Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda umum barisan model ke Tokyo Auto Salon 2018

    Honda umum barisan model ke Tokyo Auto Salon 2018

    Selepas Nissan, kini Honda pula mengumumkan barisan modelnya yang akan dibawa ke acara tahunan kenderaan ubahsuai Jepun – Tokyo Auto Salon – yang akan di langsungkan pada Januari hadapan. Untuk edisi 2018 ini, Honda akan membawa lima model konsep yang dihasilkan dari model sedia ada dan juga model yang akan dipasarkan di Jepun pada masa akan datang.

    Model pertama dalam barisan ini adalah SUV yang digelar CR-V Custom Concept, iaitu CR-V generasi terkini yang diberikan pelbagai komponen dari Modulo seperti bampar hadapan dan belakang, rim aloi bersaiz 19-inci, gril hadapan dan juga spoiler belakang. Warna badan putih SUV ini juga diberi kontras kemasan hitam bagi menonjolkan rupa yang lebih sporty.

    Honda turut akan membawa MPV Jade RS Custom ke TAS 2018 yang dibina dari Jade RS versi diperkemas yang akan dilancarkan pada musim luruh 2018. Jade merupakan MPV segmen-C yang dibina bagi menggantikan model Stream sebelum ini. Bagi Jade RS yang bakal muncul nanti, ia akan diberikan barangan Modulo seperti kemasan krom gelap dan juga suspensi yang direndahkan sekitar 15 mm.

    Kali ini, Honda turut akan membawa MPV StepWGN yang digelar sebagai StepWGN Modulo X Concept. Seperti juga CR-V dan Jade RS, StepWGN ini turut akan diberikan pelbagai aksesori Modulo, dan bakal dihasilkan sama seperti Freed Modulo X yang turut akan dibawa ke TAS 2018. Model-model MPV konsep ini sebenarnya sebagai prebiu bagi varian-varian baharu yang bakal ditawarkan oleh Honda pada masa akan datang.

    Selain dari SUV dan MPV di atas, Honda turut akan membawa model sport sebenar iaitu Kei-roadster S660 Modulo X Concept. Roadster comel berkenaan akan diberikan kit aero penuh termasuk bampar hadapan dan belakang baharu serta sistem suspensi yang diolah semula menampilkan penyerap hentak boleh laras.

    Divisi prestasi tinggi sebenar Honda iaitu Mugen turut bakal hadir ke TAS 2018 dengan membawa jentera RC 20 GT yang diasaskan dari Civic Type R FK8, prototaip model talaan khas Civic Hatchback, NSX dan N-One RS. Honda turut akan mempamerkan barisan jentera perlumbaan sebenar mereka yang terdiri dari kereta dan motosikal.

     
     
  • Toyota Alphard, Vellfire facelift – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Toyota Alphard, Vellfire facelift – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Di Jepun, walaupun ketika cuti Krismas, Toyota ada berita besar yang diumumkan; perincian bagi Toyota Alphard dan Vellfire facelift didedahkan secara rasmi. MPV mewah berkenaan, yang akan mula dijual pada 8 Januari, selain menerima perubahan penampilan luaran turut disertakan dengan enjin V6 yang dipertingkat serta sistem bantuan pemanduan.

    Antara perkara utama ialah penawaran Toyota Safety Sense generasi kedua sebagai ciri standard untuk semua varian. Diumumkan awal bulan ini, sistem berkenaan mengandungi ciri-ciri termasuk pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal (siang sahaja) bagi Pre-Collision System, serta Lane Tracing Assist (LTA), Road Sign Assist (RSA) dan juga ciri Front Departure Alert (FDA) ketika berhenti di lampu isyarat.

    Satu lagi peningkatan yang dilakukan ialah pada enjinnya; ia kini dilengkapi enjin 2GR-FKE 3.5 liter V6 suntikan terus sebagai tambahan penawaran yang ada. Belum ada perincian terhadap output yang dihasilkan enjin ini, tetapi Toyota mendakwa ia mampu memberikan prestasi serta penjimatan yang lebih baik. Penggunaan minyak ialah pada kadar 10.4 km dan 10.6 km bagi setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun – bacaan terdahulu ialah 9.5 km bagi setiap liter.

    Toyota Alphard, Vellfire facelift – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Model V6 juga telah beralih daripada transmisi automatik enam-kelajuan kepada versi lapan-kelajuan Direct Shift. Selaini itu, model dengan enjin 2.5 liter Dual VVT-i kitaran Atkinson yang menghasilkan 180 hp/235 Nm dan padanan transmisi CVT masih dikekalkan, lengkap dengan elektrik motor 141 hp dan motor belakang 67 hp yang menyediakan pacuan semua roda. Penggunaan minyak yang mampu dicapai ialah 19.4 km bagi setiap liter.

    Selebihnya, bahan pencantum struktur (structural adhesive) yang lebih baik digunakan, termasuk pada bahagian cermin yang lebih tahan – menyumbang kepada peningkatan ketahanan badan yang turut memberi kesan kepada kestabilan pemanduan dan keselesaan keseluruhan.

    Perubahan kosmetik pula melibatkan wajah depan yang lebih segar. Alphard misalnya datang dengan gril depan yang lebih besar dan tinggi bersama kemasan krom melibatkan bahagian lampu utama; rekaan pada lampu berkenaan turut menerima sentuhan baru untuk bahagian dalamannya, dengan tambahan dua atau tiga projektor LED, bergantung kepada varian.

    Toyota Alphard, Vellfire facelift – dengan enjin 3.5 liter V6 baru, 8AT dan Toyota Safety Sense generasi kedua

    Vellfire pula menerima rekaan gril besar dalam kemasan krom dan perubah lampu kabus tiga segi, memberikannya wajah yang lebih menonjol. Pada kedua-dua model ini, varian Aero menerima bampar depan yang lebih sporty dengan kawasan lampu kabus yang lebih besar – pada Vellfire, bahagian ini diwarisi dari model Voxy.

    Terakhir, rekaan lampu belakang bagi kedua-dua model ini juga melibatkan sentuhan terkini; pada Vellfire, ia turut hadir dengan lampu panduan empat segi. Kemasan lampu belakang dan rekaan roda juga ada sebagai pilihan.

