Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Sebanyak 5,403 EV dan 46,981 kereta plug-in hybrid didaftarkan sehingga 31 Mac 2019 – timbalan menteri

    Sebanyak 5,403 EV dan 46,981 kereta plug-in hybrid didaftarkan sehingga 31 Mac 2019 – timbalan menteri

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar mengesahkan sebanyak sebanyak 5,403 kereta elektrik (EV) dan 46,981 kereta plug-in hybrid didaftarkan setakat 31 Mac tahun ini.

    Menurut laporan Bernama, Kamaruddin berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi bagi EV berdaftar dengan 2,791 unit. Manakala Wilayah Persekutuan pula mencatat jumlah tertinggi kereta jenis hibrid berdaftar dengan 25,360 unit. Kenyataan tersebut adalah bagi menjawab soalan daripada Senator Yaakon Sapari dalam Dewan Negara semalam.

    “Kerajaan sentiasa menggalakkan penggunaan kenderaan berteknologi hijau dengan menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk pengurangan cukai jalan 50% bagi kedua-dua jenis kenderaan berkenaan.

    “Malah Kementerian juga turut mewujudkan sebuah badan khas yang dinamakan ‘Kelulusan Jenis Kenderaan’ yang berfungsi untuk mengenal pasti dan meluluskan kenderaan teknologi hijau terutamanya lori dan bas, bagi mengurangkan penggunaan kenderaan berkarbon,” katanya yang turut menjawab soalan tambahan Senator Yaakob Sapari yang bertanyakan mengenai tindakan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan teknologi hijau.

     
     
  • Kamera AES akan ditambah, dikemaskini – kerajaan kutip lebih RM5j dari hasil saman sejak 8 bulan lalu

    Kamera AES akan ditambah, dikemaskini – kerajaan kutip lebih RM5j dari hasil saman sejak 8 bulan lalu

    Pada pertengahan Mac lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menambah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

    Walau bagaimana pun, menerusi laporan Bernama, timbalannya, Datuk Kamarudin Jaafar mengesahkan kerajaan akan menambah jumlah kamera AES di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan.

    Katanya, cadangan itu kini dalam peringkat kajian dan penentuan semula lokasi untuk dibuat penambahbaikan dengan mengemaskini kawasan kerap kemalangan berasaskan data-data terkini.

    “Kos pemasangan serta operasi kamera hanya akan ditentukan semasa pemasangan kamera itu dilakukan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

    Beliau menjawab soalan Senator Razali Idris yang ingin tahu berapa jumlah kos pembelian, pemasangan dan penyelenggaraan kamera AES, serta berapa jumlah saman yang telah dikutip setakat ini.

    Kamarudin berkata dari 1 September tahun lalu sehingga 17 April tahun ini, sebanyak 163,986 saman telah dikeluarkan dan kerajaan memperoleh kutipan sebanyak RM5,726,400 daripada saman-saman itu.

     
     
  • Kawasaki Z250 dan Z400 2019 dilancar untuk M’sia – harga jualan RM22k dan RM29k, dilengkapi brek ABS

    Kawasaki Z250 dan Z400 2019 dilancar untuk M’sia – harga jualan RM22k dan RM29k, dilengkapi brek ABS

    Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd hari ini telah melancarkan dua model baru untuk pasaran Malaysia iaitu Z250 dan Z400 2019 dengan harga masing-masing RM21,998 dan RM28,755 tidak termasuk insurans. Model Z250 baru ini menjadi pengganti kepada model sebelumnya manakala Z400 pula adalah pengganti bagi Z300 dalam pasaran sebelum ini.

    Asas dua motosikal ini adalah sama, dan antara pembaharuan berbanding model sebelum ini adalah termasuk panel badan, semua lampu LED, panel meter sama seperti model Z650, kerangka jenis Trellis (membantu menjadikan ia ringan empat kilogram) dan rim lima jejari seperti Z650.

    Menurut Kawasaki, enjin yang dilengkapi pada Z250 dan Z400 2019 ini adalah enjin serba baru, tetapi masih menggunakan tetapan dua silinder selari, penyejukan cecair dan DOHC. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, model baru ini mempunyai injector serta throttle body Mikuni 32 mm baru (sebelum ini Keihin 28 mm).

    Bagi Z250 yang mempunyai kapasiti 249 cc, kuasanya adalah 36.5 hp (37 PS) pada 12,500 rpm dan 23.5 Nm tork pada 10,000 rpm (meningkat 5 hp dan 2.5 Nm), manakala Z400 yang mempunyai kapasiti 399 cc mampu menghasilkan kuasa 48 hp (49 PS) pada 10,000 rpm dan 38 Nm tork pada 8,000 rpm. Kedua-duanya juga didatangkan dengan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis slip and assist.

    Kelengkapan lain yang berada pada Z250 dan Z400 2019 ini adalah brek cakera depan dan belakang yang dilengkapi dengan sistem ABS two channel, tangki bahan api 14 liter (lebih kecil tiga liter berbanding model sebelum ini), fork teleskopik 41 mm, monoshock dengan pelarasan pra beban serta rim 17 inci (tayar 110/70 di depan dan 140/70 di belakang untuk Z250, manakala Z400 menggunakan tayar belakang 150/70).

    Hanya satu pilihan warna disediakan untuk setiap model baru ini iaitu Candy Lime Green untuk Z250 ABS 2019 dan Pearl Storm Grey untuk Z400 ABS 2019.

    GALERI: Kawasaki Z250 ABS 2019

    GALERI: Kawasaki Z400 ABS 2019

     
     
  • Lowlife Volkswagen Malaya Rep. Vol.1 di SS15 Subang – kumpul VW klasik ‘lowered biawak’ seluruh negara

    Lowlife Volkswagen Malaya Rep. Vol.1 di SS15 Subang – kumpul VW klasik ‘lowered biawak’ seluruh negara

    Sabtu lalu, 20 April 2019 bertempat di tempat letak kereta bertingkat SS15 Subang, komuniti pemilik Volkswagen klasik dengan tema ubahsuai rendah iaitu Lowlife VW Malaya telah mengadakan perhimpunan pertama mereka. Acara yang dinamakan sebagai Lowlife Republic Vol.1 ini bukan sahaja disertai oleh ahli-ahli sekitar Lembah Klang, malah turut disertai oleh pemilik-pemilik dari seluruh semenanjung Malaysia seperti Johor Bahru dan Kota Bahru.

