Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Mercedes-AMG GT Coupe empat-pintu akhirnya mendarat di Malaysia secara rasmi hari ini. Dilancarkan di Litar antarabangsa Sepang, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hanya menawarkan 3 varian untuk badan coupe besar berkenaan iaitu Mercedes-AMG GT 43 4Matic+, 53 4Matic+ dan model paling berkuasa 63 S 4Matic+. Anda boleh memiliki model ini dengan harga atas jalan tanpa insuran masing-masing bermula RM 1,098,888, RM 1,298,888 dan RM 1,798,888.

    Mercedes-AMG GT Coupe empat-pintu ini sebenarnya diasaskan dari model CLS, dan model asasnya berkongsi unit janakuasa yang hampir sama. Model 43 4Matic+ dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris menghasilkan kuasa 367 hp dan tork maksima 500 Nm.

    Mercedes-AMG GT 53 4Matic+ juga menerima enjin yang sama tetapi ditala bagi menghasilkan 429 hp (435 PS) pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 1,800 hingga 5,800 rpm. Ia juga menerima motor starter-alternator EQ Boost berkuasa 22 PS/250 Nm (sebahagian dari sistem elektrikal 48 V kereta ini)

    Model paling liar ini dijana oleh enjin 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo jenis twin-scroll menghasilkan kuasa 630 hp (639 PS) bermula 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Enjin tersebut turut diberikan sistem nyah-aktif silinder untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Kesemua enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Ini membolehkan model 43 4Matic+ memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.9 saat, 53 4Matic+ pula 4.5 saat dan 63 S 4Matic+ pula hanya 3.2 saat. Manakala untuk kelajuan maksima, model paling asas boleh mencapai 270 km/j, model pertengahan pula 285 km/j, manakala versi paling liar pula mampu ‘terbang rendah’ pada kelajuan 315 km/j.

    Kesemua versi enjin ini hadir dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+. Ia berfungsi sama seperti sistem pada E 63, yang turut diberikan mod Drift, dimana kesemua tork dialirkan pada gandar belakang sahaja. Dalam larasan biasa, tork juga akan dialirkan lebih kepada roda belakang, namun pembahagian kuasa tersebut akan dilakukan secara bervariasi mengikut keadaan.

    Unit LSD pada gandar belakang diberikan secara standard pada model AMG GT 63 S bersama sistem stereng aktif pada gandar belakang, yang akan menghalakan roda belakang kearah bertentangan dengan roda hadapan pada kelajuan lebih dari 100 km/j bagi meningkatkan ketangkasannya.

    Bagi membolehkan kuasa kereta ini diberhentikan dengan cepat, ia hadir eksklusif dengan sistem brek berprestasi tinggi AMG – diberikan cakera kompaun berdiameter besar, angkup enam-silinder pada bahagian hadapan serta silinder-tunggal di belakang. Model S ini juga diberikan angkup berwarna kuning berbanding model 63 biasa diberikan angkup berwarna merah.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Model coupe empat-pintu ini turut akan diberikan sistem stereng sport AMG sensitif-kelajuan, dengan bantuan kuasa bervariasi bergantung pada mod pemanduan yang dipilih – Comfort, Sport dan Sport+. Kesemua mod ini dihubungkan kepada mod transmisi AMG Dynamic Select, namun jika anda tidak selesa dengan gabungan mod yang disediakan, anda boleh melaras sendiri menerusi mod Individual.

    Enam program pemanduan telah disediakan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual – diletakkan di bawah program AMG Dynamic. Ia turut ditambah dengan fungsi ketangkasa – Basic, Advanced, Pro dan Master – yang diatur dari larasan bermula berorientasikan keselamatan hingga dinamik tertinggi.

    Dari segi rupa, imej model dua-pintu masih jelas diterapkan pada model AMG GT empat-pintu ini. Elemen rekaan tersebut termasuk penggunaan gril Panamerica, Sayap Jet di hadapan, panel udara, potongan badan yang hampir serupa dan juga lampu belakang tirus.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Walau bagaimanapun, model empat-pintu ini diberikan bonet hadapan yang lebih pendek serta bumbung lebih tinggi berbanding versi dua-pintu bagi mendapatkan kabin yang lebih besar. Ia juga diberikan lampu hadapan lebih tajam yang lebih menyerupai model CLS.

    Khas untuk model dengan enjin V8 ini, ia diberikan liang kemasukan udara hadapan dengan elemen tiga-tingkat, bersama diffuser lebih agresif dan juga kemasan tip ekzos berbentuk trapezoid.

    Masuk ke kabin pula, ia direka seakan gabungan AMG GT (pada bahagian bawah) dan juga CLS untuk bahagian utama papan pemuka. Dua paparan HD bersaiz 12.3 setiap satu diberikan sebagai paparan instrumentasi pemandu sebagai sebahagian sistem Widescreen Cockpit. Pemandu juga boleh memilih tema berbeza iaitu Classic dan Sport. Satu lagi tema baharu iaitu Supersport turut ditampilkan pada model ini yang memaparkan informasi spesifik AMG.

    Ia juga turut diberikan roda stereng berprestsi AMG yang hadir bersama butang Touch Control, manakala pada bahagian pemuka utama terdapat pad kawalan sesentuh baharu untuk mengawal sistem infotainmen COMAND. Model empat pintu ini diberikan suis-suis kawalan empat segi, berbanding elemen lebih bulat pada model dua-pintu.

    Model ini juga direka dengan lebih praktikal, menawarkan tiga, empat atau lima tempat duduk, bergantung konfigurasi yang boleh dipilih oleh pembeli. Penumpang belakang turut menerima skrin pad sesentuh bersepadu dengan konsol antara tempat duduk (hanya untuk varian High-Class), yang membolehkan mereka melihat data dynamism menerusi menu AMG, serta mengawal lampu suasana, sistem penghawa dingin serta pemanas tempat duduk.

    Mercedes-AMG mendakwa model ini mempunyai kapasiti but 395 liter, dan boleh dibesarkan lagi sehingga 1,324 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Ruang mengisi yang lebar turut memudahkan pengguna untuk meletak atau mengeluarkan barang pada bahagian tersebut, dan turut dilengkapi dengan pembuka but tanpa sentuhan yang boleh diaktifkan dengan hanya menggerakkan kaki anda di bawah bampar belakang,

    Ciri lain yang turut diberikan adalah termasuk AMG Track Pace yang direka bagi memberikan telemetri diatas litar sebanyak yang mungkin. Ia juga disertakkan dengan pewangi kabin bina-dalam dioperasi dengan kawalan keselesaan Energizing, yang sememangnya telah dilengkapi pada kebanyakkan model Mercedes-Benz.

    GALERI: Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ Coupe empat-pintu

     
     
  • Mercedes-AMG C 63 S Sedan, Coupé facelift rasmi di M’sia – V8 4.0L, 510 PS/700 Nm, bermula RM770k

    Selepas Mercedes-AMG 63 S dari versi SUV GLC dan GLC Coupe mendarat di Malaysia hujung tahun lalu, kini tiba pula masa untuk versi sedan dan Coupe Mercedes-AMG C 63 S facelift menerjah pasaran Malaysia secara rasmi. Didedahkan di Litar Antarabangsa Sepang bersama Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ pagi ini, Sedan dan Coupe berkenaan masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM768,888 dan RM820,888.

    Kedua-dua C 63 S ini masih dijana oleh enjin M177 V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar, berkuasa 510 PS (503 hp) bermula 5,500 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 700 Nm bermula 2,500 hingga 5,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G bagi menggantikan transmisi tujuh-kelajuan sebelum ini.

    Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda belakang, di mana LSD elektronik dipadankan pada gandar belakang secara standard. Padanan kesemua ini membolehkan model Coupe yang lebih ringan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, manakala sedan pula 4.0 saat. Namun kedua-dua model ini mampu mencatatkan kelajuan maksima yang sama iaitu 290 km/j.

    Sistem ekzos AMG Performance juga hadir sebagai standard, bagi membolehkan anda melaras dan memaksimakan ngauman enjin V8 berkenaan. Untuk suspensi pula, pasangan C 63 S ini dilengkapkan dengan AMG Ride Control yang terdiri dari penyerap hentak adaptif yang dikawal secara elektronik dan juga spring gegelung , bersama cagak enjin (mounting) jenis dinamik.

    Karekter pemanduan model ini masih boleh dilaras menerusi sistem AMG Dynamic Select. Enam mod pemanduan boleh dipilih oleh pemandu iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual.

    Namun sistem berkenaan kini telah dikemaskini dengan penambahan AMG Dynamics, iaitu “kawalan pengendalian yang dibina bersepadu” berfungsi bersama Program Kestabilan Elektronik (ESP) bagi memperhalusi talaan pembahagian tork kepada gandar belakang. Empat larasan diberikan iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master, kesemua ini bergantung pada mod AMG Dynamic Select yang dipilih pemandu.

    Kedua-dua model ini turut menerima AMG Traction Control, iaitu sistem yang sama diperkenalkan buat pertama kali pada AMG GT R. Sistem ini hanya akan berfungsi sekiranya anda mematikan terus sistem ESP, dan ia membolehkan anda mengawal jumlah traction pada gandar belakang dalam lima larasan berbeza.

    AMG Track Pace juga diberikan secara standard, dengan menawarkan lebih 80 data spesifik yang direkodkan sepuluh kali setiap saat, membolehkan anda meneliti kembali setiap aspek seperti kelajuan, pecutan dan sebagainya ketika memandu di litar.

    Untuk rupa pula, Sedan dan Coupe ini menerima perubahan pada muka dengan pemadanan gril Panamericana baharu bersama sentuhan semula pada apron hadapan. Di belakang pula, bampar kedua-dua model berkenaan kini diberikan diffuser yang lebih agresif.

    Mercedes-AMG C 63 S Sedan, Coupé facelift rasmi di M’sia – V8 4.0L, 510 PS/700 Nm, bermula RM770k

    Kedua-dua model ini juga menerima kelengkapan luaran yang sama terdiri dari pakej AMG Night, pakej AMG Exterior Carbon-Fibre, angkup brek berwarna merah, lip spoiler AMG dan lampu hadapan Multibeam LED bersama Adapative Highbeam Assist Plus. Apa yang berbeza adalah pada rim – kedua-duanya diberikan rim AMG forged bersaiz 19-inci, tetapi Sedan menerima jejari bersilang, manakala Coupe pula dipadankan dengan rim lima jejari berkembar.

    Pada bahagian kabin, penyegaran kedua-dua C 63 S ini adalah sama seperti C-Class standard, termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3-inci, dan juga paparan sistem infotaimen COMAND ONLINE bersaiz 10.25-inci bersama sistem bunyi surround dari Burmester.

    Kelengkapan standard lain yang turut dipadankan pada Sedan dan Coupe ini termasuk roda stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa/gentian mikro Dinamica, tempat duduk AMG Performance larasan berkuasa dengan sokongan lumbar dan fungsi memori, pad sesentuh, paparan Head-up, lampu suansana dan juga kawalan keselesaan Energizing.

    Model sedan diberikan upholsteri dengan tema putih mutiara/hitam, manakala Coupe pula menerima gabungan warna red pepper/hitam – kedua-duanya dengan material sama iaitu kulit Nappa. Model Sedan diberikan sistem pendingin hawa automatik Thermotronic dengan liang udara belakang, tetapi untuk Coupe hanya hadir dengan sistem Thermatic.

    Bagi sistem keselamatan pula, Mercedes-AMG C 63 S Sedan dan Coupe ini dilengkapkan dengan pakej Driving Assistance, iaitu sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari Pilot Distance Distronic (cruise control adaptif dengan fungsi stop & go), Bantuan Kekal Laluan Aktif (pemanduan separa-automatik), Bantuan Titik Buta Aktif dan sistem brek kecemasan automatik. Bantuan Parkir Aktif bersama Parktronic, Keyless-Go dan Akses Tanpa Sentuhan juga diberikan secara standard.

    GALERI: Mercedes-AMG C 63 S Sedan facelift 2019

    GALERI: Mercedes-AMG C 63 S Coupe facelift 2019

     
     
  • Ducati keluarkan skuter elektrik dengan syarikat China

    Ducati keluarkan skuter elektrik dengan syarikat China

    Sebuah syarikat pengeluar motosikal dan skuter elektrik dari China iaitu VMoto mendedahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Ducati untuk mengeluarkan model skuter elektrik. Model yang akan menjadi produk rasmi di bawah lesen Ducati ini akan diedar dan dijual menggunakan rangkaian VMoto sedia ada tetapi Ducati akan mengendalikan aspek pemasaran.

    “Ini adalah satu perjanjian yang mengghairahkan bagi VMoto dan kami teruja Ducati – terkenal sebagai pengeluar motosikal Itali berkualiti tinggi – telah bersetuju untuk menggabungkan reputasi premium serta jenama mereka dengan kenderaan elektrik kami,” kata pengarah urusan VMoto, Charles Chen.

    Model yang ditunjukkan oleh VMoto untuk dijenamakan sebagai Ducati ini adalah CUx 2019, tetapi ia nanti akan dijadikan lebih mewah dan juga dijual pada harga lebih tinggi. Sekarang ini dalam pasaran, CUx 2019 dijual di bawah jenama Super SOCO, iaitu sebuah anak syarikat kepada VMoto.

    CUx mendapat kuasa daripada bateri berkapasiti 60 V/32 Ah, digerakkan oleh motor elektrik Bosch 2700 watt, dan ia mampu memberi perjalanan sehingga 75 km. VMoto menyatakan teknologi bateri pada CUx ini sama seperti Tesla Model S, dan baterinya boleh dicabut untuk dicas (tiga jam setengah untuk penuh dengan pengecasan pantas).

    Kelengkapan lain yang ada pada CUx ini adalah termasuk sistem tanpa kunci, lampu LED depan dan belakang, pengecas USB, meter jenis digital dan satu yang istimewa, kamera binaan dalam pada bahagian hadapan yang boleh merekod video HD dan disambung kepada telefon pintar menggunakan wifi.

     
     
  • Kadar insurans bagi pemandu berhemah dengan rekod baik akan dikurangkan sebagai ganjaran – Menteri

    Kadar insurans bagi pemandu berhemah dengan rekod baik akan dikurangkan sebagai ganjaran – Menteri

    Kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan pemain dalam industri insurans untuk memberikan kadar premium insurans yang lebih rendah kepada pemandu berhemah yang mempunyai rekod baik. Ini adalah usaha untuk mengubah tabiat pemanduan di jalanraya, seperti yang didedahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam.

    “Kenderaan dan jalanraya yang lebih selamat adalah sangat penting, tetapi pemanduan selamat oleh pemandu juga menjadi kunci utamanya. Sebab itu kementerian sedang giat untuk memupuk dan mempromosi budaya jalan raya dan pemanduan yang lebih selamat,” ujar Anthony ketika majlus pelancaran kempen Drive for Life oleh Bosch Automotive Aftermarket Malaysia.

