengan cakera yang lebih besar dari sebelum ini, bersama angkup 10-omboh.

    Pembeli turut ditawarkan dengan ciri opsyen untuk casis Turbo S ini iaitu Porsche Active Suspension Management (PASM) yang akan merendahkannya 10 mm dari biasa.

    Untuk bahagian dalaman, 911 Turbo S menerima upholsteri kulit penuh, digandingkan dengan kemasan-kemasan gentian karbon dan serlahan berwarna perak. Skema warna dua-tona pada kabin turut ditawarkan secara opsyen menerusi Porsche Exclusive Manufaktur.

    Penumpang hadapan akan diberikan tempat duduk sport dengan larasan elektrik 18-hala dengan sulaman yang diinspirasikan dari 911 Turbo generasi 930 keluaran tahun 1974, manakala pada papan pemuka diletakkan skrin 10.9-inci untuk sistem infotainmen PCM, bersama sistem audio surround dari Bose.

    Pemandu pula akan menerima maklumat menerusi dua paparan instrumen digital dengan takometer gaya klasik yang terletak di tengah, roda stereng sport GT, manakala bagi yang memilih ciri opsyen pakej Sport Chrono turut akan dibekalkan dengan aplikasi bersepadu Porsche Track Percision.

    Porsche 911 Turbo S generasi baharu ini akan mula dijual di Jerman dengan harga bermula €216,396 (RM1,011,301) untuk versi Coupe, manakala versi bumbung boleh buka pula dijual pada harga bermula €229,962 (RM1,074,700).

     
     
  • Audi A3 Sportback 2020 tampil imej, teknologi baru

    Audi A3 Sportback 2020 tampil imej, teknologi baru

    Nampak gayanya Audi juga tidak mahu ketinggalan dalam memperkenalkan model baharunya di peringkat global, biar pun kerancakan dunia automotif antarabangsa sedikit terencat dek penularan wabak coronovirus atau COVID:19. Walau bagaimana pun, model Audi A3 Sportback 2020 generasi ke-empat ini dilihat mampu menarik perhatian pemerhati dunia automotif, tapi apakah keistimewaan yang mahu ditonjolkan kali ini?

    Kalau dilihat daripada pandangan mata kasar, memang tak banyak perubahan yang dilakukan. Namun jika diperhatikan lebih terperinci, bahagian luarannya telah diperkemaskinikan. Paling ketara ialah bahagian sisinya yang kelihatan lebih ‘ke dalam’ pada bahagian tengah memberikan ilusi yang lebih berat yang mengunjur hingga ke hadapan dan belakang. Sementara gril “bingkai tunggal” kini lebih rendah dan lebar berbanding sebelum ini, terletak di bawah garisan bonet untuk perta kalinya ditampilkan sedemikian rupa.

    Ia turut disambungkan dengan lampu utama berbentuk-L (dengan versi LED matrix yang memiliki lampu nyalaan siang “digital” bersama 15 unit LED di antara kedua-duanya, memberikan paten yang berbeza mengikut varian yang dipilih) dan juga corong udara palsu yang besar. Pada bahagian belakangnya, kelihatan lampu yang lebih nipis dengan rekaan grafik yang sama dengan unit di hadapan, bersama beberapa corong palsu.

    Bahagian dalaman juga lebih besar berbanding model semasa, dengan beberapa ciri yang lebih segar termasuk corong udara yang dipasang sedikit tinggi di antara kedua-dua belah paparan instrumen digital; penumpang hadapan juga menerima sepasang corong udara di hadapan mereka. Selain itu, terdapat banyak kemasan hitam berkilat di antara deko dan paparan – dengan skrin sesentuh 10.1-inci standard.

    Audi A3 Sportback 2020 tampil imej, teknologi baru

    Ciri baharu lain yang turut ditampilkan termasuklah sistem Multi Media Interface (MMI) terkini, berasaskan Modular Infotainment Matrix (MIB) generasi ketiga dari Volkswagen. Ia mampu melonjak pemprosesan kuasa sebanyak 10 kali ganda berbanding unit sebelumnya, turut menawarkan WiFi hotspot, DAB+ digital radio (online/ pilihan radio hybrid), imej Google Earth navigasi, ketersambugan car-to-X dengan informasi lampu isyarat dan parkir, Apple CarPlay, Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan ketersambungan dengan aplikasi telefon pintar myAudi.

    Malahan A3 ini turut menawarkan Audi connect key untuk membolehkan telefon pintar Android membuka kunci dan menghidupkan enjin, serta sambungan dengan bantuan personal Amazon Alexa. Pembeli juga boleh memilih paparan instrumen kokpit maya Audi gred tertinggi atau versi tambahan dengan paparan 12.3-inci. Paparan utama juga termasuk dalam senarai pilihan.

