Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota hentikan pra-tempah Land Cruiser 300 2022 di Jepun, kuatkuasa larangan jualan semula 12 bulan

    Toyota hentikan pra-tempah Land Cruiser 300 2022 di Jepun, kuatkuasa larangan jualan semula 12 bulan

    Sebelum ini ada laporan yang mendakwa bahawa Toyota mengenakan syarat kepada pelanggan di Jepun yang mahu menempah Land Cruiser 300 yang baru diperkenalkan bulan lalu untuk menandatangani perjanjian bagi melarang mereka menjual semula SUV berkenaan. Susulan laporan tersebut, kini Toyota telah mengesahkan perkara berkenaan dengan mengeluarkan kenyataan rasmi.

    Menurut laporan media Jepun, Mag-X, Toyota mengambil keputusan tersebut bagi mengelakkan Land Cruise 300 2022 yang dijual untuk pasaran domestik Jepun berkenaan dijual semula untuk dieksport ke pasaran luar. Menerusi perjanjian yang dibuat ini, Toyota boleh membatalkan pra-tempah yang dibuat oleh pelanggan sekiranya mereka berpotensi untuk menjual semula SUV berkenaan selepas dibeli.

    “Pengedar Toyota dan Toyota Motor Corporation (TMC) bersefahaman bahawa apabila kenderaan dijual kepada pelanggan di Jepun, jualan tidak akan berhenti [disitu], tetapi setiap pengedar akan meneruskan hubungan tanggungjawab dengan pelanggan termasuk servis selepas jualan, bagi membolehkan keselamatan dan sekuriti pelanggan dilindungi,” tulis Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Sebagai tambahan, Land Cruiser agak popular pada pasaran luar negara, dan kami gusar berkenaan aliran pergerakan kenderaan ke luar negara dari Jepun sejurus ia dilancarkan, termasuk kemungkinan ia dieksport ke pasaran-pasaran tertentu yang mempunyai undang-undang sekuriti,” tambah kenyataan itu lagi.

    Oleh itu TMC mengingatkan kesemua pengedar Toyota di Jepun untuk mengelakkan perkara ini yang akan menjurus kepada pelanggaran undang-undang pertukaran dan perdagangan asing, bagi meminimakan risiko pelanggaran undang-undang. Menurut laporan satu lagi portal Jepun iaitu Creative311, Toyota telahpun menerima pra-tempahan sebanyak 22,000 unit Land Cruiser 300 awal minggu ini.

    Toyota mempunyai reputasi menghasilkan kenderaan yang tahan lasak, dan ia turut popular dikalangan kumpulan-kumpulan organisasi yang menjalankan aktiviti keganasan. Pada 2015, Toyota menyatakan mereka telah bekerjasama dengan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat bagi mendapat maklumat bagaimana kumpulan militan telah membeli kenderaan jenama mereka dalam jumlah yang besar seperti yang dilaporkan oleh Automotive News ketika itu.

    “Toyota mempunyai polisi yang ketat untuk tidak menjual kenderaan kepada pembeli beroptensi yang mungkin akan menggunakannya atau mengubahsuainya bagi tujuan aktiviti separa tentera atau pengganas, dan kami mempunyai prosedur dan serta komitmen kontrak untuk mengelakkan produk kami diubah untuk kegunaan ketenteraan yang tidak dibenarkan,” tegas Toyota USA sebagai respon terhadap perkara berkenaan ketika itu, dan menambah mereka komited untuk sepenuhnya mematuhi undang-undang pada setiap negara yang mempunyai operasi syarikat.

     
     
  • Volkswagen Taigo 2022 tampil pertama kali di Eropah

    Volkswagen Taigo 2022 tampil pertama kali di Eropah

    Volkswagen telah menambah sebuah lagi model crossover untuk pasaran dengan Taigo terbaru, yang merupakan versi dinamakan semula model Nivus yang dijual di pasaran Amerika Selatan seperti Brazil. Kedua-dua model ini menggunakan platform MQB A0 yang sama pada Polo Mk6 serta T-Cross.

    Dengan ukuran dimensi 4,266 mm panjang, 1,757 mm lebar dan 1,493 mm tinggi, Taigo lebih panjang berbanding Polo (4,057 mm) dan T-Cross (4,199 mm). Jarak antara roda Taigo ialah 2,566 mm bagaimanapun sama dengan Polo, tetapi lebih panjang berbanding T-Cross standard (2,551 mm).

    Berbanding dengan model crossover Volkswagen yang lain, Taigo berada di posisi yang lebih kecil daripada semua variasi T-Roc, baik bagi yang jarak antara roda standard, panjang atau cabriolet.

    Volkswagen Taigo 2022 tampil pertama kali di Eropah

    Sama seperti Nivus, Taigo menampilkan garis bumbung ala coupe untuk menjadikannya lebih bergaya dan berbeza daripada T-Cross, lengkap dengan rekaan bampar depan dan belakang yang tersendiri. Gambar yang ditunjukkan ini menampilkan versi pakej R-Line (baru untuk Eropah), yang turut disertakan dengan hiasa empat muncung ekzos dan kemasan hitam. Tingkat kemasan lain seperti Style, Life dan standard turut akan ditawarkan.

    Di dalam, papan pemuka Taigo hampir serupa dengan apa yang ada pada kembarnya di pasaran Brazil itu serta pada T-Cross juga. Satu perbezaan jelas adalah ia mempunyai panel kawalan yang lebih cantik bagi sistem pendingin hawa, yang dipinjam dari Tiguan, Arteon dan Polo baru.

    Volkswagen Taigo 2022 tampil pertama kali di Eropah

    Senarai kelengkapan yang ada termasuk lampu utama IQ.Light matriks LED, sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci (menggunakan MIB 3.1), pengecas tanpa wayar, Digital Cockpit, roda 16-inci dan 18-inci serta sistem pemanduan semi-autonomous IQ-Travel dan ciri bantuan pemandu lainnya.

    Bagi sistem janaan kuasa pula, Taiga dipacu roda depan sahaja dan boleh dimiliki dengan enjin 1.0 liter TSI tiga-silinder yang menghasilkan 95 PS atau 110 PS. Turut ada enjin 1.5 liter TSI empat-silinder yang menjana 150 PS, dengan pilihan transmisi termasuk manual enam-kelajuan dan automatik klac berkembar tujuh-kelajuan.

