Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kia Sportage baharu tiba di M’sia pada Q3/Q4 2022 – CBU dahulu sebelum produksi CKD pada 2023?

    Kia Sportage baharu tiba di M’sia pada Q3/Q4 2022 – CBU dahulu sebelum produksi CKD pada 2023?

    Pada awal bulan ini, Kia Malaysia mengumumkan bakal memperkenalkan Sportage generasi kelima sebagai model pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 2023, di mana ia ditawarkan dengan penjana kuasa standard dan elektrifikasi.

    Walau bagaimana pun, menurut laporan yang dikeluarkan oleh RHB Investment Band, menyatakan bahawa SUV segmen-C itu bakal tiba tidak lama lagi, dan akan dilancarkan pada suku ketiga (Q3) atau keempat (Q4) tahun 2022. Ia jauh lebih awal berbanding dengan apa yang diumumkan pada taklimat media pada 10 Disember lalu. Dan jika kenyataan tersebut tepat, mungkin model import sepenuhnya (CBU) yang akan diperkenalkan sebelum produksi CKD dimulakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

    Kia Malaysia juga telah memaklumkan pemasangan tempatan bagi model Kia akan dijalankan di kilang Inokom, di Kulim, Kedah dan ia adalah untuk pasaran domestik dan eksport. Syarikat ini mensasarkan sebanyak 100,000 unit dari pada empat model termasuk Sportage, Carnival, Sorento dan Niro, akan diproduksi dalam tempoh lima tahun akan datang.

    SUV baharu ini diperkenalkan buat pertama kalinya pada Jun tahun ini dan ia menerima olahan gaya baharu yang lebih berketerampilan. Ia menawarkan dua pilihan enjin pembakaran dalaman (1.6 liter turbo petrol dan 2.0 liter turbodiesel) dan juga pilihan hibrid serta plug-in hybrid.

    GALERI: Kia Sportage Hybrid 2021 (Pasaran Korea)

     
     
  • Trak pikap Peugeot Landtrek akan dilancarkan pada pasaran Malaysia dalam suku ketiga tahun hadapan

    Trak pikap Peugeot Landtrek akan dilancarkan pada pasaran Malaysia dalam suku ketiga tahun hadapan

    Peugeot nampaknya mempunyai sinar baharu di bawah pengedar baharunya di Malaysia iaitu Bermaz, pihak yang sama memegang franchise Mazda di sini – selain model facelift 3008 dan 5008 yang telah pun dilancarkan, jenama dari Perancis tersebut turut bakal memperkenalkan pelbagai model baharu tahun hadapan termasuk model elektrik penuh dan juga trak pikap.

    Ya, trak pikap Peugeot Landtrek nampaknya benar-benar akan dilancarkan di Malaysia, dijadualkan pada suku ketiga 2022, menurut laporan analisa RHB Investment Bank. Trak pikap berkenaan sebelum ini telah dilihat diuji di atas jalan raya Malaysia pertengahan tahun lalu.

    Walaupun pernah menghasilkan trak pikap berasaskan kereta pada era 80’an dahulu, Peugeot sebenar sudah lama tidak memperkenalkan kenderaan dalam kelas berkenaan. Jadi untuk Landtrek ini, ia sebenarnya diasaskan dari trak pikap China, iaitu Changan Kaicheng F70 yang (diperkenalkan pada 2019) dan dihasilkan untuk pasaran benua Afrika serta Amerika Latin.

    Trak pikap Peugeot Landtrek akan dilancarkan pada pasaran Malaysia dalam suku ketiga tahun hadapan

    Untuk pasaran Malaysia, Landtrek dijangka hanya akan dijual dalam versi double cab, sementara di pasaran lain ia turut hadir dengan pilihan badan chassis cab dan single-cab. Trak pikap ini direka dengan muka signatur Peugeot menampilkan gril berbentuk mangkuk, bersama skrip ‘Peugoet’ di atas serta logo Singa pada bahagian tengah. Namun rekaan jalur LED ‘cakar singa’ tidak disertakan pada trak ini.

    Bagi pasaran Malaysia, kita dijangka akan menerima Landtrek dalam hanya satu pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 1.9 liter turbodiesel VGT berkuasa 150 hp dan tork maksima 350 Nm bersama kotak gear automatik dari Punch. Pada pasaran lain, Landtrek turut ditawarkan kotak gear manual enam-kelajuan dari Getrag, pilihan pacuan roda belakang atau 4X4, dan juga pilihan enjin petrol 2.4 liter turbo berkuasa 210 hp/320 Nm.

    Dalam kabin, Landtrek diberikan gaya Peugeot sebenar dengan perincian-perincian yang berbeza dari Kaicheng F70. Papan pemuka Peugeot Landtrek ini direka dengan inspirasi dari sedan Peugeot 508, serta diberikan roda stereng rata di bawah. Ia turut menerima spesifikasi premium seperti sistem pendingin hawa automatik dua-zon, dan juga sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 10-inci definasi tinggi serta sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan hard drive 10 GB.

    Untuk kelengkapan keselamatan, Peugeot Landtrek ini dilengkapi enam beg udara, ESP, Hill Descent Control, ASR untuk kedua-dua versi 4×2 dan 4×4, Lane Departure Warning, Trailer Swing Control dan dua cagak Isofix di tempat duduk belakang.

    Sudah diketahui, syarikat induk Peugoet iaitu Stellantis (entiti selepas PSA bergabung dengan FCA) kini turut telah memiliki sepenuhnya kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Kedah, iaitu hab produksi syarikat berkenaan di ASEAN. Jadi Peugeot Landtrek versi pemanduan sebelah kanan ini hampir pasti akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan turut akan dieksport ke Thailand, iaitu pasaran trak pikap terbesar di dunia.

    Jadi untuk peminat trak pikap serta pemilik-pemilik model-model mainstream seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max diluar sana, apa pendapat anda tentang trak pikap dengan jenama Perancis ini?