    Audi berkata ruang dalaman yang lebih luas berbanding sebelum ini disebabkan saiz yang dipertingkatkan. Kini A3 berukuran 4.34 meter panjang dan 1.82 meter lebar, bermakna versi baharu A3 ini juga memiliki tiga sentimeter lebih panjang untuk setiap dimensi, manakala 1.43 meter tinggi dan 2.64 meter bagi jarak roda tidak berubah. Ruang but pula berkapasiti 380 liter (cecah 1,200 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya) dan didatangkan dengan lantai dua tingkat dan pilihan tailgate berkuasa bebas tangan.

    Audi A3 Sportback 2020 tampil imej, teknologi baru

    Untuk semua pasaran Eropah, A3 ini didatangkan dengan brek kecemasan sendiri, bantuan stereng kecemasan dan amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta, amaran pintu dibuka, kepekaan lintasan trafik dan bantuan parkir, serta kawalan kelajuan adaptif dan bantuan kekal lorong.

    Untuk pelancarannya, A3 ini ditawarkan dengan tiga varian enjin pengecas turbo, termasuk 1.5 liter TSI petrol (150 PS), 2.0 liter TDI diesel (sama ada 116 PS atau 150 PS0). Pilihan transmisi termasuk manual enam-kelajuan dan dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan dengan tuil gear elektronik baharu. Kesemua varian didatangkan dengan pacuan roda-hadapan. Akan datang pula varian dengan pacuan semua-roda quattro, serta hibrid sederhana, plug-in hybrid dan model S serta RS.

    Seperti model terkini Mercedes-Benz A-Class, model asas A3 didatangkan dengan gandar topang torsion untuk belakang, dengan suspensi empat-sambungan dengan menambahkan kuasa hingga 150 PS atau lebih. Bagi larasan standard, ia didatangkan dengan suspensi sport (standard dengan kemasan S line) dengan dimensi tinggi yang direndahkan sebanyak 15 mm, adaptive damper juga merendahkan ketinggian kereta sebanyak 10 mm.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga diteruskan – DreamEdge akan dedahkan kereta prototaip penuh Julai tahun ini

    Projek kereta nasional ketiga diteruskan – DreamEdge akan dedahkan  kereta prototaip penuh Julai tahun ini

    Walaupun kerajaan telah bertukar menerusi kemelut politik yang berlaku baru-baru ini, CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari mengesahkan projek kereta nasional baharu (NNCP) yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamed tetap akan diteruskan.

    Menurut beliau, projek yang diterajui oleh syarikat kejuruteraan digital, DreamEdge yang berpusat di Cyberjaya akan berjalan seperti sebelum ini kerana ia tidak melibatkan sebarang campur tangan atau dana dari kerajaan.

    “NNCP tidak akan dihentikan, Ia bukan projek yang menerima dana kerajaan, tetapi projek dengan dana swasta, dan NAP 2020 memberikan berberapa insentif untuk projek sebegini, jadi apa yang sedang dibuat ini kekal,” katanya kepada wartawan ketika pembentangan prestasi industri MARii semalam.

    Projek kereta nasional ketiga diteruskan – DreamEdge akan dedahkan  kereta prototaip penuh Julai tahun ini

    “Untuk sektor swasta, selagi mereka mahu melakukakan ini (projek kereta nasional ketiga) ia akan diteruskan. Jika mereka kata mereka mahu berhenti, tiada apa yang boleh dilakukan kerajaan, tetapi apa yang kami tahu sehingga kini tiada berita yang mengatakan mereka akan berhenti,” katanya.

    Menurut Datuk Madani lagi, DreamEdge mahu mendedahkan prototaip kereta baharu mereka pada acara Malaysia Autoshow 2020 – pada awalnya dirancang akan berlangsung pada April ini, tetapi ditangguhkan ke Julai nanti kerana wabak virus COVID-19 yang masih belum reda.

    Projek NNCP ini disuarakan oleh Tun Dr Mahathir pada Jun 2018, dan selepas berberapa perbincangan dan penilaian, Ogos tahun lalu DreamEdge telah diumumkan untuk menerajui projek ini.

    Projek kereta nasional ketiga diteruskan – DreamEdge akan dedahkan  kereta prototaip penuh Julai tahun ini

    Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.

    Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

    Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

    Projek kereta nasional ketiga diteruskan – DreamEdge akan dedahkan  kereta prototaip penuh Julai tahun ini

    Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.

    Ketika majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bulan lalu, DreamEdge telah pun meletakkan teaser prototaip kereta berkenaan untuk tatapan orang ramai – diletakkan dalam kotak gelap dan hanya mendedahkan bahagian lampu hadapan dan belakang.

    DreamEdge menyifatkan kereta ini sebagai “akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang,” dan ” menerima rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini,” serta “akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.”

    Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Madani turut menjelaskan bahawa setiap poin polisi dalam NAP 2020 akan diteruskan dan tidak berubah walaupun kerajaan telah bertukar.

    “NAP telah diluluskan oleh kabinet sebelum ini, dan Perdana Menteri sekarang turut berada dalam Kabinet yang sama, jadi kami – dan semua di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – berpandangan bahawa kerajaan baharu tidak akan mengubah perkara ini, dan meneruskan polisi dan garis panduan berkenaan. Visi NAP ini adalah agak holistik bagi memastikan bukan hanya pembangunan tempatan, malah semua pihak dapat bertumbuh dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

     
     
  • Mazda MX-5 RF 2020 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – lebih banyak kit keselamatan, dari RM266k

    Mazda MX-5 RF 2020 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – lebih banyak kit keselamatan, dari RM266k

    Selain Mazda 2 facelift 2020, Bermaz Motor turut mengumumkan kehadiran Mazda MX-5 RF 2020 di pasaran Malaysia, yang hadir dengan sedikit perubahan dan juga dengan harga yang diumumkan lebih tinggi berbanding model sebelumnya.

    MX-5 untuk pasaran tempatan hanya ditawarkan dengan varian tunggal RF ‘targa top’, yang dipertingkatkan pada tahun lalu. Model tahun 2019 itu didatangkan dengan unit 2.0 liter NA SkyActiv-G empat-silinder petrol. Tetapi beberapa bahagian telah direka semula seperti piston, connecting rod, crankshaft, throttle body dan intake valve, membuatkan enjin ini boleh dikerah 700 rpm lebih tinggi, iaitu hingga 7,500 rpm, dengan peningkatan kuasa sehingga 184 PS (berbanding 160 PS pada model terdahulu) pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm (meningkat dari 200 Nm) pada 4,000 rpm.

    Mazda berkata jumlah tork telah ditambah dengan lonjakan sebanyak 15%. Malahan Mazda turut menambah baik bunyi pada enjin, dengan membuang material dari struktur dalaman muffler dan juga melakukan sedikit peningkatan bagi mengurangkan bunyi bising berfrekuensi-tinggi. Seperti sebelum ini, ia juga didatangkan dengan pilihan kotak gear automatik dan manual enam-kelajuan. Dan elemen tersebut masih dikekalkan untuk versi 2020.

    Mazda MX-5 RF 2020 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – lebih banyak kit keselamatan, dari RM266k

    Versi peningkatan 2019 yang diumumkan oleh Bermaz pada Ogos tahun lalu, turut menambah larasan stereng teleskopik (sebelum ini digugurkan untuk pengurangan berat), kawalan kelajuan dan paparan pelbagai-inco TFT berwarna 4.6-inci. Ciri baharu lain termasuk ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard bagi sistem infotainmen Mazda Connect dan juga skrin sesentuh tujuh-inci. Semua ciri tersebut masih ditampilkan pada versi 2020.

    Kelengkapan standard lain termasuklah lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matrix, lampu nyalaan siang LED, aloi hitam 17-inci, penderia undur, kemasukan tanpa kunci dengan pengunci walk-away, butang penghidup enjin, bilah pengelap cermin/lampu auto, cermin pandang belakang anti silau, pendingin hawa auto, material kulit dan sistem bunyi Bose dengan sembilan-pembesar suara, termasuk pembesar suara pada bahagian perehat kepala.

    Ciri tambahan bagi model 2020 ini lebih kepada kit keselamatan. Di samping cagak Isofix pada tempat duduk penumpang dengan fungsi penutup beg udara, kereta sport ini juga kini didatangkan dengan ciri i-Activsense seperti Pemantauan Titik Buta dengan Kepekaan Lintasan Trafik belakang, Sokongan Brek Bandar Pintad dan Kepekaan Perhatian Pemandu. Roadster ini juga menerima rekaan lencana dan huruf Mazda yang terkini, di mana ia lebih kurang menyerlah.

    Harga atas jalan bagi model yang diimport (CBU) dari Jepun ini bermula RM266,154 untuk manual dan RM268,154 bagi auto, tanpa insurans. Ia sedikit tinggi berbanding harga atas jalan yang ditawarkan bagi model 2019 iaitu RM259,154 (MT) dan RM260,354 (AT). MX-5 RF yang dilancarkan di negara ini pada April 2017 dijual pada harga RM242,717 (MT) dan RM248,182 (AT) dengan insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km serta penyelenggaraan percuma untuk kos buruh, komponen dan minyak enjin. Ketahui spesifikasi penuh bagi Mazda MX-5 2020 ini menerusi CarBase.my.

    GALERI: Mazda MX 5 RF 2019

     
     
  • Koenigsegg Gemera – 4-tempat duduk, enjin 3-silinder freevalve 2.0L turbo, hibrid 3 motor, 1,700 hp/3,500 Nm!

