Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Aprilia Tuareg 660 didedah – enjin 660 cc, 80 hp, 70 Nm

    Aprilia Tuareg 660 didedah – enjin 660 cc, 80 hp, 70 Nm

    Selepas memperkenalkan dua model baru dalam kategori pertengahan, iaitu sportsbike RS660 dan naked Tuono 660, Aprilia kini menunjukkan pula Tuareg 660, yang merupakan sebuah motosikal adventure. Semua tiga model ini menggunakan enjin sama iaitu unit dua silinder selari 660 cc.

    Sementara pada RS660 dan Tuono 660 enjin ini mampu menghasilkan masing-masing 100 hp dan 95 hp, pada Tuareg pula, kuasanya direndahkan lagi menjadi 80 hp. Walaubagaimanapun, ia ditala untuk memberikan lebih tork pada tahap rpm rendah dan pertengahan, dengan jumlah maksimum sebanyak 70 Nm (RS660 dan Tuono 660 cuma menghasilkan 67 Nm tork).

    Dalam perincian awal yang didedahkan untuk Tuareg 660 ini, Aprilia turut memberitahu ia cuma akan mempunyai berat 187 kg, serta tinggi tempat duduk bawah 860 mm supaya mudah dinikmati oleh lebih ramai penunggang. Tangki bahan api pula berkapasiti 18 liter.

    Informasi penting motosikal boleh dilihat melalui skrin TFT-LCD 5.0 inci di hadapan penunggang, dan ia juga dilengkapi dengan sistem seperti elektronik seperti kawalan cengkaman, cruise control serta empat mod tunggangan – dua daripadanya boleh diubah suai untuk offroad.

    Rim kelihatan seperti gabungan unit 17 inci di belakang dan 19 inci di hadapan, dan ia disambung kepada casis dengan suspensi yang mampu memberikan jarak gerak 240 mm. Bahagian hadapan mendapat tetapan brek cakera berkembar dengan angkup Brembo sementara belakang pula dipasang angkup satu piston. ABS datang secara standard dan ia boleh ditutup bagi memudahkan tunggangan di kawasan offroad.

     
     
  • Toyota umum hasilkan semula alat ganti untuk Land Cruiser BJ40 di bawah program GR Heritage Parts

    Toyota umum hasilkan semula alat ganti untuk Land Cruiser BJ40 di bawah program GR Heritage Parts

    Jika atas tar ada Toyota AE86, untuk laluan lasak dalam hutan, Toyota ada Land Cruiser BJ40/FJ40. Anda mungkin nampak Land Cruiser siri-40 ini sebagai jentera off-road lama, tapi dalam hutan, ia mungkin akan memalukan model-model yang lebih moden dengan sudut approach dan departure yang sangat baik untuk melalui laluan-laluan sukar.

    Oleh itu, BJ40/FJ40 ini buat masa sekarang bukanlah jentera off-road yang boleh anda beli dengan murah. Ia bukan sahaja diburu oleh peminat overland, malah ia mula menjadi buruan pengumpul kenderaan. Jangan terperanjat jika anda dengar ada yang membeli Land Cruiser lama ini dalam keadaan kena tarik keluar dari semak dengan harga RM20k.

    Hari ini sempena ulangtahun ke-70, Toyota Gazoo Racing mengumumkan bahawa Land Cruiser siri-40 ini akan dimasukkan ke dalam program GR Heritage Parts. Ini bermaksud mereka akan menghasilkan semula komponen-komponen alat ganti untuk Land Cruiser keluaran 1960 hingga 1984 ini bagi memudahkan pemilik-pemilik sedia ada melakukan restorasi, sama seperti model-model lain di bawah program sama iaitu Toyota 2000GT serta Supra A70 dan A80.

    Menurut Toyota, program isitimewa bagi menghasilkan semula komponen-komponen alat ganti terpilih dengan kerjasama pembekalnya itu adalah untuk “memberi sokongan kepada pelanggan yang mahu terus memandu kenderaan lama yang penuh dengan kenangan serta sangat mereka gemari” berkenaan.

    Toyota turut menyatakan bahawa Land Cruiser lama ini “terus secara aktif menyokong kehidupan, keperluan harian, dan lebih memenuhi gaya hidup”, namun akhir-akhir ini ia mula kekurangan alat ganti dan pemilik mula gusar Land Cruiser mereka tidak boleh lagi dipandu pada masa hadapan.

    Jadi, Toyota bakal menghasilkan semula alat-alat ganti yang menerima permintaan paling tinggi. Mereka telah menjalankan tinjauan awal bersama pengedar eksklusif Land Cruiser serta wakil-wakil kelab peminat di seluruh dunia, dan sekarang sedang bersedia untuk menghasilkan semula serta menjual komponen-komponen gantian yang berkaitan dengan fungsi penting ketika memandu, mengambil pusingan dan juga membrek.

    Komponen-komponen berkenaan akan dibekalkan sebagai “heritage parts” dan ia termasuk komponen untuk enjin, rangkaian pacuan dan sistem ekzos, serta disasarkan akan dilancarkan pada awal 2022.

    Toyota Gazoo Racing kini sedang menyediakan soaljawab yang akan disiarkan di laman sesawang mereka di mana pemilik-pemilik Land Cruiser siri-40 ini boleh menyatakan komponen-komponen kritikal mana yang perlu dihasilkan semula. Hasil respon soaljawab berkenaan akan digunakan untuk pemilihan seterusnya komponen-komponen gantian yang akan diproduksi semula selepas ini.

     
     
  • Puspakom umum operasi cawangan Cheras dan Taman Daya di Johor ditutup sementara waktu

    Puspakom umum operasi cawangan Cheras dan Taman Daya di Johor ditutup sementara waktu

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan sementara operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Taman Daya, Johor mulai 1 Ogos lalu. Manakala penutupan sementara Puspakom Cheras, Kuala Lumpur pula ditutup mulai hari ini. Penutupan terbabit adalah bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi.

    Menurut Puspakom, pembukaan kedua-dua cawangan terbabit akan dimaklumkan kelak. “Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik.Temujanji pemeriksaan boleh dilakukan semula apabila cawangan-cawangan tersebut beroperasi kembali seperti biasa.

    Pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan,” ujar Puspakom.

    Pada 30 Julai lalu, Puspakom turut mengumumkan penutupan sementara cawangan Glenmarie dan Johor Bahru bagi tujuan yang sama. Sehingga kini, belum dimaklumkan bilakah cawangan itu akan kembali beroperasi.

     
     
  • Tan Chong Motor anjur Program Vaksinasi COVID-19 TC untuk para pekerja; 70% telah divaksin setakat ini

    Tan Chong Motor anjur Program Vaksinasi COVID-19 TC untuk para pekerja; 70% telah divaksin setakat ini

    Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH/Kumpulan Tan Chong) telah melancarkan Program Vaksinasi COVID-19 TC pertamanya untuk para pekerjanya di seluruh negara baru-baru ini. Ia adalah di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), iaitu program vaksinasi yang dilancarkan oleh MITI untuk pekerja-pekerja di sektor pembuatan.

    Menurut TCMH, setakat ini, 70% daripada pekerja-pekerja Tan Chong di seluruh negara telah divaksinkan (sama ada dos 1 atau dos 2) dan juga mengesahkan slot janji temu. Oleh itu, Program Vaksinasi COVID-19 TC akan memastikan semua pekerja dan ahli keluarga pekerja divaksinkan sepenuhnya sebagai langkah penting ke arah kekebalan kawanan serta pemulihan ekonomi negara. Program ini akan dilancarkan mulai Ogos 2021 melalui klinik tempatan atau di premis Tan Chong.

