Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan Skyline bakal terima ProPILOT 2.0 – sistem pemanduan automatik tanpa perlu memegang stereng

    Nissan Skyline bakal terima ProPILOT 2.0 – sistem pemanduan automatik tanpa perlu memegang stereng

    Perlumbaan untuk menghasilkan kereta pemanduan sendiri semakin hari semakin sengit. Namun tahukah anda, sehingga kini tiada lagi pengeluar yang berani menyatakan bahawa sistem rekaan mereka yang telah pun dijual dipasaran tidak memerlukan anda untuk memegang roda stereng? Menerusi sistem pemanduan sendiri ProPILOT 2.0, Nissan nampak begitu berani untuk mengisytiharkan bahawa teknologi rekaan mereka ini adalah yang pertama di dunia membolehkan pemandu melepaskan tangan dari roda stereng ketika dipandu di lebuhraya.

    Sistem berkenaan akan mula masuk ke pasaran bermula musim luruh tahun ini, dan model pertama yang akan menerimanya adalah Nissan Skyline V37 JDM – jangan salah faham bahawa GT-R R35 bukan lagi Skyline, dan model V37 ini adalah sedan yang dikenali di luar Jepun termasuk Malaysia dengan nama Infiniti Q50.

    Walau bagaimanapun, pemandu hanya boleh melepaskan tangan mereka dari roda stereng sekiranya ProPILOT ini digunakan pada lebuh raya berbilang lorong. Untuk menggunakannya, pemandu terlebih dahulu perlu memasukkan destinasi mereka pada sistem navigasi. Apabila tiba pada kawasan di mana sistem ini boleh digunakan, ia akan memberitahu pemandu.

    Nissan Skyline bakal terima ProPILOT 2.0 – sistem pemanduan automatik tanpa perlu memegang stereng

    Jika pemandu bersetuju untuk menggunakannya, butang pada roda stereng perlu ditekan dan kereta akan dipandu oleh komputer dengan mengekalkan kedudukannya di tengah lorong serta jarak dengan kereta hadapan. Ia akan terus berfungsi sehingga susur keluar lebuh raya yang sepatutnya mengikut sistem navigasi.

    Sistem ini sebenarnya hampir sama dengan sistem Autopilot yang diperkenalkan oleh Tesla, namun syarikat kereta elektrik tersebut masih lagi tidak mengisytiharkan bahawa pemandu boleh melepaskan terus tangan dari roda stereng.

    Walau bagaimanapun, Nissan ProPILOT ini masih lagi belum diiktiraf sebagai sistem pemanduan sendiri tahap ke-3 kerana pemandu masih lagi perlu memantau pemanduan tersebut dan sentiasa bersedia mengambil alih sekiranya diperlukan – ia dilengkapi dengan pemantau pemandu bagi memastikan pemandu sentiasa berwaspada.

    Sistem berkenaan juga akan menasihatkan pemandu untuk memotong kereta hadapan yang dipandu lebih perlahan dari kelajuan yang telah disetkan, sekiranya mengesan lorong sebelah kosong. Ia akan mengagak masa yang sesuai untuk memotong, di mana pemandu perlu memegang semula roda stereng dan menggerakkan tuil suis lampu isyarat membelok bagi memberitahu bahawa kawalan stereng akan diambil alih untuk memotong.

    Keseluruhan sistem ini beroperasi bersandarkan berberapa komponen utama seperti kombinasi pelbagai kamera, penderia radar, penderia sonar, GPS serta peta 3D berdefinasi tinggi bagi membekalkan informasi sekeliling 360-darjah masa sebenar dan juga untuk memastikan kedudukan paling tepat kereta di atas jalan.

    Menurut Nissan, sistem berkenaan akan menggunakan semua informasi yang diterima bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lancar, seperti seorang pemandu yang berpengalaman.

     
     
  • Volkswagen umum sistem mild-hybrid enjin 1.5L TSI

    Volkswagen umum sistem mild-hybrid enjin 1.5L TSI

    Volkswagen akan menunjukkan perkembangan pembangunan teknologi bersepadu C02-neutral yang sedang dibangunkan ketika Persidangan Antarabangsa Permotoran Vienna ke-40. Yang dimaksudkan ialah platform yang dibangunkan khusus untuk kenderaan elektrik dengan sistem 48-volt mild hybrid (mHEV).

    Volkswagen mendakwa, dengan sistem mHEV baru berkenaan, syarikat akan memasuki fasa baru bagi penghasilan barisan kenderaan dengan ciri elektrifikasi dalam skala besar jenama itu. Bergantung kepada gaya pemanduan, ia boleh menjimatkan kira-kira 0.4 liter minyak bagi setiap 100 km dan mengurangkan pembebasan sisa bakar.

    Sistem 48-volt mHEV ini akan digandingkan dengan enjin 1.5 liter TSI evo petrol, yang ketika ini digunakan pada barisan model Golf. Ini mencadangkan bahawa sistem berkenaan akan diperkenalkan pada model Golf Mk8 generasi akan datang, yang dijangka akan muncul dalam tahun ini.

    Volkswagen umum sistem mild-hybrid enjin 1.5L TSI

    Sistem 48-volt berkenaan disertai oleh sistem elektrikal kenderaan 12-volt yang biasa, dengan penukar DC/DC sebagai penghubung. Sistem 48-volt akan membekal kuasa kepada generator penghidup bersepadu-tali sawat (BSG), dan terletak pada kedudukan sama alternator sebelum ini pada pacuan auxiliary. Ia ada dua fungsi – untuk tujuan recuperation dan boost.

    Dalam keadaan pertama itu, untuk mendapatkan semula tenaga dari brek, BSG akan bertindak sebagai alternator yang mampu menyerap sebahagian tenaga kinetik kenderaan. Tenaga yang diperoleh itu akan disimpan sebagai tenaga elektrik pada bateri lithium-ion 48-volt yang berasingan, yang terletak di bawah tempat duduk penumpang depan. Tenaga ini akan digunakan ketika boost elektrik untuk memberi kuasa kepada BSG dan membantu enjin TSI.

    BSG turut membantu TSI ketika enjin mula dihidupkan, berperanan sebagai penghidup seiring. Ini membantu menjimatkan bahan api dan menjadikan proses menghidupkan enjin lebih mudah dan senyap. Sistem mHEV ini juga akan turut menampilkan fungsi eco-coasting; ia membenarkan kenderaan untuk melayar atau “coast” dengan enjin dimatikan. Ini menjadikan tiada emisi dibebaskan, dan membolehkan penjimatan sekitar 0.4 liter minyak bagi setiap 100 km.

     
     
  • Petron anjur kempen pemeriksaan keselamatan kereta secara percuma sempena Hari Raya Aidilfitri

    Petron anjur kempen pemeriksaan keselamatan kereta secara percuma sempena Hari Raya Aidilfitri

    Petron telah mengumumkan penganjuran kempen pemeriksaan keselamatan kereta terbesar di lebih banyak stesen minyak bagi memastikan jalan raya yang lebih selamat sempena musim perayaan dan cuti panjang yang akan datang. Kempen ini turut disokong oleh Honda Malaysia, Michelin Malaysia dan Bosch Automotive Aftermarket bagi menyediakan pemeriksaan kereta secara percuma di stesen minyak Petron yang terpilih dan telah pun bermula sejak 3 Mei lalu.

    Kejayaan kempen Petron yang terbesar dan paling lama, Program Keselamatan Jalan Raya Petron, yang kini telah masuk tahun ke-tujuh, turut mendapat sokongan daripada rakan kongsi utamanya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR).

    Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron Malaysia, Lokman Hani berkata, “Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami ingin membantu memastikan kenderaan selamat untuk perjalanan jarak jauh. Pemeriksaan keselamatan kenderaan yang mudah dapat membantu mencegah insiden dan menyelamatkan nyawa.”