    Koenigsegg Gemera – 4-tempat duduk, enjin 3-silinder freevalve 2.0L turbo, hibrid 3 motor, 1,700 hp/3,500 Nm!

    Pembuat supercar dari Sweden, Koenigsegg telah mendedahkan model empat-tempat duduk pertama mereka digelar Koenigsegg Gemera. Bukan jumlah tempat duduk sahaja menjadi kejutan pada model ini, kerana Koenigsegg turut menyatakan bahawa Gemera dijana oleh enjin 3-silinder bersama sistem hibrid elektrik yang menghasilkan 1,700 hp!

    Dengan empat-tempat duduk yang didakwa boleh memuatkan empat orang dewasa dengan selesa, Koenigsegg menggelar Gemera ini sebagai Mega-GT pertama di dunia.

    “Kereta prestasi terhebat adalah milik dunia kereta dua-tempat duduk dengan ruang bagasi yang sangat terhad – sehinggalah hari. Gemera adalah kategori baharu sepenuhnya di mana megacar ekstrem ini diberikan ruang dalaman yang besar dan tahap kesedaran terhadap alam sekitar yang tinggi. Kami gelarnya sebagai Mega-GT,” kata CEO syarikat tersebut, Christian von Koenigsegg.

    Menurut Koenigsegg, muka Gemera ini direka dengan inspirasi prototaip pertama mereka iaitu Koenigsegg CC yang muncul pada tahun 1996. Manakala untuk elemen rekaan lain, ia kekal dengan bentuk signatur Koenigsegg dengan menampilkan cermin hadapan seakan pesawat pejuang, juntaian pendek serta liang udara sisi yang besar.

    Koenigsegg Gemera – 4-tempat duduk, enjin 3-silinder freevalve 2.0L turbo, hibrid 3 motor, 1,700 hp/3,500 Nm!

    Walaupun mempunyai empat-tempat duduk, Gemera masih hanya diberikan dua pintu Koenigsegg Automated Twisted Synchrohelix Actuation Doors (KATSAD) – direka sangat panjang dan boleh dibuka seperti gunting sama dengan Koenigsegg Agera, Regera dan lain-lain.

    Walaupun tanpa tiang-B, kabin Mega-GT ini kekal teguh kerana kerangka badannya yang dihasilkan dari monocoque karbon yang kuat. Apabila pintu dibuka, kesemua tempat duduk diberikan akses yang cukup untuk penumpang hadapan dan belakang untuk keluar dan masuk. Tempat duduk belakang megacar ini bukan sekadar ada, bahkan ia memang dihasilkan untuk keselesaan membawa ahli keluarga, malah lengkap dengan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Kabin Gemera hadir dengan empat pemegang cawan sejuk dan empat pemegang panas, skrin infotainmen dengan hubungan Apple CarPlay dan pengecas telefon pintar tanpa wayar berasingan untuk penumpang belakang dan hadapan, 11-pembesar suara, internet dan Wi-Fi onboard, empat-lampu membaca, tempat duduk dengan pemanas dan span memori, tempat duduk hadapan larasan elektrik dan sistem pendingin hawa tiga-zon.

    Seperti yang disebutkan tadi, Gemera dijana oleh unit janakuasa hibrid enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik. Untuk enjin, Gemera menerima enjin baharu Koenigsegg yang diberi nama Tiny Friendly Giant atau TFG. Ia adalah enjin tiga-silinder 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem pelinciran jenis dry-sump, serta diberikan teknologi injap elektronik tanpa aci sesondol yang dinamakan Freevalve yang mampu menghasilkan 600 hp dan tork maksima 600 Nm.

    Koenigsegg Gemera – 4-tempat duduk, enjin 3-silinder freevalve 2.0L turbo, hibrid 3 motor, 1,700 hp/3,500 Nm!

    Enjin ini bukan sahaja boleh beroperasi dengan petrol biasa, malah turut boleh berfungsi menggunakan bahan api ethanol, methanol neutral-CO2 seperti Vulcanol dan bahan api campuran ethanol dan petrol E85. Enjin tersebut turut dibantu dengan tiga motor elektrik – dua diberikan pada setiap roda belakang dan satu lagi digabungkan terus dengan aci engkol enjin petrol.

    Gabungan kesemua unit penjana ini membolehkan Gemera bergerak dengan bekalan kuasa gabungan 1,700 hp dan tork maksima 3,500 Nm, yang mampu untuk mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 1.9 saat (gila!) dan kelajuan maksima dianggar pada 400 km/j.

    Malah tanpa enjin pembakaran dalaman dihidupkan, tiga buah motor elektrik yang dilengkapkan tersebut boleh memacu Gemera sehingga kelajuan 300 km/j. Bateri 800V yang dibekalkan membolehkan kereta ini bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 50 km.

