Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton X70: Perincian sistem keselamatan – AEB, ACC

    Proton X70: Perincian sistem keselamatan – AEB, ACC

    SUV pertama Proton X70 kelak akan hadir dengan pakej sistem keselamatan terbaik dan lengkap yang pernah ditawarkan oleh mana-mana model Proton sebelum ini. Baik dari sisi ciri keselamatan pasif, aktif serta termasuk sistem keselamatan termaju, semuanya akan ditawarkan pada model terbabit.

    Sebagai permulaan, Geely Boyue di China yang menjadi asas kepada SUV ini sudah diiktiraf menerima penarafan lima-bintang bagi China NCAP dengan pencapaian mata tertinggi 58.2. Sebagai perbandingan, BMW X1 dapat mengumpulkan 56.6 mata bagi ujian yang sama.

    Bagaimana pula dengan ASEAN NCAP? Proton maklumkan X70 ini sudah pun dihantar untuk ujian berkenaan dan keputusannya akan dimaklumkan kelak.

    Semua varian bagi Proton X70 ini nanti akan dilengkapi dengan enam beg-udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan (dari teknologi Bosch generasi 9.1), bantuan mula mendaki (HAC) yang mengekalkan kedudukan kenderaan selama dua saat ketika pemandu pengalihkan kaki dari pedal brak ke pedal minyak, supaya tidak berundur dan kawalan menuruni curam (HDC) yang berfungsi mengekalkan kelajuan serendah 4 km/j untuk membolehkan pemandu mudah mengawal kenderaan.

    Proton X70: Perincian sistem keselamatan – AEB, ACC

    Bagi varian paling tinggi pula, ia akan turut dilengkapi dengan sistem teknologi maju Advanced Driver Assistance System (ADAS). Antara lain sistem ini menggunakan lima kamera, 19 buah sensor dan satu radar yang mampu mengesan objek pada jarak 160 m.

    Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan ciri autonomouse emergency braking (AEB) yang berfungsi dalam kelajuan 30 km/j ke bawah dan akan memberikan tiga tahap tindakan; pada jarak dua saat dari objek di depan, amaran bunyi akan diberikan; jarak 1.5 saat pula sekali lagi peringatan akan dibunyikan dan sekiranya masih tiada tindakan dari pemandu, kereta akan membrek sendiri dalam jarak 1 saat dari objek di depan.

    Ciri Adaptive Cruise Control (ACC) pula boleh berfungsi dalam julat kelajuan antara 30 km/j hingga 150 km/j. Lain-lain ciri termasuk juga amaran perlanggaran hadapan (FCW), amaran tukaran lorong (LDW), amaran titik buta (BLIS) serta Intelligent High Beam Control (IHBC) yang akan merendahkan tahap lampu tinggi sekiranya ada kenderaan dari arah depan.

    Untuk memerhatikan tekanan udara dalam tayar serta suhunya juga akan lebih mudah dengan ciri peninjau tekanan tayar (TMS) yang disertakan. Kamera 360-darjah dan sensor parkir pula akan memudahkan urusan pemandu untuk meletak kenderaan.

     
     
  • Hyundai Tucson facelift dilancar di M’sia hujung Okt ini – Turbo dan NA, harga jangkaan bermula RM124k

    Hyundai Tucson facelift dilancar di M’sia hujung Okt ini – Turbo dan NA, harga jangkaan bermula RM124k

    Selepas menyiarkan teaser tempoh hari, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kini telah mengumumkan bahawa SUV segmen-C Hyundai Tucson facelift bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang akhir bulan ini. Model berkenaan akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.6 liter Turbo dan juga 2.0 liter Elegance, dan dijangka bakal dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran bermula RM123,888 bersama waranti lima-tahun/300,000 km dan servis percuma tiga-tahun/50,000 km.

    Bagi model facelift ini, Tucson menerima bampar baharu dan juga lampu hadapan LED yang direka semula. Gril ‘cascading’ pada SUV ini juga ditukar kepada unit yang lebih bersegi, lampu belakang disentuh semula dengan bentuk dan grafik yang sedikit berbeza serta rim bersaiz 17-inci – setiap ciri ini adalah bergantung pada varian.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini diberi perubahan pada bahagian papan pemuka, di mana ia kini diberikan skrin infotaimen bersaiz tujuh-inci dan liang penghawa dingin baharu. Namun, bahagian bawah papan pemuka ini masih kelihatan sama.

    Dari segi mekanikal, tiada perubahan ditampilkan. Model NA dengan enjin 2.0 liter Nu MPi mampu menghasilkan kuasa 155 PS dan tork maksima 192 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik. Manakala versi turbo, ia dikuasakan dengan enjin 1.6 liter T-GDI yang mampu menjana 177 PS dan tork maksima 265 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan.

    GALERI: Hyundai Tucson facelift pasaran Eropah

     
     
  • UMWT lantik Fattah Amin sebagai duta Toyota C-HR

    UMWT lantik Fattah Amin sebagai duta Toyota C-HR

    Selebriti tempatan terkenal, Fattah Amin, telah diberi kepercayaan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai duta untuk Toyota C-HR. Pengumuman berkenaan telah dilakukan dalam sebuah majlis eksklusif di ibu negara pagi tadi. UMWT berkata, pelantikan Fattah sebagai duta C-HR berdasarkan populariti aktor tersebut yang kian melonjak, apatah lagi Artis Paling Popular 2017 ini pernah membarisi pelumba selebriti dalam Vios Challenge di perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) musim lalu.

    Menurut Mohd Affend Hj Khairon, Pengurus Besar UMWT berkata, “Sudah tentu ramai yang sudah melihat wajah Fattah dalam beberapa pengiklanan kami sepanjang pelancaran C-HR pada awal tahun ini. Kini, kami berbesar hati mengumumkan pelantikannya sebagai duta C-HR dan kami berharap kekuatan pengaruh yang ada pada beliau dapat membantu mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai produk ini dan juga jenama ini pada umumnya.”

    “Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang meneruskan kerjasama dengan Toyota selepas terlibat dengan TGR musim pertama. Pengalaman memandu Vios dalam perlumbaan tersebut memberikan saya pengalaman bermakna, di samping saya dapat mengetahui keistimewaan yang pada pada model Toyota.

    UMWT lantik Fattah Amin sebagai duta Toyota C-HR

    “Malahan saya juga berpeluang untuk memandu C-HR selama sebulan dan mendapati enjin 1.8 liter ini mencukupi untuk pengendalian yang optimum. Bukan itu sahaja, saiz dan gayanya juga menepati citarasa saya sendiri dan ini membuatkan saya lebih teruja apabila dipilih untuk menjadi dutanya,” ujar Fattah.

