Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • DS7 Crossback dibuka untuk tempahan – RM199,888

    DS7 Crossback dibuka untuk tempahan – RM199,888

    Pada hujung November lalu, DS7 Crossback telah ditampilkan secara eksklusif di Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS18). Terkini, DS Store PJ telah mendedahkan harga bagi SUV ini menerusi laman Facebook rasmi mereka, dengan varian Performance Line berharga RM199,888 (harga atas jalan tanpa insurans). Varian Performance Line ini memiliki spesifikasi yang sama dengan model yang ditampilkan di KLIMS18.

    Ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 120,000 km, dan juga servis percuma selama tiga-tahun (hanya untuk 100 pelanggan pertama sahaja). Terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu Platinum Grey, Nero Black dan Absolute Red.

    DS7 Crossback ini merupakan alternatif bagi BMW X3, Mercedes-Benz GLC dan Audi Q5. Daripada segi rekaan, ia memiliki penampilan yang lebih bergaya. Ini termasuklah gril DS Wings yang dipadankan bersama empat-elemen lampu utama LED, kepingan kemasan yang lebih lebar untuk memisahkan corong atas dan bawah, lampu kabus segi empat tepat bersaiz kecil dengan lampu nyalaan siang LED menegak yang nampak unik.

    DS7 Crossback dibuka untuk tempahan – RM199,888

    Melihat kepada profil, garis badan yang jelas pada bahagian depan dan keliling roda menjadikan DS7 Crossback ini nampak lebih tegap, dan ditampilkan dengan trim Performance Line, yang termasuk rim ‘Beijing’ Black Onyx 19-inci. Di belakangnya pula, terdapat lampu yang mempunyai grafik seperti berlian, dan kemasan kelabu yang bermula dari bawah lampu tersebut dan bersambung di tengah.

    Di dalamnya, tema berlian masih diteruskan. Antara elemen yang ditampilkan termasuklah sistem infotainmen serta panel instrumen digital 12.3-inci, corak pada tempat duduk dan juga suis kawalan pada stereng. Penggunaan Alcantara pada banyak digunakan pada bahagian dalam kenderaan dan ia adalah hasil daripada pilihan trim Performance Line.

    Panel paparan utama pada papan pemuka pula merupakan skrin sesentuh berukuran 12.3-inci, dan di atasnya terdapat corong pendingin hawa. Melalui skrin ini, ia memiliki kawalan bagi sistem pendingin hawa, pemain media dan juga fungsi navigasi. Turut disertakan adalah pengecas telefon tanpa wayar, sistem bunyi 14-pembesar suara Focal Electra, tempat duduk larasan kuasa, corong pendingin hawa belakang dengan butang kawalan digital, pintu but belakang kawalan elektrik dan jam BRM R180 yang boleh tersembunyi apabila enjin dimatikan.

    DS7 Crossback dibuka untuk tempahan – RM199,888

    SUV seberat 1,485 kg ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter THP empat-silinder, dengan hamburan kuasa 165 hp pada 5,500 rpm dan 240 Nm dari 1,650 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan, dan pecutan dari sifar ke 100 km/j mengambil masa 10.2 saat. Kelajuan tertinggi mampu mencecah 220 km/j, sementara penggunaan bahan api pula dianggarkan sekitar 7.5 liter per 100 km.

    Bagi aspek keselamatan, DS7 Crossback menerima enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP), Anti-Skid Regulation (ASR), Kawalan Kestabilan Dinamik, Amaran Perhatian Pemandu dan dua cagak Isofix untuk tempat duduk belakang.

    GALERI: DS7 Crossback Performance Line di KLIMS 2018

     
     
  • Mazda sedang bangunkan platform pacuan belakang dengan enjin 6-silinder sebaris, bersama sistem hibrid

    Mazda sedang bangunkan platform pacuan belakang dengan enjin 6-silinder sebaris, bersama sistem hibrid

    Ketika membentangkan prestasi tahunannya, pembuat kereta dari Hiroshima, Jepun iaitu Mazda mengumumkan perkara yang begitu mengujakan – mereka kini sah sedang membangunkan platform bersaiz besar yang akan menampilkan enjin menegak kebelakang bagi memacu roda belakang!

    Enjin yang bakal menjana platform ini juga nampak sangat menarik, terdiri dari versi petrol Skyactiv-X dan turbodiesel Skyactiv-D generasi baharu, kedua-duanya datang dengan konfigurasi enam-silinder sebaris.

    Kereta berkenaan berkemungkinan adalah versi produksi untuk model konsep Mazda Vision Coupe yang muncul buat pertama kali pada Tokyo Motor Show 2017, dan dikhabarkan prebiu kepada Mazda 6 generasi seterusnya. Kereta tersebut menampilkan falsafah rekaan Kodo Mazda, dengan muncung hadapan yang panjang, bumbung rendah seperti coupe, tetapi masih mempunyai empat pintu.

    Mazda sedang bangunkan platform pacuan belakang dengan enjin 6-silinder sebaris, bersama sistem hibrid

    Sekiranya ia benar-benar diproduksi kelak, Mazda 6 bakal masuk ke liga lebih tinggi untuk menentang sedan premium Eropah seperti Mercedes-Benz, BMW dan Jaguar.

    Enjin-enjin tersebut juga akan digandingkan dengan sistem penjana elektrik seperti hibrid ringkas dan hibrid plug-in. “Kami teruja untuk membawa unit-unit janakuasa ini ke kenderaan kami untuk masa hadapan selari dengan haluan kami kearah pasaran premium,” kata Mazda kepada laman Jalopnik. Walau bagaimanapun, lebih perincian hanya akan didedahkan pada masa yang sesuai.

    GALERI: Mazda Vision Coupe Concept di Tokyo Auto Show 2017

     
     
  • Peraturan baharu cermin gelap kekal – JPJ, polis akan bincang untuk mekanisme penguatkuasaan – Loke

    Peraturan baharu cermin gelap kekal – JPJ, polis akan bincang untuk mekanisme penguatkuasaan – Loke

    Walau pun menerima bantahan daripada pelbagai pihak mengenai pindaan peraturan baharu untuk cermin gelap bagi kenderaan persendirian, namun Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan ia kekal dan tetap dikuatkuasakan sejak 8 Mei lalu. Antara pihak yang menyuarakan rasa kurang berpuas hati dengan pelaksanaan peraturan baharu ini ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang berpendapat ia bakal menyukarkan lagi tugas pihaknya untuk menjalankan penguatkuasaan.

    Menerusi laporan Bernama, Loke berkata, pihaknya tetap menghormati pandangan PDRM dalam soal risikan dan keselamatan, namun pindaan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk polis sendiri.