    Petron anjur kempen pemeriksaan keselamatan kereta secara percuma sempena Hari Raya Aidilfitri

    “Kami bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi automotif yang berkongsi nilai yang sama. Melalui kerjasama strategik, kami dapat menjangkau lebih banyak pemandu dan membantu meminimumkan kemalangan jalan raya, terutamanya sewaktu cuti panjang. Perkhidmatan pemeriksaan kenderaan adalah percuma untuk sebarang jenama kereta di lebih banyak stesen minyak Petron untuk semua pelanggan.”

    Menerusi kempen ini, Bosch Automotive Aftermarket akan menyediakan pemeriksaan keselamatan kereta terperinci, termasuk keadaan bateri dan bilah pengelap cermin kereta kereta selama lima minit bagi semua jenis kenderaan di lima stesen Petron yang terletak di kawasan Lembah Klang dari 18-19 Mei dan 25-26 Mei, eksklusif untuk pelanggan Petron.

    Dengan kerjasama Honda Malaysia pula, Petron menawarkan perkhidmatan 32-mata pemeriksaan kenderaan di enam stesen minyak. Pelanggan juga boleh mendapatkan tayar Michelin mereka di 15 stesen minyak Petron bagi memastikan tayar mereka selamat sebelum memulakan perjalanan yang panjang.

    Tahun lepas, semasa musim perayaan, Petron telah mengadakan 20 pemeriksaan keselamatan kereta di stesennya untuk lebih 3,800 kereta. Program ini selaras dengan misinya untuk meningkatkan tabiat keselamatan jalan raya ayng positif di kalangan pengguna jalan raya. Untuk senarai penuh stesen minyak Petron yang terlibat, sila rujuk pautan ini.

     
     
  • Thai cadang modifikasi kereta terpakai kepada EV

    Thai cadang modifikasi kereta terpakai kepada EV

    Enggan terus menunggu pengeluar kereta memperkenalkan kenderaan elektrik (EV), kerajaan Thailand membuat keputusan untuk mengeluarkan model EV sendiri, menerusi Electricity Generating Authority of Thailand (Egat). Tapi ini bukan membangunkan model kenderaan dari asas, tapi merancang menggunakan kereta terpakai.

    Menurut Bangkok Post, Egat mahu memodifikasi kereta berenjin pembakaran dalaman terpakai menjadi EV, dan mensasarkan jualan komersil pada tahun 2020. Walau bagaimana pun, akan ada tempoh percubaan untuk menentukan kos bagi modifikasi berkenaan.

    Jiraporn Sirikum, penolong gabenor untuk penyelidikan, inovasi dan pembangunan perniagaan, berkata, organisasi itu bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Nasional untuk memodifikasi tiga kereta kompak popular – Toyota Vios, Honda Jazz dan Nissan Almera – untuk tujuan percubaan.

    “Kos bagi modifikasi kereta terpakai ini dianggarkan lebih kurang 300,000 baht (RM39,541) untuk memasang komponen EV, seperti bateri lithium-ion dan motor elektrik, berbanding sekitar 500,000 baht (RM65,901) sebelum ini,” katanya, sambil menambah harga bateri telah menurun di peringkat global.

    Jiraporn berkata EV yang dimodifikasi sebenarnya jauh lebih murah berbanding membeli EV baharu. Menurut laporan, matlamat Egat ialah meningkatkan jumlah EV di Thai dengan lebih cepat, bukan hanya menantikan pelancaran EV baharu oleh pengeluar kereta. Malahan organisasi tersebut juga mengalu-alukan penyertaan pihak swasta untuk mengambil bahagian dalam projek ini.

    Aliran pengenalan EV daripada pengeluar kereta di negara berkenaan dilihat agak perlahan – baru-baru ini Hyundai melancarkan Kona Electric, menyertai Ioniq Electric, sementara MG pula sedang bersedia untuk mengeluarkan SUV elektrik eZS. Selain Nissan Leaf yang telah mula dijual sejak Disember 2018.

     
     
  • Touch ‘n Go RFID – apa nak dibuat bila kereta dijual?

    Touch ‘n Go RFID – apa nak dibuat bila kereta dijual?

    Sehingga bulan lalu, Touch ‘n Go (TNG) mendedahkan lebih 200,000 pengguna jalan raya telah mendaftar untuk program perintis sistem kutipan tol elektronik RFID. Sekarang, ia masih lagi berjalan sebagai ujian untuk orang awam.

    Dengan proses pemasangan sekarang juga boleh dilakukan dengan hanya terus pergi ke tempat tertentu, jumlah perintis ini semakin bertambah. Dalam masa sama, daripada mereka ini, pastinya ada juga yang sudah mahu menukar kenderaan.

    Ini termasuklah rakan sekerja kami, Hafriz Shah yang merupakan antara perintis terawal dalam negara. Beliau telah menjual Mercedes-Benz C-Class milik sendiri, dan ini bermakna beliau tidak boleh lagi menggunakan tag RFID yang terdapat pada kenderaan itu. Tag tersebut melekat terus dan ia tidak boleh dicabut untuk diambil oleh pengguna.

    Orang lain juga perlu peka dengan perkara ini sekiranya mahu menjual kenderaan mereka yang sudah dipasang dengan tag RFID. Anda perlu menghapuskan hubungan dengan tag tersebut kerana sekiranya tidak, bayaran tol akan ditolak daripada akaun eWallet TNG anda, meskipun ia digunakan oleh pemilik baru kenderaan. Sudah tentu, keadaan sama juga berlaku sekiranya kereta anda dicuri. Tiada pampasan akan diberi sekiranya pelanggan gagal melupuskan tag RFID sendiri.

    Touch ‘n Go RFID – apa nak dibuat bila kereta dijual?

    Satu-satunya cara untuk menamatkan fungsi tag ini adalah dengan menghubungi TnG Careline – anda tidak boleh melakukannya dengan cara lain atas talian ataupun aplikasi eWallet. Sebab yang diberi adalah mereka memerlukan pengesahan suara daripada pemilik untuk melengkapkan proses penghapusan.

    Caranya, hubungi Careline di 03-27148888, ikut arahan suara di situ dan tekan #4 untuk perkara berkenaan RFID. Anda kemudiannya akan disambung dengan kakitangan RFID. Proses ini memerlukan anda memberitahu nama penuh, nombor MyKad, nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan terlibat serta baki dalam eWallet.

    Menurut Hafriz, semua proses cuma mengambil masa tidak sampai lima minit untuk selesai. Untuk memastikan penghapusan tag anda sudah lengkap, anda boleh memeriksa aplikasi eWallet untuk melihat sama ada kenderaan tersebut sudah dikeluarkan ataupun tidak. Kemudian, anda boleh mendaftar pula tag RFID baru untuk kenderaan seterusnya.

    Satu lagi perkara, mereka yang membeli kenderaan terpakai yang sudah mempunyai tag RFID melekat padanya tidak boleh menggunakan tag tersebut kerana TnG memberitahu, tag lama perlu dibuang dan diganti dengan tag baru yang juga perlu didaftarkan semula dalam sistem.

     
     
  • BMW M5 F90 Edisi 35 Tahun – terhad hanya 350 unit

    BMW M5 F90 Edisi 35 Tahun – terhad hanya 350 unit

    Tahun ini BMW menyambut ulang tahun ke-35 M5 dengan pengeluaran model edisi terhad yang menggunakan asas daripada M5 Competition F90. Ia dipanggil sebagai M5 Edition 35 Years, dan akan dijual bermula Julai 2019 dalam jumlah terhad cuma 350 unit untuk seluruh dunia.