     
     
  • Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Setelah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Ogos lalu, Geely dan Renault dilaporkan akan mengumumkan kerjasama mereka secara rasmi tidak lama lagi yang membolehkan kedua-dua syarikat bersama-sama memproduksi kereta-kereta dari Geely di Korea Selatan.

    Langkah tersebut juga mungkin membolehkan model-model dari Geely untuk dieksport secara bebas duti ke Amerika Syarikat menerusi “pintu belakang” kerana Korea Selatan mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan kerajaan AS, lapor Reuters memetik tiga individu yang berkaitan dengan perkara ini sebagai sumber.

    Laporan itu menyebut bahawa perjanjian kerjasama berkenaan sebenarnya telah pun mula diusahakan sejak awal 2021 walaupun MoU hanya ditandatangani pada bulan Ogos, dan ia turut melibatkan operasi bersama di China. Perjanjian ini akan membantu Renault untuk bangkit semula di Korea Selatan serta untuk lebih menyerlah di Asia, sebut laporan itu lagi.

    Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Sumber berkenaan turut memberitahu bahawa Renault yang sebelum ini telah keluar dari pasaran China pada 2020, bakal kembali ke negara yang mempunyai pasaran automotif terbesar di dunia tersebut dengan mewujudkan jenama baharu yang fokus terhadap teknologi plug-in hybrid. Kedua-dua pihak akan bersama-sama menguruskan jenama baharu tersebut.

    Model-model baharu mesra alam untuk jenama baharu itu akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA), yang juga turut digunakan oleh Volvo. Ia turut akan menggunakan rantaian pembekalan domestik dan fasiliti pembuatan Geely di China. Manakala Renault pula akan fokus terhadapn rekaan kenderaan, serta aspek jualan dan pemasaran jenama baharu tersebut di China, tambah sumber itu lagi.

    Untuk Geely, kerjasama ini akan memberikan faedah di luar China di mana mereka akan mendapat tapak produksi segera di Korea Selatan. Salah satu sumber tersebut menyatakan bahawa Geely merancang untuk memproduksi SUV Lynk & Co 01 dalam versi petrol sepenuhnya dan juga hibrid di kilang Renault-Samsung yang terletak di Busan. Rancangan itu juga turut dilihat untuk melokalisasikan produksi berberapa model hibrid Lynk & Co di Korea.

    Selain itu, Renault Samsung Motors (RSM) iaitu entiti yang dikuasai 80% oleh Renault akan menghasilkan versi mereka sendiri berdasarkan model-model Lynk & Co yang diproduksi di Busan. Langkah ini diharap akan memberikan lonjakan jualan termasuk eksport untuk RSM. Syarikat tersebut buat masa sekarang dilihat sedang menguncup dengan jualan hanya 116,000 unit pada tahun lalu berbanding mencapai jualan sekali ganda lebih banyak pada 2017. Rekod jualan kumulatif RSM dari Januari hingga November tahun ini pula telah mencapai angka 120k unit.

    Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Perjanjian kerjasama Renault dengan jenama China berkenaan dilihat bakal memberikan pelbagai faedah pada masa hadapan. Namun masih belum jelas adakah kerjasama ini bakal menimbulkan sebarang masalah terhadap Pakatan Renault-Nissan.

    Laporan ini turut menyatakan bahawa di China, Renault dan Nissan mempunyai rakan kerjasama tempatan yang sama iaitu Dongfeng, sebelum kerjasama Renault-Dongfeng berakhir tahun lalu. Kedua-dua jenama dari Perancis dan Jepun itu juga menghasilkan model-model yang berkongsi platform dan komponen antara satu sama lain bagi mengurangkan kos.

    Sebelum ini Nissan pernah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila Renault cuba berkerjasama dengan pihak lain, menyebabkan rancangan untuk bergabung dengan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) pada 2019 dibatalkan. Namun kerjasama dengan Geely ini dilihat lebih ringan kerana tidak melibatkan sebarang pertukaran ekuiti.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia bantu pelanggan terjejas susulan banjir – 30% diskaun alat ganti, 50% untuk kos buruh

    Mitsubishi Malaysia bantu pelanggan terjejas susulan banjir – 30% diskaun alat ganti, 50% untuk kos buruh

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan program bantuan banjir kepada para pemilik kenderaan Mitsubishi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang yang terjejas dengan bencana tersebut. Selain menawarkan diskaun sebanyak 30% untuk alat ganti tulen dan 50% diskaun bagi kos buruh, MMM turut memberikan perkhidmatan menunda kenderaan percuma kepada pemilik kenderaan terlibat.

    Namun bagi pemilik kenderaan Mitsubishi yang menguruskan sendiri untuk menunda kenderaan masing-masing, tanpa bantuan Mitsubishi Assist 24Hrs (MA24) dan perlindungan insurans layak menerima rebat sehingga RM300. Selain itu, semua pemilik kenderaan Mitsubishi yang ingin menyertai program bantuan ini perlulah membuat laporan polis dan kemudian tunda kenderaan terlibat ke pusat servis Mitsubishi Motors yang berhampiran.

    “Semua kakitangan perkhidmatan dan pengedar sah kami bersedia untuk membantu pemilik kenderaan Mitsubishi yang terjejas dengan bencana banjir ini. Kami berharap program bantuan banjir ini dapat meringankan beban pelanggan kami melalui masa sukar ini,” kata Shinya Ikeda, CEO MMM.

    Menurut MMM, tawaran ini dibuka sekarang dan berlangsung sehingga 20 Januari 2022, dan semua pemilik kenderaan yang terlibat perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan MA24 di talian 1-800-88-2166.

