Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Lamborghini bakal hidupkan semula Countach!

    Lamborghini bakal hidupkan semula Countach!

    Tanpa sebarang petanda, tiba-tiba Lamborghini telah mengumumkan bahawa nama salah satu supercar mereka yang begitu ikonik pada era 70’an dan 80’an, Countach bakal dihidupkan semula.

    Pengumuman berkenaan dibuat dengan turut menyiarkan teaser yang menunjukkan sebuah kereta yang diselubung sepenuhnya, menampilkan bentuk badan seperti baji serta juntaian belakang yang pendek, sama seperti identiti Lamborghini Countach asli.

    Lamborghini turut menyiarkan video berdurasi 20 saat untuk memberitahu bahawa Countach bakal muncul semula dan bersedia untuk menjadi kereta poster di bilik-bilik kanak-kanak seperti era 70’an dan 80’a dahulu.

    Lamborghini bakal hidupkan semula Countach!

    Namun tiada sebarang perincian berkenaan sebarang spesifikasi supercar berkenaan, mahupun bila tarikh pelancaran sebenarnya. Tetapi mungkin boleh diagak, Countach generasi baharu ini akan menggunakan kerangka asas dan enjin V12 yang sama seperti Lamborghini Aventador sedia ada.

    Mungkin juga model kelahiran Countach ini akan menerima sistem rangkaian kuasa V12 bersama sistem hibrid elektrik kerana sebelum ini Lamborghini menyatakan bahawa Aventador Ultimae merupakan supercar Lamborghini terakhir yang menggunakan enjin V12 tanpa sebarang bantuan teknologi elektrifikasi.

     
     
  • Toyota Avanza Veloz GR Limited dilancar di Indonesia – terhad 3,700 unit untuk MPV sporty ini, dari RM65k

    Toyota Avanza Veloz GR Limited dilancar di Indonesia – terhad 3,700 unit untuk MPV sporty ini, dari RM65k

    Toyota Astra Motor (TAM) telah memperkenalkan Avanza Veloz GR Limited baharu untuk pasaran Indonesia, di mana ia merupakan varian baharu bagi MPV ini susulan keputusan syarikat ini untuk mengangkat penjenamaan Gazoo Racing (GR) bagi menggantikan TRD Sportivo.

    Untuk pengetahuan anda, Veloz merupakan versi sporty untuk Avanza yang dijual di Indonesia, dan rekaannya boleh dilihat menerusi Avanza yang dipasarkan di Malaysia. GR Limited dihadirkan dengan beberapa komponen baharu yang menjadikan MPV ini lebih sporty, dimulakan dengan bampar hadapan baharu yang dipadankan dengan gril bersama lencana GR.

    Sementara itu, bampar belakang juga menerima kepingan tambahan untuk menyambungkannya dengan elemen diffuser dekoratif bersama lencana GR terpahat padanya. Kemasan luaran termasuk cermin sisi dan roda 15-inci diberikan sentuhan hitam, sementara untuk ruang dalamannya tidak banyak berbeza berbanding Veloz biasa.


    Toyota Avanza Veloz GR Limited

    Manakala pilihan enjinnya masih dikekalkan seperti sebelum ini iaitu 1.3 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan kuasa 96.5 PS pada 6,000 rpm dan tork 120 Nm pada 4,200 rpm, dan unit 1.5 liter pula dengan 104 PS pada 6,000 rpm dan tork 136 Nm pada 4,200 rpm. Kedua-dua enjin dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, dengan pacuannya disalurkan ke roda belakang.

    Konfigurasi kesemua penjana kuasa didatangkan secara standard dengan penghidup enjin tanpa kunci, pendingin hawa manual dengan panel digital, unit utama skrin sesentuh, tempat duduk upholstery fabrik dan papan pemuka hitam dengan kemasan perak. Pembeli juga boleh memilih empat pilihan warna termasuk Super White, Black Metallic, Silver Metallic dan Dark Red Mica Metallic.



    Toyota Avanza biasa (kiri), Avanza Veloz (kanan) di Indonesia

    Harga bermula dari 221.4 juta rupiah (RM65,109) untuk GR Limited dalam model asas 1.3 MT, sementara 1.3 AT pula berharga 232.2 juta rupiah (RM68,285). Manakala bagi 1.5 MT pula ditawarkan pada harga 232.8 juta rupiah (RM68,461), dengan versi 1.5 AT pula berharga 243.8 juta rupiah (RM71,696).

    Anton Jimmi Suwandy, selaku pengarah pemasaran TAM, memberitahu Kompas, GR Limited ditawarkan secara terhad sebanyak 3,700 unit sahaja, dan model ini dilancarkan sempena ulang tahun ke-50 Toyota di Indonesia.

     
     
  • Toyota GR Supra 35th Anniversary Edition dikeluarkan di Jepun – pembeli perlu melalui cabutan khas dahulu

    Toyota GR Supra 35th Anniversary Edition dikeluarkan di Jepun – pembeli perlu melalui cabutan khas dahulu

    Tahun ini adalah tahun ke-35 sejak nama Supra digunakan pada model Toyota yang dilancarkan di Jepun. Bagi menyambut ulang tahun ini, Toyota telah memperkenalkan model istimewa GR Supra 35th Anniversary Edition.

    Seperti ramai yang mungkin sudah tahu, nama Supra digunakan buat pertama kali pada model Celica liftback tahun 1978, yang juga dikenali sebagai Celica Supra (dipanggil sebagai Celica XX di Jepun). Ia terus digunakan pada model generasi kedua, tetapi bagi generasi ketiga, Celica dan Supra diasingkan dengan Supra menjadi model sendiri pada tahun 1986.

    GR Supra 35th Anniversary Edition ini menggunakan asas daripada varian RZ dan SZ-R yang terdapat di Jepun, dan 35 unit dihasilkan untuk setiap satu varian. Walaubagaimanapun, untuk membelinya, pelanggan tidak boleh sekadar membuat tempahan seperti kereta biasa. Pertamanya, mereka perlu melalui satu cabutan khas terlebih dahulu.

    GR Supra 35th Anniversary Edition versi RZ tidak mendapat sebarang perubahan mekanikal, dan ia masih menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter turbo yang menghasilkan 387 PS (382 hp) dan 500 Nm tork. Cuma bahagian luarnya sahaja dicat dengan warna Matte Storm Grey, tempat duduk dibalut kulit warna merah dan diberikan pengecas telefon tanpa wayar.

    Sementara itu, GR Supra 35th Anniversary Edition versi SZ-R dipasang dengan angkup brek warna merah, cermin sisi hitam, balutan Alcantara dan kulit di dalam serta pedal sport. Pelanggan juga boleh memilih lima warna badan termasuk Lightning Yellow. Pada bahagian teknikal, ia masih menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo berkemampuan 258 PS (255 hp) dan 400 Nm tork.

    Kedua-dua versi GR Supra 35th Anniversary Edition ini dilengkapi dengan pacuan roda belakang, transmisi automatik lapan kelajuan, serta rim 19 inci yang dicat warna hitam matte. Bahagian dalam pula mempunyai kemasan gentian karbon, dan pada pemuka terdapat lencana “35th Anniversary”.

