Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Hyundai i20 N – imej bayangan terbocor secara tidak sengaja dalam video pengenalan model standard

    Hyundai i20 N – imej bayangan terbocor secara tidak sengaja dalam video pengenalan model standard

    Generated by pixel @ 2020-03-04T21:56:01.711233

    Hyundai Austria secara tidak sengaja mendedahkan bayangan badan Hyundai i20 N dalam video pengenalan model generasi baharu hatchback berkenaan yang telah disiarkan dalam akaun Youtube mereka (tetapi video tersebut kini telah dipadamkan).

    Imej berkenaan menunjukkan bahawa berbanding model standard yang telah didedahkan baru-baru ini, ia hadir dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, bonet hadapan yang lebih kembung, spoiler belakang yang lebih besar dan juga rim yang diinspirasikan dari jentera rali i20 N WRC mereka, namun masih mengekalkan bentuk badan lima-pintu.

    Sebelum ini, prototaip hatchback segmen-B berprestasi tinggi itu pernah dilihat diuji, tetapi ia berselindung dalam badan model generasi sedia ada. Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan oleh Hyundai untuk model ini, tetapi ia dijangka tidak akan berkongsi enjin 2.0 liter Turbo-GDI dengan abangnya iaitu i30 N, sebaliknya akan dibekalkan dengan enjin 1.6 liter Turbo-GDI.

    Ia juga mungkin tidak akan mengikut jejak seterunya dalam kejohanan rali dunia (WRC) iaitu Toyota GR Yaris yang membekalkan kuasa yang sangat buas bersama sistem pacuan semua roda, sebaliknya akan menjana sekitar 200 PS dan hanya memacu roda hadapan, bagi berhadapan terus dengan Ford Fiesta ST.

    Hyundai i20 N – imej bayangan terbocor secara tidak sengaja dalam video pengenalan model standard

    Kelengkapan lain, hot-hatch saiz poket dari Hyundai ini dijangka akan dihasilkan dengan resipi hampir sama dengan i30 N, dibekalkan dengan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar dan nisbah stereng lebih pantas.

    Untuk model standard versi generasi baharu ini, ia hadir dengan pelbagai enjin. Model paling rendah akan dijana oleh enjin 1.2 liter empat silinder NA berkuasa 84 PS, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Bagi model lebih tinggi, i20 kini ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo yang didatangkan dengan dua jenis talaan iaitu 100 PS dan 120 PS. Enjin dalam kedua-dua talaan ini juga boleh dipadankan sistem hibrid ringkas 48-volt yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi CO2 sekitar 3-4%.

    Untuk enjin turbo tanpa sistem hibrid, enjin ini digandingkan sama ada dengan kotak gear DCT automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Manakala versi dengan sistem hibrid pula turut akan dipadankan dengan kotak gear 7DCT yang sama, tetapi untuk manual ia akan menerima transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) baharu bersama mod coasting bagi menjimatkan lagi bahan api.

    GALERI:Hyundai i20 2021 versi standard

    GALERI:Spyshot prototaip awalan Hyundai i20 N

     
     
  • Harga bahan api 7-13 Mac 2020: RON95 RM1.89 seliter!

    Harga bahan api 7-13 Mac 2020: RON95 RM1.89 seliter!

    Berita baik rakyat Malaysia minggu ini, harga bahan api untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 Mac 2020 nampaknya turun agak drastik – RON 95 dijual dengan harga tak sampai RM2 seliter!

    Harga runcit bagi petrol RON 95 diumumkan turun 19 sen, menjadi 1.89 seliter berbanding RM2.08 pada minggu sebelumnya. Manakala untuk petrol RON 97 pula, ia akan dijual 2.19 seliter atau turun 21 sen berbanding minggu sebelum ini yang dijual pada harga 2.40 seliter.

    Manakala harga diesel pula turun sebanyak 17 sen, menjadi RM1.96 seliter untuk Euro 2 dan RM2.06 bagi Euro 5. Minggu lalu, diesel dijual pada harga RM2.13 seliter untuk Euro 2 dan RM2.23 bagi Euro 5. Seperti biasa, harga baharu untuk minggu baharu ini dibuat berdasarkan format mekanisma harga automatik (APM) dan kesemua harga baharu yang diumumkan ini adalah efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

     
     
  • Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Toyota GR Yaris telah membuat kemunculannya di Jepun awal tahun ini ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020, dijual pada harga 4.56 juta yen (RM180k), atau lebih mahal dari Honda Civic Type R FK8 (lebih berkuasa dan lebih besar) pada pasaran sama iaitu 4.5 juta yen (RM177k). Walau bagaimanapun, model homologasi untuk Kejuaraan Rali Dunia ini dijual pada harga yang agak mengejutkan di Eropah.

    Di UK, hot-hatch dengan saiz segmen-B berkenaan dijual pada harga £29,995 (RM163K) untuk varian asas dan £33,495 (RM182k) untuk versi tertinggi Circuit Pack. Pada pasaran ini, VW Golf GTI Mk7.5 dijual pada harga sekitar £33k manakala Honda Civic Type R pula dijual pada harga bermula £32k.

