Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TOM’S Toyota Corolla Sport – imej awalan disiar

    TOM’S Toyota Corolla Sport – imej awalan disiar

    Sejak Toyota serius dengan jenama Gazoo Racing (GR/GRMN), nama Toyota Racing Development (TRD) dan juga TOM’S agak tenggelam bukan? Namun selepas pengenalan Toyota Corolla Hatchback generasi baharu di Jepun yang dilihat akan mengembalikan Corolla dengan imej sporty, TOM’S nampaknya mula mengorak langkah untuk menghasilkan model talaan versinya.

    Gambar yang anda lihat ini sebenarnya bukan model sebenar, tetapi adalah imej awal yang dihasilkan oleh TOM’S sendiri dengan menyatakan pembinaan model yang digelar TOM’S Corolla Sport sudahpun bermula. Perincian lanjut berkenaan kereta ini dari segi mekanikal juga belum lagi diumumkan oleh badan penala berkenaan.

    Toyota Corolla Hatchback generasi baharu ini mula diumumkan di Jepun bulan lalu di mana pasaran berkenaan menerima dua pilihan janakuasa iaitu 1.8 liter hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 122 PS dan juga versi 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS/185 Nm. Model ini turut telah diperkenalkan pada pasaran UK (Auris) dengan tambahan versi janaan enjin M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force, manakala di Amerika Syarikat ia hanya hadir dalam versi 2.0 liter.

    TOM’S Toyota Corolla Sport – imej awalan disiar

    Dengan rupa yang lebih agresif serta pembangunannya di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai titik graviti rendah, sayap perlumbaan rasmi Toyota, Gazoo Racing juga dilaporkan berminat untuk membangunkan model berprestasi tinggi berdasarkan Corolla Hatchback ini. Hot-hatch berkenaan berkemungkinan akan membuat kemunculannya pada tahun 2020.

    Bagi mereka yang tidak mengenali TOM’S (Tachi Oiwa Motor Sports), syarikat ini merupakan penala persendirian yang ditubuhkan di Jepun oleh Nobuhide Tachi dan Kiyoshi Oiwa pada tahun 1974.

    Syarikat tersebut kemudiannya dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota bagi menghasilkan pelbagai produk berpretasi tinggi. TOM’S juga terkenal dengan menghasilkan model-model talaan khasnya seperti T020 (diasaskan dari Toyota MR-2) dan T111 (dari Toyota Corolla Sprinter Trueno AE111) serta kereta lumba ikonik Castrol TOM’S Supra yang berlumba di JGTC.

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback generasi baharu pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Volkswagen Marketplace bakal dilancarkan di M’sia

    Volkswagen Marketplace bakal dilancarkan di M’sia

    Pada awal tahun ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan bakal melancarkan Volkswagen Marketplace, dan menerusi laman web rasmi jenama ini, ternyata ia sedang menanti detik pelancarannya. Ya, memang tak lama lagi, ia bakal berada di Malaysia.

    Ketika sesi pertemuan dengan pihak media pada Januari lalu, VPCM mendedahkan Volkswagen Marketplace adalah platform jualan atas talian untuk kereta edisi terhad/istimewa berdasarkan model semasa yang ditawarkan. Ini merupakan inisiatif yang lebih kurang sama dilakukan oleh MINI Malaysia, yang menjual model edisi istimewa menerusi tempahan atas talian, seperti Clubman Sterling Edition.

    Idea untuk menjual kereta menerusi pasaran atas talian sebenarnya bukanlah perkara baharu bagi VPCM. Pada Disember tahun lalu, VPCM dengan kerjasama Lazada telah menjual Beetle edisi terhad iaitu sempena dengan jualan Lazada Online Revolution – kesemua unit yang ditawarkan terjual dalam tempoh 20 minit!

    Walau bagaimana pun, setakat ini laman web terbabit belum mendedahkan mana-mana model yang bakal ditawarkan menerusi Marketplace. Jadi kenalah kita nantikan detik pelancarannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai model-model yang bakal ditawarkan itu.

     
     
  • Honda Civic Type R pecah rekod litar Silverstone

    Selepas litar Magny-Cours di Perancis dan Spa-Francorchamps di Belgium, kini ekspedisi ‘serangan litar-litar ikonik Eropah’ Type R Challenge 2018 oleh Honda kini telah tiba di UK bagi mencatatkan rekod baharu untuk kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di litar Silverstone. Seperti juga pada dua litar sebelum ini, Honda Civic Type R FK8 turut berjaya mencatatkan rekod lap baharu dalam kategori berkenaan di Silverstone.

    Kali ini, Civic Type R yang sama dipandu oleh juara tiga kali British Touring Car Championship (BTCC), Matt Neal. Neal yang turut memandu Civic Type R 2018 untuk pasukan Halfords Yuasa Racing, berjaya mencatatkan masa 2 minit 31.32 saat, memecahkan rekod yang dipegang oleh Civic Type R FK2 pada tahun 2016.