    Pada ruang kabin pula, kluster instrumen menerima rekaan baru, dengan penggunaan upholstery kulit dan perincian kayu, termasuk pilihan untuk kulit Nappa dalam warna hitam/putih. Model WellCab versi untuk kemudahan pengguna kurang upaya juga datang dengan tilt mechanism baru pada tempat duduknya untuk memudahkan penjaga yang menenami. Kerusi berkenaan juga tidak terkeluar terlalu banyak, memudahkan urusan keluar masuk di tempat sempit menjadi lebih mudah.

    Barisan varian yang ditawarkan juga kini diubah; varian Executive Lounge enam-tempat duduk kini turut terdapat sebagai model Aero, dengan menggunakan lencana Alphard Executive Lounge S dan Vellfire Executive Lounge Z. Selebihnya, model asas terbaru diisi oleh model Hybrid Aero, Alphard S Hybrid S dan Alphard Hybrid Z.

    Toyota Alphard facelift 2018

    Toyota Vellfire facelift 2018

     
     
  • Skoda Motorsport rai kejayaan WRC 2 dan Krismas dengan ‘Taxi Ride’ bersama Fabia R5 di bandar Prague

    Sebagai meraikan kejayaan dalam kejohanan rali dunia dalam kategori WRC 2 selama tiga tahun berturut-turut, jenama automotif dari Republik Czech -Skoda- telah bermurah hati untuk membawa warga bandar Prague dan peminatnya ‘bersiar-siar’ di kota berkenaan dengan jentera rali sebenar Fabia R5 sempena sambutan Hari Natal.

    Skoda bukan sahaja memonopoli WRC 2, malah turut menjadi pasukan paling unggul bagi Kejuaraan Rali Republik Czech sendiri. ‘Teksi’ Skoda R5 yang membawa ‘penumpang’ di Prague ini dipandu sendiri oleh juara tiga tahun berturut-turut Rali Republik Czech, Jan Kopecký. Untuk sambutan yang diadakan pada hari berkenaan, Kopecký telah membawa lebih dari 20 orang penumpang.

    “Ia agak mengkagumkan. Terutamanya buat masa sekarang, dengan perayaan Krismas yang sedang berlangsung dan Prague penuh dengan pelancong serta rakyat tempatan. Saya kagum dengan ramainya orang yang mengerumuni kereta ini. Saya sangat terkejut,” ujar Kopecký.

    Untuk tahun hadapan, Fabia R5 bakal berhadapan dengan ‘sepupunya’, Volkswagen Polo GTI R5 yang di bina oleh bekas pasukan WRC VW yang membangunkan Polo R WRC sebelum ini, dan dengan kerjasama dari Skoda sendiri. Namun, Volkswagen tidak akan turun sebagai pasukan rasmi, sebaliknya membekalkan jentera kepada pasukan persendirian dalam program perlumbaan pelanggan.

    Selain dari VW, Mellors Elliot Motorsport (MEM) dari UK turut mengumumkan akan mengambil bahagian dalam WRC 2 untuk musim 2018, mempertaruhkan jentera R5 yang diasaskan dari hatchback segmen-B dari Malaysia, Proton Iriz R5.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Toyota Harrier 2.0T 2018 – RM238k

    Kita sudah sedia maklum, UMW Toyota telah mengesahkan sebelum ini bahawa syarikat itu akan memperkenalkan model SUV Harrier 2.0T 2018 secara rasmi pada tahun hadapan. Model ini juga sebenarnya sudah dibuka untuk tempahan.

    Dan, bagi anda yang belum melihat perincian yang ditawarkan model berkenaan, kami juga telah menyedia galeri gambar komprehensif untuk tatapan anda. Sebagai tambahan, video ini juga boleh menjadi rujukan anda.

    Harrier bukanlah model yang asing di Malaysia. Sebelum ini, banyak grey importer yang membawa masuk dan menjualnya secara meluas. Jadi, apa kelebihan dan perbezaan jika memberi dari saluran rasmi UMW Toyota? Inilah yang kami hidangkan dalam video ini.

    Model yang akan ditawarkan ini adalah dari versi facelift terkini, yang menggunakan padanan enjin 2.0 liter turbo D-4ST VVT-iW 231 PS/ 350 Nm dan transmisi automatik enam kelajuan, dalam dua varian iaitu Harrier 2.0T Luxury dan Harrier 2.0T Premium.

    Selain itu, UMW Toyota turut menyatakan bahawa Harrier facelift yang dibawa untuk pasaran Malaysia ini akan dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense – ia akan mempunyai fungsi lampu tinggi automatik, Sistem Pra-Pelanggaran serta cruise control adaptif. Harrier ini juga dilengkapi dengan tujuh-beg udara dan Sistem Kawalan Stabiliti (VSC).

    Bahagian luaran, ia menggunakan lampu LED dengan projektor berkembar, gril bahagian atas yang direka semula, lampu kabus LED baharu serta lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada posisi mendatar. Kereta ini turut diberikan rim dengan corak turbin baharu berdiameter 18-inci, serta bahagian bawah bampar belakang yang direka semula dan turut menempatkan tip ekzos krom.

    Selebihnya, tonton video ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang model terbaru yang bakal masuk ke pasaran Malaysia ini nanti. Semoga ada manfaatnya.

     
     
  • Sistem baharu PSV – pemandu teksi, Uber dan Grab bakal guna lesen sama awal tahun hadapan

    Sistem baharu PSV – pemandu teksi, Uber dan Grab bakal guna lesen sama awal tahun hadapan

    Bagi memastikan persaingan yang saksama antara pemandu teksi konvensional dan juga aplikasi perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab, kerajaan bakal menggantikan sistem lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) kepada satu sistem baharu yang dijangka akan dimuktamadkan seawal Januari 2018, lapor Berita Harian.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, ini adalah lanjutan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang diluluskan di Dewan Rakyat, Julai lalu.

    “Sebaik pindaan ini selesai, Uber, Grab dan teksi tiada lagi perbezaan dan mereka boleh bersaing untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam secara saksama kepada pengguna,” katanya dan turut menerangkan bahawa siri pindaan itu tidak perlu dibentangkan di Parlimen, tetapi hanya diwartakan selepas rundingan dengan Kementerian Pengangkutan selesai dilaksanakan.

    Beliau juga mengulas perkembangan ini dengan mengatakan Malaysia mempunyai acuan tersendiri dalam menggubal dasar bersesuaian untuk mengawal selia perkhidmatan Uber dan Grab yang semakin mendapat permintaan dalam kalangan generasi muda.