    “Dalam perjuangan bersama menangani pandemik COVID-19, kesihatan dan keselamatan rakan sekerja, pelanggan dan masyarakat setempat tetap menjadi keutamaan kami. Kumpulan Tan Chong berkomunikasi secara berkala mengenai kepentingan menjaga dan mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan bagi mencegah virus.

    “Kami berharap, program vaksinasi ini dapat mencapai pemberian vaksin sepenuhnya kepada kalangan tenaga kerja menjelang akhir September serta memberi perlindungan dengan harapan mereka dapat kembali bekerja dengan selamat. Kami bersedia untuk memulakan operasi perniagaan apabila dibenarkan,” kata Daniel Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Bhd.

     
     
  • Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ milik Jon Coupland ungguli Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

    Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ milik Jon Coupland ungguli Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

    www.matthowell.co.uk

    Kebanyakkan acara-acara perhimpunan permotoran klasik biasanya akan mengangkat model-model eksotik, sport dan rare. Namun berbeza dengan acara Hagerty Festival of the Unexceptional yang diadakan di United Kingdom setiap tahun bermula 2014 di mana acara ini adalah untuk meraikan kereta-kereta keluarga klasik yang masih gagah dipandu di negara berkenaan.

    Tahun ini Hagerty Festival of the Unexceptional diadakan di Grimsthorpe Castle, Lincolnshire. Dan dari lebih 3,000 peserta yang hadir, Proton Saga 1.5 GL Black Knight Edition 1989 milik Jon Coupland, pegawai polis berumur 30-tahun dari Boston, Lincolnshire telah dipilih sebagai pemenang utama acara berkenaan.

    Proton Saga 1.5 GL Black Knight Edition merupakan model yang dihasilkan hanya 201 dan hanya dijual di pasaran UK – dan kereta milik Coupland ini dipercayai satu-satunya Black Knight yang masih lagi wujud. Jika Saga Knight di Malaysia hanya hadir dalam versi Aeroback, model isitimewa pasaran UK ini pula turut ditawarkan dalam versi sedan.

    Model Black Knight ini dihasilkan dari model asas Saga 1.5 GL pasaran UK yang dijana oleh enjin 1.5 liter 8 injap karburator. Seperti namanya, ia hadir dengan warna badan hitam, serta diberikan perincian unik seperti jalur pelekat badan dengan tulisan ‘Knight’ serta grafik pahlawan berkuda, penutup rim untuk menutup rim besi 13-inci dengan grafik pahlawan yang sama serta spoiler but belakang yang diperbuat dari getah.

    Namun disebabkan model GL ini adalah model dengan spesifikasi asas, ia tidak dilengkapi dengan stereng berkuasa, tiada bumbung suria, serta hanya diberikan tingkap manual yang memerlukan anda memulas tuil bagi menurunkan atau menaikkan cermin tersebut. Ia juga menerima radio manual Blaupunkt Bristol 27 yang boleh memainkan kaset.

    Menurut Coupland, pemilik asal kereta ini menyimpannya di dalam garaj sejak tahun 1993 dengan jarak perbatuan hanya sekitar 3,600 batu (5,794 km) kerana jatuh sakit. Ia hanya keluar dari garaj berkenaan pada 2017 selepas dibeli oleh pemilik kedua dan kemudian dipandu sehingga meter perbatuan mencatatkan sekitar 10,000 batu (16,093 km).

    Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ milik Jon Coupland ungguli Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

    Jon Coupland merupakan pemilik ketiga Saga GL Black Knight ini, dibeli sekitar dua tahun lalu. “Saya telah menjadi peminat kereta pada umur yang muda dan hanya memiliki Proton ini pada 2019, jadi saya belum pernah ke Hagerty Festival of the Unexceptional sebelum ini,” kata Coupland.

    “Saya sangat teruja diterima untuk bersaing, jadi apabila berjaya menarik perhatian juri cukup untuk memenangi hadiah utama keseluruhan sudah melebihi mimpi saya yang paling dahsyat!” tambah Coupland lagi.

    Antara kereta-kereta lain yang ditewaskan oleh Proton 1.5 GL Black Knight Edition dalam Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 ini adalah termasuk Peugeot 106 XN Graduate special edition 1991, Kia Pride 1990, Fiat 128 1977, Triumph Toledo 1971, Volkswagen Polo C Formel E 1986, Nissan Bluebird 1989, Volvo 340 DL 1986, Ford Escort 1978 dan banyak lagi.

     
     
  • Puspakom umum penutupan sementara cawangan pusat pemeriksaan Glenmarie dan Johor Bahru

    Puspakom umum penutupan sementara cawangan pusat pemeriksaan Glenmarie dan Johor Bahru

    Puspakom Sdn Bhd telah memaklumkan penutupan sementara operasi bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Glenmarie dan Johor Bahru termasuk Perkhidmatan Bergerak di Johor mulai hari ini, 30 Julai 2021. Ia adalah bertujuan bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi.

    Menurut Puspakom, pembukaan semula Puspakom Glenmarie dan Johor Bahru akan dimaklumkan kelak. Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik.

    “Sebagai alternatif pelanggan yang telah membuat temujanji di cawangan Glenmarie, mereka dibenarkan hadir pemeriksaan secara walk-in di Puspakom Padang Jawa atau Petaling Jaya. Manakala bagi cawangan Johor Bahru, pelanggan boleh hadir ke cawangan alternatif iaitu Puspakom Pasir Gudang, Senai atau Kluang dengan syarat pelanggan perlu menunjukkan bukti slip temujanji pemeriksaan cawangan yang terlibat dengan penutupan.

    “Walaupun pemeriksaan secara walk-in dibenarkan, namun membuat temujanji pemeriksaan amat digalakkan bagi mengelak berlakunya kesesakan di pusat pemeriksaan. Pelanggan yang hadir secara walk-in perlu membuat pembayaran di cawangan. Pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan,” kata kenyataan yang dihantar.

     
     
  • Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

    Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

    Walaupun sudah didedahkan, Honda HR-V generasi baharu belum lagi mula dijual di Eropah dan dijangka bakal masuk ke pasaran berkenaan pada lewat tahun ini. Namun Honda sedikit demi sedikit mengumumkan perincian-perincian berkenaan model tersebut. Seperti yang diketahui sebelum ini, HR-V pasaran Eropah hanya tampil dengan unit penjana hibrid e:HEV, dan kini perincian berkenaan sistem rangkaian kuasa tersebut didedahkan.

    Secara asasnya, sistem e:HEV pada HRV ini sama seperti yang diberikan pada City dan juga Jazz, namun diberikan pelbagai penambahbaikkan. Ia terdiri daripada enjin petrol empat-silinder 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 106 PS/127 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 96 kW (131 PS) dan tork maksima 253 Nm.

    Sistem e:HEV ini tidak sama seperti sistem hibrid konvensional jenama lain kerana dalam kebanyakkan masa tayar hadapan SUV kompak ini digerakkan terus menggunakan motor elektrik, manakala enjin petrol yang diberikan hanya bertugas untuk mengecas semula bateri lithium-ion yang memberikan kuasa kepada motor elektrik berkenaan. Namun enjin petrol tersebut turut boleh bertugas untuk memacu roda hadapan, secara spesifiknya pada kelajuan tinggi.

    Menurut Honda, dengan sistem ini membolehkan HRV e:HEV memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 10.6 saat. Penggunaan bahan api gabungan pula adalah 5.4 liter untuk setiap 100 km dalam yang dikira berdasarkan kitaran WLTP, dengan kadar penghasilan karbon dioksida 122 gram setiap kilometer.

    Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

    Antara penambahbaikkan sistem e:HEV pada HR-V ini berbanding sistem pada Jazz dan City adalah termasuk meningkatkan jumlah sel bateri dari 48 ke 60. Ini membolehkan lebih banyak kuasa dapat disimpan serta dapat mengeluarkan kuasa dengan kadar lebih besar.

    Honda mendakwa bahawa walaupun sel bateri berkenaan kini lebih besar, kejuruteraan semula yang dilakukan membolehkan bateri tersebut tidak mengorban sebarang ruang kabin SUV ini. Honda juga telah memadankan nisbah gear yang lebih pendek pada transmisi kelajuan tunggal yang dibekalkan antara motor elektrik dan roda bagi memberikan pecutan yang lebih baik.

    Sama seperti sistem pada Jazz dan City, sistem e:HEV pada HR-V ini akan mengatur dan mengubah antara pacuan elektrik sepenuhnya, hibrid mahupun enjin petrol secara automatik, bagi memberikan pemanduan yang paling efisien berdasarkan situasi.

    Ia juga diberikan tiga mod pemanduan yang boleh dipilih – Sport untuk respon pendikit paling tajam; Econ untuk pemanduan ekonomi yang memberikan respon pendikit kurang agresif serta melaras pendingin hawa bagi meningkatkan kecekapan; manakala Normal yang memberikan keseimbangan antara kedua-duanya.

    Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

    Sistem e:HEV ini secara asasnya memang menampilkan operasi pemulihan tenaga kinetik bagi menjana semula tenaga elektrik dalam pemanduan normal. Namun sistem ini boleh dioptimumkan lagi sekiranya pemandu memilih posisi “B” pada pemilih gear bagi meningkatkan regenerative braking. Kekuatan kesan nyah pecut untuk operasi itu juga boleh dilaras menggunakan pedal pada stereng.

    Menurut Honda, sistem e:HEV ini adalah lebih efisien berbanding sistem hibrid biasa yang digunakan jenama lain. Transmisi kelajuan tunggal yang digunakan memberikan rintangan yang lebih rendah berbanding kotak gear biasa yang menggunakan mekanisma gear planetary dengan mengurangkan jumlah gear, yang membolehkan pengurangan penggunaan tenaga apabila memandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Honda juga mendakwa bahawa sistem e:HEV ini dihasilkan menggunakan pengetahuan yang mereka dapat dalam program pembangunan sistem rangkaian kuasa Formula 1 yang membantu pasukan Red Bull Racing berentap merebut gelaran juara tahun ini. Ia juga menggunakan pengetahuan Honda dalam membina kereta-kereta hibrid selama 20-tahun, bermula dengan Honda Insight generasi pertama pada 1999.

     
     
  • Aksesori naik taraf gaya dan prestasi GR Parts untuk GR 86 baru didedah – rekaan konsep turut ditunjuk

    Aksesori naik taraf gaya dan prestasi GR Parts untuk GR 86 baru didedah – rekaan konsep turut ditunjuk

    Toyota GR 86 masih belum dijual di Jepun, tetapi Toyota Racing Development (TRD) sudah mula menunjukkan barisan aksesori GR Parts yang akan mereka tawarkan untuk model sports tersebut.

    Walaupun dalam keadaan asal GR 86 sudah sedia tampil sporty, kit badan ini menjadikannya lebih agresif lagi. Splitter di hadapan mempunyai kemasan hitam yang dipanggil oleh TRD sebagai “claws” (kuku tajam) dan pada bucu bampar ia dipasang dengan lip sama warna seperti badan – dikatakan dapat mengurangkan rintangan angin dan menutup tayar hadapan.

    Konsep rekaan berbentuk C yang sama turut digunakan pada bahagian skirting, di mana TRD memberitahu ia dapat mengurangkan “goyang” waktu di selekoh. Bahagian belakang pula dipasang dengan diffuser, serta spoiler jenis ducktail yang didakwa dapat mengimbangi daya tolakan ke bawah (downforce) yang dihasilkan oleh splitter hadapan.

    Dua ruang kosong pada bucu splitter ini diisi dengan muncung ekzos berkembar yang besar dan mempunyai ukiran logo GR. Barangan lain yang ditawarkan adalah seperti kemasan tambahan pada bampar, bukaan udara pada fender serta visor tingkap yang didakwa dapat meningkatkan rasa pemanduan di stereng serta pengendalian lebih linear.

    Itu semua adalah barangan untuk bahagian luar, tetapi TRD juga ada menyediakan beberapa alat ganti prestasi seperti kit suspensi GR dengan rod yang disalut diamond-like carbon (DLC) untuk mengurangkan geseran serta meningkatkan pemanduan serta pengendalian. Turut disediakan adalah kit brek yang lebih besar, dengan angkup jenis monobloc serta cakera berliang, dan rim 19 inci dengan cabang berbentuk Y.

    Pada bahagian dalam, GR Parts menyediakan panel yang kelihatan seperti forged carbon pada kereta supercar, serta pad lutut yang dibalut dengan kain suede. Anda juga boleh mendapatkan sarung kunci aramid fibre dengan kemasan aluminium di keliling badannya.

    Bahagian enjin kereta ini tidak disentuh, dan ia masih lagi menggunakan unit boxer NA 2.4 liter yang mampu menghasilkan kuasa 235 PS pada 7,000 rpm dan 250 Nm tork pada 3,700 rpm, dihantar kepada roda belakang sama ada melalui transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

    Selain daripada aksesori rasmi GR Parts yang akan dijual dalam pasaran ini, TRD turut menyiarkan galeri penuh aksesori konsep yang dipanggil sebagai GR Parts Concept. Konsep rekaannya masih lagi sama tetapi ia dijadikan lebih agresif lagi dengan splitter lebih panjang, tambahan kemasan lebih kembang, bukaan udara pada gril, serta skirting dan sayap yang lebih besar.

    Paling menarik adalah tambahan pada lengkung roda yang lebih lebar 43 mm pada setiap sisi, sekaligus menjadikan kedudukan GR 86 ini lebih kembang dan garang. Bonet serta fender hadapan turut dipasang dengan lubang udara, untuk melepaskan angin daripada ruang tayar.

    GALERI: Toyota GR 86 dengan GR Parts

    GALERI: Toyota GR 86 GR Parts Concept

     
     
  • Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

    Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) secara rasminya telah melancarkan model Hyundai Kona 1.6 Turbo, dan juga Kona N Line dengan enjin turbo yang sama. Kona 1.6 Turbo dijual pada harga RM146,888, sementara versi N Line yang lebih sporty pada harga RM156,888 — atas jalan dengan pengecualian SST (50% bagi CBU import), tidak termasuk insurans.

    SUV segmen B paling berkuasa dalam pasaran tempatan ini dikuasakan oleh enjin Hyundai Smartstream G1.6 T-GDi turbocas yang menghasilkan 198 PS dan 256 Nm tork antara 1,600 hingga 4,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan Smartstream 7DCT.

    Dibanding dengan enjin 1.6T sebelum ini, Smartstream G1.6L dilengkapi ciri Continuous Variable Valve Duration (CVVD) dengan tambahan 21 PS kuasa. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.7 saat, 0.2 saat lebih laju berbanding Kona Turbo terdahulu. Kona facelift diperkenalkan di sini April lalu dengan enjin 2.0 liter MPI yang menjana 149 PS dan 180 Nm pada 4,500 rpm; versi turbo ini memberikan peningkatan kuasa yang banyak juga.

    Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

    Kona facelift tampil dengan dua wajah depan yang berlainan, dengan N Line mempunyai tampilan khusus tersendiri. Wajah depan biasa sebelum ini diberikan banyak sentuhan baru, antaranya dengan gril yang lebih kurus dan lebar, dengan logo Hyundai kini terletak di bahagian atas kawasan gril.

    Hiasan plastik ala SUV pada badannya disambung dari bampar ke lengkung tayar, serta ada elemen warna perak di bampar depan dan belakang. Ini penampilan pada varian 2.0 Active dan 1.6 Turbo, tetapi versi turbo turut menerima landasan bumbung dan juga warna badan dua-tona.

    Daripada dua wajah yang berbeza ini, Kona N Line mewarisi wajah depan yang lebih mirip kepada yang asal, dengan logo terletak pada gril dan ada bukaan udara di bahagian atas gril, walaupun kini ia terbahagi kepada tiga. Di bawah, ada lip aerodinamik N serta sirip pada bucu bampar.

    Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

    N Line tidak dilengkapi dengan hiasan plastik hitam keliling badan, semuanya menggunakan warna badan yang sama keseluruhannya. Tiada kemasan yang menyerupai skid plate — bahagian belakang pula tampil lebih menarik dengan diffuser dan muncung ekzos berkembar untuk sebelah sisi.

    Sama seperti 2.0 Active, kedua-dua model 1.6T dan N Line datang dengan rim aloi 18-inci, dengan rekaan yang lebih sporty tentunya. Varian baru ini boleh dipilih dalam lima-warna — Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Pulse Red dan Misty Jungle — semua dengan bumbung hitam (berserta tiang A dan perumah cermin sisi).

    Di dalam, kedua-dua varian menerima kluster digital sebagai tambahan kepada head unit 8.0-inci dengan ciri Bluetooth dan Android Auto/Apple CarPlay, brek parkir elektrik, teknologi lampu suasana baru (termasuk pencahayaan ruang cawan dan kaki) serta gelung aluminium keliling pembesar suara dan corong udara.

    Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

    Kabin N Line pula menampilkan kerusi balutan kulit hitam dengan suede, kerusi depan dengan liang untuk pemanas, jahitan merah, pedal logam dan logo N di beberapa tempat seperti di tuil gear dan stereng dan kerusi. HSDM juga menawarkan pilihan alternatif kepada ruang dalaman hitam bagi varian selain N Line, yang boleh juga diperoleh dalam warna cerah beige.

    Varian baru Kona ini datang lengkap dengan teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan aktif Smartsense. Ini termasuk Penghindar Perlanggaran Titik Buta (BCA) dengan Bantuan Penghindar Litasan Trafik Di Belakang (RCCA), Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA) dan Kawalan Melayar Pintar (SCC) dengan ciri Stop/Go yang membolehkan ciri SCC berkenaan kekal tidak terbatal walaupun kenderaan berhenti sepenuhnya.

    Lain-lain ciri termasuk Bantuan Penghindar Perlanggaran Depan (FCA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dengan Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (LVDA), Amaran Penumpang Belakang (ROA), Amaran Keluar Selamat (SEW) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA). Semua ini juga ada pada varian 2.0 Active, tetapi SCC hanya khusus untuk varian turbo sahaja.

    Dengan tambahan dua varian terbaru ini, barisan Kona CBU bermula dengan yang paling asas 2.0L pada harga RM119,888, 2.0L Active pada harga RM136,888, dengan 1.6 Turbo pada harga RM146,888 (RM10k lebih mahal) dan N Line pada RM156,888 (juga naik lagi RM10k). Seperti selalu bagi HSDM, Kona datang dengan jaminan lima-tahun atau 300,000 km dan pakej servis percuma tiga-tahun atau 50,000 km.

    Apa pandangan anda tentang varian terbaru Kona untuk pasaran tempatan ini? Harganya ok untuk sebuah SUV kecil atau terlalu mahal? Terutama untuk N Line, model mana lagi dalam segmen sama yang memberikan prestasi serupa?

    Hyundai Kona 1.6L N Line 2021

    Hyundai Kona 1.6L Turbo 2021

    GALERI: Hyundai Kona 2.0 facelift 2021

    GALERI: Hyundai Kona 2.0 Active facelift 2021

     
     
  • Mercedes-Benz EQE dalam teaser – akan didedah September nanti bersama EV AMG dan Maybach

    Mercedes-Benz EQE dalam teaser – akan didedah September nanti bersama EV AMG dan Maybach

    Mercedes-Benz telah membuat pengumuman bahawa mereka akan mendedahkan EQE sewaktu pameran IAA Mobility di Munich, Jerman, September nanti. Bersama pengumuman ini, mereka turut menyiarkan dua gambar teaser– satu menampakkan bahagian penjuru tepinya manakala satu lagi keadaan penuh bahagian kokpit.

    Gambar yang gelap untuk bahagian luar itu tidak menampakkan banyak benda, kecuali pencahayaan lampu dengan grafik unik dan bersambung dengan satu jalur di tengah. Kita juga boleh melihat persamaan bentuk kereta ini dengan EQS, seperti lengkuk badannya, tetapi ia lebih pendek.

    EQE akan menjadi model kedua yang menggunakan platform EVA (juga dirujuk sebagai MEA), dan dijangka mendapat penggerak elektrik pacuan roda belakang dan semua roda. Untuk bahagian dalam, sekali lagi, ia tidak begitu jauh beza dengan EQS, dengan sekurang-kurangnya terdapat tiga panel paparan, tetapi kita masih tidak mengetahui sama ada ia akan dilengkapi sistem Hyperscreen yang sama ataupun tidak.

    Mercedes-Benz EQE dalam teaser – akan didedah September nanti bersama EV AMG dan Maybach

    Selain daripada EQE, Mercedes-Benz juga ada beberapa benda menarik lain untuk ditunjukkan sewaktu IAA Mobility nanti, termasuklah sebuah sedan elektrik penuh Mercedes-AMG, yang berkemungkinan adalah versi prestasi bagi EQS.

    Kereta elektrik AMG ini kemudiannya akan disertai oleh model hibrid prestasi pertama yang diletakkan di bawah label E Performance, yang mana ia boleh jadi sama ada Project One ataupun GT 73 EQ Power+. Selain daripada itu, nanti juga akan ada sebuah kenderaan konsep yang menunjukkan “bagaimana Mercedes-Maybach menyertai zaman mobiliti elektrik” – mungkin versi lebih mewah bagi SUV EQS yang ditunjukkan dalam teaser baru-baru ini.

    SUV EQS sebelum ini telah disahkan cuma akan tiba pada tahun hadapan, jadi model konsep ini akan menjadi petunjuk awalnya. Daripada jenama Smart pula, akan ada sebuah kereta pameran yang menjadi bayangan untuk kenderaan elektrik penuh generasi baru jenama itu.

    Model lain yang akan membuat penampilan waktu acara yang berlangsung pada 7 hingga 12 September itu adalah seperti EQB, S-Class Guard dan C-Class All Terrain. Tema Mercedes-Benz semasa acara ini sudah jelas adalah berkenaan penggerak elektrik, selari dengan hala tuju mereka yang mahu memperkenalkan hanya platform serta model elektrik baru bermula 2025.

     
     
  • BMW R18 Transcontinental dan R18B diperkenal – varian baru bagi R18, dapat sistem bunyi Marshall

    BMW R18 Transcontinental dan R18B diperkenal – varian baru bagi R18, dapat sistem bunyi Marshall

    Barisan model BMW R18 yang baru sahaja dikemas kini beberapa bulan lalu kini ditambah dengan dua lagi varian iaitu R18 Transcontinental dan R18B. Kedua-duanya seperti mengikuti gaya motosikal cruiser Amerika Syarikat, dengan Transcontinental dipersiap sebagai jentera jelajah manakala R18B pula sebagai sebuah bagger yang lebih kemas dan bersih.

