Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pengusaha bas ekspress mahu kerajaan luluskan kenaikkan tambang 30% sepanjang Aidilfitri tahun ini

    Pengusaha bas ekspress mahu kerajaan luluskan kenaikkan tambang 30% sepanjang Aidilfitri tahun ini

    Persatuan Pengusaha Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) berharap kerajaan akan meluluskan permohonan mereka bagi menaikkan tambang sebanyak 30% ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, lapor NST Online.

    Menurut pengerusi sementara persatuan berkenaan, Tajudin Mohamad Yunus, pengusaha bas ekspress kini menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan kerana kadar tambang yang digunakan adalah kekal sejak 11 tahun lalu.

    “Kadar tambang adalah berdasarkan carta perbelanjaan yang dibuat pada 2008. Sejak itu, banyak perkara yang telah berubah dan harga banyak benda serta servis telah meningkat, kecuali tambang bas,” kata Tajudin dan menambah terdapat bas dari syarikat-syarikat pengusaha yang telah ditarik balik oleh pihak bank setelah gagal melunaskan bayaran pinjaman.

    Menurutnya lagi, ini tidak termasuk perbelanjaan lain yang turut meningkat contohnya harga bahan api yang telah naik lebih dari 50% dalam berberapa tahun kebelakangan ini.

    “Kami faham bahawa servis kami adalah berorentasikan orang ramai, tetapi ia perlu realistik selari dengan ekonomi dan perbelanjaan pada hari ini. Kami tidak mahu membebankan mana-mana pihak tetapi cuma berharap pengusaha basa ekspress akan diberikan pertimbangan terhadap perkara ini,” jelasnya.

    Sebanyak 18 syarikat bas ekspress bersetuju dengan apa yang diketengahkan oleh Tajudin berkenaan, termasuk Cepat Express, Edaran Express, Konsortium Eltabina, Maharani, Cekap dan Sani Express. Pembawa telah menghantar surat permohonan tersebut kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke, namun masih belum menerima sebarang jawapan.

    Tajudin turut memberitahu bahawa situasi ini menjadi bertambah buruk dengan pengumuman gaji minima terkini. “Jika anda lihat berberapa tahun kebelakangan ini, anda akan perasan bahawa banyak syarikat bas yang mencatatkan kerugian tahunan, bagi mengatasinya ada yang terpaksa memberhentikan pemandu,” katanya.

    Pada November tahun lalu, perkara ini telah pun disebutkan oleh timbalan menteri pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar. Kenaikan sebanyak 10% hingga 30% berkenaan sedang dipertimbangkan oleh jemaah menteri, kata Datuk Kamarudin ketika menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) dalam Dewan Rakyat.

     
     
  • Peraturan baharu cermin gelap – PDRM tidak dipanggil untuk berbincang, sukarkan tugas penguatkuasaan

    Peraturan baharu cermin gelap – PDRM tidak dipanggil untuk berbincang, sukarkan tugas penguatkuasaan

    Mulai hari ini, peraturan baharu bagi cermin gelap kenderaan persendirian telah dikuatkuasakan. Seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pindaan peraturan baharu tersebut masih mengekalkan peratusan ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin depan utama kenderaan ialah 70%, manakala cermin tepi kiri dan kanan pemandu pula ialah 50%.

    Bagi cermin kiri dan kanan tempat duduk belakang dan cermin belakang pula, tiada had bagi VLT dengan syarat kenderaan dilengkapi cermin sisi (side mirror). Ini bermakna, penggunaan cermin gelap dengan VLT 0% dibenarkan untuk kedua-dua bahagian berkenaan.

    Walau bagaimana pun, isu ini menerima maklumbalas daripada pelbagai pihak, termasuklah Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, pihaknya menghormati peraturan baharu tersebut tetapi berpendapat bahawa tugas polis dalam penguatkuasaan akan menjadi sukar.

    Peraturan baharu cermin gelap – PDRM tidak dipanggil untuk berbincang, sukarkan tugas penguatkuasaan

    “Pihak polis sebelum ini tidak pernah dipanggil bagi membincangkan berhubung peraturan baru ini. Saya berasa terkilan, sebaik-baiknya mereka berbincang dan mungkin boleh ambil pandangan daripada kita,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Azisman turut berkata, selain itu, faktor keselamatan pasukan keselamatan juga akan terjejas kerana tidak dapat melihat penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.

    “Sebelum ini, kita boleh nampak penumpang dan pemandu, namun dengan peraturan baharu ini tiada had ketelusan cahaya dibenarkan. Agak sukar bagi polis untuk membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang,” katanya.

    Tambahnya lagi, peraturan baharu itu juga menyukarkan pasukan penguatkuasaan mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

    Peraturan baharu cermin gelap – PDRM tidak dipanggil untuk berbincang, sukarkan tugas penguatkuasaan

    “Memang beberapa peraturan ditetapkan seperti mengenakan fi dan perlu memenuhi syarat lain antaranya tidak mempunyai rekod jenayah dan sebagainya, namun ia seperti lesen kenderaan juga. Ada pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen dan boleh menggunakan kenderaan itu,” ujar Azisman lagi.

    Dalam pengumuman yang disempurnakan semalam, Loke turut berkata, mana-mana individu boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap (sama ada menerusi penggunaan lapisan filem atau penggunaan kaca yang lebih gelap) yang menjadikan peratusan cahaya tampak adalah kurang berbanding peraturan (atau lebih gelap) atas sebab-sebab yang khusus seperti faktor keselamatan atau faktor kesihatan.

    Bagi setiap permohonan yang dikemukakan di atas faktor keselamatan, akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50 bagi setiap permohonan. Manakala setiap permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000. Setiap kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh selama dua tahun. Individu yang telah diluluskan bagi penggunaan cermin lebih gelap hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan akan dikenakan fi yang sama dalam setiap permohonannya. Namun untuk faktor kesihatan dengan pengesahan daripada doktor kerajaan, tiada sebarang fi yang akan dikenakan.