    “Sebab itu saya sendiri sangat yakin cara ini boleh jadi sangat berkesan. Bagi pemandu dengan tabiat pemanduan yang buruk, kita perlu kenakan hukuman. Sudah tentu ini akan menjadikan saya kurang popular dalam sesetengah kalangan pemandu – orang mengkritik kementerian kerana melaksanakan tindakan keras dalam penguatkuasaan – tetapi bagi saya, ini soal kepentingan negara, dan kita perlu bersedia untuk membuat keputusan yang betul. Penguatkuasaan perlu ketat dan adil,” tambah beliau.

    “Perlu ada satu cara atau skim untuk memberikan kelebihan kepada pemandu-pemandu yang berhemah dan patuh di jalanraya. Harapnya dengan cara ini, lebih ramai pemandu mengubah sikap mereka ketika memandu. Usaha ini yang kami ingin laksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi,” jelas Anthony.

    Kadar insurans bagi pemandu berhemah dengan rekod baik akan dikurangkan sebagai ganjaran – Menteri

    Skim kelebihan ganjaran ini adalah “menang-menang” antara pengguna dan juga industri insurans. “Saya telah berbincang dengan beberapa pihak berkepentingan, termasuk syarikat insurans, untuk mewujudkan satu kaedah bagaimana kita boleh memberi ganjaran kepada pemandu yang baik da berhemah. Sebagai contoh, sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang saman trafik, ganjaran bagaimana yang wajar diberikan oleh syarikat-syarikat insurans; mungkin dalam bentuk penguranga kadar premium insurans.

    “Ini situasi menang-menang keranan sekiranya kita mampu melahirkan generasi pemandu yang berhemah di jalanraya, industri dan syarikat insurans juga akan mendapat manfaat kerana tidak perlu membayar tuntutan insurans dalam jumlah yang besar kerana kurangnya kemalangan.”

    Bagi kerajaan, habuannya bukanlah dalam bentuk wang ringgit. “Kerajaan hanya ingin melihat jumlah kemalangan dapat dikurangkan, sekaligus menjadikan jalanraya kita lebih selamat,” ujar beliau. Kerajaan ketika ini dalam fasa akhir perbincangan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) serta pemain-pemain utama insurans automotif untuk menentukan ganjaran yang akan diberikan itu.

    Industri insurans kenderaan sedang menjalani fasa liberalisasi ketika ini, dijadualkan berlangsung sepenuhnya pada 2019. Berbeza dengan tarif tetap yang dikenakan dulu, syarikat insurans kini bebas untuk meletakkan harga dan tahap perlindungan, dan kadar premium itu nanti turut akan ditentukan oleh profil risiko pengguna itu sendiri. Cara ini sudah diamalkan di banyak negara; pengguna dengan rekod baik, misalnya dengan JPJ atau PDRM, akan tergolong dalam kelompok berisiko rendah.

     
     
  • Moto Guzzi V85 TT ditemui sedang diuji di Malaysia

    Moto Guzzi V85 TT ditemui sedang diuji di Malaysia

    Model terbaru daripada Moto Guzzi, yang ditunjukkan kepada awam buat pertama kali Oktober tahun lalu iaitu V85 TT, kini sudah ditemui atas jalan di Petaling Jaya oleh pembaca kami, Ilyas. Bukan satu, tapi dua unit V85 TT ini ditemui waktu berhenti di lampu isyarat, dan kedua-duanya menggunakan pelekat camouflage.

    Tekaan kami, model yang masih belum dilancarkan ini menuju ke pusat pameran Moto Guzzi yang berada berhampiran, dan ia mungkin memberi tanda pelancaran yang semakin hampir. V85 TT dibangunkan untuk kegunaan jelajah/kembara dan rekaannya menandakan perubahan berbanding rekaan klasik yang banyak digunakan sebelum ini.

    Sumber kuasa motosikal ini datang daripada enjin 850 cc v-twin 90 darjah penyejukan udara baru dan boleh menghasilkan sehingga 80 hp. Menurut Moto Guzzi, motosikal ini akan menjadi platform bagi penghasilan beberapa model baru lain pada masa hadapan yang “disasarkan untuk pelbagai jenis pengguna, karekter yang kuat, prestasi yang bagus dan gaya unik Moto Guzzi”.

    Melalui model yang didedah sebelum ini, ia dilihat dilengkapi dengan suspensi yang tinggi (fork USD di depan dan monoshock Ohlins di belakang), rim spoked (tayar Metzeler untuk yang berwarna kelabu dan tayar Karoo yang lebih kasar untuk model warna kuning/merah/putih), set brek berkembar Brembo di hadapan dan meter digital berwarna.

    Antara kelengkapan lain yang berada pada V85 TT ini adalah termasuk tiga mod tunggangan (road, rain dan offroad), brek ABS, sistem kawalan cengkaman, tangki bahan api 21 liter, lengan ayun aluminium, kerangka tiub besi, rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

     
     
  • Proton Saga, Exora versi facelift sah akan muncul

    Proton Saga, Exora versi facelift sah akan muncul

    Baru-baru ini, kami telah menyiarkan berita berkenaan Proton Saga facelift yang kelihatan sedang diuji di jalan raya awam. Kini, Proton telah membuka mulut dengan mengesahkan model tersebut akan diperkenalkan pada masa hadapan. Malah, bukan hanya Saga, MPV tujuh tempat duduk Proton Exora juga bakal disegarkan kembali, seperti yang kami jangka sebelum ini.

    Menerusi gambar spyshot sebelum ini, Saga nampaknya akan diberikan gril signatur terkini Proton iaitu infinite weave seperti SUV Proton X70 serta pasangan Persona dan Iriz facelift. Bampar hadapan dan belakang yang dibalut dengan pelekat penyamaran juga menandakan ia turut akan menampilkan rekaan baharu.

    Dari segi mekanikal, enjin 1.3 liter VVT mungkin masih lagi dikekalkan, tetapi boleh dijangka ia akan menerima kemaskini pada sistem lain. Bulan lalu, Proton telah berjaya menjual sejumlah 3,000 unit Saga, menandakan model ini masih lagi sangat penting bagi jenama tersebut. Jadi dengan pengenalan model kemaskini ini kelak, ia mungkin akan menguatkan lagi prestasi jualan Proton.

    Bagi Exora pula, ia juga dijangka menerima perubahan dari segi rupa. Exora sudahpun berada hampir sepuluh tahun dalam pasaran. Pada 2017, model kemaskini MPV tujuh-tempat duduk ini telah diperkenalkan, namun ia hanya menerima perubahan dari segi elemen warna.

    Ini bukan imej sebenar Proton Exora facelift, tetapi hanya gambaran yang dibuat oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin

    Untuk model facelift baharu ini, dapat dijangka ia akan menerima perubahan seperti apa yang diterima oleh Persona dan Iriz, serta penambahbaikkan dari segi NVH seperti pada Proton Preve tahun lalu.

    Sistem infotainment dengan pemain utama berdasarkan Global Key User Interface (GKUI) seperti pada Proton X70 juga boleh dijangka akan dipadankan pada Exora facelift ini. Pada Iriz dan Persona, sistem yang sama boleh beroperasi dengan arahan suara ‘Hi, Proton’, bersama hubungan internet 4G yang membolehkan streaming muzik dilakukan serta informasi trafik yang dapat diberikan secara live.

    Walaupun Proton telah disahkan akan membina MPV tujuh tempat duduk serba baharu berdasarkan Geely Jiaji, Exora facelift ini masih perlu bertahan dalam barisan produk mereka kerana model baharu berkenaan hanya akan muncul pada lewat 2020 atau 2021 bagi memberikan laluan kepada SUV segmen-B berasaskan Geely Binyue yang telah pun kelihatan sedang diuji.

    Kemudian, berdasarkan saiz, MPV baharu berkenaan mungkin akan dijual pada harga melebihi RM100k, dan Proton masih memerlukan model MPV tujuh-tempat duduk bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan bajet bawah RM100k.

    GALERI: Spyshot Proton Saga facelift

    GALERI: Proton Exora 2017

     
     
  • Toyota Avanza facelift 2019 bakal dilancar di Malaysia – tiga varian, pengesan titik buta, RCTA, dari RM81k

    Toyota Avanza facelift 2019 bakal dilancar di Malaysia – tiga varian, pengesan titik buta, RCTA, dari RM81k

    Tidak lama lagi UMW Toyota Motor (UMWT) akan melancarkan Avanza facelift 2019, dan syarikat itu telah mendedahkan beberapa informasi berkenaan MPV yang disegarkan semula itu dalam laman web mereka. Sekiranya betul berminat, anda juga boleh mendaftar untuk mendapatkan sebarang informasi terkini.

    Avanza baru akan ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan 1.5E sebagai yang paling asas, berharga RM80,888 tidak termasuk insurans. Seterusnya adalah varian 1.5S pada harga RM83,888, dan varian paling tinggi 1.5S+ dijual pada harga RM87,888. Pembeli juga akan menerima jaminan selama lima tahun tanpa had batuan.

    Semua tiga varian ini datang dengan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA 2NR-VE, yang dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan secara standard, mampu menghasilkan kuasa 105 PS (103 hp) pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang, sama seperti Avanza sebelum ini, dan satu-satunya kelainan adalah model facelift ini tidak didatangkan dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan. Enjin 2NR-VE ini juga digunakan pada Rush serta Perodua Myvi terbaru.

    Toyota Avanza facelift 2019 bakal dilancar di Malaysia – tiga varian, pengesan titik buta, RCTA, dari RM81k

    Dari aspek gaya, Avanza baru ini seperti mendapat pengaruh daripada model Vellfire, terutamanya pada bahagian depan di mana kemasan pada grilnya ditarik sehingga ke tepi dan membelah lampu utama kepada dua bahagian. Bahagian bawah bampar pula hampir sama seperti Veloz (Avanza yang lebih sporty) yang dijual di Indonesia.

    Pada bahagian belakang, anda dapat melihat lampu yang telah direka semula, di mana ia bersambung dengan pemantul cahaya warna merah yang melekat pada pintu but dan mempunyai jalur krom di tengah. Bentuk keseluruhan MPV ini masih sama, dan semua varian menggunakan rim 15 inci dengan tayar 185/65 – varian 1.5S dan 1.5S+ menggunakan rim warna dua tona.

    Lampu utama jenis bi-LED, lampu kabus hadapan, antena bentuk sirip dan spoiler atas bumbung diberikan secara standard untuk semua varian. Kemudiannya, cuma varian asas sahaja yang tidak diberikan dengan cermin sisi boleh lipat secara elektrik, serta kemasan krom dan pemantul cahaya merah di pintu but belakang seperti yang disebutkan tadi.

    Masuk ke dalam, susun atur papan pemuka telah diubah sedikit untuk dipasang dengan panel tengah baru yang memegang skrin infotainmen serta butang kawalan untuk sistem pendingin hawa automatiknya (ada corong khas untuk penumpang di belakang).

    Toyota Avanza facelift 2019 bakal dilancar di Malaysia – tiga varian, pengesan titik buta, RCTA, dari RM81k

    Varian 1.5S+ juga menerima skrin sesentuh 6.75 inci Display Audio untuk sistem infotainmen, yang seterusnya membolehkan ia disambung dengan Apple CarPlay, Android Auto dan kamera undur. Varian lain cuma akan diberi dengan unit Double-DIN, tetapi skrin Display Audio itu turut ditawarkan sebagai pilihan tambahan. Varian asas menggunakan empat pembesar suara manakala varian lain mendapat enam pembesar suara.

    Pada bahagian lain, varian 1.5E mendapat roda stereng urethane biasa dan meter analog, manakala varian lain mendapat butang kawalan pada stereng, kemasan krom, meter yang lebih sporty dan panel instrumen pelbagai info. Semua varian datang dengan tempat duduk dibalut fabrik serta pengecas USB.

    Untuk barangan keselamatan, Avanza baru ini masih menggunakan cuma dua beg udara, ABS dengan EBD dan cagak ISOFIX di tempat duduk baris kedua. Walaupun begitu, varian 1.5S+ diberi dengan pemerhati titik buta serta amaran trafik dari belakang (RCTA) – varian lain tidak mendapat sistem ini.

    Varian 1.5S+ juga adalah satu-satunya varian yang mendapat perakam video digital hadapan (DVR) secara standard, namun ia masih ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada varian lain. Pembeli juga boleh menambah kamera DVR untuk bahagian belakang atau monitor pandangan keliling untuk 1.5S+.

     
     
  • Prestasi jualan Perodua naik untuk suku pertama 2019 – 82,700 unit kereta terjual, 20k unit Aruz ditempah

    Prestasi jualan Perodua naik untuk suku pertama 2019 – 82,700 unit kereta terjual, 20k unit Aruz ditempah

    Perodua terus kekal sebagai jenama paling laris di Malaysia untuk suku pertama tahun ini dengan pegangan pasaran melebihi 43%. Syarikat berkenaan berjaya menjual 82,700 unit kenderaan dari Januari hingga April tahun ini, meningkat sebanyak 9.5% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jumlah 75,500.

    “Angka jualan dalaman kami menunjukkan sokongan padu yang berterusan terhadap produk kami. Kami, bersama-sama dengan ekosistem automotif negara, yang kebanyakannya terdiri daripada pembekal dan pengedar sah, amat berterima kasih atas pengiktirafan ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    “Sementara Perodua menantikan angka rasmi jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami percaya pegangan pasaran Perodua melebihi 43% bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekaligus memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi domestik secara keseluruhan,” tambahnya.

    Perodua turut menyatakan bahawa mereka telah telah membelanjakan RM1.8 bilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini untuk membeli komponen daripada pembekal automotif tempatan dan optimis dapat memenuhi komitmen untuk membeli RM5.4 bilion dalam komponen pada tahun ini.

    Prestasi jualan Perodua naik untuk suku pertama 2019 – 82,700 unit kereta terjual, 20k unit Aruz ditempah

    Untuk bulan April 2019 sahaja, Perodua berjaya menjual kenderaan melebihi 22,100 unit, atau peningkatan hampir 11% berbanding dengan 19,939 unit pada April 2018. Jika dipecahkan mengikut model, Myvi telah dijual sebanyak 7,700 unit, Axia 5,900 unit, Bezza 4,200 unit dan Alza 1,100 unit.

    Manakala untuk SUV/MPV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz, sebanyak 3,200 unit telah didaftarkan sepanjang April – angka pendaftaran bulanan tertinggi bagi model berkenaan sejak dilancarkan pada 31 Januari 2019.

    Menurut Dato’ Zainal lagi, sejak Aruz dibuka untuk tempahan pada 3hb Januari lalu, hampir 20,000 tempahan telah diterima, iaitu dengan purata 170 tempahan setiap hari. “Dan setakat hari ini, lebih daripada 9,800 Aruz telah diserahkan sejak pendaftaran bermula pada 31hb Januari – purata lebih daripada 100 unit setiap hari – menjadikan ia antara SUV paling laris di negara ini,” katanya.

    “Myvi kekal menjadi model terlaris kami – sejak pelancarannya pada November 2017, kami telah menyerahkan lebih daripada 115,000 unit kepada pelanggan kami, yang menggemari rekabentuk yang bergaya, kualiti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta ciri-ciri canggih yang diperolehi untuk harga tersebut,” tambah Dato’ Zainal.

     
     
  • VIDEO: Nissan X-Trail 2019 – perbezaan antara varian

    Nissan X-Trail facelift 2019 sekarang sudah pun dijual secara rasmi. Secara keseluruhannya ada empat varian iaitu 2.0L 2WD, 2.0L 2WD Mid, 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD Hybrid. Harganya masing-masing adalah RM133,888, RM145,888, RM153,888 dan RM159,888 tidak termasuk insurans.

    Semua varian ini menggunakan transmisi jenis Xtronic CVT dengan mod manual tapi enjinnya berbeza iaitu sama ada empat silinder 2.0L, 2.5L ataupun padanan 2.0L dengan sistem hibrid. Kemudiannya juga, varian 2.5L adalah satu-satunya varian yang didatangkan dengan sistem pacuan empat roda.

    Itu yang asas, tapi apa lagi perbezaan antara semua varian ini? Anda boleh menonton video di atas dan kami ada tunjukkan bahagian-bahagian yang jelas berbeza. Sekali imbas ia mungkin nampak sama, tapi sebenarnya, jumlah tempat duduk juga boleh jadi berbeza.

    Selain itu, anda boleh menonton beberapa video lain yang pernah kami siarkan sebelum ini, berkenaan pakej Nissan Intelligent Mobility yang ada pada X-Trail baru ini ataupun pecutan antara tiga varian enjin berbeza, mana yang lebih pantas.

    GALERI: Nissan X-Trail 2.0L 2WD

    GALERI: Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid

    GALERI: Nissan X-Trail 2.5L 4WD

    GALERI: Nissan X-Trail 2.0L Hybrid 2WD

     
     
  • Triumph Rocket 3 TFC – unit terhad, 40 kg lebih ringan

    Triumph Rocket 3 TFC – unit terhad, 40 kg lebih ringan

    Sebelum ini, Triumph Factory Customs (TFC), iaitu satu jenama produk ubah suai terus dari kilang Triumph cuma memperkenalkan Rocket 3 TFC sebagai sebuah motosikal konsep, tapi sekarang ia telah didedahkan sepenuhnya. Model ini dijual pada harga bermula 25,000 pound sterling (RM135,132) dan hanya dihasilkan sebanyak 750 unit sahaja untuk seluruh dunia.

    Enjin asas yang digunakan masih lagi sama seperti Rocket 3 biasa, iaitu enjin tiga silinder berkapasiti 2,500 cc (dikatakan sebagai enjin motosikal produksi berkapasiti paling besar di dunia), tetapi ia telah dipertingkat untuk menghasilkan kuasa sebanyak 170 PS dan 221 Nm tork (peningkatan 13% berbanding sebelum ini.

    Triumph juga mendakwa Rocket 3 TFC ini 40 kg lebih ringan berbanding Rocket 3 biasa yang kini sudah dihentikan pengeluarannya. Ia dapat dicapai hasil daripada penggunaan pelbagai bahagian yang menggunakan gentian karbon, termasuk muncung dan pelindung ekzos Arrow, penghadang lumpur serta penghadang angin hadapan.

    Seperti yang boleh dilihat, Rocket TFC ini menyediakan kedudukan tunggangan yang berbeza kerana bahagian pemegangnya telah diubah dengan unit yang lebih lurus dan tidak ke belakang seperti Rocket standard manakala tempat duduk pula kini cuma tinggal satu. Bahagian brek dipertingkat dengan angkup Brembo Stylema serta tuil Brembo MCS boleh laras.

    Pada bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD warna penuh yang boleh dilaras pada sudut tertentu, dan apabila disambungkan dengan modul Bluetooth khas (dijual berasingan), ia boleh menjawab dan membuat panggilan telefon, menunjukkan arah navigasi Google Maps serta mengawal kamera GoPro. Pada bahagian elektronik, motosikal ini didatangkan terus dengan Cornering ABS, Traction Control serta empat mod tunggangan.

     
     
  • Litar ‘Nürburgring’ milik Toyota di Jepun sudah dibuka

    Litar ‘Nürburgring’ milik Toyota di Jepun sudah dibuka

    Pada Februari tahun lalu, Toyota dikhabarkan sedang membina litar ujian seperti litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife mereka sendiri yang terletak di Jepun. Kini ia bukan lagi khabar angin kerana litar berkenaan diumumkan telah dibuka dan digunakan.

    Litar tersebut adalah sebahagian dari fasiliti ujian di Toyota Technical Center Shimoyama, Toyota City yang terletak di Wilayah Aichi, Jepun. Ia dibina dengan panjang keseluruhan 5.3 kilometer dengan selekoh-selekoh seakan di Nürburgring, dengan perbezaan ketinggian sehingga 75 meter.

    Ia akan digunakan untuk simulasi pemandu jalan luar bandar, dan direka dengan mengambil kelebihan topografi kawasan tersebut. Buat masa sekarang, seramai 50 staf sudah pun mula berkerja di litar itu, kebanyakkan dari mereka adalah pemandu uji.

    “Dengan sasaran untuk menghasilkan kereta yang lebih baik, kami meneruskan pelbagai usaha dalam “merasai jalan raya” dan “bercakap dengan kereta” menerusi pelbagai ujian pemanduan di seluruh dunia, termasuk Projek Pemanduan Lima Benua dan juga perlumbaan ketahanan Nürburgring 24 Jam. Berdasarkan pengalaman-pengalaman tersebut, kami telah mereplikakan pelbagai jalan di dunia pada litar ujian baharu ini”, kata Presiden Toyota, Akio Toyoda.

    “Sebagai tambahan menjalankan ujian pemanduan di seluruh dunia, dan menghasilkan semula keadaan pemanduan yang teruk pada litar ujian baharu ini, kami mahu menggilap sepenuhnya setiap model baharu kami dan membina sebuah kereta yang melambangkan keseronokan memandu yang sebenar,” jelasnya lagi.

    Secara keseluruhan, Toyota Technical Center Shiyoma ini mempunyai keluasan 650.8-hektar. Selain dari litar ujian jalan luar bandar ini, ia turut mempunyai fasiliti pembangunan kenderaan, manakala litar ujian kelajuan tinggi pula akan di buka pada tahun 2023 nanti.

     
     
  • Toyota 86 Hakone Edition – model khas dengan nama touge di Jepun, untuk pasaran Amerika Syarikat

    Toyota 86 Hakone Edition – model khas dengan nama touge di Jepun, untuk pasaran Amerika Syarikat

    Hakone Turnpike adalah kawasan berbukit yang terletak dua jam perjalanan dari barat daya Tokyo, Jepun. Tempat di mana anda dapat melihat keindahan Gunung Fuji berkenaan bukan sahaja terkenal dengan pusat percutian, malah laluan jalan bukit kawasan tersebut turut terkenal di seluruh dunia sebagai touge bagi mereka yang datang ke Jepun untuk memandu, malah menjadi salah satu ‘litar’ dalam siri animasi Initial D 5th Stage.

    Bagi memperingati jalan bukit berkenaan, Toyota telah menghasilkan model sport edisi terhad digelar 86 Hakone Edition. Namun versi istimewa ini bukanlah untuk pasaran domestik Jepun, sebaliknya dibuat bagi pasaran Amerika Syarikat.