    Namun, kerajaan juga tidak mahu industri perkhidmatan teksi negara tercicir daripada arus kemodenan yang menyaksikan operasi pengangkutan awam kini dilaksana berteraskan penggunaan aplikasi telefon pintar. Oleh itu, pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan daya saing penyedia perkhidmatan yang dinobat ‘duta kecil negara’ berkenaan berada setaraf dengan operator Uber dan Grab.

    “Pemandu teksi masih kekal sebagai penyedia perkhidmatan membawa pelanggan yang komited dengan kerjayanya di Malaysia, namun mereka memerlukan anjakan cara pengoperasian supaya selari kehendak pasaran semasa,” katanya.

     
     
  • MIMOS tunjuk kemampuan reka motosikal – sedang bekerjasama dengan syarikat tempatan bina prototaip

    MIMOS tunjuk kemampuan reka motosikal – sedang bekerjasama dengan syarikat tempatan bina prototaip

    Selain kepakaran dalam rekaan produk industri termasuk kereta, yang ditunjukkan melalui konsep Suprima X, Suprima R dan Proton Bayu, pasukan rekaan MIMOS turut menunjukkan kemampuan dalam rekaan jentera dua roda apabila mendedahkan pula lukisan digital konsep cafe racer ini.

    Ia masih belum diberi nama kerana sekadar satu aktviti latihan rekaan pasukan tersebut, namun boleh dilihat mempunyai konsep cafe racer yang lebih moden, dan pada masa sama diterapkan dengan perincian serta komponen retro pada beberapa bahagian.

    Menurut Saharudin Busri, iaitu pereka yang terlibat dalam projek ini, motosikal jenis cafe racer dipilih kerana ia sedang menerima sambutan hangat dan mempunyai ramai peminat di Malaysia. Rekaan yang digunakan juga mempunyai pengaruh daripada rekaan jam yang pernah beliau hasilkan sebelum ini, dikenali sebagai ‘Wak 2’.

    MIMOS tunjuk kemampuan reka motosikal – sedang bekerjasama dengan syarikat tempatan bina prototaip

    Selain projek konsep cafe racer ini, Saharudin juga memberitahu pasukannya kini sedang bekerjasama dengan pengeluar motosikal tempatan untuk membangunkan skuter elektrik, dan model prototaipnya sedang disiapkan. Rekaan yang dihasilkan oleh pasukan beliau juga telah diluluskan.

    Bukan setakat itu, MIMOS juga terlibat dalam pembangunan rekaan konsep cafe racer 250 cc, bersama dengan sebuah universiti tempatan. Prototaip motosikal yang berfungsi sudah dibangunkan, namun MIMOS diberi tugas untuk menyiapkan bahagian rekaan serta bentuknya supaya menjadi moden dan sporty.

     
     
  • Motosikal besar dilarang masuk hutan simpan Thai

    Motosikal besar dilarang masuk hutan simpan Thai

    Thailand sudah menjadi destinasi biasa bagi penggemar motosikal negara kita, untuk meluangkan masa pada hujung minggu atau cuti panjang. Namun, perhatian perlu diberi kepada peraturan-peraturan yang ada, dan kini yang terbaru, motosikal berkuasa tinggi tidak dibenarkan masuk ke kawasan hutan simpan dan rekreasi.

    Perkara ini dilaporkan oleh Bangkok Post, dengan memetik kenyataan dari ketua jabatan perlindungan taman negara, hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan Thailand, Thanya Netithammakun yang menyatakan larangan terhadap motosikal kuasa tinggi ini adalah tambahan yang terbaru selepas larangan kepada minuman keras, merokok, binatang peliharaan dan aktiviti yang bising.

    Antara hutan simpan dan rekreasi yang dikatakan oleh Netithammakun sering menjadi tumpuan kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi sebelum ini adalah di Khao Yai, iaitu hutan besar yang merangkumi kawasan Nakhon Ratchasima, Prachin Buri, Nakhon Nayok dan Saraburi.

    Sebab utama yang diberitahu oleh Netithammakun berkenaan larangan kepada motosikal berkuasa tinggi ini adalah pencemaran bunyi, yang selain mengganggu pelawat lain, juga boleh mengganggu haiwan yang berada di dalam kawasan hutan tersebut.

    Menurut jabatan itu lagi, walaupun jumlah pelawat yang besar ke kawasan hutan ini boleh membawa pendapatan yang tinggi (sehingga 2.4 bilion baht tahun lepas), mereka juga meninggalkan banyak masalah selepas itu, yang perlu diatasi oleh jabatan tersebut.

     
     
  • Bugatti capai sasaran tahunan – siapkan serta hantar 70 unit Chiron untuk pelanggan sepanjang 2017

    Bugatti capai sasaran tahunan – siapkan serta hantar 70 unit Chiron untuk pelanggan sepanjang 2017

    Pembuat kereta sport dari Perancis, Bugatti mengumumkan bahawa sasaran mereka untuk menyiapkan dan menghantar 70 unit hypercar Chiron berkuasa 1,500 hp kepada pelanggan telah berjaya dicapai tahun ini.

    “Ia merupakan kejayaan besar untuk seluruh pasukan Bugatti kerana kami berjaya mencapai sasaran 70 kereta pada tahun penuh pertama produksi Chiron. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pembekal kami kerana komitmen mereka serta mematuhi penghantaran,” kata presiden Bugatti Automobiles S.A.S., Wolfgang Dürheimer.

    “Prestasi mengkagumkan ini adalah sangat penting kerana kami sasarkan untuk mengekalkan waktu menunggu sependek yang mungkin untuk pelanggan,” tambah Dürheimer lagi.

    Bugatti Chiron hanya akan dihasilkan terhad kepada 500 unit atau 50 unit lebih banyak berbanding abangnya, Veyron. Setakat ini, lebih dari 300 unit daripadanya telah berjaya dijual. Dari jumlah berkenaan, 43% tempahan adalah dari Eropah, 26% dari Amerika Utara (AS dan Kanada), 23% dari Timur Tengah manakala 8% selebihnya adalah dari Asia Pasifik.