    Hot-hatch segmen-C dari Korea, Hyundai i30N boleh di beli di UK pada harga £29k, manakala pencabar dengan saiz yang sama (tetapi masih pacuan roda hadapan dan kurang berkuasa) Ford Fiesta ST dijual pada harga £10,000 lebih murah. Di Jerman pula, GR Yaris akan dijual pada harga 33,200 euro (RM156k) atau 2,000 euro (RM9,399) lebih murah dari seteru utama Type R iaitu Renault Megane RS.

    Dari segi logik, GR Yaris sememangnya tidak boleh dijual pada harga yang murah. Walaupun diasaskan dari asas sama dengan Yaris biasa, transformasi yang dilakukan untuk model berprestasi tinggi ini tidak semudah seperti Honda mengubah Civic Hatchback biasa kepada Civic Type-R.

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Yaris standard hanya dihasilkan dalam bentuk lima-pintu, manakala untuk GR Yaris ini Toyota perlu menghasilkan kerangka badan baharu khas hanya untuknya yang bukan sahaja kurang dua-pintu, malah bumbung belakang kereta ini adalah 21 mm lebih rendah dari versi biasa.

    Ini adalah kerana permintaan dari pinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinen yang mahukan asas kereta produksi dengan kerangka yang lebih aerodinamik, bagi memastikan kereta lumba WRC sebenar yang akan dihasilkan untuk musim hadapan adalah lebih berpotensi dari jentera lawan yang hanya diasaskan dari hatchback segmen-B biasa. Ini menjadikan asas kewujudan GR Yaris seolah-olah Toyota Celica GT-Four, yang dihasilkan Toyota pada era 80’an dan 90’an dahulu semata-mata mahu menghasilkan jentera untuk mendominasi kancah WRC.

    Selain itu, kerangka GR Yaris turut dihasilkan lebih tegar dan lebih ringan dari Yaris standard dengan pelbagai ubahsuai dilakukan seperti penggunaan bumbung dari material plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium. Ini membolehkan kereta ini mencapai berat hanya 1,280 kg walaupun dengan sistem 4WD.

    GR Yaris pasaran Eropah dibekalkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan kuasa yang hampir masuk ke liga hot-hatch segmen-C seperti Renault Megane RS dan Hyundai i30N, iaitu dengan jumlah 261 PS dan tork maksima 360 Nm – kurang berkuasa dari model JDM yang mampu menghasilkan 272 PS/370 Nm. Ini mungkin dilakukan bagi memastikan kereta ini lulus ujian emisi untuk benua Eropah.

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Enjin tersebut digandingkan dengan hanya pilihan kotak gear enam-kelajuan manual dan sistem pacuan semua roda yang digelar sebagai GR-Four (dinamakan sempena sistem 4WD GT-Four terdahulu), membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Tidak seperti model-model rali jalan raya sebelum ini seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX STi yang diberikan tiga LSD termasuk pada bahagian tengah, GR Yaris hanya dibekalkan dengan dua LSD; pada gandar hadapan dan belakang bagi mengagihkan tork pada roda kanan dan kiri. Untuk versi tertinggi, LSD biasa berkenaan digantikan dengan unit LSD jenis Torsen.

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Untuk suspensi pula, bahagian hadapan masih lagi menggunakan konfigurasi sistem topang McPherson. Namun di belakang, sistem torsion beam pada Yaris standard telah dibuang, bagi digantikan dengan sistem double wishbone yang bukan sahaja lebih jitu, malah untuk menempatkan gandar bagi sistem pacuan semua roda.

    Walaupun FIA tidak mensyaratkan enjin produksi dan sistem pacuan yang sama perlu digunakan pada jentera WRC sebenar, pakej yang diberikan pada GR Yaris ini membolehkan pasukan-pasukan rali persendirian melakukan transformasi jentera rali produksi dengan kos rendah seperti di era rali Group N sebelum ini, untuk digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan rali peringkat nasional.

    GR Yaris dipasarkan dalam dua varian pada pasaran Eropah iaitu Circuit Pack yang dihasilkan untuk pemanduan lebih “fokus, kelajuan tinggi”, dan juga Convenience yang ditala untuk “prestasi di atas jalan raya lebih berorientasikan keselesaan”.

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Brabus 800 Adventure XLP diperkenal – Mercedes-AMG G63 dalam bentuk pikap, kuasa 800 PS, 1,000 Nm

    Brabus 800 Adventure XLP diperkenal – Mercedes-AMG G63 dalam bentuk pikap, kuasa 800 PS, 1,000 Nm

    Mercedes-AMG G 63 dalam keadaan asalnya memang sudah cukup mengagumkan. Namun, jika ada yang berharap ia datang dengan ruang belakang terbuka seperti trak pikap, jawapannya disediakan oleh Brabus melalui model terbaru 800 Adventure XLP. Tapi, harganya tidak murah, iaitu 666,386 euro (RM3,135,968), termasuk aksesori dan dron Wingcopter.

    Apa yang dilakukan oleh Brabus adalah mereka mengambil G 63 biasa, memotong bumbung bahagian belakang sekali dan memanjangkan jarak rodanya untuk menghasilkan ruang barang yang terbuka. Bahagian belakang itu dibuat daripada besi, bersama bahagian tepi gentian karbon dan lantai flexi-teak. Pintu yang memberikan akses kepada bahagian ini dibuka ke arah tepi.