    C-HR yang dilancarkan pada akhir Mac lalu kini semakin mendapat perhatian ramai, malah kelibatnya juga makin banyak berada di jalan raya di Malaysia. Bagi pasaran Malaysia, hanya satu sahaja varian enjin yang ditawarkan iaitu 1.8 liter empat-silinder naturally aspirated Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 138 hp pada 6,400 rpm dan tork 171 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi automatik CVT dengan mod manual Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan.

    Ditawarkan pada harga RM150,000 (termasuk SST, tanpa insurans, untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung sahaja), C-HR turut menampilkan ciri keselamatan termasuk tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    GALERI: Toyota C-HR

     
     
  • Proton X70: Perincian spesifikasi untuk empat varian

    Proton X70: Perincian spesifikasi untuk empat varian

    Hari ini telah berlangsungnya satu lagi sesi pra tonton awal untuk SUV Proton X70 di Petaling Jaya, dan Proton telah mendedahkan lebih lagi perincian tentang kenderaan itu, bersama imej baru. Tempahan untuk SUV pertama Proton ini juga sudah dibuka bulan lepas, manakala pelancarannya akan berlaku bulan hadapan.

    Setakat ini kita sudah tahu X70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

    Versi 2WD mempunyai berat 1,700 kg, dan ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat dan mempunyai penggunaan bahan api bercampur 7.8 l/100 km (bersamaan 12.8 km/l). Untuk mengenali varian Standard 2WD, ia datang dengan lampu utama halogen, rim 17 inci, tempat duduk balutan fabrik serta skrin sesentuh 8.0 inci yang disambung dengan kamera undur.

    Sistem infotainmen GKUI yang diberi adalah menggunakan asas Android, dan datang dengan slot kad SIM, memori dalaman 16 GB, sambungan WiFi, Bluetooth, navigasi, pengenalan suara serta bermacam lagi. Perinciannya akan kami buat dalam satu artikel lain.

    Varian seterusnya adalah Executive 2WD, yang ditambah dengan lampu utama serta lampu siang LED dan rim 18 inci di luar. Di dalam pula terdapat tempat duduk balutan kulit, larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu serta pandangan kamera 360 darjah. Varian Executive AWD – seperti yang diuji oleh Sultan Ibrahim – pula ditambah dengan sistem pacuan semua roda Borg-Warner serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Varian paling tinggi iaitu Premium 2WD membawa X70 sama tahap dengan SUV Jepun pada aspek kelengkapan. Daripada ciri yang ada pada varian Executive, ia ditambah lagi dengan tempat duduk kulit Nappa, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan, bumbung panoramik dan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS).

    Proton X70: Perincian spesifikasi untuk empat varian

    Sistem ADAS yang menggunakan kamera dan radar ini menghasilkan pelbagai ciri keselamatan lain seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC, dari 30 hingga 150 km/j), Lane Departure Warning (LDW, tiada gangguan pada stereng), Blind Spot Information System (BLIS) dan Intelligent High Beam Control (IHBC yang dapat merendahkan kembali lampu tinggi secara automatik apabila ada kenderaan yang datang).

    Ciri Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara diberikan standard untuk semua varian. Menurut Proton, kenderaan yang digunakan sebagai asas untuk X70 iaitu Geely Boyue facelift berjaya mendapat lima bintang serta markah yang tertinggi bagi kelasnya dalam ujian perlanggaran China NCAP (lebih tinggi daripada markah 56.6 yang diperoleh BMW X1). Anda juga boleh menjangkakan X70 akan mendapat lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP nanti.

    Kita juga sudah mengetahui Proton X70 akan ditawarkan dalam lima warna iaitu Flame Red, Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Cinnamon Brown, tetapi ia bukanlah untuk semua varian. Varian Premium 2WD yang paling tinggi disediakan dengan Flame Red sebagai warna eksklusifnya, dan empat warna lain juga masih boleh didapati manakala varian Executive 2WD disediakan dalam empat warna dan dua lagi varian yang lebih rendah cuma boleh didapati masing-masing dalam dua pilihan warna sahaja.

    Pada bahagian dalam, varian Standard menggunakan tempat duduk fabrik, manakala varian Executive menggunakan kulit sintetik. Kedua-duanya berwarna hitam, dan dipadankan sama dengan kulit pintu. Kulit Nappa yang diberikan pada varian Premium pula adalah berwarna coklat.


    GALERI: Pilihan warna luar Proton X70

     
     
  • Mercedes-Benz E300e, E300de W213 diperkenalkan – model plug-in hybrid baharu; 320 PS, 1.6 l/100 km

    Mercedes-Benz E300e, E300de W213 diperkenalkan – model plug-in hybrid baharu; 320 PS, 1.6 l/100 km

    Selain memperkenalkan Mercedes-Benz C 300 de W205, pengeluar automotif Jerman ini turut menampilkan dua model plug-in hybrid baharu di bawah famili E-Class – E 300 e dan E 300 de.

    Kedua-dua model menampilkan solusi hibrid generasi ketiga ciptaan Mercedes-Benz yang diprebiu di Geneva tahun ini, bermula dengan transmisi automatik 9-G sembilan-kelajuan yang disemak semula dengan padanan motor elektrik, 122 PS (121 hp/90 kW)/440 Nm, torque converter dan klac ke unit tunggal untuk pakej yang lebih baik.

    Motor elektrik yang dijanakan kuasa menerusi bateri 13.5 kWh, lebih besar berbanding unit 6.4 kWh pada model sebelumnya disebabkan modifikasi sel kimia. Turut ditampilkan ialah pengecas on-board penyejukan-air 7.4 kW, yang membolehkan ia dicas dari 10 ke 100% dalam hanya 1.5 jam menggunakan Wallbox 22 kW terkini, atau sekitar lima jam menggunakan soket kuasa konvensional. Aspek ini merupakan langkah terpenting yang ditampilkan pada E 350 e.

    Bagi E 300 de, seperti nama yang disarankan, ia dilengkapi dengan enjin diesel. Malah ia juga sama dengan enjinOM654 2.0 liter empat-silinder turbodiesel yang digunakan pada C 300 de. Bagi ia sendiri, penjana kuasa ini mampu menghamburkan 194 PS (191 hp) dan tork 400 Nm, tetapi dengan adanya e-motor, jumlah kuasa keseluruhan mencecah 306 PS (302 hp) dan 700 Nm.

    Daripada segi prestasi, E 300 de boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 5.9 saat dan mampu mencecah kelajuan maksimum pada 250 km/j. Lain-lain fakta termasuklah pacuan semua-elektrik sehingga 54 km, penggunaan bahan api sekitar 1.6 l/100 km dan emisi CO2 dari 41 g/km.

    Sementara itu, bagi E 300 de pula digandingkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder (mungkin M274 DE20 LA) dengan 211 PS (208 hp) dan 350 Nm, dengan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 320 PS (315 hp) dan 700 Nm. Dibandingkan dengan E 300 de, model janaan-petrol adalah lebih pantas bagi pecutan 0-100 km/j iaitu 5.7 saat untuk berbuat demikian.