    Chiron diperkenalkan buat pertama kali pada Geneva Motor Show 2016, dijana enjin W16 8.0 liter dengan empat pengecas turbo menghasilkan tork maksima 1,600 Nm. Produksi model ini dijalankan di ibu pejabat Bugatti yang terletak Molsheim, Alsace, Perancis bermula suku keempat 2016, manakala unit pertama diserahkan kepada pelanggan adalah pada Mac tahun ini.

     
     
  • GPX Racing masuk M’sia tahun depan – dari Thailand

    GPX Racing masuk M’sia tahun depan – dari Thailand

    Satu jenama motosikal baru akan tiba di Malaysia tahun hadapan iaitu GPX Racing, dengan kemudahannya kini sedang dibangunkan di bahagian selatan tanah air. Jenama ini sebenarnya sudah wujud sejak tahun 2007, tetapi bermula pada tahun 2009, barulah ia mula mengeluarkan produk sendiri.

    Memasuki tahun 2015, syarikat ini semakin terkenal dengan barisan produk yang menarik, dan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dengan kilang di Prachauthit, Thailand. Barangan yang digunakan untuk produk mereka juga kesemuanya datang dari Thailand sendiri.

    Kini, GPX Racing sedia menawarkan produk ke negara lain di Asia Tenggara, dan Malaysia bakal menjadi antara yang terawal selain Vietnam, Kemboja, Filipina dan Singapura. Bagi di Malaysia, ia akan diedarkan oleh Bike Continent Sdn Bhd, yang berpusat di Johor Bahru.

    GPX Racing masuk M’sia tahun depan – dari Thailand

    Menurut maklumat yang kami perolehi, dua model pertama sudah sampai di Malaysia untuk tujuan pemeriksaan dan kelulusan, iaitu model Gentleman 200 dan Demon 150-GN. Dua motosikal ini masing-masing adalah mempunyai bentuk cafe racer dan naked mini. Gentleman 200 menggunakan enjin empat strok 197 cc dan transmisi enam kelajuan manakala Demon 150-GN pula dikuasakan enjin 149 cc empat strok.

    Harga untuk dua model ini juga diberitahu berada dalam lingkungan RM8,000 untuk Demon 150-GN, manakala Gentleman 200 pula sekitar RM11,000. Walaubagaimanapun, ini cumalah jangkaan awal, dan ia bergantung nanti apabila dilancarkan suku pertama tahun hadapan.

    GALERI: GPX Racing Demon 150-GN


    GALERI: GPX Racing Gentleman 200

     
     
  • Toyota TopMark akan tambah lima lagi cawangan baru

    Toyota TopMark akan tambah lima lagi cawangan baru

    Kalau anda ingin mencari kenderaan terpakai Toyota yang dijamin kualitinya, ini mungkin berita baik; lima terbaru cawangan Toyota TopMark akan dibuka pada Januari 2018, melibatkan kerjasama syarikat itu dengan empat pengedar sah UMW Toyota Motor (UMWT).

    Empat pengedar yang dimaksudkan itu ialah UMW Toyotsu Motors (Shah Alam and Rawang, Selangor), Panglima City Motor (Klang, Selangor), ES Yang Motor (Muar, Johor) dan Telagamas Motors (Kulim, Kedah). Dengan UMW Toyotsu Motors yang membuka dua cawangan, keseluruhannya ada lima cawangan Toyota TopMark baru akan dibuka tahun depan sebagai tambahan kepada lima cawangan sedia ada yang terletak di Petaling Jaya, Butterworth, Johor Bahru dan Kuantan.

    Toyota TopMark menerima kenderaan dari jenama mana sekalipun bagi tujuan trade-in sekiranya pelanggan ingin membeli kenderaan baru Toyota. UMWT menyatakan, kenderaan yang Toyota TopMark mengamalkan proses yang adil dan terbuka termasuk berkaitan penyelesaian baki pinjaman melalui dokumen sah serta pemindahan hak milik serta-merta.

    Menurut UMWT, semua kenderaan yang dijual di Toyota TopMark akan melalui pemeriksaan komprehensif 201-perkara. Alat ganti tulen Toyota akan digunakan, dan semua kerja-kerja dilakukan oleh pusat servis Toyota yang bertauliah. Kenderaan yang dijual oleh Toyota TopMark datang dengan jaminan dua tahun atau 40,000 km bagi enjin dan transmisi.

     
     
  • Pemilik yang memajak atau bagi sambung bayar kereta kepada pihak ketiga boleh dikenakan denda – KPDNKK

    Pemilik yang memajak atau bagi sambung bayar kereta kepada pihak ketiga boleh dikenakan denda – KPDNKK

    Di dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberikan satu jawapan bertulis bagi soalan berkaitan pemajakan kenderaan; pemilik kenderaan yang memajak kereta mereka kepada pihak ketiga tanpa persetujuan daripada pihak bank boleh didenda atau dipenjarakan.

    Menurut kementerian itu, perbuatan ini yang melibatkan kes-kes sambung bayar dan juga pajakan kereta sebenarnya melanggar peruntukan dalam Akta Sewa Beli 1967, seperti dilaporkan Berita Harian.

    “Tindakan boleh diambil terhadap pemilik kenderaan terbabit yang menyerahkan kenderaan untuk disambung bayar atau dipajak kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada bank,” jelasnya, dan penguatkuasaan berkaitan perkara ini terletak di bawah bidang kuasa KPDNKK.

    Di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967, jika pemilik asal didapati bersalah menjual kenderaan ketika perjanjian sewa beli masih berkuat kuasa, mereka boleh didenda hingga RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

    Walaupun menyedari bahawa kes-kes sambung bayar dan pajakan kereta merupakan satu jalan penyelesaian bagi pemilik kereta yang tidak berkemampuan membayar ansuran bulanan bank, tegas kementerian itu ia akan menimbulkan masalah apabila kereta berkenaan tidak dibayar ansuran bulanannya kepada bank, dan menyebabkan penama kenderaan itu disenarai hitam.

    “Kes-kes ini tidak boleh dikategorikan sebagai kes curi kereta kerana tidak memenuhi elemen kesalahan mencuri seperti terdapat di dalam Seksyen 378 Kanun Keseksaan. Namun, dalam siasatan dijalankan polis, jika terdapat unsur penipuan, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelas kenyataan itu.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Subaru XV 2018 – aspek mekanikal dipertingkatkan dengan imej yang lebih bergaya

    Sebelum tirai 2017 berlabuh, Subaru XV 2018 telah pun sampai ke pasaran Malaysia pada hujung November lalu. Jika anda masih belum berkesempatan untuk meninjau SUV crossover ini di bilik pameran Subaru, sila tonton video ini untuk mengetahui serba sedikit mengenai pembaharuan dan peningkatan elemen yang ditampilkan.