    Dalam keadaan yang sudah lengkap, 800 Adventure XLP mempunyai ukuran 5.31 meter, sekaligus menjadikannya 68.9 sm lebih panjang berbanding G 63 biasa (tanpa roda kecemasan di belakang). Bukan setakat itu, Brabus juga mengubah suai suspensi kenderaan ini dengan menggunakan gandar portal dan keseluruhan subframe di hadapan juga adalah baru supaya dapat dipasang dengan unit independent.

    Gandar tetap di belakang masih lagi sama, tetapi ia dilengkapkan dengan beberapa barang baru termasuk yang dibuat daripada aluminium supaya bersesuaian dengan tetapan portal tadi. Brabus juga telah mereka suspensi coilover Ride Control khas untuk kenderaan ini, di mana tingginya boleh dilaras dan disambungkan kepada sistem mod pemanduan Dynamic Select yang sedia ada.

    Trak ini kemudiannya dipasang dengan rim Brabus Monoblock HD 22 inci yang dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion ATR. Ubah suai lain adalah termasuk kit badan Widestar dan beberapa komponen gentian karbon seperti pada atas bonet dan juga lengkung tayar (menjadikannya 11.6 sm lebih lebar berbanding model biasa).

    Pada model yang ditunjukkan dalam gambar ini, ia dipasang sekali dengan barangan pilihan tambahan yang termasuk rak bumbung, penolak angin gentian karbon dengan lampu LED, pelindung bampar hadapan siap dengan winch 4,500 kg serta pemijak kaki tepi yang boleh dibuka dan ditutup secara elektrik.

    Satu lagi aksesori canggih yang diberi adalah dron Wingcopter, yang boleh dimuatkan ke dalam ruang barangan belakang, dan mampu mencapai kelajuan 240 km/j. Dron ini sebenarnya direka untuk menghantar barang ke tempat yang tidak boleh dilalui oleh kereta, dan boleh digunakan sehingga jarak 120 km sebelum baterinya habis.

    Rekaan bahagian dalam bergantung kepada kegemaran pelanggan, dengan pilihan pelbagai kemasan kulit dan warna. Model “First Edition” seperti dalam gambar menggunakan balutan kulit warna kayu oak gelap dan warna luar Rocket Silver Matte.

    Brabus 800 Adventure XLP diperkenal – Mercedes-AMG G63 dalam bentuk pikap, kuasa 800 PS, 1,000 Nm

    Sebagai sebuah model Brabus, sudah tentu kuasa juga ditambah. Mereka telah memasang pakej prestasi 800 PowerXtra+ yang memberikan dua unit turbo prestasi tinggi, compressor yang lebih besar untuk tekanan boost sehingga 1.6 bar, serta pemetaan sistem suntikan, pengawal boost serta ignition baru.

    Dengan barang-barang ini, enjin V8 4.0 liter twin turbo padanya kini mampu menghasilkan 800 PS (789 hp) pada 6,600 rpm dan 1,000 Nm dari rpm serendah 3,600. Ini bersamaan dengan 215 PS (212 hp) dan 150 Nm lebih tinggi berbanding enjin asal G 63.

    Bagi memberikan lebih kepuasan, kit bunyi Brabus Boost Xtra dipasang, jadi pemandu boleh mendengar bunyi injap blow-off dengan jelas apabila pedal minyak dilepaskan. Sistem ekzos adalah buatan Brabus sendiri dan mempunyai injap yang boleh mengawal tahap kekuatan bunyinya.

     
     
  • Microlino 2.0 – kereta elektrik kecil, boleh capai 90 km/j

    Microlino 2.0 – kereta elektrik kecil, boleh capai 90 km/j

    Pada tahun 2018, kereta kecil keluaran Micro Mobility Systems yang dipanggil sebagai Microlino telah melepasi ujian akhir homologasi untuk memasuki pasaran. Kini, model itu diperbaharui dengan pengeluaran Microlino 2.0, yang mempunyai pelbagai peningkatan luar dan dalam.

    Paling utama adalah bahagian bumbung yang kini lebih tinggi, bagi memberikan lebih ruang kepada kepada pengguna. Tingkap juga lebih tinggi sementara A-pillar lebih nipis supaya penglihatan lebih jelas. Peningkatan kosmetik lain yang dibuat adalah seperti jalur LED di depan dan belakang, pemegang pintu tersembunyi dan cermin sisi lebih kecil.

    Bukan sekadar rupa diubah, jarak roda belakang juga dijadikan lebih lebar untuk meningkatkan keselesaan serta keselamatan. Masuk ke dalam pula, anda boleh melihat panel instrumen digital baru, lampu suasana LED serta tapak stereng yang boleh dilipat supaya dapat memudahkan pengguna keluar dan masuk kenderaan.

    Tempat duduk yang bersambung pada kereta kecil ini turut diubah supaya menjadi lebih selesa serta ergonomik, manakala jalur aluminium pada papan pemuka boleh digunakan untuk meletakkan telefon pintar ataupun pembesar suara boleh alih kerana kereta ini tidak mempunyai sistem hiburan.

    Untuk penggerak, Microlino 2.0 menggunakan motor elektrik synchronous, permanent-magnet yang 15% lebih cekap dan mempunyai lebih kuasa berbanding motor pada Microlino sebelum ini. Perincian tidak didedahkan tetapi ia dikatakan dapat mencapai laju maksimum 90 km/j.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri sama ada 8 kWh atau 14.4 kWh, yang masing-masing mampu memberi jarak gerak 125 km dan 200 km. Apabila sudah habis, bateri 8 kWh boleh dicas semula dalam masa empat jam menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Microlino 2.0 dijual pada harga 12,000 euros (RM56,415) dan katanya sudah menerima 17,000 tempahan sebelum pengeluaran dibuat pada tahun 2021.