    Perhimpunan kali pertama ini bermula pada jam 5 petang hari berkenaan, sehingga 9.30 malam hari yang sama. Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, YB Khairuddin Othman juga hadir untuk memeriahkan acara ini.

    Seperti yang anda boleh lihat pada gambar, bukan sahaja Beetle Type 1, malah model lain seperti Type 2 Combi Van dan Pick-up, Golf MkI, Polo MkI, Karmann Ghia, Type 182, Squareback dan pelbagai lagi model rare telah ‘keluar dari sarang’ dan berkumpul di sini. Pelbagai ubahsuai ditampilkan dengan tema utamanya adalah ‘custom lowered‘, sehinggakan ada yang tidak berjaya sampai ke tapak acara ditingkat paling atas kerana terlalu rendah.

    Menurut penganjur Lowlife Republic Vol.1 saudara Khairul Rizal Kheli Kuzzaman, sekitar 130 buah kereta telah berkumpul pada acara ini, yang mana sekitar 80 buah daripadanya adalah VW rendah, dan selebihnya adalah VW klasik biasa. Acara ini tidak hanya setakat berkumpul kerana selepas itu sesi cruise ride dan tunnel attack diadakan disekitar Kuala Lumpur.

    Selain dari mendapat tajaan terus dari Kerajaan Negeri Selangor, Lowlife Republic Vol.1 turut mendapat sokongan dari pihak lain seperti, Heritage Parts Centre UK dan Vintage Speed Taiwan.

     
     
  • Renault Megane RS 280 Cup serba baharu dipertonton di Malaysia – manual dan auto, bermula dari RM280k

    Renault Megane RS 280 Cup serba baharu dipertonton di Malaysia – manual dan auto, bermula dari RM280k

    TC Euro Cars (TCEC) pengedar rasmi jenama Renault di Malaysia telah pun mempertontonkan jentera prestasi Megane RS serba baharu, dengan menawarkan casis Cup. Model generasi ke-empat ini dikhabarkan bakal tiba di Malaysia sebelum 2019 melabuhkan tirainya. Walau bagaimana pun, tempahannya telah pun dibuka mulai hari ini.

    Hot-hatch segmen-C ini dikatakan lebih berkuasa dengan padanan enjin baharu 1.8 liter empat-silinder dengan sistem pancitan terus bahan api. Ia mampu meledakkan kuasa sehingga 280 PS pada 6,000 rpm dengan tork puncak 390 Nm.

    Kuasa dari enjin Megane RS ini disalurkan ke roda hadapan menerusi dua pilihan kotak gear baharu iaitu sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan klac-berkembar automatik Efficient Dual Clutch (EDC) bersama pedal penukar gear. Ia membolehkan hot-hatch ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat, dengan kelajuan tertinggi mencecah 255 km/j (250 km/j untuk auto).

    Ia turut dilengkapi sistem stereng empat roda 4CONTROL Renault, pertama seumpamanya di dalam segmen ini, sekaligus menjanjikan kelincahan yang lebih mengagumkam di selekoh-selekoh tajam dan keupayaan melayan selekoh pada kelajuan tinggi. Ia juga menerima unit bump stop jenis mampatan hidraulik seperti yang digunakan pada jentera rali di keempat-empat sudut. Sistem berkenaan mampu memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang lebih baik, bergantung mod pemanduan yang dipilih.

    Renault Megane RS 280 Cup serba baharu dipertonton di Malaysia – manual dan auto, bermula dari RM280k

    Suspensi hadapan model generasi baharu ini telah dirombak sepenuhnya dengan pemadanan paksi stereng jenis bebas bagi meningkatkan ketepatan pengendaliannya. Malah bagi casis Cup, ia turut menerima LSD jenis Torsen. Lima mod pemanduan diberikan untuk dipilih pemandu bagi disesuaikan dengan situasi iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso (talaan pengkhususan oleh pemandu).

    Pada bahagian luaran, Megane RS generasi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih agresif. Corong pengambilan udara yang besar pada bampar hadapan mengambil gayaan bilah hadapan jentera F1. Kemasan satin berwarna kelabu (Gun Metal Grey) pada bilah itu kontras dengan bahagian badan lain yang cukup menyerlah. Selain itu, gril dengan corak sarang lebih 3D direka semula oleh Renault Sport.

    Sistem lampu LED multi-reflektor RS Vision didatangkan sebagai satu ciri standard pada hot-hatch ini. Lampu dengan reka bentuk berkotak-kotak (chequered flag) itu diintegrasikan pada bampar hadapan di sebelah bilah gayaan seperti jentera F1. Ia turut dilengkapi sembilan unit lampu LED pada setiap blok, sistem itu menggabungkan empat fungsi lampu berprestasi tinggi termasuk lampu sisi, lampu isyarat membelok, lampu kabus dan lampu tinggi.

    Renault Megane RS 280 Cup serba baharu dipertonton di Malaysia – manual dan auto, bermula dari RM280k

    Manakala bahagian sisi badan yang berarca dan menawan itu diwarisi daripada rekaan Renault Megane yang diserlahkan menerusi trek hadapan dan belakang yang lebih lebar. Pengekstrak udara yang dipasang pada wing pula berfungsi mengoptimumkan aliran udara melalui arca roda.

    Begitu juga denga sil sisi membina satu hubungan di antara bahagian hadapan dan belakang, bilah berwarna hitam mengingatkan kita kepada jentera Formula 1. Angkup brek Brembo® diwarnakan merah pada chasis Cup, jadi mereka lebih sudah dikenali dalam kalangan peminatnya. Dengan ketinggian yang direndahkan sebanyak 5mm dan rim aloi diamond black 19-inci turut diberi, menjadikan imej hot-hatch ini lebih menyerlah.