     
     
  • Peraturan baharu cermin gelap mulai 8 Mei ini – fi RM5k bagi permohonan pengecualian yang diluluskan

    Peraturan baharu cermin gelap mulai 8 Mei ini – fi RM5k bagi permohonan pengecualian yang diluluskan

    Kadar baharu ketelusan cahaya yang ditetapkan

    Hari ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan pindaan terbaru bagi peraturan penggunaan cermin gelap ke atas kenderaan motor. Menurut menterinya, Anthony Loke, peraturan baharu ini bakal dikuatkuasakan mulai 8 Mei 2019, tetapi penguatkuasaan terhadapnya hanya akan bermula tiga bulan selepas tarikh ia dikuatkuasakan tersebut.

    Sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini, peraturan mengenai penggunaan lapisan filem atau cermin gelap adalah digariskan di dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Peraturan sedia ada sebelum ini menetapkan peratusan ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin depan utama kenderaan ialah 70%, untuk cermin tepi kiri dan kanan pemandu pula ialah 50% manakala cermin tepi kiri dan kanan serta cermin belakang (penumpang belakang) ialah 30%.

    Beliau turut berkata, pindaan yang telah dibuat adalah bertujuan untuk meningkatkan aspek ketelusan dalam proses pertimbangan ke atas permohonan menggunakan cermin yang lebih gelap di samping menyumbang untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan.

    Peraturan baharu cermin gelap mulai 8 Mei ini – fi RM5k bagi permohonan pengecualian yang diluluskan

    Menjelaskan lebih lanjut mengenai pindaan ini, katanya, ia akan melibatkan perkara-perkara utama iaitu pindaan ke atas VLT menerusi cermin tepi kiri dan kanan penumpang belakang serta cermin belakang. Pada masa ini, peraturan semasa menetapkan bahawa VLT bagi cermin tepi kiri dan kanan penumpang belakang serta cermin utama di belakang adalah pada kadar 30%.

    Berdasarkan pindaan tersebut, ia akan membenarkan penggunaan lapisan cermin gelap yang mana VLT menerusi cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan boleh kurang daripada 70% cahaya tampak dengan syarat bahawa kenderaan itu dilengkapi dengan cermin sisi pandang belakang di kanan dan kiri (side mirrors). Walau bagaimana pun, VLT pada cermin hadapan dan cermin sisi kanan dan kiri pemandu adalah masih kekal seperti sedia ada.

    “Kebenaran ini hanyalah untuk kenderaan motor milik persendirian sahaja. Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, VLT tidak boleh kurang daripada 70%.

    Ini bermaksud, cermin selain daripada cermin hadapan dan cermin tepi kiri dan kanan pemandu boleh kurang daripada 70% cahaya tampak ataupun kurang daripada 30% berdasarkan peraturan semasa, dengan syarat terdapat dua cermin side mirror (kiri dan kanan) dipasang pada kenderaan tersebut,” ujar Loke.

    Peraturan baharu cermin gelap mulai 8 Mei ini – fi RM5k bagi permohonan pengecualian yang diluluskan

    Kadar ketelusan cahaya yang ditetapkan sebelum ini

    Selain itu, turut dimaklumkan, permohonan dan pemprosesan serta kelulusan bagi penggunaan cermin yang lebih gelap akan dikenakan yuran khas atau fi bagi meningkatkan hasil kerajaan. Anggaran pendapatan setahun daripada fi ini adalah dalam lingkungan RM6 juta setahun kepada kerajaan.

    Loke berkata, “Mana-mana individu boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap (sama ada menerusi penggunaan lapisan filem atau penggunaan kaca yang lebih gelap) yang menjadikan peratusan cahaya tampak adalah kurang berbanding peraturan (atau lebih gelap) atas sebab-sebab yang khusus seperti faktor keselamatan atau faktor kesihatan.

    Bagi setiap permohonan yang dikemukakan di atas faktor keselamatan, akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50 bagi setiap permohonan. Manakala setiap permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000. Setiap kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh selama dua tahun. Individu yang telah diluluskan bagi penggunaan cermin lebih gelap hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan akan dikenakan fi yang sama dalam setiap permohonannya.”

    Peraturan baharu cermin gelap mulai 8 Mei ini – fi RM5k bagi permohonan pengecualian yang diluluskan

    Walau bagaimana pun, permohonan pengecualian di atas faktor kesihatan hendaklah mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan Kerajaan dan akan dikecualikan daripada sebarang bayaran.

    Mengenai pemilik kereta persendirian berdaftar sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing, Loke berkata, “Walau pun pemandu e-hailing harus memohon lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), tapi kenderaan mereka tidak perlu ditukar ke kategori kenderaan komersil. Bermakna, ia masih kekal sebagai kenderaan persendirian dan peraturan baharu cermin gelap ini turut boleh digunapakai oleh pemandu perkhidmatan e-hailing.”

    Tambahnya lagi, “Dengan pindaan VLT pada cermin tepi kiri dan kanan di bahagian penumpang serta cermin belakang kenderaan, ia akan membolehkan orang ramai untuk menggunakan cermin yang lebih gelap berbanding peraturan semasa. Maka, ketetapan baharu ini tidak akan lagi menimbulkan keperluan kepada majoriti pemilik kenderaan sedia ada untuk menggunakan cermin yang lebih gelap daripada yang telah ditetapkan.”

    Dalam masa yang sama, Loke turut menegaskan, penggunaan lapisan filem atau cermin yang lebih gelap di bahagian cermin tepi kiri dan kanan serta cermin hadapan pemandu akan mengganggu keupayaan pemandu untuk melihat dan mengawal kenderaannya dengan selamat serta meningkatkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya dalam keadaan waktu kurang cahaya sama ada disebabkan oleh hujan atau pemanduan di waktu malam.

     
     
  • Porsche cetak semula semua manual pengguna – lebih 700 model lama, dari 365 hingga 911 generasi 996

    Porsche cetak semula semua manual pengguna – lebih 700 model lama, dari 365 hingga 911 generasi 996

    Mungkin mendapat permintaan kerana model-model lamanya kini menjadi tumpuan dalam pasaran kereta-kereta klasik, Porsche telah mencetak semula kesemua manual pengguna untuk kesemua model-model produksi yang pernah dijual.