     
     
  • Rapid Penang jadi pusat pemberian vaksin bergerak

    Prasarana telah menawarkan satu lagi kemudahannya iaitu bas di Pulau Pinang dan Pahang untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak. Menerusi video yang dikongsikan melalui laman Facebook rasminya, menggambarkan keadaan di dalam salah satu bas Rapid Penang yang dijadikan PPV bergerak itu.

    Menurut Prasarana, inisiatif Vaksin Bergerak ini dilaksanakan odengan COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) JKJAV dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Walau bagaimana pun, penerima vaksin hendaklah mendaftar terlebih dahulu menerusi aplikasi MySejahtera dan nantikan slot temujanji. Buat masa ini, PPV bergerak ini tidak menerima kedatangan orang awam secara walk-in.

    Ia mensasarkan suntikan sebanyak 400 dos sehari kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya di kawasan-kawasan yang terpilih di Pulau Pinang. Antaranya, SK Tanjung Tokong, SJKC Pai Chai, Flat Kg Melayu, Estet Ladang Transkrian, Dewan JKKP Sg Sembilang Juru, dan SJKC Keng Koon.

    Malahan ia adalah usaha untuk mempercepatkan kadar vaksinasi di Pulau Pinang sekaligus imuniti kelompok dapat dibentuk dengan lebih cepat. Awal bulan ini, Prasarana turut membuka PPV sementara di Stesen LRT Putra Height dan Kompleks Bas Cheras Selatan untuk memberi suntikan vaksin kepada pekerja pengangkutan awam, di mana mereka juga merupakan barisan hadapan (frontliner) yang tidak berhenti bekerja sejak pandemik melanda negara kita.

     
     
  • Harga minyak 29 Julai-4 ogos – RON 97 naik 1 sen/liter

    Harga minyak 29 Julai-4 ogos – RON 97 naik 1 sen/liter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan untuk minggu terakhir Julai dan minggu pertama Ogos 2021, bertarikh 29 Julai hingga 4 Ogos, bahan api petrol RON 97 dilaporkan mengalami kenaikan harga sebanyak satu sen seliter. Harganya baka menjadi RM2.74 seliter berbanding RM2.73 seliter dalam dua minggu sebelum ini.

    Manakala untuk tempoh minggu yang sama, tiada perubahan harga siling untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu dua minggu lagi iaitu pada 4 Ogos 2021.

     
     
  • Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

    Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

    Pembuat kereta eksotik British, McLaren telah mendedahkan model baharu McLaren 765LT Spider, iaitu versi bumbung boleh buka dari 765LT Coupe yang telah didedahkan pada Mac lalu. Sama dengan versi bumbung kekalnya, 765LT Spider ini hanya dihasilkan sebanyak 765 unit, dengan harga bermula 310,500 pound (sekitar RM1.8 juta).

    Bumbung model Spider ini diperbuat dari gentian karbon dan ia boleh dibuka atau ditutup semula hanya dengan menekan butang pada konsol tengah. Menurut McLaren, proses berkenaan boleh dibuat ketika kereta sedang berjalan pada kelajuan 50 km/j, dan keseluruhan operasi mengambil masa 11 saat.

    McLaren turut menambah bahawa mekanisma bumbung tersebut (yang terdiri dari lapan motor elektrik) disifatkan sebagai sistem paling cepat dan paling senyap seumpanya di dunia, di mana penumpang hanya akan mendengar bunyi tidak lebih dari 60 dBA ketika ia beroperasi. Jika dibandingkan dengan 675LT Spider sebelumnya, sistem pada 765LT Spider ini adalah dua kali lebih senyap.

    Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

    Bumbung tersebut turut diberikan busa berketumpatan tinggi pada sebelah dalam. Tanpa pengedap tengah yang selalunya merentangi bumbung serta bersama busa istimewa yang diberikan, ini membolehkan penumpang dan pemandu menerima ruang kepala lebih luas, serta lebih senyap.

    Menurut McLaren lagi, dengan bumbung lebih panjang juga membolehkan puncak tiang-A dibawa 80 mm lebih kehadapan bagi memberikan rasa ruang yang lebih baik, serta membolehkan pergerakan keluar dan masuk ke kabin lebih mudah dengan bukaan pintu lebih luas.

    Bumbung model Spider ini juga memainkan peranan penting pada struktur keseluruhan kereta ini kerana ia menghasilkan kerangka gentian karbon penuh apabila ditutup.

    Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

    Dengan kejuruteraan monocoque gentian karbon MonoCage II-S, kereta ini tidak memerlukan sebarang pendakap tambahan bagi memastikan struktur badannya sama kuat dan keras seperti model coupe. Hasilnya, tambahan komponen untuk sistem bumbung boleh buka hanya menyebabkan model 765LT Spider hanya 49 kg lebih berat dari versi coupe, serta 80 kg lebih ringan berbanding 720S Spider.

    Sekiranya pemandu mahu mendengar bunyi enjin V8 M840T 4.0 liter bersama dua pengecas turbo yang terletak di belakangnya dengan lebih jelas, tingkap belakang boleh diturunkan semata-mata untuk tujuan berkenaan. Enjin tersebut menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti 765LT coupe iaitu 765 PS (755 hp) pada takat 7,500 rpm dan tork maksima 800 Nm pada takat 5,500 rpm.

    Kuasa hanya dihantar ke roda belakang menerusi transmisi Sequential Shift Gearbox (SSG) tujuh-kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 330 km/j – juga sama seperti coupe walaupun badannya sedikit lebih berat.

    Pakej lain yang dipadankan pada model Spider ini juga sama seperti coupe termasuk penyerap hentak adaptif, Proactive Chassis Control II (PCC II), tayar Pirelli P Zero Trofeo R, rim forged 20-inci, serta brek karbon seramik dengan angkup aluminium forged enam-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang.

    Badan gentian karbon versi Spider ini juga sama dengan coupe bersama kit aerodinamik terdiri dari splitter hadapan, skirt sisi dan juga spoiler belakang aktif. Komponen-komponen ringan lain seperti sistem ekzos titanium dengan empat tip dan bateri lithium-ion turut dibawa ke model bumbung boleh buka ini.

    Juga sama seperti coupe, 765LT Spider ini adalah jentera pemanduan serius tanpa karpet, tanpa sistem pendingin hawa dan juga tanpa sistem audio bagi memastikan ia dihasilkan seringan yang boleh, namun pembeli masih boleh memadankan dua sistem berkenaan tanpa sebarang kos.