    Pada bahagian belakangnya pula, bampar dengan peresap udara binaan dalam dan ekzos tengah yang ikonik menjadi lambang Megane RS, ditingkatkan lagi dengan kemasan menarik spoiler belakang lebih nipis telah direka semula untuk menambah baik prestasi aerodinamik. Bukan itu sahaja, ketika memberi penekanan terhadap lebar kenderaan ini, corong vertical menyumbang kepada aspek kecekapan aerodinamik dengan menambah baik aliran udara.

    Ruang dalaman masih lagi kekal direka ringkas. Ia menerima tempat duduk sport dengan perehat kepala binaan dalam yang dibalut dengan upholstery sulaman fabrik hitam. Manakala jahitan benang merah pada kemasan hitam/kelabu memberikan rasa sporty pada ruang dalaman. Malah pedal aluminium dan tuil gear juga direka khas untuk hot-hatch ini.

    Megane RS serba baharu ini ditawarkan dengan harga atas jalan jangkaan (untuk Semenanjung Malaysia kecuali Langkawi, tanpa insurans) bermula RM279,888 untuk transmisi manual dan RM299,888 bagi automatik. Tambahan harga RM1,000 untuk warna putih Mutiara (Pearl White) dan RM8,000 untuk oren (Orange Tonic) dan warna baharu kuning (Liquid Yellow).

    Ia turut didatangkan dengan waranti selama tiga-tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu) dan disokong oleh 18 Pusat Servis Sah Renault di Semenanjung Malaysia untuk kemudahan para pelanggan.

    10 pelanggan pertama yang menempah Renault MEGANE R.S. serba baharu sebelum 31 Mei 2019 akan menikmati percutian yang ditanggung sepenuhnya ke Perancis. Ini termasuklah pengalaman melawat kemudahan Renault Sport di Dieppe, Perancis. Turut dimaklumkan, sesi pandu uji akan diadakan di bilik pameran Renault Petaling Jaya bermula Ogos (transmisi manual sahaja). Mereka yang berminat untuk memandu uji boleh membuat permohonan lebih awal menerusi laman web renault.com.my

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bagi Mac 2019 – naik 37.5%

    MAA: Jualan kenderaan bagi Mac 2019 – naik 37.5%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan angka statistik bagi jualan dan pengeluaran kenderaan di sini bagi bulan Mac 2019. Selepas suasana yang agak suram bagi bulan Februari lalu, Mac memperlihatkan peningkatan yang lebih positif.

    Keseluruhannya, sejumlah 54,776 kenderaan terjual dan diserahkan kepada pelanggan sepanjang bulan Mac. Ini memperlihatkan 14,938 unit lebih banyak atau 37.5% lebih tinggi berbanding pencapaian pada Februari, yang mencatatkan hanya 39,838 unit terjual. Angka ini juga merupakan peningkatan 9.58% lebih baik bagi tempoh sama tahun lalu, yang mencatatkan 49,987 kenderaan terjual.

    Jumlah keseluruhan industri (TIV) setakat ini bagi tempoh tiga bulan pertama 2019 mencatatkan sejumlah 143,064 unit kenderaan telah terjual, berbanding 135,110 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

    Menurut MAA, jumlah jualan yang lebih tinggi bagi bulan Mac 2019 disumbangkan oleh tempoh hari berkerja yang lebih panjang serta syarikat-syarikat yang menyegerakan serahan kepada pelanggan bagi penutup tahun kewangan pada 31 Mac. April dijangka akan memberikan prestasi yang sama.

     
     
  • Proton X70 – aksesori asli luar dan dalam kini dijual

    Proton X70 – aksesori asli luar dan dalam kini dijual

    Proton X70 dilancarkan pada bulan Disember tahun 2018 dalam empat varian berbeza, tapi tiada aksesori pilihan lain yang disediakan. Perkara ini disedari oleh Proton, dan sekarang, syarikat itu telah mengeluarkan aksesori asli untuk X70.

    Bermula pada bahagian luar, anda kini boleh menghias X70 dengan pemijak tepi berharga RM1,499 ataupun visor tepi tingkap gelap berharga RM288. Jika sayangkan cat kenderaan pula, anda boleh memilih plet pelindung aluminium di atas bampar (mengurangkan calar apabila memasukkan barang dalam but) berharga RM199 ataupun lapisan plastik pelindung pada pembuka pintu (RM100 untuk empat keping).

    Sudah tentu, satu lagi aksesori popular adalah lapisan penapis haba (tint film) untuk cermin. Bagi bahagian ini, Proton menyediakan dua pilihan daripada Llumar iaitu solar atau keselamatan. Harga untuk lapisan solar adalah RM1,688 manakala untuk lapisan keselamatan RM2,388, dan anda boleh menambah RM200 lagi untuk memasangnya pada sunroof.

    Proton X70 – aksesori asli luar dan dalam kini dijual

    Masuk ke dalam, pemilik X70 ditawarkan perakam video digital (dashcam) berharga RM1,299, penghadang cahaya matahari bermagnet (RM228) dan alas kaki (RM185). Untuk pengetahuan anda, penghadang cahaya matahari tersebut (satu untuk setiap pintu) tidak akan mengganggu operasi naik turun tingkap manakala alas kaki datang dalam tiga keping iaitu dua untuk hadapan dan satu yang besar untuk belakang. Tempat duduk kanak-kanak juga dijual pada harga RM799.

    Di dalam but, Proton menawarkan pelapik plastik (boot tray) berharga RM188 yang dapat dibersihkan dengan senang dan menjaga karpet bahagian kargo daripada rosak. Bagi mereka yang mahu memastikan barang di bahagian ini terurus pula, terdapat pilihan jaring kargo berharga RM55 dan kotak kain boleh lipat berharga RM75.

    Semua aksesori pilihan ini boleh dibeli secara berasingan, tetapi Proton juga ada menyediakan pakej supaya anda boleh berjimat. Pakej Utility yang berharga RM2,060 datang dengan pemijak tepi, visor tepi, pelapik plastik but, jaring kargo, kotak kain serta penghadang cahaya matahari, dan melaluinya anda boleh jimat RM273.