    Litar Silverstone dengan jarak 5.89 km tersebut terkenal sebagai sebuah litar yang menampilkan laluan lurus dan selekoh berkelajuan tinggi, digabungkan bersama bahagian-bahagian teknikal. Menurut Honda, hubungan antara enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, talaan pengendalian serta pakej aerodinamik adalah faktor utama untuk mencatatkan masa terpantas di litar yang mencabar tersebut.

    Honda Civic Type R pecah rekod litar Silverstone

    Three in three for Type R: British Touring Car champion, Matt Neal, takes third lap record of ‘Type R Challenge 2018’ at Silverstone GP circuit

    “Saya temui kelebihan Type R sebenarnya pada selekoh berkelajuan tinggi – kestabilan yang terhasil dari kombinasi aerodinamik dan sistem suspensi terkini. Masuk ke selekoh seperti Copse dan Stowe di hujung laluan lurus Hangar, anda boleh masuk dengan kelajuan tinggi bersama keyakinan tinggi,” kata Neal.

    “Ini bukan satu-satunya sebab yang membuatkan Type R ini terbaik dalam kelasnya- ia merentasi kesemuanya. Ia merupakan platform baharu sepenuhnya berbanding model terdahulu, dan Honda telah meneliti serta memperbaiki setiap bahagian dari kestabilan pengendalian dengan suspensi multi-link, aerodinamik, titik graviti lebih rendah, ia lebih lebar, lebih panjang, tindak balas yang diterima pemandu menerusi stereng, penghantaran kuasa dari enjin- ia maju kehadapan dalam setiap sudut,” tambahnya.

     
     
  • Norton Atlas akan didedahkan November ini, lukisan digital model scrambler 650 cc ditunjukkan lebih awal

    Norton Atlas akan didedahkan November ini, lukisan digital model scrambler 650 cc ditunjukkan lebih awal

    Di negara kita Norton mungkin agak senyap, tapi sebenarnya jenama yang sudah mengeluarkan motosikal sejak tahun 1902 ini masih lagi aktif termasuk dalam dunia perlumbaan. Untuk pasaran awam, Norton kini memasarkan beberapa model termasuk sports dan moden klasik, dan mereka bercadang untuk menambah satu lagi model baru pada tahun hadapan yang menggunakan bentuk scrambler. Nama yang diberitahu adalah Atlas.

    Nama ini juga sebenarnya pernah digunakan oleh Norton pada sebuah model scrambler yang dikeluarkan pada tahun 1960-an, dan ia dianggap berpadanan dengan model baru ini. Tidak banyak informasi berkenaan model baru ini dikeluarkan secara rasmi, kecuali ia akan dikuasakan oleh enjin 650 cc dua silinder, dan padanan kotak gear enam kelajuan.

    Norton Atlas akan didedahkan November ini, lukisan digital model scrambler 650 cc ditunjukkan lebih awal

    Menurut laporan daripada laman MCN yang menemu ramah ketua pereka Norton, Simon Skinner, Atlas baru ini akan mempunyai kemampuan dan kedudukan tinggi seperti Ducati Scrambler Desert Sled, dan akan ditawarkan dalam beberapa versi, dengan kelengkapan seperti brek berkembar Brembo M50 di hadapan.

    Selain daripada itu, Skinner turut memberitahu bahawa model asas Atlas ini mungkin dipasarkan pada harga bawah £10,000 (RM53,204), dan diharap dapat membantu meningkatkan jumlah jualan motosikal Norton secara keseluruhan. ia akan ditunjukkan buat pertama kali semasa acara NEC di United Kingdom November ini, dan seterusnya dipasarkan pada tahun 2019.

     
     
  • Toyota 86 GR Sport dilancarkan di Jepun – tampil rupa lebih garang, tanpa tambahan kuasa kuda dan tork

    Toyota 86 GR Sport dilancarkan di Jepun – tampil rupa lebih garang, tanpa tambahan kuasa kuda dan tork

    Sebelum ini Toyota telah mendedahkan barisan model-model talaannya di bawah jenama GR (Gazoo Racing), yang termasuk sekali dengan coupe sport dua pintu Toyota 86 GR. Terbaharu, satu lagi 86 dihasilkan dengan seliaan sayap perlumbaan berkenaan digelar Toyota 86 GR Sport. Walaupun nama model ini lebih panjang dengan perkataan ‘Sport’ di hujungnya, kereta ini sebenarnya diletakkan di bawah satu anak tangga lebih rendah berbanding Toyota 86 GR.

    Pada bahagian luaran, 86 GR Sport ini diberikan kit badan lebih agresif dari model standard dengan pemadanan lip spoiler hadapan bersama sirip angin pada bampar, skirt sisi dan juga spoiler ekor itik pada penutup but belakang. Model ini hadir dengan tiga warna luaran iaitu Crystal White Pearl, Crystal Black Silica dan Pure Red. Manakala pada bahagian dalaman, kereta ini diberikan roda stereng GR yang dibaluti kulit dan juga takometer dengan latar belakang berwarna putih.

