Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Rossi bersara dari MotoGP, lumba kereta selepas ini?

    Rossi bersara dari MotoGP, lumba kereta selepas ini?

    Era sukan permotoran dua roda moden Valentino Rossi nampaknya sudah berakhir apabila beliau mengumumkan persaraan daripada MotoGP selepas musim 2021 tamat. Beliau sekarang berlumba untuk pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team selepas pencapaian yang tidak bagus pada tahun 2020, ketinggalan di belakang pelumba muda yang semakin meningkat seperti Fabio Quartararo, Joan Mir dan Miguel Oliveira.

    Rancangan Rossi selepas ini masih belum didedahkan, tetapi beliau ada menyatakan keinginan untuk menyertai perlumbaan kereta, berkemungkinan kelas GT. Pasukan lumba motosikal beliau pula, iaitu Team VR46 baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan syarikat minyak Aramco, serta penganjur MotoGP, Dorna untuk penubuhan sebuah pasukan dalam kelas MotoGP menggunakan jentera Ducati.

    Karier Rossi selama 25 tahun dalam Grand Prix bermula dari zaman dua lejang lagi, dan beliau telah memenangi kejuaraan yang pertama pada tahun 2001, iaitu perlumbaan terakhir bagi jentera 500 cc empat silinder dua lejang, sebelum beralih kepada enjin empat lejang. Rossi kemudiannya memenangi lima lagi kejuaraan secara berturut-turut bersama pasukan Honda dan juga Yamaha.

    Rossi bersara dari MotoGP, lumba kereta selepas ini?

    “Selepas lima kejuaraan berturut-turut dalam MotoGP, saya kalah untuk dua tahun. Dalam karier biasa, ia sepatutnya sudah berakhir. Walaubagaimanapun selepas itu saya masih dapat kembali ke atas, bersaing dengan Lorenzo, Stoner dan Pedrosa, dan memenangi dua lagi kejuaraan,” kata Rossi berkenaan perkara yang menyerlah dalam karier beliau.

    Secara keseluruhannya, Rossi telah memenangi sembilan kejuaraan dunia, 115 tempat pertama dalam perlumbaan, 199 kali podium dalam MotoGP/500 cc, 55 kedudukan paling hadapan waktu memulakan perlumbaan MotoGP/500 cc dan 423 kali memulakan perlumbaan sepanjang karier dari tahun 1996.

     
     
  • Puspakom buka slot untuk September minggu depan

    Puspakom buka slot untuk September minggu depan

    Bulan lalu, JPJ mengumumkan lanjutan pengesahan bagi beberapa perkhidmatan dan transaksi yang tidak boleh dilakukan dari 1 hingga 31 Julai disebabkan PKP yang berlangsung ketika ini.

    Walaupun dengan perkhidmatan di kaunter bagi semua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (JPJ, LPKP Sabah dan Sarawak, APAD, Puspakom) sudah mula beroperasi sejak 1 Julai lalu, ia hanya untuk transaksi dan perkhidmatan yang tidak boleh dilakukan secara dalam talian, serta dengan kapasiti staf hanya 50%. Ia juga hanya dengan temujanji, dan tiada kunjungan terus.

    Laporan Puspakom dengan tarikh luput sepanjang Jun dan Julai juga diberikan lanjutan hingga 30 September. Ini termasuklah laporan B2, PG11A dan PG13B serta laporan B5 yang diperlukan untuk tukar milik kenderaan. Kenderaan komersial yang perlu melakukan pemeriksaan berjadual sepanjang Jun dan Julai pula akan dibenarkan untuk menangguhkan hal itu, dengan pengecualian daripada saman.

    Memandangkan lanjutan yang diberikan hingga 30 September, ini bermakna hanya ada bulan depan untuk anda menyelesaikan urusan Puspakom. Syarikat itu juga hari ini telah mengeluarkan notis peringatan dan makluman bahawa slot temujanji bagi September akan dibuka untuk tempahan minggu depan.

    Puspakom buka slot untuk September minggu depan

    “Pelanggan dinasihatkan untuk tidak menunggu hingga saat terakhir untuk melakukan pemeriksaan kenderaan, bagi mengelakkan slot temujanji penuh. Sila buat tempahan anda seawalnya dalam bulan Ogos, terutama bagi kenderaan yang hampir tarikh luput pemeriksaannya pada June dan Julai,” jelas Puspakom.

    Jadi, dengan pengumuman dan peringatan bahawa tempoh lanjutan bakal tamat ini, maka jika anda tergolong dalam kalangan yang terlibat dengan pemeriksaan kenderaan seperti yang dinyatakan ini, eloklah bertindak seberapa segera nanti. Turut akan berakhir ialah kelonggaran bagi lesen dan cukai jalan tamat tempoh, 30 September adalah hari terakhir untuk itu dan penguatkuasaan akan dimulakan pada 1 Oktober 2021.

     
     
  • Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Ini adalah Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25, iaitu kereta lumba keluaran terhad untuk jualan awam, yang dibuat bagi menyambut ulang tahun ke-25 Manthey Racing tahun ini. Hanya 30 unit akan dikeluarkan, dan ia dijual pada harga 525,000 euro (sekitar RM2.6 juta), dengan penghantaran dijangka bermula Januari 2022.

    Manthey Racing ditubuhkan pada tahun 1996 dan merupakan antara rakan kongsi penting Porsche dalam dunia perlumbaan. Pada tahun 2013, Porsche telah bergabung dengan pasukan lumba ini dengan mendapatkan 51% pegangan kepentingan di dalamnya, dan baru-baru ini pula, mereka telah bersama mencatat rekod di litar Nurburgring.

    Sama seperti 935 yang diperkenalkan pada tahun 2018, model baru ini juga menggunakan 911 GT2 RS generasi 991, versi Clubsport, yang cuma ada 200 unit sahaja. Spesifikasi teknikal utama tidak diubah, dan ia masih lagi menggunakan enjin enam silinder 3.8 liter twin turbo bersama transmisi PDK tujuh kelajuan klac berkembar, mampu menghasilkan 700 PS (691 hp) dan 750 Nm tork untuk dihantar ke roda belakang.

    Kelengkapan lain yang sama seperti model keluaran terhad itu adalah termasuk suspensi lumba yang boleh dilaras, sistem pencatat data, Porsche Stability Management (PSM), bahagian dalam yang telah dipersiapkan untuk lumba, serta bahagian badan yang kebanyakannya menggunakan gentian karbon.

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Model Clubsport 25 ini kemudiannya dipertingkat lagi dengan ciri seperti kereta lumba 911 GT3 R Manthey, termasuk radiator yang terletak di tengah dan mendapat angin daripada bukaan udara pada bampar yang direka semula. Tetapan ini bukan sahaja dapat memberikan lebih perlindungan apabila ada perlanggaran, tetapi juga memberikan aliran udara lebih baik untuk menjaga suhu enjin pada pelbagai kelajuan.

    Melalui konsep ini juga, radiator dapat dialihkan daripada tempat asalnya, iaitu berhampiran lengkung tayar, dan ruang kosong yang terhasil dapat memberikan aliran udara kepada brek hadapan. Hasilnya, suhu brek menjadi lebih stabil pada tempoh yang lebih lama dan mempunyai bukaan untuk mengeluarkan udara panas.

    Ciri lain yang menyerlah adalah seperti bahagian bawah badan yang ditutup sepenuhnya serta rekaan lubang atas bonet yang mengalirkan udara ke bumbung seterusnya sayap belakang, dan plet tepi baru. Salur udara NACA kecil berhampiran logo Porsche menyampaikan udara terus ke dalam kabin sementara lampu pula menggunakan unit khas untuk perlumbaan yang mempunyai empat jalur LED.