    Pakej Urban yang termasuk alas kaki, kamera perakam, lapik atas bampar belakang, plastik pelindung pemegang tepi dan penapis keselamatan Llumar dijual pada harga RM3,750, ataupun RM3,900 sekiranya penapis keselamatan tersebut dipasang pada sunroof. Kalau dibandingkan dengan harga sekiranya dibeli berasingan, anda boleh jimat masing-masing RM421 dan RM471.

    Sudah tentu, ada saja aksesori ini dijual di ‘kedai luar’, tapi apabila anda mendapatkannya terus daripada Proton dan ia merupakan aksesori asli, kemasannya adalah lebih baik dan berkualiti. Anda juga boleh memilih aksesori ini waktu membuat tempahan kenderaan, dan harganya akan dimasukkan sekali dalam jumlah pinjaman sewa beli. Aksesori asli Proton X70 ini datang dengan jaminan enam bulan dan tidak akan menjejaskan jaminan kenderaan.

     
     
  • Toyo Proxes TR1 dilancarkan di Malaysia – tayar UHP bermula RM199, untuk rim 15-inci hingga 19-inci

    Toyo Proxes TR1 dilancarkan di Malaysia – tayar UHP bermula RM199, untuk rim 15-inci hingga 19-inci

    Ya, anda tidak salah baca, atau kami tidak salah tulis, hari ini Toyo Tyres telah melancarkan produk baharu mereka iaitu tayar dalam segmen Ultra Performance, Toyo Proxes TR1 bagi menggantikan Proxes T1R sebelum ini.

    Menurut Toyo, Proxes TR1 direka dengan menggabungkan rekabentuk Proxes Sport dan juga Proxes T1R, dengan profil tayar yang bukan sahaja kelihatan agresif, malah turut berfungsi bagi memberikan cengkaman terbaik. Ia menampilkan rekaan asimetrik dengan bahu sebelah dalam yang mempunyai alur condong yang panjang dan bukaan sisi lateral untuk mengalirkan air lebih baik seperti pada Proxes T1R.

    Manakala rekaan longkang lurus yang lebar, blok bunga bahagian luar dengan bahu tinggi dan dibuat serong bagi melancarkan laluan air serta mengekalkan kestabilan ketika mengambil selekoh adalah diambil dari Toyo Proxes Sport. Toyo menyatakan bahawa tayar ini bukan sahaja sesuai untuk kegunaan di litar, malah selesa untuk digunakan untuk pemanduan setiap hari.

    Proxes TR1 dihasilkan dengan material gabungan Super Active Polymers dan juga kandungan silika yang tinggi membolehkan imbangan cengkaman yang baik ketika dipandu pada permukaan basah serta menawarkan rintangan golekan yang minima.

    Binaan tayar ini terdiri dari tiga ciri iaitu lapisan atas yang bergulung bagi menyokong kestabilan ketika pengendalian permukaan basah dan kering, lapisan keluli berketegaran tinggi untuk meningkatkan pengendalian dan kestabilan arah, serta lapisan terakhir bahan manik berkepadatan tinggi bagi memberikan tindak balas linear lebih baik dan tahan lebih lama.

    Tayar ini juga diberikan satu ciri khas yang dipanggil Pengesan Kehausan Tayar – iaitu penunjuk kehausan tayar yang memaparkan lima bintang pada keadaan baharu, dan ia akan menurun sehingga kosong bintang ketika tayar berkenaan perlu di tukar. Secara keseluruhan, ujian tayar baharu tersebut menunjukkan bahawa ia kini 16% lebih baik dari Proxes T1R sebelumnya dan rintangan golekan yang menepati standard tahap 2 R117 UNECE.

    “Saya amat yakin bahawa Proxes TR1 berupaya menarik minat penggemar pemanduan yang menghargai teknologi terkini dari Jepun. Proxes TR1 sesuai untuk segmen sport-pertengahan dan digunakan oleh kenderaan-kenderaan buatan Eropah dan Jepun, terutamanya kelas kenderaan dari segmen-B hingga segmen-E.” kata En. Tan Song Chye, Presiden dan Pengarah urusan Toyo Tyres Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd.

    Tayar berkenaan kini sudah pun mula dijual di Malaysia, dengan 24 saiz ditawarkan, bermula dari untuk rim 15-inci hingga 19-inci, dengan harga runcit yang disyorkan bermula RM199 hingga RM800 seunit, bergantung pada saiz. Anda boleh dapatkan tayar berkenaan di 74 pusat jualan dan perkhidmatan rasmi Toyo Tyres di seluruh negara.

    Menurut En Tan lagi, istimewa sempena pelancaran tayar Toyo Proxes TR1 ini, pembeli akan menerima hadiah berupa beg Targus bernilai RM109 untuk setiap set tayar (empat unit) yang dibeli sepanjang Mei 2019 (sementara stok masih ada). Tayar ini juga akan menggantikan tayar Proxes T1R untuk perlumbaan pusingan terakhir Vios Challenge dalam Toyota Gazoo Racing Festival yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

     
     
  • Petronas AutoExpert pertama dunia kini dilancarkan

    Petronas AutoExpert pertama dunia kini dilancarkan

    Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) bersama Petronas Lubricants International (PLI) hari ini melancarkan pusat servis sehenti Petronas AutoExpert yang pertama bukan hanya di Malaysia, malahan di dunia. Dengan matlamat untuk memberikan pengalaman dan nilai tambahan baru berkaitan servis kenderaan yang lebih menyenangkan, program ini melibatkan usahasama antara Petronas dan juga rakan niaga tempatan yang dipilih, Autohaus KL yang bertindak sebagai pengendali.

    Menurut Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Dato’ Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; “Melalui Petronas AutoExpert ini, kami ingin menawarkan kualiti servis dan kepakaran teknikal yang dimiliki terus kepada pelanggan. Turut menjadi nilai tambah, pelanggan kini dapat menikmati pengalaman servis kenderaan jauh lebih lancar dan memudahkan untuk urusan penyelenggaraan mereka.”