    Kabin model ini turut diberikan dengan tempat duduk gentian karbon, roda stereng, papan pemuka dan panel pintu yang dibalut dengan Alcantara. Tiada poket pintu diberikan sebaliknya diganti dengan jaring untuk anda menyimpan barang, manakala banyak struktur utama lain dibina dengan gentian karbon termasuk terowong tengah.

    McLaren turut menawarkan ciri opsyen yang boleh ditambah seperti Clubsport Pack untuk spesifikasi lebih fokus untuk litar, LT Black Pack untuk rupa lebih agresif, tempat duduk yang sama seperti McLaren Senna, pengangkat gandar hadapan, serta apa sahaja ubahsuai custom lain yang dijalankan oleh McLaren Special Operation yang membolehkan 765LT Spider anda berbeza dengan orang lain.

     
     
  • Volkswagen ID. Buzz – sekurang-kurangnya ada tiga varian dalam perancangan untuk Eropah dan AS

    Volkswagen ID. Buzz – sekurang-kurangnya ada tiga varian dalam perancangan untuk Eropah dan AS

    Volkswagen akan memperkenalkan van elektrik ID. Buzz sekurang-kurangnya dalam tiga versi untuk pasaran utama seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Menurut laporan Automotive News Europe, nanti akan ada versi penumpang enam tempat duduk di Eropah untuk servis perkongsian kenderaan, dan setiap tempat duduk boleh diakses secara berasingan dan mempunyai skrin informasi sendiri.

    Sementara itu untuk pasaran AS, mereka akan mendapat varian khas, dibuat untuk pelanggan yang bergerak sendirian atau dalam kumpulan kecil. Versi ini hanya akan mempunyai empat tempat duduk dengan dua menghadap ke depan dan dua lagi menghadap ke belakang.

    Versi ketiga adalah kenderaan komersial, yang dipanggil sebagai ID. Buzz Cargo. Ia akan direka dan dibina untuk pelanggan sektor penghantaran barang, yang mana ia dijangka semakin berkembang selari dengan aktiviti beli-belah dalam talian. Laporan itu turut menyatakan ID. Buzz akan mula dijual di Eropah pada hujung tahun 2022 sementara AS pula dalam tahun 2024.

    Volkswagen ID. Buzz – sekurang-kurangnya ada tiga varian dalam perancangan untuk Eropah dan AS

    Semasa sesi pembentangan strategi perniagaan Volkswagen 13 Julai lalu, syarikat itu telah mendedahkan mereka sudah menguji prototaip ID. Buzz dengan fungsi pemanduan autonomous Level 4. Ini bermakna, van tersebut boleh bergerak sendiri tanpa pemerhatian manusia (tempat duduk pemandu boleh dipusing menghadap ke belakang), tetapi cuma dalam keadaan tertentu. Volkswagen memberitahu terdapat potensi untuk van penghantaran yang boleh bergerak sendiri.

    Ketua bahagian pembangunan pemanduan autonomous Volkswagen, Christian Senger memberitahu bahawa ID. Buzz Cargo autonomous tidak memerlukan pemandu (manusia) dan boleh menjadikan penghantaran lebih produktif. “Jawapan kami adalah van penghantaran autonomous untuk rangkaian pengedaran masa hadapan, di mana pekerja yang menghantar barang tidak lagi memerlukan lesen memandu dan boleh menjadi penumpang yang lebih fokus kepada barangan dibawa dan tempahan penghantaran mereka,” kata Senger.

    GALERI: Volkswagen I.D. Buzz Concept

     
     
  • Hyundai Custo 2022 ditunjuk dalam teaser rasmi

    Hyundai Custo 2022 ditunjuk dalam teaser rasmi

    Imej MPV Hyundai Custo telah mula ditunjuk melalui akaun media sosial rasmi syarikat itu di Weibo, berikutan kebocoran imej luarannya dalam dokumen kepada kementerian industri dan teknologi maklumat China, untuk kelulusan jualannya di negara tersebut.

    Direka untuk memuatkan enam atau tujuh penumpang, Custo berkongsi sentuhan rekaan yang sama dengan Tucson terkini, dengan penampilan “Parametric Dynamics” di bahagian gril. Imej teaser rasmi ini mendedahkan yang bahagian gril Custo turut menyertakan DRL bersapadu di dalamnya, dengan lampu utama lebih mirip kepada rekaan pada Tucson, yang menyamai DRL berkenaan.

    Dari tepi, ia menerapkan bentuk yang dijangkakan bagi tujuan penyediaan ruang kabin yang luas, dengan kelebihan garis badan yang lebih ketara, memberikannya sebuah imej yang lebih “rajin” berbanding sentuhan mendatar seperti kebanyakan rekaan MPV biasa.

    Hyundai Custo 2022 ditunjuk dalam teaser rasmi

    Seperti yang terlihat dalam imej bocor sebelum ini, bahagian bawah bampar depannya dengan rekaan ala skid plate juga menyumbang kelainan, disertai juga dengan elemen pelindung plastik pada lengkung tayar dan juga bahagian bawah dan bucu bampar depan dan belakangnya.

    Custo juga sebelum ini dimaklumkan akan menampilkan ciri pintu gelungsur, sementara rodanya akan ditawarkan dalam dua pilihan. Dalam gambar ini, pintu ruang belakangnya kelihatan menggunakan warna badan pada bahagian panel tengahnya, yang juga merupakan satu daripada dua pilihan yang tertera dalam dokumen rasmi China tersebut. Satu lagi ialah pilihan untuk panel hitam.

    Lampu belakang dengan bentuk C digabungkan dengan lampu melintang yang ada di tengah, membentuk satu susunan yang tampil sama seperti yang ada pada Sonata, tetapi dalam kedudukan terbalik.

    Hyundai Custo 2022 ditunjuk dalam teaser rasmi

    Pendedahan awal oleh CarNewsChina pula melaporkan yang Hyundai Custo ini berukuran 4,950 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,734 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,055 mm. Sebagai perbandingan, MPV Hyundai Staria memiliki ukuran 5,253 mm panjang, 1,997 mm lebar dan 1,990 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,273 mm — ia lebih luas kerana direka untuk memuatkan 11 orang penumpang.

    Dari segi sistem janaan kuasa, MPV untuk pasaran China ini akan ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 170 hp, dan juga 2.0 liter turbocas yang menghasilkan 236 hp.