    Untuk harga, GR Supra 35th Anniversary Edition versi RZ dijual pada harga 7.835 juta yen (RM300,375), sementara GR Supra 35th Anniversary Edition versi SZ-R pula berharga 6.535 juta yen (RM250,536). Permohonan untuk menyertai cabutan ini sudah pun dibuka sekarang, sehingga hujung bulan Ogos ini, dan keputusan cabutan akan diumumkan pada 7 September.

     
     
  • Toyota Agya GR Sport 2022 dilancarkan di Indonesia – bermula RM45k, kit masih sama seperti TRD Sportivo

    Toyota Agya GR Sport 2022 dilancarkan di Indonesia – bermula RM45k, kit masih sama seperti TRD Sportivo

    Ini bukan imej render – kembar Perodua Axia di Indonesia iaitu Toyota Agya kini diperkenalkan dalam versi GR Sport! Walau bagaimanapun, secara teknikalnya ia hanyalah melibatkan pertukaran nama di mana sebahagian besar rupanya masih seiras dengan Agya TRD Sportivo sebelum ini.

    Perubahan berkenaan adalah termasuk kesemua logo dan pelekat TRD yang ditukar kepada logo dan pelekat GR, manakala jalur serlahan pada kiri dan kanan gril bampar yang sebelum ini berwarna merah ditukar ke warna hitam. Perincian lain pada Agya GR Sport ini dilihat masih lagi sama seperti Agya TRD Sportivo terdahulu.

    Toyota Agya GR Sport 2022 dilancarkan di Indonesia – bermula RM45k, kit masih sama seperti TRD Sportivo

    Tujuh warna ditawarkan untuk Agya paling sporty ini iaitu Merah, Oren Metalik, Kuning, Putih, Perak Metalik, dan Kelabu Metalik. Ia turut diberikan rim aloi 14-inci serta brek cakera berliang di hadapan dan brek dram di belakang. Ia hanya hadir dengan satu pilihan enjin iaitu untuk 1.2 liter empat silinder berkuasa 88 PS dan tork maksima 108 Nm.

    Toyota Agya GR Sport ini dijual di pasaran Indonesia bermula pada harga 154.4 juta rupiah (RM45k) untuk model 1.2 dengan transmisi manual lima kelajuan, diikuti model 1.2 dengan transmisi automatik empat-kelajuan dijual pada harga 170.4 juta rupiah (RM50k).

     
     
  • Toyota ganti nama TRD Sportivo dengan GR Sport di Indonesia bagi varian tertinggi; Agya hingga Fortuner

    Toyota ganti nama TRD Sportivo dengan GR Sport di Indonesia bagi varian tertinggi; Agya hingga Fortuner

    Pasaran ASEAN kenal dengan nama TRD Sportivo, yang sebelum ini digunakan pada varian paling tinggi bagi model-model Toyota. Namun, dengan penjenamaan Toyota Racing Development (TRD) beransur-ansur digugurkan untuk memberi laluan kepada Gazoo Racing (GR), maka perkembangan ini sudah boleh dijangka.

    Indonesia telah menyaksikannya dahulu, di mana hampir semua model Toyota yang dijual oleh Toyota Astra Motor (TAM) kini turut ditawarkan dalam varin GR Sport. Ia bermula pada April, ketika Toyota Raize baru dilancarkan dengan varian paling tinggi GR Sport. Kini, Agya, Yaris, Rush dan Fortuner baru juga semua ada varian tertinggi GR Sport ini. Avanza Veloz turut menggunakan penjenamaan GR, tetapi ia dikenali sebagai GR Limited bagi MPV najet berkenaan.

    Seperti yang boleh dijangka, varian GR Sport ini tidak memberikan tambahan kuasa atau pengendalian lebih baik. Kit biasanya termasuk bodykit, kemasan hitam, roda unik, lencana GR dan kelengkapan tambahan lain, jika ada. Nama GR Sport bagi varian lebih sporty tidak hanya ditawarkan di Indonesia. Model GR Sport juga ada diperkenalkan bagi Land Cruiser 300 di Jepun, C-HR di UK dan Australia, serta Corolla Altis di Taiwan.

    Malaysia juga sudah ada varian GR Sport dalam penawaran Vios GR-S, yang dilancarkan pada Disember tahun lalu, yang turut disertai GR Yaris. Vios yang paling mahal di sini, GR-S, sekurang-kurangnya lebih daripada sekadar melibatkan hanya bodykit. CVT yang ada padanya menggunakan program 10-kelajuan dengan paddle shift, serta ada juga suspensi sport dan rim lebih besar (17-inci) serta tayar prestasi (Toyo Proxes TR1).

    Di jual melalui cawangan GR Garage bersama Supra dan GR Yaris, serta pengedar Toyota yang terlibat dalam perlumbaan Vios Challenge, Vios GR-S diletakkan harga RM95,294 atas jalan tanpa insurans dan SST.

     
     
  • Geely, Renault meterai perjanjian kerjasama – fokus hasilkan kereta hibrid untuk pasaran Korea dan China

    Geely, Renault meterai perjanjian kerjasama – fokus hasilkan kereta hibrid untuk pasaran Korea dan China

    Geely Holding Group dan Renault Group telah mengumumkan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani bagi mewujudkan satu kerjasama antara kedua-dua syarikat berkenaan. Kerjasama ini dibuat bagi mempercepatkan rancangan “Renaulution” jenama dari Perancis tersebut yang akan ditumpukan pada China dan Korea Selatan sebagai pasaran utama.

    Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kedua-dua pihak akan berkongsi sumber dan teknologi bagi membangunkan kenderaan hibrid untuk kedua-dua pasaran yang dinyatakan itu. Secara spesifiknya, di China, Geely akan menyumbang kepakaran mereka bagi membangunkan kereta hibrid yang akan dijual dengan jenama Renault, manakala Renault bakal “menyumbang dari segi strategi jenama, pembangunan saluran dan servis, serta mentakrif pengalaman pelanggan yang lebih teratur.”

    Ini merupakan satu langkah yang signifikant diambil oleh Renault untuk kembali ke pasaran China selepas tamatnya kerjasama dengan Dongfeng Motor Group (Dongfeng Renault) tahun lalu. Buat masa sekarang, Renault masih menjalankan kerjasama dengan jenama China lain termasuk dengan Brilliance Jinbei iaitu Renault Brilliance Jinbei yang difokuskan kepada kenderaan komersil.

    Satu lagi kerjasama Renault dengan syarikat China adalah eGT Ner Energy Automotive, yang melibatkan Renault, Nissan dan Dongfeng, yang bertanggung jawab untuk membangunkan model elektrik sepenuhnya K-ZE dan juga Dacia Spring Eletric. Selain itu, Jiangxi Jiangling Group Electric Vehicle (JMEV) juga merupakan satu lagi kerjasama Renault dengan syarikat China iaitu Jiangling Motors Corporation Group (JMCG) yang ditumpukan kepada kereta elektrik sepenuhnya.

    Manakala di Korea Selatan, Renault Samsung Motors mempunyai pengalaman selama dua dekad dan MoU ini akan membolehkan kedua-dua pihak untuk meneroka lokalisasi model-model yang diasaskan dari platform kenderaan cekap tenaga Lynk & Co bagi pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, pengumuman ini tidak disertakan dengan tempoh masa untuk kerjasama berkenaan mahupun menyatakan mana-mana model secara spesifik yang bakal dijual pada pasaran tersebut kelak.