    Kedua-dua model ini mendapat fairing hadapan dengan penghadang angin yang tidak boleh dilaras secara standard, tetapi unit pada R18B adalah lebih pendek sementara Transcontinental pula mendapat dua lampu tambahan berbentuk bulat.

    Pada bahagian kokpit, terdapat empat tolok analog berbentuk bulat sementara di bawahnya pula terdapat satu skrin TFT 10.25 inci yang boleh memaparkan maklumat lain termasuk peta dan boleh disambungkan kepada telefon pintar.

    Istimewa untuk dua varian baru R18 ini, BMW telah membuat kerjasama dengan pakar sistem bunyi dari United Kingdom, iaitu Marshall, dan ia dipasang dengan pembesar suara dua arah daripada jenama itu secara standard. Jika mahukan yang lebih baik, pemilik boleh mendapatkan sistem bunyi Marshall Gold Series Stage 1 dan Stage 2, yang dijual sebagai pilihan tambahan (sehingga empat pembesar suara dan 2 subwoofer).

    Melalui kumpulan awal motosikal ini, BMW menawarkan versi “First Edition” di mana ia menggunakan warna hitam, bersama pinstripe warna putih, pakej kemasan krom serta tempat duduk yang dijahit dengan tulisan First Edition. Bahagian mekanikal lain bagi Transcontinental dan R18B ini adalah sama seperti R18 biasa, termasuklah enjin boxer 1,802 cc yang mampu menghasilkan kuasa 91 hp dan 158 Nm tork.

    GALERI: BMW R18 Transcontinental

    GALERI: BMW R18B

     
     
  • Honda City sedan gen. ke-4 baru dilancar di Pakistan – 2 beg udara, pilihan 1.2L & 1.5L, bermula RM69k

    Kita di Malaysia dan berberapa pasaran lain di Asia Tenggara telah pun menerima Honda City sedan generasi kelima yang diperkenalkan tahun lalu. Namun untuk pasaran Pakistan, semalam Honda Atlas Cars Pakistan baru sahaja melancarkan Honda City sedan ‘baharu’ yang sebenarnya model generasi keempat, bagi menggantikan model generasi ketiga yang telah pun dijual selama 12-tahun di negara berkenaan.

    Menurut butiran-butiran yang disiarkan oleh Carspirit.pk (laman sesawang rasmi Honda Pakistan masih belum memaparkan sebarang maklumat), Honda City sedan generasi keempat pasaran Pakistan ini ditawarkan dalam lima varian, dengan pilihan dua jenis kapasiti enjin dan dua pilihan kotak gear.

    Ia bermula dengan model paling asas 1.2L MT berharga PKR 25,99,000 (RM69k), 1.2L CVT berharga PKR 27,99,000 (RM73k), 1.5L CVT berharga PKR 28,99,000 (RM76k) dan dua varian tertinggi iaitu 1.5L Aspire MT berharga PKR 30,19,000 (RM79k) serta 1.5L Aspire CVT berharga PKR 31,74,000 (RM83k).

    Bagi model dengan enjin 1.2 liter, ia menerima enjin i-VTEC dengan kuasa 88 hp dan tork maksima 110 Nm. Manakala model 1.5L pula ia dijana dengan enjin i-VTEC yang berkuasa 118 hp dan tork maksima 118 hp dan tork maksima 145 Nm – kedua-dua enjin ini memenuhi standard emisi Euro-IV. Untuk transmisi pula, model MT menerima kotak gear manual lima-kelajuan, dan model transmisi automatik digandingkan dengan kotak gear CVT.

    Menerusi brosur yang juga disiarkan oleh Carspirit.pk, City pasaran Pakistan ini menampilkan perincian luaran yang sama dengan City sedan generasi keempat di Malaysia dalam versi facelift. Namun, tiada lampu hadapan projektor ditawarkan untuk mana-mana varian City pasaran Pakistan ini, di mana ia hanya menerima lampu hadapan jenis halogen. Bagi model Aspire, ia menerima lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus dan lampu belakang kedua-duanya jenis mentol biasa.

    Model tertinggi itu juga diberikan perincian yang nampak lebih premium dengan pembuka pintu kemasan krom, rim aloi 15-inci dan juga antena sirip yu. Model lebih rendah pula hanya menerima rim besi 15-inci dengan penutup plastik, pembuka pintu kemasan warna badan dan antena biasa.

    Kesemua varian City ini diberikan bahagian dalaman dua tona dengan warna beige dan hitam, tempat duduk pemandu dengan larasan ketinggian, tempat duduk belakang dengan perehat tangan dan pemegang cawan. Model asas diberikan skrin infotainmen 7-inci, sistem penghawa dingin manual dengan suis kawalan konvensional, dan juga stereng dengan kawalan audio.

    Model Aspire pula menerima skrin infotainmen 9-inci, pendingin hawa automatik dengan kawalan sesentuh dan liang kabin belakang, sistem cruise control, butang penghidup enjin dan roda stereng bersama butang pelbagai fungsi.

    Untuk keselamatan pula, kesemua varian hanya menerima dua-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan Isofix, kamera undur serta sistem brek ABS dan EBD. Tiada sebarang sistem kestabilan elektronik dan bantuan mula mendaki ditawarkan walaupun pada model tertinggi Aspire.

    Model ini ditawarkan dalam tujuh-warna badan serta waranti selama tiga tahun atau 75,000 km. Carspirit.pk juga menyatakan bahawa untuk pelanggan terawal yang membuat tempahan, mereka hanya akan menerima kereta masing-masing dalam masa tujuh bulan dari sekarang.

    GALERI: Brosur Honda City 2021 pasaran Pakistan yang disiar Carspirit.pk

     
     
  • Mitsubishi Outlander PHEV 2022 dapat 7-tempat duduk

    Mitsubishi Outlander PHEV 2022 dapat 7-tempat duduk

    Didedahkan di peringkat global pada Februari tahun ini, Mitsubishi Outlander baharu juga bakal ditawarkandengan model plug-in hybrid, dijangka akan mula dijual di Jepun pada separuh kedua tahun ini. Beberapa imej teaser telah pun disiarkan setakat ini, mendedahkan lencana “Plug-in Hybrid EV” dan “PHEV”, serta port pengecasan bateri pada bahagian kanan belakang fender.

    Outlander berkongsi platform Common Modular Family (CMF), dengan enjin 2.5 liter serta beberapa komponen yang sama dengan Nissan X-Trail, dan PHEV pula dijangka dipadankan dengan penjana kuasa dua-motor, seperti model semasa. Terdapat beberapa perubahan yang dilakukan, seperti yang diprebiu menerusi model konsep Engelberg Tourer yang turut digambarkan sebagai rekaan baharu Outlander.

    Mitsubishi Outlander PHEV 2022 dapat 7-tempat duduk

    Kereta yang ditunjukkan itu dipadankan dengan enjin yang lebih besar 2.4 liter (telah pun dipadankan pada model PHEV semasa), motor elektrik pada setiap gandar dan bateri lithium-ion 20 kWh yang lebih besar. Mitsubishi mendakwa jarak semua-elektrik mampu mencecah lebih 70 km dan jarak keseluruhan pula boleh mencapai lebih 700 km.

    Buat masa ini, tiada perincian teknikal didedahkan, tetapi Mitsubishi telah mengesahkan ia melibatkan senibina baharu dengan persepaduan komponen yang ditambahbaik dan bentangan yang dirombak semula dengan memberikan lebih ruang di belakang untuk barisan ketiga tempat duduk. Model sedia ada kini hanya ditawarkan dengan lima-tempat duduk, disebabkan baterinya diletakkan di bawah lantai but.

