Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pengecualian SST 2020: Mitsubishi umum harga ASX dan Outlander kini lebih murah hingga RM8,154

    Pengecualian SST 2020: Mitsubishi umum harga ASX dan Outlander kini lebih murah hingga RM8,154

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengemaskini struktur harga susulan pengecualian/pengurangan cukai jualan (SST) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Pengecualian 100% cukai jualan adalah untuk model pemasangan tempatan (CKD) dan pengurangan 50% cukai pula untuk model import sepenuhnya (CBU) – bermula hari ini sehingga 31 Disember 2020.

    Hanya dua model Mitsubishi yang dijual di pasaran tempatan terlibat dengan semakan harga baharu ini – ASX dan Outlander. Manakala harga Triton tidak perubahan kerana trak pikap diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil. Seperti trak pikap lain, Triton akan terus dijual dengan harga SST seperti sebelum ini.

    Pengecualian SST 2020: Mitsubishi umum harga ASX dan Outlander kini lebih murah hingga RM8,154

    Bermula hari ini, ASX 2.0 2WD pemasangan tempatan akan dijual pada harga RM111,628, iaitu turun RM7,238 atau 6.09% berbanding harga sebelumnya RM118,866. Manakala varian 4WD pula dijual pada harga RM125,182, turun sebanyak RM8,154 atau 6.12%.

    Manakala bagi SUV tujuh-tempat duduk Outlander, varian 2.0L ditawarkan pada harga RM133,491, turun sebanyak RM4,397 atau 3.19%. Sementara itu, bagi varian tertinggi 2.4L pula kini ditawarkan pada harga RM147,762, melibatkan pengurangan sebanyak RM5,126 atau 3.35%.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: senarai harga kenderaan Proton – lebih murah sehingga RM7,000 atau 5.7%

    Pengecualian SST 2020: senarai harga kenderaan Proton – lebih murah sehingga RM7,000 atau 5.7%

    Proton adalah syarikat berikutnya yang mendedahkan pulangan balik untuk pelanggan berikutan pengecualian cukai jualan yang diberi sehingga 31 Disember 2020. Berbeza berbanding pengeluar lain, Proton tidak menyediakan potongan cukai secara terus, dan jumlah yang anda lihat ini turut termasuk dengan diskaun tambahan.

    Sebagai jenama tempatan, semua model Proton adalah dibuat atau dipasang dalam negara, sekaligus melayakkan mereka mendapat pengecualian penuh. Model Saga mendapat rebat RM500 atau 1.4% manakala Iriz dipasarkan sehingga RM800 lebih murah atau 1.58%. Persona pula mendapat diskaun sehingga RM900 atau 1.65%.

    Seterusnya dalam senarai adalah MPV Exora, di mana ia kini lebih murah sehingga RM2,500 atau 4.18% (ini adalah untuk varian rendah Executive CVT sementara varian Premium CVT cuma mendapat rebat RM2,000). Model yang mendapat manfaat paling besar daripada pengecualian cukai ini adalah X70, yang diberikan rebat RM7,000 atau 5.7%. Secara keseluruhannya, SUV ini dijual pada harga antara RM90k hingga RM116k.

    Pengecualian SST 2020: senarai harga kenderaan Proton – lebih murah sehingga RM7,000 atau 5.7%

    Ada di antara anda mungkin tertanya kenapa Saga, Iriz dan Persona menerima rebat rendah, iaitu bawah dua peratus sedangkan Perodua Axia yang paling murah pun dikurangkan sebanyak tiga peratus. Proton tidak memberitahu sebab sebenar tapi ia berkemungkinan kerana sebelum ini Proton telah menyerap kos SST sejak cukai itu diperkenalkan semula pada September 2018.

    Harga waktu “cuti cukai” dari Jun hingga Ogos 2018 itu telah dikekalkan sehingga kini, termasuklah untuk model facelift yang diperkenalkan kemudiannya (tahun lepas). X70 adalah satu-satunya kereta baru yang dilancar selepas pengenalan semula SST, dan mungkin sebab itu ia menunjukkan pengurangan harga paling banyak.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Harga kenderaan Honda turun sehingga RM9,502.47 atau 4.99%, hingga 31 Dis ini

    Pengecualian SST 2020: Harga kenderaan Honda turun sehingga RM9,502.47 atau 4.99%, hingga 31 Dis ini

    Honda Malaysia telah mengedarkan senarai harga terkini susulan pengumuman kerajaan berkenaan pengecualian cukai jualan (SST) sebanyak 50% untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import (CBU) yang berlangsung sehingga 31 Disember 2020.