    Koenigsegg Gemera – 4-tempat duduk, enjin 3-silinder freevalve 2.0L turbo, hibrid 3 motor, 1,700 hp/3,500 Nm!

    Kereta ini direka dengan jarak roda sejauh 3,000 mm, membolehkan ia kekal stabil dan selesa ketika dipandu pada jalan lurus dalam kelajuan tinggi. Ia turut diberikan sistem stereng pada gandar belakang membolehkan ia lincah dipandu ketika mengambil selekoh serta mempunyai radius pusingan yang kecil seperti kereta-kereta yang lebih kecil daripadanya.

    Dalam kelajuan tinggi, stereng belakang berkenaan turut membantu ketika pemandu menukar haluan. Dengan gabungan sistem stereng tersebut dan juga torque vectoring pada kesemua roda, membolehkan Koenigsegg menala dan mengadaptasi respon stereng dan perasaan pemanduan tanpa had.

    Untuk keselamatan, Koenigsegg Gemera hadir standard dengan empat beg-udara pintar, kawalan kestabilan dan kawalan traction, brek dengan sistem ABS dan juga sistem bantuan pemanduan ADAS 2.5. Harga untuk kereta ini masih belum diumumkan, namun ia hanya dihasilkan terhad sebanyak 300 unit sahaja.

     
     
  • Alfa Romeo Giulia GTA dan GTAm – Quadrifoglio lebih hardcore dengan enjin 2.9L V6 biturbo, 540 hp!

    Alfa Romeo Giulia GTA dan GTAm – Quadrifoglio lebih <em>hardcore</em> dengan enjin 2.9L V6 biturbo, 540 hp!

    Seperti yang dijangkakan menerusi teaser sebelum ini, Alfa Romeo nampaknya sah menghidupkan kembali nama lagenda Giula GTA bagi menyambut ulangtahun jenama mereka yang ke 110-tahun Jun nanti. Model generasi baharu ini dihasilkan berasaskan model sedan Quadrifoglio, dan ia seakan disuntik oleh steroid!

    Giulia GTA (bermaksud Gran Turismo Alleggerita) diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1965. Untuk model 2020, ia tampil dalam dua versi iaitu Giulia GTA standard, dan satu lagi mesin yang lebih fokus kepada pemanduan litar yang digelar Giulia GTAm.

    Kedua-dua model ini dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin V6 2.9 liter dengan suapan dua pengecas turbo yang mampu menjana 540 hp, atau 30 hp lebih berkuasa dari Quadrifoglio standard. Alfa Romeo masih belum mendedahkan angka tork untuk enjin ini, tetapi model biasa sudahpun mencatatkan tujahan setinggi 600 Nm.

    Alfa Romeo Giulia GTA dan GTAm – Quadrifoglio lebih <em>hardcore</em> dengan enjin 2.9L V6 biturbo, 540 hp!

    Apa yang berbeza dengan GTAm adalah, model ini tidak mempunyai tempat duduk belakang bagi membolehkan mereka memasang rollcage (sah untuk digunakan di jalan raya), manakala tempat duduk bucket hadapan yang diperbuat dari gentian karbon pula lengkap dengan tali pinggang perlumbaan enam-poin.

    Bukan itu sahaja, GTAm juga dihasilkan lebih ringan menerusi pelbagai lagi komponen yang dihasilkan dari gentian karbon antaranya driveshaft, penutup bonet hadapan, bumbung, bampar hadapan, ruang roda hadapan dan overfender belakang. Manakala pintu serta berberapa komponen untuk enjin dan suspensi dihasilkan dari aluminium.

    Tak cukup dengan itu, kesemua cermin tingkap GTAm ini tidak menggunakan kaca biasa, sebaliknya digantikan dengan bahan polycarbonate yang sama seperti digunakan oleh kereta lumba sebenar. Dengan semua bahan lebih ringan ini, GTAm ditimbang dengan berat hanya 1,520 kg, membolehkan ia mencapai nisbah berat kepada kuasa 2.82 kg untuk setiap kuasa kuda.

    Gabungan badan yang lebih ringan serta kuasa yang lebih besar, membolehkan Alfa Romeo Giulia GTAm ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat, atau 0.3 saat lebih pantas dari Giulia Quadrifoglio.

    Manakala untuk Giulia GTA, ia masih mempunyai tempat duduk belakang, tiada rollcage, spoiler gentian karbon yang lebih kecil, dan juga splitter belakang yang direka untuk kegunaan setiap hari. Model ini juga berkongsi panel pintu dan juga tingkap yang sama dengan Giulia Quadrifoglio. Walau bagaimanapun, Alfa Romeo masih menyifatkan GTA sebagai “supercar sebenar untuk kegunaan setiap hari.”