     
     
  • Kempen Bantuan Car Seat Safe ‘n Sound sediakan 200 kerusi kanak-kanak percuma kepada yang memerlukan

    Kempen Bantuan Car Seat Safe ‘n Sound sediakan 200 kerusi kanak-kanak percuma kepada yang memerlukan

    Kerusi keselamatan kanak-kanak kini menjadi aspek keselamatan penting di dalam kenderaan. Juga, tak semua orang mampu untuk menyediakannya untuk ahli keluarga. Kajian oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendedahkan hanya 30% pemandu di Malaysia yang menggunakan kerusi keselamatan berkenaan, dan satu daripada sebabnya adalah kerana harga yang agak mahal bagi keluarga berpendapatan rendah.

    Dengan keadaan ekonomi yang tenat ketika ini, ada pihak yang berusaha untuk meringankan beban kelompok yang mungkin memerlukan kerusi keselamatan kanak-kanak berkenaan. SNS Product telah memperkenalkan sebuah usaha untuk membantu keluarga yang memerlukan agar mereka boleh mendapatkan kerusi keselamatan ini. Syarikat berkenaan menawarkan 200 buah kerusi keselamatan kanak-kanak melalui entiti runcitnya, Safe ‘n Sound, dalam satu kempen dikenali sebagai “Kempen Bantuan Car Seat Safe ‘n Sound.”

    Kempen berkenaan akan memberi tumpuan untuk melengkapi ibu bapa yang layak dengan cadangan kerusi keselamatan daripada empat jenama yang ikut serta, iaitu Joie, snskidz, mifold dan Axkid, yang mana semuanya mematuhi standard United Nations Regulation (UNR) ECE R44/04. Kerusi berkenaan akan ditetapkan mengikut umur dan berat kanak-kanak, serta sama ada kereta mereka ada menyediakan Isofix atau tidak.

    Kempen Bantuan Car Seat Safe ‘n Sound sediakan 200 kerusi kanak-kanak percuma kepada yang memerlukan

    Dalam masa sama, syarikat ini juga ingin memanfaatkan kempen berkenaan dengan cara meningkatkan kesedaran betapa pentingnya penggunaan kerus keselamatan ini dan mendidik ibu bapa berkaitan cara betul untuk menggunakannya.

    “Kesedaran penggunaan kerus keselamatan dalam kenderaan di Malaysia agak rendah, dan ini menyumbang kepada kecederaan dan kematian dalam kemalangan, yang sepatutnya boleh kita elakkan dengan penggunaan kerusi keselamatan ini. Semua bayi dan kanak-kanak perlu menggunakan kerusi yang sesuai dengan saiz dan umur mereka, bermula dari yang baru lahir hinggalah kanak-kanak 12 tahun,” ujar pengarah syarikat berkenaan, May Hwong.

    Selain memupuk penggunaan kerusi keselamatan ini, syarikat ini juga memberi penekanan terhadap kepentingan cara guna yang betul. “Lebih 90% kerusi kanak-kanak ini sama dan dipasang dengan cara yang salah atau salah cara guna, dan itu tetap membahayakan nyawa kanak-kanak ketika berada di atas jalan. Adalah sangat penting untuk meletakkan kanak-kanak di bawah ketinggian 136 cm dalam kerusi khas, dan perlu juga kedudukannya menghadap ke belakang, selama yang boleh,” tambahnya.

    Untuk itu, pakar bertauliah dari syarikat itu berkaitan Child Occupant Safety Advisors (COSA) dan Child Occupant Safety Instructors (COSI) juga boleh memberikan khidmat nasihat percuma dengan cara menilai umur, ketinggian dan berat kanak-kanak serta jenis kenderaan yang digunakan. Pemeriksaan kerusi keselamatan secara percuma juga boleh dilakukan di pusat khidmat pelanggannya untuk memastikan pemasangan yang betul.

    “Kempen Bantuan Car Seat Safe ‘n Sound” ini terbuka untuk keluarga yang mempunyai anak baru lahir hingga 12 tahun dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM4,000 dan mempunyai kereta. Ibu bapa yang berminat boleh memeriksa kelayakannya di sini dan mengisi borang ini. Maklumat lanjut berkaitan kempen berkenaan ada di sini.

     
     
  • Mugen dedahkan kit untuk Honda Civic Hatch 2022

    Mugen dedahkan kit untuk Honda Civic Hatch 2022

    Selepas Honda mengumumkan perincian berkenaan Honda Civic generasi baharu untuk pasaran Jepun minggu lalu, penala yang sinonim dengan jenama berkenaan, Mugen turut mendedahkan rupa kit yang mereka hasilkan untuk model tersebut. Walau bagaimanapun hanya dua gambar yang disiarkan untuk kit berkenaan, manakala perincian lain termasuk harga akan diumumkan ketika Civic ini mula di jual di Jepun pada 3 September nanti.

    Seperti yang telah Honda umumkan sebelum ini, Civic generasi ke-11 hanya akan dijual dalam versi Hatchback untuk pasaran Jepun. Menerusi gambar yang didedahkan berkenaan, Civic yang diberikan kit Mugen tersebut nampak lebih sporty namun tidak begitu garang, memandangkan rekaan asal model generasi baharu ini tidak lagi agresif seperti generasi FC/FK7 sebelum ini.

    Mugen memberikan spoiler bawah untuk bampar hadapan, skirt sisi, splitter dan diffuser bampar belakang, spoiler but serta penutup cermin sisi dengan sirip, kesemuanya dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan kemasan gentian karbon pada gril hadapan yang lengkap dengan logo Mugen, pelekat grafik untuk pintu belakang dan juga visor tingkap.

    Juga dapat dilihat, Civic berkenaan menerima rim aloi forged 18-inci serta sistem ekzos yang mendedahkan tip ekzos sebenar diserlahkan pada diffuser belakang, berbanding tip krom palsu berbentuk trapezoid pada diffuser asal. Menurut Mugen, mereka juga bakal menawarkan karpet kaki istimewa untuk Civic generasi baharu ini.

    Mugen dedahkan kit untuk Honda Civic Hatch 2022

    Civic Hatchback pasaran Jepun hanya menerima satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder. Walaupun ia adalah unit yang sama seperti model generasi sebelumnya, enjin berkenaan telah menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm, atau 9 PS dan 20 Nm lebih berkuasa.

    Selain dari kotak gear CVT, model Hatchback pasaran Jepun ini turut menerima pilihan transmisi manual enam-kelajuan, yang menurut Honda ia kini diberikan tuil penukar gear yang lebih tegar serta menampilkan gerak tukaran lebih pendek. Ia menampilkan kerangka yang dihasilkan dari logam berkekuatan ultra tinggi, serta diberikan bonet hadapan aluminium bagi mengurangkan beratnya.

    Casis model generasi baharu berkenaan ditala bagi memberikan pengendalian yang lincah, kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh dan juga di jalan lurus, pemanduan yang diperhalusi dan sofistikated, serta diberikan sistem Bantuan Pengendalian Lincah iaitu sistem torque vectoring yang beroperasi menggunakan sistem brek.