    “Dari segi penguatkuasaan dan mekanisme untuk menguatkuasakan peraturan baharu ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, akan berbincang dengan pihak polis khususnya polis trafik untuk menguatkuasakan peraturan baharu ini,” katanya dalam sidang media pagi ini.

    Peraturan baharu cermin gelap kekal – JPJ, polis akan bincang untuk mekanisme penguatkuasaan – Loke

    Loke berkata keputusan meminda Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk polis ketika bengkel khas mengenai perkara itu pada Jun 2014.

    “Majoriti peserta bengkel yang disertai pelbagai agensi termasuk polis setuju untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin depan dan sisi pemandu pada 70% dan 50%, dan ia masih dihormati.

    “Malah beberapa tahun lepas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Risikan (D4) Bukit Aman, Datuk Abd Manaf Abd Razak, menyatakan tidak ada sebarang fakta yang menunjukkan peningkatan kes jenayah disebabkan penggunaan cermin gelap. Saya juga yakin pihak polis mempunyai pelbagai cara untuk mengesan penjenayah seperti di China yang mengesan jenayah menerusi teknologi pengecaman wajah,” ujarnya lagi.

    Sambungnya lagi, pindaan yang dibuat adalah selari dengan peraturan antarabangsa dan di bawah peraturan UN Regulation No 43: Uniform Provisions Concerning the Approval of Safety Glazing Materials and Their Installation on Vehicles.

    Peraturan baharu cermin gelap kekal – JPJ, polis akan bincang untuk mekanisme penguatkuasaan – Loke

    Loke turut mengulas mengenai kritikan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung peraturan baharu itu untuk menjana pendapatan kepada kerajaan. Beliau menjawab, “Mereka yang menggunakan cermin gelap ini adalah golongan berpangkat dan mereka mampu untuk membayar fi RM5,000.

    “Kira-kira 17,000 kenderaan yang mendapat kebenaran cermin gelap daripada Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ terdahulu dan apabila permit menggunakan cermin gelap mereka tamat nanti dan dikenakan fi RM5,000, maka ia membawa pendapatan kira-kira RM85 juta kepada kerajaan.”

    Menurutnya lagi, ada kategori yang dibenarkan menggunakan cermin gelap untuk keseluruhan kenderaan iaitu seperti pesakit kulit/mata, Perdana Menteri dan keluarga Diraja.

     
     
  • Benarkah butang penghidup enjin perlu ditekan tiga kali bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin?

    Benarkah butang penghidup enjin perlu ditekan tiga kali bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin?

    Saya tidak pasti, sama ada tahun lalu atau dua tahun sudah tular berkenaan video ‘cara sebenar menghidupkan enjin menggunakan butang penghidup enjin’ yang mengatakan bahawa anda perlu menghidupkan enjin dengan cara menekan tiga kali butang tersebut.

    Maksudnya, ketika anda masuk ke kereta, anda perlu menekan sekali pada butang tersebut tanpa memijak brek bagi membuka kunci stereng, kemudian tekan sekali lagi bagi menghidupkan aksesori (ACC), akhir sekali pijak pedal brek dan tekan butang berkenaan bagi menghidupkan enjin.

    Menurut video tersebut, perkara ini perlu dibuat bagi mengelakkan kotak komputer enjin anda rosak dengan lebih cepat. Selain dari video ini, terdapat juga kicauan yang tular di laman sosial Twitter menyatakan perkara yang sama. Persoalannya, benarkah ini cara sebetulnya untuk anda menghidupkan kereta menggunakan butang penghidup enjin? Atau ia sekadar mitos semata-mata?

    Perkara ini sebenarnya sudahpun timbul sebelum wujudnya sistem Keyless entry ini. Pertama kali saya dengar tentang perkara ini ketika masih menuntut di institut kemahiran tempatan, di mana dianjurkan untuk menghidupkan enjin hanya setelah lampu ‘check engine‘ padam. Teori ini menyatakan bahawa ia perlu dilakukan bagi mengelakkan kotak komputer ‘terkejut’ ketika semua sistem diperiksa sendiri oleh komputer ketika mula menerima bekalan elektrik.

    Benarkah butang penghidup enjin perlu ditekan tiga kali bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin?

    Mungkin ada kebenaran berkenaan teori ini, dan mungkin tidak kerana masih lagi belum ada bukti kukuh atau penemuan kotak komputer enjin yang rosak kerana pemiliknya tidak menunggu sehingga lampu tersebut padam sebelum enjin dihidupkan. Lagipun, ini sebenarnya adalah cerita untuk sistem-sistem suntikan bahan api elektronik yang awal pada era lewat 80’an dan awal 90’an.

    Sistem suntikan bahan api elektronik pada kereta moden dibekalkan dengan kotak komputer yang jauh lebih laju dari era berkenaan. Berapa laju? Bagi nak mudah faham, anda tengok berapa beza laju komputer desktop era cakera liut (floppy disc) dan juga komputer peribadi yang ada dalam pasaran sekarang. Atau beza kapasiti thumbdrive 15 tahun dahulu dengan produk-produk terkini. Sangat jauh beza bukan?

    Jadi tidak timbul masalah ‘terkejut’ ini memandangkan kotak komputer enjin untuk model-model terkini adalah sangat laju dan melakukan kesemua proses kadang kala tidak sampai 1 saat. Malah pada enjin-enjin terkini, ia telah direka dengan pelbagai mod selamat yang akan menghalang enjin berkenaan hidup sekiranya ia mengesan ada kerosakan besar akan berlaku jika ada sistem yang gagal berfungsi.

    Serperkara lagi, jika ia betul-betul boleh mendatangkan kerosakan sekiranya dihidupkan dengan sekali tekan, mengapa jurutera tidak menjadikan sebagai proses mandatori dengan ‘memaksa’ pengguna agar mengikut prosedur tersebut dengan menghasilkan sistem yang perlu anda tunggu sehingga lampu ‘check engine‘ tersebut padam baru kereta dapat dihidupkan?

    Benarkah butang penghidup enjin perlu ditekan tiga kali bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin?

    Ataupun mengapa tidak pengeluar sendiri menulis perkara ini pada manual pengguna bagi memberi amaran bahawa ada sistem yang akan rosak sekiranya anda tidak menghidupkan enjin dengan cara sedemikian? Saya sendiri telah bekerja dalam dunia servis selepas jualan lebih dari tujuh tahun, dan belum lagi ada membaca sebarang Buletin Servis yang diterbitkan berkenaan masalah kerosakan berlaku akibat tidak menghidupkan enjin dengan cara kononnya ‘yang betul’ tersebut.