     
     
  • 12 laluan di S’gor masih ditutup susulan banjir – PDRM

    12 laluan di S’gor masih ditutup susulan banjir – PDRM

    Awal pagi tadi, Polis Selangor telah memaklumkan sebanyak 12 laluan jalan raya di seluruh negeri ini yang dinaiki air telah ditutup kepada kenderaan hari ini, laporan Harian Metro.

    Kawasan yang terlibat ialah Jambatan Jalan Menghala ke Lapang Sasar, Subang serta Jalan PJU 7, Hadapan MRT, Mutiara Damansara yang berada di kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya. Bagi IPD Kuala Selangor pula, laluan yang ditutup adalah Jalan Kuala Selangor–Meru dan Jalan Kuala Selangor–Bestari Jaya.

    Manakala hanya satu laluan ditutup masing-masing di lapan kawasan pentadbiran IPD lain, antaranya IPD Shah Alam di Jalan Jitu, Seksyen 25, Shah Alam, manakala IPD Kuala Langat pula, Jalan Olak Lempit ke KLIA. Bagi kawasan IPD Sepang pula, Jambatan FT 31 Dengkil-Banting ditutup kepada kenderaan dan IPD KLIA membabitkan Jalan bulatan Masjid KLIA menghala Charterfield KLIA.

    Satu laluan yang ditutup di IPD Subang Jaya adalah Lorong Ikan Haruan, Kg Bukit Lanchong, Putra Heights, manakala Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra di bawah IPD Sungai Buloh. Di bawah kawasan pentadbiran IPD Sabak Bernam pula, penutupan jalan di Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim.

    Bagi IPD Hulu Selangor, Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

    Berbanding Ahad lalu, sebanyak 71 jalan telah ditutup memandangkan banyak daerah di Selangor khususnya di Taman Sri Muda di Shah Alam dan Klang, telah dilanda banjir besar.

     
     
  • Pembaikan kereta banjir – KPDNHEP akan tingkatkan pemantauan terhadap bengkel, elak harga melampau

    Pembaikan kereta banjir – KPDNHEP akan tingkatkan pemantauan terhadap bengkel, elak harga melampau

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada pengusaha bengkel kenderaan bermotor agar tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau bagi kerja pembaikan kenderaan ekoran bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

    Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan dilaporkan oleh Bernama semalam, peniaga bengkel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Pelindungan Pengguna 1999.

    Beliau turut menegaskan bahawa KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan ke atas premis perniagaan kenderaan bermotor dan memberi amaran bahawa peniaga yang mengambil kesempatan boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisma Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

    Azman turut memberitahu bahawa sepanjang 2021, KPDNHEP telah menjalankan sebanyak 570 pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan bermotor dan 76 kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM21,250.

    “Pengguna dinasihatkan berhati-hati mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga,” katanya sambil menyarankan pengguna mendapatkan perkhidmatan pembaikan di pusat servis kenderaan berkaitan sekiranya kenderaan masih dalam jaminan.

    Menurutnya lagi, orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan atau maklumat kepada KPDNHEP melalui saluran aduan iaitu WhatsApp 019-279 4317, portal aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emel kepada [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

     
     
  • Mazda MX-30 Electric bakal dilancarkan oleh Bermaz di Malaysia suku ketiga atau keempat tahun hadapan

    Mazda MX-30 Electric bakal dilancarkan oleh Bermaz di Malaysia suku ketiga atau keempat tahun hadapan

    Sudah ada berberapa petunjuk bahawa model SUV elektrik sepenuhnya (EV) pertama dari Mazda iaitu MX-30 Electric akan masuk ke pasaran Malaysia sebelum ini – pengedar jenama berkenaan iaitu Bermaz dilaporkan sudah merancang untuk membawa MX30 ke sini Oktober lalu tetapi masih menunggu lampu hijau dari Mazda sendiri, kemudian bulan lalu Bermaz menyiarkan pula teaser untuk model tersebut.

    Dan yang terbaharu, nota pelaburan dari RHB Investment Bank menyatakan bahawa Mazda MX-30 Electric telah sah akan dijual dalam pasaran tempatan, dan tarikh pelancarannya adalah sekitar suku ketiga atau keempat tahun hadapan. Menurut nota itu lagi, MX-30 adalah sebahagian dari enam model Mazda yang akan diperkenalkan oleh Bermaz pada 2022, termasuk Mazda 3, CX-3, CX-30, CX-8 dan MX-5 yang dikemaskini.

    Mazda MX-30 versi janaan elektrik penuh ini telah diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2019. Ia menampilkan motor elektrik berkuasa 145 PS dan tork maksima 217 Nm yang memacu roda hadapan, dan menerima tenaga dari bateri lithium ion 35.5 kWj.

    Mazda MX-30 Electric bakal dilancarkan oleh Bermaz di Malaysia suku ketiga atau keempat tahun hadapan

    Bateri tersebut menyokong pengecas AC sehingga 6.6 kW menerusi penyambung Type 2, membolehkan cas 20-80% dipenuhkan dalam masa tiga jam. Ia juga menyokong pengecas pantas DC sehingga 50 kW menggunakan penyambung CCS membolehkan jumlah tenaga yang sama dicas dalam masa 36 minit. Satu cas penuh bateri tersebut membolehkan MX-30 ini bergerak sejauh 224 km.

    Mazda CX-30 ini sebenarnya turut dihasilkan dalam versi rangkaian kuasa hibrid ringkas, menampilkan enjin petrol 2.0 liter bersama sistem hibrid 24-Volt serta kotak gear enam-kelajuan automatik berkuasa 155 PS/200 Nm. Namun seperti laporan sebelum ini, nota dari RHB IB ini hanya menyebut tentang MX-30 dalam versi elektrik penuh yang akan di bawa ke Malaysia.

    GALERI: Mazda MX-30

     
     
  • myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    Jika anda sedang mempertimbangkan untuk menukar kereta, maka anda perlu berkunjung ke myTukar AutoFair 2022, yang akan diadakan di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan dari 7 hingga 9 Januari 2022. Ini juga merupakan acara kereta terpakai terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 1,000 kenderaan terpakai akan dipamer.