    Untuk pasaran Malaysia, ia menawarkan dua varian iaitu model asas 2.0i dan spesifikasi tinggi 2.0i-P, di mana antara peningkatan terbesar yang dilakukan termasuklah pada bahagian mekanikalnya.

    Kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol baharu 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 154 hp (156 PS) pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan bersama Lineartronic CVT, yang dikatakan 7.8 kg lebih ringan berbanding model XV yang terdahulu. Malah kuasanya adalah lebih 6 hp berbanding model sebelumnya.

    Untuk dimensi bagi XV serba baharu ini juga ada perbezaannya berbanding model sebelumnya. Di mana, ia berukuran 4,465 mm bagi panjang (+15 mm), selebar 1,800 mm (+20 mm) dan jarak rodanya pula 2,665 mm (+30 mm). Manakala ketinggiannya dikekalkan iaitu 1,615 mm. Jarak kelegaan tanahnya juga kekal iaitu 220 mm.

    Tidak ketinggalan juga, bahagian luaran dan dalamannya juga telah mengalami sedikit suntikan bagi menampilkan kesegaran yang lebih jitu. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, sila tonton video ini sehingga tamat. Selamat menonton!

    GALERI: Subaru XV 2.0i 2018

    GALERI: Subaru XV 2.0i-P 2018

     
     
  • Honda Malaysia panggil Odyssey 2014-2017, Accord 2013-2016 untuk tukar sensor bateri, komponen cermin

    Honda Malaysia panggil Odyssey 2014-2017, Accord 2013-2016 untuk tukar sensor bateri, komponen cermin

    Honda Malaysia telah mengeluarkan satu pengumuman panggil balik bagi model Odyssey tahun 2014-2017, dan Accord tahun 2013-2016 untuk penukaran pengesan (sensor) bateri dan komponen cermin pintu. Sementara itu, Honda Malaysia memberi jaminan model yang sedia dijual sekarang tidak terlibat.

    Bagi masalah pengesan bateri, panggilan balik ini dikeluarkan kerana boleh terjadi pembentukan yang tidak tepat dalam papan litar PCB yang terletak di bahagian dalam pengesan bateri tersebut. Keadaan ini juga boleh menyebabkan litar pintas dalam pengesan tersebut, dan kemungkinan asap keluar dari bahagian tersebut atau lebih teruk lagi, kebakaran. Panggilan balik untuk pengesan bateri ini cuma untuk Accord (tahun 2013-2016) yang kesemuanya ada 20,233 unit.

    Masalah kedua dalam panggilan balik terbaru Honda Malaysia ini adalah komponen cermin pintu, di mana komponen yang bergerak di dalamnya boleh gagal berfungsi dan boleh menyebabkan cermin itu tertanggal, sama ada waktu bergerak ataupun tidak. Untuk masalah ini pula, ia melibatkan Accord 2013-2016 (27,912 unit) dan Odyssey tahun 2014-2017 (971 unit).

    Honda Malaysia panggil Odyssey 2014-2017, Accord 2013-2016 untuk tukar sensor bateri, komponen cermin

    Semua pelanggan yang terlibat dalam panggilan balik ini disarankan untuk membuat temu janji dengan salah satu daripada 91 pengedar rasmi Honda di Malaysia, untuk menukar alat ganti yang terlibat, dan sebarang kos yang berkaitan akan ditanggung. Honda Malaysia juga memberi jaminan alat ganti yang diperlukan adalah mencukupi.

    Semua pemilik kenderaan yang terlibat dengan panggilan balik ini akan dimaklumkan dengan surat pemberitahuan, dan selepas itu mereka boleh membawa kenderaan ke pusat pengedar untuk pemeriksaan dan penukaran. Pemilik juga boleh memeriksa status kenderaan mereka di www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my. Jika mahu, mereka juga boleh membuat panggilan ke 1-800-88-2020.

     
     
  • Cadangan waktu perjalanan (TTA) PLUS sempena Krismas – dijangka cecah 1.5 juta kenderaan sehari

    Cadangan waktu perjalanan (TTA) PLUS sempena Krismas – dijangka cecah 1.5 juta kenderaan sehari

    Sempena cuti panjang perayaan Krismas minggu ini, Lebuhraya PLUS mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bertujuan mengelakkan “pertembungan” kenderaan yang menggunakan lebuhraya kelolaan syarikat itu dalam satu-satu masa. Dengan jadual yang dicadangkan ini, PLUS berharap semua pengguna dapat mengikutinya dan menjadikan perlajanan mereka lebih lancar dan tenang, tanpa perlu berhadapan dengan kesesakan teruk.

    “PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan bakal meningkat sebanyak enam (6) peratus, kepada sekitar 1.5 juta kenderaan sehari menjelang cuti perayaan Krismas, berbanding dengan hari biasa iaitu sebanyak 1.4 juta kenderaan,” jelas Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

    “Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan di antara 22 Disember hingga 27 Disember ini supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan. Berdasarkan kajian kami pada musim-musim perayaan yang lalu, perjalanan di lebuh raya adalah lebih lancar apabila lebih ramai yang mematuhi TTA,” tambah Zakaria.

    Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS sempena perayaan Krismas, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.

    Jadi, kalau anda ada perancangan untuk bergerak ke mana-mana destinasi hujung minggu ini, elok rujuk jadual di atas dan rencanakan perjalanan anda sebaiknya.

     
     
  • Nissan bawa van NV350, X-Trail dan Leaf Grand Touring Concept ke Tokyo Auto Salon 2018

    Nissan bawa van NV350, X-Trail dan Leaf Grand Touring Concept ke Tokyo Auto Salon 2018

    Nissan bakal membawa tiga kenderaan konsep ke Tokyo Auto Salon 2018 yang bakal berlangsung pada Januari tahun hadapan. Tiada sebarang GT-R mahupun kereta berprestasi tinggi lain dalam senarai, sebaliknya jenama berkenaan akan membawa van NV350, SUV X-trail dan juga kereta elektrik Leaf yang diberi sentuhan semula dan digelar sebagai Grand Touring Concept.