    Penggunaan rim 18 inci dengan offset khas juga menjadikan jarak roda kereta ini lebih lebar berbanding 911 GT2 RS Clubsport biasa, dan ia dipasang dengan arch yang bersesuaian. CLubsport 25 juga mendapat sistem stereng kuasa elektrik dengan nisbah boleh ubah yang sama seperti 935.

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Untuk grafik, kereta ini menggunakan kemasan hijau dan kuning, yang memberikan penghormatan kepada corak “Grello” yang digunakan pada kereta lumba 911 GT3 Manthey. Warna ini boleh dilihat pada beberapa bahagian, termasuk bukaan udara hadapan, rim, sirip tepi, fender, penyokong spoiler serta lencana model di belakang.

    “Porsche Motorsport dan Manthey telah memenangi banyak perlumbaan dan kejuaraan sejak pasukan ditubuhkan 25 tahun lalu – sebagai contoh, tujuh kali dalam perlumbaan 24 jam di Nurburgring. Sejak tahun 2013, dua syarikat ini telah mewujudkan gabungan yang lebih rapat lagi. Melalui 911 GT2 RS Clubsport 25 keluaran terhad yang istimewa ini pula, kerjasama antara kami pergi ke satu tahap lebih tinggi lagi,” kata pengarah Porsche GT Racing Cars, Matthias Scholz.

     
     
  • Kilang Honda di Wuhan terpaksa ditutup kerana kes Covid-19; varian delta mula mengganas di China

    Kilang Honda di Wuhan terpaksa ditutup kerana kes Covid-19; varian delta mula mengganas di China

    Tiga Kilang Honda di Wuhan, China milik syarikat kerjasama Dongfeng Honda terpaksa ditutup sejak Selasa lalu, akibat kes jangkitan virus Covid-19 yang mengganas semula di negara berkenaan, lapor Nikkei Asia.

    Menurut Honda dalam laporan berkenaan, terlalu ramai pekerjanya tidak dapat hadir untuk bertugas di kilang-kilang terebut kerana perintah berkurung telah dibuat pada kawasan-kawasan sekitar. Kilang-kilang yang mempunyai kapasiti untuk menghasilkan sejumlah 720,000 kenderaan berkenaan kini dalam keadaan tidak menentu kerana masih tiada petunjuk bila ia boleh beroperasi kembali.

    Kali terakhir kilang-kilang berkenaan terpaksa dihentikan dari beroperasi adalah ketika perintah berkurung selama 76-hari yang dibuat oleh kerajaan negara tersebut yang berakhir pada April tahun lalu.

    Selasa lalu pihak berkuasa Wuhan telah mengumumkan bahawa mereka akan mula membuat ujian saringan Covid-19 kepada semua 12 juta penduduknya. Ia berikutan kes varian delta yang mula dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing pada 20 Julai lalu.

    Penyebaran virus dalam varian yang lebih cepat merebak tersebut diburukkan lagi dengan musim percutian musim panas di China, menyebabkan ia tersebar ke 30 bandar di negara berkenaan termasuk Beijing, Shanghai dan Chongqing. Bagi mengekang penyebaran virus berkenaan, lebih 1.7 bilion dos vaksin telah diedarkan ke seluruh China sehingga Selasa lalu, dan sekurang-kurangnya 800 juta rakyatnya telah menerima suntikan berkenaan.

    Walau bagaimanapun, professor dari University of Massachusetts Medical School, Lu Shan mengatakan dalam laporan Nikkei tersebut bahawa vaksin yang dibangunkan oleh China iaitu Sinopharm dan Sinovac hanya mempunyai kadar keberkesana antara 50% hingga 78%, berbanding vaksin keluaran Pfizer dan Moderna dari Amerika Syarikat yang mempunyai keberkesanan melebihi 90%.

     
     
  • Range Rover Velar 2.0L R-Dynamic 2021 dilancar di Malaysia – naiktaraf dalaman, ciri baharu, RM612k

    Range Rover Velar 2.0L R-Dynamic 2021 dilancar di Malaysia – naiktaraf dalaman, ciri baharu, RM612k

    HyperFocal: 0

    Jaguar Land Rover Malaysia secara rasminya telah pun memperkenalkan Range Rover Velar 2021, dengan menampilkan dalaman yang dinaiktaraf dan kit yang dikemaskini. Model yang lebih segar ini ditawarkan dengan varian 2.0L R-Dynamic dengan harga bermula RM612,207 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran, tetapi dengan diskaun 50% cukai SST).

    Tiada rombakan luaran dibuat, tetapi bahagian dalaman menerima beberapa perubahan gaya. Ini termasuklah menampilkan gear shifter baharu yang menggantikan rotary dial yang ada pada versi terdahulu. Selain itu, Ia turut menerima rekaan baharu untuk roda stereng yang dilengkapi dengan butang pintar dan juga pengesan hands-on wheel.

    Manakala sistem infotainmen juga dipertingkatkan. Walau bagaimana pun perkakasan dwi-skrin masih dikekalkan, namun diberikan sistem baharu bagi Pivi Pro, grafik yang dipertingkatkan dan juga perisian baharu untuk memudahkan pemilik mengendalikannya.

    Sistem infotainmen serba baharu ini boleh disesuaikan dengan informasi paparan yang lebih relevan untuk pemandu, dan lebih dari satu peranti mobiliti boleh disambungkan dalam masa yang sama, membolehkan pemandu dan penumpang menikmati ketersambungan bebas-tangan tanpa perlu menggunakan sambungan secara bergilir-gilir.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan Active Road Noise Cancellation (ARNC), yang membolehkan ruang kabin menjadi lebih senyap.

    Model baharu ini juga didatangkan dengan sistem bantuan pemandu yang kini dilengkapi dengan kamera sekeliling 3D. Ia memberikan pandangan tiga-dimensi kepada pemandu untuk melihat sekeliling kenderaan termasuk pandangan perspektif 3D serta ClearSight Ground View.

    Penjana kuasa dari P250 R-Dynamic masih diteruskan tanpa ada perubahan. Unit Ingenium 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dikekalkan dengan hamburan kuasa 250 PS dan tork 365 Nm, dengan pacuan disalurkan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan sistem pacuan semua-roda.

    Walau bagaimana pun, peningkatan baharu juga melibatkan suspensi udara elektronik yang standard dengan versi P250 (P380 3.0L R-Dynamic turut dilengkapi dengan sistem ini). Selain itu, ketinggian pengendalian jentera ini dikurangkan sebanyak 10 mm bagi meningkatkan seretan aerodinamik apabila ia dipacu melebihi 105 km/j. Sistem ini membolehkan ketinggian kenderaan diubah sebanyak 50mm +/- mengikut keperluan pemandu, dengan larasan pemilihan dilakukan menerusi skrin sesentuh, key fob atau butang kawalan pada bahagian loadspace.

    Sama seperti model lain dalam barisan Land Rover, Velar juga didatangkan dengan program Land Rover Care, yang memperkenalkan waranti lima-tahun, servis percuma lima-tahun dan bantuan tepi jalan tiga-tahun.