    Daripada jumlah itu, anda turut akan mendapati pelbagai kenderaan terpakai berkualiti tinggi, dari model seperti Perodua Axia dan Myvi, Proton Saga dan Persona hinggalah kepada model Honda dan Toyota. Tidak ketinggalan pilihan yang lebih premium dari BMW, Mercedes-Benz dan Volvo.

    Setiap pembelian myTukar akan termasuk sekali lanjutan waranti setahun dan servis percuma setahun — tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya berdepan masalah atau berubah fikiran tentang kereta yang dibeli itu, anda hanya perlu memulangkannya dalam tempoh lima hari, tanpa sebarang soalan ditanyakan.

    myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    Anda juga akan menerima tawaran istimewa tambahan jika membeli kereta di acara berkenaan, seperti tambahan setahun untuk servis percuma, kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengelas kaki Trapo untuk semua kereta. myTukar juga boleh menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung.

    Lebih menarik, anda juga berpeluang memenangi satu daripada enam hadiah melalui promosi myTukar Lucky Spin Wheel: ada Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500. Tidak lupa, anda juga berpeluang memandu pulang sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar.

    Liputan meluas myTukar di seluruh negara kini termasuk bilik pameran kenderaan premium yang lebih besar serta kemudahan servis sendiri yang menyeluruh. Ini memberikan anda kelegaan dari aspek pemilikan dan penyelenggaraan kenderaan, walaupun untuk kereta terpakai.

    myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    Pelawat juga boleh menikmati hidangan ringan dan ruang pameran jenama rakan niaga yang lain. SOP Covid-19 yang ketat juga dipraktik, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal. Maklumat lanjuta tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, dan anda juga malayari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre
    Puchong South, Lot 14225, KM 3
    8, Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia

    *Tertakluk kepada terma

     
     
  • Harga minyak 23-29 Dis – RON97 turun 1 sen seliter

    Harga minyak 23-29 Dis – RON97 turun 1 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) telah memaklumkan, bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 Disember 2021, harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 akan turun sebanyak 1 sen seliter. Di mana ia akan menjadi RM2.99 seliter berbanding RM3.00 pada minggu sebelumnya.

    Namun demikian, harga runcit bagi petrol RON 95 tetap dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal berharga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 29 Disember 2021.

     
     
  • Tokyo Auto Salon 2022 – Nissan Caravan Mountain Base, Myroom Concept guna asas daripada Urvan

    Tokyo Auto Salon 2022 – Nissan Caravan Mountain Base, Myroom Concept guna asas daripada Urvan

    Nissan akan membawa beberapa buah kereta unik ke Tokyo Auto Salon 2022 Januari nanti, dan dua di antaranya menggunakan model Caravan (ataupun dikenali di negara kita sebagai NV350 Urvan) sebagai asas.

    Model pertama berwarna gelap itu adalah Caravan Mountain Base Concept, yang membawa gaya rumah persinggahan dalam hutan kepada sebuah kenderaan komersial. Menurut Nissan, bahagian luarnya disalut dengan cat kasar warna hitam supaya tahan lebih lasak sementara bahagian lain badan dibalut dengan pelekat bercorak kayu seperti rumah.

    Bagi memberi sumber kuasa sewaktu ia menjelajah dalam hutan, bahagian atas serta tepinya dipasang dengan panel solar dan anda boleh melihat ia tidak lagi mempunyai cermin pada pintu gelungsur dan panel tepi. Rim kelihatan seperti unit 2/3 piece dan ia dibalut dengan tayar offroad yang tebal.

    Pada bahagian dalam Caravan Mountain Base Concept ini terdapat bangku panjang serta meja yang dibuat daripada kayu, sementara rapat di bahagian belakang pemandu diletakkan jeriji yang boleh digunakan untuk menggantung barang dan api digital.

    Satu lagi model konsep, iaitu Caravan Myroom tidak diubah suai dengan banyak di bahagian luar, tetapi bahagian dalamnya ditukar untuk menjadi seperti ruang rehat yang moden, dengan terdapat sofa, tilam dan rak buku serta barangan lain di tepi.

     
     
  • Nissan hasilkan sistem ekzos titanium asli Nismo NE-1 untuk Skyline GT-R R32, R33 & R34; lebih ringan, kuat

    Nissan hasilkan sistem ekzos titanium asli Nismo NE-1 untuk Skyline GT-R R32, R33 & R34; lebih ringan, kuat

    Program sokongan restorasi untuk model-model lagenda Nissan, Nismo Heritage Parts kini diperluaskan lagi dengan penawaran sistem ekzos asli jenama tersebut untuk Skyline GT-R R32, R33 dan juga R34. Sistem ekzos tersebut bukan komponen produksi semula semata-mata, malah ianya komponen tingkat taraf yang dihasilkan menggunakan material titanium.

    Sistem ekzos yang digelar sebagai NE-1 tersebut merangkumi paip hadapan dengan catalytic converter, paip peredam tengah sehingga kepada muffler belakang (untuk model R34, ia turut diberikan resonator). Ia turut menerima kemasan akhir dengan logo Nismo dan juga salutan DLC (diamonf-like carbon) yang didakwa akan mengekalkan warnanya walaupun dikenakan suhu yang panas.

    Menurut Nissan lagi, sistem ekzos NE-1 tersebut bukan sahaja merendahkan tekanan serta menaikkan kuasa sehingga 7%, malah ia turut sekitar 12.4-12.7 kg lebih ringan dari sistem ekzos asal. Ia juga menampilkan bunyi lebih kuasa sehingga ke paras 94 desibel.

