Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tak ramai pemandu ride-hailing buat pemeriksaan wajib kenderaan, hanya 35 unit diuji setakat 10 April

    Tak ramai pemandu ride-hailing buat pemeriksaan wajib kenderaan, hanya 35 unit diuji setakat 10 April

    Walaupun pemandu-pemandu perkhidmatan ride-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) bermula 12 Julai nanti untuk membolehkan mereka terus beroperasi, respon untuk memenuhi keperluan ke arah itu bagaimanapun masih rendah, terutamanya yang melibatkan pemeriksaan kenderaan.

    Setakat 10 April, hanya 35 daripada anggaran keseluruhan 200,000 unit kenderaan yang terlibat dalam perhidmatan seumpama itu di negara ini yang telah menjalani pemeriksaan Puspakom, lapor Bernama. Antara yang perlu dilakukan oleh pemandu untuk mendapatkan PSV ialah untuk membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan wajib di Puspakom bagi kenderaan yang telah berusia lebih tiga tahun, dengan bayaran RM55 dikenakan.

    Menurut CEO Puspakom, Mohammed Shukor Ismail, pemandu tidak perlu mendapatkan lesen PSV terlebih dahulu sebelum menghantar kenderaan mereka untuk pemeriksaan Puspakom. Beliau turut menggesa pemandu-pemandu perkhidmatan ride-hailing ini tidak menunggu ke saat akhir untuk berbuat demikian.

    Tak ramai pemandu ride-hailing buat pemeriksaan wajib kenderaan, hanya 35 unit diuji setakat 10 April

    “Ini bagi mengelakkan sebarang masalah untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan mengikut masa yang ditetapkan, atau untuk mengelak kesesakan saat akhir untuk pemeriksaan berkenaan,” tambah beliau. Puspakom telah memanjangkan waktu operasinya menjadi tujuh hari seminggu di 19 cawangan terpilih untuk melayan keperluan pemandu perkhidmatan atas talian itu.

    Pendaftaran bagi lesen berkenaan, termasuk kursus latihan enam jam dengan kos RM200, telah dimulakan sejak 1 April lalu di pejabat institut pemanduan operator perkhidmatan itu atau pusat latihan yang sah. Pemandu juga perlu lulus pemeriksaan latar belakang jenayah dan juga kesihatan, mencarum bersama Socso, membeli insurans tambahan dan memperlengkap kereta mereka dengan alat keselamatan tambahan seperti alat pemadam api.

    Kenderaan yang berusia kurang dari tiga tahun pula perlu ditukar statusnya daripada kenderaan persendirian individu kepada kenderaan persendirian ride-hailing. Sebelum ini dilaporkan yang pemandu perlu membelanjakan sekitar RM800 untuk memenuhi semua keperluan itu. Dan, dengan proses permohonan lesen yang mahal serta rumit, banyak syarikat penyedia perkhidmatan ride-hailing menjangkakan sekitar 20% hingga 50% pemandu mereka akan berhenti.

     
     
  • HSR tidak begitu diperlukan buat masa ini – Tun M

    HSR tidak begitu diperlukan buat masa ini – Tun M

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, buat masa ini, Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bukan projek yang ´benar-benar perlu´ bagi Malaysia buat masa ini memandangkan ia hanya menghubungkan Singapura dan Malaysia

    Memetik laporan Bernama, Tun Mahathir berkata tumpuan Malaysia kini adalah usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan kereta api sedia ada. Tambahnya, Malaysia mungkin perlu membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi kelak bagi laluan Johor Bahru-Pulau Pinang atau ke sempadan Thailand.

    “Jadi, kita tidak akan membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi buat masa ini, sebaliknya kita mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh sistem tren kita, dan ia sedikit sebanyak telah dilaksanakan, iaitu landasan berkembar dan elektrik, ” katanya kepada pemberita semalam.

    HSR tidak begitu diperlukan buat masa ini – Tun M

    Menurut Tun Mahathir lagi, projek HSR tidak memberi manfaat sekiranya perjalanannya hanya 30 minit lebih cepat kerana pengguna juga mengambil masa untuk pergi ke stesen kereta api.

    “Sekiranya kepanjangan landasan memuaskan serta dapat menjimatkan dua hingga enam jam, jadi saya berpendapat projek kereta api berkelajuan tinggi adalah jawapannya (boleh dilaksanakan), ” katanya.

    Menjawab soalan pemberita mengenai rundingan kerajaan dengan Singapura untuk projek HSR dilaksanakan selepas tempoh itu, Tun Mahathir menjawab, “Buat masa ini, kita tidak akan membangunkannya. Kita telah memohon tempoh dua tahun sebelum kita merundingkan semula HSR. Pada masa ini, kerajaan tidak menawarkan sebarang kontrak, namun kita perlu membayar pampasan kepada Singapura kemudian.”

     
     
  • Nissan 370Z 50th Anniversary Edition – kenang BRE Datsun 240Z yang dipandu John Morton di era 70’an

    Nissan 370Z 50th Anniversary Edition – kenang BRE Datsun 240Z yang dipandu John Morton di era 70’an

    Nama Brock Racing Enterprise (BRE) sudah tentu tidak asing lagi bagi peminat Datsun klasik. Pasukan yang diasaskan dan diuruskan bekas pereka General Motors, Peter Brock berkenaan berjaya membawa nama Datsun lebih tinggi dari jenama Eropah seperti Alfa Romeo dan BMW setelah memenangi kejohanan SCCA Trans-am kategori di bawah 2.5L pada 1970 dengan Datsun Fairlady 240Z, dan mempertahankan kejuaraan dengan Datsun Bluebird 510 SSS pada 1971 – kedua-duanya dipandu pelumba lagenda, John Morton.

    Tahun ini sempena sambutan ke 50 model Datsun/Nissan Fairlady Z di Amerika, Nissan telah menghasilkan sebuah model produksi istimewa yang boleh dibeli oleh peminat, digelar Nissan 370Z Anniversary Edition. Model berkenaan diperkenalkan di New York, iaitu bandar yang sama Datsun 240Z diperkenalkan buat pertama kali, setengah abad yang lalu.

    Apa yang menarik, model istimewa ini diberikan imej seakan kereta lumba John Morton, Datsun 240Z BRE dengan nombor 46. Nissan 370Z Anniversary Edition ini diasaskan dari model Nismo 370Z Sport dan Sport Touring, menerima warna badan putih serta bonet, penutup cermin sisi, tiang-A hingga ke but belakang berwarna merah. Tidak lupa, jalur berkembar sereng berwarna merah pada pintu turut diberikan, bersama satu lagi jalur sisi badan merah dan juga logo “50th Anniversary” pada emblem Z di kedua-dua fender hadapan.