    Menurut Toyota, 86 Hakone Edition ini diasaskan dari varian GT pasaran berkenaan, dan diberikan pelbagai kelengkapan unik khas untuknya. Pada bahagian luaran, kereta ini menerima cat badan yang digelar hijau Hakone, spoiler belakang berwarna hitam bersama rim 17-inci lima-jejari berkembar berwarna Bronze – membuatkan ia kelihatan seiras dengan edisi khas JDM Toyota 86 British Green Limited.

    Bahagian dalaman juga Hakone Edition ini agak sama dengan British Green Limited, menampilkan tempat duduk yang dibalut dengan Alcantara hitam bersama kulit berwarna Tan, bersama serlahan jahitan pada roda stereng serta boot tuil brek parkir dan gear juga berwarna Tan. Logo ’86’ pula disulam pada bahagian papan pemuka sebelah kanan.

    Toyota 86 Hakone Edition – model khas dengan nama touge di Jepun, untuk pasaran Amerika Syarikat

    Ciri lain yang turut diberikan pada kabin model istimewa ini adalah perehat tangan berwarna hitam, serlahan jahitan pada penel dalaman pintu, pad perehat lutut, visor meter berwarna hitam, serta karpet ruang kargo premium istimewa dengan logo ’86’. Pelanggan yang membeli kereta ini juga akan menerima sepsang sarung tangan berwarna Tan, dan juga bekas folio dengan logo ’86’ dan jahitan benang hitam.

    Sama juga seperti varian GT pasaran Amerika Syarikat yang lain, Hakone Edition menerima ciri-ciri standard seperti lampu hadapan projektor LED, tip ekzos krom berkembar, cermin sisi berkuasa, penghawa dingin automatik dua-zon, pemanas tempat duduk, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta pelbagai lagi.

    Tiada perubahan ditampilkan pada sistem mekanikal, dimana model ini masih dijana enjin boxer 2.0 liter empat silinder NA dengan sistem suntikan bahan api terus Toyota D-4S. Model dengan transmisi manual enam-kelajuan ditala dengan 205 hp dan tork 211.5 Nm, manakala versi enam-kelajuan automatik pula berkuasa 200 hp dan tork maksima 205 Nm.

     
     
  • Proton naik ke tempat kedua bagi jualan tertinggi April 2019; catat 7,011 unit, naik 14.1% berbanding Mac

    Proton naik ke tempat kedua bagi jualan tertinggi April 2019; catat 7,011 unit, naik 14.1% berbanding Mac

    Jika melihat kepada pencapaian jualan kenderaan Proton sejak beberapa bulan ini, syarikat ini perlahan-lahan melangkah dengan lebih yakin dengan mencatatkan angka yang semakin meningkat dari satu bulan ke bulan yang lain.

    Ambil contoh Mac 2019; Proton mencatatkan jualan sebanyak 6,145 unit kenderaan. Dan, ini bukanlah hanya disebabkan oleh model SUV X70 sahaja, yang menyumbang sebahagian 2,979 unit daripada jumlah keseluruhan itu. Selebihnya, ia melibatkan model-model lain dari Proton.

    Dan, berita positif ini diteruskan lagi untuk bulan April 2019. Buat pertama kali dalam tempoh 37 bulan sebelum ini, Proton kembali merampas kedudukan kedua sebagai jenama pengeluar kenderaan dengan jumlah jualan terlaris di Malaysia.

    Proton naik ke tempat kedua bagi jualan tertinggi April 2019; catat 7,011 unit, naik 14.1% berbanding Mac

    Bagi bulan April 2019, Proton telah berjaya menjual sebanyak 7,011 unit kenderaan secara keseluruhannya. Ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 14.1% berbanding jualan bulan Mac lepas. Lebih menarik, jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu – April 2018 – peningkatan yang direkodkan ialah sebanyak 75%. Ini memang sangat ketara petumbuhan jualannya.

    Jumlah jualan yang direkodkan ini pula bukanlah hanya disebabkan oleh model X70 sebenarnya; model Proton Saga telah menyumbang lebih daripada 3,000 unit yang terjual bulan lalu. Ini merupakan pencapaian pertama seumpamanya yang dicapai sejak Ogos 2018 (bulan terakhir “cuti cukai” GST).

    Dengan perkembangan ini, Proton sangat yakin dan mensasarkan untuk terus mengekalkan kedudukan ditempat kedua bagi pengeluar dengan jumlah jualan terbanyak di Malaysia bagi tempoh sepanjang tahun ini. Ditambah pula dengan pengenalanan Proton Iriz dan Proton Persona facelift terbaru yang baru saja dilakukan. Tidak lupa juga dengan dua lagi model yang dijangka akan diberi peningkatan dan diperkenalkan tidak lama lagi; Proton Saga dan Proton Exora.

     
     
  • Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

    Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

    The all-new high tech 2020 Nissan Versa features Nissan Safety Shield 360 and a new design with lower, wider and longer exterior dimensions.

    Ketika sesi pandu uji media untuk model SUV Nissan X-Trail 2019 ke Belum, Gerik kelmarin, Edaran Tan Chong Sdn Bhd (ETCM) mengesahkan ada beberapa model menarik yang sudah dipertimbangkan untuk dibawa ke pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat.

    Paling kurang, kita boleh menjangkakan dua model segmen B – satu untuk SUV kompak dan satu untuk sedan – bakal menjengah pasaran tempatan; yang dimaksudkan ialah Nissan Almera N18 generasi keempat dan juga Nissan Kicks. Perkara ini dikongsi sendiri oleh Pengarah Pemasaran ETCM, Chris Tan, yang menjelaskan kedua-dua model berkenaan memang sudah ada dalam senarai untuk ke pasaran Malaysia.

    Walaupun belum ada tempoh tertentu yang dinyatakan, berdasarkan perkembangan mutakhir Nissan di sini, ia mungkin tidak memerlukan masa yang lama sebaik sahaja kedua-dua model berkenaan diperkenalkan dirantau Asean. “X-Trail 2019 ini sebagai contoh. Ia dipekenalkan di Thailand Februari lalu, dan kami memperkenalkannya di Malaysia pada April. Bagi model-model akan datang, paling lewat pengenalannya di Malaysia adalah dalam tempoh enam bulan selepas negara-negara jiran memperkenalkannya,” tambah Chris.

    Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

    Nissan Almera yang dimaksudkan sebelum ini sudah pun diperkenalkan untuk pasaran Amerika Utara dengan nama Versa bulan lalu. Ia menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) oleh Pakatan Renault-Nissan. Nissan Sylphy terbaru juga akan diperkenalkan di sini, selepas Almera.

    Jika melihat kepada barisan model ETCM di Malaysia, tiada lagi model-model sedan dalam pasaran kecuali Almera. “ETCM tidak akan meneruskan lagi penawaran model sedan segmen D yang diwakili Nissan Teana, dan akan memberi lebih tumpuan kepada model SUV yang giat berkembang ketika ini.

    “Ini corak pasaran yang dapat dilihat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia,” tambah Chris lagi. Untuk itu, Nissan X-Trail 2019 yang baru diperkenalkan kini ada empat varian, berbanding hanya dua varian sebelum ini dan ditambah pula dengan versi hibrid sebagai varian paling tinggi.

    Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

    Beliau juga memaklumkan, model elektrik sepenuhnya Nissan LEAF kekal dengan perancangan asal dan akan dilancarkan pertengahan tahun nanti. Ketika ini, Nissan di Malaysia hanya menawarkan empat model; SUV X-Trail, MPV Serena S-Hybrid, sedan Almera dan trak pikap Navara.

    Bagi model-model generasi baru Nissan yang telah diperkenalkan dalam masa terdekat – ini termasuk Versa dan Kicks – telah mengalami evolusi rekaan yang agak radikal, dan tampil dengan imej yang sama sekali berbeza dan jauh lebih menarik.

