Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volkswagen Malaysia catat peningkatan 15.8% bagi 2018, beri tumpuan tingkatkan khidmat lepas jualan

    Volkswagen Malaysia catat peningkatan 15.8% bagi 2018, beri tumpuan tingkatkan khidmat lepas jualan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 15.8% atau bersamaan 7,001 unit kenderaan sepanjang 2018 jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Menurut Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, antara faktor terbesar yang menyumbang terhadap perkembangan berkenaan ialah tempoh “cuti cukai” pada Jun-Sept tahun lalu.

    Untuk itu, bagi tahun 2019, momentum positif berkenaan ingin diteruskan melalui banyak pendekatan dan penambahbaikan yang telah dan sedang diusahakan oleh VPCM untuk pelanggan-pelanggannya. Berada dalam perancangan syarikat untuk tahun ini ialah pengenalan dua lagi model baru untuk pasaran Malaysia. Pertama, Volkswagen Passat facelift dan kedua, sedan flagship yang ditunggu-tunggu, Volkswagen Arteon, yang sebelum ini pernah dipertontonkan kepada umum ketika acara PACE Paultan.org tahun lalu.

    Selain itu, satu acara penting turut direncanakan pada Julai nanti; sebagai tanda hormat dan selamat tinggal kepada model Volkswagen Beetle yang tidak akan dikeluarkan lagi selepas ini. Model ikonik Beetle akan menjadi sejarah selepas Volkswagen memutuskan tidak akan memperkenalkan model baru bagi kereta berkenaan lagi di masa hadapan.

    Khidmat lepas jualan juga diberi perhatian khusus. Dalam perkembangan terbaru, Volkswagen menjalankan proses konsolidasi terhadap pengedar dan pusat servis sedia ada, yang turut menyaksikan beberapa pusat servis telah ditutup. Ini bertujuan meningkatkan kecekapan serta kos operasi yang ideal untuk menampung keperluan pelanggan. Dengan sembilan pusat pengedar 4S dan 15 pusat pengedar 3S di seluruh negara, jumlah berkenaan dirasakan memadai untuk memberikan servis terbaik kepada pelanggan.

    Volkswagen Malaysia catat peningkatan 15.8% bagi 2018, beri tumpuan tingkatkan khidmat lepas jualan

    Stok tersedia alat ganti juga antara perkara yang diberi perhatian. Selepas ini, gudang serantau alat ganti yang terletak di Johor Bahru akan menyimpan stok bagi 95% alat ganti lazim untuk kenderaan Volkswagen. Ini akan membolehkan masa yang lebih singkat bagi mendapatkan alat ganti pelanggan.

    Selain itu, kadar baikpulih berulang pada kendearan Volkswagen juga sudah dapat dikurangkan dengan drastik iaitu sebanyak 98% sejak tahun 2014; misalnya, kini tiada lagi masalah berulang berkaitan kotak gear seperti yang dihadapi oleh ramai pelanggan sebelum ini. Bagi kenderaan yang masih berada dalam tempoh jaminan yang terpaksa membuat tuntutan, tempoh yang diperlukan untuk memproses tuntutan akan diselesaikan dalam masa lima hari bekerja.

    Dengan pihak pengurusan baru yang mengambil alih operasi jenama ini di Malaysia sejak 2016, Volkswagen sangat komited untuk memperbaiki tahap perkhidmatannya terhadap pelanggan. Produk berkualiti dengan khidmat lepas jualan yang juga berkualiti akan menjadi teras kepada penawaran perkhidmatan VPCM untuk pasaran Malaysia. Jika anda merupakan pelanggan Volkswagen sejak beberapa tahun ini, adakah anda merasakan perbezaan terhadap perkhidmatan yang diberikan kini?

     
     
  • Scrut.my mampu periksa rekod asal kereta ‘recond’ – elak penipuan bacaan odometer dan kondisi kereta

    Scrut.my mampu periksa rekod asal kereta ‘recond’ – elak penipuan bacaan odometer dan kondisi kereta

    Penipuan berkenaan bacaan sebenar odometer buat masa sekarang sudah menjadi lumrah dalam perniagaan kereta terpakai. Dengan penggunaan meter perbatuan digital, proses untuk ‘memusingkan semula’ bacaan odometer tersebut kini menjadi lebih mudah dengan menggunakan gajet khas bagi melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ini.

    Kedai-kedai kereta terpakai yang tidak bertanggungjawab berkenaan melakukan perkara tersebut adalah untuk menyakinkan pembeli bahawa kereta yang hendak dijual itu berada dalam keadaan sangat baik dengan perbatuan yang rendah, seterusnya dapat menjualnya dengan harga tinggi.

    Jika anda membeli kereta terpakai tempatan, anda masih ada harapan untuk mengesan penipuan ini dengan pusat servis bertauliah pengeluar-pengeluar dengan memeriksa rekod servis kereta tersebut hanya menerusi semakan nombor casis atau VIN kenderaan berkenaan pada pangkalan data mereka. Tetapi jika anda mahu membeli kenderaan terpakai yang diimport dari Jepun (atau lebih dikenali sebagai ‘kereta recond’), bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

    Untuk pengetahuan anda, majoriti pengeksport kereta-kereta sebegini mendapat bekalan stok mereka dari syarikat-syarikat lelongan di Jepun. Berita baik untuk anda, kerana dengan inisiatif Scrut.my, anda kini boleh menyemak rekod kenderaan yang anda hendak beli berkenaan ketika ianya melalui proses lelongan.

    Scrut.my mampu periksa rekod asal kereta ‘recond’ – elak penipuan bacaan odometer dan kondisi kereta

    Dengan hanya memberikan nombor casis atau VIN serta bayaran serendah RM50, Scrut.my akan memberikan salinan senarai semak kereta tersebut ketika dilelong – mempunyai maklumat seperti bacaan odometer sebenar, kelengkapan-kelengkapan yang ada, kerosakan-kerosakan dan juga gambar sebenar ketika kereta berkenaan dilelong.

    Setiap kereta yang dilelong juga sebenarnya telah diberikan gred oleh syarikat lelongan seperti S untuk kereta baharu, gred 5 hampir seperti baharu, 2 untuk keadaan yang sangat teruk dan tidak boleh dipandu dan R atau 0 untuk kenderaan yang pernah terlibat dengan kemalangan – kesemua ini ada diperincikan dalam laporan pemeriksaan lelongan berkenaan.