    Nissan 370Z 50th Anniversary Edition – kenang BRE Datsun 240Z yang dipandu John Morton di era 70’an

    Nissan turut menawarkan satu lagi versi untuk Anniversary Edition ini dengan warna badan perak, bersama elemen livery BRE berwarna hitam. Kedua-duanya dilengkapkan dengan rim aloi istimewa dari Rays Enginering bersaiz 19-inci dibaluti tayar Bridgestone Potenza S007. Angkup brek berwarna merah juga diberikan dengan empat omboh (cakera 14-inci) di hadapan dan dua omboh (cakera 13.8-inci) di belakang.

    Bahagian kabin juga diberikan sentuhan istimewa 50th Anniversary dengan tema hitam-merah bagi membezakannya dengan model biasa. Antara ciri berkenaan termasuk roda stereng balutan Alcantara bersama penanda tengah berwarna merah, tempat duduk balutan kulit dan sued dengan grafik logo Z bersaiz besar yang kelihatan kabur bersama “50th Anniversary” yang tekap, karpet kaki dan juga emblem edisi khas dihadapan tombol gear.

    Selain itu, pembeli model istimewa ini juga akan menerima sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara (termasuk dua subwoofer), bersama sistem active noise cancellation dan active sound enhancement.

    Nissan 370Z 50th Anniversary Edition ini masih menerima unit janakuasa sama seperti 370Z Nismo iaitu enjin VQ37VHR 3.7 liter V6 berkuasa 332 hp dan tork maksima 366 Nm. Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat yang turut dilengkapi dengan sistem rev-match automatik, membolehkan aksi heel and toe ketika menurunkan gear secara agresif dilakukan oleh komputer.

    Versi automatik turut ditawarkan dengan transmisi tujuh-kelajuan, lengkap dengan sistem rev-match, pedal penukar gear dan kawalan tukaran gear adaptif yang memberikan tukaran gear pantas. Dengan sistem tersebut, mod manual lebih terasa seperti kotak gear manual sebenar, dengan tukaran gear mengambil masa sekitar 0.5 saat. Kedua-dua versi ini menerima LSD jenis Viscous pada gandar belakang bagi memberikan pengendalian lebih tajam.

    Suspensi double wishbone hadapan pada 370Z ini turut ditala semula, bersama penggunaan lengan-lengan aluminium forged lebih ringan serta bar penstabil jenis hollow. Suspensi mulitlink di belakang juga ditala lebih keras, dengan komponen-komponen lebih ringan dari sebelumnya.

    “Sudah diketahui bahawa Datsun 240Z yang memulakan segalanya tentang kereta sport Jepun di Amerika Syarikat. Juga diketahui dalam sejarah Z bagaimana 240Z yang ditala untuk perlumbaan oleh Peter Brock merubah lanskap sukan permotoran Amerika. Selepas BRE 240Z diperkenalkan pada tahun 1970, Nissan/Datsun menjadi salah satu syarikat yang berjaya dalam sejarah sukan permotoran Amerika – dengan ratusan kemenangan dalam tempoh lima dekad,” kata naib presiden Nissan untuk strategi dan perancangan produk global, Ivan Espinosa.

    “370Z merupakan ikon sebenar Nissan. Kereta ini telah memberikan hala tuju segmennya dalam tempoh separuh abad. 370Z 50th Anniversary Edition adalah untuk meraikan sejarah model tersebut dan warisan sejarah perlumbaannya, kedua-duanya memainkan peranan penting bagi membentuk Nissan yang ada hari ini,” kata Espinosa lagi.



     
     
  • Jalan sambungan dari Jalan 1/27A-Setiawangsa dibuka

    Jalan sambungan dari Jalan 1/27A-Setiawangsa dibuka

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memaklumkan jalan sambungan di Jalan 1/27A Wangsamaju ke Jalan Mohd Yatim Yahya, Setiawangsa telah pun dibuka kepada lalu lintas. Pembukaan jalan ini bakal memberikan laluan alternatif kepada pengguna jalanraya di sekitar kawasan perumahan Wangsamaju dan Setiawangsa.

    Majlis perasmian dan pembukaan jalan terbabit telah disempurnakan oleh Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan. Menurut DBKL, jalan ini dilihat dapat menampung peningkatan aliran trafik di kedua-dua kawasan berkenaan. Sekaligus mengurangkan keresahan para pengguna yang menggunakan laluan ke/dari Wangsamaju dan Setiawangsa saban hari yang sering berhadapan dengan masalah trafik terutamanya pada waktu puncak.

     
     
  • Volkswagen SUV Coupe Concept ditayang di Shanghai

    Volkswagen SUV Coupe Concept ditayang di Shanghai

    Banyak juga model-model terkini yang buat penampilan di Shanghai Auto 2019. Volkswagen juga nampaknya tak mahu ketinggalan; syarikat itu menampilkan buat pertama kali model konsep SUV Coupe serba baru. Ia mewakili SUV dengan gaya coupe pertama bagi kerjasama FAW-Volkswagen di China.

    Seperti dicadangkan namanya, SUV Coupe Concept ini menggabungkan “rekaan avantgard dan elemen sporty serta prestasi yang mengkagumkan.” Dibangun menggunakan platform MQB; ini bermaksud kenderaan ini mungkin berkongsi sistem pacuan dengan model-model sedia ada jenama itu ketika ini.

    Dari segi rekaan, bahagian depannya menerima iras dari model Volkswagen T-Roc, dengan gril radiator besar yang bersambung denga lampu utama LED. Bahagian bawah bampar juga menonjol, lengkap dengan jalur krom sebagai kemasan tambahan.

    Volkswagen SUV Coupe Concept ditayang di Shanghai

    Dari sisi, bahagian bahu juga dibentuk dengan ketara untuk menampakkan keteguhannya. Imej sporty kemudian disumbangkan lagi oleh rekaan garis bumbung yang curam. Lampu LED di belakang dengan grafik tiga X dapat dilihat, sementara di bawah sedikit ia dilengkapi dengan corong ekzos berkembar. Unit berkenaan juga menggunakan lambang 380 TSI – ini bermakna ada kebarangkalian varian 2.0 liter TSI baka ditawarkan.

    Ketika memperkenalkan model ini, CEO Volkswagen China, Stephan Wollenstein berkata; “Menjelang 2020, kami akan gandakan penawaran SUV kami dari enam model kepada sekurang-kurangnya 12. Dalam semua usahasama (FAW-Volkswagen dan SAIC-Volkswagen), kami akan tawarkan barisan lengkap SUV, dari yang kompak sehinggalah yang besar, yang paling bergaya sehinggalah yang paling praktikal.”

     
     
  • Nissan Sylphy generasi baharu muncul di Shanghai

    Nissan Sylphy generasi baharu muncul di Shanghai

    Minggu lalu kita dikejutkan dengan betapa handsomenya Nissan Almera generasi baharu, dan kini ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2019 di China, Nissan mendedahkan pula sedan segmen-C baharu mereka iaitu Nissan Sylphy generasi keempat.