    Toyota 86 GR Sport dilancarkan di Jepun – tampil rupa lebih garang, tanpa tambahan kuasa kuda dan tork

    Untuk pengendalian, 86 GR Sport ditambah dengan pendakap tambahan untuk sistem suspensi belakang. Manakala untuk brek pula, ia dipadankan dengan sistem dari Brembo dengan angkup empat silinder di hadapan dan empat silinder di belakang.

    Berbanding dengan 86 GR, model lebih rendah 86 GR Sport ini kekurangan rim 17-inci dari Rays Engineering, penyerap hentak dari Sachs, tempat duduk bucket dari Recaro, LSD jenis Torsen, serta sistem brek Brembo yang lebih besar (enam silinder hadapan dan empat silinder belakang).

    Walau bagaimanapun, GR turut memperkenalkan aksesori-aksesori tambahan untuk 86 serentak dengan pengenalan ini yang terdiri dari suis penghidup enjin dan juga sistem navigasi GR T-Connect (terhad hanya 200 unit) yang menampilkan fungsi Toyota Gazoo Racing Recorder bersama pemasa lap untuk litar dan juga rali.

    Menurut Toyota lagi, barisan aksesori yang lebih banyak akan membuat kemunculan menjelang Oktober ini, menampilkan rim aloi GR dari Rays Engineering (dengan atau tanpa brek lebih besar), pendakap untuk rak stereng dan juga pendakap untuk suspensi belakang GR Sport.

    Toyota masih lagi kekal dengan falsafah mereka bahawa kuasa standard yang dibekalkan pada 86 ini adalah ‘cukup-cukup’ bagi mengekalkan keseimbangannya. Jadi tiada juga tambahan kuasa untuk Toyota 86 GR Sport (begitu juga pada 86 GR), di mana ia dijana enjin boxer empat silinder tanpa turbo, bersama sistem suntikan bahan api terus berkuasa 207 PS/212 Nm. Kuasa dialirkan ke gandar belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan sama ada manual atau automatik.

     
     
  • Siri nombor plat khas YA – bidaan telah mula dibuka

    Siri nombor plat khas YA – bidaan telah mula dibuka

    Awal Mei lalu, Kerajaan telah pun mengumumkan, tiada lagi bidaan nombor plat khas yang dijual oleh NGO selepas ini. Walau bagaimana pun, ada beberapa plat nombor khas NGO yang masih belum dibuka bidaannya. Salah satu siri nombor plat khas yang telah diluluskan sebelum kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mengambil alih ialah YA, yang bakal menyertai plat Y dan YY yang sudah pun berada di pasaran.

    Bidaan bagi siri tersebut dari YA 1 hingga YA 999 telah pun mula dibuka pada 1 Julai dan bakal berakhir pada 13 Julai ini. Dikhabarkan, bidaan yang berjaya akan diumumkan pada 23 Julai ini. Harga minimum bidaan untuk nombor digit tunggal ditetapkan pada RM50,000, sementara nombor digit dua atau tiga pula masing-masing bermula dari RM5,000 dan RM2,000. Harga tender untuk empat digit pula bermula RM500.

    Plat khas terakhir yang diperkenalkan oleh NGO ialah UP. Namun sebelum ini memang banyak plat khas termasuklah G1G-G999G, X, XX, YY, SAM, K1M, T1M, NBOS, KEN, Q,dan FB, yang terakhir oleh JPJ sendiri.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata, plat siri khas yang telah diluluskan sebelum ini boleh dijual sehingga tahun hadapan. Namun hanya setahun sahaja tempoh yang diberikan oleh NGO untuk menjual dan mendaftarkan nobor terbabit selepas ia diluluskan. Tambahnya, tiada lanjutan tempoh yang akan diberikan oleh kerajaan.

    Namun ini tidak bermakna plat khas sudah tidak boleh dijual, tetapi ia hanya perlu melalui satu saluran sahaja iaitu kerajaan sendiri. Siri plat khas pertama yang diperkenalkan oleh kerajaan ialah ‘Malaysia’ yang akan dibuka bidaan di semua cawangan JPJ negeri pada 1 Ogos ini.

     
     
  • McLaren P1 GT oleh Lanzante bakal tiba di Goodwood

    McLaren P1 GT oleh Lanzante bakal tiba di Goodwood

    Diinspirasikan dari McLaren F1 GT klasik, syarikat penala Lanzante Motorsports bakal mendedahkan rekaan terbaharu mereka, P1 GT Longtail, di Goodwood Festival of Speed tahun ini. P1 GT ini dilaporkan dibiayai oleh pelanggan kaya dari Timur Tengah, dan syarikat ini bersedia untuk mengeluarkan lebih banyak unit sekiranya ada permintaan.