    Ini merupakan premis pertama seumpamanya bagi Petronas di Malaysia. Lebih penting, rangkaiannya akan diperluas bukan hanya setakat untuk pasaran tempatan. Bagi tempoh beberapa tahun ke hadapan, Petronas mensasarkan untuk membuka 100 lagi premis seperti ini, yang turut merangkumi pasaran di China, India dan Amerika Latin.

    Bagi Petronas AutoExpert sulung di Autohaus KL ini, ia melibatkan keluasan premis dua tingkat dengan keluasan keseluruhan sekitar 12,000 kaki persegi. Ia mempunyai 14 ruangan servis semuanya, dengan kapasiti servis yang mampu dilakukan ialah 40 buah kenderaan sehari. Dan, ia terbuka kepada semua jenis dan jenama kereta, sama ada keluaran tempatan mahupun luar negara.

    Melalui program ini, Petronas menyediakan sokongan kepakaran serta capaian dari sudut sistem dan kelengkapan termaju (termasuk pelincir seperti Synthium) dalam usaha untuk memberikan servis terbaik dan cekap kepada pelanggan. Sokongan kepada rakan niaga ini termasuk dari segi latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan bagi pembangunan perniagaan kepada bengkel persendirian yang menjadi rakan niaganya yang terlibat.

    Pengarah Autohaus KL, Muhammad Eezam Masripan pula ingin memanfaat peluang yang diberikan oleh Petronas ini untuk menyediakan perkhidmatan yang jauh lebih cekap kepada pelanggan. Selain kepakaran, kemudahan seperti perkhidmatan pengambil dan mengantar kereta pelanggan yang berada dalam radius 5 km dari pusat servisnya juga disediakan.

     
     
  • Subaru sahkan bakal ada BRZ generasi baharu

    Subaru sahkan bakal ada BRZ generasi baharu

    Bagi peminat kereta sport, mesti ada yang berharap, Toyota/Subaru akan melahirkan model generasi kedua bagi 86/BRZ. Ya! Harapan itu akan menjadi kenyataan! Menurut artikel yang disiarkan oleh Drive, Subaru telah mengesahkan coupe pacuan roda-belakang tersebut akan dikekalkan dalam barisan modelnya. “Kami sedang berusaha ke arah itu. Bermakna, akan ada BRZ generasi kedua,” ujar jurucakap Subaru.

    Walau bagaimana pun platform yang bakal digunakan untuk kembar ‘Toyobaru’ serba baharu ini masih kekal misteri. Tetapi Subaru berkata platform SGP terkini tidak akan digunakan kerana ia hanya dibangunkan untuk model pacuan semua-roda. SGP atau Subaru Global Platform telah pun digunakan untuk model semasa Impreza, XV, Ascent, Forester, Legacy dan Outback.

    Bagi kerangka model semasa, kembar Toyobaru ini menggunakan versi yang diadaptasi dari casis Impreza dan dikuasakan oleh enjin Subaru empat-silinder dengan sistem suntikan D-45 dari Toyota. Malah Toyota juga membekalkan transmisi automatik dan manual enam-kelajuan.

    Tak kisahlah apa jua platform mahu pun teknologi yang digunakan nanti, berita baik tentang kerjasama yang diteruskan oleh Toyota dan Subaru ini pastinya akan menggembirakan peminat kereta sport di seluruh dunia. Tak sabar rasanya nak tunggu kehadiran BRZ generasi kedua ni, pasti lebih mengancam!

     
     
  • TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Icon dan Desert Sled 2019 – nikmati tunggangan cara anda sendiri

    TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Icon dan Desert Sled 2019 – nikmati tunggangan cara anda sendiri

    Kalau anda banyak memerhati dunia motosikal sejak baru-baru ini, model-model yang berbentuk klasik kembali menjadi perhatian. Hampir semua jenama mempunyai model baru seperti ini, dan daripada Ducati, mereka menawarkan model Scrambler.

    Daripada kempen pemasaran yang dibuat, Scrambler tampil dengan aura hipster yang kuat, tetapi ini bukanlah sesuatu yang buruk. Ia menepati sasaran yang betul dan itulah yang digemari anak muda sekarang, tetapi saya fikir ia sebenarnya lebih daripada itu. Mereka yang tidak berminat dengan trend hipster ini juga boleh mengenepikan perkara tersebut dan melihat terus sahaja kepada motosikal.

    Satu perkara yang saya gemari melalui cara Ducati mengetengahkan Scrambler adalah mereka menunjukkan bagaimana anda boleh menikmati motosikal tersebut seperti orang-orang dulu. Kata kunci utamanya adalah kebebasan dan keseronokan, dan apa sahaja yang anda mahu buat, atau ke mana sahaja anda mahu membawanya, silakan.

    Scrambler juga sebenarnya mempunyai sejarah yang tersendiri. Model ini sudah wujud sejak tahun 1962, dan mempunyai statusnya yang tersendiri pada waktu itu. Masuk tahun 2014, Ducati memperkenalkan Scrambler generasi baru, yang lebih moden tetapi masih mempunyai karekter seperti ikon klasik mereka itu.

    Sekarang, tiba pula pada tahun 2019, Scrambler diberikan lagi pembaharuan untuk memberikan lebih kepuasan kepada penggunanya. Ada di antara pembaharuan ini dilakukan selepas mendapat maklum balas daripada pemilik, dan selebihnya dilakukan supaya anda boleh lebih menikmati tunggangan dalam pelbagai cara.

    Selanjutnya di sini

     
     
  • Tuah beli Ford Ranger, menang pula Ranger Raptor

    Tuah beli Ford Ranger, menang pula Ranger Raptor

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar rasmi untuk jenama Ford di Malaysia, telah pun mengumumkan pemenang bagi peraduan “Beli Ranger baharu, menangi Ranger Raptor”. Pembeli bertuah, Shahrul Iman Sulaiman, dari Pahang, telah pun dinobatkan sebagai pemenang bertuah dengan berjaya membawa pulang Ranger Raptor idaman ramai ini.

    Dia yang sebelum ini telah membeli Ford Ranger XLT Plus, berkata, “Memenangi Ranger Raptor memang tidak diduga dan pastinya ia kemenangan paling besar dalam hidup saya. Terima kasih Sime Darby Auto ConneXion dan Ford. Saya akan pulang beraya kali ini dengan penuh gaya.”