    Seperti yang muncul pada imej yang bocor sebelum ini, Sylphy generasi baharu tersebut menampilkan rupa yang jauh lebih sporty dengan kelihatan lebih lebar, lebih rendah serta rekaan-rekaan lain yang lebih tirus. Menurut Nissan, model generasi terkini ini juga lebih aerodinamik dengan pekali geseran hanya 0.26 atau sama dengan model sport mereka iaitu Nissan GT-R R35.

    Sudah tentu, Sylphy diberikan gril hadapan V-Motion sama seperti model-model baharu Nissan yang lain, bersama lampu hadapan lebih tirus, lengkap dengan lampu nyalaan siang yang diinspirasikan dari boomerang.

    Nissan Sylphy generasi baharu muncul di Shanghai

    Bahagian sisi Sylphy ini menampilkan garis bumbung yang mengikut trend masakini – landai ke belakang – bersama garis-garis badan yang menonjolkan otot-otot. Bahagian tiang-C menerima kemasan hitam sama seperti Altima/Teana dan Almera generasi baharu, memberikan ilusi seolah-olah bumbungnya direka terapung.

    Di belakang, lampu dengan grafik boomerang sekali lagi menjadi serlahan utama. Bampar Sylphy ini direka dengan kemasan seakan diffuser, tetapi menyorokkan tip ekzos disebaliknya.

    Bahagian kabin juga direka jauh lebih premium dari sebelum ini, menampilkan papan pemuka dengan tiga liang penghawa dingin utama berbentuk bulat (unit ditengah khas untuk kabin belakang), dan skrin sesentuh 8-inci untuk sistem infotaimen. Pemandu menerima meter instrumen analog, namun pada bahagian tengah paparan tersebut turut menempatkan skrin TFT definasi tinggi untuk memberikan pelbagai informasi lain.

    Model pasaran China ini diberikan upholsteri kulit berwarna tan yang nampak sangat premium, membaluti bahagian atas papan pemuka, panel pintu, tempat duduk (dengan liang serta elemen rekaan permata), perehat lutut dan bahagian-bahagian lain. Kelengkapan lain yang turut disertakan pada Sylphy ini termasuk hubungan telefon pintar yang lancar serta fungsi kawalan menggunakan suara.

    Nissan Sylphy generasi baharu muncul di Shanghai

    Nissan Sylphy generasi keempat pasaran China ini dijana oleh enjin 1.6 liter NA HR16DE Gen3, iaitu versi yang diperbaharui dari enjin sedia ada. Tiada angka kuasa disebutkan, tetapi Nissan menyatakan bahawa enjin baharu ini lebih berkuasa, lebih jimat bahan api serta membekalkan kuasa lebih linear dan lancar. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik Xtronic.

    Sedan ini turut menerima Integrated Dynamic Control Module iaitu sistem yang dihubungkan kepada sistem brek, yang memberikan kestabilan badan yang lebih baik selepas kereta ini dipandu pada permukaan beralun. Ia juga dibekalkan dengan Intelligent Trace Control, Intelligent Ride Control serta brek automatik sekiranya pemandu tersalah memijak pedal pendikit.

    Untuk keselamatan pula, Sylphy dilengkapkan dengan pelbagai teknologi bantuan pemanduan seperti Amaran pelanggaran hadapan, Pemantau Titik Buta, Amaran Keluar Laluan, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Intelligent Driving Alert

     
     
  • Toyota C-HR dan Rhombus pacuan elektrik diperkenal

    Toyota C-HR dan Rhombus pacuan elektrik diperkenal

    Toyota juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan model elektrik baru di pameran Auto Shanghai 2019, dan ini termasuk buat pertama kalinya, C-HR kuasa elektrik bateri (BEV). Di sana, ia juga dikenali sebagai IZOA, dan versi elektrik ini akan menjadi model BEV pertama yang dipasarkan oleh Toyota di China menjelang tahun 2020.

    Tiada sebarang perincian teknikal yang didedahkan berkenaannya setakat ini, tetapi daripada video promosi yang dikeluarkan, anda boleh melihat ia mempunyai tempat mengecas di atas lengkuk tayar belakang sebelah kanan, lima mod pemanduan, bateri yang terletak di bawah lantai (tengah kenderaan) serta motor elektrik yang terletak dalam ruang enjin untuk memacu roda hadapan.

    Rekaan luar C-HR elektrik ini juga sedikit berbeza jika dibandingkan dengan C-HR biasa, terutamanya pada bahagian bampar dan bucunya. Bahagian dalam pula menyaksikan penggunaan panel instrumen digital penuh dan tombol gear lebih rendah dan ringkas.

    Toyota C-HR dan Rhombus pacuan elektrik diperkenal

    Selain C-HR elektrik, Toyota juga ada membawa beberapa model elektrik lain seperti RAV4 dan Alphard/Vellfire serta Corolla dan Levin PHEV. Bermula dengan C-HR elektrik ini, Toyota mensasarkan pengenalan sepuluh model BEV secara global menjelang separuh pertama tahun 2020, dan sasaran jualan pula diletakkan pada 5.5 juta unit menjelang tahun 2030 (untuk kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik).

    Satu lagi model menarik yang ditunjukkan oleh Toyota adalah Rhombus. Ini juga adalah sebuah model elektrik bateri (BEV), dan dibangunkan khas untuk memenuhi keperluan generasi baru yang lahir selepas tahun 1990. Bahagian dalamnya unik dengan tempat duduk pemandu berada di tengah, manakala tiga lagi tempat duduk belakang disusun secara melengkung.


     
     
  • Perodua Bezza 1.3L Limited Edition 50 unit habis licin

    Perodua Bezza 1.3L Limited Edition 50 unit habis licin

    Walaupun dapat maklum balas yang pelbagai dari netizen, 50 unit Perodua Bezza Limited Edition yang diperkenalkan ketika Malaysia Autoshow 2019 semuanya telah habis dijual. Versi berkenaan menggunakan asas varian Bezza Premium X 1.3L yang ditambah dengan bodykit dan aksesori lain dijual pada harga RM44,890.

    Dengan tambahan harga RM3,000 lebih mahal daripada varian Premium X 1.3L, versi edisi terhad ini menerima kemasan kit di sekeliling badan dalam warna hitam yang dihiasi garis merah, pelekat dekorasi pada bonet depan dan sisi badan serta perumah cermin sisi warna merah.

    Di dalam, corong pendingin hawa juga dalam warna merah, dengan balutan kerusi jahitan merah serta pelapik kaki coil mat diberikan. Bagi enjin, semuanya sama sahaja – 1.3 liter Dual VVT-i dengan kuasa 94 hp dan 121 Nm yang digandingkan dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

     
     
  • Renault Megane RS baharu bakal tiba di Malaysia

    Renault Megane RS baharu bakal tiba di Malaysia

    Bagi penggemar hot hatch pastinya gembira bila mengetahui Renault Megane RS baharu bakal dipasarkan di Malaysia, inilah perkara yang telah disahkan sendiri oleh Renault Malaysia menerusi laman web rasmi mereka. Model prestasi yang berdasarkan Megane generasi ke-empat, Megane RS ini pertama kali diperkenalkan di khalayak dunia di Frankfurt Motor Show 2017.