    Setiap unit sistem ekzos ini hanya dihasilkan setelah ia ditempah oleh pelanggan. Sistem ekzos NE-1 ini dihasilkan bagi boleh terus dipadankan pada mana-mana varian Skyline GT-R R32 dan R34, dijual pada harga 726,000 yen (RM26,777) termasuk cukai.

    Manakala untuk Skyline GT-R R33, sistem ekzos yang dijual pada harga 737,000 yen (RM27,183) tersebut hanya boleh dipadankan pada varian dengan badan coupe dua-pintu sahaja. Bagi yang tidak tahu, R33 GT-R turut pernah dihasilkan dalam versi empat-pintu digelar Autech Version, diproduksi hanya 416 unit sempena ulang tahun ke-40 Skyline.

    Nissan turut menyatakan bahawa sistem ekzos ini disarankan hanya dipasang pada kereta dengan enjin yang diberikan kod R3 dan R4, dan ia tidak sesuai untuk kereta dengan enjin yang diberikan kod S1 atau S2 kerana “mengambilkira beban yang digunakan pada turbo.”

    Set ekzos NE-1 ini juga hadir dengan kit yang menampilkan set cagak untuk pemasangan, kad laporan ujian gas dan juga waranti pengeluar selama satu tahun.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia Nov 2021 ikut jenama – Proton naik 8.3%, Volvo 134%; Mitsubishi kekal No.5

    Jualan kenderaan di M’sia Nov 2021 ikut jenama – Proton naik 8.3%, Volvo 134%; Mitsubishi kekal No.5

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan untuk November 2021, di mana sebanyak 58,742 kenderaan telah dihantar kepada pelanggan, mewakili penyusutan sebanyak 7.5% berbanding 63,489 unit kenderaan yang terjual pada Oktober 2021.

    Persatuan terbabit turut berkata penyumbang kepada penurunan jualan pada bulan lalu melibatkan beberapa faktor, salah satunya ialah masalah bekalan cip mikro yang masih berterusan sehingga menjejaskan pengeluaran bagi sesetengah pengeluar kereta. Selain itu, ada juga pelanggan yang menangguhkan pembelian kenderaan baharu disebabkan insentif pengecualian SST telah pun dilanjutkan sehingga 30 Jun tahun hadapan.

    Bagi bulan tersebut juga, menyaksikan penyusutan sebanyak 27.1% bagi Perodua yang hanya menjual sebanyak 20,299 unit kenderaan berbanding 27,858 unit pada Oktober 2021, walau bagaimana jenama ini masih kekal mendahului carta untuk jumlah jualan, dengan jumlah keseluruhan tahunan hingga ke tarikh itu mencecah 167,250 unit. Pada bulan lalu, Perodua berkata pengeluaran yang terjejas membuatkan sasaran untuk 2021 iaitu 214,000 unit tidak akan tercapai.

    Jenama kedua di tangga carta jualan pula masih dimonopoli oleh Proton, yang berjaya menjual sebanyak 13,910 unit pada November 2021, menyaksikan peningkatan sebanyak 8.3% berbanding 12,849 unit pada bulan sebelumnya. Perodua telah mencapai jualan sebanyak 97,994 unit bagi jumlah tahunan hingga ke tarikh itu.

    Jualan kenderaan di M’sia Nov 2021 ikut jenama – Proton naik 8.3%, Volvo 134%; Mitsubishi kekal No.5

    Bagi segmen bukan-nasional, Toyota mengekalkan posisinya dengan mencapai jumlah jualan sebanyak 8,414 unit pada November, tidak banyak bezanya dengan Oktober 2021 (8,417 unit), dengan jumlah tahunan hingga ke tarikh itu mencecah 62,392 unit. Manakala Honda pula merekodkan jumlah jualan sebanyak 7,592 unit pada bulan lalu, meningkat 18.1% berbanding Oktober 2021.

    Mitsubishi pula masih kekal di tangga kelima dengan 2,259 unit kenderaan terjual pada bulan lalu, meningkat sebanyak 10.7%, dan Mazda pula di belakangnya dengan 1,287 unit (+16.8%). Manakala jualan Nissan pula menyusut sebanyak 9.1% dengan rekod sebanyak 1,395 unit berbanding 1,535 unit pada Oktober 2021. Jualan Isuzu juga menyusut sebanyak 10.1% dengan terjual sebanyak 975 unit pada bulan lalu berbanding 1,084 unit pada bulan sebelumnya.

    Sementara itu, jualan bagi Lexus juga berkurangan sebanyak 12.0% iaitu hanya 73 unit sahaya yang terjual bagi bulan lalu, berbanding 83 unit pada Oktober 2021. Namun, nasib begitu menyebelahi Volvo yang menunjukkan peningkatan terbesar iaitu mencapai 133.6% dengan terjual 299 unit pada November 2021, berbanding 128 unit pada bulan sebelum ini. Manakala Hyundai juga mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 86% dengan terjual 93 unit, berbanding 50 unit pada Oktober 2021.

    Jualan kenderaan di M’sia Nov 2021 ikut jenama – Proton naik 8.3%, Volvo 134%; Mitsubishi kekal No.5

     
     
  • Daihatsu bakal guna teknologi elektrifikasi untuk semua modelnya di Jepun menjelang tahun 2030

    Daihatsu bakal guna teknologi elektrifikasi untuk semua modelnya di Jepun menjelang tahun 2030

    Pakar pembuat kereta kompak dari Jepun, Daihatsu Motor Co. mengumumkan bahawa semua modelnya yang dijual pada pasaran domestik Jepun (JDM) bakal menerima sistem elektrifikasi menjelang tahun 2030, lapor The Japan Times. Ini bermaksud kurang 10-tahun dari sekarang, semua model-model yang dijual oleh Daihatsu akan sekurang-kurangnya menerima sistem hibrid elektrik, tanpa sebarang pilihan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya.