    Ya, semua. Ini bermaksud dari model 356 hingga 911 generasi 996, kesemua lebih 700 manual pengguna model yang pernah diproduksi oleh Porsche boleh dibeli di pengedar sah Porsche di seluruh dunia, termasuk model-model yang sangat rare seperti Porsche 959.

    Manual-manual berkenaan adalah 100 peratus sama dengan cetakan asal yang diberikan semasa setiap model berkenaan dibeli baharu dahulu. Jadi dari segi rekaan kulit, segala grafik dan kesemua maklumat di dalamnya seperti bagaimana untuk mengoperasikan setiap fungsi dalam kereta, dimensi dan spesifikasi masih kekal serupa.

    Bukan itu sahaja, Porsche turut mencetak semula booklet waranti dan juga jadual penyelenggaraan untuk sekitar 100 model terpilih. Jika anda malas untuk ke pengedar sah Porsche, semua manual ini turut boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman sesawang Porsche Classic.

     
     
  • Touch ‘n Go PayDirect kini di empat lagi lebuhraya

    Touch ‘n Go PayDirect kini di empat lagi lebuhraya

    Touch ‘n Go kini telah mengaktifkan servis PayDirect dilebih banyak lebuhraya, dengan pertambahan terbaru melibatkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Sistem Penyuraian Trafik Barat KL (SPRINT), menjadikan keseluruhannya 14 lebuhraya ketika ini.

    Perkhidmatan PayDirect membolehkan pengguna menghubungkan tiga kad Touch ‘n Go kepada aplikasi eWallet mereka. Sebaik saja kad itu dihubungkan ke eWallet, caj tol akan dipotong secara automatik dari eWallet bila-bila masa kad yang dihubungkan itu digunakan di plaza tol (secara sentuhan biasa ataupun melalui SmarTAG), tanpa sebarang potongan kepada kad berkenaan.

    Sekiranya eWallet tidak mempunyai jumlah baki yang cukup, barulah caj akan dipotong daripada baki pada kad fizikal. Bagaimanapun, anda boleh mengekalkan jumlah baki dalam kad sekiranya anda mengaktifkan ciri “auto-reload” pada eWallet. Untuk menambah nilai eWallet, ia boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar menggunakan kad kredit atau debit, perbankan atas talian atau TNG Reload PIN tanpa dikenakan caj tambahan.

    Berdasarkan aplikasi Touch ‘n Go eWallet, menyusul selepas ini untuk perkhidmatan PayDirect ialah di Lebuhraya Besraya dan Lebuhraya Pantai Baru. Anda pernah memanfaatkan servis ini? Ada apa-apa pengalaman yang ingin dikongsi?

     
     
  • Hyundai Santa Fe 2019 – harga rasmi dari RM170k

    Hyundai Santa Fe 2019 – harga rasmi dari RM170k

    Selepas empat bulan didedahkan untuk pasaran dunia, Hyundai Santa Fe generasi keempat muncul pula di Malaysia November tahun lalu untuk dipamerkan waktu acara KLIMS 2018. Sekarang, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sudah mendedahkan harganya dan ia sudah boleh ditempah.

    Secara keseluruhannya ada empat varian untuk SUV ini, bermula dengan 2.4 MPI 2WD Executive pada harga RM169,888, diikuti 2.4 MPI 2WD Premium pada RM198,888, 2.2 CRDi 4WD Diesel RM191,888, dan paling tinggi, 2.2 CRDi 4WD Diesel Premium RM211,888. Harga ini tidak termasuk insurans dan penghantaran akan bermula bulan hadapan.

    Jika dilihat, harga permulaan untuk Santa Fe baru ini sebenarnya adalah lebih rendah berbanding RM188k yang dijangka sebelum ini, dan ia sekaligus menjadikan SUV tujuh tempat duduk ini lebih murah berbanding Mazda CX-5 varian paling tinggi dan tidak begitu jauh dengan Honda CR-V 1.5 TC Premium 2WD dan Nissan X-Trail Hybrid baru (varian tertinggi bagi model masing-masing).

    Dari depan, wajah Santa Fe baru ini hampir menyerupai rekaan pada model SUV kompak Kona, dengan lampu LED DRL yang tirus di atas unit lampu utama LED. Gril dengan rekaan yang lebih segar dan besar digunakan, dengan lebih rekaan kemasan di dalamnya manakala garis bahu pula menjadi lebih tegap.

    Bahagian kabin juga menerima rekaan baru sepenuhnya, mirip yang ada pada model Kona sebagai penanda aras kenderaan generasi baru keluaran Hyundai. Antara yang melengkapi ruang berkenaan ialah skrin sentuh bagi sistem infotainmen (dengan sokongan Android Auto). Turut hadir ialah pengecas tanpa wayar Qi.

    Kelengkapan lain yang dapat dilihat pada unit pameran di KLIMS adalah termasuk paparan digital pada kluster instrumen (dengan dua meter analog), kemasan kulit, monitor 360-darjah, kawalan menuruni curam, peninjau titik buta, tempat duduk depan berkuasa (dengan sokongan lamdar untuk pemandu), cruise control, sistem pintar tanpa kunci serta rim 19 inci.

    Varian MPI menggunakan enjin petrol 2.4 liter Theta II NA yang mampu menghasilkan kuasa 172 PS/225 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan biasa, sementara varian CRDi pula menggunakan enjin 2.2L diesel turbo yang dipadankan bersama kotak gear lapan kelajuan baru, sistem AWD dan mampu menghasilkan kuasa 193 PS dan 440 Nm tork.

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2.2 CRDi

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2.4 MPI

     
     
  • Range Rover Evoque plug-in hybrid bakal diperkenal tahun ini, versi elektrik sepenuhnya bukan pilihan

    Range Rover Evoque plug-in hybrid bakal diperkenal tahun ini, versi elektrik sepenuhnya bukan pilihan

    Buat masa ini, Land Rover tidak akan memperkenalkan model semua-elektrik (EV) bagi Range Rover Evoque, sekurang-kurangnya sehingga tahun 2025, bertujuan untuk terus memfokuskan usaha terhadap teknologi hibrid, seperti yang dilaporkan oleh Autocars. Menurut ketua Jaguar Land Rover UK Rawdon Glover, sementara “akan ada pasaran untuk SUV elektrik bersaiz kecil hingga sederhana”, perkara tersebut tidak akan terlaksana sebelum Evoque generasi baharu tiba.