    Peraduan “Beli Ranger Baharu, menangi Ranger Raptor” telah berlangsung dari 25 Oktober 2018 sehingga 31 Januari 2019 yang lalu bersempena dengan pelancaran Ford Ranger baharu. Melalui peraduan tersebut, para pelanggan yang membeli mana-mana varian Ford Ranger berpeluang untuk memenangi sebuah Ranger Raptor.

    Ranger Raptor yang ditawarkan pada harga RM199,888, dijanakan oleh enjin Panther 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat-silinder diesel yang menghasilkan sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 10-kelajuan 10R80 Getrag untuk memberikan maklum balas yang lebih baik.

    Manakala Ranger XLT+ yang dibeli oleh Shahrul Iman pula merupakan satu-satunya varian yang dijanakan oleh enjin 2.0L EcoBlue, selain Raptor. Walau bagaimana pun dengan Si-Turbo tunggal, ia hanya mampu menghamburkan kuasa sehingga 180 PS dan tork 420 Nm, juga dipadankan transmisi auto 10-kelajuan.

    GALERI: Ford Ranger Raptor

     
     
  • Genesis Mint – kereta mewah kecil pacuan elektrik

    Genesis Mint – kereta mewah kecil pacuan elektrik

    Biasanya bila berkata tentang kereta premium, ramai yang akan teringat kepada kereta sedan besar yang luas, mewah serta laju. Kerana itu juga, ramai yang terlupa kereta kecil premium turut diterima baik dalam pasaran, seperti yang telah dibuktikan oleh Mercedes-Benz dan MINI. Sekarang, jenama mewah yang berada di bawah Hyundai iaitu Genesis pula mahu menyertainya, dengan memperkenalkan Mint Concept.

    Ini adalah sebuah kereta elektrik, yang mempunyai rekaan luar dari kebiasaan. Grafik jalur yang digunakan untuk lampu adalah sama depan dan belakang, cuma warna nyalaannya sahaja yang berbeza manakala bukaan pada gril dikurangkan kerana ia adalah sebuah kereta elektrik.

    Dari tepi, kereta ini nampak lebih unik. Walaupun bumbungnya rendah, lengkuk roda serta rim itu sendiri adalah besar, dan menampakkan dengan jelas unit angkup brek berwarna keemasan di belakangnya. Warna pada badan kenderaan ini dipanggil sebagai Hunter Green dan lekuk-lekuk pada bahagian skirting serta bampar belakang adalah untuk sistem penyejukan bateri.

    Masuk ke dalam, konsep minimalis diteruskan dengan penggunaan papan pemuka yang nipis serta tempat duduk bersambung yang kelihatan seperti terapung (sebenarnya untuk dua orang sahaja). Informasi penting dipaparkan pada skrin yang terdapat di tengah stereng manakala di kiri dan kanannya terdapat butang kawalan berbentuk bulat.

    Tiada perincian teknikal setakat ini tentang Mint Concept, tetapi Genesis memberitahu ia mampu mencapai jarak penggunaan 320 km, dan boleh dicas menggunakan stesen pengecas pantas 350 kW.

     
     
  • Harga bahan api 20-26 April – RON 97 naik sekali lagi

    Harga bahan api 20-26 April – RON 97 naik sekali lagi

    Untuk tempoh seminggu ke hadapan, sekali lagi kita akan menyaksikan kenaikan harga bagi minyak RON 97. Minggu lalu, petrol berkenaan dijual pada harga RM2.68 seliter.

    Bermula esok, RON 97 akan dijual pada harga RM2.80 seliter, naik 12 sen berbanding minggu lalu. Bagi RON 95 pula, sama seperti selalu, ia kekal pada harga RM2.08 seliter.

    Bagi diesel pula, sama juga seperti minggu lalu. Diesel Euro 2M dijual pada harga 2.18 seliter, manakala diesel Euro 5 dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Harga baru ini akan kekal untuk tempoh seminggu, dari 20 hingga 26 April 2019.

     
     
  • Hyundai Sonata N-Line bakal muncul – lebih 275 hp!

    Hyundai Sonata N-Line bakal muncul – lebih 275 hp!

    Ketika pendedahan Hyundai Sonata generasi keempat di New York International Autoshow 2019, jenama Korea berkenaan membuat kejutan dengan pengumuman bahawa sedan segmen-D keluaran mereka itu akan ditampilkan dengan lencana N-Line pada masa akan datang, dijana oleh enjin yang mampu menghasilkan 275 PS!

    Perkara ini dinyatakan sendiri oleh CEO Hyundai Motor America, Brian Smith dengan ucapan pendek mengatakan Sonata 2020 akan hadir dalam versi hibrid pada musim bunga tahun hadapan, dan model N-Line berkenaan akan menyusul selepas itu.

    Smith tidak memperincikan lebih lanjut berkenaan Sonata yang lebih berkuasa tersebut. Namun dengan angka “275 hp” yang disebut, Sonata N-Line mungkin akan dijana enjin 2.0 liter Turbo-GDI yang sama dengan hot-hatch Hyundai i30 N dan Veloster N.

    Hyundai Sonata N-Line bakal muncul – lebih 275 hp!

    2020 Hyundai Sonata

    Sekiranya model ini benar-benar diperkenalkan kelak, Sonata N-Line tentunya akan memberikan saingan sengit kepada Honda Accord 2.0 liter VTEC Turbo pada pasaran Amerika Syarikat, yang dijana enjin sama seperti Honda Civic Type R FK8, ditala dengan kuasa 252 hp/370 Nm bersama kotak gear automatik 10-kelajuan.

    Hyundai Sonata generasi keempat ini akan mula diproduksi di kilang Hyundai Alabama September nanti, dan bakal dijual bermula Oktober 2019. Buat permulaan, ia hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter Turbo-GDI berkuasa 185 hp/241 Nm dan juga 2.5 liter NA GDI menjana 191 hp/245 Nm. Kedua-dua enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan

    GALERI: Hyundai Sonata 2020 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Ferrari F8 Tributo dilancar di M’sia – dari RM1.068 juta

    Ferrari F8 Tributo dilancar di M’sia – dari RM1.068 juta

    Naza Italia, pengimport dan pengedar hari ini memperkenalkan model Ferrari terbaru untuk pasaran Malaysia, Ferrari F8 Tributo pada harga RM1.068 juta (tidak termasuk duti, cukai serta ). Ini merupakan penampilan sulung model berkenaan di Asia Tenggara, sempena ulang tahun ke-10 syarikat itu beroperasi di Malaysia.