    Walau bagaimanapun, model ini masih sangat istimewa kerana hadir dengan kit aerodinamik yang dihasilkan oleh firma yang terlibat terus dengan Formula 1 iaitu Sauber Engineering. Kit berkenaan terdiri dari splitter hadapan aktif, skirt sisi, spoiler belakang dan juga diffuser gentian karbon belakang yang bersepadu dengan sistem ekzos titanium binaan Akrapovic.

    Kedua-dua model ini diberikan rim 20-inci yang dihasilkan dengan rekaan hanya satu nut untuk melekatkannya pada hub roda, sama seperti kereta lumba. Trek roda hadapan dan belakang kini 50 mm lebih lebar dari asal, manakala set suspensi disentuh semula dengan penggunaan set penyerap hentak spring, dan bushing baharu.

    GTA dan GTAm juga hadir dengan balutan alcantara pada papan pemuka, panel dalaman pintu, ruang storan, kemasan tiang sisi dan juga tempat duduk. Walau bagaimanapun, GTAm menerima lebih alcantara kerana fabrik tersebut membaluti ruang ‘basin’ yang menggantikan tempat duduk belakang. Bahagian tersebut turut diberikan kemasan bagi anda meletakkan helmet dan juga dilengkapi dengan alat pemadam api.

    Namun bukan semua orang dapat ‘merasa’ untuk memiliki Giulia GTA dan GTAm ini kerana ia hanya dihasilkan terhad sebanyak 500 unit – lengkap dengan nombor siri unik serta sijil pengesahan keaslian. Alfa Romeo turut akan memberikan pakej pengalaman peribadi untuk kesemua 500 pemilik kereta ini, yang terdiri dari helmet Bell dengan livery GTA istimewa, set perlumbaan lengkap (sut lumba, sarung tangan dan kasut) dari Alpinestars serta sarung pelindung kereta dari Goodwool.

    Pemilik-pemilik ini juga boleh mengambil bahagian dalam kursus pemanduan yang dijalankan oleh Alfa Romeo Driving Academy.

     
     
  • Data jualan kenderaan untuk Jan 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan untuk Jan 2020 ikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan angka jualan kenderaan bagi Januari 2020. Bulan pertama bagi tahun ini menyaksikan sebanyak 42,623 unit kenderaan telah dihantar kepada para pelanggan, iaitu lebih rendah sebanyak 12.03% untuk tahun ke tahun. Malah juga kurang 12,219 unit – atau 22.2% – berbanding 54,843 unit bagi rekod yang dicatatkan pada Disember 2019.

    Penyusutan untuk jualan pada Januari memang telah dijangka, dan Maa berkata ia berpunca daripada waktu bekerja yang pendek pada bulan berkenaan termasuk disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina. Malah ketidakpastian pasaran berikutan pengumuman pelaksanaan peraturan duti eksais baharu juga menjadi salah satu punca angka jualan kenderaan menyusut untuk bulan pertama 2020 itu.

    Walau bagaimana pun, untuk Februari 2020, MAA menjangkakan jumlah jualan mungkin akan lebih baik berbanding Januari, disebabkan bulan yang singkat, dan isu-isu yang berkaitan dengan penilaian duti eksais bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) telah diselesaikan.

    Data jualan kenderaan untuk Jan 2020 ikut jenama

    Dalam senarai jenama yang mencatatkan angka jualan paling tinggi bagi Januari 2020, ternyata Perodua dan Proton telah berjaya mendahului Honda, Toyota dan Nissan. Lima jenama ini masih mengekalkan kedudukan seperti mana bulan terakhir 2019, dengan menyaksikan Proton memintas kedudukan Honda di tangga kedua. Walau bagaimana pun, Honda masih kekal sebagak jenama bukan-nasional di tangga teratas berbanding jenama senegaranya yang lain.

    Perodua telah menjual sebanyak 17,481 unit pada Januari 2020, kurang 4.8% berbanding bulan terakhir 2019. Walau bagaimana pun, jumlah itu masih sekali ganda daripada Proton (8,506 unit), yang juga menyusut 23,5% berbanding Disember 2019. Tiga jenama besar Jepun iaitu Honda (-16.2%), Toyota (-54.7%) dan Nissan (-35.5%) juga menyaksikan penyusutan jualan, tapi seperti yang dikatakan, ini trend yang telah dijangkakan.

    Tetapi ada juga jenama yang menunjukkan peningkatan jualan pada Januari 2020, ini termasuklah Mazda (+22.1%), Hyundai (+92.4%), Subaru (+44.9%) dan Peugeot (+14.8%). Kebanyakannya mahu menghabiskan stok bagi 2019. Bagi sektor premium, Mercedes-Benz (-45.6%), Volvo (-26.6%) dan Lexus (-62.8%) menunjukkan penyusutan jualan yang begitu menjunam.