    Malah dengan cara menekan suis penghidup berkenaan sebanyak tiga kali, setiap kali enjin mahu dihidupkan mungkin akan menyebabkan jangka hayat suis berkenaan menjadi lebih pendek dari yang sepatutnya. Untuk pengetahuan anda, dalam suis berkenaan, selain dari komponen elektronik, ia juga mempunyai permukaan plastik yang bergeser dan juga permukaan logam yang bersentuh bagi memutuskan/menyambung aliran elektrik.

    Permukaan-permukaan tersebut lambat laun tentu akan sampai kepada had penggunaannya setelah mengalami kehausan. Jadi, bayangkan sekiranya dalam tiga bulan anda perlu menekan suis berkenaan sebanyak 100 kali untuk menghidupkan enjin, dengan kaedah tiga kali tekan, ia perlu ditekan sebanyak 300 kali atau 200 kali lebih banyak dari biasa. Itu kalau tiga bulan, kalau setahun? Lima tahun?

    Jadi pendek kata, terpulanglah pada anda kerana akhirnya kereta tersebut adalah milik anda. Jurutera dah reka boleh tekan sekali, kenapa susah payah nak tekan sampai tiga kali?

     
     
  • Volkswagen ID.3 dibuka untuk tempahan di Eropah – kereta elektrik penuh pertama Volkswagen, RM186k

    Volkswagen ID.3 dibuka untuk tempahan di Eropah – kereta elektrik penuh pertama Volkswagen, RM186k

    Anda mungkin sudah melihat banyak model ID Volkswagen – iaitu model pacuan elektrik penuh – didedahkan sebelum ini. Itu semua model konsep, dan kali ini model ID produksi pertama Volkswagen sudah sedia memasuki pasaran. Ia dikenali sebagai ID.3, dan merupakan versi produksi bagi model ID Concept yang pertama kali ditunjukkan pada tahun 2016. Perincian serta rupa penuh kenderaan ini akan didedahkan bulan September nanti.

    Sebelum waktu itu tiba, kita perlu melihat ID.3 ini dengan grafik unik pusaran merah atas warna biru. Walaupun begitu, bentuk asasnya masih dapat dilihat jelas, dan sama seperti model konsep sebelum ini, tapi seperti biasa, beberapa bahagian yang keterlaluan dijadikan lebih sesuai untuk kegunaan biasa.

    Sebagai contoh, lampu utama yang sebelum ini rata dengan permukaan badan telah ditukar dengan unit projector biasa, dan di tengahnya terdapat jalur lampu yang menyambungkan keduanya. Bukaan udara di bahagian bawah bampar turut dijadikan lebih besar, cermin sisi kini menggunakan unit biasa (bukannya kamera) dan pintu juga dibuka seperti biasa (bukannya bukaan suicide seperti model konsep).

    Volkswagen ID.3 dibuka untuk tempahan di Eropah – kereta elektrik penuh pertama Volkswagen, RM186k

    Pada bahagian belakang, jalur nipis yang digunakan sebagai lampu telah diganti dengan unit berbentuk L yang lebih besar, dan tempat meletak nombor plet berada di bahagian bampar, atas sedikit daripada diffuser. Rekaan rim nampak seperti sama, tapi warnanya sedikit lain dan sudah tentu, dijadikan lebih kecil dengan tayar yang lebih tebal.

    ID.3 dibina atas platform Modular Electric Drive Kit (MEB) dan sebagai permulaan, akan ditawarkan dalam edisi pelancaran pertama yang dipasang dengan bateri 58 kWh dan jarak penggunaan 420 km mengikut kitaran WLTP. Secara keseluruhannya, nanti akan ada tiga pilihan bateri dengan jarak penggunaan antara 300 hingga 550 km.

    ID.3 1st akan ditawarkan dengan tiga lagi varian. Versi standard mendapat rim yang besar, kawalan suara dan navigasi, manakala ID.3 1st Plus ditambah dengan warna luar dan dalam dua tona, serta sesuatu yang dipanggil oleh Volkswagen sebagai IQ. Light Headlamp. ID.3 1st Max yang paling tinggi pula diberikan dengan bumbung panoramik besar serta teknologi seperti augmented reality head-up display.

    Volkswagen ID.3 dibuka untuk tempahan di Eropah – kereta elektrik penuh pertama Volkswagen, RM186k

    Volkswagen juga akan memberikan pembeli ID.3 1st elektrik percuma selama satu tahun sehingga maksimum 2,000 kWh, yang boleh digunakan di stesen pengecas awam yang disambungkan dengan aplikasi We Charge serta rangkaian pengecas pantas IONITY.

    Pengeluaran ID.3 dirancang bermula hujung tahun ini, dengan penyerahan pula berlaku pertengahan tahun 2020. Harga untuk ID.3 1st bermula €40,000 (RM185,800), dan Volkswagen juga mengeluarkan janji bahawa nanti ID.3 paling murah akan dijual bawah €30,000 (RM139,300) – dan ini adalah harga sebelum subsidi tempatan.

     
     
  • Honda City, Jazz dan CR-V dapat warna baharu untuk pasaran Malaysia – Passion Red Pearl kian popular

    Honda City, Jazz dan CR-V dapat warna baharu untuk pasaran Malaysia – Passion Red Pearl kian popular

    Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) telah mengumumkan warna baharu, Passion Red Pearl, yang akan ditawarkan untuk tiga model pemasangan tempatan (CKD) – City, Jazz dan CR-V. Menurut HMSB, Passion Red Pearl pertama kali diperkenalkan menerusi HR-V baharu pada Januari lalu. Sejak itu, ia menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelanggan Honda, di mana 30% daripada jualan HR-V baharu adalah bagi warna tersebut.

    Menurut HMSB lagi, Passion Red Pearl yang ditawarkan ini adalah bagi menggantikan warna Carnival Red untuk Jazz, Dark Ruby Red bagi City dan Obsidian Blue Pearl yang digugurkan bagi CR-V.

    Pengarah Urusan dan CEO HMSB, Toichi Ishiyama berkata , “Dengan pengenalan warna baharu ini, Jazz bakal menampilkan sisi yang lebih muda, sementara City pula nampak lebih bersemangat dan CR-V ternyata lebih bergaya. Kami percaya, ketiga-tiga model ini cukup serasi dengan pilihan warna baharu ini, menepati gaya hidup yang lebih versatil bagi pemiliknya.

