Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Yamaha R15 dapat pilihan warna baru di Indonesia

    PT Yamaha Indonesia baru sahaja melancarkan pilihan warna baru untuk model sports YZF-R15 untuk pasaran di sana. Ada tiga pilihan semuanya iaitu biru, hitam dan kuning, dan ia diberikan grafik baru bagi menjadikannya lebih segar untuk bersaing dengan model lain.

    Selain daripada warna dan grafik ini, tiada yang berubah pada R15 pasaran Indonesia ini dan ia masih dikuasakan oleh enjin satu silinder 155 cc, sejukan cecair, dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 hp dan 15 Nm tork. Padanan transmisi pula adalah unit enam kelajuan, bersama klac jenis slipper & assist secara standard.

    R15 pasaran Indonesia juga mempunyai spesifikasi yang sama seperti di Malaysia, di mana ia menggunakan fork jenis terbalik di hadapan (USD), tayar yang lebar – 100/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, brek cakera 220 mm di belakang, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium.

    Pada bahagian kokpit, terdapat panel paparan digital, dan ia menyediakan pelbagai informasi seperti kadar rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, kedudukan gear, tahap minyak dan lampu amaran. Selain itu, meter ini juga dilengkapi dengan lampu waktu menukar gear (shift light), manakala lampu depan dan belakangnya adalah unit LED.

    Kami telah menguji R15 ini atas jalan di Malaysia dan anda boleh membaca laporannya di sini. Apa pendapat anda dengan warna baru untuk pasaran Indonesia ni? Adakah ia lebih menarik berbanding yang dipasarkan di Malaysia?

     
     
  • Ducati Scrambler Icon 2019 – harga bermula RM50k?

    Ducati Scrambler Icon 2019 – harga bermula RM50k?

    Untuk pasaran tahun 2019, Ducati telah memberikan pembaharuan kepada model Scrambler. Kalau dulu ada lebih daripada enam variasi Scrambler, sekarang ia telah dikecilkan menjadi empat sahaja iaitu Icon, Full Throttle, Cafe Racer dan juga Desert Sled. Kami telah mencuba dua versi Scrambler 2019 ini, dan anda boleh membacanya di sini.

    Scrambler 2019 masih belum dilancarkan untuk pasaran Malaysia, tapi nampaknya sudah ada pengedar yang mula mengambil tempahan daripada pelanggan. Itu memang sudah biasa, tapi yang lebih menarik perhatian kami adalah harganya. Dalam iklan yang dikeluarkan oleh Ducati Pulau Pinang, Icon 800 dijual pada harga bermula RM49,900 tidak termasuk DSSP dan gambar yang diletak juga adalah gambar Scrambler Icon 2019.

    Kami katakan menarik kerana sebelum ini Scrambler Icon dijual pada harga sekitar RM64k, dan jika benar model baru akan dijual pada harga RM50k, pengurangan harganya mencecah lebih daripada RM10k. Dari dulu, memang Scrambler datang daripada kilang Ducati di Thailand, jadi itu mungkin bukan sebab utama harga model baru ini dapat dikurangkan.

    Antara pembaharuan yang diberi untuk semua model Scrambler tahun 2019 adalah termasuk lampu penunjuk arah dan lampu utama LED berserta DRL, klac jenis hidraulik, panel meter yang lengkap dengan penunjuk tahap minyak dan kedudukan gear, Cornering ABS serta tempat duduk baru.

    Ia masih lagi dikuasakan oleh enjin L-Twin 803 cc yang sama, serta padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm. Walaupun perubahannya tidak besar, apabila ditunggang, anda akan dapat merasa Scrambler baru ini lebih selesa dan menyenangkan. Sama-sama kita tunggu hari pelancaran rasminya nanti untuk mengetahui harga sebenar.

     
     
  • BMW F750 GS, R1250 RT dilancar – RM72k, RM140k

    BMW F750 GS, R1250 RT dilancar – RM72k, RM140k

    Semasa majlis pelancaran skuter C400, BMW Motorrad Malaysia turut melancarkan dua lagi model iaitu F750GS dan R1250 RT, dengan harga masing-masing RM71,500 dan RM139,500 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberi adalah selama tiga tahun, bersama bantuan tepi jalan.

    F750 GS sebenarnya adalah sebuah model yang menggunakan asas sama dengan F850 GS, tetapi ia dijadikan lebih ringkas dan menggunakan rim aluminium saiz 19 inci di hadapan dengan tayar 110/80 dan 17 inci di belakang, dengan tayar 150/70.

    Enjin yang digunakan juga adalah sama, iaitu unit dua silinder selari dengan penyejukan cecair 853 cc serta padanan transmisi enam kelajuan, tetapi kuasanya adalah sedikit kurang, menjadi 77 hp pada 7,500 rpm dan 83 Nm tork pada 6,000 rpm (F850 GS mempunyai kuasa 95 hp/92 Nm).

    Pada bahagian suspensi ia cuma menggunakan fork teleskopik biasa 41 mm dengan jarak gerak 151 mm manakala di belakang menggunakan monoshock dengan jarak gerak 177 mm (-53 mm dan -42 mm berbanding F850 GS). Tinggi tempat duduk F 750 GS juga cuma 815 mm (860 mm pada F850 GS).

    Bahagian lain adalah sama termasuk brek cakera berkembar 305 mm dengan angkup Brembo dua piston di hadapan, cakera 265 mm dengan angkup Brembo satu piston di belakang, tangki bahan api 15 liter, skrin TFT 6.5 inci, brek ABS dan Automatic Stability Control (ASC). Pemilik juga mempunyai pilihan untuk menambah pelbagai aksesori lain pada motosikal dan ciri seperti suspensi Dynamic ESA atau sambungan pintar pada sistem infotainmennya.

    Pergi pula kepada R1250 RT, ini adalah model terawal menggunakan enjin boxer generasi baru 1,254 cc oleh BMW yang masuk ke dalam pasaran Malaysia, dan ia diserapkan dengan beberapa peningkatan termasuk teknologi ShiftCam. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 136 hp dan 143 Nm tork. Transmisi adalah unit enam kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang menggunakan sistem syaf.

    BMW F750 GS, R1250 RT dilancar – RM72k, RM140k

    Sebagai sebuah motosikal jelajah, R1250 RT mempunyai pelbagai kelengkapan yang memberi keselesaan kepada pengguna termasuk penghadang angin yang boleh dilaras secara elektronik, cruise control, sistem audio, tempat letak barangan serta lampu automatik.