    Untuk NV350 Caravan (dikenali sebagai Urvan di Malaysia), Nissan memberikan imej kenderaan off-road terhadap van berkenaan dengan memadankan satu set tayar all-terrain dari BF-Goodrich. Muka Caravan ini dihitamkan sepenuhnya, manakala pada bumbung ia diberikan rak barangan tambahan bersama bar lampu LED utama dan empat pasang lampu LED pada bahagian sisi.

    Nissan bawa van NV350, X-Trail dan Leaf Grand Touring Concept ke Tokyo Auto Salon 2018

    Beralih ke SUV X-trail, model facelift ini diberikan gril V-motion yang digelapkan bersama bumbung yang turut dicat hitam. Manakala badannya pula diberikan warna oren bersama pelekat dengan grafik dengan mood yang agak lasak. Rim asal SUV ini juga telah ditukar dengan rim lima-jejari berkembar berwarna hitam yang lebih garang.

    Akhir sekali untuk Leaf dalam siri Grand Touring Concept ini, ia diberikan serlahan hitam pada bampar yang kelihatan menghubungkan bonet hadapan dan juga bumbung yang juga diberikan warna hitam. Selain itu ia turut diberikan rim berdiameter lebih besar bersama tayar dengan profil lebih nipis.

    Nissan bawa van NV350, X-Trail dan Leaf Grand Touring Concept ke Tokyo Auto Salon 2018

    Walaupun kereta ini nampak lebih sporty dari model standard, pada pandangan saya sendiri ia masih tidak menyerlahkan imej yang lebih garang dari Leaf Nismo yang pernah didedahkan sebelumnya – diberikan serlahan hitam-merah tradisi Nismo.

    Nissan tidak menyatakan sebarang ubahsuai mekanikal terhadap ketiga-tiga kenderaan ini, jadi berkemungkinan ia masih kekal dengan kuasa standard. Jika dulu Tokyo Auto Salon meriah dengan pelbagai ubahsuai radikal dari kereta yang sememangnya ‘gila’ dalam keadaan standard, lanskap automotif dunia nampaknya secara tidak langsung merubah situasi ini – apa pula pendapat anda?

     
     
  • Hyundai Grand Starex facelift didedahkan di Korea

    Hyundai Grand Starex facelift didedahkan di Korea

    MPV bersaiz besar Hyundai Grand Starex hanya diberikan berberapa perubahan kecil sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2007. Namun untuk versi facelift baharu yang didedahkan di Korea Selatan ini, Starex nampaknya diberikan penyegaran yang agak menyeluruh bagi membolehkan ia duduk sebaris dengan model-model Hyundai terkini.

    Muka baharu Starex ini diberikan lampu hadapan yang lebih melintang berbanding lampu menegak model sebelumnya. Bukan sahaja kereta dan SUV, MPV ini juga nampaknya kini telah diberikan gril hadapan ‘Cascading’ signatur Hyundai.

    Perubahan ini memerlukan bonet hadapan direka semula dengan bentuk lebih panjang yang turut meningkatkan perlindungan terhadap perjalan kaki, manakala bampar hadapan turut disentuh semula melibatkan rombakan pada liang kemasukan udara.

    Hyundai Grand Starex facelift didedahkan di Korea

    Antara ciri yang dipertingkat untuk varian tertinggi Urban termasuk lampu hadapan projektor halogen, gril krom, lampu kombinasi belakang LED, rim 17-inci dengan kemasan aloi digilap, pengelap cermin aero dan juga talaan suspensi baharu bagi memberikan lebih keselesaan.

    Pada bahagian dalam, versi Urban turut diberikan rekaan ala-sedan dengan papan pemuka yang direka semula menampilkan elemen yang lebih mendatar serta tombol gear, roda stereng empat jejari dan juga suis kawalan pendingin hawa berimej baharu. Skrin infotaimen (bersama sistem navigasi) bersaiz lapan-inci juga kini lebih segar dengan rekaan yang seakan terapung di tengah papan pemuka.

    Selain dari model Urban dengan konfigurasi sembilan-tempat duduk ini, Grand Starex turut dijual dalam varian Wagon yang diberikan sama ada 11- atau 12 tempat duduk. Di Korea, Starex versi Wagon berkenaan dikecualikan dari cukai penggunaan individu (Urban masih lagi dikenakan cukai berkenaan) dan ia masih boleh dipandu lebih dari 110 km/j, serta dibenarkan menggunakan laluan bas sekiranya membawa sekurang-kurangnya enam penumpang.

    Hyundai Grand Starex facelift didedahkan di Korea

    Ciri lain yang turut diberikan pada MPV gergasi ini termasuk bantuan mula mendaki, LSD dan juga penebat bunyi yang diperbanyakkan bagi memberikan perjalanan yang lebih senyap.

    Model Passenger pula kini diberikan pilihan enjin turbodiesel 2.5 liter CRDi yang diperbaharui – kini mematuhi undang-undang Euro 6, berkuasa 140 PS/353 Nm – dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau enjin VGT berkuasa 176 PS/451 Nm bersama kotak gear lima-kelajuan automatik.

     
     
  • VIDEO: Datsun ‘perang’ di Nismo Festival 2017

    Saluran Youtube milik sayap perlumbaan Nissan – Nismo – iaitu Nismo.TV memberikan liputan yang agak menyeluruh untuk Nismo Festival edisi tahun ini. Terbaharu, saluran berkenaan telah menyiarkan perlumbaan penuh enam-lap di litar Fuji Speedway untuk jentera-jentera touring car klasik Nissan (atau Datsun) yang terkenal pada era 70’an dan 80’an.

    Perlumbaan ini disertai oleh berberapa buah jentera Sunny yang berlumba dalam siri kejuaraan TS-Cup dari era berkenaan, terdiri dari Sunny Coupe KB110 dan juga KB310 (dikenali sebagai Datsun 140Y pada pasaran Malaysia). Dua buah jentera dari kelas lebih tinggi iaitu sebuah Bluebird Coupe KP510 dan juga Fairlady 240Z S30 turut menyertai perlumbaan kali ini.