    Model prestasi tinggi edisi terhad kali ini tidak nampak begitu menyerlah secara terus kerana menggunakan warna gelap Frozen Dark Grey Metallic, namun ia adalah istimewa kerana warna tersebut mampu menghasilkan kesan seperti sutera matt. Barangan lain daripada BMW Individual turut dipasang pada model ini termasuk pakej trim Shadow Line yang terdiri daripada gril, sirip serta muncung ekzos.

    Ia juga dilengkapi dengan rim M 20 inci, dan disudahi dengan warna Graphite Grey yang dicipta khas untuknya. Di sebalik rim tersebut terdapat sistem brek compound khas M, serta angkup yang diwarnakan hitam berkilat. Pembeli juga boleh membuat bayaran tambahan untuk mendapatkan sistem brek seramik karbon M serta angkup berwarna emas.

    Di bahagian dalam, kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk tempat duduk pelbagai fungsi M, yang dibalut dengan kulit Merino daripada katalog BMW Individual yang berwarna hitam serta jahitan berwarna kuning cair. Kemasan pada papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah pula menggunakan aluminium yang mempunyai struktur seperti gentian karbon, berwarna emas. Seperti biasa, lencana tanda edisi khas “M5 Edition 35 Jahre 1/350” terdapat di beberapa bahagian.

    Pada aspek prestasi, model keluaran khas ini masih mengekalkan enjin V8 twin-turbo 4.4 liter sama seperti M5 Competition, mampu menghasilkan kuasa 625 PS (617 hp) dan 750 Nm tork. Dengan padanan transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda M xDrive, kereta ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai 200 km/j dalam masa 10.8 saat.

     
     
  • Ford Focus ST Wagon 2019 – perincian awal didedah

    Ford Focus ST Wagon 2019 – perincian awal didedah

    Setelah hampir tiga bulan hot-hatch Ford Focus ST Mk4 diperkenalkan secara rasmi, kini divisi Eropah ‘The Blue Oval’ mendedahkan pula imej dan perincian awalan untuk versi wagon. Menurut Ford, model dengan bumbung lebih panjang tersebut bakal dijual di pasaran benua berkenaan bermula musim panas tahun ini.

    Sama seperti versi hatchback, Ford Focus ST Wagon turut ditawarkan dengan dua pilihan janakuasa iaitu enjin petrol turbo 2.3 liter EcoBoost lengkap dengan sistem anti-lag berkuasa 280 PS/420Nm, dan juga enjin turbodiesel 2.0 liter EcoBlue menghasilkan 190 PS/400 Nm.

    Pilihan kotak gear juga sama iaitu pembeli boleh memilih transmisi manual enam-kelajuan lengkap dengan short-shifter, sistem rev-match dan eLSD, atau kotak gear automatik konvensional tujuh-kelajuan bersama teknologi Adaptive Shift Scheduling – kedua-duanya memacu roda hadapan.

    Tiada angka prestasi didedahkan kali ini, tetapi ia tentunya sedikit perlahan dari versi hatchback kerana badan yang lebih panjang dan berat. Untuk rekod, Ford Focus ST hatchback petrol mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dengan masa di bawah enam saat.

    Ford Focus ST Wagon 2019 – perincian awal didedah

    Dari segi rupa, versi wagon ini juga mengambil gaya seiras dengan hatchback. Bahagian muka disalin sepenuhnya, dan selain bumbung yang lebih panjang, tambahan tingkap sisi belakang serta tiang-D, wagon Focus ST ini diberikan rel bumbung dan juga rekaan sedikit berbeza pada diffuser bampar belakang.

    Model wagon ini juga dijangka akan diberikan papan pemuka seiras dengan hatchback, dan apa yang pasti, tempat duduk bucket hadapan dari Recaro juga diberikan secara standard. Untuk bahagian kargo, Ford hanya menyiarkan gambar tanpa memberikan kapasiti sebenar ruang tersebut.

    Versi lebih besar ini juga tentunya akan dijual pada harga sedikit mahal dari versi hatchback. Ford Focus ST Wagon 2.0 liter EcoBlue turbodiesel bakal dijual pada harga bermula £30,595 (RM163k), manakala Focus ST Wagon 2.3 liter EcoBoost pula akan dijual pada harga £33,095 (RM177k).

    GALERI: Ford Focus ST Mk4 hatchback

     
     
  • Yamaha R3 di AS dipanggil semula kerana masalah tuil brek – mungkinkah beri kesan kepada R25 tempatan?

    Yamaha R3 di AS dipanggil semula kerana masalah tuil brek – mungkinkah beri kesan kepada R25 tempatan?

    Badan Pentadbiran Keselamatan Trafik Jalan Raya (NHTSA) Amerika Syarikat (AS) baru sahaja menyiarkan notis panggilan semula yang dikeluarkan oleh Yamaha untuk model YZF-R3 pasaran di sana. Namun, ia hanya untuk jumlah kecil yang dikeluarkan dari 6 Februari hingga 6 Mac 2019, dengan nombor casis tertentu sahaja.

    Masalah yang menyebabkan panggilan balik ini adalah tuil brek, di mana model yang disebutkan tadi berkemungkinan menggunakan tuil brek tangan yang tidak dihasilkan dengan campuran betul dalam acuan. Akibatnya, besi tuil brek ini berkemungkinan mempunyai banyak buih dan menyebabkan ia tidak begitu kuat.

    YZF-R3 pasaran AS sebenarnya mempunyai asas yang sama dengan YZF-R25 yang dijual di negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, dan yang berbeza cumalah kapasiti enjin. Kalau anda ingat, pada tahun 2018, R3 dan R25 pernah dipanggil balik disebabkan masalah hos radiator serta torsion spring dan ini turut melibatkan pasaran negara kita.

    Walaubagaimanapun, untuk panggilan balik berkenaan tuil brek tangan model R3 2019 setakat ini hanya dikeluarkan di AS sahaja dan negara lain di Asia masih belum menerima sebarang notis berkenaannya. Jika ada, pastinya nanti akan disiarkan oleh wakil pengedar di negara masing-masing termasuk negara kita.

    GALERI: Yamaha R25 2019 pasaran Malaysia

     
     
  • Hyundai bakal hasilkan kereta sport elektrik dengan bantuan Rimac, libatkan pelaburan RM355 juta

    Hyundai bakal hasilkan kereta sport elektrik dengan bantuan Rimac, libatkan pelaburan RM355 juta

    Pada 2016, Hyundai dilihat menguji kereta sport enjin tengah mereka yang digelar Hyundai Racing Midship 16 N Concept. Nampaknya kereta berkenaan akan dijelmakan dalam versi pacuan motor elektrik sepenuhnya pada masa akan datang setelah jenama Korea tersebut mengumumkan kerjasama mereka bersama pengeluar supercar elektrik dari Croatia, Rimac Automobili.

    Di bawah kerjasama ini, Hyundai akan melabur sebanyak 64 juta euro (RM280 juta), manakala sekutunya Kia juga akan menyertai kerjasama bersama Rimac ini dengan pelaburan sebanyak 16 juta euro (RM75 juta). Selain dari membina prototaip kereta sport berkenaan, pakatan tersebut turut akan menghasilkan kereta janaan sel bahan api (fuel cell) berprestasi tinggi, di mana kedua-duanya akan dijelmakan dalam bentuk produksi.

    “Rimac merupakan syarikat yang inovatif dengan kemampuan yang menakjubkan dalam kenderaan elektrik berprestasi tinggi. Susur galur dan pengalaman luas bekerjasama dengan banyak pengeluar digabungkan dengan kehebatan tenknologi menjadikan Rimac rakan kongsi paling ideal untuk kami. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Rimac dalam perjalanan kami kearah mobiliti bersih,” kata Euisun Chung, timbalan pengerusi eksekutif Hyundai Motor Group.