    Ini kali pertama Daihatsu mengumumkan pelan peralihan yang jelas, serta turut mendedahkan rancangan bagi melancarkan kereta elektrik penuh (EV) kecil menjelang 2025. Model EV kompak tersebut disasarkan untuk dijual pada julat harga antara 1 juta yen (RM37k) dan 2 juta yen (RM74k), selepas menerima subsidi dan insentif lain yang berkaitan.

    Pengumuman ini mungkin untuk mempercepatkan persaingan bagi membangunkan kereta-kereta kompak (mewakili 40% dari jumlah keseluruhan jualan kereta di Jepun) yang dijana oleh kuasa elektrik, lapor berita berkenaan dan menambah bahawa pakatan Nissan dan Mitsubishi bakal memperkenalkan model sedemikian pada April tahun hadapan, begitu juga Honda dan Suzuki yang turut akan memperkenalkan model-model EV kompak masing-masing.

    “Kita tidak boleh elak elektrifikasi dan kami perlu hasilkannya,” kata presiden Daihatsu, Soichiro Okudaira ketika pelancaran model baharu van Hijet Cargo di Jepun Isnin lalu. “Kami akan menggunakan kelebihan kenderaan hibrid dalam membangunkan kereta elektrik dan akan melancarkannya,” tambahnya lagi.

    Daihatsu bakal guna teknologi elektrifikasi untuk semua modelnya di Jepun menjelang tahun 2030

    Bulan lalu jenama subsidiari Toyota Motor Co. berkenaan telah pun memperkenalkan SUV kompak Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid pada pasaran Jepun. Kembar kepada Perodua Ativa berkenaan diberikan sistem hibrid jenis range extender di mana enjin tiga silinder 1.2 liter WA-VEX yang dibekalkan hanya bertugas untuk mengecas kuasa elektrik untuk disimpan dalam bateri lithium ion berkapasiti 4.3 Ah, manakala roda hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 106 PS/170 Nm.

    Ini membolehkan Rocky e-Smart Hybrid tersebut mencapai penggunaan bahan api serendah 28 km/l (3.6 l/100 km) mengikut kitaran WLTP. Malah dengan dipacu sepenuhnya dengan motor elektrik, ia turut menawarkan sistem Smart Pedal, iaitu mod pemanduan menggunakan hanya satu pedal sama dengan kereta elektrik sebenar seperti Nissan Leaf dan juga Honda e.

    Apa yang menarik, sebelum Rocky e-Smart Hybrid tersebut didedahkan secara rasmi di Jepun, ia terlebih dahulu telah dilihat di uji di Malaysia oleh Perodua, membayangkan bahawa Ativa juga mungkin akan ditawarkan dalam versi hibrid. Adakah dengan pelan peralihan Daihatsu ini akan turut mempercepatkan pemindahan teknologi elektrifikasi untuk Perodua?

     
     
  • Proton bantu pelanggan terjejas dek banjir – 20% diskaun alat ganti, rebat tunda dan bersih enjin

    Proton bantu pelanggan terjejas dek banjir – 20% diskaun alat ganti, rebat tunda dan bersih enjin

    Proton telah mengumumkan bantuan untuk para pelanggannya yang mengalami kerosakan kenderaan akibat banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di bahagian Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bantuan tersebut merupakan tawaran diskaun sebanyak 20% bagi alat ganti tertentu dan caj buruh.

    Bukan itu sahaja, caj tunda sebanyak RM200 dan caj pembersihan bahagian luar dan ruang enjin sebanyak RM100 akan dibayar oleh syarikat tersebut. Walau bagaimana pun, pelanggan perlu membuat laporan polis mengenai kejadian banjir yang dihadapi terlebih dahulu.

    “Fenomena banjir baru-baru ini telah menjejaskan beribu orang terutama sekali di Selangor dan Shah Alam, di mana terletaknya ibu pejabat Proton. Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan mereka dan ini termasuk kereta mereka juga. Oleh itu, kami ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi keyakinan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan utama syarikat,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Proton bantu pelanggan terjejas dek banjir – 20% diskaun alat ganti, rebat tunda dan bersih enjin

    Tambah beliau, Proton agak bertuah kerana banjir baru-baru ini tidak menjejaskan barisan pengeluarannya tetapi lebih dari 1,000 kakitangannya telah terjejas. Justeru, ahli-ahli Kelab Proton, organisasi sosial dan kesejahteraan dalaman untuk semua kakitangan, telah diaktifkan untuk menyediakan pakej penjagaan serta menawarkan servis pembersihan kepada rakan-rakan dan keluarga mereka

    “Keadaan yang luar biasa memerlukan tindak balas yang luar biasa. Proton akan berusaha untuk menentukan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan kami supaya dapat menikmati faedah ini. Lebih lagi, alat gentian tulen akan diberi jaminan jadi mereka yakin kualiti kerja pembaikan kami,” ujar Roslan lagi.

    Untuk maklumat lanjut, para pelanggan yang terlibat bolehlah menghubungi talian khidmat pelanggan Proton di 1-800-88-8398.

     
     
  • Peugeot e-208, e-2008 dapat jarak gerak lebih jauh

    Peugeot e-208, e-2008 dapat jarak gerak lebih jauh

    Peugeot telah memberikan sedikit naik taraf bagi model 208 dan 2008 keluaran tahun 2022, yang melibatkan talaan semula beberapa barang dan menjadikannya boleh bergerak lebih jauh menggunakan kuasa elektrik sahaja.

    Kedua-dua e-208 dan e-2008 menerima beberapa bahagian baru termasuk nisbah gear, pam haba, pengesan kelembapan dalam serta tayar kurang rintangan Class A+, yang membantu meningkatkan jarak geraknya sebanyak 24 km. Bermakna, secara teorinya, ia e-208 boleh bergerak sehingga 363 km dengan sekali cas, manakala e-2008 pula 344 km.