     
     
  • HSDM lanjut kempen servis pertengahan tahun hingga 31 Ogos 2021 – diskaun hingga 25% untuk alat ganti

    HSDM lanjut kempen servis pertengahan tahun hingga 31 Ogos 2021 – diskaun hingga 25% untuk alat ganti
    /
    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah. mengumumkan kempen servis pertengahan tahun telah dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2021, untuk pelanggan yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Sebelum ini, kempen tersebut dijadualkan berakhir pada 31 Julai 2021.

    “Segelintir pelanggan kami terlepas untuk menyertai kempen ini disebabkan lockdown penuh yang tidak membenarkan perjalanan melebih 10 km dari kediaman masing-masing, membuatkan mereka tidak dapat menghantar kereta untuk diselenggara. Justeru, kami membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh kempen ini agar lebih ramai pelanggan dapat manfaatnya,” ujar Low Yuan Lung, Pengarah Urusan HSDM.

    Kempen servis pertengahan tahun oleh HSDM ini menawarkan diskaun sehingga 15% untuk alat ganti terpilih dan juga 10% untuk kos buruh. Bagi pemegang Kad Kesetiaan Hyundai pula bakal menerima diskaun tambahan iaitu 25% untuk alat ganti dan 15% bagi kos buruh. Alat ganti yang termasuk dalam senarai diskaun ialah gasket, penapis minyak, penapis udara, dan spark plug, serta beberapa lagi.

    Kad kesetiaan Hyundai diberikan secara automatik untuk semua pelanggan baharu, tetapi pelanggan lama atau yang sedia ada boleh memohonnya secara percuma. Keistimewaan bagi kad ini termasuklah promosi bulanan eksklusif, seperti diskaun 20% untuk produk Klima Fresh dan BlueChem. Ahli juga boleh menikmati lebih banyak keistimewaan pada masa hadapan, termasuk diskaun bulan harijadi untuk servis selepas jualan, diskaun untuk cenderahati Hyundai dan juga nilai trade-in yang lebih tinggi apabila mereka membeli model baharu Hyundai.

     
     
  • Subaru WRX 2022 sah akan muncul di NYIAS 19 Ogos

    Subaru WRX 2022 sah akan muncul di NYIAS 19 Ogos

    Subaru telah mengesahkan WRX 2022 akan membuat penampilan pertamanya semasa New York International Auto Show (NYIAS) 19 Ogos nanti. Bersama dengan pengumuman itu, mereka juga telah menyiarkan beberapa lagi teaser bagi menambahkan keterujaan orang ramai terhadap sedan prestasi tersebut.

    Dalam video yang dimuat naik di laman web khas Subaru, kita boleh menyaksikan sebuah WRX berwarna oren membuat aksi sampai menaikkan debu tebal di padang pasir, dan turut mendengarkan bunyi daripada enjin boxer. Bukan semua benda didedahkan, tetapi kita masih dapat melihat beberapa lagi perincian.

    Jika anda hentikan video pada saat ke 28, anda boleh melihat lampu belakang yang seakan-akan BRZ terbaru. Dalam bahagian lain video itu, kita juga boleh melihat perincian seperti kemasan hitam pada badan dan rim, serta dua muncung ekzos pada satu bahagian yang mungkin menjadikan keseluruhannya ada empat. Daripada teaser sebelum ini, kita sudah mengetahui WRX baru akan menggunakan gril serta skup atas bonet yang lebih besar.

    Ini adalah antara konsep rekaan yang digunakan untuk membezakan WRX dengan model Impreza biasa, tetapi asasnya masih lagi sama iaitu Subaru Global Platform. Platform ini telah digunakan pada semua model terbaru Subaru, termasuklah Impreza generasi kelima (termasuk versi XV/Crosstrek), Legacy generasi ketujuh, Forester generasi kelima, Outback generasi keenam, Levorg generasi kedua serta Ascent.

    WRX baru dijangka mendapat enjin boxer empat silinder 2.4 liter turbo FA24F seperti Ascent, Outback dan Legacy, tetapi kuasanya mungkin lebih tinggi daripada 260 hp dan 376 hp yang mampu dihasilkan oleh model biasa yang disebutkan.

    Transmisi manual enam kelajuan dan CVT adalah pilihan yang mungkin diberi, sementara sistem Symmetrical All-Wheel Drive pula datang secara standard. Selepas WRX diperkenalkan, kita juga boleh menjangka ketibaan model STI yang lebih berkuasa pula.

    WRX sudah ditawarkan sebagai pilihan tambahan kepada Impreza sejak generasi pertama sehingga generasi keempat. Walaubagaimanapun, bagi generasi kelima, Subaru telah mengambil keputusan untuk mengasingkan model WRX dengan model sedan/hatchback, sekaligus membawa kepada model WRX generasi pertama yang menggunakan nama kod VA.

     
     
  • SsangYong tunjuk teaser rekaan ala Jeep bagi X200

    SsangYong tunjuk teaser rekaan ala Jeep bagi X200

    SsangYong telah mendedahkan lakaran bagi model akan datang keluaran syarikat itu, dengan kod nama X200. Kenderaan tersebut mengikut jejak yang sama dengan J100 yang diumumkan bulan lalu, menjadi sebuah SUV elektrik saiz sederhana dengan penampilan rugged.

    X200 ini pula datang dengan penampilan yang lebih lasak, dan bersedia untuk off-road. Mengenakan reka bentuk berkotak dan bersegi, sekilas pandang seperti membawa kesinambungan rekaan dari Jeep Wrangler. Rekaan lampu utama di depan bulat, gril melintang di tengahnya, fender tayar berketul dengan lengkung tayar bersegi serta cermin depan dan belakang yang tegak kedudukannya.

    Walaupun nampak persamaan dengan rekaan jenama Jeep, SsangYong sebenarnya memang mempunyai sejarah dengan jenama Amerika itu, dengan membangunkan model Jeep sebelum ini dengan lesen dan menjenamakannya sebagai Korando. Model generasi keduanya mengekalkan penampilan yang sama walaupun telah beralih kepada platfrom Musso yang lebih pendek seperti yang dapat dilihat pada X200 ini.