    Pertama kali dipertontonkan kepada umum ketika Pameran Permotoran Geneva pada 5 Mac lalu. Model pengganti kepada Ferrari 488 GTB ini menampilkan peningkatan dari segenap aspek, baik dari sudut prestasi enjin dan juga aerodinamik rekabentuk.

    Dilengkapi enjin 3.9L V8 turbo yang terletak ditengah kenderaan, dengan janaan kuasa 710 hp pada 8,000 rpm manakala tork sebanyak 770 Nm pada 3,250 rpm. Enjin 3,902 cc V8 ini telah dinoboat sebagai Enjin Terbaik Tahunan bagi tiga tahun berturut-turut – 2016, 2017 dan 2019.

    Ferrari F8 Tributo dilancar di M’sia – dari RM1.068 juta

    Kereta sport dengan dua tempat duduk ini mempunyai prestasi pemanduan seperti berikut; 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat, dengan laju maksimum 340 km/j. Ferrari F8 Tributo mempunyai dimensi 4,611 mm panjang, 1,979 mm lebar dan 1,206 mm tinggi. Berat kering kereta ini pula 1,330 kg (40 kg kurang berbanding 488 GTB).

    Dengan sifar turbo lag, model ini menampilkan beberapa ciri baru, termasuk versi terkini Ferrari Dynamic Enhancer (FDE+). Rekabentuk stereng juga kini dengan diameter yang lebih kecil untuk memudahkan lagi kawalan oleh pemandu.

    Ferrari F8 Tributo dilancar di M’sia – dari RM1.068 juta

    Kereta ini juga diberikan rekaan lampu utama LED yang lebih padat, bertujuan untuk memberi ruang kepada bukaan penyejukan brek – bersekali dengan bahagian bampar, bukaan aliran udara turut diperkemas termasuk pada lengkungan tayar.

    Rekaan dalaman pula mengekalkan sentuhan klasik yang sinonim dengan Ferrari sebelum ini, dengan kokpit yang memberi tumpuan kepada operasi pemandu. Bagaimanapun, bahagian papan pemuka, panel pintu dan terowong tengah diberi rekaan baru. Human Machine Interface (HMI) baru dengan tata letak tombol kawalan, corong pendingin hawa serta skrin sentuh tujuh-inci penumpang menyuntik gaya lebih segar kepada ruang kabin.

    Ferrari F8 Tributo di Geneva Auto Show 2019

     
     
  • SPYSHOT: Kia Cerato 2019 dijumpai atas jalan di M’sia

    SPYSHOT: Kia Cerato 2019 dijumpai atas jalan di M’sia

    Sejak pertama kali ditunjukkan di Detroit awal tahun lalu, kita sudah menunggu agak lama untuk Kia Cerato baru tiba di Malaysia. Ia masih lagi belum dilancarkan, dan November tahun lalu, Kia cuma mempamerkannya waktu pameran KLIMS. Hari ini, kenderaan tersebut telah dijumpai atas jalan, di Lebuh Raya Persekutuan, sekaligus memberi petunjuk ia bakal dilancar tidak lama lagi.

    Daripada gambar ini, nampaknya Cerato baru akan ditawarkan di sini dalam spesifikasi yang sama seperti unit yang dipertontonkan lima bulan lalu (tanpa balutan krom semestinya). Rim juga kelihatan seperti unit 16 inci yang sama, dan ini adalah satu inci lebih kecil berbanding model yang ditunjukkan dalam gambar rasmi oleh Kia. Mungkin juga nanti akan ada varian lebih tinggi yang menggunakan rim lebih besar.

    Cerato baru mempunyai rekaan lebih dinamik, yang diambil daripada model Stinger termasuklah lampu utama yang lebih kemas, gril ‘tiger nose‘ versi terbaru, bonet lebih panjang dan bentuk keseluruhan lebih kepada sebuah fastback. Di dalam, rekannya diubah sepenuhnya untuk menjadi lebih kontemporari dan di tengah terdapat panel paparan besar untuk sistem infotainmen.

    SPYSHOT: Kia Cerato 2019 dijumpai atas jalan di M’sia

    Sekiranya anda nampak Cerato baru ini lebih besar, ia memang benar kerana panjangnya kini bertambah 81 mm menjadi 4,640 mm, lebar bertambah 18 mm menjadi 1,798 mm dan tinggi bertambah 12.7 mm menjadi 1,440 mm. Dengan itu, ruang kaki dan simpanan di belakang juga bertambah besar, menjadi 428 liter.

    Struktur model baru ini pula menampilkan penggunaan komponen yang melalui proses hot-stamping, 54% besi berkekuatan tinggi serta 105 meter pelekat struktur (lima kali lebih banyak berbanding sebelum ini). Suspensi adalah unit MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.

    Anda boleh menjangka Cerato pasaran Malaysia didatangkan dengan enjin petrol 2.0 liter Nu serta padanan transmisi automatik enam kelajuan sama seperti sebelumnya, dengan kemampuan 150 hp pada 6,200 rpm dan 192 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini adalah enjin sama yang digunakan bagi pasaran Australia, sementara pasaran lain mendapat enjin sama yang dipertingkat, bersama transmisi Intelligent Variable Transmission CVT.

    GALERI: Kia Cerato 2019 di KLIMS 2018

    GALERI: Kia Cerato 2019 di Australia

     
     
  • Allianz Motorcycle Plus sedia perlindungan tambahan untuk pengguna motosikal berkapasiti bawah 245 cc

    Allianz Motorcycle Plus sedia perlindungan tambahan untuk pengguna motosikal berkapasiti bawah 245 cc

    Allianz Malaysia hari ini melakukan pelancaran awal satu polisi insurans baru khas untuk pengguna motosikal berkapasiti bawah 245 cc, dikenali sebagai Allianz Motorcycle Plus dan melaluinya terdapat dua pakej yang disediakan iaitu Comprehensive, dan juga Third Party Only.