    Megane RS ini ditawarkan dengan tiga varian – Sport, Cup dan Trophy – yang kesemuanya menggunakan enjin 1.8 liter pengecas turbo dengan talaan yang berbeza untuk mendapatkan output yang juga berbeza. Bagi model Sport dan Cup, enjinnya mampu menghamburkan kuasa sehingga 276 hp (280 PS) dan tork 390 Nm, sementara Trophy pula lebih padu dengan ledakan kuasa 292 hp (300 PS) dan 420 Nm.

    Kuasa dari enjin Megane RS ini disalurkan ke roda hadapan menerusi dua pilihan kotak gear iaitu sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan klac berkembar automatik EDC bersama pedal penukar gear.

    Renault Megane RS baharu bakal tiba di Malaysia

    Diberikan dua larasan casis – Sport dan Cup – dengan setiap satunya menerima unit bump stop jenis mampatan hidraulik seperti yang digunakan pada jentera rali di keempat-empat sudut. Sistem berkenaan mampu memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang lebih baik, bergantung mod pemanduan yang dipilih. Manakala Trophy juga menerima casis yang sama seperti Cup, tetapi dengan lebih penjimatan berat, dan yang pastinya lebih berkuasa.

    Lima mod pemanduan diberikan untuk dipilih pemandu untuk disesuaikan dengan situasi iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso (talaan pengkhususan oleh pemandu).

    Inilah serba sedikit ciri yang ditampilkan pada Renault Megane RS, tapi kalau nak tahu perincian selanjutnya kena tunggu pelancarannya yang dijangka berlangsung pada awal minggu hadapan. Adakah ia mampu memberikan cabaran sengit buat Honda Civic Type R?

    GALERI: Renault Megane RS di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • Honda X-NV Concept – HR-V EV muncul di Shanghai

    Honda X-NV Concept – HR-V EV muncul di Shanghai

    Honda telah menunjukkan X-NV Concept semasa pameran Auto Shanghai 2019, di mana ini adalah model yang memberi petunjuk awal kepada kenderaan elektrik yang akan diperkenalkan kepada pasaran sana oleh Dongfeng Honda pada separuh kedua tahun 2019.

    Ada betulnya jika anda merasakan ini adalah sebuah HR-V yang digayakan semula. Walaubagaimanapun, X-NV mempunyai bahagian yang tersendiri, termasuk kemasan petak bertekstur sepanjang bahagian bawah bampar hadapan, jalur biru pada beberapa bahagian, serta logo khas di tengah grilnya (yang juga mungkin menyembunyikan tempat mengecas).

    Bahagian belakang mempunyai perbezaan yang jelas berbanding HR-V, di mana lampunya lebih nipis, dan menggunakan jalur nyalaan merah yang bersambung dari satu penjuru ke penjuru yang lain. Pemantul cahaya dalam lampu itu pula kebanyakannya berwarna krom.

    Honda X-NV Concept – HR-V EV muncul di Shanghai

    Sebelum ini juga Honda telah mengumumkan perancangan jangka masa panjang untuk kenderaan elektrik mereka di China, iaitu untuk memperkenalkan lebih 20 model dengan kuasa elektrik menjelang tahun 2025. Tahun lepas, Honda bersama satu lagi rakan kongsi mereka di China iaitu Guangzhou Automobile Group (GAC) telah memperkenalkan Everus VE-1.

    Dalam kenyataan rasmi untuk X-NV ini, Honda tidak menyatakan sebarang perincian teknikal, tetapi ia berkemungkinan sama seperti VE-1, iaitu menggunakan motor elektrik 161 hp (120 kW) dan 280 Nm, bersama bateri 53.6 kWh.

     
     
  • Lexus LM – Alphard dari kayangan didedahkan

    Lexus LM – Alphard dari kayangan didedahkan

    Akhirnya, MPV super mewah yang disebut-sebut sebelum ini sudah pun muncul – Lexus hari ini telah mendedahkan Toyota Alphard versinya, digelar Lexus LM. Seperti yang diketahui, Alphard dan Vellfire bukanlah model yang popular di Eropah mahupun Amerika, namun ia menjadi pilihan utama hartawan di Asia, dan Lexus LM ini juga bukan model global, sebaliknya ia disahkan “akan berada pada pasaran China dan Asia terpilih tidak lama lagi.”

    Jika anda rasa Alphard Royal Lounge itu sudah cukup mewah, mari sini kita tengok bagaimana pula rupa bahagian kabin belakang Lexus LM ini. Secara asasnya, ia mempunyai konfigurasi sama seperti Royal Lounge dengan hanya empat tempat duduk, menampilkan captain seat pada baris kedua dan juga pemisah antara kabin belakang untuk lebih privasi. Tempat duduk mewah untuk bos tersebut boleh dibaringkan sepenuhnya, dibina dengan span urethene berketumpatan tinggi, menawarkan keselesaan seperti sofa mewah. Ia turut disejukkan dengan liang-liang sedutan udara.

    Di hadapan dua tempat duduk mewah tersebut diletakkan skrin bersaiz 26-inci yang mungkin sama besar dengan TV di rumah anda. “Ruang tamu” dalam Lexus LM ini turut lengkap dengan peti sejuk, ruang penyimpan payung. Konsol tengahnya direka dengan menempatkan panel sesentuh bagi mengawal fungsi-fungsi seperti kedudukan tempat duduk, fungsi-fungsi keselesaan, penghawa dingin dan juga sistem audio Mark Levinson.

    Tak cukup puas? Anda boleh memilih opsyen sistem bunyi JBL bersama skrin dua-inci lebih lebar. “Bilik” kabin belakang ini juga dipenuhi dengan balutan-balutan kulit lembut serta hiasan Gin-Sui-Boku (Silver Ink) yang diinspirasikan dari hasil seni lukisan ink wash.

    Selain dari konfigurasi super-mewah ini, Lexus LM sebenarnya turut hadir dengan versi tujuh tempat duduk yang lebih sesuai untuk kegunaan keluarga (gambar tidak disertakan). Model tersebut menampilkan tempat duduk mewah untuk barisan kedua dengan perehat tangan lebih selesa, manakala baris ketiga diberikan tempat duduk jenis bench.

    Seperti yang dijangkakan sebelum ini, Lexus LM diperkenalkan dalam dua varian iaitu LM 350 dan LM 300h. Sama seperti Alphard, model LM 350 diberikan enjin 3.5 liter V6 suntikan bahan api terus 2GR-FKE, manakala versi hibrid LM 350h pula menerima gabungan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 150 hp dan motor elektrik 141 hp, bersama satu lagi motor elektrik di belakang berkuasa 67 hp.