    Ia berkongsi kelajuan maksimum yang sama (250 km/j dalam mod normal; lebih 130 km/j bagi mod hanya-elektrik) dengan model petrol, tetapi mencatatkan penggunaan bahan api yang lebih tinggi (2.0 l/100 km) dan emisi CO2 (45 g/km). Bagi pacuan elektrik pula sedikit kurang iaitu 50 km. Mengikut pembandingan, keseluruhan sistem output bagi E 350 e hanyalah 286 PS (285 PS) dan 550 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat. Malahan ia juga boleh dipacu dengan janaan elektrik sahaja iaitu sehingga 33 km dan 2.1 l/100 km.

    Seperti C 300 de, terdapat empat mod operasi bagi penjana kuasa, termasuk Hybrid dengan tatapan biasa, E-mode yang membenarkan pemanduan semua-elektrik, E-Save untuk pengecasan bateri apabila diperlukan; dan Charge yang mengecas bateri sewaktu pemanduan. Ia juga menampilkan sistem ECO Assist untuk memastikan mereka yang memandu dalam mengekalkan pemanduan yang munasabah.

    Buat masa ini, Mercedes-Benz belum mendedahkan pasaran manakah yang akan disasarkan untuk kedua-dua model berkenaan. Berdasarkan informasi yang diperoleh, E 300 e akan ditawarkan dalam versi sedan terlebih dahulu, sementara E 300 de pula dalam bentuk sedan dan estate.

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 e W213

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 de W213

     
     
  • Proton X70: Prestasi enjin, aspek kendalian dan AWD – 0-100 km/j dalam 10.5 saat, 7.8 liter per 100 km minyak

    Proton X70: Prestasi enjin, aspek kendalian dan AWD – 0-100 km/j dalam 10.5 saat, 7.8 liter per 100 km minyak

    Di dalam sesi kedua taklimat kepada media berkaitan model SUV X70, Proton telah mendedahkan lebih banyak perincian. Jika sesi pertama dahulu melibatkan penerangan tentang rekaan, pemilihan nama dan hal-hal luaran yang lain, sesi kedua ini memberi tumpuan kepada hal-hal dalaman yang tidak kelihatan pula – misalnya angka-angka prestasi.

    Seperti yang ramai sedia maklum, Proton X70 ini akan menggunakan enjin 1.8L TGDi (Turbo Gasoline Direct Injection). Unit ini mampu menghasilkan sebanyak 135 kW (181 hp) pada 5,500 rpm kuasa manakala tork pula sebanyak 285 Nm dari 1,700 rpm hingga 4,400 rpm. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa 10.5 saat.

    Terdapat dua sistem pacuan yang adakan ditawarkan; 2WD (tiga varian) dan AWD (satu varian). Penggunaan minyak bagi model 2WD disifatkan mampu memberikan 7.8 liter bagi setiap 100 km, manakala penggunaan minyak bagi model AWD masih beluh dimaklumkan.

    Berat bagi model 2WD ialah 1.7 tan. Manakala bagi model AWD pula, ia melibatkan pertambahan 100 kg berat disebabkan gandar (axle) belakang yang melengkapinya. Hal ini juga sudah tentun akan mempengaruhi bacaan kadar penggunaan minyaknya. Sistem AWD berkenaan akan mengagihkan saluran kuasa antara 100:0 atau 70:30 dari roda depan ke roda belakang. Unit berkenaan dibangunkan oleh Borg Warner.

    Proton X70: Prestasi enjin, aspek kendalian dan AWD – 0-100 km/j dalam 10.5 saat, 7.8 liter per 100 km minyak

    Dari segi struktur kerangka dan casis, X70 menampilkan ciri yang lebih kukuh; sub-frame bahagian depan terutamanya menerima peningkatan dari sudut kekerasan yang lebih tinggi untuk melindungi bahagian ruang kabin.

    Aspek kendalian atau “ride & handling” SUV ini pula ditala oleh MIRA UK. Antara lain, kelebihan yang dapat dicapai ialah kadar kebisingan dalam kabin (NVH) yang lebih rendah serta penggunaan suspensi belakang dari jenis multi-link untuk memberi lebih keselesaan kepada penumpang.

    Turut tersedia ialah tiga pilihan mod memandu – Normal, Eco dan Sport. Ketiga-tiga mod ini juga akan melibatkan perubahan warna pada bahagian meter; warna putih bagi mod Normal, beralih ke Eco dalam warna hijau dan terakhir mod Sport dalam warna merah untuk memudahkan pemandu serta mewujudkan kelainan rasa pemanduan bagi setiap mod yang ada.

    Selain itu, Proton X70 ini juga akan dibuka tempahan secara online bermula 17 Oktober nanti. Ikuti juga penawaran dan pecahan setiap varian yang ada serta perinciannya, serta teknologi perhubungan (connectivity) maju yang turut melengkapi model ini.

     
     
  • Mazda CX-5 2019 dilancarkan di Jepun – kini dengan enjin 2.5 liter petrol turbo SkyActiv-G, 230 PS/420 Nm

    Mazda CX-5 2019 dilancarkan di Jepun – kini dengan enjin 2.5 liter petrol turbo SkyActiv-G, 230 PS/420 Nm

    Baru dua tahun dalam pasaran, Namun Mazda kini sudahpun mengemaskini model SUV segmen-C CX-5 generasi kedua. Kali ini, kurang peningkatan diberikan dari segi rupa, tetapi ia tampil dengan perubahan dari segi mekanikal.

    Untuk versi baharu ini, CX-5 akhirnya ditawarkan dengan enjin petrol turbo 2.5 liter SkyActiv-G empat silinder, yang menghasilkan kuasa 230 PS pada takat 4,250 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,000 rpm. Penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada 12.6 km untuk setiap liter, bukan berdasarkan kitaran ujian JC08 atau NEDC, tetapi menggunakan prosedur baharu Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP)

    Pilihan transmisi untuk enjin ini adalah sama dengan pilihan enjin lain iaitu kotak gear automatik enam-kelajuan dan opsyen pacuan roda hadapan ataupun pacuan semua roda. Namun untuk model yang dijana enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D berkuasa 172PS/420 Nm, Mazda kini menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan dan menurut mereka, ini adalah satu-satunya SUV dalam segmennya yang diberikan transmisi manual.

    Sistem G-Vectoring Control (GVC) turut dikemaskini. Mazda menyatakan bahawa sistem tersebut kini akan memberikan sedikit brek pada roda bahagian luar ketika keluar dari selekoh, memberikan lebih kestabilan ketika pemandu meluruskan kembali kedudukan stereng. Ini akan membolehkan peralihan antara olengan dan yaw sekata walaupun tujahan kuat ketika membelok, sekaligus memberikan respon yang lebih baik terhadap input stereng yang diberikan secara tiba-tiba serta keluar dari selekoh dengan lebih baik.