    GALERI: Honda Civic Hatchback 2022 pasaran Jepun

     
     
  • Seorang penumpang yang guna LRT Laluan KJ, bas pengantara T201 pada 5 Ogos dikesan positif Covid-19

    Seorang penumpang yang guna LRT Laluan KJ, bas pengantara T201 pada 5 Ogos dikesan positif Covid-19

    Susulan pengesanan satu kes positif Covid-19 pada 5 Ogos lalu, Rapid KL menggesa para pengguna LRT Laluan Kelana Jaya dan bas pengantara T201 pada tarikh berkenaan untuk melakukan saringan kesihatan sekiranya bergejala. Perinciannya adalah seperti berikut.

    Penumpang yang didapati positif virus berkenaan menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya pada 5 Ogos lalu. Beliau menaiki tren dari stesen Abdullah Hukum pada jam 3.44 petang dan turun di stesen Gombak. Kemudian beliau menaiki bas T201 dari stesen Gombak pada jam 4.38 petang. Beliau dikesan positif Covid-19 dan memaklumkannya pada Rapd KL menerusi Twitter.

    Pengendali tren berkenaan sekali lagi mengingatkan para penumpang supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk sentiasa memakai pelitup muka bagi membantu mengekang penularan Covid-19. Selain itu, orang ramai juga dinasihati agar menjalani kuarantin kendiri sementara menantikan keputusan ujian saringan kesihatan sehingga disahkan negatif.

     
     
  • Volkswagen ID.5 GTX versi konsep hampir kepada produksi akan didedah September ini, dua motor, AWD

    Volkswagen ID.5 GTX versi konsep hampir kepada produksi akan didedah September ini, dua motor, AWD

    Volkswagen telah mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan SUV coupe elektrik penuh ID.5 GTX sewaktu pameran Munich Motor Show September nanti, tetapi dalam versi “konsep hampir kepada produksi.”

    Menurut pengeluar dari Jerman itu, nama GTX yang digunakan itu menandakan ia adalah sebuah varian prestasi bagi ID.5, seperti GTI, GTD dan GTE yang digunakan bagi masing-masing model petrol, diesel dan plug-in hybrid. Pada ID.5 GTX ini terdapat dua motor elektrik – satu bagi setiap gandar untuk memberikan pacuan semua roda – dan bateri lithium ion padanya mampu memberikan jarak gerak sehingga 497 km.

    Perincian teknikal penuh untuk ID.5 GTX ini masih belum didedahkan, tetapi ia dijangka mempunyai prestasi hampir seperti ID.4 GTX dengan kuasa sekitar 299 PS (295 hp). Pada ID.4 GTX, iaitu sebuah SUV yang mempunyai bumbung lebih panjang, tetapan dua motor elektrik dan bateri 77 kWh mampu memberikan jarak gerak 480 km.

    Volkswagen ID.5 GTX versi konsep hampir kepada produksi akan didedah September ini, dua motor, AWD

    Pacutan 0-100 km/j pula mampu dilakukan oleh ID.4 GTX dalam masa bawah 6.2 saat, dengan laju maksimum yang dihadkan pada 180 km/j. ID.5 GTX dijangaka menyediakan sistem pengecasan sama seperti ID.4 GTX, seperti pengecasan AC sehingga 11 kW dan pengecasan DC sehingga 125 kW, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 300 km, selepas dicas selama 30 minit.

    Sebagai perbandingan, SUV ID.4 biasa yang didedahkan September tahun lalu cuma dilengkapi dengan motor elektrik pada gandar belakang, dengan kuasa 204 PS, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, sebelum mencecah kelajuan maksimum 160 km/j.

    Bagi bahagian lain, Volkswagen memberitahu SUV coupe elektrik ini mempunyai “sambungan penuh” dan boleh menerima naik taraf perisian over-the-air, serta akan dilengkapi dengan teknologi Car-to-x. Ini membenarkan kenderaan berkomunikasi dengan infrastruktur di sekitarnya, sekaligus mampu menerima amaran kepada situasi seperti kesesakan trafik dan bahaya, servis kecemasan serta kenderaan rosak.

     
     
  • Mitsubishi Connect MY dikemaskini, ada tambahan ciri

    Mitsubishi Connect MY dikemaskini, ada tambahan ciri

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengemaskini aplikasi mudah alih Mitsubishi Connect MY dalam usaha syarikat itu untuk memanfaatkan teknologi digital dalam menyediakan layanan lebih selesa dan selamat kepada pelanggannya.

    Sebelum ini, aplikasi berkenaan membolehkan pemilik untuk membuat temujanji servis, namun versi kemaskini terbaru diadakan sekali makluman status servis. Dengan ini, pemilik boleh mengetahui perkembangan servis kenderaan mereka dan akan dimaklumkan sebaik sahaja ia sudah sedia untuk diserahkan semula. Ini sangat membantu terutama dalam era pandemik ini, agar mengurangkan pertembungan dengan individu lain di pusat servis — anda boleh menghantar kenderaan dan hanya datang semula selepas kerja servis selesai.

    Aplikasi ini juga akan mengingatkan pemilik berkenaan anggaran kos servis akan serta perincian jaminan kenderaan mereka. Bukan itu saja, memandangkan peringatan untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans juga akan disediakan melalui aplikasi ini.

    Seperti sebelum ini, dalam kejadian tidak diingini seperti kenderaan rosak atau kemalangan, pemilik juga boleh menggunakan ciri SOS Trace & Track dalam aplikasi berkenaan untuk meminta bantuan. Ini menggunakan lokasi semasa dalam GPS, yang akan disahkan oleh individu servis pelanggan MMM untuk menghantar bantuan segera.

    Ciri-ciri lainnya termasuk kemampuan untuk mengenal pasti cawangan pengedar dan pusat servis terdekat Mitsubishi dengan panduan tunjuk arah serta maklumat terkini berkaitan promosi semasa, berita, acara dan maklumat produk.

    “Pandemik telah menciptakan banyak permintaan daripada pelanggan walaupun dalam keadaan yang serba terkekang dan mencabar. Ia juga memerlukan kami beradaptasi untuk memenuhi sitausiitu dengan cara memanfaatkan teknologi digital. Selain memberi keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan, teknologi digital ini juga menjamin keselamatan pelanggan dan staf, yang sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    “Dengan kemaskini aplikasi berkenaan, ditambah juga dengan bilik pameran dalam talian Mitsubishi, kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa kami sentiasa mengambil pendekatan terbaik untuk memastikan keselamatan mereka, baik ketika proses pembelian hinggalah pemilikan,” tambah beliau.

    Aplikasi Mitsubihi Connect MY boleh dimuat turun secara percuma bagi kedua-dua platform Android dan juga iOS melalui Google Play Store dan juga Apple App Store.

     
     
  • Perbaharui lesen, cukai jalan di pejabat pos ikut temujanji, tiada walk in – tiga transaksi per slot

    Perbaharui lesen, cukai jalan di pejabat pos ikut temujanji, tiada walk in – tiga transaksi per slot

    Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang tamat tempoh hendaklah diperbaharui sebelum 30 September ini. Di mana mulai 1 Oktober ini, JPJ dan polis akan memulakan pemantauan dan pemeriksaan bagi kedua-dua dokumen berkenaan.

    JPJ turut memaklumkan, selain memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara dalam talian menerusi portal MySikap JPJ atau MyEg serya kaunter perkhidmatan JPJ di seluruh negara, urusan tersebut juga boleh dilakukan menerusi semua pejabat pos mulai hari ini, 9 Ogos 2021.