     
     
  • AD: Triumph Motorcycles WOW! 1.0 – 1.0% untuk model 18-19, servis percuma dua tahun untuk MY20

    AD: Triumph Motorcycles WOW! 1.0 – 1.0% untuk model 18-19, servis percuma dua tahun untuk MY20

    Ada rasa nak beli motosikal baru? Pengedar dan pengimport motosikal Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd kini sedang membuat promosi Triumph WOW! 1.0, di mana anda boleh menikmati kadar pembiayaan menarik, aksesori percuma dan rebat apabila membeli motosikal Triumph baru.

    Pelanggan yang membeli model tahun 2018 dan 2019 akan diberi dengan kadar pembiayaan bermula 1.0%, dari sekarang hingga 31 Mac, dan semua model turut ditawarkan dengan rebat tunai. Pelanggan yang membeli salah satu model adventure Triumph Tiger 800 pula akan diberi dengan aksesori asli Triumph yang terpilih.

    Sementara itu, bagi yang membeli model Scrambler 1200 XC pula, mereka bukan sahaja akan menerima rebat tunai, tetapi juga sistem ekzos Zard yang kurang panas, boleh menjadikan enjin lebih berkuasa dan menghasilkan bunyi lebih sporty.

    AD: Triumph Motorcycles WOW! 1.0 – 1.0% untuk model 18-19, servis percuma dua tahun untuk MY20

    Ada lagi berita baik. Anda yang mahukan model paling baru dan paling hebat juga boleh menikmati promosi Early Bird 2020, di mana 20 pelanggan pertama yang menempah Street Triple 765 RS tahun 2020 dari sekarang hingga 15 Mac, atau barisan model Tiger 900 dari sekarang hingga 31 Mac bakal menerima pakej servis dan penyelenggaraan percuma* untuk dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

    Mahukan motosikal yang berkapasiti tinggi? Apa kata 2,458 cc? Ya, Rocket III terbaru juga bakal tiba di Malaysia dan terlibat dalam promosi ini – 10 pelanggan pertama yang menempah Rocket III 2020 dari sekarang hingga 31 Mac akan menerima pakej servis serta penyelenggaraan percuma selama satu tahun atau 10,000 km, yang mana tiba dahulu, dan kredit kedai RM1,000.

    Untuk mengetahui lebih lanjut tentang promosi Triumph Motorcycles WOW! 1.0 ini, anda boleh melawat wakil pengedar Triumph Motorcycle di seluruh negara atau layari laman web ini. Macam mana? ON?

    *Tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
  • Singapura akan beralih kepada bas hibrid, elektrik

    Singapura akan beralih kepada bas hibrid, elektrik

    Sejajar dengan usaha global ke arah mobiliti yang lebih bersih, Singapura telah mengumumkan negara itu akan membeli hanya bas hibrid dan elektrik selepas ini, seperti dilaporkan oleh Straits Times.

    Menteri kanan bagi pengangkutannya, Janil Puthucheary memaklumkan parlimen di sana bahawa langkah berkenaan adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk menjadikan armada bas awamnya – yang kini dalam jumlah 5,400 unit – untuk menggunakan tenaga bersih menjelang 2040. Bas hibrid ini (mungkin dengan diesel-elektrik) dan elektrik sepenuhnya akan memerlukan kos yang lebih berbanding bas diesel sedia ada.

    Janil juga berkata, Singapura telah menggunakan 50 bas diesel-elektrik sejak Mac lalu. “Kami juga telah membeli 60 buah bas elektrik sepenuhnya yang akan digunakan secara progresif tahun ini,” tambah baliau, menjelaskan yang depot bas akan direka untuk menampung operasi bas elektrik.

    Singapura akan beralih kepada bas hibrid, elektrik

    Pemandu teksi juga digalakkan untuk beralih kepada teksi elektrik, yang akan dikenakan caj secara minimum di bawah Additional Registration Fee (ARF) pada kadar $5,000 (RM15,000). Sehingga hujung Januari, 133 daripada 18,526 teksi di Singapura adalah elektrik.

    Singapura juga merancang untuk melupuskan penggunaan kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman semata-mata menjelang 2040. “Maksudnya, selepas 2030, kami tidak lagi akan menawarkan pembelian baru terhadap kenderaan yang hanya menggunakan enjin pembakaran dalaman,” tambah beliau. “Ini memerlukan peralihan menyeluruh terhadap armada kenderaan, perubahan ketara terhadap cara orang bergerak dan tingkahlaku konsumer serta pembagunan prasarana yang penting,” tambahnya.

     
     
  • Honda WR-V facelift untuk pasaran India didedahkan

    Honda WR-V <em>facelift</em> untuk pasaran India didedahkan

    Honda WR-V, sebuah SUV yang diasaskan daripada model Jazz generasi sebelumnya pernah dilancarkan untuk pasaran India pada 2017. Kini, model berkenaan ditampilkan dalam versi facelift terbaru. Model segmen B hatchback dengan ilham crossover itu muncul dalam laman web dan media sosial Honda India sebelum pelancarannya April depan.