    Walau bagaimanapun, setakat ini Scrut.my hanya membekalkan rekod hanya untuk kenderaan import terpakai yang di lelong di Jepun, dan rekod berkenaan bermula pada tahun 2007. Untuk keterangan lebih lanjut, anda boleh semak sendiri di laman Scrut.my.

    Rekod-rekod sebegini sebenarnya bukan sahaja penting untuk anda mengetahui keadaan sebenar kereta yang akan anda beli berkenaan, malah ia sangat penting bagi tujuan penyelenggaraan yang betul. Misalnya, jika sesebuah kereta itu timing belt pada enjinnya perlu ditukar pada 85,000 km dan bacaan odometer sebenrnya adalah 78,000 km, malangnya penjual telah memusingkan kembali odometer pada bacaan 25,000 km, enjin anda mungkin rosak teruk berpunca dari timing belt yang putus kerana anda tidak tahu bahawa ia telah sampai masa untuk ditukar.

     
     
  • Projek perintis RFID Touch ‘n Go perlu dilanjutkan – tambahbaik sistem, isu teknikal harus diselesaikan

    Projek perintis RFID Touch ‘n Go perlu dilanjutkan – tambahbaik sistem, isu teknikal harus diselesaikan

    Nampak gayanya Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol masih belum bersedia untuk digunakan secara rasmi dan lebih meluas lagi. Ini kerana syarikat konsesi lebuhraya termasuk Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) sedang bekerjasama dengan Touch ‘n Go (TNG) untuk mengumpul maklum balas daripada pengguna yang telah berdaftar dalam projek perintis itu. Ia adalah bagi penambahbaikan sistem dan beberapa isu teknikal lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

    Menurut Timbalan Pengurus Besar SMART, Mohd Noor Ali berkata, “Sepanjang tempoh percubaan itu, kami mendapati beberapa penambahbaikan perlu dilakukan sebelum ia betul-betul dapat digunakan secara rasmi antaranya tahap pengesanan terhadap kod bar daripada pelekat kereta serta kesinambungannya terhadap aplikasi ‘E-Wallet’.

    “Berbanding dengan kad fizikal yang menolak baki secara terus, RFID perlu digunakan bersama-sama dengan aplikasi namun kami mendapati masih ada ‘masalah’, jadi penambahbaikan itu perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Projek perintis RFID Touch ‘n Go perlu dilanjutkan – tambahbaik sistem, isu teknikal harus diselesaikan

    Beliau berkata pada masa sekarang, tempoh percubaan bagi projek perintis RFID bergantung kepada laporan dan maklum balas daripada syarikat-syarikat konsesi tol dan orang ramai.

    “Setakat ini, pihak konsesi ada menerima beberapa maklum balas berkenaan sistem RFID seperti palang tidak dibuka, ‘pengesanan yang lembap’ dan terlebih caj. Sekiranya sistem dapat ditambah baik, maka penggunaan secara rasmi akan diumumkan oleh kerajaan kelak,” katanya.

    Sistem RFID menggunakan cip frekuensi radio yang terkan­dung dalam satu pelekat ditampal pada sesebuah kenderaan dan akan menggantikan pera­nan peranti tag pintar (SmartTAG). Ketika kereta dengan kit RFID ini melalui plaza tol, pengimbas yang terletak di bahagian atas akan membaca gelombang frekuensi daripada pelekat berkenaan dan akan menolak nilai tol yang dikenakan dari e-wallet yang dihubungkan padanya.

    Projek perintis RFID ini telah pun bermula sejak September lalu, dan sehingga April tahun ini, terdapat lebih 200,000 penguji yang terdiri daripada orang awam, di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Buat masa ini, terdapat 167 lorong RFID TNG yang beroperasi di 23 lebuhraya, melibatkan 58 plaza tol, antaranya Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Sprint, Plaza Tol Loke Yew (Lebuhraya BESRAYA) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

     
     
  • Apollo buka pusat servis Zon Trak Tayar pertama di Asia Tenggara – Batu Pahat sebagai lokasi pilihan

    Apollo buka pusat servis Zon Trak Tayar pertama di Asia Tenggara – Batu Pahat sebagai lokasi pilihan

    Apollo Tyres, salah satu pengeluar tayar terkemuka di dunia telah merasmikan Zon Trak Tayar Zon Apollo (Apollo Truck Tyre Zone – ATTZ) di Malaysia, sebuah pusat sehenti untuk tayar kenderaan komersil. Ia diuruskan oleh Sin Chu Hin, salah seorang perintis dan pakar di dalam industri tayar di selatan Malaysia.

    Satish Sharma, Presiden, Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Apollo Tyres Ltd berkata, “ATTZ menggabungkan pengalaman luas Apollo berkaitan trak dan bas dengan pengalaman 80 tahun Siu Chu Hin dalam pasaran tempatan. Ini dapat memberikan pelbagai servis dan solusi untuk para pelanggan kami di Malaysia dan mengukuhkan lagi keazaman kami untuk komited dalam industri automotif di Malaysia.”

    ATTZ dilengkapi dengan alatan canggih termasuk mesin penjajaran tayar berkomputer untuk trak dan treler, penukar tayar automatik dan akan turut menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh berkaitan tayar untuk trak dan bas. Servis ini dijangka akan mengurangkan kos penyelenggaraan pelanggan serta menjimatkan penggunaan minyak.

    Sempena pelancaran zon trak tayar tersebut dan musim perayaan Hari Raya yang bakal tiba, Apollo Tyres menawarkan para pelanggannya baucar dengan setiap pembelian tayar lori. ATTZ turut menawarkan pakej servis istimewa untuk semua jenis tayar kenderaan komersil dalam pasaran.

    Berlokasi di No 2, Jalan Kolek, Kawasan Perindustrian Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor, ATTZ dibuka dari Isnin hingga Sabtu, 9 pagi hingga 7 malam untuk memenuhi permintaan pelanggan terutamanya bagi mereka yang datang daripada jauh.