    Walau bagaimana pun, Pos Malaysia yang telah mengesahkan transaksi urusan JPJ boleh dilakukan di mana-mana cawangan pos, namun orang ramai perlulah membuat temujanji terlebih dahulu. Ini bermakna, tiada ‘walk in’ dibenarkan untuk urusan berkenana.

    Untuk menempah slot temujanji berkenaan yang boleh dilakukan menerusi dalam talian, orang ramai bolehlah klik pada Pencarian Cawangan Pos Malaysia melalui laman web rasminya (www.pos.com.my) atau pun aplikasi telefon pintar. Anda perlu memilih negeri dan kemudian memilih cawangan pejabat pos berhampiran dan klik pada link diberikan. Anda dibenar untuk menempah satu slot temujanji sehari dan maksimum tiga transaksi boleh dilakukan bagi setiap satu temujanji.

    Dalam masa yang sama, Pos Malaysia mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan sewaktu berkunjung ke cawangannya termasuklah memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan, mendaftar masuk MySejahtera dan menjaga penjarakan sosial. Paling penting, jika anda kurang sihat, harap tidak terburu-buru untuk ke pejabat pos atau pun ke mana-mana sahaja. Kekal di rumah, sehingga anda sembuh.

     
     
  • Vespa Primavera, GTS 75th Anniversary tiba di M’sia – harga jualan masing-masing RM23,500 dan RM38,900

    Vespa Primavera, GTS 75th Anniversary tiba di M’sia – harga jualan masing-masing RM23,500 dan RM38,900

    Selepas didedahkan kepada dunia Mac lalu, model Vespa 75th Anniversary 2021 kini tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Vespa Primavera 75th Anniversary pada harga RM23,500 dan Vespa GTS 75th Anniversary pada harga RM38,900.

    Model sambutan ulang tahun ke-75 Vespa ini menggunakan skema warna “Giallo 75th”, yang memberikan penghormatan kepada warna Vespa tahun 40-an dan ia kemudiannya diserikan lagi dengan kemasan “tie” hadapan warna kuning opaque pyrite serta tulisan nombor 75 berwarna kelabu di panel tepi dan fender hadapan.

    Kedua-dua model keluaran khas ini juga menggunakan tempat duduk yang dibalut kulit serta rim berwarna kelabu dengan jalur putih di tepi. Terdapat juga beberapa bahagian yang berwarna krom seperti pelindung ekzos, keliling meter, cermin sisi, perumah lampu serta peletak kaki.

    Turut diberi secara standard adalah rak barangan belakang berwarna krom, yang kemudiannya dipasang dengan beg berbentuk bulat, menyamai bentuk seperti tayar simpanan pada model Vespa klasik. Beg yang diperbuat daripada kulit nubuck ini datang dengan tali bahu serta pelindung kalis air, dan ia boleh dicabut dengan mudah untuk dibawa oleh pengguna.

    Di sebalik pelindung kaki dalam motosikal ini, terdapat lencana yang tertulis nombor keluaran model edisi khas, dan panel instrumennya menggunakan unit digital LCD 4.3 inci. Setiap satu model 75th Anniversary ini datang dengan selendang sutera Itali, plet vintaj Vespa, buku pemilik serta poskad sejarah Vespa.

    Untuk kelengkapan teknikal, semuanya masih sama seperti model asas yang digunakan, iaitu enjin i-GET 154.8 cc 11 hp pada Primavera dan enjin 300 cc HPE 23.8 hp pada model GTS. Kedua-duanya adalah enjin suntikan bahan api dengan penarafan emisi Euro 5, dan dipadankan bersama transmisi jenis CVT.

    GALERI: Vespa GTS 75th Anniversary

    GALERI: Vespa Primavera 75th Anniversary

     
     
  • Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

    Mei lalu, sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual dalam lelongan dengan harga £100,100 (RM573k) – tidak hairanlah kerana unit tersebut adalah milik Mitsubishi UK yang disimpan dalam keadaan ‘muzium’, dijual kerana Mitsubishi terpaksa menutup perniagaan mereka di UK.

    Namun hanya sekitar dua bulan selepas itu, sebuah lagi Lancer Evolution VI TME terjual dengan harga yang luar biasa di UK, iaitu £146,250, atau sekitar RM857k! Unit berkenaan telah dijual oleh Silverstone Auction dalam lelongan yang dibuat pada 1 Julai lalu.

    Jadi apa istimewanya unit Evo VI TME ini sehingga ada yang sanggup membelinya dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding unit sebelum ini? Menurut Silverstone Auction, unit yang dilelong ini adalah unit pertama dengan nombor siri #001 dari hanya 250 unit Evo VI TME yang dijual secara rasmi, serta salah satu unit dari hanya 50 unit yang hadir dengan warna Passion Red.

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

    Menurut Mitsubishi, unit-unit yang hadir dalam warna Passion Red ini bukan sahaja menampilkan warna badan yang sama seperti kereta lumba sebenar Tommi Makinen dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC), malah setiap satunya hadir dengan ‘Special Colour Package’ (SCP) yang hanya diberikan kepada 212 unit Evo VI TME di kilang, iaitu pakej yang terdiri dari jalur badan Ralliart dan juga pembuka pintu berwarna hitam.

    Oleh kerana ia adalah unit rasmi yang dibawa dari Jepun oleh Ralliart UK, unit ini menerima pelbagai sentuhan semula untuk disesuaikan di negara berkenaan antaranya meter kelajuan yang ditentu ukur semula, diberikan lapisan underseal pada bawah badan berwarna kelabu, bateri dan alternator untuk iklim sejuk, pengehad bahan api spesifikasi tanpa plumbum, buku servis dan manual khas untuk pasaran UK, serta plak nombor siri istimewa di mana unit ini diberikan nombor #001.

    Unit ini juga hanya mencatatkan jarak perbatuan 11,000 batu (17,703 km) oleh dua pemilik sebelum ini, manakala semua ubahsuai kecil yang dibuat pada bahagian luaran dan enjin telah dikembalikan semula ke spesifikasi kilang kecuali sistem ekzos. Semua rekod servis untuk kereta ini juga lengkap diberikan kepada pemilik baru.

    Mitsubishi Lancer Evolution VI TME diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1999, dihasilkan sempena kejayaan Tommi Makinen merangkul empat gelaran juara dunia untuk kategori pemandu dalam WRC bersama Lancer Evo. Ia menampilkan berberapa perincian unik berbanding Evo VI biasa antaranya rekaan bampar hadapan, rim Enkei WRC 17-inci, roda stereng Momo, tempat duduk Recaro yang disulam dengan nama Tommi Makinen dan pelbagai lagi.

    Ia juga menerima banyak perubahan dari segi mekanikal antaranya suspensi yang ditala semula bagi memberikan respon yang lebih baik pada permukaan tar, stereng lebih cepat, sistem ekzos dan kotak komputer berbeza, pengecas turbo titanium untuk respon enjin lebih baik serta bahagian dalaman transfer case untuk sistem pacuan semua roda yang dipertingkat.

    Atas kertas, enjin 4G63 2.0 liter empat silinder pada Evo VI TME berkenaan mampu untuk menjana 280 PS dan tork maksima 373 Nm. Digandingkan dengan hanya kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem pacuan semua roda, jentera rali jalan raya ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 241 km/j.