    “Berkenaan dengan prestasi jualan, ketiga-tiga model menyumbang sebanyak 62% daripada keseluruhan jualan untuk Honda Malaysia, antara Januari hingga April 2019. Di mana City mencatatkan sumbangan tertinggi dengan 34% bagi keseluruhan jualan Honda di negara ini, sementara Jazz pula menyumbang sebanyak 12%. Bagi CR-V pula, ia mencatatkan sebanyak 15% untuk jumlah jualan keseluruhan di negara ini. Bagi tempoh empat bulan pertama 2019, kami mencatatkan jualan sebanyak lebih 28,000 unit, bersamaan 15% bagi perkongsian pasaran. Sekaligus mengekalkan kedudukan Honda di tangga pertama sebagai jenama bukan-nasional, dan di posisi kedua dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV).”

    City generasi ke-empat menawarkan empat varian iaitu 1.5 Hybrid, 1.5 S, 1.5 E dan 1.5 V, ditawarkan pada harga antara RM74k hinga RM84k. Ia dijanakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dengan kombinasi CVT ciptaan Honda Earth Dreams Techology. Peneraju sedan sederhana bagi segmen-B ini turut menawarkan ruang penyimpanan barang di belakang paling luas iaitu mencecah 536 liter, terbaik bagi kelasnya.

    Manakala Jazz yang turut menawarkan varian yang sama seperti City pula ditawarkan dengan harga bermula RM74k hingga RM87k. Turut dijanakan enjin yang sama iaitu 1.5L i-VTEC dengan kombinasi CVT ciptaan Honda Earth Dreams Techology. Bagi CR-V pula, dibarisi varian 1.5TC Premium, 1.5TC 2WD, 1.5TC 4WD dan 2.0 2WD dengan harga antara RM138k hingga RM163k. Antara kelebihan bagi varian tertinggi CR-V ini ialah ia dilengkapi dengan aspek keselamatan Honda Sensing yang merangkumi tujuh ciri – Adaptive Cruise Control (ACC), Low-Speed Follow (LSF), Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), dan Lane Departure Warning (LDW).

     
     
  • Honda Jazz 2020 – imej render model generasi baru

    Honda Jazz 2020 – imej render model generasi baru

    Bulan lepas, Honda Jazz 2020 generasi keempat telah dilihat sedang diuji. Tetapi, waktu itu unit yang digunakan dibalut oleh pelekat samaran sepenuhnya. Kali ini, daripada bentuk yang dapat dilihat itu, model yang sama dibayangkan pula dalam rekaan digital seperti yang dihasilkan oleh Theophilus Chin ini.

    Secara umumnya, rekaan yang ditampilkan nampak kurang agresif jika dibandingkan dengan model sedia ada ketika ini. Lampu utama – yang menggunakan unit projektor bersegi – kini lebih tinggi, sementara rekaan gril pula kembali kepada rekaan yang lebih konvensional. Ini memberikan imej yang lebih “bulat” pada Jazz, cenderung seperti dua generasi terawal yang dihasilkan dulu.

    Dari tepi, tingkap pada pintu dialihkan sedikit kedudukannya, dengan penampilan yang lebih ringkas bagi profil tepi – garis bahu juga lebih tinggi berbanding model sedia ada. Rekaan lampu belakang pula tidak lagi menggunakan pendekatan menegak, sebaliknya kembali kepada tataletak melintang dua-bahagian, menjadikan kereta ini nampak lebih lebar.

    Honda Jazz 2020 – imej render model generasi baru

    Bagi sistem janaan, kemungkinan penawaran sedia ada akan diteruskan, dengan versi petrol dan hibrid sebagai pilihan. Tetapi, mungkin ada pertambahan sistem janaan kuasa bagi model yang dijangka akan diperkenalkan di Tokyo Motor Show tahun ini; pengenalan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dua motor.

    Ini termasuk sistem i-MMD yang lebih kompak untuk kenderaan kecil, yang dilaporkan akan diperkenalkan sekali dengan Jazz di Tokyo nanti. Sistem ini akan menggantikan sistem lama sebelum ini, Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) yang ketika ini digunakan pada Jazz Hybrid, yang memanfaatkan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai i20 N – prototaip awalan diuji

    SPYSHOT: Hyundai i20 N – prototaip awalan diuji

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Februari lalu, laporan dari Autocar ada menyebut bahawa model berprestasi tinggi produksi sebenar dari hatchback segmen-B yang digunakan dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) – Hyundai i20 N – bakal muncul pada awal tahun hadapan. Dan kini, unit prototaip awalannya sudah pun muncul sedang diuji di jalan raya awam.

    Mungkin hanya sebagai portotaip awalan, rupa i20 N ini tidak agresif dan tidak jauh berbeza dengan model standard. Tiada spoiler belakang lebih besar, bampar lebih agresif mahupun lencana-lencana Hyundai N. Cuma unit ini diberikan rim dengan berdiameter lebih besar, tayar profil rendah dan juga angkup brek berwarna merah.

    Dipercayai model i20 N ini akan dijana oleh enjin 1.6 liter Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus seperti yang terdapat dalam perut Hyundai Elantra Sport dan Tucson, dengan talaan kuasa sekitar 200 PS.

    SPYSHOT: Hyundai i20 N – prototaip awalan diuji

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Talaan casis pada i20 N berkenaan dikatakan akan menyamai apa yang dibuat pada abangnya iaitu Hyundai i30 N, jadi boleh dijangka kereta tersebut bakal diberikan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar dan nisbah stereng lebih pantas.

    Setelah ia dilancarkan pada pasaran nanti, Hyundai i20 N pastinya berpotensi untuk memberikan cabaran yang sengit terhadap hot-hatch segmen-B yang lain seperti Ford Fiesta ST, Toyota Yaris GRMN dan juga Volkswagen GTI.

     
     
  • JPJ, MIROS disyor kemuka kajian, statistik buktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan cermin gelap – Lee

    JPJ, MIROS disyor kemuka kajian, statistik buktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan cermin gelap – Lee

    Masih panas berbahang lagi isu peraturan baharu cermin gelap ini yang telah pun dikuatkuasakan mulai 8 Mei lalu. Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut menyuarakan pendapat bahawa pelaksanaan peraturan ini akan menyukarkan tugas pihak polis dalam menjalankan penguatkuasaan.

    Perkara ini turut mendapat perhatian Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye yang mengesyorkan agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mengemukakan kajian dan statistik yang membuktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan penggunaan cermin gelap.

    Beliau berkata, maklumat itu penting bagi mengatasi kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan meningkatnya kes jenayah berikutan penggunaan cermin gelap sepenuhnya pada cermin sisi dan cermin belakang di bahagian penumpang kenderaan persendirian.

    JPJ, MIROS disyor kemuka kajian, statistik buktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan cermin gelap – Lee

    “Banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa penjenayah boleh menyembunyikan diri di tempat duduk belakang kenderaan yang mempunyai cermin gelap manakala mangsa culik mungkin tidak dapat dilihat. Semua agensi penguatkuasaan perlu duduk semeja dan berbincang mengenai perkara ini dan mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah ekoran pengenalan had cermin gelap baharu itu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Bagaimanapun, Lee optimis penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had di bahagian belakang mampu melindungi penumpang daripada menjadi mangsa jenayah.

    “Ia mampu melindungi penumpang daripada terik cahaya matahari selain mengurangkan kejadian pecah kereta apabila pencuri tidak lagi dapat mengintai barangan yang berada di dalam kenderaan. Saya percaya pihak terbabit telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai penggunaan cermin gelap tersebut termasuk dari sudut keselamatan, kesihatan dan jenayah,” katanya.

    JPJ, MIROS disyor kemuka kajian, statistik buktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan cermin gelap – Lee

    Tambah beliau lagi, orang ramai juga perlu dididik mengenai perbezaan filem gelap yang ada di pasaran kerana kadar kegelapan yang tinggi tidak semestinya mengurangkan kepanasan dalam kenderaan.

    Pada 7 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan, pindaan peraturan baharu bagi penggunaan cermin gelap dalam kenderaan persendirian berkuatkuasa 8 Mei 2019. Di mana pindaan tersebut masih mengekalkan peratusan ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin depan utama kenderaan ialah 70%, manakala cermin tepi kiri dan kanan pemandu pula ialah 50%.

    Bagi cermin kiri dan kanan tempat duduk belakang dan cermin belakang pula, tiada had bagi VLT dengan syarat kenderaan dilengkapi cermin sisi (side mirror). Ini bermakna, penggunaan cermin gelap dengan VLT 0% dibenarkan untuk kedua-dua bahagian berkenaan.

     
     
  • Jalan TAR dibuka semula mulai 11 Mei ini – menteri

    Jalan TAR dibuka semula mulai 11 Mei ini – menteri

    Ini bukan kenyataan ‘pusingan-U’ daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. Tapi Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang ditutup kepada lalu lintas mulai 12 Mac lalu, yang dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum, dikhabarkan bakal dibuka semula pada 11 Mei ini.

    “Ia akan dibuka semula kepada kenderaan mulai 11 Mei ini untuk memudahkan orang ramai membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau kata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Batu Road Retailers Association (BARRA) dan Masjid India Business Association (Miba).

    “Oleh kerana ia merupakan bulan puasa dan menjangkakan jualan meningkat khususnya menjelang Hari Raya, mereka mohon jalan ini dibuka untuk hari minggu bagi persiapan membeli belah untuk Raya. Maka selepas berbincang bersama, kita membuat keputusan Jalan TAR akan dibuka kembali pada hari Sabtu dan Ahad sehingga hujung bulan Syawal supaya pembeli boleh datang dan dapat kemudahan membeli-belah,” katanya.

    Pada Februari lalu, menteri berkenaan mengumumkan Jalan TAR bermula dari Jalan Esfahan berhampiran pusat beli-belah Sogo hingga ke Jalan Melayu ditutup pada semua kenderaan kecuali bas mulai Mac. Walau bagaimana pun, keputusan itu mendapat bantahan banyak pihak terutamanya yang menjalani operasi perniagaan di kawasan sekitar terbabit. Penutupan Jalan TAR ini adalah cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu menjadikan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu sebagai `Pedestarian Mall’.

     
     
  • Subaru Forester generasi kelima dibuka tempahan akhir bulan ini – bakal dilancar pada Julai 2019

    Subaru Forester generasi kelima dibuka tempahan akhir bulan ini – bakal dilancar pada Julai 2019

    Kerika pelancaran Subaru XV GT Edition, TC Subaru turut mengumumkan Forester generasi kelima akan mula dibuka tempahannya pada penghujung bulan ini. SUV serba baharu itu akan diperkenalkan di Malaysia pada Julai ini, dan ia dipasang di kilang Tan Chong Subaru Automotive (Thailand) Limited atau TCSAT.

    Walau bagaimana pun, harga rasmi bagi model import sepenuhnya (CBU) ini masih belum didedahkan, namun TC Subaru membuka peluang kepada pelanggan yang berminat dengan memberikan insentif untuk mereka yang membuat tempahan awal. Untuk 50 pelanggan pertama di Malaysia yang menempah Forester serba baharu ini, TC Subaru akan membawa mereka melawat kilang TCSAT di Bangkok pada Disember ini, sekaligus memberi peluang melihat sendiri pemasangan model Subaru.

    Forester serba baharu ini juga dibangunkan dengan binaan Subaru Global Platform (SGP), sama seperti Impreza dan XV. Untuk pasaran Taiwan, Forester didatangkan dengan enjin FB20 2.0 liter suntikan-terus empat-silinder boxer (156 PS/196 Nm), yang dipadankan bersama Lineartronic CVT dan sistem Symmertical All-Wheel Drive.

    GALERI: Subaru Forester 2.0-S EyeSight 2019 (spesifikasi Thailand)

     
     
  • Janji mansuh tol tidak tercapai – Tun Mahathir

    Janji mansuh tol tidak tercapai – Tun Mahathir

    Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan tol menjadi antara janji yang tidak tertunai selepas satu tahun mentadbir negara selepas menyedari kos tinggi yang terpaksa ditanggung kerajaan seandainya ia dilaksanakan, lapor Astro Awani.

    “Kita telah berjanji untuk menghapuskan tol tetapi kini kita sedar, sebelum ini apabila kita memutuskan untuk menghapuskan tol, kita tidak memahami kos. Tetapi sekarang kita menyedari bahawa untuk menghapuskan tol bermakna kerajaan perlu membeli semua lebuh raya dan itu melibatkan kos yang besar,” kata Perdana Menteri.

    Menurutnya lagi, bagi lebuhraya PLUS sahaja kerajaan perlu membayar RM30 bilion sebelum kerajaan boleh menghapuskan tol. “Jadi persoalannya ialah adakah kita menggunakan RM30 bilion untuk itu atau kita menggunakan RM30 bilion untuk tujuan lain yang lebih penting?” soal Tun.

    Kerajaan sebelum ini telah pun memansuhkan tiga tol laluan motosikal iaitu di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor dan menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ia dilihat sebagai satu langkah awal sebelum tol dimansuhkan sepenuhnya seperti dijanjikan kerajaan PH dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Janji mansuh tol tidak tercapai – Tun Mahathir

    Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan memansuhkan tol sepenuhnya itu tidak dapat dilakukan dalam kadar segera kerana keadaan negara kini yang dibebani dengan masalah kewangan.

    Pejabat Perdana Menteri juga pernah mengumumkan bahawa kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol, membabitkan empat lebuh raya.

    Dengan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada, dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol semasa pada waktu puncak selama enam jam sehari, yang dicadangkan antara jam 11 malam dan 5 pagi.

     
     
  • Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

    Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

    Awal April lalu, pasaran Thailand telah menerima edisi istimewa bagi Subaru XV, Subaru XV GT Edition, yang diperkenalkan ketika penganjuran Bangkok International Motor Show 2019. Kini, tibalah pula giliran pasaran Malaysia untuk menerima kedatangan model edisi istimewa ini.

    Menggunakan asas varian 2.0i-P model yang sama, Subaru XV GT Edition dihasilkan dengan kerjasama antara syarikat jurutera Giken Co.Ltd., dan bekas Ketua Pereka Subaru Corporation, Masahiko “Jack” Kobayashi, yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan luaran untuk lebih 12 model produksi Subaru termasuklah WRX STI.

    Untuk menampakkan kelainan dan keunikan yang tersendiri, Subaru XV GT Edition ini diberikan pakej luaran yang terdiri daripada kit bampar hadapan dan skirt sisi, ditambah pula dengan spoiler bumbung dan juga lanjutan pada bahagian bampar belakang yang menyerlahkan lagi gayanya. Malah kehadiran jalur warna perak pada kit badannya memudahkan lagi untuk membezakan edisi GT dengan varian XV yang lain. Model edisi istimewa ini juga diberikan roda aloi 17-inci dengan logo GT terletak di tengah.

    Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

    Menjengah bahagian kabinnya, sedikit keunikan turut ditampilkan termasuklah dengan tempat duduk kulit khas dengan jahitan kontras jingga dan kelabu serta alas lantai GT. Ciri tambahan lain termasuklah Dual Side View Monitor iaitu paparan bagi kamera yang terletak di bawah cermin sisi yang membantu pemandu untuk tujuan parkir.

    Ciri lain yang masih sama seperti varian XV lain termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, brek parkir elektronik, pedal penukar gear, PIN Code Access, Arahan Pengesan Suara dan pendingin hawa automatik dwi-zon.

    Juga masih menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter Boxer naturally-aspirated empat-silinder susunan mendatar dengan output 156 PS dan tork 196 Nm. Ia turut dipadankan dengan Lineartronic CVT dan Symmetrical All-Wheel Drive.

    Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

    Ia membolehkan XV ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 194 km/j. Manakala penggunaan bahan api kombinasi pula dianggarkan 7.3 liter bagi setiap 100 km.

    Bagi aspek keselamatan, ia tetap menerima tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Active Torque Vectoring, X-Mode, Bantuan Menurun Bukit, dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

    Untuk pasaran Malaysia, Subaru XV GT Edition dijual pada harga atas jalan RM130,788 (tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had.

     
     
  • Subaru Levorg dikemaskini di Jepun – model edisi istimewa STI Sport Black Selection, Advantage Line

    Subaru Levorg dikemaskini di Jepun – model edisi istimewa STI Sport Black Selection, Advantage Line

    Subaru telah mengemaskini model Levorg untuk pasaran Jepun, dengan menampilkan beberapa peningkatan ciri, termasuklah memperkenalkan dua model edisi istimewa – STI Sport Black Selection dan Advantage Line.

    Model edisi istimewa yang paling menarik sudah pasti adalah STI Sport Black Selection, yang ditawarkan dengan dua enjin boxer pengecas turbo, suntikan-terus, empat-silinder. Penjana kuasa yang pertama adalah unit 1.6 liter yang menghasilkan 170 PS dan tork 250 Nm, sementara satu lagi pilihan ialah 2.0 liter dengan 300 PS dan 400 Nm. Ia turut dipadankan bersama Lineartronic CVT dan Symmertrical All-Wheel Drive secara standard, dengan set peredam Bilstein.

    STI Sport Selection turut menerima peningkatan luaran yang unik termasuk roda aloi aluminium dua-tona 18-inci dengan tayar profil 225/45. Malah turut menampilkan perumah cermin hitam dengan disambung pada puddle light untuk rupa yang lebih agresif.

    Perubahan yang lebih signifikan turut dipersembahkan pada bahagian dalam, bermula dengan tempat duduk hadapan Ultrasuede/kulit upholstery Recaro, dan material campuran yang sama untuk tempat duduk belakang. Malahan turut mendatangkan jahitan kontras merah termasuk pada permukaan pintu, konsol tengah, roda stereng dan tuil gear, serta dail spesifik-STI.

    Sementara itu, untuk Advantage Line pula hanya ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbo dan menerima roda berlainan rekaan bersaiz 18-inci. Ciri luaran seperti perumah cermin sisi, pemegang pintu dan lambang hadir dengan kemasan hitam. Manakala pilihan warna eksklusif pula ditawarkan dengan Cool Grey Khaki.

    Di dalamnya, terdapat kemasan biru pada tempat duduk, dash inlay dan juga jahitan kontrasnya. Seperti STI Sport Black Edition, tempat duduknya juga dengan material Ultrasuede/kulit upholstery tetapi bukan unit Recaro. Kedua-dua model edisi istimewa ini turut dilengkapi dengan sistem EyeSight secara standard.

    Bukan itu sahaja, dengan peningkatan ciri bagi barisan ini, kini Bantuan Lampu Tinggi Levorg boleh berfungsi dalam kelajuan bermula serendah 30 km/j berbanding 40 km/j sebelum ini. Ciri tambahan lain, kini ia turut ditawarkan dengan warna badan baharu yang dinamakan sebagai Magentite Grey Metallic.

     
     
  • Kenderaan e-hailing kekal status kereta persendirian

    Kenderaan e-hailing kekal status kereta persendirian

    Dengan perkembangan terkini berkaitan kawal selia pemandu perkhidmatan e-hailing seperti Grab, yang kini perlu melalui pelbagai tapisan serta mendapatkan lesen PSV sama seperti pengangkutan awam seperti teksi, ini mungkin berita yang akan sedikit melegakan kelompok berkenaan.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan ketika ditemui pemberita semalam mengesahkan bahawa status kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing kekal sebagai kenderaan persendirian dan tidak perlu ditukar statusnya walaupun digunakan untuk perkhidmatan pengangkutan awam, seperti dilaporkan The Star.

    Menurut beliau lagi, sebelum ini memang ada cadangan untuk mewajibkan status kenderaan yang digunakan oleh perkhidmatan pengangkutan awam seperti itu, dan memerlukan pemandu untuk ke JPJ bagi proses berkenaan. “Tetapi saya telah berbincang dengan JPJ untuk longgarkan syarat ini. Maksudnya, mereka tidak perlu tukar kategori (atau status) kenderaan yang digunakan itu. Ia kekal sebagai kenderaan persendirian,” jelas Anthony lagi.

    Bagaimanapun, kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing perlu mendapatkan lesen PSV, insurans untuk penumpang serta permit EVP yang dikeluarkan oleh APAD seperti yang digariskan sebelum ini.

     
     
  • Proton Iriz dan Persona facelift dijadikan lebih banyak persamaan untuk kurangkan kos, gaya masih berbeza

    Proton Iriz dan Persona facelift dijadikan lebih banyak persamaan untuk kurangkan kos, gaya masih berbeza

    Banyak perkara telah diperkatakan tentang Proton Iriz dan Persona facelift yang baru dilancarkan. Daripada pengalaman memandu, hinggalah yang paling menjadi perhatian, pengurangan harganya. Walaubagaimanapun, temuramah rakan sekerja kami dengan ketua pereka Proton, Azlan Othman telah menjelaskan lagi berkenaan perubahan rekaan antara dua kereta ini, dan keputusan di sebaliknya.

    Menurut Azlan, banyak kerja telah dilakukan untuk meningkatkan persamaan di antara dua model ini, dengan barangan seperti bonet serta lampu jenis reflector sekarang adalah sama untuk kedua-duanya. Sebelum ini iriz menggunakan lampu jenis projector. Ini memberikan manfaat tambahan dalam mengurangkan kos, yang berkemungkinan besar adalah antara sebab kenapa Proton dapat mengurangkan harga Iriz untuk dijual bermula pada RM37,000.

    Apabila ditanya kenapa kereta ini tidak datang dengan barangan seperti lampu LED seperti Perodua Myvi, Azlan berkata, “Ramai orang yang mengatakan kami perlu memperbaiki perkara asas terlebih dahulu. Apa yang kami tahu daripada laporan dan sumber lain, lampu itu bukanlah masalah utama model sebelum ini, dan kami perlu jadi praktikal. Kos kenderaan adalah sesuatu yang lebih penting untuk diambil kira.”

    “Jadi, ini adalah antara keputusan yang kami buat, untuk menyamakan apa yang boleh, dan menjadikan beberapa bahagian lain berbeza seboleh mungkin. Akhirnya nanti, kami mahu memberikan nilai yang baik kepada pelanggan dan tidak boleh sekadar memberikan penampilan yang cantik. Nilai adalah sangat penting,” tambah Azlan.

    Proton Iriz dan Persona facelift dijadikan lebih banyak persamaan untuk kurangkan kos, gaya masih berbeza

    Walaupun begitu, Proton masih berusaha sebaik mungkin untuk membezakan dua model ini pada gayanya, dengan gril, bampar, roda serta pilihan warna yang berlainan. Azlan memberitahu, walaupun syarikat berjaya mengurangkan harga kenderaan melalui perkongsian alat ganti, mereka masih perlu mengekalkan personaliti masing-masing.

    “Seperti yang saya katakan tadi, ia adalah berkenaan memberi nilai terbaik kepada pelanggan. Tetapi pada masa sama, setiap karekter perlu jelas antara dua model ini. Kami telah menggayakannya seperti itu, supaya ia nampak berbeza,” kata Azlan.

    Iriz dan Persona facelift ini turut menerima pelbagai peningkatan lain dari aspek rupa serta mekanikalnya, termasuk sistem infotainmen baru dengan fungsi kawalan suara “Hi Proton”. Kuasa penggerak datang daripada enjin 1.6 liter VVT 109 PS yang dipadankan dengan sama ada kotak gear manual lima kelajuan atau CVT, dan Iriz turut mendapat pilihan enjin 1.3 liter 95 PS. Harga adalah antara RM36,700 hingga RM50,700 untuk Iriz dan RM42,600 hingga RM54,600 untuk Persona.

    GALERI: Proton Iriz Premium 1.6L CVT 2019

    GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium

     
     
  • Jeep Grand Cherokee Trackhawk catat rekod SUV produksi terpantas di permukaan ais – capai 280 km/j!

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk catat rekod SUV produksi terpantas di permukaan ais – capai 280 km/j!

    Kuasa yang besar kadang kala tidak menentukan kelajuan sekiranya sistem transmisi, suspensi dan tayar tidak mampu menghantar kesemua tenaga berkenaan ke permukaan jalan bukan? Jadi bagi membuktikan ia sebuah SUV yang mempunyai kebolehan menghantarkuasa secara efisien, Jeep telah membuat satu catatan rekod kelajuan terpantas untuk Grand Cherokee Trackhawk, bukan di atas permukaan tar atau garam, sebaliknya pada permukaan ais!

    Percubaan ini dilakukan ketika berlangsungnya acara tahunan Baikal Ice Motor Sports Festival Speed Days 2019 di Rusia. Data untuk rekod ini telah diambil dan disahkan oleh Russian Automobile Federation (RAF). Pada hari catatan rekod berkenaan dilakukan, permukaan ais pada laluan tersebut menjadi bertambah sukar kerana mempunyai lapisan air yang nipis, menyebabkan ia bertambah licin.

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk ini memulakan rekod secara rolling start. Dalam laluan lurus sepanjang 12 km tersebut, GPS mencatatkan kelajuan maksima setinggi 280 km/j, dengan kelajuan purata 257 km/j berjaya dikekalkan dalam jarak satu kilometer. Kelajuaan purata dari kedudukan pegun pula mencatatkan lebih dari 100 km/j.

    Unit yang digunakan untuk mencatatkan rekod ini adalah dari versi produksi sebenar, dan menurut Jeep mereka hanya menyisihkan berberapa perkara yang tidak diperlukan. Jadi ia masih dijana enjin standard V8 6.2 liter dengan supercharger yang mampu menjana 707 hp dan tork maksima 875 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan TorqueFlite.

    Bagi ‘menggigit’ permukaan jalan walaupun pada permukaan licin seperti ais ini, kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Quadra-Trac, yang terdiri dari kotak peralihan aktif kelajuan tunggal, LSD, serta sistem Select Track yang membolehkan pemandu memilih lima mod pemanduan iaitu Auto, Sport, Track, Snow dan Tow.

    Pada sesi catatan rekod ini juga, Jeep Grand Cherokee Trackhawk turut mempamerkan kebolehan membrek yang baik. SUV seberat 2.4 tan ini berjaya dihentikan sepenuhnya dari kelajuan 96 km/j dalam jarak hanya 34.7 meter. Rahsianya? Juga sebagai ciri standard, ia dilengkapi dengan cakera brek two piece berdiameter 400 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, dan cakera 350 mm bersama angkup empat omboh di belakang – kesemuanya dari Brembo.

    Jeep Cherokee Trackhawk juga sebenar adalah SUV produksi massa paling pantas di dunia buat masa sekarang. Pada permukaan tar, SUV ini mampu memecut dari 0-60 bsj (96 km/j) dalam masa hanya 3.5 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 290 km/j. Pada litar drag sepanjang suku batu (400 meter), ia hanya memerlukan masa 11.6 saat untuk bergerak dari keadaan pegun di garis permulaan hingga ke garis penamat.

     
     
  • SPYSHOT: Crossover badan Volkswagen Golf ditemui

    SPYSHOT: Crossover badan Volkswagen Golf ditemui

    Kita sudah pernah melihat spyshot Volkswagen Golf generasi kelapan atas jalan tanpa sebarang pelekat penyamaran, jadi apa yang anda nampak dalam gambar ini pula adalah sebuah crossover yang menggunakan badan Golf Mk7. Ia terletak lebih tinggi, manakala jarak roda dan lengkuk roda pula adalah lebih lebar.

    Memandangkan ini cuma unit ujian dengan badan yang diubah, rupa sebenarnya nanti masih belum diketahui. Walaupun begitu, jarak antara roda kiri dan kanan yang lebih lebar serta tayar yang tebal itu kelihatan masuk dengan padan dalam lengkuk tayarnya.

    SPYSHOT: Crossover badan Volkswagen Golf ditemui

    Sebuah crossover lima tempat duduk tanpa nama pernah ditunjukkan waktu persidangan media tahunan Volkswagen Group pada bulan Mac yang lalu, dan sumber jurugambar pengintip kami menjangkakan model tersebut akan terhasil daripada unit ujian yang ditemui ini.

    Sudah tentu, model bersaiz Golf pada masa hadapan akan dibina atas platform MQB mereka, yang sudah bersedia untuk menerima sistem elektrikal 48 volt serta penjimatan berat lebih 50 kg berbanding sebelumnya. Ini juga memberi makna terdapat kemungkinan penggunaan enjin tiga silinder 1.0 liter, 1.5 liter dan empat silinder 2.0 liter, serta pacuan empat roda.

     
     
  • Google umum Android Auto telah dikemaskini – tampilkan antara muka dan wajah baharu

    Google telah mengumumkan akan memperkenalkan versi kemas kini bagi Android Auto, dan mendakwa ia bakal menawarkan antara muka (interface) yang lebih intuitif bagi lebih memudahkan pengguna mengakses maklumat dan menggunakan fungsi lain.

    Perubahan terbesar yang dilakukan setakat ini ialah bar navigasi baharu pada bahagian bawah paparan, yang menggantikan butang putih statik pada antara muka semasa. Bar navigasi tersebut tersebut membolehkan aplikasi tertentu menggunakan seksyen tersendiri untuk fungsinya, jadi pengguna tidak perlu menukar antara aplikasi seperti sebelum ini.

    Sebagai contohnya, anda menggunakan aplikasi Spotify dan Google Maps dalam masa yang sama. Sebelum ini, kalau nak mainkan lagu yang seterusnya, anda perlu menekan ikon “headphone” pada bahagian bawah untuk mengakses Spotify sebelum memilih butang “forward”.

    Tetapi dengan antara muka baharu ini, bar navigasi akan menampilkan kawalan media untuk Spotify iaitu di antara paparan map penuh, jadi tak perlulah anda menukar aplikasi. Bar navigasi tersebut juga boleh dilihat pada butang “home” yang terletak pada sebelah kiri, berbanding di tengah, dan kini ia juga boleh menyenaraikan aplikasi yang ada.

    Turut ditampilkan ialah butang notifikasi yang memaparkan panggilan, mesej dan makluman semasa. Butang tersebut terletak di sebelah butang Google Assistant, yang kini berada di bahagian bawah kanan berbanding atas kanan seperti sebelum ini.

    Lain-lain perubahan termasuklah tema gelap baharu dengan kemasan berwarna-warni, saiz huruf yang lebih mudah dibaca, selain sokongan untuk sistem infotainmen dengan menggunakan paparan skrin yang lebih lebar, yang membolehkan lebih banyak informasi dipaparkan.

     
     
  • Suzuki Swift Sport Katana cuma ada 30 unit sahaja

    Suzuki Swift Sport Katana cuma ada 30 unit sahaja

    Ini model edisi istimewa yang diberi nama Suzuki Swift Sport Katana – sempena nama motosikal ikonik keluaran jenama itu yang muncul semula menemui peminatnya tahun lalu. Macam mana dengan penampilannya, nampak menyerlah? Fakta lain mengenainya juga tak kalah menarik.

    Tetapi, model edisi istimewa ini hanya ditawarkan untuk pasaran Belanda sahaja, dengan harga bermula 28,999 Euro (RM134,707). Kedua, cuma ada 30 unit yang dikeluarkan; terbahagi sama banyak antara dua pilihan warna yang ditawarkan, iaitu Premium Silver Metallic dan Super Black Pearl.

    Dekorasi kemasan yang terlibat antaranya ialah jalur pada bonetnya, grafik pada pintu dan simbol Katana dengan visual gentian karbon bagi lip bampar depan dan kit sisi badan. Tidak lupa juga ada nombor siri yang tertera pada bahagian tiang C.

    Suzuki Swift Sport Katana cuma ada 30 unit sahaja

    Kemasan luaran lainnya juga menampilkan perincian merah, perumah cermin warna hitam, serta penggunaan rim aloi Allegerita hitam dalam saiz 18-inci buatan OZ (dengan tayar Michelin Pilot Sport 4) ditawarkan sebagai naik taraf pilihan bagi rim 17-inci standard.

    Di dalam, Suzuki Swift Sport Katana ini menggunakan stereng yang lebih tebal dengan lambang Katana, tempat duduk separa kulit dengan tulisan Katana serta nombor siri yang disulam padanya serta lebih banyak lambang Katana yang dapat dilihat.

    Suzuki Swift Sport Katana cuma ada 30 unit sahaja

    Daya penggerak pula digalas oleh enjin K14C 1.4 liter turbocas empat-silinder dengan 140 PS pada 5,500 rpm dan 230 Nm tork dari 2,500 rpm hingga 3,500 rpm. Ia digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan dengan presatasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat, manakala laju maksimum 210 km/j.

    Ekzos pula menggunakan sistem yang dibangunkan oleh Remus, diperbuat daripada besi ringan tahan karat dengan hujungnya diberi kemasan hitam krom. Untuk memberikan kendalian pemanduan yang lebih jitu, unit ini juga dilengkapi dengan palang strut depan Cusco Power Brace serta suspensi sport HKS Hipermax MAX IV GT yang boleh dilaras ketinggian dan tahap serapan hentakannya.