    Evoque generasi-kedua, yang diperkenalkan pada Novemnber lalu, dengan menggunakan platform Premium Transverse Architecture baharu yang boleh menampung teknologi hibrid sederhana dan plug-in hybrid. Pada pelancarannya, SUV tersebut dilengkapi dengan sistem hibrid sederhana 48-voltan (yang pertama buat pengeluar kereta berkenaan), dan juga bateri 48-voltan yang diletakkan di bawah lantainya.

    Laporan tersebut turut menambah, walau bagaimana pun, model plug-in hybrid (PHEV) yang akan diperkenalkan pada tahun ini. Ia akan dijanakan oleh enjin petrol 1.5 liter dengan gabungan motor elektrik yang dikatakan mampu menghasilkan output sehingga 108 hp. Glover menggambarkan Evoque PHEV ini sebagai “fleet game-changer” bagi pengeluar tersebut, dan meramalkan ia akan menghasilkan lebih daripada satu pertiga daripada jualan Evoque di UK apabila dilancarkan.

    Range Rover Evoque plug-in hybrid bakal diperkenal tahun ini, versi elektrik sepenuhnya bukan pilihan

    Walau bagaimana pun, Autocars turut menyebut platform yang digunakan tidak boleh menampung penjana kuasa elektrik sepenuhnya, dan oleh sebab itu binaan baharu mungkin akan diimplementasikan untuk model generasi-ketiga.

    Land Rover percaya teknologi PHEV mampu menjadi landasan yang munasabah untuk Evoque, berbanding varian elektrik sepenuhnya, setelah melihat kejayaan yang dicipta oleh Range Rover dan Range Rover Sport PHEV yang dilancarkan pada 2017. Namun demikian, rancangan elektrik yang lebih luas untuk Land Rover masih tidak dapat disahkan lagi, tetapi versi elektrik untuk Range Rover dijangka akan diperkenalkan kurang dalam tempoh lima tahun ini.

     
     
  • Isuzu D-Max XTR diubah suai jadi lebih lasak – RM185k

    Isuzu D-Max XTR diubah suai jadi lebih lasak – RM185k

    Di United Kingdom, Isuzu memasarkan D-Max dengan pelbagai pilihan, dari yang cuma mempunyai pacuan dua roda dan untuk kerja-kerja kasar, sehinggalah yang paling lengkap dengan sistem 4WD dan pelbagai ciri lagi. Harganya adalah antara £16,909 (RM91,991) hingga £38,555 (RM209,754). Terbaru, Isuzu UK menunjukkan sebuah lagi model ubah suai khas, digelar sebagai D-Max XTR.

    Ubah suai yang dilakukan pada model ini adalah untuk menjadikannya lebih lasak lagi, dan seperti yang boleh dilihat, ia mempunyai pelindung plastik untuk keseluruhan muka depannya, lengkuk tayar lebih lebar serta spoiler di atas penutup but. Pemijak kaki juga dibina lebih tegap untuk menjaga badan kenderaan. Rim adalah unit 17 inci rekaan khas yang dibalut tayar Pirelli Scorpion All Terrain Plus saiz 265/70R17.

    Bukan setakat penampilan, prestasi trak pikap ini juga dipertingkat dengan penggunaan suspensi talaan khas Pedders, yang menjadikannya lebih tinggi daripada D-Max biasa, iaitu 250 mm dari tanah. Pada bahagian brek, ia menggunakan cakera berliang, pad seramik kevlar, dan diakhiri dengan cat yang terang untuk menjadikannya lebih menyerlah.

    Masuk ke dalam, keadaannya adalah lebih mewah, dengan penggunaan tempat duduk yang telah dibentuk semula dan dibalut dengan kombinasi bahan kulit, Alcantara serta jahitan warna hijau. Stereng juga dibalut dengan bahan sama. Selain rasa premium, kombinasi ini juga dikatakan dapat memberi cengkaman yang baik kepada pengguna.

    Spesifikasi lengkap D-Max XTR pasaran UK ini masih belum didedah, tetapi ia dijangka menggunakan enjin terbaru dari jenama itu iaitu unit diesel empat silinder DOHC 1,898 cc turbo yang mampu menghasilkan kuasa 164 PS pada 3,600 rpm dan 360 Nm tork pada antara 2,000 hingga 2,500 rpm. Harga D-Max XTR adalah £33,999 (RM184,967) dan ia sudah boleh ditempah di UK, tetapi cuma akan berada di pusat pengedar hujung tahun ini.

     
     
  • Toyota Glanza ‘hidup semula’ di India – teaser disiarkan, hatchback rebadge dari Suzuki Baleno

    Toyota Glanza ‘hidup semula’ di India – teaser disiarkan, hatchback rebadge dari Suzuki Baleno

    Setahun yang lalu, Toyota telah mengumumkan kerjasamanya dengan Suzuki di India bahawa kedua-dua jenama tersebut akan membekalkan model antara satu sama lain untuk pasaran berkenaan – Suzuki akan memberikan hatchback Baleno dan SUV segmen-B Vitara Brezza kepada Toyota, manakala gergasi automotif Jepun berkenaan akan memberikan sedan segmen-C Toyota Corolla kepada Suzuki.

    Hasil pertama kerjasama berkenaan bakal muncul tidak lama lagi, setelah laman Toyota India menyiarkan teaser sebuah hatchback lima-pintu yang sangat mirip dengan Maruti Suzuki Baleno, digelar Toyota Glanza. Nama ‘Glanza’ tersebut juga sebenarnya telah digunakan sebelum ini oleh Toyota untuk versi lebih sporty hatchback Starlet generasi kelima yang diproduksi dari 1996 hingga 1999.

    Toyota Glanza ini bakal dilancarkan di India pada awal bulan hadapan. Laporan mengatakan bahawa bahagian luaran untuk Toyota ini adalah disalin sepenuhnya dari Baleno, kecuali hanya gril hadapannya yang direka tersendiri. Begitu juga pada bahagian dalaman, Glanza bakal ditawarkan dengan dua tema sama seperti varian Baleno Zeta dan Alpha.