     
     
  • Jangan letak objek perhiasan atau aksesori pada papan pemuka, boleh sebabkan kecederaan – MKJR

    Jangan letak objek perhiasan atau aksesori pada papan pemuka, boleh sebabkan kecederaan – MKJR

    Tentu ramai daripada kita yang suka meletakkan pelbagai objek hiasan pada papan pemuka kereta bukan? Ada yang suka letak kereta skala kecil, kadang-kadang perhiasan yang berupa cenderamata memorabilia, dan ada juga yang meletakkan aksesori seperti pewangi kenderaan.

    Namun tahukah anda bahawa objek-objek berkenaan sebenarnya boleh menambah risiko kecederaan ketika berlaku kemalangan? Menurut Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) dalam satu hantaran Facebook, papan pemuka kereta anda bukanlah “rak perhiasan” untuk anda meletakkan objek-objek sedemikian.

    Ini kerana, objek tersebut kebiasaannya diperbuat daripada bahan yang mudah pecah (kaca atau plastik) dan tajam serta tidak dilekatkan secara kekal di papan pemuka yang menjadi punca ianya mudah terpelanting ke arah anggota badan. Selain itu, meletakkan aksesori dan objek di papan pemuka kenderaan yang mempunyai fungsi beg udara juga akan menyebabkan sistem beg udara gagal berfungsi dengan baik kerana terdapat halangan.

    “Lebih malang lagi objek di atas papan pemuka akan terpelanting kearah pemandu dan penumpang dengan kelajuan yang tinggi apabila sistem beg udara berfungsi semasa kemalangan,” tulis MKJR dalam hantaran berkenaan. Malah dengan adanya pelbagai objek di atas papan pemuka berkenaan mungkin akan menyebabkan penglihatan pemandu akan terhalang yang turut mungkin akan menyebabkan kemalangan.

    Sekarang cuba tengok balik papan pemuka anda, ada barang-barang yang tak perlu diletakkan di situ? Kalau ada, kosongkanlah papan pemuka anda sekarang. Lagipun Malaysia ni panas, letak kereta Hotwheels atas papan pemuka tu sekejap je akan rosak kan?

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Baru sahaja didedahkan di Amerika Syarikat bulan April lalu, dengan pantas, Honda Civic sedan generasi ke-11 kini sudahpun dilancarkan secara rasmi Thailand! Model pasaran Thai ini masih mengekalkan asas rekaan yang sama seperti Civic yang muncul di AS, namun diberikan pelbagai perincian tersendiri yang mungkin akan diterapkan pada pasaran-pasaran lain di rantau Asia Tenggara.

    Di Thailand, Civic generasi baharu ini ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan model asas EL yang dijual pada harga 964,900 baht (RM122,100), diikuti dengan varian pertengahan EL+ berharga 1,009,900 baht (RM127,800). Manakala model varian tertinggi adalah Civic RS yang dijual pada harga 1,199,900 baht (RM151,800).

    Namun ketiga-tiga varian ini semuanya dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder, dimana enjin 1.8 liter NA i-VTEC sudah tidak lagi ditawarkan di Thailand. Enjin VTEC Turbo tersebut kini ditala semula bagi menghasilkan 178 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm.

    Talaan kuasa berkenaan adalah 5 PS lebih besar dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada Civic generasi ke-10, namun jika dibandingkan dengan model pasaran Amerika Syarikat dan juga Jepun, kuasa yang dihasilkan berkenaan adalah 4 PS lebih kecil. Menurut Honda, dengan rangkaian kuasa ini Civic mampu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 17.2 km setiap liter.

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Bagi model tertinggi RS, ia menerima rupa paling garang dengan kemasan-kemasan hitam seperti pada penutup cermin sisi, pembuka pintu, serta diberikan spoiler pada but belakang juga dalam kemasan hitam. Ia juga menerima bampar belakang dengan diffuser hitam berkilat serta menyerlahkan tip ekzos krom di kiri dan kanan.

    Walau bagaimanapun, model RS ini tidak diberikan rmi 18-inci seperti di AS, sebaliknya menerima rim 17-inci kemasan hitam kusam dengan rekaan tersendiri. Dua model lebih rendah tidak menerima spoiler but, diffuser dan juga tip ekzos krom, serta hanya diberikan rim 16-inci.

    Dari segi saiz, Honda Civic 2022 ini adalah lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,733 mm (33 mm lebih jauh). Menurut Honda, ini membolehkan penumpang belakang menerima ruang kaki lebih luas, serta ruang pinggul lebih besar di hadapan dan belakang.

    Rupa kabin Civic pasaran Thai ini juga hampir seiras dengan model pasaran AS. Ia diberikan papan pemuka yang direka jauh lebih ringkas dari Civic FC, menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa. Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas.

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Honda menyatakan bahawa kabin Civic generasi baharu ini dihasilkan dari material yang lebih berkualiti tinggi. Tiang-A yang kini 50 mm lebih kebelakang bukan sahaja memberikan garis badan luaran yang lebih cantik, malah ia turut memberikan pandangan pada cermin hadapan yang lebih luas, dakwa Honda lagi.

    Bagi model RS, ia diberikan sistem infotainmen HondaConnect yang sama dengan Accord, serta menampilkan skrin sesentuh bersaiz sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta kawalan pelbagai fungsi dari jarak jauh menggunakan aplikasi telefon pintar.

    Manakala untuk varian EL dan EL+, ia diberikan sistem infotainmen biasa dengan skrin tujuh-inci bersama sokongan Apple CarPlay yang masih menggunakan wayar. Model pasaran Thailand ini tidak menerima sistem bunyi Bose seperti Civic generasi baharu di AS dan Jepun, namun kesemua varian diberikan lapan pembesar suara.

    Secara standard, varian asas EL diberikan lampu hadapan automatik halogen projektor, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin bersama fungsi kunci walkaway, tempat duduk fabrik, sistem pendingin hawa zon tunggal, dan juga kamera undur.

    Varian EL+ pula menerima tambahan kelengkapan seperti cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, roda stereng balutan kulit, upholsteri kulit serta tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa elektrik lapan-hala.

    Model tertinggi Civic RS pula diberikan perincian seperti lampu hadapan LED penuh, pengelap cermin automatik, upholsteri Ultrasuede hitam, lampu suasana kabin merah, cermin pandang belakang malap automatik, sistem pendingin hawa dua zon, set pedal aloi, pedal penukar gear, dan juga mod pemanduan Sport baharu.

    Varian RS juga menerima tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan berkuasa elektrik empat hala, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, dan juga kunci berbentuk kad Honda Smart Key.

    Semua varian Civic generasi ke-11 pasaran Thailand ini diberikan dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing – ya, ia turut dipadankan pada varian asas EL. Pakej tersebut terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan fungsi baharu amaran mula gerak kehadapan.

    Walau bagaimanapun, teknologi Honda Sensing terbaharu seperti yang diterima pada Civic di AS dan Jepun iaitu sistem pemanduan autonomi tahap 2 dengan kelajuan di bawah 65 km/j Traffic Jam Assist (TJA) tidak diberikan untuk Civic pasaran Thai ini. Sistem kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch pula hanya diberikan pada model RS.