    Teliti rekaan Almera/Versa misalnya, imej semasanya nampak begitu jauh ditinggalkan. Arah tuju terbaru ETCM untuk pasaran kita ini juga nampak macam meyakinkan. Adakah kita sedang menyaksikan kebangkitan semula jenama Nissan di Malaysia? Toyota dan Honda rasanya sudah tak boleh bertenang sangat, kan?

    Nissan Versa 2020

     
     
  • Michelin anjur kempen Safe on The Road mulai 3 hingga 29 Mei – pemeriksaan tayar di 21 lokasi terpilih

    Mulai 3 hingga 29 Mei ini, pengeluar tayar terkemuka, Michelin, bakal menganjurkan kempen keselamatan jalan raya tahunan, Michelin Safe on The Road (MSOR). Kempen keselamatan jalan raya ini bertujuan menekankan kepentingan penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala terhadap tayar sebagai sebahagian daripada praktis yang baik dalam memastikan keselamatan jalan raya.

    Pengarah Komersial antara Perniagaan Michelin Malaysia, Muhammad Arya Subrata berkata, “Keselamatan adalah sangat sinonim dengan Michelin. Ciri ini merupakan aspek penting dalam komitmen kami terhadap masyarakat, sama ada dengan menawarkan tayar berkualti tinggi mahupun mengambil inisiatif menjalankan kempen keselamatan jalan raya.

    “Pada tahun lalu, Malaysia mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya yang tertinggi dan hal ini jelas menunjukkan keperluan segera terhadap peningkatan kesedaran yang lebih tinggi dalam keselamatan di jalan raya. Memandangkan musim perayaan bakal tiba, Trak Michelin akan berkunjung dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengingatkan orang ramai bahawa kondisi tayar merupakan aspek utama dalam memastikan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan.”

    Tahun ini pula, dengan sokongan daripada rakan kongsi iaitu Petron dan Tesco serta Aeon Big, kempen MSOR akan berkembang ke lebih banyak lokasi di utara dan selatan Semenanjung Malaysia. Ia melibatkan 21 buah lokasi seperti berikut:

    Michelin anjur kempen Safe on The Road mulai 3 hingga 29 Mei – pemeriksaan tayar di 21 lokasi terpilih

    Perunding Michelin akan berada di lokasi berkenaan untuk menilai keadaan tayar secara percuma termasuk ketepatan tekanan udara, kedalaman bunga tayar dan keadaan tayar secara keseluruhan dan berkongsi informasi mengenai cara penjagaan tayar yang betul supaya jangka hayatnya lebih lama. Pemandu yang mengambil bahagian juga akan menerima baucar perkhidmatan servis kereta beserta kad Petron percuma bernilai RM50 apabila mereka berbelanja di Pusat Pakar Michelin.

    Pada tahun lepas, Michelin berjaya mengendalikan pemeriksaan terhadap 1,100 buah tayar di lebih daripada 26 lokasi di seluruh negara. Dengan itu, Michelin nekad untuk meneruskan kempen seumpama ini bagi membantu meningkatkan kesedaran berhubung soal keselamatan jalan raya di kalangan pemandu di Malaysia.

    “Kami mahu menjangkau lebih ramai komuniti tempatan pada tahun ini. Justeru, trak MSOR akan membuat hentian di lebih banyak lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor selain daripada Perak, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Memperluas jaringan pertemuan dengan komuniti adalah penting dalam usaha menyebarkan lagi kesedaran mengenai keselamatan tayar seterusnya meningkatkan keselamatan kita di jalan raya,” ujarnya lagi.

     
     
  • 258 orang pekerja Proton terima sijil SKM Tahap 3

    258 orang pekerja Proton terima sijil SKM Tahap 3

    Hasil dari kerjasama Proton dan juga Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, seramai 258 orang pekerja jenama automotif nasional tersebut telah dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga dalam satu majlis graduasi yang diadakan di Kompleks Sukan Proton Tanjung Malim semalam.

    Majlis graduasi tersebut telah diserikan oleh Dr. Mohd Rashid Buyong Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Mereka yang dianugerahkan dengan sijil berkenaan terlibat dalam dalam lima bidang utama termasuklah pemasangan badan automotif, pemasangan enjin automotif, lukisan automotif, pemeriksaan trim and final automotif serta pentadbiran pejabat.

    “Pekerja-pekerja kami merupakan aset utama untuk meningkatkan daya saing Syarikat di dalam industri. Proton komited untuk membangun dan menghasilkan lebih ramai pekerja mahir dan sebagai pengeluar kereta kebangsaan, tugas kami bukan sekadar membina kereta tetapi menjadi pemacu utama dalam pembangunan modal insan,” kata Dato’ Radzaif.

    “Selama bertahun yang lalu, kami telah melihat kesan positif latihan ini kepada kakitangan dari segi keberkesanan dan kualiti kerja mereka. Menerusi usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran para pekerja ini, Syarikat akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan mampu menghasilkan produk yang lebih berkualiti untuk mereka,” tambahnya lagi.

    Menurut Proton, mereka perlu menyediakan latihan dari semasa ke semasa untuk kakitangannya dalam memastikan kemahiran mereka sentiasa dipertingkat dan mereka mempunyai keupayaan untuk menghasil, menjual dan memberi servis bagi produk-produk generasi baharu seperti SUV segmen-C Proton X70.

    Pengeluar automotif nasional tersebut turut menyatakan bahawa kerjasama mereka dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran telah dijalinkan hampir 10 tahun bermula dengan Pertandingan “WorldSkills Malaysia Belia” (WSMB), Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) dan Pertandingan WorldSkills (WSC) dalam sektor Teknologi Mobil.

     
     
  • BJR Holden Commodore ZB Supercars dengan livery Petronas Syntium bakal dipandu oleh Tim Blanchard

    BJR Holden Commodore ZB Supercars dengan livery Petronas Syntium bakal dipandu oleh Tim Blanchard

    Selepas bersara dari memandu secara sepenuh masa dalam kejuaraan V8 Supercars Australia tahun lalu, Tim Blanchard akan berlumba semula pada perlumbaan berkenaan sebagai pemandu wildcard di pusingan Pirtek Perth SuperNight yang berlangsung di litar Barbagallo Wanneroo Raceway hujung minggu ini. Apa yang menarik, jentera Holden Commodore Brad Jones Racing (BJR) yang dipandu oleh Blanchard ini menerima livery perlumbaan Petronas Syntium!

    Grafik pada badan jentera lumba Tim Blanchard ini adalah seiras dengan grafik pada kereta Formula 1 pasukan Mercedes. Tahun lalu, jentera Commodore BJR ini menggunakan livery perlumbaan CoolDrive Auto Parts, dan buat masa sekarang minyak pelincir keluaran Petronas berkenaan diedarkan dalam pasaran Australia oleh Cool Drive Auto Parts sendiri.

    “Saya teruja untuk bekerjasama dengan Petronas untuk penerokaan pertama mereka ke dalam Virgin Australia Supercar Championship. Saya akan berkerjasama dengan jurutera Paul Scalzo yang telah menjadi sebahagian dari kru BJR berberapa tahun dan kami mempunyai kru yang baik untuk kereta Petronas Motorsport ini,” kata Blanchard.