    Sistem mekanikal turut dijangka tidak akan menampilkan sebarang perubahan di mana Toyota Glanza bakal dijana enjin K12M 1.2 liter, berkuasa 83 hp dan tork maksima 115 Nm, digandingkan bersama pilihan kotak gear sama ada CVT automatik atau manual lima-kelajuan.

    Menerusi perjanjian kerjasama berkenaan, Toyota akan menjual model ini menerusi subsidiari mereka di India, begitu juga Maruti Suzuki yang akan menjual model-model yang diterima dari Toyota kelak.

    Selepas ini, Vitara Brezza yang diberikan logo Toyota pula akan muncul, tetapi dijangka sedikit lewat iaitu sekitar tahun 2020 hingga 2021. Walau bagaimanapun, Corolla dengan logo Suzuki mungkin tidak akan muncul kerana Toyota India telah mengumumkan bahawa model generasi ke-12 tersebut tidak akan masuk ke pasaran India.

    GALERI: Suzuki Baleno pasaran Indonesia yang diimport dari India

     
     
  • Suzuki hentikan jualan kereta diesel di India pada 2020

    Suzuki hentikan jualan kereta diesel di India pada 2020

    Maruti Suzuki, pengeluar kereta terbesar India berdasarkan perkongsian pasaran (51% menjelang tahun kewangan 2018), baru-baru ini mengumumkan akan menghentikan jualan kenderaan diesel di negara tersebut menjelang akhir tahun kewangan 2019.

    “Mulai 1 April 2020, kami tidak akan menjual kereta diesel. Bergantung pada bagaimana reaksi pelanggan, jika kami mendapati masih ada pasaran untuk kereta diesel, kami akan membangunkannya dalam masa yang munasabah,” ujar R C Bhargava, pengerusi Maruti Suzuki, seperti mana yang dilaporkan oleh Quartz India.

    Langkah ini sesulan dengan keputusan India untuk membendung pencemaran yang terhasil daripada kenderaan dengan menetapkan standard emisi yang lebih ketat – Bharat Stage VI (BS0VI) pada tahun 2020 – dari standard semasa Bharat Stage IV (BS-IV). Standard Bharat Stage adalah berdasarkan peraturan Eropah, dan pertama kali diperkenalkan pada tahun 2000.

    Pertukaran antara BS IV ke BS VI pertama kali diumumkan pada 2016, selepas India menandatangani Perjanjian Iklim Paris, di mana ia akan dilaksanakan pada 2020. Menurut Laporan Kualiti Udara Dunia 2018 oleh IQAir AirVisual, 22 daripada 30 bandar paling tercemar di dunia berada di India.

    Suzuki hentikan jualan kereta diesel di India pada 2020

    Pada masa ini, industri automotif India menentang langkah tersebut, dengan peningkatan harga kenderaan untuk memastikan ia mematuhi piawaian BS-VI, yang mirip dengan peraturan Euro 6.

    “Peningkatan harga anggaran satu lakh rupee (seratus ribu rupee atau RM5,981) untuk kereta diesel dan 20,000 rupee (RM1,196) untuk kereta janaan petrol dijangka berlaku dengan peralihan ke BS-VI,” ujar Bhargava. Ini tentunya akan memberikan kesan terhadap pembeli di negara tersebut.

    Buat masa ini Maruti Suzuki menawarkan tujuh versi diesel bagi barisan modelnya, termasuklah Swift, Szire, Vitara Brezza, Baleno, Ertiga, Ciaz dan S-Cross. Ia turut menawarkan varian lain bagi sesetengah model ini yang dikuasakan oleh gas asli termampat (CNG), jenis bahan api yang dipromosikan oleh kerajaan India.

     
     
  • Geely Binyue PHEV bakal dilancar – mungkinkah akan diambil oleh Proton sebagai hibrid pertama mereka?

    Geely Binyue PHEV bakal dilancar – mungkinkah akan diambil oleh Proton sebagai hibrid pertama mereka?

    Apa yang anda lihat ini adalah Geely Binyue PHEV, iaitu versi plug-in hybrid bagi SUV segmen B yang sebelum ini telah dilancarkan di China dengan enjin petrol. Menurut media di sana, Binyue PHEV ini dijangka diperkenalkan untuk pasaran sana hujung bulan ini ataupun awal Jun nanti.

    Melalui imej ini anda boleh melihat kenderaan tersebut disambung kepada pengecas dan masuk kepada kenderaan di fender hadapan sebelah kiri. Selain bentuk bawah bampar dan lambang PHEV di belakang, bahagian lain semuanya kelihatan sama seperti Binyue versi enjin biasa. Ini termasuk juga bumbung hitam dan rim 18 inci itu.

    Bahagian dalam yang menurut Geely mendapat inspirasi daripada kokpit pesawat udara juga masih dikekalkan untuk model PHEV ini, tetapi pada bahagian konsol tengah terdapat tambahan tombol yang boleh dipusing untuk memilih mod pemanduan sama ada EV penuh atau Hybrid.

    Setakat ini berita yang tersebar mengatakan Binyue PHEV akan menggunakan padanan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor elektrik, pek bateri dan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Dengan kuasa yang dijangka mencecah 255 hp dan 415 Nm tork, SUV kompak ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan kalau menggunakan mod elektrik sahaja, ia boleh pergi sehingga 60 km.

    Binyue dibina atas platform modular BMA yang dibangunkan bersama dengan Volvo, dan versi enjin biasa ditawarkan dengan pilihan enjin empat-silinder 1.5 liter turbo suntikan bahan api terus bersama padanan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan, ataupun enjin 1.0 liter turbo dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan. Kuasanya masing-masing adalah 174 hp/255 Nm dan 134 hp/205 Nm.

    Binyue ini sudah tentu sedang dipersiapkan untuk pasaran kita, dan unit ujian sudah pun ditemui atas jalan sejak beberapa bulan yang lepas. Memandangkan sekarang sudah ada versi PHEV di tempat asalnya, mungkinkah nanti Proton akan membawanya ke sini untuk menjadikan ia sebagai kenderaan hibrid pertama mereka?