    Tiada perubahan yang dibuat pada pek bateri, jadi ia masih menggunakan motor elektrik 50 kWh dan 100 kW. Bateri ini boleh dicas secara maksimum menggunakan pengecas pantas DC 100 kW (penyambung CCS; Type 2 untuk AC), dan daripada tahap kosong, bateri ini boleh mencecah tahap 80% dalam masa 30 minit sahaja

    Peugeot e-208, e-2008 dapat jarak gerak lebih jauh

    Sedikit perubahan turut dibuat pada bahagian luar, di mana varian yang lebih mahal mendapat pelindung cermin sisi warna Diamond Black sementara 208 GT menerima rim 17 inci yang lebih sporty. Varian 2008 GT Premium menggunakan rim 18 inci sementara e-2008 mendapat rekaan rim khas yang dicat warna Black Mist.

    Antara sisem keselamatan yang terdapat pada kereta ini adalah termasuk Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Lane Positioning Assist, Autonomous Emergency Brake (dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal waktu malam), Active Lane Keeping Assist, Full Park Assist, Blind Spot Monitoring serta lampu tinggi automatik.

     
     
  • WMoto F15 dilancarkan di Malaysia – 150 cc, RM5,999

    WMoto F15 dilancarkan di Malaysia – 150 cc, RM5,999

    Motosikal yang berada dalam segmen 150 cc kini mempunyai pencabar baru apabila WMoto melancarkan model F15 dengan harga RM5,999 tidak termasuk insurans di Malaysia. Motosikal ini ditawarkan dalam tiga warna dan jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    F15 digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 149.2 cc bersama transmisi lima kelajuan dengan klac di tangan, dan mampu menghasilkan kuasa 10.5 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm tork pada 8,000 rpm. Sebagai perbandingan, Yamaha Y15ZR menghasilkan 15.4 hp manakala Honda RS-X menghasilkan 15.8 hp.

    Pada bahagian meter, motosikal ini menggunakan unit gabungan digital dan analog (untuk rpm) yang kelihatan hampir seperti meter Y15, dan boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk tahap bateri. Tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter manakala berat keseluruhannya adalah 118 kg.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang F15 menggunakan unit cakera, sementara rim pula adalah bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 100/70 di belakang. Suspensi menggunakan padanan fork teleskopik dan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Walaupun dijual dengan harga yang lebih murah berbanding pesaingnya, F15 tetap datang dengan pelbagai kelengkapan moden lain seperti semua lampu jenis LED, soket pengecas USB serta cakera brek hadapan 290 mm jenis yang beralun.

     
     
  • Air banjir naik semula di NKVE, ELITE berhampiran Bukit Jelutong, Shah Alam – elak, guna laluan lain

    Air banjir naik semula di NKVE, ELITE berhampiran Bukit Jelutong, Shah Alam – elak, guna laluan lain

    Berikutan hujan yang mula turun semula pagi tadi, sebahagian kawasan banjir sebelum ini yang telah surut kini naik kembali. Video yang dimuat naik oleh @chairman_GLC di laman Twitter sebentar tadi menunjukkan bahawa air telah turut naik semula di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Bukit Jelutong.

    PLUS Malaysia turut memberikan amaran banjir kilat yang berlaku di NKVE bermula KM 9.1 arah utara dari Shah Alam ke Subang, serta di Plaza Tol Shah Alam di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE). Laluan arah utara pada ELITE menuju ken Seafield dan Setia Alam juga telah dinaiki air.

    Jadi untuk anda yang ada urusan dan perlu melalui kawasan-kawasan ini dinasihatkan agar menangguh dahulu perjalanan anda atau menggunakan laluan altenatif. Ingat, untuk keselamatan anda, jangan cuba untuk meredah banjir dengan apa jua kenderaan yang anda pandu.

     
     
  • MOT arahkan JPJ beri gantian percuma lesen memandu, VOC dan cukai jalan kepada mangsa banjir

    MOT arahkan JPJ beri gantian percuma lesen memandu, VOC dan cukai jalan kepada mangsa banjir

    Umum mengetahui negara kita sedang dilanda bencana banjir besar di kebanyakan daerah. Antara lokasi yang terjejas teruk ialah Shah Alam dan Hulu Langat di Selangor, Mentakab, Raub dan Kuala Lipis di Pahang serta banyak daerah lain. Bukan setakat kerosakan harta benda termasuk rumah, kenderaan dan dokumen penting, malah ada nyawa yang turut terkorban.

    Atas dasar keprihatinan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberikan penggantian lesen memandu, cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor/LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) bakal diberikan secara percuma kepada semua mangsa banjir. Perkara ini telah dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam kenyataan media berkenaan dengan bantuan banjir yang diumumkan dari agensi di bawah kendaliannya.

    Apa yang perlu dilakukan ialah pemilik-pemilik dokumen berkenaan haruslah membuat laporan polis mengenai kehilangan/kerosakan dokumen tersebut. Dan amalan yang dilakukan oleh JPJ sebelum ini, selepas mendapatkan salinan laporan polis, individu terbabit perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak, untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana Pejabat Kaunter JPJ Negeri, atau Cawangan JPJ.

    Namun buat masa ini, kita masih menantikan kenyataan rasmi dari JPJ mengenai tempoh kuatkuasa urusan penggantian dokumen berkenaan dan maklumat lanjut mengenainya.

     
     
  • Yamaha Thailand bekerjasama dengan Zeus Custom keluarkan kit cafe racer XSR155 – 100 unit sahaja

    Yamaha Thailand bekerjasama dengan Zeus Custom keluarkan kit cafe racer XSR155 – 100 unit sahaja

    Semasa acara Thailand Motor Expo baru-baru ini, Yamaha telah menunjukkan satu kit khas untuk model XSR155 yang dibuat dengan kerjasama Zeus Custom dan mengubah suai bentuk motosikal tersebut menjadi sebuah cafe racer. Hanya 100 unit ditawarkan kepada pasaran, dan dalam masa beberapa jam sahaja selepas jualannya dibuka, ia terus habis.