    Tahun lalu, Blanchard telah mencatatkan masa pada sesi kelayakan pada kedudukan ke-11 untuk perlumbaan di Perth, namun tidak bernasib baik dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-24. Perlumbaan di litar sama pada tahun ini akan bermula dengan sesi ujian pada petang Khamis ini, manakala perlumbaan sebenar berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen Golf Mk8 diuji tanpa menyamar

    SPYSHOT: Volkswagen Golf Mk8 diuji tanpa menyamar

    Ini mungkin peringkat terakhir ujian yang dijalankan terhadap Volkswagen Golf generasi baharu, kerana ia kini sudahpun di bawa keluar tanpa apa-apa pelekat penyamaran buat pertama kali. Jadi untuk gambar intipan terbaharu ini, anda tidak perlu lagi membayangkan rupanya, kerana ia telah terdedah sepenuhnya.

    Dari segi muka, sekali imbas kebanyakkan orang tentu tahu bahawa ia adalah sebuah Golf kerana ia masih mengekalkan rupa hampir sama dengan versi sedia ada. Tetapi jika anda perasan, model generasi kelapan ini menampilkan muka yang lebih rendah dari Golf Mk7 dengan lampu hadapan lebih tirus. Kemasan jalur krom tebal juga diberikan dari kemasan liang udara sisi hingga ke bahagian tengah.

    Pada bahagian belakang juga sama di mana tiang-C hatchback ini juga mengekalkan bentuk tradisinya, bersama lampu belakang direka seakan model sedia ada. Ciri lain yang turut diberikan pada bahagian ini termasuk antena sirip yu dan juga bampar dengan rekaan baharu.

    Volkswagen Golf Mk8 ini dibangunkan dengan platform MQB yang dikemaskini, dilaporkan 50 kg lebih ringan dari sebelumnya. Golf akan menerima versi yang dijana sistem hibrid ringkas 48-volt. Manakala model berprestasi tinggi GTI juga dikatakan bakal menerima teknologi baharu dengan dilengkapkan pengecas turbo elektrik yang mampu menjana 261 hp seperti model Golf GTI Clubsport.

    SPYSHOT: Volkswagen Golf Mk8 diuji tanpa menyamar

    Untuk enjin EA288 Evo 2.0 liter turbodiesel, ia juga akan digandingkan dengan sistem hibrid ringkas, tetapi dari versi 12-Volt dengan berberapa talaan, bermula dari 136 hp hingga 204 hp. Enjin diesel 1.6 liter pula dijangka akan digantikan unit 1.5 liter, manakala untuk versi petrol, Golf akan dijana oleh pilihan enjin 1.0 liter tiga-silinder dan 1.5 liter empat-silinder TSI.

    Bagi versi berprestasi tinggi lebih mesra alam, GTE plug-in hybrid, ia boleh berjalan dengan mod elektrik sepenuhnya 50 km lebih jauh dari model sedia ada. Khabar angin turut mengatakan bahawa Volkswagen akan menghasilkan Golf R Plus pada model kali ini, iaitu model lebih buas berbanding Golf R dengan bekalan kuasa lebih 400 hp dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan kelajuan maksima 278 km/j.

    Model generasi baharu Volkswagen Golf ini dijangka akan diperkenalkan secara rasmi pada suku ketiga 2019, sebelum hatchback ID berkuasa elektrik sepenuhnya membuat kemunculan sulung.

     
     
  • Peraturan baharu cermin gelap akan diumumkan awal Mei ini, permohonan perlu telus – Kem. Pengangkutan

    Peraturan baharu cermin gelap akan diumumkan awal Mei ini, permohonan perlu telus – Kem. Pengangkutan

    Kementerian Pengangkutan memaklumkan peraturan baharu mengenai cermin gelap akan diumumkan awal bulan depan. Perkara ini disahkan sendiri oleh timbalannya, Datuk Kamarudin Jaafar yang turut berkata dasar baharu yang hampir muktamad itu akan menekankan isu ketelusan dari segi proses permohonan disamping meningkatkan hasil kerajaan.

    “Sejak Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah membekukan kelulusan permohonan baharu penggunaan cermin gelap kerana terdapat ketirisan dan kelemahan pada dasar yang sedia ada,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Peraturan sedia ada yang diguna pakai ketika ini adalah di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016) iaitu cermin depan 70%, cermin sisi pemandu (50%) dan cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30%).

    Peraturan baharu cermin gelap akan diumumkan awal Mei ini, permohonan perlu telus – Kem. Pengangkutan

    Semalam kami melaporkan tentang tular di laman media sosial mengenai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikatakan mengeluarkan sijil kelulusan cermin gelap. Pada sijil berkenaan turut dicetak pengesahan pengeluaran sijil dibuat Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berserta dengan tanda tangannya. Melalui teks yang turut tular bersama foto sijil berkenaan menyatakan permit berkenaan akan dikeluarkan mengikut nama pemohon selain ia perlu diperbaharui setiap tiga tahun.

    Walau bagaimana pun, perkara ini telah dinafikan oleh JPJ yang turut membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB) untuk tindakan susulan kerana ia merosakkan imej JPJ berkaitan integriti. Malah JPJ berharap pihak polis dapat menangkap dalang yang membuat berita palsu tersebut dan dalam masa yang sama menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya mengenainya.

     
     
  • Kereta nasional ketiga: Kerajaan dalam peringkat akhir untuk pilih rakan strategik, sedia bangunkan ERV

    Kereta nasional ketiga: Kerajaan dalam peringkat akhir untuk pilih rakan strategik, sedia bangunkan ERV

    Projek kereta nasional ketiga memberikan perkhabaran terkini apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan kerajaan sedang dalam peringkat akhir untuk memilih rakan strategik. Seperti mana yang dilaporkan Bernama, beliau berkata, ia akan ditandatangani tidak lama lagi dan diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “Saya tidak dapat memaklumkan banyak mengenainya, jadi perlu tunggu dan lihat,” katanya sambil menekankan bahawa projek kereta nasional ketiga itu akan dipacu sektor swasta dan tidak akan menggunakan dana kerajaan.

    Tambahnya lagi, kementeriannya akan berperanan membantu projek itu memperoleh sokongan yang diperlukan agar ia mencapai kemajuan serta kejayaan.

    Kereta nasional ketiga: Kerajaan dalam peringkat akhir untuk pilih rakan strategik, sedia bangunkan ERV

    “Setakat ini, sebanyak 145 vendor tempatan menunjukkan minat terhadap projek ini yang akan membangunkan ‘Extended-Range Vehicles’ (ERV). Malah Malaysia mempunyai kepakaran dalam pembangunan kereta selain kecanggihan teknologi, malah sektor automotif kini lebih terbuka. Kita kini berada dalam era dengan semua pihak boleh membangunkan kereta, contohnya seperti Dyson. Kita berada di landasan yang betul dan projek ini bukan untuk mengambil alih kedudukan Proton. Ia bertujuan mempertingkatkan lagi keupayaan kita,” ujarnya lagi.

    Ini bukan pertama kali ERV disebut-sebut dalam menerokai teknologi terkini untuk projek kereta nasional ketiga. Ia merupakan nama lain bagi model EV yang menggunakan enjin untuk mengecas generator elektrik apabila bateri semakin kehilangan kuasa. Barisan Nissan e-Power termasuk Nissan Note e-Power merupakan salah satu contoh ERV ini.

    Berbalik kepada isu kereta nasional ketiga ini, pada Ogos 2018 lalu, sebelum projek ini diumumkan secara rasmi, Tun Mahathir berkata, Malaysia akan mencari bantuan tenaga pakar daripada pengeluar kereta Jepun untuk membantu menjayakannya, antara nama yang disebut-sebut ialah Nissan dan Toyota. Apa pun, sama-samalah kita nantikan keputusan rasmi yang bakal diumumkan oleh kerajaan mengenai rakan strategik asing ini.