    GALERI: Geely Binyue

     
     
  • PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

    PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

    Ketika ini, jika anda memang mengintai untuk memiliki sebuah SUV, pastinya Nissan X-Trail 2019 juga turut berada di dalam senarai untuk dipertimbangkan. Sejak dipertontonkan pada Mac lalu (dan kemudiannya dilancarkan dan mula dijual pada April 2019), telah banyak maklumat berkaitan model ini yang sudah dilaporkan.

    Sekiranya anda belum sempat meneliti dengan terperinci berkaitan SUV facelift terbaru daripada Nissan ini, kami sendiri telah menyediakan kandungan yang agak komprehensif mengenai model ini yang boleh anda capai terus. Antaranya ketika ia mula-mula dipertontonkan di Malaysia, perbezaan antara model lama dengan yang baru serta penawaran serta perbezaan spesifikasi antara varian yang ada kini.

    Bagi yang lebih gemar mendapatkan maklumat melalui medium video pula, jangan risau. Kami juga telah mempersiapkan beberapa siri video berkaitan Nissan X-Trail 2019 ini untuk anda. Antaranya, tinjauan awal dengan tumpuan kepada model hibrid, video berkenaan Nissan Intelligent Mobility, prestasi pecutan antara varian yang ada, perbezaan penawaran antara varian serta sesi pandu uji ringkas.

    Jadi, untuk laporan ini, kita hanya akan memberi tumpuan kepada pengalaman pemanduan tiga varian yang sempat kami cuba setakat ini; semua varian kecuali model 2.0L 2WD yang paling asas, yang mana dalam laporan ini bolehlah diwakilkan kepada versi 2.0L 2WD Mid. Tetapi, sebelum itu, elok kita tinjau dulu arah tuju jangka masa terdekat ini yang sedang dirancang oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan untuk pasaran Malaysia.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Tesla jangka bahan galian utama untuk bateri kereta elektrik mungkin terjejas akibat permintaan meningkat

    Tesla jangka bahan galian utama untuk bateri kereta elektrik mungkin terjejas akibat permintaan meningkat

    Trend automotif buat masa sekarang, pengeluar-pengeluar kenderaan kini nampaknya sedang aktif untuk beralih dari enjin yang dijana oleh bahan api fosil kepada penggunaan kuasa elektrik kerana undang-undang emisi yang semakin ketat diperkenalkan oleh negara-negara maju. Dengan perkembangan ini, pembuat kereta elektrik sepenuhnya dari Amerika Syarikat, Tesla menjangkakan bekalan bahan galian utama bagi pembinaan kereta jenis tersebut mungkin akan terjejas kerana permintaan yang terlalu tinggi, lapor Reuters.

    Menurut Tesla, bahan-bahan galian utama seperti nikel, tembaga dan juga material-material bagi menghasilkan komponen dalam bateri kereta elektrik ini akan terjejas bukan hanya disebabkan permintaannya yang semakin banyak, malah pelaburan yang kurang sektor-sektor perlombongan untuk komoditi berkenaan turut bakal menimbulkan masalah pada masa hadapan.

    Pengurus pembekalan global untuk logam bateri Tesla, Sarah Maryssael berkata ketika persidangan industri minggu lalu, syarikatnya mungkin akan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan bahan-bahan galian pada masa hadapan.

    Tesla agak jarang memberikan pandangan mereka terhadap industri logam dikhalayak umum. Syarikat berkenaan melontarkan pandangan mereka ini pada persidangan tertutup antara pelombong, pengawal selia dan penggubal undang-undang, kerana ia berkisar cabaran pembekalan jangka masa panjang yang mungkin akan berlaku terhadap bahan-bahan tersebut.

    Tesla jangka bahan galian utama untuk bateri kereta elektrik mungkin terjejas akibat permintaan meningkat

    Industri tembaga telah mengalami kemerosotan berberapa tahun kebelakangan ini kerena kekurangan pelaburan, dan kini terpaksa merangkak untuk membina lombong-lombong baharu bagi menambah bekalan tembaga. Pengeluar tembaga terbesar dunia, Freeport-McMoRan kini sedang mengembangkan operasi mereka di Amerika Syarikat dan Indonesia.

    Situasi ini walau bagaimanapun tidak akan meningkat secara signifikant, kerana bahan-bahan berkenaan bukan sahaja menjadi rebutan dalam sektor automotif, malah ia juga diperlukan dalam industri lain. Sistem rumah pintar seperti termostat Nest dari Alphabet dan penolong peribadi Alexa dari Amazon dijangka akan bertumbuh secara cepat dan ia memerlukan sebanyak 1.5 juta tan tembaga menjelang 2030, berbanding hanya 38,000 tan sekarang.

    Menurut Maryssael, Tesla akan fokus terhadap nikel untuk produksi bateri mereka dan akan mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kobalt untuk membuat katod bateri. Buat masa ini, kebanyakkan bekalan kobalt mereka diterima dari Republik Demokratik Congo, dan proses mengekstrak bahan tersebut menyebabkan ia tidak popular untuk digunakan dalam industri bateri. Tesla juga kini melihat potensi yang besar untuk bekerjasama dengan pelombong di Australia dan Amerika Syarikat.

     
     
  • Renault Kangoo Z.E Concept – petunjuk generasi baru

    Renault Kangoo Z.E Concept – petunjuk generasi baru

    Lebih 10 tahun yang dulu, Renault Malaysia ada menjual model Kangoo generasi pertama. Kami masih ingat ia adalah antara van kecil yang mempunyai pengendalian baik waktu itu, tapi sayangnya sekarang tiada model baru dipasarkan di Malaysia sedangkan di pasaran dunia Kangoo ini sudah memasuki generasi kedua dan mungkin akan masuk generasi ketiga tidak lama lagi.

    Untuk memberikan petunjuk awal kepada orang ramai bagaimana rupa Kangoo masa hadapan, Renault telah mendedahkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai Kangoo Z.E Concept. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, ia dijangka dapat diperkenalkan untuk pasaran menjelang tahun 2020.