     
     
  • LRT3 kini dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam

    LRT3 kini dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam

    Projek LRT3 kini telah diberikan nama baharu iaitu LRT Laluan Shah Alam. Ia merupakan laluan transit aliran ringan yang ketiga untuk Lembah Klang selepas LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling dan LRT Laluan Kelana Jaya. Nama baharu tersebut diumumkan oleh Rapid KL menerusi media sosial hari ini.

    Dijangka bakal memulakan operasi pada Februari 2024, LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini mempunyai 20 stesen yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Bandar Utama merupakan salah satu hentian bagi MRT Laluan Kajang, manakala salah satu stesen pertukarannya terletak di Glenmarie iaitu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.


    Klik untuk besarkan peta

    Ketika projek LRT3 diumumkan buat pertama kalinya pada 2016, ia direncanakan bakal mempunyai 26 stesen, namun perancangan tersebut dirombak semula pada tahun 2018 dengan membatalkan stesen di Persiaran Hishamuddin, Bandar Botanik, Bukit Raja, Raja Muda, Temasya dan Tropicana. Pembatalan stesen berkenaan disebabkan ia berdekatan dengan stesen yang turut tersenarai dalam perancangan awal.

    Pada Jun 2021, Rapid KL telah memaklumkan penerimaan set tren pertama untuk LRT Laluan Shah Alam. Set tren tiga gerabak ini kemudian dihantar ke fasiliti CCRC Rolling Stock (Malaysia) di Batu Gajah, Perak bagi kerja pemasangan bahagian dalaman tren. Difahamkan, LRT Laluan Shah Alam akan mempunyai 22 set tren tiga gerabak dibekalkan oleh CRRC Corporation Limited, China.

     
     
  • Proton Iriz Active 2022 – nampak lebih cantik kalau fender flare dengan warna badan, tanpa rel bumbung?

    Proton Iriz Active 2022 – nampak lebih cantik kalau fender flare dengan warna badan, tanpa rel bumbung?

    Proton baru sahaja melancarkan Iriz facelift 2022 pagi tadi di mana varian tertinggi Premium pada model sebelum ini digantikan dengan varian Active, iaitu model yang dipadankan dengan kit pengayaan luaran membuatkan ia kelihatan seperti SUV.

    Antara kit penggayaan yang membuatkan ia kelihatan seperti SUV berkenaan adalah pelindung plastik sekeliling badan yang merangkumi skid plate pada bampar hadapan dan belakang, fender flare pada setiap ruang roda, skirt sisi dan juga rel bumbung.

    Tapi jika anda perhatikan, kesemua fender flare yang dipadankan pada Iriz Active ini kelihatan seperti diikat dengan bol Allen. Ini bukan pertama kali Proton menggunakan rekaan fender flare sedemikian kerana sebelum ini gaya yang sama sudah diterapkan pada Proton Satria GTI serta Satria Neo CPS dan Neo R3.

    Jadi mungkin cantik kalau fender flare berkenaan disembur dengan warna badan bukan? Tak payah anda bersusah payah nak bayangkan dalam kepala macam mana rupanya, kerana pakar manipulasi automotif Theophilus Chin dengan pantas telah membuat render untuk bayangan berkenaan!

    Proton Iriz Active 2022 – nampak lebih cantik kalau fender flare dengan warna badan, tanpa rel bumbung?

    Theo mewarnakan kesemua fender flare berkenaan termasuk pada bahagian skirt sisi. Kemudian panel-panel pada skid plate dan skirt sisi yang sebelum ini berwarna perak diberikan warna hitam berkilat. Bagi membuang terus imej SUV pada Iriz Active ini dan memberikan lebih imej seperti hot-hatch, rel bumbung turut dibuang.

    Theo masih mengekalkan rekaan rim 16-inci asal Iriz Active, namun badan kereta ini direndahkan lagi manakala offset rim diubah bagi ia sekata dengan fender flare berkenaan dan tidak ‘terkelup’ ke dalam.

    Ok, sekarang mana lebih anda suka? Iriz dengan rupa seperti SUV, atau Iriz dengan aura seperti Satria GTI/Neo CPS? Yang dah beli Iriz Active nanti pun kalau nak ubah kereta anda tak banyak kerja dah ni, cuma main warna dengan main rim je kan?

    Proton Iriz Active dijual pada harga RM54,000. Ia masih dijana oleh enjin Campro VVT 1.6 liter berkuasa 109 PS/150 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT yang kini turut diberikan mod ‘S’.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

     
     
  • Jualan Honda Malaysia dari Mei hingga Julai merudum 52%, rantaian perniagaan kini sedang terjejas teruk

    Jualan Honda Malaysia dari Mei hingga Julai merudum 52%, rantaian perniagaan kini sedang terjejas teruk

    Industri automotif di Malaysia telah terjejas teruk kerana sekatan pergerakan penuh yang sedang dijalankan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Ini kerana industri berkenaan melibatkan pelbagai lapisan rantaian bekalan, dan dengan penutupan kilang, pengeluar-pengeluar kenderaan, pembekal komponen serta jaringan pengedar turut terpaksa tidak boleh beroperasi. Tiada kereta yang dihasilkan di kilang, maka bilik pameran juga tidak mempunyai kereta untuk dijual.

    Honda Malaysia mempunyai operasi yang besar di Malaysia, dengan kilang yang terletak di Pegoh, Melaka. Sejak sekatan pergerakan penuh dikenakan pada Jun lalu, kilang berkenaan turut terpaksa ditutup, bersama pejabat jualannya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor serta jaringan pengedar-pengedarnya di seluruh negara. Hanya berberapa pusat servis selepas jualan boleh dibuka dengan tenaga kerja minima serta semua pelanggan yang datang perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

    Disebabkan perkara ini, prestasi jualan Honda Malaysia telah terjejas teruk. Menurut pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia Madoka Chujo, jualan syarikatnya dari Mei hingga Julai telah jatuh 52% berbanding tempoh sama tahun lalu. Jualan Honda Malaysia mencatatkan hampir 12,000 unit pada tempoh berkenaan untuk tahun 2020 (ketika itu Malaysia masih di bawah tempoh PKPB dan PKPP) berbanding hanya sekitar 5,700 unit pada tahun ini.

    Jualan Honda Malaysia dari Mei hingga Julai merudum 52%, rantaian perniagaan kini sedang terjejas teruk

    Menurut Chujo lagi, masalah ini bukan sahaja menjejaskan jualan mereka, malah turut memberikan implikasi kepada perkara lain. “Penutupan perniagaan yang berpanjangan ini turut telah menjejaskan produksi model baharu Honda Malaysia kerana tiada ujian yang boleh dijalankan pada fasiliti pembuatan. Tambahan pula, rantaian pembekalan dan pengeksportan komponen syarikat juga terjejas,” jelasnya.

    “Industri automotif menyokong jaringan yang luas untuk komponen tempatan dan pembekal komponen yang terdiri dari berberapa peringkat. Pembekal-pembekal ini mungkin tidak boleh mengekalkan operasi mereka dan ini akan menjejaskan rantaian pembekalan secara keseluruhan. Sekatan pergerakan sedia ada yang dipanjangkan dan tiada bayangan bila perniagaan boleh disambung semula telah menjejaskan perancangan serta pelaburan keseluruhan jenama-jenama automotif,” tambahnya lagi.

    Seperti yang kami laporkan bulan lalu, pengedar serta kakitangan mereka adalah antara kumpulan yang terjejas teruk. 101 pengedar Honda di seluruh negara kini sedang berhadapan dengan masalah kewangan dan juga keadaan yang tidak menentu berkenaan pekerjaan untuk penasihat-penasihat jualan dan servis, menurut Honda Malaysia. Penasihat jualan yang bergantung kepada komisen sebagai mata pencarian kini sedang teruk terjejas.