    Harga baharu ini melibatkan semua model terkini Honda yang berada di pasaran tempatan. Bagi Jazz, harganya kini lebih murah sehingga RM3,755.46 (atau 4.23%) berbanding sebelum ini, bergantung pada varian yang dipilih. Manakala bagi City pula, lebih murah sehingga RM4,100.27 (atau 4.37%).

    Bagi model popular seperti Civic dan HR-V, harganya juga lebih mampu milik, dengan pengurangan sebanyak RM4,966 (atau 3.55%) untuk sedan segmen-C dan sehingga RM6,245.46 (atau 4.99%) bagi crossover kompak.

    Pengecualian SST 2020: Harga kenderaan Honda turun sehingga RM9,502.47 atau 4.99%, hingga 31 Dis ini

    Sementara itu, untuk CR-V yang ditawarkan dengan empat varian, menyaksikan penjimatan sebanyak RM7,470.63 (atau 4.24%) bagi 1.5 TC-P 2WD. Manakala untuk BR-V yang baru diperkenalkan versi facelift pula melibatkan penurunan harga sebanyak RM3,507 (atau 3.61%).

    Bagi sedan segmen-D Accord pula menyaksikan penurunan harga yang lebih signifikan iaitu sehingga RM8,545.63 (atau 4.35%). Untuk Odyssey yang diimport sepenuhnya dari Jepun, kini RM9,502.47 atau 3.67% lebih murah untuk varian tunggal 2.4 EXV. Penurunan harga bagi cukai jualan ini turut membabitkan semua model dengan pilihan warna White Orchid Pearl yang menggantikan warna Tafetta White. Walau bagaimana pun, model hibrid tidak tersenarai dalam harga baharu ini.

     
     
  • Tiga stesen MRT ditutup sementara pada 27-28 Jun ini

    Tiga stesen MRT ditutup sementara pada 27-28 Jun ini

    Rapid KL telah mengumumlan penutupan sementara tiga stesen MRT Laluan Kajang, atau sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), pada 27 hingga 28 Jun 2020. Tiga stesen yang terlibat ialah Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.

    Di mana untuk tarikh berkenaan, tren dari KL akan berhenti di stesen Kwasa Sentral. Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Kwasa Sentral dan Sungai Buloh dengan frekuensi setiap 15 minit, dan akan turut berhenti di stesen Kampung Selamat.

    Dalam masa yang sama, tempat meletak kenderaan di Sungai Buloh akan terus dibuka, sementara fasiliti parkir di Kwasa Damansara akan ditutup bersama stesen berkenaan.

    Menurut pengendali rel terbabit, penutupan sementara stesen berkenaan adalah untuk kerja-kerja migrasi sistem MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP)).Laluan MRT kedua berkenaan telah pun mencapai 70% siap pada Mac lalu, bakal disambungkan ke laluan pertama di stesen Sungai Buloh.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Harga Mercedes-Benz turun sehingga RM50k atau 7% sehingga 31 Disember

    Pengecualian SST 2020: Harga Mercedes-Benz turun sehingga RM50k atau 7% sehingga 31 Disember

    Kami juga telah menerima harga kenderaan Mercedes-Benz di Malaysia, setelah ia dilaras mengikut pengecualian cukai jualan yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember 2020. Bercampur antara model CKD dan CBU, penurunan harga model Mercedes-Benz adalah antara RM7,734 hingga RM49,775 atau bersamaan 1.86% hingga 7.11%.

    Kebanyakan model dalam senarai penuh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) ini mencatat penurunan antara 3% hingga 4%. Model A-Class kini dijual pada harga bermula RM219,263 (-RM8,625 atau -3.78%) manakala C-Class bermula RM250,283 (-RM9,605 atau -3.70%), GLC dari RM286,379 (-RM13,509 atau -4.50%) dan E-Class dari RM318,270 (-RM11,618 atau -3.52%).

    Dua model kompak AMG yang baru tiba di Malaysia juga menunjukkan penurunan harga yang jelas – A45S Edition 1 kini dijual pada harga RM443,270 (-RM16,618 atau -3.61%) manakala CLA45S pula diletakkan pada harga RM433,802 (-RM15,086 or -3.36%).

    Pengecualian SST 2020: Harga Mercedes-Benz turun sehingga RM50k atau 7% sehingga 31 Disember

    Menariknya dalam jadual yang disertakan, kedua-dua peratusan penurunan paling tinggi dan paling rendah dicatat oleh model yang sama – S-Class. Varian S450 AMG Line turun sebanyak RM49,775 atau 7.11% menjadi RM650,113 (sebelum ini RM699,888) manakala varian plug-in hybrid S560e pula turun dari RM658,888 kepada RM646,626 (-RM12,262 atau 1.86%).

    Walaupun senarai model yang berada di dalam jadual ini sudah kelihatan agak banyak, sebenarnya masih ada beberapa lagi model yang tidak dimasukkan dan sebaik kami menerima harganya, ia akan dikemas kini semula.

     
     
  • Perodua lanjut waktu operasi di pusat servis terpilih hingga 9 malam bagi memenuhi keperluan pelanggan

    Perodua lanjut waktu operasi di pusat servis terpilih hingga 9 malam bagi memenuhi keperluan pelanggan

    Bagi memenuhi keperluan para pelanggannya, Perodua mengambil keputusan untuk melaksanakan projek perintis dengan melanjutkan waktu operasi pusat servis dan hab Badan & Cat (B&P) terpilih.

    Pada peringkat awal ini, projek perintis ini melibatkan 16 pusat servis dan tiga hab B&P di seluruh negara, yang akan beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 9.00 malam (Semenanjung Malaysia) dan 7.45 pagi hingga 8.45 malam (Malaysia Timur), setiap hari kecuali Ahad.

    “Kami sedar terdapat ramai pelanggan yang telah melepasi tempoh servis kenderaan mereka kerana operasi kami di seluruh negara ditutup selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Oleh itu, kami melanjutkan waktu operasi pusat servis dan hab B&P terpilih untuk memenuhi permintaan tinggi dan terus memberikan ketenangan minda kepada pelanggan kami yang dihargai,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Untuk rekod, Perodua telah menerima 2.35 juta pengambilan servis tahun lalu melalui 202 pusat servisnya di seluruh negara.

    “Inisiatif ini dijangka dapat menampung permintaan servis di kawasan-kawasan utama. Kami akan memantau dan menilai keberkesanan projek perintis ini secara berterusan. Buat masa ini, ia akan diteruskan sehingga diberitahu kelak,” kata Dato’ Zainal.

    Pusat servis Perodua dengan waktu operasi yang dilanjutkan adalah seperti berikut:

    • Perodua Sentral PJ
    • PSSB Subang Jaya
    • PSSB Keramat
    • PSSB Glenmarie
    • PSSB Balakong
    • PSSB Puchong
    • PSSB Johor Bahru 1
    • PSSB Johor Bahru 2
    • PSSB Seremban
    • PSSB Juru
    • PSSB Penang
    • PSSB Ipoh 1
    • PSSB Kota Bharu 1
    • PSSB Kuantan 2
    • PSSB Kuching 1
    • PSSB Kota Kinabalu 2

    Senarai Hab Badan & Cat (B&P) Perodua dengan waktu operasi yang dilanjutkan:

    • PSSB Subang Jaya B&P
    • PSSB Balakong B&P
    • PSSB Kota Bharu B&P

    Pelanggan yang ingin servis kenderaan mereka diminta untuk mendapatkan slot janji temu terlebih dahulu dengan pusat servis pilihan mereka – walk-in masih tidak diterima buat masa ini.

    Semua pelawat mesti menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftarkan maklumat diri mereka dan mematuhi penanda jarak sosial di dalam premis setiap masa. Pembersih tangan ditempatkan di lokasi-lokasi penting, manakala pembersihan secara berkala turut dibuat ke atas premis tersebut.

     
     
  • Letupan di kilang Honda di Jepun, dua pekerja cedera

    Letupan di kilang Honda di Jepun, dua pekerja cedera

    Salah satu kilang Suzuka milik Honda di Jepun, telah mengalami insiden letupan kelmarin yang mengakibatkan dua pekerjanya cedera akibat melecur dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Menurut laporan Reuters, polis negara berkeaan berkata, letupan pada bod suis itu terjadi pada jam 9:15 pagi (waktu tempatan) di kilang yang terletak di daerah Mie. Kedua-dua pekerja yang tercedera itu sedang memeriksa bod suis berkenaan sewaktu insiden berlaku. Jurucakap Honda berkata pihaknya sedang menyiasat punca insiden berkenaan.

    Merupakan salah satu kilang produksi domestik Honda yang terbesar, kilang Suzuka berkenaan menghasilkan model termasuk siri kei car N-Box. Jurucakap kilang berkenaan pula berkata kilang terbabit akan beroperasi seperti biasa hari ini.

    Ini merupakan insiden kedua yang menimpa kilang Honda sejak kebelakangan ini. Pada minggu lalu, kilang Honda menjadi sasaran serangan siber. Ia menyebabkan Honda menggantung produksi beberapa pengeluaran kereta dan motosikalnya di seluruh dunia, termasuk di USA, Turki, India dan Brazil.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Mazda turun hingga RM8,090

    Pengecualian SST 2020: Mazda turun hingga RM8,090

    Bermaz Motor telah mendedahkan harga terbaru model Mazda yang dijual di Malaysia, setelah dilaras mengikut pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan sebanyak 50% untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import (CBU).

    Harga baru ini diguna pakai serta merta, sehingga 31 Disember 2020 dengan melihatkan penjimatan antara 2.7% hingga 3.9% atau jika melihat pada nilainya, ia antara RM2,800 hingga RM8,090. Mazda 2, yang merupakan model paling mampu milik Mazda sekarang dijual pada harga RM100,870 (-RM2,800) untuk kedua-dua sedan dan hatchback.

    Pergi pula kepada Mazda 3, pembeli baru boleh menikmati penjimatan sehingga RM5,380 atau 3.36% bergantung kepada varian mana yang dipilih. Mazda 6, yang ditawarkan dalam empat varian pula menunjukkan penurunan harga sehingga RM7,690 atau 3.5%.

    Pengecualian SST 2020: Mazda turun hingga RM8,090

    Bagi model SUV Mazda, CX-3 sekarang dijual pada harga RM126,829, iaitu RM3,330 atau 2.56% lebih murah berbanding harga sebelum ini RM130,159. CX-30, yang masih baru dalam pasaran menunjukkan penjimatan sehingga RM5,600 atau 3.18% manakala CX-5 pula menunjukkan penurunan sehingga RM6,808.30 atau 3.91%.

    Dua model yang tertinggi dijual Mazda sekarang, dan merupakan SUV tujuh tempat duduk, iaitu CX-8 dan CX-9 masing-masing menunjukkan penurunan sehingga RM7,657.20 atau 3.9% dan RM8,090 atau 2.78% (kini dijual pada harga RM282,520.40).

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    TC Euro Cars,pengedar rasmi model Renault di Malaysia, juga tidak ketinggalan dalam mengumumkan senarai harga baharu susulan pengumuman kerajaan yang memberikan pengecualian/pengurangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Seperti jenama kenderaan yang lain, senarai harga ini hanya sah mulai hari ini, 15 Jun sehinggalah 31 Disember 2020.

    Bagi model pemasangan tempatan (CKD) Captur layak menerima pengecualian cukai sebanyak 100%, kini 2.49% lebih murah iaitu berharga atas jalan RM105,289 tanpa insurans, memberikan penjimatan sehingga RM2,691. Walau pun syarikat ini tidak mengumumkan harga bagi varian lain di dalam kenyataan mediannya, namun menerusi laman web rasminya mendedahkan varian Captur+ menerima rebat yang sama, walau bagaimana pun terdapat beberapa ciri tambahan yang dianggap sebagai aksesori dan tidak dicukaikan. Jadi harganya kini RM110,608, iaitu 2.38% lebih murah berbanding sebelum ini.

    Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    Manakala model yang lebih mahal pula ialah Captur Trophy. Model yang dilengkapi dengan kit badan ini merupakan edisi terhad yang pada dasarnya dijual dengan harga yang sama dengan Captur standard iaitu RM107,980, tapi Trophy kini didatangkan dengan pakej berasingan dengan kos extra RM6,020, menjadikan harga keseluruhannya meningkat hingga RM111,308.

    Lain-lain model dalam barisan pula adalah import sepenuhnya dan hanya menerima pengurangan SST sebanyak 50%. Bagi Koleos, kini ia RM6,687 lebih murah untuk versi standard (kini RM173,201, turun 3.72%) dan RM7,021 lebih murah untuk Signature (kini RM182,867, turun 3.72%. Varian Signature Plus kini didatangkan dengan kit badan dan dash cam. Harga runcitnya ialah RM194,888, tetapi dengan diskaun yang sama iaitu sebanyak RM7,021 iaitu 3.6% lebih murah dan kini berharga RM187,867.

    Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    Untuk Megane RS 280 pula, ia menerima penjimatan yang lebih signifikan dan kini ditawarkan pada harga RM270,089 (turun 3.5%, atau RM9,799) untuk versi manual enam-kelajuan dan RM288,218 (turun 3.89%, atau RM11,670) bagi transmisi dwi-klac.

    Tawaran penjimatan ini juga adalah untuk pelanggan yang membeli kereta pilihan mereka menerusi dalam talian Renault E-Store. Turut diterima ialah pengecualian bayaran ansuran selama enam bulan dan rebat tambahan untuk trade-in sehingga RM8,400 untuk Captur, RM4,000 bagi Koleos dan RM17,000 untuk Megane RS 280. Captur dan Koleos juga menerima pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun/100,000 km.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    5 Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelan pemulihan ekonomi dikenali dengan nama Penjana, bertujuan untuk memangkin dan perancakkan pertumbuhan ekonomi dan perniagaan selepas tiga bulan kita berada dalam keadaan “beku” akibat Covid-19.

    Termasuk dalam pelan berkenaan ialah bantuan kepada sektor automotif berkaitan pengecualian cukai jualan. Seperti yang diumumkan, pengecualian berkenaan melibatkan 100% pengecualian cukai jualan (SST) terhadap kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% pengurangan cukai bagi kenderaan CBU – bermula dari 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

    Jadi, di sini kami himpunkan senarai harga baru bagi semua jenama dan kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi oleh pengeluar masing-masing setakta ini. Antara lain, jadual ini juga menunjukkan jumlah penjimatan sebenar bagi setiap model yang terlibat. Bagaimanapun, masih ada beberapa jenama yang masih belum mengumumkan harga rasmi terbaru mereka. Itu akan kami kemaskini dari semasa ke semasa.

    BMW

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Hampir semua barisan model BMW terlibat dengan penurunan harga, bermula dari RM7,005 bagi model peringkat kemasukan 320i Sport G20 hingga RM31,388 bagi model 840i Gran Coupe M Sport G16. Daripada semua model yang ada, 740Le xDrive LCI G12 menikmati penjimatan paling banyak iaitu -4.97%. Bagaimanapun, varian-varian 5 Series G30 belum termasuk di dalam senarai pengecualian SST ini.

    Lexus

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Harga kenderaan Lexus secara keseluruhannya turun, bermula dengan model paling murah dalam barisan sedia ada, UX 200 Urban melibatkan RM8,416. Menjengah kepada model-model lain yang lebih mahal, pengecualian cukai ini juga memberikan penjimatan yang semakin banyak – sekitar RM40k – bagi model yang berharga jutaan ringgit, seperti LS 500 Executive dan LC 500 2020 yang baru saja diperkenalkan. Bagi Lexus, struktur harga baru ini adalah sah sehingga 31 Januari 2021.

    Mazda

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Barisan kenderaan edaran Bermaz Motor pula terdiri daripada kedua-dua model CBU dan CKD, dengan semuanya memperlihatkan penurunan harga sehingga RM8,090 atau 3.91%. Model popular CX-5 misalnya melibatkan penjimatan sehingga RM6,808.30 atau 3.75% bagi varian paling tinggi 2.5T AWD High. Sementara Mazda 3 kini dijual pada harga RM5,380 atau 3.36% lebih rendah bergantung kepada varian.

    Mercedes-Benz

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Mercedes-Benz Malaysia, dengan barisan model dan varian yang sangat banyak, menyaksikan penurunan harga antara RM7,734 hingga RM49,775, atau dari 1.86% kepada hingga 7.11%. Secara purata, semua model, termasuk versi AMG, mencatat penurunan antara 3%-4% – termasuklah model AMG terbaru, A45S Edition 1 dan CLA45S. Pengurangan paling banyak ialah bagi model S450 AMG Line, melibatkan angka RM50k/7.11%.

    MINI

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Seperti BMW, semua model MINI turut menikmati penurunan harga hingga Disember nanti, dengan penjimatan dari RM8,146 bagi Countryman Pure hingga RM13,997 bagi Countryman John Cooper Works. Keseluruhannya, semua model MINI melibatkan penurunan antara 3.52% hingga 3.86%.

    Perodua

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Perodua merupakan syarikat yang pertama sekali mengumumkan harga baru dengan pengecualian SST bagi model-model keluarannya. Dan, secara purata, ia melibatkan penjimatan sekitar 3%-6%. Penjimatan bermula dari RM723 bagi Axia 1.0 E manual hinggalah kepada RM4,674 bagi Aruz 1.5 Advance. Bagi Bezza dan Myvi pula melibatkan penjimatan harga antara 3.25% dan 3.5%.

    Renault

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Bagi Renault, hanya ada satu kenderaan CKD yang dijual ketika itu, iaitu Captur. Sedikti aneh, walaupun Captur 1.2 TCe dan TCe + kini lebih murah, Captur Throphy sebaliknya menjadi model pertama dengan harga dikemaskini yang lebih mahal – naik RM6,020. Megane RS 280 Cup EDC menjadi model dengan penjimatan paling banyak – RM11,670.

    Toyota

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Bagi Toyota, semua kenderaan – kecuali Innova “spec teksi” dan trak pikap Hilux – mencatatkan penurunan. Bagi model CBU seperti Alphard dan Vellfire, turut menyaksikan penurunan yang besar disebabkan tanda harganya yang tinggi.

    Volkswagen

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Dengan pengecualian SST ini, harga kenderaan Volkswagen mencatatkan pengurangan harga antara RM930 bagi model Polo 1.6 MPI Comfortline hinggalah RM9,484 bagi unit CBU Golf R Mk7.5. Dua varian Tiguan pula kini jimat RM3,882, sementara Passat menerima pengurangan harga RM6,134. Hanya harga Beetle Sport masih kekal.

    Volvo

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Semua kenderaan Volvo untuk pasaran tempatan ketika ini adalah versi CKD. Untuk itu, semuanya menikmati penjimatan daripada pengecualian SST ketika ini – sebagai contoh, S60 T8 R-Design jimat RM13,348, hinggalah kepada XC90 T5 Momentum dengan penjimatan RM23,078; bagi XC90, ia mengambil kira kenaikan harga sebelum ini dari RM373,888 kepada RM350,810, melibatkan pengurangan 6.17%.

    Tiada perubahan harga trak pikap

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), trak pikap tidak akan menikmati pengecualian cukai jualan sama seperti kenderaan penumpang lain kerana ia diklasifikasikan sebagai kenderaan perdagangan. Insentif ini hanya untuk kenderaan penumpang, termasuk SUV dan MPV. Jadi, semua model trak pikap seperti Ford Ranger, Isuzu D-Max, Mitsubishi Triton, Nissan Navara dan Toyota Hilux masih kekal dengan harga seperti sebelum ini.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum turun harga antara RM8,146-RM13,997 sehingga 31 Dis 2020

    Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum turun harga antara RM8,146-RM13,997 sehingga 31 Dis 2020

    MINI Malaysia telah mengemaskini senarai harga untuk kesemua modelnya mengikut pengecualian cukai jualan sebanyak 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import sepenuhnya (CBU) yang diberi oleh kerajaan sehingga 31 Disember 2020.

    Menurut MINI Malaysia, inisiatif cukai di bawah pelan stimulus PENJANA yang disasarkan untuk mendorong perniagaan dan merangsang ekonomi pada saat negara kita melalui masa pemulihan akibat wabak COVID-19. Semakan harga ini adalah untuk semua barisan model MINI di Malaysia dan bagi kenderaan yang disaftarkan dari 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

    Bagi MINI Cooper S 3-pintu yang sebelum ini ditawarkan pada harga dari RM249,888, kini menjadi RM240,777.56, menyaksikan penurunan harga sebanyak RM9,110.44 atau 3.65%. Manakala model John Cooper Works 3-pintu dikurangkan dari RM313,888 ke RM302,831.50, menurun sebanyak RM11,056.50 atau 3.52%.

    Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum turun harga antara RM8,146-RM13,997 sehingga 31 Dis 2020

    Sementara itu, Cooper S Convertible juga dikurangkan dari RM278,888 ke RM269,899.47, melibatkan penurunan harga sebanyak RM9,988.53 atau 3.57%. Bagi Cooper S 5-pintu kini menjadi RM250,506.94 berbanding harga sebelum ini RM259,888, turun sebanyak RM9,381.06 atau 3.61%.

    Untuk barisan Clubman pula, harga Cooper S dikurangkan dari RM298,888 menjadi RM287,725.61, turun sebanyak RM11,162.39 atau 3.73%. Manakala Clubman John Cooper Works menyaksikan penyusutan harga dari RM358,888 ke RM345,497.82, iaitu kurang sebanyak RM13,390.18 atau 3.73%.

    Bagi Countryman Pure, harganya dikurangkan dari RM228,888 ke RM220,741.14, dengan pengurangaan sebanyak RM8,146.86 atau 3.56%. Manakala Countryman Sports pula melibatkan penurunan harga dari RM248,888 ke RM239,280.38, turun sebanyak RM9,607.62 atau 3.86%. Untuk Countryman Blackheath Edition pula, turun dari RM253,888 menjadi RM244,280.38, dikurangkan sehingga 3.78%. Dan Countryman John Cooper Works pula dikurangkan dari RM378,888 ke RM364,890.83, melibatkan pengurangan sebanyak RM13,997.17 atau 3.69%.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Kenderaan BMW turun harga antara RM7k hingga RM31k, 1.82% hingga 4.97%

    Pengecualian SST 2020: Kenderaan BMW turun harga antara RM7k hingga RM31k, 1.82% hingga 4.97%

    Berikutan daripada pengecualian cukai jualan kenderaan 100% untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk kenderaan import sepenuhnya (CBU), kami kini telah memperoleh senarai harga penuh untuk kenderaan yang dipasarkan oleh BMW Malaysia.

    Disebabkan ini adalah jenama kenderaan mewah yang mempunyai harga jualan lebih RM240k, anda akan dapat melihat jumlah potongan harga yang lebih tinggi iaitu dari sekitar RM7k hingga RM31k. Peratusan penurunan harga pula berada antara 2.82% hingga 4.97%.

    Model paling murah yang dijual oleh BMW sekarang adalah 320i Sport, pada harga RM241,794.40 (sebelum ini RM248,800) manakala model paling tinggi adalah 840i Gran Coupe M Sport, pada harga RM937,411.23 (sebelum ini RM968,800).

    Pengecualian SST 2020: Kenderaan BMW turun harga antara RM7k hingga RM31k, 1.82% hingga 4.97%

    Sekiranya anda saksikan jadual di atas, barisan model 5 Series G30 tidak dimasukkan kerana tiada perubahan harga dan mungkin juga menandakan ketibaan model facelift baru tidak lama lagi. Model 6 Series 630i Gran Turismo G32 masih lagi dijual pada harga RM430,800 (turun RM8,000).

    Model yang menerima penurunan paling banyak adalah 740Le xDrive, iaitu 4.97%, yang menjadikan harganya sekarang RM569,052.87. Pergi kepada model SUV, peratusan penurunannya adalah antara 2.93% hingga 3.59%, dengan model paling murah adalah X1 sDrive20i M Sport pada RM225,410.37 (turun RM8,389.63.

     
     
  • Volkswagen Passat & Tiguan ‘United’ diperkenal di Malaysia – edisi terhad dengan aksesori istimewa

    Volkswagen Passat & Tiguan ‘United’ diperkenal di Malaysia – edisi terhad dengan aksesori istimewa

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini telah mengumumkan model edisi terhad ‘United’ untuk sedan Passat dan juga SUV Tiguan. Menurut syarikat berkenaan, dua model istimewa ini dilancarkan bagi “meraikan kekuatan perpaduan, satu semangat yang sememangnya sudah lama wujud dalam jenama Volkswagen.”

    Kedua-dua model tersebut hadir dengan penutup hab pada rim dengan logo VW yang sentiasa tegak walaupun roda berputar seperti logo pada model-model mewah Rolls Royce. Untuk Passat, ia turut hadir dengan logo VW yang terpancar menerusi lampu LED apabila pintu hadapan di buka.

    Volkswagen Passat United akan dijual pada harga RM193,856, dan menurut VPCM ia turut hadir dengan aksesori yang bernilai RM12,000. Antara aksesori berkenaan termasuk set pedal aluminium, plat kaki pada bendul pintu, rim Verona 19-inci baharu, filem penapis haba VW Tint dan juga emblem United.

    Manakala untuk Tiguan United, ia dijual pada harga RM166,108 dan menerima aksesori bernilai RM4,000 yang terdiri dari bampar sport di hadapan, spoiler belakang, kemasan krom pada bahagian belakang, pelindung ruang kargo, tip ekzos krom, filem penapis haba VW Tint dan emblem United,

    “Walaupun ada hubungan di antara rangkaian model United dengan penglibatan Volkswagen dalam sukan bola sepak, signifikan nama dan apa yang diwakilinya sangat relevan dengan perkembangan dan cabaran yang kita hadapi pada hari ini. Bukan itu sahaja, prinsip utama jenama Volkswagen ialah #wenotme yang memberi penekanan terhadap aspek kesatuan dan kebersamaan,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

    Volkswagen Malaysia juga akan mengadakan Rumah Terbuka Raya Volkswagen secara maya pada 13 dan 14 Jun 2020 oleh semua pengedar Volkswagen di seluruh negara menerusi saluran media sosial masing-masing. Pelanggan bakal menerima rebat tambahan sebanyak RM1,000 ke atas mana-mana model Volkswagen yang ditempah sepanjang dua hari tersebut.

    Tawaran lain yang turut diumumkan oleh VPCM termasuk Tiguan yang kini hadir dengan pembayaran bulanan selama enam bulan secara percuma bagi unit yang didaftarkan sehingga 30 Jun. Manakala Passat pula ditawarkan dengan insurans percuma selama setahun. Perkhidmatan penghantaran secara percuma ke rumah pelanggan dalam radius 20km turut disediakan.

     
     
  • Harga minyak 13-19 Jun – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 8 sen, diesel pula naik sebanyak 10 sen

    Harga minyak 13-19 Jun – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 8 sen, diesel pula naik sebanyak 10 sen

    Minggu bertarikh 13 hingga 19 Jun 2020 turut menyaksikan kenaikan harga bagi bahan api utama di negara, dan merupakan kenaikan tertinggi sepanjang tempoh sebulan ini.

    Harga runcit bagi petrol naik sebanyak 8 sen, iaitu RM1.86 seliter bagi RON 97 yang minggu sebelum ini berharga RM1.78 seliter. Manakala untuk RON 95 pula, daripada RM1.48 seliter, kini menjadi RM1.56 seliter.

    Untuk diesel pula, harganya naik lebih banyak iaitu 10 sen, kini menjadi RM1.73 seliter bagi Euro 2M, dan RM1.83 seliter untuk Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 19 Jun 2020.

    Seperti sebulan yang lalu, Kementerian Kewangan Malaysia masih memberikan alasan yang sama bagi kenaikan harga ini, iaitu disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Sebelum itu, terdapat laporan media menyebut Kerajaan Persekutuan sudah membatalkan perintah harga siling terhadap minyak petrol dan diesel melalui Warta Kerajaan bertarikh 3 Jun lalu. Walau bagaimana pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi menafikan perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel telah dibatalkan.

     
     
  • Pas Perjalanan tanpa had My30 bermula 15 Jun ini, ganti sementara pas My100, My50 – COO Prasarana

    Pas Perjalanan tanpa had My30 bermula 15 Jun ini, ganti sementara pas My100, My50 – COO Prasarana

    Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai program My30 iaitu pas perjalanan tanpa had menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (#PENJANA) yang bakal bermula pada Isnin ini, 15 Jun 2020, ini pula kenyataan rasmi daripada Prasarana Berhad sendiri.

    Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias menggambarkan kelebihan pas perjalanan tanpa had bernilai RM30 untuk tempoh 30 hari ibarat dengan harga sekeping roti canai atau seringgit, warga kota boleh menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana tanpa had untuk satu hari.

    Beliau turut berkata, program pas My30 ini adalah bagi menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had #My100 dan #My50, yang merupakan inisiatif yang cukup bijaksana daripada Kerajaan dalam menjana semula ekonomi negara, yang amat terkesan daripada penularan wabak COVID-19.

    “Bayangkan dengan harga sekeping roti canai atau RM1, anda boleh menggunakan perkhidmatan MRT, LRT, monorail, BRT dan semua bas henti-henti Rapid KL di samping bas perantara berulang alik dan tanpa had dalam masa satu hari dengan menggunakan My30. Ia sememangnya satu penjimatan yang cukup hebat untuk semua rakyat Malaysia di Lembah Klang,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.

    Pakej istimewa ini sah untuk tempoh enam bulan daripada 15 Jun sehingga akhir Disember, sekali gus menggantikan sementara pakej My100, yang dijual dengan harga RM100 untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari.

    Terbuka eksklusif untuk rakyat Malaysia, para pengguna boleh mula mendaftar untuk pakej baru My30 ini mulai Isnin ini di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan 5 hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

    “Pihak pengurusan Kumpulan Prasarana sentiasa mendukung aspirasi kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat. Dalam mengharungi situasi yang mencabar pada ketika ini, kami berharap agar pengguna dapat memanfaatkan produk My30 sebaiknya dan terus menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL. Sejurus selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021,” katanya lagi.

    Manakala pakej My100, yang diperkenalkan pada 1 Januari 2019, memberi kelebihan untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan LRT, MRT, monorel, BRT dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT, pakej My50, yang berharga RM50, adalah untuk penggunaan tanpa had bas henti-henti Rapid KL selama 30 hari.

    “Nyata, pakej My30 menawarkan penjimatan yang jauh lebih hebat. Dan, dengan peningkatan dalam mobiliti dan produktiviti untuk rakyat melalui perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, ini tentunya akan membantu menjana ekonomi domestik negara dan memberikan impak yang positif dalam usaha pemulihan ekonomi negara,” kata Muhammad Nizam.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi nasihat kepada semua para pengguna pengangkutan awam untuk sentiasa mematuhi etika dalam norma baharu penggunaan pengangkutan awam khususnya pemakaian penutup muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman.

    Pengguna Rapid KL boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas My30 daripada kakitangan Rapid KL di stesen rel atau hab bas. Selain itu, mereka juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025