    Atas kertas, tentunya Bluebird dan Fairlady mempunyai kelebihan kerana dijana enjin siri-L empat silinder dan enam silinder dengan kapasiti lebih besar dan berkuasa berbanding barisan Sunny yang hanya dijana enjin siri-A. Namun ketika berlumba, adakah angka di atas kertas akan diterjemahkan kepada keputusan perlumbaan? Tonton video di atas untuk mengetahui.

    Nismo Festival telah diadakan buat pertama kali pada tahun 1997, dan tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 penganjurannya. Menerusi acara ini, Nissan akan ‘melepaskan’ jentera-jentera berprestasi tingginya yang disimpan di muzium warisan sejarah mereka ke litar Fuji Speedway, untuk tatapan peminat dan bertarung semula di litar bersejarah tersebut.

     
     
  • Mercedes-Benz 770K Grosser Tourenwagen tahun 1939 milik Hitler bakal dilelong di Amerika Syarikat

    Mercedes-Benz 770K Grosser Tourenwagen tahun 1939 milik Hitler bakal dilelong di Amerika Syarikat

    Rumah lelongan kereta vintaj yang berpusat di Amerika Syarikat, iaitu Worldwide Auctioneers telah memasukkan dalam senarai antara kereta lelongan mereka yang paling bersejarah dan bermakna iaitu sebuah Mercedes-Benz 770K Grosser Offener Tourenwagen tahun 1939 yang pernah dimiliki oleh pemimpin Nazi, Adolf Hitler.

    Pelbagai dokumen sejarah kereta ini turut disiarkan dalam laman lelongan tersebut, dan menunjukkan Hitler sebagai pemilik pertama pada tahun 1939 hingga 1945, diikuti beberapa pemilik lain, dan pada tahun 1946, ia sampai di Greenville, Amerika Syarikat. Keseluruhannya kini, kereta tersebut sudah dimiliki lapan nama.

    Mercedes-Benz 770K Grosser Offener Tourenwagen adalah sebuah kereta limosin bumbung boleh buka, dan ia dikuasakan oleh enjin 7.7 liter supercharge lapan silinder sebaris, dan padanan kotak gear manual lima kelajuan dengan overdrive. Dalam keadaan NA, enjin ini boleh menghasilkan 155 hp, manakala apabila unit supercharger memberi bantuan, ia boleh mencecah 230 hp.

    Mercedes-Benz 770K Grosser Tourenwagen tahun 1939 milik Hitler bakal dilelong di Amerika Syarikat

    Apa yang menariknya, selain kereta itu sendiri, Worldwide Auctioneer juga menyiarkan sejarah serta kisah kereta ini, dari waktu ia dimiliki oleh Hitler, hinggalah tiba ke Amerika Syarikat dan dibaik pulih. Malah ada juga dokumen asal yang berkaitan penjagaan kereta ini.

    Walaubagaimanapun, Worldwide Auctioneer menyatakan semua ini ditunjuk bukan untuk memberi kemegahan kepada Hitler, tetapi lebih kepada orang ramai supaya menghargai antara kereta buatan tangan yang terbaik di dunia, serta teknologi yang ada pada masa itu. Untuk lebih banyak gambar, anda boleh lihat di laman web lelongan Worldwide Auctioneers sendiri.

     
     
  • VIDEO: Hyundai Veloster 2019 dengan deruman enjin

    Hyundai mengeluarkan sebuah video teaser bagi model Veloster 2019, yang memaparkannya sedang berlumba di malam hari. Unit yang ditampilkan itu bagaimanapun masih mengenakan pelekat samaran, sama seperti imej-imej teaser rasmi yang mula beredar bulan lalu.

    Walaupun mungkin tak banyak dapat dilihat, tapi ada sisi lain yang dipersembahkan – bunyi deruman enjinnya kedengaran dengan jelas, dan ia sangat mengujakan. Versi penampilan tanpa pelekat samaran juga sudah kelihata beberapa hari lalu; dan Hyundai Veloster 2019 ini nampak masih mengekalkan bentuk luaran umumnya seperti model sedia ada.

    Ia masih dengan rekaan dua pintu pada satu sisi, dan satu pintu pada sisi yang lain. Begitu juga dengan rekaan gril hexagonal yang besar di depan, manakala lampu utama yang lebih kecil dan tajam berbanding sebelumnya. Lampu LED terletak dalam unit lampu utama, dengan bukaan udara turut kelihata pada bucu bampar.

    VIDEO: Hyundai Veloster 2019 dengan deruman enjin

    Kereta yang ditemui ini mempunyai skema warna dua tona, dengan bumbung serta bahagian A-pillar berwarna hitam. Warna gelap ini juga digunakan pada kemasan yang lebih rendah pada badan, seperti lip hadapan, side skirt dan bampar belakang. Veloster baru ini juga nampak seperti lebih sporty dan mempunyai rekaan lebih tajam.

    Perubahan yang lebih besar boleh dilihat pada bahagian belakang, dengan lampu yang lebih panjang. Cermin belakang juga kelihatan lebih panjang, yang menjelaskan lagi kelebaran kereta ini. Sama seperti Elantra AD, terdapat tiga elemen di dalam lampu belakang tersebut tapi kami tidak dapat melihat bentuknya dengan jelas. Ini juga mungkin adalah model Turbo, dengan dua muncung ekzos di tengah.

    Veloster baru ini dijangka akan menggunakan enjin Gamma T-GDi turbo dengan padanan kotak gear automatik klac berkembar dan manual enam kelajuan. Hyundai nampaknya masih percaya dengan kotak gear manual, dan akan melancarkan hot hatch pertama mereka dan model N (i30 N) dengan pilihan kotak gear tersebut.

     
     
  • Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

    Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

    Kenderaan hibrid kian mendapat tempat di Malaysia. Berbanding lebih lima tahun dahulu, masih ramai yang ragu-ragu untuk membeli kenderaan hibrid. Atas beberapa faktor termasuk kurang yakin dengan kredibiliti dan ketahanan bateri hibrid serta bimbang harga bateri hibrid yang mahal.

    Setelah lebih sedekad, enjin hibrid kini semakin dipercayai dan harganya juga tidaklah setinggi dulu. Ini kerana pengeluar kenderaan hibrid semakin banyak menerokai teknologi ini untuk memastikan kepuasan maksimum di kalangan pelanggannya. Ini termasuklah antara pengeluar kenderaan hibrid terkemuka dari Jepun, Honda Motor Co., Ltd.