    SsangYong tunjuk teaser rekaan ala Jeep bagi X200

    Kedua-dua J100 dan X200 ini menampilkan falsafah rekaan baru syarikat itu, “Powered by Toughness”, yang meneruskan semangat dan mesej “Korean Can Do” dari barisan produk Korando. Ini memberi petunjuk bahawa kemungkinan besar X200 ini akan menjadi Korando generasi seterusnya, walaupun model semasa ketika ini masih baru dan diperkenalkan dua tahun lalu.

    J100 dijangka akan masuk pasaran tahun depan, dengan belum adanya jangka masa rasmi diberikan untuk pengenalan X200 ini, ia mungkin diperkenalkan tidak lama selepas itu. Belum diketahui juga unit janaan yang akan digunakan, tetapi kemungkinan besar akan libatkan teknologi elektrifikasi.

    SsangYong sedang bertarung untuk bangkit dari status bankrap tahun lalu, yang berlaku selepas pemiliknya, Mahindra memberhentikan pelaburan ke dalam syarikat itu disebabkan penurunan angka jualan. Syarikat itu kini mensasarkan untuk menarik pelabur baru yang sanggup memberi komitmen untuk pelaburan berterusan pada masa hadapan melalui penggabungan dan pemilikan kepentingan.

     
     
  • Geely Binyue Pro facelift 2021 – imej rasmi didedah, akan mula dijual di pasaran China bulan hadapan

    Geely Binyue Pro facelift 2021 – imej rasmi didedah, akan mula dijual di pasaran China bulan hadapan

    Geely Binyue Pro, versi lebih sporty untuk Binyue pasaran China iaitu kembar kepada Proton X50 di Malaysia telah diperkenalkan tahun lalu. Namun tahun ini, ia diperkenalkan pula dalam versi facelift – imej-imej dan perincian awalannya sudah didedahkan, dan bakal dijual di sana bermula bulan hadapan.

    Model kemaskini ini menerima penyegaran kecil pada bahagian luar dan dalam. Untuk muka, Binyue Pro facelift ini tidak lagi mengenakan gril expanding cosmos Geely, tetapi ia tampil lebih berani dengan gril sarang lebah. Bamparnya juga disentuh semula dengan menyerlahkan kemasan berwarna kelabu seakan membentuk huruf ‘X’ di mukanya.

    Kluster dan juga rekaan grafik pada lampu hadapan masih lagi nampak sama, tetapi Geely memberikan ‘persembahan selamat datang’ baharu pada lampu berkenaan apabila kunci dibuka. Manakala spoiler bawah bampar kini lebih ringkas dengan dengan hanya satu lapisan, berbanding dua lapisan sebelum ini.

    Geely Binyue Pro facelift 2021 – imej rasmi didedah, akan mula dijual di pasaran China bulan hadapan

    Model dengan warna kuning yang dipaparkan ini dilihat turut grafik badan istimewa bersama tiga jalur kuning yang diberikan pada spoiler hadapan serta di atas kemasan pintu. Bampar belakang turut diubah dengan mengenakan kemasan diffuser yang nampak lebih agresif bersama serlahan jalur kuning. Manakala untuk spoiler bumbung, ia nampaknya diberikan kemasan yang nampak seakan diperbuat dari gentian karbon.

    Bagi model yang datang dengan warna badan putih dan biru metalik, grafik dan jalur serlahan badan masing-masing dalam kemasan merah dan putih. Kesemua versi Binyue Pro facelift ini diberikan bumbung berwarna hitam tidak kira dalam apa jua pilihan warna badan.

    Binyue Pro facelift ini diberikan rim 18-inci dengan dua rekaan dalam kemasan digilap manakala pilihan sports kit diberikan rekaan dengan kemasan hitam bersama angkup brek berwarna merah. Rim berkenaan dibalut dengan tayar bersaiz 215/55R18.

    Geely Binyue Pro facelift 2021 – imej rasmi didedah, akan mula dijual di pasaran China bulan hadapan

    Pada bahagian kabin, rekaan asas dilihat masih lagi sama dengan model sedia ada. Perubahan utama yang dapat dilihat adalah skrin infotainmen lebih besar bersaiz 12.3-inci menggantikan unit 10.25-inci sebelumnya. Paparan instrumen digital untuk pemandu pula masih tidak berubah.

    Untuk upholsteri, ia diberikan skema warna dua tona dengan warna asas hitam digandingkan dengan serlahan warna bergantung warna luaran; misalnya untuk kereta berwarna kuning, bahagian kabin akan datang dengan upholsteri hitam-kuning.

    Skema warna berkenaan turut diberikan pada balutan kulit pada roda stereng dengan butang pelbagai fungsi. Binyue Pro facelift ini juga menerima tombol gear baharu bersama bumbung panaromik.

    Menurut laporan Autohome.cn, panel-panel dalam kabin Binyue Pro facelift ini diberikan kemasan yang nampak seperti logam kusam, dan kini dilengkapi dengan lampu suasana yang boleh dilaras dengan 72-warna. Lampu suasana berkenaan turut akan memberikan mod animasi yang boleh digandingkan dengan pilihan mod pemanduan, kelajuan kereta, irama muzik yang sedang dimainkan dan pelbagai lagi.

    Buat masa sekarang spesifikasi Binyue Pro facelift 2021 ini masih belum diumumkan. Model sedia ada yang dijual di China pula menampilkan dua pilihan enjin iaitu 1.4 liter turbo empat silinder berkuasa 141 PS/235 Nm, dan juga unit 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 177 hp/255 Nm.

     
     
  • Tiga kluster wujud akibat aktiviti rentas negeri – KKM

    Tiga kluster wujud akibat aktiviti rentas negeri – KKM

    Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kementeriannya telah mengesan tiga kluster baharu disebabkan aktiviti rentas negeri yang sehingga kini menjangkiti 68 individu.

    Jelasnya, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Kampung Puteh yang dikesan di Machang, Kelantan. Di mana kes indeks bagi kluster ini adalah seorang lelaki warganegara berusia 38 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 21 Julai lalu hasil saringan kontak rapat, laporan Berita Harian.

    “Lelaki ini mempunyai sejarah merentas negeri ke Selangor pada 12 hingga 17 Julai lalu dan nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes dilaporkan berlaku berlaku iaitu di Kampung Hutan Puteh, Machang. Sehingga kini seramai 40 individu sudah disaring dan daripada jumlah berkenaan 13 orang dijangkiti termasuk lima kes yang dikesan hari ini,” katanya semalam.