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2022

     
     
  • Thailand bakal muktamadkan struktur cukai eksais baru untuk galak rakyat beli kereta elektrik tahun ini

    Thailand bakal muktamadkan struktur cukai eksais baru untuk galak rakyat beli kereta elektrik tahun ini

    Thailand kini sedang merangka struktur cukai eksais baharu untuk kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan dijangka akan dimuktamad tahun ini juga. Menurut ketua pengarah jabatan eksais Thailand Lavaron Sangsit, struktur cukai baharu berkenaan disasarkan untuk meningkatkan permintaan orang ramai terhadap EV di negara tersebut, lapor Bangkok Post.

    Menurutnya, jawatankuasa kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap polisi berkenaan akan mengadakan mesyuarat minggu ini bagi mempercepatkan proses tersebut. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri Supattanapong Punmeechaow itu mensasarkan produksi sejumlah 225,000 unit EV menjelang 2025 seperti yang sudah digariskan pada pelan EV tiga-fasa yang telah diumumkan pada Mei lalu.

    Jumlah berkenaan bukan hanya untuk kereta dan trak pikap berkuasa elektrik sepenuhnya, malah termasuk model-model hibrid dan plug-in hybrid. Pada tahap tersebut, jumlah produksi yang disasarkan berkenaan akan mewakili 10% dari jumlah keseluruhan produksi kenderaan di Thailand, sebelum mencapai jumlah 725,000 unit yang disasarkan menjelang 2030 setelah masuk ke fasa terakhir rancangan tersebut. Pelan ini turut termasuk penghasilan bateri-bateri untuk kenderaan elektrik berkenaan secara domestik.

    Thailand bakal muktamadkan struktur cukai eksais baru untuk galak rakyat beli kereta elektrik tahun ini

    Jawatankuasa polisi EV ini turut akan membantu untuk menetapkan insentif kewangan dan cukai serta standard keselamatan untuk pengeluar EV dan bateri. Mereka juga telah berbincang dengan tiga pihak yang bertanggungjawab untuk menjana kuasa elektrik berkenaan pembangunan infrastruktur grid pintar khas untuk sektor EV, dengan sasaran menyediakan sejumlah 12,000 pengecas pantas menjelang 2030. Thailand juga sudah mengumumkan bahawa mereka akan mengharamkan penjualan kereta petrol dan diesel baharu menjelang 2035.

    Buat masa sekarang, EV di Thailand dikenakan cukai eksais sebanyak 8%, tetapi pengeluar kenderaan telah diberikan manfaat pelaburan dari Lembaga Pelaburan (BoI) dengan kadar cukai 2%. Sebagai tambahan, bermula 2020 sehingga akhir 2022, kadar 0% diberikan di bawah promosi istimewa dari BoI.

    Struktur cukai eksais untuk kenderaan yang digunakan di Thailand sekarang adalah berdasarkan emisi karbon dioksida (CO2), dan ia terbahagi kepada empat kategori kenderaan – kereta penumpang tidak melebihi 10-tempat duduk; trak pikap yang merupakan kenderaan penumpang, double cab dan space cab; kereta eko dan kereta yang menggunakan bahan bakar bio E85 dan B10; serta EV.

     
     
  • Perancah besi di tapak projek LRT3 di Klang runtuh

    Perancah besi di tapak projek LRT3 di Klang runtuh

    Petang ini dilaporkan terdapat satu lagi insiden yang berlaku di tapak projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi, Klang di mana perancah besi struktur pembinaan tersebut runtuh.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah mengesahkan lima mangsa terbabit dalam insiden itu di mana empat daripadanya yang juga pekerja asing warga Bangladesh telah berjaya diselamatkan. Bomba juga sedang giat menjalankan operasi bagi mengeluarkan seorang lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuh berkenaan, laporan Bernama.

    “Kita menerima panggilan pada jam 2.41 petang dan tiba di lokasi 2.58 petang. Setakat ini, empat mangsa berjaya dikeluarkan dan seorang mangsa masih tertimbus oleh runtuhan besi dan pihak bomba masih dalam operasi mengeluarkan mangsa. Sebarang perkembangan terkini berhubung kejadian akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.

    Ini bukanlah pertama kali insiden sebegini berlaku di daerah tersebut. Pada Jun tahun lalu, sebahagian kerangka projek pembinaan LRT3 di Meru runtuh. Kegagalan struktur kerangka besi ketika kerja menuang konkrit dalam projek berkenaan dipercayai menyebabkan struktur itu bengkok. Walau bagaimana pun, insiden tersebut tidak membabitkan kecederaan mahu pun kematian individu.

     
     
  • Bentley hasilkan rim gentian karbon produksi paling besar di dunia; 22-inci khas untuk SUV Bentayga

    Bentley hasilkan rim gentian karbon produksi paling besar di dunia; 22-inci khas untuk SUV Bentayga

    Bentley telah mendedahkan rim gentian karbon 22-inci, yang didakwa sebagai rim gentian karbon yang terbesar di dunia buat masa sekarang. Rim berkenaan dihasilkan khas untuk SUV mewah mereka iaitu Bentley Bentayga, dan ia sudah boleh mula ditempah pada penghujung tahun ini, namun harganya masih belum diumumkan.

    Rim ini dibangunkan oleh Bucci Composite, dan ia menampilkan pengurangan berat sebanyak 6 kg untuk setiap roda berbanding rim aluminium dengan saiz sama. Bentley juga mendakwa bahawa rim ini merupakan rim gentian karbon pertama di dunia yang melepasi semua ujian standard TÜV (Technischer Überwachungsverei – Technical Inspection Association).

    Antara ujian standard TÜV yang perlu dilepasi oleh rim berkenaan termasuk ujian tekanan biaxial, ujian impak radial dan lateral untuk simulasi lubang jalan dan batu bulat, ujian tekanan angin tayar melebihi had dan juga ujian tork berlebihan.

    Kegusaran tipikal sebuah rim gentian karbon yang lazimnya akan berkecai ketika menerima impak yang kuat tidak akan menjadi isu pada rim gentian karbon Bentley ini kerana menurut jenama mewah dari Britain berkenaan, rim ini telah terbukti “sangat selamat” dalam ujian impak TÜV tersebut.

    Bentley hasilkan rim gentian karbon produksi paling besar di dunia; 22-inci khas untuk SUV Bentayga

    Menurut Bentley lagi, rim aluminium biasanya akan retak atau pecah yang boleh menyebabkan tayar pecah jika terkena impak, berbeza dengan rim gentian karbon yang membolehkan tayar berkenaan kempis secara perlahan-perlahan dalam situasi yang sama.

    Ia adalah disebabkan oleh struktur tenunan serat pada rim gentian karbon berkenaan, dan secara tidak langsung boleh mengelakkan kemalangan kerana pemandu masih boleh mengawal kereta berkenaan dan berhenti di tempat yang selamat, dakwa Bentley lagi.

    Bukan hanya lebih selamat, rim gentian karbon ini juga mampu memberikan pengendalian yang lebih baik kepada kereta kerana ia lebih ringan, malah turut membuatkan kereta lebih stabil dan memberikan platform stereng yang lebih konsisten dakwa Bentley lagi, dan memberi contoh rim forged aluminium boleh hilang sudut camber sehingga 1 darjah kerana lenturan logam pada rim berkenaan.