    Model konsep ini dianggap sebagai sebuah bengkel bergerak dan dipacu oleh motor elektrik. Muka hadapannya berbeza berbanding Kangoo sebelum ini, dan rekaan baru ini adalah dikongsi bersama dengan kenderaan komersial terbaru lain Renault. Kemudiannya, ia juga banyak menggunakan rekaan seperti kereta biasa.

    Renault Kangoo Z.E Concept – petunjuk generasi baru

    Ini antaranya boleh dilihat pada bahagian tepi, di mana Kangoo Z.E Concept ini mempunyai banyak lekuk termasuk pada pintu serta keliling roda. Walaupun begitu, Renault memberitahu, rekaan seperti ini tidak mengganggu luas ruang di bahagian dalamnya.

    Tiada sebarang perincian teknikal yang disiarkan untuk model konsep ini, tetapi kalau melihat kepada Kangoo Z.E elektrik yang dijual sekarang di Eropah, ia menggunakan motor elektrik 44 kW yang mampu menghasilkan sehingga 226 Nm tork. Motor ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 22 kWh dan boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 170 km.

     
     
  • Chevrolet Tahoe RST 2019 – SUV yang boleh drift

    Jika anda mahu lakukan aksi drift, SUV tentunya bukanlah sebuah kenderaan yang perlu dipilih. Bukan hanya kerana ianya lebih berat dari kereta, malah dengan tayar yang besar dan juga titik graviti yang tinggi tentu menyukarkan aksi berkenaan untuk dibuat.

    Namun pelumba drift professional dari Jordan, Ahmad Daham membuktikan dengan kemahiran bersama SUV yang betul, aksi drift masih boleh dilakukan walaupun dengan kenderaan sedemikian. Oleh itu, beliau memandu Chevrolet Tahoe RST, dan melakukan aksi drift di litar Yas Marina, Dubai.

    Jelas, dengan kuasa enjin V8 6.2 liter menjana 420 hp memacu roda belakang, SUV berkenaan tidak ada masalah bagi melakukan drift. Tambahan pula dengan suspensi yang ditala untuk pemanduan berprestasi tinggi bersama rim bersaiz 22-inci dibaluti tayar berprestasi tinggi, Tahoe RST berkenaan nampak begitu stabil ketika menggelangsar.

    Chevrolet Tahoe RST merupakan varian paling berkuasa model tersebut. Walaupun lencana RST tersebut bermaksud “Rally Sport Truck”, namun pengendalian SUV ini adalah ditala untuk prestasi di atas permukaan tar, dan bukannya bagi pemanduan off-road.

     
     
  • BMW 8 Series Gran Coupe – versi 4-pintu muncul dalam teaser, jangka diperkenalkan pada Jun ini

    BMW 8 Series Gran Coupe – versi 4-pintu muncul dalam teaser, jangka diperkenalkan pada Jun ini

    BMW 8 Series bakal menerima ahli baharu selepas 8 Series Coupe dan 8 Series Convertible. BMW 8 Series Gran Coupe, versi empat-pintu, dijangka bakal merancakkan lagi persaingan dalam segmen coupe mewah.

    BMW menggambarkan 8 Series Gran Coupe ini sebagai “kereta sport empat-pintu yang miliki keanggunan sempurna, dengan dalaman yang melambangkan kemewahan moden.” Ia kini dalam peringkat terakhir pembangunannya untuk siri produksi, dan dijangka akan diperkenalkan dalam majlis BMW Group #NextGen di Munich pada 25 Jun ini. Manakala pelancaran untuk pasaran dijadualkan berlangsung pada September hadapan.

    Versi Gran Coupe bagi 8 Series ini bukanlah sukar untuk diimaginasikan, dan kita boleh melihatnya menerusi imej teaser di atas. Apa yang menariknya, coupe ini memiliki garisan bumbung yang anggun dengan spoiler belakangnya seperti ducktail – ia agak mirip dengan coupe dua-pintu.

    BMW 8 Series Gran Coupe – versi 4-pintu muncul dalam teaser, jangka diperkenalkan pada Jun ini

    BMW 8 Series Coupe

    Namun 8 Series Gran Coupe ini juga memiliki jarak roda yang lebih panjang berbanding Coupe, dan BMW memaklumkan, ia memiliki “ruang tempat duduk belakang yang lebih mengagumkan” dan “keselesaan pengendalian yang dipertingkatkan”.

    “8 Series Gran Coupe baharu ini melengkapkan lagi prestasi yang menakjubkan dengan reka bentuk penuh emosi dan ruang belakang yang luas. Ia memiliki karakteristik yang tersendiri termasuk bahagian hadapan yang menjadi tarikan utama. Perkadaran yang penuh tegap dengan garisan berdinamik bersatu bagi mewujudkan aura sport yang begitu eksklusif,” tambah BMW lagi.

    Versi ini turut dijangka menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Coupe/Convertible. Di mana 8 Series ditawarkan dengan varian 840d xDrive (3.0L diesel enam-silinder, 320 hp, 680 Nm) atau M850i xDrive (4.4L V8 petrol, 530 PS, 730 Nm).

    GALERI: BMW 8 Series di Malaysia

     
     
  • Laluan basikal dari Taman Melati ke Kampung Baru dijangka siap sepenuhnya pada 2020 – DBKL

    Laluan basikal dari Taman Melati ke Kampung Baru dijangka siap sepenuhnya pada 2020 – DBKL

    Laluan basikal di sekitar ibu kota Kuala Lumpur diperluaskan dengan laluan baharu dari Taman Melati, Setapak ke Kampung Baru dijangka siap sepenuhnya pada 2020. Menurut Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd, usaha berkenaan dibuat untuk memberi keselesaan kepada pengguna khususnya mereka yang beriadah melalui kawasan tersebut.

    “Kita dapati Sungai Bunus mempunyai jalan teratur yang boleh ditambah baik untuk laluan basikal, pejalan kaki dan beriadah. Jika mahu berbasikal ke tempat kerja sekalipun, ia tidak mengambil masa lama, hanya 20 minit ke sini (Sungai Bunus) dari Taman Melati.

    “Jadi mereka tidak perlu membawa kenderaan ke tempat kerja, sebaliknya hanya berbasikal, ia sekali gus dapat merendahkan penggunaan karbon monoksida, dan pada masa sama, ia juga dapat meningkatkan kesedaran pentingnya menjaga kebersihan sungai,” katanya kepada Bernama tanpa menjelaskan maklumat selanjutnya.