    Selain itu, kesemua varian Civic Thailand ini juga menerima kelengkapan keselamatan standard seperti enam beg udara (tanpa dua beg udara lutut seperti pasaran lain), kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang

    Civic ini turut menerima fungsi keselamatan baharu iaitu pengingat tempat duduk belakang bagi mengingatkan pemandu agar memeriksa dahulu tempat duduk belakang mereka sebelum meninggalkan kereta, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Model RS pula diberikan tambahan fungsi pengingat pemakaian tali pinggang keledar belakang.

    Honda Thailand turut memperkenalkan pakej aksesori Modulo untuk Civic ini serentak dengan pelancarannya. Ia menampilkan kit badan yang terdiri dari spiltter udara hadapan, skirt sisi dan juga diffuser belakang, kesemuanya dalam kemasan hitam. Kit lengkap ini dijual pada harga 18,500 baht (RM2,300).

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Modulo juga menawarkan Sport Package berharga 8,900 baht (RM1,100) yang menampilkan kemasan gril krom hadapan dengan rekaan Solid Wing Honda, bagi menjadikan muka Civic berkenaan lebih seiras dengan Accord, bersama liang udara palsu untuk bampar belakang.

    Satu lagi pakej yang lebih lengkap disediakan yang dipanggil Exclusive Sport Package – secara asasnya Sport Package dengan tambahan spoiler belakang – dijual pada harga 17,200 baht (RM2,200). Pembeli turut boleh menambah kemasan krom untuk tip ekzos dengan harga 1,950 baht (RM250).

    Aksesori asli Modulo lain yang turut ditawarkan termasuk rim 17-inci kemasan hitam dengan rekaan jejari turbin berharga 5,250 baht (RM660), scuff plate bernyala berharga 5,100 baht (RM640), penutup cermin sisi kemasan hitam berharga 1,950 baht (RM250) dan juga lampu untuk ruang kaki berharga 2,200 baht (RM270).

     
     
  • SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dapat muka hadapan seperti Maverick, enjin plug-in hybrid 367 PS, 680 Nm

    SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dapat muka hadapan seperti Maverick, enjin plug-in hybrid 367 PS, 680 Nm

    Selepas 10 tahun diperkenalkan, Ford Ranger T6 akan berhenti dipasarkan tidak lama lagi. Ia kemudiannya akan diganti oleh Ranger baru yang akan membuat penampilan pertama tahun hadapan, dan di sini, kami tunjukkan gambar model tersebut, yang ditemui oleh jurugambar risikan kami.

    Seperti yang boleh dilihat, bentuknya diubah secara menyeluruh, dengan bahagian hadapan kini kelihatan seakan sama seperti model Maverick yang diperkenalkan baru-baru ini. Di sebalik pelekat camouflage itu pula kita boleh nampak lampu hadapan LED berbentuk C, dengan lampu DRL dan gril yang besar.

    Lampu penunjuk arah yang diletakkan pada cermin sisi juga lebih nipis berbanding sebelum ini, sementara di belakang lampunya kelihatan seperti unit pada Isuzu D-Max baru. Biasa bagi model pikap, kita boleh menjangka penawaran sport bar sebagai pilihan tambahan, termasuk unit yang lebih kemas pada varian Wildtrak.

    SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dapat muka hadapan seperti Maverick, enjin plug-in hybrid 367 PS, 680 Nm

    Ranger baru juga dijangka menerima suntikan kuasa elektrik, dengan CarExpert sebelum ini pernah melaporkan bahawa model plug-in hybrid akan ditawarkan bersama model enjin petrol dan diesel yang lain. Varian ini dijangka menggunakan gabungan enjin petrol empat silinder turbo 2.3 liter bersama motor elektrik, untuk menghasilkan 367 PS dan 680 Nm tork, serta penggunaan bahan api sekitar 3.0 l/100 km.

    Turut akan ditawarkan adalah enjin diesel empat silinder 2.0 liter twin turbo seperti sekarang, serta enjin V6 3.0 liter turbo baru. Untuk unit petrol pula, Ranger baru ini berkemungkinan menggunakan unit V6 2.7 liter turbo 314 PS/542 Nm daripada Bronco.

    Penawaran semua enjin ini mungkin bergantung kepada pasaran, dengan Asia Tenggara dan Australasia diberikan enjin diesel. Model plug-in hybrid pula mungkin ditawarkan untuk Eropah, dibuat di Afrika Selatan, sementara versi V6 petrol pula dijangka menjadi model khas untuk pasaran Amerika Utara.

     
     
  • Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Honda Civic generasi ke-11 bakal dijual pada pasaran Jepun pada 3 September ini, dan ia hanya tampil dalam versi hatchback. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi di sana, berberapa perincian berkenaan model ini telah diumumkan sendiri oleh Honda selepas rupanya didedahkan pada Jun lalu.

    Civic Hatchback pasaran Jepun ini hanya menerima satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder. Walaupun ia adalah unit yang sama seperti model generasi sebelumnya, enjin berkenaan telah menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm, atau 9 PS dan 20 Nm lebih berkuasa.

    Selain dari kotak gear CVT, model Hatchback pasaran Jepun ini turut menerima pilihan transmisi manual enam-kelajuan, yang menurut Honda ia kini diberikan tuil penukar gear yang lebih tegar serta menampilkan gerak tukaran lebih pendek. Honda juga mendakwa model generasi baharu ini mencapai kadar penggunaan bahan api 16.3 km untuk setiap liter berdasarkan kitaran ujian WLTP untuk kedua-dua jenis transmisi.

    Model pasaran Jepun ini menampilkan rupa yang sama seperti Civic Hatchback yang didedahkan untuk peringkat global di Amerika Syarikat sebelum ini. Ia berkongsi banyak persamaan dengan model sedan seperti lampu hadapan, jarak roda dan juga sebahagian besar bahagian kabin. Pada bahagian muka, hatchback masih berkongsi bampar dengan rupa sama dengan versi sedan, tetapi diberikan gril berbeza di mana ia hadir dengan elemen sarang lebah, berbanding rekaan garis melintang pada sedan.

    Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Kerana ketiadaan bahagian ‘punggung’, model Hatchback ini adalah 125 mm lebih pendek dari sedan, serta bahagian tailgate 50 mm lebih rendah yang kelihatan bersambung terus dengan garis bumbung yang lebih anggun. Lampu belakang model ini menampilkan kluster utama dengan rekaan berbeza terus dari sedan, serta merentangi keseluruhan pintu tailgate belakang.

    Bampar belakang model Hatchback ini juga nampak lebih sporty dari Civic sedan dengan menampilkan bahagian kemasan seakan diffuser yang lebih besar. Ia tidak lagi menampilkan tip di tengah seperti Civic Hatchback facelift generasi ke-10, sebaliknya diberikan corong trapezoid di kiri dan kanan bampar dengan kemasan krom sekeliling yang nampak lebih normal.

    Dalam kabin, model Hatchback ini turut berkongsi papan pemuka lebih ringkas, serta kemasan dalaman lain yang menggunakan material sentuhan lembut yang lebih premium. Skrin infotainmen utama kini direka ‘berdiri sendiri’, manakala paparan meter untuk pemandu juga hadir dengan instrumen digital sepenuhnya.