    Lexus LM – Alphard dari kayangan didedahkan

    Pembeli juga boleh memilih pacuan untuk Lexus LM mereka, sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda. Bagi memastikan keselesaan berada pada tahap optimum dan melebihi apa yang boleh ditawarkan Alphard, MPV Lexus ini dilengkapi dengan penyerap hentak dengan teknologi injap hanyunan, yang diperkenalkan pertama kali pada Lexus ES.

    Rekaan luar juga menerima sentuhan Lexus sebenar di mana lampu asal Alphard digantikan dengan lampu lebih tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah persis model-model Lexus lain. Ia turut diberikan gril signatur ‘Spindel’ bersama logo Lexus di tengah bagi melengkapkannya sebagai sebuah Lexus sebenar.

    Tiang-B signatur Alphard masih lagi dikekalkan, tetapi tahap premiumnya ditingkatkan lagi dengan kemasan krom seakan dua anak panah bertemu pada bahagian berbentuk-S berkenaan. Lampu belakang pula menerima sedikit sentuhan semula dengan bentuk ‘taring’ krom pada kedua-dua sisi bawah, dan ia terus merentangi pintu tailgate belakang. Lexus hanya menawarkan dua warna badan untuk LM ini iaitu hitam dan putih mutiara.

     
     
  • Mercedes-AMG A35 L 4Matic Z177 – China sahaja

    Mercedes-AMG A35 L 4Matic Z177 – China sahaja

    Memang beruntung pasaran automotif di China, sebab banyak menerima model-model kereta yang memang khas untuk negara berkenaan. Antara yang terkini ialah Mercedes-AMG A 35 L 4Matic, yang pada asasnya merupakan versi jarak roda yang lebih panjang bagi sedan prestasi yang diperkenalkan oleh pengeluar ini pada Mac 2019. Seperti A-Class L Sedan, A 35 L akan dibangunkan oleh Beijing Benz Automotive, syarikat usaha sama antara Daimler dan rakan kongsi dari China, BAIC Motor.

    Berbanding A 35 Sedan, A 35 L ini ditambahkan ukuran jarak rodanya sebanyak 60 mm, menjadikannya 2,789 mm berbanding 2,729 mm. Selain itu, model ini masih mirip bagi setiap sudut aspek, termasuk menerima penggayaan AMG untuk bahagian hadapan dengan kehadiran gril twin-louvre, apron hadapan AMG Line dengan canard dan splitter hadapan.

    Untuk bahagian sisinya pula, penampilannya diserikan dengan roda 19-inci, skirt sisi dan lambang AMG pada C-pillar, sementara di belakang pula menampilkan diffuser dan spoiler lip pada boot lid dan juga dua corong ekzos bulat. Sesetengah daripada ciri ini adalah standard untuk pakej AMG Aerodynamic, dengan AMG Night pula menambah perincian rekaan hitam.

    Mercedes-AMG A35 L 4Matic Z177 – China sahaja

    Di dalamnya pula, paparan cermin hadapan disambungkan ke Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan gaya paparan AMG. Lain-lain ciri pada bahagian dalam yang menonjol termasuklah roda stereng AMG standard atau boleh juga memilih versi Performance yang didatangkan dengan rotary control yang disambungkan ke paparan. Pembeli juga boleh memilih antara dua tema dalaman – hitam/merah klasik dan hitam/kelabu titan.

    Untuk sudut prestasinya, ia menampilkan enjin M260 2.0 liter turbo empat-silinder yang mampu meledakkan kuasa sehingga 302 hp (306 PS) pada 5,800 rpm dan tork 400 Nm dari 3,000-4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac AMG Speedshift tujuh-kelajuan dengan kuasanya disalurkan ke semua empat roda menerusi sistem pacuan semua-roda pembolehubah Performance 4Matic.

    A 35 L yang memiliki jarak roda lebih panjang ini dikatakan mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.9 saat, iaitu 0.1 saat lebih lambat berbanding model dengan jarak roda standard. Selain itu, ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Model ini turut didatangkan dengan lima program pemanduan AMG Dynamic SelectSlippery, Comfort, Sport, Sport + dan Individual – sama seperti A 35.

     
     
  • Putrajaya akan jadi hab dengan stesen ECRL – laporan

    Putrajaya akan jadi hab dengan stesen ECRL – laporan

    Dengan projek ECRL kembali diteruskan seperti yang diumumkan kerajaan, dan landasannya akan melalui Putrajaya sebagai satu daripada 20 hentian yang terlibat, pusat pemerintahan kerajaan pusat itu akan dijadikan hab utama bagi ECRL, lapor The Star.

    Perkara ini bernas, tambahan pula jika pengambil kira projek Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR) sekiranya berhasil dirunding semula dan diteruskan – Putrajaya memang menjadi satu daripada persinggahannya.

    Ketika ini, Putrajaya dihubungkan melalui KLIA Express Rail Link (ERL), sementara MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putra­jaya sedang dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada 2022 nanti. ECRL dijadualkan siap pada penghujung 2026.

    “Ini akan mempertingkatkan lagi keterhubungan di sebelah Pantai Barat Semenanjung, serta menyediakan sambungan terus ke KLIA. Ini perkembangan penting sebagai ganti kepada pertukaran laluan tunggal melalui LRT ke terminal pengangkutan bersepadu yang dirancang di Gombak sebelum ini,” jelas Perdana Menteri, Tun Mahathir. Kini ada juga khabar angin untuk menghidupkan semula projek sambungan landasan Putrajaya untuk dihubungkan ke stesen MRT Kajang.

    Projek ECRL yang dipersetujui semula dengan jarak laluan lebih pendek iaitu 640 km tidak lagi akan melalui Gombak. Dari Mentakab, Pahang, laluan baru akan menuju ke Negeri Sembilan (ini tambahan terbaru dengan lima stesen termasuk Putrajaya) sebelum menghala ke Pelabugan Klang melalui Bangi/Kajang dan Putrajaya.

    12 Apil lalu, Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) menandatangani perjanjian tambahan yang membolehkan projek ECRL diteruskan. Kos yang terlibat kini ialah RM44 bilion, kurang sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8% berbanding perjanjian dahulu pada kadar RM65.5 bilion. Kos bagi setiap kilometer kini ialah RM68.7 juta, berbanding sebelum ini dengan RM95.5 juta.

    MRL dan CCCC juga telah bersetuju untuk mewujudkan syarikat usahasama dengan perkongsian 50:50 untuk menguruskan, mengoperasi dan menyelenggara rangakaian ECRL. “CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek ini siap. Sebagai tambahan, Malaysia juga boleh memanfaatkan kepakaran CCCC dalam operasi dan penyelenggaraan, sekali gus mempertingkat kelangsungan projek ini untuk jangka masa panjang,” tambahn Tun M.