    Sama seperti sebelum ini, WR-V berbeza daripada Jazz kerana bahagian depannya menggunakan gaya sama seperti BR-V. Kini rekaan gear baru dengan elemen visual melintang diberikan (sebelum ini honeycomb) serta lampu utama yang juga dengan rekaan baru. Ia kini menggunakan lampu projektor LED dengan DRL bersekali di dalamnya. Bahagian lampu kabus juga diberikan kemasan hitam di sekitarnya.

    Di belakang, lampunya diberi susunan baru walaupun bentuknya masih sama dan turut hadir bahagian LED tersendiri. Lain-lain tambahan utama ialah ciri kawalan melayar dan juga sunroof kawalan elektrik yang diberikan untuk versi terbaru ini.

    Honda WR-V <em>facelift</em> untuk pasaran India didedahkan

    Menurut laporan media di sana, WR-V facelift akan didatangkan dengan enjin petrol dan diesel yang mematuhi standard pencemaran B26 di India. Unit yang ditawarkan ialah 1.2 liter SOHC i-VTEC petrol dengan 90 hp kuasa dan juga 1.5 liter i-DTEC turbodiesel dengan 110 hp. Kedua-duanya bakal digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Dengan 3,999 mm panjang dan 1,734 mm lebar, WR-V ini 44 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar berbanding Jazz GK generasi ketiga. Jarak kelegaan tanah pula ialah 188 mm, 53 mm lebih tinggi daripada Jazz. Ada yang berminat dengan model ini untuk masuk pasaran Malaysia?

     
     
  • GALERI: Mitsubishi Triton VGT AT dengan aksesori

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT AT dengan aksesori

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) yang menganjurkan siri jelajah di Central i-City baru-baru telah pun mempamerkan model pikap Triton VGT AT yang dilengkapi dengan beberapa aksesori menarik.

    Menambahkan imej yang lebih rugged dan garang, aksesori ini termasuklah overfender balutan plastik hitam yang besar bersama palang sport menyerlah dengan cetakan perkataan “Triton” padanya. Sentuhan lebih maskulin turut diserlahkan dengan spoiler hadapan berwarna hitam dengan lip dari rona perak, disambungkan ke lampu nyalaan siang LED, cangkuk tunda merah menyala dan perkataan “Xtreamer” pada bahagian tengah (tanpa diketahui apakah maksudnya).

    Selain itu, kelihatan pelindung bonet, hiasan lampu utama dan lampu belakang, juga pemegang pintu dan penutup tangki minyak yang mempunyai sentuhan ranggi. Keseluruhan imej pikap ini turut dilengkapi dengan roda aloi dua-tona XD Series 16-inci yang dibaluti tayar Dunlop Grandtrek AT20.

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT AT dengan aksesori

    Aspek mekanikalnya pula, ia adalah varian VGT AT, dikuasakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel dengan output 181 PS dan tork 430 Nm. Dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda Easy Select. Ciri lain termasuklah lampu utama halogen projektor, pemijak sisi, unit utama 2-DIN dengan USB dan auxiliary input, dua beg udara dan kawalan kestabilan.

    Varian ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM105,990 tanpa insurans, tidak termasuk kelengkapan aksesori yang dipamerkan ini. Adakah aksesori yang ditampilkan ini berupaya menambat hati anda, khususnya yang gemarkan gaya yang lasak dan ranggi?

     
     
  • UMW Toyota panggil balik beberapa model Toyota, Lexus disebabkan masalah pengepam bahan api

    Sebagai satu langkah pencegahan proaktif, UMW Toyota Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan kempen ‘Servis Khas’ atau panggilan semula beberapa model Toyota dan Lexus bagi menggantikan komponen pengepam bahan api sedia ada.

    Berdasarkan informasi yang diterima dari Toyota Motor Corporation (TMC), terdapat sekitar 12,000 unit model Toyota (Alphard, Camry, Corolla, Innova dan Fortuner) dan 1,500 unit model Lexus (GS300, GS350, IS300, LC500/500H, LS460, LS500/500H, LS600H, NX200T/300H, RC350/300H, RX350/450H dan RX350/450) yang dikeluarkan dari tahun 2013 hingga 2019 yang diedarkan oleh UMWT terlibat dengan kempen ini. Walau bagaimana pun, model yang tidak disenaraikan adalah tidak terlibat dengan kempen ini.

    Menurut UMWT, kenderaan yang dilengkapi dengan pengepam bahan api yang bermasalah ini mempunyai risiko untuk menghentikan operasi. Jika ia berlaku, lampu amaran dan informasi akan terpapar pada panel instrumen, dan ini boleh menjejaskan kuasa enjin. Malah hasilnya kenderaan akan terhenti dan enjin tidak dapat dihidupkan. Situasi ini juga boleh menyebabkan risiko kemalangan sekiranya ia berlaku ketika kenderaan sedang dipandu dalam kelajuan yang tinggi.

    Sehubungan itu, UMWT memaklumkan secara rasmi kepada semua pemilik kenderaan yang terjejas untuk menggantikan unit pengepam bahan api ini tanpa dikenakan sebarang kos penukaran. Walau bagaimana pun, kerja-kerja penggantian tersebut akan bergantung pada model kenderaan. Untuk maklumat lanjut, pemilik yang mempunyai kenderaan berkenaan diminta untuk menghubungi mana-mana Pusat Servis Toyota berhampiran atau pun hubungi talian bebas tol Toyota di 1800-8-TOYOTA (869682).