    Perincian mengenai modifikasi P1 ini masih tersimpul rapi namun imej teaser yang dipamerkan ini menunjukkan banyak kerja yang lebih signifikan terhadap pengubahsuaian badannya. Hujung hadapan yang lebih panjang, dapra yang bercorong, hud yang lebih menonjol dan wing yang besar di belakang.

    Di bawah bonetnya, dijangka ia menerima lebih kuasa dari enjin 3.8 liter biturbo hybrid, dengan hamburan 913 PS dan tork 900 Nm. Sebelum ini, Lanzante pernah mengeluarkan P1 GTR versi jalanan dan membina P1 LM dengan kuasa 986 hp, maka tidak hairanlah jika P1 GT pastinya memilik daya tarikan yang lebih menguja.

     
     
  • Curtiss Warhawk terhad 36 unit, harga RM425,000

    Curtiss Warhawk terhad 36 unit, harga RM425,000

    Nama Curtiss Motorcycles mungkin kedengaran baru, tapi sebenarnya ia adalah syarikat yang dinamakan semula dan sebelum ini menggunakan nama Confederate Motorcycles. Demi berhadapan dengan arus kemodenan, syarikat itu telah memutuskan untuk beralih kepada pengeluaran motosikal elektrik, dan sebelum itu, mereka mengeluarkan model edisi terhad terakhir yang menggunakan enjin pembakaran dalaman, dinamakan sebagai Warhawk.

    Sukar untuk mendefinisikan rekaan Warhawk, namun itulah yang sudah menjadi tanda unik jenama ini sejak motosikal pertamanya dikeluarkan. Rekaan mereka boleh dianggap sebagai satu seni kejuruteraan dan mengetengahkan kerja besi yang tersendiri.

    Nadi penggerak motosikal ini adalah unit 2,163 cc V-twin yang dipadankan bersama transmisi lima kelajuan dan klac kering. Kuasa yang mampu dihasilkan pada roda belakang adalah sebanyak 150 hp pada 5,100 rpm dan 217 Nm tork pada 2,000 rpm.

    Curtiss Warhawk terhad 36 unit, harga RM425,000

    Suspensi unik yang digunakan pada Warhawk dinamakan sebagai double wishbone parallelogram fork, dan di tengah terdapat satu monoshock keluaran Racetech yang boleh dilaras untuk pra beban mampatan. Bahagian belakang juga menggunakan unit monoshock, dan ia dipasang pada lengan ayun buatan aluminium.

    Untuk bahagian brek, Warhawk dipasang dengan unit daripada Beringer, iaitu padanan cakera berkembar 230 mm serta angkup empat piston di hadapan, dan unit cakera tunggal 240 mm serta angkup dua piston di belakang. Rim pula adalah bersaiz 18 inci daripada BST, diperbuat daripada karbon dan ia dibalut dengan tayar 160/70 di depan dan 240/45 di belakang.

    Warhawk sudah dibuka untuk tempahan melalui laman web mereka, dan harga jualannya adalah USD105,000 (RM425,000). Mereka yang berminat boleh meletakkan deposit cuma USD5,000 (RM20,237), dan motosikal dijangka dapat dihantar kepada pelanggan dalam masa dua hingga tiga bulan.

     
     
  • Mazda CX-8 SUV 3-barisan tempat duduk kini di Australia – hanya diesel, 3 varian, dari AUD42k

    Mazda CX-8 SUV 3-barisan tempat duduk kini di Australia – hanya diesel, 3 varian, dari AUD42k

    Mazda CX-8 kini telah pun mula dijual di pasaran Australia, dan menjadi SUV tiga-barisan tempat duduk kedua yang dijual di sana selepas CX-9. Pertama kali diperkenalkan di Jepun pada September tahun lalu, CX-8 dikhabarkan bakal tiba di Malaysia setelah Bermaz Auto menyuarakan minatnya sewaktu majlis permulaan pemasangan CX-5.

    Untuk pasaran Australia, tiga varian akan ditawarkan, dengan harga bermula AUD42,490 (RM126,548) untuk model asas Sport FWD, diikuti oleh Sport AWD pada AUD46,490 (RM138,461) dan spesifikasi tertinggi Asaki AWD berharga AUD61,490 (RM183,135).

    Kalau mengikut perbandingan, barisan CX-9, menampilkan lapan varian, dengan harga dari AUD43,890 (RM130,684) hingga AUD64,790 (RM192,964), menjadikan CX-8 lebih murah.

    CX-8 ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel dengan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penjana kuasa ini mirip dengan salah satu enjin yang ditawarkan pada CX-5, namun dengan output yang telah dipertingkatkan iaitu 188 hp dan 450 Nm (dari 173 hp dan 420 Nm). Pelanggan juga boleh memilih sama ada pacuan roda-hadapan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ AWD, dengan G-Vectoring Control diberikan untuk semua varian.