    G-Vectoring Control yang dipertingkat ini dikenali sebagai GVC Plus dan ia turut didakwa memberikan pengedalian yang lebih baik ketika pemandu cuba untuk mengelakkan pelanggaran serta menawarkan “kawalan lebih tenang” ketika menukar lorong dan ketika memandu pada permukaan licin atau salji. GVC Plus diberikan secara standard untuk semua model dalam barisan CX-5, dan ia turut akan dilengkapkan pada model-model Mazda yang lain.

    Perincian lain yang turut dibekalkan pada CX-5 2019 ini termasuk fungsi pengesan pejalan kaki waktu malam dalam sistem Advanced Smart City Braking Support (SCBS), pilihan kamera 360-darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta tweeter baharu yang menjadikan jumlah pembesar suara pada kabin SUV ini adalah enam-unit. Panel kawalan sistem penghawa dingin telah direka semula, manakala model asas kini menerima rim 17-inci kemasan Grey Metallic.

    Mazda turut menawarkan model edisi khas Exclusive Mode berasaskan CX-5 versi turbo petrol dan turbodiesel. Model varian tertinggi ini menerima rim aloi 19-inci kemasan hitam berkilat, upholsteri kulit Deep Red Nappa, kayu asli untuk trim dalaman, cermin pandang belakang tanpa kerangka, tempat duduk hadapan berliang, paparan instrumen TFT LCD tujuh-inci serta kesemua lampu kabin yang diberikan LED berwarna putih untuk suasana yang lebih konsisten.

     
     
  • Mercedes-Benz C300de W205 – plug-in hybrid diesel

    Mercedes-Benz C300de W205 – plug-in hybrid diesel

    March tahun ini, Mercedes-Benz telah menunjukkan model E-Class dan C-Class diesel plug-in hybrid versi pra produksi sewaktu Geneva Motor Show. Sekarang, kita telah diberikan lebih banyak informasi berkenaan varian C-Class, yang dipanggi sebagai C 300 de. Penghantaran unit pertama C 300 de ini kepada pelanggan dijadualkan bermula pertengahan tahun 2019. Syarikat ini juga akan mendedahkan versi plug-in hybrid dengan enjin petrol menggunakan asas C-Class sekarang dan nanti akan menggantikan C 350 e.

    Sistem plug-in hybrid pada kenderaan ini berfungsi seperti biasa, cumanya ia menggunakan gabungan enjin diesel, iaitu unit empat silinder 2.0L turbodiesel OM654 yang menghasilkan kuasa 194 PS (191 hp) dan 400 Nm tork, digabungkan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.

    Aspek bantuan elektrik datang daripada motor elektrik berkuasa 122 PS (121 hp/90 kW)/440 Nm yang disepadukan bersama torque converter serta klac transmisi untuk menjadi satu unit tunggal. Ini menghasilkan rekaan yang lebih kompak dan bentuk akhirnya cuma 108 mm panjang berbanding transmisi 9G-Tronic biasa.

    Rekaan ini berbeza dengan sistem generasi kedua syarikat itu, di mana motor elektrik disambungkan terus kepada input transmisi dan klac start-off basah digunakan sebagai klac pemula dan pemisah. Torque converter yang beada antara motor elektrik dan transmisi itu mengawal kuasa ketika kenderaan mula bergerak, dan klac pemisah boleh direka semula untuk mengurangkan kehilangan kuasa.

    Motor elektrik tersebut mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 13.5 kWh, yang merupakan satu peningkatan yang banyak berbanding unit 6.38 kWh pada C 350 e. Menurut Mercedes-Benz, ini dapat dilakukan hasil daripada peningkatan kapasiti sel dari 22 kepada 37 Ah berikutan perubahan bahan yang digunakan – daripada lithium-iron-phosphate (LiFePo) kepada lithium-nickel-manganese-cobalt (Li-NMC).

    Bateri ini boleh dicas melalui sistem penjanaan semula kuasa brek waktu memandu atau dengan menyambung kabel ke sumber kuasa. Untuk mendapatkan pengecasan pantas, Mercedes-Benz telah memasang pengecas yang disejukkan dengan air pada C 300 de ini, seterusya menjadikan kapasiti mengecas 7.4 kW – dua kali ganda berbanding 3.7 kW pada C 350 e.

    Mercedes-Benz C300de W205 – plug-in hybrid diesel

    Apabila menggunakan Wallbox 22 kW (penyambung Type 2) jenama itu pula, bateri boleh dicas daripada 10% ke 100% dalam masa cuma 1.5 jam. Ini adalah kurang 15 minit berbanding masa yang diperlukan oleh C 350 e untuk mengecas bateri 6.38 kWh padanya menggunakan Wallbox 3.7 kW sebelum ini. Anda juga boleh mengecas kereta ini menggunakan soket kuasa domestik biasa dan ia akan mengambil masa lima jam untuk penuh.

    Mercedes-Benz memberitahu, jumlah kuasa keseluruhan kenderaan ini terletak pada 306 PS (302 hp) manakala tork pula terhad kepada 700 Nm dari 1,400 rpm. Daripada aspek prestasi, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (5.7 saat untuk model Estate/Wagon) dan mencapai laju maksimum 250 km/j. Mengikut cara ujian NEDC, penggunaan bahan api berada pada 1.4 l/100 km (1.5 l/100 km untuk Estate) dan emisi karbon dioksida pada 38 g/km.

    Empat mod operasi kuasa disediakan pada kenderaan ini, termasuk Hybrid yang merupakan tetapan asal; E-Mode yang menggunakan kuasa elektrik sahaja; E-Save untuk membantu pengecasan semula bateri apabila perlu; dan Charge yang mengecas bateri semasa memandu. Dalam E-Mode, ia boleh digunakan sehingga jarak 57 km, dengan laju maksimum lebih sedikit daripada 130 km/j.

    Pemandu juga mempunyai akses kepada sistem ECO Assist yang dapat mengambil kira profail jalan, had laju serta jarak dengan kenderaan di hadapan untuk menghasilkan saranan pemanduan serta strategi penjimatan. Sebagai contoh, pemandu akan diberitahu bila untuk memperlahankan kenderaan apabila ada had laju di hadapan. Data daripada sistem navigasi, kamera dan radar pengesan juga akan digunakan untuk melaras profail jalan dan kelajuan tertentu.

     
     
  • Proton X70: Tempahan online akan dibuka 17 Oktober

    Proton X70: Tempahan online akan dibuka 17 Oktober

    3d underground abstract background

    Hampir sebulan lalu, Proton mengumumkan tempahan bagi model SUV X70 mula dibuka kepada umum. Itu memerlukan pelanggan yang berminat untuk hadir ke bilik pameran atau berjumpa dengan wakil jualan Proton untuk berbuat demikian.