    Jualan Honda Malaysia dari Mei hingga Julai merudum 52%, rantaian perniagaan kini sedang terjejas teruk

    “Honda Malaysia memahami kesusahan yang sedang diharungi oleh pengedar dan juga kakitangan Honda, dan oleh itu, syarikat sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mereka bagi mengharungi masa yang sukar ini. Salah satu usaha berkenaan adalah dengan mendaftar rakan-rakan sekerja Honda di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi mempercepatkan kadar vaksinasi negara,” kata Chujo.

    Honda Malaysia mensasarkan 100% dos pertama untuk semua kakitangannya menjelang pertengahan bulan ini. Syarikat berkenaan berharap sektor automotif boleh dibuka semula di bawah SOP dan garis panduan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan, yang boleh mengelakkan impak jangka masa panjang seperti pemberhentian pekerja dan juga potensi penutupan perniagaan jaringan rantaian bekalan mereka.

     
     
  • Proton Iriz, Persona 2022 dapat penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, diuji semula pada Disember 2020

    Proton Iriz, Persona 2022 dapat penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, diuji semula pada Disember 2020

    Dengan pelancaran dua model terbaru Proton untuk pasaran tempatan, Proton Iriz dan Persona 2022 hari ini, ada eloknya kita lihat semula pencapaian aspek keselamatan yang dicapai oleh kedua-dua model ini. Dalam ujian terakhir yang dijalankan mengikut protokol tahun 2020 ujian ASEAN NCAP yang mana keputusannya di umumkan penghujung Disember 2020 lalu, kedua-dua model ini menerima penarafan lima-bintang dengan cukup meyakinkan.

    Tiga kategori yang dinilai untuk protokol terbaru tersebut termasuklah Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP) dan Safety Assist Technologies (SAT). Berdasarkan ujian model terakhir kenderaan Proton untuk tujuan ini, iaitu SUV Proton X70 dan X50, yang telah juga menerima penarafan 5-bintang setiap satunya, keputusan sama bagi Persona dan Iriz 2021 terbaru sudah dijangka.

    Dengan perincian keputusan lengkap yang telah diumumkan, ini sedikit sebanyak memberi petunjuk bahawa dua model facelift ini menampilkan perubahan yang agak ketara, memandangkan kedua-duanya dihantar sekali lagi untuk ujian semula versi terbaru berkenaan. Kebanyakan pengeluar biasanya akan menggunakan saja keputusan ujian sebelumnya untuk mana-mana model facelift yang sama.

    Proton menghantar kedua-dua model terbaru ini untuk ujian semula, dengan protokol yang sama seperti dilakukan terhadap X70 dan X50 sebelum ini — ini bermakna, keputusan yang diraih oleh model facelift Iriz dan Persona ini menepati ujian dengan protokol tahun 2020 yang diguna pakai bagi penarafan keselamatan tersebut.

    Untuk mengetahui lanjut penambahbaikan dan peningkatan yang telah dilakukan terhadap Proton Iriz 2022 dan juga Proton Persona 2022 ini, ikuti laporan pelancaran yang telah kami sediakan.

     
     
  • New York International Auto Show (NYIAS) 2021 batal disebabkan penularan pantas varian Delta Covid-19

    New York International Auto Show (NYIAS) 2021 batal disebabkan penularan pantas varian Delta Covid-19

    Acara pertunjukan permotoran antarabangsa, New York International Auto Show (NYIAS) 2021 terpaksa dibatalkan ekoran penularan pantas varian Delta Covid-19 di Amerika Syarikat. Sepatutnya NYIAS 2021 dijadualkan berlangsung pada 20 Ogos ini di Jacob K Javits Convention Centre. Penganjuran pada tahun lalu juga terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik ini.

    Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak penganjur semalam, Mark Schienberg selaku presiden NYIAS berkata, penularan pantas varian Delta dan peningkatan kes telah menyebabkan acara berkenaan terpaksa ‘dilupakan’ untuk tahun kedua.

    “Sebagai pengendali NYIAS yang sudah memasuki tahun ke-121, kami berasa komited untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk semua orang termasuk para pengunjung, peserta pameran dan para pekerja. Beberapa minggu ini, terutamanya dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, penularan pantas varian Delta dan peningkatan kes Covid-19 membuatkan kami sukar untuk meneruskan acara pada standard yang tinggi seperti mana kami dan para pelanggan harapkan,” ujar Schienberg.

    Menurut beliau lagi, pandemik Covid-19 ini cukup memberikan cabaran yang besar bukan buat setakat warga New York, Amerika Syarikat bahkan seluruh penduduk seluruh dunia. Jadi, agak sukar untuk meneruskan penganjuran biarpun sebelum ini pihaknya sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi buat semua yang bakal terlibat dan berkunjung ke acara permotoran berprestij ini. Namun demikian, semuanya terpaksa dilupakan atas faktor keselamatan dan kesihatan semua pihak.

     
     
  • GoCar lancar GoCar Garage – penyelesaian lengkap untuk khidmat servis dan penyelenggaraan kenderaan

    GoCar lancar GoCar Garage – penyelesaian lengkap untuk khidmat servis dan penyelenggaraan kenderaan

    GoCar Malaysia telah memperkembangkan lagi kemampuan aplikasi pintar mereka dengan menambah GoCar Garage, iaitu satu pusat sehenti untuk penyelesaian servis serta penyelenggaraan kenderaan di dalam aplikasi tersebut. Platform digital ini dibuat untuk memberikan pengalaman servis selepas jualan yang lancar, sama seperti pengendali servis OEM.

    Menurut GoCar, GoCar Garage adalah satu penyelesaian yang lengkap, di mana ia membenarkan pelanggan memilih servis yang dimahukan, cara pembayaran serta tempat untuk mengambil dan menghantar kembali kenderaan, pada bila-bila masa dan dari mana-mana sahaja.

    Tambah syarikat itu lagi, demi memastikan tiada sebarang kejutan, struktur harga akan ditunjukkan secara jelas. Selain daripada itu, pengguna juga akan mendapat kelebihan lain seperti cucian serta pembasmian kuman kenderaan percuma, pemeriksaan 31 perkara percuma, penghantaran ke rumah melalui GoValet (radius 50 km daripada hab GoCar) percuma bagi bulan Ogos sempena pelancaran GoCar Garage, jaminan enam bulan untuk alat ganti yang ditukar serta penggunaan perkongsian kenderaan GoCar percuma selama dua jam pada hari temu janji.

    GoCar lancar GoCar Garage – penyelesaian lengkap untuk khidmat servis dan penyelenggaraan kenderaan

    GoCar Garage pada masa ini beroperasi di hab utama GoCar di Jalan Kemajuan, Petaling Jaya dan ia menyediakan servis untuk apa sahaja model kenderaan penumpang. Servis yang disediakan termasuk servis “pit stop” selama 45 minit, dengan harga bermula RM98. Penukaran minyak hitam akan mengambil masa 45 minit dan pelanggan boleh memilih minyak sintetik penuh, separuh sintetik atau mineral.

    Servis lain yang disediakan adalah seperti pemeriksaan dan penukaran bateri, penjajaran dan pengimbangan tayar percuma apabila membeli dua atau lebih tayar di GoCar Garage, penyelenggaraan dan servis pendingin hawa serta brek, sistem penyejukan enjin, diagnostik elektrikal dan baik pulih badan serta cat kenderaan.

    Untuk menggunakan servis ini, pelanggan perlu mempunyai aplikasi GoCar di dalam peranti mereka (tersedia untuk Android dan iOS melalui Google Play Store dan Apple App Store), dan perlu membayar yuran keahlian seumur hidup berharga RM20.

    GoCar lancar GoCar Garage – penyelesaian lengkap untuk khidmat servis dan penyelenggaraan kenderaan

    Pelanggan perlu memasukkan perincian identiti mereka serta kenderaan, dan kemudian boleh memilih servis yang dimahukan melalui pilihan menu. Aplikasi itu akan menunjukkan kos yang terlibat untuk servis yang dipilih, serta cadangan waktu temu janji. Selepas pelanggan mengesahkan semua proses, barulah GoCar akan melaksanakan kerja yang dipilih.

    Satu notis pemberitahuan akan dihantar kepada pelanggan sebaik sahaja servis kenderaan mereka siap, dan pembayaran boleh dibuat melalui aplikasi; invois yang boleh dimuat turun akan disediakan. Antara cara pembayaran yang disediakan adalah kad kredit atau debit, bayaran atas talian atau mata GoPocket. Pelanggan kemudiannya boleh mengambil kenderaan mereka di hab GoCar atau aturkan penghantaran ke lokasi yang dimahukan melalui GoValet.

    Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan GoCar Garage, anda boleh memuat turun aplikasi GoCar atau layari laman web GoCar di sini. Selain itu, anda juga boleh menghubungi 1-300-30-2633 atau menghantar emel ke [email protected] untuk membuat temu janji.

     
     
  • WMoto Xtreme 250 akan dilancarkan tahun hadapan

    WMoto Xtreme 250 akan dilancarkan tahun hadapan

    Selepas melihat konsep skuter adventure menerima sambutan baik melalui pelancaran model Xtreme 150 (RM9,588), Wmoto mempunyai perancangan untuk memperkenalkan pula versi 250 cc iaitu Xtreme 250 pada tahun hadapan.

    Model itu malah sudah sampai di Malaysia, tetapi sedang melalui ujian atas jalan dan kelulusan jenis kenderaan (VTA) oleh JPJ sebelum boleh dilancarkan dan dijual di pasaran. Gaya dan konsep yang dibawa oleh Xtreme 250 adalah sama seperti Xtreme 150, tetapi menggunakan enjin yang lebih besar.

    Selain daripada itu, WMoto memberitahu, Xtreme 250 ini akan mempunyai senarai spesifikasi yang lebih tinggi dan kita mungkin boleh menjangka fungsi seperti sambungan kepada telefon pintar ataupun kawalan cengkaman yang boleh ditutup.

    Melihat kepada gambar yang didedahkan oleh WMoto, Xtreme 250 mempunyai penghadang angin yang bpleh dilaras secara manual, brek cakera depan dan belakang dengan fungsi ABS, dua penyerap hentak di belakang serta kedudukan menunggang yang tegak. Harga setakat ini masih belum diberitahu.

     
     
  • Proton Persona 2022 facelift dilancarkan — tiga varian, pelbagai penambahan kelengkapan, harga dari RM45k

    Proton Persona 2022 facelift dilancarkan — tiga varian, pelbagai penambahan kelengkapan, harga dari RM45k

    Ini dua model yang sudah agak lama kita tahu kewujudanya, iaitu sejak bulan Disember 2020 berita tentang spyshot dan sesi ujian jalan raya mula terdedah. Akhirnya diperkenalkan secara rasmi hari ini dalam satu acara maya untuk umum. Yang dimaksudkan tentulah Proton Iriz dan Proton Persona facelift versi tahun 2021 ini. Lebih banyak mencuri tumpuan tentulah versi hatchback model segmen B Proton ini, itu Iriz, yang turut diperkenalkan dalam penawaran dan penampilan lebih sporty, Iriz Active.

    Namun, jangan dilupa kepada saudara sedannya yang lebih praktikal dari aspek ruangan, Persona 2022. Bagi model ini, terdapat tiga varian ditawarkan, terdiri daripada Persona 1.6L Standard (RM45,200), Persona Executive (RM50,100) dan juga Persona Premium (RM54,900). Semua ini merupakan harga atas jalan dengan pengecualian SST, tidak termasuk insurans. Sekadar makluman, majlis pengenalan ini dilakukan secara maya oleh kerana Lembah Klang masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara dan kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

    Dari aspek luaran, ada beberapa perubahan yang dapat dilihat pada Persona 2022 ini. Pertama sekali wajah depannya. Ia kini menggunakan rekaan gril yang direka semula, dan lengkapi dengan logo baru Proton. Begitu juga, penggunaan lampu lampu LED untuk lampu utama. Di Bahagian belakang pula, perumah lampunya kelihatan sedikit gelap, memberikan imej yang lebih menarik bagi sedan ini. Rekaan rim 16-inci baru juga menyuntik naluri sporty bagi Persona varian Executive ke atas, dengan tayar bersaiz 185/55.

    Proton Persona 2022 facelift dilancarkan — tiga varian, pelbagai penambahan kelengkapan, harga dari RM45k

    Perubahan paling ketara dan menarik adalah di dalam ruang kabin. Pada bahagian papan pemukanya, dapat dilihat sebuah paparan skrin infotainmen terapung dengan saiz yang jelas menghiasi kawasan berkenaan. Selain tampil dengan rekaan antaramuka tersendiri, sama seperti Iriz 2022, ia juga kini dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi Proton” — yang kini bukan sahaja boleh mengawal operasi tingkap, malahan untuk mengendalikan sistem pendingin hawa sekaligus. Ini satu peningkatan ciri yang sangat menarik untuk model dalam segmen B ketika ini.

    Bagi varian Executive, ia dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik. Dan, tidak lupa juga, perehat lengan kini turut disediakan. Naik satu varian kepada Premium pula, semua bahagian ini diberikan balutan kulit warna coklat cerah untuk menyuntik imej yang lebih “mahal” pada Persona.

    Sistem keterhubungan pula menampilkan peningkatan yang agak menarik pada Persona terbaru ini. Selain “Hi Proton” yang boleh mengendalikan tingkap sebelah pemandu, sistem pendingin hawa, sistem tunjuk arah, penstriman muzik dalam talian dan banyak lagi, ia juga menyediakan sambungan 4G dan WiFi dalam kenderaan, sama seperti model lain Proton yang pernah kita lihat sebelum ini, seperti SUV X50 dan X70 — cuma ia kini diperturunkan juga kepada model yang lebih mampu milik seperti Persona.

    Kemudahan atau penawaran keselesaan lain yang turut disediakan ialah seperti ciri penapis kabin N95, sistem kunci pintar, butang Push Start, suis Eco Mode, bukaan but kereta dari jauh dan juga cermin sisi elektirk lipatan automatik. Dalam bahasa mudah, Persona kini dihasilkan untuk menjadi sebuah sedan yang bukan sahaja praktikal tetapi lebih banyak ciri yang memudahkan penggunaan.

    Tidak lupa, kini ada enam slot USB untuk kegunaan penumpang; tiga di depan, dua di belakang dan satu di cermin pandang belakang (untuk kegunaan dash cam). Dari aspek keselamatan pula, berdasarkan protokol ujian tahun 2020, Persona telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP seperti yang diumumkan sebelum ini. Untuk itu, ia juga dilengkapi enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik dan kawalan cengkaman serta Hill Hold Assist.