    Beliau berkata DBKL dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut merancang menjadikan taman Sungai Bunus sebagai sebahagian daripada Taman Titiwangsa yang dapat menghubungkan terus ke Taman Kejiranan Ayer Panas, Setapak.

     
     
  • Proton lancar pusat 3S baharu di Seremban

    Proton lancar pusat 3S baharu di Seremban

    Proton telah melancarkan pusat 3S terbaharunya, yang terletak di Taman Perindustrian Galla, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Dioperasikan oleh Setia Auto Drive Sdn Bhd (Setia Auto Drive), pusat 3S yang mempamerkan warna Identiti Korporat (CI) syarikat baharu dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PRroton, dan Dato’ Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.

    Dengan kos pelaburan hampir RM3 juta, cawangan Setia Auto Drive ini berada di lokasi yang strategik, boleh dilalui dari lebuh raya PLUS yang hanya berjarak pemanduan selama 5 minit dari Plaza Tol Bandar Ainsdale dan keluar dari Seremban-Labu.

    Cawangan ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Wi-Fi percuma, ruang untuk mengecas komputer riba dan ruang menunggu yang selesa. Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, ia turut dilengkapi dengan enam petak penyelenggaraan, enam servis pengangkat, sembilan kakitangan jualan yang berdedikasi dan lapan kakitangan servis.

    “Saya sangat berpuas hati untuk menjadi sebahagian daripada jenama ini. Selain daripada merupakan kereta kebangsaan, saya bangga kerana model baharu dari Proton dapat memberi manfaat dan menambahbaik kehidupan pelanggan melalui ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat dan teknologi terkini yang boleh didapati di dalam kereta-kereta Proton,” kata Dato’ Yap Kat Boon, Pengarah Setia Auto Drive Sdn Bhd dalam majlis pelancaran.

    Untuk rekod, sehingga kini, Proton telah mempunyai 79 cawangan 3S/4S di seluruh negara untuk memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman jualan dan servis yang optimum. Cawangan-cawangan ini telah dinaiktaraf dalam memastikan ia selari dengan keperluan identiti korporat terkini. Malahan Proton juga merupakan syarikat automotif nombor 1 dengan cawangan 3S/4S terbesar di seluruh negara.

    “Di Proton, pelanggan adalah keutamaan kami. Kami ingin mereka berkunjung ke mana-mana cawangan PROTON dan menikmati tahap kepuasan pelanggan yang terbaik. Dengan 79 cawangan yang beroperasi sebagai 3S/4S, kami akan dapat memenuhi kesemua keperluan pelanggan di bawah satu bumbung,” kata Dr Li.

     
     
  • Alex Yoong mahu lahirkan pelumba pro sebenar dari permainan video menerusi eRacing Grand Prix SEA

    Alex Yoong mahu lahirkan pelumba pro sebenar dari permainan video menerusi eRacing Grand Prix SEA

    Axle Motorsport bakal membawa siri perlumbaan dalam permainan video, e-Racing Grand Prix ke Asia Tenggara tahun ini, dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk edisi sulungnya yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Jun ini.

    Menurut pengasas Axle Motorsport dan juga bekas pemandu Formula 1 negara, Alex Yoong, beliau mendapat inspirasi bagi memperkenalkan eRacing Grand Prix SEA ini menerusi kejohanan sama yang dianjurkan di Hong Kong tahun lalu. Ia bukan sekadar perlumbaan permainan video, tetapi Alex menyatakan bahawa beliau akan melahirkan pelumba profesional sebenar menerusi acara ini.

    40 peserta teratas dalam perlumbaan ini akan mendapat latihan daripada jurulatih pelumba profesional. Ia akan dilangsungkan di Malaysia sebelum ke Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand. Pemenang di setiap Grand Prix akan dilatih dan mendapat tempat bagi Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) sebagai asas untuk menjadi pelumba kereta profesional sebenar.

    “eRacing Grand Prix SEA adalah platform terbaik kepada para pelumba alam maya membuktikan bahawa mereka boleh menjadi jaguh di dalam sukan permotoran,” kata Alex.

    “Peningkatan ketara eSports di rantau ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk eRacing menjadi antara permainan video terbesar di dunia. Untuk rekod, eSports telah diiktiraf apabila pernah disenaraikan di dalam Sukan Asia. Saya harap permainan video akan dikenali sebagai sukan selepas ini,” tambahnya lagi.

    Axle Motorsport juga menjadi rakan strategik bagi industri permotoran di rantau ini untuk membimbing industri eRacing daripada permainan video ke sukan permotoran sebenar. Ia juga adalah satu inisiatif serantau untuk membantu para pelumba yang berbakat menjadi bintang pada masa hadapan untuk sukan permotoran.

    Boleh ke pelumba dari permainan video Play Station ini menjadi pelumba profesional sebenar? Kami telah menunjukkan tiga contoh terbaik pelumba alam maya yang telah pun berlumba secara profesional di dunia nyata pada artikel di PAUTAN INI.

     
     
  • Harga minyak bagi 4-10 Mei – RON97 turun 1 sen

    Harga minyak bagi 4-10 Mei – RON97 turun 1 sen

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan, bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Mei 2019, harga runcit bagi petrol RON97 turun sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.81 seliter pada minggu sebelum ini, menjadi RM2.80 seliter. Harga baharu tersebut efektif bermula 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 dan diesel pula masih kekal seperti minggu-minggu sebelum ini. Di mana harga runcit bagi petrol RON 95 masih pada paras RM2.08 seliter, manakala untuk diesel Euro 2M juga kekal pada harga RM2.18 seliter, dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

    Menurut kementerian terbabit, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit bagi petrol dan diesel sepatutnya naik masing-masing 1 sen dan 2 sen. Iaitu petrol RON95 sepatutnya menjadi RM2.50 seliter dan diesel pula RM2.47 seliter. Namun kerajaan memutuskan untuk menstabilkan harga runcit bagi bahan api berkenaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran tanggungan subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 4 hingga 10 Mei 2019 adalah berjumlah RM130.45 juta