    Menurut Allianz, mereka adalah penyedia insurans pertama di Malaysia yang menawarkan perlindungan tambahan kepada pengguna motosikal bawah 245 cc tanpa sebarang kos tambahan, di mana melalui polisi baru ini, selain perlindungan untuk motosikal itu sendiri, pembeli juga akan diberi tambahan tiga lagi perlindungan lain.

    Dalam pakej Comprehensive, ini termasuk perlindungan Kemalangan Peribadi sehingga RM5,000, Pendapatan Hospital sehingga RM50 sehari untuk maksimum 60 hari serta Perlindugan Risiko Lain seperti banjir, ribut, tanah runtuh atau bencana alam lain. Pakej Third Party Only juga mendapat semua kelebihan ini, kecuali Perlindugan Risiko Lain (bencana alam).

    Allianz Motorcycle Plus sedia perlindungan tambahan untuk pengguna motosikal berkapasiti bawah 245 cc

    Harga polisi insurans baru Allianz Motorcycle Plus ini sudah tentu bergantung kepada jenis motosikal dan pembelinya, tetapi anggarannya terletak pada RM70 hingga RM80 untuk pakej Third Party Only, dan antara RM150 hingga RM230 untuk pakej Comprehensive. Ia juga cuma boleh didapati bermula pada 1 Mei 2019.

    Demi menarik lebih ramai pengguna motosikal kepada polisi insurans ini, Allianz turut menawarkan peluang memenangi enam buah motosikal SYM SM Sport 110 bagi mereka yang membelinya bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2019, dan pemenang akan dipilih dengan menggunakan cara undian.

     
     
  • Kia Malaysia buka pusat 3S baharu di Kota Bharu

    Kia Malaysia buka pusat 3S baharu di Kota Bharu

    Naza Kia Malaysia, pengedar kenderaan Kia rasmi di Malaysia, telah memperluaskan lagi rangkaiannya di Pantai Timur dengan membuka pusat 3S terbaharunya yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

    Kia Kota Bharu terletak di Jalan Sultan Yahya Petra, memiliki keluasan 3,500 kaki persegi dan mampu mempamerkan lima model kenderaan dalam satu masa serta mensasarkan jualan sebanyak 18 unit sebulan. Ia juga memiliki dua petak penyelenggaraan yang mampu menyelenggara hampir 100 buah kenderaan sebulan. Dan turut dilengkapi lounge pelanggan, surau, bilik mesyuarat, bilik storan alat ganti dan ruang membasuh kenderaan.

    Pusat 3S ini dikendalikan oleh Raza Motors Sdn Bhd, telah melakukan pelaburan sebanyak RM1 juta, selain menawarkan perkhidmatan jualan, penyelenggaraan dan alat ganti. Malah dalam tempoh tiga tahun ini juga, mereka merancang untuk mewujudkan fasiliti mengetuk dan mengecat badan kenderaan sebagai memenuhi permintaan para pelanggannya di negeri berkenaan.

    “Pusat 3S ini merupakan yang terbaharu menyertai rangkaian Kia kami dan berharap ia dapat memenuhi permintaan yang diperlukan oleh para pelanggan, sekaligus berkeupayaan membantu meningkatkan pasaran di Pantai timur,” ujar Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Group CEO Naza Corporation Holdings, SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

    Malah menurutnya lagi, kini Naza Kia turut merancang untuk mempunyai enam lagi cawangan 3S di Lembah Klang, bahagian utara, selatan, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak.

     
     
  • Mitsubishi umum promosi Raya – rebat RM4,000 untuk ASX dan Outlander, hingga RM6,000 untuk Triton

    Mitsubishi umum promosi Raya – rebat RM4,000 untuk ASX dan Outlander, hingga RM6,000 untuk Triton

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memulakan promosi tahunan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada awal Jun ini. Menerusi promosi ini, pelbagai rebat ditawarkan termasuk diskaun dan hadiah percuma apabila pelanggan menghantar kenderaan untuk diservis di mana-mana pusat servis bertauliah Mitsubishi.

    Promosi ini berlangsung sehingga 31 Mei ini, dengan semua varian bagi SUV ASX dan Outlander bakal menerima rebat sebanyak RM4,000. ASX menawarkan dua varian – 2WD dan 4WD – dengan harga masing-masing RM118,866 dan RM133,336. Sementara Outlander 2.0L pula berharga RM137,888 dan RM152,888 bagi varian 2.4L.

    Model facelift bagi Triton yang baru dilancarkan pula, ditawarkan dengan rebat RM4,000 bagi varian VGT MT (harga runcit RM100,200) dan VGT MT Premium (RM112,500), rebat RM2,000 untuk VGT AT (RM105,990) dan VGT AT Premium (RM118,600) dan sehingga RM6,000 bagi VGT Adventure (RM135,200). Kesemuanya harga atas jalan tanpa insurans, tidak termasuk rebat yang dinyatakan.

    Turut ditawarkan ialah beberapa hadiah untuk pelanggan yang menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis di mana-mana pusat servis bertauliah mulai 2 Mei hingga 15 Jun. Pelanggan yang berbelanja antara RM300 hingga RM499 bakal menerima rawatan minyak enjin percuma, sementara yang berbelanja lebih RM500 akan membawa pulang balang kuih raya dan juga diskaun 10% untuk kos buruh. Anda juga berpeluang mendapat diskaun tambahan sebanyak 5% untuk alat ganti dan eVoucher berjumlah RM38 jika berbelanja lebih RM1,000.

    Bukan itu sahaja, pelanggan juga akan diberikan eVoucher tambahan sebanyak RM20 (sah sehingga servis yang akan datang) apabila menghantar kenderaan mereta untuk diservis dan menyarankan rakan-rakan untuk memandu uji mana-mana model Mitsubishi sepanjang tempoh ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Mitsubishi Motors Malaysia.