    Bagi sistem janaan, ia kekal sama menggunakan enjin 1.6 liter VVT empat-silinder, dengan janaan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Begitu juga dengan Punch CVT. Untuk transmisi, Proton mendakwa telah melakukan penambahbaikan dalaman dan karekter pemanduan bagi unit berkenaan, walaupun tiada perincian lanjut didedahkan setakat ini.

    Gambar rasmi — Proton Persona 1.6L Premium 2022

    Proton Persona 2022 Premium — ehsan Proton Regal Motors PJ

    Proton Persona 2022 Executive — ehsan Proton Regal Motors PJ

    Tambahan

     
     
  • Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Selepas pelbagai gambar intipan dan juga teaser rasmi disiarkan, akhirnya Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan secara rasmi hari ini. Kemaskini terbaharu ini bukan sahaja menampilkan perubahan besar yang ditampilkan pada bahagian luaran untuk kali kedua, malah ia turut diberikan penambahbaikkan teknologi serta barisan varian yang disemak semula.

    Untuk model facelift 2022, Iriz ditawarkan hanya dalam tiga varian iaitu 1.3 Standard, 1.6 Executive dan juga 1.6 Active. Jadi bukan sahaja model 1.3 Standard tidak lagi ditawarkan dalam kotak gear manual, malah model Premium kini digantikan dengan varian Active baharu yang menampilkan rupa yang menjadikan hatchback segmen-B ini seakan sebuah SUV.

    Model 1.3 Standard dijual pada harga bermula RM40,300, diikuti 1.6 Executive dijual pada harga RM47,800, manakala model tertinggi 1.6 Active pula dijual pada harga RM54,000. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember nanti. Iriz kekal diberikan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km.

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Seperti yang diketahui, Iriz facelift 2022 ini dilancarkan sekali dengan kembar sedannya iaitu Persona. Untuk kali ini, Iriz dan Persona berkongsi lampu, gril dan bampar yang sama, cuma dibezakan dengan berberapa perincian kecil. Kluster lampu masih nampak sama seperti sebelum ini, namun gril infinite weave telah direka semula yang kelihatan hampir sama seperti gril pada Proton X50, lengkap dengan jalur serlahan merah di bawah dan juga logo baru Proton berbentuk bulat di tengah.

    Iriz juga kini nampak lebih garang kerana jalur krom pada bahagian atas lampu dan gril kini diganti dengan jalur dalam kemasan hitam berkilat (Persona masih lagi dalam kemasan krom). Bampar model kemaskini ini turut menerima perubahan ketara di mana bahagian perumah lampu nyalaan siang LED direka lebih ‘berotot’, bersama bahagian bawah yang direka seakan spoiler.

    Tiada perubahan dapat dilihat pada bahagian sisi kecuali rim dengan rekaan baharu, begitu juga di belakang dimana kemasan hitam pada pintu tailgate dan juga rekaan bampar masih kekal, cuma diberikan satu serlahan jalur merah pada kemasan bawah bampar.

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Bagi model 1.3 Standard, ia kini menerima rim aloi 15-inci yang nampak sama seperti unit pada Persona sebelum ini. Manakala model 1.6 Executive pula kini diberikan rim lebih besar dengan saiz 16-inci rekaan jejari-Y baharu dalam kemasan perak bersama tayar 185/55R16.

    Manakala untuk Iriz Active, ia adalah versi produksi sebenar model konsep yang didedahkan Proton pada tahun 2014. Model ini diberikan pelbagai kemasan tambahan pada bahagian luaran bagi memberikan rupa lebih lasak seakan sebuah SUV, atau lebih spesifik sebagai ‘Baby X50’.

    Oleh itu, model Active ini diberikan pelindung plastik bawah sisi badan pada pintu dan juga fender flare pada setiap ruang roda yang kelihatan seperti dilekatkan dengan bol Allen, seakan Satria GTI dan juga Satria Neo CPS. Pelindung-pelindung berkenaan diberikan disekeliling badan, dilengkapkan menerusi skid plate kemasan perak pada bampar hadapan dan belakang serta pada skirt sisi.

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Kabin Iriz facelift 2022 untuk varian Active

    Gril bawah bampar pada Iriz Active ini juga berbeza, tampil dengan elemen sarang lebah, dan ia satu-satunya varian Iriz yang menerima lampu hadapan jenis LED. Rupa sebuah SUV pada model ini dilengkapkan dengan rel bumbung berwarna perak yang nampak menyerlah pada bumbung berwarna hitam.

    Bagi memberikan lebih unsur ‘Baby X50’, Iriz turut ditawarkan dengan warna badan yang sama seperti abangnya iaitu Passion Red dan Citric Orange. Model 1.6 Executive juga ditawarkan dengan dua warna istimewa tersebut termasuk lima warna lain iaitu Ocean Blue, Armour Silver, Snow White, Ruby Red dan Jet Grey (dua warna terakhir tidak ditawarkan untuk Active. Manakala model Standard pula tidak diberikan pilihan warna Passion Red dan Citric Orange.

    Iriz juga menerima perubahan ketara pada bahagian dalaman, terutamanya pada bahagian tengah papan pemuka dan juga konsol terowong. Bagi membolehkan ia menerima skrin infotainmen lebih besar, skrin tersebut tidak lagi ‘ditanam’ dalam papan pemuka, sebaliknya diberikan rekaan berdiri sendiri dengan liang pendingin hawa yang direka melintang di bawahnya bersama suis lampu hazard dan pengunci pintu pusat disusun di tengah.

    Kabin Iriz facelift 2022 untuk varian Execuitve (kiri) dan Standard (kanan)

    Suis kawalan pendingin hawa juga nampak jauh lebih moden dengan rekaan seakan sama dengan X50, menampilkan dua suis putar untuk mengawal suhu dan kelajuan blower, paparan digital tersendiri di tengah, serta suis-suis kawalan lain yang diletakkan seakan kekunci piano. Namun sistem pendingin hawa ini sebenarnya masih manual dan bukan automatik.

    Konsol terowong juga menerima rombakan besar dengan suis penderia parkir dan kawalan kestabilan elektronik yang dialih ke bahagian hadapan tuil penukar gear bersama suis mod Eco baharu, ruang storan dan pemegang cawan yang di atur semula serta ditambah dengan perehat tangan yang dibalut dengan material sentuhan lembut.

    Dengan adanya perehat tangan berkenaan, dua port USB pada bahagian berkenaan telah dialihkan kebelakang dan ia secara tidak langsung memudahkan penumpang belakang untuk menggunakannya. Secara keseluruhan kabin Iriz facelift ini menerima sejumlah enam port USB yang terdiri satu port untuk data, dan lima selebihnya untuk mengecaj.

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Berbalik kepada sistem infotainmen, model Executive dan Active menerima skrin lebih besar bersaiz lapan inci. Walaupun skrin untuk kedua-dua varian ini nampak sama, tetapi sebenarnya masing-masing menerima sistem yang berlainan.

    Untuk model Executive, ia hanya beroperasi dengan sistem infotainmen biasa. Manakala untuk varian Active, ia menerima sistem Geely Key User Interface (GKUI) dengan eSIM yang hampir sama dengan sistem pada Proton X50 dan X70. Jadi ia bukan sahaja mampu untuk mengoperasikan sistem navigasi atas talian, streaming muzik Jook dan hubungan WiFi.