    Bagi kluster kedua pula, ia dikenali sebagai Kluster Kampung Anak Ikan di Besut, Terengganu yang membabitkan kes indeks, seorang lelaki berusia 31 tahun yang mula mengalami gejala COVID-19 pada 17 Julai lalu.

    Tiga kluster wujud akibat aktiviti rentas negeri – KKM

    “Lelaki ini mempunyai sejarah merentas negeri ke Pahang pada 11 hingga 15 Julai lalu dan sehingga kini seramai 117 individu sudah disaring iaitu 29 daripadanya dijangkiti termasuk 11 kes baharu yang dilaporkan hari ini (semalam),” katanya.

    Manakala kluster membabitkan aktiviti rentas negeri yang terakhir dikenali sebagai Kluster Paya Keladan di Temerloh, Pahang. Ia berpunca daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 19 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

    “Kes mempunyai sejarah merentas negeri ke Kelantan pada 12 hingga 14 Julai lalu dan sehingga kini seramai 61 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu 26 kes dijangkiti termasuk tiga kes baharu yang dikesan hari ini (semalam),” katanya.

    Sehingga kini, kerajaan masih mengekalkan larangan rentas daerah mahu pun negeri di seluruh negara, kecuali mendapat permit kebenaran rentas daripada pihak Polis DiRaja Malaysia utuk urusan kecemasan mahu pun mustahak serta bagi yang merentas atas faktor urusan kerja, perlukan disertakan dengan surat yang dikeluarkan oleh oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

     
     
  • Aston Martin akan hasilkan model khas ‘JDT Edition’, bakal dijual oleh kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim

    Aston Martin akan hasilkan model khas ‘JDT Edition’, bakal dijual oleh kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim

    Kelab bola sepak terkemuka negara, Johor Darul Ta’zim hari ini mengumumkan mereka kini bekerjasama dengan pembuat kereta sport British, Aston Martin. Perjanjian antara kelab yang digelar Harimau Selatan berkenaan dengan Aston Martin Racing Asia tersebut akan menyaksikan penghasilan model kereta sport ‘JDT Edition’ dan ia akan dijual oleh JDT sendiri.

    Menurut JDT, kerjasama ini bakal mengukuhkan lagi jenama mereka sebagai peneraju bola sepak di Asia Tenggara. “Kami berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan Ibu Pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom dan pejabat Asia,” kata JDT dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tadi.

    “Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang,” tambah kenyataan itu lagi.

    JDT turut menyatakan bahawa kerjasama ini juga boleh digambarkan sebagai kerjasama antara juara dalam bidang masing-masing dengan JDT selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut manakala Aston Martin pula adalah juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020.

    “JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.

    “Aston Martin Racing pula merupakan salah satu jenama antarabangsa yang bekerjasama dengan Harimau Selatan. Kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa ini juga menunjukkan peningkatan jenama kelab yang hebat dan kukuh sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2013,” tulis kenyataan itu.

    Walau bagaimanapun, masih belum ada perincian lebih teliti terhadap model JDT Edition yang akan dihasilkan kelak, termasuk model mana yang akan dipilih sebagai asas.

     
     
  • Puspakom umum jadual unit bergerak bagi bulan Ogos

    Puspakom umum jadual unit bergerak bagi bulan Ogos

    Puspakom telah mengeluarkan jadual bulan Ogos bagi khidmat unit pemeriksaan bergeraknya di Semenanjung, serta pemeriksaan di lokasi bagi Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak ini akan berkunjung ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuannya usaha ini adalah untuk memudahkan mereka yang tinggal berjauhan dari cawangan Puspakom. Antara servis yang ditawarkan ialah pemeriksaan rutin, pemindahan hak milik dan pemeriksaan kenderaan sukarela.

    Untuk Malaysia Timur, tidak ada trak besar yang sama membuat pusingan ke lokasi, sebaliknya petugas dengan alatan ujian di lokasi akan membuat kunjungan di Ranau, Kudat, Kota Belud, Kunak, Kapit, Limbang dan Marudi, selain kawasan terpencil lain di Sabah dan Sarawak.

    Menurut Puspakom, pelanggan boleh terus berkunjung ke lokasi seperti yang dinyatakan pada tarikh berkenaan tanpa perlu membuat sebarang temujanji dalam talian terlebih dahulu, bukan seperti ketika ingin berurusan di cawangan Puspakom. Unit pemeriksaan bergerak ini akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Jangan lupa untuk mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

    Dalam perkembangan lain, cawangan Puspakom di Sungai Petani pula masih ditutup. Pelanggan yang ada berkungjung ke premis itu dan merasa tidak sedap badan atau ada simptom Covid-19 adalah dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan segera.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia mula siarkan teaser E-Class facelift W213 – pendaftaran minat kini dibuka

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mula mengeluarkan teaser untuk E-Class W213 facelift, iaitu model yang didedahkan pertama kali kepada dunia Mac lalu. Maklumat lain seperti tarikh pelancaran masih belum diberitahu, tetapi sekiranya berminat, anda boleh mendaftar di sini.

    Model facelift ini boleh dikenali melalui gril baru yang lebih nipis berbanding sebelum ini, dan datang dalam beberapa bentuk berbeza mengikut pakej kemasan luar sama ada Avantgarde Line, Exclusive Line atau AMG Line. Selain itu, lampu hadapan juga adalah lebih kecil dan tajam, dan mempunyai DRL berbentuk L di bahagian atas – seperti CLA dan CLS terbaru.

    Pada bahagian belakang, lampu jenis terpisah dua yang mendatar menggantikan unit dengan pencahayaan menegak sebelum ini dan ia sekarang mempunyai pencahayaan berbintik seperti diode. Masuk ke dalam, kita boleh menjangka penggunaan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang boleh dipilih sama ada bersama skrin 10.25 inci atau 12.3 inci.

    Perubahan lain dalam kabin mungkin termasuk rekaan roda stereng baru yang bersesuaian dengan kemasan yang dipilih, bersama balutan serta pilihan kelengkapan baru. E-Class baru ini juga datang dengan pelbagai sistem bantuan pemandu, tetapi untuk model yang akan memasuki pasaran Malaysia ini kita perlu menunggu pelancarannya untuk mengetahui apa yang akan ditawarkan.