    Jika anda tertanya-tanya mengapa BMW dan MINI tiada dalam senarai, ini adalah kerana dua jenama berkenaan mengikut arahan global jenama induk mereka untuk hanya melaporkan angka mengikut suku tahunan sahaja. Ini bermakna, kita akan dapat membandingkan angka yang diperoleh oleh BMW dan Mercedes-Benz sekali dalam setiap suku tahunan. Pengeluar trak Scania juga hanya mendedahkan angkanya secara suku tahunan mulai sekarang.

    Data jualan kenderaan untuk Jan 2020 ikut jenama

     
     
  • Honda BR-V 2020 telah dibuka tempahan, bakal dilancarkan di Malaysia pada suku pertama ini

    Honda BR-V 2020 telah dibuka tempahan, bakal dilancarkan di Malaysia pada suku pertama ini

    Honda Malaysia mengumumkan tempahan bagi BR-V 2020 telah pun mula dibuka. Crossover tujuh-tempat duduk versi terkini telah diberikan imej yang lebih segar dengan beberapa ciri yang dipertingkatkan. Ia dijadual akan dilancarkan di pasaran tempatan pada suku pertama (Q1) 2020.

    Ciri luaran BR-V 2020 ini yang telah dipertingkatkan termasuklah rekaan hadapannya dengan padanan bampar bersama gril hadapan, kemasan bampar bawah dan lampu kabus hadapan baharu. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan kemasan bampar bawah belakang baharu, di samping padanan antena sirip jerung dan rekaan roda aloi 16-inci baharu.

    Malah untuk ciri dalamannya, BR-V 2020 ini turut ditampilkan dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin yang kini standard untuk semua varian. Selain itu, ia juga menerima tempat duduk kulit upholstery baharu dengan tambahan kemasan merah.

    Honda BR-V 2020 telah dibuka tempahan, bakal dilancarkan di Malaysia pada suku pertama ini

    Sementara tempat duduk barisan ketiga boleh dilaraskan dengan nisbah 50:50 untuk fungsi kerusi dibaringkan dan kecondongan sekaligus memberikan ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 539 liter apabila tempat duduk barisan tersebut dibaringkan sepenuhnya. Jika semua tempat duduk berkedudukan biasa, kapasiti ruang penyimpanan barang di belakang hanya 223 liter.

    Bagi mekanikalnya, BR-V 2020 ini masih dijanakan oleh enjin yang sama iaitu 1.5L SOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 120 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,600 rpm, dengan padanan transmisi CVT.

    Buat masa ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan harga atas jalan bagi BR-V 2020 ini. Adakah harganya akan lebih mahal berbanding model semasa memandangkan barisan model pemasangan tempatan (CKD) jenama ini dilaporkan mengalami kenaikan harga baru-baru ini.

     
     
  • Mazda 2 2020 dilancarkan di M’sia – kini dengan GVC Plus, Android Auto, Apple Carplay; dari RM104k

    Mazda 2 2020 dilancarkan di M’sia – kini dengan GVC Plus, Android Auto, Apple Carplay; dari RM104k

    Bermaz Motor telah pun melancarkan Mazda 2 facelift 2020 untuk pasaran Malaysia, yang ditawarkan dalam bentuk sedan dan hatchback, namun kedua-duanya memiliki spesifikasi yang sama. Harganya juga sama iaitu RM103,670 atas jalan tanpa insurans, menjadikan model baharu ini RM9,000 lebih mahal berbanding model semasa pra-facelift. Seperti sebelum ini, Mazda 2 juga merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

    Secara mekanikalnya, ia masih dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter SkyActiv-G naturally-aspirated empat-silinder dan didatangkan bersama transmisi automatik torque converter SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penjana kuasa ini turut didatangkan dengan teknologi melahu Mazda i-Stop, dengan hamburan kuasa hingga 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Penggayaannya juga telah disemak semula dan diberikan imej yang lebih segar termasuklah dengan gril krom yang lebih tebal tanpa potongan ke lampu utama, bersama rekaan yang lebih menyerlah, lebih kurang sama dengan Mazda 6. Rekaan gril baharu juga menyaksikan lampu utama yang dibentuk semula, sementara apron bawah pula menerima corong yang lebih nipis disambungkan oleh dua jaluran krom.

    Jaluran tersebut juga kelihatan pada bampar belakang untuk versi hatchback, dan sebahagian daripada apron bawah itu kini didatangkan dengan plastik hitam pekat yang lebih kecil. Sementara untuk sedan pula, menerima rekaan bampar yang lebih ekspresif dengan kepingan krom, yang disambungkan dengan sepasang reflektor.