    Sebelum ini, beberapa kenderaan hibrid buatan Honda seperti Jazz dan CR-Z, dilengkapi dengan teknologi Integrated Motor Assist (IMA). Namun kini Honda telah memperkenalkan pula sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Cluth Drive) yang lebih berkuasa dan lebih efisien.

    Malah pada tahun ini, Honda Malaysia telah melancarkan model City dan Jazz yang dilengkapi dengam sistem Sport Hybrid i-DCD yang diperkenalkan pada model City dan Jazz untuk pasaran tempatan. Sekaligus menjadi antara bukti penerimaan teknologi ini di kalangan pengguna tempatan. Bagi mengetahui lebih jelas mengenai sistem ini, sebelum ini, penulis kami, Farid Awaludin, pernah menulis mengenainya. Anda boleh membacanya di sini.

    Bagi melihat sendiri pengeluaran transmisi Sport Hybrid i-DCD, Honda Malaysia telah membawa kami melawat kilang pengeluaran ketiga Honda yang terletak di Suzuka. Walau pun tidak berpeluang melihat secara keseluruhan pengeluaran transmisi berkenaan, kerana tidak semua bahagian kilang pengeluaran ini boleh dilawati.

    Mula beroperasi sejak tahun 1960, kilang di Suzuka ini merupakan kilang domestik ketiga bagi Honda. Ia membekalkan komponen ke kilang Honda di luar negara, melibatkan sebanyak 27 negara, selain untuk pasaran tempatannya sendiri. Malahan kilang ini juga berperanan sebagai “mother plant”, kerana menyalurkan sokongan teknikal kepada semua kilang Honda di luar negara. Kilang ini jugalah yang telah mula membekalkan transmisi i-DCD kepada Malaysia sejak Mei lalu, yang digunakan pada model City dan Jazz versi hibrid.

    Selain itu, kilang pengeluaran Suzuka bertanggungjawab memasang City (atau dikenali sebagai Grace di Jepun), CR-Z, Fit (atau Jazz, di Malaysia), N-Box, N-One, dan N-WGN. Sebelum ini, model empat-roda Honda yang turut dipasang di sini, antaranya, Insight, NSX, RSX, S2000 dan Integra.

    Menerusi lawatan ke sini, pihak pengurusan kilang membawa kami melihat sendiri beberapa proses bagi pengeluaran i-DCD termasuklah rotor dan dysprosium free magnet yang merupakan sebahagian daripada komponen untuk sistem ini. Menurut ketua jurutera bahagian terbabit, motor elektrik pada sistem hibrid i-DCD Honda kini menggunakan magnet neodymium yang dihasilkan dengan proses pemanasan tanpa sebarang material nadir bumi.

    Walaupun tanpa bahan tersebut, magnet yang dibina bersama Daido Steel ini masih lagi dapat mengekalkan sifat kalis suhu panas dan prestasi medan magnet yang tinggi yang diperlukan oleh sebuah motor elektrik hibrid. Magnet mesra alam tanpa sebarang nadir bumi ini telah digunakan buat pertama kali pada Freed Hybrid pasaran Jepun tahun lalu dan kini turut digunakan pada Jazz.

    Untuk magnet baharu ini, Daido mengevolusikan teknologi ubahbentuk pemanasan manakala Honda menggunakan pengalamannya di dalam pembangunan motor pacuan serta mereka semula bentuk magnet berkenaan. Honda turut mereka bentuk motor baharu yang akan menggunakan magnet baharu ini, dengan mengubah semula bentuk rotor pada motor berkenaan untuk mengoptimakan aliran fluks magnetik.

    Menurut Honda, tork, kuasa dan prestasi kalis suhunya adalah sama dengan motor yang menggunakan magnet jenis konvensional. Setiap pemasangan yang dilakukan, para pekerja akan melakukan pemeriksaan menerusi komputer. Di maka komputer akan menentukan sama ada modul yang terhasil sempurna atau pun perlu di’reject’.

    Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

    Apabila modul terbabit lulus, barulah ia akan dipasangkan ke bahagian enjin. Enjin yang telah lengkap dengan semua modul yang diperlukan kemudiannya akan dimuatkan ke dalam engine bay bagi setiap unit kenderaan yang dipasang. Setiap proses dilakukan secara begitu teliti dan cermat oleh kakitangan operasi yang terlatih. Selain tenaga manusia, bantuan robot juga diperlukan bagi kelancaran dan memudahkan lagi proses pemasangan komponen.

    Menurut Honda, sejak memulakan operasi penghasilan sistem transmisi i-DCD pada tahun 2013, sehingga kini, kilang Suzuka telah mengeluarkan lebih dua juta unit komponen terbabit termasuk bagi pemasangan model Honda di luar Jepun.

    Selain melihat serba sedikit proses penghasilan transmisi i-DCD ini, kami juga dibawa melawat ke Line 2 yang bertanggungjawab memasang model N Series untuk proses peringkat akhir sebelum ia diuji dan seterusnya dihantar ke bahagian jualan. Antara proses yang dapat dilihat termasuklah pemasangan enjin dan kotak gear, tempat duduk dan tayar, proses stamping dan mengecat.

    Kilang Honda Suzuka membekalkan sistem transmisi i-DCD bagi pasaran global, termasuk untuk Malaysia

    Berpeluang melihat serba sedikit perjalanan proses penghasilan komponen dan pemasangan bahagian kenderaan di loji pengeluaran Suzuka ini, sebenarnya tidak banyak berbeza dengan perjalanan kerja di kilang Honda di Pegoh, Melaka.

    Ini kerana sudah menjadi kemestian bagi Honda yang menetapkan tahap standard yang benar-benar mencapai kualiti yang ditetapkan bagi semua kilang pemasangannya di seluruh dunia. Malah pekerja juga dilatih oleh pakar yang bertauliah dan diperakui kemahirannya. Manakala jentera, robot dan segala macam mesin yang digunakan bagi kelancaran proses kerja juga menepati piawaian yang ditetapkan.

    Begitu juga dengan tata kerja yang cukup sistematik bagi memastikan segala proses berjalan secara lancar dan efisien. Honda memang amat mementingkan kualiti biar pun harus melaburkan dalam jumlah kos yang besar demi memastikan segala produk yang dikeluarkan lebih diyakini dan paling penting menepati apa yang diperlukan oleh pasaran tempatan mahu pun global.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026