    Selain itu, kita juga masih belum mengetahui sama ada model pasaran Malaysia ini akan menerima enjin M254 baru yang menggantikan unit M264 pada model yang dipasarkan sekarang. Enjin M254 ini adalah unit empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa 272 PS (268 hp) dan 400 Nm tork, dan mendapat sokongan sistem hibrid ringkas EQ Boost 48 volt dengan starter-generator bersepadu (ISG) yang memberikan tambahan 20 PS (20 hp) dan 180 Nm tork apabila perlu.

    Mercedes-Benz E-Class facelift W213 AMG Line

    Mercedes-Benz E-Class facelift W213 Exclusive Line

     
     
  • Masalah bekalan cip akan reda beberapa minggu lagi

    Masalah bekalan cip akan reda beberapa minggu lagi

    Masalah kekurangan bekalan semikonduktor dalam industri automotif dunia yang sudah berlaku sekitar satu tahun bukan lagi satu rahsia. Ia memberi kesan besar kepada banyak pengeluar apatah lagi waktu permintaan sedang kembali naik sekarang. Walaubagaimanapun, menurut laporan Reuters, seorang pakar ekonomi menjangkakan masalah ini akan berakhir tidak lama lagi.

    Semasa Forum Pasaran Global Reuters, ketua ekonomi ING Greater China, Iris Pang telah memberitahu bahawa China mungkin akan mengambil sedikit permintaan pengeluaran daripada Taiwan kerana jumlah pengeluaran dan operasi pelabuhan di negara itu mengalami masalah disebabkan kekangan yang dibuat kerana Covid-19. Disebabkan itu, beliau memberitahu, syarikat semikonduktor Taiwan sedang meningkatkan pengeluaran di China.

    “Dalam aspek GDP, China menerima lima peratus daripada kekurangan bekalan cip ini – syarikat semikonduktor Taiwan telah membuat perancangan yang bagus dan membina kilang yang besar di tanah besar China,” kata Pang. “Pengeluar semikonduktor Taiwan bersiap untuk membuat cip kenderaan, jadi kekurangan cip automotif akan diselesaikan dalam masa beberapa minggu lagi. Masalah kekurangan cip bagi barangan elektronik lain pula masih berterusan.”

    Masalah bekalan cip akan reda beberapa minggu lagi

    Pang menjangka kekurangan bekalan cip ini akan memberi impak kepada pengeluaran telefon pintar pula selepas ini, dan menyebabkan kelambatan pada pengenalan model baru. Peserta lain di forum sama turut berkata kekurangan bekalan cip ini secara meluas mungkin boleh berterusan sehingga suku kedua tahun 2022, dengan Pang pula menambah pelombong matawang kripto sekarang malah sedang cuba untuk menggunakan kembali cip terpakai.

    Jangkaan Pang untuk industri automotif boleh dikatakan agak optimis memandangkan Mazda, Jaguar dan Renault menjangkakan kekurangan bekalan ini akan terjadi sehingga 2022. Ini kerana mereka terkesan dengan kenyataan CEO Stellantis, seperti dilaporkan oleh Automotive News Europe, yang menyatakan beliau sendiri tidak pasti dengan keadaan sebenar dan tiada tanda pengeluaran tambahan dari sumber Asia akan pergi ke negara Barat dalam masa terdekat ini.

     
     
  • Volkswagen Amarok W580X 2022 bikinan Walkinshaw

    Volkswagen Amarok W580X 2022 bikinan Walkinshaw

    Volkswagen Amarok dah cukup lama berada dalam pasaran dan usianya juga sudah cukup tua. Pertama kali diperkenalkan pada 2010, dan memang akan ada model barunya dalam perancangan, yang menggunakan asas Ford Ranger. Ford mengetuai projek tersebut, tetapi Volkswagen menjanjikan perbezaan ketara antara keduanya. Model ini dijangka dilancarkan di Australia pada 2023.

    Sementara itu, interprestasi terhadap trak pikap ini masih diteruskan oleh mereka yang berminat. Di Australia, di mana Amarok mempunyai peminat yang ramai, Volkswagen telah bekerjsama dengan Walkinshaw untuk menyuntik penampilan baru bagi model lama tersebut. Penala tempatan itu sebelum ini membikin W580 tahun lepas. Kini, mereka menumpukan perhatian untuk W580X off-road ini pula.

    Menurut laman CarExpert, W580X ini hanya akan dijual pada April 2022, dan ia merupakan versi off-road bagi W580 dan W580S yang lebih cenderung untuk jalanan. Ini semisal lawan kepada model seperti Ford Ranger Raptor, Toyota Hilux Rugged X dan Nissan Navara Warrior.

    Volkswagen Amarok W580X 2022 bikinan Walkinshaw

    Amarok W580X memanfaatkan suspensi depan yang lebih tinggi, penyerap hentak dwi-tabung MTV untuk off-road, rock slider, serta plat penampan dengan nama Amarok. Pelindung bawah badan Seikel serta snorkel pilihan juga ada, dan juga rim aloi diperkukuh 18-inci dengan tayar AT.

    Turut termasuk dalam kelengkapan standardnya ialah rekaan gril depan baru, perincian pada bampar, lampu kabus LED, kemasan kerusi velour dengan jenama Walkinshaw, kerusi depan dengan penghangat, lampu depan bi-xenon dengan DRL LED, kawalan pendingin dwi-zon, stereng dengan suis multi-fungsi dengan paddle shifter, perumah cermin sisi dan bampar hitam, peninjau tekanan tayar serta lampu palang LED di bawah nombor plat.

    Tiada perubahan untuk enjin, masih menggunakan unit 3.0 liter V6 turbodiesel dengan 255 hp dan 580 Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem 4Motion AWD.

     
     
  • PLUS jadi ibu pejabat lebuhraya pertama yang diaktifkan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Integrasi

    PLUS jadi ibu pejabat lebuhraya pertama yang diaktifkan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Integrasi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan ibu pejabatnya telah diaktifkan sebagai sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI) untuk memberi vaksin kepada 2,000 individu sehari. Ini merupakan ibu pejabat lebuhraya pertama yang dijadikan PPVI, dan ia adalah dengan kerjasama rakan penasihat perubatannya, Primer Cherang bersama Protech Health, pelaksana pengamal perubatan swasta dan penyertaan agensi penjagaan kesihatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Pasukan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah memilih Ibu Pejabat Persada PLUS sebagai salah satu daripada 14 lokasi imunisasi awam untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Kapasiti Lonjakan Operasi (Operation Surge Capacity) bagi memastikan semua orang dewasa akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos dan membantu melandaikan lengkuk jangkitan.