    Untuk keselamatan pula, ia datang dengan ciri Hill Start Assist, Integral ABS, Dynamic Brake Control dan ABS secara standard. Suspensi juga adalah generasi terbaru bagi Dynamic ESA (suspensi elektronik). Kelengkapan lain R1250 RT adalah rim 17 inci depan dan belakang, brek cakera berkembar 320 mm serta angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera tunggal 276 mm dan angkup dua piston di belakang, tangki 25 liter serta suspensi Telelever di hadpaan.

    GALERI: BMW F750 GS 2019

    GALERI: BMW R1250 RT 2019

     
     
  • MPK tawar diskaun serendah RM5 untuk pengurangan kompaun letak kereta mulai 20 Mei hingga 2 Jun ini

    MPK tawar diskaun serendah RM5 untuk pengurangan kompaun letak kereta mulai 20 Mei hingga 2 Jun ini

    Berita baik untuk anda yang ada kompaun letak kereta di sekitar bandar Klang, Selangor, yang masih belum dilangsaikan. Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah mengumumkan diskaun serendah RM5 bagi pengurangan kompaun letak kereta sempena Ulang Tahun ke-129 MPK bermula 20 Mei hingga 2 Jun ini.

    Menurut Yang Dipertuanya Datuk Mohamad Yasid Bidin, MPK menawarkan pengurangan kompaun itu bagi tahun 2011 hingga 2015 manakala RM15 hingga RM200 bagi kompaun tahun 2016 hingga 2019 membabitkan pelbagai kesalahan.

    “Kadar serendah RM5 ini dapat membantu pelanggan yang tidak berkesempatan menjelaskan kompaun terdahulu, supaya mereka dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan. Namun, kempen selama 14 hari itu tidak termasuk kompaun yang dikeluarkan di bawah Perenggan 51 (Kesalahan-kesalahan meletak kereta di petak khas).

    “Ia termasuk Perenggan 36 (2) (e) (Kesalahan OKU) dan Perenggan 36 (1) (a) (Kesalahan tiada seorang pun menghalang atau menyebabkan terhalang mana-mana tempat atau petak letak kereta),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro hari ini.

    Katanya lagi, orang ramai boleh membuat semakan di kaunter tambahan yang disediakan di Lobi Ibu Pejabat MPK dan Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana. Manakala bayaran pula boleh dibuat di semua kaunter Majlis di Ibu Pejabat MPK, Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Pejabat Cawangan MPK Jalan Raya Barat, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang, Dewan Meru dan Pekan Kapar.

    “Selain itu, bayaran boleh dibuat di mesin i-Kiosk (CDM), Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan di pasaraya AEON Bukit Raja dan Bukit Tinggi setiap Sabtu dan Ahad bermula 10.30 pagi hingga 10 malam. Justeru, orang ramai perlu merebut peluang keemasan itu untuk menjelaskan kompaun mereka sebelum tempoh tawaran berkenaan berakhir,” ujarnya lagi.

     
     
  • AJP Motos lancar empat model lasak untuk Malaysia

    AJP Motos lancar empat model lasak untuk Malaysia

    Satu jenama motosikal dari Portugal yang sudah wujud sejak tahun 1987 iaitu AJP Motos telah membuat kemunculan dalam pasaran Malaysia dengan pelancaran empat buah model jentera lasak, iaitu tiga model 249 cc, PR5 250 Enduro, PR5 250 Extreme dan PR5 250 Supermoto, serta satu model 600 cc PR7 600 Adventure. Harga tetapnya masih belum ada, tapi dijangka berada dalam lingkungan RM23,000 hingga RM35,000 untuk PR5 dan RM55,000 hingga RM60,000 untuk PR7.

    Model PR5 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok SOHC suntikan bahan api 249 cc, dan digabungkan bersama transmisi enam kelajuan. Tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 7.5 liter dan ia juga dilengkapi dengan pemula enjin elektrik.

    Kelengkapan lain yang ada pada PR5 adalah termasuk suspensi hadapan ZF Sachs 48 mm dengan jarak gerak 300 mm dan boleh dilaras sepenuhnya, suspensi belakang monoshock ZF Sachs juga dengan jarak gerak 300 mm dan boleh dilaras sepenuhnya, brek cakera 260 mm dengan angkup dua piston di hadapan (PR5 Extreme lebih besar 10 mm) serta brek cakera 220 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    PR5 Extreme mempunyai berat lima kilogram lebih ringan berbanding PR5 Enduro dan Supermoto (123 kg) kerana beberapa bahagian telah dicabut bagi menjadikan ia lebih sesuai untuk tunggangan lebih lasak, tetapi bahagian lain masih sama dengan PR5 Enduro termasuk rim 21 inci di hadapan, rim 18 inci di belakang, tinggi tempat duduk 940 mm serta jarak dari tanah 320 mm.

    PR5 Supermoto pula menggunakan rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang, tinggi tempat duduk 890 mm, serta jarak dari tanah 300 mm. Panel meter model PR5 ini juga agak ringkas dengan catatan jarak perjalanan, jam serta kelajuan.

    Pergi pula kepada PR7 600 Adventure, model ini dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok DOHC penyejukan cecair berkapasiti 600 cc, serta padanan transmisi enam kelajuan. Tangki bahan api berkapasiti 17 liter dan juga datang dengan penghidup enjin elektrik.

    AJP Motos lancar empat model lasak untuk Malaysia

    Rim hadapan model ini bersaiz 21 inci dengan tayar 90/90, manakala di belakang pula ia menggunakan rim 18 inci dengan tayar 140/80. Suspensi depan dan belakang adalah daripada ZF Sachs, dengan fork hadapan berdiameter 48 mm manakala di belakang menggunakan monoshock berserta reservoir. Kedua-dua suspensi ini boleh dilaras sepenuhnya.

    Kelengkapan lain yang datang terus pada PR7 adalah brek cakera 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera 240 mm dan angkup satu piston di belakang, penghadang angin hadapan tinggi, penghadang tangan Acerbis serta satu yang istimewa, tablet Samsung yang digunakan sebagai paparan informasi termasuk navigasi.

    Semua motosikal AJP ini boleh didaftarkan untuk kegunaan atas jalan raya biasa dan ia dilengkapi dengan lampu hadapan, lampu belakang serta lampu penunjuk arah (tiada pada PR5 Extreme).

     
     
  • Porsche bina Panamera coupe saing BMW 8 Series?

    Porsche bina Panamera coupe saing BMW 8 Series?