     
     
  • Mercedes-Benz Concept GLB ditunjuk di Shanghai

    Mercedes-Benz Concept GLB ditunjuk di Shanghai

    Mercedes-Benz merasakan dalam barisan SUV mereka, terdapat ruang untuk satu lagi model. Jadi mereka telah menghasilkan Concept GLB ini, untuk diletakkan antara GLA dan GLC, dan ia didedahkan sewaktu pameran Auto Shanghai yang masih lagi berlangsung sekarang.

    Walaupun dilabelkan sebagai sebuah kenderaan konsep, kami melihat banyak bahagian pada model ini seperti sudah sedia untuk produksi. Ia sepatutnya memberi petunjuk awal kepada model yang akan masuk ke dalam pasaran pada masa hadapan.

    Menurut Mercedes-Benz, Concept GLB memberikan keutamaan kepada ruang luas serta tahan lasak. Melihat kepada dimensi, ia mempunyai ukuran 4,634 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,900 tinggi (termasuk kotak atas bumbung) dan jarak roda 2,829 mm.

    Jika dibandingkan, GLA sememangnya lebih kecil (panjang 4,417, lebar 1,804 mm, tinggi 1,494 mm dan jarak roda 2,699 mm) tetapi dengan GLC, ia tidak mempunyai banyak beza (panjang 4,656 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,638 mm dan jarak roda 2,873 mm), sekaligus menunjukkan ia tidaklah begitu kompak sebenarnya.

    Untuk rekaan, anda boleh nampak GLB ini dijadikan lebih ranggi. Walaupun masih dilengkapi dengan gril dua jalur serta grafik lampu Multibeam LED yang sudah biasa dilihat, ia mempunyai keunikan sendiri seperti pada bahagian bawah bampar hadapan.

    Kemudiannya, ia juga nampak lebih tegap dengan hujung bumbung bahagian belakang yang lebih tinggi dan berpetak, manakala beberapa kelengkapan termasuk rim 17 inci dengan tayar pelbagai guna, spotlight LED serta rak bumbung menyerlahkan lagi sisi lasaknya. Lampu belakang hampir sama seperti GLC, dan muncung ekzos terdapat dua di penjuru bampar.

    Mercedes-Benz Concept GLB ditunjuk di Shanghai

    Masuk ke dalam, papan pemuka GLB ini kelihatan mirip seperti unit yang terdapat pada A-Class, CLA dan B-Class. Begitu juga skrin besar Mercedes-Benz User Experience (MBUX) serta tiga corong pendingin hawa di tengah. Rekaan yang unik bagi GLB adalah kemasan aluminium pada papan pemuka, pemegang pintu serta tepi konsol tengah. Warna dominan yang digunakan adalah coklat serta oren.

    Selain penggunaan bahan berkualiti, Mercedes-Benz juga mahu mengetengahkan lebih ciri praktikaliti pada GLB. ia akan menjadi model kompak pertama yang mempunyai tiga baris tempat duduk, dengan keseluruhannya boleh memuatkan tujuh orang. Tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40, dan juga boleh dilipat rata. Tempat duduk baris kedua boleh dilaras dan dilipat 40:20:40, dan secara keseluruhannya empat tempat duduk kanak-kanak boleh dipasang pada baris kedua dan ketiga.

    Menggerakkan kenderaan ini adalah unit enjin M260 empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 221 hp (224 PS) dan 350 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan 8G-DCT klac berkembar (juga digunakan pada B-Class), dengan sistem pacuan semua roda 4Matic.

     
     
  • Volkswagen Tarok Concept – trak pikap dengan casis seperti kereta, enjin 1.4L TSI, akan ke New York

    Volkswagen Tarok Concept – trak pikap dengan casis seperti kereta, enjin 1.4L TSI, akan ke New York

    Kita di Malaysia tak pernah nampak trak pikap dari Volkswagen bukan? Jenama Jerman tersebut sememangnya mempunyai model sedemikian yang digelar Volkswagen Amarok, iaitu trak pikap ladder frame tradisional di jana enjin turbodiesel V6 3.0 liter. Namun model trak pikap konsep yang digelar Volkswagen Tarok ini agak berlainan, kerana ia adalah trak pikap yang diasaskan dari kerangka monocoque seperti kereta penumpang biasa.

    Model konsep ini pertama kali membuat kemunculannya di Sao Paolo International Motor Show November tahun lalu, dan ia bakal dipamerkan sekali lagi di New York International Auto Show 2019 nanti. Ia diasaskan dari platform MQB, iaitu asas yang sama untuk kereta-kereta VW lain seperti Golf dan Jetta.

    Dengan dimensi sekitar lima meter, Tarok menerapkan rekaan sebagai sebuah trak pikap double cab. Apa yang menarik dan tidak pernah ada pada trak pikap biasa adalah tempat duduk belakangnya boleh dilipat seperti sebuah hatchback atau wagon, bagi membolehkan ruang bed belakang diletakkan barang yang lebih panjang.

    Volkswagen Tarok Concept – trak pikap dengan casis seperti kereta, enjin 1.4L TSI, akan ke New York

    Volkswagen Tarok ini turut diberikan lampu hadapan LED, bar bumbung, dan juga tayar off-road bagi melengkapkan rupanya sebagai sebuah trak pikap sebenar.

    Pada bahagian kabin, ia menerima papan pemuka dengan paparan instrumen digital, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh kaca 9.2-inci, kawalan penghawa dingin digital. Sedikit kelainan Tarok dengan trak pikap biasa, ia hadir dengan bumbung panaromik penuh.

    Dengan platform MQB, Tarok diberikan enjin 1.4 liter empat-silinder TSI berkuasa 150 PS bersama kotak gear enam-kelajuan automatik yang diletakkan secara melintang seperti kereta biasa. Ia tidak diberikan sistem 4WD seperti trak-trak pikap ladder frame lazim, namun kuasa masih boleh dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD sepenuh masa 4Motion Volkswagen.

    Lima mod pemanduan disediakan untuk unit janakuasa ini iaitu Comfort, Sport, Normal, Eco dan Individual. Walaupun tidak kelihatan begitu lasak, Volkswagen mendakwa bahawa Tarok mempunyai kebolehan menunda maksimum 1 tan.

    Menurut Volkswagen lagi, model konsep ini akan dijelmakan dalam versi produksi “dengan hampir tiada perubahan”. Setelah ia masuk ke pasaran kelak, Tarok turut akan menerima pilihan enjin turbodiesel 2.0 liter TDI. Kemunculan Tarok di New York nanti adalah untuk mendapatkan respon orang ramai bagi trak pikap “kompak dan versatil” berkenaan.