     
     
  • Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Cadangan untuk mewujudkan satu mekanisme bagi Polisi Jangka Hayat Kenderaan (ELV) kini sedang dipertimbangkan, tetapi ia akan menetapkan pendekatan secara sukarela berbanding arahan secara mandatori, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari.

    Bercakap kepada wartawan dalam taklimat prestasi automotif 2019 dan prospek 2020 kelmarin, beliau berkata, perkara ini akan dibincang dengan Menteri Pengangkutan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dilantik.

    “Polisi ELV belum pernah diimplementasi di Malaysia. Saya percaya, jika kita menetapkan sistem berkenaan secara sukarela dan bukan mewajibnyanya, ia akan memberi manfaat kepada rakyat. Mereka boleh menyerahkan kereta lama mereka dan mungkin kerajaan boleh memberi subsidi, serta OEM juga boleh menyumbang kepada kos yang lebih rendah. Dengan menjual lebih banyak kereta, kerajaan juga boleh mengutip lebih banyak cukai. Ini merupakan situasi ‘menang-menang’ kepada semua orang,” ujarnya.

    Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Tambah beliau lagi, tahun akan datang, kita bakal melihat perkembangan yang standard dalam pelbagai bidang, termasuk pemeriksaan kenderaan, penilaian jalan raya dan juga kenderaan terpakai.

    Pada tahun 2009, polisi yang dicadangkan ini memerlukan pemilik yang mempunyai kenderaan yang berusia 15 tahun atau lebih untuk dibawa ke pemeriksaan mandatori bagi membolehkan cukai jalan dihidupkan semula. Sekiranya kenderaan tersebut gagal ujian, ia perlu diperbaiki sehingga mematuhi kesemua kriteria, atau dilupuskan terus seperti yang dibuat di Singapura.

    Pada mulanya, polisi ini tersebut dijadual dilaksanakan pada tahun 2014, namun kerajaan ketika itu terpaksa menangguhkannya atas alasan “rakyat tidak bersedia” untuk polisi berkenaan.

    Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Pada tahun 2015, Institut Automotif Malaysia (MAI) mencadangkan agar polisi tersebut ditukar kepada skim yang menawarkan wang tunai untuk kenderaan lama. Skim yang dicadangkan ini membolehkan pemilik mendapat rebat tunai RM5,000 apabila mereka mahu menukar kereta lama ke kereta baharu (tidak kira apa-apa jenama) dari mana-mana pengilang OEM.

    Namun sekali lagi, kerajaan menerusi MITI memberikan alasan yang sama, “rakyat masih belum bersedia”, selain berkata, tempat pemeriksaan untuk kenderaan lama ini terhad dan tidak mencukupi.

    Jadi persoalannya, adakah skim ELV secara sukarela ini relevan untuk dilaksanakan? Memandangkan banyak negara di luar sana memang sudah lama melaksanakannya. Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • AD: Menangi bekalan Shell Helix untuk tiga tahun

    Hidup adalah perjalanan yang punya turun-naik tersendiri. Seperti anda, kereta anda juga harus dipersiap untuk menghadapi apa juga situasi; sama ada ingin pergi menjelajah bersama rakan, menguruskan krisis atau kecemasan, mahupun untuk bawa keluarga balik kampung di musim perayaan. Macam selalu dengar, kan?

    Ini bermaksud, anda perlu bergantung sepenuhnya kepada kereta anda agar ia sentiasa berfungsi seperti sepatutnya pada setiap masa. Namun, kereta yang paling tahan dan boleh diharap juga akan rosak sekiranya anda tidak menjaga atau menyelenggaranya dengan baik. Pilihan minyak enjin yang betul sangat penting bagi memastikan kereta anda sentiasa berada dalam keadaan bersedia, untuk jangka masa yang lama.

    Shell sentiasa berusaha ke arah inovasi dalam menawarkan produk berkualiti untuk memberikan pengalaman pemanduan yang terbaik kepada pemilik kenderaan. Minyak pelincir sintetik Shell Helix menggunakan PurePlus Technology yang dipatenkan – sebuah proses revolusionari yang menyediakan minyak asas jernih daripada gas asli tanpa sebarang bendasing yang boleh dilihat, menjadikannya 99.5% tulen. Teknologi ini memastikan enjin dilindungi dan tempoh hayatnya mencecah ke tahap maksimum.

    AD: Menangi bekalan Shell Helix untuk tiga tahun

    Melalui penggunaan Shell Helix Ultra dengan PurePlus Technology, anda boleh jangkakan:

    Prestasi suhu ekstrem yang menakjubkan
    Shell Helix Ultra dengan PurePlus Technology kekal kuat bagi tempoh masa yang lama di dalam keadaan suhu tinggi ekstrem untuk terus berprestasi dalam melindungi enjin. Ia menawarkan kadar rintangan yang unggul terhadap penyusutan minyak – sehingga 32% lebih baik berbanding standard industri1 terbaru ketika ini.

    Perlindungan mendapan yang tiada tandingan
    Shell Helix Ultra dengan PurePlus Technology melindungi enjin berprestasi tinggi daripada mendapan yang selalu mengurangkan kuasa dan prestasi enjin. Tiada minyak enjin lain yang boleh mengekalkan kebersihan enjin2 anda sama seperti ketika ia baru keluar kilang.

    Formula pemeruapan rendah membantu jimatkan masa dan wang
    Shell Helix Ultra dengan PurePlus Technology menawarkan sehingga 50% lebih rendah bagi kehilangan melalui pemeruapan berbanding minyak enjin yang lebih murah lainnya3. Mengapa hal ini penting? Kerana formulasi pemeruapan rendah sintetik bermakna anda tidak perlu kerap menambah isian minyak enjin, menjimatkan lagi masa dan wang.

    Penggunaan minyak yang lebih baik
    Shell Helix Ultra dengan PurePlus Technology mempunyai formulasi kelikatan rendah serta formulasi rendah geseran, memberikan sehingga tiga peratus penjimatan penggunaan minyak4 yang lebih baik. Semakin kurang geseran yang berlaku di antara bahagian-bahagian enjin, maka lebih mudahlah enjin bekerja dan bergerak, sekaligus menyumbang kepada pengurangan pembakaran minyak.

    Dengan pelincir yang lebih baik, kepuasan pelanggan juga akan menjadi lebih tinggi. Shell Helix kini menjadi pelincir kenderaan pilihan No. 1* di Malaysia. Untuk itu, sebagai tanda penghargaan, Shell menawarkan peluang untuk anda memenangi bekalan minyak enjin Shell Helix selama tiga tahun** secara percuma.

    AD: Menangi bekalan Shell Helix untuk tiga tahun

    Untuk ikut serta, berikut langkah-langkahnya:

    1. Mendaftar sebagai ahli Shell Advantage Reward (SHARE) di sini.
    2. Terima kod diskaun RM10 unik bagi Helix Ultra (4L), HX8 (4L) atau Eco (3.5L).
    3. Tuntut kod diskaun berkenaan ketika melakukan penukaran minyak enjin di bengkel-bengkel terpilih SHARE.
    4. Berpeluang untuk memenangi bekalan minyak enjin percuma selama tiga tahun.

    Lekas, kerana tarikh akhir untuk menghantar penyertaan anda ialah pada 30 April 2020! Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Shell Malaysia.


    1Dibandingkan dengan spesifikasi API SN dan berdasarkan ujian pengoksidaan Sequence IIIG
    2Berdasarkan keputusan ujian mendapan Sequence VG menggunakan 0W-40.
    3Berdasarkan ujian volatiliti ASTM D5800 NOACK
    4Berdasarkan keputusan penggunaan minyak ACEA M 111 dibandingkan dengan minyak rujukan industri

    *Sumber: Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh syarikat kajiselidik antarabangsa yang dilantik oleh Shell
    **Tertakluk kepada terma dan syarat

     
     
  • Permit Import di bawah NAP 2020 lebih ketat – MARii

    Permit Import di bawah NAP 2020 lebih ketat – MARii

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari mengesahkan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 yang diumumkan akhir bulan lalu, dijangka diteruskan di bawah kerajaan baharu yang pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya percaya kerajaan baharu tidak akan mengkaji semula NAP 2020 kerana dasar automotif alaf baharu ini cukup holistik. Malah Perdana Menteri juga berada dalam kabinet sebelum ini,” ujarnya, memetik laporan Berita Harian

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, Permit Import (AP) yang diteruskan di bawah NAP 2020 bakal melalui proses pengagihan lebih ketat. Ini di mana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melaksanakan mekanisme yang lebih baik bagi memastikan syarikat benar-benar layak mendapat manfaat.

    “MITI tampil dengan mekanisme baru untuk AP, jadi syarikat yang berkaliber dan memiliki perniagaan lebih tersusun menerima AP. Kerajaan mahu penerima AP menyumbang kepada sektor automotif negara,” katanya ketika menyampaikan taklimat prestasi automotif 2019 dan prospek 2020 semalam.

    Tambahnya lagi, MITI juga akan menubuhkan jawatankuasa khas yang akan memantau dan mengaudit AP. Di mana audit yang akan dilaksanakan ke atas penerima AP ketat untuk memastikan ia memberi manfaat kepada semua.

    Harap-harap selepas ini penganugerahan AP memang benar-benar telus dan bukannya diserahkan kepada pihak yang akan menjualkannya semula kepada pihak lain, atau dalam erti kata lain, menyalahgunakannya.

     
     
  • Laman web Proton sokong pengaktifan suara bagi X70

    Laman web Proton sokong pengaktifan suara bagi X70

    Proton memperhebatkan lagi teknologinya dengan menampilkan ciri baharu di laman web rasmi mereka – pengesan suara. Kini pemilik X70 boleh menggunakan arahan suara untuk mengemudi SUV anda menerusi fungsi baharu yang terdapat di dalam laman web rasmi Proton. Walau bagaimana pun, buat masa ini, fungsi berkenaan hanya disokong oleh peranti Android, termasuk pelayar destop Google Chrome.

    Bagi pengguna peranti iOS atau Safari pada MacOS, anda perlu menunggu sehingga ia boleh digunakan untuk fungsi yang sama. Namun aplikasi Chrome pada MacOS boleh menggunakannya. Dan buat masa ini, fungsi pengaktifan suara ini hanya untuk model X70 sahaja, dan ia bermula dengan arahan popular “Hi Proton”. Apa yang menariknya, ia bukanlah sistem kawalan suara sepenuhnya. Anda perlu untuk klik (atau ‘tap’ jika menggunakannya pada telefon bimbit) pada ikon mikrofon, sebelum meneruskan ke tujuh arahan penetapan.