    Porsche dilaporkan bakal membangunkan versi dua-pintu bagi Panamera untuk menyaingi BMW 8 Series dan Aston Martin Vantage. Menurut Autocar dan beberapa laporan lain, Panamera baharu akan ditawarkan dengan versi coupe dan cabriolet.

    Malah dua varian baharu ini dikatakan akan diperkenalkan seawalnya tahun hadapan (Eksekutif Porsche masih belum menafikan khabar angin ini) dan ia akan menawarkan praktikaliti yang lebih berbaik berbanding 911 generasi 992, walau pun mereka mungkin mempertimbangkan konfigurasi 2+2 berbanding empat tempat-duduk seperti kebiasaan.

    Apabila ditanya mengenai kebarangkalian untuk melahirkan versi yang diperkatakan, ketua rekaan Porscge, Michael Mauer, yang bertanggungjawab mereka Panamera original, berkata, “Sebagai pereka tiada had untuk menghasilkannya. Namun saya percaya ia adalah peranan jabatan reka bentuk untuk melakar dan mempertimbangkan setiap model yang layak dibangunkan untuk masa hadapan sekiranya ada pihak yang ingin meneruskan projek tersebut.”

    Sambungnya lagi, “Tetapi jika anda bertanyakan kepada saya untuk mengesahkan adakah projek sebegini sedang dalam perancangan, anda hanya akan kecewa saja. Bukan saya yang layak untuk memperkatakannya.”

    Bolehkan anda membayangkan Panamera dua-pintu?

    Media Jerman melaporkan perancangan untuk menghasilkan versi kereta yang diperkatakan sudah berada di peringkat yang serius, dengan ura-ura mengatakan ia akan menggunakan platform MSB yang sedia ada iaitu sama seperti Panamera. Jika model konsep Bentley EXP 10 Speed 6 telah menerima lampu hijau untuk diproduksikan, kemungkinan ia juga menggunakan platform MSB.

    Walau bagaimana pun, ada juga cadangan untuk model Panamera dua-pintu ini tidak menggunakan nama Panamera, memandangkan ia akan diposisikan sebagai model yang lebih sporty.

    Di mana dengan nama dan penggayaan yang berlainan, namun penjana kuasanya mungkin akan kekal sama. Model enjin-hadapan baharu ini dijangka akan berkongsi dengan barisan enjin petrol Panamera, dan ini termasuk juga dengan pilihan plug-in hybrid. Dan jika varian plug-in hybrid memasuki produksi, kemungkinan besar lebih daripada separuh pembeli Panamera di Eropah dijangka akan memilih model berkenaan.

     
     
  • JPJ nafi keluarkan sijil kelulusan cermin gelap

    JPJ nafi keluarkan sijil kelulusan cermin gelap

    Sejak beberapa hari ini, tular di laman media sosial berkenaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sijil kelulusan penggunaan cermin gelap untuk kenderaan. Pada sijil berkenaan turut dicetak pengesahan pengeluaran sijil dibuat Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berserta dengan tanda tangannya. Melalui teks yang turut tular bersama foto sijil berkenaan menyatakan permit berkenaan akan dikeluarkan mengikut nama pemohon selain ia perlu diperbaharui setiap tiga tahun.

    Walau bagaimana pun, perkara ini telah dinafikan oleh JPJ yang turut membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB) untuk tindakan susulan kerana ia merosakkan imej JPJ berkaitan integriti.

    “JPJ mengambil berat isu tular yang disebarkan melalui media sosial sejak beberapa hari lalu berkaitan kelulusan cermin gelap di beberapa `Page’ FB. Seperti yang dimaklumkan, cermin gelap yang mengikut spesifikasi mengikut Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2016, menetapkan cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70%, manakala kira dan kanan cermin sisi pemandu hendaklah telus cahaya tidak kurang 50 peratus selain cermin belakang telus cahaya tidak kurang dari 30%,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

    JPJ nafi keluarkan sijil kelulusan cermin gelap

    Justeru, JPJ turut menasihati agar orang ramai agar tidak mudah percaya dan diminta menghubungi JPJ berdekatan untuk maklumat yang lebih tepat.

    Pada pertengahan Disember lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata yuran bakal dikenakan terhadap pemilik kenderaan bercermin gelap melebihi had yang ditetapkan. Walau bagaimana pun, tidak semua yang memohon untuk cermin gelap ini akan mendapatkannya.

    Tambah beliau, tiada kelulusan automatik, jadi perlu ada permohonan untuknya dan ada yuran yang perlu dibayar. Bukan itu sahaja, pengecualian akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang perlu menggunakan cermin gelap atas faktor kesihatan. Walau bagaimana pun, tidak ada kelulusan atau bayaran yang dikenakan jika menggunakan lapisan filem cermin gelap mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Namun, sehingga kini pelaksanaannya masih belum dikuatkuasakan.

    Garis panduan cermin gelap kenderaan telah disemak semula pada Februari 2016, apabila peraturan yang dikemaskini, yang difailkan di bawah Peraturan Kenderaan Bermotor (Larangan Jenis Kaca Tertentu) 2016 yang menggantikan peraturan tahun 1991.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 tutup tirai dengan perlumbaan di Litar Sepang

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 tutup tirai dengan perlumbaan di Litar Sepang

    Setelah berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, MAEPS Serdang dan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, musim kedua Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge berakhir dengan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu lalu.

    Sepanjang dua hari perlumbaan dijalankan, Litar Sepang menyaksikan cabaran yang berbeza kerana ia adalah sebuah litar yang lebih luas dan terbuka, sementara litar-litar sebelum ini pula lebih sempit dan mempunyai penghadang batu di tepinya. Pelumba juga dapat mengerah sepenuhnya Vios yang digunakan semasa di Litar Sepang.

    Selepas sesi kelayakan dijalankan seawal 10.15 pagi pada hari Sabtu, perlumbaan pertama kemudiannya dimulakan dengan kategori paling profesional iaitu Super Sporting. Pelumba paling menonjol adalah Syafiq Ali dari pasukan M7 Racing Team kerana beliau hanya bermula di petak ke-11 tapi berjaya dinobatkan sebagai juara.

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 tutup tirai dengan perlumbaan di Litar Sepang

    Sebenarnya, Syafiq cuma menamatkan perlumbaan di tempat kedua, tetapi pelumba yang berada di hadapan beliau iaitu Alif Hamdan dari pasukan Laser Motor Racing telah dikenakan penalti sebanyak 10 saat, sekaligus meletakkan beliau di tempat ketiga. Tempat kedua pula dimenangi oleh Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota.