     
     
  • Volkswagen Sound & Style Edition untuk Golf, Passat dan Tiguan – lebih gaya dan sistem bunyi lebih baik

    Volkswagen Sound & Style Edition untuk Golf, Passat dan Tiguan – lebih gaya dan sistem bunyi lebih baik

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan versi istimewa dikenali sebagai Sound & Style Edition untuk tiga modelnya iaitu Golf, Passat dan Tiguan. Seperti namanya, model-model ini dilengkapi dengan aksesori istimewa khas terdiri dari kelengkapan untuk sistem audio dan juga estetika.

    Untuk Golf, ia dihasilkan menggunakan asas varian R-Line, dan ditambah dengan soundbar 300-watt dari pakar sistem audio Jerman, Helix. Selain itu, ia turut menerima filem penapis haba asli VW Tint serta emblem istimewa Sound & Style. Secara keseluruhan, kesemua aksesori tambahan yang diberikan ini adalah bernilai RM4,000, dan model tersebut dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM178,110.

    Perincian R-Line yang lain masih lagi kekal pada versi istimewa ini termasuk kit badan R-Line, rim aloi ‘Singapore’ 17-inci, lampu hadapan LED, lampu belakang LED bersama lampu isyarat membelok dinamik, sistem pendingin hawa dua-zon serta sistem infotaimen Composition Media dengan skrin 8-inci.

    Unit janakuasa juga tidak menampilkan sebarang perubahan dengan gandingan enjin petrol turbo empat-silinder 1.4 liter TSI berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm, bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan untuk memacu roda hadapan.

    Beralih ke Passat, versi Sound & Style untuk sedan segmen-D ini diberikan pada dua varian iaitu Comfortline dan Highline. Model pertengahan dijual pada harga RM189,619.20, manakala varian tertinggi Highline pula berharga RM212,412 dengan nilai aksesori keseluruhan masing-masing adalah RM12,000 dan RM16,000.

    Untuk aksesori tambahan istimewa Sound & Style, kedua-dua varian berkenaan hadir standard dengan soundbar Helix, VW Tint, emblem istimewa, set pedal aluminium sport, dan juga scuff plate sisi.

    Passat Sound & Style Comfortline diberikan rim aloi ‘Dartford’ 18-inci bagi menggantikan rim ‘Istanbul’ 17-inci pada model standard. Manakala untuk Passat Sound & Style Highline pula menerima rim aloi ‘Verona’ 19-inci berbanding versi standard yang hadir dengan rim ‘Dartford’ 18-inci.

    Namun sama seperti model standard, Passat Comfortline dijana oleh enjin petrol turbo 1.8 liter TSI berkuasa 180 PS/250 Nm bersama kotak gear DSG tujuh-kelajuan, manakala Passat Highline pula tampil lebih berkuasa dengan enjin 2.0 liter TSI menjana 220 PS/350 Nm dengan transmisi DSG enam-kelajuan.

    Bagi SUV segmen-C Tiguan Sound & Style Edition pula, ia diasaskan dari varian Highline dengan penambahan jalur kemasan krom pada pintu tailgate belakang, tip ekzos krom, spoiler bumbung berwarna hitam, filem penapis haba, emblem khas dan juga soundbar Helix.

    Ciri standard Tiguan Highline masih dapat dilihat pada versi ini, terdiri dari rim aloi 18-inci ‘Kingston’, sistem pendingin hawa tiga-zon, skrin 8-inci Discover Media untuk sistem infotaimen dan juga upholsteri kulit Vienna. Tiada perubahan juga pada sistem janakuasa, di mana perut Tiguan ini masih dihuni enjin 1.4 liter TSI berkuasa 150 PS/250 Nm bersama kotak gear DSG automatik dengan klac basah enam-kelajuan.

    Sama seperti model-model VW yang lain, Golf, Passat dan Tiguan Sound & Style Edition ini masih menerima waranti lima tahun tanpa had perbatuan, pakej penyelenggaran percuma tiga tahun/45,000 km, bersama bantuan tepi jalan selama lima tahun.

    Volkswagen Golf 1.4 TSI R-Line Sound & Style

    Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline Sound & Style

    Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Sound & Style

     
     
  • TUNGGANG UJI: Yamaha Tracer 900 GT – benarkah naik taraf baru membantu berikan lebih kepuasan?

    TUNGGANG UJI: Yamaha Tracer 900 GT – benarkah naik taraf baru membantu berikan lebih kepuasan?

    Semasa Yamaha Tracer mula-mula memasuki pasaran Malaysia beberapa tahun lepas, saya sendiri agak teruja kerana saya memang menggemari MT-09 yang digunakan sebagai asas motosikal ini, dan kemudiannya, Tracer ini ibarat sebuah model yang lebih praktikal kerana dijadikan lebih selesa, terutamanya untuk perjalanan jauh.

    Saya masih ingat, semasa dapat mengujinya, Tracer meninggalkan kesan yang positif, dan merata tempat saya pergi, termasuklah Cameron Highland. Disebabkan saya banyak menunggang pelbagai motosikal, biasanya apabila ditanya tentang sebuah model, susah untuk saya ingat secara terperinci.

    Jawapan ringkas saya selalunya ‘boleh beli’ atau ‘jangan’, dan kalau mereka masih mahukan jawapan terperinci, saya akan suruh mereka merujuk kembali laporan tunggang uji saya sebelum ini. Untuk Tracer, saya memang boleh mengesyorkannya kepada mereka yang berminat kerana ia sebuah model yang baik, dan harganya juga tidak terlalu tinggi (RM52,000 untuk model CKD).

    Sekarang masuk tahun 2019, model baru Tracer GT yang diberi peningkatan sudah pun masuk ke pasaran Malaysia. Harganya meningkat sekitar RM9k, tapi anda akan menerima pelbagai kelengkapan lebih moden seperti quickshifter, cruise control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan serta panel instrumen TFT yang dibangunkan daripada model R1.

    Daripada senarai pembaharuan ini pasti anda sudah boleh menjangka lebih kepuasan memiliki Tracer GT, tapi saya boleh katakan anda mungkin mahu membaca keseluruhan laporan tunggang uji ini kerana ada beberapa perkara yang memberi kejutan kepada saya dan sedikit mengubah pandangan saya kepada model ini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Kia sebar lakaran pertama SUV segmen-B baharu

    Kia sebar lakaran pertama SUV segmen-B baharu

    Kia telah menyebarkan lakaran pertama bagi SUV kompak akan datang, yang hanya akan didedahkan pada musim panas ini. Pada dasarnya, ia merupakan versi produksi bagi SP Signature Concept yang didedahkan pada April lalu, tetapi peliknya pasaran Eropah (termasuk United Kingdom) tidak tersenarai untuk mendapatnya.