    Zeus Custom adalah sebuah syarikat yang banyak membuat kerja ubah suai kustom motosikal dan kit untuk XSR155 ini dibuat sendiri oleh mereka, termasuk fender hadapan lebih pendek, perumah lampu hadapan, pemegang jenis clip on, hiasan pada tangki, tempat duduk cafe racer, fender belakang lebih pendek serta panel tepi berlubang.

    Hos brek turut ditukar dengan unit yang lebih pendek dan setiap kit akan dipasang dengan plet khas yang menandakan nombor keluarannya pada bahagian atas triple clamp dan panel tepi. Penampilan keseluruhan disempurnakan dengan warna kelabu matte dan coklat.

    Memandangkan ini cuma adalah kit penggayaan, bahagian mekanikal tidak diusik. Dalam keadaan asal, XSR155 datang dengan enjin satu silinder SOHC VVA 155 cc yang mampu menghasilkan kuasa 19.3 hp dan 15 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

    Dijual pada harga bermula 91,500 Thai baht (RM12,364), XSR155 datang dengan kelengkapan lain seperti fork teleskopik, monoshock di belakang, brek cakera hadapan belakang, rim aluminium 17 inci serta tangki bahan api 10 liter.

     
     
  • Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

    Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

    Bila bercakap hal harga kereta, umum mengetahui kos pemilikan untuk mobiliti ini bukanlah murah di Malaysia. Nak beli Honda City di Malaysia ini pun harganya dah sama macam Volkswagen Golf di Australia, apatah lagi harga kereta elektrik penuh (EV) kan?

    Tapi betul ke harga kereta di Malaysia adalah yang paling mahal dalam dunia? Baru-baru ini, laman perbandingan insuran dari Britain iaitu Compare The Market telah menghimpunkan Indeks Global EV untuk harga, menggunakan Nissan Leaf sebagai tanda aras. Jadi kalau ada yang nak komplen pasal jangan banding ikut matawang, kena ambil kira gaji dan sebagainya, boleh ajukan ke laman British tersebut kerana kami hanya mengupas dapatan yang mereka kumpulkan.

    Indeks tersebut membandingkan harga Nissan Leaf generasi kedua ini di 53 pasaran berbeza termasuk di Asia, Oceania, Eropah, serta Amerika Utara dan Selatan. Boleh dilihat pada carta yang ditunjukkan, Nissan Leaf paling mahal di dunia dijual di negara jiran kita iaitu Singapura.

    Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

    Di seberang tambak, Leaf dijual pada harga S$190,800 (RM588,600 atau £104,530) kerana duti eksais dan juga sijil pemilikan kenderaan (CoE) yang mahal. Argentina di tempat kedua, dan tangga ketiga pula milik satu lagi negara jiran kita iaitu Thailand – EV Nissan berkenaan dijual pada harga 1,990,000 baht (RM249,000 atau £43,682).

    Tempat keempat pula adalah Filipina dengan harga 2,798,000 pesos (RM236,100 atau £40,133). Satu lagi negara ASEAN yang tersenarai dalam carta 10-teratas ini adalah Indonesia di mana Nissan Leaf dijual pada harga 679 juta rupiah (RM199,400 atau £33,271).

    Manakala negara yang paling murah untuk memiliki Nissan Leaf adalah di Sepanyol, di mana ia dijual pada harga €21,000 (RM99,800 atau £17,733). Ini kerana kerajaan Sepanyol ini sedang memberikan rebat kereta elektrik sebanyak €7,000 (RM33,300), namun untuk mendapatkan rebat tersebut ia mesti ditukar beli dengan kereta yang berusia lebih tujuh tahun untuk diskrap.

    Jadi di mana Malaysia? Menurut indeks tersebut, Malaysia berada di kedudukan ke-11 dengan Nissan Leaf yang dijual pada harga RM181,263 (US$43,679) termasuk insentif potongan cukai jualan. Walaupun dilihat jauh lebih murah dari Thailand, harga Leaf di Malaysia masih lagi tinggi berbanding harga purata global yang dihitung pada paras £29,296 (RM163,000).

    Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

    Ada dua faktor menyebabkan Nissan Leaf ini masih mahal berbanding harga purata tersebut. Pertama kerana Leaf buat masa sekarang masih dikenakan duti import sebanyak 30% dan juga duti eksais sebanyak 10%. Selepas ini, harga Nissan Leaf tersebut mungkin lebih rendah selari dengan cadangan kerajaan ketika pembentangan Bajet 2022 untuk memansuhkan duti bagi kereta elektrik bermula tahun hadapan sehingga 2023.

    Namun dari segi penawaran kelengkapan, Leaf pasaran Malaysia ini juga dilihat agak munasabah. Di Jepun misalnya, Leaf dijual pada harga kelima paling rendah iaitu bermula 3,326,400 yen (RM123,300 atau £21,262), tetapi harga tersebut adalah untuk model paling asas yang hanya diberikan rim besi, tempat duduk fabrik serta langsung tiada radio. Varian satu tangga lebih tinggi di Jepun dijual pada harga 3,825,000 yen (RM141,800) yang akan menempatkan ia ditangga ke-33 paling mahal dalam carta ini.

    Manakala Nissan Leaf pasaran Malaysia pula hanya ditawarkan dalam satu varian, dilengkapi perincian standard seperti rim 17-inci (paling besar dilengkapkan pada Leaf secara global), tempat duduk balutan kulit, sistem infotainmen dengan skrin lima-inci, serta pilihan warna dua tona premium tanpa tambahan kos. Malah, setiap pembelian Leaf di Malaysia juga adalah sekali dengan pengecas wallbox 6.6 kW, di mana pada pasaran lain kelengkapan tersebut perlu dibeli berasingan.

    GALERI:Nissan Leaf pasaran Malaysia