    Sistem arahan suara “Hi Proton” pada Iriz Active ini juga telah dipertingkat berbanding Iriz Premium terdahulu di mana ia bukan hanya terhad kepada fungsi pada skrin infotainmen sahaja, ia juga kini boleh mengawal tingkap berkuasa dan juga pendingin hawa. Malah satu antaramuka khas yang membolehkan anda mengawal pendingin hawa juga disediakan pada skrin berkenaan.

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Selain itu Iriz juga menerima roda stereng dengan rekaan beg udara berbeza yang diberikan logo baharu Proton. Ia kekal diberikan kemasan tiang dan pelapik bumbung berwarna hitam dan juga kemasan-kemasan piano black pada varian Standard dan Executive.

    Manakala untuk varian Active, ia menerima upholsteri tempat duduk gabungan fabrik dengan corak seperti papan litar dan juga kulit serta serlahan jahitan benang merah, tulisan ‘Active’ yang disulam pada tempat duduk dan panel dalaman pintu, karpet kaki istimewa Active, tali pinggang keledar berwarna merah, set pedal aloi, dan juga serlahan-serlahan merah pada sekeliling liang pendingin hawa, konsol terowong, gegelang paparan meter, benang jahitan serta suis kawalan pada roda stereng.

    Kesemua varian Iriz kini menerima kelengkapan asas seperti hubungan Bluetooth pada radio dan kawalan penghawa dingin digital dan juga tombol gear gaya X70 balutan kulit. Model Standard hanya diberikan dua pembesar suara, tempat duduk balutan fabrik, dan oleh kerana tiada lagi model 1.3 Executive, penderia parkir hadapan yang boleh ditemui pada Iriz dengan enjin 1.6 liter.

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Model 1.6 Executive pula menerima penambahan ciri seperti lampu nyalaan siang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, paparan pelbagai info berwarna pada papan meter, lampu hadapan automatik, tempat duduk balutan leatherette, empat pembesar suara dan kamera undur. Manakala varian Active menerima suis kawalan telefon dan radio pada roda stereng.

    Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana Iriz Standard masih dijana enjin 1.3 liter VVT berkuasa 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm, manakala model Executive dan Active pula dijana enjin 1.6 liter VVT berkuasa 109 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Seperti yang diberitahu tadi, tiada lagi pilihan kotak gear manual lima-kelajuan walaupun pada model 1.3 Standard. Kesemua model Iriz kini hanya menerima kotak gear CVT Punch, dan tiada penukaran kepada kotak gear 4AT yang sama dengan Saga seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini.

    Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

    Walau bagaimanapun, Proton ada membuat rombakan semula pada perisian sistem rangkaian kuasa pada Iriz facelift ini bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Iriz kini menerima butang mod pemanduan Eco, berbanding hanya lampu penunjuk Eco pada model sebelum ini.

    Jadi anda tidak lagi perlu mengawal kaki kanan anda untuk berada dalam pemanduan efisien kerana dengan butang berkenaan, ia akan memberikan talaan enjin dan transmisi yang lebih ‘malas’ bagi memberikan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

    Manakala untuk transmisi, jika anda perhatikan tiada lagi posisi ‘L’ pada penunjuk penukar gear sebaliknya digantikan dengan dengan posisi ‘S’ – Proton masih belum memperincikan berkenaan mod baharu berkenaan, namun perkara ini akan kami laporkan selepas berpeluang untuk bercakap dengan pasukan R&D Proton sedikit masa lagi.

    Bagi keselamatan pula, kesemua varian menerima kawalan kestabilan elektronik, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix dibelakang, serta menerima bantuan mula mendaki. Model Standard masih kekal dengan dua beg udara, namun model Executive kini sudah pun menerima enam beg udara. Proton Iriz 2022 juga menerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP terbaru yang dilakukan pada Disember 2020.

    Jadi bagaimana dengan Iriz facelift 2022 ini? Ada yang tergoda dengan Iriz Active?

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022 di Regal Auto PJ

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022 di Regal Auto PJ

     
     
  • Lexus RX Black Line 2022 dilancarkan di US, 2,500 unit

    Lexus RX Black Line 2022 dilancarkan di US, 2,500 unit

    Lexus RX merupakan model yang ditampilkan dengan pilihan siri Black Line untuk pasaran Amerika Syarikat (US). Pada Ogos 2020, Lexus telah memperkenalkan Black Line edisi terhad bagi model RX 350 dan RX 450h F Sport, dan disebabkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan, selepas itu model RX L Black Line pula diperkenalkan.

    Dan kini tibalah pula giliran Lexus RX Black Line 2022 doperkenalkan, dengan penawaran hanya 2,500 unit sahaja untuk pasaran negara berkenaan. – 2,100 unit bagi RX 350 dan 400 unit untuk RX 450h hybrid. Seperti RX L Black Line, kedua-dua model berkenaan dilengkapi dengan Pakej Premium. Harga yang ditawarkan untuk RX 350 Black Line bermula US$49,450 (RM207k), manakala RX 450h Black Line pula berharga US$52,150 (RM219k).

    Ciri baharu yang ditampilkan termasuklah pilihan warna luaran Eminent White Pearl dan Caviar, roda hitam 20-inci, gril besar, perumah cermin sisi dan kemasan bampar bawah dengan rona hitam, serta plat nama hitam eksklusif yang ditempatkan di bahagian kanan bawah tailgate.


    Lexus RX 450h Black Line

    Di dalamnya, RX Black Line menerima tempat duduk upholstery hitam dengan jahitan kelabu cerah, kemasan kayuan hitam dan juga jahitan kelabu cerah pada bahagian konsol, shift boot, roda stereng dan bahagian atas panel instrumen.

    Setiap model juga diberikan alas lantai, alas kargo dan sarung kunci hitam. Dengan Pakej Premium, ia juga diberikan Lexus Memory System untuk tempat duduk pemandu, cermin sisi dan roda stereng.

     
     
  • Lesen memandu, cukai jalan perlu diperbaharui sebelum 30 Sep – JPJ, PDRM pantau mulai 1 Okt

    Lesen memandu, cukai jalan perlu diperbaharui sebelum 30 Sep – JPJ, PDRM pantau mulai 1 Okt

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV) yang telah tamat tempoh, sebelum 30 September 2021. Ini memandangkan tempoh lanjutan pembaharuan bagi LKM dan LMM tidak akan disambung selepas tarikh tersebut.

    Malahan JPJ turut memaklumkan pihaknya dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan mulai 1 Oktober 2021.

    “Pemilik kenderaan yang LKM telah tamat tempoh hendaklah memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans (e-cover note) sekiranya diminta pihak berkuasa, jika ingin memandu sebelum berkesempatan untuk memperbaharuinya.

    Lesen memandu, cukai jalan perlu diperbaharui sebelum 30 Sep – JPJ, PDRM pantau mulai 1 Okt

    “Orang ramai disarankan agar membuat urusniaga secara dalam talian iaitu melalui portal mySIKAP awam mahupun rakan strategik JPJ iaitu myEG. Sebarang urusniaga yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian, orang ramai boleh melakukannya di kaunter JPJ secara temujanji,” ujar kenyataan terbabit. Untuk membuat temujanji di mana-mana kaunter JPJ, anda boleh melayari laman web rasmi JPJ untuk mendapatkan pautan terus cawangan berkenaan.

    JPJ turut berkata, demi menjamin kelancaran dan keselamatan orang ramai pada waktu pandemik covid-19 ini juga, pengoperasian semula urusniaga JPJ di semua cawangan POS Malaysia akan bermula pada 9 Ogos ini.