    Ia akan mula dijual di Korea terlebih dahulu pada tahun ini juga, disusuli dengan pasaran global lain. Pengeluar kereta berkenaan menggambarkannya sebagai sesuai untuk “generasi milenium dengan rekaan moden yang sofistikated”.

    Berdasarkan lakaran yang disebarkan ini, SUV Kia yang belum didedahkan namanya ini cukup mirip dengan model konsep yang diperkatakan, dengan terdapat beberapa ciri yang disemak semula. Bonetnya yang lebih penjang, dan dipadankan bersama kepingan kemasan yang diletakkan di atas gril “tiger nose”.

    Sama seperti model konsep, lampu utama LED disambungkan pada gril dengan grafik pencahayaan tiga-dimensi bersama paten berlian pada setiap sudutnya. Corong yang agak kecil terletak di bawah gril utama dan seksyen melengkung di bawah lampu utama juga ternyata dibawa daripada model konsep, begitu juga dengan rekaan pada apron bawah.

    Kia sebar lakaran pertama SUV segmen-B baharu

    Di belakang pula, lampunya senada dengan kluster hadapan, dengan kepingan kemasan pada logo Kia yang terletak di antaranya. Bahagian yang dilitupi pada bampar termasuk lampu kabus/reflektor belakang, sementara diffuser yang menyerlah dengan dwi “ekzos” memberikan SUV ini penampilan yang cukup bergaya.

    Walau bagaimana pun, Kia tidak memberikan lakaran untuk bahagian dalamannya, tetapi dijangkakan akan lebih kurang sama dengan model konsep, termasuk paparan skrin lebar yang mengambil tempat pada sebahagian papan pemukanya. Apa pun, ia masih kekal misteri sehinggalah Kia bersedia mendedahkan sepenuhnya.

    “Kami mencipta kereta yang mampu menyerlah di mana-mana jua, dari bandar hinggalah ke kawasan pedalaman. Ia dipadankan bersama rekaan yang cukup sporty sesuai dengan pelbagai ciri dan teknologi yang ditampilkan. Sesuai untuk pembeli muda di pasaran di seluruh dunia. SUV bersaiz kecil baharu ini cukup tersendiri yang mana tiada kenderaan lain berada dalam kelasnya,” ujar Byung Chul Juh, ketua pereka di Kia Styling, Kia Motors Corporation.

     
     
  • Tiga lagi zon laluan RapidKL guna bayaran elektronik

    RapidKL telah umumkan tiga lagi laluan basnya telah mula menggunakan sistem bayaran elektornik. Tiga zon yang dimaksudkan ialah Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang. Ini merupakan tambahan terbaru kepada empat lagi zon laluan yang terlebih dahulu tidak lagi menerima bayaran tunai sebelum ini; Cheras, Sungai Besi, Jalan Klang Lama dan Ampoang. Bas perantara MRT pula tidak lagi menerima bayaran tunai sejak Februari lalu.

    Ini bermaksud, jika anda ingin menaiki perkhidmatan bas RapidKL, anda tidak lagi boleh membayar menggunakan wang tunai. Penumpang boleh menggunakan sama ada kad Touch ‘n Go atau pas tanpa had Rapid KL (My100 atau My50). Pengguna kad TnG layak menerima potongan 20% bagi tambang bas.

    Dengan pelaksanaan sistem tanpa tunai ini, golongan pelajar, warga emas dan orang kurang upaya tetap akan dapat menikmati potongan separuh harga tambang, tetapi mereka perlu memohon untuk mendapatkan kad konsesi MyRapid Touch ‘n Go.

    Bagi penumpang yang tidak mempunyai kad, mereka boleh mendapatkannya ketika berada di dalam bas dengan kos RM10, dengan kredit tersedia sebanyak RM4.80. Pelaksanaan bayaran elektronik akan dilakukan secara berperingkat, dengan zon terakhir untuk menggunakan sistem sama menjelang hujung bulan ini nanti.

     
     
  • Renault Zoe jadi pilihan MAHB bagi digunakan di KLIA

    Renault Zoe jadi pilihan MAHB bagi digunakan di KLIA

    Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan telah memajak dua unit kenderaan elektrik (EV), Renault Zoe, untuk digunakan dan diuji di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Memetik laporan Bernama, langkah tersebut diambil sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi mengurangkan pelepasan karbon.

    Selain itu, MAHB turut berkata ia sebagai sebahagian daripada usaha bagi mengoptimumkan kos operasi dan pemampanan Akreditasi Karbon Lapangan Terbang di Tahap 30-pengoptimis yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI). Malah turut berhasrat menambah jumlah EV sekiranya data yang dikumpulkan dari penggunaan pada masa sekarang membuktikan ia bagus.

    “MAHB berhasrat menggantikan kereta menggunakan minyak sekarang ini kepada EV kerana ia boleh menyumbang kepada pengurangan pelepasan 19,000kg karbon dioksida yang dihasilkan setiap kereta dalam setahun,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

    Diperkenalkan di Malaysia oleh TC Euro Car, pengedar Renault di sini, pada Mac 2016, Zoe merupakan hatchback lima-pintu dari segmen-B yang diperkenalkan di peringkat dunia pada 2012. Zoe menampilkan unit janakuasa elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik tunggal berkuasa 87 hp pada takat 3,000 hingga 11,300 rpm dan tork 220 Nm bermula seawal 250 hingga 2,500 rpm. Motor elektrik Zoe dijana bateri lithium-ion 22 kWh.

    Zoe mampu mencapai 48 km/j dari kedudukan pegun dalam masa empat saat dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.5 saat. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksima 135 km/j. Ia ditawarkan pada harga RM145,888 tanpa insurans.

    Pada tahun lalu, Zoe dipertingkatkan dengan motor elektrik R110 baharu, dengan kuasa meningkat sehingga 108 hp, 225 Nm dan 0-100 km/j dalam 11.4 saat. Kini dengan bateri lithium-ion 41 kWh, ia didakwa boleh digunakan sehingga 300 km. Namun unit yang dipilih oleh MAHB merupakan versi asal dengan motor R90.

     
     
  • SPYSHOT: Lexus GX 2020 sedang diuji – bakal dipadankan dengan kotak gear auto 10-kelajuan?

    SPYSHOT: Lexus GX 2020 sedang diuji – bakal dipadankan dengan kotak gear auto 10-kelajuan?

    Prototaip untuk Lexus GX 2020 dikesan sedang diuji di California Selatan, dan menerusi foto yang berjaya dirakamkan ini, rekaan keseluruhan bagi unit yang diuji ini tidak begitu banyak bezanya dengan model semasa. Tapi bahagian hadapannya telah ditutup pelekat hitam, seakan menyembunyikan perubahan yang dilakukan.

    Kalau dilihat dari dekat, kelihatan perubahan pada gril gelendong yang menjadi trademark Lexus, bersaiz sedikit besar. Manakala lampu utamanya mungkin disemak semula, kebarangkalian menampilkan tiga unit LED projektor. Selain itu, kebanyakan ciri masih kelihatan sama termasuk pemijak tepi, cermin sisi, lampu belakang LED dan bampar belakang.

    Di dalamnya pula melibatkan perubahan yang minimum. Berdasarkan foto ini, hanya satu komponen yang tampil berbeza iaitu roda stereng – model facelift bakal menerima unit tiga-jejari, seperti yang dipadankan pada RX. Lain-lain ciri termasuk paparan skrin sesentuh lapan-inci dengan kamera undur nampaknya masih dikekalkan.

    Di bawah bonetnya, GX sepatutnya dijanakan oleh enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu 1UR-FE 4.6 liter V8 petrol. Ia menghamburkan kuasa 301 hp dan tork 446 Nm, dan ada desas-desus menyatakan ia mungkin bakal dipadankan dengan kotak gear Lexus terkini – automatik Direct-Shift 10-kelajuan, bagi menggantikan auto enam-kelajuan A760F yang lama. Kotak gear ini sepatutnya dipadankan untuk semua model pacuan roda-belakang Lexus, termasuk GX 4×4.

    Untuk yang tidak begitu mengenali GX, ia adalah asas bagi versi mewah Toyota Land Cruiser Prado. Pilihan enjin untuk Toyota termasuk unit baharu 2.8 liter D-4D turbodiesel dengan 177 hp dan 450 Nm (untuk Eropah barat), 2.7 VVT-i petrol empat-silinder sebaris dengan 161 hp/246 Nm (untuk Eropah timur) dan 4.0 liter V6 VVT-i dengan 249 hp/381 Nm.

    Ciri yang ditampilkan termasuklah suspensi udara Rear Adjustable Height Control (AHC) dengan sistem
    Adaptive Variable Suspension (AVS) dan Hill-start Assist Control (HAC), Crawl Control (diambil daripada LX 570), Downhill Assist Control (DAC), dan Active Traction Control (A-TRAC).

     
     
  • GALERI: Toyota Supra GR A90 dilancarkan di Amerika

    GALERI: Toyota Supra GR A90 dilancarkan di Amerika

    Beberapa bulan selepas buat penampilan global sulung di Detroit Auto Show tahun ini, Toyota Supra A90 kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Amerika Syarikat; ini kali pertama model berkenaan dijual di negara terbabit bagi tempoh 21 tahun terakhir.

    Untuk pasaran di sana, Supra ditawarkan dalam tingkat pilihan 3.0 dan 3.0 Premium, begitu juga dengan Edisi Pelancaran yang menggunakan asas 3.0 Premium. Tiada pilihan enjin 2.0 liter empat-silinder ditawarkan untuk AS – semuanya menggunakan enjin 3.0 liter turbocaj enam-silinder sebaris.

    Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 335 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 495 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm dan dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ke roda belakang. Dari sudut prestasi, ia boleh memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya 4.1 saat, dengan laju maksimum dihadkan kepada 249 km/j. Toyota memaklumkan kadar penggunaan minyaknya ialah 11 km bagi setiap liter.

    GALERI: Toyota Supra GR A90 dilancarkan di Amerika

    Kereta ini turut dilengkapi dengan differential aktif yang menggunakan motor elektrik dan beberapa klac untuk mengagihkan tork antara roda belakangnya. Semua unit datang dengan rim 19-inci dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35 di depan dan 275/35 di belakang.

    Lain-lain fungsi yang melengkapinya termasuk Launch Control Function, mod Normal dan Sport serta mod cengkaman. Kawalan cengkaman merupakan sebahagian daripada ciri VSC dan memastikan sistem kawalan kestabilan dan cengkaman kurang mengganggu satu sama lain ketika diaktifkan.

    Kelengkapan standard yang lain termasuk lampu utama LED di depan dan belakang, sistem ekzos aktif diperbuat daripada besi tahan karat, paparan instrumen kluster digital 8.8-inci, kerusi “bucket” larasan lapan-arah, kawalan pendingin hawa dua zon, perincian kemasan gentian karbon, stereng balutan kulit, paparan infotainmen 6.5-inci dan sistem audio 10-pembesar suara.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Nissan X-Trail 2019 – dari RM134k

    Kami telah sediakan liputan yang menyeluruh berkaitan Nissan X-Trail 2019 versi facelift terbaru. Bermula dengan laporan bertulis berkaitan pengenalannya secara rasmi untuk pasaran Malaysia, yang kemudiannya disusuli pula oleh laporan pandu uji yang memberi tanggapan terhadap semua varian yang ditawarkan ketika ini.

    Bagi kandungan video pula, telah ada tiga sebelum ini. Pertamanya video tinjauan ringkas yang memperkatakan perbezaan varian yang ada, diikuti oleh video berkaitan ciri keselamatan Nissan Intelligent Mobility. Tidak lupa juga video “drag race” yang melihat perbezaan aspek prestasi antara varian yang berbeza berkenaan. Dan kini, kami kongsikan pula video pandu uji dan berkongsi pandangan tentang aspek pengendalian SUV dari Nissan ini.

    Sekadar makluman, Nissan X-Trail 2019 ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan yang paling asas 2.0L 2WD pada harga RM133,888; 2.0L 2WD Mid pada RM145,888; 2.5L 4WD pada RM153,888 dan yang paling tinggi, 2.0L Hybrid 2WD pada harga RM159,888. Semua varian menerima pengiktirafan EEV dan berkongsi sistem transmisi yang sama – Xtronic CVT dengan mod manual.

    Model ini juga didatangkan jaminan lima-tahun, yang turut termasuk peralatan sistem hibrid serta pek bateri lithium-ion 0.9 kWh. Adakah Nissan X-Trail 2019 ini cukup meyakinkan anda untuk dipertimbangkan sebagai SUV untuk dimiliki?

    GALERI: Nissan X-Trail 2.0L 2WD

    GALERI: Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid

    GALERI: Nissan X-Trail 2.5L 4WD

    GALERI: Nissan X-Trail 2.0L Hybrid 2WD

     
     
  • Volvo lancar kempen guna tali keledar keselamatan

    Volvo lancar kempen guna tali keledar keselamatan

    Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, serta ulang tahun ke-60 tali pinggang keselamatan kenderaan, Volvo Car Malaysia (VCM) telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya #SafeDrive bersama Volvo Car Malaysia, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran pentingnya penggunaan alat berkenaan bagi semua penumpang dalam kenderaan.

    “Semua teknologi termaju dalam kenderaan kini tidak akan menjadi berkesan sekiranya tali pinggang keselamatan tidak digunakan. Salah tanggapan bahawa beg udara, struktur kerangka dan sistem keselamatan aktif yang lain semata-mata mampu memberi perlindungan adalah tidak tepat,” jelas Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain.

    Tali pinggang keselamatan dalam kenderaan telah direka oleh seorang jurutera Volvo, Nils Bohlins pada tahun 1959, dan menjadi inovasi keselamatan paling penting yang pernah dihasilkan untuk kenderaan. Menyedari kepentingannya, Volvo membuka paten alatan berkenaan untuk kegunaan syarikat-syarikat lain. Berdasarkan data dalaman yang dikumpul Volvo sejak 1960an, kira-kira sejuta nyawa telah berjaya diselamatkan oleh alat yang ringkas ini.

    “Volvo terus memperkenalkan inovasi keselamatan termaju. Tetapi, teknologi paling asas inilah yang akan memastikan keberkesanan ciri yang lain. Kami bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Kajian Kemalangan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan penggunaan tali keselamatan ini. Dengan kadar penggunaan yang lebih tinggi, jumlah kehilangan nyawa dan kecederaan di jalan raya juga pastinya berkurang,” tambah Jain.

    Berdasarkan data MIROS pada 2017, purata 16 kemalangan maut dicatatkan sehari sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, satu angka yang membimbangkan. Satu cara paling berkesan untuk menurunkan angka ini ialah dengan memastikan semua penumpang dalam kenderaan menggunakan tali pinggang keselamatan yang tersedia.

     
     
  • Honda Malaysia rai pemilik Civic yang ke-130,000 – tawar rebat sehingga RM5,000 sempena Ramadan

    Honda Malaysia rai pemilik Civic yang ke-130,000 – tawar rebat sehingga RM5,000 sempena Ramadan

    Honda Malaysia telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri dengan penghantaran Civic yang ke-130,000 buat pemiliknya. Pencapaian yang mengagumkan ini adalah hasil jualan Civic sejak generasi ke-tujuh yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2001, sekali gus menunjukkan penerimaan pasaran yang sangat memberangsangkan. Sehingga kini, Civic masih mengekalkan posisinya sebagai pendahulu segmen-C di pasaran Malaysia.

    Pemilik Civic yang ke-130,000 itu, Fatihah Abdul Kadir, telah diraikan dalam majlis ringkas di salah satu pengedar Honda, Botanic Auto Mall Sdn.Bhd. Memilih varian 1.5L VTEC Turbocharged Premium dengan warna Dark Ruby Red, katanya, “Saya memang sudah lama menjadi peminat Honda dan sebelum membeli Civic ini, saya pernah memiliki Honda Stream. Saya sangat tertarik dengan ciri inovatif dan premium yang ada pada Civic. Saya menempahnya pada awal tahun ini dan perlu menunggu sedikit masa untuk mendapatkannya. Ternyata penantian tersebut sangat berbaloi apabila saya menjadi pemilik Civic yang ke-130,000 di Malaysia.”

    Civic menjadi model Honda yang paling popular di Malaysia, dengan generasi ke-tujuh mencatatkan jualan sebanyak 9,300 unit, manakala generasi ke-lapan menyumbang hampir 50,400 unit. Disusuli dengan generasi ke-sembilan sebanyak 27,000 unit dan generasi ke-10 yang dilancarkan pada 2016 dengan generasi pertama yang dikuasakan oleh enjin pengecas turbo, sehingga kini terjual lebih 42,200 unit.

    Honda Malaysia rai pemilik Civic yang ke-130,000 – tawar rebat sehingga RM5,000 sempena Ramadan

    Timbalan Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, “Kami merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat semua 130,000 pemilik Civic di Malaysia. Walau pun terdapat jualan yang terhad pada awal tahun ini, namun Civic masih terus menguasai segmen-C dengan perkongsian pasaran tertinggi iaitu mencecah 77%. Malah buat masa ini kami masih kekal di tangga pertama dalam Segmen Bukan-Nasional dan di tangga kedua dalam posisi bagi Keseluruhan Jumlah Industri (TIV).”

    Varian 1.5 Turbo yang pertama kali diperkenalkan bagi model Civic dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo dengan hamburan kuasa sehingga 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork puncak 220 Nm antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Antara ciri yang ditampilkan pada varian ini termasuklah Kawalan Menghidup Enjin, fungsi Walk Away Auto Lock, Brek Parkir Elektronik, Penahan Brek Auto dan enam beg udara.

    Sempena dengan Ramadan ini, Honda Malaysia turut menawarkan ganjaran istimewa sehingga RM5,000 (tertakluk pada terma dan syarat) kepada para pelanggannya menerusi kempen “Nikmati Hadiah Istimewa Sempena Ramadan”. Kempen ini bermula sejak 1 Mei lalu dan bakal berakhir pada 31 haribulan ini. Di mana varian Civic ini turut ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM108,165.

     
     
  • Mitsubishi M’sia anjur peraduan 4Sure Best Raya – pandu uji, peluang makan malam dengan selebriti

    Mitsubishi M’sia anjur peraduan 4Sure Best Raya – pandu uji, peluang makan malam dengan selebriti

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menganjurkan peraduan 4Sure Best Raya di mana 10 pemenang bertuah bakal berpeluang menikmati makan malam bersama selebriti tempatan, Izzue Islam dan Amyra Rosli. Untuk menyertai peraduan ini, anda hanya perlu memandu uji mana-mana model Mitsubishi di cawangan pengedaran berhampiran.

    Tapi sebelum itu, anda perlulah mengisi borang pandu uji secara dalam talian menerusi laman web rasmi MMM. Kemudian, pihak pengedar akan menghubungi anda dan membuat temujanji untuk sesi pandu uji tersebut. Peraduan 4Sure Best Raya ini sedang berlangsung sehinggalah 2 Jun ini. Pemenang akan diumumkan pada 10 Jun ini menerusi laman Facebook MMM dan juga akan dimaklumkan menerusi panggilan telefon. Majlis makan malam tersebut pula akan berlangsung pada 22 Jun ini.

    “Kami memilih untuk bekerjasama dengan Izzue Islam kerana beliau merupakan aktor terkenal di Malaysia dan juga pemilik Triton, sesuai dengan gaya hidup yang mencabar termasuk penuh keyakinan dalam kerjayanya, di samping memandu Triton dengan keseronokan. Manakala Amyra pula merupakan aktres terkenal Malaysia dan juga seorang yang berorientasikan kekeluargaan dan pastinya mementingkan aspek keselamatan untuk keluarganya. Justeru, Outlander sangat bertepatan dengannya sebagai kenderaan keluarga yang mempunyai tujuh tempat duduk,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO bagi MMM.

    MMM kini juga sedang mengadakan promosi Raya, termasuk menawarkan rebat tunai sebanyak RM6,000 bagi Outlander, sehingga RM12,000 untuk ASX dan RM6,000 untuk pikap Triton.

     
     
  • Perodua tawar kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp dengan harga promosi sempena Aidilfitri

    Perodua tawar kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp dengan harga promosi sempena Aidilfitri

    Bagi bergiat lebih aktif dalam kempen penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan sebelum penguatkuasaan bermula pada tahun 2020, Perodua akan menawarkan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp dengan harga promosi RM660 untuk Kerusi Infant dan RM780 untuk Kerusi Toddler, dikurangkan daripada masing-masing RM785 dan RM975. Kempen promosi ini berlangsung mulai 13 Mei (hari ini) hingga 30 Jun 2019.

    Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Perodua berkata, “Kesedaran dan pematuhan yang masih kurang terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di kalangan para pengguna jalan raya Malaysia amat membimbangkan, kerana kanak-kanaklah yang paling terdedah kepada bahaya ketika berada di dalam kenderaan yang bergerak.”

    Dilancarkan pada Oktober 2017, Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp ditawarkan dalam dua model – Kerusi Infant dan Kerusi Toddler. Kerusi Infant sesuai untuk bayi yang beratnya sehingga 13 kg dan boleh didapati dalam warna merah atau kelabu, manakala Kerusi Toddler adalah untuk kanak-kanak yang beratnya antara 9-36 kg dan ditawarkan dalam warna merah atau hitam.

    Malah sepanjang Ramadan ini juga, Perodua akan menjalankan kempen untuk mendidik, memberi kesedaran serta mempromosikan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan, terutamanya semasa perjalanan balik kampung untuk berhari raya.

    “Sebagai pengeluar kenderaan Malaysia, ia menjadi tanggungjawab kami untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada para pelanggan kami serta masyarakat ramai mengenai keselamatan jalan raya. Kami sedar bahawa pendidikan adalah satu proses jangka panjang, namun kami akan terus komited terhadap usaha tersebut.

    “Penasihat jualan dan servis kami yang sah di cawangan Perodua berdekatan anda amat berbesar hati untuk menjelaskan penggunaan dan manfaat Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp serta kaedah pemasangan yang betul,” ujar Suhaimi lagi.

    Dalam masa yang sama, Perodua turut menawarkan diskaun caj buruh sebanyak 50% apabila pelanggannya membelanjakan RM170 dan ke atas, sebelum cukai dan diskaun, di dalam satu resit. Tawaran ini boleh didapati di semua pusat servis sah Perodua di seluruh negara pada 14hb, 16hb, 21hb dan 23hb Mei (1 petang – 5 petang), 27hb-31hb Mei (8 pagi – 5 petang) dan 3hb Jun (8 pagi – 5 petang).

    “Kempen keselamatan ini amat penting bagi kami kerana kami percaya keselamatan itu hak semua. Perodua akan terus berusaha untuk meningkatkan piawaian keselamatan kami demi kepentingan para pelanggan kami dan masyarakat Malaysia. Perodua mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada yang beragama Islam, dan kepada semua rakyat Malaysia, pandulah dengan cermat, selamat dan berhemah selalu,” ujar Suhaimi

     
     
  • Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

    Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

    Tentu ramai masih ingat kepada Vector, sebuah “prototaip kereta terbang” yang pernah membuat kemunculan ketika pameran LIMA 2019, Mac lalu. Banyak reaksi yang diterima ketika itu, kebanyakannya cemuhan dan sindiran dari khalayak yang skeptikal dengan idea tentang “kereta terbang” buatan Malaysia.

    “Kereta konvensional untuk kegunaan atas jalan pun masih banyak isu-isu berbangkit yang belum selesai, inikan pula nak buat kereta terbang.” Ini merupakan antara sentimen yang paling popular diutarakan, terutama oleh warga media sosial. Laman Facebook rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan juga waktu itu memuatkan gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang sedang meninjau “prototaip” kenderaan yang disifatkan kereta terbang berkenaan.

    Sebetulnya, itu bukanlah sebuah prototaip. Ia sebuah model skala sebuah kenderaan pengangkutan udara (air mobility vehicle (AMV); atau turut dikenali urban air mobility (UAM)) dan bukannya “kereta terbang” seperti yang difahami orang-ramai. Tak ada empat tayar membangunkan imej sebuah kereta seperti kebiasaannya. Namun, apa yang lebih menarik untuk ditelisik ialah syarikat yang berada di sebalik semua usaha berkenaan; Aerodyne Group yang berpusat di Kuala Lumpur, dan sepenuhnya merupakan syarikat Malaysia.

    Di atas kertas, Aerodyne Group nampak sangat meyakinkan, terlibat di dalam perniagaan perkhidmatan berkaitan drone dan pembangunan teknologi berkaitannya diperingkat global. Untuk mengenali lebih lanjut syarikat ini serta penglibatannya di dalam projek pembangunan kenderaan pengangkutan udara seperti yang ditunjuk ketika LIMA 2019 tempoh hari, kami duduk berbual bersama Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Kumpulan Aerodyne, Kamarul Muhammed untuk bertanyakan lebih lanjut.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga minyak bagi 11-17 Mei – RON97 turun 10 sen

    Harga minyak bagi 11-17 Mei – RON97 turun 10 sen

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga runcit bahan api bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 Mei ini, dengan menyaksikan penurunan bagi petrol RON97 iaitu sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM2.70 seliter. Ini merupakan penurunan buat dua minggu berturut-turut bagi RON97 yang pada minggu lalu ditetapkan pada harga RM2.80.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit bagi diesel yang turut kekal pada paras RM2.18 seliter bagi Euro 2M dan RM2.28 seliter untuk Euro 5. Semua harga ini efektif mulai 12 tengahmalam ini.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.40 seliter dan RM2.45 seliter masing-masing.

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 11 sehingga 17 Mei 2019 adalah berjumlah RM103.76 Juta.

     
     
  • Ford Transit Connect MS-RT – lebih garang, RM130k

    Ford Transit Connect MS-RT – lebih garang, RM130k

    Di United Kingdom (UK), Ford ada menjual van yang dinamakan sebagai Transit Connect. Ia kecil sedikit daripada Transit biasa, dan di bawahnya pula ada lagi beberapa model lain seperti Transit Courier dan Fiesta Van. Harga untuk Transit Connect ini adalah antara £15,665 (RM84,713) hingga £20,405 (RM110,347).

    Meskipun Transit Connect ini adalah sebuah model kegunaan komersial, sebuah syarikat ubah suai kenderaan yang cukup terkenal dalam dunia perlumbaan di sana, iaitu MS-RT telah menjadikan ia lebih istimewa dengan pengeluaran edisi khas MS-RT Transit Connect Launch Edition.

    Ia ditawarkan pada harga bermula £23,995 (RM129,761) dan melaluinya pemilik akan dapat menikmati sebuah van yang nampak lebih garang dan sporty. Antara barang yang dipasang pada model keluaran terhad 40 unit ini adalah termasuk kit badan khas MS-RT yang menjadikannya nampak lebih seperti model Focus ST, rim OZ Racing 18 inci, sistem ekzos dengan empat muncung di belakang dan badannya dicat warna Magnetic Grey.

    Walaupun masih belum menyiarkan gambar untuk bahagian dalam, MS-RT memberitahu kenderaan ubah suai khas mereka ini juga nanti akan dilengkapi tempat duduk dibalut suede dan nappa serta stereng sports, sebagai tambahan kepada ciri sedia ada seperti sistem infotainmen dan kawalan suara SYNC 3, navigasi, kamera undur, lampu utama bi-xenon, lampu dan pengelap cermin automatik dan pelbagai lagi.

    Sekiranya tidak cukup, pembeli boleh menambah lagi aksesori lain seperti sistem ekzos penuh Maxhaust, muncung ekzos hitam serta roda stereng gentian karbon penuh. Bahagian enjin tidak diusik dan van ini masih dikuasakan oleh unit 1.5 liter diesel EcoBlue yang mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan 270 Nm tork, dan pelanggan mempunyai pilihan untuk mendapatkan transmisi manual ataupun automatik.

     
     
  • BMW, MINI M’sia tawarkan waranti lanjutan setahun untuk kereta yang didaftarkan sekarang hingga 30 Jun

    BMW, MINI M’sia tawarkan waranti lanjutan setahun untuk kereta yang didaftarkan sekarang hingga 30 Jun

    BMW Group Malaysia telah mengumumkan program waranti lanjutan untuk pelanggannya yang membeli mana-mana model BMW atau MINI baharu dari sekarang hingga 30 Jun 2019. Di bawah program ini, pelanggan yang mendaftar mana-mana model BMW atau MINI dalam tempoh berkenaan bakal menerima waranti lanjutan selama setahun yang ditambahkan dalam waranti standard, termasuklah dengan program Servis Berkala Percuma (BMW) atau Inklusif Pembaikan MINI (MINI Repair Inclusive).

    Dengan tawaran ini, sekaligus memberikan pemilik BMW baharu menikmati waranti enam-tahun/perbatuan tanpa had dengan servis berkala percuma enam-tahun/120,000 km.

    Manakala pemilik MINI baharu pula bakal menerima program Inklusif Servis MINI (MINI Service Inclusive) lima-tahun/tanpa had perbatuan dan Inklusif Pembaikan MINI (MINI Repair Inclusive) lima-tahun/tanpa had perbatuan. Bukan itu sahaja, tawaran MINI ini turut melibatkan pakej gerombongan (fleet packages), kenderaan dikecualikan duti, program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) serta Program Kepulangan Pakar (REP).

    BMW, MINI M’sia tawarkan waranti lanjutan setahun untuk kereta yang didaftarkan sekarang hingga 30 Jun

    Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, En. Harald Hoelzl berkata, “Dengan semangat musim perayaan yang bakal tiba, kami berasa teruja untuk memberikan program-program eksklusif ini kepada pelanggan setia BMW dan MINI serta membawakan Pengalaman Pemilikan Premium yang menyeluruh.”

    Dalam pada itu, BMW Group Malaysia turut memaklumkan pelanggan yang membeli mana-mana model BMW iPerformance bakal menerima BMW i AC Fast Charging Cable dan kad BMW ChargeNow sebagai sebahagian daripada promo BMW ChargeNow sepanjang tempoh kempen ini.

    Tambahan lagi, pemilik BMW 740Le dan BMW X5 xDrive40e juga akan menikmati BMW i Wallbox Plus dan BMW i AC Fast Charging Cable secara percuma dengan promosi ‘BMW i Wallbox Promo’.