    Ternyata fungsi ini juga mudah digunakan, anda juga perlu untuk menghidupkan fungsi mikrofon apabila diperlukan. Jadi, untuk pemilik X70, jangan lupa untuk mengeksplorasi fungsi baharu in ya!

     
     
  • Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Lexus secara rasminya telah melancarkan crossover kompak UX200 ke pasaran Malaysia hari ini. Ia bukan sahaja menjadi model paling mampu milik yang ditawarkan oleh Lexus Malaysia, malah jenama tersebut kini mempunyai produk untuk masuk ke segmen yang berhadapan terus dengan model-model Eropah seperti Mercedes-Benz GLA, BMW X1, Audi Q3 dan juga Volvo XC40.

    Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, UX 200 boleh dipilih dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia, bermula dengan varian paling asas UX 200 Urban berharga RM243,888, UX 200 Luxury berharga RM243,888, dan UX 200 F Sport berharga RM299,888. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian dilindungi waranti lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Walau bagaimanapun, ketiga-tiga varian ini dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin M20A 2.0 liter empat silinder Dynamic Force dengan sistem suntikan terus D-4S. Tanpa pendesak turbo, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 169 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 205 Nm pada takat 4,800 rpm.

    Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik Direct Shift CVT (dilengkapi launch gear pada nisbah pertama) dan diberikan 10-kelajuan maya. Ini membolehkan UX 200 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 190 km/j.

    UX merupakan model pertama Lexus yang dihasilkan dari platform Global Architecture – Compact, atau sebenarnya platform yang sama dengan Toyota New Global Architecture (TNGA) yang sama untuk Toyota C-HR, tetapi dalam versi lebih premium. Ia diberikan sistem suspensi topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, ditala bagi memberikan keselesaan dan kelincahan, bersama “personaliti pemanduan yang tersendiri”, menurut Lexus.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 4,496 mm panjang, lebar 1,840 mm, tinggi 1,520 mm, jarak roda 2,639. Berbanding NX, UX ini menampilkan panjang keseluruhan yang 144 mm lebih pendek, dengan jarak roda 21 mm lebih dekat.

    Muka UX ini diberikan gril spindel signatur Lexus dengan elemen blok 3D yang memberikan bentuk berlainan pada sudut pandang berbeza. Ia diapit dengan lampu hadapan LED projektor (standard untuk semua varian) yang tirus dan tajam, dan diberikan jalur lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah bersepadu.

    Untuk varian Urban, ia diberikan rim 17-inci berwarna kelabu gelap yang direka dengan liang aerodinamik, manakala model Premium hadir dengan rim 18-inci kemasan dua tona.

    Pada bahagian belakang, ia diberikan lampu LED yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate, bersama elemen spindel yang sama seperti di bahagian hadapan. Jika anda lihat dengan teliti, lampu belakang crossover ini juga direka seakan spoiler dan sememangnya mempunyai fungsi aerodinamik dan memberikan lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

    Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

    Untuk model tertinggi F Sport, ia hadir dengan gril hadapan dengan elemen mesh unik, liang udara lebih besar dan juga set rim 18-inci dalam kemasan kelabu bagi disesuaikan dengan kemasan pada bampar hadapan dan belakang.

    Masuk ke kabin, UX diberikan rekaan papan pemuka yang fokus untuk pemandu di mana panel kawalan lebih tertumpu kearah pemandu, membolehkan setiap butang dan suis dapat dicapai dengan mudah. Pada bahagian atas papan permukaan papan pemuka untuk varian Luxury, ia diberikan tekstur yang diinspirasikan dari kertas washi Jepun (material yang digunakan pada pintu rumah Jepun).

    Fungsi Remote Touch diberikan menerusi touch pad pada perehat tangan di terowong tengah, bagi memudahkan pemandu mengawal sistem infotainmen.

    Untuk varian Urban, ia menerima kelengkapan seperti lampu hadapan automatik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, skrin tujuh-inci untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital, sistem pendingin hawa dua-zon dengan liang kabin belakang, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan larasan berkuasa lapan-hala, upholsteri kulit sintetik Nuluxe, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara dan kemera undur.

    Varian Luxury dengan harga RM40,000 lebih mahal pula akan ditambah dengan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang dengan fungsi auto-dimming, kemasan dalaman metalik, roda stereng larasan berkuasa, tempat duduk hadapan dengan liang pendingin hawa dan fungsi memori, upholsteri kulit, plat bendul sisi aluminium, skrin infotaimen 10.3-inci, lapan pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan juga pintu tailgate dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan.

    Bagi model F-Sport pula ia bukan sahaja hadir dengan ciri kosmetik lebih sporty seperti tempat duduk sport, pedal penukar gear, paparan head-up dan paparan instrumen digital dengan gaya seperti Lexus LFA (takometer dan gelang tengah yang boleh bergerak), malah hadir dengan peralatan prestasi seperti penyerap hentak adaptif.

    Lexus UX juga dilengkapi dengan sistem keselamatan antara yang termaju dalam kelasnya, di mana kesemua model diberikan standard dengan sistem brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, lampu hadapan adaptif, lane centring assist dan lapan-beg udara. Model Luxury dan F Sport turut ditambah dengan pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    GALERI: Lexus UX 200 Urban

    GALERI: Lexus UX 200 Luxury

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024