    Namun, bermula 17 Oktober nanti, ada satu lagi kaedah yang membolehkan pelanggan yang berminat untuk menempah; iaitu secara atas talian (online). Satu halaman khas dengan borang akan diaktifkan bermula tarikh tersebut melalui pautan di laman web rasmi Proton.

    Melalui laman khas ini nanti, pelanggan boleh melihat dan memilih jenis pendaftaran (persendirian atau syarikat), barisan varian yang disediakan dengan perincian masing-masing (Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD) serta pilihan warna luaran dan dalaman yang ditawarkan. Kemudian, dalam tempoh seminggu selepas itu, wakil penjual dari Proton akan menghubungi pelanggan untuk urusan seterusnya.

    Menurut CEO Proton, Dr Li Chunrong, proses mengambil tempahan ini penting bagi mereka kerana ia akan memberikan petunjuk kepada permintaan pasaran di Malaysia terhadap model X70 ini, sekaligus akan membantu Proton untuk merancang kadar pengeluaran model terbabit (berdasarkan pecahan permintaan berdasarkan varian) dengan lebih cekap. Dengan itu, pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan mereka nanti.

     
     
  • Baharui cukai jalan di pejabat pos dikenakan caj ekstra RM5 mulai 15 Okt ini – untuk pelanggan korporat

    Baharui cukai jalan di pejabat pos dikenakan caj ekstra RM5 mulai 15 Okt ini – untuk pelanggan korporat

    Beberapa hari ini berita mengenai caj tambahan bagi yang memperbaharui cukai jalan atau pun Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah pun tular di media sosial. Walau bagaimana pun, menurut laporan Berita Harian, Pos Malaysia telah pun mengesahkan perkara berkenaan, di mana mulai 15 Oktober ini, pihaknya akan mengenakan caj pemprosesan tambahan sebanyak RM5.

    Namun demikian, caj tambahan tersebut hanya dikenakan kepada pelanggan korporat mereka seperti wakil bank, syarikat kewangan, insurans atau takaful, syarikat jualan kereta baru dan terpakai sahaja.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia, tiada caj tambahan akan dikenakan bagi pelanggan individu. Jadi, jangan cepat melatah ya dan menyebarkan informasi yang salah. Tidak pasti, jangan kongsi!

     
     
  • Yamaha R25 baru dilancar di Indonesia – lebih sporty

    Yamaha R25 baru dilancar di Indonesia – lebih sporty

    Bersempena dengan sambutan ulang tahun model YZF-R1 yang ke-20, Yamaha telah melakukan sesuatu yang istimewa hari ini, dengan melancarkan YZF-R25 dan YZF-R3 secara serentak di Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat.

    Melalui model baru ini, sudah tentu, penampilannya disegarkan lagi berbanding model sebelum ini dan kini mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip seperti R1. Kemudiannya, ciri aerodinamik juga diperbaiki, seterusnya membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi. Lampu depan dan belakang motosikal ini menggunakan unit LED.

    Untuk bahagian enjin R25, tiada perubahan berbanding model sebelum ini (masih dijual di Malaysia) dan ia masih lagi menggunakan unit dua silinder selari 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan yang sama dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Perubahan yang lebih utama adalah pada bahagian suspensi, di mana sekarang R25 baru menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang, monoshock yang digunakan ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

    Reka bentuk tangki (kapasiti 14 liter) juga telah diubah, dan menurut Yamaha, semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal berciri sporty. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh lengkap dengan lampu shift light.

    Ciri lain yang ada pada R25 baru adalah berat 166 kg untuk model tanpa ABS, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Bagi yang tertanya mungkinkah akan ada versi VVA bagi R25 ini, salah seorang wakil Yamaha yang berada di majlis pelancarannya memberitahu R25 sudah mempunyai kuasa yang cukup dan tidak akan dilengkapi dengan VVA. Video di bawah bermula pada minit 37:00.


     
     
  • Porsche Cayenne Turbo E3 dipertonton di Pavilion, KL

    Porsche Cayenne Turbo E3 dipertonton di Pavilion, KL

    Porsche Cayenne generasi E3 dilancarkan di Malaysia Julai tahun ini, tapi dengan hanya dua varian iaitu Cayenne dan Cayenne S. Sekarang, Sime Darby Auto Performance (SDAP) mempertontonkan satu lagi varian yang lebih berkuasa, iaitu Cayenne Turbo di Pavilion, Kuala Lumpur.

    Supaya jelas, kami ingin nyatakan ini cuma satu pra tonton dan ia belum dilancarkan secara rasmi. Jadi, harganya juga masih belum ada. Model Cayenne yang dilancarkan sebelum ini dijual pada harga RM745,000 (termasuk cukai tapi tanpa kos pendaftaran, barangan tambahan dan insurans) manakala Cayenne S berharga RM890,000. Daripada ini, kita boleh menjangka harga Cayenne Turbo adalah lebih tinggi.

    Penggerak Cayenne Turbo E3 adalah enjin V8 petrol biturbo 4.0 liter (0.8 liter lebih kecil berbanding Cayenne Turbo generasi E2) yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 550 PS dan 770 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Tiptronic S serta sistem pacuan semua roda aktif Porsche Traction Management (PTM).

    Daripada aspek prestasi, Cayenne Turbo boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 4.1 saat, iaitu satu saat lebih pantas berbanding Cayenne S (6.2 saat bagi Cayenne asas). Ia juga mempunyai kelajuan maksimum lebih tinggi berbanding varian yang ada dijual sekarang iaitu 286 km/j (Cayenne S 265 km/j dan Cayenne asas 245 km/j).

    Kelengkapan standard lain yang ada pada model ini adalah termasuk suspensi udara adaptif untuk Porsche Active Suspension Management (PASM), Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC), Porsche Active Aerodynamics (PAA) dengan spoiler bumbung adaptif, sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin 12.3 inci dan Porsche Surface Coated Brake (PSCB).

    Cayenne Turbo mempunyai penampilan yang lebih menyerlah pada bahagian hadapannya dengan bukaan udara yang lebih besar. Selain daripada itu, bahagian belakang juga mempunyai empat muncung ekzos yang lebih tajam, berbanding bulat pada Cayenne S.

     
     
  • Proton labur RM1.2 bilion untuk produksi X70, Tanjung Malim bakal jadi hab R&D dan pengeluaran model RHD

    Proton labur RM1.2 bilion untuk produksi X70, Tanjung Malim bakal jadi hab R&D dan pengeluaran model RHD

    Serentak dengan majlis perjanjian antara vendor-vendor tempatan dan syarikat-syarikat dari China hari ini, Proton turut mengumumkan bahawa mereka akan melabur sejumlah RM1.2 bilion bagi usaha-usaha memperbesarkan lagi kilang di Tanjung Malim untuk membolehkan mereka mampu untuk memproduksi SUV pertamanya, X70 serta model-model generasi akan datang.

    Bukan itu sahaja, pelaburan berkenaan turut akan digunakan untuk mentransformasi fasiliti mereka di Tanjung Malim bagi membolehkannya menjadi hub untuk kerja-kerja R&D serta hub produksi untuk model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) dalam barisan produk Geely Group.

    Dalam laporan sebelum ini, Proton telah disahkan menerima lesen untuk menggunakan hak intelektual (IP) serta hak untuk memproduksi serta menjual tiga model Geely iaitu SUV Boyue (Proton X70), crossover segmen-B SX11 (atau dikenali juga sebagai Bin Yue) serta MPV yang belum didedahkan sepenuhnya VF11.

    Melalui perjanjian berkenaan, Proton berhak terhadap rekaan, pembangunan, pembuatan, jualan, pemasaran dan pengedaran untuk tiga model; dan ia menyatakan bahawa Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand sebagai negara yang dibenarkan untuk Proton memasarkan model-model yang telah diberikan lesen. Lesen tersebut sah selama 10 tahun.

    “Proton menggesa pembekalnya untuk mengambil peluang ini bagi mewujudkan usaha sama dengan pembekal luar negara untuk mencapai standard dunia dari segi kemajuan teknologi dan kualiti. Ini akan membolehkan mereka bersaing diperingkat antarabangsa dan membangunkan komuniti pembekal industri automotif Malaysia yang mampu bersaing secara global,” kata Pengerusi Proton Dato Seri Syed Faisal Albar.

    “Penglibatan pembekal Malaysia adalah komponen utama untuk mencapai matlamat jangka masa panjang syarikat. Kami mahu produk Proton yang dihasilkan di sini iaitu di Tanjong Malim, menggunakan komponen buatan Malaysia untuk pasaran domestik serta model eksport dan mampu berdepan dengan pesaing dari seluruh dunia. Ini adalah komitmen Proton, sebagai jenama automotif ikonik Malaysia, untuk memastikan industri automotif Malaysia terus membangunkan kompetensi kelas dunia,” katanya.

    SUV Proton X70 yang akan dilancarkan November ini buat permulaan akan ditawarkan sebagai model CBU dari China, kemudian ia bakal dipasang secara tempatan di Tanjung Malim tahun hadapan. Walaupun belum lagi dilancarkan, maklumat berkenaan SUV ini telah pun didedahkan oleh Proton yang boleh anda baca DI SINI.

     
     
  • Vendor-vendor Proton adakan kerjasama dengan syarikat-syarikat China bagi produksi X70 di Tg. Malim

    Vendor-vendor Proton adakan kerjasama dengan syarikat-syarikat China bagi produksi X70 di Tg. Malim

    Bagi persediaan untuk menghasilkan SUV Proton X70 secara pemasangan tempatan di Tanjung Malim, jenama automotif nasional berkenaan hari ini mengadakan majlis menandatangani perjanjian bersama antara lapan vendornya dari Malaysia dengan ssembilan syarikat pembekal dari China, disaksikan Dato Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaludin, ahli parlimen Tanjong Malim dan ketua pegawai eksekutif Proton Dr Li Chunrong di Bandar Proton, Tanjung Malim. Majlis berkenaan turut dihoskan oleh pengerusi Proton sendiri, Dato’ Sero Syed Faisal Albar.

    Usaha ini adalah kesinambungan dari perjanjian yang ditandatangani oleh Proton dan Institut Automotif Malaysia (MAI) semalam bagi mengoptimakan lagi sumber bersama untuk digunakan dalam pembangunan pembekal alat ganti dan komponen demi memastikan vendor menepati tahap global.

    Kumpulan pertama yang menandatangi perjanjian ini meliputi skop usaha sama sehinggalah bantuan teknikal, yang akan membawa pelaburan RM170 juta ke Malaysia dan dijangkakan akan mewujudkan sekitar 450 peluanv pekerjaan baharu. Nilai pelaburan berkenaan dijangka akan meningkat dalam masa berberapa tahun, selari dengan peningkatan jumlah pengeluaran Proton.

    Vendor-vendor Proton adakan kerjasama dengan syarikat-syarikat China bagi produksi X70 di Tg. Malim

    Syarikat-syarikat yang dijalinkan kerjasama berkenaan adalah Delloyd Industries Malaysia dan Hubei Tri-ring Auto-electric Appliance, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia dan Jiangsu Xinquan Automotive Trim, MTV Digital Technology dan Tianjin Bodun Electronics, Multi-Code Electronics Industries Malaysia dan SH SIIC Transportation Electric, Delloyd Alpha dan Ningbo Xinpin Auto Parts, Delloyd Electronics dan Avic Guiyang Wanjiang Aviation Electromechanical, Proreka dan Ningbo Fushi Automotive Components, serta Xenso Electronics dan Shenzhen Jiuzhou Zhuoneng Electric.

    Menurut Proton, perjanjian kerjasama hari ini adalah langkah pertama bagi mewujudkan asas pembekal yang mampu mencapai teknologi dan standard kualiti model-model generasi berikutnya yang akan dihasilkan dengan kerjasama Geely. Ia juga sebagai salah satu komitmen mereka bagi mengembangkan jualan domestik dan eksport, dan menjadikan ibu pejabatnya di Tanjong Malim sebagai pusat R&D serta hab produksi model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) dalam barisan produk Geely Group.

    SUV Proton X70 yang akan dilancarkan November ini buat permulaan akan ditawarkan sebagai model CBU dari China, kemudian ia bakal dipasang secara tempatan di Tanjung Malim tahun hadapan. Walaupun belum lagi dilancarkan, maklumat berkenaan SUV ini telah pun didedahkan oleh Proton yang boleh anda baca DI SINI.

     
     
  • Porsche 911 GT3 RS 2018 kini di M’sia – RM2.23 juta

    Porsche 911 GT3 RS 2018 kini di M’sia – RM2.23 juta

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan secara rasmi Porsche 911 GT3 RS baru di Malaysia dan ia kini sedang dipamerkan di Pavilion KL sehingga Ahad ini (14 Oktober). Harga asas kenderaan ini bermula daripada RM2.23 juta termasuk semua cukai yang berkaitan dan jaminan selama empat tahun, tetapi tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

    Enjin enam silinder NA 4.0 liter dan kotak gear automatik PDK tujuh kelajuan klac berkembar masih lagi digunakan untuk model ini, tetapi ditala untuk memberi lebih kuasa. Kini ia mampu menghasilkan 520 PS (513 hp), iaitu 20 PS (20 hp) lebih berbanding model sebelum ini, bersama 470 Nm tork. Kitaran enjin maksimum masih lagi dihadkan pada 9,000 rpm tetapi kuasa paling tinggi dapat sampai lebih awal, pada 8,250 rpm dan 6,000 rpm untuk tork maksimum.

    Dengan kuasa yang lebih ini, laju maksimum juga bertambah menjadi 312 km/j (sebelum ini 310 km/j), manakala pecutan 0-100 km/j kini boleh dilakukan dalam masa 3.2 saat (turun 0.1 saat). Selain daripada itu, pecutan 0-160 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.9 saat, dan 0-200 km/j dalam 10.6 saat.

    Perubahan bahagian luar kenderaan ini termasuk sayap belakang baru, yang disertai bampar depan dan belakang rekaan baru, yang diperbaiki untuk menyampaikan udara secara lebih baik kepada bukaan yang ada serta corong laluan udara keluar di belakang.

    Perubahan lain datang daripada pengalaman syarikat ini dalam sukan permotoran, yang termasuk ball joint pada semua arm (supaya lebih tepat daripada bearing biasa), serta tayar baru – saiz 263/35 di depan dan 325/30 di belakang. Saiz rim pula adalah 20 inci di depan dan 21 inci di belakang.

    Pembeli juga boleh mendapatkan pakej Clubsport tanpa sebarang kos tambahan, di mana dalam pakej itu, kenderaan akan dilengkapkan dengan roll cage, pemadam api manual, persediaan untuk suis pemati bateri dan tali pinggang six-point. Jika mahukan lebih ciri sport, anda boleh memilih pakej Weissach (dengan bayaran tambahan) yang dapat menjadikan kenderaan 17 kg lebih ringan hasil penggunaan gentian karbon pada bahagian tertentu.

     
     
  • Ford Ranger – jualan cecah 2,245 unit bagi suku ketiga 2018, catat 15.3% perkongsian pasaran di Malaysia

    Ford Ranger – jualan cecah 2,245 unit bagi suku ketiga 2018, catat 15.3% perkongsian pasaran di Malaysia

    Ford Ranger masih kekal sebagai trak pikap popular dan diyakini kredibilitinya di Malaysia, malah bagi suku ketiga tahun ini, jualannya melonjak 61% berbanding tahun lalu dengan 2,245 unit berjaya dijual. Sekaligus membantu Ranger meningkatkan perkongsian pasarannya dalam segment trak pikap apabila naik 1.1% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 15.3%.

    “Ranger membantu memacu mengukuhkan segmen trak pikap secara keseluruhannya. Kelasakan, keupayaan dan keselesaan Ranger terus menjadi penanda aras dalam sektor trak pikap satu tan. Ini banyak dibantu oleh kepakaran kami dalam menghasilkan trak dan kekuatan Ford di peringkat global,” kata Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, Truong Kim Phong.

    Malah pada minggu lalu, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar jenama Ford telah mengesahkan, Ford Ranger facelift terbaharu akan dilancarkan di Malaysia pada hujung bulan ini. Ia akan ditawarkan dengan beberapa varian; XL, XLT, Wildtrak dan Ranger Raptor, serta satu tambahan lagi XLT+.

    Ford Ranger – jualan cecah 2,245 unit bagi suku ketiga 2018, catat 15.3% perkongsian pasaran di Malaysia

    Untuk pasaran tempatan, Ranger akan dibarisi dengan varian 2.2L XL Manual dan Automatik, diikuti oleh 2.2L XL Manual Single Cab. Ketiga-tiga varian ini adalah dari versi 4×4 High Rider dengan enjin 2.2L TDCi VGT yang menghasilkan 160 PS dan 385 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 2,600 rpm. Selain itu, varian 2.0L XLT Manual dan Automatik turut bakal ditawarkan, dengan lebih kelengkapan. Ia menggunakan enjin 2.0 liter TDCi yang sama seperti XL, dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik 6-kelajuan.

    Penawaran enjin baru pula adalah bagi varian 2.0L XLT+ Automatik 4×4 High Rider, menjadi satu-satunya varian yang bukan Wildtrak/Raptor yang menggunakan enjin baru berkenaan. Unit 2.0L Si-Turbo dengan turbo tunggal ini mampu hasilkan 180 PS dan 420 Nm tork dari 1,750 hingga 2,500 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi 10-kelajuan automatik dengan SelectShift.

    Bagi memberi sokongan lebih baik kepada para pelanggan Ranger di seluruh negara, Ford dan Sime Darby Auto Connexion akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan. Ia merangkumi proses pengembangan dan naik taraf para pengedar Ford di seluruh negara.

    Sejak setahun lalu, Ford dan Sime Darby Auto Connexion mengumumkan pembukaan empat kemudahan pengedar Ford yang baru dan telah dinaik taraf. Ini termasuklah Acecourt Auto Sdn Bhd (Acecourt Auto), SNS Kembara Utama Sdn Bhd (SNS Kembara), Sime Darby Auto Connexion (Kuching) dan Sime Darby Auto Connexion (Kota Kinabalu).

     
     
  • BMW 3 Series Touring G21 – lukisan paten tersiar

    BMW Series G20 sedan baharu telah diperkenalkan pada minggu lalu, dan terkini Touring wagon G21 baharu pula didedahkan, menerusi paten yang didaftarkan di Institut Harta Industrial Kebangsaan Brazil (INPI). Lukisan paten, yang disiarkan oleh laman web permotoran Quatro Rodas, menunjukkan rekaan bumbung panjang secara keseluruhan (pakar Photoshop Theophilus Chin telah menghasilkan imej render bahagian belakang, seperti di bawah).

    Sudah tentu ada perbezaan antara sedan ke wagon dengan garisan bumbung yang dilebarkan. Selain itu, garisan pintu belakangnya juga berubah – lebih kurang dengan SUV X3.

    Menerusi lukisan paten ini juga, model empat-pintu ini jelas kelihatan, termasuk gril kidney yang sedikit besar, dengan lampu utama ala gaya-Peugeot, corong Air Curtain inspirasi NACA pada bampar hadapan, fender belakang yang menyerlah dan juga lampu belakang berbentuk-L tiga-dimensi – seperti yang dijangka.

    BMW 3 Series Touring G21 – lukisan paten tersiar

    Bahagian belakang hasil render oleh Theophilus Chin

    Turut dijangka ialah pemilihan enjin pengecas turbo yang sama dengan sedan, termasuk unit petrol 2.0 liter empat-silinder dengan hamburan kuasa 184 hp/300 Nm 320i dan 258 hp/400 Nm 330i, lebih kurang dengan unit diesel 150 hp/320 Nm 318d dan 190 hp/400 Nm 320d serta unit enam-silinder dengan 265 hp/580 Nm 3.0 litre pada 330d.

    Malahan pilihan 330e plug-in hybrid dengan 252 hp (atau meningkat ke 292 hp dengan mod XtraBoost baharu) dan meningkat ke 60 km dengan pacuan semua-elektrik, dan juga m=varian M3401 dengan unit petrol 3.0 liter enam-silinder (374 hp/500 Nm). Pada versi sedan, transmisi automatik lapan-kelajuan ditawarkan, dengan manual enam-kelajuan hanya untuk 318d dan 320d.

    GALERI: BMW 3 Series Sedan G20

     
     
  • Hyundai i40 diperbaharui – pilihan enjin dan ciri terkini

    Hyundai i40 diperbaharui – pilihan enjin dan ciri terkini

    Hyundai telah memberikan pembaharuan untuk model i40, dengan kedua-dua yang berbentuk sedan dan wagon mendapat sedikit perubahan rekaan, tambahan pilihan enjin dan senarai kelengkapan yang dinaik taraf.

    Pada bahagian luar, i40 sekarang menggunakan Cascading Grille yang sudah banyak digunakan pada model-model baru lain Hyundai. Ia juga kini didatangkan dengan pilihan rim 18 inci, sebagai tambahan kepada pilihan 16 inci serta 17 inci yang ada pada model sekarang.

    Sama seperti bahagian luar, bahagian dalam juga tidak banyak berubah, tetapi terdapat kombinasi warna baru iaitu Merah Merlot dan Kelabu/Hitam yang menyertai warna Hitam dan Beige sedia ada. Semua warna ini boleh didapati bagi kemasan kulit manakala warna Hitam dan Beige turut ditawarkan untuk fabrik biasa. Bergantung kepada warna tempat duduk yang dipilih, pelapik pintunya akan menggunakan warna yang kontras.

    Walaupun perubahan gaya ini tidak begitu menyeluruh, i40 yang dipertingkat ini mendapat manfaat daripada Hyundai Smart Sense yang termasuk sistem Forward Collision-Avoidance Assist (FCA). Dengan sistem ini, ia kenderaan dapat memberikan amaran jika ada keadaan bahaya di hadapan dan membrek secara automatik jika perlu.

    Di bawah bonetnya, satu pilihan enjin diesel 1.6 liter Smartstream baru telah diperkenalkan, dan ia datang dalam dua talaan kuasa iaitu 115 PS/280 Nm dan 136 PS/320 Nm – kedua-duanya datang dengan kotak gear manual enam kelajuan. Versi yang lebih berkuasa bagi enjin ini juga ditawarkan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

     
     
  • Keputusan hapuskan tol bakal diketahui tidak lama lagi, sedang nilai beberapa cadangan – Baru Bian

    Keputusan hapuskan tol bakal diketahui tidak lama lagi, sedang nilai beberapa cadangan – Baru Bian

    Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata keputusan berhubung isu penghapusan kutipan tol lebuh raya hanya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi. Katanya, ketika ini pihaknya sudah menerima beberapa cadangan daripada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dan akan menilai semua cadangan berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan, laporan Bernama.

    “Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan yang saling memanfaatkan kepada pihak berkepentingan dan kerajaan baharu. Apa yang nanti diputuskan cara baiknya yang diterima semua pihak berkepentingan.

    “Saya percaya itu akan dilaksanakan. Saya difahamkan semua pemegang berkepentingan bersikap positif terhadap kedudukan kita sekarang. Justeru, mereka sangat memaham, kita harap akan ada persefahaman dan kesimpulan bersama serta persetujuan bersama yang terbaik,” katanya.

    Tambah beliau lagi, antara cadangan yang diberikan syarikat konsesi termasuklah pemberian rebat dan diskaun serta memanjangkan tempoh konsesi lebuh raya.

    Keputusan hapuskan tol bakal diketahui tidak lama lagi, sedang nilai beberapa cadangan – Baru Bian

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai kos sebenar penyelenggaraan jalan raya persekutuan di negara ini. Katanya, kos keseluruhan yang diperlukan setiap tahun ialah kira-kira RM2 bilion. Walau bagaimana pun,kementerian Kerja Raya hanya menerima antara RM600 juta dan RM800 juta sahaja dari bajet tahunan bagi tujuan itu.

    “Malah kami diminta berusaha mengurangkan lagu jumlah itu, pihak kami menerima kurang 50% daripada apa yang diperlukan. Selain itu kami juga ada kerja-kerja penyelenggaraan yang tertangguh sekitar 30% yang perlu dilaksanakan, jika kami tidak laksanakan kerja-kerja ini, jumlah kerja yang tertangguh akan melonjak kepada 40 atau 50%,” katanya.

    Jelasnya lagi, “Keselamatan pengguna jalan raya amat penting, oleh itu kami akan merayu kepada Kementerian Kewangan untuk dapatkan peruntukan sewajarnya yang kami perlukan. Jika kerja-kerja penyelenggaraan ini tidak dijalankan, lebih banyak lagi jalan raya akan berlubang, nanti timbul pula isu lain lagi.”

     
     
  • Toyota Rush 2018 akan dilancarkan di M’sia 18 Okt ini

    Sebelum ini, ada yang menjangkakan bahawa Toyota Rush akan di bawa ke Malaysia dengan lencana Perodua, sebagai SUV baharu jenama automotif nasional kedua negara berkenaan. Namun apa yang pasti sekarang, model Rush generasi baharu tersebut akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada 18 Oktober ini oleh UMW Toyota Motor (UMWT) sendiri, dan pendaftaran minat untuk orang awam sudah pun di buka – anda boleh lakukannya pada pautan ini.

    Model generasi kedua berkenaan telah membuat kemunculan sulungnya di Indonesia November tahun lalu, dan berbanding model terdahulu, Rush kini menampilkan rupa sebuah MPV yang diberi penggayaan seperti SUV – prinsip rekaan yang hampir serupa dengan Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander. Ia juga menerima elemen rekaan seperti abangnya iaitu Toyota Fortuner, terutama pada bahagian muka.

    Pada bahagian dalaman, Rush diberikan pelbagai peningkatan seperti penggunaan material sentuhan lembut, papan pemuka dua tona, port USB pada setiap baris tempat duduk, sistem infotainmen DVD-AVX dengan skrin sesentuh tujuh-inci serta sistem penghawa dingin automatik. Namun kesemua ini adalah ciri-ciri yang dibekalkan untuk model pasaran Indonesia, manakala spesifikasi pasaran Malaysia masih belum diketahui.

    Untuk ciri keselamatan pula, Rush 2018 pasaran Indonesia menerima enam beg udara, VSC, ABS, EBD, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan serta pengingat tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh tempat duduknya. Ia turut diberikan lampu hadapan LED (turut ditunjuk dalam teaser UMWT berkenaan) dengan lampu panduan LED serta lampu belakang LED.

    Model generasi kedua ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan pilihan sama ada kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.