    “Pihak kami juga akan memastikan bekalan/stok dokumen keselamatan LKM dan LMM adalah mencukupi bagi tujuan urusniaga pembaharuan LKM dan LMM oleh orang ramai,” sambung JPJ lagi.

    Walau bagaimanapun, orang ramai adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi semua SOP Covid-19 yang ketat bagi tujuan mengelakkan daripada berlakunya penularan virus ini.

     
     
  • Harga minyak 5-11 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 5-11 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 5 hingga 11 Ogos 2021, semua harga bahan api di negara ini dikekalkan. Kementerian Kewangan memaklumkan, petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga RM2.74 seliter.

    Manakala untuk tempoh minggu yang sama, tiada perubahan harga siling untuk petrol RON 95 yang turut dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 11 Ogos 2021.

     
     
  • Land Cruiser 300 dapat aksesori pilihan Modellista

    Land Cruiser 300 dapat aksesori pilihan Modellista

    Toyota Land Cruiser 300 baru, yang didedahkan kepada dunia Jun lalu kini sudah pun memasuki pasaran Jepun. Walaupun datang dengan varian GR Sport, pelanggan kini diberikan satu lagi pilihan barisan aksesori iaitu daripada Modellista.

    Seperti yang boleh dilihat, penampilan SUV ini dijadikan lebih menarik dengan tambahan spoiler hadapan yang mempunyai beberapa bukaan udara serta kemasan krom di hujungnya, hiasan pada fender dengan jalur hitam, serta skirting tambahan pada bampar belakang yang mempunyai kemasan seakan diffuser.

    Land Cruiser 300 dapat aksesori pilihan Modellista

    Beberapa bahagian di belakang turut dipasang dengan kemasan krom termasuklah keliling bukaan udara pada skirting, serta muncung ekzos. Pelanggan juga diberikan pilihan untuk menambah barangan lain seperti spoiler, plet krom di bahagian atas bampar serta rim 21 inci.

    Modellista juga menyediakan aksesori bahagian dalam, yang termasuk lampu kaki bahagian penumpang, panel besi hiasan pada tepi pintu, lampu but serta lapisan pelekat cermin untuk menapis cahaya inframerah. Kebanyakan aksesori ini sebenarnya lebih tertumpu kepada pengguna di Jepun, namun di negara luar juga masih ada penggemar Modellista.

    Disebabkan itu, buat pertama kalinya, Modellista telah mengeluarkan barisan aksesori khas untuk pasaran global, terutamanya pelanggan di Timur Tengah dan Rusia yang merupakan pasaran terbesar bagi Land Cruiser. Penampilan yang dihasilkan oleh aksesori ini adalah berlainan dan ia juga tidak mempunyai banyak kemasan krom.

    Bagi versi global ini, tiada spoiler, hiasan fender dan lampu tambahan untuk bahagian dalam, tetapi ia masih nampak lebih sporty. Rekaan rim juga berlainan, dengan unit untuk pasaran global ini mempunyai rekaan enam cabang lurus dan datang dalam pilihan dua warna, sama ada hitam atau perak.

    GALERI: Toyota Land Cruiser 300 Series Modellista pasaran Jepun

    GALERI: Toyota Land Cruiser 300 Series Modellista pasaran global

     
     
  • Porsche Centre Johor Bahru bakal jadi Classic Partner Centre pertama di M’sia; dilancarkan hujung 2021

    Porsche Centre Johor Bahru bakal jadi Classic Partner Centre pertama di M’sia; dilancarkan hujung 2021

    Dalam kenyataan media yang mengumumkan kehadiran Porsche 911 Targa 4S heritage Design Edition di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) turut mendedahkan kita bakal mempunyai Porsche Classic Partner Centre yang pertamadi negara ini. Ia terletak di JB, dan bakal dibuka pada penghujung tahun ini.

    “Porsche Centre Johor Bahru bakal menjadi Classic Partner Centre yang pertama di Malaysia dan dijadualkan akan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Ia akan mempertingkatkan pengalaman pada pelanggan di mana Porschephiles yang kini boleh diperbaharui dan mengekalkan Porsche klasik mereka di fasiliti baharu ini,” ujar Christopher Hunter, CEO SDAP.

    Porsche Classic Partner Centre merupakan pengedaran Porsche yang memberikan khidmat tambahan bagi sokongan dan latihan, untuk model Porsche klasik dan vintaj. Ia turut menyediakan katalog 52,000 alat ganti tulen untuk model lama (ditambah dengan barangan baru yang dibangunkan), pusat ini mampu melaksanakan perkhidmatan pembaikan, penyelenggaraan dan juga overhaul.

    Sebelum ini, Porsche Asia Pacific sudah memiliki pusat klasik sebegini di Hong Kong dan Bangkok. Jadi pusat di JB ini juga boleh dikunjungi oleh pelanggan Porsche dari negara jiran, Singapura.

     
     
  • Toyota Land Cruiser 70 Series edisi ulang tahun ke-70 dikeluarkan di Australia, 600 unit sahaja, V8 4.5 liter

    Toyota Land Cruiser 70 Series edisi ulang tahun ke-70 dikeluarkan di Australia, 600 unit sahaja, V8 4.5 liter

    Toyota Land Cruiser kini sudah berusia 70 tahun. Bagi menyambut pencapaian ini, Toyota telah mengeluarkan model edisi khas Land Cruiser 70 di pasaran Australia, di mana semuanya ada 600 unit, dan dibahagikan antara tiga bentuk badan iaitu 320 double cab, 200 single cab dan 80 wagon. Model ini menyertai Land Cruiser Prado edisi ulang tahun yang dikeluarkan di Jepun Jun lalu.

    Bagi Land Cruiser 70 edisi ulang tahun ini, ia menggunakan asas varian GXL, iaitu varian paling tinggi dalam pasaran itu, dan dipasang dengan gril khas warna hitam bersama tulisan Toyota di tengah, serta bampar dan kemasan plastik keliling roda berwarna hitam.

    Turut dijadikan gelap adalah rim serta bahagian dalam lampu hadapan, dan ia kemudiannya ditambah dengan lampu kabus serta DRL LED. Melengkapkan kemasan luar model istimewa ini adalah lencana klasik Land Cruiser di bahagian fender, serta lencana ’70th Anniversary’ di belakang.

    Toyota Land Cruiser 70 Series edisi ulang tahun ke-70 dikeluarkan di Australia, 600 unit sahaja, V8 4.5 liter

    Untuk bahagian dalam, model keluaran khas ini dipasang dengan barangan yang tiada pada model Land Cruiser 70 sebelum ini, termasuk tempat duduk yang dibalut kulit hitam, dan gabungan kemasan ala kayu dan plastik hitam pada roda stereng, papan pemuka, tombol gear serta panel pintu.

    Land Cruiser 70 edisi ulang tahun ke-70 ini digerakkan oleh enjin V8 4.5 liter diesel turbo bersama gabungan transmisi manual lima kelajuan, mampu menghasilkan 202 hp dan 450 Nm tork. Kelengkapan lain adalah seperti pilihan gear rendah, differential depan dan belakang yang boleh dikunci, kapasiti menunda 3,500 kg, salur udara yang ditinggikan serta tangki bahan api 130 liter.

    Model ini akan tiba di wakil pengedar Toyota di Australia pada bulan September dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu French Vanilla, Merlot Red dan Sandy Taupe, dengan harga AUD$80,050 (RM250,589) untuk versi single cab, AUD$82,600 (RM258,554) untuk double cab dan AUD$78,500 (RM245,720) untuk wagon.