    Perlumbaan pertama untuk kategori Sporting juga menyaksikan kejutannya yang tersendiri. Selepas 20 pusingan, Hayden Haikal yang baru sahaja berumur 14 tahun telah berjaya memenangi tempat pertama diikuti oleh Kenneth Koh dari pasukan Panglima City Racing Team dan Eric Yong dari pasukan ST Wangan Racing Team.

    Haikal sebenarnya bermula di petak kedua, tetapi sebaik sahaja lampu hijau menyala, beliau berjaya memulakan perlumbaan dengan sempurna dan terus memotong Kenneth yang berada di hadapan. Setelah itu, Haikal terus mengetuai perlumbaan sepanjang 20 pusingan dan apabila tamat, beliau mempunyai jarak lebih tujuh saat berbanding Kenneth.

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 tutup tirai dengan perlumbaan di Litar Sepang

    Pergi kepada kategori Promotional yang melibatkan selebriti, kali ini penonton dapat menyaksikan buat pertama kalinya mereka menggunakan Vios 2019 yang baru sahaja dilancarkan Januari lalu. Di awal perlumbaan, Diana Danielle mendahului dengan jarak yang jauh tetapi semakin banyak pusingan, beliau semakin dikejar oleh Aiman Tino.

    Selepas enam pusingan akhirnya Aiman berjaya memotong Diana dan kedudukan kekal sehingga perlumbaan tamat. Tempat kedua pula dimenangi oleh Akim Ahmad. Perlumbaan ini juga menyaksikan Nabil Ahmad sedikit bergelut dan cuma dapat menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, meskipun mencatat masa kedua terpantas waktu kelayakan.

    Masuk ke hari seterusnya, sekali lagi perlumbaan dimulakan dengan kategori Super Sporting. Kali ini ia dimenangi oleh William Ho daripada Kegani Racing diikuti Eddie Liew dari pasukan Team Nanoplus dan Alif Hamdan dari Laser Motor Racing. Walaubagaimanapun, William tidak memiliki kemenangan dengan mudah.

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 tutup tirai dengan perlumbaan di Litar Sepang

    Dari awal beliau diberi saingan sengit oleh Eddie dan juga seorang lagi pelumba pasukan Team Nanoplus, Keifli Othman. Semakin banyak pusingan, Alif semakin dekat dengan kelompok hadapan, dan hanya dalam pusingan terakhir barulah beliau dapat memotong Keifli dan akhirnya mendapat tempat ketiga.

    Secara keseluruhannya untuk musim ini, kategori Super Sporting dimenangi oleh Boy Wong dari pasukan ST Wangan Racing, dan seterusnya diikuti William Ho di tempat kedua dan Brendan Paul Anthony dari pasukan Dream Chaser di tempat ketiga.

    Melihat kepada kategori Sporting pula perlumbaan kedua pada hari Ahad menyaksikan Brendon Lim menguasai dari awal dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan jarak 11 saat berbanding Eric Yong di tempat kedua. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Datuk Ken Foo dari pasukan Kulim Top Wheels. Walaupun begitu, keadaan tidak mudah bagi Ken kerana dalam beberapa pusingan akhir beliau diberi cabaran oleh Hayden Haikal. Akhirnya, Haikal sekadar berpuas hati dengan tempat keeempat.

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 tutup tirai dengan perlumbaan di Litar Sepang

    Selepas perlumbaan akhir ini, mata paling banyak dikutip oleh Brendon, sekaligus menobatkan beliau sebagai juara, dan satu mata di belakang beliau adalah Eric. Tempat ketiga secara keseluruhan adalah Kenneth Koh dari pasukan Panglima City Racing Team.

    Perlumbaan kedua kategori Promotional pula menyaksikan beberapa perkara baru. Tiga individu berjaya menikmati podium buat kali pertama iaitu Khai Bahar di tempat pertama, Wany Hasrita di tempat kedua dan timbalan pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama di tempat ketiga.

    Secara keseluruhannya untuk musim ini, Diana Danielle diangkat sebagai juara dengan mengumpul 100 mata, diikuti Aiman Tino dengan 94 mata dan Akim Ahmad di tempat ketiga dengan 92 mata. Kedudukan seterusnya diikuti oleh Nabil Ahmad dan Wany Hasrita.

    GALERI: Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 Sepang hari pertama


    GALERI: Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 Sepang hari kedua

     
     
  • Proton terima dana RM1.18b dari syarikat China – labur RM124j untuk bina kilang pemasangan di Kerachi

    Proton terima dana RM1.18b dari syarikat China – labur RM124j untuk bina kilang pemasangan di Kerachi

    Hujung minggu lalu, Proton melakarkan lagi sejarah dengan bertukar dokumen bersama dua rakan perniagaan ]yang akan mendorong pembangunan masa depan syarikat pengeluar kereta nasional pertama ini. Pertukaran dokumen yang pertama ialah Perjanjian Perlesenan dan Bantuan Teknikal (LTAA) dengan syarikat dari Pakistan, ALHAJ Automobile (ALHAJ, bagi membina sebuah kilang pembuatan kereta Proton di Karachi untuk pasaran negara berkenaan. Manakala pertukaran yang kedua merupakan kemudahan perbankan yang ditawarkan oleh China Construction Bank (CCB) yang bernilai RM1.88b.

    Majlis Pertukaran dokumen ini disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Beijing yang turut berada di negara berkenaan bagi menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa. Perdana Menteri turut hadir sesi dialog dengan pembekal-pembekal komponen bersama Pengerusi Geely Holding Group, Li Shufu, Pengerusi Proton, Dato’ Seri Syed Faisal Albar, Daniel Li Donghui, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Geely Holding Group serta ahli lembaga Proton, Shaharul Farez Hassan.

    Bagi kerjasama dengan ALHAJ Automotive (ALHAJ), ia adalah susulan daripada upacara simbolik pecah tanah yang telah diadakan di Islamabad pada bulan Mac lalu, LTAA mengikat perjanjian untuk Proton dan ALHAJ bagi membina sebuah kilang pengeluaran CKD baharu untuk memasang dan mengedarkan kereta-kereta Proton di Pakistan.

    Proton terima dana RM1.18b dari syarikat China – labur RM124j untuk bina kilang pemasangan di Kerachi

    Bakal dibina di Karachi iaitu di satu tapak Greenfield dengan pelaburan awal sebanyak USD30 juta, kilang baharu ini akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tiga tahun pertama operasinya dan anggaran sebanyak 20,000 pekerjaan tidak langsung untuk industri-industri sokongan lain.