    Dengan lenturan yang kurang membolehkan tayar lebih stabil dengan permukaan sentuhan pada permukaan jalan yang lebih konsisten, sekaligus memberikan cengkaman jalan yang lebih baik. Ujian akhir untuk pembangunan rim gentian karbon berkenaan telah dibuat di litar The Green Hell, Nurburgring Nordschleife di Jerman.

    Bentley hasilkan rim gentian karbon produksi paling besar di dunia; 22-inci khas untuk SUV Bentayga

    Inovasi paling penting dalam proses pembuatan rim gentian karbon Bentayga ini adalah pengunaan konsep yang sudah dipatenkan dan juga aplikasi high-pressure resin transfer moulding (RTM). Proses berkenaan melibatkan kain gentian karbon tersebut dipotong mengikut bentuk yang dimahukan, selepas segmen tenunan ditimbunkan, dipanaskan dan kemudian diletak ke acuan bagi menjadikan bentuk tiga-dimensi.

    Ia kemudiannya disusun ke dalam acuan lebih besar, dan selepas itu disuntik dengan resin serta bahan pengeras. kemudian ia dikeluarkan dari acuan dan disejukkan pada suhu tertentu, dan selepas itu permukaannya dimesin sehingga mencapai kemasan akhir yang dimahukan sebelum digilap dan menjadi rim yang lengkap.

    Selain dari rim, Bentayga turut telah ditawarkan dengan pelbagai komponen gentian karbon termasuk komponen-komponen dalam Styling Specification, yang terdiri dari splitter hadapan, kemasan tambahan pada bendul sisi, diffuser belakang, dan juga komponen-komponen venir untuk bahagian dalaman dengan kemasan gentian karbon berkilat.

     
     
  • Subaru BRZ 2021 dilancarkan di Jepun — dari RM108k

    Subaru BRZ 2021 dilancarkan di Jepun — dari RM108k

    Subaru BRZ generasi kedua kini diperkenalkan secara rasmi dan mula dijual di pasaran Jepun, hampir empat bulan selepas membuat penampilan sulungnya. Harga sebelum cukai bagi coupe pacuan belakang ini bermula dari 2,800,000 yen (RM108k) bagi varian paling asas, dan naik hingga 3,120,000 yen (RM120k) bagi varian paling tinggi.

    Ada dua tingkat kemasan yang ditawarkan ketika ini, dengan setiap satu daripadanya menawarkan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan (dengan Sport Mode). Kuasa pula dijana oleh enjin FA24D 2.4 liter NA empat-silinder mendatar dengan sistem suntikan terus dan port D-4S dari Toyota, menghasilkan 235 PS pada 7,000 rpm dan 250 Nm tork pada 3,700 rpm.

    Sistem bantuan pemandu EyeSight Subaru pula standard bagi varian automatik, dan termasuk ciri brek kecemasan automatik dan kawalan melayar adaptif dengan fungsi tracking untuk semua kelajuan. BRZ ini akan dipasang di kilang Gunma di Jepun (bersama dengan model GR86 yang belum dilancarkan), dengan Subaru mensasarkan jualan bulanan sebanyak 500 unit.

    Subaru BRZ 2021 dilancarkan di Jepun — dari RM108k

    BRZ mempunyai ukuran dimensi 4,265 mm (+25 mm lebih panjang dari yang lama) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, dengan jarak antara roda 2,575 mm (+5 mm). Badan baru ini disifatkan lebih aerodinamik, disebabkan oleh elemen bukaan udara pada bampar depan.

    Sama seperti model generasi pertama, BRZ mirip GR86, walaupun hadir dengan ciri yang unik untuk model Subaru ini sahaja, seperti DRL bentuk C pada lampu utama, gril bentuk hexagonal dan kemasan bukaan udara yang lebih besar. Selebihnya, antara kedua model terbabit adalah identikal, dan dilengkapkan dengan rim 18-inci.

    Subaru BRZ 2021 dilancarkan di Jepun — dari RM108k

    Di dalam, rekaan papan pemuka kekal ringkas, tetapi ciri paparan skrin sentuh untuk infotainmen diletakkan di bawah corong udara di tengah. Turut ada ialah kluster instrumen TFT LCD tujuh-inci, suis rekaan kekunci piano dan dail bagi sistem HVAC, serta stereng multi-fungsi.

    Turut disediakan ialah aksesori Subaru STI, seperti bodykit lengkap mengandungi spoiler depan, sisi dan belakang, lampu petunjuk untuk bukaan udara depan, kemasan sisi, kemasan pada bumbung serta spoiler but belakang. Penawaran pilihan bagi rim BBS 18-inci juga nampak menarik, dan pembeli boleh juga memilih spoiler gentian karbon, muffler prestasi serta strut bar prestasi.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 dilancar untuk Malaysia – varian E 200 dan E 300, harga dari RM327k

    Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 dilancar untuk Malaysia – varian E 200 dan E 300, harga dari RM327k

    Mercedes-Benz E-Class facelift W213 yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali Mac lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu E 200 Avantgarde dan E 300 AMG Line, dan kedua-keduanya dipasang dalam negara (CKD) di Pekan, Pahang.

    Harga bagi sedan eksekutif ini bermula dari RM326,943, iaitu untuk E 200, sementara E 300 pula dijual pada harga RM375,432. Harga ini dikira sekali dengan pengecualian cukai jualan (100% kerana ini adalah model CKD) yang diberi sehingga 31 Disember 2021, dan datang bersama jaminan tanpa had batuan selama empat tahun.

    Model facelift ini membawa beberapa perubahan yang boleh dilihat terus, termasuk gril hadapan lebih nipis dan datang dalam bentuk berbeza mengikut pakej kemasan yang dipilih. Pada varian Avantgarde, gril ini mempunyai bentuk heksagon, dua jalur krom melintang serta kemasan dalam jalur menegak warna hitam.

    Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 dilancar untuk Malaysia – varian E 200 dan E 300, harga dari RM327k

    Varian AMG Line pula menggunakan gril berbentuk trapezoid yang cuma mempunyai satu jalur krom melintang di tengah, bersama kemasan bintik warna krom. Ia juga mempunyai bampar yang lebih agresif, dengan bukaan udara hiasan yang lebih besar di bahagian bucu.

    Antara dua varian ini masih terdapat persamaan, seperti bonjolan atas bonet serta dua muncung ekzos di belakang, tetapi dengan kemasan krom yang berbeza. Satu lagi perubahan luaran pada model facelift ini adalah lampu belakangnya, yang kini lebih lebar dan bersambung sehingga ke but. MBM turut menyatakan ada dua warna baru untuk model facelift ini, iaitu Grey Metallic dan High-Tech Silver.

    Kedua-dua varian digerakkan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo, dengan unit pada E 200 mampu menghasilkan 197 PS (194 hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 320 Nm dari 1,650 hingga 4,000 rpm. Pada E 300 pula, enjin ini mampu menjana 258 PS (255 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 370 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Jumlah ini masih lagi sama seperti E 200 dan E 300 sebelum ini.

    Bagi kedua-dua varian juga, enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic, yang menghantar kuasa kepada roda belakang, dengan E 300 mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j sementara E 200 pula mencatat 7.4 saat dan 240 km/j. Turut diberi adalah pemilih mod pemanduan Dynamic Select dan suspensi Agility Control.

    Untuk kelengkapan bahagian luar, E 200 datang secara standard dengan lampu utama LED High Performance (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus), rim 18 inci lima cabang serta pakej Avantgarde. Varian E 300 AMG Line pula mendapat lampu utama Multibeam LED (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus) serta rim AMG 19 inci.