    “Sehingga Ahad 25 Julai, PICK telah melaporkan lebih 16 juta dos yang terdiri daripada dos pertama dan dos kedua telah berjaya diberikan, di mana kira-kira 11.5 juta penduduk telah menerima dos pertama mereka dan lebih daripada 5.4 juta telah divaksin sepenuhnya dengan dua dos.

    Berdasarkan data ini, PLUS berbangga dapat memainkan peranannya bagi membantu negara mempercepatkan kadar pemberian imunisasinya. Lebih cepat kita dapat mencapai sasaran untuk membolehkan kita memasuki empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), lebih cepat ekonomi dapat diperbaiki dan perniagaan boleh pulih,” kata Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS.

    Menurut PLUS lagi, penyertaan ini juga memberi peluang kepada kakitangan mereka untuk menyumbang kepada peristiwa yang bermakna dan bersejarah. Sebagai kakitangan yang menjadi kebanggaan organisasi, kakitangan PLUS menyertai pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 150 petugas kesihatan daripada Primer Cherang dan Protect Health. Dalam misi untuk membantu seberapa ramai individu di Malaysia untuk diberi vaksin, ia juga merupakan salah satu usaha untuk memelihara dan melindungi daripada dijangkiti Coronavirus.

     
     
  • Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem range extender, bakal muncul pada November ini?

    Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem range extender, bakal muncul pada November ini?

    Februari lalu ada berita mengatakan bahawa Daihatsu bakal memperkenalkan SUV kompak Rocky dalam versi rangkaian kuasa hibrid yang akan dilancarkan di Jepun pada tahun ini. Khabar terbaharu dari negara matahari terbit berkenaan, Rocky Hybrid tersebut akan didedahkan pada November nanti, bersama model facelift untuk versi 1.0L Turbo biasa.

    Perkara ini didedahkan oleh portal creative311 yang memetik laporan dari majalah berbahasa Jepun, Mag-X. Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan oleh Daihatsu ketika ini, namun laporan dari Mag-X berkenaan menyebut bahawa Rocky mungkin akan menerima sistem rangkaian baharu e-Smart Hybrid yang dihasilkan sendiri oleh pakar pembuat kereta kompak tersebut.

    Sistem e-Smart Hybrid ini bukanlah seperti sistem hibrid konvensional yang digunakan oleh Toyota mahupun sistem-sistem hibrid ringkas yang lain. Ia adalah sistem hibrid jenis range extender, sama seperti sistem e-Power yang digunakan oleh Nissan buat masa sekarang.

    Menerusi sistem range extender ini, enjin petrol pada kereta tersebut tidak akan memacu tayar, tetapi ia berfungsi hanya untuk mengecas bateri hibrid yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik. Jadi tayar pada kenderaan yang diberikan sistem e-Smart Hybrid ini hanya akan dipacu oleh motor elektrik sepenuhnya. Secara ringkasnya, enjin petrol yang diberikan hanya berfungsi seperti ‘generator pasar malam’.

    Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem range extender, bakal muncul pada November ini?

    Menurut Mag-X lagi, sistem ini bukan hanya diberikan pada Rocky sahaja, malah ia juga akan ditampilkan pada kembarnya, Toyota Raize. Kedua-dua model ini akan mula diproduksi bermula Oktober ini sebelum diperkenalkan pada bulan seterusnya.

    Bagi model 1.0L Turbo facelift pula, ia dijangka akan menampilkan perubahan rekaan kecil pada bahagian luaran dan dalaman, dan bakal didedahkan serentak dengan Rocky/Raize Hybrid.

    Buat masa sekarang, kembar Rocky dan Raize untuk pasaran Malaysia iaitu Perodua Ativa diberikan kelengkapan tertinggi yang setaraf dengan model-model JDM berkenaan, kecuali penawaran sistem pacuan semua roda. Adakah Perodua turut akan memperkenalkan versi e-Smart Hybrid yang sama untuk Ativa kelak?

     
     
  • Porsche Renndienst pamer rekaan dalaman futuristik

    Porsche Renndienst pamer rekaan dalaman futuristik

    November tahun lalu, sebuah model konsep Porsche Renndienst, sebuah MPV keluarga enam-tempat duduk yang dibangungkan senyap-senyap oleh Porsche. Kini, model tersebut muncul lagi, tetapi untuk memperlihatkan pula rekaan dalamannya.

    Di bahagian kokpit, kelihatan kerusi tunggal untuk pemandu di tengah, dengan dua paparan untuk penumpang di sisinya. Seperti juga kereta konsep futuristik yang lain, kerus pemandu ini boleh di pusing 180 darjah dengan satu langkah mudah, mengubah ruang kabin itu kepada sebuah ruang lebih luas untuk keluarga. Porsche memanggil ini sebagai kabin modular.

    Tiga individu utama di Porsche — pengarah rekaan pengalaman pengguna Ivo van Hulten, ketua pereka Michael Mauer dan ketua pereka dalaman Markus Auerbach — bergabung tenaga untuk menghasilkan sebuah ruang yang penuh dengan fungsi untuk kegunaan masa hadapan.

    Porsche Renndienst pamer rekaan dalaman futuristik

    Bahagian sisi Renndienst adalah tidak simetrikal. Sebelah tertutup, sementara sebelah lagi diletakkan bukaan tingkap luas untuk melihat ke luar. Penumpang di barisan tengah duduk dalam kerusi semi-bucket yang ergonomik, dan mempunyai pandangan hadapan yang jelas. Barisan kerusi terakhir pula menampilkan perehat kepala apungan.

    Auerback menambah bahawa kerusi dalam rekaan ini telah direka untuk bergerak, dan keseluruhan ruang yang ada menyerupai sebuah lounge. “Kerusi panjang membolehkan sudut duduk yang berbeza disebabkan oleh bahagian tepinya yang melengkung. Kita boleh duduk bertentangan sesama sendiri. Ia sebuah ruang dengan idea komunikatif yang menenangkan, menawarkan posisi duduk untuk berbual, bekerja dan berehat.”

    Material dari bahan diperbaharui akan digunakan secara meluas dalam kabin ini, seperti kayu, logam dan plastik yang di kitar semula. Material pintar yang bereaksi “dengan faktor luaran dan bersinar tanpa perlu pencahayaan secara langsung” serta “yang berterusan menukar bentuk agar ergonomik untuk penumpang” juga akan digunakan untuk ruang dalamannya.