    Berbanding model generasi ke-10, Civic Hatchback baharu ini menawarkan ruang kaki belakang 35 mm lebih besar. Bersama cermin belakang yang lebih besar serta cermin suku belakang baharu, ia memberikan suasana lebih luas untuk penumpang belakang.

    Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Kapasiti ruang but belakang Civic baharu ini adalah 452 liter yang sebenarnya 26 liter lebih kecil dari model sebelumnya. Namun Honda menyatakan bahawa bukaan pintu tailgate berkenaan kini 40 mm lebih lebar bagi memudahkan barang besar dimasukkan pada ruang tersebut. Tempat duduk belakang juga masih boleh dilipat dengan nisbah 60:40, manakala rekaan penutup kargo tarik-tepi masih di bawa pada model generasi baharu ini.

    Civic generasi ke-11 ini menampilkan kerangka yang dihasilkan dari logam berkekuatan ultra tinggi, serta diberikan bonet hadapan aluminium bagi mengurangkan beratnya. Casis model generasi baharu berkenaan ditala bagi memberikan pengendalian yang lincah, kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh dan juga di jalan lurus, pemanduan yang diperhalusi dan sofistikated, serta diberikan sistem Bantuan Pengendalian Lincah iaitu sistem torque vectoring yang beroperasi menggunakan sistem brek.

    Civic Hatchback pasaran Jepun ini ditawarkan dalam dua varian iaitu model asas Civic LX dan juga model tertinggi Civic EX. Model LX diberikan pelbagai kelengkapan standard antaranya lampu hadapan LED penuh, rim aloi rekaan jejari-Y 18-inci, tempat duduk leatherette dengan pemanas, paparan instrumen tujuh-inci serta skrin sesentuh infotainmen HondaConnect bersaiz sembilan-inci.

    Manakala untuk model EX, ia ditambah dengan lampu kabus LED, rim aloi dengan kemasan lebih gelap, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan larasan berkuasa, paparan instrumen digital bersaiz 10.2-inci, upholsteri Ultrasuede, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara.

    Kedua-dua varian ini didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing secara standard. Sistem berkenaan kini ditingkat taraf dengan menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif walaupun pada kelajuan di bawah 65 km/j, serta bantuan pengekal tengah lorong.

    Sisten Honda Sensing untuk Civic Hatchback pasaran Jepun ini juga diberikan fungsi Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan menghalang silau pada mata pemandu lain. Sistem lain yang turut tersenarai dalam pakej Honda Sensing berkenaan termasuk brek kecemasan automatik (AEB), bantuan stereng ketika mengelak, pengenal papan tanda trafik dan lain-lain.

    Untuk sistem keselamatan pasif pula, Civic Hatchback JDM ini turut menerima beg udara lutut untuk pemandu dan penumpang hadapan, menjadikan lapan beg udara yang dibekalkan secara keseluruhan.

    Honda Civic Hatchback pasaran Jepun ini dijual pada harga bermula 3,190,000 yen (RM122,500) untuk varian LX sehingga 3,539,800 yen (RM135,900) untuk varian EX. Honda turut mengesahkan model hybrid e:HEV yang lebih mesra alam dan versi prestasi tinggi Civic Type R berdasarkan model generasi baharu ini turut akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

     
     
  • MIROS buat kajian mengenai kesedaran pengguna terhadap ciri keselamatan kenderaan & ASEAN NCAP

    MIROS buat kajian mengenai kesedaran pengguna terhadap ciri keselamatan kenderaan & ASEAN NCAP

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mengendalikan kajian untuk menentukan tahap kesedaran para pengguna di negara ini tentang ciri keselamatan dalam kenderaan yang terdapat di pasaran sekarang. Kajian secara dalam talian ini telah pun dibuka penyertaan untuk semua pihak. Maklumat seterusnya akan dikongsikan di bawah.

    Kajian tersebut juga bagi mengenalpasti tahap kesedaran para pengguna terhadap tugasan yang dilaksanakan oleh ASEAN NCAP di Malaysia. Menurut MIROS, ia bertujuan untuk memahami persepsi pengguna terhadap fungsi dan keberkesanan teknologi keselamatan kenderaan, dan kajian berkenaan terbuka untuk semua.

    Jika anda berminat untuk menyertai kajian tersebut, MIROS telah menyediakan tiga bahagian soalan, dan anda perlu KLIS DI SINI untuk memasukkan maklumbalas anda. MIROS memberi jaminan bahawa semua data yang dimasukkan adalah sulit dan hanya akan digunakan untuk tujuan kajian sahaja.

     
     
  • Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Touch ‘n Go (TnG) memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem RFID di lebuhraya utama seluruh negara ketika ini tertangguh akibat pandemik Covid-19. Bagaimanapun, syarikat itu terus menjalankan kerja-kerja bersama rakan konsesi untuk memastikan operasi sistem berkenaan di seluruh rangkaian lebuhraya utama akan dapat dicapai dan berjalan lancar kelak, lapor The Malaysian Reserve.

    Menurut CEO Kumpulan TnG, Effendy Shahul Hamid, keseluruhannya ada 273 lorong di lebuhraya telah menjadi ujian RFID, dan kedua-dua syarikat serta rakan konsesi akan bekerjasama memastikan prestasi operasi optimum bagi setiap lorong RFID sebelum melancarkannya secara rasmi di seluruh negara.

    Ketika ini, sistem RFID tersedia di semua lebuhraya kecuali di beberapa jalur, iaitu di PLUS di Juru, P. Pinang ke Skudai, Johor; Lebuhraya Pantai Timur di Karak, Pahang, hingga Terengganu; dan Lebuhraya Pantai Barat di Kampung Lekir ke Beruas di Perak.

    Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Effendy memaklumkan, kawalan pergerakan ketika PKP sebagai sebab utama yang menyumbang kepada penangguhan tersebut. “Walaupun pandemik ini telah menyebabkan penangguhan kepada perancangan awal berkaitan RFID, kami juga faham bahawa kesihatan dan keselamatan bersama adalah lebih penting untuk diberi perhatian ketika ini,” jelasnya.

    Walaupun dengan kelewatan itu, ramai pengguna telah beralih kepada kaedah pembayaran tanpa sentuhan itu. Effendy berkata yang jualan tag TmG RFID telah banyak meningkat. “Bayaran tanpa sentuhan ini menjadi trend baru pengguna. Transaksi tanpa tunai menjadi pilihan bagi kebanyakan pengguna di Lebuhraya. Kesannya, jualan tag RFID meningkat, terutama dengan pengenalan kit pasang sendiri pada Mei 2020,” ujarnya.

    Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Syarikat itu mendedahkan lebih daripada 500,000 telah terjual sejak sistem berkenaan beroperasi dalam program percubaan sejak September 2018. Ketika ini, kit pasang sendiri itu boleh dibeli melalui TnG eDompet dan kedai rasmi dalam talian syarikat itu serta platform e-dagang lain seperti Lazada dan Shopee.
    Menurut syarikat itu, ekosistem TnG kini memiliki 25 juta kad TnG yang aktif, dengan lebih 16 juta pengguna eDompet dan 1.5 juta pengguna tag RFID.

    Selain bayaran tol secara elektronik, sistem ini juga akan dimanfaatkan untuk tujuan isian minyak tanpa tunai. TnG dan Shell Malaysia kini sedang menjalankan progrom ujian TnG RFID Isian Semula di lima stesen Shell terpilih di Lembah Klang.