    Bagi kelengkapan luaran, Mazda 2 didatangkan dengan roda aloi 16-inci yang dibaluti tayar profil 185/60, lampu utama LED larasan-auto dengan lampu nyalaan siang (DRL) signitur, lampu belakang jenis mentol, serta jenis-mentol (sedan) atau unit LED (hatchback) untuk lampu kabus belakang dan lampu undur.

    Lain-lain ciri termasuklah kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, Paparan Pemanduan Aktif berwarna (paparan utama), pedal penukar gear, mod Sport, kawalan suhu zon-tunggal, larasan manual untuk tempat duduk hadapan, dan sistem infotainmen Mazda Connect tujuh-inci dengan Commander Control.

    Ciri baharu untuk model 2020 ini termasuklah sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk sistem infotainment, bersama kulit upholstery biru/kelabu menggantikan kulit hitam pada model sebelumnya. Tempat duduknya juga distrukturkan semula bagi meningkatkan deria keseimbangan pemandu.

    Lain-lain tambahan termasuklah sistem Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus), yang dipertingkatkan berbanding sistem GVC sebelum ini. Larasan baharu memberikan pergerakan kenderaan yang lebih lancar bukan hanya tork enjin yang berbeza-beza sebagai tindak balas kepada input stereng, tetapi juga dengan tork pemvektoran oleh brek.

    Mazda 2 2020 dilancarkan di M’sia – kini dengan GVC Plus, Android Auto, Apple Carplay; dari RM104k

    Tiada perubahan untuk kit keselamatan, masih mengekalkan dua beg udara (untuk pemandu dan penumpang hadapan), ABS, DSC, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, Sistem Kawalan Cengkaman, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, dan cagak Isofix untuk tempat duduk belakang.

    Sekali dimalumkan, Mazda 2 2020 ini dijual pada harga atas jalan RM103,670 dan didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan penyelenggaran percuma untuk lima-tahun/100,000 km. Ia turut ditawarkan dengan 10 warna untuk hatctbackCeramic Metallic, Eternal Blue Mica, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Titanium Flash, Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey.

    Walau bagaimana pun, versi sedan hanya didatangkan dengan lapan pilihan warna, tanpa Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey. Pelanggan yang mahukan model segmen-B ini dengan kemasan warna Soul Red Crystal perlu membayar kos tambahan sebanyak RM500, dan senarai pilihan lain yang ditawarkan termasuklah kad SD navigasi untuk sistem infotainmen (RM1,270) dan lapisan cermin keselamatan (RM1,900).

    GALERI: Mazda 2 Hatchback XD Sports 2020 (spesifikasi Thailand)

     
     
  • Peugeot 208 ungguli Kereta Tahunan Eropah 2020

    Peugeot 208 ungguli Kereta Tahunan Eropah 2020

    Peugeot 208 baharu telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Eropah 2020, mengetepikan dua kereta elektrik Tesla Model 3 dan Porsche Taycan. 208 generasi kedua yang diperkenalkan pada Februari tahun lalu, telah menerima sejumlah 281 mata dan 17 undian tempat pertama.

    Walau pun menerima undian yang sama di tempat pertama, Tesla hanya memperoleh 242 mata secara keseluruhan, sementa Taycan menerima 222 mata. Tempat ke-empat diduduki oleh Renault Clio V dengan 211 mata.

    Lain-lain finalis termasuklah Ford Puma (209 mata), Toyota Corolla (152 mata) dan BMW 1 Series F40 (133 mata). Penjurian diadili oleh 58 wartawan permotoran daripada 23 negara merentasi benua terbabit.

    Anugerah tahunan ini selalunya dipersembahkan dalam penganjuran Geneva International Motor Show, namun acara berkenaan terpaksa dibatalkan disebabkan penularan wabak Covid-19. Jadi acara COTY ini hanya dipersembahkan menerusi secara dalam talian.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Jan 2020 susut 22%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Jan 2020 susut 22%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Januari 2020. Sebanyak 42,623 unit kenderaan telah dihantar pada bulan pertama 2020, iaitu 12,219 unit – atau 22.2% – kurang berbanding 54,842 unit rekod yang dicatatkan pada Disember 2019

    MAA berkata penyusutan jualan tersebut berpunca daripada waktu bekerja yang pendek pada bulan berkenaan termasuk disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina. Malah ketidakpastian pasaran berikutan pengumuman pelaksanaan peraturan duti eksais baharu juga menjadi salah satu punca angka jualan kenderaan menyusut untuk bulan pertama 2020 itu.

    Angka bagi tahun ke tahun untuk Januari juga dicatat rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu sebanyak 5,827 unit, atau kurang 12.03%.

    Untuk Februari 2020, MAA menjangkakan jumlah jualan mungkin akan lebih baik berbanding Januari, disebabkan bulan yang singkat, dan isu-isu yang berkaitan dengan penilaian duti eksais bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) telah diselesaikan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024