    Papan pemuka di bahagian dalam masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi perubahan utama yang diberi adalah pada sistem infotainmen, yang kini menggunakan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) secara standard bagi kedua-dua varian, dan datang sekali dengan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada skrin 12.3 inci – panel instrumen digital dan skrin sesentuh.

    Sistem MBUX ini mempunyai pelbagai servis sambungan Mercedes Me kerana di dalamnya terdapat modul komunikasi LTE. Ia boleh dikawal menggunakan pad sesentuh pada konsol tengah dan mempunyai sambungan Android Auto serta Apple CarPlay. Turut disertakan adalah pengecas tanpa wayar, tetapi untuk E 300 sahaja.

    Pada bahagian lain, E 200 mendapat roda stereng kulit Nappa, yang menampilkan butang kapasitif Touch Control, gabungan kemasan kayu dan aluminium, pengawal pendingin hawa dua zon Thermatic, lampu suasana, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, penghadang cahaya kawalan kuasa di cermin belakang serta tempat duduk yang dibalut kulit buatan Artico.

    E 300 pula mendapat rekaan stereng lebih sporty, yang termasuk dalam pakej AMG Line, sementara senarai kelengkapannya pula ditambah dengan bumbung panoramik, kawalan pendingin hawa tiga zon, alas kaki AMG serta sistem bunyi Burmester.

    Pergi kepada sistem bantuan dan keselamatan, E 200 dilengkapi dengan kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic, Blind Spot Assist, Keyless-Go, Pre-Safe dan Active Brake Assist (brek kecemasan autonomous).

    E 300 yang lebih mahal pula ditambah dengan kamera 360 darjah, dan Driving Assistance Package yang termasuk Active Distance Assist Distronic (Adaptive Cruise Control), Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Pre-Safe Plus.

    Satu lagi tambahan baru untuk E-Class facelift ini adalah Urban Guard, iaitu sistem yang bekerjasama dengan Mercedes me untuk memerhati kenderaan secara menyeluruh. Ia termasuk dengan sistem penggera anti kecurian, perlindungan daripada ditunda (mengeluarkan amaran bunyi dan visual sekiranya kedudukan berubah), siren penggera, pemerhati bahagian dalam serta pengesan kecurian dan perlanggaran waktu kereta tidak bergerak.

    GALERI: Mercedes-Benz E 200 Avantgarde W213 2021

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 2021

     
     
  • Honda Malaysia sumbang keperluan asas bernilai RM40,000 untuk rumah kebajikan di Melaka

    Honda Malaysia sumbang keperluan asas bernilai RM40,000 untuk rumah kebajikan di Melaka

    Honda Malaysia (HMSB) terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Dengan kerjasama bersama Honda Malaysia Suppliers Club (HMSC), HMSB telah memberikan sumbangan bernilai RM40,000 berupa barangan keperluan asas untuk enam buah rumah kebajikan di sekitar Melaka bagi mengurangkan bebanan pihak berkenaan disebabkan pandemik dan lockdown penuh.

    Pada 26 dan 28 Julai lalu, syarikat tersebut telah menyumbang barangan keperluan seperti beras, tepung, telur dan minyak masak, serta produk kebersihan termasuk lampin pakai buang, sabun mandi dan sabun cuci baju, untuk enam buah rumah kebajikan yang terletak di sekitar kilang pemasangan Honda di sana. Selain itu, HMSB turut menyumbang pakaian untuk dewasa dan buku mewarna/permainan bagi kanak-kanak.

    “Tahun ini masih terus menjadi cabaran untuk Malaysia dengan penutupan hampir keseluruhan sektor ekonomi yang mengakibatkan kesulitan dalam meneruskan kelangsungan hidup. Oleh itu, kami memahami keadaan ini dan bekerjasama dengan HMSC dalam inisiatif untuk membantu warga tua, anak yatim, orang kurang upaya dan kehilangan tempat tinggal, ”kata Pengarah Urusan dan CEO HMSB Madoka Chujo.

    Tambahnya lagi, “Diharap dengan sumbangan dari HMSB ini, dapat meringankan sedikit bebanan kepada golongan yang terbabit. Kami juga berharap dengan program vaksin yang sedang berjalan ini dapat membantu mengekang penularan Covid-19 dan seterusnya memberikan persekitaran yang lebih selamat buat kita di Malaysia.”

    Enam rumah kebajikan yang terpilih untuk menerima sumbangan itu ialah Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Dan Warga Emas Alor Gajah, Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Dan Anak Yatim Victory, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Harapan, Persatuan Kebajikan Sri Murni Insan Istimewa, Pertubuhan Kebajikan Bhagawan Sri Ramakrishna dan Pusat Jagaan Pertubuhan Villa Harapan.

     
     
  • KTM 1290 Super Adventure S 2021 tiba di Malaysia – RM132k, banyak peningkatan ergonomik, elektronik

    KTM 1290 Super Adventure S 2021 tiba di Malaysia – RM132k, banyak peningkatan ergonomik, elektronik

    Diperkenalkan kepada dunia Januari lalu, KTM 1290 Super Adventure S 2021 kini sudah tiba di Malaysia, dengan harga jualan RM132,900 tidak termasuk insurans. Bahagian utama yang dipertingkat pada model ini adalah ergonomoik dan elektronik, dengan pengeluar dari Austria itu mendakwa ia kini adalah model adventure paling canggih pernah mereka hasilkan.

    Ergonomik yang dimaksudkan bukan sahaja memberi fokus kepada keselesaan, tetapi juga pengendalian motosikal. Pembahagian berat diperbaiki, tapak stereng ditarik ke belakang 15 mm, bahagian depan enjin dilaras, lengan ayun lebih panjang dan subframe dibentuk semula supaya tempat duduk lebih rendah.

    Setiap panel badan diukur supaya tidak mengganggu sensasi tunggangan dan kini ia dilengkapi dengan tangki bahan api 23 liter. Tempat duduk serta penghadang angin boleh dilaras pada beberapa kedudukan dan bahagian kokpit dijadikan lengkap dengan panel instrumen TFT 7.0 inci serba baru.

    Untuk bahagian elektronik, tetapan kawalan cengkaman dalam setiap mod iaitu Rain, Street, Sport, Offroad dan Rally (pilihan tambahan) dilaras kembali supaya tidak terlalu agresif. Suis kawalan pada bahagian pemegang juga adalah baru.

    Satu teknologi baru yang diletakkan pada 1290 Super Adventure S 2021 adalah Adaptive Cruise Control, yang dibangunkan bersama Bosch. Sistem ini menggunakan radar yang terletak di hadapan motosikal dan penunggang boleh memilih lima tetapan jarak di antara kenderaan hadapan waktu meluncur sendiri atas lebuh raya.

    Enjin masih lagi menggunakan unit v-twin 1,301 cc berkuasa 160 hp dan 138 Nm tork, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, tetapi ia dijadikan lebih ringan (-1.6 kg) hasil penggunaan casing lebih nipis dan kini menepati tahap emisi Euro 5. Melengkapkan naik taraf pada bahagian enjin adalah piston baru yang lebih tahan serta radiator dan saluran air baru.

    KTM 1290 Super Adventure S 2021 tiba di Malaysia – RM132k, banyak peningkatan ergonomik, elektronik

    Kelengkapan lain pada 1290 Super Adventure S 2021 adalah termasuk suspensi semi aktif WP SAT, steering damper WP, cakera brek berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 267 mm di belakang, tayar Mitas Terra Force-R serta klac slipper PASC.

    Turut dipasang pada model ini adalah Motorcycle Traction Control, Cornering ABS, Offroad ABS, pemerhati tekanan angin tayar (TPMS), penunjuk arah automatik dan sambungan KTM MyRide (pilihan tambahan).