    Ia memiliki ukuran 4,900 mm panjang, iaitu 350 mm lebih panjang berbanding CX-5, 1,840 mm lebar dan 1,730 mm tinggi. Ia juga berkongsi jarak roda yang sama dengan CX-9 iaitu 2,930 mm, lebih panjang berbanding CX-5 (2,700 mm).

    Untuk kelengkapannya, varian Sport didatangkan dengan roda aloi 17-inci (dengan tayar profil 225/65), lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang halogen, kawalan suhu tiga-zon, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci dan enam-pembesar suara, tempat duduk fabrik, Active Driving Display dan kamera undur.

    Klik untuk besarkan

    Bagi varian Sport pula didatangkan dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan daripada Mazda i-Activsense suite, termasuk Blind Spot Monitoring (BSM), High Beam Control (HBC), Intelligent Speed Assistance (ISA), Lane-keep Assist System (LAS), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi Stop & Go, Rear Cross Traffic Alert (RCTA, Smart City Brake Support (SCBS F/R), Smart Brake Support (SBS), Traffic Sign Recognition (TSR).

    Varian paling mahal Asaki pula didatangkan dengan ciri yang lebih banyak, termasuk roda aloi 19-inci (dengan tayar profil 225/55), lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED dan tailgate elektronik. Di dalamnya, ditampilkan tempat duduk balutan kulit Nappa larasan berkuasa (10-cara untuk pemandu dengan fungsi memori, enam-cara untuk penumpang hadapan), tirai mentari untuk barisan-kedua, sistem bunyi Bose 273-watt dengan 10-pembesar suara, paparan sekeliling 360-darjah, lampu utama LED Adaptif (ALH) dan kemasan kayuan asli di dalamnya.

    Untuk pasaran Malaysia, adalah CX-8 janaan diesel yang menjadi alternatif kepada CX-9 berenjinkan petrol dialu-alukan di sini?

    GALERI: Mazda CX-8 di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • ETCM buka pusat 3S Nissan baharu di Seremban

    ETCM buka pusat 3S Nissan baharu di Seremban

    Pengedar sah jenama Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini melancarkan pusat 3S Nissan baharu Seremban, di operasikan oleh Seremban Victory Credit Sdn Bhd.

    Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke, yang turut ditemani oleh Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd., Christopher Tan, dan Pengarah Seremban Victory Credit Sdn. Bhd., Trevor Tham.

    “Kami ingin menawarkan kepada anda bilik pameran baharu 3S Nissan Seremban Victory yang kini ditambah baik, lebih besar dan mudah diakses demi memenuhi keperluan komuniti di Seremban. Justeru, dengan adanya kemudahan ini, kami mampu memberikan perkhidmatan dan pengalaman Nissan yang lebih baik kepada pelanggan kami,” kata Pengarah Seremban Victory Credit Sdn. Bhd., Trevor Tham Lin Sing.

    Pusat 3S Nissan di Seremban ini dibina diatas tapak seluas 12,000 kaki persegi dengan melibatkan pelaburan sebanyak RM10 juta. Bilik pameran pada fasiliti baharu ini mampu untuk mempamerkan sehingga 8 buah model Nissan manakala bahagian khidmat selepas jualan pula mempunyai 13 ruang servis yang mampu menyelenggara 40 buah kereta sehari.

    Premis milik Seremban Victory Credit ini turut menawarkan perkhidmatan insurans dan sewa beli, ruang rehat pelanggan yang selesa, Wi-Fi percuma, ruang penyerahan berhawa dingin dan juga sudut kanak-kanak.

    “Perkembangan ekonomi dan pertumbuhan modal insan di Negeri Sembilan semakin meningkat, maka kehadiran Nissan di Seremban adalah penting untuk memberi kemudahan dan kualiti servis sebuah pusat 3S sepenuhnya, di samping menjaga keperluan para pelanggan kami,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd., Christopher Tan Kok Leong.

    Waktu operasi bilik pameran Nissan Seremban Victory bermula dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat, 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada Sabtu, Ahad dan cuti umum. Pusat servis pula dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • VIDEO: Tun M uji sistem kawalan menggunakan arahan suara pada prototaip SUV pertama Proton

    Minggu lalu, laman facebook rasmi Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed mendedahkan foto-foto pemimpin nombor satu negara berkenaan menguji prototaip SUV pertama keluaran Proton yang bakal membuat kemunculan pada suku keempat tahun ini. Terbaharu, laman youtube rasmi Tun M pula menyiarkan video pandu uji tersebut.

    Dalam video ini, Tun M dilihat menguji sistem kawalan menggunakan arahan suara pada SUV berkenaan di mana beliau menutup bumbung suria menerusi fungsi tersebut menggunakan Bahasa Inggeris. Video dengan durasi satu minit ini juga turut memaparkan bagaimana seorang kakitangan Proton mendemonstrasikan bagaimana fungsi ini turut boleh digunakan pada kelengkapan lain, contohnya untuk menghidupkan radio dan memilih siaran radio.

    Selain mendedahkan bahawa prototaip versi pemanduan sebelah kanan sememangnya telah wujud, unit ini juga turut dilihat berberapa bahagian yang telah di’Proton’kan. Perbezaan ketara dapat dilihat adalah pada gril hadapannya, di mana unit gril dengan rekaan expanding cosmos Geely telah digantikan dengan unit menerapkan elemen tiga jalur melintang serta berkemungikan ia telah menerima logo kepala harimau.

    VIDEO: Tun M uji sistem kawalan menggunakan arahan suara pada prototaip SUV pertama Proton

    SUV tersebut juga nampaknya menampilkan rekaan bampar dengan apron yang lebih agresif sama seperti pada Boyue facelift, namun ia dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar dari model Boyue terdahulu. Perincian lain yang dapat diperhatikan adalah lencana T-GDI pada pintu hadapan bagi mengesahkan ia dari versi janaan enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, bumbung suria dan juga upholsteri dalaman dengan tempat duduk dibaluti kulit berwarna perang.

    Dalam satu lagi laporan berasingan minggu lalu, Tun M turut menyatakan bahawa beliau berasa kagum dengan kualiti dan pembuatan SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue berkenaan. “Saya telah menguji kereta tersebut. Ia benar-benar bagus. Kualitinya juga tinggi dan saya berpendapat ia adalah kereta yang bagus untuk pasaran,” ujarnya.

    April lalu, Proton telah mendedahkan ciri-ciri yang bakal dilengkapi pada Boyue versi mereka yang nampaknya diambil terus dari versi facelift terbaharu. Antara ciri-ciri berkenaan termasuk enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, sistem pemantau titik buta, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    SUV ini turut didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar.

    Proton sudah pun membuka peluang orang ramai untuk menamakan SUV ini menerusi pertandingan yang telah diumumkan lebih dua bulan lalu, dan model ini dijangka akan membuat pra-penampilannya bulan hadapan. Semasa dilancarkan nanti, SUV berkenaan akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya dari China (CBU), manakala versi pemasangan tempatan akan mula dihasilkan tahun hadapan.

    GALERI: Geely Boyue facelift 2018

     
     
  • BMW Malaysia lantik Millennium Welt sebagai pengedar BMW Motorrad di Kuantan dan Pantai Timur

    BMW Malaysia lantik Millennium Welt sebagai pengedar BMW Motorrad di Kuantan dan Pantai Timur

    Sebagai mengembangkan lagi rangkaian pengedarannya di negara ini, BMW Group Malaysia telah melantik Millennium Welt sebagai wakil terbaharunya bagi jenama BMW Motorrad di Kuantan, Pahang serta rantau Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

    Millennium Welt Kuantan kini menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas, merangkumi model BMW dan BMW Motorrad, serta servis Mini. Ia beroperasi di fasiliti bilik pameran yang berkeluasan 28,000 kaki persegi, mampu mempamerkan sehingga lima buah kenderaan BMW dan lapan buah motosikal BMW Motorrad. Bilik pameran tersebut terletak di 32, Jalan Teluk Sisek, Kuantan, Pahang.

    Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, “Kami melihat potensi yang besar untuk perkembangan di kawasan Pantai Timur bagi motosikal premium, dan Millennium Welt merupakan rakan niaga yang berharga buat kami kerana kebolehan mereka untuk menunaikan janji penawaran pengalaman premium BMW bagi pelanggan kami di Kuantan. Kami percaya bahawa mereka merupakan pilihan terbaik untuk terus memperkukuhkan kedudukan kami di rantau tersebut, dan meluaskan lagi penawaran pengalaman premium kami kepada penggemar motosikal di kawasan Pantai Timur.”

    BMW Malaysia lantik Millennium Welt sebagai pengedar BMW Motorrad di Kuantan dan Pantai Timur

    Manakala Owen Riley, Ketua BMW Motorrad Malaysia, pula berkata, “Dengan pelantikan Millennium Welt Kuantan, kami ingin mengalu-alukan lebih ramai penunggang dari rantau Pantai Timur untuk menghidupkan semangat “Make Life A Ride”. Rantau Pantai Timur yang terdiri daripada jalan yang luas dan berangin menjadikan ia tempat yang sesuai untuk menunggang motosikal, namun lebih penting lagi, rantau tersebut menyumbang kepada penjualan lebih daripada 50 unit motosikal setiap tahun dan mempunyai potensi untuk berkembang dengan stabil saban tahun.”

    Melalui penyatuan jualan dan servis kenderaan BMW serta BMW Motorrad di bawah bumbung yang sama, Millennium Welt Kuantan akan mampu menterjemahkan identiti jenama ini dengan lebih khusus di pasaran seumpamanya. Ini juga akan membolehkan BMW memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih efisien melalui saluran yang lebih tepat.

    Bryan Wong, Pengarah Urusan Millennium Welt Group of Companies berkata, “Sebagai pengedar rasmi bagi jenama BMW di Kuantan sejak tahun 2016, kami telah membina kredibiliti yang kukuh dengan pelanggan kami di Pahang serta kawasan berdekatan. Dengan menggunakan momentum ini, kami percaya bahawa melalui penambahan jentera BMW Motorrad ke dalam portfolio kenderaan premium kami, ia akan menyumbang kepada penjualan unit kenderaan yang lebih tinggi di kawasan tersebut.”

     
     
  • Volvo S60 T8 Polestar Engineered habis hanya selepas 39 minit menerusi aplikasi Care by Volvo di Amerika

    Volvo S60 T8 Polestar Engineered habis hanya selepas 39 minit menerusi aplikasi Care by Volvo di Amerika

    New Volvo S60 Polestar Engineered

    Dua minggu lalu ketika mendedahkan sedan S60 generasi baharu yang muncul buat pertama kali untuk peringkat global di Amerika Syarikat, jenama dari Sweden berkenaan turut memperkenalkan model paling berkuasa S60 T8 Twin Engine Polestar Engineered. Namun Volvo hanya menghasilkannya sebanyak 20 unit pada ketika ini untuk pasaran berkenaan, dan kesemuanya telah pun habis hanya selepas 39 minit ditawarkan dalam aplikasi atas talian program sewaan langganan Care By Volvo.

    Pelanggan yang mahukan sedan mewah berkuasa tinggi berkenaan perlu meletakkan deposit US$500 menggunakan kad kredit mereka, dan menerusi program ini pelanggan hanya perlu membayar yuran pada kadar rata setiap bulan bermula US$1,100 yang turut termasuk kos selenggara dan juga insuran, tetapi tidak termasuk cukai dan pendaftaran.

    Volvo S60 T8 Twin Engine Polestar Engineered ini dijana enjin dijana oleh enjin 2.0 liter Drive-E dengan suapan turbo dan supercharger, serta digabungkan dengan dengan sistem hibrid plug-in, menghasilkan kuasa keseluruhan 415 hp dengan tork maksima 670 Nm. Kuasa dialirkan ada roda hadapan menerusi kotak gear Aisin lapan-kelajuan, manakala gandar belakang digerakkan dengan motor elektrik. Model istimewa ini juga diberikan sistem suspensi dari Öhlins, bersama brek yang ditingkat taraf menggunakan sistem dari Brembo.

    Dengan permintaan yang sangat menggalakkan ini, Volvo Cars turut menawarkan pelanggan di Amerika Syarikat 200 buah model S60 T6 AWD R-Design dengan tingkat taraf perisian enjin Polestar Optimisation secara percuma untuk mereka yang melanggan menerusi aplikasi Care By Volvo, berasaskan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’. Tingkat taraf berkenaan akan memberikan respon pendikit, kelajuan menukar gear, menahan gear dan prestasi enjin pada rpm pertengahan yang lebih baik.

    Volvo S60 Polestar Engineered dan keseluruhan barisan model S60 generasi baharu dihasilkan kilang Volvo pertama di Amerika Syarikat yang terletak di Ridgeville, Charleston, Carolina Selatan. Kilang tersebut bukan sahaja akan membekalkan S60 untuk pasaran Amerika, malah turut akan mengeksportnya ke luar.

    GALERI: Volvo S60 Polestar Engineered 2019

     
     
  • Petronas rai para pemenang peraduan Mesra Bonanza

    Petronas rai para pemenang peraduan Mesra Bonanza

    Petronas telah mengadakan majlis meraikan pemenang peraduan Mesra Bonaza bagi pusingan pertama, yang dilancarkan pada April lalu. Bagi pusingan pertama ini, hadiah yang dibawa pulang oleh para pemenang termasuklah pakej percutian, motosikal, gajet dan wang tunai.

    Pemenang yang menerima pakej percutian ke destinasi yang dipilih sendiri adalah bernilai RM20,000 setiap satu. Pemenang yang bertuah itu ialah Nuzie Mohd bin Balus, Koo Yee Chin, Fadhlul Wafi bin Keyanordin, Badrul Hisham Samarudin, Mohd Rafi bin Arsad, Nadziad bin Norimajid, Yahya bin Panot, Wan Fairoz binti Wan Teh, Hasnar Mohd Norzaidi bin Hashim dan Sayaent bin Ismail.

    Manakala dua orang pemenang pula membawa pulang motosikal Yamaha NVX 155 yang dimenangi oleh Yeong Hing Ngok dan Chong Yuet Ling, sementara bagi hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 pula diterima oleh Siti Fairuz binti Zulkefli, Noorhasrullah bin Mohd Noor dan Mohd Izwadatul Akbar bin Zabri Sham.

    Bagu pakej selama tujuh hari untuk menonton perlumbaan Formula 1 di Silverstone, United Kingdom pula dimenangi oleh Robert Teh Tiong Seng, Baharom Alam Shah bin Hasan Hamzah dan John Jayaselan, manakala pemenang yang berjaya membawa pulang TV pintar Samsung pula ialah Chong Leong Neng, Abu Hassan bin Jani, Muhammad Izzaharrudin bin Ibrahim dan Norhuda binti Abd Razak. Para pemenang bagi pakej ini berpeluang berkunjung ke garaj pasukan Mercedes-AMG F1, dan mungkin juga dapat berjumpa dengan pelumba F1 Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.

    Petronas rai para pemenang peraduan Mesra Bonanza

    “Mesra Bonanza tercetus daripada hasil pemantauan kami melalui persepsi pelanggan dengan memberikan ganjaran yang menarik dan bermakna buat mereka semua,” ujar pengarah urusan dan CEO Petronas Dagangan Berhad Datuk Sri Syed Zainal Abidin.

    Kempen ini dijalankan dari 16 April hingga 31 Disember 2018 dan sebanyak 165 hadiah secara bulanan dan 44 hadiah utama akan diberikan setiap dua bulan. Hadiah yang ditawarkan termasuklah telefon pintar Samsung S9, kamera aksi GoPro Hero 6 Black, set permainan Lego Speed Champion, baucer membeli-belah Lazada dan Watson bernilai RM500 dan juga mata ganjaran bernilai RM1,000.

    Untuk menyertai peraduan Mesra Bonanza, pelanggan hanya perlu memiliki kad keahlian Mesra, mengisi minyak minimum sebanyak RM30 dan gunakan kad Mesra tersebut serta berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan. Beberapa penyertaan juga turut layak bagi setiap pelanggan. Sebagai contoh, untuk pengisian minyak sebanyak RM90, pelanggan layak menyertai tiga penyertaan sekaligus.

     
     
  • MotoGP: Aksi mendebarkan sepanjang perlumbaan di Assen – Marquez pemenang, Hafizh di tempat ke-18

    MotoGP: Aksi mendebarkan sepanjang perlumbaan di Assen – Marquez pemenang, Hafizh di tempat ke-18

    Perlumbaan pusingan kelapan MotoGP yang berlangsung di Litar Assen, Belanda hujung minggu lalu menyaksikan saingan mendebarkan bermula dari awal sehinggalah tamat sebanyak 26 pusingan. Awalnya, Marquez memulakan perlumbaan di petak pertama diikuti oleh Cal Crutchlow dan Valentino Rossi.

    Walaubagaimanapun, sebaik perlumbaan bermula, saingan dalam kelompok hadapan cukup hebat sehinggakan ramai yang mengatakan ini adalah perlumbaan terbaik sepanjang musim 2018. Fokus kamera juga sentiasa di hadapan kerana hampir semua pelumba terhebat di dunia mengeluarkan kebolehan secara maksimum untuk memastikan kemenangan di litar ini.

    Selain tiga pelumba yang sudahpun bermula di petak hadapan tadi, mereka turut diberi saingan oleh Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo, Maverick Vinales, Johann Zarco dan paling mengejutkan, Alex Rins. Dalam keadaan sebegitu juga, pelbagai insiden terjadi, tetapi ia dianggap sebagai sebahagian daripada lumrah perlumbaan.

    Antara kejadian yang pasti akan diingati adalah Rossi telah melanggar bahagian belakang motosikal Lorenzo apabila pelumba yang menggunakan nombor 99 itu tergelincir sedikit dan hilang momentum. Dalam satu pertembungan lain, Marquez pula hampir terjatuh daripada motosikal apabila dipotong dari dalam oleh Rins.

    MotoGP: Aksi mendebarkan sepanjang perlumbaan di Assen – Marquez pemenang, Hafizh di tempat ke-18

    Rossi pula ada beberapa kali mendahului perlumbaan, tapi disebabkan melakukan kesilapan dan terbabas (tidak jatuh), beliau telah terlepas kedudukan podium dan sekadar berpuas hati dengan tempat kelima apabila perlumbaan berakhir. Dalam beberapa pusingan akhir, Marquez berjaya mendapat tempat paling hadapan dan melarikan diri daripada pelumba lain, seterusnya membolot tempat pertama. Beliau kemudiannya diikuti Rins dan Vinales.

    Bagi pelumba negara, Hafizh Syahrin, beliau memulakan perlumbaan di tempat ke-15, tapi tidak begitu lancar di awal perlumbaan. Sebaik pusingan pertama berakhir, beliau turun sehingga tempat ke-20 tetapi berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-18. Tiada mata untuk beliau kali ini, dan masih kekal di tempat ke-17 secara keseluruhan.

    Adam Norrodin pula, yang berlumba dalam kategori Moto3 sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-21 manakala Khairul Idham Pawi dalam kategori Moto2 menghabiskan perlumbaan di tempat ke-17.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025