    Tarok bukan satu-satunya trak pikap yang direka dengan kerangka sebegini, kerana Honda Ridgeline telah menggunakan konsep yang hampir sama dan telah berada dalam pasaran Amerika sejak tahun 2004. Kita di Malaysia berkemungkinan besar tidak akan menerima model-model sebegini, tetapi sebagai pengguna apa pendapat anda? Adakah pasaran tempatan memerlukan model seperti Volkswagen Tarok ini?

     
     
  • Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

    Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

    Audi telah menunjukkan model AI:ME semasa pameran Auto Shanghai tahun ini, di mana ia memberi petunjuk awal kepada konsep pengangkutan autonomous untuk bandar besar pada masa hadapan. AI:ME ini adalah kenderaan siri AI yang ketiga daripada jenama itu, dengan yang pertama adalah AIcon, diikuti PB18, manakala satu lagi akan ditunjukkan pada bulan September nanti.

    Sementara AIcon dicipta lebih kepada pemanduan jarak jauh dan PB18 untuk kegunaan dalam litar lumba, AI:ME pula dibangunkan lebih kepada pergerakan urban. Disebabkan itu, ia mempunyai bentuk kompak, berukuran 4.3 meter panjang, 1.9 meter lebar, 1.52 meter tinggi dan jarak roda 2.77 meter.

    Penggerak kenderaan ini terdiri daripada motor elektrik yang menghantarkan kuasa sebanyak 168 hp (170 PS atau 125 kW) kepada roda belakang. Daripada jumlah ini anda boleh melihat ia bukanlah kenderaan elektrik yang paling laju atau pantas, kerana itu bukanlah fokus utamanya, dan Audi percaya ia akan lebih dipandu pada kelajuan antara 20 hingga 70 km/j sahaja di dalam kawasan bandar.

    Selain daripada itu, Audi juga mahu memastikan kenderaan ini mampu bergerak untuk tempoh masa yang panjang. Jadi, ia menggunakan bateri berkapasiti 65 kWh, manakala berat yang ringan dan penjanaan semula kuasa brek turut membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

    AI:ME mempunyai kelengkapan pemanduan autonomous Level 4. Ia membenarkan pemandu menyerahkan tugas mengendali kenderaan sepenuhnya kepada sistem itu, dalam kawasan yang bersesuaian. Disebabkan ia masih lagi tidak mencapai Level 5 seperti AIcon, kenderaan ini masih dilengkapi dengan roda stereng serta pedal kawalan untuk pemanduan secara manual.

    Sistem pemanduan autonomous yang ada pada kenderaan ini turut memberi kesan kepada rekaan luar, di mana sistem lampu yang disediakan memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menerangi jalan, tetapi juga berkomunikasi dengan pengguna jalan lain.

    Sebagai contoh, pada kebanyakan permukaan yang mempunyai corak seperti permata, terdapat elemen LED atau micro matrix projector yang boleh memancarkan cahaya bersimbol unik untuk memberitahu pejalan kaki, kenderaan ini membenarkan mereka melintas. Selain daripada itu, ia juga boleh memancarkan grafik ke atas jalan untuk membantu menerangi jalan bagi pengguna lain dan menterjemah petunjuk (seperti lampu kecemasan) daripada kenderaan lain untuk memberitahu pengguna lain.

    Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

    Bentuk keseluruhan kenderaan ini lebih banyak menggunakan garis-garis yang beralun, dan kaca cermin hadapannya seakan bersambung terus dengan bumbung, sehingga ke belakang. Pintu pula menggunakan bukaan jenis suicide, yang memberi lebih ruang untuk masuk dan keluar. Rim adalah unit 23 inci.

    Disebabkan tidak banyak tugas memandu yang diperlukan untuk menggerakkan kenderaan ini, bahagian dalamnya adalah lebih ringkas dan lebih kepada ruang santai. Banyak tempat meletak barang disediakan, dan penumpang juga boleh menggunakan permukaan bermagnet untuk meletakkan cawan atau piring besi di atasnya.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah skrin 3D OLED pelbagai guna, teknologi pengesan bola mata, Virtual Reality, pengawal bunyi aktif, Artificial Intelligence, cermin elektrokromik dan campuran bahan premium serta boleh kitar semula.

     
     
  • MITI nafi ABDC campuri urusan penetapan harga kereta – bertindak tentukan kadar insentif sahaja

    MITI nafi ABDC campuri urusan penetapan harga kereta – bertindak tentukan kadar insentif sahaja

    Pada awal Januari lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan kenyataan bahawa sejak akhir tahun lalu, beberapa syarikat pengeluar kereta terpaksa melancarkan model kereta masing-masing dengan harga jangkaan sahaja. Ini berikutan kelewatan kelulusan harga kereta baharu oleh pihak berkuasa iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Walau bagaimana pun, baru-baru ini menteri MITI Datuk Darell Leiking menegaskan Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC) tidak mencampuri urusan penetapan harga kereta oleh pengeluar. Sebaliknya ABDC hanya menentukan kadar insentif yang akan diterima bagi setiap kenderaan yang akan dilancarkan, yang mana dikemukakan kepada jawatankuasa itu, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai jumlah anggaran kadarnya, katanya, setiap insentif yang diberikan akan mempengaruhi harga yang akan ditawarkan kepada pelanggan. “ABDC hanya meluluskan kadar insentif yang akan diterima pengeluar ke atas model yang dikemukakan kepada kami. Selepas ia dimuktamadkan, kami akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan seterusnya.

    MITI nafi ABDC campuri urusan penetapan harga kereta – bertindak tentukan kadar insentif sahaja

    “ABDC bukan jawatankuasa yang menentukan harga kerana ia adalah hak pengeluar. Kami tidak campur tangan. Cuma apa yang dimuktamadkan kami adalah insentif. Insentif berkenaan akan menyaksikan harga turun sedikit selepas ia ditolak daripada harga yang dikemukakan kepada kami. Jadi pengguna akan mendapat harga lebih rendah,” katanya.

    Beliau turut menambah, ABDC kini bersidang dua kali sebulan berbanding sekali sebelum ini bagi mempercepatkan proses kelulusan insentif kepada pengeluar.

    “Jika dulu kita buat sekali sebulan, mereka yang mengemukakan permohonan jika ada maklumat tidak mencukupi terpaksa menunggu ke bulan depan. Jadi, dua kali sebulan akan mempercepatkan urusan kelulusan,” katanya. Pertemuan yang lebih kerap itu membolehkan peserta industri mendapat penjelasan mengenai kelulusan Program Hubungan Industri (ILP) dan Insentif Khusus (CI) bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Toyota Yaris di M’sia – dari RM72k

    Toyota Yaris 2019 akan dilancarkan secara rasmi minggu ini. Tapi boleh tahan banyak juga maklumat yang sudah terdedah dan diketahui setakat ini. Antaranya ada tiga varian yang akan ditawarkan, serta harga anggaran yang bakal dikenakan.