    Manakala kerjasama dengan syarikat dari China pula, ia melibatkan dana peruntukan untuk membiayai pelan pengembangan perniagaan PROTON pada masa hadapan kerana Syarikat berusaha mencapai matlamatnya untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang 2027.

    “Pertukaran dokumen antara Proton dan rakan-rakannya, ALHAJ dan CCB, adalah langkah penting dalam usaha Proton untuk mencapai matlamat jangka panjangnya. Pengembangan ke lebih banyak pasaran asing adalah kritikal untuk pertumbuhan jualan sambil memperoleh pembiayaan membolehkan Syarikat melabur dalam banyak projek yang diperlukan untuk menjadikan Proton jenama automotif peringkat global,” kata Dato’ Seri Syed Faisal Albar.

     
     
  • Kawasaki tingkatkan pegangan dalam Modenas

    Kawasaki tingkatkan pegangan dalam Modenas

    Kawasaki Heavy Industries Ltd (KHI) telah mempunyai pegangan ekuiti dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd
    (Modenas) sejak daripada pengeluar motosikal tempatan itu ditubuhkan lagi, iaitu pada tahun 1995. Kini dalam berita yang terbaru, ia telah ditingkatkan lagi.

    DRB-Hicom Berhad telah memetrai perjanjian dengan KHI untuk menjual 14,300,00 unit saham biasa dalam Modenas, dan dengan itu, saham 19% yang sememangnya telah dimiliki oleh KHI kini meningkat kepada 30%. Apabila ditukarkan kepada nilai wang, saham tambahan ini berjumlah RM40.3 juta.

    Selain daripada itu, KHI juga akan membeli 52,000,000 saham keutamaan boleh tukar (Convertible
    Preference Shares) daripada Modenas, namun ia hanya boleh ditukar apabila Modenas dapat mencapai beberapa tanda aras tertentu yang dipersetujui kedua-dua belah pihak. Sekiranya saham ini dimiliki oleh KHI, pegangan ekuiti syarikat Jepun itu akan meningkat kepada 48%.

    Pegangan ekuiti yang lebih besar ini juga bererti KHI akan mengambil bahagian didalam operasi Modenas, berbanding hanya sebagai pemegang saham. Saya yakin pengalaman dan kepakaran teknikal KHI akan membawa kepada suatu fasa produk yang lebih baik untuk pelanggan Modenas, terutamanya didalam segmen street bike serta sports bike, kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    “Kawasaki dan Modenas

    bukan tidak mengenali sesama sendiri, maka sinergi antara kedua-dua kumpulan akan memastikan kerjasama dengan berkesan untuk membangunkan produk bagi pasaran domestik. Rakyat Malaysia telah lama
    menggemari produk dari Kawasaki, yang dikenali sebagai jenama global yang berkualiti dan mempunyai rekod yang kukuh di arena sukan bermotor”, tambah Faisal.

    Kalau anda perhatikan juga, produk-produk awal Modenas sebenarnya diasaskan daripada model-model Kawasaki, dan antara yang popular seperti Jaguh (menggunakan asas dari Kawasaki Eliminator 125) dan Kriss 110 (menggunakan asas daripada Kawasaki Kazer 110).

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic Type R facelift diuji di Nürburgring – tampil dengan tiga rupa berbeza

    SPYSHOT: Honda Civic Type R facelift diuji di Nürburgring – tampil dengan tiga rupa berbeza

    Honda Civic Type R sudah pun berada lebih dua tahun dalam pasaran global, dan tidak hairan sekiranya model facelift untuk generasi FK8 ini akan muncul tahun hadapan. Honda nampaknya kini sedang giat menguji model kemaskini tersebut di litar taklukannya iaitu Nürburgring, Jerman.

    Ada tiga versi berbeza diuji kali ini, mungkin Honda akan memperkenalkan berberapa varian ketika diperkenalkan nanti. Versi pertama berwarna putih, tidak mempunyai sebarang perubahan ketara dengan versi asal. Apa yang kami perasan, kemasan liang udara sisi pada bampar hadapan dan belakang nampaknya seakan menerima sentuhan semula.

    Satu lagi versi yang berwarna kuning pula menerima pelekat penyamaran pada keseluruhan bumbung, yang mungkin menyembunyikan bumbung gentian karbon di sebaliknya.

    Untuk versi ketiga yang berwarna putih, ia diberikan spoiler belakang yang jauh lebih kecil, tetapi di bahagian hadapan, versi ini diberikan spoiler dengan ‘sodok’ yang lebih panjang.

    Buat masa sekarang, Honda Civic Type R menerima bekalan kuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm dari enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo. Kuasa disampaikan ke roda hadapan hanya menerusi kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat lengkap dengan short shifter dan LSD helical.

    Ia juga telah dinobatkan sebagai kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di litar Nürburgring setelah mencatatkan masa 7 minit 43.8 saat untuk satu lap, atau 6.83 saat lebih pantas dari Civic Type-R FK2R generasi terdahulu.

     
     
  • Petronas umum pemenang pertama Y15 edisi khas untuk pertandingan Petronas Sprinta Bonanza 2019

    Petronas umum pemenang pertama Y15 edisi khas untuk pertandingan Petronas Sprinta Bonanza 2019

    Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) yang merupakan anak syarikat Petronas Dagangan Berhad (PDB) hari ini mengumumkan pemenang pertama bagi peraduan Petronas Sprinta Bonanza 2019 yang membawa pulang sebuah Yamaha Y15ZR (V1) edisi khas serta dua tiket ke perlumbaan MotoGP di Sepang, iaitu Sahrulnaim bin Sahrahan dari Gombak, Selangor.

    Beliau menyertai pertandingan ini setelah membeli produk F500 untuk digunakan pada kapcai, dan tanpa dijangka telah dipilih sebagai pemenang untuk bulan Mac. Bagi yang mahu menyertai pertandingan ini, anda masih belum terlambat kerana ia cuma akan berakhir 30 September nanti.

    Bermakna, masih ada enam buah lagi Yamaha Y15ZR edisi khas yang menjadi rebutan setiap bulan, serta dua lagi motosikal lain iaitu Yamaha R25 dan Yamaha R6 sebagai hadiah utama. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa hadiah sagu hati lain. Maklumat lanjut berkenaan pertandingan ini boleh didapati di web mymesra.com.my.

     
     
  • Harga minyak bagi 27 April-3 Mei- RON97 naik 1 sen

    Harga minyak bagi 27 April-3 Mei- RON97 naik 1 sen

    Kementerian Kewangan memaklumkan bagi minggu bertarikh 27 April hingga 3 Mei 2019, harga runcit bagi petrol RON97 dilaporkan naik 1 sen seliter iaitu RM2.81 seliter berbanding RM2.80 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu ini efektif tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Walau bagaimana pun harga runcit bagi petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Manakala harga runcit diesel Euro 2M juga kekal pada harga RM2.18 seliter, dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

    Menurut kementerian terbabit, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit bagi petrol dan diesel sepatutnya naik masing-masing 1 sen dan 2 sen. Iaitu petrol RON95 sepatutnya menjadi RM2.51 seliter dan diesel pula RM2.48 seliter. Namun kerajaan memutuskan untuk menstabilkan harga runcit bagi bahan api berkenaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran tanggungan subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 27 April hingga 3 Mei adalah berjumlah RM133.62 juta.

     
     
  • MoT cadang kerusi keselamatan kanak-kanak dikecualikan SST-hanya 26% yang gunakannya

    MoT cadang kerusi keselamatan kanak-kanak dikecualikan SST-hanya 26% yang gunakannya

    Walau pun kerajaan mahu melaksanakan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan secara mandatori mulai tahun hadapan, namun Kementerian Pengangkutan (MoT) mendapati kesedaran di kalangan ibu bapa masih rendah iaitu pada kadar 26% buat setakat ini.

    Menurut timbalan menterinya, Datuk Kamarudin Jaafar, ini kerana ada segelintir ibu bapa yang memandang ringan bahawa kemungkinan bayi dan kanak-kanak tidak tercedera atau maut dengan hanya meletakkan mereka di kerusi kenderaan atau memangkunya.

    Memetik laporan yang disiarkan oleh Bernama, Kamarudin berkata, hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) mendapati bahawa 31% daripada 53 kanak-kanak dan bayi yang terlibat dalam kemalangan jalan raya terkorban.

    MoT cadang kerusi keselamatan kanak-kanak dikecualikan SST-hanya 26% yang gunakannya

    “Kita ada lebih kurang lapan bulan lagi sebelum ia dikuatkuasakan dan sebab itu kita sedang tingkatkan kempen pemasangan kerusi keselamatan bayi supaya ia tidak mengejutkan ibu bapa apabila ia dilaksanakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Kamarudin menambah pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MoF) agar pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

    “Telah pun ada perbincangan dan secara umumnya MoF menerima prinsip itu (pengecualian SST), saya percaya akan ada keputusan positif, kalau tidak 100%, paling kurang akan ada pemotongan harga,” katanya.

    Dalam masa yang sama, difahamkan, MIROS kini dalam proses menyiapkan garis panduan yang meliputi aspek pematuhan standard peraturan produk kerusi keselamatan bayi, tatacara penggunaannya di atas jalan raya dan penjualannya di premis perniagaan dan atas talian. Garis panduan itu akan dikemukan kepada MoT pada Jun ini sebelum ia diguna pakai oleh semua pihak.

     
     
  • Audi A3 Sedan, A5 Sportback mula dijual di Malaysia

    Audi A3 Sedan, A5 Sportback mula dijual di Malaysia

    Bulan lepas, kami pernah laporkan yang dua kereta terbaru dari Audi di Malaysia, model A3 Sedan dan juga A5 Sportback, telah dipertontonkan di sini. Dan sekarang, kedua-dua model terbabit telah mula dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan.

    Bagi Audi A3 Sedan, ia hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja setakat ini, dengan pilihan enjin 1.4 TFSI dan dijual pada harga RM239,750 (sebelum ini dinyatakan RM239,900). Model facelift ini menampilkan gril yang lebih lebar dan tajam, bersama lampu hadapan LED yang direka semula.

    Begitu juga di belakang, rombakan dilakukan pada lampu LED (diberikan lampu isyarat membelok dinamik), dan juga bampar yang lebih menyerlah, terutamanya di bahagian bawah. Model pasaran Malaysia ini juga diberikan rim 18-inci lima jejari berkembar, dengan tayar 225/40R18.

    Audi A3 Sedan, A5 Sportback mula dijual di Malaysia

    Untuk bahagian dalaman, skrin infotainmen bersama sistem navigasi MMI yang boleh disorokkan kini bersaiz tujuh-inci dan direka dengan bingkai sekeliling lebih nipis berbanding unit 5.8-inci sebelum ini,dan dihubungkan kepada sistem bunyi dengan lapan-pembesar suara. Manakala untuk pemandu, instrumen digital sepenuhnya Audi Virtual Cockpit akan memberikan segala maklumat menerusi skrin 12.3-inci.

    Bagi prestasi enjin, ia menggunakan unit petrol 1.4 liter turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 150 hp dari 5,000 hingga 6,000 rpm serta tork maksimum 250 Nm dari 1,500 rpm hingga 3,500 rpm, dengan padanan transmisi automatik S Tronic tujuh-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.2 saat

    Ia digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik S Tronic memacu roda hadapan membolehkan A4 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat, dengan kelajuan maksimum 224 km/j. Penggunaan bahan api pula didakwa pada kadar 4.9 l/100km dan pembebasan CO2 pada kadar 114 g/km.

    Audi A3 Sedan, A5 Sportback mula dijual di Malaysia

    Bagi Audi A5 Sportback generasi kedua pula, ia dijual pada harga RM339,900. Model ini menampilkan penggunaan enjin 2.0 liter turbocaj dengan janaan sebanyak 252 hp dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan 370 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Unit ini digandingkan dengan transmisi klac-berkembar S Tronic tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda kekal quattro.

    Lampu utama LED sepenuhnya dengan dua DRL merupakan ciri standard, begitu juga dengan rim 19-inci aloi yang digunakan. Di dalam, corong pendingin hawa luas dengan rekaan yang sama seperti pada Audi A4 B9, serta set teknologi lengkap Audi. Ini termasuk Audi Virtual Cockpit dengan instrumen paparan digital 12.3-inci. Sistem infotainmen MMI Navigation Plus pula ada tambahan skrin 8.3-inci dan tombol rotari MMI untuk kawalan.

    Kemasan dalaman menggunakan material kulit dengan padanan perincian Silver Aluminium Ellips. Ciri standard lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, pendingin hawa tiga zon automatik, tempat duduk sport larasan elektrik, penyerap hentak adaptif dan sistem audio 180-watt dengan 10 pembesar suara. Bagaimanapun, tiada ciri AEB untuk versi ini.

    Audi A3 Sedan

    Audi A4 Sportback

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Yaris 1.5 G 2019 – bakal ubah permainan pasaran hatchback segmen-B di M’sia?

    PANDU UJI: Toyota Yaris 1.5 G 2019 – bakal ubah permainan pasaran hatchback segmen-B di M’sia?

    Dalam industri automotif, segmen apa lagi yang Toyota tidak ceburi? Dari kenderaan komersil, kereta harian, sehinggalah model-model sport dan juga mewah, semua kalau boleh Toyota mesti ‘nak ada’. Selain dari mempunyai kualiti binaan pada produk, ini adalah salah satu sebab mengapa Toyota masih kekal sebagai gergasi paling besar dalam industri automotif Jepun.

    Kehadiran Toyota di Malaysia juga begitu – jenama ini mempunyai produk hampir untuk semua orang, dari Van komersial Toyota Hiace sehinggalah kereta sport Toyota 86. Pada era 80’an dahulu, jika anda rasa Toyota Corolla terlalu mahal dan terlalu besar untuk orang bujang, ada satu lagi pilihan dengan bajet lebih rendah dan lebih bergaya iaitu hatchback kompak Toyota Starlet.

    Namun dari era 90’an hingga pasca Y2K, terdapat satu lompong dalam barisan model Toyota kerana tidak lagi menawarkan model seperti Starlet. Model paling mampu milik yang mereka ada hanyalah sedan empat-pintu Toyota Vios, itu pun bermula pada tahun 2003. Tiada masalah jika orang bujang nak pakai sedan, tapi takkan dah kahwin nanti baru nak merasa pakai kereta bergaya sikit macam hatchback ye tak?

    Akhirnya pada 2006, Toyota Yaris di bawa ke pasaran tempatan bagi melengkapkan kembali apa yang kurang. Tetapi, Yaris yang ditawarkan dalam versi CBU tidaklah mesra poket seperti Starlet, ia dijual pada harga bermula dari RM93k hingga RM99k!

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Minyak enjin sintetik penuh Autobacs kini di Malaysia, empat gred, semi-sintetik akan tiba pada Q3 2019

    Minyak enjin sintetik penuh Autobacs kini di Malaysia, empat gred, semi-sintetik akan tiba pada Q3 2019

    Jenama peruncit alat ganti dan aksesori automotif terkenal Jepun, Autobacs, telah pun memperkenalkan minyak enjin sintetik penuh untuk pasaran Malaysia, hasil kerjasama pengedaran eksklusif dengan CKL Group (M) Sdn Bhd, syarikat induk rangkaian Lim Tayar. Kini, produk Minyak Enjin Sintetik Penuh Autobacs boleh didapati di seluruh negara di semua cawangan Lim Tayar dan Autobacs Malaysia, serta pengedar alat ganti automotif yang lain di negara ini.

    Varian minyak enjin sintetik penuh Autobacs yang ditawarkan adalah seperti berikut; 5W-30 (4L-RM252), 5W-30 (1L-RM68), 5W-40 (4L-RM252), 5W-40 (1L-RM68), 0W-20 (4L-RM252),0W-20 (1L-RM68), 0W-30 (4L-RM298) dan 0W-30 (1L-RM75). Menurut Autobacs, minyak enjin tersebut juga sesuai untuk penjana kuasa petrol dan diesel, malah varian OW-20 dan OW-30 juga boleh digunakan untuk kereta mesra alam. Manakala minyak enjin semi sintetik Autobacs pula dijangka akan diperkenalkan di sini pada suku ketiga (Q3) tahun ini.

    “Autobacs amat teruja dengan kerjasama antara CKL Group ini kerana ia membolehkan kami membekalkan pelbagai produk kami yang dihasilkan dengan teknologi penyelidikan dan pembangunan Jepun kepada pengguna-pengguna di Malaysia,” ujar Hidemitsu Ansai, Pengurus Kumpulan Perancangan & Pengurusan Autobacs Seven – Bahagian Perniagaan Luar Negara.

    Autobacs merupakan jenama Jepun yang ditubuhkan sejak tahun 1948 dan merupakan poborong dan peruncit alat ganti automotif di Osaka, Jepun, dan sehingga kini telah mempunyai 600 cawangan di negaranya. Manakala Lim Tayar pula merupakan syarikat tempatan yang beroperasi sebagai rangkaian penyelenggaraan kenderaan dan mempunyai 20 cawangan di seluruh negara.

     
     
  • BMW C400 X dan C400 GT tiba di Malaysia – skuter berharga masing-masing RM44,500 dan RM48,500

    BMW C400 X dan C400 GT tiba di Malaysia – skuter berharga masing-masing RM44,500 dan RM48,500

    Untuk segmen motosikal jenis skuter, sebelum ini BMW Motorrad Malaysia ada menawarkan C650 Sport dan C650 GT. Sekarang, ia ditambah lagi dengan dua model terkini yang baru sahaja dilancarkan, iaitu C400 X dan C400 GT. Harganya masing-masing adalah RM44,500 dan RM48,500.

    Skuter C400 ini dikuasakan oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 350 cc, yang dipadankan bersama transmisi jenis CVT, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 34 hp pada 7,500 rpm dan 35 Nm tork pada 6,000 rpm. Penggunaan bahan api yang mampu dicatat adalah sekitar 3.5 liter bagi 100 km mengikut kitaran WMTC.

    Asas untuk C400 X dan C400 GT sebenarnya adalah sama, tetapi anda boleh melihat beberapa bahagian adalah berbeza seperti bentuk lampu hadapan, lampu belakang, tempat letak kaki penumpang, penghadang angin hadapan serta bentuk tempat duduk. Barangan pada C400 GT dijadikan lebih sesuai untuk perjalanan jauh.

    Untuk paparan informasi dan hiburan, skuter ini menggunakan skrin TFT 6.5 inci resolusi tinggi. Dalam keadaan standard, selain maklumat penting motosikal, pemilik juga boleh terus menggunakan fungsi navigasi, muzik dan menjawab panggilan setelah menghubungkan telefon pintar menggunakan aplikasi BMW Motorrad Connected.

    Pada bahagian keselamatan, skuter ini dilengkapi dengan brek cakera berkembar serta angkup Bybre di hadapan, satu brek cakera di belakang, sistem brek ABS serta Automatic Stability Control (ASC) untuk memastikan cengkaman yang baik dalam pelbagai keadaan.

    Sebagai sebuah skuter, C400 datang dengan pelbagai kemudahan untuk pengguna seperti sistem tanpa kunci, pengecas 12V, ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet, dua poket barangan kecil di bawah bahagian pemegang, lampu jenis LED dan tangki bahan api 12.8 liter.

    BMW C400 X dan C400 GT tiba di Malaysia – skuter berharga masing-masing RM44,500 dan RM48,500

    Kelengkapan lain yang datang pada C400 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap di belakang dan tongkat tengah. Selain daripada itu, pembeli juga ditawarkan dengan pelbagai lagi aksesori untuk C400 seperti kotak barangan, kain penutup motosikal serta pilihan tempat duduk rendah.

    C400 X ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Zenith Blue, Black Storm dan Alpine White, manakala C400 GT pula ditawarkan dalam warna Alpine White, Moonwalk Grey dan Black Storm. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

    GALERI: BMW C400 X 2019


    GALERI: BMW C400 GT 2019

     
     
  • Honda BR-V 2019 facelift dilancarkan di Indonesia

    Honda BR-V 2019 facelift dilancarkan di Indonesia

    Honda BR-V telah pun menerima peningkatan (facelift) untuk pertengahan-hayatnya selepas lebih tiga tahun berada di pasaran. Indonesia menjadi negara pertama yang menerima peningkatan ini, bagi meneruskan persaingan dengan pencabar terdekatnya termasuk Toyota Rush, Daihatsu Terios dan Mitsubishi Xpander/Nissan Livina.

    Melihat wajah hadapannya, BR-V 2019 facelift menjadikan abangnya, CR-V, sebagai inspirasi termasuk menampilkan palang hitam melintangi muncungnya, menggantikan kemasan krom pada model sebelum ini. Walau bagaimana pun ia masih mengekalkan jaluran krom yang disambung pada lampu utama, tetapi dengan efek visual yang lebih besar, gril yang lebih tebal. Lampu utama projektor pula sama, tetapi dipadankan dengan jaluran lampu nyalaan siang LED baharu.

    Walau seimbasnya kelihatan lebih kurang sama, tapi bamparnya telah pun diprofilkan. Sisinya kini menampilkan ciri seperti corong dan ia menghala ke lampu utama, yang bertentangan ke arah gril. Lampu kabus bulat dan “skid plate” perak kini nampak lebih menonjol berbanding sebelum ini.

    Honda BR-V 2019 facelift dilancarkan di Indonesia

    Bahagian belakang juga dipertingkatkan, kini dengan rupa yang lebih bergaya termasuk seksyen “diffuser” perak dan bampar dengan reflektor menegak. Sebelum ini reflektor tersebut diletakkan di bahagian paling bawah bampar, disambung pada “diffuser”. Ia disambung pada lampu belakang dengan kemasan krom. Bukan itu saja, rim aloi dua-tona 16-inci baharu juga ditampilkan.

    Di dalamnya, rekaan papan pemuka dan stereng seperti Civic FD dikekalkan, tapi ada beberapa ciri baharu ditampilkan termasuk tweeter speaker, kemasan papan pemuka dengan kepingan kelabu pada bahagian penumpang) dan juga fungsi auto pada pendingin hawa, di mana telah pun ditampilkan pada BR-V semasa di Malaysia.

    Honda mahukan sifat yang lebih sporty dan varian tertinggi menampilkan kabin dengan tema hitam termasuk tempat duduk berkemasan merah. Ia juga dipadankan dengan pad kulit berwarna merah pada perehat tangan di bahagian pintu dan balutan kulit untuk stereng dan tombol gear, dengan jahitan merah. Honda Indonesia juga mengetengahkan kusyen tempat duduk barisan kedua yang lebih tebal dan perehat kepala tengah baharu. Malah tempat duduk pemandu juga kini boleh dilaraskan ketinggiannya, yang telah pun ditampilkan untuk model negara kita.

    Ciri baharu untuk BR-V spesifikasi Indonedia ini termasuklah unit utama skrin sesentuh kapasitif “ala terapung” lapan-inci dengan WebLink (mirroring untuk telefon pintar) dan kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin. Walau bagaimana pun, beg udara masih kekal dengan dua unit, begitu juga dengan ABS, VSA dan bantuan mula mendaki.

    Tiada perubahan pada penjana kuasa, masih kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC (120 PS, 145 Nm) dengan kotak gear automatik CVT atau manual enam-kelajuan. Tidak seperti Rush/Terios, kuasanya disalurkan ke roda hadapan.

    Empat varian ditawarkan untuk BR-V 2019 facelift di Indonesia – S MT berharga Rp 238 juta (RM69,347), E MT (Rp 252.5 juta atau RM73,563), E CVT (Rp 262.5 juta atau RM76,477), dan Prestige CVT (Rp 279.5 juta atau RM81,432).

    Ada enam pilihan warna iaitu Tafetta White, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl, Coffee Cherry Red Metallic dan warna signitur Premium Amber Metallic ditawarkan. Di mana dua warna terakhir tersebut adalah untuk varian E dan Prestige.

     
     
  • KPDNHEP rampas minyak enjin tiruan bernilai RM257k

    KPDNHEP rampas minyak enjin tiruan bernilai RM257k

    Semalam, di Sitiawan, Perak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merampas sejumlah minyak enjin tiruan yang dipakejkan semula menggunakan jenama yang dikenali dalam satu operasi khas, seperti dilaporkan Bernama.

    Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Perak, Khalid Tik berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan dalam operasi berkenaan, pihaknya menyita sebanyak 209 tong dram minyak yang dianggarkan bernilai sekitar RM257,000. Operasi itu disertai oleh 21 pegawai penguatkuasa dari Putrajaya dan juga Perak.

    “Kami percaya semua barangan yang dirampas adalah produk tiruan berdasarkan kualiti dan kod yang tidak sama dengan kod produk asli. Minyak tiruan ini dibancuh menggunakan campuran minyak yang dikitar semula. Kami merampas 187 tong dram minyak enjin tiruan di premis pertama, sementara bakinya di dua lagi premis sekitar Sitiawan,” jelas beliau.

    Menurut siasatan, produk tiruan berkenaan dijual kepada agensi kerajaan, pengedar alat ganti dan pengusaha bengkel di Perak dan Selangor pada harga biasa dalam pasaran. Dalam operasi berkenaan juga, empat orang lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun turut ditahan.