    Pengasas dan CEO Rimac Automobili, Mate Rimac pula berkata, “kami sangat tertarik dengan visi Hyundai dan juga inisiatif yang pantas dan tegas. Kami percaya kerjasama teknologi ini akan menghasilkan nilai maksimum untuk syarikat kami dan pelanggan mereka.”

    “Rimac masih muda dan kecil tetapi merupakan syarikat yang berkembang dengan cepat. Kami lihat Hyundai Motor Group sebagai pelabur yang kuat dan rakan teknologi dan kami percaya kerjasama ini akan menaikkan posisi kami ke pembekal tingkat pertama komponen elektrifikasi ke dalam industri,” katanya lagi.

    Hyundai merancang bagi menghasilkan 44 buah model mesra alam menjelang tahun 2025, dan mereka akan mengembangkan kerjasama ini bagi meningkatkan kebolehan R&D sedia ada mereka. Setakat ini, tiada sebarang pengumuman untuk model talaan khas Hyundai N dari model produksi biasa, tetapi dengan hadirnya Rimac, tidak mustahil ia turut akan dihasilkan.

    “Kami mahu menghasilkan kenderaan berprestasi tinggi yang bukan sahaja laju dan berkuasa tetapi turut memenuhi jangkaan tertinggi dari pelanggan untuk kereta impian mereka. Matlamat kami adalah untuk mempopularkan kenderaan elektrik dan mewujudkan nilai sosial menerusi teknologi bertaraf dunia dan inovasi dalam prestasi,” kata ketua produk Hyundai, Thomas Schemera.

    GALERI: Prototaip Hyundai Racing Midship 16 N Concept

     
     
  • AWAS: PLUS biayai 11 kamera tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan – Terowong Menora antara lokasi pilihan

    AWAS: PLUS biayai 11 kamera tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan – Terowong Menora antara lokasi pilihan

    Dalam majlis penyerahan 10 unit kenderaan penguatkuasaan baharu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berlangsung pagi tadi, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail turut mengumumkan PLUS bakal membiayai pemasangan 11 unit kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) tambahan di kawasan berisiko kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

    Menurut Azman, kehadiran pihak berkuasa di lebuh raya dapat mengurangkan kesalahan lalu lintas seperti penyalahgunaan lorong kecemasan, pemanduan tidak berhemah dan melebihi had laju. Tambahnya lagi, PLUS akan menanggung kos pemasangan 11 unit kamera tersebut yang dianggarkan berjumlah RM3 juta, selain melibatkan kos bagi penyelengaraan berkala.

    “Rekod dan kajian kami menunjukkan sebanyak 80% daripada jumlah kemalangan yang berlaku di lebuhraya berpunca daripada faktor kemanusiaan seperti memandu laju. Pada tahun 2016, sebanyak 14,532 kemalangan telah direkodkan. Jumlah tersebut berkurangan kepada 14,384 pada 2017 dan menyusut kepada 13,269 kes pada tahun lalu. Justeru, kehadiran kamera ini adalah sangat efektif bagi membendung pemandu yang memandu melebihi had laju di lokasi kamera dipasang,” ujar Azman lagi.

    AWAS: PLUS biayai 11 kamera tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan – Terowong Menora antara lokasi pilihan

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar yang turut hadir dalam majlis berkenaan turut berkata lokasi-lokasi itu akan diputuskan selepas kajian dibuat bersama beberapa pihak berkaitan termasuk PLUS dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dijangka siap tahun ini.

    “Buat masa ini, terdapat 19 kamera AWAS yang telah dipasang di Lebuhraya PLUS. Dan penambahan 11 unit kamera ini juga akan dipasang di lokasi yang kerap berlaku kemalangan dan mempunyai kes-kes kemalangan yang tertinggi. Akan ada tempat-tempat yang kami berikan tumpuan lebih awal, salah satu daripadanya ialah Terowong Menora di Ipoh yang kerap berlaku kemalangan,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, Kamarudin turut menyeru syarikat konsesi yang lain supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di lebuhraya masing-masing, seperti mana yang dilakukan oleh PLUS.

    Pada awal April lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, mengikut kajian MIROS, pelaksanaan sistem AWAS ini telah berjaya menyumbang kepada penurunan kesalahan pemandu daripada 24% kepada 13%. Bukan itu sahaja, ia juga telah meningkatkan jumlah pematuhan peraturan had laju dari 63% sebelum pemasangan kepada 95% selepas pemasangan di lokasi berkenaan.

     
     
  • PTPTN cadang sekat pembaharuan lesen memandu, cukai jalan bagi mereka yang culas bayar pinjaman

    PTPTN cadang sekat pembaharuan lesen memandu, cukai jalan bagi mereka yang culas bayar pinjaman

    Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bercadang untuk menyekat pembaharuan lesen memandu dan juga cukai jalan kenderaan bagi peminjam tabung berkenaan yang culas untuk melangsaikan hutang mereka.

    Dua sekatan tersebut adalah antara perkara yang dicadangkan hasil perbincangan meja bulat Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid dalam laporan BH Online, selain menyekat pendaftaran perniagaan dan kelulusan pinjaman kepada ahli keluarga terdekat serta memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara yang pernah dilaksanakan kerajaan.

    Mastura menjelaskan bahawa pada masa ini PTPTN mengalami masalah kewangan yang serius disebabkan sistem bayaran balik pinjaman yang rendah tetapi terpaksa mengeluarkan pinjaman kepada pemohon baharu dan jika tiada perubahan drastik dilakukan, tidak mustahil PTPTN tidak akan mampu memberi pinjaman lagi dan mungkin terpaksa ditutup.

    PTPTN cadang sekat pembaharuan lesen memandu, cukai jalan bagi mereka yang culas bayar pinjaman

    “Jumlah bayaran balik yang diterima hanya 58 peratus daripada jumlah sepatutnya. Sehingga akhir tahun 2018, jumlah tunggakan pinjaman mencecah RM6.3 bilion. Hanya 32.5 peratus daripada RM56 bilion yang dikeluarkan dibayar balik.

    “Ketika ini PTPTN menanggung hutang RM40 bilion, lebih besar daripada 1MDB. Dalam tempoh 10 tahun lagi, hutang yang diunjurkan kami ialah RM55 bilion dan dalam tempoh 20 tahun, meningkat sehingga RM76 bilion,” katanya ketika membentangkan KKR di Menara PTPTN, hari ini.

    Jadi apa pendapat anda? Kita boleh faham jika sekatan untuk keluar negara bagi mereka yang mengambil ringan untuk membayar semula hutang PTPTN ini dilakukan. Tetapi adakah wajar sebahagian hak untuk memandu/menunggang ini ditarik sedangkan ia adalah salah satu perkara yang perlu untuk kelangsungan hidup?

     
     
  • PLUS sumbang 10 kenderaan penguatkuasaan baharu kepada JPJ – Honda CR-V 2.0L 2WD tetap jadi pilihan

    PLUS sumbang 10 kenderaan penguatkuasaan baharu kepada JPJ – Honda CR-V 2.0L 2WD tetap jadi pilihan

    Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan di lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berbesar hati menyumbangkan 10 unit Honda C-RV 2.0L 2WD kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sebelum ini, JPJ juga memilih model yang sama sebagai jentera perondanya.

    Majlis penyampaian kenderaan berkenaan telah disempurnakan di Persada PLUS pagi tadi oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail kepada Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Tuan Zamakhshari Hanipah. Turut hadir sama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Haji Kamarudin Jaffar dan Pengerusi PLUS, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim.

    “Penyampaian kenderaan ini akan meningkatkan keselamatan di lebuh raya kami melalui penguatkuasaan secara kerap oleh JPJ. Malah ia juga merupakan salah satu inisiatif untuk membantu pihak berkuasa menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya,” jelas Azman.

    Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Tuan Zamakhshari Hanipah pula berkata, “Dengan penambahan jentera peronda ini dilihat mampu meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan pihak JPJ termasuk di lebuhraya. 10 unit kenderaan penguatkuasaan baharu sumbangan PLUS ini akan dibahagikan untuk kegunaan kami di tiga zon berbeza iaitu empat unit di zon tengah, dan masing-masing tiga unit di zon utara dan zon selatan.”

    Tambah beliau lagi, menerusi kerjasama antara PLUS-JPJ dan juga agensi-agensi penguatkuasaan yang lain, termasuk juga dengan inisiatif keselamatan jalan raya yang dilaksanakan sendiri oleh PLUS, telah menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan. Sebanyak 14,532 kemalangan dilaporkan pada 2016 dan angka itu menyusut kepada 13,269 pada tahun 2018.

    “Kami juga menyediakan dua buah Stesen JPJ di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil dan Gunung Semanggol untuk membantu JPJ dalam menjalankan program advokasi dan keselamatan jalan raya di lebuh raya. Stesen Penguatkuasaan JPJ ketiga di R&R Pagoh akan dibuka tidak lama lagi,” tambah Azman.

    Bagi meningkatkan lagi kesedaran pengguna terhadap keselamatan pemanduan di lebuhraya, pada akhir April lalu, PLUS telah melancarkan lapan episod pendek yang diterajui hos Agen Highway Selamat, Dahlia Syazwan. Dengan tanda pagar #HEROSELAMAT , setiap satu video tersebut hanya berdurasi sekitar 1 minit dan mempunyai jalan cerita yang berkaitan dengan fungsi lorong di lebuhraya, pemanduan selamat dan beberapa perkara yang berkaitan.

    Menurut Azman, dengan penerbitan video pendek ini, diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran berhubung pemanduan selamat di lebuhraya di kalangan para pengguna.








     
     
  • Honda CB250R dan CRF250 Rally ditawarkan dalam warna baru – harga masing-masing RM23k dan RM27k

    Honda CB250R dan CRF250 Rally ditawarkan dalam warna baru – harga masing-masing RM23k dan RM27k

    Dua model popular 250 cc keluaran Honda iaitu CB250R dan CRF250 Rally kini ditawarkan dalam warna baru bagi memastikan ia terus segar dalam pasaran. Untuk CB250R, tiga warna disediakan iaitu Candy Chromsphere Red, Graphite Black dan Mat Crypton Silver Metallic.

    Kemudian bagi menambahkan serinya, fork Showa di hadapan kini menggunakan warna gangsa. Harga untuk model baru yang berwarna Candy Chromsphere Red adalah RM23,499 manakala dua lagi warna yang lain dijual pada harga RM22,999.

    Bahagian lain motosikal ini masih tidak berubah dan ia masih dikuasakan oleh enjin satu silinder 250 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, bersama padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 27.2 hp. Kelengkapan lain pada CB250R ini adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, sistem ABS two-channel, semua lampu LED dan tangki bahan api 10.1 liter.

    Untuk CRF250 Rally pula, warna baru yang ditawarkan untuk model tahun 2019 adalah Extreme Red dan Black, dan keduanya-duanya masih dijual pada harga sama RM26,999. Bahagian lain masih tidak berubah dan model ini masih dikuasakan enjin satu silinder 250 cc DOHC serta gabungan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 24.4 hp dan 22.6 Nm tork.

    Kelengkapan lain pada CRF250 Rally adalah termasuk rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, fork teleskopik 43 mm di hadapan dan monoshock bersama ProLink di belakang, ABS two-channel yang boleh ditutup sekiranya perlu dan tangki bahan api 10.1 liter.

    GALERI: Honda CB250R 2019


    GALERI: Honda CRF250 Rally 2019

     
     
  • KTM 790 Adventure tiba di M’sia – harga dari RM79k

    KTM 790 Adventure tiba di M’sia – harga dari RM79k

    Model yang ditunggu ramai, keluaran KTM iaitu 790 Adventure kini sudah mempunyai harga rasmi dari pengedarnya, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd. Ia dijual pada harga RM78,800 (tidak termasuk insurans) dan merupakan unit import sepenuhnya (CBU).

    Setakat ini, cuma harga model biasa 790 Adventure sahaja yang dikeluarkan secara rasmi manakala untuk 790 Adventure R harganya masih belum disiarkan (ada dokumen yang bocor menunjukkan 790 Adventure R bakal dijual pada harga RM84,800).

    KTM 790 Adventure dikuasakan oleh enjin dua silinder LC8c DOHC baru yang mempunyai kapasiti 799 cc dan mampu menghasilkan kuasa 94 hp dan 88 Nm tork. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan yang mempunyai klac Power Assist Slipper Clutch (PASC).

    Kelengkapan lain yang ada pada 790 Adventure adalah termasuk sistem pendikit ride-by-wire (RBW), Motorcycle Traction Control (MTC), Cornering ABS, Offroad ABS, Offroad Ride Mode, brek cakera hadapan berkembar 320 mm dengan angkup empat piston, brek cakera 260 mm dengan angkup dua piston di belakang serta tangki bahan api 20 liter.

    Suspensi belakang dan saiz rim untuk model 790 Adventure biasa dan 790 Adventure R adalah sama iaitu daripada WP dengan hanya pelarasan pra beban serta padanan rim jejari 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Walaubagaimanapun, model R dilengkapi dengan fork hadapan boleh laras, dan jarak gerak suspensi lebih panjang (+40 mm) menjadi 240 mm di depan dan belakang. Penghadang angin hadapan model R juga lebih rendah dan didatangkan dengan tayar Metzeler Karoo 3 berbunga lebih kasar (versi standard menggunakan tayar Avon Trailrider).

    GALERI: KTM 790 Adventure

     
     
  • Cermin gelap – adakah makin gelap bermaksud makin sejuk dan selamat? Ini perkara yang perlu anda tahu

    Cermin gelap – adakah makin gelap bermaksud makin sejuk dan selamat? Ini perkara yang perlu anda tahu

    Seminggu sudah berlalu selepas Kementerian Pengangkutan mengumumkan kemaskini peraturan terbaru bagi penggunaan cermin gelap untuk kenderaan, seperti digariskan di dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

    Peraturan terbaru berkenaan menyatakan bahawa kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi tingkap tepi serta cermin utama penumpang di belakang kini boleh berada pada tahap 0% – tiada lagi had minimum ditetapkan seperti dahulu, yang perlu berada pada kadar VLT 30%.

    Dengan perkembangan terbaru ini, kita boleh jangkakan ramai pengguna akan menjadikan cermin-cermin kaca bahagian belakang kenderaan mereka hitam sepenuhnya – sekiranya mereka mahu, dan ini tidak akan menjadi kesalahan lagi – mungkin dengan alasan untuk menjadikan suasana di dalam kenderaan lebih privacy, sejuk dan selamat.

    Tetapi, benarkah cermin yang lebih gelap akan memberikan perlindungan yang lebih berguna terhadap cahaya matahari? Bagaimana pula dengan suhu dalam kenderaan, adakah dengan menggunakan cermin yang lebih gelap akan dapat menurunkan suhu ke tahap yang lebih rendah dalam kabin? Malangnya, hal ini tidak selalunya benar.

    Cermin gelap – adakah makin gelap bermaksud makin sejuk dan selamat? Ini perkara yang perlu anda tahu

    Semua itu bukan bergantung kepada kegelapan cermin, sebaliknya ditentukan oleh kualiti filem penapis haba yang anda gunakan. Cermin yang lebih gelap hanya akan menghadkan pandangan anda, dan bukannya menghadkan kadar penembusan haba yang sepatutnya menjadi hal utama yang perlu dipertimbangkan sekiranya anda ingin mendapatkan suasana kabin yang lebih sejuk dan nyaman.

    Jadi, anda perlu jelas dengan keutamaan yang ingin diberikan dalam isu ini; adakah anda tidak mahu orang di luar melihat ke dalam kenderaan (menghadkan pandangan) atau anda ingin mengurangkan sinaran merbahaya matahari dan menjadikan ruang kabin lebih sejuk? Filem penapis haba yang bagus tidak hanya akan mengurangkan kadar cahaya yang menembusinya, tetapi apa yang lebih penting ia juga akan mengurangkan kesan negatif yang disebabkan oleh tenaga solar.

    Ada beberapa perkara yang perlu anda fahami berkaitan kemampuan filem penapis haba yang berkualiti dengan prestasi yang terbaik untuk mengurangkan kesan haba panas dalam kabin kenderaan, seperti berikut:

    Menghalang cahaya Ultraviolet (UV): Radiasi UV hadir dalam bentuk UVA dan UVB. UVA misalnya lebih ketara, boleh mengakibatkan penyusutan kualiti cat badan serta material lain yang digunakan dalam kereta, seperti fabrik dan kulit untuk tempat duduk. UVB pula akan mendatangkan kesan seperti apa yang kita ketahui dan pernah rasakan sendiri, misalnya sunburn pada kulit dan lain-lain. Semakin tinggi kadar menghalang UV pada filem yang digunakan, itu adalah lebih baik. Kebanyakan filem penapis haba berprestasi tinggi mampu mencapai 99% kadar penolakan UV.

    Cermin gelap – adakah makin gelap bermaksud makin sejuk dan selamat? Ini perkara yang perlu anda tahu

    Menghalang sinar infra-merah (IRR): Cahaya infra-merah umumnya bertanggungjawab terhadap kehangatan yang anda rasakan sewaktu berada dalam kenderaan. Lebih tinggi kadar penolakan sinar infra-merah ini, maka itu lebih bagus. Namun, kadar penolakan infra-merah ini bukanlah satu-satunya perkara yang perlu anda beri perhatian. Ini kerana, julat gelombang IR sebenarnya agak luas, tetapi kebanyakan spesifikasi filem penapis haba hanya meliputi sebahagian daripada julat berkenaan, tetapi penjual akan mendakwa ia dapat memberikan pelindungan IR 99%.

    Keseluruhan tenaga solar yang ditapis (TSER): Ini mewakili kadar keseluruhan tenaga solar yang dihalang atau ditapis oleh filem haba pada cermin. Biasanya, kadar yang dinyatakan bagi hal ini lebih tepat – tetapi bukanlah bermaksud ia mutlak – untuk menilai prestasi sesebuah filem penapis haba. Lebih tinggi peratusannya, maka lebih sedikit haba solar yang dapat tembus ke dalam kabin; menjadikan ruang kabin lebih sejuk.

    Walaupun kadar peratusan TSER yang lebih tinggi akan didapati dari varian filem yang juga lebih gelap bagi sesetengah barisan produk, ia tidak semestinya boleh difahami bahawa filem yang lebih gelap akan selalu menjadikan kabin lebih sejuk berbanding filem penapis yang lebih cerah.

    Sifirnya tidak selalu begitu. Misalnya bagi barisan produk dengan kualiti penawaran yang berbeza dari sebuah pengeluar yang sama. Anda boleh menemukan filem penapis haba yang dari varian yang paling tinggi (top of the range) dengan VLT 60% akan memberi prestasi yang jauh lebih baik berbanding produk filem mid-range dengan kadar VLT 40%, walaupun filem yang kemudian ini lebih gelap.

    Cermin gelap – adakah makin gelap bermaksud makin sejuk dan selamat? Ini perkara yang perlu anda tahu

    Pengurangan silau: Walaupun tidak selalu dijadikan faktor penilaian utama, terdapat segelintir pengeluar tetap memberi perhatian kepada aspek ini pada produk filem yang dihasilkan. Satu kebaikan yang mungkin menjadi kelebihan kepada filem yang lebih gelap ialah kerena ia berkesan untuk mengurangkan silau.

    Ini kerana, jumlah cahaya yang menembusinya juga lebih banyak ditapis. Bayangkan penggunaan cermin mata hitam anda, ketiga digunakan dalam keadaan terang. Ia dapat mengurangkan silau. Tetapi, di sebelah malam, anda tidak akan mahu menggunakan cermin mata hitam yang sama, kan? Dalam keadaan malap seperti itu, ia bahkan sangat mengganggu penglihatan.

    Seterusnya, kita beralih pula kepada tanggapan bahawa cermin yang lebih gelap adalah lebih selamat. Adakah ini benar? Tidak juga. Apa yang kita perlu faham ialah ketahanan atau kekukuhan mana-mana filem penapis haba adalah disumbangkan oleh kaedah dan material yang digunakan untuk penghasilannya. Faktor ini tidak ditentukan oleh berapa gelap penampilannya.

    Dan, pandangan-pandangan yang menyatakan bahawa cermin yang betul-betul gelap akan memberikan kesan kepada penglihatan, bukan hanya bagi pemilik kenderaan, malah terhadap pengguna jalan raya yang lain juga – terutama ketika hari malam. Menurut Presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo di dalam sebuah laporan, beliau menyuarakan keresahan persatuan itu berkaitan keselamatan jalan raya berkaitan penggunaan filem gelap sepenuhnya atau “gelap mati” ini.

    Cermin gelap – adakah makin gelap bermaksud makin sejuk dan selamat? Ini perkara yang perlu anda tahu

    Tambah beliau, ramai pengguna menyesal memasang filem yang keterlaluan hitam pada cermin utama di belakang, kerana itu menyukarkan mereka untuk melihat jalan dengan jelas, terutamanya ketika waktu malam atau dalam cuaca hujan. Selain itu, filem yang lebih hitam juga tidak bermaksud ia mampu menapis haba dengan lebih baik berbanding filem cerah. Pengguna juga sepatutnya memberi keutamaan kepada kualiti dan prestasi sesuatu filem dalam keupayaannya untuk menapis haba dan bukannya melihat kepada tahap kepekatan gelap yang diberikan.

    Dari sudut kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan pula, walaupun tahap kegelapan filem tidak menggambarkan ketahanannya, kesukaran untuk meninjau ke bahagian dalam kabin kenderaan mungkin akan melambatkan kerja-kerja menyelamat oleh pihak berkuasa atau orang-ramai. Sebabnya sama, di atas faktor penglihatan yang terhad.

    Di sini, kami telah bentangkan faktor-faktor yang perlu diambil kira sekiranya anda ingin menggunakan filem yang lebih gelap pada cermin kenderaan anda selepas ini. Walaupun ia tidak menyalahi peraturan baru yang diumumkan, cermin gelap sepenuhnya atau dalam kadar yang lebih pekat sebenarnya tidak membawa banyak kelebihan dari sudut untuk menapis haba yang tembus ke dalam kabin.

    Ia bahkan boleh menjadikan kabin bertambah panas kerana haba akan terperangkap dengan lebih banyak akibat keadaan cermin yang hitam. Harapnya artikel ini dapat membantu anda membuat keputusan yang bijak, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk pengguna jalan raya yang lain juga. Jadi macam mana, masih nak pasang cermin paling gelap untuk bahagian belakang kereta anda?

     
     
  • Honda HR-V RS – warna hitam ganti ivory untuk kabin

    Honda HR-V RS – warna hitam ganti ivory untuk kabin

    Honda Malaysia (HMSB) telah memperkenalkan warna hitam yang digunakan sepenuhnya bagi ruangan kabin untuk model HR-V RS. Pertukaran daripada warna ivory atau gading adalah hasil maklumbalas daripada pelanggan dan ia dilakukan selepas model SUV facelift diperkenalkan di pasaran tempatan.

    Perubahan warna ini melibatkan bahagian tempat duduk balutan kulit upholstery, konsol tengah dan kemasan panel papan pemuka termasuk panel pintu. Walau bagaimana pun, ia tidak melibatkan peningkatan kosmetik untuk bahagian lain.

    HR-V RS adalah berasaskan varian Grade V, dan ditambah beberapa ciri luaran termasuk gril hadapan yang lebih sporty dan lampu hadapan LED penuh jenis reflektor, serta rekaan baharu pada bampar hadapan dan perumah lampu kabus LED. Bahagian belakang turut menerima perubahan menampilkan kemasan krom baharu merentangi pintu tailgate bersama lampu belakang dengan grafik LED jenis tiub.

    Ia turut memperkenalkan elemen kontras yang lebih gelap seperti pemegang pintu krom gelap, krom hitam pada kemasan nombor pendaftaran dan juga hitam kilat pada kemasan bendul sisi. Selain itu, ia juga dipadankan dengan rim 18-inci dua-tona lima-jejari dan dibaluti tayar 225/50R18.

    Varian RS ini dijana enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC berkuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm. Turut dipadankan bersama kotak gear CVT automatik memacu hanya roda hadapan. Ia juga didatangkan dengan sistem stereng nisbah bervariasi (VGR).

    Bagi sistem keselamatan pula, ia didatangkan dengan enam-beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta bantuan mula mendaki, iaitu ciri standard bagi barisan HR-V facelift di Malaysia. Selain itu, versi RS turut menerima lebih fungsi dengan penambahan sistem kamera titik buta Honda LaneWatch. Walau bagaimana pun, sistem Brek Kecemasan Aktif Bandar (CTBA) masih belum dibekalkan untuk mana-mana varian HR-V di Malaysia.

    Terdapat tiga warna pilihan bagi luaran – Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic, HR-V RS ditawarkan pada harga atas jalan RM124,800, tanpa insurans.

    Menurut HMSB, setakat ini sebanyak lebih 12,200 unit tempahan yang telah diterima bagi barisan HR-V sejak dilancarkan pada Januari lalu, dan sehingga kini lebih 7,000 unit telah dihantar kepada pelanggan. Di mana 20% daripadanya adalah daripada varian RS.

    GALERY: Honda HR-V RS dengan warna ivory bagi kabin sebelum ini

     
     
  • Porsche Cayenne S Coupe didedahkan – varian pertengahan, enjin 2.9L V6 Turbo, 440 PS/550 Nm

    Porsche Cayenne S Coupe didedahkan – varian pertengahan, enjin 2.9L V6 Turbo, 440 PS/550 Nm

    Mac lalu, Porsche telah mendedahkan SUV Cayenne yang nampak lebih sporty digelar Cayenne Coupe dengan dua varian – model asas dan juga Cayenne Turbo Coupe. Kini, jenama kereta sport Jerman berkenaan memperkenalkan pula varian yang diletakkan tengah-tengah antara dua versi tadi, diberi nama Porsche Cayenne S Coupe.

    Model ini dijana oleh enjin petrol turbo V6 2.9 liter, diambil dari Cayenne biasa dan juga Panamera, berupaya menjana 440 PS dan tork maksima 550 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda.

    Ini membolehkan Cayenne S Coupe memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 263 km/j. Namun sekiranya pemilik memilih untuk memadankan kesemua tiga pakej lightweight sports, pecutan pada jarak sama dalam masa 4.9 saat.

    Ia jelas jauh lebih pantas dari model asas yang dijana enjin 3.0 liter V6 turbo berkuasa 340 PS/450 Nm yang memerlukan 6 saat untuk pecutan yang sama (dengan kelajuan maksima 243 km/j), dan sedikit perlahan dari model paling berkuasa Cayenne Turbo Coupe (4.0 liter V8 turbo berkembar berkuasa 550 PS/770 Nm) yang mencatatkan hanya 3.9 saat dengan kelajuan maksima 286 km/j.

    Porsche Cayenne S Coupe hadir standard dengan pakej Sport Chrono, Power Steering Plus, Park Assist hadapan dan belakang, Porsche Active Suspension Management (PASM), tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala, bumbung kaca panaromik kekal dan juga rim berdiameter 20-inci.

     
     
  • SPYSHOT: Perodua uji Daihatsu Tanto – ciri keselamatan aktif ASA untuk Axia, Myvi akan datang?

    SPYSHOT: Perodua uji Daihatsu Tanto – ciri keselamatan aktif ASA untuk Axia, Myvi akan datang?

    Kami baru menerima spyshot dari pembaca Syed Mohd Nur Isa, yang berjaya merakamkan aksi Perodua sedang menguji model kei car Daihatsu Tanto di jalan raya kita. Bagaimana kami tahu ia adalah Perodua? Ini kerana trade plate yang digunakan adalah sama dengan model Daihatsu Move dan Ayla yang pernah diuji oleh Perodua sebelum ini.

    Sebelum membuat apa jua andaian termasuklah menyatakan kemungkinan ia adalah model baharu Perodua, janganlah terlalu teruja ya. Sebab beberapa tahun lalu pun kami pernah menyiarkan berita mengenai Move yang diuji di sini, spekulasi menyatakan ia mungkin Kenari generasi akan datang, tapi sehingga kini tiada sebarang khabar berita mengenainya. Sebenarnya Perodua hanya menguji sistem keselamatan aktif yang mungkin akan dipadankan pada Myvi dan Aruz.

    SPYSHOT: Perodua uji Daihatsu Tanto – ciri keselamatan aktif ASA untuk Axia, Myvi akan datang?

    Dengan menguji Tanto ini, adakah ia bermakna Perodua sudah bersedia untuk memperkenalkan lebih banyak fungsi bagi ciri Advance Safety Assist (ASA)? Buat masa ini, Myvi telah ditampilkan dengan amaran pelanggaran dan brek kecemasan sendiri pada kelajuan antara 4 dan 30 km/j, bersama Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control. Aruz pula ditambah dengan kelajuan AEB sehingga 80 km/j dan turut memperkenalkan pengesan pejalan kaki pada kelajuan sehingga 50 km/j.

    Di Jepun, sistem Smart Assist III ciptaan Daihatsu ditawarkan dengan dua lagi ciri yang tidak ditawarkan di Malaysia – amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi automatik. Fungsi ini mungkin akan ditampilkan pada model generasi akan datang seperti Axia, yang dijangka akan tiba pada tahun ini, bersama Myvi facelift yang mungkin akan diperkenalkan dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.

     
     
  • MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman didedahkan – 2.0L turbo kini berkuasa 306 PS/450 Nm!

    MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman didedahkan – 2.0L turbo kini berkuasa 306 PS/450 Nm!

    MINI telah mendedahkan versi prestasi tinggi John Cooper Works (JCW) untuk dua badan dalam barisan modelnya iaitu ‘wagon’ F54 Clubman dan crossover F60 Countryman. Menurut MINI, versi-versi baharu ini merupakan “antara model paling berkuasa dalam sejarah 60 tahun jenama mereka.”

    Clubman dan Countryman JCW ini kedua-duanya dijana enjin petrol turbo 2.0 liter empat silinder sama seperti Cooper S, namun ia telah dirombak semula bagi meningkatkan kuasa serta ketahanannya. Aci engkol (crankshaft) di dalam enjin telah diperkuatkan bersama pemadanan galas utama (main bearing) dengan bahagian cross section lebih lebar, dan juga omboh dan rod penghubung binaan khas.

    Kelengkapan dalaman tersebut menghasilkan nisbah mampatan pada kebuk pembakaran yang lebih rendah (9.5 berbanding 10.2:1 pada keadaan asal), bagi memastikan ia dapat menyokong pengecas turbo lebih besar yang dibekalkan. Suhu enjin berkenaan dapat dikawal dengan lebih baik menerusi dua unit radiator, tangki tambahan berkapasiti besar, cagak modul penyejuk bebas, liang kawalan elektrik dengan output dipertingkat dan tambahan satu lagi peringkat penyejuk menerusi unit condensor.

    Bahagian luaran enjin ini turut menerima saluran masuk udara dan juga penyerap gegaran yang telah dibangunkan semula, serta sistem ekzos baharu yang bukan sahaja “menghasilkan bunyi tersendiri”, malah turut serasi dengan petrol particulate filter yang dipadankan bagi membolehkan memenuhi standard emisi Euro 6d-TEMP.

    Kesemua sentuhan semula ini membolehkan enjin berkenaan bernafas lebih buas dengan 306 PS (302 hp) bermula 5,000 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,750 hingga 4,500 rpm, atau 75 PS (74 hp)/100 Nm lebih berkuasa dari versi sebelumnya. Ia digandingkan dengan kotak lapan kelajuan automatik (tanpa pilihan manual enam-kelajuan) yang turut dilengkapi penyejuk bendalir transmisi, bersama sistem pacuan semua roda ALL4 serta LSD mekanikal pada gandar hadapan dan belakang.

    Secara tidak langsung, prestasinya juga lebih mengujakan dengan Clubman JCW mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.9 saat (sebelum ini 6.3 saat), manakala Countryman JCW pula mengambil masa 5.1 saat (sebelum ini 6.6 saat) dalam jarak pecutan sama. Kelajuan maksima untuk kedua-dua MINI JCW ini dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Bukan sahaja kuasanya dipertingkat, aspek pengendalian turut diambil kira. Pada suspensi hadapan, galas sendi baharu diberikan bagi mendapatkan sudut camber lebih baik. Manakala pada gandar belakang, ia direka bagi memperbaiki potensi untuk memindahkan daya sisi ketika mengambil selekoh.

    Versi JCW ini juga menerima tingkat taraf casis adaptif berbanding casis sport pada model standard, dan direndahkan sebanyak 10 mm. Manakala untuk brek, bahagian hadapan menerima angkup empat omboh berwarna merah dengan cakera 360 mm, dan belakang pula dilengkapkan dengan cakera 330 mm.

    Namun untuk bahagian luaran, versi JCW ini masih kelihatan agak sama dari model sebelumnya. Untuk Clubman JCW, ia kini dilengkapkan dengan lampu belakang LED bersama grafik bendera Union Jack, sama seperti Clubman varian lain. Secara standard, kedua-dua JCW ini menerima rim isitimewa Black Grip John Cooper Works berdiameter 18-inci, tetapi pembeli masih boleh memilih rekaan lain dalam saiz 18- dan 19-inci.

    Turut hadir sebagai ciri asli adalah lampu hadapan LED dengan fungsi Matrix High Beam, sistem infotaimen Radio MINI Visual Boost bersama sistem Connected/Connected Navigation dan skrin sesentuh 6.5-inci (skrin 8.8-inci dengan Connected Navigation Plus ditawarkan sebagai opsyen), tempat duduk dan roda stereng sport, tuil penukar gear baharu dan pelapik bumbung anthracite.

    MINI John Cooper Works Clubman F54 baharu

    MINI John Cooper Works Countryman F60 baharu

     
     
  • GALERI: Toyota Avanza facelift 2019 – varian E dan S

    GALERI: Toyota Avanza facelift 2019 – varian E dan S

    Selepas berita mengenainya mula kedengaran awal bulan ini, Toyota Avanza facelift 2019 akhirnya membuat penampilan di bilik pameran Petaling Jaya. Ada tiga varian ditawarkan semuanya; bermula dengan Avanza 1.5E paling asas dengan harga RM80,888 tidak termasuk insurans. Ini diikuti oleh varian Avanza 1.5S (RM83,888) dan Avanza 1.5S+ (RM87,888). Jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan juga disertakan.

    Semua varian menggunakan enjin petrol empat-silinder 1.5 liter NA 2NR-VE (unit sama digunakan oleh Rush dan Myvi), dipadankan bersama transmisi automatik empat-kelajuan standard dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 105 PS (103 hp) pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Tiada lagi pilihan transmisi manual lima-kelajuan ditawarkan.

    Penggayaan luaran Avanza baru ini seperti mendapat pengaruh daripada model Vellfire, terutamanya pada bahagian depan di mana kemasan pada grilnya ditarik sehingga ke tepi dan membelah lampu utama kepada dua bahagian. Bahagian bawah bampar pula hampir sama seperti Veloz (Avanza yang lebih sporty) yang dijual di Indonesia.

    GALERI: Toyota Avanza facelift 2019 – varian E dan S

    Pada bahagian belakang, lampunya telah direka semula; ia kini bersambung dengan pemantul cahaya warna merah yang melekat pada pintu but dan mempunyai jalur krom di tengah. Bentuk keseluruhan MPV ini masih sama, dan semua varian menggunakan rim 15 inci dengan tayar 185/65 – varian 1.5S dan 1.5S+ menggunakan rim dua tona warna.

    Lampu utama jenis bi-LED, lampu kabus hadapan, antena bentuk sirip dan spoiler atas bumbung merupakan kelengkapan standard semua varian. Cuma varian paling asas sahaja yang tidak diberikan ciri cermin sisi boleh lipat elektrik, serta tiada kemasan krom dan pemantul cahaya merah di pintu but belakang.

    Untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka telah diubah sedikit dan dipasang dengan panel tengah baru yang memegang skrin infotainmen serta butang kawalan untuk sistem pendingin hawa automatiknya dengan corong khas turut tersedia untuk penumpang belakang.

    GALERI: Toyota Avanza facelift 2019 – varian E dan S

    Varian 1.5S+ juga menerima skrin sesentuh 6.75 inci Display Audio untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Apple CarPlay, Android Auto dan paparan kamera undur. Varian lain cuma menggunakan unit Double-DIN; namun, skrin Display Audio itu turut ditawarkan sebagai pilihan tambahan. Varian asas menggunakan empat pembesar suara manakala varian lain mendapat enam pembesar suara.

    Pada bahagian lain, varian 1.5E mendapat roda stereng urethane biasa dan meter analog, manakala varian lain mendapat butang kawalan pada stereng, kemasan krom, meter yang lebih sporty dan panel instrumen pelbagai info. Semua varian datang dengan tempat duduk dibalut fabrik serta pengecas USB.

    Avanza yang dipertingkat ini masih hadir dengan dua beg udara sahaja, ABS dengan EBD dan cagak ISOFIX di tempat duduk baris kedua. Walaupun begitu, varian 1.5S+ dilengkapi sistem pemantau titik buta serta amaran trafik lintasan belakang (RCTA) – varian lain tidak dilengkapi ciri ini.

    Varian 1.5S+ juga adalah satu-satunya varian yang mendapat perakam video digital hadapan (DVR) sebagai ciri standard, namun ia masih ditawarkan sebagai pilihan tambahan bagi varian lain. Pembeli juga boleh menambah kamera DVR untuk bahagian belakang atau monitor pandangan keliling untuk 1.5S+.

    Toyota Avanza 1.5 S 2019

    Toyota Avanza 1.5 E 2019