    Varian tertinggi ialah Yaris 1.5 G yang ditawarkan pada harga anggaran (atas jalan tanpa insuran) RM84,888. Selain itu, dua lagi pilihan ialah varian peringkat pertengahan, Yaris E pada harga RM77,888 dan yang paling asas, Yaris J pada harga RM71,888

    UMW Toyota turut akan menawarkan dua lagi varian iaitu versi paling asas Yaris J berharga RM71,888 dan model pertengahan Yaris E berharga RM77,888. Secara ringkasnya, Yaris yang akan bersaing sebagai kereta hatchback segmen B sebenarnya merupakan “adik” kepada Vios; ia berkongsi banyak persamaan dengan model sedan berkenaan.

    Untuk mengetahui lebih lanjut kelebihan dan kekurangan Yaris 2019 ini, sila tonton video info ringkas yang kami sediakan ini dan kongsikan pandangan anda sama ada ia merupakan satu penawaran yang berbaloi atau sebaliknya?

     
     
  • Volkswagen I.D. Roomz tampil di Shanghai – SUV EV dengan sistem pemanduan autonomous Level 4

    Volkswagen I.D. Roomz tampil di Shanghai – SUV EV dengan sistem pemanduan autonomous Level 4

    Barisan model janaan elektrik keluaran Volkswagen yang menggunakan nama I.D. sekarang semakin bertambah, dan terbaru, SUV I.D. Roomz menyertai senarai ini dan diperkenalkan waktu acara Auto Shanghai 2019.

    Ia boleh bergerak dengan tahap autonomous Level 4, dengan dijana oleh sepasang motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 306 PS yang datang daripada pek bateri 82 kWh dan boleh digunakan untuk jarak sehingga 450 km mengikut ukuran WLTP. Bateri SUV elektrik ini boleh dicas untuk mencapai tahap 80% dalam masa setengah jam melalui sumber kuasa DC 150 kW.

    Melalui penggunaan sumber kuasa ini juga, I.D. Roomz boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat, sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 180 km/j. Untuk mendapatkan sistem pemanduan autonomous Level 4, kenderaan ini perlu diletakkan dalam mod ID. Pilot dan setelah itu, pengguna juga boleh memusingkan semua tempat duduk 25 darjah ke dalam untuk berhadapan antara satu sama lain.

    Mod pemanduan automatik penuh ini juga membenarkan pemandu untuk memasang mod ID. Pilot Relax, di mana penumpang boleh meletakkan tempat duduk dalam pelbagai posisi yang dimahukan, termasuk dibaringkan sepenuhnya. Setiap tempat duduk boleh dilaras secara berasingan.

    Di hadapan pemandu, tiada papan pemuka seperti kereta biasa, sebaliknya ia menggunakan kokpit digital yang terdiri daripada panel kaca penuh di belakang stereng dan stereng itu sendiri juga dipasang dengan skrin digital untuk kawalan fungsi dan informasi tertentu.

    Selain pemandu, penumpang juga boleh melihat informasi semasa kenderaan di beberapa bahagian sekitar kabin termasuk cermin hadapan, bahagian atas panel pintu, penjuru bumbung panoramik serta konsol bumbung yang juga boleh menghasilkan cahaya dan diubah mengikut mod susunan tempat duduk dan pemanduan.

    Volkswagen I.D. Roomz tampil di Shanghai – SUV EV dengan sistem pemanduan autonomous Level 4

    Satu lagi ciri istimewa pada I.D. Roomz adalah bahagian dalamnya menggunakan fabrik daripada bahan asli kitar semula yang dipanggil sebagai AppleSkin. Ia terdiri daripada 50% sisa produk epal yang dikeringkan sehingga menjadi serbuk, dan dicampur dengan 50% polyurethane dan dipanaskan.

    Beberapa bahagian dalam kabin kenderaan ini juga diwarnakan putih keemasan untuk melengkapi bentuk dan grafik dalam kenderaan itu, di mana gentian mikro digunakan pada lapik bumbung dan tiang sekelilingnya. Sifat menyerap cahaya pada gentian karbon ini membantu menjadikan penggunaan lampu lebih berkesan pada suasana keseluruhannya.

     
     
  • MINI Malaysia perkenalkan Cooper S Countryman Pure – dari RM229k, versi PHEV dengan pakej Wired RM18k

    MINI Malaysia perkenalkan Cooper S Countryman Pure – dari RM229k, versi PHEV dengan pakej Wired RM18k

    Mini Malaysia kini memperkenalkan dua varian terbaru untuk pasaran tempatan, MINI Countryman Plug-In Hybrid (PHEV) dan MINI Cooper S Countryman Pure. Kedua-dua varian ini masing-masing dijual pada harga RM 250,888.00 dan RM228,888.00. Sementara itu, pakej Wired bagi model plug-in hybrid berkenaan pula dijual pada harga RM18,000.00

    Dengan menampilkan rekabentuk versi ALL4, MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired antara lain menggunakan rim 19-inci, kemasan dalaman Leather Cross Punch Carbon Black, skrin sentuh 8.8-inci resolusi tinggi serta head-up unit (HUD).

    Ia dilengkapi enjin petrol 1.5L TwinPower Turbo yang menghasilkan janaan 134 hp dan 220 Nm tork, dengan padanan transmisi automatik 6 kelajuan Steptronic. Turut hadir ialah motor elektrik dengan janaan 87 hp dan 165 Nm – menyumbang kepada output keseluruhan sistem sebanyak 221 hp dan 385 Nm tork. Ia mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 kmj dalam masa 6.8 saat, mencapai kelajuan maksimum 198 kmj dengan penggunaan bahan api 2.1 liter bagi setiap 100 km.

    MINI Malaysia perkenalkan Cooper S Countryman Pure – dari RM229k, versi PHEV dengan pakej Wired RM18k

    Bagi model MINI Cooper S Countryman Pure pula dijual pada harga RM20,000 lebih rendah berbanding varian dengan spesifikasi lebih tinggi Cooper S Countryman Sports yang masih lagi berada dalam pasaran. Pengenalan terbaru ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocaj empat-silinder dengan janaan 189 hp dan 280 Nm bersama transmisi automatik lapan-kelajuan Steptronic. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dengan laju maksimum 224 km/j.

    Kelengkapan standard bagi versi Pure ini termasuk lampu utama LED dengan lampu selekoh, rim 18-inci Black Pin, kemasan dalaman Leather Cross Punch Carbon Black, perincian dalam dalam warna Hazy Grey, kawalan pendingin hawa dua zon, kerusi larasan elektrik dan sistem infotainmen dengan skrin sentuh 6.5-inci.

    Kedua-dua kereta ini menampilkan pelbagai kecanggihan inovasi termasuk MINI Connected generasi terbaru dengan teknologi SIM 4G. Bagi MINI Connected, ia meliputi Intelligent Emergency Call, TeleServices, MINI Online, MINI Concierge Service, Apple CarPlay, Remote Services dan eDrive Services (eksklusif untuk MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired).